Waris Dukun Hitam

RM22.00

Penulis: Syikin Zainal

Caption: sekali janji diikat, selamanya akan terikat

ISBN: 978-967-406-246-0

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 22.00 RM 25.00

Embun, pewaris keturunan dukun hitam, seorang dukun yang benar-benar ampuh di zaman silam. Kedua-dua orang tuanya dibunuh oleh neneknya sendiri yakni Nek Kuntum semasa dia kecil. Sejak kecil Embun hanya didedahkan dengan segala macam sihir dan ilmu hitam. Dia diasingkan oleh masyarakat kerana dua sebab.  Pertama, kerana Nek Kuntum mahu menyediakan dia sebagai pewaris ilmu tengkorak hitam dan sekali gus menjadi pewaris dukun hitam. Dan yang sebab kedua, kerana dia adalah cucu Nek Kuntum, seorang pengamal ilmu hitam yang ditakuti oleh penduduk kampung. Biarpun begitu, Nek Kuntum selalu sahaja menjadi tempat kunjungan penduduk yang sentiasa mahukan ‘sesuatu’ daripadanya.

 

Menginjak remaja, Embun mencintai seorang pemuda yang bernama Yusoff. Cinta mereka bersemi seiring dengan usia. Embun sebenarnya tidak mahu bergelar dukun. Dia sekadar mahu menjadi seperti gadis pingitan yang lain, dicintai dan mencintai. Hubungan Yusoff dan Embun diketahui oleh keluarga Yusoff dan Nek Kuntum. Mereka menghalang cinta mereka. Keluarga Yusoff menghalang kerana mereka mendambakan anak Orang Kaya Leman sebagai menantu. Sementara itu Nek Kuntum melarang keranaYusoff seorang pemuda yang bakal menghancurkan harapannya.

“Ya Embun ini. Tadi bilang tidak takut sama hantu. Baru tengok Sentot sudah kecut. Hingga Embun pun abang sudah tidak kenal,” – EMBUN

“Hantu? Mana ada hantu di dunia ini, Embun. Yang ada hanyalah syaitan. Yang tugasnya menyesatkan manusia,” – YUSOFF

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“Betul ke tindakan kita ni, Kirah?” soal Fatin. Hatinya berdebar sejak tadi. Rasa menyesal pula kerana mengikut kata Kirah. Kalau dia tahu begini keadaannya, harus ditentang awal-awal lagi. Sejak dulu lagi dia hairan dengan sikap Kirah yang suka kepada hal-hal yang mistik.

“Betul atau tidak semuanya dah terlambat, Fatin. Kau nak biarkan dia macam tu sahaja? Lagipun kita dah sampai. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kalau kau tak nak ikut aku, kau tunggu sini. Tapi jangan harap aku akan tolong kau selepas ini,” ugut Kirah.

Fatin akhirnya mengalah. Mahu tak mahu kakinya hanya mengikut langkah Kirah. Walaupun dalam hatinya dia menyumpah seranah Kirah. Dan turut menyumpah tindakannya kerana kalah dengan pujukan Kirah.

“Mak dukun, mak dukun!” Kirah berteriak. Dari tadi mereka berdua memanggil nama dukun yang dikatakan hebat itu. Namun tiada jawapan.

“Jom kita baliklah, Kirah. Orang tua tu tak ada kut. Kau ada bagi tahu dia tak, yang kita nak datang ni?” soal Fatin.

“Tak. Inikan emergency. Ala, tunggulah kejap. Mungkin dia ada dekat-dekat sini aje kut,” pujuk Kirah sambil memegang tangan kawan baiknya.

Fatin mengalah. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga menunggu mak dukun sebagaimana yang dimahukan oleh Kirah.

Krek

Pintu dibuka dari dalam namun tiada siapa yang muncul di hadapan muka pintu. Kirah memberanikan dirinya menaiki anak-anak tangga rumah usang itu. Fatin mengikutnya dari belakang.

“Apa hal yang kau tarik baju aku ni?!” marah Kirah.

“Aku takutlah. Mana mak dukun ni?” soal Fatin. Sejak tadi dia tidak melihat kelibat orang di sini. Tidak seperti selalu. Ini kali kedua dia ke rumah usang ini.

“Sabarlah. Nanti dia keluarlah. Jangan drama sangat boleh?” Suara Kirah semakin meninggi.

“Drama? Helo, kau sedar tak apa yang kita nak buat ni salah tau. Salah!” Fatin sudah hilang sabarnya. Niat hati untuk menolong teman baiknya terus dirasakan sebagai satu beban.

“Kalau macam tu, silalah kau tunggu kat kereta aje. Aku tak ada masa nak dengar kau berleter tau. Kenapa dulu tak fikir sama ada nak ikut aku ke tak?” Kali ini Kirah sudah tidak dapat menahan sabarnya dengan sikap tidak menentu Fatin.

Fatin sudah tidak mahu membalas rungutan daripada Kirah. Lima tahun dia berkawan dengan Kirah, dia sudah masak dengan perangai Kirah. Kepala anginnya yang bukan-bukan.

“Mak dukun,” panggil Kirah lagi. Kali ini dia cuba menjenguk ke dalam.

Gelap.

Hati Kirah menjadi semakin cuak. Selalunya rumah dukun ini tidaklah segelap dan sesunyi ini. Ini dah macam duduk dalam gua.

“Mak dukun…” Suara Kirah menjadi semakin perlahan. Namun kakinya tetap melangkah memijak lantai kayu dengan perlahan.

Krek… Krek…

Bunyi lantai yang dipijak sesekali mendebarkan hati Kirah. Dia masih lagi memegang tepi baju Fatin.

“Buat apa ke mari?” Tiba-tiba kedengaran satu suara di belakang Kirah. Kasar dan parau suara itu. Tersentak Fatin dan Kirah. Hampir luruh jantung mereka berdua. Fatin segera berpaling.

Er.. Mak dukun ke?” tanya Fatin memberanikan diri. Namun dia tetap tidak sanggup untuk memandang tepat ke wajah mak dukun.

“Buat apa ke mari?” Suara itu kedengaran lagi, namun kali ini lebih kasar dan garau.

Kirah cuba memerhatikan susuk tubuh yang berdiri di hadapan mereka kini. Susuk tubuh itu jelas menunjukkan susuk seorang perempuan. Namun wajahnya tersembunyi di sebalik kelubung hitam.

“Kami ke mari sebab…” Belum pun sempat Fatin meneruskan kata-katanya, tiba-tiba mak dukun kembali bersuara.

“Balik.”

“Balik? Tapi mak dukun…” Kirah mencelah.

“Balik! Aku kata balik!” Mak dukun bersuara tegas.

Fatin dan Kirah terkejut. Kali ini susuk tubuh itu menengking sambil membuka kelubung hitam yang menutupi kepalanya. Wajah itu bukan milik mak dukun yang mereka kenali. Wajah itu jelas menunjukkan wajah seorang tua. Berkedut. Matanya merenung tajam ke arah Fatin dan Kirah. Makin ditenung makin jelas kelihatan. Mata itu tidak mempunyai kelopak mata.

Fatin menjerit. Kuat dan lantang. Kirah menjadi lemah lutut tatkala melihat wajah di sebalik kelubung hitam itu. Wajah yang menggerunkan itu semakin menghampiri mereka berdua. Kaki mereka seolah-olah sudah melekat ke lantai. Tidak boleh bergerak. Kirah memejamkan matanya. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan makhluk dihadapannya.

“Pergi!” Dalam keadaan gawat itu muncul mak dukun di hadapan pintu.

“Aku kata pergi. Kenapa kau di sini? Siapa suruh kau ke mari?” Mak dukun bersuara lagi. Kali ini suaranya lebih keras sambil mencerlung tajam ke arah makhluk di hadapannya. Kirah hanya mampu memandang. Fatin sudah pun jatuh terjelepok. Tidak sedarkan diri.

Makhluk yang disangkakan sebagai mak dukun oleh Fatin dan Kirah seolah-olah memahami gertakan daripada perempuan tua itu lalu terus hilang begitu sahaja. Mak dukun kemudiannya menghampiri Kirah. Lalu dia terus membaca mantera dan dihembuskan ke wajah Kirah.

“Mak dukun…” Kirah bersuara perlahan.

“Siapa yang suruh kamu berdua masuk ke dalam rumah aku? Kenapa tak tunggu aku balik?!” jerkah mak dukun. Cukup pantang baginya jika ada tetamu yang tidak menghormatinya.

“Kami mintak maaf, mak dukun. Tadi pintu ni terbuka. Kami ingatkan mak dukun yang bukakan pintu untuk kami,” jelas Kirah. Memang itu yang diandaikannya. Kerana itu dia berani masuk ke dalam rumah itu. Jika tidak dia sendiri tidak berani masuk ke dalam rumah itu tanpa adanya tuan rumah.

Fatin yang masih lagi terkejut tidak mampu bersuara setelah melihat wajah dukun itu. Semakin ditenung wajah dukun itu semakin menyeramkan. Mak Dukun mendiamkan diri. Namun jelas terbayang wajak cuak kedua-dua tetamunya ketika melihat wajah masam miliknya.

“Buat apa kamu ke mari?” Mak dukun bertanya sambil dia meletakkan daun-daun kayu yang dikutipnya di dalam hutan yang berhampiran dengan pondoknya.

“Saya nak mintak mak dukun tolong tengokkan suami saya. Dia main kayu tiga lagi,” jawab Kirah.

Mak dukun melihat ke sisinya dan tersenyum sambil menganggukkan kepala. Seolah-olah sedang berbicara dengan seseorang walhal tiada siapa yang berada di sebelahnya. Fatin dan Kirah saling berpandangan. Dan tiba-tiba ada angin yang menerpa ke wajah Fatin dan Kirah. Merinding bulu roma mereka berdua.

“Macam mana, mak dukun?” soal Kirah lagi bila dilihatnya mak dukun seolah-olah mendiamkan diri. Namun satu yang dia perasan, mak dukun lebih menumpukan matanya ke arah Fatin. Padahal dia yang berhajat untuk meminta pertolongan daripada mak dukun. Bukannya Fatin.

“Boleh. Suami kau itu bukan apa-apa. Sekadar belum puas dengan kau. Dasar lelaki. Aku akan buat hingga dia tunduk pada kau,” balas mak dukun.

“Terima kasih, mak dukun.” Baru nampak ceria di wajah Kirah. Yakin benar dia dengan kehebatan perempuan yang dipanggil mak dukun itu.

“Kau tak mahu apa?” soal Mak Dukun kepada Fatin.

Fatin menggeleng.

“Dia tak kahwin lagi, mak dukun. Mungkin boleh dipercepatkan jodohnya.” Kirah menjawab bagi pihak Fatin. Segera Fatin mengutil paha Kirah. Dia pula yang lebih-lebih.

Mak dukun ketawa berdekah-dekah, Tawanya sahaja boleh meremangkan bulu roma.

“Kau kena kahwin. Kena ada pewaris,” balas mak dukun sambil memandang tepat ke mata Fatin. Cepat-cepat Fatin mengalihkan pandangannya.

Mak dukun memegang tangan Fatin. Fatin merasa sejuk seketika. Mak dukun memejamkan mata. Dia terkumat-kamit membaca sesuatu. Tidak sampai lima minit wajah mak dukun berpeluh-peluh segera tangan Fatin dilepaskan. Tiba-tiba ada angin yang menerpa wajahnya.

“Kau?” Mak dukun bersuara dengan wajah yang terkejut.

Fatin memandang Kirah, namun Kirah seperti tidak memberi sebarang reaksi. Hairan Fatin dengan tingkah mak dukun. Wajahnya berubah. Reaksinya seperti mula-mula tadi, bercakap dengan seseorang di sebelahnya. Mak dukun kelihatan mengangguk kepalanya berkali-kali.

Mak dukun memegang kembali tangan Fatin. Dia kemudiannya tersenyum sambil berkata…

“Kau akan berkuasa suatu hari nanti. Tiba saatnya kau akan ke mari.”

Fatin menelan air liur. Sempat dia menjeling ke arah Kirah yang hanya memandang tepat ke hadapan. Seolah-olah seperti patung.

“Dia tidak tahu apa yang aku bicarakan sama kau. Pulang dulu. Sampai masa kau akan ke mari. Aku akan penuhi apa yang kau hajati,” bisik mak dukun lagi.

Fatin tersentak bila ada angin yang menerpa ke wajahnya sekali lagi. Dia merasa hairan. Tadi dia merasakan mak dukun menghampirinya dan memegang tangannya. Tiba-tiba bila dia tersedar yang dia melihat mak dukun sedang berbicara dengan Kirah. Seolah-olah langsung tidak bersapa dengannya.

“Terima kasih banyak-banyak, mak dukun.” Tak henti-henti ucapan terima kasih Kirah buat mak dukun. Mak dukun tidak menjawab sebaliknya sekadar menganggukkan kepalanya.

Fatin ingin cepat-cepat pergi dari situ. Entah kenapa dia merasakan seram sejuk dan semacam. Semuanya meremangkan bulu romanya.

“Sampai masa kau akan ke mari, akan aku tunaikan apa yang kau hajati.” Fatin tersentak, dia mendengar lagi kata-kata itu bermain di benaknya. Cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta. Sempat dia menjeling ke cermin sisi, kelihatan mak dukun sedang memerhati tepat ke matanya.

1941.

Kuala Rompin.

Dia berjalan dengan langkah yang perlahan. Sesekali wajahnya mengukir senyuman manis. Di tangannya ada seberkas pucuk paku yang baru sahaja dipetik. Kadang-kadang dia menggumam kecil. Bukan lagu yang didendangkan tetapi satu jenis ratib yang sentiasa didengari dan dihafalnya. Tiba-tiba langkahnya terhenti apabila dia merasakan ada yang mengekorinya. Dia berpaling, namun tiada sesiapa. Langkahnya semakin laju. Jantungnya bergerak laju seiring dengan langkahnya.

“Embun!”

Langkahnya terhenti apabila namanya diseru. Dia berpaling. Wajah cuaknya berubah manis dan tersipu malu apabila melihat wajah lelaki yang memanggilnya.

“Abang, Embun ingatkan siapalah tadi. Lain kali jangan begini. Bikin hati Embun takut sahaja,” marah Embun, manja.

“Kenapa? Embun takut?” Pemuda yang menyapanya bernama Yusoff. Teruna yang sudah berusia 18 tahun itu semakin menghampiri Embun.

“Mestilah. Jalan ini selalu sahaja ada pengacaunya. Eh, abang dari mana? Berpeluh begini?” soal Embun sambil kakinya tetap melangkah. Kali ini langkahnya lebih perlahan dan melenggok.

“Dari belakang mahu ke depan.” Yusoff berseloroh.

Embun ketawa menampakkan barisan giginya yang putih dan bersih itu.

“Ada-ada sajalah abang ni.”

“Malam ini Embun pergi tengok keramaian?” tanya Yusoff lagi. Sudah menjadi adat setiap tahun akan diadakan satu keramaian untuk menjalinkan kemesraan antara penduduk.

“Kenapa?” Embun bertanya. Dia menjeling sekilas ke sebelah kirinya. Terasa bagaikan ada mata yang sedang memerhati tingkahnya.

“Yalah, Embun harus ke keramaian. Malam ini malam penghabisan. Malam ini abang akan berpencak silat,” kata pemuda itu sambil membuka pencaknya. Kukuh dan kemas langkahnya.

“Buat apa?” Embun pura-pura tidak mengerti.

“Buat apa? Sampai hati Embun berkata begitu. Penat abang berlatih semata-mata hendak tunjuk pada Embun malam nanti. Embun datang, ya?” Yusoff memujuk. Inilah masanya untuk dia menunjukkan kehebatannya kepada gadis itu. Biar gadis itu terpegun dan terpesona dengannya.

Embun mengeluh perlahan. Bukan dia tidak mahu melihat pujaan hatinya berpencak silat malam nanti. Namun apakan daya. Hidupnya tidak seperti orang lain. Banyak pantang larang yang tidak boleh ditentang. Tambah-tambah lagi pasti dia akan dihalang untuk bersuka-ria dengan orang kampung di baruh. Hidupnya sudah umpama kera dihutan. Disingkir daripada orang ramai.

“Embun tak boleh janji. Tengoklah dulu.” Akhirnya itu yang dijawab oleh Embun. Tidak mahu memberi sebarang harapan kepada Yusoff.

“Malam ini malam terakhir Embun. Embun datanglah. Abang ambil Embun di rumah.” Yusoff terus memujuk. Dia tetap mahu Embun berada di keramaian itu.

“Apa abang tak malu?” Embun menduga.

“Apa yang hendak dimalukan?” balas Yusoff. Jawapan itu benar-benar menggembirakan hati Embun.

“Abang, Embun ini pipit Abang Enggang. Mana boleh terbang bersama,” balas Embun dengan perlahan.

“Lah, Embun pipit rupa-rupanya. Abang fikir Embun manusia.” Yusoff mengusik.

“Abang!” marah Embun. Namun kemudian dia ketawa bila melihat aksi jejaka di hadapannya.

“Boleh ya, Embun? Abang jemput Embun di rumah.”

Embun mengeluh perlahan. Dan kemudiannya dia mengangguk perlahan.

“Tapi abang tak payah ambil Embun di rumah. Biar Embun datang sendiri. Embun tidak mahu orang nampak kita berdua,” balas Embun. Dia bertentang mata dengan jejaka dihadapannya. Memang wajah itu yang dirinduinya setiap malam.

“Kenapa? Embun malu?”

“Sudahlah, malas Embun nak layan abang. Embun balik dulu nanti nenek bising. Jumpa malam ni,” jawab Embun sambil langkahnya semakin laju. Dia tahu jalan ini sudah menghampiri jalan besar. Pasti terserempak dengan orang yang lalu lalang. Dia harus mengelak dari dilihat orang.

“Jangan lupa ye sayang. Jika tidak abang mengamuk satu kampung kalau Embun tak datang,” Yusoff menjerit perlahan. Dia sudah tidak berani berjalan berdua dengan Embun. Dia tahu Embun tidak mahu hubungan mereka diketahui orang.

Embun hanya ketawa. Dia kemudiannya berlari-lari anak meninggalkan jejaka pujaannya sambil di benaknya terfikir apa yang harus dia memberitahu neneknya untuk dia keluar malam ini. Dia tahu neneknya sudah mengingatkan agar menjauhi penduduk kampung.

“Lewat kamu pulang. Sudah dinihari baru nampak? Ke mana saja kamu ni, Embun?!” sergah Nek Kuntum.

Errr… Mencari pucuk pakulah. Ke mana lagi?” jawab Embun tanpa memandang wajah neneknya.

“Dengan aku kau mahu berbohong Embun? Kau jangan lupa, aku yang menjaga kau sejak kecil. Jangan sesekali kau mengingkari arahan aku, Embun.” Nek Kuntum mengingatkan sambil menjeling.

Embun tertunduk. Jika sudah begitu nada yang keluar dari bibir Nek Kuntum haruslah dia menutup mulut. Embun meletakkan pucuk paku yang dikutipnya di atas pangkin. Dia melepaskan lelah.

“Kau masih sahaja berhubungan sama Yusoff?” tanya Nek Kuntum, Tangannya ligat sahaja memisahkan daun sekentut dari batangnya.

“Mana ada. Errr… Embun sudah lama tidak berjumpa dengan dia,” balas Embun.

“Bohong lagi. Kau memang tidak sedar diuntung Embun. Sama aku kau masih juga mahu menipu, ya? Kau ingat aku tidak tahu? Bukankah kau sudah berjanji mahu ketemu dia majlis keramaian malam ini?!” sergah Nek Kuntum.

Embun segera bangun. Bagaimana Nek Kuntum tahu akan perbualannya dengan Yusoff? Siapa yang memberitahu pada Nek Kuntum? Ada sesiapa yang memasang telinga? Patutlah dia merasakan ada mata yang memerhati geraknya sejak dari tadi.

“Mahu ke mana kau Embun. Aku belum habis bicara. Duduk!” Nek Kuntum bersuara lagi.

Embun mengalah. Dia kembali duduk di sebelah Nek Kuntum. Namun matanya tidak berani bertentangan dengan orang tua itu. Orang tua itu bukan calang-calang orang. Wajahnya sahaja sudah menggerunkan.

“Sudah ku bilang sama kau, Embun. Jangan sesekali kau berhubungan dengan manusia di baruh. Mereka semuanya menyusahkan. Penuh muslihat.” Suara Nek Kuntum semakin tegas.

“Tapi nenek sendiri selalu membantu mereka,” balas Embun.

Nek Kuntum ketawa.

“Bantu? Itu bukan pertolangan daripada aku. Aku sekadar mengambil upah untuk menunaikan hasrat mereka. Kau akan menjadi pengganti aku suatu hari nanti, Embun. Kerana itu aku melarang kau untuk bersama-sama dengan mereka. Biar mereka takut pada kau. Baru mereka akan memuja kau,” kata Nek Kuntum.

Embun menarik muka. Dia tidak mahu menjadi seperti Nek Kuntum. Hidup sendirian di hujung kampung. Terasing daripada orang ramai. Namun setiap malam ada sahaja orang di baruh yang bertemu dengan Nek Kuntum. Ada sahaja yang diminta mereka. Paling ramai wanita-wanita yang meminta tangkal untuk mengikat nafsu suami mereka yang mata keranjang. Dia mahu hidup bahagia di samping Yusoff, buah hatinya.

“Kau jangan ingat Yusoff itu benar-benar suka pada kau Embun,” kata Nek Kuntum lagi.

Embun masih tidak berkutik. Masih lagi memandang ke bawah.

“Malam ini kau jangan fikir kau akan ke keramaian itu. Sentot akan sentiasa menjaga kau. Kerana ini arahan daripada aku,” putus Nek Kuntum.

Kali ini Embun mendongak dengan linangan air mata. Tahulah dia kalau Sentot yang akan ditugaskan pasti dia tidak boleh ke mana-mana. Mungkin juga Sentot lah yang sentiasa mengawasi geraknya. Dia menyumpah Sentot dalam hati.

Nek Kuntum kemudiannya berpaling ke belah kirinya.

“Kau jaga dia, Sentot. Kalau dia terlepas, akan aku cukur kepala kau dan beri kau makan lada kering. Biar kau menggelupur. Faham?!” arah Nek Kuntum.

Embun melihat Sentot yang sudah menyeringai ke arahnya. Kurang ajar Sentot. Pasti suatu hari nanti dia akan mengajar belaan Nek Kuntum yang bermuka hodoh itu. Embun melangkah menuju ke dalam rumah. Rumah itu cantik dan sentiasa kemas. Tetapi gelap dan kelam. Tidak bercahaya.

Fatin menjeling ke arah Kirah yang asyik memandang bungkusan yang diberikan oleh mak dukun tadi. Hairan dia melihat ketaasuban Kirah.

“Kirah, kau percaya ke benda ni boleh mujarab?” soal Fatin sambil terus memandu.

“Insya-Allah,” jawab Kirah dengan penuh yakin.

“Insya-Allah? Kau tahu tak apa maksud kalimah tu. Maksudnya, jika diizinkan Allah. Apa yang kita buat ni sah-sah benda syirik tau. Menyekutukan Allah. Takkan Allah nak izinkan?” balas Fatin.

“Kau kata syirik? Bila masa aku sembah berhala? Suka hati aje kau cakap aku menyekutukan Allah. Aku ganyang kau kat sini juga, baru kau tahu. Aku ni berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga aku. Aku bukan tak percaya pada Allah, tapi aku ni berusaha. Lagipun, mak dukun tu dia guna ayat-ayat suci tau. Kau tak dengar dia sebut bismillah sebelum buat upacara tadi?” Kirah mempertahankan tindakannya. Dia lupa, menyekutukan Allah bukan semata-mata menyembah berhala. Tetapi andai seorang manusia itu meminta pertolongan selain daripada Allah dan meyakininya, itu juga tergolong dalam perkara-perkara syirik. Dia hanya mendengar permulaan kalimah yang disebut oleh mak dukun. Dia tidak mendengar selebihnya. Tanpa dia sedar itu semua adalah helah daripada mak dukun untuk meyakinkannya yang mak dukun menggunakan ayat-ayat suci. Dan Kirah benar-benar terpedaya.

“Eh, ada ek?” soal Fatin sambil cuba mengingati adakah mak dukun ada melafazkan kalimah itu.

“Itulah kau, asyik ingat yang buruk sahaja,” marah Kirah.

“Tapi kan benda apa yang suruh kita naik rumah dia tadi? Mencacak bulu roma aku, beb. Serius, seram gila!” Fatin meluahkan perasaannya.

“Entah. Kau tanya aku buat apa? Kenapa kau tak tanya mak dukun aje tadi. Mungkin khadam dia kut. Sebab bila mak dukun tu sampai, terus aje benda tu lari, beb. Power kan mak dukun tu. Benda macam tu dia control macam gitu aje,” puji Kirah. Kagum dia pada kehebatan Mak Dukun.

“Kirah, kau perasan tak? Muka mak dukun tak macam selalu, kan? Nampak macam orang tua. Padahal masa kita pergi rumah dia minggu lepas, nampak cantik aje. Mak dukun tu muda lagi, kan? Aku rasa dalam 50-an aje. Tapi malam ni nampak macam umur 80 tahun, beb. Seram aku kalau nak tenung muka dia lama-lama.” Fatin berkata lagi.

Kirah mendiamkan diri. Sikit pun dia tidak memberi respons pada pertanyaan daripada Fatin. Ini kerana dia juga turut memikirkan hal yang sama. Kenapa wajah mak dukun amat berlainan sekali?

“Alamak, minyak nak habis. Bukan kat area sini ada stesen minyak ke? Kena isi minyak ni. Kalau tak, bertolaklah kita ni,” kata Fatin. Rasanya tadi macam penuh sahaja minyak keretanya.

“Entah mana aku tahu,” jawab Kirah. Sesekali matanya menjeling ke arah cermin sisi. Dari tadi dia seperti melihat kelibat sesuatu namun dia tidak dipastikan apa bendanya. Kerana sesekali sahaja kelibat itu kelihatan.

Fatin menjeling. Sakit hatinya mendengar jawapan daripada Kirah.

“Kau tengok apa? Main toleh-toleh belakang macam tu. Bukan ada kereta pun belakang kereta kita ni. Kau rasa siapalah yang nak lalu jalan ni melainkan kita aje?” balas Fatin.

“Aku rasa macam ada bendalah yang ikut kita. Kejap ada kejap tak ada.”

“Kau jangan macam ni, Kirah. Kau jangan. Dahlah kita berdua aje ni. Wei, meremang bulu roma aku ni,” kata Fatin. Tiba-tiba dia berasa seram sejuk.

“Betullah. Eh tu bukan stesen minyak ke?”

Fatin merasa sedikit kelegaan apabila melihat stesen minyak yang masih beroperasi walau jam sudah menunjukkan pukul 3.15 minit pagi. Dia segera memberi signal ke kiri. Kenderaan yang dipandunya membelok ke kiri dan masuk ke kawasan stesen minyak itu, Fatin memperlahankan kenderaannya dan menghampiri pam minyak yang bernombor tiga.

“Sunyi ajelah.” Kirah bersuara bila melihat suasana stesen minyak itu yang sunyi sepi.

“Tiga pagi kut. Agak-agaklah. Mat rempit pun dah balik rumah tidur. Kau pergi kaunter, aku isi minyak,” arah Fatin.

“Naik isi berapa ni?”soal Kirah lagi.

“Tiga puluh dahlah. Lepas tu kau tengoklah kalau ada cd Yasin ke, beli sekali wei,” suruh Fatin. Entah kenapa lain macam dia merasakan suasana pada malam ini. Sejak tadi dia merasakan ada sepasang mata yang memerhati. Namun dia tidak berani bersuara pada Kirah. Bimbang Kirah akan menjadi takut. Kerana ini dia ingin segera sampai ke rumahnya.

“Gila. Mana ada kat sini, penakut juga kau ni, Fatin. Tak ada apalah, perasaan aku aje tadi. Kalau ada pun dah terjongol depan kita tadi. Dahlah, aku turun dulu. Buka pintu ni,” marah Kirah.

Kirah masuk ke dalam kedai serbaneka. Sesekali dia memicit bahunya, terasa lenguh. Mungkin disebabkan tekanan yang dialaminya sejak akhir-akhir ini. Kirah menuju ke kaunter. Kelihatan petugas yang berada di situ tertidur. Kirah merengus perlahan. Dia mengetuk meja kaunter.

“Helo, ini nak berniaga ke tak nak?” Kirah mula bersuara kuat. Mana tidaknya, berkali-kali dia mengetuk meja mat Bangla itu makin sedap pula tidurnya.

Lelaki itu membuka matanya dengan perlahan. Terpisat-pisat dia dibuatnya.

Ayooo” jerit pemuda itu.

“Laaa, ingat mat Bangla tadi. Menjerit kenapa? Nak isi minyak ni,” marah Kirah. Dia pun hampir-hampir menjerit sebab terkejut dengan jeritan pemuda itu. Itulah tidur lagi semasa kerja.

“Minyak tiga puluh tambi. Pam nombor tiga,” kata Kirah sambil menghulurkan not lima puluh ringgit pada pemuda itu.

Pemuda itu mengambil wang yang dihulurkan Kirah dengan tangan yang terketar-ketar.

“Ni dah kenapa pula mamat ni? Macam nampak hantu sahaja,” bicara Kirah sendiri.

Usai mengambil baki wang, Kirah keluar namun sempat dia menjeling ke arah pemuda yang sudah pucat mukanya. Dia juga merasa seram sejuk. Jangan-jangan stesen minyak ini berpuaka.

“Fatin, cepatlah blah,” kata Kirah sambil memegang lengan Fatin.

“Kenapa kau ni? Main pegang-pegang pula.” Fatin menepis.

Wei, aku seramlah. Jangan-jangan tempat ni ada puaka tak?” kata Kirah. Matanya meliar memerhati suasana di sekelilingnya.

“Kau ni kan, mulut kau tu yang dah macam puaka. Sudahlah pergi masuk dalam kereta,” marah Fatin.

Serentak itu juga bulu tenguk Fatin meremang. Terasa macam kulit tengkuknya dihembus perlahan. Bulu romanya merinding. Segera dia meletakkan kembali pam minyak itu walaupun baru setengah sahaja minyak yang baru diisi ke tangki minyak keretanya. Kirah sudah tidak senang duduk di dalam kereta. Resah dan gelisah. Sempat Fatin menjeling ke dalam stesen minyak. Kelihatan pemuda yang bertugas itu sedang memerhati ke arah mereka dengan mata yang terbeliak.

Kereta dihidupkan dan terus keluar dari stesen minyak yang agak usang itu. Fatin melihat melalui cermin untuk memastikan stesen minyak itu benar-benar wujud. Ternyata stesen minyak itu masih berada di situ. Fatin melepaskan nafas lega, terasa rugi pula kerana tidak mengisi penuh minyak keretanya.

Tanpa disedari oleh mereka berdua. Ada sesuatu yang sedang berada di atas bumbung kereta mereka. ‘Benda’ itulah yang sedang ditenung oleh pemuda India di stesen minyak tadi.

Abang, abang sudah bertanya pada Yusoff?” tanya Aminah kepada suaminya.

“Belum,” jawab Ali. Ringkas sahaja jawapannya.

“Belum? Abang, abang tahu tak semua orang kampung sibuk bercerita pasal Yusoff dan Embun? Mereka sudah berani berdua-duaan,” adu Aminah.

“Kau emaknya. Kau sahaja yang bertanya. Kalau aku yang tanya bimbang jadi lain ceritanya, Minah.” Ali terus sahaja dengan burung tekukur miliknya. Sekali-sekala dia turut berkukur mengajuk bunyi burung itu.

“Nak lain apanya, bang? Susahlah dengan abang ni. Sibuk sangat dengan Orang Kaya Leman hingga hal keluarga dibiarkan begitu sahaja.” Aminah sudah naik angin dengan sikap acuh tidak acuh suaminya.

“Habis kau mahu aku buat apa, Minah? Anak kau itu degil orangnya. Sebelum ini sudah puas aku menegah. Dia tetap begitu juga.” Nada suara Ali sedikit meninggi.

“Itulah, abang. Usaha hanya satu kali sahaja. Kemudian dibiarkan sahaja.” Kali ini suara Aminah sedikit mengendur. Takut juga dia bila Ali mula meninggikan suara.

“Kalau sudah begitu, mengapa tidak kau sahaja yang bertanya? Sudah kau orang yang pandai,” kata Ali sebelum dia mengangkat kaki meninggalkan isterinya.

Aminah mengeluh lagi. Sebentar tadi Mak Cik Rokiah memberitahunya yang dia ternampak Yusoff berjalan-jalan dengan Embun. Aminah memicit kepalanya. Pening dengan tingkah anak terunanya ini. Kalau berjalan dengan gadis lain resahnya lain. Ini dengan Embun. Cucu Nek Kuntum. Dukun ilmu hitam. Jangan-jangan Embun sudah mencalit ilmu guna-guna pada Yusoff. Mana tahu. Semua orang tahu Embun adalah bakal pewaris semua ilmu Nek Kuntum. Hati Aminah menjadi semakin berdebar.

Aminah melihat ke tengah laman. Kelihatan anaknya Yusoff sedang berlatih silat. Maklumlah malam nanti adalah malam terakhir majlis keramaian di kampung itu. Dia tahu Yusoff akan berpencak silat di samping pemuda-pemuda yang lain.

“Yusoff, ke mari nak!” teriak Aminah.

Yusoff mematikan langkahnya. Dia berpaling. Kelihatan Aminah sedang menunggunya di serambi rumah.

“Ada apa, mak?” tanya Yusoff. Segera dia menuju ke serambi. Dia mencedok air di dalam tempayan lalu dicurahkan ke kaki. Sudah menjadi adat, membasuh kaki sebelum naik ke rumah.

“Sudah-sudahlah berpencak silat. Keletihan nanti.” Aminah bersuara. Dia meletakkan segelas air masak buat anaknya.

“Ala mak, bukannya lama… Baru sahaja di buka selangkah dua. Malam ini ada keramaian,” balas Yusoff sambil meneguk air yang diberikan oleh emaknya.

“Mak tahu, nak. Yusoff, kau satu-satunya anak emak dan bapak. Kau tahu, kan?”

Yusoff sekadar mengangguk.

“Apa benar kau suka sama Embun?” Aminah terus bertanya. Sudah tidak mahu dia berbasa-basi lagi.

“Embun? Embun yang mana?” soal Yusoff. Bukan dia tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh emaknya.

“Usahlah kau berdalih-dalih lagi, nak. Begini saja, biar emak berterus terang sama kau. Kau tahu kan Embun tu siapa, Nek Kuntum itu siapa?”

“Jangan disamakan Embun dengan Nek Kuntum, mak,” balas Yusoff.

“Yusoff kau harus tahu, Nek Kuntum akan wariskan semua belaannya kepada Embun. Semua orang tahu masakan kau seorang sahaja yang tidak tahu.”

Yusoff ketawa mendengarnya.

“Ya, sudah kalau kau sudah tidak percaya dengan kata-kata ibu mu ini. Tapi yang nyata emak tidak suka kau berhubungan dengan Embun. Banyak lagi anak dara di kampung ini. Yang manis lagi daripada Embun. Yang kita tahu akan keturunannya.”

“Mak, Embun juga manusia, mak.” Yusoff masih menyebelahi Embun. Rasanya Embun tidak bersalah dalam hal ilmu hitam milik Nek Kuntum. Sekali pun sepanjang hubungannya dengan Embun tidak pernah dia mendengar Embun membaca apa-apa mantera.

“Memang Embun itu manusia. Tapi manusia yang ada pendamping. Yang ada belaan.” Suara Aminah sudah mula meninggi. Geram hatinya dengan sikap Yusoff yang tidak habis-habis menyebelahi Embun.

“Mak!! Janganlah kita menuduh yang tidak-tidak, mak. Yang membela itu Nek Kuntum, bukannya Embun.”

“Dia dan keturunannya penghuni neraka kau tau.”

Astaghfirullahalazim, mak. Kita ini hanya manusia biasa, mak. Soal neraka soal syurga bukan hak kita untuk tentukannya. Setiap manusia diberi hak untuk bertaubat. Jangan kita senang-senang menjatuhkan hukum. Yang jahat hari ini tidak akan jahat buat selama-lamanya. Yang baik hari ini pun tidak akan baik buat selama-lamanya. Adat manusia. Sekali air bah, pantai akan berubah. Inikan pula kita manusia.” Yusoff terus bersuara.

“Kau mengengkari kata-kata emak yang melahirkan kau semata-mata perempuan itu?”

“Saya tidak bermaksud untuk derhaka, mak. Tapi…”

“Sudahlah, nak. Buatlah apa yang kau suka. Aku yang tua ini jangan kau endahkan.” Aminah sudah merajuk. Kali ini bercucuran air mata yang keluar dari tubir matanya. Yusoff serba salah. Dia menghampiri Aminah.

“Seorang ibu hanya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Semasa kecil kau sikitpun tidak membantah kata-kata emak. Tetapi sekarang apa yang aku katakan semuanya kau entengkan,” kata Aminah mati di situ. Sebaliknya kata-kata itu disudahi dengan tangisan.

Yusoff menarik nafas yang panjang. Dia sedar syurga terletak di telapak kaki ibu. Berdosa jika mengengkari kata-kata ibu. Tetapi dia cintakan Embun sepenuh hati. Dia yakin Embun bukanlah seperti yang dikatakan oleh Aminah dan juga orang-orang kampung. Embun lembut orangnya. Hatinya mudah jatuh simpati. Pernah Embun menangis di pinggir kali bila melihat seekor anak kucing yang sedang mengiau kesakitan kerana dipatuk ular. Bersusah payah Embun mencarikan penawar daripada kayu-kayu hutan buat mengurangkan kesakitan anak kucing itu.

“Mak…” Yusoff bersuara perlahan. Namun Aminah yang kecewa dengan sikap Yusoff terus bangun masuk ke dalam rumah. Meninggal Yusoff sendirian di anak tangga.

Yusoff meraup muka dengan telapak tangan. Hatinya berbelah bahagi. Antara cinta pada Embun dan kasih kepada keluarga.

“Asssalamualaikum…” Pak tua memberi salam dan menghampiri anak muda yang sedang termenung di atas tangga. Sejak akhir-akhir ini dia sering mengikut jejak anak muda itu dalam diam.

“Waalaikumussalam. Eh, pak tua? Ada apa, pak tua?” Terkejut juga Yusoff bila melihat orang tua yang berjubah putih itu masuk ke laman rumahnya. Jarang-jarang dia melihat pak tua di halaman rumah orang jika bukan kerana kenduri-kendara atau ada jenazah yang perlu diuruskan. Pak tua lebih banyak berada di surau mengajar budak-budak mengaji atau di kebun.

“Tiada apa-apa. Kebetulan pak tua melintasi di sini, terlihat kau sedang termenung di atas anak tangga. Tak baik termenung begitu, Soff. Syaitan suka pada mereka yang mengelamun. Mengangan-angankan kehidupan bahagia duniawi,” nasihat Pak Tua. Yusoff sekadar menganggukkan kepala.

Aminah menjenguk dari muka pintu apabila dia terdengar ada suara orang yang sedang bersembang. Bila dilihatnya pak tua yang berada di laman, dia merasa lega. Bolehlah dia meminta air penawar daripada pak tua bagi menghilangkan rasa cinta Yusoff terhadap Embun. Mana tahu, kalau-kalau Embun sudah mencalitkan minyak senyonyong kepada anaknya.

“Eh, pak tua. Jemputlah naik,” pelawa Aminah.

“Tak mengapalah, Minah. Aku hanya bertegur sapa dengan Yusoff. Di sini pun sudah cukup. Selepas ini aku mahu ke surau,” balas Pak Tua dengan senyuman di bibir.

“Naiklah dulu, pak tua.” Aminah mengajak lagi.

“Tak apalah, Minah. Terima kasih. Aku sudah mahu ke surau ni. Assalamualaikum. Ingat pesan pak tua tadi, Yusoff.” Pak tua mengingatkan anak muda yang masih berwajah walang.

“Insya-Allah, pak tua,” jawab Yusoff.

Pak tua melangkah meninggalkan laman rumah Aminah. Yusoff pula terus menuju ke perigi untuk membersihkan badan. Aminah segera turun dari rumah dan mengejar pak tua. Dia tidak mahu mengutarakan permintaannya di hadapan Yusoff.

“Pak tua, pak tua!” laung Aminah.

Langkah pak tua terhenti bila terdengar namanya dilaungkan. Dia berkalih, kelihatan Aminah terkocoh-kocoh berlari ke arahnya.

“Ada apa, Minah?” tanya pak tua.

“Saya ada hal nak minta tolong pak tua.” Aminah terus menyatakan hasratnya.

“Insya-Allah. Sebaik-baik pertolongan adalah daripada Allah,” balas pak tua.

“Saya nak ayat pembenci,” kata Aminah.

Pak tua ketawa mendengarnya.

“Eh, pak tua ni ketawa pula. Saya cakap betul-betul ni. Saya mahu ayat pembenci. Yusoff sudah tergila-gilakan Embun, cucu Nek Kuntum. Ini mesti budak Embun itu sudah guna-gunakan Si Yusoff. Jika tidak masakan Yusoff berani menentang kata-kata saya semata-mata budak yang tak tahu asal usulnya itu.” Aminah mula rasa marah bila melihat reaksi pak tua. Seolah-olah sedang mempermainkan permintaannya.

“Masya-Allah, Minah… Minah… Tak baik kau menuduh begitu pada Embun. Lagi satu, mana ada ayat pembenci. Dalam al-Quran yang ada ayat-ayat untuk kedamaian. Ayat-ayat untuk menjaga dan panduan untuk kita sebagai Muslim. Tambahan pula, Islam itu kasih sayang. Mana boleh Allah turunkan ayat-ayat itu menimbulkan rasa benci dalam kalangan umat-Nya. Begini sahaja, Minah. Kau solat hajat minta Allah selamatkan Yusoff daripada terkena sihir. Dan jangan kau membuat tuduhan melulu pada apa yang kau tidak tahu. Assalamualaikum,” nasihat pak tua.

Aminah mencebik. Lain yang dia mahu, lain pula yang diberikan. Dalam hati dia menyumpah pak tua. Sengaja mahu tunjuk alim.

Fatin segera keluar dari kenderaan. Sejak tadi dia berasa seram sejuk. Terkocoh-kocoh dia membuka pintu rumah. Dia menoleh ke belakang untuk memastikan yang dia tidak diekori. Entah kenapa dia merasakan dirinya sedang diperhatikan oleh seseorang tapi setiap kali dia menoleh tiada sesiapa hanya bulu tengkuknya terasa seperti ada hembusan nafas. Fatin lekas-lekas menuju ke kamarnya. Dia hanya perlu tidur.

Baju yang dipakainya diletakkan ke dalam bakul. Fatin mencapai tuala lalu masuk ke bilik air. Biarpun sudah mencecah pukul 4 pagi, namun dia perlu mandi. Dia tidak boleh tidur dalam keadaan badan yang melekit. Selesai mandi dia merebahkan badannya ke atas katil.

“La, aku tak letak baju dalam bakul ke tadi? Rasanya dah letak,” bicara Fatin sendiri.

Fatin bangun dan menuju ke muka pintu. Satu per satu baju yange berselerakan di atas lantai dikutipnya. Dia masukkan baju-baju ke dalam bakul dengan perasaan yang tertanya-tanya. Mungkin dia keletihan hingga dia terlupa, fikirnya sendiri. Dia kembali merebahkan badannya ke atas katil.

Matanya perlahan-lahan cuba ditutup. Dia kemudiannya merasakan pintu biliknya dibuka perlahan. Dia cuba membuka matanya, namun matanya seolah-olah terasa amat berat. Sukar untuk dibuka.

Disebalik pintu itu, dia nampak seorang lelaki memakai baju T berwarna kelabu dan berseluar jean. Dia cuba lagi untuk membuka matanya. Namun masih gagal. Lelaki itu semakin menghampiri dirinya. Dia cuba untuk bangun namun tidak berjaya. Badannya terasa seperti melekat di katil. Semakin dekat semakin jelas wajah lelaki itu.

“Abang…” Suara itu hanya mampu bergema di kerongkong Fatin.

Lelaki itu tersenyum dan membelai lembut wajah Fatin. Kemudian mata Fatin terus tertutup rapat.

 

“Fatin, Fatin!” Rahimah mengejutkan anak daranya.

Fatin menggosok mata. Badannya terasa sakit dan lemah.

“Mak…” Fatin bersuara perlahan. Dia kembali memejamkan matanya.

“Bangun. Apa ni tidur sampai terselak macam ni? Pukul berapa balik malam tadi?” marah Rahimah.

“Orang mengantuk ni, mak. Kejap lagi orang bangunlah,” kata Fatin sambil terus menarik selimut untuk menutup badannya yang terdedah. Sejuk pendingin hawa benar-benar menyengat badannya.

“Bangun mak kata. Dah pukul 9 pagi. Semua orang tunggu kat meja makan tu. Bangun!” marah Rahimah sambil menarik kembali selimut.

Fatin merengus kasar. Dalam enak-enak tidur emaknya datang menganggu. Kemudian dia teringat pada lelaki yang hadir semasa dia mahu melelapkan mata. Terus sahaja dia membuka mata. Seingatnya, sebelum tidur dia mengenakan baju tidur, bila masa pula bajunya bersepah di atas lantai.

“Abang Adzim?” Dia bersuara perlahan. Bila diingati wajah Adzim yang muncul di benaknya.

“Kau ni dah kenapa? Pergi mandi!” marah Rahimah kepada anak daranya.

Fatin mencapai tuala dan menuju ke kamar mandi. Dia cuba mengingati apa yang berlaku namun sikit pun dia tidak ingat. Apa yang dia perasan kehadiran seseorang ke kamarnya. Seseorang yang dia sukainya dalam diam. Tapi mana mungkin. Lelaki itu tidak mungkin melakukan hal sebegitu. Sejak kecil dia mengenali lelaki itu. Dia tersenyum sendiri. Mungkin kerana selalu impikan lelaki hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Fatin membelek pahanya. Dia terasa sakit di situ.

“Eh, lebam apa pula ni?” kata Fatin sambil menekan-nekan lebam sebesar bola golf di pahanya. Sakitnya terasa.

 

“Pukul berapa balik malam tadi?” Karim bersuara. Suaranya kasar dan tegas.

“Entah, lupa tengok jam,” jawab Fatin dengan selamba.

“Apa nak jadi dengau kau ni, Fatin? Asal malam minggu aje keluar, subuh hari baru nak balik,” marah Karim.

“Fatin temankan Kirah.”

“Teman Kirah? Laki dia pergi mana?” marah Karim.

“Zahid balik lambat. Fatin tunggu Zahid balik, barulah Fatin balik. Kalau ayah tak percaya, telefon Kirah. Tanya dia sendiri.”

“Fatin, ayah bukan apa. Fatin tu perempuan. Bahaya balik lewat malam. Lagipun, apa kata jiran-jiran kita ni nanti,” sampuk Rahimah.

“Itulah awak Mah, suka masuk belah budak ni. Naik lemak dia.” Kali ini Karin mensasarkan Rahimah.

“Sudahlah bang, depan rezeki nak berleter apanya?” tegur Rahimah. Pantang sungguh kalau ada orang yang berleter di hadapan rezeki.

Karim mendiamkan diri.

“Mana Abang Adzim?” soal Fatin.

“Dah keluar. Ada masalah kat tapak projek katanya,” jawab Rahimah.

Fatin mengangguk. Adzim adalah dua pupunya. Anak kepada sepupu emaknya. Adzim baru sahaja bekerja dengan syarikat ayahnya sebagai jurutera awam. Baru seminggu Adzim di rumahnya sebelum mendapat rumah sewa yang lain. Biarpun ayahnya mengajak Adzim untuk terus tinggal di situ, tetapi Adzim menolak. Maklumlah banglo tiga tingkat ini hanya dihuni oleh mereka tiga beranak. Abang dan kakaknya masing-masing sudah mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri. Sesekali sahaja meraka akan pulang dan tidur di sini.

“Lepas ni nak pergi mana pula? Keluar lagi?” sindir Karim.

“Malas nak keluar, badan rasa letih. Entahlah mak, sakit badan-badan Fatin ni,” rungut Fatin sambil menyudukan mi goreng ke mulutnya.

“Mana tak sakit. Orang lain pukul 9 malam dah tidur. Anak awak ni pukul 9 start kereta keluar. Cuba tengok Adzim tu, Fatin. Dia lelaki. Kalau balik lewat pun tak apa. Tapi dia balik kerja duduk rumah. Kau balik kerja, salin baju lepas tu keluar. Apa nak jadi dengan kau ni Fatin?” Karim kembali berleter.

Fatin meletakkan garpu dan bangun dari kerusi.

“Nak pergi mana tu? Mi goreng tu kan tak habis lagi.” Rahimah menegur.

“Malaslah makan. Tak ada mood. Mak jangan kacau orang nak tidur,” jawab Fatin dengan kasar.

“Abang ni, tak habis-habis nak berleter tau,” marah Rahimah pada suaminya.

“Awak jangan bagi muka sangat pada anak bongsu awak tu, Mah. Nanti muka kita dicontengnya. Dahlah, saya pun tak ada mood nak makan.”

“Eloklah tu. Kalau macam ni, saya tak payah masak. Masak pun tak ada orang nak makan. Bibik, bibik. Kemas meja ni!” marah Rahimah. Seleranya untuk makan turut terbantut.

Fatin merebahkan badannya. Entah kenapa dia merasakan badannya umpama dihempap dengan batu bertan beratnya. Lemah dan sakit. Pahanya juga terasa sakit dan sengal. Dia menyelak skirtnya.

“Eh, kat sini pun ada lebam juga ke? Tadi kat paha belah kanan. Ini kat paha belah kiri pula.” Terkejut Fatin bila melihat lebam sebesar bola ping pong di paha kirinya. Dia mengosok-gosok pahanya. Sengalnya semakin menjadi-jadi.

Fatin bergolek-golek di atas katil. Ada perkara yang sedang bermain dalam mindanya. Adakah betul Adzim yang masuk ke dalam biliknya malam tadi? Ataupun semua itu sekadar mainan perasaannya? Sebahagian daripada hatinya seolah-olah mengiakan apa sahaja yang berlaku antaranya dengan Adzim malam tadi. Dan sebahagian pula seolah-olah menolak segala tindakan Adzim. Tidak mungkin lelaki yang sentiasa jalan menunduk dan sentiasa menjaga solatnya akan berkelakuan begitu. Sakit kepala Fatin memikirkan hal itu.