Super Daddy

RM26.00

Penulis: Dhiyana

Caption: hadirnya dia untuk merungkai misteri / opss! Sekeping haty turut bakal dicuri!

ISBN: 978-967-406-267-5

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

Demi Luqman Firdaus… Nuqman danial kembali muncul setelah sekian lama menghilangkan diri. Sekeping nota ringkas… menimbulkan seribu persoalan di dalam kepala. Athar Faiz ditinggalkan sebagai tanda kenangan dan juga sebuah amanah yang perlu dipikulnya.

                Kemunculan gadis yang bernama Inara Sofea di Bandung, penuh dengan misteri. Nuqman yang sememangnya sentiasa tenang, menghulurkan bantuan. Hati lelakinya mula dijentik perasaan halus apabila senang meluangkan masa bersama-sama Inara. Usikan mula menjadi penghias hubungan hati, walaupun bibir cuba berkias-kias kata.

                Sekembalinya mereka ke Malaysia, sekali lagi mereka berdua dipertemukan di dalam satu insiden. Sekali lagi Nuqman dengan senang hatinya menghulurkan bantuan. Dan, juga mengambil kesempatan untuk mendekati Inara.

“Dah tengah meneran nak buat apa menyahut? Hilang mood tahu tak!” – NUQMAN DANIAL

“Hasil pelaburan Tuan tu batu ke apa sampai teran tak boleh nak menyahut? Nak membuang pun kena ada mood,” – INARA SOFEA

                Usikan demi usikan semakin mendekatkan hubungan mereka berdua. Nuqman tak tertanggung lagi untuk menanggung rasa hati. Lantas dilamarnya Inara untuk menjadi teman halal untuk disentuhi.

                Usai disatukan, kemisterian Inara mula tersingkap sedikit demi sedikit. Sepanjang mereka berdua saling mengenali dan menyulam kasih, Nuqman turut mula ‘diganggu’. Dan disebalik kehilangan Luqman, ada sesuatu yang dirancang.

                Nuqman danial memunculkan diri untuk merungkai misteri. Hadirnya Inara Sofea berserta teka-teki, tetapi hati terpaut pula pada si Super Daddy. Masihkah mereka berdua berpeluang untuk merasai kebahagiaan yang ikhlas hadir dari hati?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“Apasal bibir kau?” tanya Luqman apabila melihat bekas luka berdarah di hujung bibir Nuqman. Tangan bergerak memegang dagu si abang dan membelek bekas luka tersebut.

“Siapa belasah kau?” tanya Luqman lagi.

Nuqman melepaskan pegangan Luqman di dagu. Dia diam, tidak menghiraukan pertanyaan si adik kembar.

“Aku tanya ni, siapa yang belasah kau?” tanya Luqman, tegas.

“Biarlah. Perkara kecil aje.”

“Kau atau dia yang mulakan dulu?” soal Luqman lagi. Dia masih lagi tak berpuas hati.

“Biarlah siapa yang mulakan dulu pun. Tak perlulah nak balas semula.” Nuqman mengambil keputusan untuk mengabaikan saja peristiwa sebentar tadi. Malas nak dipanjangkan.

“Kau tengok tu… anak mat salih celup! Entah betul ke tak mak bapak diorang tu berkahwin. Entah-entah usung perut macam tu aje.” Kedengaran suara sumbang menyapa telinga Nuqman dan juga Luqman. Seraya Luqman berkalih memandang ke arah dua orang rakan sekelas Nuqman. Dia merenung tajam kedua-duanya.

“Apa hal? Nak merasa juga bibir tu pecah macam abang kau yang lembik tu?” Si dia mencabar Luqman tanpa rasa gentar.

“Dia yang mulakan dulu?” Luqman kembali memandang Nuqman.

“Biarlah dia. Tak perlu nak panjangkan cerita lagi.” Nuqman memegang kemas lengan Luqman. Dia kenal perangai si adik bagaimana orangnya. Panas baran!

“Jom kita blah dari sini. Aku tak ada selera nak makan.” Nuqman menarik lengan Luqman untuk beredar dari kantin. Risau pula kalau dia dan Luqman berlama di situ, lain pula jadinya. Dia boleh lagi menahan sabar. Luqman? Boleh huru-hara kantin itu nanti.

“Mak korang caj ikut jam ke hari?”

Berdesing telinga Nuqman dengan pertanyaan sinis itu. Dia melonggarkan pegangan di lengan Luqman. Baru saja dia nak menoleh memandang adiknya itu, terasa Luqman merentap kasar lengannya secara tiba-tiba.

Di hadapan mata dia sendiri, dia lihat bagaimana Luqman mengamuk dan huru-harakan suasana kantin. Selamba saja Luqman melompat ke atas meja yang separas pinggang dan berlari-lari di atas meja tersebut. Kemudian Luqman terus menerpa ke arah figura yang bermulut lancang sebentar tadi.

Kecoh suasana kantin apabila Luqman bergaduh di situ. Apabila si mulut lancang dapat melepaskan diri, dia cuba berlari. Luqman langsung tak beri peluang dan terus mengejar. Apabila terlihat kelibat beberapa orang cikgu datang tergesa-gesa, cepat-cepat Nuqman masuk campur dan menghalang Luqman.

“Luq… cikgu datang,” bisik Nuqman sambil mengunci kedua-dua belah tangan Luqman daripada terus bergerak mengikut perasaan marah.

Luka di hujung bibir Nuqman tak setanding dengan rakan kelasnya yang bermulut lancang sebentar tadi. Bibir dan juga hidung pecah berdarah. Ketiga-tiga mereka diheret ke bilik pengetua sekolah. Berbekas punggung masing-masing dengan tiga kali sebatan rotan.

“Encik Nuqman Danial?”

Nuqman kembali ke alam nyata apabila disergah tiba-tiba. Hilang lamunan kenangannya bersama-sama arwah Luqman. Seraya anak mata diangkat dan dia berpandangan dengan seorang lelaki yang berpakaian kemeja putih, manakala jubah hitam disangkut di lengan. Dia bangun daripada duduk dan berhadapan dengan susuk tubuh itu.

“Encik Nuqman Danial, kan? Abang kepada Encik Luqman Firdaus?” teka si dia lagi.

“Ya, saya.” Nuqman mengangguk, mengiakan tekaan tersebut.

“Saya Abdul Hadi.” Salam perkenalan antara dia dan Nuqman saling bersambut. Kemudian tangan yang berjabat mesra itu terlerai.

“Saya wakil dari Tuan Sayed Saddiq. Dan saya juga salah seorang pemegang amanah arwah Encik Luqman Firdaus, selain daripada Tuan Sayed. So, apa-apa urusan arwah ketika hayat saya juga yang uruskan,” jelas Hadi, ringkas akan perkenalan dirinya.

“Mana Tuan Sayed Saddiq?” tanya Nuqman.

“Tuan Sayed tak berapa sihat. Admitted ward semalam. Darah tinggi,” jawab Hadi.

Nuqman sekadar mengangguk kecil. Kepala berkalih memandang Angga yang duduk di sofa bersama-samanya di ruang menunggu. Sebaik saja dia dan Angga saling berpandangan, lantas anak mata menghantar isyarat. Pembantunya itu mengangguk kecil, tanda faham.

“Kita ke ofis untuk perbincangan selanjutnya,” pelawa Hadi.

“Okey.”

Nuqman mengekori Hadi dari belakang untuk ke ofis yang dimaksudkan sebentar tadi. Selang beberapa langkah, Hadi membuka daun pintu sebuah bilik. Nuqman tetap membuntuti Hadi menapak masuk ke dalam bilik tersebut.

“Maaf saya lambat. Ada hearing case tadi di mahkamah,” ujar Hadi sambil menyangkut jubah. Kemudian dia beralih pula ke safe deposit box untuk mengeluarkan fail kepunyaan Luqman.

“Jemput duduk, Encik Nuqman.” Sekali lagi Hadi mempelawa tetamunya itu apabila dia kembali berhadapan dengan Nuqman. Dia turut melabuhkan duduk di kerusi kulit.

“Okey…” Fail tersebut dibuka dan diselak helaian demi helaian sebelum dia mengeluarkan sekeping kertas dan beberapa dokumen penting untuk dijelaskan kepada Nuqman.

“Ini surat kebenaran untuk diberikan pada pihak pengurusan wisma nanti.” Hadi menghulurkan sekeping surat kepada Nuqman.

“Surat kebenaran?” Bibir laju terpacul pertanyaan. Tetapi tangan tetap menyambut huluran tersebut.

“Saya akan jelaskan semuanya yang telah diamanahkan oleh arwah Encik Luqman kepada Encik Nuqman. Tentang harta, aset dan juga hak penjagaan.”

Semakin berkerut wajah Nuqman dibuatnya. Dia memandang wajah peguam adik kembarnya itu dengan penuh tanda tanya. “Hak penjagaan apa ya?”

“Arwah Encik Luqman dan isteri mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.”

Pap! Terkejut Nuqman dengan berita tersebut. Tubuh tersandar di kerusi. Allahuakbar! Dia ada seorang anak saudara? Tapi, pada usia sementah itu dah pun menjadi anak yatim piatu? Allah!

AIR teh ais disedut dengan menggunakan straw. Kemudian anak mata tertunak pada wajah rakan baiknya itu yang sudah sekian lama tak bertemu. Adalah dekat setahun lebih tak bersua muka. Dia sibuk dengan kerja, rakan baiknya pun sibuk dengan kerja. Hanya sesekali saja dia balik ke Malaysia untuk menziarah kubur ibu.

“Berapa lama kau balik kali ni?” tanya Sam, berpandangan dengan Nuqman.

“Tak tahu lagi. Aku kena uruskan hal Luqman dulu kat sini sebelum balik ke Bandung.”

Sam terangguk-angguk kepala. Air Nescafe ais yang dipesan disedut untuk membasahkan tekak. Kemudian dia bersandar di kerusi plastik. Anak mata memandang kawasan persekitaran restoran tersebut. Ramai!

“Orang lain kan yang siasat kes kemalangan Luqman?” tanya Nuqman pula.

Hmmm…” Sam mengangguk lagi. Kemudian wajah sedikit berkerut.

“Kenapa?”

“Kes dah tutup ke? Memang punca kematian Luqman dan isteri disebabkan kecuaian memandu dan overdose pil?”

Sam kembali menegakkan tubuh. Wajah semakin berkerut seribu dengan pertanyaan rakan baiknya sejak kecil itu. Anak mata merenung wajah Nuqman yang sedikit serius.

“Kes dah tutup rasanya. Nanti aku tanyakan pada IO yang handle kes ni.” Sam diam seketika. Dia memerhati setiap perubahan di riak wajah Nuqman. Ada sesuatu yang tak kena pada rakan baiknya itu.

“Kenapa? Hati kau tak sedap?”

Nuqman mengangguk. “Hati aku rasa tak sedap pasal kemalangan Luqman. Macam ada sesuatu yang tak kena.”

“Maksud kau… kemalangan tu dirancang oleh seseorang?”

Nuqman diam tanpa jawapan. Dia tak boleh lagi membuat andaian hanya berdasarkan gerak hati. Dia perlu meneliti laporan dan juga membuat sedikit siasatan sendiri.

“Lusa kau bawa aku ke tempat kejadian kemalangan Luqman.”

Sam sedikit terkejut. Dia menggaru kepala yang tak gatal. Wajah Nuqman dipandang, menagih kepastian. Entah betul ke tak si Nuqman ni.

“Aku serius ni, Sam! Aku nak tengok tempat kemalangan tu.”

“Okey! Okey! Aku bawa kau pergi situ.” Terpaksa juga Sam menurut permintaan Nuqman. Mungkin dengan cara itu Nuqman akan menemui sesuatu yang tak ditemui oleh pihak polis.

“Kalau betul ada something fishy, aku nak kau buka semula kes ni dan siasat siapa dalang sebenarnya.”

“Hah?” Semakin tak keruan Sam dibuatnya dengan permintaan Nuqman.

“Sam… Luq adik aku. Satu-satunya adik yang aku ada. Sekarang… dia dah tak ada. Aku seorang diri aje. Macam mana pun perangai dia, dia tetap adik aku.”

Sam terdiam tanpa kata. Hati kecil turut berasa sedih dengan kehilangan yang dirasai Nuqman. Dia tahu betapa akrabnya Nuqman dan juga Luqman seketika dahulu. Tetapi, perangai kedua-duanya tersangatlah berbeza. Bagaikan air dan api, sejuk dan panas, langit dan bumi… dan sebagainya yang bertentangan.

Wajah ibu dipandang sedikit gerun. Dia beralih pula memandang Luqman di sebelah. Adiknya itu hanya menunduk, menekur lantai. Kemudian dia turut menunduk kepala, menadah telinga mendengar leteran ibu.

“Ibu hantar ke sekolah untuk belajar. Bukan untuk tunjuk samseng! Tunjuk siapa yang lebih kuat!” Rotan panjang yang kemas digenggam laju dilibas ke kedua-dua belah kaki si anak kembar. Baik abang, mahupun adik… sama saja kedua-duanya.

“Berkali-kali ibu dah pesan jangan tunjuk lagak. Ini tak… tunjuk juga! Kalau patah riuk tulang si budak tu macam mana? Dibuatnya mak ayah dia buat report polis, siapa yang nak teman ibu kat rumah?” leter Nafisah sambil melibas rotan pada kedua-dua anak lelakinya itu. Kedua-duanya langsung tak berganjak sedikit pun. Malah, seperti merelakan saja dengan tindakannya itu.

Sebuah keluhan kasar dilepaskan. Tangan yang melibas rotan turut terhenti. Punggung dihenyak ke sofa. Tak semena-mena Nafisah melepaskan tangisan kecil, lama-kelamaan bertukar lebih rancak.

“Kamu berdua dah tak ingat apa yang papa pesan?”

“Ingat, ibu!” Sahut Nuqman, patuh.

“Ingat…” Luqman turut menjawab berserta anggukan.

“Kalau ingat lagi pesanan papa, kenapa kamu berdua tetap bergaduh dengan orang lain? Nak tunjuk kamu lebih kuat? Kamu pandai berlawan? Macam tu?” Nafisah menyerang si kembar dengan soalan bertalu-talu.

“Tak, ibu…” Nuqman menggeleng. Luqman turut berbuat yang sama.

“Ibu ada kamu berdua aje. Kalau kamu berdua tak ada, macam mana ibu nak teruskan hidup? Kamu berdua dah tak sayang ibu ke? Kamu lebih suka tengok ibu mati?”

“Ibu?!” Luqman tersentak dengan soalan itu. Lantas kepala diangkat dan memandang wajah ibu yang basah dengan air mata. Terus dia menerpa dan memegang kaki ibu. Malah, dia turut bersujud di kaki ibu.

“Ibu… maafkan Luqman. Luqman janji tak akan bergaduh dengan sesiapa lagi mulai sekarang. Demi ibu, Luqman akan berubah sikap baran ni. Maafkan Luqman…”

Nuqman turut menghampiri ibu dan bersujud seperti adiknya. “Maafkan Nuqman, ibu. Nuqman janji tak akan bergaduh lagi. Nuqman akan jaga adik elok-elok.”

“Maafkan kami, ibu…” Nuqman dan Luqman bersuara serentak.

“Anak-anak ibu…” seru Nafisah. Kedua-dua belah tangan mengusap lembut belakang tubuh si kembar.

Nuqman dan juga Luqman kembali menegakkan tubuh. Dalam sekelip mata saja, kedua-duanya bangun dan tenggelam di dalam pelukan ibu. Terasa ciuman ibu bertalu-talu melekap di pipi.

Pada malam itu, Nuqman dan juga Luqman mengaduh kesakitan apabila disapu minyak gamat oleh ibu. Berbirat kedua-dua belah kaki dek sebatan rotan daripada ibu petang tadi. Berbisa! Tapi, mereka berdua tahu itu kesilapan mereka sendiri.

“Pengetua libas di punggung?” tanya Nafisah.

Hmmm…” Nuqman sekadar mengangguk.

“Berbirat tak?”

Nuqman mengangguk lagi.

“Nanti sapu sendiri sesama kamu berdua.”

“Baik ibu!” jawab Nuqman dan Luqman serentak.

“Boleh ibu tahu kenapa kamu berdua bergaduh?”

Pertanyaan itu membuatkan Nuqman dan juga Luqman saling berpandangan. Kedua-duanya saling beri isyarat untuk diamkan saja hal tersebut. Jika ibu tahu pasti hati ibu akan terluka.

“Jujur dengan ibu… no hiding, okay!” tekan Nafisah apabila terlihat bahasa isyarat anak kembarnya itu.

“Tak perlulah ibu tahu hal tu. Tak penting pun,” balas Nuqman cuba berselindung.

“Haah, bu! Biasalah lelaki yang tengah meningkat dewasa ni. Selalu aje ada perselisihan faham. Darah muda tengah menggelegaklah katakan.” Luqman turut berdalih daripada menceritakan hal yang sebenar.

“Betul ni?”

“Ya, bu!” tekan Nuqman dan Luqman serentak.

Nafisah tersenyum nipis. Tangan tetap melakukan tugas menyapu minyak gamat di betis anak kembarnya itu yang berbirat dengan libasan rotan daripadanya petang tadi. Sepi seketika suasana antara mereka bertiga.

“Anak-anak ibu…” seru Nafisah memecah kesunyian.

“Ya, ibu…”

“Biarlah kalau orang di luar sana nilai kita hanya dengan pandangan mata. Biarkan mulut-mulut sumbang tu melemparkan fitnah. Yang penting, Tuhan lebih tahu segala-galanya. Bagaimana kehidupan kita, apa yang terjadi… semuanya takdir dari Tuhan. Ibu nak anak-anak ibu tenang dan sabar.”

“Baik, ibu…” sahut Nuqman dan Luqman serentak. Kedua-duanya kembali berpandangan dengan penuh makna. Ibu lebih tahu segala-galanya.

Nuqman leka memandang ke luar tingkap sehingga tak sedar kereta SUV Toyota Fortuner yang dipandu Angga sudah pun berhenti di dalam kotak parkir. Mereka berdua sudah pun sampai di tempat yang dituju.

“Ada masalah ya, pak?” Angga memandang Nuqman di sebelah. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur lagi Nuqman kurang berbual. Hanya termenung panjang.

Nuqman sekadar menggeleng kecil. Bukan masalah tapi teringatkan kenangan dia bersama-sama Luqman dan ibu. Selepas sepuluh tahun berpisah dengan Luqman, tanpa disangka perkhabaran ini yang diterimanya. Sakit! Sedih!

“Ayuh, pak! Aku sentiasa ada bersama bapak,” ajak Angga berserta senyuman manis.

Nuqman tersenyum nipis. Angga memang sentiasa ada bersama-sama dengannya sejak dulu lagi. Angga bukan hanya sekadar pembantu tetapi sudah dianggap seperti rakan baik dan juga saudara sendiri.

“Ayuh!” Nuqman membuka pintu kereta.

Seketika kemudian, Angga turut keluar dari perut kereta. Kedua-duanya membaca signboard yang ditulis dengan tulisan jawi. Wisma Anak-anak Yatim Lelaki. Mereka berdua sama-sama melangkah ke arah pintu utama.

“Assalamualaikum,” sapa seorang wanita yang bekerja di wisma tersebut.

Waalaikumussalam.” Angga dan Nuqman menyahut serentak.

“Boleh saya bantu saudara berdua?”

Nuqman tersenyum nipis dan mengangguk kecil. “Boleh saya berjumpa dengan pengetua wisma?”

“Boleh. Sila ikut saya,” jawab wanita yang kelihatan ayu bertudung itu.

Angga dan Nuqman akur dan kembali mengayun langkah mengekori wanita itu. Sepanjang perjalanan menuju ke bilik pengetua, anak mata Nuqman melingas memandang persekitaran wisma tersebut. Di dalam kepala penuh dengan persoalan.

Tok! Tok! Daun pintu diketuk apabila mereka bertiga tiba di hadapan bilik kerja pengetua wisma. Nuqman tenang saja apabila daun pintu ditolak dan wanita itu menyapa mesra pengetua yang berada di dalam bilik tersebut.

“Assalamualaikum Tuan Haji…”

Waalaikumussalam.”

“Tuan Haji ada tetamu,” ujar wanita tersebut.

“Jemput dia masuk.”

Wanita tersebut mengangguk dan tersenyum. Kemudian dia kembali berpandangan dengan dua orang lelaki yang berada di belakangnya itu. “Jemput masuk.” Daun pintu dibuka lebih luas.

“Terima kasih.” Nuqman melewati wanita itu dan melangkah masuk ke dalam bilik pengetua.

“Assalamualaikum, tuan…” sapa Nuqman apabila saling berpandangan dengan pengetua tersebut. Tetapi pengetua tersebut seakan-akan terkejut melihatnya.

Nuqman sudah dapat mengagak reaksi pengetua. Lantas dia cuba menenangkan semula keadaan. “Tuan… Tenang. Saya Nuqman Danial. Abang kembar kepada Luqman Firdaus.”

“Ini dokumen penting dari arwah adik saya yang dia amanahkan kepada peguam sebelum dia meninggal.” Nuqman menarik keluar sampul surat berukuran saiz A4 dari beg silang lalu dihulurkan kepada pengetua yang langsung tak terkata apa-apa.

Sampul surat tersebut bersambut dan pengetua wisma mengeluarkan dokumen pengesahan. Dibeleknya satu per satu dokumen tersebut dan juga wajah Nuqman, silih berganti. Malah bibir bergerak-gerak kecil beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadah berkali-kali.

“Nuqman Danial bin Simon Abdullah?” tanya pengetua tersebut yang seperti baru saja tersedar daripada mimpi.

“Ya, saya…”

“Saya Haji Zaidi. Maaf… maafkan saya. Saya terkejut sebenarnya. Allahuakbar! Muka Encik Nuqman dan arwah Encik Luqman memang saling tak tumpah.”

Nuqman sekadar tersenyum nipis. Tuan pengetua adalah orang yang kedua terkejut dengan kemunculannya yang disangkakan Luqman. Orang pertama adalah pembantu Tuan Sayed. Tetapi Hadi tak pula terkejut. Mungkin Hadi bersikap profesional.

“Encik Nuqman tunggu sekejap. Saya bawakan anak arwah ke sini.” Seraya Haji Zaidi mengangkat punggung untuk beredar keluar.

“Baiklah.” Nuqman mengiakan saja. Anak mata mengekori kelibat Haji Zaidi keluar dari bilik tersebut. Dia sabar menanti kedatangan anak saudaranya itu.

“Luqman…” Nama si adik diseru perlahan.

Tak lama kemudian, daun pintu ditolak dari arah luar. Spontan Nuqman berkalih memandang ke arah daun pintu. Tiba-tiba terasa debaran di dalam dada. Sebatang tubuh tercegat berdiri di hadapannya. Mereka berdua saling berpandangan. Figura itu kelihatan terkejut dengan kehadirannya di situ. Spontan Nuqman bangun daripada duduk dan menghampiri diri itu. Tubuh direndahkan sehingga pandangan mata mereka berdua separas.

Daddy?” Figura itu bersuara perlahan.

Nuqman kelu lidah. Barangkali figura itu beranggapan dia ialah Luqman kerana wajah mereka berdua seiras. Namun masih ada perbezaan antara mereka berdua.

Dia leka memandang raut wajah di hadapannya itu. Memang saling tak tumpah seperti Luqman ketika kecil. Cuma hidung saja yang berbeza. Mungkin diwarisi daripada arwah isteri Luqman.

Daddy?” Figura itu masih lagi menyeru. Kedua-dua belah tangan meraba-raba wajah gerangan yang dipanggil daddy. Dia ternanti-nanti tindak balas.

Nuqman tersenyum nipis. Panggilan daddy terasa meresap ke dalam jiwa. Dia menggenggam tangan si comel yang melekap di pipi. Ditarik lembut dan dicium tipis. Dada terasa sebak. Air jernih ditahan daripada pecah dari kolam mata.

“Athar Faiz,” sahut Nuqman separuh berbisik.

Daddy!”

Tubuh Nuqman dipeluk erat oleh gerangan Athar Faiz. Dia tergamam seketika. Namun hanya untuk beberapa detik. Tangan spontan bergerak membalas pelukan itu semula.

“Athar rindu daddy…” ucap Athar dalam sedu-sedan.

Daddy pun rindu Athar.” Lancar saja lidah Nuqman menutur gelaran itu. Air jernih tak mampu lagi ditahan. Akhirnya mengalir juga membasahi pipi.

Please jangan tinggalkan Athar lagi,” pinta Athar.

“Tak! Daddy tak akan tinggalkan Athar kat sini lagi. Athar akan ikut daddy mulai sekarang.” Seraya Nuqman mengangkat dan mendukung tubuh Athar.

Bertambah lagi persoalan di dalam kepala. Athar hanyalah kanak-kanak berusia empat tahun. Empat tahun! Tegar Luqman tinggalkan Athar di wisma anak-anak yatim. Malah jauh hingga ke Pulau Pinang. Luqman memiliki segala-galanya, kemewahan yang melimpah ruah. Tetapi kenapa tak dijaga dan dipelihara Athar sepenuh kasih sayang di rumah saja? Kenapa perlu tinggalkan Athar?

Nuqman terpacak berdiri di bahu jalan. Dia berkalih ke kanan, memandang jalan raya yang sedikit berliku ketika menuruni bukit di kawasan itu. Selang beberapa minit dia berkalih memandang ke kiri pula. Anak mata tajam merenung pokok yang menjadi penyelamat dan menghalang kereta dipandu arwah Luqman daripada menjunam jatuh ke dalam semak samun.

Otak ligat membuat andaian sendiri di dalam kepala. Dia sendiri membayangkan kereta yang dipandu arwah Luqman menuruni bukit lalu terbabas menghentam pokok. Dari laporan forensik mengatakan arwah suami isteri overdose pil tidur. Dan hasil siasatan polis membuat keputusan kematian disebabkan kecuaian memandu dan overdose pil tidur.

Langkah diatur menghampiri pokok tersebut pula. Kepala terbayangkan keadaan kereta yang dipandu Luqman remuk di bahagian hadapan apabila menghentam pokok. Dan kedua-dua mayat kaku di dalam kereta, di tempat duduk masing-masing.

“Sam…”

Hmmm…” Sam menyahut.

“Aku nak jumpa saksi pertama kemalangan ni.”

“Hah?” Sam sedikit terkejut. Kepala yang tak gatal digaru. Masak aku dengan si Nuqman ni.

“Aku tak percaya Luqman boleh overdose. Adik aku tak sebodoh tu nak telan pil tidur berlambak-lambak sekaligus. Aku kenal dia macam mana, Sam.”

Sam terdiam. Lama dia berfikir tentang permintaan Nuqman.

“Sam?” Nuqman berpaling dan memandang rakan baiknya itu. Dia pelik kenapa Sam mendiamkan diri.

“Samsuri!”

“Huh?” Sam sedikit terkejut apabila dijerkah Nuqman. Dia berpandangan dengan kawan baiknya itu.

“Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?”

“Dengar…” jawab Sam pendek.

“Hati aku tak sedap, Sam. Demi Tuhan!”

Sam diam seketika. Wajah Nuqman penuh mengharap dipandang penuh simpati. Boleh aje kalau Nuqman sendiri siasat tanpa buka semula kes. Tapi dia tahu itu bukan perangai Nuqman.

“Aku akan tolong kau cari dan kumpul bukti. Bila kita dah ada bukti yang kukuh, aku akan buka semula kes ni dan berbincang dengan pegawai atasan,” balas Sam.

“Terima kasih, Sam.”

Sam tersenyum dan mengangguk kecil. Nuqman berjalan menghampiri Sam semula. “Jom ikut aku!”

“Pergi mana?”

“Tengok rumah.”

“Tengok rumah? Rumah siapa?” tanya Sam lurus.

“Rumah akulah!” jawab Nuqman.

“Kau nak berpindah balik ke sini semula?” tanya Sam lagi.

Nuqman mengangguk. “Aku tak nak Athar dibesarkan terikut dengan lifestyle aku. Aku nak Athar dibesarkan di tempat yang dia selesa. Bandung bukan tempat yang sesuai.”

Sam diam seketika. Kepala mengangguk kecil. “Then, rumah di Bandung macam mana? Jual?”

Nope!” Nuqman menggelengkan kepala. “Itu dijadikan rumah percutian. Aku sayang nak jual rumah tu.”

“Rumah di Jakarta?”

“Dah jual!” jawab Nuqman.

“Manila?” duga Sam.

“Apartmen tu aku sewakan pada suami isteri dari Malaysia yang baru berpindah ke sana.”

“Bangkok?” duga Sam lagi. Dia tahu rumah-rumah yang dimiliki oleh Nuqman di pelosok negara Asia. Tapi, Bandung juga menjadi pilihan Nuqman.

“Itu… in progress dalam penjualan. Ejen aku dah uruskan urusan jual beli.”

“Berapa banyak rumah lagi yang kau ada? Kumpul rumah aje kau eh?” perli Sam selamba.

“Rumah tangga aje yang tak ada lagi.” Nuqman ketawa dengan jenakanya sendiri.

“Kalau rumah yang itu, tak boleh dikumpul melebihi empat,” seloroh Sam turut ketawa bersama-sama Nuqman.

Setengah jam kemudian mereka berdua tiba di sebuah kawasan perumahan. Kereta yang dipandu Nuqman berhenti di hadapan sebuah rumah semi-D dua tingkat. Dia dan juga Sam sama-sama keluar dari perut kereta.

“Kau beli ke sewa?” sindir Sam.

Nuqman hanya ketawa kecil. Pintu pagar dibuka dan mereka berdua melangkah masuk ke pekarangan rumah. Kemudian, Nuqman membuka pula pintu utama. Rumah dua tingkat itu hanya separuh saja dilengkapi perabot.

Fuhhh! Tunggu aku jadi DCP la kut baru merasa nak tinggal dalam rumah macam ni. Cukup-cukuplah apartmen yang sekangkang kera tu buat masa sekarang ni.” Sam sedikit kagum dengan keluasan dan juga rekaan rumah tersebut. Dia tahu Nuqman terlebih mampu untuk membeli rumah sebegini.

“Alah… Kau bosan datang aje lepak kat rumah aku. Ada lima bilik, kau pilih nak yang mana. Jangan master bedroom sudahlah. Lawan tauke tu!”

Nuqman dan Sam sama-sama ketawa. Masing-masing saling mengagumi keluasan dan juga kecantikan rumah tersebut. Lima bilik… tapi hanya tinggal bertiga aje. Lagi dua bilik nak buat apa? Stor?

“Bila kau nak berpindah masuk?” tanya Sam selepas menjelajah di dalam rumah dua tingkat itu. Baik tingkat atas mahu pun tingkat bawah, sama besar dan cantik. Duit yang bakal keluar setiap bulan pun memang besar jugalah.

“Aku nak balik Bandung dulu. Settle hal kat sana dulu sebelum aku balik sini semula,” jawab Nuqman sambil memperbetulkan pintu kabinet dapur yang sedikit longgar.

“Kau nak settle hal apa di Bandung?”

“Restoran aku tu apa? Nak kena juga pesan itu ini kat manager.”

“Angga?” Sam teringat pemuda Indonesia yang setia bersama-sama Nuqman sejak beberapa tahun yang lepas. Entah macam manalah si Angga boleh menjadi pembantu kepercayaan Nuqman?

“Angga ikut aku balik sini. Dia mana boleh berenggang dengan aku. Orang kuat tu!”

“Orang kuatlah sangat!” tempelak Sam.

Nuqman tersenyum nipis. Nafas ditarik dan dihela semula. “Dia merangkap bodyguard Athar. Dialah yang akan hantar dan jemput Athar dari sekolah nanti.”

“Ooo…” Spontan membulat mulut Sam dengan penjelasan ringkas Nuqman tentang tugas Angga nanti.

“Athar macam mana?” Sam teringatkan pula kepada Athar, anak Luqman.

“Okey. Dia ingatkan aku ni Luqman. Dia panggil aku daddy. Aku tak sampai hati nak jelaskan perkara yang sebenar. Lagipun dia kecil lagi, Sam.”

Sam mengangguk kecil. Betul juga apa yang dikatakan oleh Nuqman. Athar masih lagi kecil untuk memahami perkara yang berlaku. Kalaulah Athar diberitahu kebenaran sekali pun, mengertikah dia?

“Kau tahu kenapa aku kata hati tak sedap dengan kemalangan Luqman?”

“Tak…” Seraya Sam menggelengkan kepala. Tangan bersilang ke dada. Dia memandang wajah Nuqman yang kembali berdiri berhadapan dengannya.

“Sebelum Luqman meninggal, dia hantar Athar ke sebuah wisma anak-anak yatim di Pulau Pinang. Dia seolah-olah tahu apa yang bakal berlaku pada dia. Dan kenapa dia hantar Athar ke rumah anak-anak yatim jauh hingga ke utara?”

Hmmm…” Sam menggumam kecil. Pertanyaan Nuqman itu membuatkan dia terfikir sesuatu.

“Sebelum aku pergi ke sana, aku jumpa lawyer Luqman terlebih dahulu. Dia berikan aku surat kebenaran dan juga surat pengesahan. Selagi aku tak tandatangan surat pengesahan yang mengatakan aku adalah Nuqman Danial bin Simon Abdullah, Athar tak akan sesekali dibenarkan keluar dari wisma tu sehinggalah berumur lapan belas tahun. Hatta, diambil sebagai anak angkat pun. Hanya aku saja yang berhak ke atas Athar. Hak penjagaan Athar sepenuhnya tanggungjawab aku. Itu wasiat terakhir Luqman,” jelas Nuqman panjang lebar tentang wasiat terakhir Luqman.

“Kalau orang lain cuba bawa keluar Athar dari situ?”

“Tindakan undang-undang akan diambil dan dikenakan tuduhan menculik,” jawab Nuqman. Dia diam seketika. Begitu juga dengan Sam.

Something fishy.” Sam mula terasa kejanggalan di situ.

“Kan?”

Sam mengangguk. “Hanya kau saja yang berhak ke atas Athar. Selagi kau tak tandatangan surat pengesahan, sesiapa pun tak berhak untuk menuntut dan membawa Athar keluar dari situ. Kalau Athar dibawa keluar, orang tu akan disabitkan dengan kesalahan menculik.”

Hmmm…” Sam menggumam kecil pula. Otak ligat memikirkan sesuatu untuk dikaitkan dengan wasiat terakhir Luqman. “Luqman seolah-olah dah prepare semua ni. Dia macam tahu-tahu aje apa yang bakal terjadi pada dia dan isteri.”

“Kenapa Athar tak dibenarkan keluar dari wisma tu sehinggalah berumur lapan belas tahun?” soal Sam lagi, cuba mencari maklumat yang boleh dikaitkan dengan kes kemalangan Luqman.

Nuqman tersenyum senget dengan pertanyaan Sam. Kenapa perlu tunggu sehingga Athar berumur lapan belas tahun? Ketika Athar sudah pun dewasa dan pada usia matang.

“Daddy…” seru Athar lalu mendongak memandang wajah Nuqman.

“Ya… Kenapa, Athar? Nak pergi toilet?” Nuqman menundukkan pandangan dan bertaut dengan Athar. Si kecil itu menggeleng kecil.

Bibir Nuqman tersenyum meleret untuk memujuk Athar. “Kenapa?” Sekali lagi dia menyoal.

Athar tetap dengan gelengan kepala. Dia mencari tangan Nuqman untuk digenggam erat. Anak mata terpandang-pandang akan tindak-tanduk lelaki yang berpakaian seragam sibuk memeriksa tubuh badan setiap seorang yang melalui mesin pengimbas dengan menggunakan sebuah alat. Dia mula cuak dan takut. Kenapa perlu periksa?

Apabila tiba gilirannya, sekali lagi Athar mendongak. “Daddy…” panggilnya.

It’s okay. Tak ada apa-apa pun,” pujuk Nuqman.

“Athar berjalan aje macam biasa. Nanti abang tu akan periksa badan Athar. Dia tak buat apa-apa pun,” sambung Nuqman lagi.

Hmmm…” Athar menggumam halus. Dia kembali memandang ke arah polis yang sedang menanti dia melepasi mesin pengimbas.

Daddy kat sini, di belakang Athar aje. Tak ada apa yang nak ditakutkan.” Buat sekian kalinya Nuqman memujuk.

Athar mengangguk. Pegangan di tangan Nuqman dilepaskan. Takut-takut dia berjalan melepasi mesin pengimbas dan berhenti seketika. Dia menoleh ke belakang, ternanti-nanti kedatangan Nuqman.

Daddy ada… don’t worry.” Nuqman tersenyum memujuk. Giliran dia pula berjalan melepasi mesin pengimbas dan menghampiri Athar.

“Abang nak periksa adik boleh tak?” Polis bantuan yang masih lagi muda itu cuba beramah mesra. Athar mengangguk, bersetuju.

Usai membuat pemeriksaan, Nuqman memimpin tangan Athar dan berjalan beriringan menuju ke ruang menunggu. Angga mengekori mereka berdua dari belakang. Punggung berlabuh di tempat kosong. Athar pula didudukkan di atas riba.

“Kenapa ni?” tanya Nuqman, lembut. Kebisuan Athar membuatkan dia tertanya-tanya. Lagak gaya Athar pula seperti terpinga-pinga saja.

Daddy…” panggil Athar dan berpandangan dengan Nuqman.

“Kita nak pergi mana?” tanya Athar.

“Balik rumah daddy.” Pantas sebuah ciuman berlabuh di pipi montel itu.

“Jauh tak?”

Hmmm…” Nuqman menggumam pendek. “Kita kena naik kapal terbang dulu. Lepas tu, kita kena naik kereta pula untuk balik ke rumah daddy. Athar mesti suka kat sana sebab rumah daddy atas bukit. Sejuk! Ada sungai kat belakang rumah.”

Serta-merta riak wajah Athar berubah. Membulat kedua-dua belah mata. “Ada sungai?”

Nuqman mengangguk. “Ya… Ada sungai. Tapi cetek aje.”

Bestnya!”

Nuqman tersenyum meleret. Sekurang-kurangnya reda kegusaran dalam hati Athar. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran Athar. Pasti Athar tertanya-tanya destinasi mereka bertiga pada hari itu.

Ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Husein Sastranegara, sebuah kereta sudah pun tersedia untuk kegunaan mereka. Angga lebih awal lagi sudah pun menguruskan pengangkutan untuk mereka bertiga pulang ke rumah.

Daddy…” panggil Athar meraih perhatian Nuqman.

Hmmm?” Nuqman menyahut dengan sekadar menggumam. Kepala terus berkalih memandang Athar di sebelah.

“Kenapa kita tak balik rumah kita aje?” tanya Athar lagi. Dia sedikit pelik. Rumah daddy kan besar? Kenapa tak balik ke sana aje?

Nuqman tersenyum nipis. “Sini pun rumah kita juga.” Kepala Athar diusap lembut.

“Kenapa jauh sangat daddy? Daddy takut diorang datang lagi eh?”

Serentak wajah Nuqman berkerut. “Diorang?” Dia mula tertanya-tanya.

“Kawan-kawan daddy,” jawab Athar, polos.

Kawan-kawan? Nuqman semakin tertanya-tanya. Kalau kawan-kawan kenapa perlu takut? Dia perlu bertanya dengan lebih lanjut. Tetapi belum sempat dia bersuara, telefon bimbit berdering nyaring di dalam kocek seluar. Segera dia mengambil keluar dan menjawab panggilan tersebut.

I need a break,” ujar Nuqman. Kemudian dia diam seketika.

“Kali ni panjang sikit. Saya tak nak mana-mana tugasan luar sehingga semuanya kembali sedia kala,” tambah dia lagi. Sekali lagi Nuqman mendiamkan diri. Pandangan dihala ke arah luar tingkap kereta. Kereta yang dipandu Angga sudah tak jauh dari rumah. Cuma perlu melewati kawasan bukit yang sedikit sunyi.

“Saya dah kembali ke Bandung. But maybe next week I will move back to Malaysia. Urusan rumah di Malaysia dah pun selesai dua hari lepas.” Buat sekian kalinya Nuqman menyepi. Hanya helaan nafas saja yang kedengaran.

“Terima kasih, tuan. Anything, I will let you know.” Seketika kemudian talian dimatikan. Nuqman menghela nafas lega. Selesai satu perkara. Dia tak perlu membuat tugasan luar buat sementara waktu ini. Apabila benar-benar penting saja dia akan diperlukan.

Angga yang sedang leka memandu dikejutkan dengan seorang wanita yang tiba-tiba saja keluar dari celahan hutan belukar. Pedal brek lantas ditekan daripada menghentam figura tersebut. Berdecit bunyi tayar apabila bergeser dengan jalan yang tak bertar itu. Dia sedikit panik.

Nuqman yang berada di tempat duduk belakang terus terdorong ke hadapan. Hilang lenyap lamunannya. Nuqman berkalih memandang Athar di sebelah. Nasib baiklah Athar dipakaikan tali pinggang keselamatan.

“Ada apain sih?” soal Nuqman.

Belum sempat Angga menjawab, kereta yang dinaiki mereka bertiga diserang dengan wanita tersebut.

“Tolong! Tolong saya! Saya merayu… tolong saya.” Wanita itu mengetuk tingkap kereta berkali-kali. Wajahnya lencun dengan peluh dan juga air mata. Malah cecair merah turut mengalir di tepi dahi dan celahan bibir.

“Sebentar ya, pak.” Angga memberanikan diri untuk keluar dari perut kereta.

“Tolong saya! Tolong! Saya merayu sangat, sangat…” rayu wanita itu lagi.

Nuqman memandang sekeliling. Anak mata meliar memandang kawasan persekitaran. Macam mana wanita ni boleh berada dalam kawasan bukit dan hutan belukar? Kawasan perumahan masih lagi sejauh dua kilometer di hadapan. Pelik!

Nuqman kembali memandang raut wajah wanita yang sedang merayu memohon pertolongan daripada Angga. Diperhatinya wanita itu dari kepala hinggalah ke kaki dan naik semula ke rambut yang berserabai itu. Seluar dan pakaian wanita ini ada yang tercarik. Sesatkah dia? Tapi dari kesan luka bukanlah disebabkan jatuh.

Nuqman membuka pintu kereta. “Angga… bawa dia pulang ke rumah. Hari semakin lewat. Luka dia harus dirawat.”

“Baik, pak!” Angga akur.

“Terima kasih, tuan! Terima kasih!” Wajah wanita itu basah lagi dengan air mata. Tanpa dipelawa terus saja dia meloloskan diri ke dalam perut kereta, di sebelah Nuqman.

“Cepat! Kita perlu beredar dari sini dengan segera,” gesa wanita itu apabila Angga sudah berada di tempat pemandu.

Nuqman memandang kelibat wanita yang berada di sebelahnya itu. Aihhh… Dia pula yang berikan arahan. Siapa yang bos sebenarnya ni?

Apabila kereta yang dipandu Angga mula bergerak, wanita itu terus menoleh ke belakang. Riak wajahnya masih lagi kelihatan cemas. Seraya Nuqman turut berkalih memandang ke belakang. Kelihatan beberapa orang lelaki keluar dari celahan hutan belukar. Gerak-geri mereka kelihatan tercari-cari sesuatu… ataupun seseorang.

This gonna be interesting, bisik hati kecil Nuqman. Spontan bibir tersenyum sinis.

“Pak… saya ambilkan ubatannya ya?” ujar Angga ketika mereka sudah berada di dalam rumah.

Nuqman mengangguk, mengiakan kata-kata Angga. Tak perlu lagi disuruh, Angga sudah tahu tugas yang perlu dibuatnya.

“Cik duduklah dulu. Sekejap lagi saya sapukan ubat pada luka,” kata Nuqman, mempelawa wanita itu untuk duduk berehat di ruang tamu.

Wanita itu mengangguk. Riak wajahnya masih lagi cemas dan dalam ketakutan. Nuqman perhatikan saja tanpa bersuara.

“Jom daddy bawa Athar berehat di bilik.” Lantas tubuh Athar yang didukung sejak tadi dibawa ke bilik tidur tak jauh dari ruang tamu.

Daddy…” panggil Athar ketika tubuhnya didudukkan di atas tilam.

Hmmm… Kenapa Athar?” Sempat lagi bibir Nuqman mengukir senyuman manis.

“Kenapa dengan kakak tu? Berdarah…” tanya Athar, musykil.

“Kakak terjatuh. Itu yang daddy bawa balik ke rumah untuk rawat luka dan berehat,” jawab Nuqman penuh berhemah.

Daddy…” seru Athar lagi.

“Ya…”

“Esok kita bawa kakak pergi klinik eh?” cadang Athar pula.

Nuqman tersenyum meleret dan menganggukkan kepala. “Esok kita bawa kakak pergi klinik. Tapi sekarang ni… Athar berehat dulu, okey? Kejap lagi daddy datang semula.”

Giliran Athar pula mengangguk. Nuqman masih lagi tetap dengan senyuman di bibir. Rambut Athar diusap lembut. Perlahan-lahan dia tegakkan tubuh semula dan melangkah keluar dari bilik tidur. Daun pintu dibiarkan sedikit renggang.

Ketika Nuqman tiba di ruang tamu, air bersih untuk mencuci luka, tuala dan juga kotak kecemasan sudah pun disediakan Angga di atas meja kopi. Jaket ditanggalkan dan disangkut ke bahu wanita itu. Carikan di pakaian wanita itu ada yang mendedahkan beberapa bahagian tubuh untuk tatapan mata nakal.

Nuqman menarik kerusi kecil untuk duduk berhadapan dengan wanita itu. Dia memandang wajah polos wanita di hadapannya. Comot! Dek air mata, tanah dan juga sisa darah kering.

“Orang Malaysia?” teka Nuqman.

Wanita itu mengangguk.

Nuqman melepaskan sebuah helaan panjang. Tuala kecil diambil lalu dibasahkan dengan air bersih. Kemudian diperah terlebih dahulu sebelum dia membersihkan wajah yang comot itu.

Sedikit demi sedikit comot dan kotoran yang terpalit di wajah itu mula hilang. Terserlah wajah polos yang menjadi siulan anak-anak muda. Nuqman mengambil kesempatan untuk membelek wajah yang tersaji di hadapan mata. Apabila pandangan mereka berdua bertaut, Nuqman hanya sekadar tersenyum di hujung bibir.

Usai membersihkan wajah, Nuqman mengambil gunting pula. “Izinkan saya,” pinta Nuqman sebelum meneruskan tugasnya.

“Awak nak buat apa?” Wanita itu pelik.

“Saya nak gunting seluar awak. Senang saya nak cuci luka di lutut tu,” jelas Nuqman.

Wanita itu sedikit panik. Tangan Nuqman yang sedang memegang gunting dipegang kemas.

“Pembantu saya dah sediakan pakaian bersih untuk awak di bilik tamu,” beritahu Nuqman seakan-akan mengetahui apa yang bermain dalam fikiran wanita itu.

Wanita itu sedikit teragak-agak untuk menolak tangan Nuqman kali ini. Seketika kemudian, dia terpaksa mengalah juga. Sepantas kilat seluar panjang bertukar menjadi seluar pendek. Pahanya yang terdedah menjadi santapan mata Nuqman. Dan tiba-tiba saja lelaki itu meletakkan sehelai tuala kering di atas paha. Baiknya dia!

“Malam ni awak berehat di sini dulu. Tidur di bilik tamu,” bual Nuqman lagi sambil menyapu ubat di luka-luka yang dialami wanita itu.

“Terima kasih,” sahut wanita itu.

Sekali lagi pandangan mereka bertaut. Namun hanya seketika. Nuqman menundukkan pandangan dan tersenyum nipis.

“Sekejap lagi saya akan suruh pembantu saya sediakan makan malam untuk awak. Nanti dia akan hantar makan malam ke bilik.”

“Okey.” Pendek saja jawapan wanita itu.

Usai bersolat subuh, kain pelekat ditukarkan kepada track bottom. Anak mata berpaling memandang tubuh si kecil yang tidur mengerekot kesejukan. Punggung bertenggek seketika di birai katil. Bibir melekat nipis di tepi dahi Athar. Comforter ditarik untuk menyelimuti tubuh Athar yang kesejukan itu.

Senyap-senyap Nuqman keluar dari bilik tidur tanpa mengeluarkan sebarang bunyi yang boleh mengganggu tidur Athar. Dia berlalu ke ruang rehat tengah yang terdapat taman mini dihiasi kerusi rehat. Malah, alat senamannya juga terdapat di situ.

Sudah sejam dia menyegarkan tubuh dengan senaman pada awal pagi. Wajah yang dibasahi titisan peluh dibiarkan tanpa dikesat. Kedua-dua belah tangan yang berpaut kuat di palang bar menarik tubuh naik dan turun melakukan latihan back workout.

Pandangan mata tertunak ke arah pintu bilik tamu yang berdepan saja dengan ruang rehat tengah. Otak ligat memikirkan peristiwa semalam. Dia belum lagi berkesempatan untuk berbual panjang dan bertanyakan tentang kewujudan wanita itu yang tiba-tiba saja ada di hutan belukar.

Pautan di palang bar dilepaskan. Nafas panjang dihela. Nuqman menghampiri kerusi rotan dan mengambil tuala yang tersangkut di situ. Wajah yang basah lencun dengan peluh dilap sehingga kering. Anak mata memandang kembali pintu bilik tamu.

Keluhan halus pula dilepaskan. T-shirt dicapai dan disarungkan ke tubuh. Dia bergegas untuk keluar dari rumah. Tiba-tiba dia disapa oleh Angga yang baru saja bangun daripada tidur.

“Mahu ke mana, pak?” soal Angga yang masih lagi mamai tidur.

“Saya mahu keluar joging. Kamu siapin sarapan pagi,” alasan Nuqman. Apabila Angga menganggukkan kepala tanda akur, dia segera menyarung kasut joging dan keluar dari rumah mengharungi kabut awal pagi.

Setibanya di tempat semalam, tanpa berfikir panjang dia meredah hutan. Anak mata melingas memandang sekeliling walaupun keadaan masih lagi diselubungi kabut. Terlihat dahan pokok yang patah dan ada juga kesan tapak kaki. Dia menjejaki melalui kesan-kesan tersebut sehinggalah sampai di sebuah pondok di tepi sungai kecil.

Nuqman terhendap-hendap dari jauh jika pondok itu berpenghuni. Lama dia memerhati sehingga tak ada langsung pergerakan atau bunyi dari arah pondok tersebut. Perlahan-lahan dia menapak menghampiri pondok tersebut. Kali ini dia terintai-intai pula. Kosong! Setelah berpuas hati, Nuqman mengatur langkah untuk memasuki pondok tersebut.

Usai memeriksa kawasan sekitar pondok tersebut, Nuqman kembali keluar dari hutan belukar dan pulang ke rumah. Ternyata pondok itu telah pun dikosongkan sejak semalam. Tetapi yang pelik dan menimbulkan tanda tanya, tak ada kesan tayar kenderaan di kawasan pondok dan juga di sekitar pondok. Yang ada hanya kesan tapak kaki.

Tanpa mempedulikan Angga di dapur, Nuqman berlalu ke bilik tidur utama untuk membersihkan diri. Athar masih lagi nyenyak tidur. Selesai mandi dan merapikan diri, dia keluar dari bilik tidur dan terserempak dengan wanita semalam yang menghuni di bilik tamu.

“Selesa tidur?” sapa Nuqman.

Wanita itu mengangguk dan tersenyum nipis. “Selesa.”

Nuqman mengekori langkah wanita itu dari belakang. Apabila terlihat langkah wanita itu sedikit pincang, cepat-cepat dia ingin menghulurkan bantuan.

“Boleh saya bantu?”

Serba salah wanita itu mahu menyahut bantuan daripada Nuqman. Sementelah lelaki ini sejak semalam ikhlas membantu, memberi perlindungan kepadanya.

“Saya papah awak.” Selamba saja Nuqman memaut bahu wanita itu dan memapah untuk mengorak langkah ke ruang makan.

Kedinginan suhu bukit langsung tak terasa apabila dua batang tubuh berada dekat sebegitu. Dengan penuh berhati-hati Nuqman mendudukkan wanita itu di kerusi kayu. Kemudian dia pula mengambil tempat. Mereka berdua saling berhadapan.

“Semalam kita tak sempat nak berbual panjang,” ujar Nuqman sambil menuang air kopi ke dalam dua biji cawan. Kemudian, sebiji cawan diletakkan di hadapan wanita tersebut.

Hmmm…” Wanita itu mengangguk.

“Saya hanya ada satu soalan untuk awak. Macam mana awak boleh ada di hutan tu?” Air kopi diteguk sedikit. Nuqman memandang wajah polos di hadapannya itu. Muda! Cantik!

“Saya ditipu kawan.”

Nuqman menganguk kecil. Okey… Ditipu kawan. Then?

“Saya datang ke sini seorang diri. Kawan saya janji akan jemput di airport. Bila saya sampai di airport, dia arahkan orang lain untuk datang jemput. Atas dasar nama kawan, saya ikut ajelah. Penat sangat saya tertidur. Tapi saya ada terdengar orang tu ada sebut nama kawan saya. Tersedar aje dari tidur, saya dah ada dalam sebuah pondok dengan tangan dan kaki terikat. Saya dapat melarikan diri dan diorang kejar saya dalam hutan tu. Tiba-tiba saya ternampak kereta. Terus saya berlari keluar dari hutan, minta pertolongan.” Dia diam seketika. Air liur ditelan dan cuba menghidu nafas baru sebelum menyambung semula.

“Dan… saya jumpa awak.” Perlahan saja dia menutur kata. Lembut saja nada suara itu.

Nuqman masih lagi mengangguk kepala. Kan dah kata! Memang menarik. “Nama saya Nuqman. Nuqman Danial.” Salam perkenalan dihulurkan.

“Saya… Inara. Inara Sofea.” Salam perkenalan saling bertaut mesra.

“Tahu,” sahut Nuqman.

“Macam mana awak tahu?” Serentak wajah wanita yang bernama Inara berkerut seribu. Jantung mula berdetak laju.

Nuqman menarik keluar pasport yang dijumpainya dan diletakkan di atas meja makan lalu ditolak ke hadapan Inara.

“Pasport saya?” duga Inara, terkejut.

“Ya… Pasport awak.” Nuqman mengangguk.

“Mana awak jumpa pasport saya?”

“Saya jumpa di kawasan pondok. Mungkin diorang tercicir kut.” Wajah Inara menjadi tumpuan mata. Susah benar dia nak alihkan pandangan dari raut wajah polos itu. Terasa seperti ada magnet pula. Asyik tertarik saja.

“Alhamdulillah. Nasib baik. Tapi… kenapa awak pergi ke pondok tu?” Inara membalas pandangan lelaki di hadapannya itu. Kelihatan sedikit berusia. Tetapi tetap kelihatan macho walaupun hanya dengan berpakaian santai. Siapa dia sebenarnya eh? Daripada cara percakapan bukan orang Indonesia. Tapi, apa yang dia buat di Indonesia?

“Saja nak periksa kalau diorang ada lagi saya nak buat report polis. Tapi pondok tu dah pun dikosongkan. Mungkin sejak semalam lagi diorang dah beredar dari situ.”

Inara sekadar mengangguk. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. “Mana Athar?”

Nuqman sedikit tersentak. “Athar? Macam mana awak tahu nama anak saya Athar?” Dia sedikit pelik. Semalam dia langsung tak berkenalan dengan Inara, apatah lagi nak perkenalkan Athar.

Inara jeda seketika. Ulas bibir sedikit bergerak. Kemudian barulah dia bersuara. “Semalam saya dengar awak panggil dia Athar.”

“Ooo…” Spontan mulut Nuqman membulat. Kepala mengangguk. “Athar tidur lagi.”

“Jemput makan,” pelawa Nuqman. Nasi goreng masakan Angga disenduk ke dalam pinggan lalu diletakkan di hadapan Inara.

Daddy…” Suara rengekan Athar menyapa telinga.

“Awak makanlah dulu. Saya nak tengokkan Athar sekejap.” Tanpa membuang masa Nuqman bangun dari duduk dan berlalu keluar dari ruang dapur.

Daddy…” Rengekan Athar masih lagi kedengaran.

“Ya… Daddy datang ni,” sahut Nuqman dengan nada lembut. Kaki melangkah laju menuju ke bilik tidur utama.

Sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam bilik tidur, Athar terpinga-pinga di atas tilam. Rambut serabai! Kedua-dua belah mata ditenyeh.

Daddy…” panggil Athar buat sekian kalinya.

“Ya…” Nuqman menghampiri Athar. Dahi Athar dikucup sayang.

“Jom mandi! Lepas tu kita breakfast sama-sama dengan kakak,” ajak Nuqman.

Athar mengangguk. Serta-merta kedua-dua belah tangan didepa, meminta dikendong oleh Nuqman. Sekelip mata saja, punggung tak lagi terasa tilam empuk. Dia memperkemaskan pautan di batang leher Nuqman.

Love you, daddy.” Bibir Athar melekap di pipi Nuqman.

Love you too, Athar.”

Usai mandi dan lengkap berpakaian, Athar berlari keluar dari bilik tidur sambil tercari-cari Angga.

“Paman! Paman! Paman Angga!”

“Ya, Athar. Paman di dapur,” sahut Angga.

Athar berlari-lari anak menuju ke dapur. Setibanya di situ, serentak kedua-dua belah kaki terhenti dan dia kaku di situ. Anak mata bertaut dengan kakak yang dibantu Nuqman semalam.

Daddy…” Athar kembali tercari-cari daddy yang mengekorinya di belakang sebentar tadi. Dia dan daddy saling berpandangan.

“Jom sarapan?” ajak Nuqman melewati Athar dan menuju ke meja makan. Dia mengambil tempat di hadapan Inara semula.

Athar masih lagi tak berganjak. Dia masih lagi tercegat berdiri memandang kakak yang turut berada di meja makan. Mereka berdua saling berpandangan.

Nuqman berkalih memandang Athar. Dia memandang Athar dan Inara silih berganti. Athar seperti kebingungan. Inara pula tersenyum-senyum kepada Athar.

“Athar Faiz…” panggil Nuqman.

Athar tersentak. Dia kembali berpandangan dengan daddy. Perlahan-lahan dia menghampiri dan didudukkan di atas kerusi, bersebelahan dengan daddy dan juga kakak.

“Kenal ke kakak ni?” tanya Nuqman.

Athar menggelengkan kepala. Dia kembali berpandangan dengan kakak yang duduk di sebelah dia saja. Kemudian dia berpaling memandang Paman Angga yang duduk berhadapan dengannya saja.

“Paman masakan nasi goreng. Athar makan, ya?” Angga menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan untuk Athar. Telur rebus turut diletakkan ke dalam pinggan.

Daddy suapkan nak tak?”

“Nak!” Athar mengangguk, laju.

Inara ralit memandang raut wajah Athar. Keletah Athar mencuit hati dan membuatkan bibir tak lekang dengan senyuman. Layanan Nuqman kepada Athar, tutur bicara lelaki itu… semuanya penuh dengan kelembutan. Aihhh… Beruntung si isteri yang memiliki Nuqman.