Shamikael

RM31.00

Penulis: Rose aleyna

Caption: kau yang paling aku sayang / kau yang paling menyakiti

ISBN: 978-967-406-270-5

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 31.00 RM 34.00

Tragedi buruk yang pernah berlaku di alam persekolahan telah meninggalkan kesan buruk dan trauma di dalam hati tiga sahabat iaitu Sha, Arshad, dan juga Ekin. Mereka terpisah jauh, membiarkan waktu menghapuskan segala kenangan duka.

SHA…

Di dalam setiap nafasnya ada nama Arshad walaupun ada kebencian yang wujud di tengah-tengahnya. Cintanya tidak pernah berakhir walaupun jarak dan masa telah memisahkan mereka. Kemaafan yang tertangguh menjadi pertaruhan.

MIKAEL…

Dia menjadi pendendam kerana pengalaman ngeri yang berlaku sepuluh tahun lepas. Dia menyaksikan sendiri penderitaan seorang isteri sampai ke akhir hayatnya. Tiada istilah kemaafan di dalam kamus hidupnya.

“Aku tak akan lupa setiap apa yang pernah dia buat pada arwah Kak Long. Biarpun dia adalah isteri kau, aku tetap akan meneruskan misi membalas dendam.” ~ Maya

“Aku akan lakukannya, Maya. Dan kau tak perlu teruskan semua ini seorang diri sebab aku dah berjanji.” ~ Mikael

Kerana janjinya pada Maya, Mikael meneruskan misi membalas dendam.

“Apa lagi yang kau tak puas hati? Kau dah seksa hidup aku sampai macam ni sekali. Mula-mula kau rampas maruah aku. Tak cukup dengan itu, kau tinggalkan nyawa di dalam rahim aku. Lepas tu, kau biarkan aku terseksa dengan caci maki orang. Kau dah buat aku jauh dengan umi dan abah. Kau buat aku malu nak jumpa keluarga sendiri.” ~ Sha

“Aku tak akan pernah berpuas hati selagi tak dapat tengok kau merana seumur hidup di hadapan mata aku sendiri.” ~ Mikael

Kerana dendam Mikael, Sha terpaksa melalui liku hidup yang penuh dengan kebencian. Tidak cukup dengan itu, Sha juga dibenci oleh umi dan abahnya.

Cinta, dendam, dan kebencian, mungkinkah akan berakhir di dalam hati mereka?

Ataupun kebencian dan dendam itu berterusan menjadi bara yang membakar diri hingga ke akhirnya?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

SHA mengerutkan dahi apabila melihat Syamel yang berlari ke arahnya sambil melaung sepatah namanya. Dengan penuh tanda tanya, dia menanti Syamel tiba di hadapannya.

“Kau kenapa ni, Syamel? Kena kejar dengan anjing ataupun dah tersampuk dengan hantu?” Hampir terhambur ketawa Sha apabila melihat Syamel yang sudah berdiri di hadapannya sambil menghelakan nafas yang termengah-mengah.

“Aku tak ada masa nak bergurau.” Serius wajah Syamel.

Semakin bertaut kerutan di wajah Sha. Dengan tekun, dia menadah telinga mendengar bisikan perlahan Syamel.

“Shad dan Izz bergaduh kat belakang surau.”

Walaupun suara Syamel perlahan, Sha dapat mendengar dengan jelas. Bulat anak matanya memandang wajah Syamel.

“Sumpah! Aku tak main-main,” sambung Syamel bersungguh-sungguh.

“Cikgu Salem dah datang ke belum?” tanya Sha bersama riak wajah yang serba tidak kena.

Cikgu Salem merupakan guru disiplin di sekolah ini. Kalau Cikgu Salem menangkap Arshad sekali lagi, mungkin Arshad akan dikenakan hukuman digantung sekolah. Sha tidak mahu perkara itu terjadi memandangkan Arshad dan Izz masing-masing akan menghadapi peperiksaan pertengahan tahun dua minggu sahaja lagi.

“Syamel, kau ikut aku, ya?”

Syamel mengangguk. Tanpa banyak soal Syamel mengekor langkah Sha yang sudah berlari anak menuju ke arah surau sekolah.

Dari jarak beberapa meter, Sha sudah dapat melihat dengan jelas Arshad melayangkan penumbuk ke muka Izz. Bibir diketap geram.

Ini bukan kali pertama mereka bergaduh seperti ini. Sudah berkali-kali amaran diberikan. Juga sudah dihantar berjumpa dengan guru disiplin dan guru kaunseling. Namun, kedua-dua mereka tetap berdegil. Konon-konon nak tunjuk hebat. Sakit hati Sha dibuatnya!

Sha bukanlah saja-saja hendak masuk campur dalam pergaduhan mereka. Namun, sebagai salah seorang pengawas sekolah, memang tanggungjawab Sha untuk membantu mengawal masalah disiplin di sekolah ini.

Perkara yang paling Sha tidak suka adalah apabila mereka mengaitkan nama Sha. Begitulah selalunya. Setiap kali Arshad dan Izz bergaduh, Sha juga akan dipanggil oleh Cikgu Salem kerana mereka akan menyebut nama Sha juga.

Bagaikan helang yang ingin menerkam mangsa, sepasang anak mata Sha memanah tajam kedua-dua wajah itu silih berganti.

Sejujurnya, Sha juga takut untuk masuk campur dalam pergaduhan itu. Apatah lagi dia pernah merasa penumbuk Izz singgah ke mukanya apabila dia cuba meleraikan pergaduhan antara dua lelaki itu. Berminggu-minggu kesannya tidak hilang.

“Sha… Macam mana ni? Nampak macam susah nak leraikan saja?”

Kepala ditoleh ke sisi. Perlahan, kepala mengangguk. Dia juga bersetuju dengan kata-kata Syamel. Susah atau tidak, mereka terpaksa meleraikan pergaduhan ini sebelum Cikgu Salem atau mana-mana cikgu datang ke sini.

“Syamel… Kau ni pun satulah! Kau kan lelaki! Cubalah kau yang pergi leraikan pergaduhan mereka,” marah Sha dengan nada perlahan.

Mana tidaknya? Syamel juga seorang pengawas sekolah. Tetapi apabila melibatkan pergaduhan antara Arshad dan Izz, Syamel tetap akan mencari Sha. Apa salahnya kalau Syamel cuba sendiri untuk meleraikan pergaduhan antara mereka?

Syamel menyeringai sekejap.

“Aku bukan apa, Sha. Tak nak kena tumbuk macam kau hari tu.”

Haih, aku hairan betullah! Macam mana cikgu boleh pilih kau menjadi pengawas sekolah? Penakut mengalahkan perempuan. Kalau kau sekali takut, aku lagilah berkali-kali takut tau?” bebel Sha lagi.

Syamel sekadar menggaru kepala.

“Shad! Izz!” laung Sha sambil mengatur langkah ke arah dua lelaki yang masih bertumbuk sakan. Macamlah hebat sangat!

Serentak, kedua-dua mereka menoleh ke arah Sha. Terhenti langkah Sha sekejap. Boleh tahan kecut perut juga. Sempat anak mata Sha mengerling ke arah Syamel yang menyorok di belakang tubuhnya.

Hesy, geram sungguhlah! Si Syamel ni semakin membuatkan aku bertambah takut, leter Sha dalam hati.

Sha memandang dua wajah itu silih berganti. Riak wajah Izz sudah berubah. Ada senyuman sinis yang tiba-tiba terukir di wajahnya. Jelas, senyuman itu seperti sedang memperlekehkan tanggungjawab Sha.

Manakala riak wajah Arshad pula berubah kemerahan. Bengis sepasang anak matanya menikam sepasang anak mata Sha, membuatkan peluh dingin memercik ke dahi Sha akibat ketakutan.

Walaupun kedua-dua belah lututnya sudah mula terasa menggigil, Sha tetap menghampiri dua tubuh itu.

“Kau orang ni kenapa, hah? Nak kena gantung sekolah ke? Tak habis-habis bergaduh! Kau orang ingat bergaduh macam ni boleh menyelesaikan masalah? Semakin menambahkan masalah adalah!” Panjang lebar leteran Sha.

“Sebab kaulah ni!”

Terkejut Sha dibuatnya. Tiba-tiba sahaja Izz menjerkah kuat ke arahnya. Namun, cuma sekejap sahaja rasa terkejutnya. Anak matanya dikecilkan sambil merenung tajam wajah Izz.

“Asyik-asyik nama aku yang kau orang kaitkan! Dah tak ada nama lain ke?!” balas Sha juga dengan nada menjerkah.

“Memang aku bertumbuk dengan dia sebab kau! Ni, mamat gila ni berani pula cakap dia nak rampas kau daripada aku! Aku bagilah ‘hadiah’ sebab berani ganggu kau!” Izz bersuara lagi.

Sambil menghelakan keluhan panjang, anak mata Sha beralih memandang ke wajah Arshad pula. Lelaki itu cuma diam. Cuma sepasang anak matanya sahaja yang masih memanah tajam sepasang anak mata Sha.

“Kau pula? Apa alasan kau? Nak kaitkan nama aku juga?” tanya Sha kepada Arshad pula.

Lelaki itu tidak menjawab. Namun sepasang anak matanya sedang menikam sepasang anak mata Sha. Tajam pandangan mata itu seperti sedang membunuh segala keyakinan dan keberanian yang ada. Seram sejuk dibuatnya!

“Sha… Kau janganlah cari pasal pula. Aku panggil kau sebab nak leraikan pergaduhan ni saja.” Syamel mencuit bahu Sha sambil berbisik perlahan.

“Aku bukan sedang cari pasal. Tengah leraikanlah ni,” marah Sha kepada Syamel pula.

“Izz, blah! Cikgu Suzana datang!”

Serentak Sha dan Syamel menoleh ke arah suara yang menjerit kuat dari arah belakang. Cikgu Suzana adalah guru kaunseling di sekolah ini. Sekiranya Cikgu Salem tiada, Cikgu Suzana yang akan mengambil tanggungjawab ini.

“Sha, lari! Nanti nama kau naik lagi!” Kelam-kabut Syamel menarik tangan Sha supaya beredar dari kawasan pergaduhan itu.

Terpinga-pinga Sha sekejap. Apatah lagi apabila melihat Izz dan rakan-rakan sudah lari lintang-pukang. Anak mata jatuh memandang wajah Arshad yang masih tidak berganjak. Kemudian, beralih memandang Syamel pula. Dia perlu menyelamatkan kedua-dua lelaki ini.

Syamel, Sha bimbang akan dikenakan tindakan disiplin. Sebelum ini rekod disiplin Syamel bersih. Tidak pernah terlibat dengan sebarang kesalahan disiplin. Takkanlah Sha nak calitkan kotoran pula?

Arshad pula, Sha bimbang akan dikenakan tindakan gantung sekolah. Rekod disiplin Arshad sangat jauh bezanya dengan Syamel. Takkanlah Sha nak biarkan lelaki ini digantung sekolah pula?

“Syamel, kau pergi menyorok kat belakang tong tu! Cepat!” Sha menunjukkan tong yang berwarna biru berhampiran dengan pagar sekolah. Mungkin akan selamat jika bersembunyi di situ.

“Kau macam mana?”

“Tak payah fikir pasal aku! Pergi cepat!” arah Sha lagi. Kelam-kabut anak matanya memerhati sekeliling. Bimbang kelibat Cikgu Suzana akan sampai sebelum mereka sempat menyorok.

“Tak bolehlah macam tu. Nanti kau pula yang kena,” balas Syamel lagi.

“Aku kena tolong Arshad. Kau pergi dulu. Cepat!”

Sudahnya, Syamel mengangguk.

Apabila Syamel mula mengatur langkah, Sha terus mengatur larian kilat ke arah Arshad. Tanpa sedar, tangannya mencapai pergelangan tangan lelaki itu lalu menarik tangan itu supaya mengekor langkahnya.

Di belakang pokok rendang yang berhampiran tangki air, mereka bersembunyi. Sesekali anak mata Sha mencuri intai kelibat Cikgu Suzana seperti yang diuar-uarkan oleh salah seorang kawan Izz sebentar tadi.

Selang beberapa saat, kelibat Cikgu Suzana muncul di kawasan pergaduhan itu dengan membawa bersama satu rotan panjang. Nafas ditahan. Bimbang Cikgu Suzana dapat mengesan kelibat mereka yang bersembunyi di sini. Bimbang sekiranya mereka akan dikenakan tindakan disiplin.

Sebagai seorang pengawas yang memikul tanggungjawab besar, sepatutnya Sha tidak terlibat dengan masalah seperti ini. Apatah lagi menyelamatkan orang yang memang patut dikenakan tindakan disiplin seperti Arshad dan Izz.

“Sha…”

Suara perlahan di sisinya membuatkan Sha tersentak. Laju kepala ditoleh ke sisi sambil jari telunjuk diletakkan di bibir sendiri.

Syh… Jangan bising,” bisik Sha perlahan. Kali ini peluh dingin mula memercik ke dahi akibat menahan debar dan perasaan takut.

“Sha…” panggil Arshad lagi.

Sha mengetap bibir geram. Tidak menunggu lama, tapak tangannya terus naik menutup mulut lelaki di sisinya. Terdiam Arshad dibuatnya.

Setelah kelibat Cikgu Suzana mula hilang dari pandangan, Sha menghelakan nafas kelegaan. Perlahan tangannya dialihkan dari mulut Arshad. Kemudian dada pula diurut perlahan.

Kalau macam ini hari-hari, memang boleh mati akibat sakit hati. Sakit hati dengan perangai makhluk Allah yang seorang ni. Bibir diketap geram. Nafas mula naik turun kerana menahan amarah yang membara. Laju kepala didongak mencari seraut wajah lelaki di sisinya.

Mata bertentang mata. Entah mengapa, amarah yang membara di dalam dada tiba-tiba lenyap begitu sahaja. Berganti pula dengan perasaan berdebar.

Tidak berganjak sepasang anak mata Sha memandang sepasang anak mata redup yang sedang merenung wajahnya. Ada segaris senyuman di wajah lelaki itu. Dan senyuman seperti itu memang mampu meredakan amarah setiap mata yang memandang.

Selang beberapa saat, anak mata lelaki di hadapannya terarah ke tangan Sha. Walaupun teragak-agak, Sha tetap mengalihkan pandangan matanya ke arah yang sama.

Bulat anak mata Sha sekejap. Terkejut apabila melihat tangan kanannya masih utuh memegang pergelangan tangan lelaki di hadapannya.

Hilang terkejut yang cuma sekejap, cepat-cepat Sha melepaskan tangan itu lalu bangun dari duduknya. Sungguh, bahang kepanasan tiba-tiba menyerbu ke wajah. Malu apabila terkantoi begitu.

“Kenapa kau selamatkan aku?”

Soalan lelaki itu menghentikan langkah yang baru sahaja ingin diatur. Kepala dipusing sambil anak mata kembali mencari sepasang anak mata lelaki itu. Terdiam, tiada sepatah jawapan pun yang terbit dari ulas bibir Sha.

“Kenapa kau selamatkan aku?”

Soalan yang sama kedengaran lagi. Namun kali ini nada suara lelaki itu kedengaran perlahan. Sha mengalihkan pandangan mata sebelum menghelakan nafas panjang.

“Kalau bukan kau pun, aku tetap aku selamatkan orang tu,” jawab Sha malas.

“Kenapa?” tanya Arshad lagi.

“Sebab aku tak nak kau atau sesiapa pun dikenakan tindakan disiplin.”

“Kenapa?”

Soalan yang sama kedengaran lagi. Sha mengetap bibir geram.

“Sebab aku tak nak kau ataupun Izz digantung sekolah. Ini bukan kesalahan kali pertama, Shad. Dah berkali-kali kau dan dia ulang kesilapan yang sama. Kau tahu tak SPM dah dekat? SPM bukan macam peperiksaan PMR, Shad. SPM penentu masa depan kau. Kau nak sia-siakan masa depan kau macam tu saja ke? Kalau kau tak nak fikirkan pasal diri kau, tolonglah fikir pasal Izz dan juga rakan-rakan yang lain.” Panjang lebar hujah Sha. Namun lelaki di hadapannya cuma diam membisu.

“Kenapa kau diam?” tanya Sha lagi. Arshad tetap diam membisu.

Nafas dihelakan panjang sebelum kembali bersuara.

“Satu lagi aku nak pesan. Lepas ni tolonglah jangan libatkan nama aku lagi dalam pergaduhan di antara kau dan Izz. Aku hairan sungguh. Apa dah tak ada nama lain lagi yang kau dan Izz nak sebut? Kenapa nama aku juga…”

“Terima kasih, Sha.”

Belum sempat Sha meneruskan leterannya, tiba-tiba suara Arshad memintas. Terdiam Sha dibuatnya. Sepasang anak mata Sha memandang lagi sepasang anak mata di hadapannya.

Arshad melakar senyum.

“Terima kasih sebab kau selalu selamatkan aku daripada keadaan seperti tadi.”

Sempat Sha mencebik kecil.

“Sama-sama.” Sepatah jawapan Sha sebelum kembali mengatur langkah.

Arshad mengekor dari belakang.

“Sha…” panggil Arshad setelah berdiri seiringan dengan Sha.

“Apa lagi?”

“Kenapa kau selalu selamatkan aku?” Soalan berbalas soalan.

Soalan membunuh itu mematikan langkah Sha. Tubuh dipusing ke sisi. Sepasang anak matanya menyapa sepasang anak mata Arshad.

Kenapa aku selalu selamatkan dia? soal Sha dalam hati sendiri.

Apa jawapan yang aku ada, Shad? Aku pun tak tahu kenapa aku selalu selamatkan kau daripada situasi seperti tadi, jawab Sha hanya dalam hati.

Sudahnya, Sha berterusan diam tanpa memberikan jawapan kepada soalan Arshad sebentar tadi.

USAI Cikgu Ayu menamatkan kelas tambahan petang itu, Sha terus mengemas meja dan mengambil beg sekolahnya.

“Kau nak pergi ke mana, Sha?” Terpinga-pinga Syamel melihat tingkah Sha.

Sha berpaling sambil menghulurkan senyuman.

“Aku nak pergi cari Arshad. Kau jangan bagi tahu orang lain pula. Takut nanti ada orang bagi tahu cikgu.”

“Dia ada kelas juga ke petang ni?”

“Tak ada. Tapi aku tahu dia ada latihan bola sepak petang ni.”

Syamel mengangguk. Namun, dahinya masih berkerut seribu.

“Kau nak cari dia sebab Hakim ke?”

Giliran Sha pula yang mengangguk sebagai jawapan untuk pertanyaan Syamel.

“Sha… Kau jangan bergaduh pula. Ingat, kau masih dalam tempoh pemerhatian,” pesan Syamel lagi.

Keluhan kecil meniti ulas bibir Sha. Ya, dia masih sedar tentang itu.

“Terima kasih, Syamel. Sebab selalu ingatkan aku. Aku pergi dulu.”

Syamel hanya mengangguk sambil memandang langkah Sha sehingga menghilang.

Puas Sha mencari, namun kelibat Arshad masih belum ditemuinya. Ada juga Sha bertanya kepada rakan sekelas Arshad. Tetapi jawapan tetap menghampakan.

Sudahnya, Sha berputus asa. Langkah diatur ke arah perpustakaan untuk memulangkan buku yang dipinjam beberapa hari yang lepas.

Belum sempat kakinya mengatur langkah ke pintu utama perpustakaan, anak mata Sha ternampak kelibat Arshad di taman mini yang berhadapan dengan perpustakaan. Lelaki itu sedang ralit membaca sebuah buku. Pakaian yang dipakai masih lagi pakaian sekolah.

Jangan cakap yang dia ponteng latihan sukan lagi? tanya Sha dalam hati.

“Kenapa kau masih kat sini, hah?” Tanpa salam atau sapaan, Sha terus bertanya sambil bercekak pinggang setelah berdiri di hadapan Arshad.

Arshad mendongakkan kepala. Senyuman senget dihulurkan sebaik sahaja terpandangkan kelibat Sha. Pertanyaan Sha dibiarkan sepi tanpa jawapan.

“Aku bercakap dengan kau ni. Bukan tengah bercakap dengan tunggul kayu,” marah Sha lagi.

“Macam nenek kebayan.”

Sebaris ayat yang baru sahaja didengarinya membuatkan telinga Sha mula berasap. Ada saja patah perkataan Arshad yang akan menyakiti hatinya.

“Tak kesahlah kalau aku ni nenek kebayan ke, Puteri Snow White ke, Cik Puan Cinderella ke! Aku nak tanya, kenapa kau tak pakai baju sukan? Kau ponteng lagi, kan?”

Arshad mengangkat wajah.

Sha perasankan pandangan mata Arshad yang jatuh pada baju sekolahnya yang berwarna putih. Ya, sudah dua hari dia tidak memakai baju sekolah berwarna biru akibat pergantungan tugasnya.

Tidak menghiraukan pandangan mata lelaki itu, Sha bersuara lagi.

“Satu lagi aku nak tanya. Kau ni dah kenapa, hah?”

“Kenapa apa?” tanya Arshad bersama kerutan di dahi. Buku di tangannya sudah ditutup lalu dimasukkan ke dalam beg sekolah.

“Kenapa kau lekatkan chewing gum pada kerusi Hakim?” Sha berterus terang. Sejak pagi tadi lagi dia tidak senang duduk. Pagi tadi, Hakim mengadu kepada Sha dan menyebut nama Arshad. Semakin ketaralah amarah Sha apabila mengetahui bahawa Arshad yang melakukan perkara itu.

Arshad cuba menahan ketawanya daripada meletus keluar. Bersama wajah serius, dia berpaling ke arah Sha.

“Bukan akulah yang buat.”

“Hah, elok sangatlah menipu. Tempah tiket banyak-banyak untuk masuk ke neraka.”

“Neraka atau syurga, bukan kau yang tentukan. Tapi Tuhan.”

“Tahu pula?” marah Sha sambil mengetap bibir menahan perasaan sakit hati.

“Sudah-sudahlah tu, Shad. Tak boleh bergaduh dengan Izz, kau cari pasal dengan Hakim pula. Kau memang sengaja menyusahkan aku, kan?”

“Baguslah kalau kau dah tahu. Aku ulang sekali lagi, aku memang suka menyusahkan kau dan aku akan terus menyusahkan kau sampai bila-bila.” Selamba jawapan Arshad sambil menarik senyuman sinis.

“Kenapa?” Sepatah soalan Sha. Wajahnya sudah membahang kepanasan akibat menahan amarah di dalam dada.

“Kenapa apa?” ulang Arshad kembali.

“Kenapa kau suka sangat menyusahkan aku?”

“Sebab aku tak suka kau!”

“Habis tu, kau ingat aku suka sangat dengan kau, hah? Perangai mengalahkan babun laut! Babun laut jauh lebih baik berbanding kaulah!” Laju Sha membalas. Bibir diketap geram sambil anak matanya merenung tajam seraut wajah di hadapannya.

Kali ini Arshad berdiri. Selangkah kakinya mara ke hadapan dan berdiri betul-betul di hadapan Sha.

Sha mengeraskan diri dan tidak berganjak. Hanya kepalanya yang mendongak pandang wajah lelaki yang lebih tinggi berbanding dirinya.

“Kalau kau tak suka aku, kenapa kau selalu tolong aku? Kenapa kau selalu backup aku bila Cikgu Salem atau Cikgu Suzana jatuhkan hukuman kepada aku? Kau sukakan aku, kan?” tembak Arshad lagi.

“Perasan! Mati hidup semula pun aku takkan sukakan lelaki macam kaulah!” marah Sha lagi.

Arshad sekadar melebarkan senyuman. Wajah Sha ditatap lagi.

“Pandang! Pandang! Sekali aku cucuk mata tu, baru kau tahu.” Sha mengacah tangannya untuk mencucuk biji mata lelaki di hadapannya.

“Cucuklah. Kalau kau orang yang cucuk mata aku sampai buta, aku rela.”

Baris ayat Arshad dibalas dengan mimik muka meluat bagaikan ingin termuntah hijau. Kemudian, anak mata Sha kembali memanah tajam sepasang anak mata itu.

“Ini amaran terakhir. Kalau aku dapat tahu kau…”

Belum sempat Sha menghabiskan ayat, tiba-tiba sahaja pergelangan tangannya ditarik seseorang.

“Ikut aku sekejap!”

Tidak sempat melihat gerangan yang menarik pergelangan tangannya, Sha terpaksa mengatur langkah mengekori langkah seorang lelaki.

“Weh, kau ni kenapa? Lepaslah!”

DI bawah pokok rendang yang berhadapan dengan padang sekolah, masing-masing saling mendiamkan diri dan melayan perasaan.

Sepoi-sepoi angin petang memberikan sejuta ketenangan. Semakin bertambah ketenangan itu apabila melihat sekumpulan pelajar lelaki sedang riuh berlatih sukan bola sepak.

Sementara di gelanggang bola jaring pula, riuh-rendah dengan suara jeritan sekumpulan pelajar perempuan yang sedang membuat persiapan akhir mewakili rumah sukan masing-masing. Temasya sukan sekolah akan diadakan tidak lama lagi. Sebab itulah mereka berusaha keras menjalani latihan.

Dan lelaki di sisinya…

Nampaknya, Arshad ponteng latihan bola sepak yang sepatutnya bermula satu jam yang lepas. Lelaki ini selalu begitu. Suka mengambil remeh dalam apa jua hal. Nanti tak pasal-pasal kena marah lagi dengan cikgu. Tak pernah serik agaknya?

Keluhan kecil meniti ulas bibir Sha. Sejak satu jam yang lepas mereka lepak di sini sambil memerhatikan pelajar yang bermain sukan di padang. Arshad menarik tangannya tadi semata-mata untuk berbual dengannya.

Kalau cakap elok-elok apa salahnya? Ini tidak! Main tarik saja!

Sha diajak ke tepi padang ini. Namun, Arshad hanya diam menyepi di sisinya. Sudahnya, Sha mengalah. Membiarkan sahaja Arshad tenggelam dalam lamunannya.

“Aku dapat tahu yang kau digantung tugas sebagai pengawas selama dua minggu. Betul ke?” Suara Arshad memecahkan kesunyian antara mereka.

Mendengar suara lelaki itu, Sha terus berpaling ke sisi. Bibir diketap geram sambil anak mata menghantar jelingan tajam.

“Sebab kaulah ni! Kalau bukan kerana nak selamatkan kau, aku tak akan dikenakan tindakan disiplin. Ini kali pertama tau? Tak ada amaran atau nasihat. Terus kena gantung tugas. Nasib baik tak kena gantung sekolah.”

Berpuluh-puluh patah perkataan yang Sha sebut, hanya dibalas dengan senyuman kecil yang terlakar indah di wajah lelaki di sisinya.

Sha mencebik apabila lelaki di sisinya hanya membuat muka tidak bersalah.

“Asyik muka kau dan muka Izz saja yang buat masalah kat sekolah ni! Lepas tu libatkan nama aku! Hesy, sakit betullah hati aku! Macam mana aku nak jalankan tanggungjawab dengan baik kalau ada orang macam kau dan Izz kat sekolah ni? Kau bukan sahaja…”

“Aku minta maaf,” pintas Arshad tanpa memandang wajah di sisinya.

Sha terdiam. Anak matanya memandang wajah yang sedang menunduk itu. Dalam diam, hatinya mengukirkan senyuman. Ini adalah kali pertama lelaki itu meminta maaf dengannya. Sebelum ini ucapan maaf itu tidak akan pernah dituturkan oleh ulas bibir itu.

“Kau cakap apa? Aku tak dengarlah.” Sengaja dia buat-buat tidak dengar. Padahal, Sha sengaja ingin mendengar ucapan maaf itu untuk kali kedua.

Kali ini Arshad menoleh ke arahnya. Sha mengukirkan senyuman apabila sepasang anak matanya bersabung pandang dengan sepasang anak mata lelaki itu.

“Dan terima kasih,” sambung Arshad lagi.

“Untuk?”

“Sebab kau dah selamatkan aku. Jika tidak, mungkin aku tak dapat ambil peperiksaan pertengahan tahun.”

“Sama-sama,” balas Sha bersama senyuman yang meleret.

Ya, memang itu yang dia nak. Dia rela dikenakan tindakan disiplin asalkan Arshad tidak ditangkap oleh Cikgu Suzana pada hari itu. Mujurlah tindakan disiplin yang dikenakan kepadanya ringan sahaja.

Selepas ini, Sha janji tidak akan tolong mereka lagi. Sha sudah tidak mahu dikenakan tindakan disiplin sekali lagi. Lagipun, Sha memang serik untuk mendengar leteran abah. Sha tidak mahu meresahkan hati umi dan abah untuk kali kedua.

“Kau maafkan aku tak?” Arshad bersuara lagi setelah beberapa minit mereka saling mendiamkan diri.

Sha menoleh lagi ke sisinya. Kepala diangguk.

“Aku dah maafkan kau.”

“Terima kasih.”

“Sama-sama kasih.”

Arshad mengait senyum.

“Nanti aku belanja kau makan, ya? Sebagai ucapan terima kasih sebab sudi selamatkan aku hari tu.”

Kepala diangguk perlahan. Senyuman pula sudah lebar di wajahnya.

“Boleh. Tapi aku nak ABC kat warung Pak Mail kat depan sekolah. Boleh tak?”

Arshad sekadar bersetuju dengan cadangan Sha.

PETANG itu, Arshad menunaikan janjinya. Apa lagi? Dengan sengaja Sha mengambil kesempatan untuk memesan ABC spesial. Bukan dia pun yang bayar. Biar padan muka Arshad.

Selepas makan ABC, Arshad mengajak Sha bersembang di taman permainan yang bersebelahan dengan warung Pak Mail. Banyak perkara yang mereka sembangkan. Termasuklah tentang keluarga Sha juga.

Namun, apabila Sha bertanya tentang keluarga Arshad, lelaki itu seolah-olah tidak mahu bercerita. Sudahnya, Sha malas mahu bertanya lagi. Topik perbualan dialihkan.

Sambil bersembang dan melabuhkan duduk di buaian, Sha mengamati wajah lelaki yang duduk di buaian bersebelahan dengannya. Kali ini, sedikit sebanyak Sha mula mengenali perwatakan seorang Arshad dari sudut yang berbeza.

Selalunya, Arshad yang dikenalinya ketika waktu sekolah adalah seorang yang pendiam, suka bergaduh dan suka cari pasal dengan orang lain. Tetapi sekarang, Sha mengenali seorang Arshad yang baik hati dan peramah. Juga murah dengan senyuman yang menyerlahkan kekacakannya.

Adakah Arshad mengalami masalah kecelaruan personaliti? Adakah benar Arshad memiliki dua perwatakan berbeza di dalam dirinya?

Kadang-kadang timbul juga persoalan pelik dalam hati Sha. Hakikatnya Sha yakin, Arshad tidak mengalami masalah seperti itu.

“Shad… Aku nak tanya kau satu soalan boleh?” Sha bersuara setelah agak lama mereka saling mendiamkan diri.

Hmmm…”

“Kenapa kau libatkan nama aku setiap kali bergaduh dengan Izz?”

Kali ini Arshad menoleh. Riak wajahnya jelas menunjukkan perasaan terkejut apabila ditanya soalan seperti itu.

Anak mata Sha singgah memandang reaksi di wajah lelaki itu. Ini bukanlah kali pertama dia bertanya soalan yang sama. Tetapi kenapa kali ini Arshad menunjukkan riak terkejut?

“Kalau kau tak nak jawab, tak apalah. Aku saja tanya. Jangan salah faham pula. Aku cuma nak tahu saja. Izz juga aku tanya soalan yang sama.” Sha kembali bersuara apabila Arshad berterusan mendiamkan diri.

“Izz jawab apa?”

Kepala ditoleh ke sisinya. Soalan berbaur teruja itu membuatkan Sha tersenyum lagi.

“Kau sendiri dengar hari tu, kan?”

“Aku tak sukalah.”

Berkerut dahi Sha sekejap. Lain yang Sha tanya, lain pula yang Arshad jawab.

“Kenapa pula?”

“Dia cuma berniat nak main-mainkan kau. Aku dengar dia berborak dengan kawan-kawan dia.”

“Jadi, sebab tu kau bertumbuk dengan dia?”

“Bukanlah. Kawan dia yang suruh aku pergi ke belakang surau masa kejadian hari tu. Takkanlah aku nak biarkan saja dia tumbuk muka aku. Mestilah aku balas balik.” Arshad memilih untuk berterus terang.

Sha mengangguk. Dia faham dengan apa yang Arshad sedang sampaikan. Kalau sekali pun Sha yang berada di tempat Arshad, sudah tentu Sha akan melakukan perkara yang sama.

“Jadi, betullah kau ada cakap yang kau nak rampas aku daripada dia?”

Kali ini Arshad diam tanpa reaksi. Juga tidak menoleh pandang ke wajah Sha.

Diam Arshad meyakinkan Sha tentang jawapan yang ada dalam hatinya. Selang beberapa saat, ada senyuman yang menghiasi wajah Sha.

“Nak rampas buat apa, Shad? Aku dengan Izz bukannya ada apa-apa hubungan istimewa. Aku bukan milik dia pun. Juga bukan kekasih dia. Dia saja yang suka buat kenyataan palsu.”

Arshad diam dan hanya mendengar bicara Sha.

“Shad…” seru Sha perlahan. Namun, lelaki itu masih tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

“Boleh tak lepas ni kau jangan bergaduh lagi dengan Izz? Kau dan dia akan ambil SPM hujung tahun ini. Aku takut kau atau dia akan dikenakan tindakan disiplin lagi,” sambung Sha lagi.

Arshad merenung wajah di sisinya.

“Kau sukakan Izz?”

“Kenapa kau tanya macam tu?” Soalan berbalas soalan. Berkerut seribu dahi Sha apabila lelaki itu mempersoalkan soalan seperti itu.

“Kau suka Izz, kan?” ulang Arshad tanpa menjawab soalan Sha.

Perlahan kepala digeleng.

“Taklah. Kenapa pula aku nak sukakan dia? Dia tu memang suka menokok tambah cerita. Kalau kau dengar dia cakap apa-apa tentang aku, jangan mudah sangat percaya. Tanya aku dulu sama ada cerita dia tu betul ataupun tidak.”

“Jadi, kau suka aku?”

Pantas Sha menoleh ke sisinya. Bulat anak matanya memandang sepasang anak mata Arshad. Jujur, Sha terkejut dengan pertanyaan yang tidak disangkanya itu. Panjang lebar penjelasannya. Namun, sebaris ayat itu pula yang dipersoalkan oleh Arshad.

“Kau sukakan aku, Sha?” ulang Arshad lagi.

“WEH, lepaslah! Kau ni dah kenapa, hah? Aku dah tolong kau, macam ni pula kau balas?” Sha berusaha keras untuk melepaskan tangannya daripada cengkaman kuat tangan sasa Arshad. Naik turun nafasnya menahan amarah yang membara di dalam dada.

Arshad senyum senget.

“Kau ingat tak apa yang kau buat dekat aku pagi tadi?”

Sha mengetap bibir kuat. Mana mungkin dia lupa. Dia menggigit tangan lelaki itu kerana lelaki itu tidak mahu melepaskan cengkaman kuat pada tangannya. Sudah cukup baik dia menolong lelaki itu. Tetapi apa balasan yang dia terima?

Begitu juga dengan petang ini. Sha cuba menolong Arshad apabila lelaki itu memulakan pergaduhan dengan Izz lagi. Namun, ini pula balasan yang diterima.

Sepasang anak matanya memanah tajam sepasang anak mata lelaki di hadapannya.

“Habis tu, kau nak balas balik? Nak gigit tangan aku balik?”

Arshad melebarkan senyuman. Anak matanya memandang sepasang anak mata Sha sambil kepala diangguk perlahan.

Kecut perut Sha apabila melihat anggukan dan senyuman lelaki itu. Namun, dia memberanikan diri dan berpura-pura tidak terkesan dengan anggukan lelaki itu.

“Gigitlah kalau kau nak merasa pelempang aku,” ugut Sha pula.

“Kau ingat aku takut?” balas Arshad dengan nada sinis.

Belum sempat Sha membalas kata-kata lelaki itu, tiba-tiba sahaja tangannya ditarik oleh tangan sasa itu. Tidak sempat menyeimbangkan badan, tubuh Sha terdorong ke hadapan. Terus berlanggar dengan sekujur tubuh di hadapannya.

Setelah otak kecilnya kembali berfikir dengan baik, Sha mendongakkan wajah. Sepasang anak matanya singgah memandang sepasang anak mata yang dekat dengan mukanya.

“Hesy, kau ni kan, menyakitkan hati sungguh! Kalau aku…”

Belum sempat Sha menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba tangannya ditarik supaya dekat dengan wajah lelaki itu. Mati bicara Sha. Bulat anak matanya memandang wajah di hadapannya. Nampaknya, lelaki ini benar-benar akan mengotakan kata-katanya. Penuh debar, anak mata Sha masih tidak lepas memandang sepasang anak mata lelaki itu.

Sebaik sahaja melihat lelaki itu membuka mulut seolah-olah ingin menggigit tangannya, Sha terus menyeringai ketakutan sambil memejam rapat kelopak matanya.

Selang beberapa saat, Sha terasa sesuatu yang sejuk singgah di belakang tangannya. Berkerut dahinya. Tidak ada rasa sakit.

“Terima kasih, Sha.”

Sha memberanikan diri untuk membuka kedua-dua kelopak matanya. Perlahan dan penuh berhati-hati, akhirnya kedua-dua kelopak matanya berjaya dibuka. Anak mata terus singgah pada tangan sendiri.

Hampir terngadah Sha dibuatnya. Bulat anak matanya melihat ulas bibir lelaki itu singgah pada belakang tangannya. Sama seperti yang dirasai sebentar tadi.

“Kau…” Sha kehilangan kata-kata. Apatah lagi apabila melihat senyuman indah yang terlakar di wajah itu.

“Terima kasih sebab dah banyak kali tolong aku.”

Suara lelaki itu hanya kedengaran perlahan. Sha mengetap bibir. Laju tangannya cuba dilarikan daripada genggaman tangan lelaki itu.

Sekali pun nak ucap terima kasih, tak payahlah cium tangan aku, gumam Sha dalam hati.

Terlepas! Sha terus mengundur langkah beberapa tapak ke belakang.

“Kau ni…” Bicaranya terhenti lagi. Seolah-olah mati ditelan pandangan sepasang mata redup milik seorang Arshad.

Keluhan panjang dihelakan. Bibir diketap kuat sambil anak mata menikam wajah lelaki yang sedang tersenyum sambil menjongketkan kening kepadanya.

“Aku betul-betul hilang sabar dengan perangai kau ni. Kalau kau berani buat macam tu lagi, aku akan ambil cili dan cilikan mulut kau tu. Hesy, menyakitkan hati sungguh!”

Arshad menghamburkan ketawa.

“Kau tak akan berani buat macam itulah.”

“Kenapa pula?”

“Sebab kau tak akan sampai hati. Apatah lagi orang yang kau nak cilikan tu adalah aku. Kau tak akan sampai hati buat macam tu sebab kau sukakan aku.”

Berasap telinga Sha mendengar baris ayat lelaki itu.

“Kau jangan nak perasan sangat boleh tak? Aku dah rasa macam nak termuntah hijau ni. Jangan sampai aku muntahkan semuanya kat muka kau sudah!”

Ketawa kuat Arshad pecah lagi.

“Gila! Sewel!” Sempat Sha menyumpah lelaki itu sebelum mengatur langkah. Merah padam mukanya menahan amarah. Gunung berapi di dalam dada juga bagaikan ingin memuntahkan laharnya apabila melihat wajah tidak bersalah lelaki itu.

Lama sikit lagi, dengan aku sekali yang akan jadi gila! gumam Sha lagi.

PETANG itu, Sha menghadiri perjumpaan persatuan seperti kebiasaannya. Wajah Syamel dicari. Berkerut dahi Sha apabila melihat kelibat Syamel yang masih belum muncul.

Sudahnya, Sha melabuhkan duduk di meja paling hujung yang masih lagi di barisan hadapan. Satu kerusi kosong di sisinya disimpan untuk Syamel.

Sementara menanti guru penasihat persatuan sampai, Sha bersembang dengan Ekin. Sempat anak matanya melirik pandang ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di tepi pintu belakang kelas. Sesaat, anak mata mereka saling bersabung pandang.

Cepat-cepat Sha mengalihkan semula anak matanya. Patutlah dia asyik rasa seperti ada orang yang sedang memandang ke arahnya. Rupa-rupanya lelaki itu memang sedang memandangnya.

Dalam diam, Sha menghelakan keluhan panjang. Sejak pergaduhan kecil pagi tadi, mereka masih belum bertegur sapa. Jika terserempak pun, masing-masing hanya jeling-menjeling dan buat-buat tak nampak.

Biarlah! Sha juga malas mahu menegur sekiranya lelaki itu juga tetap dengan egonya. Dan Sha juga tidak mahu mengalah, melainkan lelaki itu yang terlebih dahulu mengalah dengannya.

Ternampak kelibat Syamel yang termengah-mengah di hadapan pintu kelas, Sha mengukirkan senyuman. Isyarat tangan dibuat supaya Syamel datang dan duduk di kerusi kosong bersebelahan dengannya.

“Kenapa kau lambat?” tegur Sha sebaik sahaja Syamel melabuhkan duduk di sisinya.

“Sakit perut. Aku cari toilet dulu tadi. Nasib baik kau simpan kerusi ni untuk aku. Kalau tak, kena duduk belakang. Tak naklah aku.”

Sha senyum.

“Selalunya, kau yang tolong cup kerusi untuk aku. Kali ini giliran akulah pula.”

Anyway, thank you so much.”

“Sama-sama.” Sha menjawab. Namun, anak matanya kembali dijelingkan ke arah pintu belakang. Berkerut dahinya sekejap. Kelibat Arshad tiada lagi di situ.

Ke mana pula dia pergi? Jangan cakap dia tak nak join perjumpaan ini sudahlah.

Baru sahaja Sha kembali menoleh ke arah Syamel, tiba-tiba sahaja bahunya dicuit dari arah belakang. Sha menoleh. Bulat anak matanya apabila terpandangkan seraut wajah yang cukup dikenalinya sedang tersenyum sambil menongkat dagu di atas meja di belakang kerusinya.

“Kau cari aku ke?”

Soalan itu membuatkan wajah Sha mula membahang kepanasan. Malu apabila terkantoi dengan lelaki itu. Sudahnya Sha buat-buat tak dengar sambil memusingkan kembali kepalanya ke hadapan.

Apabila anak matanya bertembung pandang dengan sepasang anak mata Syamel, lelaki itu sudah tersengih-sengih. Sha mengerutkan dahi.

“Jangan cakap yang kau dah berpakat dengan dia?” bisik Sha perlahan.

Syamel sekadar menjongketkan kedua-dua belah bahunya.

Belum sempat Sha bertanya banyak, belakang bahunya dicuit lagi oleh jemari seseorang. Kali ini Sha mengetap bibir. Malas sungguh mahu berpaling.

“Kau memang cari aku, kan?”

Soalan yang sama kedengaran lagi walaupun Sha tidak menoleh ke belakang.

“Kenapa kau tak jawab?” Syamel pula yang mengusik.

Usikan Syamel menambahkan lagi perasaan malunya. Laju sahaja cubitan tangan kanan Sha singgah di bahu Syamel.

Belum sempat Sha melancarkan serangan lagi, kelibat Cikgu Ayu sudah muncul di muka pintu kelas itu. Suasana yang riuh pada awalnya mula tenang.

Apabila Cikgu Ayu memulakan hujah, Sha sudah mula menguap. Mengantuk! Apatah lagi dengan suasana petang yang panas begini.

Beberapa kali menguap, belakang bahunya dicuit lagi. Sha mengetap bibir sebelum menoleh ke belakang. Anak matanya dikecilkan sambil membuat isyarat supaya lelaki itu tidak membuat bising.

“Jangan menguap luas sangat. Tutup mulut tu,” bisik lelaki itu perlahan.

“Dah tutuplah!” Sha juga bersuara perlahan.

“Arshad… Hasha…”

Apabila kedua-dua nama mereka disebut oleh Cikgu Ayu, Sha dan Arshad masing-masing kelihatan tersentak. Tidak tahu topik apa yang telah dibincang memandangkan mereka sibuk berbual.

Sha menjeling sekilas ke arah Syamel, mengharapkan Syamel akan memberikan hint kepadanya.

“Pasal perkhemahan minggu depan,” bisik Syamel perlahan.

“Undian sudah dibuat. Majoriti memilih Arshad sebagai ketua program perkhemahan untuk persatuan kita. Manakala Hasha pula sebagai penolong,” jelas Cikgu Ayu lagi.

“Hah?” Serentak Sha dan Arshad saling bersuara. Kemudian Sha kembali menoleh ke belakang. Anak mata mereka saling bersabung pandang seketika.

“Ada bantahan ke?”

Sebaik sahaja soalan itu diajukan oleh Cikgu Ayu, Sha pantas mengangkat tangan.

“Saya membantah.”

Jawapan Sha membuatkan beberapa pasang anak mata tertumpu ke arahnya. Ada juga suara-suara pelajar yang berbisik sesama sendiri.

“Kamu ada masalah ke, Hasha?” tanya Cikgu Ayu lagi.

Sha meneguk liur perlahan.

“Kalau dia, saya tak kesah jadi ketua.” Sempat ibu jarinya dihalakan ke belakang.

“Tapi saya tak nak jadi penolong.”

“Kenapa pula?”

Errr… Saya tak ada bakat untuk menjadi seorang pemimpin, cikgu. Apatah lagi untuk menjadi penolong dalam program ini. Lagipun saya ni junior. Sepatutnya yang jadi penolong adalah senior macam Arshad. Saya rasa lebih elok penolong dipilih dari kalangan pelajar tingkatan lima juga.”

“Cikgu bersetuju untuk pilih kamu kerana undian, Hasha. Lagipun memang junior kena belajar dengan senior, kan?”

Sha menggaru kepala yang tidak gatal.

“Saya tak yakin untuk memikul tanggungjawab bagi menguruskan persatuan kita.” Sha merendah diri. Takut apabila diberikan tanggungjawab yang besar.

Giliran Arshad pula yang mengangkat tangan.

Serentak, anak mata Sha dan Cikgu Ayu beralih ke arah Arshad.

“Saya juga tak nak jadi ketua sekiranya Sha tidak bersetuju untuk menjadi penolong.”

Sha mengetap bibir kuat. Anak matanya dijegilkan kepada Arshad. Tangan kanannya pula mencuit bahu Syamel, mengharapkan semoga lelaki itu akan berpihak kepadanya

Syamel pula hanya menjongketkan bahu.

“Hasha… Keputusan di tangan kamu sekarang ni.”

Suara Cikgu Ayu kedengaran lagi. Sungguh, semua ini membuatkan Sha rasa serba salah. Sakit hati pun ada juga. Sakit hati sebab lelaki di belakangnya ini boleh pula buat kenyataan seperti itu.

Apa pilihan yang Sha ada sekarang ini?

PROGRAM perkhemahan yang dirancang akhirnya dapat dilaksanakan juga. Tiba di tapak perkhemahan ini, sejuta ketenangan datang menjengah. Hilang segala penat lelah otak kecil yang asyik menghadap buku pelajaran.

Sungguh, suasana di kawasan perkhemahan ini benar-benar mendamaikan. Kicauan burung dan unggas berlagu indah. Manakala bunyi air terjun yang menderu juga benar-benar mendamaikan jiwa. Persekitaran yang dipenuhi dengan kehijauan daun pokok juga mampu menyejukkan mata.

Mendirikan khemah adalah perkara yang agak sukar untuk dilakukan. Berpeluh-peluh dibuatnya. Mujurlah ada Imran dan Fatin. Mereka dapat melakukan tugas mendirikan khemah dengan cekap.

Ekin pula memang tak pandai pasal tu. Anak orang kaya, tak pernah buat kerja berat. Memang agak sukar bagi Ekin untuk melakukan kerja-kerja berat. Nak harapkan seorang lagi ahli kumpulan yang sama dengan mereka, memang taklah. Lelaki itu lebih rela berdiri tercegat sambil memerhati macam pengawal keselamatan.

Macam itu ke gaya seorang ketua? Tak boleh harap langsung! gumam Sha dalam hati.

“Kau tengok apa? Tolonglah!” marah Sha apabila Arshad hanya tersenyum-senyum memandangnya.

“Jangan-jangan kau memang tak pandai buat kerja-kerja macam ni? Tapi bukan ke kau salah seorang daripada ahli Persatuan Pengakap? Setiap ahli pengakap sepatutnya pandai buat perkara macam ni kan, Imran?” perli Sha sambil bertanya kepada Imran.

Imran hanya mengangguk sambil mengikat tali di sisi khemah yang didirikan.

“Bukan khemah aku pun.” Selamba pula jawapan Arshad.

“Hoi, pak cik! Kau tu ketua program. Macam juga raja yang kena lindungi rakyat jelata. Apa kata kau pergi tolong orang lain dirikan khemah? Ada juga faedahnya,” perli Sha lagi.

Ekin yang menjadi pemerhati hanya mengeluh sambil menggelengkan kepala.

Sudahnya, suasana tiba-tiba sunyi tanpa sepatah suara. Dalam keadaan sunyi itu, kedua-dua khemah untuk kumpulan mereka berjaya didirikan.

Anak mata Sha tercari-cari kelibat seseorang. Apabila terpandangkan tubuh yang terbongkok-bongkok sedang mendiri khemah selang beberapa tapak dari tapak khemah mereka, Sha tersenyum.

Tadi Sha nampak Arshad tolong mendirikan khemah kumpulan Azlin. Selepas itu, Arshad tolong mendirikan khemah kumpulan Syafiq. Sekarang lelaki itu tengah tolong dirikan khemah untuk kumpulan Zahra pula.

Dalam diam Sha mencebik. Boleh pun buat. Tolong kumpulan orang lain boleh. Tapi tolong kumpulan sendiri tak boleh pula. Haih, nasiblah dapat ahli kumpulan yang macam tu.

“Kau tengok apa?” tegur Syamel sambil menyiku perlahan lengan Sha.

Sha menoleh sekilas lalu ke sisi. Entah bila masa Syamel muncul di sisinya, Sha tidak tahu.

“Tengok ketua program ni. Bagus juga pilih dia sebagai ketua, kan? Tengok tu! Sampai berpeluh-peluh.”

Syamel tiba-tiba ketawa.

“Kaulah! Sebab kau perli dia tadi, barulah dia tunjukkan kelebihan dia.”

“Kau dengar ke?”

“Mana tak dengarnya? Aku tengah dirikan khemah sebelah khemah kumpulan kau tadi.”

Sha senyum. Dalam diam, dia mengakui kata-kata Syamel. Arshad bukan tak pandai, tapi dia saja tunjuk tak pandai.

WAKTU rehat, sementara menanti waktu memasak dan makan tengah hari, Sha lepak di tepi air terjun. Kaki dilunjurkan ke dalam air. Membiarkan sahaja air yang sejuk itu menyentuh kulit kakinya.

Jernihnya air terjun ini sehingga mampu membuatkan anak mata melihat sampai ke dasarnya. Melihat anak-anak ikan yang sedang menghampiri kakinya, Sha rasa geram nak tangkap anak ikan itu.

Kepala ditundukkan sambil tangan cuba menangkap beberapa ekor anak ikan. Namun, sebaik sahaja tangannya dimasukkan ke dalam air, bertempiaran anak-anak ikan itu melarikan diri.

Haih, susah betul! Bila orang nak tangkap, sibuk lari. Bila orang buat tak tahu, datang dekat dengan kita pula,” bebel Sha perlahan.

“Jangan terjun kat dalam air tu. Belum masa untuk mandi lagi.”

Teguran seseorang membuatkan Sha berpaling. Sempat dia mencemikkan muka.

“Bukan nak terjunlah. Ada anak ikan.”

Arshad menghamburkan ketawa.

“Kau ingat kau boleh tangkap ikan tu guna tangan? Jangan mimpilah, Sha oi!”

“Suka hati akulah!” Sha menjawab malas sambil kakinya dimainkan di dalam air, mengusik anak-anak ikan yang datang menghampiri kakinya. Senyuman terlakar di wajah apabila melihat anak-anak ikan itu lari lintang-pukang.

Kepala ditoleh ke sisi sebaik sahaja Arshad melabuhkan duduk di atas batu yang bersebelahan dengannya.

“Kau suka tempat ni, Shad?” tanya Sha perlahan.

“Suka.” Sepatah jawapan Arshad.

“Kau?”

“Tentulah suka. Aku suka tempat yang mendamaikan macam ni.”

Suasana antara mereka sunyi sekejap. Masing-masing sedang menghayati indahnya ciptaan Yang Maha Esa.

“Petang nanti ada kembara, kan? Lepas tu sambung balik kembara lepas isyak, kan?” tanya Sha selepas beberapa minit mereka saling mendiamkan diri.

Hmmm…” Sepatah jawapan Arshad.

“Aku risaulah.”

Arshad menoleh sekilas lalu ke sisinya.

“Aku betul-betul risau, Shad.” Sha meluahkan lagi kerisauannya kepada lelaki di sisinya.

“Aku tahu apa sebenarnya yang kau nak cakap. Tak payahlah risau lagi, Sha.”

Kepala ditoleh apabila mendengar suara dingin itu. Beberapa saat, anak mata mereka saling bersabung pandang.

“Tak payah risau kau kata? Kau ingat pikul tanggungjawab ni mudah macam main batu seremban? Macam mana kalau melibatkan nyawa orang? Kat dalam hutan ni, macam-macam binatang yang ada. Bahaya ada di kiri dan kanan tau?” luah Sha lagi.

“Aku kan ada. Sebagai ketua, aku akan tolong kau. Kata Cikgu Ayu, senior patut ajar junior.”

Selamba jawapan lelaki itu membuatkan dahi Sha berkerut seribu.

“Yalah sangat! Kau tu bukan boleh berkira sangat. Dengan orang lain, bukan main lagi kau tunjuk baik. Kalau dengan aku, agaknya kau langsung tak peduli.”

“Kenapa kau cakap macam tu?” tanya Arshad selepas menghamburkan ketawa kecil.

“Saja.”

“Hesy, kau ni! Kau kan suka aku. Mestilah aku akan jaga kau lebih baik berbanding orang lain.”

Sha membulatkan mata sambil memandang wajah lelaki itu.

“Aku tak suka kaulah!”

“Tipu! Tak baik menipu. Nanti dapat satu lagi tiket ke neraka.”

Bibir diketap geram. Macam pernah kudengar ayat tu! Kemudian, Sha mencebik kecil.

“Sedap betul kau perli aku!”

“Aku bukan perli. Tapi aku nakkan kepastian. Kau suka aku, kan?” tanya Arshad lagi.

“Sudahlah! Daripada melayan kau merepek, lebih baik aku pergi cari kayu api.” Tidak menjawab soalan lelaki itu, Sha terus bangun dari duduknya.

“Aku ikut kau, ya?”

“Aku pergi dengan Syamel,” jawab Sha sambil meniti batu-batu besar itu dengan penuh berhati-hati.

“Aku dah bagi tahu Syamel yang aku nak gantikan tempat dia.”

Kali ini langkah Sha terhenti. Kepala ditoleh ke belakang bersama kerutan yang jelas tergambar di wajahnya.

“Kau ni dah kenapa?”

“Tak ada apa-apa,” jawab Arshad sambil menjongketkan kedua-dua belah bahunya.

“Sebenarnya, aku yang sukakan kau ataupun kau yang sukakan aku?” Sha memulangkan paku buah keras. Sambil itu langkah kakinya diteruskan lagi.

Arshad senyum. Lebar senyumannya tanpa memberikan apa-apa jawapan kepada persoalan Sha sebentar tadi.

“Kau sukakan aku, Shad?” tanya Sha lagi. Namun, tiada reaksi dari arah belakang. Setelah sampai ke tepi tebing, Sha kembali menoleh ke belakang. Kelibat Arshad sudah hilang. Entah ke mana perginya, Sha tidak tahu.

Sudahnya, Sha terus menyarungkan selipar lalu kembali mengatur langkah. Baru setapak kakinya menapak, tiba-tiba dia disapa dengan satu sergahan kuat.

“Mak!” jerit Sha sambil menutup muka dengan kedua-dua belah tapak tangan. Sha berkira-kira mahu menjerit meminta tolong. Tetapi telinganya sempat menangkap satu ledakan ketawa yang kuat.

Tapak tangan dialihkan sambil anak mata mencari seraut wajah. Bulat anak matanya apabila melihat kelibat Arshad sedang berdiri di hadapannya sambil ketawa mengalahkan puntianak.

“Kau ni! Terkejut tahu tak?” jerkah Sha sambil mencapai selipar di kaki kanannya. Tidak menunggu lama, dia terus menampar bahu Arshad dengan menggunakan selipar yang dipegangnya.

“Weh, sakitlah!” Mati ketawa Arshad, kemudian diganti pula dengan wajah yang menyeringai kesakitan.

“Padan muka! Kau main-main lagi kat dalam hutan ni!” Giliran Sha pula yang menghamburkan ketawa.

Tidak jadi mencari kayu api, berlaku pula adegan kejar-mengejar di kawasan khemah ini. Sha mengejar langkah Arshad sambil memegang sebelah seliparnya. Arshad pula lari bertempiaran kerana bimbang dibelasah dengan selipar.

Sudahnya, mereka ditegur oleh Cikgu Ayu. Kedua-duanya dikenakan denda dan ditolak markah. Itulah, tak ada hal pergi cari hal. Kan dah kena tolak markah.

PERJALANAN program kembara team building cukup memenatkan. Setiap kumpulan akan berpecah untuk mencari check point masing-masing. Tetapi perjalanan kumpulan Sha agak lambat dan memenatkan.

Apatah lagi ahli kumpulan mereka terdiri daripada dua orang jejaka yang kuat perasan. Arshad dan juga Imran. Sha dan Syamel terpaksa berpisah memandangkan undian tidak berpihak kepada Syamel.

Yang buat Sha menyampah, entah kebetulan apa yang membawa Sha ke kumpulan yang sama dengan Arshad. Sudahlah Sha seorang sahaja yang paling junior di dalam kumpulan mereka.

Ekin dan Arshad adalah senior di tingkatan lima. Manakala Imran dan Fatin pula adalah senior di tingkatan empat. Dan Sha pula seorang diri junior di tingkatan tiga. Berbeza dengan Syamel yang satu kumpulan dengan salah seorang daripada rakan satu kelas mereka.

Perjalanan mereka semakin memenatkan apabila Ekin juga menjadi salah seorang daripada ahli kumpulan mereka. Ekin memang ahli kumpulan yang senior. Tetapi Ekin memang tak boleh buat kerja berat. Apatah lagi sikapnya sejak azali lagi memang manja dan kebudak-budakan.

Kesian juga Sha melihat keadaan Ekin. Kerana itu mereka kerap kali berhenti dan tertinggal jauh dari kumpulan yang lain. Fatin pula tak kesah sangat. Dia dah biasa dengan kerja lasak. Jadi, Fatin tak cepat penat macam Sha dan Ekin.

Arshad pula, berjalan laju bukan main lagi. Mujurlah ada Imran yang selalu membantu di belakang mereka.

“Kau ni, lembiklah!” tegur Arshad sambil meledakkan ketawa.

Mendengar ketawa lelaki itu, Sha terus mendongak lalu mengecilkan anak mata.

“Aku bukan lembik. Tapi penat! Kau faham tak penat tu apa?” bebel Sha sambil langkah kakinya diteruskan mendaki bukit itu.

Ini merupakan kali pertama Sha melakukan aktiviti mendaki bukit. Bukit ini pula agak tinggi. Ada juga laluan yang curam dan menakutkan. Memang cukup memenatkan.

“Ekin… Kau okey tak?”

Sha menoleh ke belakang apabila Arshad mengajukan soalan itu kepada Ekin yang termengah-mengah di belakang Sha.

Kalau Sha sekali penat, sudah tentu Ekin berkali-kali penatnya. Apatah lagi Ekin tak pernah melakukan aktiviti seperti ini. Tengok sajalah muka dia tu. Dah merah padam. Tuala kecil yang dipegang pula sudah boleh diperah akibat terlalu banyak berpeluh.

“Pe… Penat…” Termengah-mengah Ekin menjawab.

Timbul rasa kesian dalam hati Sha. Baru sahaja Sha ingin menghulurkan tangan untuk membantu Ekin, tiba-tiba sahaja sebatang kayu muncul di sisinya. Sha menoleh. Berkerut dahinya memandang tingkah Arshad.

“Ekin… Kau pegang kayu tu. Pegang kuat-kuat. Aku nak tarik kau ni,” arah Arshad lagi.

Sha memandang dua wajah itu silih berganti. Amboi, bukan main lagi? Tak ada pun cakap nak tolong aku?

Sekali tarik sahaja, Ekin sudah berjaya naik ke atas. Manakala Fatin pula dengan mudahnya dapat melangkah ke atas.

Terkial-kial Sha mengatur langkah apabila dia tidak dibantu oleh Arshad. Sudahnya, Imran yang menghulurkan tangan untuk membantunya.

Kerana kejadian itu, Sha melancarkan perang dingin. Sepatah yang ditanya oleh Arshad, sepatah juga yang dijawabnya. Sha lebih rela berbual dengan Imran berbanding Arshad.

Bukanlah Sha cemburukan Ekin atau sesiapa. Namun, Sha geram apabila Arshad sedikit pun tidak mempedulikan dia sepanjang perjalanan kembara di dalam hutan ini. Sebab itulah Sha melancarkan perang dingin.

Ketika mereka berehat sekejap di tepi air terjun, Sha berterusan mendiamkan diri. Namun, telinganya masih lagi mendengar apa yang sedang diterangkan oleh Arshad tentang perjalanan mereka seterusnya.

“Hasha Ezzrina!”

Terkejut Sha apabila suara lantang itu menyebut nama penuhnya. Kepala didongak mencari sepasang anak mata yang menyebut namanya. Bibir diketap geram.

“Terjerit-jerit! Aku tak pekaklah!”

“Kalau kau tak pekak, boleh tak kau dengar arahan aku?” marah Arshad lagi.

“Aku tengah dengarlah ni!”

“Tengah dengar apa macam tu? Tolong tumpukan sikit perhatian kau tu. Kau ingat kawasan hutan ni macam kat kampung kau ke? Ingat, kita ni kerja dalam satu kumpulan. Kena saling tolong-menolong. Yang kau buat hal sendiri tu, kenapa?”

“Bila masa pula aku buat hal sendiri?” balas Sha kembali. Sakit hatinya apabila dituduh begitu.

“Tadi kau…”

“Shad… Sha… Sudahlah. Tak payah bergaduh. Kat dalam hutan ni,” tegur Imran apabila perang mulut antara Sha dan Arshad semakin menjadi-jadi.

Sha memandang wajah Imran sekilas lalu. Sempat juga anak matanya singgah ke wajah Ekin dan Fatin yang hanya diam dan memerhati. Arshad pula sudah menarik muka masam. Tegang betul air muka dia.

Nafas dihelakan panjang sebelum mengalihkan pandangan matanya. Kalaulah tak fikir tempat ini hutan, nak saja aku baling kasut ni ke muka dia. Bercakap tu tak bertapis langsung. Main tuduh saja, gumam hati kecil Sha lagi.

“Rasanya kita dah boleh teruskan perjalanan sekarang. Kita kena sampai ke check point kelima sebelum pukul enam petang.” Imran bersuara dan cuba menjernihkan keadaan.

Sudahnya, mereka hanya menurut dan memulakan kembali perjalanan yang terhenti.

KETIKA mereka melalui lereng bukit yang berhampiran dengan kawasan air terjun, tiba-tiba sahaja mereka diserang oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali.

Arshad bertindak sebagai ketua dan cuba sedaya-upaya untuk menyelamatkan rakan sekumpulan. Imran juga begitu. Fikir mereka, itu adalah salah satu ujian untuk sampai ke check point seterusnya. Tetapi yang berlaku adalah di sebaliknya.

Pergaduhan berlaku. Tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk mula menjadi serius. Dan secara tidak sengaja, Ekin tersilap langkah dan tergelincir. Namun, Ekin tidak keseorangan. Dia sempat menarik kaki Sha. Tidak dapat menyeimbangkan badan, Sha turut sama tertarik ke lereng bukit.

Tangan Sha cuba mencapai tangan Imran, namun tidak berjaya apabila tangannya disepak oleh kaki lelaki yang tidak dikenalinya itu. Sha dapat mendengar suara Arshad yang melaungkan namanya. Namun, Sha tidak tahu Arshad di mana. Perkara terakhir yang Sha sempat nampak adalah Fatin yang sedang diserang oleh seorang lelaki.

Sudahnya, Sha dan Ekin sama-sama tergolek sampai ke kaki bukit.

Sakit! Itu yang Sha rasakan di seluruh badannya. Kepala mula terasa pening dan berdenyut kerana terlanggar batu ketika terjatuh tadi. Belakang leher yang juga terasa sakit dipicit perlahan. Namun, Sha menggagahkan diri untuk terus bertahan.

Sebaik sahaja membuka kelopak matanya, Sha tidak nampak sesiapa. Suara rakan-rakannya juga tidak didengari di mana-mana. Pantas Sha bingkas bangun. Orang pertama yang dicari adalah Ekin.

Di sebalik daun-daun kering, Sha nampak Ekin yang tertiarap di situ. Laju Sha bangun lalu menghampiri Ekin.

“Ekin… Kau okey tak?”

Esak tangis Ekin jelas kedengaran.

“Sakit…” adu Ekin sambil cuba bangun.

Walaupun seluruh tubuhnya juga terasa sakit, Sha cuba membantu Ekin supaya duduk dengan baik. Sayu hatinya melihat seraut wajah cantik Ekin yang mula dicemari dengan luka dan calar halus.

Ketika Sha melabuhkan duduk di sisi Ekin, anak matanya terpandangkan darah pekat yang mengalir di lengan Ekin. Sha mula panik. Namun dia masih boleh berfikir dengan baik. Tuala kecil di dalam poket seluarnya dikeluarkan lalu membalut lengan Ekin.

“Sakit, Sha…” adu Ekin lagi.

“Kau tahanlah sikit.”

“Aku takut…” Suara Ekin kedengaran menggigil.

Sha memandang wajah Ekin. Jelas seraut wajah itu kelihatan pucat. Sejujurnya, Sha juga diterpa perasaan takut. Tetapi dia cuba berlagak tenang di hadapan Ekin. Bimbang sekiranya dia menunjukkan ketakutan, Ekin akan bertambah takut.

“Kau janganlah takut. Aku yakin, cikgu akan datang cari kita kat sini,” pujuk Sha umpama seorang adik yang sedang memujuk kakaknya.

“Betul ke, Sha?” tanya Ekin lagi.

“Ya, betul. Kau bertahanlah sikit.” Sha memandang sekeliling yang cukup asing. Seram sejuk rasanya. Namun, perasaan seram sejuk itu hilang sebaik sahaja melihat Ekin memicit kakinya.

“Kaki kau kenapa? Terseliuh ke?”

“Aku rasa terseliuh. Sakit sangat ni.”

Kepala digaru perlahan. Buntu otak kecilnya memikirkan cara untuk membantu Ekin.

“Aku minta maaf, Ekin. Tapi bab seliuh ni memang aku tak pandai.”

“Sha…” panggil Ekin perlahan.

Tidak menjawab, Sha hanya menjongketkan kening sebagai pertanyaan.

“Aku haus.”

Sha menghelakan nafas panjang. Ekin ni, orang tengah takut dia boleh lagi bagi tahu dia haus. Dia ingat dia seorang saja ke yang haus? gumam Sha dalam hati.

Wajah Ekin dipandang lama. Sudah berserabai rambut Ekin. Tudungnya sudah ditanggalkan sebentar tadi.

Tidak sampai hati melihat Ekin yang asyik meneguk liur, Sha mengalah juga. Segala ketakutan cuba dihalau pergi. Sedikit keberanian digenggam kemas. Hati hanya mampu berdoa semoga keadaan akan baik-baik sahaja.

“Kau tunggu kat sini. Aku pergi cari air.” Sha tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan. Memang dia ada mendengar deruan air terjun. Tetapi dia tidak tahu jalan mana yang harus dilaluinya. Bimbang juga sekiranya dia akan tersesat dan terpisah dengan Ekin di dalam hutan ini.

“Aku ikut kau, ya?” Sempat Ekin mencapai pergelangan tangan Sha.

“Tapi kaki kau terseliuh. Aku takut kesakitan pada kaki kau tu akan melarat.”

“Aku takut…”

“Kau janganlah takut. Cuba kau dengar. Bunyi deruan air, kan? Aku rasa kita tak jauh dari kawasan air terjun tempat kita berhenti rehat tadi. Mungkin kawan-kawan kita ada dekat kawasan ini juga.” Sha cuba memujuk dengan harapan semoga Ekin akan rasa selamat. Padahal, dia tak tahu pun tempat ini kat mana.

Ekin mengangguk perlahan.

“Tapi…”

“Aku janji, aku pergi tak lama.”

“Betul ni?” tanya Ekin lagi.

“Ya, betul. Tapi kau kena janji yang kau tak akan ke mana-mana. Aku bawa kau duduk kat bawah pokok tu. Kalau ada orang yang kau tak kenal datang, kau menyorok bawah daun besar tu, ya?” Berat juga hati Sha mahu meninggalkan Ekin. Tetapi Sha juga kesian apabila melihat Ekin yang jelas kelihatan kehausan.

Puas memujuk, barulah Ekin bersetuju dengan cadangan Sha.

Dengan hati yang berat, dengan penuh debaran di dalam dada, Sha menggenggam keberanian untuk menghampiri deruan air terjun. Hati kecil tidak berhenti berdoa semoga dia dan Ekin akan terselamat dan tidak ditemui oleh penjahat yang tidak dikenali mereka tadi.