Saka Tok Wan

RM25.00

Penulis: Suhailah Selamat

Caption: jasadnya telah terkubur, sakanya kembali memburu pewaris

ISBN: 978-967-406-274-3

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 25.00 RM 28.00

Hanya kerana sekeping wasiat yang ditinggalkan oleh DATO ZARITH a.k.a tok wan, Aryssa dan Aiman diberi tempoh sebulan untuk bernikah. Seterusnya, perkahwinan tersebut tidak boleh dibubarkan dalam tempoh 5 tahun jika Aiman tidak mahu kelayakannya sebagai pewaris bakal dilucutkan.

“Eh, kenapa tok wan nak libatkan saya dalam hal ni? Kenapa pula saya mesti kahwin dengan dia? Tak fahamlah!” – ARYSSA

“Maaflah, itu saya tak tahu. Hal-hal sebegini arwah tak pula beritahu saya. Tugas saya hanyalah melaksanakan apa yang sepatutnya. Hal yang saya tak patut masuk campur, saya tak akan langgar.” – ENCIK KAMAL

Akhirnya, Aryssa mengalah. Aiman yang disangkakan lelaki pendiam rupa-rupanya kuat mengusik! Tanpa Aryssa sedari, DATIN AINA yang merupakan pewaris saka tok wan, mula merancang sesuatu agar perkahwinan mereka bakal membuahkan benih keturunannya. Keturunan yang bakal mewarisi saka tok wan! Dalam diam, Aryssa telah ditundukkan dengan ilmu batinnya supaya gadis itu dengan ‘rela’ hati menyerahkan diri pada Aiman.

Konflik mula timbul tatkala satu demi satu ahli keluarga Dato Zarith dibunuh secara misteri. Pada saat mereka mahu mengecap bahagia, Aryssa mula mengesyaki akan penglibatan Aiman dalam pembunuhan tersebut. Hanya dengan berdasarkan satu bukti. Bukti apakah yang dimaksudkan? Lebih mengejutkan, mungkin juga Aiman merupakan pewaris saka tok wan! Selami keseraman karya pertama daripada Suhailah Selamat ini. Anda pasti meremang!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“Esok pagi-pagi lagi kita akan bertolak ke rumah agam tok wan. Jadi, malam ni ayah nak Alyssa dan Aryssa kemas baju dan barang-barang lain yang hendak di bawa. Ayah tak nak nanti bila kita nak gerak, adalah yang masih terhegeh-hegeh,” beritahu Dato Sufian tegas.

Membuntang mata Aryssa sambil memandang ke arah Dato Sufian. Dia mana ada masa untuk ke sana! Pagi-pagi lagi Aryssa telah bercadang untuk ke perpustakaan bagi menyiapkan tugasan-tugasannya yang telah lama tertangguh. Ada-ada ajelah, rungutnya dalam hati. Dengan satu tarikan nafas yang panjang, Aryssa cuba memberanikan dirinya untuk menolak ajakkan ayahnya yang langsung tak kena masa dan tempat.

“Ayah, Ryss minta maaf. Tapi, esok Ryss tak boleh nak ikut! Ryssa dah rancang nak…” Belum sempat Aryssa menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba Dato Sufian terus menghentak meja makan dengan kuat. Masing-masing terkedu dengan tindakan Dato Sufian. Aryssa tertunduk ke bawah tatkala merasakan pandangan mata Dato Sufian yang terlalu tajam terhadapnya.

Tanpa menunggu lebih lama, Dato Sufian bangun lalu bergegas keluar tanpa meninggalkan sepatah kata. Datin Aina yang sejak tadi mendiamkan diri turut bangun sambil membawa beg bimbit suaminya.

“Kau ni, Ryss. Tak faham-faham lagi ke dengan perangai ayah tu? Lain kali ikut ajelah apa yang dia suruh. Tak habis-habis buat ayah marah,” bebel Alyssa yang merupakan kakak kembarnya. Kelahiran mereka hanya berbeza dua minit sahaja. Namun, personaliti dan perwatakan mereka agak berbeza sehinggakan ada yang tidak percaya ketika mengetahui mereka adalah saudara kembar.

Aryssa tidak menjawab. Nasi goreng di atas pinggannya tidak dihabiskan. Beg tangannya dicapai lalu dengan pantas langkahnya diatur menuju ke luar. Aryssa sedikit terasa dengan sikap Alyssa yang langsung tidak membantu menenangkannya malah semakin menyakitkan hatinya adalah! Sejak kecil lagi sememangnya mereka tidak pernah serasi antara satu sama lain. Aryssa sendiri tidak pasti apakah punca mereka tidak pernah ngam. Mungkinkah sebab wajah mereka yang agak berbeza?

Aryssa sempat melemparkan segaris senyuman ke arah pemandu barunya, Aiman. Namun, lelaki itu hanya membalas dengan jelingan yang tajam. Sombong! getusnya dalam hati.

“Cik Aryssa nak saya jemput pukul berapa hari ni?” soal Aiman perlahan. Sesekali dia memandang ke cermin kereta belakang untuk melihat Aryssa yang sejak tadi tak habis-habis menyapu bedak kompak di wajahnya.

“Pukul 6.00 petang. Depan perpustakaan, ya. Macam biasa.”

“Baiklah,” balas Aiman tanpa banyak soal. Bukan bidang tugasnya untuk menjadi penyiasat tak rasmi anak majikannya itu untuk bertanya lebih daripada jawapan yang diberikan.

Setelah kereta yang dipandu Aiman meluncur pergi meninggalkannya di hadapan tempat menunggu bas, Fiza terus menyerbunya sambil tersengih-sengih. Adalah modalnya nak mengusik tu, bisik Aryssa dalam hati.

“Siapa mamat tu? Kacak betul! Kenalkanlah dekat aku.”

“Entahlah, Fiza. Aku sendiri pun tak kenal sangat sebab dia pemandu baru. Kalau tak silap dia mula kerja minggu lepas.”

“Kedekut! Setakat aku minta nombor telefon dia pun kau tak nak beri. Nak simpan sorang-sorang ajelah tu,” usik Fiza dengan senyuman nakal mula terukir di bibirnya.

“Dah! Kelas nak mula sekejap lagi. Lebih baik kita gerak cepat,” marah Aryssa. Dia kurang gemar sekiranya terlewat masuk ke dalam kuliah biarpun ada antara pensyarah yang mengajarnya tidak berapa kesah akan hal tersebut.

Sebaik sahaja kelasnya tama, Aryssa terus bergegas ke perpustakaan bagi mendapatkan tempat yang lebih strategi. Dia perlu membereskan tugasan-tugasan yang telah diberikan oleh pensyarahnya, kerana keesokan harinya dia perlu ke rumah agam tok wan dan minggu depan merupakan minggu untuk ulang kaji pelajaran sebelum peperiksaan bermula. Silapnya juga kerana bermalas-malasan dalam menyiapkan tugasan yang telah lama diberi. Tiba-tiba Aryssa merasakan begitu cepat masa berlalu. Sedar tak sedar, dia kini sudah berada di tahun akhir pengajiannya di sebuah universiti tempatan.

Aryssa tidak sedar yang hari sudah semakin menghampiri senja. Disebabkan Aryssa datang bulan, jadi tidak menjadi masalah kepadanya untuk duduk di situ lama-lama. Bunyi nada dering handphonenya benar-benar membuatkan pensil yang sedang dipegang oleh Aryssa hampir terlepas. Kelam-kabut dia mengambil pensel di bawah meja sambil tangannya yang sebelah lagi memegang handphone untuk menjawab panggilan tersebut.

Hello.”

“Cik Aryssa dekat mana sekarang ni? Saya dah lama tunggu ni!” Begitu keras kedengaran suara Aiman di talian ketika ini. Berkerut-kerut dahi Aryssa sambil meneliti skrin handphonenya.

ErrrSorry, Aiman. Saya tak perasan hari dah nak malam. Lima minit lagi saya sampai, ya.” Tergesa-gesa Aryssa mengemas buku-buku yang berterabur di atas meja. Komputer riba dimatikannya lalu dicabut plug pengecas. Baru Aryssa perasan, Fiza yang duduk di hadapannya juga telah lama pulang.

“Bukannya nak beritahu,” rungutnya perlahan. Kakinya semakin laju melangkah tatkala terbayangkan wajah menyinga Aiman. Bukan dia tidak pernah dimarahi oleh lelaki itu sebelum ini. Pernah sahaja tetapi Aryssa tidak mahu terlalu ambil hati. Kalau boleh, dia mahu berbaik-baik dengan Aiman yang akan lama bekerja dengan keluarganya. Pekerja yang sebelum ini berhenti disebabkan tidak tahan dengan sikap baran Dato Sufian. Nasib baiklah Alyssa bukan begitu. Nampak sahaja tegas namun hakikatnya dia seorang yang lemah lembut.

Dari jauh Aryssa sudah nampak kereta Honda Civic berwarna hitam diparkir tepi jalan. Aiman pula sedang bersandar di tepi kereta sambil meneguk air tin. Mata mereka mula bertembung. Aryssa mula berdebar-debar. Takut juga sekiranya dia naik angin sekali lagi. Ketika Aryssa ingin membuka pintu kereta, Aiman menghulurkannya setin air Milo sambil memandang ke tempat lain.

“Terima kasih,” ucap Aryssa perlahan. Bibirnya mula mengukir senyuman. Tersentuh seketika hati perempuannya dengan sikap prihatin Aiman yang kadangkala agak menjengkelkan.

“Kebetulan saya beli lebih tadi. Kalau tak, untuk cik Aryssa memang tak adalalah,” jawabnya sinis.

Tak boleh dibawa bergurau betullah mamat ni! gumamnya dalam hati.

Sebaik kereta Honda Civic memasuki pekarangan rumah, kelihatan Dato Sufian dan Datin Aina sedang memasukkan beg baju ke dalam boot kereta dengan dibantu oleh pembantu rumah, Mak Mah. Alyssa pula sedang leka bermain game di handphonenya. Berkerut-kerut dahi Aryssa seketika.

“Nak ke mana kelam-kabut sangat ni, ma?” tanya Aryssa terhadap Datin Aina. Matanya kelihatan sedikit membengkak seolah-olah baru lepas menangis.

“Tok wan kamu tengah nazak.” Jawapan itu cukup membuatkan Aryssa berasa sedikit gementar. Apa yang paling ditakuti dalam hidupnya pasti akan berlaku dalam keluarga mereka tidak lama lagi. Perlahan-lahan Aryssa mula membayangkan kehidupan yang bakal dilaluinya nanti. Penuh dengan liku-liku!

Kecoh seketika di dalam rumah agam tatkala tok wan yang sedang nazak pagi tadi tiba-tiba sahaja sihat semula. Dengan selamba sahaja dia meminta agar disediakan nasi pulut kuning untuk dijadikan sarapan paginya. Anak-anaknya mula terpinga-pinga dengan keadaannya itu. Namun, mereka tetap menurut kehendak tok wan yang tidaklah berat mana.

“Pelik betullah. Kenapa mak susah sangat nak meninggal. Padahal, malam tadi dah nazak sangat sampai tercungap-cungap mulut orang tua tu aku tengok. Aku bukanlah mengharap mak mati cepat. Tapi, tengoklah badan dia. Kurus kering macam orang tak cukup makan. Seksa sangat aku tengok,” tutur Ridhuan sambil mengunyah karipap panas yang terhidang di atas meja.

“Mungkin betul apa yang orang kampung cakap pasal mak selama ni. Mak memang ada ‘membela’,” sampuk Shahrul. Dia sendiri berasa gerun melihat wajah tok wan yang hanya tinggal tulang rangka. Tulang pipinya telah mula tersembul keluar menyebabkan matanya seolah-olah tersembul keluar.

“Panggillah Ustaz Harun! Apa yang susah sangat,” balas Ridhuan selamba.

“Along dah panggil tempoh hari. Dia tengok aje dah tahu yang kes mak ni memang berat. Belaan mak bukannya sedikit. Tapi banyak! Semua belaannya dah mula minta tuan. Selagi tak dapat, mak susah nak pergi,” terang Pak Long Hakimi. Tak mungkin dia mahu menerima semua belaan tok wan yang sudah tentu akan menyusahkan hidupnya sekeluarga.

Jiran tetangga yang datang mula pulang setelah melihat keadaan tok wan yang sudah sihat semula. Tersengih-sengih orang tua itu tatkala para tetamu menghulurkan tangan untuk menyalaminya. Tidak ada seorang pun antara cucunya yang berani menyalami orang tua itu kecuali Aryssa. Malam tadi, sebaik sahaja sampai di rumah agam dua tingkat tersebut, Aryssa dengan pantas mendapatkan tok wan. Dia langsung tidak mempedulikan tegahan daripada sepupunya agar tidak mendekati tok wan kerana takut ilmunya beralih kepada Aryssa pula. Baginya, itu semua hanya cakap-cakap kosong! Mana mungkin tok wan sanggup membuat perkara-perkara yang syirik.

“Dah besar cucu tok wan. Kamu nak tak ‘terima’ dia sebagai hadiah daripada tok wan, Aryssa?” tanya tok wan dengan nada yang berbisik. Aryssa sedikit terpinga-pinga mendengar kata-kata tok wan. Dia tidak mampu menangkap sebarang maksud yang tersirat di sebalik kata-kata itu. Aryssa sekadar tersenyum.

“Dia bisik apa dengan kau tadi?” soal Alyssa sebaik sahaja mereka keluar dari bilik utama tok wan.

“Tak ada apa.”

“Kalau tok wan nak bagi dekat kau apa-apa, jangan nak memandai terima pula! Saka tu,” tegas Alyssa lagi.

“Yalah.”

Pagi itu, Aryssa bangun agak lewat daripada kebiasaan kerana malam tadi tidurnya agak kurang lena. Dia seperti terdengar suara tok wan memanggil-manggil namanya berulang-ulang kali sehinggakan Aryssa terpaksa menyumbat telinganya dengan earphone. Aryssa sekadar memekakkan telinganya tatkala suara tersebut masih kedengaran disebabkan mana mungkin ada yang berjaga lagi pada waktu-waktu begini. Bulu romanya meremang habis setiap kali dia mendengar suara halus tersebut.

Suasana mula bertukar kecoh tatkala tok wan telah meminta pulut kuningnya disapukan sekali dengan telur ayam kampung secara mentah-mentah. Masing-masing sudah membuat gaya hampir termuntah mendengar permintaan tok wan yang agak tidak masuk dek akal.

“Cepat cari! Perut aku dah lapar sangat ni!” bentak tok wan dengan kasar. Air matanya mula jatuh berjujuran seolah-olah cuba meminta simpati. Datin Aina yang merupakan satu-satunya anak perempuan tok wan perlahan-lahan menghampirinya.

“Mak lapar, ya? Nanti Aina suruh budak-budak ni beli telor ayam,” pujuk Datin Aina sambil tangannya mengelus rambut tok wan yang agak kusut dengan lembut. Mata tok wan yang tersembul mula menatap tajam wajah Datin Aina. Tangannya secara spontan terhenti. Terketar-ketar Datin Aina ketika itu. Namun, bibirnya tetap mengukir senyuman walaupun kelihatan hambar.

“Kau kesian dengan akukan, Aina? Kalau macam tu, nak tak kau terima kalau aku bagi ‘satu’dekat kau?” Garau sahaja kedengaran suara tok wan. Seolah-olah bukan suara itu bukan miliknya ketika ini.

“Mak… Errr… Aina…”

Datin Aina terus ditarik ke belakang oleh Pak Long Hakimi.

“Mak, ni pulut kuning dengan telur ayam kampung seperti yang mak minta. Makanlah cepat nanti perut mak masuk angin.” Tok wan tidak menunggu lama. Dengan pelahapnya, dia meratah pulut kuning tersebut yang telah disalut dengan telur kampung mentah sehinggakan mereka yang setia memerhati dari tepi terus keluar kerana berasa loya.

Pak Long Hakimi memberi isyarat mata kepada Datin Aina agar mengikutnya keluar dari bilik sekarang.

“Kau tak bercadangkan nak terima, Aina?” Begitu keras kedengaran suara Pak Long Hakimi namun nada suaranya tetap perlahan. Tidak mahu ada sesiapa yang terdengar perbualan mereka.

“Along, Aina tengok mak terseksa sangat. Sampai bila kita nak biarkan keadaan dia macam tu? Biarlah kalau Aina yang berkorban,” luah Datin Aina. Nadanya kedengaran begitu kecewa. Bukan dia tidak tahu akan kesahihan berita yang tok wan ada membela sejak dia muda lagi. Mengikut perjanjian yang telah dimerterai oleh nenek moyangnya berpuluh-puluh tahun dahulu, penerima yang hendak menurunkan saka kepada pewarisnya hanya dibenarkan kepada anak bongsunya sahaja. Namun malangnya anak tunggal tidak boleh dijadikan pewaris yang sah. Maka, terseksalah penerima tersebut sehingga ke hujung nafasnya. Sakanya pula merayau-rayau mencari pewaris baru yang juga mempunyai kaitan dengan si penerima.

“Dah bincang dengan Sufian?” Datin Aina tertunduk ke bawah. Perlahan-lahan dia menggeleng kepalanya. Pak Long Hakimi mengeluh perlahan. Aryssa yang sejak tadi mencuri-curi dengar di sebalik pintu bilik mula gelisah. Mana mungkin mama sanggup menyusahkan diri dengan menerima ‘pemberian’ tersebut. Kerana selepas ini dia yang akan menerima padahnya pula!

Tepat jam 10.00 malam tok wan menghembuskan nafasnya di sisi Datin Aina. Teresak-esak dia menangis sambil menggenggam erat tangan tok wan. Mereka yang berada di situ hanya menyangkakan tangisan itu adalah ratapan seorang anak terhadap ibunya yang telah tiada. Namun, hakikatnya tiada sesiapa pun yang tahu kebenaran di sebalik semua ini. Aryssa turut sama menangis dalam diam. Dia tidak mahu menerima nasib yang sama dengan tok wan. Terseksa zahir dan batin sepanjang hidup.

Pelbagai kejadian aneh berlaku sepanjang proses memandikan jenazah tok wan. Baru sahaja Pak Long Hakimi mahu menyiram air di badan tok wan, tiba-tiba sahaja air tersebut bertukar menjadi warna kehitaman yang turut mengeluarkan bau yang agak busuk. Beberapa orang wanita yang merupakan penduduk kampung ada yang termuntah-muntah di situ. Terpaksalah Datin Aina mengambil alih tugas tersebut. Aneh pula tatkala Datin Aina menyentuh sahaja air yang berwarna kehitaman seperti longkang itu, tiba-tiba sahaja airnya bertukar menjadi jernih semula.

Pak Long Hakimi memandang ke arah Datin Aina dengan sebak. Air matanya mengalir sepanjang menguruskan jenazah tok wan sehinggalah selesai. Hati abang mana yang tak sebak jika galang ganti nyawa adiknya sendiri sedang menjadi pertaruhan kini. Semuanya gara-gara kesilapan nenek moyang mereka yang telah melakukan perjanjian dengan syaitan tanpa memikirkan baik buruk daripada tindakan mereka itu terhadap cucu cicit mereka.

Setelah selesai proses pengebumian yang turut dilakukan malam itu juga, Pak Long Hakimi terus mengarahkan agar adik-beradiknya berkumpul di ruang tamu rumah. Sebelum ini, rumah agam yang agak besar tersebut kelihatan begitu berseri-seri. Kini, ia tak ubah seperti rumah hantu yang ditinggalkan oleh arwah tok wan untuk anak-anaknya. Mana taknya, dinding rumah hanya dipenuhi dengan bunga-bunga kemboja yang sengaja diletakkan oleh tok wan semasa dia masih sihat dan kuat lagi. Bertambah pelik apabila bunga tersebut langsung tidak layu walaupun telah lama tergantung di dinding. Bau haruman bunga kemboja hanya menambahkan keseraman rumah agam tersebut yang sudah sedia suram.

“Esok peguam yang tok wan telah lantik untuk menguuskan segala wasiat mengenai harta peninggalannya akan sampai. Jadi, along harap jangan ada sebarang pertelingkahan antara kita disebabkan wasiat tu telah dibuat sendiri oleh Tok Wan tanpa dipengaruhi oleh sesiapa,” terang Pak Long Hakimi sambil merenung satu per satu wajah di hadapannya. Masing-masing mengangguk tanda faham. Cucu-cucu pula dibenarkan ikut serta dalam pertemuan mereka ini. Namun, mereka dilarang untuk menyampuk sebarang perbincangan yang sedang dijalankan antara anak-anak Tok Wan.

“Ada lagi satu yang along nak sampaikan dan ia merupakan amanat daripada tok wan. Along perlu tunaikan amanat tersebut hari ini juga sebab amanat itu terlalu ‘berat’ untuk along simpan lama-lama.” Masing-masing mula saling berbalas pandangan. Tahulah mereka apa yang Pak Long Hakimi sedang maksudkan ketika ini.

“Rantai pusaka ini telah arwah arahkan untuk diberi kepada Datin Aina sebagai anak perempuan tunggalnya. Jadi, jangan ada sesiapa yang membantah sebab bukan along sesuka hati buat keputusan tersebut. Tetapi arwahlah yang buat keputusan itu. Harap-harap semua menghormati keputusan arwah.” Rantai pusaka tersebut mula berpindah tangan sehinggalah ia sampai kepada pemilik barunya. Rantai pusaka yang bertatahkan berlian berwarna merah darah kelihatan bersinar-sinar. Masing-masing kelihatan terpegun dengan kecantikan warnanya.

Sekali lagi, Datin Aina menangis. Bukan kerana dia gembira kerana menerima pemberian mahal daripada tok wan. Tetapi kerana ada ‘tanggungjawab’ baru yang perlu dipikul di bahunya. Aryssa yang duduk di tepi Datin Aina terus memeluknya erat. Dia mengerti akan perasaan mama ketika ini. Suatu hari nanti juga, dalam keterpaksaan Aryssa terpaksa mengambil tindakan seperti itu.

Ketika Aryssa sedang bersiap-siap untuk tidur, tiba-tiba Alyssa menyergahnya dari belakang.

“Kau dah kenapa!” marah Aryssa. Nasib baik juga dia bukan seorang yang kuat melatah. Kalau tidak, laju sahaja kakinya menendang perut Alyssa sehingga jatuh terlentang di atas lantai.

“Janganlah marah, Ryss. Marilah kita duduk dulu,” ajak Alyssa sambil memimpin tangan Alyssa menuju ke katil mereka. Nasib baik juga rumah agam tersebut ada lebih kurang 10 buah bilik. Jadi, masing-masing mendapat bilik sendiri tanpa perlu dikongsi.

“Apa dia, Lyss? Nampak serius sangat muka kau ni.” Muka Aryssa mula berkerut. Dia seakan-akan tahu apa yang Alyssa mahu perkatakan kepadanya. Pelik, kan?

“Kau dengan mama ada sembunyikan sesuatu dari akukan. Lebih baik kau berterus terang dengan aku sajalah daripada main-main sembunyi macam ni.”

Aryssa merenung wajah Alyssa sedalam-dalamnya. Memang hakikat yang sebenarnya mereka langsung tidak mempunyai persefahaman antara satu sama lain. Tetapi, mereka tidak terlepas daripada ‘berkongsi’ hati dan perasaan. Sekiranya Alyssa sedang bersedih, Aryssa juga turut tidak terlepas dari merasai perasaan tersebut. Tiada apa yang mampu disorokkan antara mereka.

“Mama dah terima saka tu sebelum tok wan meninggal dunia. Dan selepas ni, akulah yang akan menjadi pewaris seterusnya. Apa pendapat kau, Lyss? Aku takut sangat. Tak naklah apa yang terjadi pada tok wan berlaku dekat aku juga,” tutur Aryssa dengan nada yang sayu.

“Nasib baik aku anak sulung.” Tersengih-sengih Alyssa sehingga menampakkan sebaris giginya yang putih.

“Kau memang tak sayangkan aku langsung ya, Lyss? Kalaulah apa-apa terjadi dekat aku pun mesti kau langsung tak ambil peduli.” Nada getaran suara Aryssa kedengaran seperti orang yang ingin merajuk sahaja. Alyssa merangkul erat pinggang Aryssa sambil memejamkan matanya. Biarlah hanya hati mereka sahaja yang berkata-kata saat ini betapa dalamnya kasih sayang antara mereka berdua walaupun tiada ungkapan yang lahir dari mulut mereka sendiri.

“Semua pewaris arwah sudah ada di sini, kan? Harap-harap begitulah,” ujar Encik Kamal yang merupakan peguam peribadi keluarga Wan Sarah Asykin. Sudah bertahun-tahun dia berkhidmat dengan tok wan sehingga uban-uban di kepalanya telah mula memenuhi rambut lelaki tersebut.

“Oh, ya. Saya nak pastikan yang cucu tiri arwah turut berada di sini.”

“Cucu tiri tok wan? Siapa dia, Encik Kamal? Kami tak pernah dengar pun,” celah Pak Long Hakimi yang sejak tadi hanya berdiam diri. Dia sendiri terkejut kerana tidak tahu yang tok wan turut mempunyai cucu selain yang ada di sini.

“Ya. Arwah pernah berkahwin dengan Dato Zarith dan mereka tidak pula dikurniakan sebarang anak sepanjang perkongsian hidup selama hampir 20 tahun. Dato Zarith turut mempunyai pewaris lain iaitu Zafrul sebagai pewaris hartanya.”

“Jadi apa kena-mengena dia dalam surat wasiat ni? Bukankah sepatutnya hanya melibatkan kami anak-beranak tanpa melibatkan orang luar!” bidas Shahrul kurang senang.

“Disebabkan sepanjang hayat tok wan, Zafrullah yang telah banyak menemaninya sehinggalah pada saat-saat akhir arwah.”

“Masalahnya kelibat dia pun kami tak nampak! Macam mana pula Encik Kamal boleh cakap macam tu?” ujar Ridhuan pula. Tergambar di wajah masing-masing perasaan tidak puas hati kerana tok wan telah merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan mereka.

Encik Kamal tersenyum. Dia sudah menduga dari mula lagi yang perkara tersebut lambat-laun akan mula dibangkitkan oleh anak-anak tok wan. Sama seperti yang telah arwah perkatakan.

“Bertenang semua. Biarlah saya jelaskan terlebih dahulu. Sebelum Dato Zarith meninggal dunia, dia telah tinggalkan hampir kesemua hartanya kepada arwah. Namun, harta tersebut turut diletakkan sekali nama Zafrul sebagai pewaris seterusnya selain nama arwah disebabkan anak tunggal Dato Zarith telah lama meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan. Saya telah diamanahkan untuk membaca wasiat ini setelah tok wan meninggal dunia. Harap-harap semua sudah faham dengan penjelasan saya.”

“Maaflah kalau kami bersikap biadab tadi, Encik Kamal. Kalau boleh kami memang nak teruskan. Tetapi, cucu Dato Zarith, Zafrul tidak ada di sini lagi. Macam mana ya? Nak tangguhkan dulu ke pembacaan wasiat ni?” Masing-masing mengiakan kata-kata Pak Long Hakimi.

“Eh, tak perlu nak bertangguh! Sebab Zafrul dah lama ada dekat sini.” Encik Kamal sempat pula berbalas pandangan dengan pembantunya yang turut sedang tersenyum.

“Kalau betullah mana dia, Encik Kamal?” tanya Pak Long Hakimi lagi kurang berpuas hati sekiranya tidak nampak dengan matanya sendiri anak muda itu.

“Saya ada di sini,” celah satu suara secara tiba-tiba. Aryssa yang duduk membatu sejak tadi mula berganjak sedikit kerana terlampau terkejut! Pemuda yang muncul di muka pintu ketika ini adalah Aiman, pemandu peribadi yang beru sahaja bekerja dengan mereka. Masing-masing terlopong tidak terkecuali Aryssa.

Aryssa sempat menjeling ke arah Dato Sufian yang sedang duduk di sebelah Datin Aina. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan oleh mereka.

“Baiklah, boleh saya teruskan?” tekan Encik Kamal sekadar untuk mendapatkan kepastian.

“Boleh, Encik Kamal,” sahut Pak Long Hakimi lagi.

“Saya bermula dengan anak sulung arwah iaitu Muhammad Hakimi. Arwah telah menyerahkan kebun kelapa sawit seluas lima ekar kepada Muhammad Hakimi dan keluarga untuk menguruskannya. Anak kedua arwah, Shahrul Rizwan juga akan mendapat kebun kelapa sawit yang turut terletak bersebelahan dengan kebun milik Hakimi. Anak ketiga arwah iaitu Muhammad Ridhuan pula akan mendapat tanah berserta rumah yang terletak di Taman Dahlia. Anak bongsu arwah pula, Datin Aina akan mendapat rumah agam ini berserta tanahnya.”

“Macam mana dengan duit yang arwah simpan, Encik Kamal? Takkanlah langsung tak ada dekat dalam bank?” celah Ridhuan.

“Nanti dulu. Saya masih lagi belum habis baca wasiat yang arwah dah tinggalkan lagi. Dato Zarith turut menyerahkan Zarith Holdings pada cucu tunggalnya, Aiman tetapi dengan bersyarat!” Kali ini, Dato Kamal sudah mula serius. Dia merenung wajah-wajah di hadapannya sebelum berhenti betul-betul pada Aryssa.

“Cucu tok wan yang bernama Aryssa perlu melangsungkan perkahwinan dengan Zafrul Aiman dalam tempoh sebulan dari sekarang. Perkahwinan tersebut juga tidak boleh dibubarkan dalam tempoh lima tahun usia perkahwinan mereka. Jika tidak, kelayakkan Zafrul Aiman akan dilucutkan serta-merta.”

“Eh, kenapa nak tok wan nak libatkan saya dalam hal ni? Kenapa pula saya mesti kahwin dengan dia? Tak fahamlah!” Bentak Aryssa tanpa dapat menahannya. Dia langsung tidak mempedulikan mata-mata yang mula tertumpu terhadapnya. Lantaklah! Aku yang kena kahwin paksa, bukannya mereka! jeritnya dalam hati.

“Maaflah, itu saya tak tahu. Hal-hal sebegini arwah tak pula beritahu saya. Tugas saya hanyalah melaksanakan apa yang sepatutnya. Hal yang saya tak patut masuk campur, saya tak akan langgar,” tenang sahaja Encik Kamal menjelaskannya.

Aryssa mula tenang. Dia sempat memandang Aiman yang kelihatan begitu tenang mendengar wasiat yang telah dibacakan tersebut. Macam mana dia boleh setenang itu? Tak fahamlah!

“Bukan itu sahaja, segala aset Dato Zarith iaitu rumah dan lain-lain turut akan turut diserahkan kepada Aiman sebagai cucu tunggalnya. Untuk Aiman, segala-galanya saya telah selesaikan seperti yang diamanahkan. Dalam akaun arwah Wan pula ada simpanan berjumlah RM 550 ribu Jadi, setiap seorang akan mendapat bahagian sebanyak 10 persen daripada jumlah tersebut. Selebihnya akan disumbangkan di badan anak-anak yatim. Ada satu lagi. Dato Zarith ada menyerahkan sejumlah barang kemas kepada arwah sepanjang mereka berkahwin. Setelah dicongak, kesemua barang-barang kemas tersebut yang berjumlah RM 300 ribu akan diserahkan sama rata antara anak-anaknya.” Encik Kamal terdiam seketika untuk melepaskan lelahnya.

“Itu sahaja wasiat yang telah arwah tinggalkan kepada saya untuk anak-anaknya. Untuk kes Aiman dan Aryssa pula, saya berharap dalam tempoh yang diberikan tersebut kamu dapat melangsungkan perkahwinan tersebut seperti yang telah tertulis. Jika tidak, Aiman akan kehilangan seluruh haknya terhadap harta-harta yang Dato Zarith tinggalkan. Segala dokumen yang berkaitan saya akan uruskan selaku peguam yang telah diberi kepercayaan oleh arwah dan Dato Zarith!”

Kenduri tahlil di rumah agam tersebut telah diadakan selama lima hari berturut-turut. Datin Aina sempat pula menegaskan kepada abang-abangnya yang walaupun rumah agam tersebut tersebut telah diserahkan kepadanya, mereka tetap boleh datang ke rumah tersebut pada bila-bila masa sahaja. Dia langsung tidak ada masalah atau mahu melarang sama sekali.

Masalah mula timbul apabila tiap-tiap malam, rumah tersebut sering diketuk-ketuk dari luar. Malam itu pula kebetulan keluarga Ridhuan dan Shahrul telah pulang ke rumah masing-masing kerana tidak mendapat cuti lama. Manakala, Dato Sufian pula akan pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. Itupun hanya dengan Aryssa. Alyssa pula akan menemani Datin Aina di rumah agam dua tingkat tersebut. Mujurlah peperiksaan akhir semesternya telah lama tamat. Tidak elok pula meninggalkan rumah ini dalam keadaan kosong. Pak Long Hakimi pula telah berjanji akan menemani mereka bersama-sama di sini kerana rumahnya tidak jauh dari rumah agam ini.

“Apa kata malam ni saya dan Aiman tidur di ruang tamu? Sebagai langkah berjaga-jaga sahaja,” cadang Pak Long Hakimi.

“Saya tak ada masalah, pak long,” balas Aiman. Dia perasan akan jelingan tajam Aryssa sejak tadi lagi terhadapnya. Sengaja dia buat-buat tak nampak.

“Aku ikut sekalilah, Hakimi. Takkanlah sedap-sedap aku tidur dekat dalam bilik beralaskan tilam. Kau dengan Aiman pula tidur atas toto,” gurau Dato Sufian namun wajahnya tetap sama. Tiada langsung senyuman yang terukir. Hanya orang yang terdekat sahaja tahu sama ada Dato Sufian sedang bergurau atau pun sebaliknya.

Aryssa membantu Datin Aina dan Alyssa menghamparkan toto di ruang tamu.

“Kurang satu lagi. Pergi ambil dekat bilik atas, Ryss,” arah Datin Aina.

“Eh, bukankah cukup tiga toto ni, ma? Nak ambil lagi satu nak buat apa?” tanya Aryssa separuh gusar. Sudahlah rumah agam ini terlalu besar dan luas. Seram pula kena naik atas seorang diri.

“Satu lagi mama nak hamparkan atas semua toto ni. Barulah selesa bila tidur nanti.”

“Okey.” Dengan keterpaksaan, Aryssa seorang diri menuju ke tingkat atas. Alyssa pula awal-awal telah melarikan diri ke tempat lain. Tidak mahu menemaninya sekali naik ke atas.

Matanya mula bertembung dengan Aiman. Nak minta tolong dengan mamat ni ke? Tak payahlah! Fikirnya lagi. Entah-entah dihamburnya aku dengan kata-kata kesat kalau aku minta tolong. Lebih baik buat sendiri, omelnya dalam hati.

Lambat-lambat Aryssa melangkah ke tingkat atas. Bilik stor pula terletak di hujung tingkat dua tersebut. Di belakangnya pula penuh dengan hutan belantara. Kedudukan rumah agam ini sememangnya terletak betul-betul di hujung kampung. Dia sendiri kurang pasti mengapa tok wan memilih kawasan yang agak tersorok untuk membina ruamhnya. Aish, seram!

Krek! Krek! Bunyi pintu stor ditolak benar-benar membuatkan Aryssa semakin ketakutan. Dia mula menggigil tatkala melihat keadaan dalam stor yang hanya dipenuhi dengan habuk dan sawang.

“Ada orang gaji pun tak nak suruh bersihkan,” rungut Aryssa perlahan. Dalam kegelapan, teraba-raba Aryssa cuba mencari suis lampu.

Ketika itu, tangannya seolah-olah terpegang sesuatu yang agak lembut seperti kulit manusia. Aryssa mula terpaku. Dia sangat yakin di hadapannya ketika ini adalah ‘makhluk’ yang bernyawa. Terasa hembusan nafas yang kuat sehingga mengenai tangan Aryssa.

Aryssa cuba menjerit namun suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Dia mula memejamkan mata tatkala terasa ada hembusan nafas yang betul-betul mengenai wajahnya. Tiba-tiba terasa bahunya direntap dengan kasar dari belakang.

“Cik Aryssa, kenapa lambat sangat? Setakat ambil toto, bukannya suruh cuci baju!” sergah Aiman sambil melepaskan bahu Aryssa.

Aryssa cuba memberitahu Aiman apa yang baru berlaku terhadapnya sebentar tadi namun dia masih tidak mampu untuk bersuara. Bertambah sakit hati apabila Aiman menyindirnya begitu. Sambil menghentak kaki, Aryssa terus berlalu pergi meninggalkan Aiman keseorangan.

“Hei, toto ni siapa yang nak bawa?!” jerit Aiman.

“Bawalah sendiri!”

Malam itu, tepat pada pukul 3.00 pagi, tiba-tiba Aryssa terdengar ketukan halus bertalu-talu di pintu utama. Walaupun Aryssa tidur di bilik utama, namun telinganya masih dapat mendengar dengan jelas bunyi ketukkan tersebut. Matanya mula melilau memandang sekeliling bilik yang gelap. Dia jenis yang tidak boleh tidur dalam keadaan yang terlalu terang ataupun lampu terpasang. Dengan pantas Aryssa mencapai bantal peluk panjang di sebelahnya lalu menekap di muka. Apa yang lebih menghairankannya ketika ini ialah mengapa bantal peluk tersebut terasa keras dan pejal. Bukankah sepatutnya bantal tersebut lebih lembut dan mudah dilentur?

Sambil memejamkan matanya, perlahan-lahan Aryssa bangun lalu turun dari katil. Setelah kakinya mencecah ke atas lantai, Aryssa terus melompat menuju ke pintu biliknya. Terjerit-jerit mulut Aryssa meminta tolong. Ketika dia telah berada di luar bilik, keadaan di luar tiba-tiba sahaja dipenuhi dengan kabus nipis. Aryssa sedikit panik namun sedaya-upaya dia cuba menenangkan diri.

“Okey… Bertenang, Aryssa. Bertenang! It’s the little things! Small matter!” Aryssa menarik nafas dan menghembusnya kembali berulang-ulang kali sehingga dia berpuas hati. Dia cuba mengingati kembali selok-belok rumah agam dan perlahan-lahan dia mula melangkah. Bunyi ketukan pintu juga telah berhenti.

“Mama!” panggil Aryssa tatkala dia melihat Datin Aina sedang bergegas keluar dari biliknya lalu menuju ke tingkat bawah. Senyumannya mula terukir di bibir. Tak tertahan. Aryssa tergerak hati untuk mengekori Datin Aina dari belakang. Entah mengapa mulutnya seperti terkunci untuk memanggil Datin Aina sekali lagi.

Kehadirannya di situ seolah-olah tidak disedari oleh Datin Aina. Datin Aina terus menghampiri pintu utama lalu kunci di pintu tersebut dibuka. Kelihatan mama seperti sedang tersenyum ke arah seseorang. Aryssa dengan pantas menyorok di belakang almari. Hampir sahaja kakinya tersadung kaki meja. Mujurlah tidak terjatuh!

“Masuklah. Aina rindu sangat nak kita bermesra macam dulu,” tutur Datin Aina sambil tangannya erat merangkul seseorang di luar. Aryssa tidak dapat melihat dengan lebih jelas kerana kedudukan mereka yang begitu terlindung dengan dinding rumah.

“Takkanlah semua orang dekat rumah ni tak perasan langsung?” gumamnya perlahan. Matanya mula melirik ke bahagian ruang tamu namun tiada apa yang jelas di penglihatannya. Kabus semakin tebal menyebabkan Aryssa mula berasa sesak nafas. Dia tidak perasan yang Datin Aina telah lama masuk ke dalam biliknya semula. Tahu-tahu sahaja kelibatnya sudah menghilang di sebalik pintu utama rumah.

“Eh, mana mama dah pergi?”

Aryssa semakin keliru. Entah mengapa Aryssa seperti tergerak hati untuk ke tingkat atas semula. Walaupun kabus semakin tebal, matanya seperti dapat melihat dengan jelas setiap arah dalam rumah agam tersebut. Semakin dekat dia menghampiri bilik Datin Aina, semakin kuat pula suara orang seperti sedang berbual-bual dari bilik itu. Dia yakin yang suara perempuan itu adalah milik Datin Aina.

“Mama tengah berbual dengan siapa, ya?” Ngomelnya bersendirian. Pintu bilik Datin Aina kelihatan sedikit terkuak. Aryssa mengambil kesempatan untuk mencuri-curi lihat keadaan di dalam.

“Allah!” Hanya itu sahaja kata-kata yang mampu dia ungkapkan saat ini. Terduduk terus Aryssa di muka pintu sebaik sahaja dia melihat pemilik sebenar suara yang sedang berbual dengan mamanya tadi. Ya, dia bukan seorang manusia! Aryssa sangat yakin tentang itu walaupun wajah dan susuk tubuhnya kelihatan tidak ubah seperti seorang lelaki. Saat mata mereka mula saling bertentangan, mata makhluk itu berubah menjadi merah dan terus menyeringai sehingga menampakkan kedua-dua belah taringnya yang panjang. Makhluk itu seolah-olah marah dengan kehadiran Aryssa tadi.

“Siapa tu?” jerit Datin Aina sambil bergegas keluar. Aryssa cepat-cepat balik ke biliknya semula. Serentak itu, kabus yang sebentar tadi memenuhi segenap ruang dalam rumah agam mula menghilang.

Dengan pantas, Aryssa melompat ke atas katilnya dan berpura-pura tidur. Nasib baiklah dia sempat menutup pintu biliknya. Jika tidak, sudah tentulah Datin Aina akan perasan kehadirannya di situ sebentar tadi. Keesokan harinya, Aryssa tidak banyak bercakap lebih-lebih lagi dengan mama. Matanya kelihatan sembap kerana tak cukup tidur. Sepanjang malam otaknya ligat berfikir apakah kejadian yang berlaku malam tadi adalah suatu mimpi atau realiti? Dia sendiri tidak tahu jawapannya.

“Ini dokumen perjanjian yang saya dah sediakan sebagai salah satu langkah persediaan sebelum kita berkahwin nanti. Tak ada di antara kita yang boleh pecahkan rahsia ni kepada sesiapa pun terutamanya kepada ahli keluarga yang lain. Cik Aryssa pun tahulah, saya ni cuma cucu angkat kepada tok wan. Jadi, tak naklah kalau mereka pandang rendah dekat saya. Paling saya nak tegaskan di sini, saya betul-betul tak suka kalau cik Aryssa membuat sebarang kesilapan hatta sekecil kuman sekali pun sehingga boleh menggugat kedudukan saya sebagai pewaris Zarith Holdings. Faham?!” tegas Aiman sambil melemparkan sampul surat berwarna coklat di hadapan Aryssa.

Aryssa hanya memandang melalui ekor matanya. Sakit hati pula dengan sikap Aiman yang hanya mementingkan dirinya sahaja. Sudahlah bersikap biadab terhadapnya. Bagilah elok-elok! rungutnya dalam hati.

“Kenapa Aiman tak berbincang dengan saya dulu? Sesuka hati buat keputusan sendiri! Macam mana kalau perjanjian ni bersifat berat sebelah?” Aryssa sudah mula meradang. Sepatutnya ketika ini dia sedang mengulang kaji di rumah. Bukannya melayan pekara yang agak membuang masa seperti ini!

“Sebab itulah saya suruh cik Aryssa baca dulu dokumen dalam sampul tu! Ingat saya ni kejam sangat ke?” bentak Aiman. Dia sudah mula hilang sabar dengan sikap kebudak-budakan Aryssa. Memang budak-budak lagi pun. Umur pun baru nak masuk 22 tahun. Budak-budak ke kalau umur dah masuk 20-an.

“Okey! Saya tengok! Tapi bukan sekarang. Nak tengok dekat rumah.” Aryssa terus berdiri tanpa mempedulikan pandangan tajam Aiman terhadapnya. Dia semakin kurang selesa tatkala menyedari yang Santai Cafe lebih tertumpu kepada pasangan yang sedang bercouple. Masalahnya mereka tidak bercinta pun.

“Hei, tengok sekaranglah. Masalahnya, kita dah tak ada masa lagi sebab perkahwinan kita akan berlangsung dua minggu dari sekarang,” beritahu Aiman dengan satu keluhan berat dilepaskan.

“Eh, cepatnya! Saya tengah examlah masa tu. Mana ada masa nak fikir pasal kahwin.” Terus terduduk dia di atas kerusi semula sambil menepuk dahi.

“Orang-orang tua kata, lagi cepat lagilah bagus! Tak elok benda yang baik ditangguhkan lagi. Saya memang sengaja tak nak tunggu sampai awak habis exam. Ia lebih mendatangkan risiko yang besar bagi pihak saya. Oleh itu, suka atau tak suka saya dah berbincang dengan Dato Sufian. Dia pun dah bersetuju. Tak ada apa lagi yang boleh menghalang saya daripada mewarisi seluruh harta kekayaan peninggalan Dato Zarith,” ujar Aiman tersenyum sinis.

Dia akan memastikan pemangku syarikatnya, Dato Fendy melutut di hadapannya suatu hari nanti! Sudahlah pak ciknya itu telah memperlekehkan dia di hadapan semua ahli lembaga pengarah syarikat semasa mesyuarat tahunan diadakan. Perlahan-lahan Aiman merasakan keputusan untuk mempercepatkan perkahwinannya adalah suatu keputusan yang sangat tepat.

“Mata duitan betullah awak ni!” jerit Aryssa kuat. Dia betul-betul tidak mampu menahan perasaan marahnya lagi. Serentak itu, Aryssa terus bangun lalu menuju ke pintu kafe untuk keluar dari situ. Terasa semak menghadap wajah Aiman lama-lama.

“Dokumen ni tak nak tengok dulu ke!” Namun, jeritan Aiman langsung tidak sampai ke pendengaran telinga Aryssa yang sudah mula menghilang dari pandangannya.

“Garangnya bakal isteri aku!”

“Ayah dah tak sayangkan Ryss ke?” tanya Aryssa ketika mereka sedang menonton televisyen di ruang tamu. Dia langsung tidak menoleh ke arah Dato Sufian sedang khusyuk menonton drama kesukaannya.

“Kenapa pula tiba-tiba nak pertikaikan sama ada ayah betul-betul sayangkan kamu atau tak? Dah jelaskan apa jawapannya untuk soalan kamu,” balas Dato Sufian tanpa menoleh ke arah Aryssa.

“Habis tu kenapa cepat sangat nak suruh Ryss kahwin. Belajar pun tak habis lagi. Masak lagilah tak pandai.”

“Ayah buat semua ni bukan suka-suka tau. Ada sebabnya. Tapi, ayah memang tak boleh nak beritahu kamu. Anggap sajalah dia merupakan jodoh Ryss yang telah ditetapkan oleh Allah sejak dulu lagi.”

“Tapi, ayah…” Mata Aryssa mula berkaca-kaca. Dato Sufian memang langsung tak faham dengan kehendaknya. Perkahwinan mereka sekarang ni bukan sahaja kerana mahu wasiat yang telah ditinggalkan oleh tok wan, tetapi juga berlandaskan perjanjian yang dibuat sesama mereka. Baru dia teringat akan dokumen yang Aiman serahkan kepadanya tempoh hari. Menyesal pula dia berdegil untuk tidak melihat isi kandungan perjanjian tersebut.

Rupa-rupanya Aiman hanya bekerja sementara sebagai pemandu peribadi keluarganya sehingga Dato Sufian berjaya mencari pemandu peribadi baru. Sekarang ini, Pak Jamil telah mula bekerja menggantikan Aiman. Maka, tertutuplah peluangnya untuk melihat semula surat perjanjian itu. Menyesal pula tidak meminta nombor telefon Aiman tempoh hari. Itulah, jual mahal sangat! rungutnya dalam hati.

“Sudahlah, Ryss. Ayah tak nak dengar kamu mengadu apa-apa lagi. Bukan ayah yang nak kamu kahwin dengan Aiman. Tetapi, ini semua atas kehendak tok wan. Takkanlah ayah nak membantah. Terimalah dia, Aryssa. Kalau dah tak boleh sangat, lepas lima tahun usia perkahwinan kamu barulah pertimbangkan apa keputusan yang patut diambil,” tutur Dato Sufian dengan tenang.

Aryssa lambat-lambat mengangguk. Dia mula mengalah dengan desakan keadaan. Ketika ini, Aiman benar-benar memerlukan dirinya untuk menjadikan dia sebagai pewaris sah Zarith Holdings.

“Oh, ya, ayah. Malam hari tu kan ayah ada tidur dekat ruang tamu dengan Aiman dan Pak Long Hakimi. Ada apa-apa berlaku ke malam tu?” Aryssa sudah menukar posisinya betul-betul menghadap Dato Sufian. Wajah ayahnya ditenung dalam-dalam sehingga dia kelihatan kurang selesa dengan perbuatan Aryssa itu.

“Malam tu lena aje ayah tidur. Tak ada apa-apa yang berlaku,” balas Dato Sufian. Dia bingkas bangun lalu menuju ke dapur.

Prang! Bunyi kaca jatuh di atas lantai benar-benar memberi kejutan kepada Aryssa. Laju sahaja kakinya mahu melangkah ke dapur sebelum dia terhenti semula tatkala Dato Sufian disusuli Aiman di belakangnya muncul di pintu utama.

Wajah Aryssa mula berubah menjadi pucat. Matanya tidak lepas-lepas merenung kedua-dua lelaki di hadapannya dengan mulut yang sedikit terlopong.

“Kenapa?” tanya Aiman sambil melonggarkan tali lehernya. Matanya tajam merenung Aryssa yang kelihatan seperti baru sahaja nampak hantu. Pucat lesi wajahnya.

Tergagap Aryssa ingin membalas. Semakin sakit hatinya melihat senyuman sinis Aiman.

“Nampak hantu ke?” sindirnya lagi. Aiman terus berlalu sambil ketawa mengekek.

Kurang ajar betullah mamat poyo ni!’jerit Aryssa dalam hati.

Aryssa terus mencapai bantal kusyen sofa lalu dibalingnya ke atas lantai dengan geram. Tangannya spontan terhenti tatkala melihat ada kelibat seperti bayang-bayang lalu-lalang di sebelahnya. Terngiang-ngiang di telinganya suara garau sedang menyanyi-nyanyi. Halus dan begitu merdu sekali. Ada satu bahagian yang dinyanyikannya berulang-ulang kembali sehingga Aryssa sendiri dapat menangkap bait lagu itu dengan mudah.

Satu hari nanti aku kan bebas, akanku carimu dan menjagamu sehingga akhir nafasmu.