Revenge

RM29.00

Penulis: Muhammad Fatrim

Caption: apabila semuanya dirampas dalam hidup seseorang,kadangkala apa yang tinggal hanyalah sebuah dendam…

ISBN: 978-967-406-241-2

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 20.00 RM 23.00

Ariana Citra mahu menghancurkan keluarga baru ayahnya sendiri dan mendapatkan haknya yang dibuang selama 17 tahun. Demi misi dendamnya, Ariana Citra menukar namanya kepada Dewi Uqasha dan bekerja di syarikat Crystal Suria Holdings milik ayahnya Dato’ Zakaria yang diuruskan oleh Megat Huzair anak sulungnya bersama Zahara selepas pulang dari luar negara.

Tapi, berdepan dengan Zahara umpama berdepan dengan penjenayah kejam yang mampu melakukan apa-apa sahaja termasuk membunuh demi melindungi keluarga dan miliknya. Namun Ariana Citra tetap bertekad, keluarga baru ayahnya itu perlu dihapuskan walau apapun cara dan jalannya!

“Ariana Citra janji atas nama mama yang suatu hari nanti, semua ni akan jadi milik kita kembali. Ariana Citra janji mama.” – Ariana Citra

“I know who you are Dewi Uqasha.”– Megat Huzair

Dalam misinya membalas dendam, Ariana Citra mengetahui pelbagai kebenaran antaranya tentang siapa sebenarnya Megat Huzair anak sulung Zahara. Satu insiden tembak menembak telah membuatkan keduanya rapat. Megat Huzair mengisytiharkan Ariana Citra sebagai teman wanitanya selepas insiden itu sehingga membuatkannya tergamam!

Apakah semuanya berubah selepas itu? Adakah Ariana Citra berjaya dalam misinya mendapatkan kembali haknya? Mampukan dendam selama 17 tahun itu terlunas?

REVENGE menjawab segalanya!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

USIR…

ARIANA CITRA sibuk membuat kerja sekolah sementara ibunya pula sibuk memasak di dapur menunggu ayahnya pulang daripada outstation selama seminggu.

“Mama, papa pulang hari ni, ya?” tanya Ariana Citra mengganggu ibunya yang sedang memasak.

“Ya, Ariana. Papa balik hari ni. Ni yang mama masak ayam gulai kegemaran papa kamu ni. Bersiaplah mandi, nanti papa kamu sampai kita makan sama.”

Ariana Citra yang berumur 7 tahun ketika itu lantas berlari naik ke biliknya untuk bersiap. Dia pasti ada hadiah istimewa daripada ayahnya seperti selalu.

“Assalamualaikum…”

Khadijah terdengar suara suaminya. Segera dia berjalan ke pintu utama mahu menyambut kepulangan suaminya. Dipulasnya tombol dan dia melihat suaminya berserta seorang wanita bersama tiga orang kanak-kanak, dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan di belakangnya.

“Waalaikumussalam, abang. Siapa mereka ni? Saudara abang?” tanya Khadijah dengan senyuman memandang mereka.

Zakaria, suami Khadijah terus masuk membawa wanita itu ke dalam rumah tanpa menjawab sepatah pun soalan daripada Khadijah. Riak wajahnya tiada langsung sebarang senyuman.

“Abang, siapa ni?” tanya Khadijah aneh. Sambil memandang atas bawah wanita di hadapannya. Wanita itu hanya tersenyum sambil memegang tangan anak perempuannya yang berumur lingkungan 3 tahun. Dua kanak-kanak lelaki pula hanya berdiam diri sambil memandang sekeliling rumah tersebut.

“Khadijah. Ini madu kamu, isteri kedua abang.” Selamba saja Zakaria menjawab selepas itu tanpa memandang Khadijah sekalipun.

“Bila abang kahwin?” tanya Khadijah.

“Selepas setahun kita kahwin. Kau dapatkan anak lambat, lepas 5 tahun kahwin baru ada seekor. Tengok Zahara. Anak tiga orang semua dah besar.”

“Apa semua ni, bang?!” Khadijah membentak tiba-tiba.

Ariana Citra yang baru turun terdengar suara tinggi ibunya, segera dia turun mendapatkan ibunya. Tangan ibunya dipegang.

“Aku ketua dekat rumah ini, aku ada hak buat sesuka hati aku. Jangan kau persoalkan apa yang aku buat! Aku berkuasa dalam rumah ni.” Zakaria membalas.

Khadijah sudah hilang sabar. “Abang memang keterlaluan! Arwah ayah saya berikan semua untuk abang. Saya takkan biarkan semua ni terjadi. Tak akan!” amuk Khadijah.

Khadijah pantas menarik tangan Zahara dan anaknya mahu membawa mereka keluar.

“Keluar! Ini rumah saya! Keluar!” bentak Khadijah kuat.

Pap!

“Jangan kurang hajar! Ini rumah Zahara sekarang. Kalau tak suka kau boleh keluar!”

Khadijah ditampar dan ditolak sehingga terjatuh. Zahara hanya memerhatikan dengan senyuman, tiga anaknya di belakang bersembunyi di belakang ibunya kerana ketakutan.

“Mama… Mama… Mama…” Ariana Citra segera memeluk ibunya sambil menangis.

“Sedar diri sikit, Khadijah! Aku kahwini kau pun sebab terpaksa. Jika tak, aku takkan dapat semua ni. Aku takkan ada kedudukan seperti ini. Kau tu aku pergunakan!”

Khadijah bangun. Segera menerpa suaminya dan memukulnya.

“Kurang hajar! Dasar lelaki tak sedar diuntung. Kau dulu siapa saja di rumah ini. Kau sedar sikit, Zakaria! Kau tu budak kampung yang ayah aku kutip tepi jalan saja!”

“Hei, perempuan!”

Sekali lagi Zakaria mengasari Khadijah seolah-olah mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Hari ini buat pertama kali belang Zakaria benar-benar muncul di depan mata Khadijah!

“Abang! Sudah… Sudah!” Zahara segera menghalang, memegang tangan Khadijah yang kelihatan seolah-olah mengasihani Khadijah yang dikasari suaminya.

“Dasar tak sedar diri! Cermin diri kau, Khadijah. Hei Khadijah, buat pengetahuan kau. Aku ni tak pernah cintakan kau tahu. Langsung tak pernah! Aku hanya cintakan harta yang ada dalam rumah ni. Duit kau!” Zakaria membentak berteriak memberitahu isi hatinya.

Khadijah terpanar. Ariana Citra walaupun masih kecil memandang ayahnya tajam. Setiap patah perkataan itu seolah-olah menyiat-nyiat hati anak kecil itu.

“Kalau mahu hidup senang. Hormati Zahara! Dan kau Ariana Citra, kalau kau nak senang, berbaik-baik dengan adik-beradik tiri kau atau kau berdua boleh berambus!” tegas Zakaria memberi amaran, seolah-olah kasih sayang tak pernah wujud antara kedua-duanya.

Ariana Citra pandang ayahnya tajam, air matanya mengalir di pipi apabila melihat ayahnya yang bukan seperti dulu, seorang ayah penyayang dan sopan. Yang dia tahu, ayahnya kini bukan manusia, tapi binatang bertopengkan manusia!

“Sudah, bang. Sudah. Biar saja saya yang bercakap dengan dia.” Zahara bersuara lembut dan mengangguk memandang suaminya, cuba meredakan keadaan sekali lagi.

Segera dia bawa Khadijah ke tepi dengan lembut dan kemudian berbisik halus.

“Kakak jangan melampau. Saya boleh bunuh kakak dan suami kakak sekarang juga. Nanti saya akan dapat semua harta dan fikirkanlah anak kecil kakak masa tu…” Zahara memberi amaran mencengkam kuat tangan Khadijah.

Khadijah segera melepas tangannya. Dia pandang Zahara tajam.

“Aku takkan biarkan!” balas Khadijah.

“Comel, anak kakak…” Zahara cuba menyentuh Ariana Citra, segera Ariana Citra ke belakang ibunya. Benci memandang wanita perampas di hadapannya, dia mendengar setiap bait-bait kata wanita itu pada ibunya, bibir Ariana Citra menggigit geram.

Zahara senyum dan memandang Khadijah.

“Nasihat saya baik kakak keluar saja dari rumah ni. Saya tak suka hak saya diambil orang lain. Saya bagi peluang setengah jam. kak. Pergilah, saya takkan ganggu kakak lagi. Asalkan Zakaria dan rumah ni milik saya.” Zahara mengugut lagi.

Khadijah diam. Dia usap kepala anaknya berkali-kali.

“Kamu ambillah Zakaria. Ambil saja lelaki tak guna tu!” bentak Khadijah, bulat dengan keputusannya. Dia tak sanggup hidup berdua dengan perempuan ular itu!

“Bagus, kak. Macam itulah, senang sikit kerja saya.” Zahara tersenyum.

Dan Khadijah terus membawa Ariana Citra keluar. Ariana Citra yang ditarik tangannya tak lepas memandang Zahara yang tersenyum puas. Kali ini tiada air mata di pipinya. Ariana Citra hilang rasa. Hanya yang ada adalah dendam. Sambil pandang Zahara, Ariana tekad, bibirnya digigit keras!

Suatu hari nanti aku akan datang kembali…

HARAPAN…

 

                “MAMA, kita nak ke mana?” tanya Ariana Citra apabila ibunya memimpin tangannya berjalan tanpa henti tanpa sebarang tujuan. Hari pula makin bertukar gelap.

Tiada jawapan. Khadijah tetap berjalan dan berjalan. Seolah-olah di hadapan itu ada sebuah harapan yang tak pasti. Khadijah berasa sakit, kepercayaan selama ini hancur lebur berkecai. Langsung tak menduga Zakaria akan mengkhianati kepercayaan keluarganya selama ini. Pemuda yang kelihatan baik itu hilang rasa dan tamak. Khadijah tidak mahu lagi mengingati masa lalu, masa-masa bahagia palsu dia dengan Zakaria. Titik!

“Kita nak ke mana, mama?”

Sekali lagi Ariana Citra bertanya tapi tidak diendahkan.

“Kaki Ariana sakit, mama…”

Dan apabila Ariana Citra mengeluh. Barulah Khadijah berhenti berjalan. Baru dia sedar dia sedang memimpin Ariana Citra anaknya tanpa hala tujuan.

“Ariana, maafkan mama.”

Khadijah memeluk anaknya erat. Ariana Citra faham apa yang sedang berlaku.

“Kita dah tak ada rumah, Ariana. Mama harap Ariana faham.” Khadijah memberitahu Ariana Citra dengan harapan anaknya itu faham apa yang dia cuba bicarakan.

Melihat anaknya yang masih kecil, Khadijah rasa bersalah. Barulah dia mula fikir masa depan Ariana Citra. Dia sudah tak punya apa-apa, semuanya sudah dia berikan kepada Zakaria lelaki tak guna itu. Dan walaupun ugutan bunuh sekalipun daripada madunya. Mungkin dengan meletakkan Ariana Citra di bawah jagaan suaminya lebih baik. Masa depan apa yang dia boleh berikan kepada Ariana Citra anak yang disayanginya itu? Khadijah percaya, Zahara ular itu takkan mengapa-apakan Ariana Citra. Lagipun, Ariana Citra semenjak kecil sudah hidup senang, takkan mampu mengenal erti sebuah kesusahan.

“Ariana balik rumah papa, ya? Ariana nanti ada abang dan adik. Papa akan jaga Ariana.” Khadijah mula memujuk.

“Tak, mama. Ariana dengan mama. Papa dah benci kita mama, Ariana tak mahu balik ke rumah tu. Ariana akan jaga mama. Papa dah mati mama. Papa dah mati!” Ariana Citra berteriak keras.

Khadijah tersentak.

“Ariana, tak baik cakap macam tu.”

“Mama, papa dah tak sayangkan kita. Papa dah mati mama. Papa yang dulu dah tak ada.”

Khadijah diam, tak mampu membalas apa-apa. Seorang anak kecil berumur tujuh tahun boleh berfikir sejauh itu. Tapi, pihak sekolah pernah memberitahu Khadijah bahawa Ariana Citra adalah pelajar luar biasa cemerlang di sekolahnya. Jadi, pada fikiran Khadijah apabila Ariana Citra sudah mula memahami keadaan seperti orang dewasa, itu bererti Ariana Citra tidak berfikir seperti budak perempuan seusianya dan mampu memahami keadaan mereka kini.

“Ariana, keadaan kita tak sama macam dulu, nak. Kita dah lain. Kita akan hidup susah, nak. Mama tak mampu berikan apa yang Ariana nak macam dulu.” Khadijah cuba lagi meyakinkan Ariana Citra. Dia tahu anak kecil marahnya cuma seketika.

“Mama, tak apa. Ariana ada mama pun dah cukup. Ariana takkan balik ke rumah tu.” Ariana Citra tekad.

Ariana Citra genggam kuat tangan mamanya tidak mahu melepaskan. Saat itu, apa yang terfikir oleh Khadijah adalah membawa Ariana Citra ke tempat yang boleh memberi mereka perlindungan, tapi ke mana? Rumah yang Zakaria duduki itu adalah rumah milik keluarganya, tempat dia membesar dari kecil sebagai anak tunggal kepada Tan Sri Abdullah dan Puan Sri Aisha.

Ibu bapa Khadijah meninggal dunia dalam kecelakaan jalan raya 4 tahun lalu dengan berwasiat menyerahkan seluruh harta kepada suaminya Zakaria yang tidak punya apa-apa. Dengan harapan dapat menjaga anaknya. Selama beberapa tahun itu, Zakaria adalah seorang lelaki yang baik. Sehinggalah apa yang terjadi pagi tadi. Khadijah mula sedar, mempercayai Zakaria samalah seperti mempercayai seorang penipu!

“Mama, kita nak ke mana?”

Soalan itu Ariana Citra ulang hingga membubarkan lamunan ibunya. Khadijah yang tidak pernah hidup di luar habis fikir. Mahu ke mana? Tidur di mana malam nanti. Mahu makan apa? Fikirannya buntu.

“Mama.”

Ariana Citra memeluk ibunya. Dan saat itu, Khadijah terpandang cincin kahwinnya saat dia memegang kepala Ariana Citra, kemudian dia pegang gelang di tangan dan rantai di lehernya. Apabila Zakaria balik, Khadijah memang selalu menghias diri dengan semua barang kemas yang ada. Zakaria suka begitu, dia tidak suka melihat barang kemas disimpan di dalam kotak semata-mata. Bagi Khadijah, dengan diri yang pergi cuma sehelai sepinggang, barang kemas yang ada padanya itulah satu-satunya penyelamat yang ada untuk dia dan anaknya kini.

Syukur Ya Allah…

Khadijah terus membawa Ariana Citra ke satu tempat. Semua barang kemasnya dikumpulkan dan dijual. Hasil jualan tersebut, Khadijah membawa Ariana Citra tidur di hotel. Khadijah tahu, wang yang ada itu harus disimpan. Hanya bilik murah buat sementara dengan bayaran 60 ringgit semalam. Bukan seperti hotel mewah biasa yang dia masuki. Khadijah sedar keadaan sudah berubah.

“Ariana tidurlah.” Khadijah bersuara sambil mengusap lembut rambut Ariana Citra selepas mereka makan nasi yang dibungkus di kedai mamak.

“Mama, Ariana nak sekolah.”

Khadijah fikir. Adalah tidak mungkin untuk menghantar Ariana Citra kembali ke sekolah swasta itu. Bayaran yuran di situ dia sendiri tidak tahu jumlahnya dan pasti mahal kerana selama ini hal-hal persekolahan dan kewangan semuanya diserahkan bulat-bulat kepada suaminya.

“Ariana sekolah nanti, ya? Lepas kita balik kampung Nenek Nona, Ariana sekolah dekat sana ya, nak?” Khadijah membuat keputusan, itu jalan terbaik yang dia ada. Satu-satunya perkara yang terlintas di fikirannya. Mak Nona.

“Rindu dengan Nenek Nona.” Ariana Citra meluah rasa, teringatkan Nenek Nona yang menjaganya sejak kecil. Nenek Nona baru berhenti kerja tahun lepas dari rumah itu.

Pembantu rumah itu telah berkhidmat dengan keluarga Khadijah sejak muda. Sekarang yang Khadijah fikir hanya menumpang teduh bersamanya. Hanya itu saja satu-satunya orang yang dia rapat. Itu satu-satunya harapan yang dia ada.

“Esok kita balik kampung nenek, ya? Ariana tidurlah.”

Khadijah peluk Ariana Citra erat. Malam itu Khadijah tidak dapat melelapkan matanya langsung. Apa yang dialaminya kini adalah sebuah kejutan yang tak terduga sepanjang hidupnya. Sangkanya kehidupan baik selama ini akan bertahan walaupun ada waktu-waktunya yang dia tahu Zakaria mungkin akan berubah. Dia tahu kerana ‘outstation’ suaminya itu semakin kerap dan seolah-olah tak masuk akal sejak ayah dan ibunya meninggal dunia. Tapi Zakaria pandai berlakon baik di depannya. Hari ini barulah dia tunjuk taringnya.

“Zakaria, orang jahat macam kau takkan selamat. Takkan!” Khadijah bersuara sendiri sambil menepuk lembut bahu Ariana Citra yang telah lelap. Dia perlu mula fikirkan tentang masa depan Ariana Citra, dia tahu Zakaria akan mencuba apa saja untuk tidak memberi apa-apa saja hak kepadanya. Tapi demi Ariana Citra, Khadijah sanggup melakukan apa saja.

 

 

 

Sampai saja ke utara tanah air. Khadijah turun bersama Ariana Citra dari bas yang dinaikinya awal pagi tadi. Bas itu turun di stesen bas Kuala Nerang, Kedah, sebuah kampung kecil yang akan memberi harapan kepada mereka. Sungguh, pada saat dan tika itu, Khadijah tak mampu untuk fikir apa-apa. Hanya Mak Nona adalah harapan terakhir yang dia ada. Untuk meminta bantuan daripada rakan-rakannya Khadijah tidak sanggup. Dia masih ada air muka yang perlu dijaga. Bagi Khadijah, ini bukan sebuah pengakhiran, ia adalah satu permulaan dan permulaan itu adalah menentang Zakaria. Khadijah memandang sekeliling dengan tekad.

“Mana rumah Nenek Nona?” tanya Ariana Citra.

Khadijah tarik nafas. Cuba ingat rumah Mak Nona yang pernah dikunjunginya. Ibu dan bapa Khadijah tidak pernah membeza-beza taraf, selalunya mereka akan berhari raya di kampung Mak Nona tapi tidak pernahlah pula dia ke sana dengan menaiki bas. Selalunya mereka akan menaiki kapal terbang dan kemudiannya akan dihantar oleh pemandu yang telah disediakan.

“Dik, boleh tanya? Mana masjid kampung, ya?” tanya Khadijah pada seorang remaja perempuan yang juga turun di sana. Nasib baiklah Khadijah masih lagi ingat.

“Masjid arah sana. Jalan dalam 400 meter, kak.”

“Terima kasih, dik.”

“Sama-sama.”

Khadijah lega. Terus berjalan kaki membawa Ariana Citra. Hampir 20 minit kemudian mereka tiba di sebuah rumah. Tidaklah terlalu besar, tidaklah terlalu kecil tapi amat cantik. Semuanya dibina hasil ihsan ibu dan bapa Khadijah. Suasananya nyaman dan sejuk. Khadijah memandang tangga tempat selalu dia berlari dari kecil hingga dewasa.

“Assalamualaikum…” Khadijah beri salam.

Seorang wanita lingkungan 50 tahun keluar.

“Waalaikumsalam… Ya Allah, Khadijah rupa-rupanya. Mana Zakaria?” tanya Mak Nona keluar dari pintu rumahnya.

Sebaik saja Mak Nona muncul terus saja Khadijah memeluknya erat tanpa sebarang kata lantas menangis. Segala-galanya diceritakan pada Mak Nona. Ariana Citra hanya memeluk ibunya erat.

“Kejamnya Zakaria. Tak mengenang budi! Tan Sri dah bagi dia segalanya, dia buat kamu macam kain buruk. La ni, tinggallah selama mana di sini Khadijah. Kamu kena kuat untuk Ariana. Lupakan semua yang terjadi tu.” Mak Nona memberi semangat.

“Insya-Allah, Mak Nona. Terima kasih sebab sanggup terima kami, Mak Nona. Khadijah dah tak tahu dekat mana hendak mengadu.” Khadijah menangis, memeluk erat Mak Nona yang dianggap seperti ibu kandungnya. Mak Nonalah tempat menumpang kasih apabila ibu dan ayahnya tiada ketika dulu.

“Biarlah kita bertiga bersama. Mak Nona pun tak ada sesiapa. Biarlah Ariana di sini. Rumah ini pun, atuk dan neneknya yang bina. Mak Nona cuma tumpang saja.”

“Jangan cakap macam tu, Mak Nona. Kita keluarga. Kita keluarga sampai mati.” Khadijah bersuara, tekad meneruskan kehidupan baru. Kehidupan yang memberi harapan kepada mereka di masa hadapan.

“Mak Nona masih ingat kali pertama Zakaria sampai ke rumah Tan Sri. Masa itu dia cuma seorang siswazah kampung yang bekerja sebagai pemandu ayah kamu. Tapi disebabkan dia rajin membantu Tan Sri, dapatlah dia masuk pejabat. Lepas tu Mak Nona pun perasaan hang dok syok dekat dia. Kahwin tapi akhirnya jadi lagu ni.” Mak Nona mengingat sambil mengeluh.

“Pantaikan lagi kan berubah Mak Nona, apa lagi hati manusia. Khadijah dah reda, Mak Nona.”

“Khadijah, jangan putus asa dan putus harap. Tak selamanya orang lagu tu dekat atas.” Mak Nona memberi semangat, Mak Nona sebenarnya berasal dari Pulau Pinang tapi keluarga ayahnya dari Kedah. Jadi, Mak Nona dikira baru di kawasan itu dan belajar sikit-sikit loghat Kedah yang asing sedikit daripada dirinya. Apa lagi bekerja di Kuala Lumpur bertahun-tahun.

“Baik, Mak Nona. Beri saya semangat Mak Nona. Khadijah janji akan cuba cari kerja untuk kita.”

Ariana Citra hanya pandang ibunya dan Nenek Nona di hadapannya. Melihat sisa-sisa harapan sambil memikirkan, apa yang dibuat oleh Zahara dan anak-anaknya di rumah milik ibunya di Kuala Lumpur. Walaupun masih kecil. Ariana Citra tekad, takkan selamanya dia dan ibunya di sini. Ariana dah janji, air mata ibunya takkan tumpah lagi.

Titik!

KEMBALI…

 

17 tahun berlalu…

 

Ariana Citra kembali ke Malaysia selepas melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di United Kingdom. Dia telah siap siaga dengan apa yang perlu dilakukan di Malaysia. Segalanya telah diaturkan dengan rapi. Ariana Citra tidak menoleh ke belakang sejak berada di rumah Mak Nona sehingga kini. Yang dia tahu hak dan dendam itu perlu dibalas walaupun terhadap ayahnya sendiri. Ini demi maruah dan demi ibunya yang kini berada di satu tempat yang tak sepatutnya. Terlalu banyak peristiwa yang telah berlaku dan di tangan Ariana Citralah semuanya patut berubah!

“Cik Dewi Uqasha?” tanya seorang lelaki separuh umur yang berpakaian pemandu sambil memegang kertas dengan nama Dewi Uqasha.

“Ya, saya.” Ariana Citra mengangguk, kini selesa namanya dipanggil Dewi Uqasha. Sesuai dengan kehidupan barunya sejak 17 tahun yang lalu.

“Selamat Kembali ke Malaysia, Cik Dewi. Saya ditugaskan menjemput cik. Tuan Sri dan Puan Sri dah menunggu di rumah.” Pemandu itu memberitahu lantas mengambil troli yang ditolak oleh Ariana Citra, tahu tugas yang perlu dilakukannya.

Ariana Citra tersenyum di balik kaca mata hitamnya. Kemudian dia buka kaca mata hitam itu perlahan.

“Terima kasih, pak cik,” ucapnya lembut tapi dalam nada tegas.

“Boleh panggil saya Pak Ali, Cik Dewi.” Pak Ali memperkenalkan diri. Dia pemandu keluarganya kini.

“Okey, Pak Ali. Jom. Dewi pun dah tak sabar bertemu dengan mak ayah ni.”

Ariana Citra berjalan keluar bersama Pak Ali yang menolak trolinya. Tiba-tiba seorang lelaki yang tergesa-gesa terlanggar bahu Ariana Citra hingga hampir membuatkan dia terjatuh. Nasib baiklah pantas saja Pak Ali memegang tangan Ariana Citra untuk menyeimbangkan badannya daripada terjatuh.

“Cik Dewi tak apa-apa?” tanya Pak Ali Cemas.

Ariana Citra tak membalas pertanyaan Pak Ali sebaliknya memandang lelaki yang melanggarnya tadi.

“Tak ada mata ke?” marah Ariana Citra.

Lelaki itu buat muka bersalah dan pandang Ariana Citra.

“Maaf, maaf Cik. Saya tak sengaja tadi. Saya nak cepat ni. Maaf, ya?” Lelaki itu meminta maaf.

Dan apabila lelaki itu membuka kaca matanya. Sekilas wajah Ariana Citra berubah. Ariana Citra mengingat gambar terkini anak-anak Zahara yang baru diterimanya tadi. Dan yang sedang berada di hadapannya adalah Megat Huzair, yang kini menguruskan syarikat ayahnya. Abangnya yang berumur 3 tahun lebih tua daripada dirinya, anak sulung ayahnya.

“Tak apa. Awak boleh pergi. I’m okay.” Ariana Citra berubah riak, langsung tidak marah. Lelaki itu terus berlalu selepas meminta maaf sekali lagi.

Pak Ali yang melihat perlakuan Ariana Citra terkejut. Ariana Citra tak mempedulikan, dia tidak mahu perkara itu menjadi panjang dan melambatkan dia balik bertemu kedua-dua ibu bapanya di rumah. Bertemu Megat Huzair tadi pun merupakan satu perkenalan. Bagi Ariana Citra, ini mungkin langkah kanan dalam misinya.

“Pak Ali, jom. Kita dah lambat ni nanti risau pula mak dan ayah Dewi.”

Sekilas Ariana Citra memandang ke belakang melihat Megat Huzair yang semakin hilang dari pandangan.

Kita akan jumpa lagi Megat Huzair, gumam Ariana Citra dengan senyuman, langkahnya diteruskan menuju masuk ke lif untuk ke parkir kereta.

Sebaik saja kereta yang dipandu Pak Ali bergerak ke jalan raya utama. Ariana Citra mula mengingat pelbagai perkara yang berlaku selama 17 tahun itu. Kembalinya dia ke Malaysia dengan seribu kerinduan terhadap ibunya. Ariana Citra tahu, dirinya berada dalam keadaan yang begitu malang. Ayahnya hidup dengan si ular Zahara bahagia bersama anak-anaknya sementara ibunya pula berada di sebuah tempat yang terpaksa dikurungkan. Jauh dalam hati, Ariana Citra sangat sedih. Sering timbul persoalan dalam dirinya.

Kenapa aku tak macam orang lain? Kenapa papa dan mama macam tu? Ariana Citra menggumam sendiri.

Selama berada di luar negara, Ariana Citra tidak terlalu memikirkan banyak hal tentang keluarganya kerana ingin fokus bergelar seorang peguam yang profesional. Tapi sebaik saja kakinya jejak ke bumi Malaysia. Segala peristiwa yang menyedihkan dalam kehidupannya mulai menerpa satu per satu.

Mama. Mama tak rindu Ariana? desis hati kecil Ariana Citra sambil memandang gambar dalam telefon bimbitnya. Air matanya menitis.

Pak Ali yang berada di depan hanya fokus dengan pemanduan tapi kemudiannya membuka perbualan kerana dirasakan keadaan terlalu sunyi.

“Cik Dewi dah lama tak balik Malaysia?” tanya Pak Ali sebagai mukadimah.

Ariana Citra yang sedang melayan lara hati terkejut seketika, tapi dia kesat setitis air matanya di pipi agar Pak Ali tak perasan.

“Lama jugalah, nasib baiklah bahasa Melayu saya boleh pakai lagi.” Ariana Citra menjawab, sengaja berseloroh menceriakan keadaan.

“Baguslah macam tu, Cik Dewi. Kalau anak-anak pak cik tu belajar dekat luar negara, rasanya balik nak kerja sini pun tak. Ekonomi bukan baik sangat sekarang ni. Luar negara tu banyak peluang.” Pak Ali meneruskan perbualan.

“Biasalah tu, Pak Ali. Luar negara kan standard kata orang. Tapi Malaysia okey apa? Peluang banyak aje kalau pandai cari. By the way Pak Ali, ibu dan ayah saya sihat ke?” tanya Ariana Citra cuba merisik juga, tahu selama ini dia berhubung dengan ibu dan ayahnya itu, tapi manalah dia tahu keadaan yang sebenar.

“Alhamdulillah. Orang baik macam mereka pasti dirahmati. Saya tengok mereka masih lagi macam dulu juga.” Pak Ali menjawab.

“Pak Ali ni dah lama kerja dengan keluarga saya ke?” tanya Ariana Citra.

“Baru juga, selepas kamu belajar di overseas tu,” respons Pak Ali.

“Okey, driver dulu mana?”

“Oh pasal tu, mungkin lebih baik tanyakan papa kamu. Tak elok Pak Ali nak cerita.” Pak Ali menjawab tapi dengan membuahkan persoalan.

Ke mana pula perginya Pak Isa? Driver ni boleh percaya ke? Betul ke ayah dan ibu hantar dia ambil Ariana? Kalau buatnya Pak Ali ni orang jahat macam mana? Ariana Citra mengumam sendirian di kerusi belakang. Bersiap siaga dengan segala kemungkinan.

“Apa maksud Pak Ali?” tanya Ariana Citra lagi inginkan kepastian.

“Tak ada apa, dia dipecat.”

Barulah Ariana Citra dapat pencerahan. Tapi tentang sebab tu kenalah dia tanya dengan ibu dan ayahnya sendiri. Ada juga sekelumit dalam hati kecil Ariana Citra menyatakan yang Pak Isa seorang pemandu yang setia dan profesional. Takkan semudah itu dipecat, lainlah berhenti atau bersara. Buat masa ini, fikiran Ariana Citra berfikir lebih jauh ke hadapan dengan memikirkan sebab dan akibat yang menyebabkan kemungkinan kepada sebuah jawapan. Almaklumlah dalam sesebuah kes, apa yang diperlukan oleh seorang peguam dalam membicarakan kes adalah motif dan tujuan yang membuahkan keputusan yang logik diterima.

 

 

 

“Ayah! Ibu!”

Ariana Citra berlari memeluk ibu dan ayah angkatnya sebaik saja masuk ke dalam rumahnya. Tan Sri Rashid dan Puan Sri Natasha gembira dengan keputusannya untuk kembali ke Malaysia.

“Ariana. Really-really miss you, dear.” Puan Sri Natasha memeluk Ariana Citra lama.

Miss you too, ibu. Ayah juga,” sahut Ariana Citra dengan wajah paling gembira dan bahagia.

Sebulan selepas kejadian yang berlaku pada Ariana Citra dan ibunya. Tan Sri Rashid dan Puan Sri Natasha mencari Khadijah dan sudi membantu Khadijah selepas mengetahui hal buruk yang berlaku kepada keluarga sahabat baiknya itu. Puan Sri Natasha dan Khadijah berkawan rapat semasa kecil dan Puan Sri Natasha takkan membiarkan Khadijah mengalah begitu sahaja. Dialah yang memberi kata-kata semangat dan dorongan kepada Khadijah untuk meneruskan kehidupan baru walaupun tanpa Zakaria.

“Mak Nona, saya terpaksa pergi demi masa depan Ariana.” Khadijah memandang Mak Nona yang kelihatan begitu berat sekali melepaskan Khadijah dan Ariana Citra, dia tahu dunia di Kuala Lumpur itu sangat mencabar bagi Khadijah. Apa lagi perlu berdepan dengan manusia seperti Zakaria.

“Khadijah, kalau ada apa-apa. Mak Nona ada dekat sini.” Mak Nona memeluk Khadijah erat dan kemudian melihat mereka pergi.

Khadijah dan Ariana Citra gembira hidup bersama keluarga Puan Sri Natasha sebelum satu perkara berlaku. Khadijah hilang selama dua minggu sebelum ditemui dalam keadaan tidak waras di sebuah tempat. Tan Sri Rashid dan Puan Sri Natasha pasti, ini semua kerja suaminya Zakaria tapi mereka tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan kes tersebut dengan Zakaria yang ketika itu berada di luar negara. Sukar untuk menuduh. Tapi misteri tentang mengapa Khadijah boleh menjadi begitu masih kekal sebagai persoalan buat Tan Sri Rashid dan Puan Sri Natasha.

Demi membela nasib dan keselamatan Ariana Citra, mereka terus menukarkan nama Ariana Citra kepada Dewi Uqasha, nama anak mereka yang telah pergi semasa usianya setahun kerana penyakit kanser. Mulanya Ariana Citra agak janggal dengan keadaan yang dia mempunyai ibu dan bapa baru. Tapi kasih sayang Puan Sri Natasha dan Tan Sri Rashid lama-kelamaan membuatkan Ariana Citra selesa. Jauh di sudut hati ketika itu sebenarnya Ariana Citra sedar, tiada guna dia membantah. Mereka bermaksud untuk melindungi, bukan menyakiti. Ia juga akan mempermudahkan Ariana Citra kelak, tiada apa yang difikirkan oleh Ariana Citra ketika itu, zaman kecilnya penuh dengan onak dan duri. Daripada sebuah keluarga bahagia dan secara tiba-tiba berubah 360 darjah, ia sebuah kejutan yang dapat menggegarkan emosi tapi berkat kasih sayang orang tuanya kini, dia tidak merasa sebuah kehilangan cuma kadangkala terlalu rindukan ibunya yang selalu mendampinginya.

“Apa khabar, Ariana?” tanya ayahnya tapi Ariana Citra tiada respons.

“Ariana?” Ayahnya bertanya sekali lagi.

Dewi tersentak, pantas menjawab. “Oh, ayah.”

Terbubar lamunannya tentang masa lalu yang sangat pahit. Mereka masih memanggilnya Ariana di rumah, panggilan itu dianggap sebagai panggilan manja Ariana Citra ketika berada di rumah.

“Apa khabar orang overseas kita ni?” tanya ayahnya lagi.

“Alhamdulillah. Baik-baik saja, ayah. Tadi terserempak dengan Megat Huzair di airport.”

“Hah? Awalnya jumpa bakal bos.”

“Macam itulah, ayah. Lagi awal daripada sangkaan.”

So, dah ready ke nak kerja bawah Megat ni?” tanya ayahnya lagi.

“Lebih daripada bersedia ayah. Ariana dah lama tunggu saat ni, bekerja dengan abang Megat, kan?” Ariana Citra tekad.

“Ayah akan arahkan beberapa orang mengawasi dan membantu Ariana. Jangan bimbang. Musuh Ariana. Musuh ayah juga. Ayah akan pastikan apa kamu buat semuanya berjalan lancar. Percaya pada ayah.” Tan Sri Rashid memberi keyakinan.

“Terima kasih ayah, ibu. Ariana akan cuba sedaya upaya Ariana. Syarikat tu akan jadi milik Ariana dan mama…”

Apabila Ariana Citra menyebut perkataan ‘mama’ itu, tiba-tiba Ariana Citra jadi sebak.

“Jangan risau pasal mama kamu, Ariana. Insya-Allah semuanya baik-baik saja. Kamu kena kuat untuk mama kamu.” Puan Sri Natasha memberi keyakinan.

Ariana Citra terus memeluk kedua-duanya erat. Dia kini kembali mahu mengambil haknya!

PERTEMUAN…

 

ARIANA CITRA memandu kereta Audi R8 menuju ke Crystal Suria Holdings. Hari ini dia akan memulakan tugas sebagai Setiausaha merangkap Pembantu Peribadi kepada Megat Huzair di Crystal Suria Holdings. Dia akan membantu Megat Huzair dalam banyak perkara. Kemasukan Ariana Citra ke syarikat itu bukanlah jalan pintas, sebaliknya dia telah menjalani temuduga secara online yang dikendalikan oleh bahagian sumber manusia Crystal Suria Holdings yang membolehkan dia ditugaskan jawatan tersebut.

Ariana Citra tahu, kelulusan serta pengalaman yang dia miliki sebagai graduan undang-undang adalah salah satu kelebihan yang membolehkan dia ditawarkan tugasan tersebut. Tapi itu pun bukanlah satu kelebihan buat dirinya. Alam arena pekerjaan masih ramai lagi orang yang berkemampuan. Ariana Citra perlu meyakinkan yang dia benar-benar layak. Nasib baiklah dia tahu lebih awal mengenai kekosongan jawatan itu. Jika tidak, Ariana Citra akan masuk ke dalam syarikat itu juga tapi dengan jawatan yang lain.

“Ya Allah, Ya Tuhanku… Permudahkanlah semua urusan aku hari ini.” Ariana Citra berdoa. Dia tidak tahu kemungkinan apa yang akan mendatang atau langkah permulaan. Baginya semua itu akan terus dijalankan apabila kakinya melangkah masuk.

Jejak saja kakinya ke pintu masuk syarikat, dia melihatnya betapa gahnya Crystal Suria Holdings yang dibina datuknya Tan Sri Abdullah dengan darah dan kudrat sehingga ia mampu gah begitu membuatkan tekad Ariana Citra untuk merampasnya kembali menggunung.

“Ariana Citra janji atas nama datuk dan atas nama mama yang suatu hari nanti, semua ni akan jadi milik kita kembali. Ariana Citra janji, mama.” Ariana Citra berdesis sendiri melangkah perlahan menuju ke lif.

Ariana Citra masih tak percaya betapa mudahnya seorang peguam syarikat merampas sebuah syarikat dengan nilai berbilion ringgit tersebut hanya dengan penipuan cinta dan perkahwinan. Syarikat Crystal Suria Holdings yang mempunyai hartanah, perhotelan dan pelancongan itu memiliki pelbagai hotel dan resort di pelbagai tempat. Tiada satu sen pun duit yang diberikan kepada ibunya Khadijah dan tiada satu sen pun digunakan untuk Ariana Citra sendiri selepas umurnya 7 tahun. Jika dikirakan kejamnya seorang lelaki bernama Zakaria Abdullah itu kepada dirinya membuatkan Ariana Citra tidak tahu bagaimana dia akan berkompromi selepas 17 tahun dia diabaikan.

Ini darah keringat atuk. Mulai hari ini aku sendiri menganggap aku bukan lagi anak kau, Zakaria. Aku Ariana Citra akan mengambil hak aku! Ini semua hak Ariana Citra, bukan orang luar! Ariana Citra segera melangkah dengan tekad.

Masuk saja di dalam lif Ariana Citra terus menekan tingkat lif di mana dia akan bertemu dengan orang atasan syarikat.

“Tunggu!”

Sebaik saja mendengar suara tersebut segera Ariana Citra menekan punat buka lif.

Seorang lelaki masuk. Kacak dan bergaya.

“Terima kasih, cik.”

“Terima kasih kembali.” Ariana Citra membalas.

Dan apabila diamati. Ariana Citra tahu, dia sedang berdepan dengan antara tiga daripada anak Zahara. Semalam bertemu Megat Huzair, hari ini bertemu pula dengan Khai Huzair, anak kedua Zahara dan ayahnya.

“Encik di tingkat mana?” tanya Ariana Citra sekilas.

“Lif dah gerak. Saya tak payah tekan. Mungkin kita sama tempat.” Khai Huzair menjawab.

Ting!

Sekejap saja lif tersebut tiba di aras 20. Ariana Citra dan Khai Huzair keluar.

By the way, cik ada urusan apa dekat sini?” tanya Khai Huzair, riak wajahnya bak pelakon Azlee Khairi, serius tapi sopan.

“Saya Dewi Uqasha. Setiausaha merangkap Pembantu Peribadi CEO Crystal Suria Holdings yang baru nak melapor diri.” Ariana Citra memberitahu sekali gus memperkenalkan dirinya.

“Okey. Awal kita bertemu. Saya Khai Huzair, orang yang berbalas e-mel dengan awak sebelum ni. Saya Pengurus Kanan Crystal Suria Holdings yang juga uruskan human resource department.”

“Saya tahu,” balas Ariana Citra spontan.

“Macam mana awak tahu?”

“Encik Khai Huzair perkenalkan diri tadi. Tak ingat, ya?”

“Okey. My mistake. By the way, CEO tak ada buat masa ni. Tapi sepertimana yang awak minta sebelum ni. Saya akan bawa Cik Dewi meninjau syarikat sebagai sesi perkenalan. Tugas Cik Dewi sebenarnya banyak since kami tahu Cik Dewi adalah graduan Undang Undang daripada universiti terkemuka. Crystal Holdings perlukan seorang yang efisien dan tangkas dalam membuat keputusan. Saya tahu Cik Dewi faham apa yang saya maksudkan.”

“Saya faham.”

“Bagus. Saya suka orang macam Cik Dewi. Tak banyak tanya.”

Errr, kalau saya tanya sikit boleh?”

“Baru nak puji. Apa dia?”

“Syarikat ni besar. Kenapa lantik seorang saja peguam syarikat merangkap penasihat undang-undang?”

“Sebab ayah saya adalah orang yang mahir dalam undang-undang. Dia akan meneliti kesemua cadangan dan nasihat daripada peguam syarikat. Dia macam legal advisor dalam syarikat ni. Saya harap itu menjawab soalan.”

“Saya faham.”

Dan benar seperti sangkaan Ariana Citra. Ayahnya masih lagi berkuasa dalam undang-undang syarikat dan pembuat keputusan. Halangan besar ini perlu Ariana Citra hadapi dan untuk itu, dia akan selalu bertemu dengan ayahnya yang dibenci itu!

“Kalau macam tu, mari kita berkenalan dengan para staf. Nanti kalau dah kenal senang bekerjasama. Dekat syarikat ni kami tak mengamalkan sebarang kasta dan mempunyai integriti yang tinggi.”

Integriti? Bapak kau orang rampas harta dan syarikat ni daripada atuk aku dan kau orang pula menjawat jawatan tinggi? Wahai abang-abang tiriku, integriti di sini tak wujud! Ariana Citra geram sendiri.

Khai Huzair membawa Ariana Citra berkenalan dengan staf atasan. Syarikat besar seperti Crystal Suria Holdings mempunyai staf yang sangat ramai. Ariana cuma berkenalan dengan semua ketua-ketua jabatan yang juga terbahagi kepada beberapa bahagian. Usai bersuai kenal, Ariana Citra dibawa ke aras pejabatnya.

“Ini pejabat Cik Dewi. Staf-staf dekat luar ni adalah mereka yang akan membantu Cik Dewi.”

“Okey, just a nice office. Thank you.

“Untuk Cik Dewi, kenalah lawa-lawa macam ni, selawa orangnya.” Khai Huzair memuji, sempat mengangkat keningnya.

Mind your gap, Mister Khai Huzair.” Ariana Citra membalas.

Well, harap selesalah on your first day.

Thanks again sebab bawa saya meronda.”

Its okay, most welcome. Enjoy your work here. Kalau ada apa-apa bolehlah hubungi saya. Nak ajak minum ke, makan ke, dinner sama ke…” Khai Huzair sempat lagi menyusun kata-kata, almaklumlah pantang nampak perempuan cantik.

Well, if you insist. Maybe boleh next time.

I mark you word. Okay, see you later, Cik Dewi. Ada kerja nak kena buat. Make yourself comfortable. If you need anything, just tell me.

I will.”

Ariana Citra memerhati Khai Huzair keluar daripada pejabatnya sambil menguntum senyuman.

“Dia ni setahun muda daripada aku atau aku ni kakak dia?” Ariana Citra berteka-teki sendiri, tapi tak mempedulikan. Sekurang-kurangnya, dia dapat mengenali salah seorang daripada anak si ular Zahara.

Melalui pandangan mata kasar Ariana Citra, Khai Huzair tidaklah seperti Megat Huzair, tapi itupun Ariana Citra belum pasti. Ini hari pertama di syarikat, masih belum mengenal sedalamnya lagi peribadi setiap seorang daripada mereka walaupun dia telah ada maklumat mengenai mereka yang diperlukan. Ariana Citra tarik nafas, duduk dan menyelesakan diri. Memandang kiri dan kanan pejabat. Kemudian memegang meja dan menggerakkan tangannya mengusap meja tersebut perlahan.

“Ariana, ini satu permulaan. Ini hari pertama kita. Jejak saja ke sini bererti kita akan mula memasang strategi dari sekarang.” Ariana Citra bersuara kecil penuh tekad.

Kemudiannya dia segera memeriksa semua fail yang diberikan oleh Khai Huzair yang telah diletakkan setiausahanya ke mejanya. Dia semak satu per satu. Sangat kemas, sangat teliti hingga langsung tiada kecacatan yang dilihatnya. Usai memeriksa, dia mengambil beg tangan mencapai telefon bimbit miliknya.

“Hai. Takkan tinggal kat kereta kut? Malasnya nak turun. Mesti ayah ada call atau WhatsApp.”

Ariana Citra segera keluar mahu ke keretanya. Takut pula merisaukan ayahnya yang maha protective itu.

Ting!

Sampai saja sampai lif tersebut ke bawah. Ariana Citra terus keluar dan apabila dia mengangkat saja mukanya dia terus terpandang ayahnya Dato Zakaria dan disisinya Datin Zahara yang terlihat sangat-sangat bahagia. Melihat saja perempuan ular itu kemarahan Ariana Citra meluap-luap!

Tenang, bisik hati kecilnya. Segera dia melangkah, melempar senyuman kepada ayahnya yang berada di depannya dan mahu berlalu. Jika dulu wajah itu adalah wajah yang paling dinantinya, tapi kini wajah itu adalah wajah yang paling benci dilihatnya dalam dunia! Ikutkan hati mahu saja Ariana Citra ambil asid dan simbah ke orang tua itu!

Excuse me?”

Tiba-tiba saja ayahnya bersuara, menghentikan langkahnya. Ariana Citra pandang ke belakang.

“Saya?” tanya Ariana Citra.

“Ya, awak. Awak siapa?”

“Saya Dewi Uqasha. Setiausaha merangkap PA Encik Megat Huzair.” Ariana Citra memperkenalkan sambil dipandang atas bawah oleh Zahara.

“Oh, okey. Pekerja baru yang akan berada di bawah saya dan juga Megat Huzair. Saya ada semak application awak, graduan undang-undang universiti terkemuka. Saya pasti awak dah kenal saya. Ini isteri saya Zahara.” Ayahnya memperkenalkan.

Dan mahu tidak mahu, Ariana dan Datin Zahara bersalaman. Saat mereka bersalaman. Mahu saja dia patahkan tangan perempuan ular tersebut ketika itu.

“Saya Dewi Uqasha.” Spontan dia menyebut namanya sekali lagi, bukan apa, terdapat sedikit kegugupan dalam hati kecil Ariana Citra, kemudiannya dibalas senyuman oleh Datin Zahara.

“Selamat Datang ke Crystal Suria Holdings. Cik Dewi Uqasha, kita akan bertemu lagi. By the way, mingu depan my birthday celebration. Jemputlah datang.”

“Oh, Insya-Allah.” Ariana Citra tersenyum atas jemputan tersebut.

Dato Zakaria memegang tangan Datin Zahara dan memandang Ariana Citra, “Cik Dewi Uqasha, kami kena gerak dulu. See you later.”

Dewi Uqasha angguk. Kemarahannya ketika itu terpaksa ditutupi dengan senyuman. Melihat saja Datin Zahara yang memegang lengan ayahnya begitu mencucuk-cucuk hatinya, sepatutnya lengan itu dipegang ibunya. Ariana Citra segera melangkah, sempat melintasi kereta ayahnya. Seorang pemandu yang dikenalinya berdiri di tepi kereta. Mungkin menunggu Zahara untuk ke mana-mana. Ariana Citra lihat Pak Idris yang sudah separuh umur itu masih setia bekerja dengan ayahnya dari muda.

Sekilas Pak Idris memandang Ariana Citra yang memerhatikannya. Dan saat mata Ariana Citra dan Pak Idris bertemu dengan matanya, Pak Idris teringatkan seseorang!

MAMA…

 

SELEPAS seminggu bertugas di Crystal Suria Holdings untuk mempersiapkan diri bagi mengumpul maklumat-maklumat yang boleh dijadikan sebagai bahan-bahan untuk menjatuhkan syarikat itu. Ariana Citra tidak lupa satu perkara. Dia masih belum melawat ibunya di hospital mental. Dia selalu terfikir, alangkah indahnya kalau ibunya dapat melihat dia kini, menghabiskan belajar dan kini membela nasib mereka 15 tahun lalu. Tapi semuanya tidak kesampaian. Sesekali Ariana Citra terfikir, kenapa kehidupannya tidak bahagia seperti orang lain? Kenapa dan kenapa? Ariana Citra sendiri tiada jawapan. Satu yang Ariana Citra pegang dalam hidupnya adalah, Tuhan akan sentiasa menguji hamba-hamba yang disayanginya.

 

 

“Saya Dewi Uqasha. Saya ada call pihak hospital sebelum ni. Boleh saya masuk?” tanya Ariana Citra sebaik saja dia sampai ke kaunter yang menempatkan dua orang jururawat bertugas.

“Sekejap ya, cik?” sahut salah seorang jururawat tersebut sambil memeriksa data di salah sebuah komputer.

“Okey, baik Cik. Mari ikut saya.”

Ariana Citra mengikut jururawat tersebut. Sebuah hamper dibawa bersama, mengandungi coklat dan buah-buahan serta bunga dengan harapan dia akan boleh berbual dengan ibunya walaupun sekejap.

Sampai saja di depan pintu bilik ibunya, jururawat berhenti dan memandang Ariana Citra, “Cik Dewi Uqasha. Mohon hati-hati. Pesakit boleh bertindak agresif.”

“Dia ibu saya. Saya tak takut.” Ariana Citra menjawab, kelihatan agak tegas. Membawa dirinya sebagai seorang peguam di depan jururawat tersebut, apatah lagi sebenarnya Ariana Citra tidak suka ibunya itu diklasifikasikan sebagai orang gila agresif dan merbahaya! Dia pantang sesiapa sahaja cuba menyebut ibunya sebegitu.

Klak!

Pintu dibuka oleh penjaga hospital yang ditugaskan. Ariana Citra segera masuk ke dalam lalu meluru memeluk ibunya.

Mama!”

“Pergi! Pergi! Pergiii!”

Ariana Citra ditolak kuat lantas terhentak ke dinding. Tapi dia tidak mengalah, tetap memandang ibunya dengan harapan yang menggunung. Harapan yang dia harap ibunya akan mengenalinya dan melayan dia seperti dia masa kecil dahulu. Ariana Citra lihat ibunya tidaklah begitu serabut, dia dijaga dengan rapi di situ cuma kelihatan kurus berbanding dulu.

“Mama, ini Ariana. Anak mama. Ariana anak mama.” Ariana Citra masih tak putus asa dan memegang tangan ibunya erat.

“Pergi! Perempuan jahat! Perempuan jahat! Pergi! Kau dah bunuh Ariana… Pergiii!” Khadijah bertindak kasar dan menolak tangan Ariana Citra, lagaknya seolah tidak mahu mendengar apa-apa.

“Ariana anak mama datang, ini Ariana, mama.” Ariana Citra cuba lagi.

Tapi sekali lagi Khadijah memegang Ariana Citra dan menolaknya ke pintu.

“Ariana dah mati, Ariana dah mati. Ariana kena bunuh, Ariana kena bunuhh! Kena bunuh, kena bunuh!” teriak Khadijah kuat.

“Mama! Ariana tak mati! Ariana masih hidup! Masih hidup! Saya Ariana anak mama!” Ariana Citra tetap cuba meyakinkan ibunya walau dalam apa jua keadaan.

Sekali lagi dia memeluk ibunya kuat dan sekali itu juga ibunya meronta-ronta minta dilepaskan.

“Ariana dah mati! Pergi kau! Pergiii!”

“Mama! Ini Ariana, ma. Ariana anak mama. Masih hidup!” Kali ini Ariana Citra menjerit lebih kuat!

“Pergi! Pergi kau, Zahara! Pembunuhhh! Kau pembunuh!” Dan jeritan itu dibalas ibunya lebih kuat sehingga penjaga hospital terpaksa membuka pintu.

“Cik, mohon keluar. Kami tak mahu pesakit kami tertekan. Mohon, cik. Pesakit boleh bertindak agresif dan mencederakan cik. Kami tak mahu sebarang risiko.” Penjaga hospital memberi arahan dalam nada toleransi meminta kerjasama.

Ariana Citra akur. Hamper yang dibawanya tadi dilempar ke sana sini oleh ibunya. Bunga-bunga pula dipatahkan seperti patahnya hati Ariana Citra ketika itu. Tapi Ariana Citra tetap bersyukur, dia dapat bersua empat mata dengan ibu yang sangat-sangat disayanginya itu walaupun berada di hospital mental.

“Ariana balik dulu, mama. Assalamualaikum.” Ariana Citra cuba lagi mendekati Khadijah.

“Pergi! Pergi! Kau pembunuh! Kau pembunuh, Zahara!” Khadijah menyergahnya kuat!

Dan lagi-lagi nama perempuan itulah yang akan disebut oleh ibunya sejak dulu. Kenapa bukan Zakaria? Kerana ibunyalah Ariana Citra menyiasat siapa gerangannya Zahara yang sebenar. Dan saat dia mengetahui Zahara merupakan seorang manusia yang boleh melakukan apa sahaja, Ariana Citra sudah siap siaga, wanita itu perlu dihapuskan seberapa segera sebelum menjadi penghalang. Tapi rupa-rupanya bukan mudah kerana ada Farouk abangnya yang sentiasa melindungi Zahara.

“Pembunuhhh! Kau bunuh Ariana! Pembunuh!”

Dan jeritan ibunya makin kuat. Ariana Citra terpaksa melangkah pergi. Dendam dalam hatinya membara-bara.

“Aku akan balas apa yang kau dah buat, Zahara! Aku akan! Demi Tuhan, aku akan. Aku akan biar kau rasa apa yang mama aku rasa selama 15 tahun itu. Aku akan!” Ariana Citra tekad, tangannya dikepalkan erat-erat.

Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya berlaku kepada ibunya Khadijah semasa ibunya memohon bantuan Zakaria yang maha kejam itu. Ibunya hilang selama dua minggu seolah-olah telah diseksa dengan teruk dari segi mental dan fizikal. Badannya pula luka-luka, tapi luka-luka itu dibuat oleh ibunya sendiri. Fikirannya pula tidak waras sewaktu ditemui oleh Tan Sri Rashid, ibunya lupa segalanya. Hanya perkataan sama yang muncul dari mulutnya. Zahara, Ariana dibunuh, pembunuh. Ibunya kelihatan sangat trauma dan fobia, berteriak sehingga terpaksa diletak di dalam wad tersebut. Pelbagai usaha telah dilakukan tetapi semuanya tak menjadi.

“Kau tunggu, Zahara!”

Bertahun masa yang diambil oleh Ariana Citra untuk memulakan misinya. Walaupun berada di luar negara, Ariana Citra telah menyiasat kesemua tentang Zahara, ayahnya dan tiga orang adik-beradik tirinya. Apa mereka buat, siapa mereka, hubungan mereka, cara hidup mereka. Bahkan semuanya. Ariana Citra sampai tahu apa yang mereka suka makan dan tak suka makan. Malahan warna baju kegemaran mereka sekalipun. Dari situlah Ariana Citra mengenali mereka secara lebih dekat sebelum berhadapan dengan mereka.

Segera Ariana Citra capai telefon bimbitnya, menghubungi seseorang. Dia tahu, bukan saja Zakaria ayahnya yang perlu dibencinya tapi juga Zahara yang menjadi punca kesemuanya. Tapi sebenarnya, seluruh keluarga perampas kebahagiannya itu yang perlu dibenci termasuk anak-anak Zahara yang mengambil haknya!

“Helo, saya nak awak buat apa yang saya nak tu sekarang juga! Kita kena bagi salam perkenalan dekat ular tu.”

“Baik, Cik Dewi. Clean and clear.”

Good job, Isa. pastikan semuanya terkawal. Keep it clean, ingat ni iklan shampoo ke clean and clear bagai.”

Errr. Baik, bos. Sorry.”

“Okey, buat cepat. Selesai semua ni info saya terus. Ada kerja ada bayaran, ingat tu.”

Orait, bos!”

Ariana Citra menguntum senyuman, bibir merahnya umpama menyala-nyala kelihatan pada cermin tengah kereta.

“Rasanya ni mesti hadiah birthday Zahara yang paling best sekali tahun ni. Hahaha!” Ariana Citra bersuara puas. Setidak-tidaknya ini adalah sekelumit kecil cara untuk dia menghulurkan salam perkenalan kepada Zahara dan Farouk.

Sementara itu di sebuah tempat, Isa dan orang-orangnya telah siap siaga melakukan tugas yang diamanahkan oleh Ariana Citra, walaupun nampak mudah tetapi Isa tetap berhati-hati dengan keadaan sekeliling, bak kata pepatah air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Mereka memerhati dari jauh seorang remaja perempuan berumur lingkungan 20 tahun sedang keluar dari kolej bersama rakan kuliahnya.

“Okey guys, get ready!” Isa memberi arahan sambil mengumpul senyuman memerhatikan remaja perempuan itu bergerak keluar menuju ke kereta yang disediakan bersama rakan-rakan kuliahnya.

“Kau nak ke mana, Maisara?” tanya teman kuliah Maisara, Juwita.

“Kau tahulah my mom, kan? Pergi balik kolej kena ikut driver. Mana boleh nak jalan sana sini bagai. Bahaya katanya.”

“Ala…. Tak bestlah macam ni. Kan dah janji nak window shopping kat Pavi hari ni.”

Sorry, Juwita. Got to go. Bye.”

“Ala, kau mintalah excuse. Pak Idris kan sporting. Boleh cover kau punya.” Juwita tak henti memujuk. Saja melahirkan penentangan dalam diri remaja Maisara yang masih muda tapi terkongkong itu.

“Lepas tu Pak Idris kena marah, kesian pula orang tua tu nanti. It’s okay, aku janji weekend ni kita keluar sama.”

“Keluar dengan akak bodyguard Tasha tu. Baik tak payah. Semua pun tak boleh.”

“Okeylah juga dapat keluar.”

“Aku tak tahulah dari planet mana bodyguard perempuan mak kau tu, muka bengis semacam. Senyumnya tak pernah nak nampak. Aku jadi takut bila dekat-dekat dengan dia. Seram.”

“Dahlah, Juwita. Aku dah lambat ni. Kesian Pak Idris tunggu lama tu. Aku gerak dulu.”

“Okey, dear. Jangan lupa, this weekend, tak ada siap!”

“Okey. I will. Call me okay?”

Juwita dan Maisara berlaga pipi kanan dan kiri tiga kali sebelum Maisara masuk ke dalam kereta.

“Cik Maisara, Datin Zahara pesan lepas keluar dari kolej terus balik.” Pak Idris mengingatkan, mungkin Maisara mengambil masa terlalu lama berborak dengan Juwita tadi hingga mengganggu masa yang telah ditetapkan oleh Pak Idris.

“Nanti cakap dekat mama, Maisara ada discussion tau, Pak Idris. Faham-fahamlah mama tu semua benda nak bebel. Bernanah telinga Maisara ni,” pinta Maisara.

“Okey, cik.” Pak Idris faham dan terus memandu kereta keluar.

Maisara terasa hidupnya dikongkong macam budak kecil, hendak ke mana-mana perlu ada Pak Idris. Hidupnya pergi dan balik kolej kemudian duduk rumah. Dia tak dibenarkan ke mana-mana seorang diri.

Kalaulah aku hidup biasa saja kan baik. Maisara terfikir sambil memandang remaja perempuan seusianya yang menunggu bas Rapid KL di perhentian bas berdekatan, dia cemburu dengan kehidupan mereka, dapat pergi ke mana-mana sendiri, apa lagi ada yang bersama dengan teman-teman berborak dan berkawan. Bebas macam burung yang dapat menentukan hala tuju begitu.

Dia? Langsung tiada peluang. Apalah dayanya melawan.

Maisara melabuhkan kepalanya, dia bosan! Hidup seperti ini samalah hidup macam dalam sangkar. Dia bukan budak-budak! Mahu berjalan-jalan di pusat membeli-belah perlukan pengawal peribadi, perkataan riang dan gembira semasa berada di luar itu langsung tak wujud. Tapi Maisara cuba faham dia, dirinya dan keluarganya.

“Musuh di mana-mana, Maisara. Kamu perempuan.” Ibunya Datin Zahara seringkali mengingatkannya. Kata-kata itu selalu saja terngiang-ngiang di dalam kepalanya apabila dia cuba meminta apa-apa untuk keluar terutamanya dengan kawan-kawannya.

“Kenapa dengan kereta ni?” Tiba-tiba saja Pak Idris bersuara semasa memandu memandang asap keluar daripada enjin kereta di hadapan, Maisara pula pandang sekejap tapi tak mempedulikan, lagi pula apa saja yang dapat dibantunya.

“Cik Maisara, saya check dulu, ya?”

Pak Idris terus keluar daripada kereta selepas memberhentikan kereta di tepi jalan yang sedikit sunyi. Dipandangnya kiri dan kanan sebelum mahu memeriksa enjin kereta yang dia lihat berasap sedikit tadi. Pak Idris pasti, ada sesuatu yang berbahaya menanti. Oleh kerana itulah matanya siap siaga dengan apa saja. Pistol yang disediakannya memang siap-siap disisipkan dipinggangnya sebagai langkah berjaga-jaga. Anak majikannya perlu dilindungi hingga ke titis darah terakhir sekiranya perlu.

Urghhh!”

Pak Idris memandang langit dan pandangannya perlahan-lahan kabur…