Rahsia Diari Merah

RM26.00

Penulis: Iman Fadia

Caption: sebuah catatan yang belum terungkai

ISBN: 978-967-406-259-0

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

ADAM, penyiasat persendirian separuh masa terjebak dengan kemunculan sebuah diari merah yang tiba-tiba dihulurkan kepadanya ketika satu kejadian di sebuah restoran. Perasaan ingin tahu yang membuak pada diari merah usang itu, telah mengheret Adam ke dunia yang penuh drama dan mistik.

HAWA, menjadi pelarian dan buruan diari merah yang disimpannya. Diari merah itulah yang membawa pertemuan Hawa dan Adam ke dalam kancah sihir dan dendam. Siapa sangka, penyiasatan Adam ke atas sebuah banglo putih di sebuah kawasan elit dahulu ada kaitan dengan diari merah itu. Diari merah yang menjadi bukti siapa dalang di sebalik kematian misteri mereka.

Kemunculan BENJAMIN, SAKINAH dan KAMIL, kawan satu sekolah dahulu telah menghuru-harakan penyiasatan Adam! Siasatan Adam telah membawa kepada pembongkaran misteri seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Mr. X. Siapakah yang sebenarnya menjadi dalang dalam kematian keluarga Hawa? Jawapan yang anda cari ada di dalam novel penuh thriller dan seram ini!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

ANGIN bertiup agak kencang. Rona awan yang cerah dan biru di dada langit sudah mula berubah kelabu dan sedikit demi sedikit menjadi kelam. Daun-daun kering mula berterbangan ditiup angin. Rumah banglo putih dua tingkat itu diperhatikan. Pokok menjalar yang melilit di sepanjang pagar rumah sudah memenuhi dinding luar rumah yang turut dipenuhi lumut hijau.

Dari dalam kereta, cermin kereta diturunkan perlahan. Kaca mata hitam yang melekat di mata ditolak ke atas kepala. Lensa kamera difokuskan pada segenap ruang di halaman luar rumah itu.

Klik! klik! Klik!

Pintu kereta dibuka. Rokok yang masih bernyala yang diletakkan di atas dashboard kereta dicapai semula lalu disumbat ke mulut. Berkepul asap dihembus. Matanya masih menghala pada rumah putih itu. Senyuman kelat terukir di bibir. Sayang, rumah yang begitu besar dan cukup luas halaman itu ditinggalkan begitu sahaja. Cat yang sudah banyak tertanggal kesan berpanas hujan jelas kelihatan pada dinding. Kamera Canon EOS-1DX yang sentiasa di tangannya difokuskan lagi ke arah banglo putih.

Klik! Klik! Klik! Beberapa ruang sekitar laman dirakam sebanyak mungkin.

Perlahan Adam menapak ke anjung rumah. Pintu rumah cuba ditolak perlahan. Krikkkk… jelas bunyi pintu yang sudah lama tidak dibuka kedengaran di telinga. Nampak sangat rumah itu sudah lama tidak berpenghuni. Tercegat dia di muka pintu. Suasana di dalam rumah itu suram dengan hanya sedikit cahaya yang menerobos dari celah jendela kaca yang sudah pecah.

Hmmm… Agak kemas…”

Kakinya diatur perlahan melangkah masuk ke dalam. Kain putih yang menutupi perabot rumah itu sudah lusuh dan berwarna kuning keperangan. Sekali lagi lensa kamera dihala ke segenap ruang dalam rumah itu.

Klik!Klik! Klik!

Adam mendongak ke tingkat atas. Berhati-hati dia menapak anak tangga menuju ke setiap bilik yang tidak berkunci. Lantas lensa kamera difokuskan sekali lagi.

Adam perhatikan di setiap ruang yang ada. Memang ada kesan merah yang seakan-akan melekat pada lantai dan memercik ke dinding. Warna merah itu cuba dihidu. Darah! Bau hanyir masih bersisa seolah-olah darah itu masih segar walaupun sudah agak kering. Dia menekup hidung.

“Takkan masih berbau? Apa yang aku tahu rumah ni sudah lama ditinggalkan…”

Adam meliar memerhati sekeliling. Keadaan di dalam bilik itu memang menyeramkan namun tiada tanda-tanda ada kes baru berlaku di situ.

Bebola matanya tertoleh sebentar ke arah cermin meja solek. Ternampak kelibat hitam dari dalam cermin. Cepat-cepat Adam pandang ke arah ruang di sebelah katil kayu lama berukir bunga raya. Tiada sesiapa di situ. Dia mengalih pandang pada cermin semula. Tiada apa-apa.

Adam segera menapak keluar dari situ dan kembali ke ruang tamu. Susunan perabot di ruang tamu kelihatan kemas. Tidak berselerak dan tidak ada tanda-tanda diceroboh. Sebelum dia melangkah keluar dari banglo, sekali lagi lensa kameranya difokuskan pada segenap ruang.

Dia menapak semula ke kereta. Kamera diletakkan di sebelah tempat duduk penumpang. Enjin kereta mula dihidupkan dan perlahan dia meninggalkan kawasan banglo putih. Dia berharap kes yang dikendalikannya kali ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. Daripada apa yang dilihat tadi di banglo itu, dia boleh mengagak kes itu rumit. Kes sebelum ini tidak serumit ini. Pedal minyak ditolak semakin kuat dan menderum keretanya menuju ke arah bandar Kuala Lumpur semula.

ADAM memberhentikan keretanya di hadapan sebuah restoran. Dari pagi lagi dia tidak mengisi perut. Usai solat subuh tadi, dia terus memandu ke destinasi. Setelah menyimpan kamera di dalam beg, dia mula melangkah keluar dari perut kereta. Jarum jam tepat menunjukkan 10 pagi. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi sebuah meja makan yang terletak di kaki lima restoran itu. Dia mendongak ke dada langit. Cuaca yang mendung tadi sudah kembali cerah. Makanan mula dipesan. Pagi itu dia mengisi perutnya dengan dua keping roti canai dan dua biji telur separuh masak bersama kopi O pekat panas.

Kopi O panas itu dihirup perlahan. Otaknya masih memikirkan suasana di banglo putih tadi. Ligat dia berfikir bagaimana untuk menyiasat kes itu. Kes yang sudah sepuluh tahun berlaku. Ah! Pening otaknya kali ini.

“Assalamualaikum, Adam…”

Adam mendongak. Seorang gadis berbaju kurung biru laut tersenyum manis.

“Waalaikumussalam… Errr… Awak siapa?” Adam berkerut kening. Gadis itu dipandang tidak berkelip.

“Boleh saya duduk?”

Adam mengangguk perlahan. Gadis itu diperhatikan lagi. Memang dia tidak kenal siapa gadis itu yang tiba-tiba menegurnya dan apa yang lebih pelik, gadis itu tahu namanya.

“Adam apa khabar?”

Adam masih keliru.

“Maaf… Awak siapa?”

“Takkan awak tak kenal saya?”

Keningnya semakin berkerut. Wajah gadis itu diamati dan cuba mengingati semua kawan perempuan yang pernah dia kenal. Satu pun tidak sama dengan wajah gadis yang sedang duduk di depannya ini. Adam menggeleng perlahan sambil mata tidak lepas daripada memandang gadis itu. Jelas dia melihat gadis itu sudah berubah riak.

“Saya Kinah. Sakinah. Takkan tak ingat? Dulu saya di kelas lima intan masa di SMK…”

Adam masih memerhati gadis itu. Dia cuba mengingati siapa gadis yang bernama Sakinah itu. Gadis itu masih memandang tepat ke arahnya. Mungkin tidak sabar mendengar jawapan daripadanya.

“Lima intan… Oh ya, kelas tu hanya sebelah kelas saya aje. Jadi… Awak Sakinah Hamid, budak tomboi tu?” Adam mula meneka.

“Pandai pun… Ya, betul tu.” Sakinah sengih. Dia tertunduk malu. Memang dulu dia seorang tomboi. Malu sebenarnya untuk dia menyebut perkataan yang sudah lama dibuang daripada kamus hidupnya.

Adam mula mengukir senyum. Hampir tidak cam wajah gadis itu tadi. Gadis itu dilihat sudah jauh berubah. Sopan dan ayu dengan baju kurung dan tudung lilit. Tadi dia tidak sedikitpun melemparkan senyuman pada gadis itu. Bukan prinsipnya untuk mengukir senyum pada seorang perempuan. Mana tahu mereka itu semua mungkin kekasih orang, tunang orang atau isteri orang. Silap hari bulan kena penumbuk percuma jika tidak kena gaya. Jadi, lebih baik buat hal sendiri.

“Awak buat apa kat sini? Errr… Maksud saya… Kerja ke?” Adam mula ramah.

“Ya, tadi saya ternampak awak di sini. Mula tu takut juga nak tegur tapi bila saya pasti itu adalah awak, jadi saya beranikan diri tegur awak…” Sakinah senyum lagi. Lega bila lelaki di depannya ini sudah mula kenal siapa dia sebenarnya. Lelaki yang sekampung dengannya itu ditatap seketika. Sejak dulu dia menaruh hati pada Adam. Tidak sangka, dia akan berjumpa Adam di kota metropolitan ini setelah lebih sepuluh tahun tidak bersua.

Adam mula pesan makanan untuk Sakinah. Mereka menyambung berbual. Adam hanya tersenyum bila gadis itu bercerita kisah zaman sekolah dan zaman budak-budak. Dia baru teringat dan perasan, sejak di sekolah lagi Sakinah asyik mencuri pandang.

Hmmm… Lucu juga ya. Saya tengok awak ni berlainan sekarang. Dulu tomboi tak ingat dunia… Sekarang ni manis…” Adam jujur memuji.

Sakinah tunduk. Sungguh dia begitu mengharapkan kata-kata itu adalah ikhlas dari mulut Adam. Ingin saja dia meluahkan isi hatinya yang terpendam sekian lama. Namun dia hanya seorang perempuan yang masih tebal dengan rasa malu.

“Sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula manusia macam saya ni…” Sakinah senyum lagi. Jus oren diteguk seketika.

Hmmm… Dah nikah?”

Terdongak Sakinah sebaik soalan itu menerjah telinganya.

“Kenapa?”

“Gadis secantik awak ni cepat saja disambar lelaki. Rasanya belum habis SPM lagi sudah ada yang menunggu untuk memetik.” Adam sengih. Saja dia mengaju soalan seperti itu pada Sakinah. Dia cuba mengawal perasaannya ketika ini. Dulu dia juga pernah suka pada gadis itu yang berlagak seperti tomboi semasa di sekolah tetapi hati lelakinya terlalu ego.

Sakinah tunduk semula. Kata-kata Adam itu begitu membuatnya merasa sebak. Kalaulah lelaki di depannya ini tahu yang selama ini dia begitu mengharapkan kasih dan cinta sehingga menolak banyak pinangan.

“Saya tunggu seseorang…” Sakinah pandang semula ke arah Adam yang tersenyum padanya.

“Siapa?”

Belum sempat Sakinah menjawab, tiba-tiba meluru seorang gadis berbaju kurung agak lusuh ke arah mereka dan merempuh meja. Habis terjatuh gelas dan pinggan yang berada di atas meja bila meja makan mereka dilanggar dengan kuat. Meja mereka mula menjadi tumpuan pelanggan yang lain.

Adam bingkas bangun dari kerusinya. Gadis itu pucat dan ketakutan. Termengah-mengah gadis itu menahan lelah sambil memeluk beg sandang berwarna hitam. Sesekali gadis itu dilihat menoleh ke belakang dengan wajah ketakutan.

“Cik… Kenapa ni?” Adam mula bertanya.

“Maaf… Saya tak sengaja. Saya… Saya…” Gadis itu pandang lagi ke belakang. Wajahnya semakin pucat.

Adam dan Sakinah turut melihat ke arah tempat yang dilihat oleh gadis itu. Tiada apa-apa yang berlaku.

“Cik kena kejar ke?” Sakinah pula bertanya.

“Maaf… Saya kena pergi. Tolong ambil ni…” Sebuah buku merah dikeluarkan dari beg sandangnya dan diletakkan di atas meja. Dia terus berlari pergi dari situ.

Adam dan Sakinah terpinga-pinga. Buku berkulit merah yang sudah pudar warnanya itu dipandang sekilas. Cepat-cepat Adam sorokkan buku itu bila terpandang dua orang lelaki sedang melilau mencari sesuatu. Kelihatan kedua-kedua lelaki itu tercungap-cungap seolah-olah baru sahaja lepas berlari pecut. Mungkin mereka itulah yang mengejar gadis tadi. Bila melihat kedua-dua lelaki itu sudah pergi dari situ, Adam duduk semula. Meja yang senget tadi dibetulkan. Pelayan restoran pula mula mengutip gelas dan pinggan yang jatuh ke lantai tadi sambil meminta maaf pada Adam dan Sakinah.

“Buku apa tu?” soal Sakinah. Tadi terkejut seketika dengan kejadian yang tidak semena-mena. Tiba-tiba meja mereka dirempuh.

“Entah… Macam diari…” Adam mula membelek-belek buku merah di tangannya. Tali benang yang diikat pada buku itu dibuka perlahan.

Wait… Kalau diari, awak tak boleh buka. Itu dah dikira menceroboh privasi orang lain.” Sakinah menahan Adam daripada membuka diari merah itu.

“Kalau dah serah kat saya, bukan lagi menceroboh namanya Cik Kinah, oi…” Adam sengih. Dia tidak jadi membuka diari merah itu. Tali yang melilit diari merah itu diikat semula. Kemas.

“Awak nak buat apa dengan diari tu?” Sakinah masih memandang buku merah yang ditinggalkan oleh gadis yang tiba-tiba melanggar meja mereka tadi.

“Tak tahu lagi… Balik rumah nanti, saya akan tengok macam mana…” Adam senyum. Dia mula minta diri.

Sakinah turut bingkas bangun dan hanya tersenyum memandang Adam yang sudah menapak ke kereta yang diletakkan agak jauh dari restoran itu. Matanya tidak lepas dari memandang lelaki itu. Sakinah menghela nafas. Tadi dia sempat memberikan nombor telefon pada Adam walaupun Adam tidak meminta dan Adam tidak pula ingin memberi nombor telefonnya. Langkah Sakinah diatur lemah menuju ke bangunan pejabatnya semula yang terletak tidak jauh dari restoran itu. Perasaan terujanya tadi mula berubah hambar.

ADAM yang sudah menapak masuk ke dalam kereta mula memandang ke arah Sakinah yang sudah meninggalkan restoran itu. Dia hanya mengukir senyum. Gadis itu dipandang sehingga hilang dari pandangannya. Entah kenapa, saat terpandang wajah putih gadis itu tadi, hatinya berdetak kuat. Dia cuba mengawal diri.

“Dia tunggu siapa agaknya?” Adam masih meneka sendiri. Teringat kata-kata Sakinah tadi yang dia menunggu seseorang bila hal itu diungkit.

Matanya melirik pula pada diari merah. Sungguh kejadian tadi begitu mendadak. Gadis berbaju kurung lusuh tadi hilang begitu sahaja.

Hmmm… Mungkin diari merah ni ada jawapannya..” Adam senyum. Bertambah lagi kes.

Keretanya dipandu perlahan meninggalkan tempat letak kereta itu menuju ke rumahnya. Hari ini dia perlu gunakan masa yang ada untuk menyiasat semua itu. Cuti yang diambil perlu digunakan sebaik mungkin. Esok dia akan bekerja seperti biasa.

ADAM henyak tubuh di sofa seketika melepaskan penat. Pulang dari restoran tadi, dia tidak melencong ke lain. Pertemuan yang tidak disangka dengan Sakinah tadi cukup membuatkan hatinya terusik kembali. Selama ini tidak pernah terfikir untuk mencari gadis itu sekembalinya ke tanah air.

Haih… Dia dah ada pilihan hati rupa-rupanya…” Adam senyum kelat. Masih terngiang-ngiang kata-kata gadis itu tadi. Tunggu seseorang…

“Makin cantik minah tu. Sayang, dia sudah berpunya…” Adam mula terasa kehilangan.

Kali ini fikirannya melayang pula pada rumah banglo putih. Masih jelas terbayang di ruang fikirannya tentang keadaan rumah banglo putih tadi. Dua minggu lepas dia didatangi seorang lelaki yang agak berumur dengan sekeping kertas yang tertulis alamat banglo itu. Satu sampul surat coklat turut diberi kepadanya tanpa banyak soal.

Lelaki itu hanya bercakap sekejap saja. Terkejut melihat isi kandungan sampul coklat yang dihulur lelaki itu. Sekeping cek bernilai lima puluh ribu ringgit diberi sebagai upah. Entah dari mana lelaki itu dapat tahu yang dia buat kerja sambilan seperti itu. Itu pun secara tidak sengaja.

“Rumit kes tu… Aku pun tak berani masuk ke rumah tu acapkali. Macam ada sesuatu…” Adam masih berfikir. Nota sekeping yang diberikan kepadanya dulu jelas menyuruhnya menyiasat kematian satu keluarga di rumah itu. Kematian misteri yang masih belum terungkai.

“Pelik… Aku bukan penyiasat paranormal. Kes ni dah lama ditutup oleh pihak polis kerana tiada bukti kukuh mensabitkan kesalahan kepada sesiapa.” Adam teringat pula pada siasatannya minggu lepas. Keratan akhbar mengenai kematian misteri sekeluarga di banglo putih itu menjadi bualan seluruh masyarakat. Apa lagi penduduk yang tinggal di sekitar kawasan perumahan itu.

Adam capai pula beg sandangnya dan dikeluarkan diari merah yang dihulur gadis yang merempuh mejanya tadi. Kejadian di restoran tadi juga masih menjadi tanda tanya baginya.

Siapa gadis itu?

Siapa yang mengejar gadis itu dan kenapa sampai begitu sekali gadis itu dikejar?

Adakah kerana diari merah itu???

“Misteri betul… Aku pula yang tersangkut dengan diari ni…” Adam perhatikan diari merah yang agak lusuh itu.

Warna merah kulit diari itu sudah pudar dan menggelupas. Dia buka perlahan tali yang mengikat buku kecil itu. Perlahan dia membelek satu per satu muka surat yang bertulis tulisan tangan. Tiada yang pelik, hanya catatan diari harian kehidupan seorang gadis. Bebola matanya terhenti pada satu muka surat.

Januari 21, 2009.

Aku gembira dapat berpindah ke rumah baru. Suasana di kawasan perumahan ni cukup tenang kerana jauh dari hiruk-pikuk bandar. Rumah yang luas dan lengkap ini akan aku huni mulai hari ini. Aku hentikan coretan ini di sini dulu. Ada kelas.

Adam belek pula muka surat seterusnya. Kosong! Muka surat seterusnya juga kosong. Namun ada beberapa muka surat yang hilang, kesan dikoyak. Dibelek lagi muka surat seterusnya. Ada catatan yang ditulis di halaman itu.

Mac 23, 2009.

Hampir dua bulan aku menghuni rumah ini. Keadaan masih tenang dan damai. Aku gembira dengan family tapi aku benci dengan S. Cinta yang ditabur ternyata hanya bertuhankan nafsu! Mamat tu desak aku!!! Aku tak suka didesak! Tak suka!

Kening Adam bertaut. Coretan diari di muka surat itu cukup menafsirkan yang penulis itu tidak suka pada seseorang yang hanya dikenali dengan S. Jelas perkataan tak suka dan benci itu dihitamkan dengan torehan dakwat pen berkali-kali. Namun setakat yang dibaca, tiada satu pun yang mencurigakan atau menjadi punca diari merah itu dikehendaki kedua-dua lelaki yang mengejar gadis itu.

Diari merah diletakkan di atas meja sofa sebaik dia terdengar deringan telefon bimbit. Panggilan itu dijawab mesra. Dia bingkas bangun dan capai beg sandang yang mengandungi kamera. Diari merah itu juga turut diambil. Adam menapak ke bilik di tingkat satu rumahnya. Sekejap lagi, dia akan ke rumah orang tuanya. Dia sudah dapat mengagak apa yang orang tuanya inginkan. Tiada hal lain lagi, soal pernikahanlah yang akan menjadi tajuk utama nanti.

“Malam nanti, aku sambung lagi…”

Adam pandang pula beg sandangnya. Kamera dikeluarkan dari beg sandang. Dia mula sambungkan ke komputer. Semua foto yang sempat dirakam tadi diamati satu per satu. Memang ada kesan darah memercik terutama di bilik utama.

Hmmm… Macam mana pihak polis boleh tutup kes ni? Jelas ada kesan darah.” Adam masih menatap skrin.

Semua foto itu disimpan dalam thumb drive. Diari merah itu pula disimpan di dalam laci mejanya dan dikunci. Dia capai kunci kereta dan mula menapak keluar dari bilik. Kereta dipandu keluar dari halaman rumah menuju ke Damansara, ke rumah orang tuanya. Sebelum itu, dia perlu ke suatu tempat dulu.

KERETA diparkir di depan kedai bunga. Adam melangkah ke kedai sambil bersiul kecil. Dia sudah berkira untuk membeli sejambak bunga ros putih, bunga kegemaran ibunya. Mungkin dengan cara itu, ibu tidak panjangkan hal pernikahannya nanti. Langkahnya semakin laju menuju ke pintu masuk Felisha Florist. Sejambak bunga ros dibeli daripada penjual yang cantik molek di situ. Usai membeli, Adam menapak semula ke kereta. Dia cium seketika kelopak ros putih yang harum mewangi.

“Hei! Adam!”

Adam mendongak. Seorang lelaki sedang melambai ke arahnya. Berkerut dia melihat lelaki itu.

“Adam! Akulah! Ben!”

Adam terhenti langkahnya. Benjamin sudah menghampirinya di depan kedai bunga tadi.

“Wah! Dah lama kita tak jumpa, ya?! HmmmMaybe almost two years?” Adam sengih.

“Eh… Kau buat apa sekarang ni?” Benjamin mula ramah.

“Aku kerja la. Kau?”

“Aku baru balik dari US. Aku ingat nak kerja kat sini la pula. Dua tahun aku kat sana.” Benjamin senyum. Dia segera mengajak Adam ke sebuah kafe yang hanya terletak di sebelah kedai bunga.

DI kafe, Adam dan Benjamin berbual panjang dari satu topik ke satu topik. Tidak sangka, mereka akan berjumpa di situ setelah kali terakhir bersama sewaktu berada di tingkatan lima dulu.

“Weh, bunga tu untuk awek, eh?” Benjamin mengenyit mata.

“Awek? Muka aku ni nak ada awek?” Adam gelak.

“Habis tu? Bunga tu? Don’t say that you are mat bunga? Please la bro!” Benjamin ketawa mengekek.

“Bunga ni untuk ibu aku la…” Adam cium sekali lagi kelopak ros putih itu. Menusuk wanginya ke lubang hidung.

Hmmm… Hari jadi ke?” teka Benjamin.

“Tak… Saja aku nak bagi. Nak tutup mulut ibu aku kalau dia tanya pasal kahwin.” Adam senyum sumbing.

“Jadi… Kau ni macam aku la. Bujang teruna lagi.” Benjamin turut sengih.

“Teruna? Kau teruna? Come on la!” Adam jeling Benjamin.

Dia faham sangat perangai lelaki itu yang dulunya terkenal dengan sikap kaki perempuan. Masa di sekolah lagi, Benjamin suka mengurat pelajar perempuan. Apa nak hairan, muka kacak dan kaya-raya seperti Benjamin, sekali petik saja, berduyun perempuan kerumun macam semut menghurung gula.

“Kenapa? Alah… Lelaki ni, tak ada bezanya ada teruna ke tak. Tak ada kesan apa-apa pun. Lainlah perempuan, bro…” Benjamin kenyit mata.

Adam geleng. Memang jelas Benjamin tidak pernah berubah. Entah berapa ramai perempuan yang menjadi mangsanya. Apa lagi dua tahun Benjamin berada di US sana. Entah entah semua bangsa disapunya.

“Eh, aku nak tanya sikit ni. Aku dengar budak perempuan tomboi kat sekolah kita dulu tu dah cantik sekarang ni. Apa nama dia, eh? Aku dah lupa.” Benjamin petik jarinya beberapa kali, cuba mengingati semula gadis tomboi itu.

Adam terdiam. Benjamin dipandang tidak berkelip. Mana mamat ni tahu pasal Sakinah??

“Mana kau tahu dia dah cantik?” Adam jeling sekilas ke arah Benjamin sebelum matanya beralih pada luar kafe.

“Kau masih ingat Sutun?” Benjamin beralih pula pada soal lain.

“Sutun? Hmmm… Maksud kau, Kamil?” Adam pandang Benjamin dengan riak tercengang.

That’s it! Correct! Kamil tu kan rapat dengan minah tomboi tu dulu. Aku ternampak Facebook dia. Aku add la. Hmmm… Rupa-rupanya dia masih berhubung dengan minah tomboi tu. Aku kenal sangat rupa minah tomboi tu. Nama dia aje aku dah lupa…” Berkerut kening Benjamin masih cuba mengingati nama gadis tomboi di sekolah dulu.

Adam masih diam.

First time aku tengok dia kat Facebook. Fuh! Lawa gila kut.” Benjamin tidak henti memuji Sakinah.

“Kalau lawa, kau nak jadikan dia mangsa kau juga ke?” sindir Adam.

“Aku tak berani la nak usik minah tu… Tapi aku rasa lain macam. Aku macam terpesona dan terpanar. Memang dulu dia tomboi tapi aku akui walaupun masa tu dia suka pakai topi dan rambut diselit dalam topi, bagi aku, dia cun. Sekarang ni lagilah. Terserlah kecantikan dia. Wonder, kalau dia lepas bebas rambutnya yang hitam berkilat tu. Fuh… Boleh cair hati aku, bro.” Benjamin ketawa kecil. Dia pandang Adam yang tunduk dari tadi. Masih diam membisu.

“Weh, aku tanya ni. Kau mengelamun apa hal?” Benjamin tepuk kuat bahu Adam.

Adam mendongak dan menoleh.

“Baguslah kalau dah jatuh cinta. Ubah perangai setan kau tu dulu. Okeylah bro, aku nak chow dulu. Aku kena jumpa mak ayah aku ni.” Adam bingkas bangun. Malas dia hendak melayan Benjamin yang ternyata masih seperti dulu. Entah apa pula lelaki itu hendak lakukan pada Sakinah.

“Famili kau dah pindah KL ke?” Benjamin pula tercengang.

“Dah… Mak ayah aku dah pindah sini. Aku duk kampung dulu masa sekolah aje. Lepas tu, aku dan famili aku pindah KL ni.” Adam senyum kelat.

Dia tahu Benjamin memang asal Kuala Lumpur. Sekolah berasrama yang mereka sama-sama belajar dulu jauh dari KL tetapi agak dekat dengan kampung.

“Okey, bro! Aku pun nak chow juga ni.” Benjamin sekali lagi berjabat dengan Adam sebelum dia melangkah ke keretanya semula.

Adam hanya memerhati dari kafe. Benjamin sudah meninggalkan tempat parkir kereta dengan menaiki kereta sport Porsche warna hitam. Dia mula mengatur langkah menuju ke kereta bersama sejambak bunga ros putih yang dibeli tadi. Langkah Adam terhenti. Matanya tertancap pada dua orang lelaki yang pernah dilihat di restoran pagi tadi. Kedua-dua lelaki itu kelihatan sedang mencari sesuatu.

“Takkan mereka cari perempuan tu lagi?” Terjenguk-jenguk Adam melihat sekitar tempat letak kereta itu. Jelas dia melihat kedua-dua lelaki itu berjalan di celah-celah deretan kereta yang diparkir di situ.

Langkahnya dilajukan. Sambil itu, dia masih memerhati gelagat kedua-dua lelaki itu yang masih terintai-intai.

“Takkan perempuan tu berlari sejauh ni?” Adam garu kepala.

Rasanya restoran tadi agak jauh dari kedai bunga. Mungkin dalam lingkungan 500 meter jauhnya. Terasa kasihan pula bila mengingatkan apa yang menimpa pada perempuan yang memberinya diari merah itu pagi tadi. Apakah perempuan itu tiada keluarga? Kenapa dia dikejar sampai begitu sekali? Apakah kesalahan yang perempuan itu sudah lakukan? Bertubi-tubi persoalan timbul dalam benaknya. Dia lihat jam. Hampir satu tengah hari. Adam cepatkan langkahnya ke kereta.

“Eh… Aku tak kunci ke?” Adam terkejut sebaik dia menekan punat alarm kereta. Mungkin tadi dia hendak cepat ke kedai bunga sehingga terlupa hendak mengunci pintu kereta sendiri.

Keretanya dipandu perlahan meninggalkan tempat parkir kereta. Bunga ros putih diletakkan di atas kerusi sebelah pemandu. Kereta dipandu menuju ke rumah orang tuanya di Damansara. Tadi sekali lagi ibu mengingatkannya untuk makan tengah hari bersama bila dia dapat tahu anak bujangnya cuti hari ini.

ADAM senyum sebaik keretanya memasuki laman rumah orang tuanya. Bunga ros putih dicapai dari kerusi sebelah. Dia segera menapak ke muka pintu rumah. Salam yang diberi disambut dengan mesra oleh ibu yang sudah tersenyum saat pintu dibuka.

“Ibu…” Adam segera mencium tangan ibunya.

“Siapa tu?” Rohana jenguk ke belakang Adam. Mukanya berkerut.

“Siapa?” Adam pula tercengang. Dia segera menoleh ke belakang bila melihat riak ibunya yang sudah kelihatan bingung dan keliru.

“Awak?” Adam menelan liur.

Gadis yang berpakaian lusuh pagi tadi yang melanggar mejanya kini sudah tercegat di belakangnya sambil memeluk beg sandang. Wajah gadis itu agak sudah comot. Tidak terurus. Sekali pandang memang orang akan ingat gadis itu tidak siuman.

“Ya, saya… Maaf saya tak sengaja tadi. Saya tak tahu nak ke mana. Lelaki tu masih mengejar saya. Puas saya sembunyi. Bila saya nampak kereta awak, saya terus saja masuk dan sembunyi. Maaf…” Gadis itu berkata sugul sambil menundukkan wajah. Ada titis jernih mengalir ke pipi.

Adam tergamam. Memang benar keretanya tadi tidak berkunci tapi kenapa dia tidak perasan gadis itu ketika masuk ke dalam kereta? Gadis itu dipandang tidak berkelip. Matanya beralih pula pada ibunya yang juga turut tergamam dan kelihatan terpinga-pinga.

MASING-MASING diam membisu. Suasana di ruang tamu senyap seketika. Rohana tidak lepas matanya dari memandang gadis yang tiba-tiba muncul di belakang Adam. Dari tadi gadis itu hanya tunduk memandang lantai. Beg sandangnya didakap erat ke dada seolah-olah ada barang berharga di dalamnya.

Adam pula masih tidak mengerti kisah gadis itu yang dirasakan mendadak saja. Apa yang lebih pelik, diari merah yang diberikan kepadanya semasa di restoran itu langsung tidak ditanya oleh gadis itu.

“Maaf… Boleh saya tahu, siapa nama awak?” Adam mula bersuara, memecah kesunyian sejak tadi.

Ahmad hanya pandang gadis itu yang masih tunduk. Pertanyaan Adam tidak dijawab. Gadis itu dilihat semakin menggelabah.

“Anak ni macam sakit aje. Awak, tolong ambilkan makanan…” Ahmad menyuruh isterinya mengambil makanan di dapur untuk gadis itu yang sudah kelihatan lemah dan pucat.

“Kalau awak diam macam ni, macam mana kami nak tolong?” Adam semakin geram. Tadi elok saja gadis itu bercakap dengannya di muka pintu.

“Saya… Saya…”

“Ya Allah! Pengsan pula budak ni! Rohana! Tolong abang kejap!” Ahmad dan Adam sudah kelam-kabut. Gadis itu sudah terjelepok ke lantai.

Rohana yang sudah ke dapur tadi berlari ke ruang tamu semula. Dia segera menghampiri gadis itu dan bersama Adam mengangkatnya ke bilik tetamu. Gadis itu dibaringkan di atas katil.

“Adam, ambilkan ibu air.” Rohana pandang pada Adam yang masih berada di sebelah katil.

Adam segera ke ruang dapur dan kembali ke bilik tetamu bersama segelas air. Gelas air itu dihulur kepada ibunya. Rohana menyapu muka gadis itu dengan air tadi perlahan-lahan. Ahmad turut sama berada di situ.

Errr… Boleh tak keluar? Saya nak buka tudung budak ni…” Rohana beri isyarat kepada Adam.

Adam segera berlalu keluar, faham dengan isyarat daripada ibunya.

DI ruang tamu, Adam dan ayahnya masih menunggu penuh sabar. Gadis tadi masih tidak sedarkan diri.

“Ibu… Macam mana dengan dia?” Adam lantas saja bertanya sebaik terpandang ibunya menapak keluar dari bilik tetamu.

“Masih tak sedar lagi. Nampak sangat dia lemah. Errr… Apa sebenarnya yang berlaku?” Rohana pandang pula pada Adam yang sudah mengangguk-angguk.

“Entahlah, ibu… Masa saya makan di restoran pagi tadi, perempuan tu terlanggar meja tempat saya makan. Dia macam dikejar seseorang. Yang peliknya, dia beri diari pada saya dan terus lari.” Adam menjelaskan perkara sebenar.

Hmmm… Macam ada yang tak kena..” Ahmad pula bersuara.

“Entah-entah dia lari dari rumah tak?” Rohana menebak.

“Mungkin juga… Tapi kenapa dia dikejar lelaki tu? Macam ada sesuatu yang diingini lelaki tu daripada perempuan tu.” Adam pula meneka.

Hmmm… Macam inilah. Biarkan dulu dia berehat di sini. Mungkin dia selamat kat sini buat sementara. Lepas dia sihat nanti, kita boleh tanya dia.” Ahmad senyum.

Rohana turut mengangguk, mengiakan kata-kata suaminya.

“Oh ya… Lupa pula.” Adam capai sejambak bunga ros putih dari atas meja sofa yang diletakkan tadi dan dihulur kepada ibunya.

Hmmm… Ni yang ibu sayang sangat kat Adam ni. Nak harapkan orang itu beri… Haraammm…” Rohana cium seketika ros putih dan menjeling manja pada suaminya.

Ahmad senyum pada Adam dan beralih pandang pada isterinya.” Awak bukan tak tahu… Hadiah tu ada makna tu…”

Adam sengih.

“Oh… Jadi ni nak tutup mulut ibu la ni, ya?”

Sengih Adam semakin lebar.

“Ibu tak kira. Ibu tak akan jemu tanya hal kahwin tu. Mana calon yang ibu suruh cari tu?” Rohana mengasak soalan sekali lagi pada Adam. Adam dilihat sudah tersenyum kelat di depannya.

“Awak ni pun… Awak ingat cari calon isteri tu macam cari anak ayam ke?” Ahmad menggeleng, tersengih melihat isterinya yang suka mendesak anak bujang mereka.

“Bukanlah macam tu bang, Adam seorang aje anak kita. Kita ni bukannya makin muda. Nak juga saya tengok Adam ni nikah dan dapat anak. Abang tak nak tengok cucu ke?” Rohana mencebik.

Adam hanya mampu mengukir senyum bila diaju soalan seperti itu. Soalan keramat yang selalu dilontarkan oleh ibunya setiap kali dia bertandang. Kalau dulu semasa dia tinggal sebumbung dengan orang tuanya, setiap hari itulah telinganya menadah soalan-soalan yang sukar untuknya menjawab. Dah memang sikap orang tua begitu. Kalau tidak membebel, tidak sah!

“Ibu… Saya bukan tak nak nikah. Calon pun tak jumpa lagi. Bukan memilih tapi saya ni kan sibuk dengan kerja. Nanti, kalau saya jumpa, saya akan kenalkan dengan ibu…” Adam menutur lembut. Dia faham hati orang tua itu. Ibu mana yang tidak risau bila melihat anak mereka tidak serius soal nikah.

“Dah… Abang pun dah lapar ni. Errr… Pergi tengok budak tu kejap. Kalau dia dah sedar, boleh kita makan sama-sama.” Ahmad menyuruh isterinya menjenguk gadis yang pengsan tadi dalam bilik.

“Baiklah, bang… Nanti kalau dia dah sedar, boleh tak tunggu sekejap. Saya nak bersihkan budak tu dulu… comot sangat. Agaknya dah lama tak mandi la tu…” Rohana sengih.

Adam dan ayahnya turut senyum.

SETENGAH jam berlalu. Adam dan ayahnya sudah siap berjemaah solat zuhur sementara menunggu gadis itu bersiap. Mereka berdua menunggu semula di sofa di ruang tamu. Ahmad asyik menatap surat khabar. Adam pula menonton tv, dari satu siaran ke satu siaran namun tidak ada satu pun rancangan di kaca tv menarik minatnya. Sejak di bangku sekolah lagi, dia tidak begitu gemar menonton apa lagi bermain game seperti budak-budak lelaki lain. Sikap itu terbawa-bawa sehingga sekarang.

Adam jeling ayahnya yang dari tadi asyik menatap halaman yang sama pada surat khabar bahasa Inggeris itu. Dia senyum. Entah-entah sudah terlelap. Dia kalih lagi siaran tv.

Hmmm… Siapa agaknya lelaki yang ditunggu Kinah tu?” Terpacul pula nama Sakinah dari mulut Adam. Fikirannya melayang pada gadis yang baru ditemui pagi tadi. Memang tidak disangka, gadis itu masih mengenalinya.

“Dah siap!” Rohana kembali ke ruang tamu bersama gadis tadi.

“Adam! Ibu dah siap ni. Jom makan!” Rohana tinggikan sedikit suaranya bila melihat anak bujangnya sudah jauh mengelamun, mata tidak lekang dari kaca tv. Dia turut intai cerita apa yang membuatkan Adam khayal sampai begitu sekali.

Rohana menapak dekat dengan Adam dan menepuk bahu anak bujangnya.

“Ibu…” Adam sengih. Tersedar dia daripada lamunan. Dia betulkan duduknya.

“Tu la… Ibu suruh nikah, banyaklah alasannya. Ni, berkhayal pula tengok cerita Hindustan ni. Hah… Ni mesti dah ada yang istimewa ni…” usik Rohana. Wajah Adam sudah berona merah.

Adam sengih.

“Abang… Jom makan.” Rohana ajak pula suaminya yang sedang leka menatap surat khabar. Dikejutnya bahu suaminya yang sudah terlelap.

Adam pula mula bangun dari sofa. Dia menoleh ke arah gadis tadi yang masih tercegat berdiri di tepi sofa. Terpegun seketika. Gadis itu sudah berubah. Wajah comot dan kusam tadi kini sudah putih bersih dan terserlah kecantikannya.

“Ehem!” Rohana berdehem kecil.

Erk…” Adam tersedar. Cepat-cepat dia menapak ke ruang dapur.

Rohana dan suaminya bersama gadis itu juga turut melangkah ke ruang dapur. Nasi dan lauk-pauk sudah lama terhidang di situ. Mereka berempat mula menikmati hidangan tengah hari bersama. Gadis itu masih diam tanpa bicara. Nasi dikunyah dengan penuh selera sehingga lupa pada lauk. Rohana menggeleng melihat gadis itu yang begitu lapar lagaknya sehingga lupa pada lauk di depan. Dia cedok lauk ayam masak merah ke atas pinggan nasi gadis itu bersama sayur kangkung goreng.

Adam pula masih melihat gadis itu yang nampak kebulur. Mungkin dia sudah berhari-hari tidak menjamah nasi. Wajah gadis itu diamati lagi.

Usai makan, mereka sekeluarga berkumpul semula di ruang tamu.

USAI menjamu selera tengah hari tadi, mereka berkumpul semula di ruang tamu. Rohana menghidangkan pula juadah ringan. Dia melabuhkan punggung sebelah gadis itu yang sudah tertunduk, langsung tidak mengangkat muka. Gadis itu masih diam membisu.

Rohana memegang lembut tangan gadis itu sambil senyum. Lama dia melihat wajah manis gadis itu yang kini sudah jelas terserlah. Baju kurung berona hijau pucuk pisang yang tersarung di tubuh gadis itu cukup cantik dan padan dengan tudung lilit di kepala yang bercorak bunga halus. Tadi semasa dia menunggu gadis itu mandi, dia sempat melihat kandungan dalam beg sandang lusuh milik gadis itu. Dua helai baju kurung dan sepasang telekung bersama sebuah buku nota kecil.

“Hawa… Makanlah.” Rohana hulur agar-agar yang sempat dimasak tadi.

Hawa mengambil sepotong agar-agar dan mengunyah perlahan. Dia masih tunduk.

Adam mendongak. Hawa?

Hmmm… Jadi nama anak ni… Hawa?” Ahmad pula bersuara. Dia jeling Adam.

Hawa hanya mengangguk.

Rohana turut senyum mendengar pertanyaan suaminya tadi. Matanya beralih pada Adam.

“Eloklah tu bang… Sorang Adam… Sorang Hawa…” Sempat Rohana memgusik kedua-dua anak muda itu.

“Ibu ni… Nama ajelah. Errr… Hawa, boleh beritahu kami apa yang berlaku sebenarnya?” Adam pandang pula gadis itu yang asyik tunduk dari tadi.

Rohana dan Ahmad turut mengalih pandang pada Hawa yang ternyata dari tadi tidak banyak bercakap.

Hawa melepaskan helaan nafas seketika. Dia kemudian mendongak melihat wajah-wajah di depannya yang masing-masing tidak berkelip memandangnya. Diamati wajah mereka satu per satu. Benaknya masih berfikir apakah dia harus berterus terang atau berdiam diri atau terus saja bawa diri dari rumah itu. Matanya jatuh pada Adam, lelaki yang hanya dikenali pagi tadi dengan tidak sengaja.

Wajah Adam ditatap lama. Kacak, baik dan berbudi pekerti. Jelas dia melihat perlakuan Adam yang menghormati kedua-dua orang tuanya. Sungguh bertuah Rohana dan Encik Ahmad memiliki anak sebaik Adam. Tidak seperti keluarganya yang membuat hal masing-masing dan akhirnya begini kehidupannya sekarang ini. Diburu!

“Maaf… Saya dah banyak menyusahkan keluarga ni. Terima kasih kerana beri saya makan tadi. Memang saya dah berhari-hari tidak menjamah makanan.” Hawa cuba menahan sebak.

“Saya tiada tempat tinggal. Saya sebatang kara… Saya…” sambung Hawa, dia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Sebak. Titis jernih yang jatuh ke pipi disapu dengan hujung jari.

Rohana mula peluk Hawa, menenangkan gadis itu yang sudah menangis sebak. Dia faham perasaan gadis itu yang begitu sarat dengan penderitaan.

Telefon bimbit Adam mula berdering. Dia menjawab panggilan itu dan menapak ke anjung rumah.

“Hawa… Kalau senang nanti, Hawa ceritalah. Sekarang ni berehatlah dulu. Mak cik pun tak ada anak perempuan. Hawa tinggallah di sini. Mak cik dan pak cik terima Hawa dengan senang hati,” pujuk Rohana. Bahu Hawa diusap perlahan.

“Ya, Hawa… Senang nanti ceritalah pada kami…” Ahmad turut mengiakan kata-kata isterinya.

Adam kembali semula ke sofa.

“Ayah… Ibu… Saya kena beransur dulu. Ada hal penting. Nanti saya datang lagi, ya.”

Adam segera mencium tangan ibu dan ayahnya sebelum beredar. Sempat dia melihat Hawa yang turut memandang ke arahnya. Riak sayu gadis itu seperti ingin meminta pertolongan daripadanya. Mungkin ada kaitan dengan diari merah itu.

ADAM menapak ke sebuah restoran sebagaimana yang dijanjikan tadi. Lelaki yang ditunggu masih belum kelihatan. Dia pesan minuman sementara menunggu di situ. Puas menunggu, Adam melayari laman sosial terkenal Facebook. Teringat kata-kata Benjamin tadi tentang Kamil yang masih berhubung dengan Sakinah. Nama Kamil cuba dicari.

Hmmm… Betullah. Jadi, Sakinah ni guna nama samaran la.” Adam senyum.

Adam buka pula Facebook milik Sakinah dengan nama samaran gadis itu. Dia senyum lagi. Memang akaun itu milik Sakinah. Banyak status gadis itu yang memberi nasihat dari segi hadis dan ayat-ayat al-Quran. Gambar profil pula hanya diletakkan sekuntum bunga daisi putih. Patutlah nama samaran di situ juga Daisi.

“Memang cantik… Patutlah Ben beria-ia nak tackle Kinah…” Adam tatap foto Sakinah yang dimuat naik di laman itu. Tidak banyak. Hanya beberapa keping gambar saja.

Ralit Adam melayari laman sosial itu. Apa jua status berkenaan Sakinah dibaca satu per satu. Matanya tertancap pada satu status yang cukup membuatnya tergamam.

“Adam, dah lama tunggu?”

Adam mendongak. Tak sedar dia begitu ralit menatap Facebook tadi, kawan yang ditunggu sudah tercongok di depannya.

“Tak juga… Duduklah. Nak minum apa?” Adam panggil pelayan restoran sekali lagi.

Hmmm… Macam mana siasatan kau tu? Dah dapat klu?” Terus saja Razak bertanya pada Adam.

“Belum lagi. Kes ni rumit bagi aku. Aku pelik. Kesan darah dalam rumah tu macam masih baru. Aku syak ada sesuatu yang tidak kena. Daripada apa yang aku baca di keratan akhbar pasal kejadian misteri tu, aku rasa mereka sekeluarga bukan mati mengejut sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan polis dan oleh pihak hospital.”

“Aku rasa benda ni melibatkan benda mistik atau… Sihir… Entah. Masa aku jejak kaki ke rumah tu pagi tadi untuk ambil gambar, aku rasa semacam. Aku nampak kelibat hitam tiba-tiba melintas. Entahlah… Mungkin perasaan aku aje kut.” Adam jongket bahu.

“Sebab itulah aku nak kau siasat pasal ni. Masa aku handle kes ni dulu, seorang demi seorang daripada ahli keluarga rumah banglo putih itu meninggal dengan cara pelik. Tiba-tiba sakit, badan jadi kurus kering, tak boleh tidur malam dan lumpuh. Lepas tu tak sampai tiga bulan sakit, terus meninggal. Laporan daripada pihak hospital juga tak dapat mengesan penyakit apa. Menurut doktor, semua simptom yang aku sebut tadi tu adalah simptom bagi penyakit kanser. Masalahnya tak ada kesimpulan daripada doktor sendiri, kanser apa yang menyerang keluarga tu.” Panjang lebar Razak menjelaskan pada Adam.

Adam mengangguk-angguk. Razak, seorang pegawai polis yang juga pandai dalam hal-hal mistik ini adalah kawan satu kampusnya dulu. Masa di kampus dulu, mereka berdua bersama seorang lagi kawan, sering juga mengikuti kes seperti itu bila terdapat pelajar Malaysia diserang histeria. Bermula dari situlah, mereka bertiga mengambil keputusan untuk belajar ilmu perubatan tradisional dan kebetulan pula Razak sekarang ini sudah memilih kerjaya polis dan sudah bergelar Detektif Razak, mengendalikan kes jenayah berat. Setakat ini, tiada lagi kes melibatkan kes paranormal seperti ini. Dulu dia banyak membantu menyiasat kes pembunuhan nyata, tembak, tetak, tikam dan culik, bukan kes mistik.

“Berapa orang semua ahli keluarga tu?” Adam pandang Razak yang mula meneguk jus lemon yang sudah sampai di meja.

“Apa yang aku tahu, semuanya ada enam orang. Pasangan suami isteri tu ada empat orang anak. Tiga perempuan dan satu lelaki. Lelaki tu yang bongsu,” terang Razak.

Itu yang dia tahu semasa mengendalikan kes itu dulu yang diketuai oleh Detektif Zamri. Kes itu terpaksa ditutup setelah lama disiasat. Tiada saksi dan tiada bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan.

“Kau ada lagi tak foto famili tu?”

“Ada tapi tak semua ahli famili tu ada dalam foto tu.”

Adam diam. Dia masih berfikir tentang hal itu. Masa dia pergi ke banglo putih itu pagi tadi, tiada satu pun foto yang ada di dalam rumah itu. Mungkin juga foto atau album berada dalam laci yang berkunci.

Hmmm… Boleh tak kau dapatkan foto tu?”

Razak mengangguk.

“Adam… Ayah kau tahu ke kau buat kerja ni?”

“Tak tahu. Aku jadi PI ni pun senyap-senyap aje. Bayangkan aku kena handle dua perkara. Jadi arkitek dan PI sekali gus.”

“Kalau ayah kau dapat tahu kau buat part-time sebagai PI dan jawatan arkitek tu adalah untuk cover kerja kau saja, agak-agak dia akan marah tak?” Razak sengih.

“Entahlah. Aku lega sebab ayah aku tak syak apa-apa lagi. Selagi aku masih jadi arkitek, aku akan teruskan kerjaya tu. Susah payah aku belajar.” Adam turut senyum. Kadang-kadang rasa bersalah pada orang tua sendiri.

Razak turut mengangguk. Bukan senang hendak melakukan dua perkara dalam satu masa.

“Okeylah… Aku pun nak kena balik ni. Aku ada hal penting. Sebelum tu, aku nak tanya sikit. Kau ada terima apa-apa laporan tak pasal kehilangan gadis ke?” Adam sempat bertanya pada Razak tentang kes Hawa.

“Tak ada pula. Kenapa?”

“Nanti aku cerita kat kau. Benda ni masih samar lagi. Aku blah dulu.”Adam mula bangun.

Mereka berdua mula berpecah menuju ke destinasi masing-masing.

PULANG dari berjumpa Razak tadi, Adam terus saja ke rumah bujangnya yang terletak tidak jauh dari rumah orang tuanya. Dia pandang jam. Waktu asar sudah lama masuk. Dia segera menunaikan suruhan wajib sebelum menyambung melihat foto yang sempat dirakam semasa di rumah banglo.

Foto-foto itu dimasukkan dalam satu fail dan diteliti setiap inci rumah itu. Apa-apa yang penting semuanya dicatatkan dalam sebuah buku nota yang dikhususkan untuk penyiasatan. Leka Adam menelaah semua foto itu dan segala catatan dikemas kini bagi mencari klu. Maklumat itu perlu diserahkan pada Razak dan juga pada lelaki yang memyerahkan sampul dan duit kepadanya dulu.

“Siapa pula pak cik tu ?”

Pen diketuk-ketuk ke meja. Dia hanya ada nombor telefon saja. Itupun setiap kali dia cuba menghubungi lelaki tua itu, tidak pernah berjawab atau di luar kawasan. Tiada signal!

Adam meneliti satu per satu foto yang memaparkan keadaan di dalam rumah itu Dia teringat pula pada diari merah gadis itu. Laci meja dibuka kunci dan diari itu diletakkan atas meja. Perlahan dia buka pada halaman yang sudah ditanda. Sekali lagi catatan dalam diari itu dibaca.

April 12, 2009.

Hari ini aku sedih… Rumah yang sepatutnya ceria dan cerah kini sudah suram dan kelam. Pemergian ayah yang aku sayang ke hadrat-Nya cukup membuatkan aku terpanar. Aku tak dapat terima cara kematiannya. Apa salah ayah aku sehingga dihukum sebegitu sekali? Ini bukan kematian biasa! Aku akan cari siapa punya angkara! Aku tak akan berdiam diri.

Catatan itu dibaca berulang kali. Setiap ayat yang ditulis di halaman itu dibaca penuh teliti.

“Bukan kematian biasa?” Adam semakin ingin tahu.

Fikirannya mula menular pada kisah kematian misteri sebuah keluarga di banglo putih itu. Apakah catatan dalam diari merah ada kaitan dengan misteri kematian seluruh famili itu?

Lamunan Adam terhenti dengan laungan azan maghrib. Dia menutup diari merah dan mula mengemas. Malam ini dia sudah berniat untuk berjemaah di masjid sampai waktu isyak. Malam nanti dia perlu menelaah lagi foto-foto itu dan juga menyiapkan sedikit pelan rumah yang tak sempat disiapkan semalam. Bos sudah banyak kali tanya pasal itu.

ADAM berehat di ruang tamu rumahnya. Terasa penuh perutnya dengan juadah yang disediakan di masjid tadi. Dia sandar kepalanya di sofa seketika. Mata menala ke siling. Apa yang berlaku pada Hawa dan kematian misteri satu keluarga itu cuba dikaitkan. Daripada catatan yang dibaca tadi seperti ada kaitan antara kedua-duanya.

Hmmm… Mungkin aku kena tanya Hawa tentang diari tu. Minggu ni pula la sibuk.” Adam pandang kalendar kecil di atas meja sofa.

Memang bermula esok, dia sibuk dengan melukis pelan bangunan untuk projek baharu di Hulu Selangor. Kebetulan projek itu dekat dengan kawasan banglo putih itu. Mudahlah baginya untuk menyiasat kes itu nanti.

Adam menapak ke ruang dapur mengambil segelas air. Air kosong itu diteguk sampai habis. Lampu di ruang tamu ditutup dan hanya lampu di dapur sahaja dibiarkan bernyala. Dia kemudian menapak ke bilik semula, menyambung semula kerjanya termasuk kerja pejabat yang terpaksa dibawa ke rumah. Penat tak usah cerita. Terpaksa dia hadap juga. Itu adalah kehendaknya sendiri.

HARI-HARI yang dilalui dirasakan terlalu cepat. Terasa tidak pernah cukup masa. Terkejar-kejar Adam menyiapkan projek pelan bangunannya yang akan dibawa ke mesyuarat nanti. Sebelah malam pula sibuk dengan siasatan kes banglo putih itu sehingga terlupa untuk mengikuti catatan yang ada dalam diari merah itu.

“Adam, sibuk aku tengok kau akhir-akhir ni.” Zizan menegur Adam yang leka melukis pelan bangunan.

Adam menoleh. Dia senyum.

“Yalah… Sampai aku rasa tak cukup tangan ni. Projek kau macam mana?”

“Aku dah nak habis dah…”

“Aku ada sikit lagi ni… Nak siapkan pelan atur dan reka bentuk ciri-ciri seni bina luar bangunan ni. Esok, pagi lagi aku kena pergi site visit. Tengok tapak projek. Aku kena bincang dengan beberapa kontraktor pasal spesifikasi untuk pemasangan elektrik, air.” Adam sandar di kerusi. Lehernya diurut seketika. Terasa lenguh sejak tadi, asyik tunduk menghadap kertas pelan itu.

Zizan angguk-angguk.

“Ni, bila kau nak nikah?”

Adam jeling seketika. Dia faham riak Zizan yang sebaya dengannya dan kini sudah pun mempunyai dua cahaya mata. Baginya dia tidak terdesak untuk bernikah. Biarlah masa yang menentukan segalanya.

“Kat ofis kita ni, hanya ada dua orang aje perempuan. Itupun dah jadi hak orang. Sorang dah jadi isteri, yang sorang lagi baru saja bertunang…” Zizan pandang pada teman sekerjanya di sudut meja hujung pejabat itu.

Adam sekali lagi senyum dan menggeleng. Tak kuasa dia hendak bercinta dan bernikah dengan teman sepejabat jika ada yang bujang sekalipun. Hari-hari menghadap muka yang sama. Balik rumah pun asyik muka sama juga. Bosan!

“Apa yang kau senyum-senyum ni?” Zizan pula penasaran melihat Adam tersenyum sendiri.

“Tak ada apalah…”

“Ke kau dah ada calon? Tu la… Aku nak kenalkan dengan adik sepupu aku, kau banyak alasan.” Zizan senyum lebar.

Adam hanya diam. Wajah Sakinah mula bermain di mata. Entah kenapa tiba-tiba muncul wajah gadis itu bila Zizan mengungkit soal itu.

Zizan dilihat sudah menapak ke meja kerjanya semula. Dia pula menyambung semula kerja yang tergendala tadi. Habis kerja nanti, dia perlu pulang ke rumah orang tuanya. Hujung minggu selalunya dia akan bermalam di sana tetapi terasa canggung pula bila Hawa ada sekali di rumah itu.

“Ah… Aku pergi aje dulu. Lagipun aku kena tanya pasal diari merah tu.” Adam berkira-kira sendiri.

KERETA diparkir di laman rumah. Adam melangkah perlahan ke pintu depan rumah orang tuanya. Dia jeling di laman rumah itu. Kereta waja ayahnya tidak ada di situ. Salam diberi. Tiada jawapan. Sekali dia memberi salam. Juga tidak berjawab. Adam keluarkan kunci rumah yang dibawa bersama dan mula membuka pintu utama yang berkunci.

Hmmm… Memang tak ada orang…” Adam mula melangkah masuk.

Dia rebahkan tubuhnya di sofa. Beg kerja diletakkan atas meja sofa. Adam melihat sekitar ruang tamu. Tiada sesiapa. Dia bingkas bangun dan menapak ke dapur mengambil segelas air dan kembali semula ke ruang tamu.

“Mana semua orang ni? Tadi aku call, ibu cakap ada kat rumah…” Adam teguk jus oren seketika. Mata masih melihat sekitar ruang tamu.

Habis satu gelas jus oren diteguk. Dia kemudian menapak ke biliknya di tingkat atas. Tiba di muka pintu bilik tengah, dia terdengar suara teresak-esak dari dalam bilik itu. Adam menekap telinganya ke daun pintu. Jelas dia mendengar suara perempuan menangis.

“Hawa tidur bilik ni ke?” Adam diam sebentar di muka pintu. Serba salah sebenarnya untuk dia buka pintu bilik itu.

Lama dia termenung memikirkan apa yang patut dia lakukan. Mundar-mandir dia di muka pintu bilik tengah itu. Biliknya pula di hujung sekali, di sebelah kiri. Bilik orang tuanya di hujung sebelah kanan.

“Hawa… Awak ke tu?” Adam beranikan diri bertanya. Senyap.

Sekali lagi Adam bertanya bila sekali lagi dia mendengar suara esakan di dalam bilik itu. Kali ini pertanyaannya bersahut. Pintu bilik mula dibuka. Terjengul Hawa di situ dengan mata merah dan bengkak.

“A… Awak okey ke?” Tergagap-gagap Adam bertanya.

Hawa hanya mengangguk.

Errr… Mana mak dan ayah saya?” Adam bertanya pula kedua-dua orang tuanya.

“Mereka keluar sebentar tadi. Katanya nak ke majlis kenduri…” Hawa tunduk. Dia betulkan tudungnya.

“Oh… Bila mereka akan balik?”

“Entah… Mungkin sekejap lagi kut…” Hawa masih tunduk.

Errr… Saya masuk bilik saya dulu…” Adam segera ke biliknya. Tidak betah dia berlama di muka pintu bilik Hawa.

Hawa jeling Adam yang tergesa-gesa ke biliknya di hujung sebelah kiri biliknya. Dia kemudian menapak semula ke katil dan mula menyambung mencatat sesuatu di dalam nota kecil yang sentiasa dibawa. Sesekali dia melihat jarum jam. Sekejap lagi masuk waktu maghrib. Dia segera capai tuala dan melangkah ke bilik air.

USAI solat, Adam masih berada di tikar sejadah, berdoa dan berzikir. Amalan yang tidak pernah dilupakan setiap kali lepas solat. Itu juga untuk bekal dirinya sebagai seorang hamba Allah dan itu juga sebagai pendinding dirinya sekiranya kes yang dikendalikannya ada berkaitan dengan benda mistik dan sihir. Nasihat Ustaz Amin dulu, guru yang pernah mengajarnya tentang ilmu perubatan tardisional masih diingati dan akan diamalkan selagi dia mampu.

Adam bingkas bangun dan melipat sejadah. Kopiah diletakkan di atas meja sebelah katil bujangnya. Langsir diselak sedikit, mengintai kereta orang tuanya di laman rumah. Dia mengukir senyum. Lega. Mereka sudah pulang. Kereta Waja milik ayahnya sudah diparkir di laman rumah.

Adam segera menapak keluar dari bilik. Sempat dia jeling bilik Hawa yang sudah tertutup rapat. Langkahnya diteruskan ke ruang tamu. Kelihatan kedua-dua orang tuanya sudah mula berehat di ruang tamu.

“Ibu dan ayah dari mana ni?” Adam terus saja bertanya walaupun dia sudah tahu bila Hawa beritahunya tadi.

“Kami dari kenduri kesyukuran tadi. Bila Adam sampai? Hawa mana?” Pantas saja Rohana menyoal semula. Matanya beralih ke tingkat atas.

“Lepas kerja tadi, saya terus balik sini. Ingatkan ibu dan ayah ada sekali tadi. Hawa ada dalam bilik dia…” Adam menutur perlahan. Kedua-dua tangan kedua orang tuanya dicium seketika sebelum melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan ayahnya.

“Kenapa ibu tak ajak Hawa sekali tadi?” Adam pandang ibunya yang mula hendak melangkah ke ruang dapur.

“Ibu dah ajak… Dia tak nak ikut. Entahlah sejak dia tinggal kat rumah ni, dia terperap saja di rumah ni. Ibu ajak keluar bersiar-siar pun dia tak nak. Nak lepak kat luar laman tu pun, dia macam takut-takut.” Rohana menjawab sebelum dia ke dapur.

Adam diam. Dia pandang ayahnya yang sedang menonton berita di kaca tv.

“Ayah pun pening. Hawa tu macam takut-takut. Errr… Dulu Adam ada beritahu yang budak tu dikejar seseorang, kan? Siapa mereka tu? Mereka nak apa sebenarnya?” Ahmad mengalih pandang pada Adam.

“Entahlah, ayah. Saya sendiri pun tak tahu. Saya jumpa dia pun secara tak sengaja.” Adam turut bingung.

Hmmm… Pelik juga.” Ahmad kembali menonton tv.

Adam turut menonton berita. Ligat dia berfikir tentang misteri diari merah dan kisah Hawa yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya dan hidup keluarganya.

“Ni… Makan ni. Tadi ibu dan ayah sempat singgah di kedai Mak Yah jual sate. Hawa tak turun ke?” Rohana kembali ke ruang tamu dengan sepinggan sate. Matanya menala ke tingkat atas semula.

“Hah… Panjang pun umur dia. Tu dah turun tu…” Ahmad senyum melihat Hawa sudah menapak turun ke ruang tamu.

“Hawa… Mari! Mak cik ada beli sate ni.” Rohana segera tarik tangan gadis itu dan duduk bersama di atas sofa.

Hawa mengukir senyum.” Terima kasih mak cik.”

“Takkan sate aje, ibu? Makan malam tak ada ke?” Adam yang sudah berkeroncong perutnya hanya memandang sate di atas pinggan di atas meja sofa.

“Laaa… Adam tak makan lagi ke? Kat dapur tu ada lauk lagi. Tadi Hawa yang masak. Pergilah makan.”

Cepat saja Adam melangkah ke dapur. Dia segera buka tudung saji. Memang ada lauk di situ. Sayur pucuk paku, ayam goreng kunyit dan sambal belacan bersama ulam pegaga.

“Ibu tak pernah masak sayur pucuk paku ni. Selalunya sayur campur goreng aje.”

Dia mula menikmati hidangan makan malam seorang diri. Bertambah-tambah dia makan malam itu walaupun lauk ringkas saja. Pinggan nasinya dibawa ke singki sebaik selesai makan.

“Tak apa… Biar saya yang basuh..”

Adam berpaling. Hawa kelihatan sudah menapak ke arahnya di singki. Kaku Adam di situ melihat Hawa sudah berada di sebelahnya dan selamba gadis itu mengambil pinggan dari tangannya untuk dicuci.

“Terima kasih…” Hanya itu yang terkeluar dari mulut Adam.

Hawa tidak menoleh ke arah Adam. Dia mula mencuci pinggan dan gelas yang dibawa bersama tadi dari ruang dapur. Dia memang perasan lelaki itu masih berada di sebelahnya.

Errr… Maaf, boleh saya tanya sikit?” Adam beranikan diri walaupun dirasakan suaranya agak menggelabah.

“Apa dia?” Hawa masih tidak menoleh. Ligat tangannya membasuh dan mengelap pinggan dengan tuala kecil yang sudah tersedia di tepi singki.

Emmm… Diari merah tu awak punya ke?”

Kali ini Hawa menoleh. Mata mereka bertentang. Lama Hawa menatap mata bundar Adam. Soalan lelaki itu tadi membuatnya terkelu. Itulah soalan yang sukar untuknya menjawab. Diari merah itulah yang diinginkan dua lelaki yang mengejarnya dulu. Sulit untuknya meluahkan apa yang sebenarnya berlaku. Namun dia kini lega kerana diari merah itu selamat di tangan Adam. Andainya dia berjaya dikesan oleh lelaki yang mengejarnya, sekurang-kurangnya diari merah itu selamat walaupun nyawanya sendiri dalam bahaya. Dia pasrah.

“Saya harap awak simpan diari merah itu dengan baik. Segala apa yang tercatat di dalamnya adalah benar dan penting bagi keluarga saya. Maaf… Kalau ada halaman yang terkoyak. Hanya itu yang saya ada…” Berhati-hati Hawa menutur.

Dia juga masih berasa sangsi sebenarnya. Adam hanya dikenali tanpa disangka. Dia juga harus berhati-hati dengan lelaki itu. Namun daripada riak lelaki itu, Adam seperti seorang yang baik dan boleh dipercayai.

“Maaf… Saya dah baca sedikit isi kandungan diari tu.” Adam tunduk. Teringat kata-kata Sakinah dulu, dia menceroboh privasi orang lain.

“Tak apa.” Hawa turut tunduk.

Emmm… Saya tak akan desak awak jika awak belum bersedia untuk cerita apa yang sebenarnya berlaku.” Adam mendongak semula.

“Ehem!”

Serentak mereka berdua berpaling ke arah pintu masuk ruang dapur. Rohana sudah tersenyum di situ. Adam cepat-cepat melangkah ke ruang tamu.

Haih… Anak ibu ni. Cepat aje nak keluar. Ibu tak marah pun Adam sembang dengan Hawa ni.” Cepat saja tangan Rohana memegang lengan Adam yang ingin beredar dari ruang dapur.

Errr… Saya sembang biasa aje, ibu. Saya ke ruang tamu dulu. Sate ada lagi?” Adam mula menukar topik.

Rohana mengangguk. Dia senyum melihat gelagat Adam.

Hawa mula minta diri untuk ke bilik. Adam hanya melihat gadis itu mencium tangan orang tuanya. Dia jeling jam di dinding ruang tamu. Patutlah… Sudah hampir dua belas malam. Dia juga turut minta diri untuk ke bilik.

Kata-kata Hawa tadi tentang diari merah itu seperti ada sesuatu rahsia besar yang cuba disorokkan. Hawa tidak memberitahunya dengan jelas tentang diari merah itu tadi. Adam turut minta diri ke bilik.

ADAM tersedar. Dia tercegat bangun. Suara jeritan kuat yang menerjah telinganya mengejutkannya daripada tidur. Dia capai jam tangan yang diletakkan di sebelah bantal tidur. Tiga pagi.

Selimut ditolak kasar. Adam mula melangkah keluar dari bilik.

Dia jenguk bilik Hawa. Tombol pintu cuba dipulas. Tidak berkunci. Dia masih berfikir hendak tolak daun pintu itu atau pun tidak. Sebaik tangannya ingin menolak daun pintu bilik Hawa, kedengaran suara menjerit sekali lagi dari ruang dapur. Adam segera berlari ke dapur.

“Ya Allah!” Adam membuntang.

Hawa sudah terlentang pengsan di lantai marmar dapur dengan kaki berdarah. Gelas yang sudah pecah berderai turut bersepah di atas lantai.

Adam perlahan menghampiri Hawa. Matanya dipejam rapat. Teraba-raba dia cuba menarik kain batik sarung menutupi semula betis gadis itu yang terdedah.

“Adam buat apa tu?”

Pantas saja Adam berpaling. Luas matanya memandang ayah dan ibunya yang sudah tercegat di muka pintu ruang dapur. Mukanya sudah pucat. Riak kedua-dua orang tuanya sudah berlainan. Tercegat Adam berdiri.

Errr… Hawa… Dia… Dia…” Adam sudah panik. Tergagap-gagap dia menutur. Terasa ayatnya sudah berterabur.

“Dia kenapa?!” Ahmad tinggikan suara. Dia pandang Adam dengan pandangan tajam.

Rohana pula segera mendekati Hawa yang sudah pengsan dengan kaki berdarah terkena serpihan gelas yang pecah. Segera dia cabut serpihan kaca yang masih melekat di tapak kaki gadis itu. Kepala Hawa dipangku perlahan.

“Yang kau orang tercegat di situ buat apa? Ambil air cepat!” Rohana pandang Adam dan suaminya yang masih terpacak di situ.

Adam segera mengambil segelas air dan menghulurkan kepada ibunya. Air itu disapu ke seluruh muka Hawa. Pipi Hawa ditepuk berkali-kali.

“Macam mana boleh pengsan ni?” Ahmad turut bingung.

Ahmad pandang jam, sudah hampir tiga setengah pagi. Bunyi jeritan tadi mengejutkannya daripada tidur. Cepat-cepat dia mengejutkan isterinya dan turun ke bawah. Bila sampai di ruang dapur, Adam dilihat sudah pegang kain batik sarung yang dipakai Hawa.

Hawa mula buka mata. Dia berkerut dahi. Terasa masih berpinar-pinar. Dia pandang seorang demi seorang. Bagai terkena renjatan elektrik, Hawa bingkas bangun dari ribaan Puan Rohana. Dia cepat-cepat tutup betisnya yang terdedah.

“Hawa… Kenapa ni? Macam mana boleh pengsan di sini?” Rohana terus saja bertanya.

“Baik Hawa cakap betul-betul…” Ahmad pula bertanya sambil menjeling tajam pada Adam.

“Sudahlah tu, bang. Tengok jam tu. Dah nak empat pagi. Tidur! Esok kita boleh sambung. Saya nak balut luka ni dulu.” Rohana papah Hawa.

Terhincut-hincut Hawa berjalan ke ruang tamu. Rohana segera menyuruh Adam mengambil kotak kecemasan. Luka di tapak kaki Hawa disapu dengan ubat dan dibalut kemas. Selesai merawat luka di tapak kaki Hawa, Rohana memapah pula Hawa ke bilik. Adam dan ayahnya masih berada di ruang tamu.

“Adam… Apa sebenarnya yang berlaku?” Tajam Ahmad memandang ke arah anak bujangnya. Tadi jelas dia melihat Adam berada dekat dengan Hawa dalam keadaan mencurigakan tapi dia tidak mahu menuduh Adam yang bukan-bukan. Dia kenal dengan anak bujangnya yang tidak pernah mengambil kesempatan pada gadis.

“Saya dengar jeritan tadi. Saya jenguk ke dapur. Bila sampai, Hawa dah pengsan dengan kakinya luka.” Adam menelan liur. Bimbang ayahnya tersalah anggap.

“Habis tu, kenapa ayah tengok Hawa tu sampai terselak kainnya? Ayah nampak Adam cuba buat sesuatu tadi.” Tegas suara Ahmad sambil memandang Adam tidak berkelip.

“Saya tak buat apa pun. Masa saya sampai tadi, kain sudah terselak, tadi saya cuba nak tutup semula. Tiba-tiba ayah dan ibu muncul di muka pintu tu.” Adam pertahankan dirinya.

Ahmad diam. Dia masih perhatikan riak Adam. Memang Adam tidak berbohong.

“Betul?”

Adam mengangguk.

“Okey… Esok kita tanya Hawa sendiri.” Ahmad mula bingkas bangun dan menapak ke bilik.

Adam masih termangu di sofa. Dia hanya pandang ayahnya menuju ke bilik.

“Aduh… Masak aku esok pagi. Janganlah Hawa putar belit cerita.”

Adam bangun dan melangkah lemah ke biliknya semula menyambung tidur.

MASING-MASING senyap. Suasana di ruang dapur itu hanya dihiasi dengan bunyi kicauan burung yang sudah mula keluar dari sarang mencari rezeki di pagi hari. Adam yang tidak dapat melelapkan mata malam tadi sudah terasa gementar. Entah kenapa cuaca pagi itu terasa sudah mula membahang. Dalam hatinya masih tidak tenang memikirkan apa yang bakal Hawa katakan pada ayah nanti bila disoal tentang kes malam tadi.

“Hawa, apa sebenarnya yang berlaku malam tadi?” Ahmad mula melontar pertanyaan setelah melihat Hawa sudah mula melabuhkan punggung di sebelah isterinya.

Hawa menoleh ke arah Encik Ahmad. Dia kemudian pandang pula Adam yang sudah tertutup mukanya dengan surat khabar yang diangkat tinggi.

“Maaf… Bukan salah Adam.” Hawa tunduk.

Perlahan Adam turunkan surat khabar dan dia memandang Hawa yang sudah tunduk. Lega…

“Betul?”Ahmad pandang Hawa dan kemudian beralih pada Adam.

Hawa mengangguk.

“Jadi… Kenapa Hawa pengsan kat dapur malam tadi? Gelas pecah… Kaki luka.” Rohana pula bingung.

“Saya haus malam tadi. Saya tak boleh tidur… Jadi saya ke dapur nak ambil air. Saya duduk sekejap dan…” Hawa terhenti kata-kata.

Adam pandang Hawa yang sudah diam semula. Tidak sabar dia hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Ayahnya dilihat masih memandang Hawa menanti kata-kata seterusnya dari mulut gadis itu.

“Saya rasa tak sedap hati, menjadi kebiasaan saya, sebelum minum, saya baca doa dulu. Bila saya nak minum, air putih tu bertukar menjadi hitam. Masa tu jugalah saya ternampak kelibat hitam melintas macam kilat di luar tingkap. Saya menjerit dan lepas tu saya tak sedarkan diri. Mungkin gelas di tangan saya sudah terlepas dan jatuh ke lantai… Maaf mak cik, saya dah menyusahkan mak cik dan juga keluarga ni. Saya tak sepatutnya tinggal di sini.” Hawa semakin menundukkan wajahnya.

Errr… Awak kata tadi… Air bertukar menjadi hitam?” Adam pula terkejut. Pertama kali mendengar perkara pelik seperti itu. Apa yang dia lihat malam tadi, memang ada air yang tumpah ke lantai tetapi hanya air putih biasa. Bukan hitam!

Hawa mengangguk.

“Awak nampak kelibat hitam tu… Macam manusia ke?” soal Adam lagi.

“Laaa… Kan dia cakap tadi kelibat hitam tu melintas macam kilat. Mana nak nampak rupa bentuk benda tu?” Ahmad jeling Adam.

Adam senyum. Teruja hendak tahu punya pasal, tak sempat nak fikir soalan logik.

“Pelik pula… Selama ni rumah ni tak ada apa-apa yang pelik berlaku. Entah-entah kelibat hitam tu lelaki yang kejar Hawa tak?” Rohana pula meneka.

Hawa masih tunduk. Dia juga tidak berani mengiakan semua itu. Memang sejak kejadian pahit itu dulu, dia sering diganggu kelibat hitam itu dan sejak itulah dia mula mendekatkan diri kepada Allah dan seboleh mungkin berzikir sebanyak mungkin dan bertahajud. Malam tadi pun sebenarnya dia bangun untuk bertahajud.

Errr… Doa apa yang Hawa baca?” Ahmad pula berminat dengan amalan Hawa.

“Doa untuk menghindarkan daripada disihir dan disantau terutama melalui makanan dan minuman. Maaf… Saya bukan syak mak cik dan pak cik tapi saya harus berhati-hati. Saya kena kuatkan diri saya sendiri dengan semua itu. Selepas apa yang berlaku pada keluarga saya.” Hawa menyeka air mata yang mula menitis. Sebak bila menyentuh soal keluarganya.

“Ayat apa, ya? Boleh pak cik belajar?” Ahmad mula senyum. Rupa-rupanya anak gadis itu penuh dengan amalan.

“Boleh pak cik… Nanti Hawa tulis ayat tu. Pendek aje ayatnya. Saya ni bukan pandai sangat… ia hanya amalan untuk saya sendiri.” Hawa mendongak dan tersenyum.

“Jadi… Awak rasa air putih tu bertukar jadi hitam sebab kemungkinan ada orang yang cuba hantar sihir pada awak?” Adam berkerut kening.

“Ya… Mungkin. Sebab menurut ustaz yang saya belajar dulu, dia cakap, bila doa tu dibaca pada makanan atau minuman, jika berlaku benda yang pelik, maka kemungkinan air itu sudah disihir menggunakan santau angin atau santau tuju. Itu yang bahaya. Jadi, saya amalkan ayat tu setiap kali hendak makan atau minum,” jelas Hawa.

“Itu macam santau yang dihantar melalui makanan…” Adam masih tidak mengerti maksud Hawa tadi.

“Ya… Tapi jika dari jarak jauh, itu sudah dikira santau tuju atau angin.” Hawa pandang pula Adam yang dari berkerut dahinya.

“Apa kita nak buat sekarang ni?” Ahmad mencelah.

“Apa kata kita tanya imam masjid di kawasan ni? Mana tahu dia boleh tolong?” Rohana pula mengusul cadangan.

“Boleh juga tu…” Ahmad mengangguk-angguk.

Suasana kembali senyap. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Hawa pula melihat seorang demi seorang. Matanya jatuh pada Adam yang sudah tunduk. Sejak pertama kali bertemu lelaki itu, hatinya sudah berdetik namun semua itu terpaksa dilupakan. Dia tidak layak untuk lelaki sebaik Adam. Apa yang berlaku dulu begitu pahit baginya dan tidak mungkin lelaki itu boleh terima semua itu bila kelak rahsia itu terbongkar. Daripada riak Adam, dia faham reaksi seperti itu. Adam mungkin sudah mula menyukainya. Itulah juga yang berlaku padanya dulu dan reaksi itulah juga yang telah menghumbannya ke dunia pahit dan pelarian. Mengingati semula kisah pahit itu membuatnya tawar hati pada lelaki.

“Mak cik, pak cik, saya tak tahu nak balas budi baik mak cik dan pak cik. Saya tak mahu jadi beban pada keluarga ni. Tentang berubat tu, tak apalah. Saya boleh hadapinya sendiri.” Hawa bersuara semula.

“Hawa… Jangan cakap macam tu. Mak cik dah sayangkan Hawa…” Rohana pula sebak.

“Sudahlah… Yang lepas tu jangan dikenang lagi. Mulakan hidup baru. Kalau Hawa nak kerja, pak cik boleh rekomenkan kerja untuk Hawa. Errr… Hawa ada kelulusan?” Ahmad menukar topik.

Hawa mendongak semula. Encik Ahmad seolah-olah dapat membaca fikirannya yang sedang memikirkan kisah hidupnya itu. Sebak bila memikirkan perubahan mendadak kehidupan yang dilaluinya. Daripada seorang periang, berkerjaya dan mempunyai keluarga bahagia kini sudah bertukar sebaliknya. Dia juga tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika ini. Takkan selamanya dia harus bergantung harap pada keluarga itu. Dia perlu berdikari.

“Tak apalah pak cik… Saya pun harus berdikari. Saya akan cari kerja nanti dan saya akan cari juga rumah sewa.” Hawa semakin sebak. Nyata keluarga itu sungguh baik hati.

Rohana terus peluk tubuh Hawa. Sebak mendengar luahan kata-kata gadis itu.

“Hawa… Mak cik tak benarkan Hawa keluar dari sini. Hawa tinggal di sini, ya nak?”

Hawa diam. Bukan dia tidak mahu tetapi banyak halangan untuknya nanti. Tambah lagi Adam selalu pulang ke situ. Apa kata jiran-jiran nanti.

“Saya bukan keluarga ni dan saya tak nak menyusahkan mak cik dan pak cik dan…” Hawa pandang Adam.

“Pak cik faham… soal pergaulan dan aurat, kan?” Ahmad pula mencelah.

Adam masih diam. Dia juga tidak betah bila ada gadis itu di rumah orang tuanya. Mereka berdua bukan mahram. Apa-apa pun boleh jadi nanti.

“Alah bang ni. Senang aje. Nikahkan aje Adam dengan Hawa ni. Tak gitu, Adam?” usik Rohana pada anak bujangnya.

Adam terdiam. Cepat saja dia menoleh pada Hawa. Hawa dilihat sudah tunduk, tidak beriak.

Errr… Ibu, ayah, Adam beransur dulu. Ada hal sikit. Tadi ada kawan call.” Cepat saja Adam tukar tajuk perbualan. Dia bingkas bangun dan mencium tangan kedua-dua orang tuanya sebelum menapak ke kereta.

Sepanjang perjalanan ke rumah bujangnya, otaknya ligat memikirkan kata-kata ibunya tadi. Ibunya seperti terdesak inginkan menantu. Gadis itu hanya dikenali sekejap cuma. Masih banyak tentang gadis itu tidak diketahui. Entah-entah kekasih orang atau tunangan orang ataupun masih isteri orang, tidak mustahil semua itu. Tadi, jelas pada raut wajah Hawa, tiada reaksi apa-apa bila ibunya berkata begitu seolah-olah ada satu rahsia yang disimpan kemas dalam hidup gadis itu.

DUA minggu berlalu. Adam semakin sibuk dengan kerja dan melawat tapak. Dia perlu melihat tapak projek sebelum pelan lukisannya dikemas kini dan dihantar kepada ketuanya. Ulang-alik dari rumah ke pejabat dan kadang-kadang ke tapak projek membuatkan masa dan kehidupannya hanya tertumpu pada kerja. Penyiasatannya pada rumah banglo putih dan diari merah itu sudah tergendala. Selama dua minggu itulah dia tidak jenguk kedua-dua orang tuanya tetapi sering juga dia bertanya khabar melalui telefon.

Adam senyum setiap kali dia berbual dengan ibunya di telefon, kisah Hawa yang menjadi topik utama. Sayang benar ibunya pada gadis itu padahal mereka masih tidak tahu asal usul dan kisah sebenar gadis itu sehingga boleh terjebak dalam kes seperti itu. Dulu, pulang dari rumah orang tuanya pada pagi minggu itu, dia terus ke rumah dan membelek semula diari merah itu. Banyak halaman yang sudah dikoyak, mungkin sengaja dikoyak. Malah ada juga catatan dalam halaman diari merah itu tidak habis ditulis, seolah-olah tergantung begitu saja. Itu tidak kira halaman yang bertulis yang sudah terkoyak separuh.

Adam berjalan perlahan menuju ke kawasan lapang di tapak projek. Topi keselamatan masih di atas kepala. Dia memerhati sekitar tapak itu. Pelan lukisan yang turut dibawa bersama dibuka dan diteliti. Dia cukup berpuas hati kerana semuanya mengikut spesifikasi yang dikehendaki pelanggan dan juga memenuhi kriteria pihak berwajib. Pelan lukisan itu digulung dan dia melangkah pula ke arah sebatang pokok yang rendang. Panas terik dari cahaya matahari yang sudah menegak di kepala cukup membuat matanya terasa sedikit berpinar.

Fuh… Lega..” Adam melabuhkan punggung di bawah pokok rendang tadi. Dia mengipas badannya sendiri.

“Encik Adam, jauh menung?” tegur Hassan, salah seorang kontraktor yang hadir di tapak projek.

“Oh… Tak adalah. Kat sini teduh sikit.” Adam mengukir senyum. Dia pelawa Hassan duduk di sebelahnya.

Hmmm… Nampaknya projek ni akan bermula tak lama lagi. Tak adalah sunyi rumah-rumah yang sudah sedia ada di kawasan ni.” Hassan memandang ke arah beberapa banglo di sekitar tapak projek.

“Betul tu. Kalau dulu, laluan ke sini macam sunyi aje.” Adam menambah.

“Encik Adam tahu tak… Ada sesuatu yang berlaku pada salah satu banglo tu?” Hassan berpaling ke arah Adam seketika sebelum matanya beralih pada banglo yang dimaksudkannya tadi.

“Sesuatu?” Adam berkerut kening.

“Ya… Nampak tak banglo putih tu?” Hassan tuding ke arah jalan kecil menuju ke sebuah banglo putih.

“Nampak… Tapi kenapa dengan banglo tu?” Adam menelan liur. Rumah itulah yang dia sedang disiasat sekarang ini.

“Dulu… Saya yang bina banglo putih tu.” Hassan mula bercerita.

“Oh… Jadi, Encik Hassan tahulah selok-belok rumah tu?” Adam sudah mula teruja. Mungkin dia boleh mendapat klu untuk siasatannya nanti.

“Ya. Dulu rumah tu begitu ceria dengan sebuah keluarga kaya yang menghuni rumah itu sebaik ia siap dibina. Saya kenal dengan tuan rumah itu, namanya Datuk Yusof. Dia memang peramah dan tidak sombong. Dia tinggal bersama isterinya dan tiga orang anaknya. Dua perempuan dan seorang lelaki.”

“Hidup mereka aman damai, anak-anak sudah besar. Yang sulung perempuan, belajar di universiti. Yang tengah masih dalam tingkatan lima masa tu dan yang bongsu anak lelaki, masih sekolah rendah tapi sayang kehidupan mereka tiba-tiba berubah…” Hassan terhenti seketika. Dia menarik nafas.

Adam masih setia mendengar. Segala apa yang diceritakan oleh Hassan tadi sama dengan apa yang disiasatnya dan juga dari maklumat yang diberitahu oleh Razak dulu. Lelaki yang memberinya upah dulu juga memberi maklumat yang sama.

“Apa yang berlaku?” Adam mula bertanya bila lama Hassan diam tadi.

Hassan merenung jauh ke arah banglo putih itu semula. Dia menarik nafas lagi.

“Seorang demi seorang ahli keluarga Datuk Yusof meninggal dunia dalam keadaan yang sama. Sakit, muntah darah, badan kurus kering, lumpuh dan meninggal. Seorang setiap tahun… Bermula dengan Datuk Yusof. Tahun berikutnya, anak bongsunya pula menyusul sehinggalah habis kesemua ahli keluarganya meninggal dengan cara yang sama. Saya pernah tanya seorang ustaz tentang kematian mereka. Ustaz itu hanya menggeleng. Menurutnya mereka itu semua disantau oleh seseorang yang dengki dengan Datuk Yusof dan dia sudah bersumpah akan musnahkan seluruh keluarga Datuk Yusof,” jelas Hassan. Dia melepaskan hela nafas sekali lagi.

Adam terdiam. Cerita Hassan tadi seolah-olah sama dengan isi kandungan dalam diari merah yang dibacanya. Jika diari merah itu milik Hawa, apa hubungan Hawa dengan keluarga Datuk Yusof? Tak mungkin Hawa anak kepada Datuk Yusof kerana semua ahli keluarga itu sudah meninggal. Dan yang lebih pelik Hawa masih tidak menjawab soalannya sampai sekarang. Lelaki yang mengupahnya untuk menyiasat kes itu juga misteri baginya. Sehingga kini dia masih tidak dapat menghubungi lelaki itu.

“Mungkinkah Datuk Yusof sudah lakukan sesuatu yang membuat orang itu begitu marah dan bertindak kejam begitu?” Adam cuba mengorek rahsia daripada Hassan.

“Entahlah… Datuk Yusof seorang ahli perniagaan terkenal dan juga terlibat dalam politik. Tidak mustahil dia mempunyai musuh merata. Sampai sekarang pihak polis masih tidak dapat menyelesaikan kes tu sampailah saya dengar kes itu ditutup sepenuhnya.” Hassan masih memandang banglo putih itu.

“Saya pun ada juga dengar kes famili tu mati dalam keadaan misteri. Itu adalah cara halus untuk menumpaskan musuh.” Adam senyum kelat.

“Ya betul… Cara yang paling baik tanpa dapat disabitkan kesalahan. Tapi ada orang kata, santau ni kadang-kadang dilepaskan begitu saja dan dituju kepada sesiapa saja oleh pengamalnya. Dia kena hantar santau tu kepada orang lain, kalau tidak santau tu akan makan dirinya sendiri.” Hassan menambah.

Adam mengangguk-angguk. Dia juga pernah belajar tentang itu daripada seorang ustaz.

Hmmm… Sungguh tragis kematian mereka. Siapalah agaknya musuh arwah tu?” Hassan memandang semula ke arah banglo putih.

Adam juga turut melihat banglo putih itu. Soalan Hassan tadi sukar juga untuknya menjawab.

“Okaylah. Perut pun dah lapar ni. Errr… Encik Adam tak makan ke?” Hassan bingkas bangun dan berpaling pada Adam.

“Tak… Pagi tadi saya dah bedal tiga bungkus nasi lemak.” Adam sengih.

Hassan turut senyum. Dia kemudian minta diri. Adam hanya pandang Hassan berlalu pergi. Kata-kata lelaki itu terngiang-ngiang di telinganya. Apa yang diceritakan oleh Hassan tadi sungguh membuatnya terkesima. Bermakna benar telahan Razak selama ini.

“Tapi… Siapa Hawa sebenarnya? Macam ada kaitan dengan keluarga Datuk Yusof. Ah… Aku pun tak pernah ambil tahu nama penuh Hawa. Hmmm… Esok dah hari Sabtu.” Adam senyum. Dia bercadang untuk bertanya Hawa tentang hal itu tetapi masih berfikir cara yang sesuai dan tempat yang sesuai.

“Nak ke dia keluar makan dengan aku?” Adam mula memasang niat untuk mengajak Hawa keluar makan berdua.

“Isy… Kan ibu cakap Hawa tu payah nak diajak keluar?” Adam luku kepalanya sendiri. Teringat kata-kata ibunya dulu.

Dia bingkas bangun dan mengorak langkah ke tempat letak kereta. Dia perlu sampai ke pejabat semula sebelum jam enam petang. Laporan perlu disiapkan dan dihantar kepada ketua bahagian.

Kereta Adam meluncur laju menuju ke pejabatnya semula dan selepas itu dia akan bermalam di rumah orang tuanya.

SEPERTI biasa, Adam akan menghubungi ibunya terlebih dahulu sebelum datang. Keretanya sudah mula menjalar masuk ke pekarangan rumah orang tuanya. Adam senyum. Kali ini kereta waja milik ayahnya tersadai di laman. Dia mula menapak keluar dari perut kereta. Dan seperti biasa juga, dia akan membawa sejambak bunga ros putih untuk ibu. Perlahan dia mengatur langkah ke pintu utama dan salam diberi.

“Dah sampai pun anak ibu!” Tersenyum Rohana sebaik pintu dibuka.

Adam mencium tangan ibunya dan sejambak ros putih dihulur kepada ibunya. Senyum sampai ke telinga Rohana menyambut ros putih daripada Adam.

“Hai… Takkan sejambak aje?” Rohana pandang Adam dengan senyuman manis.

Errr… Ibu nak dua jambak ke?” Adam pula tergaru-garu kepala.

“Kan dalam rumah ni ada dua puteri…” usik Rohana.

Tersengih Adam di muka pintu bila diusik ibu. Dia faham maksud ibunya tadi. Tentu puteri yang seorang lagi itu adalah Hawa. Ah, kalau dibeli juga untuk Hawa nanti, bertambahlah lagi usikan daripada orang tuanya nanti. Dia terus saja ke bilik. Sekejap lagi akan masuk maghrib. Usai solat maghrib berjemaah dengan ayah, Adam berehat di dalam bilik saja. Tadi semasa makan malam, dia melihat Hawa seperti tidak selesa saja. Terasa pula dia yang menjadi tetamu dan gadis itu pula adalah tuan rumah.

Beg sandangnya dibuka perlahan. Diari merah dibuka lagi untuk kesekian kali. Banyak halaman yang sudah terkoyak atau mungkin sengaja dikoyak. Hanya beberapa halaman saja yang ada catatan.

Hmmm… Tak ada sangat klu yang aku boleh kaitkan dengan Hawa.”

Adam berpaling bila terdengar ketukan di pintu biliknya. Ibu sudah tersenyum di muka pintu sebaik pintu dikuak.

“Adam belum tidur lagi?” Rohana menghampiri Adam yang masih menghadap komputer.

“Belum mengantuk, ibu.”

Hmmm… Baca apa?” Rohana jenguk buku kecil di atas meja Adam.

Adam cepat-cepat tutup dan tolak ke tepi di sudut meja.

Errr… Ada apa ibu datang sini?”

Rohana mengukir senyum. Dia pandang wajah anak terunanya yang ada iras suaminya. Mata dan mulut pula ada iras dirinya sendiri. Rambut dan kening yang hitam dengan kulit agak putih itu ditatap seketika.

“Adam ni bukannya tak handsome tapi kenapa sampai sekarang Adam macam tak serius aje nak berumah tangga?” Rohana mulakan mukadimah.

Adam sudah mengagak. Itu yang akan ditanya oleh ibunya. Yalah… Tadi tidak sempat bertanya banyak agaknya. Dia hanya tersenyum sumbing.

“Ibu… Belum masanya lagi. Bila saya dah sedia, saya akan kenalkan calon menantu ibu tu kat ibu.” Adam pegang lembut kedua-dua tangan ibunya.

“Sampai bila? Ibu bukannya semakin muda. Macam inilah… Ibu bagi masa tiga bulan. Kalau Adam tak dapat cari calon dan bawa jumpa ibu, ibu nak Hawa jadi menantu ibu.” Kali ini serius nada Rohana.

Errr… Mana boleh macam tu ibu. Mana nak cari dalam masa tiga bulan. Bukannya boleh main tangkap muat aje.” Adam sudah garu kepala. Syarat ibunya tadi dirasakan terlalu mendesak.

“Kalau ibu tak bagi syarat macam tu, sampai bila pun Adam tak akan cari.” Rohana memandang tepat ke anak mata Adam.

Adam sudah terkebil-kebil. Dia sudah mati kutu. Ternyata kali ini nada suara ibunya berlainan. Kalau dulu dia tidak begitu mendesak tapi sejak kehadiran Hawa di rumah itu, ibu seolah-olah obsess tentang soal nikahnya.

“Ingat pesan ibu dan syarat tu… Ibu akan tanda pada kalendar nanti.” Rohana bingkas bangun dan berlalu pergi.

Adam sudah menggelabah. Sampai begitu sekali ibunya mengira tempoh tiga bulan itu. Ah! Pening bila memikirkan soal perempuan, apa lagi soal jodoh. Belajar matematik dan fizik rasanya lagi senang! Baru saja dia bercadang untuk mengajak Hawa keluar bersama esok, mencari peluang bertanya hal diari merah dan cerita sebenar daripada gadis itu.

“Adoi… Bboleh stress macam ni.” Adam meraup muka.

Dia terus tutup lampu. Apa pun, esok dia perlu cari jalan agar tidak nampak ketara di mata kedua-dua orang tuanya nanti. Rahsia diari merah itu harus dikorek daripada Hawa.

HARI minggu itu, Adam dan ayahnya bersama membersihkan laman rumah usai sarapan. daun-daun kering yang jatuh berguguran di laman disapu dan dibakar. Mana-mana bekas yang terdedah pada pembiakan nyamuk turut dibuang. Rohana dan Hawa pula mengemas di ruang dapur dan ruang tamu.

Hampir tengah hari mereka sama-sama bergotong-royong melakukan aktiviti mengemas dan membersih sekitar rumah. Usai solat zuhur mereka menikmati pula juadah tengah hari.

“Lama kita tak gotong-royong bersama-sama, kan?” Rohana mula bersuara. Lauk yang dimasak bersama Hawa tadi sudah separuh licin. Dia jeling Adam yang bertambah-tambah makan.

“Ya… Seronok juga sekali sekala kita exercise macam ni. Keluarlah peluh sikit.” Ahmad menambah.

Adam masih diam sambil menikmati nasi berlaukkan kerabu buah beko. Kebetulan ada jiran sebelah yang sedekahkan buah beko pada ibu tadi. Memang ibu suka buat masak kerabu.

“Sedap betul kerabu ni, ibu. Boleh minta lagi buah beko ni.” Adam sengih. Tersandar dia di kerusi kekenyangan.

“Sedap?” Rohana pandang Adam yang sudah tersenyum di sebelah suaminya.

“Mestilah sedap… Ibu kan yang masak.” Adam semakin lebar senyumnya.

“Untuk pengetahuan Adam, kali ni bukan ibu yang buat kerabu tu. Ni… Hawa yang buat.” Rohana jeling Hawa di sebelahnya.

Adam terdiam. Beria-ia dia memuji tadi. Riaknya sudah berubah. Hawa dari tadi asyik tunduk saja. Tidak banyak bicara. Dia segera capai pinggan nasinya yang sudah licin dan gelas ke arah singki.

Errr… Biar saya yang basuh.” Cepat saja Hawa bingkas bangun dan capai pinggan dari tangan Adam.

Adam tergamam. Dia berpaling pada kedua-dua orang tuanya yang sudah tersenyum di situ. Dia kemudian menapak ke ruang tamu. Encik Ahmad turut membuntuti Adam ke ruang tamu.

Hmmm… Macam mana kerja?” Ahmad mula bertanya soal kerja. Semalam dia perasan ada sebuah kamera yang dibawa Adam.

“Baik ayah… Setakat ni okey.” Adam melemparkan senyuman. Dia mula capai remote control dan ditekan butang On.

Ahmad angguk-angguk. Dia perlu panjangkan pertanyaannya tentang kamera itu. Mungkin itu hobi Adam bila ada tekanan kerja. Dulu dia juga minat menjadi jurugambar. Saja untuk melepaskan tekanan kerja dan mengisi masa lapang. Adam mula minta diri untuk ke bilik. Dia perlu siapkan kerja pejabat yang terpaksa dibawa pulang semalam. Lusa, dia akan ke tapak projek sekali lagi.

“Adam nak ke mana?” Rohana sempat bertanya, Adam dilihat sudah menapak ke tingkat atas.

“Nak buat kerja sikit, ibu… Lusa nak kena hantar.” Adam berpaling dan senyum. Dia pandang Hawa di sebelah ibunya yang hanya tunduk.

Rohana hanya mengangguk.

Petang itu, Adam berkurung di dalam bilik. Dia cuba menyiapkan kerja pejabatnya secepat mungkin. Selepas ini dia kena beri tumpuan pada penyiasatannya pula. Berdasarkan maklumat yang diperolehi secara tidak sengaja daripada Hassan semalam, dia perlu kumpulkan semua bukti itu.

“Ah… Lega… Siap juga…” Adam urut lehernya yang terasa tegang. Tidak sedar asar sudah lama masuk masuk waktu.

Dia segera ke bilik air untuk berwuduk dan menunaikan suruhan wajib itu. Usai solat, Adam menyambung pula meneliti penyiasatannya tentang diari merah. Sekali lagi dia membaca catatan dalam diari.

 

August 27, 2010.

Detik adik bongsu aku dijemput oleh Allah. Aku pasrah. Tiada yang dapat aku lakukan melainkan memanjatkan doa dan memohon keampunan untuknya. Aku semakin bingung. Adik aku juga pergi dengan cara yang sama.

 

Sept 18, 2010.

10 am, Tasik Titiwangsa.

Aku merasa geram hari ni. Sangat geram! S paksa aku! Di tasik inilah, aku hadiahkan sebuah penampar padanya.

 

Adam berhenti seketika membaca. Apa yang tertulis di situ membuatnya seperti ada kemarahan memuncak. Siapa S yang dimaksudkan dalam diari? Adam bersandar malas di kerusi. Puas dia memikirkan kaitan diari merah itu dengan banglo putih, milik Datuk Yusof. Hanya Hawa saja yang tahu rahsia sebenar semua itu.

Adam mengorak langkah ke tingkap biliknya yang menghadap ke arah depan laman. Langsir diselak. Dia senyum melihat ibunya berbual mesra dengan Hawa sambil menikmati juadah petang. Teringin juga dia turut sama berbual dengan mereka namun dia tahu gadis itu tentu merasa tidak selesa nanti. Lama Adam memerhati wajah Hawa, wajah tanpa secalit mekap itu terserlah kecantikan semula jadi.

Hmmm… Nampaknya dia sudah berani berada di laman rumah.” Adam teringat kata-kata ibunya yang gadis itu seperti takut untuk keluar dari rumah, hatta di laman rumah sekalipun.

Adam mengambil kameranya dari dalam beg sandang dan dia kembali ke tingkap. Lensa kamera difokuskan pada wajah Hawa. Klik! klik! Klik!

Dia kembali ke meja semula. Kamera disambung ke komputer ribanya. Semua foto tadi dimuat naik ke situ.

PERLAHAN Adam menghampiri Hawa yang begitu asyik mencatat sesuatu di atas sebuah buku nota. Gadis itu begitu khusyuk sehingga tidak sedar kehadirannya di situ.

“Assalamualaikum…” Adam mula memberi salam.

Hawa mendongak. Riaknya sudah berubah. Dia pandang sekitar laman rumah. Rohana dan Encik Ahmad sudah lama tiada di situ.

“Waalaikumussalam…”

Adam melabuhkan punggung di atas kerusi di depan Hawa di tempat meja bulat putih. Sempat dia menjeling sekilas nota di depan Hawa. Memang sebuah buku nota yang kelihatan sudah separuh digunakan untuk catatan.

Errr… Awak nak apa?” Hawa cepat-cepat tutup notanya dan pen diselitkan dalam buku kecil itu.

“Awak ni… Macam tak suka saya lepak dengan awak. Saya ni kaki lepak juga.” Adam cuba berjenaka.

Hawa melemparkan senyuman kelat. Terasa kata-kata Adam tadi seperti dibuat-buat. Kaki lepak?

“Yalah… Saya ni kan tetamu tak diundang… Muncul tiba-tiba… Jadi, saya kena hormat tuan rumah.” Hawa tunduk. Dia kemudian mendongak semula dan melemparkan matanya ke satu deretan pokok bunga ros putih yang mula berkembang.

Adam masih memandang tingkah Hawa. Senyuman gadis itu tidak dibuat-buat. Sempat lensa kameranya mengabadikan senyuman manis gadis itu tadi semasa berada di dalam bilik.

“Kalau awak rasa macam tu, tak salahkan kalau saya tanya asal usul awak?” Adam mula memancing soalan.

Hawa kembali memandang Adam. Wajah lelaki itu ditatap seketika. Dia cuba mencari riak jujur di wajah bersih itu. Mata redup Adam masih memandang ke arahnya.

“Maaf… Saya bukan tak nak beritahu awak ataupun orang tua awak tapi saya bimbang awak dan famili awak akan diancam nanti.” Hawa tidak berani meneruskan kata-katanya.

“Diancam??” Adam pula berkerut kening.

“Ya… Saya jadi pelarian dan saya diburu. Awak sendiri nampak, kan?” Hawa pandang Adam yang kini sudah tepat memandang ke arahnya.

“Ya… Itu yang menjadi persoalan saya sejak dulu. Siapa mereka? Kenapa mereka kejar awak? Apa kaitan awak dengan diari merah tu?” Bertubi-tubi kali ini soalan dilontarkan kepada Hawa.

Hawa diam. Adam dilihat seperti ingin menyiasat hal itu.

“Awak ni PI ke?”

Adam pula terdiam kali ini. Pertanyaan Hawa jelas menunjukkan yang gadis di hadapannya ini seperti arif tentang itu semua.

“Tak…Saja nak tahu. Saya berhak tahu sebab awak yang ikut saya balik ke sini. Jadi tak salah kalau saya nak tahu. Mana tahu saya boleh tolong awak.” Adam cuba bersikap selamba. Gadis itu tidak perlu tahu tentang identitinya selain jawatan rasminya sekarang sebagai seorang arkitek. Hatta ayah dan ibu juga tidak tahu tentang itu.

“Saya faham… Saya tak patut ikut awak hari tu tapi saya tidak ada tempat tuju. Awak jangan bimbang… Saya akan pergi dari sini. Saya sudah memohon kerja dengan kelulusan yang saya ada. Kalau saya diterima bekerja nanti, saya akan pergi dari sini dan saya harap kita tak akan berjumpa lagi.” Hawa pandang Adam yang masih memandangnya tidak berkelip.

“Bunyi macam merajuk saja? Saya tak kata nak halau awak dan suruh awak pergi.” Adam mula resah. Bimbang kata-katanya tadi menyinggung perasaan gadis itu dan lebih membimbangkan lagi jika ibunya tahu nanti.

“Saya sedar siapa saya.” Hawa tunduk semula.

“Ini bukan soal tu. Saya masih menunggu jawapan daripada soalan awal saya tadi.” Adam masih tidak berputus asa.

Hawa melepaskan keluhan sebentar. Dia melemparkan pandangannya ke arah lain. Kali ini ke satu sudut kebun sayur yang hanya sebatas itu di sebelah kiri laman rumah. Dia senyum. Sungguh keluarga itu tidak sia-siakan tanah yang ada.

“Sayur apa tu?” Terpacul soalan daripada Hawa, dia masih memandang batas sayur yang kelihatan cukup subur tumbuh di situ.

Adam turut panjangkan lehernya ke arah batas sayur. Dia senyum. Nampak subur sayur sawi yang ditanam ayah.

“Sawi… Awak suka berkebun ke?” soal Adam pada Hawa semula.

“Tak juga… Saya mana reti semua tu. Tangan saya ni tak ada baja. Tanam apa-apa pun, bantut semuanya.” Hawa ketawa.

Adam senyum, lega melihat gadis itu mula ceria.

“Samalah kita, saya pun tak reti juga.” Adam cuba juga berlawak.

“Adam… Awak dah ada kekasih hati?”

Adam pantas menoleh. Pertanyaan Hawa tadi bagai merentap tangkai jantungnya. Berdegup kuat bila disenjah.

“Kenapa? Awak nak jadi kekasih hati saya?” gurau Adam, tiada jawapan untuk soalan Hawa tadi.

“Awak ni… Takkan tanya macam tu pun awak ingat saya ada niat macam tu.” Hawa gelak lagi.

Adam hanya melihat tingkah Hawa. Entah kenapa terasa bahagia bila berbual dengan gadis itu.

“Okeylah awak… Saya nak masuk dulu. Dah nak maghrib ni.” Hawa bingkas bangun. Nota dicapai dan dipeluk erat.

Adam turut bangun.

“Hawa… Sudi tak awak keluar dengan saya?”

Hawa tidak jadi melangkah.

“Maksud awak… Dating?”

“Bukan… Saja keluar makan-makan, jalan-jalan…” Adam sudah berona merah mukanya.

“Nanti saya fikir… Saya masuk dulu.”

Adam hanya memerhati Hawa melangkah masuk ke rumah. Dia menarik nafas seketika. Terasa waktu petangnya kali ini terisi. Gadis itu ternyata tidak pernah ingin berterus terang.