Penunggu

RM28.00

Penulis: Siti Rozilah

Caption: aku akan terus menghantuimu!

ISBN: 978-967-406-252-1

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 28.00 RM 31.00

SETIAP kali tibanya bulan Mei, Kampung Busut Tunggal bagaikan disumpah. Murid-murid sekolah terlolong-lolong akibat histeria, penoreh getah diserang harimau dan yang terbaharu, dua beranak telah ghaib ditelan hutan. Semua ini menimbulkan kegelisahan di hati Pak Ya dan para penduduk kampung.

Bagi mereka, semua musibah yang terjadi disebabkan ‘penunggu’ yang menghuni Gua Hitam.

Gelagat sekumpulan anak-anak muda yang diketuai oleh Raymond Tan, yang berdegil untuk meneruskan ekspedisi mereka meneroka Gua Hitam akhirnya mengundang celaka. Tragedi bermula apabila Meilina dilarikan suatu ‘lembaga’ berwarna putih nun jauh ke dalam perut gua. Mujurlah, Meilina ditemui dalam keadaan selamat.

Pengalaman ngeri terus mengekori mereka walaupun setelah keluar dari perut Gua Hitam. Seorang demi seorang mula ditimpa petaka.

Bagaimana pula dengan konflik yang melanda pertunangan di antara Dazrin dengan Meilina setelah Fazura mengenakan ilmu guna-guna terhadap Dazrin dek cintanya yang tidak dibalas? Apakah peranan Dukun Jalil? Dan, siapakah pula perempuan seiras Meilina yang bernama Mei Ling?

Benarkah Gua Hitam berpenunggu? Siapakah agaknya yang akan terselamat dan siapakah yang bakal berdepan dengan maut?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Di sebuah kampung terpencil pada tahun 1941…

                KENAPA lu tak gunting rambut tu lagi? Lu mau askar Jepun jatuh hati sama lu?” sembur Ah Tek ke arah anak gadisnya yang baru berusia 16 belas tahun itu.

Mei Ling adalah anak kebanggaannya. Juga kesayangannya. Apa tidaknya, setelah hampir-hampir berputus asa untuk menimang cahaya mata dan ketika dia sudah berura-ura hendak menceraikan isterinya yang dituduh mandul kerana gagal menjalankan tugasnya sebagai kilang beranak, tiba-tiba benihnya bercambah di dalam rahim isterinya itu.

Seperti juga keluarga lain, Ah Tek amat berharap agar anak sulungnya itu adalah seorang bayi lelaki bagi meneruskan legasinya. Tetapi dia tidak akan menolak rezeki jika yang dianugerahkan kepadanya adalah seorang bayi perempuan. Yang penting anaknya kelak tidak kiralah apapun jantinanya akan dididik sebagai seorang manusia yang cekal.

Dia melihat Mei Ling yang comel dan keletah itu membesar sebagai seorang anak gadis yang cantik. Pipinya sentiasa kemerah-merahan. Matanya besar dan bulat, tidak sepet seperti isterinya yang dibeli untuk dijadikan sebagai teman dan juga kilang beranak. Mereka berkahwin pun atas aturan keluarga. Dalam hatinya langsung tidak wujud rasa cinta terhadap isterinya walaupun sudah hampir 26 tahun mereka hidup sebumbung.

Mei Ling baginya seindah dan sesegar kuntuman ros merah yang sedang mekar di laman rumahnya. Ah Tek sudah bercadang hendak menjodohkan Mei Ling dengan anak kawannya, seorang peniaga di Kuala Lumpur.

Tetapi dalam dia sedang merancang masa depan yang gemilang untuk anak gadisnya itu, seluruh Tanah Melayu dikejutkan oleh berita pendaratan askar-askar Jepun di Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Askar-askar itu bergerak pantas dengan menakluki negeri-negeri di bahagian selatan Semenanjung. Gerombolan askar ini bergerak dengan berjalan kaki, berbasikal serta diiringi oleh unit berkereta kebal.

Askar Jepun menyerang tanpa belas kasihan. Bandar-bandar besar seperti George Town, Pulau Pinang telah dihujani bom tanpa henti oleh kapal terbang pengebom Jepun menyaksikan mayat-mayat bergelimpangan di atas jalan raya. Orang putih yang menjajah Tanah Melayu ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka hanya mampu memandang kemaraan askar Jepun dengan kepala lutut menggeletar. Rasa ego yang beraja dalam hati mereka dahulu sudah lenyap entah ke mana. Gentar. Takut! Itulah yang menyelubungi diri mereka sekarang.

Mereka segera mengemaskan kain baju dan barang-barang berharga serta menghantar anak isteri mereka pulang ke tanah air. Orang-orang tempatan ditinggalkan begitu sahaja tanpa apa-apa perlindungan. Askar-askar orang putih yang masih bertahan pula telah berundur ke Singapura dan berkubu di sana sementara menanti bantuan ketenteraan tiba.

Mujurlah Ah Tek sekeluarga tinggal di sebuah kampung terpencil berhampiran hutan jadi kesan peperangan tidaklah terlalu dirasai. Mereka tinggal berjiran dengan beberapa keluarga Melayu. Namun begitu, mana mungkin mereka dapat hidup tenang kalau bernafas di atas bumi yang sedang bergolak dengan peperangan?

Bukan Ah Tek tidak tahu kekejaman askar-askar General Yamashita terhadap orang-orang Cina di Tanah Besar sana! Orang-orang awam dibunuh tanpa belas kasihan. Kaum wanita diperkosa atau dijadikan hamba seks sebelum dibunuh.

Apabila memikirkan tentang segala kemungkinan yang buruk-buruk itu, Ah Tek jadi ngeri. Tidak! Dia tidak akan membiarkan anak gadisnya diapa-apakan dengan tentera Jepun.

“Tempat kita ni aman, papa. Jepun takkan kacau kita di sini. Askar Jepun berkeliaran di pekan-pekan aje.” Mei Ling pantas menyambut kata-kata bapanya. Dia berkata begitu kerana sehingga kini dia belum melihat walau seorang pun askar Jepun melintas di hadapannya. Dia yakin akan selamat berada di kampungnya yang terpencil itu.

“Kenapa lu ni degil, hah? Cubalah sesekali dengar cakap papa. Ini untuk keselamatan lu juga,” tegur Ah Tek sambil meninggalkan bilik anak gadisnya.

Mei Ling renung cermin di depannya. Matanya menjilati pipinya yang gebu kemerah-merahan. Kemudian pandangannya beralih pula ke arah sepasang mata yang bulat dan besar miliknya. Selepas itu barulah pandangannya hinggap ke arah rambutnya yang lebat dan hitam berkilat itu.

Bapanya sudah beberapa kali memberi arahan supaya dia segera cantas rambutnya yang sudah melepasi bahu itu. Dia amat sayangkan mahkota kebanggaannya itu. Sayang sekali kalau rambutnya itu terpaksa dipotong.

Mei Ling renung gunting yang terletak di atas meja solek itu dengan hati yang berbalau. Nak gunting ke tak? Nak gunting ke tak?

“Rambut kau cantik, Mei.” Tiba-tiba suara garau itu menerbak semula ke ruang ingatannya.

“Rambut aje ke yang cantik?” Dia membalas sambil melirikkan pandangannya ke arah temannya yang berkulit sawo matang itu.

Walaupun dia selalu diarahkan bapanya supaya jangan bercampur sangat dengan anak-anak muda Melayu di kampung itu tetapi Mei Ling selalu ingkar. Lagipun dengan siapa lagi dia hendak berkawan kerana rumahnya dikelilingi oleh jiran-jiran berbangsa Melayu?

Temannya itu hanya ketawa. Mungkin malu hendak menjawab membuatkan Mei Ling mengulangi soalannya.

“Semua yang lu miliki sangat cantik, Mei. Sebab itulah ramai pemuda di kampung ni menaruh hati sama lu.”

Mei Ling ketawa. Rasa bangga dan gembira bercampur baur dalam hatinya tatkala mendengar kata-kata bernada pujian itu. Berbekalkan kulit yang lebih cerah berbanding anak-anak gadis di kampung itu, dia muncul sebagai seorang gadis tercantik.

Dalam diam, ramai pemuda menggilainya. Dalam diam juga, ramai yang mencemburuinya.

Renungan Mei Ling hinggap lagi ke arah gunting di atas meja soleknya. Gunting itu seolah-olah sedang menanti, menunggu apa juga keputusannya. Akhirnya dia mencapai gunting itu lalu menghalakan ke rambutnya. Air mata Mei Ling berlinangan tatkala melihat rambutnya yang telah dijaga sejak bertahun-tahun itu dicantas sependek mungkin.

MEI LING melangkah keluar dari biliknya setengah jam kemudian dan mendapati ibu dan bapanya sedang bertekak.

“Pindah? Tapi ke mana?” soal ibunya dengan wajah yang sarat.

“Ke pinggir hutan. Kedai kita inilah tempat pertama yang akan dicari Jepun nanti.”

“Tapi gua tak pernah nampak pun tentera Jepun sekitar kampung ini? Kalau kita pindah, bagaimana dengan kedai kita? Nanti dimasuki pencuri.” Ibunya bersuara, protes.

“Yang mana lebih penting pada lu? Keselamatan nyawa kita anak-beranak ataupun harta semua ni? Lu tak fikir ke apa yang akan dilakukan tentera Jepun kalau mereka nampak Mei?”

Ibunya bungkam. Akhirnya, dia mengangguk tanda bersetuju dengan saranan suaminya supaya mereka bersembunyi di pinggir hutan pada waktu siang dan kembali semula ke kedai itu pada waktu malam jika keadaan mengizinkan. Ramai orang kampung yang sudah mendahului mereka dengan berpindah ke pinggir hutan untuk mengelakkan diri daripada bertembung dengan tentera Jepun.

Beberapa ketika kemudian barulah mereka menyedari yang perbualan mereka telah didengari oleh anak perempuan mereka.

“Jangan risau, nanti rambut lu akan tumbuh balik.” Bapanya bersuara untuk menyejukkan hati Mei Ling.

“Ya, betul kata papa lu tu, Mei. Eh… Lu mahu ke mana tu?” Ibunya pula menyampuk.

“Gua nak keluar jumpa kawan kejap.” Mei Ling bersuara lalu terus melangkah keluar sebelum sesiapa berjaya menghalangnya.

Di dalam sebuah salun rambut pada tahun 2015…

 

    “GOOD MORNING!” sapa Suzie ke arah seorang pelanggan yang baru melangkah masuk ke salun.

Perempuan cantik yang berambut panjang itu tidak menjawab. Wajahnya serius. Suzie langsung tidak berkecil hati. Sejak bekerja di salun rambut itu, dia telah berdepan dengan pelbagai ragam pelanggan. Ada yang mesra. Dan ada juga yang sebaliknya. Itu adalah asam garam pekerjaannya.

Setelah melihat perempuan itu melabuhkan punggung di atas kerusi, Suzie segera menghampirinya.

“Kasi cantas bagi pendek macam ni!” kata perempuan itu sambil menuding jari telunjuknya ke arah sekeping gambar penyanyi Stacy.

Eee! Sayangnya rambut yang ikal mayang tu nak dicantas bagi pendek, bisik hati Suzy. Tetapi disebabkan perempuan itu kurang mesra, Suzy tidak berani mempertikaikan keputusannya. Prinsip Suzie mudah sahaja, customer is always right!

Suzie menarik ke arahnya troli yang berisi peralatan untuk menggunting rambut. Botol spray berisi air dicapai lalu dispraynya sedikit air untuk membasahkan rambut pelanggannya itu sebelum mula menggunting rambutnya. Seketika kemudian, berderak-derak bunyi rambut perempuan itu tatkala digunting Suzie.

“Panas kan sekarang ni…” Suzie cuba mencari modal untuk berbual dengan pelanggannya itu.

Namun, pelanggannya itu terus membatu. Eee… Sombongnya perempuan ni! kutuk Suzie dalam hati.

Dia melontar pandang ke arah cermin untuk mengintai wajah pelanggannya.

Zuppp! Berderau darah Suzie ketika melihat perempuan itu sedang merenungnya dengan mata yang merah menyala. Suzie terundur ke belakang dan hampir-hampir sahaja terlepaskan gunting yang sedang dipegangnya. Terkejut!

Suzie mengambil masa beberapa ketika untuk menenangkan dirinya. Kemudian, dia memberanikan diri untuk mengintai semula ke arah cermin. Dia nampak perempuan itu juga sedang memandangnya. Mata perempuan itu sudah kembali normal, tidak lagi merah menyala seperti tadi.

Isy, kenapa dengan aku ni? bisik hati Suzie sambil meneruskan kerjanya. Walaupun dia cuba untuk bertenang tetapi entah kenapa badannya terasa seram sejuk sahaja. Dia hanya lega setelah selesai menggunting rambut pelanggannya yang agak pendiam dan pelik orangnya itu.

Setelah pelanggannya itu keluar dari salunnya, Suzie mencapai penyapu dan bekas pengaut sampah. Dia hendak mengumpulkan rambut pelanggannya tadi untuk dibuang ke dalam tong sampah. Tetapi sesuatu yang aneh telah berlaku. Ketika dia menghalakan penyapunya ke arah rambut itu, ia bergerak ke arah lain seolah-olah sedang melarikan diri.

Suzie jadi bingung. Terlopong mulutnya melihat keganjilan itu. Dia cuba nasib sekali lagi. Situasinya tetap sama seperti tadi, rambut itu bergerak ke arah lain setiap kali Suzie cuba hendak menyapunya. Ia seolah-olah sedang mempermainkan Suzie pula. Kesabaran Suzie mula tercabar. Dia rasa dirinya seolah-olah diperbodohkan pula oleh gumpalan rambut itu.

Suzie mengangkat penyapunya tinggi-tinggi. Dikejarnya gumpalan rambut itu, lalu dihentak-hentaknya dengan penyapu. Ada kalanya kena, ada kalanya tidak. Rambut yang tadinya selonggok, kini sudah bersepah-sepah di atas lantai.

Tiba-tiba Suzie berhenti. Dia rasa ada benda halus sedang meremut-remut mendaki kakinya. Dia pandang ke bawah. Matanya terbeliak. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Kedua-dua belah kakinya yang panjang dan kuning langsat itu sedang dipanjat oleh deretan rambut yang tidak terkira jumlahnya.

Panik, Suzie membongkokkan tubuhnya lalu cuba menepis rambut-rambut yang seolah-olah sedang cuba menghurung kakinya itu. Tetapi rambut itu melekat pada tangannya pula dan merayap-rayap di situ.

Rambut yang sepatutnya adalah ‘benda mati’ itu hari ini seolah-olah bernyawa di salun Suzie.

Suzie semakin tidak keruan. Bingung! Puas dia menepis dan menepis namun rambut-rambut itu semakin banyak menjalar di tubuhnya. Akhirnya, Suzie tidak tertahan lagi. Dia meluru keluar dari salunnya ke arah jalan raya sambil menjerit-jerit meminta tolong.

Nasib Suzie sungguh malang. Pemandu bas tidak sempat memberhentikan basnya ketika Suzie menerpa keluar. Tubuh Suzie terperosok di bawah perut bas. Kepalanya pecah. Darah merah memancut dan mencemarkan jalan raya. Suzie menemui mautnya di bawah perut bas itu.

Ketika tubuh Suzie dikeluarkan dari bawah perut bas, di tangannya masih menggenggam segumpal rambut!

MEILINA BINTI SYAUKI melihat rambutnya yang dipelihara sejak bertahun-tahun tahun itu dicantas pendek hingga ke pangkal tengkuk tanpa berasa apa-apa. Rimas, lemas… Itulah yang sering menghantuinya semasa menyimpan rambut panjang dahulu. Sudah lama dia kepingin hendak menggunting pendek rambutnya itu tetapi niatnya sering dihalang oleh ibunya.

“Kalau rambut Mei tu panjang, senanglah mak andam nak buat sanggul tinggi bila Mei jadi pengantin nanti.” Itu sahajalah alasan yang diberikan ibunya setiap kali Meilina bising-bising hendak gunting rambut.

“Mak ni, macamlah Mei nak kahwin esok. Lambat lagilah anak mak ni nak kahwin!” Dia memberontak. Tetapi demi menjaga hati ibunya dan malas hendak bertelagah anak-beranak, rambut itu dibiarkan sahaja mengurai panjang.

Tetapi apa yang dilihatnya awal petang tadi di Taman KLCC itulah yang mendorong Meilina membuat keputusan drastik tersebut. Punah sudah segala apa yang dipertahankan selama ini. Cinta dan kepercayaannya terhadap Dazrin hancur lebur. Kalau selama ini dia enggan mempercayai desas-desus yang berlegar-legar di sekelilingnya menuduh bahawa Dazrin itu Don Juan Malaya, kini setelah dia nampak dengan mata kepalanya sendiri barulah dia percaya.

Dia mual dan jijik dengan Dazrin! Setelah banyak masanya dibazirkan demi merealisasikan impian mereka berdua, tiba-tiba dia ditayangkan dengan drama sebabak yang menyakitkan jiwa.

Yang paling Meilina tidak dapat terima ialah dia ditakdirkan melihat kecurangan Dazrin itu setelah mereka ditunangkan. Kenapa tidak dahulu lagi dia melihat kesemua itu? Kenapa semua tembelang Dazrin pecah setelah mereka bertunang?

Kenapa? Kenapa? Dia ingin menjerit dan meraung. Tetapi semua jeritan dan raungannya hanya bersipongang di dalam dadanya, tidak mampu diluahkan.

“Mei, kau patut bersyukur kerana tembelang Daz terdedah sebelum kau jadi isterinya. Aku tak dapat bayangkan kalau kau hanya menyedari yang Daz bukanlah lelaki yang kau idam-idamkan setelah kau orang berdua tinggal sebumbung.” Begitulah nasihat yang terlontar Junita ketika Meilina menelefonnya untuk mengadu hal, sejurus sebelum dia melangkah masuk ke salun rambut itu tadi.

Mengenangkan betapa betulnya lontaran kata teman baik merangkap teman serumahnya itu, Meilina menarik nafas panjang. Aku harus bersyukur kerana tembelang Daz terdedah sebelum kami diijabkabulkan. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Selepas ini aku akan lebih berhati-hati dengan permainan lelaki. Cukuplah sekali itu hatiku dicacai oleh Daz. Aku tidak akan sekali-kali membiarkan hatiku diperlakukan sebegitu lagi. Dia bermonolog untuk memujuk hatinya sendiri.

 

Di dalam sebuah apartmen tingkat 10, pinggir kota metropolitan Kuala Lumpur…

 

DAZRIN terbaring di kusyen panjang. Matanya terkebil-kebil merenung siling bercat putih. Wajahnya jelas kusut. Saluran tv sengaja dibiarkan terpasang walaupun dia tiada nafsu hendak menontonnya.

Entahlah, mungkin salahnya juga kerana terus sahaja menerima pelawaan adik angkatnya, Fazura, yang merengek-rengek hendak menghabiskan petang Ahad itu bersama-samanya di Taman KLCC dengan alasan mereka sudah lama tidak bersua muka. Sewaktu dia menyatakan persetujuannya, dia langsung tidak menaruh sebarang syak wasangka. Lagipun Meilina sudah sedia maklum akan hubungannya dengan Fazura yang telah lama terjalin. Malah dia mengenali Fazura sebelum berkenalan dengan Meilina lagi. Ketika itu keluarganya tinggal berjiran dengan keluarga Fazura di Taman Keramat Permai.

Pada mulanya pertemuan itu biasa-biasa sahaja. Dia belanja Fazura makan di food court. Fazura yang bersifat ceria itu asyik bercerita tentang pejabat barunya sahaja yang terletak di Jalan Raja Chulan.

“Kenapa, Faz? Dah nak balik ke? Ada dating dengan boyfriend, eh?” soalnya ke arah Fazura seusai makan setelah melihat gadis itu keresahan dan asyik menoleh jam yang tersangkut di lengan kanannya.

Fazura menggeleng.

“Tu… Mata tu asyik tengok jam aje?” Dia mempersoalkan sikap Fazura.

“Ala… Abang ni, Faz mana ada boyfriend!” Sebuah penafian terlontar dari mulut Fazura.

“Eleh, jangan nak tipu abanglah. Macam ni punya cantik, dikerat jari pun abang tak percayalah Faz tak ada boyfriend.”

Fazura ketawa. Mersik tawanya membuatkan mana-mana lelaki yang mendengar pasti terpesona. Namun tawa Fazura awal petang itu pendek sahaja. Setelah tawanya terhenti, dia renung wajah Dazrin dengan renungan yang dalam dan panjang.

“Cantik pun tak guna sebab orang tu bukannya sukakan kita pun!” Kedengaran Fazura seolah-olah sedang merungut.

“Apa yang Faz cakap tu? Abang tak dengarlah,” pintas Dazrin.

Hmmm… Tak ada apa-apalah. Bang, temankan Faz jalan-jalan kat taman, nak tak?” Fazura bersuara sambil menoleh lagi ke arah jam yang melekat di tangannya yang mengkal.

Dazrin kerut dahi.

“Kan panas kat luar tu, Faz. Kita tengok wayang ajelah,” usulnya yang malas hendak berjalan-jalan di taman dalam suasana panas terik begitu.

Bagi Dazrin, aktiviti berjalan-jalan di taman bunga sudah berzaman ditinggalkan. Tunangnya sendiri pun tidak pernah mengajaknya berjalan-jalan di taman bunga. Pada awal perkenalannya dengan Meilina dahulu, adalah sekali dua mereka dating di taman bunga. Kemudian setelah masing-masing sibuk dengan kerjaya, aktiviti merancang masa depan di taman bunga terus dilupakan. Kalau ada cuti panjang, mereka lebih suka menghabiskan masa dengan kawan-kawan melakukan aktiviti lasak seperti perkhemahan di tepi pantai dan juga di dalam hutan. Tanpa diduga aktiviti lasak begitulah yang mengeratkan lagi hubungan mereka berdua.

“Tengok wayang?” Fazura kelihatan berminat dengan cadangan itu. Tetapi hanya untuk seketika cuma kerana dia kemudiannya menoleh untuk kesekian kalinya ke arah jam di lengannya.

“Faz tak nak tengok wayang. Lemaslah duduk dalam panggung yang gelap-gelita tu. Jomlah bang, kita ambil angin segar kat luar tu.”

Akhirnya, Dazrin mengalah juga dengan desakan Fazura itu.

Ala, apa salahnya kalau setakat temankan Fazura berjalan-jalan di taman tu untuk seketika, fikirnya. Langsung tidak terlintas dalam fikiran waras Dazrin akibat buruk di sebalik perbuatannya itu.

Pada mulanya semua baik-baik sahaja. Fazura masih lagi galak bercerita tentang kawan-kawan dan pekerjaan barunya sehinggalah mereka sampai ke satu tempat teduh dan melabuhkan punggung di atas sebuah bangku batu.

“Abang serius ke nak kahwin dengan Kak Mei?”

Dazrin menoleh ke arah Fazura di sisinya.

“Dah tentulah! Kami dah bertunang pun.”

Fazura mengeluh. Kemudian terdiam agak lama.

“Kenapa ni, Faz? Selama ni Faz okey aje dengan Mei?” soal Dazrin yang tiba-tiba naik pelik melihat telatah Fazura itu.

“Abang tak pernah cuba nak memahami perasaan Faz selama ni!” Suara Fazura tiba-tiba meninggi.

“Apa yang Faz cakapkan ni?” Dazrin kerut dahi. Dia langsung tidak dapat menangkap apakah yang hendak disampaikan oleh Fazura.

“Kenapa abang bertunang senyap-senyap dengan Mei, hah? Kenapa? Kalaulah Faz tahu tentang rancangan abang nak bertunang dengan dia, Faz akan tentang!”

“Apa hak Faz nak tentang hasrat kami?”

Soalan Dazrin itu membuatkan Fazura terkesima. Dia yang kelihatan teragak-agak hendak memberikan jawapannya segera menundukkan wajahnya. Kemudian seolah-olah didorong satu kuasa, Fazura mengangkat kepalanya lalu merenung ke wajah Dazrin semula.

“Bang, Faz… Faz sayangkan abang. Faz tak dapatkan bayangkan hidup Faz tanpa abang!”

“Hah?” Dazrin terkejut mendengar pengakuan yang langsung tak disangkanya itu. Fazura mengangguk.

“Sebagai seorang gadis, Faz malu nak berterus terang. Faz ingatkan abang ngerti yang Faz memang ada hati terhadap abang.” Fazura mendedahkan isi hatinya walaupun sudah terlambat kerana Dazrin sudah dua minggu bertunang dengan Meilina dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh saudara terdekat.

Dazrin menundukkan wajahnya, merenung rerumput di hujung sepatu. Sebagai seorang lelaki yang matang dia memang dapat membaca perasaan Fazura terhadap dirinya. Dia juga sayangkan Fazura tetapi tiada sekelumit cinta pun dalam hatinya terhadap gadis itu. Dia cuma anggap Fazura sebagai adik sahaja.

“Abang minta maaf,” ucap Dazrin, lemah. Dia memang tidak mahu menyakiti hati sesiapa.

“Kenapa pula abang nak minta maaf? Semuanya salah Faz sebab selama ni Faz rahsiakan perasaan sebenar Faz terhadap abang.” Fazura mencelah.

“Faz lupakan ajelah abang ni, ya? Lagipun abang bukannya handsome sangat. Abang yakin suatu hari nanti Faz akan dapat seorang lelaki yang lebih baik dan handsome daripada abang.” Dazrin cuba memujuk.

“Ni bukan soal handsome ke tak, bang. Kalau hati ni dah suka, nak buat macam mana?”

“Habis tu, abang nak cakap apa lagi? Abang dah jadi tunang orang, Faz! Tolonglah faham!” Giliran Dazrin pula meninggikan suaranya. Dia perlu bertegas kali ini. Dia sudah bosan bertekak.

“Habis tu perasaan Faz ni, macam mana? Hati Faz hancur bila dengar abang tiba-tiba aje bertunang dengan Mei. Faz sedih bang, sedih!”

Dazrin mula lemas dengan situasi itu. Dia kurang pandai berhadapan dengan perempuan yang beremosi. Dia tidak pernah bertengkar hebat ataupun melihat Meilina menangis sepanjang perhubungan mereka.

“Faz, boleh tak bertenang?”

“Bertenang? Faz nak bertenang macam mana kalau lelaki kesayangan Faz dah terlepas ke tangan orang lain?”

Adjust sikit fikiran Faz tu. Selama ni abang anggap Faz macam adik aje, tak lebih daripada tu.”

“Abang kenal ke siapa Mei tu? Dia bukan perempuan baik, bang!”

“Hei, engkau tu siapa, hah? Boleh tak kalau kau jangan buruk-burukkan Mei? Dia tunang aku sekarang ni, ada faham!” Dazrin mula hilang kesabarannya sebaik-baik sahaja Fazura berani mengutuk Meilina gara-gara cintanya tidak berbalas.

Akibat tidak dapat menahan kemarahannya, Dazrin segera bangkit. Waktu itulah Fazura bertindak nekad dengan memegang tangannya. Mungkin ketika itu jugalah Meilina terlihat drama sebabak tersebut lalu segera disalah anggap.

Sudahlah Dazrin kurang arif berdepan dengan situasi yang beremosi, kini dia terpaksa pula berdepan dengan kerenah dua orang perempuan sekali gus.

Ah, sudah! Bala apakah ini? Bagaimana Meilina boleh tiba-tiba berada di situ? Setahunya, KLCC bukanlah tempat Meilina selalu melepak. Argh! Ini bukanlah masanya hendak berfikir panjang. Dia harus menerangkan situasi yang sebenar kepada Meilina.

Mei, janganlah kau menyepikan diri macam ni!

SUATU hari di hujung minggu pada bulan Mei yang malang. Mungkin inilah kata-kata yang paling tepat untuk menggambarkan apa yang sedang dirasai Meilina. Ketika itu dia sudah berada di dalam Komuter. Secara tepatnya di dalam gerabak khas untuk wanita dan kini sedang menghampiri stesen Taman Wahyu.

Walaupun mungkin dia sudah mencantas pendek rambutnya yang terurai panjang itu, namun cincin tunang berbatu biru masih lagi tersarung di jari manisnya. Sejak cincin itu disarungkan ibu Dazrin ke jari manisnya dua minggu lalu sekali gus menandakan yang dia sudah menjadi tunangan orang, Meilina akan memastikan cincin itu tersarung di jari manisnya setiap kali hendak keluar rumah.

Kehadiran cincin itu amat besar maknanya. Cincin itu menandakan yang dirinya sudah dimiliki walaupun baru bergelar tunangan orang. Cincin itu umpama tugu cintanya terhadap Dazrin. Tetapi hanya dalam tempoh dua minggu sahaja cincin itu bagaikan sudah hilang maknanya.

Kalau diikutkan hati yang marah, mahu sahaja Meilina mencampakkan cincin itu ke atas rel sewaktu hendak turun di stesen Taman Wahyu nanti. Biar dilenyek dek Komuter yang lalu-lalang. Tetapi sanggupkah dia melakukannya?

Selain daripada Junita, dia belum membuka mulutnya kepada orang lain tentang petualangan Dazrin. Tetapi sampai bila dia boleh berdiam diri? Esok lusa dia harus juga menceritakan insiden yang dilihatnya di Taman KLCC itu kepada ibu dan ayahnya. Esok lusa juga cincin yang masih tersarung di jari manisnya itu perlu dipulangkan semula kepada keluarga Dazrin.

Kerana mahu menghubungi Junita setelah selamat sampai ke destinasinya, dia onkan semula telefon pintar yang tadinya dioffkan seketika kerana tidak mahu diganggu Dazrin. Seperti yang telah diduga, dia dapati banyak panggilan daripada Dazrin. Tidak cukup dengan itu, Dazrin turut cuba menghubunginya melalui sistem pesanan ringkas dan juga WhatsApp.

Ini adalah antara mesej yang dihantar Dazrin kepadanya:

Please, Mei… Maafkan Daz.

Mei, janganlah berdiam diri aje macam ni. Daz risau…

Mei, kenapa Mei tak nak angkat telefon? Berilah peluang pada Daz untuk terangkan hal yang sebenarnya, Mei. Please…

Dan, mungkin setelah bosan merayu-rayu sedangkan Meilina masih sahaja berdiam diri, muncul pula mesej marah-marah dan membentak-bentak di kotak mesejnya. Antara mesej yang membuatkan hati Meilina bertambah geram dengan lelaki bernama Dazrin itu ialah mesej yang begini bunyinya…

Mei, jawablah telefon tu! You dah lupa ke siapa yang hadiahkan smartphone tu pada you dulu?

Mei, jangan merajuk macam budak-budak, boleh tak?! Malam ni jam 8.30, I akan tunggu you di tempat letak kereta rumah you. Jangan tak turun pula nanti. Kalau you tak turun, I akan naik cari you kat atas!

Wah, nampaknya kau sengaja nak main kasar! Berani kau mengungkit segala pemberian dan nak ugut-ugut aku pula, ya? Meilina mengherotkan bibirnya.

Eee… Sakit hatinya melihat panorama di taman itu pagi tadi. Dia nampak bagaimana Fazura berpegangan tangan dengan Dazrin.

Hubungannya dengan Dazrin memang mesra dan rapat. Mereka boleh berbincang dan bertukar-tukar cerita. Berkongsi minat yang sama dengan lelaki itu juga telah mengindahkan lagi hubungan mereka.

Beberapa bulan lalu, Dazrin sudah pandai bermain perasaan dengannya. Berseloka tentang impian masa depan bersama, cinta dan alam perkahwinan.

Dalam usia 24 tahun, Meilina rasa yang dirinya masih muda. Mustahil untuk dia berkahwin dalam usia semuda itu. Dia memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi untuk menjalinkan hubungan yang serius dengan seorang lelaki. Sekarang dia mahu enjoy dan menikmati zaman solonya.

Tipulah kalau Meilina kata yang dia tidak sukakan Dazrin. Lelaki itu kacak, pandai buat kelakar dan seronok didampingi. Dazrin juga amat mengambil berat terhadap dirinya. Tetapi sewaktu Dazrin membisikkan yang dia ingin menghantar rombongan untuk masuk meminangnya, Meilina terkesima.

Beberapa malam Meilina tidak dapat tidur dengan lena. Sejak persoalan ‘bertunang’ itu dibangkitkan Dazrin, dia mula keliru dalam menilai perasaannya terhadap lelaki itu. Fikirannya agak terganggu. Seperti juga kebanyakan gadis pada zaman moden ini, dia mahu berkahwin dengan lelaki yang dicintainya. Persoalannya, apakah rasa tertarik dan sukanya terhadap Dazrin itu boleh didefinisikan sebagai cinta? Dan soalan kedua yang mengganggu fikirannya ialah apakah dia sudah bersedia untuk mengikat dirinya dengan sebuah ikatan?

“Apa kurangnya Daz tu, Mei? Orangnya kacak dan ada kerjaya yang hebat juga. Mak setuju 100 peratus kalau Mei terima cinta dia. Mak dengan ayah Mei dulupun kahwin masa umur kami awal 20-an juga. Tengok, kami bahagia sampai sekarang.” Begitulah Puan Salma melobi Dazrin. Memang sejak pertama kali diperkenalkan dahulu, ibunya terus sukakan Dazrin. Mungkin kerana sikap charming yang ada dalam dirinya maka orang lain akan segera menyenangi Dazrin.

“Jangan memilih sangat. Sekarang ni nisbah perempuan melebihi lelaki tau!” Puan Salma seolah-olah hendak menakut-nakutkannya pula.

Akhirnya atas desakan semua orang yang berada di sekelilingnya, hati Meilina jadi lunak. Dia bersetuju sahaja ketika Dazrin meminta izin untuk menghantar rombongan pinangan ke rumahnya. Dia akur ketika cincin tunang berbatu biru itu disarungkan ibu Dazrin ke jari manisnya. Perasaan cinta itu boleh dipupuk, bisik hatinya.

Lima belas minit menunggu, akhirnya Perodua Viva hijau milik Junita berhenti betul-betul di depannya. Tanpa banyak bicara, Meilina terus memboloskan dirinya ke dalam perut Perodua Viva temannya itu dengan fikiran yang sarat.

“Nak terus balik ke atau nak singgah minum dulu?” Soalan Junita menyapa telinganya sebaik-baik sahaja Viva itu bergerak meninggalkan stesen Komuter Taman Wahyu.

“Nak minum kat mana?”

Junita menggeleng.

“Ala… Kat mana lagi? Kat restoran kawan kita itulah!”

“Kat restoran Nur Dila? Kau dah sebarkan ke problem aku dengan Dazrin ni pada dia? Kan aku dah pesan supaya kau rahsiakan dulu hal ni.”

“Eh, janganlah cepat sangat nak bersyak wasangka. Aku sekadar bertanya aje. Kalau kau nak terus balik ke rumah, aku tak kesah. Manalah tahu kalau-kalau kau nak minum Nescafe ais dulu kat restoran Dila. Kan kau yang selalu sebut, Nescafe ais yang Dila bancuh sangat sedap.” Junita sempat berjenaka dengan tujuan untuk mengembalikan selarik senyuman di bibir Meilina.

Pun begitu, Junita tahu sekeping hati Meilina telah tercedera teruk. Kalau tidak masakan mungkin Meilina sanggup mencantas rambutnya sependek itu?

Meilina mengherotkan bibirnya.

Mood aku dah hilang. Kita terus balik ke rumah ajelah,” putus Meilina sambil menghempas keluh.

“Aku simpati dengan kau, Mei. Cuma satu aje nasihat aku, kau fikirlah masak-masak dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Ada masa lagi untuk kau berbincang dari hati ke hati dengan Daz.” Junita mengambil keputusan untuk tidak menghangatkan lagi hati Meilina yang sudah rentung terbakar itu.

Suasana mendung melatari alam ketika kereta yang dipandu Junita sudah membelok ke persimpangan yang menghala ke apartmen mereka.

“TAK guna kau duduk termenung layan perasaan macam ni. Jom keluar minum. Aku belanja.”

Pelawaan daripada Faiz itulah yang membawa mereka berdua ke sebuah restoran berhampiran. Kalau difikir-fikirkan sangatpun, masalah takkan selesai dengan sekelip mata. Apatah lagi dengan keengganan Meilina menjawab sebarang panggilan telefon mahupun pesanan ringkas yang dihantarnya. Dazrin tidak menyangka dalam lembut Meilina, terselit kedegilannya yang terpendam.

“Relakslah, bro. Bunga bukan sekuntum.” Begitulah kata-kata yang terluah dari mulut Faiz.

“Relaks kata kau? Mana boleh? Dia tu sekarang bukan lagi girlfriend tapi dah jadi tunang aku, tau!” Kasar sahaja suara yang meluncur keluar dari mulut Dazrin.

Faiz menepuk dahinya. Ya tak ya juga! Masalah yang melanda teman serumahnya itu agak rumit juga kerana mereka sekarang sudah bertunang. Bertunang bermaksud mereka sudah ada ikatan walaupun masih belum lagi menjadi suami isteri. Bertunang melibatkan kedua-dua buah keluarga. Dan, bertunang juga bermaksud separuh duit belanja sudah dihantar ke rumah keluarga Meilina.

Sorry, bro! Kau cubalah pujuk hatinya semula.” Faiz membetulkan kesilapannya.

“Dia degil. Aku call dia tak jawab. SMS pun dia tak balas. Mati kutu aku dibuatnya.” Adu Dazrin. Wajahnya nampak kusut.

Faiz ketawa.

“Susah juga nak jaga hati tunang ni, ya? Nasib baiklah aku ni masih solo lagi. Macam ni ajelah, bro… Aku rasa kau kena bincang dengan Fazura. Minta dia aje yang jelaskan keadaan yang sebenar-benarnya pada Mei.”

Dazrin geleng kepala. Mustahil dia menyuruh Fazura berbuat begitu. Bukankah Fazura sudah berterus terang akan perasaannya petang tadi? Fazura pun satu, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Terhegeh-hegeh tak tentu pasal. Fazuralah punca masalahnya dengan Meilina.

Tiba-tiba dia jadi amat benci kepada gadis itu!

Bunyi bibbb kedengaran di telefon pintarnya menandakan Dazrin menerima satu mesej daripada WhatsApp. Dia amat berharap agar mesej itu adalah daripada Meilina. Namun dia kecewa lagi.

Jari telunjuknya menyentuh skrin.

Program jelajah Gua Hitam – Kepada semua ahli rombongan yang sudah mendaftar. Jangan lupa final meeting kita malam esok. Jam 8.30… Tempat biasa.

Dazrin menarik nafas panjang. Dia tahu yang Meilina turut menerima mesej yang serupa. Kalau gadis itu berdegil dan tidak mahu keluar dengannya malam ini, dia berharap sangat agar dapat ketemu Meilina semasa mesyuarat grup malam esok. Tapi, bagaimana kalau Meilina ambil keputusan untuk menarik diri daripada ekspedisi kali ini gara-gara enggan bersabung mata dengannya lagi?

Wajah Dazrin semakin kusut!

“MEI, dah nak masuk waktu Maghrib ni.”

Hmmm…”

“Sama ada kau jawab panggilan telefon Si Daz tu ataupun kau tukarkan aje phone kau tu ke mod senyap. Aku nak solat ni,” pinta Junita yang tubuhnya sudah siap bertelekung. Dia tidak tahan mendengar bunyi bertalu-talu yang diciptakan telefon bimbit teman serumahnya itu. Cukup mengganggu!

Meilina akur. Dia menghormati Junita dan juga waktu Maghrib yang bakal muncul beberapa minit sahaja lagi.

“Kau tak solat ke?” soal Junita ketika dilihatnya Meilina masih bermalas-malasan di atas kusyen panjang.

“Kau solatlah dulu. Aku kejap lagi.”

“Jangan dilayan sangat perasaan tu. Biasalah tu, mana ada manusia kat dunia ni yang tak dilanda masalah. Yang pentingnya kau jangan sekali-kali lari daripada masalah. Sebaliknya kalau masalah muncul cubalah untuk cari jalan penyelesaiannya.” Panjang khutbah senja Junita.

“Kalau solatlah dulu. Kepala aku ni tengah berdenyut. Aku nak rehat kejap,” kata Meilina sambil menutup mata dan menyandarkan kepalanya ke kusyen, mencari secebis ketenangan.

“Jangan tidur pula. Waktu-waktu senja macam nilah syaitan berkeliaran untuk menyesatkan manusia.”

“Yalah… Yalah! Aku tak tidur. Aku nak rehatkan mata aku ni kejap,” sahut Meilina dengan harapan agar Junita jangan mengganggunya lagi. Dia mahu dibiarkan bersendirian barang 10 minit.

Junita hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum melangkah ke bilik meninggalkan Meilina sendirian di ruang tamu. Meilina menarik nafas panjang, kelegaan. Pada saat-saat begitu, dia mahukan secebis ketenangan, bukannya diasak dengan syarahan. Yang kedengaran kini hanyalah bunyi desiran kipas yang berpusing laju di atas pundak kepalanya.

“Cepatnya kau selesai solat?” soal Meilina ketika mendengar bunyi tapak kaki menghampirinya.

Hmmm…” Hanya itu sahaja jawapan yang meluncur keluar dari mulut teman serumahnya.

“Bagi aku lima minit, Ju. Kepala aku ni, sakit…” getus Meilina yang masih tersandar di kusyen dengan melelapkan matanya.

Meilina dapat merasakan kusyen di sisinya berenjut menandakan Junita sedang melabuhkan punggung di sisinya. Kedudukan mereka ketika itu dirasakan amat rapat sekali kerana haba yang terbit daripada tubuh Junita juga dapat dirasakannya. Malah Meilina juga dapat mendengar bunyi nafas Junita naik turun dengan jelas diiringi dengan haruman yang semerbak.

Bagaikan dirasuk oleh bau haruman itu, mata Meilina semakin mengantuk.

“Meiii, guaaa tungguuu… luuu datanggg…” Suara di sebelahnya kedengaran seolah-olah berbisik ke telinganya.

Suara itu yang didengarinya itu amat berbeza sekali. Itu bukan suara Junita, bisik Meilina. Serta-merta dia rasa seram semacam hingga bulu romanya berdiri tegak. Ketika itulah juga dia rasakan tubuhnya sedang melayang-layang dan disedut masuk ke satu lohong yang gelap dan hitam. Dia bergelut untuk membuka matanya yang terasa melekat. Terasa amat payah. Dia mahu segera terjaga dan enggan membenamkan dirinya dalam mimpi yang agak aneh itu.

Tiba-tiba dia rasa tubuhnya digoncang-goncang dengan kuatnya diikuti suara Junita sedang menyeru-nyeru namanya. Ketika itulah dia rasa tubuhnya ditendang keluar secara kasar dari lohong yang gelap itu.

Dia membuka matanya dan terpisat-pisat di depan Junita. Silau daripada cahaya lampu kalimantang menikam matanya.

“Aku tertidurlah, Ju,” keluhnya.

“Tadi lagi aku dah suruh kau masuk bilik air dan ambil air sembahyang. Mandi pun tak lagi kau ni! Itulah sebabnya kepala kau pening.” Junita sudah mula membebel.

“Daripada kau layan perasaan kau macam ni, aku rasa lebih baik kau basahkan muka kau tu dengan air sembahyang dan tadahlah tangan berdoa pada Tuhan minta petunjuk agar masalah kau dengan Daz ni segera selesai.”

“Yalah… Yalah!” getus Meilina sambil memaksa dirinya untuk bangkit dari kusyen itu.

“Guaaa…” Satu suara tiba-tiba berbisik ke telinganya membuatkan dia tercangak-cangak seketika.

“Apa kau cakap tadi, Ju?” soalnya ke arah Junita yang sudah bersiap-siap hendak menonton televisyen.

“Tak ada! Aku tak ada cakap apa-apapun. Kenapa dengan kau ni?” Soalannya dibalas Junita dengan soalan juga.

Errr… Tak ada apa-apalah,” getus Meilina sambil mengeluh perlahan. Dia cukup pasti yang dia terdengar seseorang berbisik ke telinganya seketika tadi. Argh, mungkin semua ni godaan perasaan aku aje sebab tertidur seketika menjelang waktu maghrib, bisik hatinya lalu bergegas ke bilik air.

ANGIN senja sudah mula berpuput lembut. Pun begitu, matahari kelihatan agak liat hendak membenamkan dirinya di persada senja. Dari arah ufuk barat, lembayung berwarna merah dan jingga mengindahkan pemandangan sekali gus melontar elemen romantis yang mengasyikkan. Mungkin panorama beginilah yang mendatangkan ilham kepada para penyajak dan juga pengarang untuk disematkan dalam karya-karya mereka.

Lelaki tua yang dikenali oleh orang-orang kampung dengan panggilan Pak Ya itu duduk termenung di anjung rumahnya. Resah gelisah membadai jiwanya. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya bulan lima ataupun Mei. Hatinya jadi tidak tenteram. Seolah-olah ada peristiwa buruk yang bakal berlaku dalam bulan itu.

Perbualan yang didengarinya awal petang tadi ketika menikmati teh tarik dan roti canai di gerai bawah pokok binjai (gerai ini sememangnya didirikan di bawah sebatang pokok binjai), menerbak semula ke ruang ingatannya.

“Betul ke orang-orang dari Kuala Lumpur tu nak meneroka Gua Hitam? Sepanjang pengetahuan aku, belum ada seorang manusia pun yang berani masuk ke dalam gua tu. Bukan apa, aku takut gua tu tak selamat aje. Kalau apa-apa terjadi pada mereka nanti, nama kampung kita juga yang terpalit sama,” Kata Ludin memberikan pandangannya.

Hmmm… Entahlah! Macam tak ada tempat lain yang mereka nak teroka.” Suara Alwi selaku tauke ladang pisang pula kedengaran.

“Biasalah… Orang kota. Mereka ni sukakan cabaran.”

“Budak-budak muda dengarnya. Entah apa yang mereka nak cari dalam gua tu agaknya?” komen Alwi lagi.

“Tahi kelawar adalah dalam gua tu!” getus Ludin membangkitkan gelak ketawa teman-teman semejanya.

“Tahi kelawar boleh dibuat baja! Kalau dapat dibawa keluar dari gua tu, baja tahi kelawar boleh jual pada Alwi, boleh tabur pangkal pokok pisang.” Salleh pula menyampuk disambut oleh gelak ketawa semula.

“Aku takut satu bendapun tak dapat keluar dari gua tu nanti!” Alwi membalas.

Kata-kata Alwi itu membuatkan kesemua yang galak berbual seketika tadi, terdiam. Mereka berpandangan sesama sendiri dengan perasaan bimbang. Terpaku di kerusinya tanpa menyampuk sepatah haram pun dalam perbualan itu, Pak Ya turut gelisah. Selama ini, Gua Hitam yang terletak di tengah-tengah hutan itu memang tidak pernah diganggu. Orang-orang kampung termasuklah orang asli yang sering masuk ke dalam hutan untuk mencari rotan, petai hutan ataupun memburu ayam hutan akan menjauhkan diri dari gua tersebut.

Walaupun yang berhajat untuk meneroka Gua Hitam adalah orang luar tetapi sebagai orang tua di kampung itu, Pak Ya tidak dapat mengelakkan dirinya untuk berasa bimbang akan keselamatan mereka. Dia perlu berbuat sesuatu untuk menghalang rombongan itu daripada melangkah masuk ke Gua Hitam!

‘Benda’ yang berdegup di dalam Gua Hitam itu jangan sesekali dikejutkan daripada tidurnya terutamanya pada bulan Mei. Kalau ia terjaga, nanti teruklah padahnya!

“Eh, kat sini rupa-rupanya abang duduk termenung? Apa yang difikirkan tu? Dah sembahyang ke belum ni?” Suara isterinya kedengaran menegur dari belakang.

Pak Ya tidak menyahut. Dia bingkas bangun, menutup daun tingkap lalu melangkah ke dapur.

DAZRIN hampa. Dia berasa seolah-olah hendak mencampakkan sahaja telefon pintarnya ke lantai. Hatinya sakit kerana baik panggilan, SMS mahupun mesej WhatsApp langsung tidak dibalas oleh tunangnya. Dia letih, rasa tidak mampu hendak menangani krisisnya dengan Meilina. Sejak mula berkawan hinggalah gadis itu menjadi tunangannya, hubungan mereka smooth, lancar sahaja. Meilina bukanlah orangnya yang cepat merajuk atau suka mengongkong. Inilah pertama kali mereka bercakaran sebegini hebat. Ironinya, perselisihan faham itu terjadi hanya setelah dua minggu Meilina menjadi tunangannya.

Semuanya gara-gara Fazura!

Sebelum dia sempat mengumpul sumpah seranahnya terhadap perempuan itu tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi menandakan ada satu panggilan masuk. Dia segera mencapainya dan berharap agar panggilan itu adalah daripada Meilina.

Sekali lagi dia hampa. Lain yang diharapkan, orang lain pula yang menelefonnya. Namun dipekapkan juga telefon pintar itu ke telinganya.

“Apa yang Faz nak lagi ni?” soalnya dengan nada meninggi.

“Abang sekarang ni sedang bergaduh besar dengan Mei tau. Semuanya sebab Faz!”

“Faz minta maaf kalau disebabkan Faz, abang dengan Mei bergaduh. Tapi bang, Faz tak tipu bila Faz kata yang Faz cintakan abang.” Seolah-olah rasa malu sudah tercabut daripada tangkai hatinya, gadis di hujung talian berterus terang akan perasaannya terhadap Dazrin.

Pada zaman siber ini peribahasa bagai perigi mencari timba sudah tidak boleh digunapakai lagi. Perkataan siapa cepat dia dapat mungkin lebih relevan dengan situasi masa kini. Fazura adalah di antara gadis yang tidak mahu kecundang, lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan hati dan perasaan.

“Kau ni dah kenapa hah, Faz? Selama ni aku anggap kau macam adik aje tau. Kau pun tahukan yang aku cintakan Mei? Lagipun dia dah jadi tunang aku sekarang. Kenapa kau nak rosakkan hubungan kami berdua, hah? Kenapa?!” tengking Dazrin.

“Bang!”

“Sekarang, boleh tak kalau kau jangan ganggu aku lagi? Aku tengah pening ni, kau tahu tak? Semuanya disebabkan kau!” hempuk Dazrin sambil menamatkan panggilan itu. Dia menghempaskan punggungnya di atas kusyen dengan hati yang terbakar.

Dia mengambil masa beberapa ketika untuk kembali bertenang. Setelah secebis ketenangan diperolehinya, dia mencapai semula telefon pintarnya. Jari-jemarinya lincah menyentuh skrin telefon pintarnya itu. Walaupun perlakuannya pasti akan menyakitkan hati Fazura namun dia harus tegas kali ini. Fazura harus akur dengan hakikat bahawa hati seorang Dazrin telah diserahkan kepada Meilina.

SEUSAI mengerjakan solat maghrib, Meilina melangkah ke ruang tamu. Mungkin berkat kedinginan air wuduk yang membasahi wajahnya dan doa agar diberikan kekuatan dan secebis ketenangan, hatinya menjadi sedikit tenang.

“Kau tak lapar ke?” soalnya ke arah Junita yang sedang duduk menonton siaran berita.

Junita menoleh ke arahnya.

“Kau?”

“Eh, aku tanya kau… Kau tanya aku pula? Sepatutnya kalau jawablah dulu soalan aku tu.”

Junita sengih.

“Aku memang dah lapar ni. Aku tanya sebab aku risaukan kau aje… Takut kau tak ada selera nak makan.”

“Walaupun sekarang ni aku ada problem besar dengan Daz tapi takkan aku nak berlapar pula.” Meilina membidas.

“Baguslah kalau macam tu. Soal makan kau jangan risau. Kejap-kejap lagi sampailah kawan kita tu.”

Meilina kerut kening.

“Siapa yang nak datang?”

“Ala… Siapalah lagi kalau bukan kawan kita, si tauke itulah!”

Meilina angguk. Dia faham benar siapa yang dimaksudkan Junita. Lima belas minit kemudian, Nur Dila muncul di pintu apartmen mereka.

“Mujur aku sempat sampai ke sarang kau orang berdua ni sebelum hujan turun. Tu… Kat luar tu, angin bukan main kencang lagi,” kata Nur Dila sambil meletakkan plastik yang di dalamnya ada tiga bungkus bekas polistirena berisi nasi ayam di atas meja kopi. Selepas itu, dia melabuhkan punggungnya di sisi Junita.

“Eloklah hujan, sejuk sikit malam ni. Bolehlah kita berdua tidur lena, kan Mei?” balas Junita walaupun dia tidak pasti apakah malam itu Meilina mampu melelapkan matanya gara-gara berkrisis dengan Dazrin. Nasib baiklah aku ni masih single dan tak perlu berdepan dengan kerenah lelaki, bisik hati Junita dengan perasaan yang sedikit lega.

“Moga-moga begitulah hendaknya,” tingkah Meilina, acuh tak acuh.

“Mei, kenapa kau cantas rambut kau yang cantik tu sampai macam ni sekali? Macam amoi aje rupa kau ni dah!” komen Nur Nila.

Sebenarnya Nur Dia tidak terkejut sangat pun dengan penampilan terbaru Meilina itu kerana dia sudah melihat gambar yang diambil Junita secara curi-curi dan dengan tiada rasa bersalah sedikit pun gambar itu dihantar Junita terus ke aplikasi WhatsAppnya. Melihatkan rambut yang dicantas sebegitu rupa, dia dapat rasa bahawa Meilina sedang dirundung masalah. Oleh itu, sebagai seorang rakan yang prihatin, dia sanggup meninggalkan restorannya untuk ke apartmen tersebut.

“Macam ada masalah aje kau ni, Mei?” Nur Dila bertanya.

“Aku ke dapur dulu, ya? Nak bancuh air kejap. Kau orang nak minum air apa?”

“Apa-apapun boleh.”

“Mei, kau nak minum air apa?”

“Tak kesahlah, apa-apapun boleh.” Meilina pula menyahut.

“Okey, senanglah kerja aku,” kata Junita sambil jongket bahu dan melangkah pantas ke dapur.

“Kenapa ni, Mei? Kau nampak sedih aje? Bergaduh dengan tunang ke?” Nur Dila merapat lalu segera melontar soalan.

“Petang tadi…” Meilina termangu seketika. Perlukah dia menceritakan peristiwa yang dilihatnya petang tadi kepada Nur Dila? Argh, kalau aku tutup mulut sekali pun, pasti Junita akan menyampaikannya kepada Nur Dila, bisik hatinya.

“Apa yang terjadi petang tadi?” soal Nur Dila. Riak kurang sabar bertapak di wajahnya.

“Petang tadi aku nampak Daz dengan perempuan lain sedang bercinta kat taman bunga. Kau percaya tak, Dila?!” Akhirnya sebuah pendedahan terlontar juga dari mulut Meilina.

What? Kau biar betul? Kau dengan Daz kan baru aje bertunang?” Nada terkejut melantun keluar dari mulut Nur Dila.

“Takkan aku nak tipu kau pula!” Sakit hati Meilina ketika melihat Nur Dila seolah-olah tidak mempercayai ceritanya.

“Okey… Aku minta maaf. Terkujat seminit aku dengar cerita kau ni. Tak sangka sungguh Si Daz sanggup buat macam tu pada kau,” getus Nur Dila sambil memeluk bahu Meilina, seolah-olah ingin memujuk.

Nur Dila dapat mendengar sebuah keluhan berat terlepas keluar dari mulut Meilina. Dia amat bersimpati dengan teman karibnya itu.

“Sabarlah ya, Mei?”

Meilina senyum nipis.

“Kau janganlah risaukan aku, Dila. Memang aku rasa kecewa sikit sebab perkara ni berlaku setelah kami bertunang. Aku baru aje nak belajar mencintai dia tapi benda ni pula yang terjadi. Aku pasrah, kalau kami tak ditakdirkan untuk bersama… Nak buat macam mana?”

“Mujurlah kecurangannya ditayangkan pada kau sebelum kau jadi isteri dia, Mei. Famili kau dah tahu tentang hal ni?”

Meilina geleng kepala.

“Buat masa ni, belum lagi. Aku buntu, tak tahu nak cerita macam mana pada emak dan ayah aku. Lebih-lebih lagi pada emak aku tu, dia suka sangat dengan Daz,” adu Meilina dengan dahi yang berkerut. Memang itulah masalah terbesarnya sekarang. Bagaimana hendak menceritakan sebuah keaiban kepada orang tuanya?

“Sebelum aku maklumkan pada emak dan ayah aku, aku harus selesaikan dulu hal ni dengan Daz,” putus Meilina.

“Apa komen Daz?”

“Kau ingat dia nak mengaku ke? Mati-mati dia tak nak mengaku kesalahannya. Sebaliknya, dia salahkan perempuan tu pula.” Nada suara Meilina meninggi sahaja menandakan bara yang sedang bernyala dalam hatinya.

“Betul ke? Tak sangka pula aku Daz sanggup buat kau macam, tu. Kau kenal perempuan tu?” soal Nur Dila.

Meilina mengangguk.

“Ya Allah, sabar ajelah ya, Mei? Apa-apapun kau selesaikanlah masalah ni secara baik dengan Daz dulu. Tu… Dia ke yang telefon dan mesej kau?” soal Nur Dila apabila telinganya menangkap bunyi panggilan, SMS dan mesej WhatsApp yang bertalu-talu masuk ke telefon bimbit Meilina.

Meilina mengherotkan bibirnya.

“Kalau ya pun, intailah mesej-mesej tu, Mei. Entah-entah ada orang lain yang sedang cuba menghubungi kau.” Nur Dila cuba merasionalkan temannya yang sedang patah hati itu.

“Ya, baiklah,” getus Meilina sambil mencapai telefon bimbitnya.

Dibelek-beleknya seketika segala mesej yang terpapar pada sistem aplikasi WhatsAppnya. Memang kebanyakan mesej itu datangnya daripada Dazrin yang dengan muka tak malu merayu-rayu meminta dirinya difahami dan dimaafkan. Antara banyak-banyak mesej itu, terselit satu mesej daripada orang lain. Nama penghantarnya adalah Raymond Tan. Mesej itu berbunyi…

Program jelajah Gua Hitam – Kepada semua ahli rombongan yang sudah mendaftar. Jangan lupa final meeting kita malam esok. Jam 8.30… Tempat biasa.

Untuk beberapa saat, wajah jejaka Tionghua yang telah dilantik untuk menjadi ketua ekspedisi mereka kali ini terbayang di ruang ingatannya. Meilina pasti Dazrin turut menerima mesej yang sama daripada Raymond.

“Jomlah makan, Mei… Dila!” Suara Junita kedengaran memanggil dari arah meja makan.

“Jom, Mei!” kata Nur Dila sambil menepuk paha Meilina sebelum bangkit dan melangkah menuju ke meja makan.

Meilina akur. Dia bangkit dari kusyen lalu mengekori langkah Nur Dila. Alkisah tentang sebuah kecurangan tidak disebut-sebut lagi selepas itu. Mungkin untuk sementara waktu ini!