Pengantin Tangkap Muat

RM25.00

Penulis: Dhiyana

Caption: Awak ke saya?

ISBN: 978-967-406-240-8

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 25.00 RM 28.00

HANA HUMAIRAH dan UMAR RAYYAN disatukan dalam sebuah perkahwinan keranasebuah rancangan. Dengan berbekalkan sebuah janji untuk menjaga dan membahagiakanHana, Umar melamar wanita itu.

Hana yang pemalu apabila berhadapan dengan Umar Rayyan, kini telah berubah tiga ratus enam puluh darjah selepas berkahwin. Hana terpaksa menukar strategi demi memikathati encik suami yang kejung dalam soal hati dan perasaan. Pelbagai strategi diatur untukmencairkan hati keras Umar.

“Saya tak cukup anggun dan menawan ke untuk buatkan awak jatuh cintadengan saya?” – HANA HUMAIRAH

“Mood romantik? Aku… mood romantik? Dalam mimpi kau ajelah!” – UMAR RAYYAN

Umar Rayyan yang kejung tidaklah seperti gelaran yang diberi. Perasaan sayang dan cinta kepada Hana tetap terusik dalam hati. Hana adalah segala-galanya bagi dia. Kegembiraan dan juga kebahagiaan Hana adalah keutamaan baginya. Cuma… bayangan kisah silam membuatkan bibirnya sukar untuk bekerjasama dan berterus terang kepada Hana.

Masih ada lagikah peluang untuk mereka berdua mengecapi kebahagiaan apabila rahsia tersebut diketahui? Adakah Umar akan menyambut kata sayang daripada Hana? Adakah Hana akan kembali semula ke pangkuan Umar? Adakah Umar akan setia pada Hana? Pengantin Tangkap Muat… bukan sekadar janji mampu dilafazkan tetapi kesetiaan tetap menjadi tagihan.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Anak mata terkebil-kebil memandang Haikal yang sedang menerangkan sesuatu di hadapan. Sedaya upaya Hana cuba menahan kantuk yang sedang menguasai diri. Kalau dia terlelap, habislah. Haikal memiliki mata tajam seperti helang. Tangan bergerak bermain mesej di bawah meja pun boleh diketahuinya.

“Agaknya penjelasan saya ni membosankan kut.” Haikal mula menyindir apabila melihat wajah Hana yang mula dirundung kebosanan. Malah kelopak mata itu semakin layu dan hampir saja terpejam.

“Ehem… Tak adalah, Encik Haikal. Kami sedang fokus ni.” Serentak kakitangan yang lain menyahut. Ada yang memperbetulkan posisi duduk supaya tegak. Ada yang pura-pura mencatat sesuatu dengan alasan tidak mahu berpandangan dengan Haikal.

“Encik Haikal…” panggil Hana seraya mengangkat tangan.

“Yes, sleeping beauty,” sahut Haikal dengan nada menyindir.

“Excuse me. Seruan alam semula jadi,” ujar Hana sambil menunjukkan jari kelengkengnya.

Haikal mengeluh kecil. “Okey! Take five untuk semua orang.” Haikal mengalah.

Laju saja Hana keluar dari bilik mesyuarat lalu menuju ke tandas. Ketika ‘melepaskan hajat’, sayup-sayup kedengaran suara sumbang yang baru saja memasuki tandas.

“Aku peliklah dengan Encik Haikal tu. Bila Hana request apa-apa aje, mesti Encik Haikal setuju. Tak payah nak fikir panjang.” Suara pertama mengutuk Haikal dan juga Hana.

“Diorang ada affair ke?” Suara sumbang kedua membuat tuduhan tidak berasas. Hana yang berada di dalam tandas sedang menahan tawa.

“Gila aku nak ada affair dengan Encik Haikal? Encik Haikal belum cukup handsome nak berdampingan dengan aku tau,” bidas Hana perlahan.

“Affair? Encik Haikal belum lagi buta nak menilai antara kaca dan permata. Hana sudahlah pendek macam ayam katik. Tak sesuailah!” Sakan suara sumbang itu mengutuk Hana.

Hana memandang sepasang kakinya yang bersarung kasut Converse berwarna hijau lumut. Memang kaki aku pendek tapi… okey apa kalau macam ayam katik. Lawa! Bukan macam kau. Lawa tapi plastik! kutuk hati Hana.

“Tak boleh jadi ni. Aku kena tengok sendiri siapa yang kuat kutuk aku ni.” Pantas Hana melangkah keluar dari tandas.

Tergamam tiga batang tubuh apabila melihat kelibat Hana yang selamba keluar dari tandas. Hana memandang wajah mereka bertiga silih berganti. Kemudian dia tersenyum nipis. Dengan wajah selamba dia mencuci kedua-dua belah tangannya. Selesai mencuci tangan, Hana beredar dari situ. Tiba-tiba langkah Hana terhenti lalu memandang mereka bertiga.

“Silicon… Three of you in my team. Aku akan request pada Encik Haikal. After all, dia kan skandal aku,” ujar Hana dengan senyuman senget. Tanpa berlengah, Hana segera beredar dari situ.

Silicon? Betullah tu. Lawa tapi plastik! Silicon kan plastik. Mengekek-ngekek Hana ketawa sendirian sambil melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat.

Belum sempat Hana melabuhkan punggung di atas kerusi, anak matanya sudah tertancap pada sebuah fail di atas meja. Sebuah lagi task untuk dia selesaikan. Kalau fail plastik ini diberikan kepada dia, bermakna bermulalah episod balik kerja lewat dan tidak cukup tidur.

“Your task! Dan as usual… you boleh pilih team members untuk bantu,” ujar Haikal apabila anak mata leka melihat gelagat Hana yang sedang membelek fail tersebut.

“Dalam masa tiga hari lagi I nak you briefing pasal idea dan juga draf untuk task tu,” tambah Haikal lagi. Tetapi Hana masih lagi membisu dan sedang membelek fail tersebut.

Hana membelek isi kandungan fail tersebut berulang kali. Not bad! Spontan idea-idea turut datang menerpa ke dalam kepala. Terukir senyuman nakal di bibir.

“Beres bos! Untuk projek yang sedang kita bincangkan ni…” Hana memandang skrin putih yang memaparkan slide dari komputer riba.

“Projek ni melibatkan kumpulan yang besar. Sebab projek besar, kan? That’s why I briefing dulu. Within two months more, pihak diorang nak lihat progress projek ni. So, I berikan setiap editor dengan setiap task. Task tersebut akan dinilai untuk pemilihan leader untuk projek besar ni,” jelas Haikal.

“Faham semua?” Anak mata Haikal memandang setiap wajah kakitangan syarikat pengiklanan yang diuruskannya. Selain daripada Hana, terdapat dua orang lagi editor yang menerima tugasan seperti Hana.

“Faham, Encik Haikal,” sahut semua kakitangan dengan serentak.

Empat puluh minit kemudian mesyuarat pun bersurai. Masing-masing melepaskan nafas lega. Malah wajah turut dihiasi senyuman. Hana kembali ke meja dengan buku nota dan juga fail yang mengandungi tugasan untuknya. Punggung dihenyak di kerusi dan Hana bersandar keletihan.

Krukkk… Krukkk… Perut sudah berbunyi minta diisi. Anak mata memandang jam tangan G-Shock di pergelangan tangan. Sudah pukul 12.30 tengah hari. Patutlah perutnya minta diisi.

“Perut kau dah berkaraoke tu,” tegur Firda, rakan sepejabat dan juga rakan sekumpulannya setiap kali dia menerima tugasan.

“Jom makan!” ajak Hana.

“Jom!” setuju Firda.

“Eh! Eh! Jangan lupa kak pula,” celah Zakiah yang laju menerpa ke arah mereka.

“Sampai hati hangpa nak tinggai kak,” rajuk Zakiah yang juga seorang editor seperti Hana.

“Tak tinggai aihhh… Saja-saja buat lupa,” usik Hana.

“Kejam!” tempelak Zakiah. Sepantas kilat dia menampar bahu Hana.

“Kak oi! Berbiratlah nanti. Tangan kak tu lebar,” usik Hana lagi. Bukannya sakit pun. Saja mahu mengusik Zakiah. Lebih-lebih lagi dia suka benar mendengar Zakiah dengan loghat utaranya.

“Sorry… Sorry…” Laju saja Zakiah memujuk Hana. Bahu Hana digosoknya.

Kemudian mereka bertiga menunggu lif untuk turun ke tingkat bawah. Hana leka membelek Instagram di telefon bimbit. Tiba-tiba ibu jari Hana terhenti daripada menyentuh skrin telefon bimbit. Sekeping gambar membuatkan hati Hana tidak keruan.

Senyuman nakal terukir di bibir. Aktiviti skodeng! Lantas Hana memulakan aktiviti skodeng pemilik akaun Instagram tersebut. Deretan gambar pemilik akaun tersebut dibeleknya satu per satu. Jantung berdegup sedikit laju. Sudah lama dia tidak menatap raut wajah lelaki itu. Semakin kacak!

“Hana…” sapa Firda apabila pintu lif sudah pun terbuka di hadapan mereka bertiga. Serentak Hana melangkah masuk. Anak mata masih lagi leka dengan gambar-gambar di Instagram.

Belum sempat pintu lif ditutup, tiba-tiba pintu tersebut terbuka semula. Dua batang tubuh melangkah masuk.

“Encik Haikal,” sapa Firda dan Zakiah serentak.

Hana tersentak dengan sapaan itu. Kepala diangkat lalu dia memandang wajah Haikal. Kemudian matanya beralih ke arah lelaki di sebelah Haikal.

Hana kembali membelek Instagram. Tiba-tiba anak mata Hana membulat seperti terkejut. Dia mengangkat wajahnya semula lalu memandang rakan Haikal. Kemudian dia memandang gambar di Instagram pula. Semakin membulat anak matanya. Serentak posisi badan berubah lalu dia membelakangi Haikal dan rakannya itu. Dahinya ditekap ke dinding lif. Mata dipejam rapat!

“Hana… Are you okay?” Suara Haikal menerjah gegendang telinga.

“Errr… I’m okay,” sahut Hana tanpa memandang wajah Haikal.

“Sure? Kenapa membelakangi saya?” tegur Haikal dengan gelagat Hana. Hana Humairah yang dikenalinya bukanlah berperangai pelik sebegini.

“Errr…” Ligat otak Hana memikirkan sesuatu untuk mengelak daripada dikenali rakan Haikal.

“Hana?” panggil Firda yang berada di sebelah Hana.

Hana menoleh sedikit lalu menggeleng. Kemudian dia memandang Zakiah pula. Anak matanya terpandang tudung bawal yang terlilit kemas di kepala Zakiah. Idea!

Tudung bawal yang dipakainya dilipat dari bawah dagu hingga ke atas kepala. Rapat! Cermin mata berbingkai hitam itu ditolak rapat hingga ke atas batang hidung. Kemudian dia memandang Firda dan Zakiah. Kedua-duanya terpinga-pinga melihat penampilannya sebegitu.

“Kenapa dengan dia?” Rakan Haikal mula bersuara.

“Terkejut kut tengok aku yang handsome ni,” seloroh Haikal.

“By the way, inilah editor yang boleh aku counting on untuk setiap projek besar. Full commitment!” tambah Haikal lagi yang bangga memiliki Hana sebagai pekerja di syarikatnya.

Editor yang boleh counting on? Full commitment? Hana tersengih-sengih seperti kerang busuk.

“Hana Humairah…” sapa Haikal untuk menarik perhatian Hana.

Perlahan-lahan Hana berpusing lalu berhadapan dengan Haikal dan rakannya itu. “Hai Encik Haikal!” sapa Hana dengan nada teruja.

“Hana!” Haikal terkejut dengan penampilan Hana.

“Sejak bila kau simpan staf nerd ni?” Rakan Haikal sudah ketawa terbahak-bahak. Malah penampilan Hana betul-betul mencuit hatinya. Persis wanita Indonesia yang baru saja menjejak kaki di Malaysia. Bertudung litup dan rapat dilipat.

“Hana?” Hanya itu saja yang mampu Haikal sebutkan ketika itu.

capati dicubit lalu dicecah dengan kuah dal bercampur kari ikan. Kemudian capati itu dibawa ke mulut. Nikmat tidak terperi apabila tekaknya dapat merasa capati. Sudah hampir dua minggu dia tidak merasa keenakan capati dari restoran Pakistan yang selalu dibelinya.

“Aku rasa bhai tu dah jampi capati dan teh ais yang selalu kau beli dari restoran dialah. Sampai macam tu sekali kau teringin nak makan,” perli Adni yang sejak tadi melihat gelagat Hana.

“Capati dan teh ais dari kedai dia memang sedaplah. Susah nak minum teh ais yang cukup rasa macam ni. Tak kisahlah kalau dia mandrem ke, jampi serapah doa pengasih ke… Untung-untung aku selalu dapat makan free di restoran dia,” sahut Hana dengan nada berseloroh.

“Sengetlah kau ni!” tempelak Adni.

“Kau baru tahu ke?” Hana tidak mahu mengalah.

“Dah lama tahu. Cuma tahap senget kau semakin bertambah. Jangan aku pula sewel dahlah,” bidas Adni. Kemudian straw disisip ke celahan bibir. Air Milo ais disedut dengan penuh nikmat. Sedap!

“Kau dapat projek baru ke?” soal Adni apabila sedia maklum akan kesibukan Hana. Jika Hana memintanya untuk membeli makanan bungkus bermakna Hana sibuk dengan kerjanya.

“Haah! Encik Haikal nak aku briefing idea dan draf esok. Harap-harap tak adalah masalah,” balas Hana apabila selesai mengunyah.

“Alah… Kau kenyit mata pada Encik Haikal for sure dia luluskan kau punya idea dan draf tu. Selama ni mana pernah dia reject kau punya idea. Dia asyik harapkan idea dari kau aje,” sindir Adni yang sedia maklum perangai Encik Haikal, bos Hana.

“Baru Encik Haikal tahu kepala otak aku ni geliga. Boleh bikin cincin azimat tau!” balas Hana.

“Hana…”

“Hmmm…” sahut Hana.

“Kenapa Encik Haikal baik dengan kau aje eh?” duga Adni.

“Dia baik dengan semua orang apa. Bukan dengan aku seorang aje,” tempelak Hana.

“Adeh!” keluh Adni.

“Kenapa?” Hana pelik dengan keluhan itu.

“Hana! Kau tak rasa ke yang Encik Haikal tu ada feeling dekat kau?” soal Adni berterus terang. Tidak perlu kiasan kata dengan Hana. Sudah semestinya Hana tidak akan memahami. Tak romantik langsung! Kasihan bakal suami kau, Hana.

“Ada feeling? Gila!” Ringkas saja jawapan Hana.

“Mana tahu! Kut-kut dia memang ada hati dengan kau. Sebab tu dia banyak bagi jawapan positif dan baik dengan kau aje.” Adni cuba mencucuk jarum supaya Hana termakan dengan kata-katanya.

“Gila! Itu bias namanya! Berat sebelah! Bila bekerja biarlah adil dan sama rata. Tak kiralah dia bakal suami, bakal isteri, girlfriend, boyfriend atau ahli keluarga sekalipun… Bila kau jejak kaki di tempat kerja, automatik kau adalah staf. Suami, isteri, girlfriend, boyfriend, ahli keluarga ke… Itu selepas habis waktu kerja,” bidas Hana yang tidak menyenangi kata-kata Adni.

“Hana… Kau lesbian eh?” teka Adni, lurus.

“Hoittt! Lagi gila kau ni!” balas Hana.

“Dah tu… kau asyik dengan tittle lone ranger kau aje. Nak kata kau ada boyfriend, tak ada pun. Sejak dulu sampai sekarang. Secret admirer pun tak ada. Kau ni… tak ada hati dan perasaan ke?” Sakan Adni mengutuk Hana secara terang-terangan.

“Seronok kau kutuk, Ad,” perli Hana.

Adni hanya tersengih-sengih.

“Kalau aku tak ada hati dan perasaan, tak ada maknanya aku nak tolong mak cik dan pak cik aku tu. Kerana aku ada hati dan perasaanlah aku terpaksa tanggung hutang diorang sekeluarga,” tambah Hana. Capati dicubit lagi kemudian dimasukkan ke dalam mulut. Membebel… membebel juga! Tapi makan tak boleh letak tepi. Kena habiskan!

“Itu simpati!” bidas Adni.

“Simpati kan perasaan. Ia lahir dari hati.” Hana tidak mahu mengalah. Terkulat-kulat Hana mahu menelan capati. Terasa terlekat di kerongkong kerana terpaksa berdebat dengan Adni.

“Tercekik aku dibuatnya.” Air teh ais disedut laju. Lega!

“Kau tak ada admirer siapa-siapa ke? Dekat ofis atau zaman uni dulu ke?” duga Adni.

Serta-merta Hana tersentak apabila Adni menyebut zaman universiti dulu. Terbayang raut wajah seseorang dalam fikiran. Malah raut wajah yang dilihatnya di dalam lif dua hari lepas turut terlayar dalam minda. Hanya ada sedikit perbezaan. Sekarang semakin handsome. Gugur iman kawe!

“Hana!” Nada suara Adni naik seoktaf apabila melihat Hana seperti mengelamun jauh. Mesti ada sesuatu yang dirahsiakan.

“Apa?” Hana sedikit terpinga-pinga.

“Ada eh? Ofis?” teka Adni.

Serentak wajah Hana berkerut dengan tekaan itu. Aci tak kalau aku ketuk kepala minah ni dengan senduk?

“Encik Haikal eh?” teka Adni lagi.

“Hoittt! Jangan nak berangan jauh sangat,” tempelak Hana. Gila nak bercinta dengan bos sendiri.

“Kalau bukan Encik Haikal, siapa? Kita cuba throw back zaman uni,” cadang Adni.

“Tak payah nak throwback bagai.” Cepat-cepat Hana mencelah. Kan kantoi nanti naya!

“Jan, budak grafik?” teka Adni lalu memandang Hana. Hana hanya menjongket bahu sebagai jawapan.

“Mustahil Jan. Siapa eh yang selalu kau skodeng zaman uni dulu? Orang yang mampu buat kau tersipu malu kalah perempuan Melayu terakhir. Orang yang buat kau akan gelabah bila dia tegur kau. Siapa eh?” Adni cuba tercari-cari wajah yang mampu membuatkan Hana malu dan juga gelabah.

“Haaa!”

Terkejut Hana dengan sergahan Adni. Jantung Hana semakin berdegup kencang jika Adni dapat meneka gerangan orang yang dicarinya itu.

“Haider!” teka Adni.

“Mamat tu? Bagi free pun aku tak nak. Bajet muka aje handsome tapi otak kosong. Asyik nak aku suap aje semuanya. Assignment pun nak kebas aku punya. Kalau dia tolong bayar yuran studi aku tak apalah juga,” bidas Hana.

“Okey. Kita keluar dari kelas kau. Mungkin senior ke…” Adni tidak akan mengalah selagi dia tidak mengetahui gerangan yang berjaya mencuri perhatian Hana. Dari perilaku Hana pun dia boleh tahu. Pasti ada sesuatu yang Hana sembunyikan daripadanya.

“Senior mana eh yang handsome?” Bibir Adni kembali tersenget-senget sambil memikirkan gerangan untuk dijadikan mangsa. Tetapi…

“Aku tak nak cari yang handsome. Aku nak cari yang sedang-sedang. Kau kan tak suka yang handsome dan terkenal ni. Kau mesti cari lelaki yang low profile,” sambung Adni lagi, menukar kriteria yang ingin dicarinya.

“Hana… Aku rasa aku tahu siapa yang berjaya mencuri perhatian kau.” Dengan sekelip mata saja Adni sudah dapat meneka gerangannya.

“Siapa?” soal Hana.

“Umar Rayyan?”

Serentak Hana tersedak. Malah turut terbatuk-batuk kecil. Pantas bungkusan teh ais dicari lalu disedut laju. Tidak puas dengan air teh ais, Hana mencari air kosong pula. Diteguknya dengan selamba sehingga puas.

“Umar Rayyan, kan?” teka Adni sekali lagi.

“Jangan nak merepek!” tukas Hana, menggelabah.

“Mesti Umar Rayyan ni. Kau dah gelabah tadi. Riak muka kau pun dah lain. Blushing pun ada,” tebak Adni.

“Hoittt! Jangan nak merepek,” tukas Hana sekali lagi.

“Aku pasti sangat-sangat… Mesti Umar Rayyan.” Adni tetap dengan jawapannya. Riak wajah Hana yang sudah berubah itu jelas dapat dibacanya.

“Hoittt!” Hana kehabisan idea untuk membantah.

“Umar Rayyan… Hmmm… Boleh tahan! Tak adalah famous mana. Tak ada pula dengar gosip liar dan couple dengan mana-mana perempuan. Betul-betul low profile ni,” ujar Adni. Wajah Umar Rayyan terlayar dalam fikiran.

Tiba-tiba terbuntang kedua-dua biji mata Adni apabila teringat sesuatu. “Patutlah kau selalu sangat nak melepak di padang setiap petang. Rupa-rupanya kau nak skodeng dia masa latihan ragbi. Hana Humairah! Kau memang licik!”

“Hoit! Fitnah tu!” tukas Hana. Tapi hakikatnya…

“Hana Humairah… Rahsia terbesar kau, aku dah tahu.” Sakan Adni menyakat Hana apabila mengetahui gerangan orang yang dicarinya itu. Malah Adni turut ketawa geli hati melihat riak tidak puas hati Hana.

Kasut Converse berwarna hitam dikeluarkan dari almari kasut. Kemudian dia berlabuh di sebuah kerusi kayu. Kasut disarungkan ke kaki. Tali kasut yang berjuntai itu tidak diikat tetapi hanya diselit ke dalam kasut.

“Umar?” Satu suara menyapa lantas Umar mengangkat wajah memandang ke arah kelibat yang datang menghampirinya.

“Ya, nenda,” sahut Umar.

“Nak pergi mana malam-malam ni?” soal Datin Khaleeda.

“Keluar sekejap. Minum dan berbual,” jawab Umar sambil menyarung kasut di kaki kiri pula.

“Keluar dengan siapa?” soal Datin Khaleeda lagi.

“Keluar dengan Uwais,” balas Umar.

“Kenapa tak panggil Uwais datang ke rumah? Ni kan rumah dia juga. Uwais dah tak sudi datang rumah nenda ke?” Bertalu-talu Datin Khaleeda menyoal Umar.

Umar memandang nendanya lantas tersenyum manis. Usai menyarung kasut, Umar berdiri dan berhadapan dengan nendanya.

“Ada hal sikit Uwais nak berbual dengan Umar. Di rumah tak sesuailah, nenda,” jelas Umar cuba memujuk.

“Ada masalah baru nak cari abang dia. Kalau tak ada masalah, ingat abang pun tak. Nenda tak sukalah cucu-cucu nenda perangai macam tu,” luah Datin Khaleeda tentang perangai cucu-cucunya itu.

Uwais Rizqi ialah adik Umar. Selain itu, mereka berdua masih lagi mempunyai seorang adik lelaki bernama Uzair Raqib. Uwais dan Uzair memilih untuk tinggal bersama dengan papa mereka. Hanya Umar saja yang tinggal dan menemaninya di rumah peninggalan arwah suaminya.

“Nenda… Umar sebagai abang kenalah ambil berat hal adik-adik. Walaupun cara Umar macam tak ambil peduli, tapi Umar sayangkan adik-adik Umar. Nenda jangan risau eh. Umar ada cara tersendiri nak ajar adik-adik,” pujuk Umar lagi apabila terkesan nada jauh hati nendanya itu.

“Keluar pergi kelab ke?” Pertanyaan Datin Khaleeda membuatkan Umar ketawa kecil.

“Tak adalah, nenda. Umar dan Uwais pergi minum di kedai aje. Kami berdua tak masuklah tempat macam tu. Uzair mungkin, ya,” akui Umar tentang perangai adik bongsunya itu.

“Naik motor?” teka Datin Khaleeda apabila melihat topi keledar milik Umar.

“Haah! Umar janji tak balik lewat. Esok pagi Umar ada meeting dengan supplier.” Spontan tangan kanan diangkat seperti membaca ikrar.

“Hati-hati,” pesan Datin Khaleeda.

“Insya-Allah, nenda. Jangan tidur lewat, okey,” sahut Umar. Tangan nendanya disalami dengan penuh hormat. Kemudian sebuah ciuman mendarat di pipi nendanya.

“Assalamualaikum,” ujar Umar sebelum beredar.

“Waalaikumussalam,” jawab Datin Khaleeda. Anak matanya menghantar pemergian Umar sehingga kelibat itu hilang di sebalik daun pintu utama. Tidak lama kemudian, kedengaran enjin motosikal berkuasa tinggi meninggalkan kawasan rumah.

Sementara itu, di rumah sewa yang dihuni oleh Adni dan Hana berlangsungnya ‘konsert Hindustan’. Kalah konsert Lata Mangeshkar!

Sakan Hana bernyanyi di dalam bilik tidur. Adni yang berada di ruang tamu menggeleng perlahan. Jika Hana bersuka ria itu bermakna tugasannya tiada masalah. Malah ideanya diterima baik oleh Haikal.

Sejak petang tadi lagi Hana sudah bersuka ria. Pelbagai lagu dinyanyi olehnya. Adni suka melihat wajah Hana yang sentiasa ceria itu. Adni paling tidak suka jika Hana bermasam muka. Sapaan langsung tidak berbalas dan hanya berkurung di dalam bilik. Tetapi jarang sekali dia mahu melihat Hana dengan wajah yang masam mencuka melainkan Hana stres dengan kerja di ofis.

“Hana!” panggil Adni. Hana masih lagi dengan nyanyiannya.

“Hana!” panggil Adni sekali lagi. Tiada sahutan.

“Tak boleh jadi ni,” ngomel Adni. Telefon bimbit yang berada di atas sofa dicapai. Nombor telefon bimbit Hana didail. Kemudian telefon bimbit ditekap ke telinga.

Hanya dengan dua kali deringan, talian berjaya disambungkan.

“Weh!” sapa Hana.

“Aku malas berjalan nak ketuk pintu bilik kau,” terang Adni.

“Senget!” tempelak Hana.

“Jom keluar makan!” ajak Adni.

“Bab makan kau rajin pula,” perli Hana.

“Bab makan kena rajin. Kalau malas juga, kebulurlah aku,” bidas Adni. Kemudian kedua-duanya mengekek ketawa.

“Makan kat mana?” soal Hana pula.

“Mulut!” balas Adni selamba.

“Sengetlah kau ni!” tempelak Hana apabila laju saja Adni mengenakannya.

“Jomlah keluar makan! Berhenti sekejap kau punya konsert Hindustan. Lata Mageshkar pun tahu berehat sekejap,” perli Adni lagi.

“Tomyam, jom!” ajak Hana yang tiba-tiba teringinkan masakan tomyam.

“Restoran Murni!” ujar mereka berdua serentak.Tidak lama kemudian talian dimatikan.

Berdesup Adni menghilangkan diri ke dalam bilik untuk menukar pakaian. Dia senang menyewa bersama Hana. Cara pemikiran mereka berdua sama malah cita rasa juga sama.

Ketika mereka tiba di Restoran Murni yang terletak di Bukit Jalil, pelanggan masih lagi tidak ramai. Restoran Murni ini terkenal dengan makanan barat dan juga masakan Thai. Dan kerana makan mereka berdua sanggup pergi jauh sikit dari kawasan rumah.

Usai Hana dan Adni memberi pesanan, giliran seorang lelaki yang berada di sebelah meja mereka pula memberi pesanan. Tidak lama kemudian, pelayan tersebut beredar dari situ. Anak mata Hana mula meliar melihat kawasan persekitaran dan gelagat para pelanggan. Tiba-tiba anak mata Hana bertaut dengan lelaki yang berada di sebelah meja mereka. Lelaki itu mengukir senyuman.

“Hai,” sapa lelaki itu. Senyuman masih lagi tidak lekang dari bibir. Malah tangan juga turut dilambai ke arahnya.

“Errr… Hai,” sapa Hana semula sekadar beramah mesra. Bibir turut mengukir senyuman. Adni turut menoleh ke arah lelaki itu dan berbalas senyuman.

“Berdua aje?” soal lelaki itu cuba untuk memulakan perbualan.

“Haah!” Hana mengangguk.

“Bukan ke ramai?” seloroh lelaki itu lantas memandang sekeliling kawasan restoran. Para pelanggan mula memenuhi meja yang masih kosong.

“Loyar buruk pula,” bidas Adni yang tidak menyenangi jenaka lelaki itu.

Hana pula sudah menjeling tajam ke arah lelaki itu. Buat lawak pula! Punch-line nak mengayatlah tu. Tapi nak mengayat siapa? Aku ke Ad? Tapi… tadi dia tanya aku. Takkanlah nak mengayat aku pula? Sah! Sewel dah mamat ni!

“Sorry. Saya melawak aje,” ujar lelaki itu apabila jenakanya tidak disambut oleh Hana dan Adni.

“Saya Uwais. Uwais Rizqi.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada Hana dan Adni tetapi tetap tiada sahutan daripada mereka berdua.

“Tak nak kenalkan nama ke?” Uwais cuba memancing perhatian. Adni membalas pandangan Uwais dengan pandangan yang tajam.

“Saya datang menyapa dengan niat yang baik. Niat untuk mengeratkan silaturahim. Nabi pun menggalakkan supaya kita mengeratkan silaturahim,” jelas Uwais. Wajah dua orang gadis yang berada di sebelah meja dipandang satu per satu. Cantik! Masing-masing ada tarikannya sendiri. Yang penting, bukan plastik.

Hana mengeleng. Jika dia tidak memperkenalkan dirinya dan juga Adni, pasti suasana makan malam mereka tidak akan aman damai seperti selalu. Malah akan berterusan diganggu oleh lelaki yang bernama Uwais ini.

“Hana. Dia, Adni,” ujar Hana memperkenalkan dirinya dan juga Adni.

“Hana… Adni… Sedap nama tu. Manis! Macam tuan dia juga.” Ada saja idea Uwais untuk memuji gadis-gadis itu.

Deruman enjin motosikal berkuasa tinggi menarik perhatian Hana untuk berpaling. Anak matanya melihat motosikal berwarna merah yang baru saja menghampiri kawasan restoran. Honda CBR250. Merah! Memang cun habis! Melekat dengan jiwa!

Hana langsung tidak lepas memandang motosikal berkuasa tinggi itu sehingga diparkir tidak jauh dari situ. Hana memandang batang tubuh yang turun dari motosikal tersebut. Kelibat itu nampak santai dengan T-shirt berlengan panjang dan berseluar jean biru lusuh.

Sebaik saja topi keledar ditanggalkan, hampir pengsan Hana dibuatnya. Wajah itu… Hana langsung tidak menyangka. Tiga hari lepas mereka bertemu secara tidak sengaja di dalam lif. Hari ini di restoran pula.

Tiba-tiba tubuh itu mengorak langkah menghampiri Hana dan Adni. Serentak Hana menundukkan wajah. Tudung bawal yang elok tersarung di kepala dibetulkan supaya tampak lebih kemas.

“Dah lama sampai?” sergah satu suara.

“Errr….” Hana kehilangan kata-kata. Dia hanya mengangguk saja.

“Hana? Kau dah kenapa?” tegur Adni yang pelik dengan tingkah laku Hana. Tiba-tiba saja mengangguk.

“Kenapa kau angguk?” soal Adni.

Spontan Hana mengangkat wajah lalu mencari batang tubuh itu. Tetapi sudah tiada. Aduh! Dia terperasan! Syok sendirilah pula!

“Kau, kenapa?” soal Adni sekali lagi. Laju saja Hana menggeleng.

“Sempat kau jual minyak?” Suara itu menerjah lagi ke gegendang telinga. Tetapi terasa dekat sekali.

“Sempat jugalah sementara tunggu Abang Umar.” Suara Uwais pula kedengaran.

Hana memandang ke kanan, tiada. Kemudian kepala ditoleh ke kiri pula. Terkejut! Cepat-cepat kepalanya dipaling kembali. Riak wajah Adni nampak terpinga-pinga dengan tingkah laku Hana.

“Errr…” Hilang semua ayat yang cuba ditutur oleh Hana. Jari telunjuk ditunjukkan ke arah meja sebelah secara sembunyi. Malah anak mata Hana turut melirik ke arah kiri supaya Adni memandang ke arah yang sama.

Adni faham dan akur akan arahan itu. Kepala ditoleh ke kiri. Terkejut bukan kepalang apabila melihat raut wajah yang turut menyertai Uwais. Pandangan mata Adni bertaut dengan anak mata tersebut. Spontan Adni mengukir senyuman kepadanya dan kembali memandang Hana. Patutlah Hana menggelabah dan bertukar menjadi perempuan Melayu terakhir.

“Umar Rayyan…” Perlahan saja nama itu disebut oleh Adni.

“Uzair?” Umar bersuara.

“Macam biasa. Tak lekat di rumah,” jawab Uwais. Kemudian dia memandang Hana dan Adni di meja sebelah.

“Uwais… I’m here,” tekan Umar apabila adiknya menumpukan perhatian ke arah lain. Umar turut menoleh ke meja sebelah yang diduduki dua orang gadis. Seorang gadis tersenyum nipis kepadanya. Seorang lagi pula menoleh ke arah kanan dan memandang jauh ke dalam kegelapan malam. Lagak gayanya seperti malu alah tiba-tiba pula.

“Ada pen dan kertas?” soal Uwais kepada Umar.

“No,” jawab Umar.

“Adni… Hana… Ada pen dan kertas tak?” Uwais bertanya pula kepada Adni dan Hana. Pantas kedua-duanya menggeleng laju.

Uwais menggamit tangan dan memanggil pelayan restoran. “Dik!”

Seorang lelaki menghampiri Uwais dan Umar. Uwais bertanyakan pen dan kertas kepada lelaki tersebut. Sehelai kertas kecil dan sebatang pen dihulurkan. Laju tangan Uwais menulis sesuatu di atas kertas lalu dilipatnya. Kemudian pen diserahkan kepada lelaki tersebut.

“Dik, Nescafe ais satu,” ujar Umar kepada lelaki tersebut sebelum beredar dari situ.

“So?” Umar memandang Uwais.

Uwais melepaskan keluhan. “Uzair… semakin memeningkan kepala!”

Giliran Umar pula yang melepaskan sebuah keluhan.

HANA dan Adni berbual dan cuba mengabaikan kelibat yang berada di sebelah meja. Sesekali kedengaran perbualan dua jejaka tersebut. Usai makan malam, Hana berlalu untuk menjelaskan pembayaran. Kemudian Hana kembali ke meja.

“Hana?” panggil Uwais ketika Hana dan Adni mahu beredar pulang.

Serentak Hana berpaling dan memandang Uwais. Tetapi pandangan matanya tertancap di raut wajah milik Umar Rayyan. Pantas Hana mencari lengan Adni untuk berpaut. Dia lemah! Terutama apabila berbalas pandangan dengan lelaki bernama Umar Rayyan. Inilah kali pertama dia berbalas pandangan dengan Umar dan juga memandang wajah itu dari jarak yang dekat.

“Hmmm…” Uwais menghulurkan sekeping kertas yang berlipat kepada Hana. Terpinga-pinga Hana mahu menyambut huluran itu. Untuk aku ke? Biar betul?

“Terima kasih,” ujar Uwais apabila kertas itu sudah berada di dalam pegangan Hana.

“Uwais… Stop it, okay. Jangan berlagak romeo sangat,” tempelak Umar yang sudah mengalihkan pandangan daripada bertaut dengan pandangan Hana.

Tanpa pamitan, Hana beredar dari situ. Ketika berada di dalam perut kereta, Hana membuka lipatan kertas tersebut. Serta-merta wajah Hana berubah apabila membaca isi coretan Uwais. Kertas tersebut diberikan kepada Adni.

“Untuk kau!”

“Untuk aku?” Adni pelik.

“Dari Uwais,” ujar Hana.

“My contact number. Please berikan pada Adni.” Adni membaca hasil coretan Uwais di kertas tersebut.

“Aku pula kena jadi posmen,” bebel Hana.

Dia sedikit kecewa. Ingatkan nota kecil itu untuk dia. Tetapi untuk Adni pula. Hampir-hampir saja dia syok sendiri sekali lagi. Malu! Kalaulah nota kecil itu turut tertulis nombor telefon Umar, alangkah indahnya dunianya.

Umar memandang wajah adik bongsunya. Ikutkan hati adiknya itu sudah menerima ‘hadiah percuma’ daripada dia. Tetapi dia cuba sabarkan hati. Jika dia berkeras, pasti adiknya juga turut berkeras. Uzair Raqib, adik bongsunya ini seorang yang keras kepala. Malah teguran dan juga nasihat papa mereka langsung tidak meninggalkan bekas.

“So, what is your plan now? Dah habis study, kan?” soal Umar. Namun disahut sepi oleh Uzair.

“Uzair Raqib…” Umar menekan nada suaranya. Itu bermakna dia betul-betul mahukan perhatian dan juga jawapan. Bukan kebisuan sebagai jawapan.

“Uzair nak break dulu. Nak berehat.” Akhirnya Uzair bersuara. Sejak awal dia tiba di ofis abangnya, dia bertindak dengan mendiamkan diri saja.

“Berapa lama?” Umar berpeluk tubuh dan anak mata masih lagi tertancap pada wajah Uzair.

“A few months,” jawab Uzair perlahan.

“Selama beberapa bulan tu kau nak buat apa? Tidur? Melepak? Clubbing? Traveling?” tebak Umar bertubi-tubi dengan nada sinis.

Uzair diam membeku di sofa. Anak mata tidak berani bertentang mata dengan abangnya itu. Dan dia tahu tahap kemarahan abangnya masih lagi boleh dikawal. Nada suara itu masih lagi mendatar. Cuma nadanya sinis saja.

“I need you at here!” ujar Umar dengan nada yang masih lagi cuba dikawal. Kesabarannya sedikit goyah.

“Berikan Uzair masa untuk semua ni,” pinta Uzair sekali lagi.

“Aku boleh berikan masa. Tapi kau nak buat apa selama tu? Kalau kau hanya membuang masa dengan perkara tak berfaedah, baik tak payah. Kau datang kerja dan bantu aku di sini,” tempelak Umar, bengang.

Pelbagai cerita mengenai kelakuan buruk Uzair sudah sampai telinganya. Tidak senang duduk dia dibuatnya apabila memikirkan perangai Uzair yang semakin menjadi-jadi. Ketika belajar lagi Uzair sudah mula buat perangai. Dan Uzair sudah pun diberi amaran oleh dia. Sekarang, semakin buruk pula. Salah pilih kawan inilah jadinya. Tambahan pula papa mereka menegur dan memberi nasihat hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Lebih-lebih lagi dengan Uzair, anak yang bongsu.

“I have my own life!” Uzair mula rasa rimas apabila didesak oleh Umar.

“Yes, I knew! You have your own life. Tapi kau jangan lupa tanggungjawab dan juga amanah yang perlu kau pikul. Duit ringgit tak sewenang-wenangnya datang bergolek. Kau perlu bekerja untuk dapatkan semua tu,” tempelak Umar.

“Clubbing setiap malam! Belum lagi racing, betting game bagai. Aku tahu setiap aktiviti kau. Dan aku tahu papa akan menutup mata dengan perangai kau. Telinga aku pedih bila orang sampaikan pada aku. Kalau cerita ni sampai ke telinga nenda, macam mana? Tak ke nenda tu risau dan jatuh sakit?” Berderet-deret Umar melepaskan peluru kata tanpa henti. Dia benar-benar panas hati ketika ini. Jika bukan disebabkan Uzair ialah adiknya, memang sudah lama sebuah penumbuk hinggap di pipi Uzair.

“Tak nak pedih telinga, tak payah ambil tahu. Lantaklah nak jadi apa-apapun pada Uzair. Abang Umar tak payahlah tunjuk lagak baik. Tahulah Abang Umar tu cucu kesayangan nenda. Asyik-asyik Umar. Umar itu… Umar ini… Uzair dengan Abang Uwais ni siapa?” Uzair mula tunjuk belang. Kesabarannya mula goyah.

“Hei!!!” Nada suara Umar naik seoktaf.

“Nenda tak pernah bezakan antara kita bertiga. Kau dan Uwais yang pilih nak stay dengan papa. Alasan tak nak dikongkong oleh nenda. Itu bukan dikongkong tetapi kasih sayang. Bila nenda dah terbiasa dan rapat dengan aku, pandailah kau reka cerita itu dan ini. Nenda melarang bersebab! Nenda tak nak kita salah pilih jalan dan salah membuat keputusan,” tambah Umar lagi. Sepantas kilat dia membidas kembali tohmahan Uzair.

“Nenda berleter tu bukan cerewet. Tetapi sebab sayang. Kau tu yang tak faham. Kau lebih pentingkan kehendak hati. Kesunyian nenda ada kau faham? Ada kau ambil peduli? Even papa anak nenda sendiri pun tak faham apa kehendak hati nenda. Ini kau kata nenda beza-bezakan kita bertiga pula. Are you insane?” Umar langsung tidak kehabisan kata untuk menyedarkan Uzair daripada kesilapannya sendiri.

Uzair membungkam tanpa kata. Dia tidak perlu lagi melawan kata dengan abang sulungnya itu kerana dia pasti kalah. Abang Umarnya memang hebat dalam berkata-kata. Malah kata-katanya itu berbaur sindiran. Yang pasti, dia harus terima dan telan.

“Aku bagi masa dua bulan lagi. After that, kau suka atau tak… kau kena ikut cakap aku. Uwais dah bantu papa di main office. Aku nak kau bantu aku di sini pula. Tak payah semuanya berkumpul di main office.” Umar terpaksa membuat keputusan apabila adik bongsunya itu sudah diam membisu. Dia tahu akan kebisuan adiknya itu. Adiknya itu tidak mampu lagi untuk berlawan dengannya.

“Pergilah balik dan sambung tidur ke apa… Tapi jangan sampai keadaan semakin buruk. On that time, kau akan tahu siapa sebenarnya Umar Rayyan.” Keras sekali Umar meninggalkan amaran. Ya! Dia benar-benar serius dengan kata-katanya itu. Selepas ini, tiada lagi toleransi.

Tiada jawapan atau sebarang reaksi daripada Uzair. Dia bangun dari sofa lalu mengatur langkah menghampiri Umar. Langkahnya terhenti apabila berhadapan dengan Umar. Uzair masih lagi tunduk, tidak berani berpandangan dengan abang sulungnya.

“Abang Umar…” panggil Uzair.

“Apa?” soal Umar dengan nada kasar. Sedikit pun dia tidak berlembut dengan adiknya itu.

“Sorry,” ujar Uzair. Tiba-tiba saja Uzair memeluk tubuh Umar.

Umar kaku! Dia tidak tahu sama ada mahu membalas atau hanya biarkan saja pelukan itu. Pelik! Itu kata hati Umar. Untuk tidak menghampakan Uzair, Umar hanya menepuk lembut belakang tubuh Uzair. Dia buntu untuk membuat keputusan.

Umar memarkir Honda Civic yang dipandunya di sebelah MPV Toyota Alphard milik nendanya. Ketika dia memasuki laman rumah sebentar tadi, terlihat sebuah kereta Mini Cooper. Umar tidak pasti milik siapa kenderaan itu. Badannya terasa benar-benar letih.

Bayangan tilam dan juga bantal sudah bermain dalam fikiran. Tiba-tiba bayangan tersebut lenyap begitu saja apabila dia diganggu dengan deringan pendek dari telefon bimbit. Umar mencapai telefon bimbit yang berada di dashboard. Skrin dibelek dan terlihat mesej WhatsApp daripada Uwais.

 

Uwais : Dinner at nenda’s house tonight. Booking for one person, please.

 

Jari-jemari Umar ligat menaip sesuatu di skrin.

 

Umar : Done!

 

Hantar! Tidak lama kemudian, bunyi deringan pendek kedengaran lagi. Umar malas mahu membelek skrin telefon bimbit lagi. Terus saja telefon bimbit dimasukkan ke dalam kocek seluar. Jaket yang tergantung di bahagian tempat duduk belakang segera dicapai. Kemudian dia keluar dari perut kereta.

Umar melihat kereta Mini Cooper itu. Nombor plat itu tidak pula dapat dicamnya. Barangkali kawan nenda datang melawat. Pintu utama terbuka ketika Umar sampai di situ. Kasut ditanggalkan lalu dijinjit.

“Assalamualaikum. Nenda… Umar dah balik,” sapa Umar apabila melangkah masuk ke dalam rumah. Kasut disimpan ke dalam almari kasut. Tersusun kasut miliknya di situ. Kasut kerja, kasut Converse, kasut sukan malah pelbagai selipar turut disimpan.

“Waalaikumussalam,” sahut Datin Khaleeda yang datang menghampiri Umar.

“Hari ni nenda buat apa aje? Pergi mesyuarat ahli tingkap lagi?” perli Umar dengan nada berseloroh. Sengaja mahu mengusik nendanya itu. Mesyuarat ahli tingkap merupakan mesyuarat ahli persatuan. Umar kurang bersetuju nendanya itu mengikuti aktiviti persatuan tersebut. Dia mahu nendanya itu berehat saja di rumah.

“Hari ni nenda ikut diorang pergi rumah anak-anak yatim di Kuala Selangor. Best!” cerita Datin Khaleeda dengan nada teruja.

“Dan nenda dapat kawan baru. Mungkin kawan baru untuk Umar juga,” tambah Datin Khaleeda lagi.

“Oh, no! Nenda…” Umar sudah dapat mengagak makna ‘kawan baru’ yang dimaksudkan oleh nendanya itu. Pasti kawan baru nendanya itu wanita muda yang mahu diperkenalkan kepadanya.

“Umar belum ready lagilah. Cinta… Selama-lamanya… Mengarutlah semua ni.” Sudah acap kali nendanya cuba memperkenalkannya dengan anak-anak kawan nendanya tetapi semuanya ditolak mentah-mentah.

“Kamu tu bukan muda lagi. Dah hampir tiga puluh satu tahun. Nak tunggu dah bertongkat, kaki terketar-ketar nak berjalan, baru nak fikir kahwin? Begitu? Masa itulah kamu kena pelangkung dengan tongkat. Dah tua ganyut baru gatal nak kahwin,” bidas Datin Khaleeda.

“Nenda… Not again! Umar betul-betul tak minat,” tekan Umar dengan keputusannya. Dia betul-betul tidak berminat dengan hal sebegini. Cinta… Selama-lamanya… Itu semuanya mengarut! Hanya mainan bibir! Dia langsung tidak percaya cinta dan juga perkataan selama-lamanya.

“Jom! Nenda kenalkan kamu dengan dia. Berminat atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting dia tahu kamu tu cucu nenda.” Datin Khaleeda berkeras malah tangan Umar terus ditarik agar mengikuti langkahnya.

“Nenda?” Umar terkejut dengan tindakan drastik nendanya itu.

Mereka berdua tiba di ruang tamu. Seraut wajah sedang tersenyum kepadanya. Bukan tak cantik. Cantik! Sedap mata memandang. Tetapi hatinya tidak berminat untuk mempunyai apa-apa komitmen. Terutama dalam hubungan cinta yang sentiasa rumit.

“Ini cucu sulung saya. Umar Rayyan.” Datin Khaleeda memperkenalkan Umar kepada wanita itu.

“Umar… Ini Sara.” Datin Khaleeda memperkenalkan pula gerangan wanita itu kepada Umar.

“Hai…” sapa Sara dengan mesra. Tangan turut dihulur untuk berjabat mesra dengan Umar.

“Maaf, Cik Sara. I can’t! Bukan muhrim.” Umar berlaku jujur.

“Oh? Okey…” Sara menarik kembali huluran tangannya.

“Nenda, I’m tired. Umar naik atas dulu.” Umar mahu lekas beredar dari situ. Pandangan mata Sara sedikit merimaskannya.

“Okey. Jangan tidur. Karang terlepas solat maghrib.” Datin Khaleeda terpaksa mengalah lagi. Bukan senang mahu melembutkan hati cucunya itu. Atau dengan kata yang lebih tepat, mahu mencairkan dan menarik perhatian Umar.

“Okey, nenda. Sebelum Umar lupa, malam ni Uwais akan dinner dengan kita. Hanya Uwais!” pesan Umar sebelum beredar meninggalkan Sara dan Datin Khaleeda di ruang tamu.

“Saya minta maaf bagi pihak cucu saya. Dia memang begitu jika ada yang tak kena. Dingin! Mungkin ada masalah di kilang tadi,” ucap Datin Khaleeda.

Sekali lagi rancangannya tidak menjadi. Susah benar mahu mencairkan hati keras cucunya itu. Siapalah yang bertuah mampu mencair

kan hati keras Umar dan juga mampu menarik perhatian Umar? Kalau tiada, kempunanlah dia mahu bercicit.

Anak mata sesekali dilarikan dari skrin telefon bimbit Sony Ericsson T2 lalu dihala ke skrin komputer. Namun hanya seketika. Anak mata kembali tertancap pada skrin telefon bimbit. Drama Korea Descendants of the Sun lebih menarik minatnya.

“Uittt!” tegur Firda.

“Shhh…” Jari telunjuk ditempel ke bibir. Kalau Firda bising, alamat hancurlah aktiviti tidak bermoralnya ini.

“Berapa kali kau repeat drama ni?” perli Firda. Setahu dia, Hana bukanlah seorang peminat K-pop atau K-drama. Tetapi gara-gara drama Korea Descendants of the Sun, Hana sanggup menonton secara online. Pelik!

“Aku repeat episod ni aje sebab tak puas tengok. Sweet kut sarjan dengan leftenan ni,” balas Hana selamba.

“Bukan ke cerita ni dah habis tayangan di tv?” duga Firda.

“Dah! Ada cerita baru sekarang ni. Doctors! Aku sibuklah nak layan. DOTS ni aku tak boleh nak ignore. Macam ada tarikan magnet!” balas Hana. Anak mata melingas memandang persekitaran ruang kerja. Masing-masing sibuk menyiapkan kerja.

“Tolong cover untuk aku, eh,” pinta Hana yang kembali melayan drama Korea di skrin telefon bimbit.

“Suara pun tak ada,” perli Firda lagi.

“Subtitle kan ada,” balas Hana tanpa memandang rakannya itu.

Firda hanya menggeleng saja dengan gelagat Hana. Mahu dilarang, Hana pasti akan melakukannya juga. Hasil kerja Hana semuanya mendapat pujian daripada pihak atasan. Tidak hairanlah kalau kebanyakan projek besar dikendalikan oleh Hana.

“Hana?” panggil Firda.

“Hmmm…” sahut Hana. Anak mata masih lagi melekap di skrin.

“Hana!” Firda menekan nada suaranya. Menagih perhatian daripada Hana.

“Jangan kacaulah. Part best ni. Diorang bertemu semula lepas sarjan tu hilang dan disahkan mati dalam misi. Romantik! Dalam suasana bersalji pula tu!” Ternyata Hana leka dengan drama kegemarannya itu.

“Aku rasa lepas ni kau kena masuk ofis Encik Haikal,” ujar Firda.

“Biarlah. Nanti aku kenyit-kenyit mata kalau dia nak marah aku. Aku buat muka comel macam Puss in the Boots. For sure, marah dia hilang.” Kata-kata amaran Firda langsung tidak meninggalkan bekas pada Hana. Malah Hana memberi cadangan pula.

Lima belas minit berlalu. Hana tersenyum-senyum simpul menonton drama Korea. Skrin komputer tidak lagi dipandangnya. Persekitaran ofis pun tidak lagi dipedulikan. Hana leka dengan drama bisu tanpa suara itu. Yang pasti, hanya dia seorang saja yang memahami dan juga terhibur.

Pappp! Tapak tangan melekap di atas meja.

“Hana!” sergah seseorang. Hana terkejut lantas melarikan anak mata ke wajah itu.

“Kau layan DOTS lagi eh?” sergah Watie, pembantu Haikal.

“Mana ada! Saya check inbox WhatsApp la…” Alasan Hana.

“Aku nampak muka big boss dan Doc Kang tadi,” tempelak Watie. Hana tersengih-sengih saja. Kantoi! Tetapi kantoi dengan geng sekepala tiada masalah.

“Encik Haikal panggil kau ke ofis dia,” sambung Watie menyampaikan pesanan Haikal.

“Mood?” soal Hana yang bertanyakan keadaan mood Haikal terlebih dahulu. Kalau bagaikan angin mendung yang sedang berarak, dia harus prepare. Tidak perlu dia membuat perangai tiga suku dan tidak cukup akal. Dia perlu berlagak profesional.

“Okey aje. Tak ada maknanyalah Encik Haikal tu nak moody dengan kau, Hana. Dia merajuk manja adalah,” sindir Watie yang sudah sedia maklum gelagat bos baru mereka itu apabila berhadapan dengan Hana. Lembut gigi dari lidah!

“Encik Haikal ada tetamu tau,” ujar Watie lagi.

“Klien ke?”

“Kawan baik dia. Encik Umar Rayyan.” Jawapan Watie membuatkan Hana serta-merta gelabah. Buku nota yang dicapai entah di mana silapnya membuatkan bekas pen terbalik dan bersepah pen di atas meja.

“Eh? Bukan buku ni.” Hana semakin menggelabah. Batang pen dikutip lalu dimasukkan semula ke dalam bekas. Dia tercari-cari buku nota yang selalu dicatat setiap tugasan yang perlu dilakukan.

“Weh! Mana buku aku tu eh?” Buku yang dicari tidak dijumpai. Meja kembali berselerak dengan kertas dan buku pula.

“Hana relaks,” tegur Watie yang terkejut melihat Hana gelabah.

“Weh! Relaks! Kau gelabah, kenapa?” Firda turut pelik dengan perangai Hana. Sekali pun Hana tidak pernah gelabah sebegini apabila berhadapan dengan Haikal. Tetapi kenapa tiba-tiba pula?

“Aku tak boleh relaks. Lemah lutut aku ni. Terasa nak melorot jatuh,” bidas Hana. Semuanya disebabkan Umar Rayyan. Dia kawan baik Haikal? Kenapa aku tak tahu pula eh?

Hana mencapai buku yang berada di hadapan mata. Entah di manalah dia campak buku nota tersebut. Sebelum dia masuk bilik Haikal, tudung bawal dilipat dari dagu hingga ke kepala. Rapat! Wajahnya kelihatan bulat apabila dia melihat dari cermin bekas bedak kompak kepunyaan Firda.

“Kau kenapa? Skema gila!” Watie terpinga-pinga dengan penampilan Hana.

“Comel tak? Inilah taktik nak mengurat bos kalau tak nak kena marah,” seloroh Hana. Tanpa perlu menunggu jawapan daripada Watie, kaki terus mengorak langkah menuju ke bilik Haikal.

Daun pintu diketuk perlahan. Kemudian kedengaran suara Haikal mengarahkannya untuk masuk. Hana memulas tombol pintu lalu menolak daun pintu. Kaki seraya melangkah masuk.

“Encik Haikal,” sapa Hana.

Haikal menoleh dan memandang Hana. Dia Terkejut! Hana dengan penampilan sebegitu. Sudah dua kali Hana dengan penampilan skema. Pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Hana.

“Hana Humairah?”

“Ya, Encik Haikal,” sahut Hana.

“Please, Hana. Change your tudung style. I want the real Hana Humairah, my editor,” pinta Haikal.

Hana terpaksa mengalah. Lipatan tudung kembali ke normal. Wajah yang bulat kembali membujur malah dengan selamba dia memuncungkan bibir dan menghembus hujung tudung supaya terbentuk elok dan kemas. Pandangan mata Haikal dan juga sepasang lagi anak mata milik rakan Haikal tidak dihiraukan.

“Errr… Kau…” Hana melemparkan pandangan ke arah suara itu. Dua pasang mata saling bertaut.

Lutut menjadi lemah longlai. Hana cuba menggagahkan diri untuk berdiri. Anak mata yang merenung tajam ke dalam matanya itu bagaikan menusuk hingga ke hati. Dari mata turun ke hati. Hana semakin lemah. Dia cuba memaut sesuatu untuk terus bertahan dan berdiri. Tetapi…

Bukkk!!!

“Hana?!” Giliran Haikal pula menggelabah. Sepantas kilat dia meluru mendapatkan Hana yang sudah pun terbaring di atas permaidani.

“Weh! Apa hal dengan staf kau ni? Tiba-tiba pengsan pula.” Umar turut meluru menghampiri Haikal. Dia pun turut terkejut.

“Hana? Hana?” Berulang kali Haikal memanggil Hana. Kepala Hana sudah dipangku di atas ribanya.

Hana malu untuk membuka kelopak mata. Dia bukan pengsan tetapi tiba-tiba saja rebah. Lututnya lemah tidak terdaya untuk bertahan lagi. Semuanya disebabkan panahan mata Umar Rayyan. Semuanya disebabkan Umar Rayyan! Hana terpaksa berlakon pura-pura pengsan. Malu untuk berpandangan dengan Umar.

“Macam mana ni, Umar? Nak call ambulans ke?” Haikal mula risau apabila tiada sahutan daripada Hana.

“Relaks! Jangan terburu-buru,” ujar Umar cuba berlagak tenang.

“Dah tu, macam mana? Nak buat CPR?” saran Haikal.

Anak mata Umar terkesan satu pergerakan kecil yang tidak disedari oleh Haikal. Sebuah idea spontan bermain dalam fikiran.

“CPR? Kau maksudkan mouth to mouth?”

“Yalah! Mouth to mouth!” tekan Haikal.

“Siapa yang nak buat CPR?” soal Umar. Anak matanya mengerling ke genggaman tangan Hana. Semakin erat pula genggaman tangan itu. Kau acah-acah eh?

“Kita osom!” saran Umar yang semakin ligat mahu mengusik Hana.

“Okey!” setuju Haikal.

Alamak! CPR? Hana sudah menggelabah. Mulut siapa bakal membuat CPR? Haikal atau Umar? Hatinya mengharapkan Umar yang memenangi pertandingan osom dan membuat CPR kepadanya. Untung dia! Tapi… Allahuakbar! Bukan muhrim! Astagfirullahalazim!

“Tapikan… aku rasa kita guna cara lain dululah.” Tiba-tiba Umar menyuarakan cadangan lain pula.

“Cara apa?” soal Haikal, bingung.

“Ada cawan atau botol air?” soal Umar.

“Dalam toilet ada. Bekas pasu. Watie letak air dan bunga dalam tu. Boleh guna tak?” jawab Haikal.

“Bekas pasu? Boleh sangat-sangat tu!” Tanpa membuang masa, Umar berlalu ke bilik air untuk mengambil bekas pasu tersebut. Bunga dikeluarkan dan air diisi sehingga separuh penuh. Kemudian Umar kembali mendapatkan Haikal yang masih lagi setia memangku kepala Hana.

“Kau nak buat apa?” soal Haikal.

“Aku nak simbah ke muka dia,” jawab Umar selamba.

“Simbah? Percik sudahlah. Melampau sangat kau ni. Macam nak siram anak dara orang mandi aje,” perli Haikal.

“Maksud aku… percik!” Cepat-cepat Umar betulkan kata-katanya. Niat dalam hati mahu saja dia simbah air tersebut ke muka staf kesayangan Haikal. Mengada-ada!

Simbah? Biar betul mamat ni? Kuyuplah aku nanti! Hana sudah tidak keruan apabila memikirkan dia bakal disimbah dengan air. Aku kena bangun! Tetapi macam mana kalau tak nak kantoi?

“Satu… Dua…” Sengaja Umar menyebut dengan kuat supaya Hana dapat mendengar kiraan tersebut. Dia tidak main-main. Jika Hana masih lagi berlagak pengsan, memang dia simbah saja air ke muka Hana.

Hana tekad!

“Errr…” Kelopak mata cuba dibuka perlahan-lahan. Hana memandang dua raut wajah di hadapannya dengan wajah terpinga-pinga.

“Alhamdulillah. Awak dah sedar, Hana. Risau saya!” Haikal melepaskan nafas lega apabila Hana sudah membuka kelopak mata.

“Nasib baik tak kena simbah,” perli Umar.

“Apa dah jadi sebenarnya?” soal Hana, berpura-pura.

“Awak pengsan! Anything wrong? Awak tak breakfast ke hari ni? Pening-pening?” Bertalu-talu Hana digasak soalan daripada Haikal.

“Tulang lutut kau kurang vitamin.” Lain pula yang dijawab oleh Umar.

“Errr… Mungkin saya tak breakfast kut pagi tadi.” Alasan Hana. Padahal dua bungkus nasi lemak selamat berada di dalam perut.

“Diet?” teka Umar.

Hana memandang tajam wajah Umar. Semuanya salah kau! Terasa mahu saja dia buat CPR pada Umar supaya mulut bisa itu diam membisu ketika ini. Geram!

“Next time breakfast dulu sebelum datang kerja,” pesan Haikal. Dia cuba membantu Hana untuk berdiri semula.

“Atau awak nak saya buatkan breakfast untuk awak setiap hari?” Pelawaan Haikal itu sepantas kilat dibalas dengan gelengan daripada Hana. Sweetlah pula bos aku.

“Kau maid atau husband dia ke?” Umar mencelah.

Semakin berdongkol-dongkol perasaan geram dalam hati Hana dengan sindiran Umar. Muka handsome tapi mulut berbisa! Memang nak kena CPR mamat ni! Tapi bila akan tiba waktu itu?