Pemangsa

RM23.00

Penulis: Muhammad Fatrim

Caption: awas air yang tenag jangan disangka tiada pemangsa!

ISBN: 978-967-406-251-4

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 23.00 RM 26.00

Pertemuan AISHA dan AMSYAR bagaikan romeo dan juliet. Tapi hidup Aisha derita selepas berkahwin dan bukan itu sahaja! Perkahwinan itu bertukar tragis apabila Amsyar sanggup berkomplot membunuh Aisha isterinya sendiri.

Bermula detik itu Amsyar mula diganggu oleh kelibat seorang wanita dan menganggap itu adalah jelmaan Aisha yang mahu membalas dendam kepadanya. Kelibat itu muncul di mana-mana!

4 tahun berlalu, Aisha yang terselamat dan mengetahui kebenaran kembali sebagai Indah dan memulakan misi untuk bangkit. Bagaikan magnet dia terikat kembali dengan keluarga Amsyar.

“Apa maksud awak? Apa yang awak tahu Fattah? Apa yang awak sembunyikan daripada saya?!” – AISHA

“Aisha, suami awak mungkin cuba nak bunuh awak.” – FATTAH

Aisha cuba berhati-hati dalam setiap langkahnya sebagai Indah tapi umpama ada mata-mata yang selalu memerhatikan setiap langkahnya! Dan dia juga didatangi kelibat entah siapa-siapa yang mahu meminta bantuannya.

Adakah Aisha akan kekal sebagai Indah? Apa akan terjadi apabila semuanya terbongkar? Siapa pula kelibat yang sebenarnya? Dan AWAS! Berhati-hati dengan PEMANGSA kerana dia ada di mana-mana!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

PLOT.

 

AISHA bangun awal pagi itu, usai menunaikan solat subuh dia membuat sarapan dan segala kerja rumah di rumah agam milik keluarga suaminya. Hampir setahun itu, Aisha sudah biasa membuat semua kerja itu sebelum disuruh. Aisha tahu tempatnya di rumah itu. Jika bukan kerana cintanya pada Amsyar, sudah lama Aisha cabut lari saja dari neraka itu. Hari demi hari dia cuba belajar bersabar dan bertenang meskipun Amsyar sendiri tidak lagi tidur sekatil dengannya.

“Aisha, cepat tuangkan tuan airnya,” arah Puan Sri Suraya menjeling ke arah Aisha yang berpakaian hampir serupa orang gaji, rambutnya panjang tidak terikat rapi, wajahnya yang sembab tanpa secalit mekap itu menampakkan lagi yang dia hanya pembantu di rumah itu. Panggilan pada bapa mertua pula tuan manakala untuk ibu mertuanya pula puan. Bila ada kawan-kawan Puan Sri Suraya datang, Aisha hanya disuruh duduk di dalam bilik. Malu katanya.

“Dah siram ke semua pokok bunga dekat rumah hijau belakang tu?” tanya Puan Sri Suraya pagi tadi.

“Sudah, sudah Puan. Saya dah siram semuanya Puan.” Aisha menjawab takut-takut, tahu dia telah berbuat sesuatu semasa menyiram pokok bunga di rumah hijau kesayangan Puan Sri Suraya.

“Ada patahkan bunga? Ada terjatuhkan pasu saya?” tanya Puan Sri Suraya lagi.

“Tak, tak ada puan,” pantas Aisha jawab.

“Kalau ada bunga saya yang patah, saya letak awak dekat rumah hijau tu tinggal dekat sana!” Puan Sri Suraya memberi amaran.

“Baik, puan.”

“Pokok-pokok bunga ros depan rumah tu dah siram? Dah lap pasu-pasunya?” tanya Puan Sri Suraya lagi.

Iya, sudah Puan.”

“Kalau saya jumpa kotoran sikit pun pada pasu bunga depan tu, saya akan lap dengan muka awak. Faham tu!”

Aisha angguk sahaja, tunduk faham. Dia tahu Puan Sri Suraya sangat menjaga bunga-bunga di kawasan rumah itu. Malahan menjaga pasu bunganya sekali. Aisha tahu, setiap pasu bunga itu berharga sangat mahal. Aisha juga ditugaskan menjaga pokok-pokok bunga ros yang ditanam dalam pasu di hadapan rumah kerana itulah pokok bunga yang menjadi kesayangan Puan Sri Suraya. Antara percaya ataupun tidak, Puan Sri Suraya juga mengira setiap hari bilangan bunga ros itu setiap hari.

“Mana roti bakar yang aku minta, kau ni lembablah. Patutlah tak ada anak!” jerkah Tan Sri Rahim pula tiba-tiba.

Aisha terkebil-kebil ketakutan.

“Maaf tuan, saya buat sekarang.” Aisha meminta maaf dan segera terkocoh-kocoh masuk ke dalam dapur. Orang gaji lainnya hanya memandang, mereka tidak dibenarkan menghidangkan makanan di rumah itu selain daripada Aisha. Setahun itu juga mereka menyuruh Aisha bersabar dan bertenang. Mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa.

“Puan Aisha, rotinya…” Mala menghulurkan, cepat-cepat saja menyiapkan supaya Aisha tidak dimarahi oleh majikan mereka.

“Ini airnya Puan Aisha, cepat ke depan.” Siti pula memberikan air yang dibuatnya.

“Terima kasih Mala, Siti…” Aisha memandang mereka, mengangguk faham dan terus membawa hidangan ke meja makan.

Amsyar yang baru bersiap berjalan ke muka pintu untuk turun ke bawah bersarapan bersama keluarganya. Tiba-tiba panggilan telefon menghentikan langkahnya. Segera dia mengambil telefon bimbitnya di atas meja. Nasib baiklah fikirnya sebab kalau tidak memang tinggallah telefon bimbit itu di rumah.

“Helo. Ya. Okey. Demi sayang, apapun abang akan buat. Dah siap semuanya? Bagus. Tak lama lagi sayang jadilah suri dalam rumah abang ni. Daniel sihat?” tanya Amsyar pada pemanggil itu.

“Daniel sihat saja. Ingat abang, abang hanya ada seorang isteri,” pemanggil itu seakan mengugut.

Amsyar tersentak namun faham.

Iya, sayang. Abang tahu.”

Usai menutup telefon bimbitnya, Amsyar turun ke bawah sambil melihat Aisha terkocoh-kocoh menghidangkan sarapan pada keluarganya. Dia herot mulut melihat Aisha yang kelam kabut dan serabut itu.

“Mak, ayah, Faiz. Selamat pagi.” Amsyar menyapa.

“Selamat pagi,” jawab mereka semua.

Aisha memandang Amsyar dan cuba melemparkan senyuman, namun senyuman itu tidak bersambut. Aisha melangkah kembali ke dapur.

“Kakak, kan Faiz dah kata, Faiz tak nak coklat panas hari ni.” Faiz adik Amsyar yang berumur 17 tahun merungut, dia memang sengaja nak mencari pasal dengan kakak iparnya itu.

“Maaf, Faiz. Kakak gantikan, ya.” Aisha meminta maaf dan terus masuk ke dapur.

“Puan! Puan Sri!” tiba-tiba Ali si tukang kebun yang berusia pertengahan 30 an terkocoh-kocoh masuk ke dalam.

“Ali, kalau ya pun hormatnya mana? Terpanggil-panggil macam tu!” marah Puan Sri Suraya.

“Sa… Saya jumpa bunga ni.” Ali memberikan bunga pada Puan Sri Suraya.

“Aisha! Aishaaaa!” panggil Puan Sri Suraya kuat.

“Ya, ya saya, puan.” Aisha terus keluar dan berdiri disisi Puan Sri Suraya.

“Apa yang kamu dah buat?! Kamu patahkan bunga saya! Bunga ros putih kesayangan saya! Beraninya kamu!”

“Ma… maaf, puan. Sa… Saya tak sengaja.” Aisha meminta maaf.

“Apalah nasib kamu ni, Amsyar. Dapat bini serupa macam tu. Itulah mama dah cakap, mama tak setuju kamu kahwin dengan dia kamu nak juga, dah setahun kahwin tapi tak mendatangkan hasil. Bawa sial saja dalam rumah ni!”

Amsyar seperti orang tiada perasaan hanya mendengar tanpa membela apa-apa. Tanpa membela Aisha isterinya! Apabila Aisha mendengar tiap bait kata-kata Puan Sri Suraya padanya tika itu. Terbenak dalam hati Aisha, cukuplah selama ini dia menjadi hamba di rumah itu!

“Dasar perempuan sial! Kau makan bunga ni!” Kuat jerkahan Puan Sri Suraya terus melempar bunga ros ke muka Aisha.

Perkataan sial yang ditekan berkali-kali membuatkan Aisha sudah tidak boleh bersabar lagi!

“Kalau Puan anggap saya ni pembawa sial dalam rumah ni. Saya boleh keluar sekarang juga! Jangan maki dan caci saya. Saya juga punya maruah! Ingat Puan, saya ni bukan hamba abdi rumah ni! Rumah neraka!” marah Aisha tiba-tiba membuatkan seisi keluarga Amsyar di meja makan itu terdiam.

Amsyar bangun dan kemudian menarik Aisha keluar lalu membawanya masuk ke dalam kereta.

“Abang nak bawa saya ke mana?!” marah Aisha.

“Aisha. Abang minta maaf kalau selama ni Aisha rasa terseksa dekat rumah tu. Abang pun kesiankan Aisha. Tak apa, lepas ni kita pindah.” Amsyar memberikan benih-benih harapan pada Aisha.

Aisha girang. Marahnya tadi bertukar bahagia. Lama sudah Aisha mengharapkan perkara sedemikian. Akhirnya tergapai jua.

“Aisha, hari ni abang nak bawa Aisha ke rumah baru kita. Suka tak?” Amsyar memandang Aisha dan senyum manis.

Aisha terkejut, semuanya berlaku dengan amat pantas, walaupun pelik tapi Aisha tetap suka. Kini dia bebas! Bebas dari rumah durjana itu!

“Abang beli rumah dekat mana?” tanya Aisha ingin tahu.

“Tunggulah. Sampai nanti Aisha tentu suka.”

Aisha rasa pelangi-pelangi indah dalam rumahtangganya kini tiba, syurga bahagia itu akhirnya muncul jua. Setiap hari Aisha berdoa agar dia dan Amsyar ditautkan seperti semasa mereka baru berkenalan dulu. Aisha masih ingat semasa kali pertama mereka bertemu. Aisha hanyalah seorang gadis biasa dan bekerja di sebuah resort di Kuantan, Pahang.

Suatu hari ada orang datang ke resort itu dan salah seorangnya Amsyar. Kali pertama melihat Amsyar, Aisha sudah jatuh hati. Namun Aisha tahu, dia dan Amsyar bagai pipit dan enggang tidak sama. Seminggu Amsyar di sana dan setiap hari juga Aisha bertemunya. Kesukaan Amsyar adalah melihat kelip-kelip. Aisha yang menjadi pemandu pelancong pada Amsyar dan juga rombongan pengunjung yang lain.

“Cik Aisha. Kalau saya bawa balik kelip-kelip ni boleh tak?” tanya Amsyar ketika itu. Itulah detik pertama Aisha berbual secara terus dengan Amsyar.

“Maaf encik. Kelip-kelip ni jangka hayatnya tak lama. Cuma satu malam. Maka hargailah apa yang encik lihat di sini.” Aisha menjawab pertanyaan Amsyar.

Setelah semua rombongan pengunjung balik. Amsyar masih di situ, melihat kelip-kelip yang berterbangan indah di sekelilingnya.

“Encik. Tak nak balik ke resort ke? Dah lewat ni,” tanya Aisha.

“Boleh tak kalau satu malam ni saya bermalam dekat sini. Awak kata esok kelip-kelip ni dah tak ada kan? Dan lagi dua hari saya nak balik. Lepas tu mesti saya tak jumpa kelip-kelip tu semua.” Amsyar menjawab sambil tersenyum.

Senyuman manis Amsyar ketika itu mengugat perasaan Aisha. Itulah kali pertama dia melihat senyuman manis seorang lelaki yang ikhlas. Jarang ada orang yang sukakan keli-kelip seperti Amsyar. Mereka hanya datang melihat keindahan dan pergi begitu sahaja.

“Jadi, encik nak bermalam dekat sini? Encik tak takut?” tanya Aisha lagi.

Amsyar senyum.

“Saya pelanggan. Pelanggan sentiasa betul, kan?” jawab Amsyar.

“Oleh sebab encik berkeras nak stay dekat sini malam ni. Nampaknya saya juga kena stay dekat sini untuk pastikan encik tak apa-apa.” Aisha memberitahu.

“Tak apa. Saya bukan budak kecik lagi. Tak perlu. Tapi kalau awak sudi nak temankan saya. Saya okey aje.”

Aisha pandang Amsyar yang leka dengan kelip-kelip. Kemudiannya Amsyar baring di atas tanah dan memandang ke langit.

“Awak pun baringlah sekali,” ajak Amsyar.

Errr…” Aisha segan.

“Bukanlah baring dekat-dekat. Baring jauh-jauh. Nanti tak pasal-pasal pula kan.” Amsyar bergurau.

Aisha hanya memerhati.

Amsyar pandang ke arahnya,

“Laaa… Asal awak tak baring lagi?” Amsyar bertanya, nadanya seakan marah.

Iya, encik. Saya baringlah ni.” Aisha herot mulut dan ikut permintaan Amsyar yang entah apa-apa itu.

“Awak pandang langit tu cantik kan? Rasa macam tengok bintang tu dekat aje dengan ada kelip-kelip ni semua.” Amsyar bersuara.

Aisha hanya memandang keindahan depan matanya, itu kali pertama Aisha baring di atas tanah melihat kelip-kelip yang berterbangan seakan-akan bintang yang bergerak. Kagum Aisha melihat semua itu.

“Ini semua ciptaan Allah swt.” Amsyar menambah.

Aisha senang dengan Amsyar, dari penglihatannya dia lelaki yang baik.

“Encik, saya tinggalkan encik dekat sini tak apa kan? Encik tak takut harimau kan? Saya balik resort dulu tau.” Aisha meminta diri.

“Apa awak kata tadi? Harimau?!” tanya Amsyar cemas terus berdiri.

“Ya, encik. Harimau, kawasan ni berhampiran hutan simpan encik.” Aisha menambah.

Amsyar pandang kiri kanannya.

Errr… Kalau macam tu saya balik sekalilah. Bye-bye kelip-kelip semua…”

Aisha senyum sendiri. Baru kena kelentong sikit sudah takut. Kemudiannya mereka balik ke resort bersama-sama.

Pon! Pon!

Aisha terbubar daripada lamunannya mendengar bunyi hon kereta di sebelah kereta Amsyar. Dia senyum dan memandang Amsyar yang masih memandu. Kemudiannya dia pegang tangan Amsyar, mengingatkan detik pertama itu Aisha rasa bahagia sangat. Keputusannya untuk memilih Amsyar pada waktu itu adalah keputusan yang betul, Aisha terfikir alangkah indahnya sang kelip-kelip yang ketika itu menjadi saksi percintaannya dan Amsyar, dia ingin pegang waktu itu selamanya.

“Aisha, ingat tak hari ni hari apa?” tanya Amsyar padanya.

Dahi Aisha berkerut.

“Aisha tak ingat, hari apa ya?” Aisha cuba mengingat.

Amsyar senyum.

“Hari ni ulangtahun perkahwinan kita yang pertama.” Amsyar memberitahu.

“Jadi, sebab tu abang bawa Aisha pindah rumah?” tanya Aisha lagi.

Amsyar angguk.

“Tak lama lagi kita nak sampai rumah baru kita. Nanti abang ada kejutan lagi tau.”

Aisha pandang Amsyar, “Kejutan? Beritahulah Aisha sekarang. Aisha nak tahu,” pinta Aisha.

“Kalau beritahu bukan rahsialah namanya.” Amsyar geleng kepalanya.

Setengah jam kemudian mereka sampai ke sebuah rumah. Rumah banglo itu besar. Amsyar menekan alat kawalan membuka pagar dan terus masuk ke dalam. Aisha girang melihat rumah itu. Selepas saja Amsyar memarkir keretanya, Amsyar terus membuka pintu dan membuka pintu kereta sekali untuk Aisha.

“Jemputlah isteriku sayang.” Amsyar bersuara manis.

Aisha keluar dari kereta dan memandang sekeliling rumah. Dia memandang ke kiri dan kanan. Ada kolam renang dan sebagainya. Aisha dibawa masuk ke dalam rumah. Dia rasa tenang berada di rumah itu. Aisha kembali teringat lagi detik pertemuan mereka di resort itu.

Aisha memberitahu aktiviti untuk para pengunjung hari itu, sambil itu Aisha memandang Amsyar yang dari tadi memandangnya. Wajahnya yang iras-iras Aeril Zafril itu membuatkan Aisha tak keruan. Namun disabarkan saja hatinya.

“Untunglah kau Aisha, ada peminat.” Dahlia mengusiknya.

“Kau jangan macam-macamlah, Dahlia,” marah Aisha padanya.

Dahlia angkat-angkat kening dan pandang Aisha,

“Malu tapi mahulah tu, kan?” Dahlia menggugat hati Aisha.

“Sudahlah Dahlia, masa untuk kerja ni. Nanti kita sembang.” Aisha mematikan perbualan mereka.

Kemudiannya Aisha membawa para pengunjung itu untuk melawat tempat-tempat menarik di kawasan itu.

“Hai, Cik Aisha. Awak sihat?” Amsyar menyapanya.

“Saya sihat. Ya. Awak?” tanya Aisha pula.

“Saya tak sihat.” Amsyar memberitahu.

Aisha pandang Amsyar, muka nampak macam okey, senyum pun okey, entah celah mana yang tak sihatnya dia.

“Encik, kalau tak sihat, saya boleh hantarkan ke hospital.” Aisha seakan-akan risau.

“Masalahnya tak ada hospital atau klinik ada ubat untuk sakit saya ni.” Amsyar menjawab.

Aisha pandang Amsyar, geleng kepalanya.

“Encik sakit apa? Encik termakan kelip-kelip semalam ke?” tanya Aisha lagi.

“Taklah. Sakit saya ni hanya Cik Aisha boleh ubat, saya jatuh sakit cinta.” Amsyar berterus terang.

“Maaf encik, saya ada kerja ni,” spontan perkataan itu keluar daripada mulut Aisha.

“Saya tahu Cik Aisha pun sukakan saya kan? Cik Aisha rela ke biarkan saya terus jatuh sakit?” Amsyar memandangnya.

Aisha tak tahu apa yang dirasakannya. Dia tahu dia sukakan lelaki itu. Tapi, bila mengenangkan banyak perkara, Aisha harus berfikir secara realiti. Dia dan lelaki itu berlainan darjat satunya, Aisha tahu dia cuma perempuan kampung dan lelaki itu pasti mempunyai keluarga kaya di Kuala Lumpur, keduanya mereka baru kenal, manalah tahu lelaki itu jenis buaya tembaga, buaya darat, buaya palsu dan seangkatan dengannya. Kemudiannya Aisha terus meninggalkan Amsyar di situ dalam teka teki.

Malamnya sekali lagi mereka berdua bertemu semasa Aisha membawa pengunjung melihat kelip-kelip. Itu merupakan malam terakhir Amsyar berada di situ. Amsyar seolah sengaja tidak mempedulikan Aisha. Aisha terasa hati. Namun semasa mahu balik. Amsyar memegang tangan Aisha dan membawanya ke tempat mereka bertemu dua hari lalu. Tapi mereka berdua hanya diam sahaja.

“Awak suka kelip-kelip?” Aisha membuka bicara.

“Suka.”

“Kenapa awak suka kelip-kelip? Kan malam saja mereka ada,” tanya Aisha lagi.

“Sebab saya nak jadi kelip-kelip awak. Bukan saja malam, siang pun saya ada,” jawab Amsyar berseloroh.

“Awak!”

Aisha tahu, dia sudah terpaut pada Amsyar ketika itu. Amsyar juga serius padanya. Hanya seminggu mereka boleh rapat dan saling jatuh cinta. Aisha menempuh segalanya, mulanya ayah dan ibunya agak kecewa kerana Aisha memilih Amsyar kerana dia lelaki bandar dan akan menyebabkan mereka berpisah. Tapi kerana Aisha adalah satu-satunya anak perempuan mereka, mereka faham dan turutkan saja.

Telefon bimbit Amsyar bergetar lagi. Segera dia masuk ke dalam bilik air dan menjawabnya.

“Iya, dia ada dengan saya sekarang ni. Awak dah tunggu dekat situ ya? Okey, saya bawa dia sekarang. Nanti bincang elok-elok tau.” Amsyar berharap.

Kemudiannya Amsyar keluar daripada bilik air dan menemui Aisha.

“Aisha. Mari. Abang nak bawa Aisha ke satu tempat. Tapi sebelum tu Aisha kena tutup mata dan telinga Aisha dulu tau.” Amsyar memberitahu dan memberikan penutup telinga dan mata pada Aisha.

Aisha senyum.

“Ini kejutan tu ya? Okey.” Aisha menurut.

Kemudiannya Aisha dibawa ke kereta.

“Aisha kalau nak tidur dulu pun tak apa. Sampai tempat tu nanti abang buka penutupnya. Aisha pasti suka punyalah.” Amsyar bersuara.

Aisha rasa tidak sabar. Aisha tahu, pasti kejutan itu amat menyenangkannya. Amsyar memandu dalam keadaan gelisah perjalanan yang mengambil masa 3 jam setengah itu dirasakannya lama sekali. Dia berharap sangat perkara itu boleh selesai hari ini juga.

Amsyar akhirnya sampai ke sebuah jeti, dia membawa Aisha menaiki sebuah bot. Seperti yang dijanjikan oleh Amsyar, dia membuka penutup mata Aisha lebih awal. Aisha terkejut apabila melihat laut luas terbentang di hadapan matanya.

“Abang, kita nak ke mana?” tanya Aisha seakan panik, dia memang takutkan laut, segera dia berpaut pada Amsyar.

“Kita nak ke pulau depan tu. Jangan risau, sekejap lagi sampailah.” Amsyar menenangkannya.

Tiba-tiba enjin bot yang dipandu Amsyar terhenti. Amsyar mati kata. Aisha memandang Amsyar. Tiba-tiba juga, Aisha merasakan air laut mula membasahi lantai bot tersebut.

“Abang, bot ni bocor. Macam mana ni?” Aisha panik.

“Sekejap abang cari life jacket atau pelampung jika ada. Kita kena berenang hingga sampai ke pulau tu.” Amsyar bertindak menenangkannya.

“Abang, Aisha tak boleh berenang. Abang, macam mana ni?” Aisha ketakutan.

Tiba-tiba saja, air laut pantas memenuhi ruang bot itu, mereka berdua tenggelam dalam laut. Aisha terkapai-kapai mencari pernafasan. Amsyar pula sedaya upaya mencari Aisha. Aisha melihat langit buat kali terakhir, dia menyebut nama Allah berulangkali dan kemudian tenggelam perlahan-lahan..

“Aisha! Aisha!” teriak Amsyar di sekelilingnya! Dia sempat memegang pelampung yang ada dalam bot itu sambil cuba mencari Aisha yang tidak kelihatan di mana-mana!

FATTAH.

 

“CEPAT Amsyar, cepat naik!” Syura menarik tangan Amsyar secepatnya, Amsyar masih terpinga-pinga memandang Syura datang tiba-tiba bersama botnya.

Amsyar memandang ke kiri dan kanan.

“Tapi Aisha macam mana?” tanya Amsyar risau.

“Awak suka atau tidak anggaplah dia dah mati.” Syura bertegas.

“Tapi bukan awak suruh saya bawa dia ke pulau tu ke?” tanya Amsyar lagi.

Syura senyum, “Awak jangan buat-buat polos pula Amsyar. Siapa yang rancang semua ni. Sudah! Jangan banyak cakap. Naik! Kita kena pergi dari sini secepatnya! Takut ada orang nampak pula.” Syura mengarah memandang Amsyar.

“Tapi aku tak naklah dia mati tragis macam ni sampai mayat tak jumpa.” Amsyar bersuara lagi selepas naik.

Syura geleng kepala.

“Awak sayang saya atau tak? Awak suka atau tak awak dah terlibat Amsyar. Awak yang beritahu saya Aisha takutkan laut dan tak tahu berenang. Awak pun tahu tentang rencana kita. Kalau awak buka mulut, awak pun akan turut sama terseret dan nama baik awak juga yang akan terjejas.” Syura mengingatkan Amsyar.

“Tapi aku bukan pembunuh.” Amsyar seakan kesal.

“Sudah! Awak jangan berdrama pula dekat sini. Awak baru saja terlibat dalam satu pembunuhan Encik Amsyar bin Tan Sri Rahim. Itu kenyataannya!” Syura tegas.

Amsyar geleng kepala sambil melihat sekeliling. Semua kenangan bersama Aisha pudar dan menghilang begitu sahaja.

“Jali, awak tunggu apalagi. Jalan!” arah Syura pada pemandu bot mereka.

“Nah tuala untuk awak. Nanti pandai-pandailah awak cakap dengan keluarga awak pasal dia. Yang saya tahu saya akan berada dalam rumah tu sebelum hujung minggu ni bersama Daniel. Saya dah puas bersabar selama ni Amsyar. Saya nak jadi isteri yang diiktiraf, bukan macam perempuan simpanan awak! Ingat janji kita Amsyar.” Syura memandang mata Amsyar sekali lagi.

Amsyar cair memandang Syura menjelingnya, dia tersenyum.

“Saya ingat sayang.” Amsyar menarik tangan Syura dan memeluknya, setitis bayangan Aisha pun sudah tidak diingatnya lagi.

Bot mereka berlalu meninggalkan bot yang karam tadi terhuyung hayang dan juga Aisha yang mungkin sudah berada di dasar laut dan takkan diingati sesiapa selepas itu…

“Kelip-kelip ni untuk Cik Aisha…” Amsyar memberikan Aisha botol berisi kelip-kelip di dalamnya.

Aisha geleng kepala.

“Awak jangan tangkap kelip-kelip ni. Dilarang tahu!” marah Aisha.

“Saya tahu Cik Aisha akan marah saya. Sebab tu saya tangkap kelip-kelip ni untuk Cik Aisha. Supaya kita sama-sama lepaskan mereka.” Amsyar senyum memandang Aisha.

Aisha herot mulut pandang Amsyar,

“Baik tak payah tangkap tadi, awak ni…” Aisha meleter.

“Saya tangkap kelip-kelip ni untuk kita sama-sama tengok keindahan yang Tuhan cipta. Walau sementara hidupnya tapi bawa kebahagiaan yang berganda-ganda..” Amsyar bermadah.

Aisha senyum lagi, dalam fikiran Aisha, entah apa-apalah lelaki yang satu itu merepek bagai.

“Marilah, nanti mati pula mereka.” Amsyar mengajak Aisha ke tepi sungai.

Aisha hanya menurut.

“Nah, Cik Aisha lepaskan mereka…” Amsyar memberi botol kaca itu kepada Aisha.

“Kenapa pula saya? Awak yang tangkap tadi kelip-kelip ni. Awaklah yang kena lepaskan.” Aisha mengelak.

Amsyar senyum angkat-angkat keningnya, “Tapi Cik Aisha pun bersubahat sama. Cik Aisha pun nampak dan pegang botolnya sekarang kan? Kalau naik mahkamah, Cik Aisha pun akan disabitkan sama tahu.” Amsyar serkap jarang.

“Hish awak ni,” marah Aisha kemudian membuka penutup botol kaca itu perlahan-lahan.

“Cik Aisha lepaskanlah mereka perlahan-lahan, lepas tu beritahu pesanan Cik Aisha pada mereka…” Amsyar mengarah lagi.

“Huh?!” Aisha hairan.

“Saya dah hantar pesanan saya. Saya minta pada mereka supaya sampaikan niat saya pada Tuhan supaya saya dapat kahwin dengan Cik Aisha.” Amsyar serius.

Aisha tersentak, “Amsyar, apa awak cakap ni? Awak jangan main-main boleh tak?” tanya Aisha memandang Amsyar.

“Saya tak main-main Cik Aisha. Saya memang nak kahwin dengan awak.” Amsyar memandangnya.

Aisha cuba berfikiran waras dan kemudian memberikan botol kaca yang berisi kelip-kelip kepada Amsyar dan beredar daripada situ secepatnya.

“Cik Aisha, awak nak ke mana?” tanya Amsyar memandang Aisha yang sudah hilang, mahu tak mahu dia perlu melepaskan kelip-kelip dalam botol kaca itu terlebih dahulu.

“Kelip-kelip semua.. terbanglah ke mana-mana kamu suka, bawalah bahagia untuk semua. Kirim salam sekali untuk Cik Aisha, ya.” Amsyar bergurau dan kemudian meninggalkan tempat itu.

Aisha yang berada di balik pokok tidak jauh daripada situ hanya senyum sendiri, kemudian dia melihat Amsyar beredar mencarinya.

“Cik Aisha… Cik Aisha… Awak dekat mana? Tak takut rimau ke? Cik Aisha…” panggil Amsyar sambil menoleh ke kiri dan ke kanan dalam kegelapan yang hanya diterangi oleh kelip-kelip.

Aisha ketawa memandangnya.

Fattah mengambil teropongnya kerana kebosanan. Ibunya mengajak dia bercuti di pulau itu untuk menghilangkan tekanan kerja sekali gus mengubat hatinya yang kecewa akibat putus kasih. Fattah ke tepi pantai dan meneropong sekeliling, pada saat itulah dia ternampak bot karam di depan matanya. Namun, baru Fattah hendak membantu, dia melihat ada sebuah bot menuju ke arah tempat itu. Niat Fattah untuk memberikan bantuan dibatalkan. Fattah teropong pada bot itu sekali lagi, hanya ada seorang lelaki yang naik, kemudiannya bot itu beredar. Fattah tersentak, tadi dia melihat ada seorang wanita juga dalam bot tersebut tapi di mana dia. Segera Fattah ke tepi pantai dan menuju ke arah sebuah bot.

“Tolong saya! Ada bot karam dekat sana. Cepat!” teriak Fattah.

“Baik! Encik cepat naik!” arah pemandu bot tersebut.

Fattah naik dan enjin bot segera dihidupkan. Dia meneropong ke arah tempat bot karam itu dan melihat kalau-kalau dia ternampak wanita yang dilihatnya dalam bot karam tersebut.

“Cepat, pak cik! Cepat!” arah Fattah cemas.

Bot dilajukan lagi dengan kelajuan yang tinggi, Fattah masih mencari dan mencari.

“Betul ke ada bot karam ni encik?” tanya pemandu bot itu inginkan kepastian.

“Pak cik tengok tu.” Fattah menunjuk ke arah beberapa cebisan papan-papan bot dan selainnya.

Pemandu bot itu tersentak, dia mendekati tempat tersebut. Fattah menoleh ke kiri dan ke kanan.

“Tadi ada bot datang sini, saya teropong dari tepi pantai tadi. Yang lelakinya selamat tapi saya tak nampak pula yang perempuan. Dalam bot tu ada lelaki dan perempuan masa karam.” Fattah memberitahu.

“Kita usaha cari, pak cik tak boleh hidupkan enjin bot, takut nanti perempuan tu terkena kipas enjin pula.” Pemandu bot itu memberitahu, Fattah faham.

Namun, selepas setengah jam, perempuan yang Fattah cari tidak mereka temui. Fattah kecewa.

“Mungkin saya salah tengok tadi agaknya. Kita baliklah pak cik. Maaf, pak cik.”

Fattah meminta maaf.

Pemandu bot itu faham dan terus menghidupkan enjin. Fattah menoleh untuk kesekian kalinya. Tiba-tiba dia ternampak cardigan terapung-apung, dia melihat ke arah serpihan bot tadi dan juga bot yang karam. Fattah tersentak, dia terlihat kepala seorang wanita.

Bushhh!

Segera Fattah terjun.

“Encik!!!”

Pemandu bot itu terkejut melihat tindakan Fattah lalu menghentikan enjin botnya dan melihat ke arah Fattah.

Fattah sedaya upaya berenang dan mendapatkan perempuan tersebut, dia risau sekiranya perempuan itu mati lemas dan sudah kenapa-kenapa. Sampai saja di sana, Fattah terus memanggil pemandu bot itu.

“Pak cik, cepat sini! Cepat!” arah Fattah dengan suara lantangnya, dia memeluk perempuan itu, kepala perempuan itu dibahunya.

Segera pemandu bot itu mendekati mereka dan menghulurkan bantuan.

“Kita naikkan dia dulu, cepat, kita kena pastikan keselamatan dia dulu,” arah pemandu bot tersebut menarik perempuan itu naik ke atas.

Setelah perempuan itu dinaikkan, Fattah pula naik. Fattah kemudiannya menyuakan jarinya ke hidung perempuan itu namun tidak mengesan apa-apa. Fattah geleng kepala.

“Encik, pak cik rasa dia ni masih hidup lagi, kalau tak mesti dah biru mukanya. Encik cuba buat CPR. Encik buka mulutnya dan kemudian tekan dadanya berkali-kali. Cuba encik, Insya-Allah, kita bermohon pada Allah swt.”

Pemandu bot separuh umur itu memberi harapan.

Fattah faham, kalimah Bismillah dibaca, kemudiannya dia mengikut apa yang disuruh oleh pemandu bot tersebut. Namun, perempuan itu masih juga tidak memberikan sebarang reaksi dan Fattah tidak pula mengesan apa-apa pernafasan.

“Dari dia kita datang, kepada dialah juga kita kembali. Jika sudah ketetapan Tuhan. Innalillahhiwainnailaihiwajiuun…” Pemandu bot itu faham perasaan Fattah.

Fattah kesal. Kalaulah dia menghulurkan bantuan lebih cepat tadi pasti perempuan itu selamat. Fattah duduk di tepi perempuan itu memerhatikannya. Rasa kasihan menggunung di hatinya. Kemudiannya Fattah cuba lagi.

“Ya Allah, Ya Rabb, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Andainya ada separuh umurku lagi, kau berikanlah pada perempuan di hadapanku ini separuh umurku itu untuk dia bernafas kembali…”

Fattah cuba lagi menekan dada perempuan itu perlahan-lahan dengan sebuah harapan.

Uhuk!”

Fattah tersentak!

SELAMAT.

 

                “SIAPA perempuan ni Fattah?” tanya ibu Fattah, Puan Zulaikha yang baru sampai ke biliknya.

Fattah memandang ibunya, “Fattah nampak bot dia karam tadi, tu yang Fattah selamatkan dia dan bawa dia ke sini, mama.” Fattah memberitahu.

Puan Zulaikha faham dan kemudian mendekati perempuan yang baru Fattah selamatkan itu.

“Tak apa, biar mama uruskan semuanya dulu. Fattah tu pergi bersihkan diri juga. Jangan risau. Fattah baliklah bilik Fattah.”

Fattah angguk dan beredar, namun ekor matanya masih memandang perempuan itu.

Fattah balik ke biliknya, dia ambil tuala dan bersihkan dirinya dan kemudian menunaikan solat zohor yang dia ketinggalan. Usai solat, Fattah berdoa kepada Tuhan, bersyukur kerana menyelamatkan nyawa perempuan tersebut.

Sementara itu Puan Zulaikha baru selesai membersihkan perempuan yang baru dijumpai Fattah. Dia usap kepala perempuan itu lembut, kemudian mengingat peristiwa yang berlaku 22 tahun lalu.

Zulaikha memandang Indah anaknya yang berumur 2 tahun bermain-main bersama kanak-kanak lain dengan ceria. Sedih Zulaikha melihat Indah yang tidak berayah itu. Zulaikha kehilangan suami, ibu dan ayahnya dalam satu kemalangan. Rakan perniagaan ayahnya pula merampas semua. Zulaikha terpaksa melarikan diri selepas diburu, akhirnya terpaksa tinggal di kawasan setinggan sebagai orang biasa-biasa supaya nyawanya dan nyawa anaknya tidak terancam. Tidak pernah Zulaikha terfikir bahawa hidupnya akan berakhir di situ, mahu menangis dia perlu tabah meneruskan hidup. Nasib baiklah dia tahu menyolek serba sedikit, atas kerja menyolek pengantin itulah dia mendapatkan sesuap nasi di sana sini.

Petang itu seperti biasa, Zulaikha sibuk memberikan khidmat solekan kepada pelanggannya yang mahu bersanding. Seperti biasa Zulaikha akan membawa Indah bersama-sama. Dibiarkannya Indah bermain bersama kanak-kanak lain di luar.

“Akak ni bila lagi kak?” tanya pengantin perempuan yang sedang disolek Zulaikha.

“Kamu ni Kuna. Akak ni tak ada hati dah nak kahwin lagi, cukuplah sekali.” Pantas Zulaikha menjawab menetapkan pendiriannya.

Kuna tersenyum.

“Jodoh tu di tangan Tuhan kak, manalah tahu kan, boleh juga Indah tu berbapa baru.” Kuna mengusik.

“Dah, kamu ni Kuna. Jangan cakap macam-macam. Kamu tu dah nak bersanding. Tutup mata kamu, akak nak mekap bahagian mata pula.”

Iya, kak.” Kuna faham.

Usai majlis perkahwinan tersebut, Zulaikha terus balik sampai dia terlupa dia membawa Indah bersama. Terkocoh-kocoh Zulaikha ke majlis perkahwinan itu mencari Indah namun tidak ketemu. Indah hilang begitu saja. Laporan polis sudah Zulaikha buat berkali-kali, malahan Zulaikha hampir tidak siuman gara-gara kehilangan Zulaikha.

“Indah anak mak… Indah… Indah…” Zulaikha merayau-rayau mencari anaknya di sekeliling tempat berdekatan majlis perkahwinan itu selama berbulan-bulan, sampaikan semua orang takut untuk mendekatinya. Yang ditanyakan, Indah, Indah, Indah.

Akibat kepenatan mencari Indah pada satu hari, Zulaikha masuk ke dalam sebuah masjid dan tidur di dalamnya.

“Cik, bangun cik.. bangun… Dah maghrib ni.” Zulaikha dikejutkan seorang perempuan, terkejut Zulaikha memandangnya, dia melihat sekeliling, tidak sedar berapa lama dia tidur. Segera Zulaikha keluar daripada masjid tersebut mahu balik ke rumahnya.

Bang! Bang!

Zulaikha terkejut apabila melihat orang ditembak di depan matanya. Zulaikha tergamam. Orang yang lalu lalang terkocoh-kocoh ke sana. Zulaikha lihat seorang lelaki dan seorang perempuan yang tidak bernyawa lagi di depan matanya. Beberapa orang menghubungi polis. Zulaikha kemudiannya berlalu daripada situ kerana tidak mahu masuk campur. Laju kakinya melangkah.

Tiba-tiba Zulaikha terdengar suara seorang budak lelaki menangis di belakang tong sampah. Segera didekatinya.

“Adik kenapa, dik? Kenapa adik nangis?” tanya Zulaikha lembut.

“Mama…” budak lelaki itu segera memeluk Zulaikha erat.

Saat itu Zulaikha terpaku, ada satu perasaan menusuk dalam dirinya. Dia melihat wajah budak lelaki itu, persis wajah lelaki yang mati ditembak tadi. Zulaikha ambil keputusan untuk bawa budak lelaki itu ke rumahnya. Malam itu juga Zulaikha berpindah daripada kawasan tersebut dan menghubungi ibu saudaranya untuk tinggal sementara di sana. Jika dia serahkan kanak-kanak lelaki itu pada polis, dia tahu hidupnya pasti akan berakhir di rumah kebajikan atau pun di rumah sanak saudara yang tidak mempedulikannya.

“Kak Ikha nak pindah ke mana?” tanya Safura yang melihat Zulaikha keluar dari rumahnya dengan seorang budak lelaki.

“Nanti Kak Ikha hubungi kamu Safura, akak pergi dulu.” Zulaikha terkocoh-kocoh masuk ke dalam sebuah kereta yang agak mewah.

Dia memandang ke belakang melihat rumah yang meninggalkan seribu kenangan itu, kenangan dirinya dan juga kenangannya bersama anak perempuannya.

“Indah…” Perlahan suara Zulaikha menyebut nama itu sambil mengusap kepala kanak-kanak lelaki diribanya yang sedang tidur.

Ting! Tong!

Bunyi loceng pintu chalet itu membubarkan lamunan Puan Zulaikha, segera dia membuka pintu.

“Masuklah Fattah, mama tahu kamu akan datang.” Puan Zulaikha memandang Fattah yang ekor matanya memandang pada perempuan yang baru diselamatkannya.

Puan Zulaikha pegang bahu Fattah.

“Jangan risau, semuanya selamat.” Puan Zulaikha senyum memberikan kata-kata itu pada Fattah.

“Fattah cuma nak lihat keadaannya saja mama.” Fattah bersuara.

“Mama faham.” Puan Zulaikha senyum lagi.

“Mama!” Fattah faham senyuman mamanya itu.

“Mama nak keluar kejap, Fattah tolong tengok-tengokkan dia, manalah tahu dia sedar nanti.” Puan Zulaikha meminta diri.

Fattah angguk. Puan Zulaikha terus keluar.

“Abang Amsyar! Abang Amsyar!” teriak Aisha tiba-tiba, dia memandang ke kiri dan ke kanan. Sasau!

Fattah tersentak!

“Cik, cik.. sabar cik. Sabar.” Fattah menenangkannya.

“Siapa kamu? Mana suami saya? Mana suami saya?!” Aisha berteriak lagi, dia bertindak ganas dan cuba bangun.

“Sabar cik, bawa bertenang.” Fattah cuba menghalang.

Plak!

Pintu dibuka, segera Puan Zulaikha memeluk Aisha.

“Sabar cik, sabar.” Puan Zulaikha erat memeluk Aisha menenangkannya.

Tiba-tiba Aisha menangis. Puan Zulaikha membiarkannya, Fattah pula berundur ke belakang.

“Suami saya Puan. Suami saya lemas, bot kami karam. Suami saya…” Aisha merintih.

Puan Zulaikha memegang tangan Aisha, “Sabar cik, bawa bertenang. Ingat Tuhan cik, istighfar.” Puan Zulaikha menenangkan Aisha.

Aisha merasakan dunianya seakan gelap. Kini dia kehilangan Amsyar orang yang sangat-sangat dicintainya. Baru sekejap dia meniti bahagia namun semuanya diragut tiba-tiba. Aisha tahu dia tidak boleh mempertikai Qada’ dan Qadar Tuhan, tapi mengetahui orang tersayang pergi, sebak hatinya.

“Cik bawa bertenang. Saya faham perasaan cik.” Puan Zulaikha terus-terusan cuba menenangkan Aisha.

Fattah pandang perempuan itu, ada sesuatu yang mahu diberitahu padanya, dia tahu suami perempuan tersebut selamat sebab dia memang nampak seorang lelaki naik ke atas bot selepas bot itu karam. Tapi bila Fattah fikir-fikir balik, tidak mungkin semua itu berlaku secara kebetulan. Kenapa dia tidak diselamatkan sekali? Adakah dia sengaja dibiarkan lemas? Atau memang suami perempuan itu sendiri yang merancang semua itu. Banyak yang berputar di fikiran Fattah saat itu.

Sejam kemudian, Aisha ditidurkan kembali setelah dia mengadu pening kepala. Puan Zulaikha masih berada di sisinya.

“Fattah, kita keluar sekejap. Biarkan dia berehat.” Puan Zulaikha memberi arahan.

Fattah menurut. Sebenarnya dia rasa serba salah pada perempuan itu dan pada mamanya tidak memberitahu perkara sebenar yang suami perempuan itu masih hidup.

“Fattah, mama nak kamu buat laporan polis dan cari suami perempuan tu sampai dapat, kalau boleh cari mayatnya… Takkan nak biar macam tu saja.” Puan Zulaikha meminta.

“Mama, kita tak perlu buat laporan polis ma. Suami perempuan tu masih hidup lagi. Fattah nampak semalam yang dia naik bot satu lagi. Ini komplot nak membunuh perempuan itu ma.” Fattah memberitahu ibunya, nada suaranya perlahan.

“Apa?! Apa betul kamu cakap ni Fattah?” Puan Zulaikha terkejut.

“Betul ma. Fattah masih tengah fikir kenapa pula lelaki tu kena selamatkan, sedangkan mereka boleh je waktu tu selamatkan perempuan tu sekali. Lepas dia sedar dan sebut perkataan suami, Fattah banyak fikir. Cuma, buat sementara ni, kita jangan libatkan polis, lagipun dia nampak polos saja, tak mungkin banyak bertanya.” Fattah memberi pendapatnya.

Puan Zulaikha faham.

Semasa Fattah dan Puan Zulaikha sedang bercakap-cakap di luar bilik, seorang lelaki masuk ke dalam bilik yang menempatkan Aisha. Dia telah lama berada di situ. Dikeluarkannya pisau daripada jaket yang dipakainya dan menuju ke arah Aisha. Dia melihat Aisha yang tidur dalam keadaan terlentang dengan tenang. Lama dia telah memerhatikan Aisha, malah semasa Fattah menyelamatkannya dia berada tidak jauh daripada situ dan mengekori Fattah. Tiada siapa sedar kehadirannya.

Perlahan-lahan dia cuba memegang Aisha.

“Kau selamat…”

“Siapa kau?!” Tiba-tiba Aisha berteriak membuka matanya.

Pantas Fattah yang berada di luar menolak pintu sekuatnya. Dilihatnya seorang lelaki bertopeng dengan sebilah pisau di tangannya.

“Kau mahu bunuh dia? Siapa kau?!” teriak Fattah.

“Kalau kau tak mahu mati, jangan halang aku!” lelaki itu memberi amaran. Bukan saja pisau, kini mengeluarkan sepucuk pistol daripada jaketnya dan menghalakannya kepada mereka semua.

Fattah memegang ibunya Puan Zulaikha yang berada di belakangnya.

“Baik, tapi kau jangan apa-apakan dia. Kalau tak, aku takkan teragak-agak halang kau!” Fattah bersuara keras memandang Aisha yang duduk ketakutan di hujung katil.

Secepatnya lelaki itu keluar daripada situ menolak Fattah dan Puan Zulaikha.

“Jangan lari!” Fattah berteriak dan cuba mengejar tapi sekilas itu juga lelaki itu hilang dalam kawasan chalet yang banyak itu.

Urghhh!” dengus Fattah dan kemudiannya kembali ke chalet yang menempatkan Aisha.

“Kita dalam bahaya.” Puan Zulaikha menyimpulkan keadaan memeluk Indah yang ketakutan.

“Tapi ma, kalau dia tu pembunuh upahan. Dia dah bunuh mangsanya siap-siap.” Fattah memberi responnya.

“Kita kena buat laporan polis. Kena berjaga-jaga, nanti dia akan datang lagi, bahaya.” Puan Zulaikha menyarankan.

“Baik, Fattah akan minta bodyguard datang dan jaga mama dan Aisha.” Fattah memberi jaminan, nampaknya percutian mereka di situ terpaksa melibatkan orang lain.

Aisha yang tidak tahu apa-apa cuma menurut.

“Apa yang berlaku ni, puan?” tanya Aisha.

“Tak ada apa. Saya akan tidur dengan kamu malam ni. Jangan risau.” Puan Zulaikha memberi pula jaminannya.

“Saya pun. Untuk keselamatan. Takut lelaki tu datang lagi. Mama, Fattah keluar dulu jumpa pengawal pulau. Minta mereka berjaga-jaga. Mama, kalau ada apa-apa beritahu Fattah cepat.” Fattah minta diri.

Puan Zulaikha hanya mengangguk faham.

Lelaki itu sebenarnya tidak pergi jauh, hanya berada dekat dengan chalet itu memerhatikan Fattah yang baru terkocoh-kocoh keluar dari chalet yang menempatkan Aisha. Dia tarik nafasnya lega, kehadirannya di situ hanya dengan satu misi iaitu untuk memastikan Aisha dalam keadaan selamat.

KEMBALI.

 

SEMINGGU kemudian Aisha sudah semakin tenang. Dia duduk di meja makan bersama Puan Zulaikha dan Fattah untuk makan malam.

“Puan, saya nak balik ke Kuala Lumpur. Mesti semua orang tengah bimbangkan saya.” Aisha memberitahu hasratnya.

Puan Zulaikha faham perasaan Aisha. Kasihan juga dia melihat Aisha yang terlalu lurus itu. Selama seminggu itu, Puan Zulaikah dan Fattah seolah-olah bertindak untuk menguruskan hal-hal pencarian Amsyar yang sebenarnya masih hidup. Juga memberitahu itu ini kepada Aisha yang bimbang antaranya kononnya mereka telah memberitahu keluarga Amsyar. Mereka terpaksa melakukan perkara itu demi melindungi Aisha. Apa yang mereka bimbangkan sebenarnya adalah percubaan kali kedua untuk membunuh Aisha daripada pihak suaminya, lagi-lagi bila mengetahui Aisha masih hidup. Puan Zulaikha dan Fattah yakin, Aisha sebenarnya memang disasarkan untuk dibunuh!

“Aisha buatlah apa yang patut. Kami bukan polis nak menahan Aisha di sini. Aisha juga punya keluarga sendiri.” Puan Zulaikha lancar menyebut nama Aisha selepas mereka mula berkenalan sesama sendiri.

Aisha pandang Puan Zulaikha, “Saya nak berterima kasih pada anak Puan sebab selamatkan saya. Pada Puan juga sebab menjaga saya. Saya nak minta maaf sebab berkelakuan kasar hari tu.” Aisha kesal.

“Sama-sama. Tak apa Aisha, siapapun di tempat saya akan buat perkara sama.” Fattah memberi respon memandang Aisha dengan senyuman.

Puan Zulaikha memandang Aisha dalam, wanita itu sebenarnya cantik. Sayang sekali sudah bersuami, jika tidak Puan Zulaikha sendiri meminangnya untuk Fattah.

“Puan, puan…” Aisha menegur Puan Zulaikha.

“Oh, ya saya. Minta maaf, mengelamun tadi.”

“Puan boleh temankan saya ke tepi pantai?” pinta Aisha.

“Insya-Allah boleh.”

Puan Zulaikha dan Fattah menemani Aisha di tepi pantai itu. Tidak banyak yang mereka bualkan. Aisha asyik memandang pantai, melayan perasaannya yang telah kehilangan suami yang dicintainya. Mengenang hari terakhir dia bersama Amsyar dalam keadaan yang sangat bahagia. Aisha tahu, selepas ini dia hanya akan kembali ke kampung halamannya memulakan hidup baru tanpa mendapat apa-apa.

Tiba-tiba ada beberapa ekor kelip-kelip mendekati Aisha.

“Kelip-kelip…” Aisha bersuara sendiri, kemudian dengan kudrat yang ada, Aisha mendekati kelip-kelip tersebut.

Kemudiannya kelip-kelip itu kian banyak mendekatinya, Aisha terpegun. Namun setitis air matanya tumpah, teringatkan Amsyar yang sukakan kelip-kelip.

“Kelip-kelip, andai kau sampai ke syurga, kau kirimkan salamku pada suamiku.. dia amat-amat menyukai kamu semua…” pesan Aisha pada kelip-kelip di hadapannya, dia mengambil seekor kelip-kelip dan kemudian teringat akan kata-kata Amsyar.

‘Sebab saya nak jadi kelip-kelip awak. Bukan malam saja muncul, siang pun saya ada.’

Sekali lagi air mata Aisha tumpah, tidak dapat dia gambarkan perasaannya waktu itu. Puan Zulaikha dan Fattah hanya memerhatikannya. Fattah rasa dia sudah keterlaluan sebab merahsiakan hal sebenar pada Aisha, segera dia bangun mendekati Aisha ingin memberitahu apa yang dilihatnya semasa hari kejadian

AISHA bersiap awal pagi itu untuk balik ke Kuala Lumpur. Dipandangnya laut dari pulau itu, dia melihat papan tanda Pulau Pangkor, jauh Amsyar membawanya hingga sampai ke situ untuk meraikan ulangtahun perkahwinan pertama mereka. Ini kali pertama Aisha ke sana, tapi kunjungan kali pertama itu bukanlah seindah yang dibayangkannya. Perjalanan yang mana dia menutup mata dan tertidur, perjalanan yang sepatutnya dia hargai masa-masanya. Perjalanan terakhirnya bersama insan yang sangat-sangat disayanginya. Aisha sebak, kemudian Aisha memandang Puan Zulaikha disisinya.

“Puan. Gerakan mencari suami saya yang Puan beritahu semalam tu sudah menemukan apa-apa hasil?” tanya Aisha.

Puan Zulaikha tersentak dengan soalan Aisha tapi bertenang.

“Maaf Aisha, mereka belum maklumkan apa-apa penemuan. Pihak mereka sudah sedaya upaya mencari. Reda, ya Aisha.” Puan Zulaikha menenangkannya.

Puan Zulaikha rasa bersalah menipu Aisha. Tapi jika itu caranya untuk menenangkan hati Aisha, Puan Zulaikha rasakan itu langkah yang sangat betul. Lagipula kawasan chalet itu adalah milik persendirian, Puan Zulaikha bebas mengarahkan pekerja-pekerjanya untuk ke laut dan memberi sebarang arahan.

“Aisha. Kalau tak keberatan, kami boleh temankan balik ke Kuala Lumpur.” Puan Zulaikha memaklumkan.

“Tak payahlah, puan. Saya sudah banyak menyusahkan keluarga Puan.” Aisha enggan.

“Usah cakap macam tu Aisha. Kami hanya membantu sekadar termampu.” Puan Zulaikha membalas.

Fattah berjalan menuju ke arah mereka. Semalam Fattah ingin memberitahu hal sebenar pada Aisha, namun ibunya tiba-tiba menarik tangannya pula, makanya dia tidak berkesempatan memberitahu apa-apa pada Aisha perihal suaminya dan dia juga tahu dia mengambil tindakan terburu-buru.

“Fattah, kita bersiap. Kita juga akan balik KL.” Puan Zulaikha memberi arahan.

Fattah sebenarnya memang tahu, ibunya itu mahu balik juga bersama Aisha.

“Fattah dah siap dah, ma.” Fattah senyum memandang ibunya.

“Kalau macam tu. Cepatlah kita gerak. Awal gerak, awak sampai.” Puan Zulaikha mencadangkan.

Puan Zulaikha berpimpin tangan bersama Aisha menaiki bot persendirian milik Puan Zulaikha di depan mereka. Dua orang pengawal peribadi mengiringi mereka bersama dua lagi staf yang bertugas di dalam bot.

“Puan, moga datang ke sini lagi jika lapang.” Seorang staf bersuara.

“Syakila, Majid. Sepanjang ketiadaan saya. Sila jaga chalet ni dengan baik, apa-apa maklumkan saya. Jaga semua staf dan jaga hati pelanggan juga.” Puan Zulaikha berpesan.

“Baik Puan Zulaikha.”

“Mama, tak perlulah protokol sangat.” Fattah mencelah.

“Fattah, kita datang pulau ni sekali sekala saja. Selebihnya sibuk memanjang. Chalet yang diusahakan di sini amanah arwah mak cik kamu. Dia sayangkan tempat ni, sepertimana dia sayangkan kita, kita kena sayangkan juga tempat ni.” Puan Zulaikha mula memberi ceramah percuma pada Fattah.

Fattah herot mulut.

“Yalah, mama… Pak Talib, jalanlah cepat. Takkan nak tunggu mama habis cakap baru nak jalan. Syakila, Majid, kami gerak dulu. Assalamualaikum.” Fattah meminta diri.

“Waalaikumussalam tuan, puan.” Syakila dan Majid menjawab salam serentak.

Aisha hanya mendengar perbualan mereka dan sedikit kagum, rupa-rupanya orang yang membantunya itu adalah pemilik sebuah chalet di pulau itu. Diingatnya orang biasa yang melancong di pulau itu. Dia mula rasa segan.

“Aisha, kamu okey?” tanya Puan Zulaikha.

“Saya okey puan,” pantas Aisha menjawab walaupun gugup.

Fattah hanya memandang sekali pada Aisha dan kemudian memandang ke tempat lain. Perjalanan bot itu menuju ke jeti Lumut, Perak mengambil masa setengah jam cuma. Fattah memandang tempat dia melihat Aisha dan suaminya buat kali pertama, kalaulah dia tidak melihat kejadian semalam itu, pasti Aisha sudah menjadi makanan ikan-ikan besar di laut itu. Bila mengingatkan betapa pedihnya Aisha merintih mengingati suaminya, Fattah memandang ibunya, Puan Zulaikha angguk tanda faham.

KEBENARAN.

 

AMSYAR keluar daripada bilik airnya untuk bersiap. Sepasang baju Melayu berwarna putih yang tergantung kemas dipakainya tapi alangkah terkejutnya Amsyar apabila melihat perkataan di cermin biliknya.

Pembunuh takkan selamat.

Amsyar terduduk di katilnya. Bukan saja perkataan itu, sebenarnya sudah seminggu itu sejak kematian Aisha dia merasa Aisha datang kepadanya. Dia seolah-olah ternampak Aisha berdiri di balkoni, berdiri di hujung katilnya saban malam dan sebagainya. Amsyar sebenarnya dalam ketakutan! Takut diganggu oleh hantu Aisha yang telah mati dianiayai olehnya!

“Abang dah siap?” Tiba-tiba Faiz masuk ke dalam bilik.

“Tutup pintu itu Faiz!” arah Amsyar keras.

Pantas Faiz mengunci pintu dan kemudian mendekati abangnya tapi terkejut sebaik saja melihat cermin.

“Siapa yang tulis tu? Pembunuh?” tanya Faiz mendekati tulisan di cermin.

“Faiz tolong padam tulisan tu cepat,” arah Amsyar.

Faiz terus ambil tisu tanpa banyak bertanya. Amsyar pula cuba menenangkan diri memakai baju Melayu elok-elok sendirian. Dia ada misi penting hari itu, hari itu adalah hari yang telah dinanti-nantikannya.

Sementara itu Aisha, Puan Zulaikha dan Fattah telah sampai ke Kuala Lumpur. Puan Zulaikha meminta diri terlebih dahulu, dia diambil oleh pemanduanya untuk satu urusan penting. Hanya tinggal Fattah dan Aisha saja berdua. Fattah dikehendaki menghantar Aisha balik ke rumah keluarganya. Di dalam kereta, mereka berdua hanya diam. Aisha tidak tahu mahu berkata apa-apa, sebenarnya dia amat takut, pasti dia akan dimaki hamun oleh keluarga suaminya dan akan dihalau keluar apabila mengetahui berita kematian Amsyar.

Pasti mungkin dirinya akan disumbatkan ke penjara dan segala macam lagi. Bermacam-macam perkara yang dirisaukan oleh Aisha. Tapi dia perlu sabarkan dirinya, dia juga kehilangan orang yang dicintainya. Adalah lebih baik memberitahu kebenaran yang sememangnya pahit bak hempedu itu. Aisha memandang jauh, teringatkan Amsyar sekali lagi.

Selepas ini Aisha merancang untuk balik semula ke rumah keluarganya di Kuantan. Bandaraya Kuala Lumpur itu sudah tidak memberi apa-apa makna lagi kepadanya. Kalaulah dia boleh meminta masa diputarkan kembali, pasti dia akan menolak kehadiran Amsyar dalam hidupnya, kehidupan sengsaranya di rumah mertua selama setahun dan kematian Amsyar. Namun semua itu asam garam kehidupan dan takdir daripada Allah swt. Aisha reda.

“Aisha. Alamatnya di mana, ya? Saya boleh setkan dekat maps ni supaya kita cepat sampai.” Fattah bertanya.

“Setkan saja ke Bukit Antarabangsa, nanti sampai sana saya akan beritahu ke mana kita nak pergi.” Aisha memberitahu.

Usai menetapkan hala tuju, Fattah meneruskan pemanduannya. Perjalanan ke sana mengambil masa hampir setengah jam.

“Aisha, jangan takut. Berserah pada Allah.” Fattah cuba menenangkannya, sebenarnya tujuan dia menghantar Aisha adalah untuk melindungi Aisha.

“Macam saya beritahu pada awak dan mak awak. Keluarga saya tak berapa sukakan saya. Saya tahu, nanti saya akan kena tengking lepas tu mungkin takkan dibenarkan masuk ke dalam rumah arwah suami saya.” Aisha menjawab, segalanya telah diceritakan pada Fattah dan Puan Zulaikha sebelum ini.

Fattah diam selepas itu. Dia tahu, sekejap lagi Aisha pasti akan terkejut dengan apa yang berlaku. Sebenarnya dia tahu satu perkara mengenai Amsyar pagi itu daripada pengawal peribadinya dan dia sebenarnya bimbangkan penerimaan Aisha terhadap perkara sebenar.

“Mana satu rumah keluarga awak?” tanya Fattah sebaik saja mereka sampai.

“Di depan lagi belok kiri. Nombor 39.” Aisha memberitahu, perlahan suaranya.

Hati Aisha tak keruan. Mampukah dia mengumpul kekuatan, mampukah dia memberitahu segala-galanya. Aisha cuba bertenang dan bertenang. Rumah yang dituju kian dekat. Aisha melihat ada ramai orang berada di sana. Peliknya seakan ada satu majlis meriah di rumah itu sehingga jalan terpaksa ditutup. Fattah mencari parkir, Aisha mengenakan selendang yang diberikan Puan Zulaikha kepadanya. Kemudiannya dia dan Fattah berjalan kaki menuju ke rumah tersebut. Perasaan Aisha berdebar-debar.

Kelihatan pintu gerbang dibina, dua orang gadis berada di sana.

“Encik, puan. Anda ada kad jemputan? Ini majlis persandingan Encik Amsyar Tan Sri Rahim dan Puan Syura Rashid,” salah seorang gadis itu memberitahu.

Aisha tersentak. Dia kemudian melihat kain rentang di sebelahnya, dia melihat gambar Amsyar dan seorang wanita dalam pakaian pengantin. Bunyi muzik yang sangat kuat di dalam menggambarkan suasananya. Fattah tahu, Aisha sudah tahu sesuatu. Kemudiannya Aisha mahu masuk ke dalam.

“Maaf cik, tak ada kad jemputan tak boleh masuk. Ini majlis tertutup.” Gadis yang seorang menghalang.

“Tapi saya…”

Fattah segera menarik tangan Aisha.

“Lepaskan saya! Apa hak awak pegang saya!” marah Aisha tiba-tiba.

“Aisha. Awak perlu tahu sesuatu Aisha.” Fattah berbisik kepadanya. Aisha masih bingung.

“Benarkan kami masuk! Mereka dah bunuh anak kami!”

“Keluarga pembunuh! Pulangkan anak kami!”

Aisha menoleh, seakan-akan terdengar dia suara ayah dan ibunya. Dari kejauhan dia melihat ayah dan ibunya yang berada di luar pagar pintu masuk rumah mertuanya sedang dihalang oleh beberapa orang pengawal. Umpama anjing kurap mereka ditolak-tolak. Aisha sudah tidak dapat bersabar. Segera dia bergerak ke sana, namun Fattah dengan cepat menarik tangan Aisha sekali lagi.

“Lepaskan saya! Itu mak dan ayah saya!” marah Aisha cuba melepaskan tangan Fattah.

Namun Fattah tidak mengendahkan, dengan cepat dia membawa Aisha masuk ke dalam keretanya.

“Aisha, awak jangan jadi bodoh Aisha. Lepas dengar cakap perempuan tu tadi. Awak rasa apa sebenarnya terjadi pada awak? Awak tak dengar apa yang mak ayah awak cakap?! Aisha!” Fattah cuba menyedarkan Aisha.

Aisha pandang Fattah.

“Apa maksud awak? Apa yang awak tahu Fattah? Apa yang awak sembunyikan daripada saya?!” tanya Aisha kasar.

“Saya sepatutnya cerita dekat awak lebih awal lagi. Saya nampak awak dan suami awak dalam bot. Saya teropong daripada jauh, lepas tu saya nampak bot yang kamu naiki karam, tak lama kemudian sebuah bot datang dan selamatkan suami awak. Sebab tu saya datang selamatkan awak. Aisha, suami awak mungkin cuba nak bunuh awak untuk kahwin lain.” Fattah berterus terang.

“Awak jangan cuba buat fitnah! Amsyar orang baik. Suami saya bukan pembunuh!” Aisha bertegas.

Fattah geleng kepala, “Awak mungkin tak sedar apa yang berlaku. Dekat pulau tu kami sengaja tak pasang tv untuk awak tengok, tak pasang radio untuk awak dengar dan tak bagi surat khabar untuk awak tahu semua benda. Awak cuba baca surat khabar ni.” Fattah cuba menerangkan keadaan sebenar.

Aisha melihat headline surat khabar itu, ‘Isteri kedua hilang dilaut, suami dedah isteri pertama.’ Dia melihat ada namanya dan gambarnya juga berada di situ yang dilaporkan hilang di laut dan dipercayai meninggal dunia akibat lemas kerana tidak tahu berenang. Dia juga melihat Amsyar dengan penuh bahagia memeluk seorang perempuan yang sangat cantik bersama seorang kanak-kanak comel, ditulis juga di sana perempuan itu adalah isteri pertama Amsyar yang dinikahi setahun sebelum perkahwinan Aisha dan terpaksa dirahsiakan.

Hati Aisha hancur, dia tidak sangka rupa-rupanya apa yang berlaku itu sebenarnya telah dirancang dan apa yang lebih memilukan, selama ini dia sebenarnya diduakan oleh Amsyar!

“Awak masih berkeras masuk dalam majlis tu selepas apa yang suami awak buat? Awak rasa apa yang akan mereka buat? Awak ingat mereka akan benarkan awak masuk begitu sahaja? Awak akan dibunuh sekali lagi Aisha. Akan dibunuh sekali lagi oleh suami awak!” Fattah cuba membuka mata Aisha.

“Bawa saya ke tempat lain, saya nak pergi dari sini. Cepat!” arah Aisha.

Fattah menghidupkan enjin keretanya, melintasi rumah agam keluarga mertua Aisha. Daripada jauh Aisha melihat ibu dan ayahnya yang ditolak-tolak ke jalan raya. Runtun hatinya melihat keadaan itu. Kini dia sedar, dia langsung tidak bermakna dalam hidup Amsyar. Aisha diam, Fattah diam. Fattah memandu ke sebuah tempat. Sampai saja di tempat itu, Aisha terus turun.

Warrrghhh!!!” Aisha berteriak kuat!

Sekuat-kuat hatinya!

Sekuat-kuat yang dia boleh!

Air matanya mengalir di pipi! Kemudiannya dia ambil cincin di jari manisnya dan buang ke tebing bukit. Cincin itu sudah tidak bermakna lagi. Hanya yang ada dalam hatinya adalah dendam, dendam yang membara-bara! Dia mahu keluarga itu menerima apa yang sepatutnya. Aisha tidak mahu menjadi orang lemah lagi! Aisha sudah puas bersabar!

“Suamiku pembunuh! Amsyar pembunuh! Pembunuh!”