Merindu tanpa kata

RM23.00

Penulis: Emellda M.A

Caption: segala rasa cinta dating dari hati..gemersik di jiwa membawa cinta yang abadi

ISBN: 978-967-406-256-9

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 23.00 RM 26.00

“I love you… Is that the missing word that you forget?” – INDAH

“I love you. I’m sorry. I will never forget this word. And I will never forget you.” – KAIZRIL

Orang kata cinta itu dari mata turun ke hati. Tapi sebaliknya yang berlaku antara Indah dan Kaizril. Hanya kerana kesilapan yang indah, akhirnya menjadi titik permulaan cinta mereka. Dengan suara, hati mereka mula menyanyikan lagu rindu. Hati tiba-tiba berbunga-bunga mengenangkan kata-kata si pemanggil misteri.

Itulah yang Indah rasai. Indah benar-benar bahagia dengan kehadiran Kaizril Kamaruddin. Kehidupan yang dilaluinya terasa cukup lengkap dengan adanya cinta dan keprihatinan Kaizril. Siapa sangka kebetulan rupanya menjadi pembayang pada pertemuan dua jiwa?

 “Orang handsome macam ni takkan frust kut?”

“Saya tak frust. Saya sakit rindu. Hati rindu. Jiwa saya rindu. Mata saya rindu. Fikiran saya rindu…”

              Benarlah cinta sejati tak mudah untuk dimiliki. Kehadiran Johari sebagai pendengki dan keikhlasan Rizal mendamba kasih yang suci… menjadikan Indah lemas dan panasaran dalam mencari erti cinta sebenar.

Mampukah indah mencari erti cinta sebenar dengan kehadiran Natasya dalam hidup Kaizril dan dendam  sepupu sendiri iaitu Johari. Semuanya dalam naskah Merindu Tanpa Kata.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Kelihatan seorang gadis sedang asyik bermain air hujan di tepi susur gajah. Gadis itu nampak girang walaupun suasana alam di sekitarnya agak kelam. Rintik hujan yang turun begitu menggembirakan hati. Gadis itu terkandas di situ sejak sejam yang lalu. Dia ingin pulang ke kolej kediamannya tetapi terpaksa berteduh di laluan susur gajah tersebut. Hujan pula masih belum nampak tanda-tanda untuk berhenti.

“Nama kau Nur Indah binti Fansyori?” soal seorang lelaki tampan tiba-tiba.

Indah berpaling.

Secara tidak sengaja air hujan yang ditadah oleh Indah terkena wajah lelaki tersebut. Kus semangat! Nasib baik tak ada sakit jantung. Kalau tak, boleh mati terkejut. Dari mana mamat ni datang? Sejak bila pula ada orang lain di laluan ini selain daripada dirinya? Uish, seram pula.

Ooops, sorry. Tak sengaja. Awak buat saya terkejut. Ingatkan saya sorang aje kat sini.”

Lelaki itu masih kaku menatap wajah indah yang kini memang jelas di depan matanya. Lelaki itu hanya memandang tanpa riak. Wajahnya bersahaja tetapi pandangan matanya buat Indah rasa tidak selesa.

“Aku tanya, nama kau Nur Indah binti Fansyori?”

Indah terkedu. Dia rasa cemas apabila melihat wajah serius lelaki itu. Dia hanya mampu mengangguk. Lidahnya terasa kelu untuk berkata-kata. Dalam hati dia berdoa moga hujan segera berhenti. Dia ingin segera berlalu pergi.

“Kata orang di kolej ini… kau adalah antara gadis jelita paling sempurna yang menjadi lambang keagungan Tuhan sebagai Maha Pencipta. Well, I’m agreed. You are so beautiful. Kau dah ada boyfriend? Atau kau ni playgirl? Maklumlah, wajah cantik. Boleh jadi aset untuk jadi kaya. Tak pun untuk hidup senang dan selesa.”

Indah tidak berhenti beristighfar dalam hati. Benci dia mendengar ayat yang keluar dari mulut lelaki itu. Apapun, mulut tempayan boleh ditutup tetapi bukan mulut manusia. Dia ingin marah tetapi marah bukan jalan penyelesaiannya.

“Nama aku Tengku Adam Iskandar bin Tengku Raden Putra. Kau boleh panggil aku Adam. Aku pelajar tahun akhir dari Fakulti Perubatan. Boleh kita bersahabat?” soal Tengku Adam Iskandar serius sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Indah.

Indah cuba tersenyum. Seboleh mungkin dia tidak mahu menggores hati lelaki bernama Tengku Adam ini. Dia benar-benar bimbangkan keselamatan dirinya saat ini apabila berhadapan dengan lelaki pelik yang berwajah ketat dan mempunyai budi bahasa yang kasar. Nasib baik berpakaian segak. Kalau tidak memang dia lari dalam hujan sebab rupa dah macam samseng jalanan. Tapi taklah seteruk itu. Handsome apa… Uishhh

“Maaf. Saya tak bersalam dengan lelaki asing.”

Indah sekadar tersenyum sambil tunduk sedikit. Tangan kanannya diletakkan di dada sebelah kiri tanda hormat.

“Okey. So, boleh kita bersahabat?” soal Tengku Adam lagi.

“Boleh. Asalkan persahabatan tu penuh dengan kejujuran dan keikhlasan.” Sebuah lagi senyuman terukir di wajah Indah.

Tengku Adam tersenyum dalam hati.

Nampaknya gadis yang menjadi buah mulut siswa-siswa di sini begitu menjaga maruah diri. Patutlah saham Indah melambung tinggi. Bukan sahaja memiliki rupa paras yang indah, tetapi indah juga budi pekerti. Tengku Adam amat yakin Indah ialah perempuan Melayu terakhir yang layak bertakhta dalam hatinya. Tetapi entah mengapa, dia rasa gentar.

“Kau memang tak suka dipuji, ya?” soal Tengku Adam sambil matanya masih menikam ke anak mata Indah.

“Apa?” soal Indah kurang jelas dengan pertanyaan Tengku Adam.

Sebenarnya fikiran Indah bercelaru. Dia rasa kurang selesa dengan Tengku Adam yang sejak tadi asyik memandangnya. Pandangan Tengku Adam agak berbeza kerana pandangan itu agak serius. Dan riak wajah Tengku Adam masih sama. Tidak beriak. Beku.

“Aku tanya, kau ni memang tak suka bila kena puji ke?” soal Tengku Adam dengan suara yang agak tinggi oktafnya.

“Saya memang tak suka dipuji. Saya takut nanti saya lupa diri pula. Lagipun buat apa nak puji saya? Tak mendatangkan hasil pun. Kalau awak puji untuk dapatkan perhatian saya, maaf… Cara tu tak berkesan.”

Memang betul pun. Indah memang tak suka kalau orang memberi pujian kepada dirinya. Pada pendapatnya, semua manusia di bumi Allah s.w.t ini sempurna. Masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Kau memang cantik. Memang layak dipuji pun.”

“Memanglah ada istilah cantik, jelita, ayu… Tapi itu semua hanya bersifat sementara. Buat saya takut untuk berbangga dan meninggi diri. Saya rasa dugaan paling besar dalam hidup saya adalah rupa paras yang saya miliki ini. Ingat jadi cantik tu senang dan semuanya menyeronokkan ke? Lagipun saya ni bukanlah cantik sangat.”

“Macam ni kau kata tak cantik? Aku rasa satu kolej duk bercerita tentang kau. Siswa-siswa kat sini semua tergila-gilakan kau. Pensyarah bujang kat sini sentiasa menyebut nama kau. Siswi pula bukan main cemburu lagi dengan kau.”

“Banyaknya cerita tentang saya yang awak tahu. Saya pun tak tahu semua cerita tu. Saya ni tetap gadis biasa seperti kebanyakan gadis lain walau ramai yang kata saya bertuah kerana memiliki wajah seindah nama saya. Alhamdulillah. Itu aje ungkapan yang saya boleh luahkan.”

Indah tersenyum sedang hati masih bermonolog sendiri.

“Saya selalu ingat pesan ibu. Kata ibu, pujian yang datang jadikan sebagai peringatan agar diri tidak alpa dan bukan sebagai penambah dosa.”

Tanpa sengaja Tengku Adam akhirnya tersenyum apabila mendengar tutur bicara Indah.

“Anak mak rupanya…”

“Memanglah anak mak. Anak mak… Anak ayah… Adik abang… Kenapa? Ada masalah ke?” soal Indah sedikit gugup melihat senyuman Tengku Adam.

“Takut betul dengan pesanan mak kau tu.”

“Memang takut. Ibu selalu risau jika saya riak dan angkuh dengan apa yang saya miliki. Risau andai saya tersungkur dengan dugaan dan godaan yang cuba menghampiri. Tapi alhamdulillah. Setakat ini saya tidak pernah riak dengan rupa paras saya. Bagi saya, wajah yang indah ini hanya bersifat sementara. Yang paling penting adalah hati dan jiwa yang bersih dan suci. Itulah kecantikan hakiki yang sukar untuk dicari. Bagi saya yang tidak cantik pasti akan terserlah jua kecantikannya apabila kecantikan dalam diri terpancar memberi seri semula jadi,” luah Indah panjang lebar.

Tengku Adam memandang tepat ke arah Indah. Kali ini dengan wajah yang serius seperti kali pertama lelaki itu menegurnya. Indah kalut. Wajahnya sudah memerah.

Hurm. Not bad. Aku ingat kau ni bendul. Rupanya banyak cakap. Boleh tahan juga perasannya.”

Indah mengerutkan kening. Hurm, sakit pula hatinya… Tapi padan muka sebab sendiri cari pasal. Yang membebel bukan-bukan pada si singa ni dah kenapa? soal hati Indah.

“Kalau macam tu aku akan terus dengan cara aku. Kita bersahabat. Tapi kau kena bertahanlah sebab lidah aku ni memang mampu menyakitkan hati sesiapa yang mendengar. Aku yakin kau tak mampu bersabar. Dan dalam sekelip mata, perangai sebenar kau akan terpamer di mata umum. So my beautiful lady… Kau tak nak balik ke?”

Indah memandang wajah Tengku Adam. Pelik. Mamat ni memang pelik. Anak tengku manalah yang tiba-tiba mahu bersahabat dengan dirinya ini?

“Memanglah nak balik. Tapi hujan masih tak berhenti lagi.”

“Bahaya duduk kat sini sorang-sorang. Kau tu dahlah cantik. Tak pasal-pasal ada kes rogol pula kat kolej ni nanti.”

“Eh, mulut… Cuba jangan cakap benda yang tak elok.”

“Aku cakap benda betul apa. Dahlah sejuk. Dengan pakaian kau yang sedikit menjolok mata tu memang mampu membuka nafsu mana-mana lelaki.”

“Saya pakai baju kurunglah, awak… Apa yang menjolok mata pula?” soal Indah geram.

“Memanglah pakai baju kurung. Tapi kau tu tadi duk main air hujan sampai lupa yang tempias hujan tu dah buat baju kau basah. Nama aje berteduh di susur gajah. Tapi baju basah. Kau tahu tak susuk tubuh kau tu dah macam nak menggoda aku? Nah, pakai ni,” arah Tengku Adam sambil melemparkan jaketnya ke muka Indah.

Bengang betul Indah dengan perlakuan Tengku Adam. Benci pun ya. Tapi dia tak tahu kenapa hatinya rasa ingin menjadi sahabat Tengku Adam. Akhirnya, dia menyarung jaket milik Tengku Adam dengan wajah yang kelat.

Indah baring di dalam bilik hostelnya. Entah mengapa, begitu mudah dia menerima pelawaan Tengku Adam untuk menghantarnya pulang ke kolej kediaman. Pada pandangannya, Tengku Adam seorang lelaki yang boleh dipercayai. Cuma bahasanya kadangkala agak sinis dan menyakitkan hati. Walaupun baru berkenalan, Tengku Adam mampu mengusik jiwanya dengan sikap prihatin  dalam menjaga maruahnya.

Seronoknya kalau ada soulmate. Tapi mana boleh berikan hati kepada orang sesuka hati, omel Indah dalam hati.

Telefon bimbit Indah berbunyi. Nama Tengku Adam Iskandar tertera di skrin.

“Assalamualaikum, Indah.”

Waalaikumussalam. Yes, Tengku Adam Iskandar. How can I help you?”

Tengku Adam Iskandar tersenyum.

“Boleh kau cerita sikit tentang diri kau?” soal Tengku Adam serius.

“Amboi… Awak call saya ni semata-mata untuk tanya tentang tu aje ke?” soal Indah pula. Kemudian dia dengar dengusan keras Tengku Adam. Marahlah tu…

“Okeylah. Saya ni anak bongsu dan anak perempuan tunggal dalam keluarga. Saya masih bergelar mahasiswi. Saya belum bersuami. Saya juga masih belum mempunyai kekasih hati. Yalah, tak ada buah hati takkanlah boleh bersuami. Tapi untuk pengetahuan awak, saya bukan perempuan Melayu terakhir yang jodohnya ditentukan oleh keluarga.”

“Tapi kalau itu yang terjadi, bagaimana?” soal Tengku Adam pula.

“Saya tak mahu fikir tentang itu lagi. Cuma saya harap perkara macam tu tidak akan berlaku dalam hidup saya.”

“Awak dah ada girlfriend, Tengku Adam?” soal Indah dengan tawa kecilnya.

“Kenapa? Kau ada hati ke nak jadi girlfriend aku?” soal Tengku Adam menduga.

Indah terkedu. Memang salah dirinya yang gatal sangat bertanya bukan-bukan. Kebanyakan rakan-rakannya sudah mempunyai kekasih hati. Dan ini bermakna kebanyakan mereka pasti sedang hangat bercinta. Kadang-kadang dia terfikir juga untuk mencuba mencintai seseorang. Dia cuba untuk meletakkan satu wajah yang dia rasakan sesuai untuknya. Mungkin daripada kalangan peminat-peminatnya.

Hmmm, bukan peminat yang jujur pun. Ramai antara mereka yang hanya meminati wajah cantiknya. Mereka mencintainya kerana rupa paras yang dia ada. Agaknya kalau dalam sekelip mata kecantikannya Tuhan tarik balik, dia pasti ramai yang melupakan dirinya. Makanya itu bukan cinta sejati. Jadi? Boleh blah. Tapi kadangkala dia tidaklah terlalu berkeras.

“Hai, dah bisu pula ke? Baru tanya macam tu dah terdiam. Belum propose untuk jadi isteri lagi tu.” Tengku Adam Iskandar cuba mengusik.

“Awak ni mengarut aje.”

“Kau pernah frust ke? Susah benar aku dengar lelaki nak tackle kau. Macam ada sejarah hitam dengan lelaki. Mana tahu kan, kalau kau pernah dikecewakan.”

Indah tergelak mendengar bait-bait kata yang keluar dari mulut Tengku Adam.

“Helo… Saya tak pernah frust menonggeng atau tertonggeng. Tak pernah putus cinta macam mana nak kecewa? Tak pernah bercinta macam mana nak putus cinta? Hanya hati saya ni tak boleh mencintai mana-mana lelaki.”

Uish, kau ini songsang ke? Sukakan perempuan?”

“Hei, bukan!!! Astaghfirullah… Saya bukan lesbian! Simpang malaikat empat puluh empat. Begitu cantik kejadian lelaki dan perempuan yang sememangnya diwujudkan untuk satu sama lain. Ke situ pula otak awak tu menghala. Hubungan sesama jenis adalah haram. Terlalu jauh awak menilai saya.”

“Aku bertanya, bukan menuduh.”

“Saya masih single sebab saya masih belum bertemu putera raja yang mampu membuatkan saya jatuh cinta. Saya masih sendiri kerana belum ada lagi putera raja yang berjaya mencuri hati saya. Lagipun hati tak boleh dipaksa. Hati tak boleh tergesa-gesa mencari cinta. Bagi saya, manusia tidak mencari cinta tapi cinta mencari manusia. Bila hati sudah memberi tanda, maka barulah ada usaha untuk mengejar cinta. Itu pendapat saya. Pendapat Nur Indah binti Fansyori. Pendapat seorang gadis remaja yang mengimpikan seorang putera raja terbaik dan sempurna di matanya.”

“Cerewet juga kau ni. Padan pun kalau tak ada boyfriend…”

“Memang saya cerewet dalam memilih putera hati saya. Memilih? Memang saya memilih dalam mendapatkan lelaki terbaik untuk dijadikan suami. Siapa yang tak cerewet? Mana boleh main tangkap muat aje. Awak pun cerewet juga kan Tengku Adam?” balas Indah dengan gelak tawa.

“Kau tak teringin ke nak bercinta?”

“Entahlah. Cuma pada saya, kalau cinta itu datang kita tak boleh main terima aje walaupun yang datang tu sempurna pada mata semua orang. Saya tahu. Ramai gadis yang sebaya saya tidak sependapat dengan saya. Malahan ada gadis sebaya saya yang berkali-kali putus cinta dan bercinta. Cinta itu bagi mereka adalah satu keperluan asas yang mampu menguatkan semangat mereka.”

“Betul. Malahan kau tahu tak mereka rasa sepi dan tidak seronok hidup tanpa cinta. Hidup tanpa cinta menjadikan mereka tidak berdaya. Mereka memerlukan seorang lelaki sebagai kekasih hati yang mampu menjadi sumber inspirasi. They feel lonely without a boyfriend… They feel crazy without a girlfiriend.

Tengku Adam tergelak sendiri apabila memikirkan kembali ayat-ayat yang keluar dari mulutnya.

Cet poorah… Kembang tekak Indah mendengar ayat tersebut.

“Apapun bukan ke dah jadi fitrah manusia untuk hidup saling melengkapi dan menyayangi? Bak kata Jamal Abdillah dan Siti Sarah. Sayang-menyayang. Cinta dikenang. Perasaan menjadi rindu. Apapun ada juga yang bercinta kerana mereka sudah bertemu dengan jejaka idaman. Mereka bercinta kerana sudah sampai masanya untuk bercinta. Mereka sudah menemui jejaka idaman yang terbaik untuk mereka dalam masa yang singkat. Itulah qadak dan qadar Tuhan untuk mereka. Sudah sampai jodoh. Sudah sampai seru. Tetapi tidak termasuk saya. Saya hanyalah gadis moden yang percaya pada diri dan yakin pada hati. Yang pasti jodoh saya belum datang lagi. Buat masa ini, saya tidak mahu mencari.”

“Tak perlu kau cari. Aku kan ada. Betul tak Indah?” soal Tengku Adam dalam tawanya.

“Hahaha. Tak lawak, okey… Dahlah, saya nak buat assignment. Awak tak apalah budak semester akhir. Genius pula tu.”

“Pandai mengelak. Okeylah. Aku pun ada kerja nak buat ni. By the way, kau tak payahlah nak puji aku ni genius. Kau tu pun sama aje geniusnya. Cuma tak daftar program perubatan sahaja. Hah, after this make sure kau buat assignment. Bukan berkhayal tentang aku pula,” usik Tengku Adam lagi. Kali ini dengan tawa sinisnya.

“Tak ada masa saya nak khayalkan awak. Okey.”

Talian dimatikan.

Indah kembali bermonolog sendiri. Sememangnya dia cuba mencari yang terbaik untuk dirinya. Dia pernah cuba menilai mana-mana lelaki yang hadir dalam hidupnya. Tidak semua lelaki seperti yang dia katakan sebelum ini. Ada yang baik.

Malahan ada yang terlalu baik. Tapi dia tetap tidak mampu mencintai mereka. Sebaliknya dia hanya menjadi sahabat mereka. Dari situ dia dapat mengenali mereka dengan baik. Masalahnya tetap sama. Pintu hatinya tetap tertutup rapat.

Wajah Tengku Adam yang tanpa riak itu menggamit dalam ingatan Indah. Dah kenapa muka mamat ni pula yang datang? Gila!

Tapi Indah akur bahawa Tengku Adam ada aura positif yang membuat jiwanya rasa selamat. Senyuman terukir di wajah Indah. Cantik. Dia memang seorang yang cantik! Tiba-tiba dia terdengar suara Anita menjerit memanggil namanya.

“Indah… Indah…”

Kedengaran suara Anita yang masih lagi memanggil-manggil nama Indah.

“Indah! Indah!” jerit Anita.

Indah terperanjat.

Punah segala hasratnya untuk terus bermonolog. Punah segala khayalannya dalam berbicara soal hati dan perasaan. Wajah Anita dipandang geram. Namun tidaklah kemarahan itu sampai ke hati.

Sebaik terpandang wajah sejuk Anita yang sudah diangkat menjadi sahabat sejatinya, serta-merta kemarahannya reda sendiri. Anita masih termengah-mengah sewaktu sampai di bilik hostel mereka.

“Kau kenapa Nita? Macam kena rasuk aje. Tak pun kena sawan,” usik Indah sambil melemparkan senyuman kepada Anita.

“Suria…”

“Kenapa dengan Suria?” soal Indah sambil mengerutkan dahi.

“Suria putus cinta lagi. Sekarang tengah menangis dekat tepi koridor.”

Indah terperanjat. Apalah nak jadi dengan gadis cengeng tu? Dia menggeleng.

“Biarlah dia tenteramkan jiwanya dulu. Lagipun kau bukan tak pernah lihat dia macam tu. Pilih pakwe macam pilih baju dalam rak sendiri. Main sauk aje mana yang datang. Si Taufik tu mesti dah tunjuk rupa sebenar. Tidak pun lupa cover line sampai tembelang pecah,” luah Indah sambil memandang Anita.

Indah menarik nafas panjang. Anita pula sudah mampu untuk bernafas dengan teratur. Dahinya berkerut. Mungkin masih memikirkan tentang masalah Suria.

“Betul apa yang kau sangka. Taufik tu kaki perempuan keliling pinggang. Suria baru dapat tau. Mereka putus sebab Suria rasa dirinya ditipu. Jadi suria minta putus.”

Huh, Taufik… Sepatutnya lelaki itu diberikan gelaran raja kasanova kampus. Buaya darat. Buaya tembaga. Harimau jadian. Indah senyum sumbing dalam hati. Teruk benar mengutuk Taufik. Mengutuk dalam hati pun berdosa juga. Isy… Isy…

“Kau rasa kenapa dia menangis?” soal Indah.

Anita gelak. Sesaat, terasa Indah seakan-akan mahu bercanda dengannya.

“Kau ni buat lawak pula. Jomlah, kita teman dia. Kau bagi sikit kata-kata semangat untuk dia.”

Indah pula tergelak.

“Nita, aku bukan doktor cinta. Aku budak business dan bukan ambil psikologi untuk jadi motivator. Lagipun kau bukan tak tahu perangai si Suria tu. Nangis kejap aje. Seminggu dua dapatlah pengganti baru. Bagi nasihat bukan dia nak dengar. Dia sendiri kata yang dia tak boleh hidup tanpa ada lelaki yang mencintai dia.”

Indah serba salah.

Memang kasihan pada sahabat yang seorang ini. Tetapi Suria keras kepala dan tidak makan nasihat. Sudah banyak kali Suria terkena dengan lelaki penipu. Tetapi Suria masih tidak mahu serik. Kadang-kadang Indah sendiri rasa takut melihat cara Suria bercinta. Suria terlalu mudah mempercayai lelaki.

“Betul juga kata kau, Indah. Bukan tak pernah terjadi dalam sejarah bila Suria putus cinta. Bukan sekali dua. Dah lebih lima kali dalam setahun kita belajar kat sini. Tak pernah serik. Malahan dulu Suria pernah buat perangai telan sepapan Panadol kerana putus cinta. Tapi aku tengok tadi dia okey,” kata Anita sambil matanya masih memandang wajah Indah.

Astaghfirullahalazim

Indah menggeleng. Sikap Suria dulu begitu membangkitkan kemarahannya. Nasib baik Suria tak mati waktu itu. Kalau mati alamatnya terus jadi penghuni neraka.

Sia-sia sahaja semua amalan baik selama ini. Sesungguhnya Suria memang seorang yang baik tetapi kerana lelaki, boleh terputus fius otaknya untuk memilih antara baik dan buruk tindakannya itu. Huh, nasib baik insaf.

“Mana tak okeynya si Suria tu. Bukan ke tadi kau kata kali ini dia sendiri yang minta putus? Bukan lelaki tu yang tolak dia. Yang dia cuba telan Panadol sepapan dulu tu sebab si lelaki yang minta putus. Lelaki macho idaman ramai perempuan di kampus. Pengerusi jawatankuasa perwakilan pelajar lagi. Mahu tak tertonggeng…”

Daun pintu dikuak.

Ops, Indah dan Anita kelu seketika. Suria menonong masuk ke bilik dengan muka masamnya. Senyuman yang tidak ikhlas dilemparkan kepada mereka berdua. Maklumlah, orang tengah putus cinta. Indah dan Anita faham.

Korang mengumpat aku erk?”

Indah dan Anita berpandangan. Kotak suara mereka ibarat terlekat mikrofon pula. Mereka sekejap mengangguk dan sekejap menggeleng. Aduh… Kantoi sudah!!!

“Yalah tu. Tak apalah, aku dah maafkan pun,” jawab Suria yang seakan-akan memahami bicara hati dan luahan fikiran kedua-dua sahabatnya itu.

“Kau dah okey?” soal Anita.

“Aku okey. Lagipun bukan dia sorang mamat handsome kat kampus ini. Malam ini aku keluar dating…”

“Dating?” soal Indah terperanjat besar.

Anita dan Indah saling berpandangan. Huh, memang air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Tenang Suria pula rupanya sudah ada penggantinya. Ah, sukar sungguh menyelami hati dan minda Suria. Pelik pula apabila melihat Suria senyum meleret.

“Dengan presiden persatuan silat cekak kampus ni…” jawab Suria tenang.

“Gasak kaulah, Suria,” kata mereka serentak.

Indah memandang Suria.

“Tapi ingat Sue, Luthfi tu budak baik. Ulat buku. Alim. Jangan kau mainkan perasaan dia pula. Kawan aje dulu. Kenal hati budi. Pastikan serasi atau tidak. Nanti tak serasi kau minta putus. Budak tu pula yang merana nanti.”

Suria senyum.

“Aku tahulah. Kau ni Indah… Kuat berkhutbah.”

“Cik Suria… Yang berkhutbah tu lelaki. Tak payah kau ambil hati aku. Cakap aje aku berleter dekat kau,” luah Indah.

Suria memeluk Indah.

“Apapun aku sayang kau dan Anita. Korang berdua merupakan sahabat aku yang terbaik. Nasib baiklah sahabat-sahabat aku ni tetap setia menjadi sahabat aku.”

Anita menghampiri Indah dan Suria. Akhirnya mereka bertiga turut sama menangis. Tapi tidaklah terlalu tragis. Namun inilah yang dinamakan friendship forever

Suria berlari-lari anak mendapatkan Indah. Sekeping sampul surat dihulurkan kepada Indah dengan nafas yang tercungap-cungap. Sebenarnya dia tidak sabar untuk mengetahui siapa si pengirim misteri yang menghantar surat kepada Indah tanpa ada cop setem rasmi. Surat layang lagi… Pasti lepas ini ada telenovela free yang bakal dia dan Anita tonton.

“Indah, ada surat untuk kau?”

“Mana kau dapat?” soal Indah yang masih leka dengan laptopnya.

Erm, tadi ada terselit kat depan cermin kereta aku tu.”

Indah memandang Suria tidak berkelip sambil melepaskan satu keluhan.

Yang pasti, begitulah penerimaan Indah setiap kali menerima surat tanpa cop setem berdaftar. Nama surat tersebut adalah surat tidak rasmi atau S.U.R.A.T. L.A.Y.A.N.G.

Kalau surat rasmi yang memberitahu bahawa dia telah memenangi mana-mana peraduan atau pertandingan yang menawarkan hadiah wang ringgit atau kereta sport atau sebuah banglo mewah itu tak apalah juga. Setidak-tidaknya dapat juga membuat hati Indah menjadi girang. Ini surat layang yang terkandung kata-kata pujangga. Buat serabut otak sahaja.

Tanpa berfikir panjang, Indah membuang sampul surat berwarna pink tersebut. Isi suratnya langsung tidak dibaca. Malahan sampul surat tersebut masih belum dibuka. Dia langsung tidak mengambil kisah tentang siapa penulisnya.

“Tak baik betullah kau ni, Indah. Penat-penat orang tu karang surat, boleh kau buang macam tu aje. Kalau ya pun kau tak suka, cubalah baca sepintas lalu,” nasihat Suria sambil memandang Indah yang sudah kembali memandang skrin laptopnya. Hati Indah memang keras macam batu.

“Kalau kau kesian sangat, apa kata kau aje yang baca?”

Hmmm, bagus juga idea tu. Apa kata nanti aku tolong balaskan surat tu?”

Indah membaling pen yang digenggamnya.

“Aduh, garang betullah minah ni!”

“Dah tahu garang, kau jangan buat perangai. Sengaja cari pasal. Aku rasa kau tak payahlah nak buat kerja bodoh baca surat tu. Banyak lagi kerja lain yang boleh kau buat. Contohnya siapkan assignment yang berlambak. Susah-susah aje kau nak buat kerja lebih. Erm, tak ada gaji pula tu. Tak payahlah, Cik Suria woi…”

Suria tersenyum lagi. Pada mulanya, hati Suria terdetik juga mahu membaca isi kandungan surat tersebut. Namun dia telah mematikan hajatnya. Apatah lagi setelah melihat hati Indah langsung tidak terusik. Mungkin Indah belum bertemu buku dengan ruas.

Siapalah agaknya yang mampu mengusik jiwa Indah? Ingin sekali Suria melihat Indah menikmati cinta bersama lelaki idamannya. Mesti hati Indah nanti penuh dengan taman. Penuh dengan bunga-bunga api yang memercik indah di dada langit. Bagaimana agaknya penerimaan Indah nanti?

“Eh, Indah. Kau tak teringin ke nak bercinta macam gadis normal yang lain?”

“Sopannya kau bertanya. Macamlah aku ni tak siuman sangat. Siap kau…”

Indah sudah menghampiri Suria. Tangan kanannya dengan pantas mengunci kedua-dua tangan Suria dan tangan kirinya pula menggeletek pinggang Suria. Bergegar-gegar ketawa Suria. Anita yang baru keluar dari bilik air turut ketawa sakan melihat tingkah kedua-dua sahabatnya itu. Hah, padan muka. Tak sia-sia Indah belajar ilmu silat cekak. Tak terdaya Suria untuk melepaskan genggaman tangan Indah.

“Weh, dahlah. Aku mengaku kalah ni. Nak terputus dah urat ketawa aku. Ini urat kentut aku pula yang nak putus. Karang seminggu korang puasa sebab terbau-bau haruman semula jadi aku ni…”

Indah pantas melepaskan Suria dari genggamannya. Kemudian dia memandang tajam wajah Suria yang sudah tersengih-sengih macam kerang busuk itu. Anita sudah menutup hidung dan mulut dengan kedua-dua tangannya.

“Kau ni tak senonoh betul tau. Orang bagi amaran dulu sebelum buat apa-apa tindakan… Bukan bagi amaran sedang tindakan sudah mendahului. Kalau Luthfi bau ni gerenti cancel jadi bini,” usik Indah. Berkerut wajahnya menahan geram dengan perbuatan Suria yang membuang angin sesuka hati.

Sorrylah. Tak sengaja,” balas Suria sambil tersengih.

Anita masih di jendela untuk menghirup udara segar dari luar. Hampir terkeluar isi perutnya dek bau kentut Suria. Indah pula sudah meningkatkan had laju kipas siling bilik mereka ke tahap maksimum. Dah macam bunyi helikopter mendarat pula. Indah memandang siling. Risau pula dengar bunyi kuat yang datangnya dari kipas tersebut. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Akhirnya, mereka sama-sama ketawa.

“Sakan korang bergurau. Kenapa?” soal Anita.

“Indah ni yang tak pasal-pasal naik hantu. Sakit tangan aku kena cengkam dengan dia. Tahulah ada ilmu persilatan tapi janganlah praktikkan kat aku yang kosong ilmu mempertahankan diri ni,” gerutu Suria sambil menjuihkan bibir.

“Apa aku pula? Kau tu yang mula dulu. Mulut spesies cengkerik halus.”

Suria memandang Indah.

“Cengkerik halus? Ada eh? Kalau cengkerik tu aku pernah dengarlah.”

Erm, bendul betullah kau ni. Yang halus tu Indah maksudkan kaulah…” jawab Anita pantas.

“Teruk betullah kau ni, Indah. Dalam diam sempat kenakan aku lagi,” kata Suria.

Pantas tangan Suria membaling sebuah bantal ke arah Indah. Indah hanya sekadar tersengih. Tiba-tiba Anita terpandang sampul surat berwarna pink yang berada di dalam bakul sampah. Pantas tangannya mencapai sampul surat yang masih belum dibuka itu. Indah sudah buat muka selamba. Suria pula sudah tersengih memandang Anita.

Hmmm, mesti ini puncanya,” duga Anita.

Anita pantas mengoyak sampul surat tersebut lalu mengeluarkan isinya. Suria pula sudah duduk di sebelah Anita. Memang lagaknya macam minah kepoh.

Indah buat muka selamba. Hatinya tidak langsung berminat untuk mengetahui isi kandungan surat tersebut. Dah tahu apa yang nak disampaikan oleh si pengirim tu. Daripada menyemakkan otak dengan ayat bunga-bunga si pengirim tu, lebih baik dia baca majalah APO atau GILA-GILA. Ada juga faedahnya.

“Kau tahu siapa yang bagi surat ni?” soal Anita perlahan.

Indah sekadar menggeleng.

Mr. X. Eh, Nita. Tapi aku rasa macam kenal aje tulisan ni,” kata Suria pula.

Anita mengangguk. Suria sudah menekup mulutnya. Indah pula memandang kedua-dua sahabatnya sambil mengerutkan dahi. Dia rasa tidak sedap hati. Bimbang tentang satu perkara yang menjadi rahsianya selama ini. Ah, apakah surat ini ditulis oleh…

Pantas Indah merampas surat di tangan Anita.Matanya membaca baris-baris ayat surat tersebut. Erm, memang indah bahasa yang digunakan oleh si pengirim. Dia melihat tandatangan si pengirim. Terbeliak matanya melihat ejaan nama si pengirim. Berani betul! Anita dan Suria sudah tergelak.

“Oh, pandai kau sembunyikan fakta dari kami berdua, ya? Sejak bila?” soal Anita sambil mengangkat kedua-dua keningnya.

Indah diam.

“Dalam diam ada hubungan sulit dengan pensyarah sendiri, ya? Patutlah reject semua mamat yang proposed dia. Rupanya dah dapat gading bertuah,” usik Suria pula.

Indah mencubit lengan Suria.

“Sakitlah Indah…”

“Tahu pun sakit. Yang aku ni sakit kat dalam hati kau boleh buat tak tahu. Suara tu boleh buat lembu dalam kandang pun terjaga tahu? Kau nak buat announcement ke apa?” bidas Indah.

“Kau nak suruh aku announce ke?” soal Suria sambil tersengih.

“Aku dan Sir Rizal tak ada hubungan apa-apa,” kata Indah dengan tegasnya.

“Tak ada hubungan apa-apa tu sama maksudnya dengan belum ada hubungan apa-apa ke?” soal Suria pula.

Suria mahu tersenyum tapi dia kembali mempamerkan wajah selamba apabila Indah beriak marah. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Inikan pula hati Indah dengan ekspresi wajah sebegitu.

Anita sudah dapat mengagak Indah sudah memberi noktah pada harapan dan impian Sir Rizal.

“Kenapa kau tak mahu terima dia, Indah? Aku rasa dia lelaki Melayu terakhir yang memang padan dengan kau. Sampai bila kau nak hidup tanpa cinta? Sampai bila kau nak menidakkan rasa cinta tu? Apa alasan kau kali ini sehingga menolak seorang lelaki yang pada aku sempurna untuk dijadikan suami?” soal Anita lagi.

“Aku tak tahu nak bagi alasan apa? Lagipun kita muda lagi. Tapi soalan kau buat aku rasa bersalah pada Sir Rizal. Tapi aku tak mahu melakukan kesalahan menerima cinta Sir Rizal sedangkan hati aku tidak mencintainya.”

“Cinta yang bagaimana yang kau cari, Indah? Aku pelik betul dengan kau ini,” soal Suria pula.

“Aku mahu mencari cinta sejati. Cinta pertama yang kekal hingga ke mati. Aku mencari cinta yang hadirnya menggetarkan jiwa. Walau tanpa bicara namun mampu mendebarkan rasa. Aku mencari lelaki yang cintanya mampu menembusi benteng hati. Yang hadir ibarat mimpi namun memberi kesan hingga ke dasar hati. Aku menanti cinta yang magisnya hanya aku yang merasa. Sehingga rindu padanya membuat aku bermimpi di siang hari. Yang aku impikan adalah seorang lelaki yang mampu menjadi imam dan memimpin aku ke syurga Ilahi.”

Anita dan Suria melopong memandang Indah. Jawapan yang tidak pernah mereka sangka akan keluar dari mulut Indah. Indah tersenyum.

“Tutuplah mulut korang tu. Aku tahulah madah aku tu dah buat korang kaku. Apapun pasal surat ni, biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Lagipun aku tak mahu Sir Rizal kesayangan korang tu dapat malu besar pula. Sudahlah melanggar etika sebab mencintai pelajar sendiri. Lepas tu menanggung malu pula kerana cintanya ditolak oleh pelajar sendiri. Mahu nanti dia berhenti 24 jam tanpa notis pula. Kita juga yang susah nanti.”

Serentak itu, Anita dan Suria menekup mulut dengan kedua-dua belah tangan. Indah ketawa melihat tingkah kedua-dua sahabatnya. Dah macam kena sampuk pun ada. Baru dia cakap dua tiga ayat tentang cinta. Belum dia karang bahasa bunga-bunga lagi. Hmmm, kalau dia benar-benar sudah jatuh cinta, mahu hilang nafas agaknya mereka berdua. Indah tersenyum geli hati.

Petang itu, di kafetaria kampus…

 

Indah leka dengan laptopnya. Suasana yang bingit di sekelilingnya langsung tidak mengganggu konsentrasinya.

“Bila kau nak bagi balik jaket mahal aku tu? Seminggu aku tunggu kau pulangkan. Jaket tu, jaket kesayangan aku tau. Kalau jaket tu kau tak pulangkan balik, nanti aku ambil sendiri kat kolej kediaman kau. Sekali dengan hati kau, aku akan bawa lari…”

Indah mengerutkan wajah. Dia tersenyum. Hilang konsentrasinya dengan kehadiran si empunya suara itu. Laptop di hadapan matanya ditutup. Dia memandang Tengku Adam dengan sebuah senyuman.

“Maaflah. Saya tak tahu mana nak cari awak. Kampus ni besar. Walaupun gaya awak macam semua orang kenal awak, tapi saya tak sanggup nak tanya orang di mana saya boleh cari Tengku Adam Iskandar Tengku Raden Putra. Nanti makin glamourlah saya dengan gosip murahan saya dengan awak. Saya tak suka.”

Tengku Adam tergelak apabila mendengar sindiran Indah.

“Kau ni memang selalu berusaha untuk buat aku tersenyum, kan? Good try. I like your word. Menakjubkan sebab kau dah boleh ikut rentak aku. Aku rasa kau ada nombor aku, kan? Zaman sekarang banyak teknologi canggih. Itupun tak boleh nak fikir. Atau kau ni malu nak call aku? Nak suruh aku call kau lagi? Macam hari ini, aku yang datang cari kau dulu. Macam tu? Berlagaknya kau. Nasib baik kau ni cantiklah juga…”

Indah menggeleng. Dia mencapai beg sandang lalu mengeluarkan jaket Tengku Adam. Kemudian dia menghulurkan jaket tersebut kepada lelaki itu.

Wow, aku tak sangka kau usung jaket aku tu ke mana kau pergi. Interesting. Boleh tak hari ini aku nak usung kau pergi high tea? Aku belanja sebab kau dah jaga jaket aku ini dengan baik. Boleh?” soal Tengku Adam. Kemudian dengan selamba dia menarik beg sandang Indah.

Indah blur.

“Apa lagi kau termenung tu? Kau nak aku dukung pula ke?” soal Tengku Adam dengan nyaring.

Kelam-kabut Indah mencapai buku-buku yang bertaburan di mejanya. Sengal betul Tengku Adam ini. Suka hati dia aje, bebel Indah dalam hati.

“Dah berapa lama kau couple dengan Sir Rizal? High taste… I’m shocked.

Indah meletakkan sudu dan garpu di tepi pinggan. Kemudian dia mencapai air tembikai lalu disedut perlahan. Seboleh mungkin dia cuba berlagak selamba.

“Tak payahlah kau nak cover line. Semua tentang kau aku tahu. Kau ingat mudah aku nak rapat dan jadi sahabat mana-mana perempuan? Macam kau juga, aku tahu bukan senang nak jadi sahabat kau.”

Indah tersenyum melirik.

“Jadi awak nak bagi tahu saya yang awak dah selidik latar belakang saya sebelum awak hulurkan persahabatan ni? Saya tak kisah pun. Lagipun tak ada apa yang nak saya sembunyikan dari awak mahupun sesiapa. Dan untuk pengetahuan awak, Sir Rizal tu tak lebih daripada seorang pensyarah pada saya. Status tu takkan bertukar. Itu yang awak nak tahu, kan? Honestly, saya rasa dalam masa terdekat ni saya tak berminat nak isi kekosongan hati saya dengan mencintai mana-mana lelaki. This is not the right time to talk about love. Lagipun saya tak rasa bangga pun kalau orang sukakan saya. Rimas lagi ada. Jangan cuba nak tunjuk yang awak cemburukan saya. Saya bukan sesiapa pada awak. Hanya…”

“Hanya sahabat. Ya, aku tahu. Jauh betul imaginasi kau. I’m not jealous. Aku cuma terkejut kalau perkara tu benar. Maksudnya, tak adalah istimewa mana pun kau kalau terlalu mudah untuk memiliki hati kau. Bermakna kau ni sama level dengan perempuan lain. Kenapa kau tak terima dia? Dia lelaki sempurna yang hebat. Dan mungkin sepadan dengan kau.”

Indah tersengih sambil memandang tepat ke mata Tengku Adam.

“Saya rimaslah bercakap tentang orang yang saya tak approved walaupun untuk jadi sahabat saya. Jadi boleh tak kita tukar jalan cerita? Saya tak pasti kenapa saya approved awak jadi sahabat saya. Sama ada sebab saya suka awak atau sebab saya tahu awak suka saya. Walaupun dengan sikap berlagak awak tu, saya tahu awak suka saya, kan? Awak cuba guna cara yang berbeza untuk dekat dengan saya. Entah-entah sebelum ini awak dah buat research tentang saya. Awak tak takut ke andai nanti awak terluka? Saya memang pakar dalam mematahkan hati lelaki.”

Indah masih menjatuhkan pandangannya ke wajah Tengku Adam. Lelaki itu masih selamba. Kali ini dia perasan Tengku Adam agak lama mengukir senyuman. Baru nampak macam lelaki normal. Kalau tak muka macam Hitler aje.

“Kalau kau pakar dalam mematahkan hati lelaki, aku tak kisah. Sebab aku doktor. Mungkin kau tak tahu yang aku ni doktor pakar sakit jiwa. Dengan mudah aku boleh baca apa yang ada dalam fikiran kau. Kau tak takut ke kalau aku boleh tawan hati kau?”

Mata mereka bertentang. Malangnya Indah tidak merasa apa-apa dalam hatinya.

We will see, Doktor Tengku Adam Iskandar. Que sera sera. Whatever will be, will be. The future’s not ours, to see,” luah Indah sambil tersenyum memandang Tengku Adam Iskandar.

Wow, not bad. Dah lama aku tak dengar lirik lagu Doris Day tu. Lagu kegemaran aku tu. Tak sangka kau hafal lirik dia. Well, Indah. Just go with the flow. Whatever it is, I will always be with you. As your good friend forever. I will proposed you to be my soul mate if I know that your heart is mine. Okey, jom kita habiskan makanan ni dan aku hantar kau pulang.”

Indah tersenyum manis.

Tengku Adam Iskandar juga tersenyum.

Kehadiran Indah sedikit sebanyak membuat jiwa Tengku Adam rasa tenang. Cintakah dia pada Indah? Dia amat yakin dia mampu menawan hati Indah jika dia mahu. Tapi rasanya tidak adil untuk dia bertindak terlalu awal sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang dia cari dalam hidupnya. Yang pasti, dia amat selesa dengan Indah. Gadis di hadapannya ini memang berbeza dengan gadis-gadis yang dia kenal sebelum ini. Umpama bidadari syurga yang turun ke bumi. Indah gadis baik. Dia tidak akan membenarkan sesiapapun cuba untuk melukakan hati Indah. Termasuk dirinya sendiri. Itu janjinya kepada Indah. Janji seorang sahabat.