Mek Siah

RM25.00

Penulis: Izam Nor

Caption: demi sebuah perjanjian kau tak akan aku lepaskan

ISBN: 978-967-406-278-1

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 25.00 RM 28.00

Tiga tahun terlantar sakit dan nazak tetap tidak memutuskan nyawa Mek Siah. Dalam keadaan tubuh yang tinggal tulang, Mek Siah masih mempertahan apa yang dimilikinya. Dia merasakan dirinya masih muda dan kuat. Tidak mahu berpisah dengan apa yang menghuni tubuhnya.

Pada waktu yang sama penyesalan demi penyesalan di atas keterlanjuran waktu silam sering menghantui. Dalam keadaan yang semakin lemah, Mek Siah mahu mencari pewaris untuk pendamping yang sudah sekian lama berkhidmat untuknya.

“Cepatlah sembuh, mak. Hanum tak daya dah. Hanum bukan bencikan mak, tapi keadaan mak selalu buat Hanum tertekan. Mak tak kesiankan Hanum ke?” – HANUM

Tiga tahun juga Hanum menjaga Mek Siah dengan sabar. Biarpun dia hanya seorang menantu, namun dia lebih tahu apa yang ditanggung oleh ibu mentuanya. Baginya, Mek Siah bukan lagi ibu mentuanya. Ada sesuatu yang menghuni jasadnya. Hanum seringkali berhadapan dengan perkara yang pelik dan menyeramkan. Tanpa sedar, dirinya sedang diperhatikan oleh sepasang mata yang tidak kelihatan jasadnya. Darah Hanum yang manis turut menjadi idaman Mek Siah. Antara rela dan paksa, Hanum bersetuju mewarisi apa yang menjadi milik Mek Siah.

 

“Tak boleh tidak, Saad. Esok aku kena ‘kerjakan’ Mek Siah. Entahlah, susah aku nak jelaskan. Tapi aku terbau mayat.” – HAJI LAMIN

Tidak disangka, kisah puluhan tahun yang lalu terpaksa dibongkar. Haji Lamin sabar mencari jawapan bagi setiap persoalan. Dia dapat melihat api dendam dalam diri Mek Siah. Dia melakukan semuanya atas rasa ihsan dan demi mengenangkan persahabatannya dengan suami Mek Siah, Daud. Tekad Haji Lamin, keadaan Mek Siah harus dipulihkan. Tidak mengira sama ada dalam keadaan hidup atau pun mati. Apakah kesudahan kisah hidup Mek Siah? Pasti akan mengejutkan anda!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Seluruh tubuh Hanum terasa sengal. Tenaganya benar-benar dikerah sehingga tulang-temulangnya seperti mahu beralih daripada setiap sendi. Termengah-mengah nafasnya. Untuk memberi sedikit kelegaan, dia berdiri sebentar pada muka pintu bilik air.

Mengheret Mek Siah dari bilik tidur ke bilik air merupakan satu bebanan buat tubuhnya. Apa tidaknya, berat Mek Siah mengalahkan seguni beras. Terlalu berat. Malangnya dia tidak dapat mengelak daripada melakukannya. Apakan daya, ia sudah pun menjadi rutin hariannya.

“Sabar, Hanum… Sabar.” Dipujuk diri sendiri.

Kolam matanya mulai panas. Jika diikutkan kata hati, mahu saja dia menjerit dengan sekuat-kuatnya. Atau mahu menangis semahu-mahunya. Segala perasaan yang menjengkelkan itu tetap terpaksa ditelan. Ada ketikanya kesabarannya mudah melayang.

“Cepatlah sembuh, mak. Hanum tak daya dah. Hanum bukan bencikan mak, tapi keadaan mak selalu buat Hanum tertekan. Mak tak kesiankan Hanum ke?” Bergetar suaranya.

Hanum tahu setiap kata-katanya tidak akan mendapat tindak balas daripada Mek Siah. Hal itu juga membuatnya seperti orang yang kurang waras. Bercakap seorang diri, berleter seorang diri, malahan ada waktunya menangis seorang diri.

“Dah tiga tahun mak macam ni? Mak dah tak ada keinginan ke nak sihat macam dulu?” Dikerlingnya Mek Siah yang tersandar pada dinding bilik air. Ada sebal di sebalik belasnya. Keadaan orang tua itu tetap sama. Mata cengkungnya terpejam rapat seperti biasa.

Tubuh Mek Siah hanya tinggal tulang yang bersalutkan kulit berkedut dan menggeleber. Wajahnya juga sudah terlalu cengkung. Kedua-dua belah mata sedikit terperosok. Hanya rambutnya yang masih hitam lebat. Jika diuraikan panjangnya separas pinggang.

Uwekkk… Aduhhh… Uwekkk… Mak berak lagi, kan?! Berak pun mak dah tak reti nak bagi tahu. Busuknya.” Tiba-tiba hidungnya terhidu bau yang amat busuk. Mual bukan main perut Hanum.

Kelam-kabut dia berlalu meninggalkan bilik air sambil tapak tangan kanannya menekup hidung. Hanum masuk ke bilik tidurnya untuk mengambil minyak angin. Minyak buah pala dilumur pada bawah hidung supaya pernafasannya lebih segar. Mual perutnya juga berkurang.

Sehelai mask penutup hidung diambil dari dalam laci. Tali mask disangkutkan pada kedua-dua belah telinga. Sekali gus dia cuba melupakan bau yang membuatkan tekaknya kembang.

Astaghfirullahalazim.”

Selepas beristighfar panjang, nafas ditarik dalam-dalam. Hanya dengan cara itu saja dapat menghilangkan kejengkelannya. Sebagai manusia biasa dia tidak dapat lari daripada perasaan yang buruk. Apatah lagi dia terpaksa berdepan dengan situasi yang tidak menyenangkan itu pada setiap hari.

Sesudah agak lega, Hanum ke dapur semula. Bau busuk masih ada, tapi taklah sebusuk tadi. Rongga hidungnya agak segar dengan mentol minyak angin. Tiba di hadapan muka pintu, kain batiknya disingsing ke paras lutut.

“Hanum basuh berak mak.” Ditahan-tahan lagi mualnya.

“Apalah nasib Hanum ni. Sejak Hanum jadi menantu mak, dua tiga bulan aje Hanum dapat berbual-bual dengan mak. Hmmm… Selepas mak sakit, mak dah tak nak bercakap. Kadang-kadang aje mak bersuara. Itu pun Hanum tak faham apa yang mak cakap.” Cuma dengan meluah seperti itu Hanum akan berasa lega.

Kepala paip diputar, getah paip diambil lalu dicucur air ke punggung Mek Siah yang tidak mengenakan seurat benang pun. Najisnya dialirkan ke laluan longkang kecil di tepi bilik air. Longkang tertutup itu terus disalurkan ke lubang kumbahan. Zakuan yang membinanya untuk memudahkan Hanum membersihkan najis Mek Siah.

Setelah najis dibersihkan, Hanum membersihkan pula belakang Mek Siah dengan air yang sudah dicampur dengan pembasmi kuman, Dettol. Belakang Mek Siah hampir dipenuhi luka dan kudis. Luka-luka itu membuat bau tubuhnya tidak menyenangkan.

“Mak tengok badan mak ni. Penuh kudis. Hanyir. Mak tak bolehlah asyik tidur aje. Rosak badan mak dah. Mak suka ke macam ni?” Omelan Hanum kedengaran lagi.

Ermmm, penat aje Hanum bercakap sorang-sorang. Nasib baiklah mak bermenantukan Hanum, kalau orang lain tak taulah apa akan jadi,” keluh Hanum. Bukan mahu membangga diri. Sekadar mahu melepaskan tekanan dalam dirinya.

“Hah, barulah ada wanginya sikit mak ni. Tapi itulah, kejap lagi hanyir balik.” Sambil tangannya mencapai sehelai tuala pada besi penyidai di dinding bilik air.

Tuala itu digunakan untuk mengeringkan rambut dan tubuh Mek Siah. Kemudian tuala itu disidai semula. Diambil pula sehelai kain batik lalu disarung dari atas kepala Mek Siah. Ia diikat pada dada orang tua itu agar tidak terlucut.

“Mak tunggu. Hanum nak minum kejap.” Hanum keluar sebentar. Mengambil sebotol air sejuk dari dalam peti sejuk. Dituang ke dalam gelas lalu minum dengan gelojoh.

Entah mengapa, menguruskan Mek Siah begitu memenatkan. Mudah dahaga. Fizikalnya sudah kurang upaya untuk terus melakukannya. Apakan daya, pada siang hari Zakuan terpaksa meninggalkan rumah untuk mencari rezeki.

Segar rengkungnya bila air putih dingin menyelinap masuk. Botol air disimpan kembali ke dalam peti sejuk. Dia mesti membawa Mek Siah keluar dari bilik air.

“Tahan sakit sikit ya, mak? Maafkan Hanum kalau buat badan mak sakit-sakit. Hanum tak larat nak dukung mak.” Dalam rasa terbeban, masih ada rasa kasih kepada ibu mentuanya itu.

Hanum membongkok setara ketinggian Mek Siah yang tersandar. Tubuh orang tua itu ditegakkan sedikit. Kedua-dua belah tangannya dilingkarkan pada dada Mek Siah. Dipaut dengan kejap. Nafas ditarik panjang. Dia hanya berjaya mengangkat sebahagian tubuh ibu mentuanya. Sementara bahagian kaki terpaksa diseret di atas lantai. Dengan lafaz bismillah dalam hati, Hanum cuba bergerak.

“Adoi, kenapa tak boleh ni?” Sayangnya tubuh Mek Siah tidak sama bergerak. Beratnya tidak terkira. Tubuh itu seperti sudah mematikan diri.

“Janganlah macam ni mak. Lembutkan sikit badan mak ni. Hanum mohon, mak. Kesian pada Hanum ni.”

Hanum sudah masak dengan keadaan seperti itu. Setiap kali dia bersungut, Mek Siah seakan-akan merajuk. Dia tahu, biar pun mata ibu mentuanya sentiasa terpejam tapi telinganya masih dapat mendengar. Kadang-kadang Hanum tidak dapat membezakan waktu tidur dan waktu Mek Siah berjaga. Hampir 24 jam ibu mentuanya tidak membuka mata.

“Macam inilah. Bagus.” Hatinya juga terpaksa dilembutkan jika tidak mahu keadaan menjadi lebih kusut.

Dengan sepenuh tenaga dia mengheret Mek Siah keluar dari bilik air. Serta-merta peluh membasahi tubuhnya. Baru beberapa langkah, Hanum terhenti. Mencungap rasanya. Hilang sedikit lelah, diteruskan lagi langkahnya. Beberapa ketika, dia berhenti lagi. Begitulah diulangi untuk beberapa kali.

Lapang dadanya sebaik Mek Siah dibaringkan di atas tilam kecil di ruang tamu. Tilam itu dilapisi sehelai plastik sebelum dialas dengan kain cadar. Hanum tidak mahu nanah daripada luka-luka di belakang tubuh Mek Siah menembusi permukaan tilam.

“Mak tidur tau. Hanum nak keluar kejap. Hanum janji sejam lagi Hanum akan balik.”

Lampin pakai buang dikenakan pada punggung Mek Siah. Selepas itu tubuhnya ditolak perlahan dalam keadaan mengereng. Ubat luka disapu pada setiap luka di belakang tubuh. Sebuah kipas kecil dihalakan ke arah Mek Siah supaya dia berasa segar.

Selesai semuanya, Hanum mengenakan sehelai tudung bawal. Diamati seketika keadaan Mek Siah. Ternyata kelopak mata ibu mentuanya masih terpejam rapat. Apabila sudah berpuas hati, dia pun berlalu. Pintu rumah dirapatkan dan dimangga dari luar. Anak-anak tangga dipijak dengan cepat.

Basikal berwarna biru dikeluarkan dari bawah rumah. Ditunggang dan dikayuh laju. Dia mahu segera sampai ke rumah Zainab, kakak iparnya. Rumah kakak iparnyanya tidaklah sejauh mana. Beberapa minit perjalanan saja.

Basikal dibrek bila sampai di hadapan kedai Pak Saad. Basikal ditongkat. Hanum berlari anak masuk ke kedai untuk mengambil sebotol kecil air mineral. Air mineral diteguk laju. Pak Saad yang melihat, menggeleng tak sudah.

“Apa gelojoh sangat kamu ni? Dah baca bismillah ke?” usik Pak Saad yang sudah biasa dengan Hanum.

Uhukkk…” Usikan tuan punya kedai membuat Hanum tersedak.

“Hesy, Pak Saad ni. Mestilah baca. Hanum nak cepat ni. Mak tinggal sorang-sorang kat rumah tu. Risau pula.” Air mineral yang masih bersisa, diteguk lagi.

Pak Saad geleng lagi bila mendengar penjelasan Hanum. Dia memahami situasi Hanum yang sudah menjaga dan merawat ibu mentuanya sejak tiga tahun yang lalu. Baginya, Hanum seorang anak menantu yang baik.

“Ini duitnya, Pak Saad.” Sekeping kertas berwarna biru dihulur oleh Hanum.

“Simpan ajelah duit kamu tu. Pak Saad belanja,” balas Pak Saad yang menganggap Hanum seperti anaknya sendiri.

“Terima kasih, Pak Saad. Boleh Hanum datang kedai Pak Saad selalu, ada orang belanja,” seloroh Hanum sambil menyimpan semula duit itu ke poket bajunya.

“Hahaha… Pandailah kamu. Hati-hati kayuh basikal tu. Lain kali pakai seluar, boleh kayuh lagi laju.” Dikerling kain batik Hanum yang tersarung kemas.

“Alamak! Sampai lupa nak ganti seluar!” Hanum tepuk dahi. Pak Saad ketawa.

“Hanum minta dirilah. Terima kasih belanja Hanum.” Tidak sempat Pak Saad membalas ucapan terima kasih, Hanum sudah terkocoh-kocoh pergi.

Basikal biru dikayuh lagi. Kayuhannya lebih bertenaga sesudah hilang dahaga. Sesekali hujung kain batik yang dipakai terkibar-kibar ditiup angin. Ia tidak diendahkan oleh Hanum. Dia benar-benar mahu cepat. Dua puluh minit kemudian dia sampai di rumah Zainab.

“Assalamualaikum. Kak long! Oh, kak long! Ada rumah tak ni?!” laung Hanum.

“Ada ni hah! Tengah mengait. Masuklah Hanum. Pintu tak kunci.” Kedengaran sahutan Zainab dari atas rumah. Dia kenal benar suara Hanum yang nyaring.

“Amboi cantiknya! Alas meja ke ni?” puji Hanum sebaik melangkah masuk. Dilihatnya hasil kaitan di tangan Zainab sudah separuh siap.

“Haah, yang ada tu dah nampak kepam. Kalau kamu nak, nanti kak long kaitkan.” Zainab senyum.

“Okey juga tu. Naklah.” Hanum teruja.

“Boleh.”

Ruang tamu senyap bila Zainab terus ralit mengait. Hanum pula membelek-belek hasil kaitan Zainab. Kelihatannya begitu kemas dan cantik. Bukan dia tidak berminat untuk berkraf tangan seperti kakak iparnya, sayangnya dia tidak ada masa untuk itu semua. Rutin hariannya hanya melakukan kerja-kerja rumah dan menguruskan kebajikan Mek Siah.

“Kak long.” Hanum tidak mahu berlengah. Ada sesuatu yang mahu diperkatakan.

“Ya, ada apa?” Suara Hanum yang berubah lirih menarik minat Zainab. Dia yakin ada yang mahu diluahkan oleh adik iparnya itu. Benang dan jarum kait diletakkan di atas meja. Wajah Hanum ditatap tepat.

Hmmm… Boleh tak kak long tolong jagakan mak. Untuk hari ni aje. Hanum macam tak sedap badan. Sakit-sakit semua badan Hanum ni.” Riak wajah Hanum berubah sendu.

“Ini pun tak hilang lagi sengal-sengal selepas heret mak tadi,” sambung Hanum bila Zainab masih tidak memberi jawapan. Kakak iparnya seperti sedang berfikir.

Serba salah dibuatnya. Sebagai anak sulung dalam keluarga, Zainab berasa malu. Dia tidak dapat berbakti kepada Mek Siah seperti apa yang Hanum telah lakukan. Bukan dia tidak mahu menjaga orang tua yang telah mengandung dan melahirkannya, tapi keadaan yang tidak mengizinkan. Joned, suaminya tidak membenarkannya untuk ambil tahu tentang ibunya. Kata Joned, dia tidak mahu bersekongkol dengan syaitan yang menghuni tubuh Mek Siah.

“Kalau kau suap mak makan, tak ubah macam kau bagi setan kat dalam badan dia tu makan! Aku rasa itu bukan mak dah. Kau jangan berani-berani bangkang cakap aku ni. Aku suami kau. Ingat tu!” Terngiang-ngiang di telinga Zainab amaran keras suaminya. Berpeluh dahi Zainab dibuatnya. Pilu menendang-nendang tangkai hatinya.

“Boleh tak, kak long? Hari ni aje. Bolehlah Hanum kumpul balik tenaga Hanum ni. Hari ni memang rasa tak daya sangat badan Hanum.” Hanum mahukan kepastian. Separuh merayu.

Errr… Macam mana, ya?” Zainab menekup muka. Terasa hendak menangis. Hanum pula sabar menanti jawapan.

“Kak long…” Hanum masih mengharap.

“Ba… Baik. Tapi kak long kena balik sebelum abang long kamu balik kerja. Kalau tidak, teruk kak long kena nanti.” Kasihan pula bila mengenangkan Hanum yang tidak pernah cukup rehat.

“Okey, kak long. Hanum faham. Jomlah. Tak sedap hati tinggalkan mak lama-lama,” ajak Hanum.

“Jom.” Zainab bangkit diikuti Hanum. Hanum terus keluar, sementara Zainab menutup semua daun tingkap terlebih dahulu.

Daun pintu dikuak. Hanum dan Zainab melangkah masuk. Sebaik tiba di ruang tamu, tidak kelihatan lagi Mek Siah. Tilam kecil tidak berorang. Lemah sendi Hanum sebaik melihat situasi itu. Zainab pula tenang-tenang saja. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Hanum tidak habis fikir bagaimana Mek Siah yang tidak mampu menggerakkan tubuh dapat berpindah tempat begitu saja. Sungguh tidak masuk akal. Perasaan tidak sedap hati cepat-cepat disembunyikan. Tidak mahu Zainab menghidunya.

“Mana mak?” soalnya. Pertanyaan itu membuatkan Hanum hanya mampu mengesat peluh yang merenik di dahi.

Punggungnya terhenyak di atas kerusi berhampiran dia berdiri. Dahi yang berpeluh dipicit-picit perlahan. Pusing tiba-tiba. Zainab kehairanan melihat Hanum yang dalam keadaan gusar. Bola mata Zainab melingas ke sekeliling ruang rumah. Ruangan nampak kemas dan teratur. Tidak dapat dibayangkan bagaimana Hanum mampu mengurus kesemuanya dengan baik.

“Kak long nak tengok mak.” Zainab berlalu menuju ke arah bilik Mek Siah.

“Kunci dari dalam, kak long.” Hanum bersuara lemah.

“Hah?! Kunci dari dalam?” Zainab garu kepala. Berdiri tegak di situ. Sekejap memandang Hanum, sekejap lagi menoleh memandang pintu bilik Mek Siah. Kali ini Zainab pula bingung.

“Mak dah boleh gerak ke?” tanya Zainab sambil berpatah balik menghampiri Hanum. Hanum hanya mampu menggeleng perlahan.

“Habis tu?” Zainab kebingungan.

Hanum meletakkan kedua-dua tangan di atas kepala yang mulai berdenyut. Jari-jari disilang antara satu sama lain, lalu kepala ditekan-tekan dengan telapak tangan. Apa yang sedang berlaku bukan satu petanda baik. Yang pasti, niatnya untuk merehatkan tubuh badan pada hari itu mungkin akan tinggal harapan.

“Kak long tak faham. Pintu bilik berkunci dari dalam sedangkan mak masih tak boleh bergerak. Apa maksud Hanum?” Berkerut dahi Zainab.

“Kalaulah Hanum tau apa yang sebenarnya berlaku, tak adalah Hanum stres. Ini bukan kali pertama jadi, kak long. Kita sama-sama tau, mak langsung dah tak boleh gerak.” Terasa mahu menangis dibuatnya.

“Bukan pertama kali? Hairannya.” Hampir tidak kedengaran suara Zainab. Penjelasan Hanum membuatkan dia sukar mahu percaya.

“Susah kak long nak percaya, kan?” Apa yang dirasainya dapat dihidu oleh Hanum. Pantas Zainab mengangguk.

Tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan situasi yang Hanum sendiri tidak pasti. Sudah puas dia mencari jawapan, namun buntu. Kalaulah dia tidak kuat mendepani semua itu, sudah lama dia lari meninggalkan Zakuan.

Akal fikirnya masih waras. Seorang isteri tempatnya adalah di sisi suami. Selagi mampu dia akan membantu mengurangkan bebanan suami yang disayangi.

“Selalunya bila mak macam tak puas hati, akan jadi hal macam ni, kak long.”

“Kak long tak faham.” Mata Zainab yang menatap wajah Hanum tidak berkerdip. Mahu jawapan yang akan memuaskan hatinya.

“Mana Hanum tau ada yang mak tak puas hati? Mak bukan boleh bercakap pun.”

Ada rasa tidak yakin dalam diri Zainab. Kali ini pandangan Zainab tertala pada pintu bilik Mek Siah yang bertutup rapat. Telunjuk kanannya digerak-gerakkan pada dagunya sambil memikirkan sesuatu.

“Cuba kak long ketuk pintu bilik mak tu. Kak long panggil mak baik-baik,” minta Hanum sesudah tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan apa yang berlaku terhadap Mek Siah.

Seperti yang dimahukan Hanum, Zainab melangkah ke arah yang bertentangan dengan ruang tamu. Sampai di hadapan bilik Mek Siah, Zainab teragak-agak pula untuk melakukannya. Dia menoleh ke arah Hanum. Hanum memberi isyarat meminta dia melakukannya.

“Assalamualaikum. Mak, ini Nab, mak. Nab datang nak tengok mak. Mak boleh buka pintu ni tak? Nab nak jumpa mak ni. Ohhh, mak.”

Telinga dilekapkan pada permukaan daun pintu. Tidak kedengaran apa-apa. Zainab tetap menanti dalam debar. Dia tidak faham mengapa Hanum mahu dia melakukannya. Sedangkan mereka sama-sama tahu Mek Siah tidak ada kudrat untuk bergerak biar pun seinci jaraknya.

“Mak, oh mak… Along ni, mak.” Biar pun begitu, Zainab tetap mencuba untuk tidak berputus asa.

Gedeganggg! Gedeganggg! Daun pintu ditendang kuat dari dalam. Tendangan itu seolah-olah dilakukan oleh seseorang yang kekuatan tenaganya berkali ganda daripada kekuatan manusia biasa. Seperti ada sesuatu yang sedang melepaskan kemarahan dari dalam bilik Mek Siah.

Zainab terkaku. Mata membulat besar. Gementar menyerang tidak semena-mena. Beralun dadanya dek nafas yang kencang tiba-tiba. Ketakutan usah dikata. Pucat lesi wajahnya. Hanum yang memerhati bergegas menghampiri.

“Ha… Ha… Hanummm!” Suara yang tersepit berjaya dilontar keluar.

“Tenang, kak long. Tak ada apa-apa tu.”

Hanum memegang kuat tangan Zainab. Dia memberi semangat kepada kakak iparnya. Tanpa Zainab tahu, dia juga berasa gementar. Kalau tidak disebabkan itu bukan kali pertama, sudah tentu dia akan menjadi setakut Zainab.

“Apa benda tu, Hanum?” Lontaran suara Zainab lancar semula walaupun ketakutan belum berjaya diusir.

“Tak pasti. Sampai ke hari ni Hanum masih mencari jawapannya, kak long. Disebabkan benda itulah mak boleh ada dalam bilik ni tanpa ada yang bantu.”

“Siapa dia tu? Kamu jangan buat kak long rasa tak menentu.” Zainab mengusap dada. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena tentang ibunya. Sedangkan Hanum yang tinggal bersama pun tidak tahu bagaimana boleh jadi begitu. Inikan pula dia yang hampir tidak pernah menjaga ibunya.

Persoalan Zainab dibiarkan seperti angin lalu. Tiada penjelasan yang dapat Hanum beri. Dia masih samar dalam setiap andaiannya tentang Mek Siah. Jika dengan terlalu memikirkan masalah itu akan memberi tekanan kepadanya, lebih baik dia sentiasa cuba bersikap tenang.

“Mak, ini Hanum. Mak buat apa kat dalam tu? Buka pintu ni, mak,” pujuk Hanum. Sepi.

Daun pintu masih bertaut rapat. Hanum mengetap bibir dan terus menanti kalau-kalau pintu akan terkuak. Sekali pun dia berkeyakinan bukan Mek Siah yang akan melakukannya.

“Bukalah pintu ni, mak. Ini Hanum.” Diulangi lagi pujukan.

Krekkk, krekkk… Daun pintu terkuak perlahan. Hanum dan Zainab berpandangan sebelum sama-sama merenung daun pintu yang kelihatan bergerak sendiri. Terbuka sedikit demi sedikit tanpa ada tangan yang menguaknya. Mereka menelan air liur pekat. Meremang bulu roma mereka.

Dari luar muka pintu mereka hanya memerhati ruang bilik Mek Siah yang suram. Tidak ada cahaya dari luar mengintai masuk kerana daun tingkap bilik bertutup rapat. Dari luar juga mereka dapat melihat Mek Siah tetap terbaring kaku tanpa bergerak-gerak. Bau yang tidak menyenangkan juga menyelinap masuk ke rongga hidung mereka. Bau busuk yang aneh.

“Kamu bau tak apa yang kak long bau?” Zainab mahu kepastian.

“Ya, kak long. Selalu macam ni. Badan mak cepat berbau. Padahal baru sejam jam tadi Hanum mandikan mak. Ganti Pampers, bedakkan. Belum setengah hari dah berbau semula.”

“Mak berak tak?”

“Itu bukan bau berak, kak long. Lagi pun masa mandi tadi dah berak.” Hanum yakin apa yang dihidu bukan najis Mek Siah.

“Haaa… Bau bangkai ni,” sambung Hanum.

“Bangkai? Bangkai apa?” Bulat mata Zainab.

Sekali lagi Hanum membiarkan Zainab dengan persoalannya. Dia tidak mahu terlalu banyak bercakap. Biar masa dan keadaan saja yang menentukan. Lama tercegat di muka pintu, Hanum memberanikan diri masuk ke bilik Mek Siah. Bau busuk yang menusuk hidung tidak dihiraukan.

Dilewati katil Mek Siah untuk ke arah tingkap. Sekali lagi bulu romanya berebut-rebut berdiri. Memikirkan hari siang, Hanum terus memberanikan diri. Apatah lagi Zainab ada bersamanya. Zainab pula tidak seberani Hanum. Dia hanya melihat apa yang mahu dilakukan oleh Hanum.

“Barulah ada cahaya.” Daun tingkap sudah dikuak. Cahaya matahari yang menerobos masuk mengurangkan kesuraman ruang bilik itu.

“Aku tak kenal kau. Aku pun tak tau siapa kau dan dari mana kau datang. Pergi kau dari sini!” Hanum bertegas. Dia tidak melihat sesiapa di dalam bilik itu selain Mek Siah. Tapi dia dapat merasakan ada sesuatu turut berada di situ.

Tingkah laku Hanum membuat Zainab terkebil-kebil. Dia dapat melihat dengan jelas Hanum bercakap seorang diri. Apa yang sedang berlaku membuat dia semakin tidak faham.

“Aku kata, pergi! Pergi! Aku tak suka kau ada dalam ni!” arah Hanum lagi.

Beberapa saat kemudian, dapat dirasakan bauan busuk bergerak di sekeliling Mek Siah. Berpusing-pusing agak lama sebelum bergerak keluar melalui tingkap. Hanum meraup wajah yang berpeluh-peluh. Dihampirinya Mek Siah. Dilihat orang tua itu masih seperti biasa. Mata cengkungnya tetap tertutup rapat. Sesudah berpuas hati, Hanum keluar semula.

“Jom, kak long.” Zainab yang masih terpinga-pinga ditarik tangannya. Zainab dibawa ke dapur. Hanum membancuh satu jag air perahan limau kasturi untuk mereka berdua.

“Minum ni, kak long. Basahkan tekak.” Air limau yang sudah dicampur ais dituang ke dalam dua biji gelas.

“Apa sebenarnya dah jadi pada mak, kak long?” tanya Hanum.

“Mak kan sakit. Dah lama mak sakit.” Hanya itu yang Zainab mampu suarakan.

“Ya, Hanum pun tau mak sakit. Sejak Hanum bernikah dengan Abang Zakuan pun mak dah sakit. Tapi masa tu mak masih boleh bercakap. Boleh berbual-bual dengan kita semua. Seingat Hanum, sejak arwah abah meninggal dunia mak jadi teruk. Banyak meracau. Cakap bukan-bukan. Kadang-kadang macam bercakap dengan sesuatu. Sampailah mak langsung tak nak bercakap lagi… Ada pun cuma sesekali. Bila bercakap, menakutkan Hanum pula tu,” luah Hanum.

“Kak long tak pasti cerita sebenar. Tapi ada juga terdengar orang-orang kampung cerita yang bukan-bukan. Sampai abang long kamu pun termakan cakap-cakap orang.”

Ermmm… Sebaliknya, Abang Zakuan tak pernah nak percaya. Buntu Hanum dibuatnya. Dah jelas, setiap kali bawa mak ke hospital, doktor kata mak tak sakit apa.”

“Jadi? Kamu pun percaya macam apa yang abang long percaya?” Goyah juga hati Zainab.

“Entah kak long. Tak berani kata camtu. Cumanya… Hanum rasa ada yang tak kena. Tak pelik ke mak boleh beralih-alih tempat tanpa ada yang mengalihkan?” soal Hanum.

“Kamu yang hadap mak 24 jam, dah semestinya kamu lebih tau. Cuba bercakap elok-elok dengan Zakuan, bawa mak berubat cara kampung,” saran Zainab.

“Memang itu niat Hanum, tapi itulah… Belum ada masa yang sesuai.”

“Nab! Zainabbb! Aku tau kau ada kat atas. Kau turun sekarang!” Kedengaran suara garau dari bawah rumah.

Cepat Zainab mengerling jam di tangannya. Hairan juga dia. Sepatutnya pada waktu itu, Joned belum habis waktu bekerja. Selalunya dia akan balik pada waktu yang sepatutnya atau lewat sedikit bila bekerja lebih masa.

“Zainab! Kau pekak ke?” Laungan diulangi bila Zainab belum menunjukkan muka.

“Abang long tu, kak long.” Hanum memberitahu, bimbang kalau Zainab tidak mendengar laungan Joned.

“Kak long tau. Hesy, dah kenapa belum petang lagi dah balik. Masa ni pula tu.” Perasaan cemas Zainab terpamer melalui kerutan pada wajahnya.

Sudahlah dia kurang berpeluang menjaga Mek Siah, belum panas punggung Joned sudah muncul. Suaminya seolah-olah dapat menghidu dia ke rumah ibunya. Mendengar oktaf Joned yang meninggi grafnya, Zainab dapat menghidu kemarahannya.

“Pergi tengok cepat, kak long. Jangan sampai meledak marah dia tu.” Seboleh-bolehnya Hanum tidak mahu melihat kekecohan berlaku.

Apa yang berlaku pada hari itu sudah cukup membebankan Hanum. Tubuhnya yang lemah dan sendi-sendi yang terasa hendak tercabut, membuat dia tidak bersemangat. Ditambah pula dengan kejadian pelik pada diri Mek Siah, amat mengganggu emosinya. Inikan pula mahu ditambah dengan kekecohan yang bakal ditimbulkan oleh birasnya.

“Yalah… Kak long turun.” Zainab angkat punggung meninggalkan dapur. Hanum hanya merenung Zainab berlalu dengan pandangan kosong. Nafas berat dilepaskan.

Bila Zainab menghilang dari pandangan, Hanum meletakkan kepalanya pada permukaan meja. Matanya dipejam rapat. Mahu melupakan apa yang mengasak mindanya. Kalau dapat melelapkan mata barang sepicing dua, sudah memadai buatnya. Dapatlah menyegarkan sedikit matanya yang kelat.

Malam tadi dia tidak cukup tidur. Sewaktu Zakuan sudah berdengkur, dia terus gelisah. Seakan-akan ada sesuatu yang berlegar-legar di dalam bilik tidurnya. Kemudian berdiri di sebelah birai katil tempatnya berbaring. Sekujur tubuhnya diamati. Hinggalah sesuatu itu seakan-akan mahu menyentuh wajahnya. Setiap kali ia berlaku, dia akan tersentak. Semuanya di bawah separa sedar. Antara mimpi dan jaga.

Dek keletihan tubuh dan emosi, Hanum terlena juga. Baru seketika, matanya terbelalak besar. Terkejut mendengar jerkahan kuat Joned. Mata yang berat, segar semula. Meja makan ditinggalkan. Dihampiri tingkap dapur untuk melihat apa yang berlaku. Tidak semena-mena menyirap darahnya.

“Abang long!” jerit Hanum nyaring. Sakit hatinya melihat perlakuan Joned.

Jeritan Hanum membuat Joned merendahkan kedudukan tangannya. Kalau Hanum tidak melihat tadi, sudah tentu telapak tangan Joned yang kasar sudah mendarat pada pipi Zainab. Hanum tergesa-gesa turun melalui tangga dapur.

“Kau dah kenapa hah nak campur urusan rumah tangga aku? Dah cukup handal?” sambut Joned tanpa menunggu Hanum menghampiri mereka.

“Bukan macam tu, abang long. Hanum yang salah. Hanum yang panggil kak long,” jelas Hanum dengan lembut. Dia tidak mahu melihat kemarahan Joned berlarutan. Zainab tunduk. Berasa malu pada Hanum.

“Hah! Yang kamu memandai-mandai panggil bini aku, kenapa? Aku tak suka dia keluar rumah masa aku tak ada. Kau faham tak?” Joned menghampiri Hanum untuk menunjal kepalanya.

“Apa abang nak buat tu?” Zainab tangkas menghampiri. Khuatir Hanum akan dikasari. Dia sudah berdiri di sebelah Hanum sewaktu telunjuk Joned hampir mengenai dahi Hanum.

“Amboiii… Beraninya nak tunjal-tunjal orang. Abang long ingat kak long aje yang bertuan ya? Hanum ni pun ada tuannya. Kalau abang long rasa nak berdepan dengan Abang Zakuan, hah tunjallah… Meh tunjal!” Hilang kelembutan Hanum. Menyirap darahnya. Emosinya yang tidak stabil memudahkan tekanan darahnya naik hingga ke kepala.

“Sudahlah, bang. Malulah dah tua-tua cari gaduh.” Zainab mahu memegang tangan Joned, tapi cepat Joned menepis.

Mendesah-desah nafas Joned mengawal marah. Cuak juga berdepan dengan Hanum. Tidak padan kecil, cengil juga. Berbeza dengan Zainab yang bersaiz besar tapi hatinya hati tikus. Renungan tajam Hanum juga membuat Joned tidak senang duduk. Tercabar kelakiannya. Kalau diturutkan hati mahu saja ditampar pipi mulus Hanum, seperti kebiasaannya menampar wajah Zainab. Sayangnya bila mengingati semula Zakuan yang masih muda, ditambah otot-ototnya yang kekar membuat dia berubah fikiran.

“Kan aku dah kata, kau jangan ke mari. Dalam rumah ni banyak syaitan. Tak sesuai untuk kau. Sebab itulah mak susah nak mati!” Untuk memuaskan hatinya, Joned terus melampiaskan kemarahannya kepada Zainab.

“Abang long! Tergamak cakap mak macam tu! Kenapa nak mak mati?”

Terkejut Hanum dibuatnya. Berdesing cuping telinganya. Sesebal-sebal dia menjaga Mek Siah, tidak pernah terlintas dalam hatinya mendoakan kematian ibu mentuanya itu. Biadab sungguh Joned! Zainab turut tidak menyangka suaminya akan bersikap seburuk itu. Malang sekali, seperti biasa dia hanya mampu menikus.

“Betullah pun. Selalunya kalau orang yang bertahun sakit teruk, memanglah nak mati. Apa? Salah ke cakap aku?” Joned tetap dengan keras kepalanya.

Astaghfirullahalazim. Abang long kejam.” Mulut Joned yang jahat membuat Hanum sakit hati.

“Kesian kau! Kau tu yang bodoh. Buta. Kau sedar tak, kau ni dah jadi hamba dalam rumah ni? Hari-hari kau urus dia, apa yang kau dapat?” Sementara Joned tetap belum puas melepaskan kemarahan.

“Sudahlah tu, abang. Malu Nab ni. Sudahlah Nab tak pernah jaga mak. Awak pula perlekeh Hanum macam ni. Mana Nab nak letak muka ni, bang?” pujuk Zainab, takut-takut berani.

“Memang aku tak akan izin kau jaga orang tua tu! Tak faham-faham lagi ke?” Kali ini berangnya dimuntahkan kepada Zainab pula.

Mujur Joned suami kepada kakak iparnya. Kalau tidak, mahu saja disesah dengan batang penyapu. Langsung tidak ada adab. Apalah malang Zainab bersuamikan ungka jantan itu.

“Kak long… Ajak bang long balik boleh?” minta Hanum dengan baik.

Dia tidak mahu hal itu berlarutan. Perkelahian tidak akan mendatangkan apa-apa faedah. Ia hanya akan menambah beban mentalnya saja. Agak kesal juga kerana telah meminta Zainab untuk membantunya. Dia tahu Joned memang panas baran, tapi sedikit pun tidak menyangka akan sekesat itu bahasanya.

“Eh, kau ni siapa nak halau-halau aku? Ini rumah bini aku. Kau tu yang menumpang. Tak sedar diri betul.” Api yang sedang membakar bertambah marak. Berani sungguh Hanum!

“Sudahlah, abang… Sudah. Malu kalau ada jiran yang dengar.” Zainab cuba menyabarkan.

“Apa sudah sudah?” balas Joned.

Berdenyut-denyut kepala Hanum. Kepala yang berat sejak pagi tadi semakin sakit. Ditambah lagi bila terpaksa menyaksikan drama sebabak itu. Entah bila sikap Joned yang tidak matang akan berubah. Harap umur saja bertambah, sikap buruknya masih tetap sama.

“Kak long, biar Hanum naik dulu. Nak tengok mak.” Sudahnya Hanum mahu beredar. Biarlah suami isteri itu menyelesaikan masalah mereka.

Sengaja dia memberi alasan mahu melihat Mek Siah. Hakikatnya dia benar-benar tidak berdaya untuk berdiri dengan lebih lama lagi. Dalam benaknya hanya tergambar sebiji bantal dan sebuah kipas angin. Tidak sabar mahu merebahkan tubuh dan tidur sambil menikmati tiupan kipas angin.

“Naiklah, Hanum,” ulas bibir Zainab cuba untuk menghadiahkan senyuman pahit buat adik iparnya itu.

Tanpa berlengah, Hanum melangkah semula ke dalam rumah. Lambat-lambat dia berjalan. Kepala sudah berasa pusing. Peluh dingin mengintai-intai membasahi kulit tubuhnya. Digagahkan juga kakinya melangkah anak tangga.

“Aku nak pesan satu aje. Berjaga-jagalah, ya? Mana tau setan dalam badan mak tu akan cari tuan baru.” Usil sungguh mulut Joned. Masih mahu menyakiti hati Hanum.

“Apa abang ni? Nab cakap sudah, sudahlah.” Ditarik tangan Joned supaya beredar dari situ. Joned merentap semula tangannya.

Langkah Hanum terhenti di mata tangga yang baru diinjak dua mata. Dipegang pemegang tepi tangga dengan kuat. Tangannya gigil menahan sabar. Puaka sungguh mulut Joned. Dia melepaskan pegangannya lalu berpaling memandang birasnya itu.

“Joned!” Kali ini Hanum hanya memanggil nama Joned sambil berdiri tidak bergerak.

Joned yang tadinya mempamerkan wajah bengis dan kasar, undur beberapa langkah. Bola matanya tuntas, memandang Hanum dengan mata yang membesar. Zainab pula memandang suaminya dengan kehairanan.

“Kenapa ni, abang? Pucat muka abang ni,” tanya Zainab sambil menepuk-nepuk belakang Joned.

Tidak terdengar sahutan. Sebaliknya mata Joned tidak berkerdip sedikit pun. Sorot mata berpusat setempat. Tidak beranjak sedikit pun.

“Jom kita balik, abang. Nab janji lain kali Nab tak akan ke rumah mak lagi. Kita balik ya, abang?” pujuk Zainab yang menyangka Joned masih tidak puas hati dengan Hanum.

Masih tidak bersahut. Zainab mula panik bila membayangkan perkelahian lebih besar akan berlaku. Ketika mengalih pandang ke arah Hanum, Hanum juga terus berdiri di anak tangga. Mereka saling berpandangan. Zainab melihat Hanum tenang saja, sementara Joned sudah bermandi peluh.

Apa yang dilihat Joned bukanlah Hanum, tapi Hanum telah berwajah Mek Siah. Rambut Mek Siah yang panjang, hitam pekat dan lebat terurai separas pinggang. Walaupun Mek Siah yang meminjam tubuhnya hanya berdiri setempat, tapi ia sudah cukup menakutkan Joned.

“Syai… Syaitan.” Selepas bersusah payah berusaha melontar suara, terluah juga.

“Kita balik aje, abang.” Zainab yang masih menyangka Joned mahu mencari fasal, terus memujuk.

“Kau… Kau na… Nampak tak… Apa yang aku nampak?” Gugup dan gementar.

“Nampak apa ni, abang?” Zainab kehairanan.

“Nam… pak… Syaitan!” tegas Joned. Telunjuknya menuding tepat kepada Hanum. Anak mata Zainab mengamati Hanum. Tidak ada apa yang menghairankan. Hanum masih berdiri dengan keadaan yang agak lemah. Mungkin dia benar-benar keletihan.

“Itu kan Hanum. Hesy, itulah… Ikutkan hati sangat. Kita balik ajelah.”

Melihat Joned tetap berdegil, Zainab terpaksa bertegas. Ditarik sekuat hati tangan Joned. Kali ini Joned tidak membantah. Mereka beriringan menuju ke motosikal Joned. Sesekali Joned menoleh untuk melihat Hanum. Setiap kali itu juga bulu tengkuknya tegak berdiri.

“Cepat naik,” arahnya bila melihat Zainab mahu mengambil basikalnya.

“Nab naik basikal, abang.”

“Tinggalkan. Takut basikal tu pun berhantu bila kau bawa ke mari. Nanti aku beli yang baru.”

Kalau dibantah dibimbangi Joned akan naik angin lagi. Mahu atau tidak Zainab menuruti saja kemahuan suaminya itu. Biarlah dia mengalah asalkan tidak ada kekecohan lagi. Apabila sudah membonceng, Joned tidak menoleh lagi. Enjin dihidupkan, gear ditekan dan minyak dipulas kuat. Motosikal bergerak laju meninggalkan rumah Mek Siah.

Hanum yang ditinggalkan terkulai di tangga. Mujur dia sempat berpaut pada mata tangga. Kalau tidak, mahu saja dia rebah di atas lantai. Terasa melayang tubuhnya yang seketika tadi terasa memberat tiba-tiba. Beberapa minit tadi dia merasakan ada sesuatu yang bergerak menjalar di dalam urat-urat darahnya. Selepas itu dia gagal mengingati apa-apa.

“Apa dah jadi dengan aku?” Dia tidak habis fikir. Selepas terkulai barulah dia tersedar. Bertambah lemah tubuhnya. Dikuatkan juga untuk berdiri. Satu satu anak tangga dipijak. Sampai saja di muka pintu, dia merebahkan tubuh. Tiada kudrat lagi mahu ke ruang tamu.

“Mak…” Dalam keadaan mata yang hampir terpejam ekor matanya dapat melihat lintasan seakan wajah Mek Siah. Ia tidak diendahkan kerana kelopak mata tidak mampu dibuka lagi. Sehinggalah Hanum terlena di muka pintu.

Kemarahan Joned berlipat kali ganda sebaik sampai di rumah. Mendidih darahnya bila Zainab lebih mendengar kata Hanum berbanding pesanannya yang melarang Zainab keluar rumah. Pantang besar baginya bila isteri tidak mendengar kata. Mujur hari itu dia mengambil cuti separuh hari.

“Nab bukan ke mana pun, abang. Rumah mak aje. Takkan itu pun jadi kesalahan besar.” Puas dimaki hamun, Zainab menjawab juga.

“Sebab kau ke rumah maklah yang jadi kesalahan besar! Banyak kali aku larang! Dah berbuih-buih mulut aku, tak reti reti lagi ke? Masih nak berdegil juga, ya?” Ditunjal dahi Zainab dengan telunjuknya. Tidak sempat untuk Zainab mengelak.

“Apa ni, abang?” Bulat mata Zainab. Geram pula dahinya ditunjal-tunjal dengan sesuka hati.

“Tak ada apa. Cuma peringatan. Lain kali jangan buat perangai lagi. Bila aku kata tak suka, kau mesti faham aku tak suka.”

Mungkin penat memaki Zainab, intonasi Joned berubah perlahan. Angin ribut taufan mulai reda. Sudah tentu Zainab berasa lega. Diusap dadanya sambil mengusir kejengkelan terhadap suami sendiri.

Dulu Joned tidak begini. Dia seorang yang agak bertimbang rasa. Perubahan ketaranya dapat dilihat setelah Mek Siah jatuh sakit. Lebih-lebih lagi setelah suaminya mempelajari ilmu perbomohan. Dia mula mempamerkan rasa kurang senang. Lama-kelamaan perasaan kurang senang itu berubah menjadi kebencian. Apatah lagi bila terdengar desas-desus tentang masa silam Mek Siah. Bermula daripada itulah dia selalu berkeras pada Zainab.

“Apa salahnya kalau sesekali Nab ni bantu Hanum? Abang tak kesian ke tengok dia?” Zainab cuba meluah daripada hati ke hati. Mana tahu akan melembutkan hati suaminya.”

“Ah! Nak kesian apanya. Dah sendiri cari susah. Sanggup tunggu Si Zakuan yang dah pergunakan dia,” jawab Joned. Memang berbisa mulut jantannya.

“Bercakap dengan abang ni dapat sakit hati aje. Baiklah saya mandi. Meruap bahang satu badan.” Ada ketikanya Zainab meluahkan juga kesebalannya.

“Lupa tanya, selalu balik lambat. Dah kenapa hari ni cepat pula?” tanyanya sambil berlalu ke dalam bilik.

“Ini namanya Tuhan nak tunjuk yang kau tu ingkar dengan larangan aku. Tergerak aku nak ambil half day.” Joned bangga dengan pendiriannya.

Di dalam bilik, Zainab tarik muka. Jika difikirkan dengan akal yang singkat, menyesal sungguh berkahwin dengan Joned. Apakan daya Joned memang sudah ditakdirkan menjadi pasangan hidupnya. Seburuk apa pun Joned, dia tetap suaminya. Suami yang menyediakan tempat berteduh dan makan minumnya.

“Ada masa lagi kalau nak tidur ni.” Jam di dinding menunjukkan baru pukul dua petang.

Sebiji bantal di atas sofa diambil lalu diletakkan di atas lantai. Joned menanggalkan kemeja T formalnya lalu dihumban ke tepi dinding. Dia berbaring di atas lantai kayu yang sejuk dengan berbantal kusyen sofa. Selesa sungguh bila kulit tubuhnya bersentuhan dengan permukaan lantai. Tidak lama kemudian dia sudah terlena.

Zainab yang sudah selesai mandi segera bersolat. Selesai bersolat dia mengambil benang dan jarum kait untuk mengait alas meja yang sudah separuh siap. Lebih selesa melakukannya di dalam bilik. Tidak perlulah dia berbalah dengan Joned lagi. Tidak sedar Joned sudah pun lena di ruang tamu.

Hmmm… Aku rasa nak hadiahkan yang ni ajelah untuk Hanum. Bagi dia happy sikit. Sekurang-kurangnya aku taklah ralat sangat.”

“Kamu adik ipar yang baik, Hanum. Maafkan kak long banyak bebankan kamu, kamu masih muda untuk hadapi semua ni sendirian.” Mengenangkan itu semua, selalu saja membuat hati Zainab kacau-bilau. Perasaan bersalah menebal dalam dirinya.

“Ampunkan Nab, mak. Nab tak dapat balas pengorbanan mak melahir dan membesarkan Nab. Nab tersepit dengan keadaan.” Dilayan pilu dalam hatinya.

Dengan meluah, sebak di dada dapat dikurangkan. Apabila sudah lega, jari-jemarinya terus ligat mengait. Setiap kali dapat mengait dan menghasilkan sesuatu yang menarik, dia akan dapat melupakan seketika masalahnya.

Jarum jam di dinding terus bergerak laju. Sedar tidak sedar, hari sudah merangkak senja. Di luar langit nampak mendung, bercampur dengan warna jingga senja. Suasana itu membuat keadaan di dalam rumah menjadi kelam dan suram.

“Nak hujan ke? Gelap semacam aje?” Joned yang sudah tidur lama, terjaga. Dipisat-pisat matanya. Aneh, rasa mengantuk masih berbaki biar pun sudah tidur beberapa jam lamanya.

Sebaik saja matanya terarah ke satu sudut rumah, terlihat olehnya susuk tubuh seorang wanita. Wanita itu kelihatan berlegar-legar di ruang tamu. Pergerakannya agak laju. Joned tidak dapat mengamati wajahnya dengan jelas. Wajahnya terlindung di sebalik rambut panjang yang dibiarkan tidak bersanggul.

“Nab, apa buruk benar kau ni? Rambut panjang tak reti nak bela. Kenapa tak sanggul macam biasa?” Joned yakin wanita itu adalah Zainab. Siapa lagi yang ada di dalam rumahnya selain mereka berdua.

“Lantaklah,” ujarnya bila pertanyaannya tidak bersahut. Matanya memberat semula. Antara sedar dengan tidak, terasa dirinya dihampiri. Joned tetap tidak mengendahkan. Sukar mahu membuka kelopak mata. Tiba-tiba terasa bahunya disentuh. Sentuhan itu membuat Joned tersentak seketika. Tidak lama kemudian, kelopak matanya kelat semula.

“Joned.”

Hmmm…” Dengan pandangan berbalam Joned melihat susuk tubuh bertinggung di atas meja kopi. Wanita itu membongkok memandangnya yang berbaring berhampiran meja kopi. Juntaian rambut masih menutupi wajahnya.

“Joned,” panggil wanita itu lagi. Kali ini hujung rambutnya menyapu wajah Joned. Joned menguis sambil berusaha membuka mata yang masih terpejam celik. Terasa amat berat pelupuk matanya.

“Joned.”

Untuk kali ketiga, Joned terkesiap bila jari-jemari wanita itu bermain-main pada pipinya. Buntang matanya bila mendapati wanita itu bukan Zainab. Dia dapat melihat dengan jelas yang sedang bertinggung di atas meja kopi adalah Mek Siah, ibu mentuanya.

Dua biji matanya merenung tepat ke wajah yang menggerunkan itu. Terasa kelu lidahnya.

Terasa mahu menjerit kuat memanggil Zainab, malangnya lidah terasa kaku. Senja yang dingin dirasakan berbahang. Peluh jantan merembes keluar.

Beberapa saat kemudian, wajah ngeri yang menyerupai Mek Siah tiba-tiba saja berubah kosong. Wajah itu kosong tanpa mata, hidung dan mulut. Seandainya disentuh dengan tangan, tangannya mungkin akan tembus ke belakang.

Nabbb… Tolong abang, Nabbb! Jeritan hanya bergema dalam hatinya.

Hoi! Berambuslah orang tua! Dasar syaitan! Kau memang syaitannn! Dia juga hanya mampu memaki-hamun di dalam hati. Perasaannya bercampur aduk. Marah dan takut silih berganti.

“Joned, jangan berani berani sentuh Hanum! Kalau kau tetap berdegil, kau akan terima padahnya!” Jari-jemari wanita itu mencakar-cakar wajah Joned.

“Syaitannn… Kau memang syaitan! Jangan ganggu aku! Berambuslah! Berambus!” maki Joned lagi. Mendengar makian Joned wanita itu hanya mengilai.

Tidak semena-mena wanita itu melompat ke atas tubuh Joned. Bertinggung pula pada perutnya. Senak perut Joned. Nafasnya padat dan tersekat-sekat. Dia berusaha untuk bangkit tapi tidak berupaya. Wanita itu merendahkan tubuh sambil tangannya mengusap dada Joned. Ketakutan Joned berlipat kali ganda.

Berkali-kali dia mencuba melaung Zainab, usahanya ternyata sia-sia. Apabila wanita itu menghampirkan wajahnya pada wajah Joned, ia menyerupai Mek Siah semula. Sekali lagi mata Joned membuntang. Tambah menakutkan bila makhluk itu menjelirkan lidahnya.

“Huhhh.” Joned terkejut bukan kepalang bila melihat lidah yang begitu panjang. Lidah itu seakan-akan mahu menjilat wajahnya. Joned mulai berasa seram sejuk. Merinding tidak terkira.

ErmmmErmmm…” Lalu lidah yang panjang itu berjaya menjilat-jilat wajah Joned yang berdarah akibat kesan cakaran.

“Jangannn… Nabbb, tolong abang. Tolonggg! Tolong Nab! Tolonggg!” Dek ketakutan yang berlipat kali ganda, terpacul juga jeritan kuat Joned.

Jeritan demi jeritan dihambur hingga Joned hampir kehabisan tenaga. Tangan diangkat tinggi. Tergawang ke sana dan ke mari, seakan-akan sedang mengusir sesuatu. Kedua-dua kakinya pula menendang-nendang angin.

“Bangun abang, bangun. Buka mata tu. Hesy… Dari tadi meracau tak tentu hala. Dah kejut, tidur balik. Itulah suka sangat tidur senja-senja ni.” Disebabkan sukar untuk mengejutkan Joned, Zainab menggoncang-goncang kuat tubuhnya.

“Haaa…” Sesudah puas berusaha melawan rasa mengantuk, Joned membuka mata lalu terus duduk.

“Pukul berapa ni, Nab? Lama ke aku tidur?” tanyanya sambil menggosok-gosok kelopak mata.

“Entahlah. Nab pun tak sedar, ralit mengait dalam bilik. Tapi dah senja ni, abang. Sikit lagi maghriblah. Lain kali jangan suka tidur waktu macam ni.” Zinab mengingatkan.

“Dah nak maghrib? Bermakna lamalah aku tertidur,” gumam Joned.

“Tadi mak ada datang ke rumah kita?” tanyanya kebingungan.

“Apa merepeknya abang ni. Mak kan terlantar. Nak datang macam mana?”

Hairan sungguh Zainab melihat sikap Joned yang pelik. Riak wajahnya seperti sedang celaru. Terpinga-pinga. Tiada hati untuk Zainab bertanya apakah yang yang sedang berlaku.

Joned ditinggalkan sendirian. Zainab menutup semua tingkap. Lampu dipasang, ruang tamu tidak lagi sesuram tadi. Cahaya terang membuat Joned lebih selesa. Perlahan-lahan dia cuba mengingati apa yang sudah berlaku. Penghujungnya, dia masih tidak bertemu jawapan yang pasti. Dia tidak tahu apa yang dialami tadi benar-benar terjadi atau pun sekadar mimpi pada petang hari.

Selepas waktu maghrib, Joned bersiap-siap mahu keluar. Zainab hanya memerhati dengan perasaan kurang senang. Bukan tidak pernah dia menegur perlakuan Joned yang tidak disukai itu. Semua bagai angin lalu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Suaranya sebagai seorang isteri tidak pernah diambil kira. Bagi Joned, isteri wajib patuh kepada suami. Tidak boleh bersuara atau memberi pendapat.

“Tak payahlah lagi pergi ke belukar tu, abang. Tak ada faedahnya. Lagi pun Nab risaukan keselamatan abang tu.” Sudahnya terluah juga. Sememangnya dia tidak dapat menahan diri daripada menegur Joned.

“Berapa kali aku nak ingatkan. Jangan sibukkan hal aku. Apa yang kau risaukan? Pasal hantu dalam belukar tu? Mudah sangat termakan cakap-cakap orang,” bantah Joned sombong.

“Kalau tak betul masakan orang bercakap, abang.” Alang-alang sudah memulakan, Zainab terus bertahan dengan pendiriannya.

“Dah kalau ada hantu kenapa? Pernah awak dengar orang mati dibunuh hantu? Pernah?” Sebaliknya Joned tetap dengan keangkuhannya.

Meluat Zainab mendengarnya. Sedangkan baru bermimpi hantu, wajah Joned sudah pucat lesi. Inikan pula kalau terserempak dengan hantu sebenar. Tidak tahu apa akan jadi padanya. Zainab kenal benar dengan sikap suaminya yang suka cakap besar. Kenyataannya, hatinya tidak sebesar mana. Sudah beberapa kali hampir terjadi pergaduhan dengan Zakuan. Setiap kali itu juga diakhiri dengan Joned cepat-cepat angkat kaki. Kecut hatinya.

“Tak adalah, bang. Laki Nab ni bukan ada dua tiga. Awak nilah sorang.” Sengaja Zainab berkata begitu. Malas mahu memanjangkan cerita. Dia sudah menegur. Kalau Joned tidak mahu mendengar, terpulang pada dirinya.

“Aku bukan apa, Nab. Pawang tu memang power. Aku ni berikhtiar nak dapatkan anak. Dia kata kita boleh dapat anak. Cuma aku kena selalu jumpa dia. Aku pun adalah belajar sikit-sikit ilmu dia. Kalau nak jadi kaya pun boleh katanya. Bila-bila masa dia boleh bawa aku ke satu tempat. Tapi itulah, aku belum terfikir sampai ke situ. Aku cuma nakkan anak.”

Zainab terkedu. Hiba pula mendengar keinginan Joned untuk mempunyai pewaris. Anak darah dagingnya sendiri. Apakan daya, bukan mereka tidak berusaha. Sudah puas melakukan pelbagai usaha, daripada perubatan moden hingga ke perubatan tradisional. Sayangnya Allah belum mengizinkan untuk mereka memiliki zuriat.

“Nab tak kesah apa pun usaha yang abang nak buat. Tapi Nab tak setuju kalau abang guna pawang. Berdosa tau, bang.” Sekali lagi Zainab mengingatkan.

Dummm! Kepalan buku lima Joned menumbuk permukaan meja kopi. Tersentak Zainab dibuatnya.

“Ahhh! Kau cuma pandai cakap! Itu tak boleh, ini tak boleh. Aku taulah apa aku nak buat! Memekak aje!” Marah benar Joned. Zainab terkulat-kulat melihat Joned yang mula naik hantu. Merah padam wajahnya.

“Taklah, bang. Nab… Cu…” Zainab masih mahu menegakkan pendiriannya.

“Aku kata diam, diam! Aku bukannya menduakan Allah. Cuma berubat. Kau faham tak?” Joned pula tetap dengan kedegilannya.

“Kau tak kenal dia, jangan nak memandai-mandai menilai dia. Ramai orang luar berubat dengan dia tau. Cuma orang kampung ni aje yang tak tau dalam belukar tu ada rumah pawang. Dia pun tak bagi aku kecoh-kecoh.” Kemarahannya berbaur amaran.

“Dah tu macam mana pula awak boleh tau?”

Hesy… Mulut ni kenapa tak reti diam? Masih nak tanya. Sesudah bertanya, Zainab menyesal pula. Bimbang akan melaharkan lagi kemarahan Joned. Menyesal sungguh.

“Masa tu aku dah tak boleh tahan nak terkencing. Aku masuklah belukar. Nak membuang. Rupa-rupanya ada rumah dalam belukar tu. Aku terserempak dengan pawang tu. Dia pelawa aku menumpang kencing kat rumah dia.”

Usai menceritakan dengan terperinci, Joned usap dagu. Berkerut-kerut dahinya. Zainab dipandang lama. Kemudian diherotkan mulutnya. Akhirnya geleng-geleng tidak sudah. Hairan Zainab melihatnya.

“Inilah susahnya kalau tak ada anak. Asyik-asyik berbual dengan orang yang sama. Bosan aku! Kenapalah aku ceritakan semuanya pada kau. Bukan ada faedah pun. Cerita pun bukannya boleh bawa ke mana. Balik-balik kau dengan kebodohan kau juga. Dahlah mandul, malas pula berikhtiar,” rungut Joned.

Sudah tentu Zainab berasa hati dengan kata-kata Joned yang pedihnya menikam. Nampak sangat betapa tidak bergunanya dia pada pandangan mata Joned. Hendak berusaha bagaimana lagi kalau doktor telah mengesahkan dia tidak mandul. Sementelahan sudah dicuba juga cara perubatan tradisional. Semua belum mendatangkan hasil. Itu bererti Allah belum mengizinkan.

“Itulah tu. Yang kau tau, meleleh tak sudah. Tak ada lain. Menyampah pula aku. Cengeng! Kalau kau muda lagi nak menangis, ada juga manisnya. Hesy… Loya tekak aku.” Lantas Joned jelir lidah seolah-olah hendak termuntah.

“Sampai hati kata Nab macam tu, bang.”

Sedih bukan main Zainab. Usianya yang baru menginjak ke 35 tahun sudah dikata tua.

Apalah nasib badan, dia berkahwin dengan orang tua yang tidak sedar diri. Diri sendiri yang sepuluh tahun jarak berbanding dirinya, merasakan usia masih muda belia.

“Tak boleh ke abang bercakap yang elok-elok dengan Nab? Asyik nampak salah Nab aje. Buruk sangat ke Nab ni, bang? Rasanya dulu awak tak macam ni.”

Ada ketika sabarnya tercabar juga. Walaupun sudah acap kali telapak tangan Joned yang kasar singgah ke pipinya, Zainab merasakan ada waktunya dia perlu meluah juga. Dia bukan tunggul mati yang tidak ada hati dan perasaan.

“Dah memang kau tu asyik nak menyakitkan hati aku. Apa aku buat semua tak betul. Aku taulah kau tu malaikat.” Sementara Joned pula tidak pernah mahu melihat kekurangan dirinya.

Bertambah pedih hati Zainab. Apa hendak dikata, Joned sudah menjadi suaminya. Kalau melayan geramnya, mahu saja Zainab pasang dua. Jika seorang isteri boleh memadukan suami, sudah lama Joned dimadukan. Tapi Islam itu indah. Ada sebab mengapa Allah mengharamkan poligami buat kaum Hawa. Sudah menjadi fitrah, kaum Hawa bertunjangkan sembilan nafsu dan akalnya hanya ada satu. Ramai lelaki terlupakan hal yang satu itu. Bahawa akal mereka sembilan sedangkan nafsu hanya satu. Anehnya ramai juga yang tumpas dalam mengendalikan nafsu. Mungkin kerana iman di dada sekadar senipis kulit bawang.

“Maafkan Nab kalau Nab katakan, sejak abang selalu berjumpa dengan pawang dalam belukar tu sikap abang dah banyak berubah. Dulu abang tak macam ni. Ilmu apa yang dia ajar pada abang?” Sudah lama dipendam kemusykilan itu, baru kali ini diluahkan. Sudah alang-alang menyuarakan rasa tidak puas hati, biar semuanya dimuntahkan.

“Kuran ajarrr!” Telapak tangan Joned mahu mendarat ke pipi Zainab.

Pantas Zainab menyuakan pipi lebih hampir agar lebih mudah telapak tangan kasar itu berlabuh. Matanya dipejam rapat tidak mahu melihat ayunan tangan suaminya itu. Dia pasrah. Biarlah Joned memuaskan hatinya. Kalau dengan cara itu dapat menghentikan perang mulut, dia memilih untuk disakiti. Bila terasa sakit pada tubuhnya sudah tentu mulutnya juga tidak akan membalas kata-kata Joned lagi.

Arghhh! Kau saja nak mencabar aku.” Tangan Joned menjauh dari pipi Zainab. Gigi atas dan gigi bawah diketap menahan geram.

Tubuhnya dihenyakkan di atas sofa. Naik turun nafasnya menggambarkan kejengkelannya. Entah mengapa ketika Zainab bertindak begitu, kemahuannya menampar pipi Zainab menyurut begitu saja. Perasaan marahnya berubah menjadi jengkel kepada diri sendiri. Melihat keadaan Joned, Zainab mahu beredar dari situ. Mahu menyendiri di dalam bilik.

“Nak ke mana tu?” Langkahnya terhenti bila Joned bertanya dengan keras.

“Masuk bilik, mengait,” balas Zainab hampir tidak kedengaran.

“Ikut aku.” Tegas. Zainab berpaling. Penuh tanda tanya, tapi tidak ada hati mahu bertanya.

“Kita ke belukar. Rumah pawang.” Agak kendur suara Joned.

“Buat apa? Nab tak nak.”

“Nak tak nak, kau mesti ikut. Kau tak boleh bantah.” Keengganan Zainab membuat Joned bertindak memaksa.

“Abang suruhlah yang lain, Nab akan buat. Tapi kalau dengan pawang memang Nab tak suka. Lagi pun apa perlunya Nab ikut?” Masih berkeras.

Apa lagi yang Joned mahu buktikan? Zainab benar-benar kesal. Selain panas baran, Joned juga suka memaksa. Kadang-kadang dia merasakan Joned tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang isteri. Kemahuannya tidak pernah diambil tahu. Apa yang tidak disukai juga tidak pernah dihormati pendiriannya itu.

“Kenapa degil? Abang ajak cara baik. Kau kan selalu curiga dengan pawang. Jadi aku nak kau tengok dengan mata kepala kau sendiri.”

“Abang tak perlu buktikan apa-apa pada Nab. Kalau abang berkeras nak pergi, abang pergi ajelah. Jangan libatkan Nab.” Zainab tetap dengan pendiriannya.

Tindakan Zainab membuat Joned gelisah. Jari-jarinya ditarikan pada tepi sofa. Diambil masa untuk berfikir. Sesekali ekor mata mengerling Zainab yang masih berdiri pada tempatnya. Lama menanti reaksi Joned, Zainab mula bosan. Lebih baik dia menghabiskan masa dengan mengait alas meja.

“Ikut aku! Aku kata, ikut aku! Kalau kau degil, talaq akan jatuh ke atas kau!”

Terasa bengkak gegendang Zainab mendengar ancaman sekejam itu. Langkahnya terhenti lagi. Kali ini lututnya terasa longgar. Tergamak Joned memperlakukannya sedemikian rupa. Terasa mahu menitik air matanya. Cuba ditahankan. Hatinya benar-benar terluka dengan sikap Joned.

“Baiklah, Nab akan ikut. Tapi untuk sekali ni aje.” Akhirnya dia beralah juga. Tidak mahu perbalahan berpanjangan.

“Bersiap cepat. Aku tunggu,” arah Joned tanpa memandang wajah Zainab. Zainab berlalu dengan wajah yang sugul.