Makmum yang tertinggal

RM26.00

Penulis: Razlina azura

Caption: kerana tulang rusuk tak akan pernah bertukar, seseorang yang hadir bukan untuk dijadikan alasan.

ISBN: 978-967-406-272-9

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

Tuduhan dan kata nista yang dilemparkan, membuatkan hati HANAN diserang rajuk. Lalu dia membawa diri ke Kuala Lumpur. Hanya dengan satu kebetulan, dirinya bertemu dengan SYED FALIQ. Pertemuan yang telah merubah keseluruhan hidupnya.

Tatkala usia 19 tahun, dirinya terikat menjadi seorang isteri. Satu kejadian tak terduga telah terjadi kepada diri dan kemudian digantung tidak bertali bertahun lamanya oleh si suami. Kerana kesakitan itu, Hanan memenjarakan hati. Tidak sedikit pun tercuit dengan kehadiran MIKAIL.

Namun berbeza pula bagi suaminya. Tidak pernah terfikir yang dirinya punya seorang isteri. Bahkan nama isteri yang dinikahi tidak pernah tersemat dalam kotak memori. Seraut wajah yang telah halal terhadapnya juga tidak pernah terukir di dalam minda. Tambahan pula berselindung di sebalik niqab di wajah. Membuatkan Syed Faliq telah melepaskan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul.

“Jangan buat saya macam ni. Tolonglah, encik!” – HANAN

“Tak ada sesiapa yang nak datang tolong kau. Sebab aku kesiankan kaulah hidup aku jadi macam ni. Sebab aku nak tolong kaulah… Kau sanggup aniaya aku. Sekarang kau rasa diri kau layak ke nak minta tolong dengan aku?!” – SYED FALIQ

Namun lima tahun selepas itu, kebekuan hati Hanan berjaya dicairkan oleh seorang pemuda. Bahkan seseorang yang terlalu rapat dalam hidupnya. Siapakah yang berjaya memenangi hati HANAN? Mikail atau SYED FALIQ? Segalaya bakal terjawab dalam Makmum Yang Tertinggal.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

TAMAT sahaja waktu peperiksaan, Izzati terus saja meninggalkan dewan. Tidak berniat untuk menyemak semula jawapan kertas soalan bagi subjek sejarah yang baru sahaja diduduki. Setelah berusaha dan berdoa tawakal sahajalah dengan keputusan yang bakal diterima kelak.

Saat ini apa yang bersarang dalam benaknya hanya mahu segera pulang ke rumah. Tidak sanggup mendengar Kak Aniza membebel.

Kelmarin, sepanjang malam kakak iparnya itu berleter hanya kerana dirinya terlewat pulang. Disebabkan itu juga Izzati lambat untuk menyediakan juadah makan malam. Penyudahnya hanya sindiran pedas yang masuk ke telinga.

Pada Izzati, perkara tersebut terlalu remeh untuk dibesarkan. Namun sikap kakak iparnya mengalahkan orang tua nyanyuk.

“Tak usah menung panjang sangat, exam dah habis Izza. Masa ni la kita nak enjoy. Tengok buku pun dah muak,” terjah Fateha dari belakang dan sebelah tangan menepuk ke bahu sahabat baiknya.

Sepantas kilat Izzati berpaling sambil melurut dada. Jelingan tajam menjadi habuan buat Nurul Fateha.

“Kus semangat! Kau ni selalu buat aku terkejut,” omel Izzati terhadap rakan sekelas.

Sedangkan Fateha sedang tertawa terkekeh-kekeh. Turut melabuhkan punggung di atas bangku di sebelah sahabatnya. Kalau setakat Izzati yang menjeling. Sedikit pun dia tak hairan kerana itu saja cara sahabatnya menunjukkan tanda protes.

“Malam ni aku nak pergi KL ikut mak cik aku. Ingat nak cari kerja sementara tunggu result keluar.” Fateha berpaling beberapa darjah ke sebelah sahabatnya.

“Izza, kau ikut aku sekali ek? Petang esok boleh kita tumpang sekaki pergi Taiping.”

Izzati melirik senyuman tawar.

“Terima kasih banyak-banyaklah dengan pelawaan kau tu, Teha. Diri sendiri pun menumpang kat rumah makcik, ada hati lagi nak ajak aku? Tak apa kau sajalah yang pergi. Aku nak cari kerja kat sekitar sini.”

Fateha menceber. Menayangkan wajah cemberut. Namun masih enggan mengaku kalah.

“Jomlah temankan aku. Dah dapat kerja nanti kita sewalah rumah lain. Jomlah Izza, kau tak kesiankan aku ke?” asak Fateha. Cuba meraih simpati sahabat baiknya.

“Tak nak. Aku kata tak nak, tetap tak nak! Aku nak duduk kat kampung aje, titik. Jangan pujuk aku lagi.” Izzati bertegas. Wajah dipaling ke arah lain. Tidak menafikan memang dirinya cepat berlembut hati dengan sahabat yang seorang ini.

Fateha pula memang first class kalau bab tayang muka seposen.

“Janganlah merajuk, Teha.” Izzati menepuk ke bahu Fateha. Saat itu mulut sahabat baiknya sudah seperti muncung itik.

“Bila kau kat KL nanti jangan lupa call aku, ya?”

Walau sampai dalam hati amat terasa kehilangan. Nurul Fateha sahajalah teman rapatnya di sini. Walaupun tidak tinggal sekampung. Namun keakraban yang terjalin membuatkan mereka serasi bersahabat. Fateha teman kala susah dan senang. Bahkan secara tidak langsung Fateha sudah seperti saudaranya sendiri.

Fateha mengemam bibir. Membalas pelukan rakan karibnya. Bahu Izzati digosok perlahan. Mata pula merah menahan tangis.

“Aku harap sangat kau akan ubah fikiran,” tuturnya dengan nada yang sayu.

Mana mungkin dirinya merajuk lama dengan Izzati. Rakannya terlalu baik. Tentu ada sebab yang kukuh mengapa Izzati tidak mahu mengikut dirinya ke Kuala Lumpur.

“Aku akan rindukan kau, Izza.”

“Aku pun sama Teha.”

Sementara menunggu giliran untuk memanjat tangga bas. Fateha berpatah ke belakang semula. Memeluk erat tubuh rakan karibnya untuk sekali lagi. Pilu hati untuk berpisah. Beberapa saat kemudian lambaian kedua insan tersebut saling berbalas.

Sejam berlalu.

Izzati masih setia menanti. Sesekali dirinya berkeluh kesah. Inilah kehidupan di luar bandar, pengangkutan bas langsung tidak konsisten. Penat duduk Izzati berdiri. Lenguh berdiri dia duduk kembali ke bangku yang tersedia. Sedangkan bas masih belum nampak bayangnya lagi.

Dalam pada itu, ada sepasang mata galak memerhati gelagat si gadis dengan senyuman. Hati berbunga riang. Pantas dia menggerakkan motosikal untuk mendapatkan si gadis pujaan.

“Belum balik lagi?” tegur Mikail. Sebaik menghentikan motor kapcai yang ditunggangnya.

Dia lagi, gerutu hati kecilnya.

Izzati pura-pura membelek kuku.

Izzati berdesit. Menayangkan muka masam bercampur kelat. Terpaksalah melayan. Jika tidak, dikatakan sombong pula kerana mereka tinggal sekampung.

“Dah dekat sejam tunggu bas tapi satu pun tak muncul-muncul!” ujarnya kasar. Seolah-olah melepaskan geram terhadap bas yang tidak beroperasi mengikut jadual.

“Jom tumpang Mika.”

Mikail menunjukkan topi keledar yang berada dalam bakul motosikal Honda EX5 miliknya. Tidak sampai hati melihat wajah sugul pelajar yang telah dua tahun mencuri perhatiannya. Walaupun tanpa gadis itu ketahui. Matanya sering melorot gerak-geri si dara. Siapa yang tidak terpikat melihat kelembutan pada seraut wajah. Punya sepasang mata yang redup dan bersinar. Berhias pula dengan alis yang lentik. Mampu untuk membuatkan jiwa remajanya bergetar.

Namun sebagai pelajar dirinya belum ingin terbuai dengan perasaan yang berlebihan. Impian dan cita-cita yang harus diberi keutamaan. Setelah berjaya kelak barulah Mikail akan menyuarakan hasrat hati. Semoga hati gadis manis ini sentiasa terbuka untuk dirinya.

“Tumpang Mika?” Izzati menggaru kepala yang tidak gatal. Sebelah hati ingin menerima pelawaan Mikail. Tetapi di pihak satu lagi menjerit dan meronta untuk menolak. Namun sesuatu yang pasti Izzati terpaksa akur dengan kehendak alam. Tanpa sebarang paksaan dia mengatur langkah mendekati motosikal EX5.

“Mika tak kesah ke?” soalnya serba salah. Diri sudah tidak punya sebarang pilihan.

“Sebab tak kesahlah Mika ajak Izza tumpang. Lagipun hari dah lewat ni. Entah-entah bas dah tak ada.”

Mikail tersengih menampakkan baris giginya. Padanya jika sekali gadis itu sudi berjuta kali dirinya berbesar hati untuk menumpangkan.

“Bagi Mika pakaikan helmet tu.”

Mikail membetulkan topi keledar yang tersarung di kepala Izzati. Buat pertama kali Mikail berjaya menumpangkan si gadis. Walau sering kali mempelawa Izzati sering menolak. Mungkin hari ini adalah hari bertuahnya. Dirinya berjaya memujuk Izzati untuk pulang bersama. Walaupun pada hari terakhir mereka berada di bangku persekolahan.

“Tak apa, Mika, Izza boleh pakai sendiri.”

Pantas Izzati menepis tangan Mikail. Sudah banyak biji mata sedang membuntang memandang dengan penuh sangsi. Tidak kurang juga saling berbisik sesama sendiri.

SUDAH berbuih mulut cuba untuk meyakinkan Kak Aniza yang dirinya tidak melakukan perkara yang tidak senonoh. Seperti dakwaan kakak iparnya. Apatah lagi tuduhan itu melibatkan dirinya dan Mikail. Sedangkan Izzati hanya menumpang motosikal pemuda itu untuk pulang ke rumah. Tidak lebih dan tidak kurang.

Mengapa Kak Aniza masih tidak percaya? Atau kakaknya yang tidak faham bahasa Melayu?

Petang tadi sama ada Mikail mahupun dirinya langsung tiada niat untuk melencong ke mana-mana. Malahan pemuda itu dengan baik hati telah menghantar dirinya hingga ke halaman rumah. Selepas itu, Mikail terus saja beredar.

Bagaimana pula Kak Aniza tergamak untuk menuduh dirinya hingga sebegitu? Jalan kampung yang tidak putus dengan kenderaan yang lalu-lalang. Bahkan matahari masih cerah memancar.

Izzati tidak menafikan memang mereka ada berhenti di bahu jalan. Tak semena-mena motosikal Mikail buat hal berdekatan kawasan ladang getah yang mereka lalui. Normal la jika berada di kawasan penempatan Felda. Hanya ladang getah dan kelapa sawit sahaja yang berdiri di kiri dan kanan jalan kerana komoditi itu yang menjadi tanaman utama. Jadi apa yang harus dipertikaikan?

“Betul abang, Izza tak bohong. Izza tak buat apa-apa dengan Mikail. Izza cuma tumpang motor dia saja, percayalah.”

Izzati cuba membela diri untuk kali yang tidak terhitung. Kering liur. Asyik ulang cakap perkara yang sama. Penat.

Manakala Kak Aniza yang masih tidak berpuas hati kian menyinga. Wanita itu membentak keras. Wajah yang tegang beralih ke arah suaminya pula.

“Dia bohong, bang! Niza nampak… Izza duk berkepit dengan budak jantan tu kat atas pondok. Berpeluk sakan Niza tengok. Mata Niza ni belum buta lagi tau. Pandai adik abang ni berdalih. Kecil-kecil lagi dah pandai jadi pembohong!!!”

Bergegar suara Kak Aniza cuba untuk mendapatkan perhatian suaminya. Abang Naim yang sedang duduk di atas sofa hanya memicit dahi. Benar-benar hurung serba salah.

“Hidung pun berhingus lagi dah pandai nak cari jantan!” tengking Kak Aniza. Jika tidak kerana Abang Naim, sudah lama tangannya naik ke muka adik iparnya.

Izzati beristighfar panjang. Tangan melurut dada. Terlalu berat tuduhan wanita itu terhadapnya.

“Jangan macam ni kak, Izza sorang yang duduk kat atas pondok tu. Mika pula tukar plug motor dia. Siap tukar, Mika panggil Izza. Lepas tu kita orang terus balik rumah. Bila pula Izza duk berkepit dengan Mikail kat atas pondok tu? Kalau akak tak suka Izza sekali pun janganlah reka cerita buruk pasal Izza. Izza pun ada maruah, kak.”

Panjang nafas dihela. Makin lelah meladeni sikap Kak Aniza. Rasanya sejak Abang Naim berkahwin setahun yang lalu hidupnya sudah tidak tenang lagi. Isteri abangnya seolah-olah sengaja ingin mencari pasal atas sebab yang tidak diketahui.

Naim pula hanya membisu. Belum sepatah keluar dari mulutnya. Apa lagi untuk menangkis kata-kata Kak Aniza.

“Maruah konon!” Kak Aniza mencebik. Jelingannya kalah mata pedang.

“Lepas tu dia tuduh Niza pula yang reka cerita buruk. Apa faedahnya Niza reka cerita pasal dia? Niza tak nak nanti bila perut tu dah boyot ke depan baru abang nak percaya cakap Niza ni!” tempelak Kak Aniza kasar. Bungkam dengan sikap Abang Naim yang langsung tidak mahu bertegas dengan si adik.

“Kalau sayang sekalipun janganlah sampai buat maksiat depan mata abang nak diamkan aje. Sengaja buat-buat tak nampak.” Ekor matanya menjeling si gadis. Rahangnya bergerak-gerak. Hati dan perasaan tak ubah seperti gunung berapi yang sedang memuntahkan lahar.

“Malas Niza nak cakap lagi. Abang lebih percayakan adik abang daripada Niza.”

Saat ini sepasang mata Kak Aniza mencerlung tajam. Hatinya masih belum puas. Abang Naim sering menyebelahi adik kesayangannya. Justeru itu, sebagai tanda protes kakinya menghentak kuat ke lantai. Kemudian Kak Aniza pantas berlalu. Jika soal Izzati mulut Abang Naim terkunci. Itu yang matanya lihat dan hatinya rasa.

“Kalau dah sayang sangat dengan adik awak tu, belalah dia. Temankan dia tidur sekali. Jangan awak berani masuk ke bilik saya malam ni!” ugut Kak Aniza. Sesaat kemudian dentuman pintu memecah sunyi malam.

Dari ruang tamu dua pasang mata saling berpandangan.

“Izza…” Abang Naim menyeru adiknya.

Tangan menepuk ke sebelah kerusi rotan yang sedang diduduki. Ingin Izzati melabuhkan duduk di situ. Dalam masa yang sama Abang Naim sendiri sedang mencongak apa yang harus dikatakan terhadap adik bongsunya.

“Abang percayakan Izza. Abang percaya Izza tak buat perkara tak senonoh macam tu. Maafkan Kak Niza ya? Mungkin dia tersalah pandang petang tadi. Cuma buat masa ni…”

Naim berjeda seketika. Menelan liur yang tersekat di kerongkong.

“Abang rasa elok kalau Izza keluar cari kerja dulu. Sekurang-kurangnya boleh timba pengalaman sementara tunggu result keluar. Apa pendapat Izza?”

Naim sedar apa yang keluar dari mulutnya mungkin sedang menggores hati adiknya. Abang Naim terlalu sayang terhadap kedua-duanya. Keputusan yang diambil adalah untuk menjaga hati kedua-dua belah pihak.

Izzati membatu. Mulutnya terkunci. Otaknya sedang menghadam tiap bait-bait kata yang keluar dari mulut Abang Naim.

“Izza rasa nak pergi cari kerja kat KL. Lagipun Teha ada di sana. Izza minta maaf kalau Izza dah buat abang susah hati. Izza janji lepas ni Izza takkan susahkan abang lagi. Izza masuk tidur dulu.”

Saat ini sepasang kaki seolah tidak memijak ke lantai. Terumbang-ambing rasa tubuhnya. Sebu dan sebak bergaul menjadi satu. Sebaik menutup pintu bilik, Izzati merebahkan tubuh ke atas tilam. Tangan mencapai bingkai gambar yang berdekatan. Ingin menatap dua wajah yang kini berada dalam kenangan. Tika itu serta-merta hatinya dipanah rindu. Lantas dia menghadiahkan doa ringkas terhadap kedua-duanya.

Tekad! Esok dia ingin meninggalkan rumah pusaka ini dengan hati yang ikhlas. Izzati tidak mahu ada rasa dendam yang bersarang dalam setiap penjuru hatinya. Terutama sekali terhadap Kak Aniza mahupun abang kandungnya sendiri. Mungkin usia kakak iparnya masih terlalu muda. Maka segala tindak-tanduk hanya mengikut emosi semata.

SEPASANG kaki begitu berat untuk melangkah. Bak kata orang, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula kampung halaman sendiri. Selepas mengunci semua tingkap dan pintu, Izzati menyusur langkah ke belakang rumah. Beg baju didaratkan ke atas sebuah pangkin kayu. Kemudian dia melabuhkan punggungnya di situ. Matanya meliar melihat ke sekeliling. Ingin memetakan keseluruhan kawasan rumahnya ke dalam kotak memori.

“Di sini rupa-rupanya.” Suara Abang Naim yang menerjah memecah sunyi.

“Abang…” Serak suaranya. Pantas jari menyeka air jernih yang melurut ke pipi.

“Maafkan abang, ya? Abang tahu abang tak jaga Izza macam amanat arwah mak dengan ayah dulu,” ujar Abang Naim kesal.

Namun dirinya terpaksa merelakan Izzati pergi. Abang Naim sedar hingga ke mati sekali pun rasa bersalah terhadap adiknya tidak akan pernah padam.

“Abang jangan risau, Izza dah besar. Tahulah jaga diri sendiri. Lagi pun Izza dah telefon Teha. Teha pun ada di KL juga sekarang ni, tengah cari kerja. Izza ingat nak tumpang sehari dua kat situ. Tapi tak lamalah sebab Teha pun menumpang di rumah mak cik dia.”

Izzati beralasan seadanya. Sekadar ingin menyedapkan hati si abang. Walhal dia belum menghubungi Nurul Fateha lagi. Setahu Izzati sahabatnya akan bertolak ke Taiping petang nanti.

Naim berdesit. Detik ini pendiriannya mula goyah dengan keputusan semalam. Sejujurnya terlalu berat untuk melepaskan Izzati pergi. Tambahan pula bersendirian tetapi pabila mengenangkan Fateha sudah berada di Kuala Lumpur, dia cuba memujuk hati. Lantas mindanya teringatkan seseorang yang ada pertalian darah dengan mereka. Walaupun kurang mesra dan sudah lama tidak bersua muka tetapi itulah sahaja insan yang boleh diharapkan. Lalu Abang Naim mengeluarkan sesuatu dari dalam dompetnya.

“Ini alamat rumah pak long, abang nak Izza tumpang di rumah pak long dulu sementara nak dapat rumah sewa. Jangan susahkan orang lain. Sampai di KL nanti, Izza terus pergi rumah pak long dulu. Jangan melencong ke mana-mana tau. Esok baru pergi jumpa dengan Teha,” pesan Abang Naim. Tak ubah seperti menasihati seorang anak kecil.

“Sekejap lagi abang akan cuba call nombor pak long,” tokoknya lagi. Itu sajalah cara yang ada untuk menghubungi satu-satunya bapa saudara mereka yang telah lama merantau. Mustahillah pak long punya akaun e-mel, FB mahupun seangkatan dengannya.

Izzati angguk mengerti. Dalam pada itu sedang menahan sebak di dada.

“Izza sayangkan abang.”

Mutiara jernih memenuhi kelopaknya. Pandangan kian kabur. Serta-merta Izzati merangkul tubuh Abang Naim. Lama dia mendakap ke tubuh insan yang telah menggantikan tempat kedua-dua orang tuanya. Bahkan sejak dirinya berusia dua belas tahun lagi, itulah ayah dan itu juga ibu. Entah bila lagi diri mempunyai kesempatan begini. Hati kian diruntun sayu.

“Abang pun sayangkan Izza. Kalau Izza perlukan apa-apa call abang, ya?” walaupun hatinya berat untuk melepaskan tetapi Abang Naim yakin Izzati sudah cukup matang. Meskipun usia gadis itu baru menjengah ke angka sembilan belas tahun.

“Jom, abang hantar Izza sampai ke stesen bas.” Abang Naim mengusap kepala adik yang beralas.

“Dah sampai sana nanti jangan lupa call abang. Sampaikan salam abang kat pak long sekali.”

Izzati angguk lagi. Hati dan perasaan benar-benar terbeban. Malahan sepasang kakinya seolah terpasak untuk melangkah. Terlalu berat untuk meninggalkan segalanya. Kenangan yang sudah terpahat kukuh selama sembilan belas tahun di tanah rancangan Felda ini.

Tempat yang pernah menjadi saksi pahit maung arwah ayah dan emak menempuhi liku kehidupan. Demi membesarkan mereka dua beradik. Segala keringat tertumpah di sini. Tambahan pula tidak pernah sekalipun Izzati berjauhan dari rumah pusaka itu.

IZZATI yang baru tersedar dari lena masih terpisat-pisat. Matanya mengecil sedang cuba mengamati keadaan di luar badan bas. Hari telah melewati waktu senja. Kaki langit mulai berbalam-balam dan bertukar kelam. Kelam kerana sudah merangkak ke waktu malam dan juga kerana hari mahu hujan. Kedua-duanya cukup sebati menjadikan dada langit terlalu sarat.

“Dekat mana senang nak dapatkan teksi, kak?” soal Izzati terhadap seorang wanita yang duduk di sebelahnya.

“Ni KL adik mana-mana pun senang nak ambil teksi. Akak nak turun dekat depan sana tu. Kalau adik turun sekali boleh akak tunjukkan tempat untuk ambil teksi,” ujar wanita itu ramah.

“Kalau macam tu saya ikut akaklah.”

Tanpa berlengah Izzati bergegas mencapai beg baju serta mengikut langkah wanita lingkungan usia tiga puluhan itu. Lebih mudah jika ada insan yang sudi membantu.

“Adik nak pergi mana?”

“Nak pergi rumah pak cik saya kat Bangsar, kak.” Izzati berkata jujur.

“Oh! Taklah jauh sangat dari sini.”

Serentak itu langkahnya terhenti selepas beberapa tapak.

“Adik lintas jalan tu kemudian jalan terus ke depan. Dari situ adik boleh nampak banyak teksi.” Telunjuknya lurus menuding ke arah bertentangan.

“Adik hati-hati ya.”

Izzati angguk.

“Terima kasih, kak.” Tidak lupa menghulurkan kedua-dua tangannya.

Namun sebaik wanita itu berlalu Izzati mulai kecut perut. Sejujurnya sebaik tiba di sini, sejak kaki menjejaki tanah ini keyakinannya langsung tidak berbaki. Benar kata wanita tersebut, di Kuala Lumpur ini tidak sukar untuk mendapatkan sebuah teksi. Semuanya ada di sini hanya duit sahaja yang perlu dicari.

Kaki diatur ke tempat yang ditunjukkan. Dari jauh anak matanya sudah menangkap deretan teksi yang sedang berbaris. Namun baru beberapa tapak melangkah diri disiul oleh dua orang anak muda yang sedang duduk santai di hadapan kaki lima sebuah kedai. Pada mulanya mereka mengusik nakal. Setelah itu berani pula mengekori langkahnya. Bahkan semakin laju kaki diayun makin pemuda-pemuda itu ingin menyaingi dirinya. Setelah itu, hanya beberapa saat saja dirinya sudah diapit oleh dua orang pemuda yang mencurigakan. Hati makin cuak. Muka pula pucat tidak berdarah.

“Kak long nak abang hantarkan?” tegur suara garau yang makin rapat ke sisi. Tangan pemuda itu mula menarik beg baju yang dipegang. Berlagak seolah-olah seorang lelaki budiman yang kononnya ingin menghulurkan bantuan.

Izzati masih tidak menghiraukan. Namun dirinya tetap berwaspada. Genggaman tali beg makin dikemaskan. Mulutnya masih terkunci. Tidak langsung berpaling ke arah mereka. Kaki tetap diayun dengan laju. Dirinya sudah tidak berapa jauh dengan tempat yang dituju.

“Janganlah sombong, kak long. Kak long nak pergi mana? Malam-malam macam ni bawa beg besar? Cer beritahu, kami boleh tolong hantarkan.”

Sakat seorang pemuda yang tampak begitu selekeh. Cuba menghalang langkah si gadis. Kemudian pemuda itu tertawa sambil mengangkat kening terhadap rakan yang seorang lagi. Seolah-olah sedang memberikan isyarat.

“Eh! Apa tarik-tarik beg orang ni?!” tengking Izzati.

Wajahnya menyinga. Dengan pantas dia mendakap beg bajunya ke dada. Tubuh sudah berpeluh dingin. Serentak itu Izzati sudah bersedia untuk membuka langkah seribu jika perlu.

“Janganlah macam tu, kak long. Kami bukannya nak buat apa-apa cuma nak tolong bawakan beg ni saja. Tak sampai hati kami tengok perempuan cantik macam kak long bawa beg…”

Belum sempat pemuda itu menyudahkan kata, Izzati terlebih dahulu mengayun beg yang dipegang ke bawah perut salah seorang pemuda. Yang berdiri terlalu rapat dengannya. Hingga pemuda tersebut tertunduk dan mengaduh kesakitan serta memegang bahagian kemaluannya sendiri.

Tidak membuang masa, Izzati membuka langkah seribu. Meninggalkan dua orang pemuda yang amat mencurigakan. Seorang daripada mereka sedang mengerang kesakitan. Manakala seorang lagi sedang cuba mengejar dirinya. Namun Izzati pantas mencelah ke tengah orang ramai. Sesungguhnya diri amat bernasib baik kerana berada di tempat yang terang dan padat dengan manusia. Jika tidak, sudah pasti dirinya menjadi mangsa manusia yang pendek akal sebegitu.

Syukur. Akhirnya dengan mudah dia berjaya melepaskan diri.

Dari celahan batang tubuh manusia Izzati memerhatikan penyangak tersebut. Apa yang pasti bola mata mereka sedang meliar. Perlahan-lahan Izzati mengundur ke belakang dan berselindung di sebalik tiang besar. Beberapa saat kemudian dirinya ikut melintas jalan bersama puluhan manusia lain, pabila lampu isyarat bertukar warna.

Setelah itu, pantas saja Izzati mendapatkan sebuah teksi yang kebetulan berhenti untuk menurunkan penumpang. Ketika itu barulah dirinya mampu menarik nafas lega. Sehelai kertas kecil yang bertulis alamat bapa saudaranya dikeluarkan serta menyerahkan kepada pemandu teksi tersebut. Dalam hati tidak putus berdoa semoga pemandu teksi yang berbangsa Tionghua ini yang akan menghantar dirinya hingga selamat tiba ke destinasi.

Izzati sendiri tidak pernah sampai ke alamat tersebut. Seratus peratus bergantung kepada pemandu teksi itu. Jika niatnya baik sampailah ke tempat yang ingin dituju. Jika tidak, hanya Allah sahaja yang ada untuk mengadu.

Mata meliar melihat ke sekitar. Izzati masih memerhatikan dua orang penyangak tersebut dari dalam cermin teksi yang dinaiki. Manakala teksi pula sedang bergerak seperti siput. Sungguhpun malam telah melabuhkan layar namun kenderaan masih bertali arus.

Semua itu membuatkan hati makin tidak keruan. Manalah tahu jika penyangak tersebut mengekori teksi yang dinaiki? Izzati semakin tidak senang duduk. Sesekali dia menoleh ke belakang, kiri dan kanan. Manalah tahu jika andaiannya tepat.

Namun sebaik terpegang pada hujung tudung yang jatuh terjuntai dari ikatan di belakang tengkuk. Dek larian pecutnya sebentar tadi, serta-merta lampu dalam otaknya menyala. Tudung yang dipakai boleh menjadi pelindung untuk dirinya.

Jika sebentar tadi hujung tudung bawal yang dipakai bersilang ke dada, kini Izzati menukarkan sedikit kedudukannya. Sebelah dari hujung tudung tersebut disilangkan ke atas wajah. Agar menutupi bahagian hidung dan mulut. Serta diperkemaskan dengan jarum peniti yang telah sedia ada.

Sungguhpun tidak pernah dibuat oleh orang, menutupi hidung dan mulut ala berniqab dengan hanya mengenakan sehelai tudung bawal. Namun Izzati mulai berasa selesa. Sekurang-kurangnya diri tidak menjadi perhatian si penyangak yang mungkin tidak berpuas hati terhadap dirinya.

Selepas itu, barulah Izzati punya keberanian untuk menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur. Sebelum ini hanya melihat menerusi kaca TV sahaja. Dalam gusar bibirnya masih mampu melirikkan senyuman di sebalik tudung yang menutupi separuh wajahnya.

“Amoi sulah sampai,” tegur si apek pemandu teksi. Sambil menarik brek tangan.

Izzati mengerutkan kening. Serta-merta lamunannya melayang.

“Betul ini tempatnya, uncle?” soal Izzati hampir tidak percaya.

Masih teragak-agak untuk keluar dari teksi merah putih itu. Apa tidaknya teksi yang dinaiki berhenti di hadapan sebuah rumah banglo yang terletak di lereng bukit. Bahkan sepanjang perjalanan, dirinya tidak menjangka akan dibawa ke kawasan perumahan seperti itu.

“Betut la. Saya ikut alamat yang lu kasi amoi. Nombor 17, Lorong Sri Penaga 7, Jalan Bukit Bangsar. Lu sendili pun tak tau ka?” soal pemandu teksi itu. Seraya berpaling beberapa darjah ke belakang melihat penumpangnya. Apa yang pasti gadis tersebut berat punggung untuk meninggalkan teksinya.

Izzati pamer wajah kelat. Dengan rasa terpaksa dia mengeluarkan dompetnya.

“Terima kasih, uncle. Berapa, ya?”

“Dua puluh lima linggit saja.”

Sekeping not lima puluh bertukar tangan. Setelah mengambil baki dan dengan langkah yang longlai dia keluar dari perut teksi. Sepasang mata mencerlung ke segenap laman banglo yang tersergam. Apa yang pasti banglo tersebut bercirikan moden dan lebih memperlihatkan ciri kemewahan dan eksklusif. Sudah tentu dimiliki oleh orang yang berada, bergaya dan ternama. Itu andaian sepintas lalu terhadap pemilik kediaman tersebut.

Dalam pada itu sudah beberapa kali loceng ditekan secara berkala. Namun tiada kelibat yang kelihatan. Selang beberapa minit jarinya menekan lagi loceng tersebut. Walaupun Izzati sudah dapat menelah yang rumah itu tidak berpenghuni kala ini.

Bunyi angin mulai menderu. Geseran awan telah memperdengarkan bunyi di dada langit. Sepasang kaki mundar-mandir. Hati makin resah apabila jam tangan tali kulit tiruannya sudah menunjukkan ke angka sembilan malam. Hampir setengah jam dirinya menjadi penunggu di sini. Di hadapan rumah yang tidak tahu milik siapa. Hanya sehelai kertas yang bertulis tangan sahaja telah membawa dirinya ke situ. Selebihnya Izzati hanya berserah tentang untung nasib dirinya.

Dalam waktu yang sama Izzati cuba menghubungi rakannya. Namun mengecewakan apabila diberitahu yang si gadis mengikut ibu saudaranya ke luar daerah. Benarlah seperti telahan awalnya tentang Nurul Fateha. Nombor pak long pula sudah didail berulang kali tetapi hanya mesin sahaja yang menjawab panggilan. Nombor Abang Naim pula telah lenguh jarinya mendail namun tiap panggilan tidak berjawab dan terus memasuk ke mesin suara.

Lama Izzati termangu. Wajahnya melangut ke dada langit. Tiada sebutir bintang yang berkerlipan. Bulan pula seolah terlalu malu. Mungkin sedang berselindung di sebalik awan yang kelam. Semua itu membuatkan hatinya gelisah. Berbagai kemungkinan terlintas dalam benaknya. Segala cerita yang tidak enak didengar mulai menerjah ke minda. Izzati makin kecut perut pabila memikirkan tentang semua kemungkinan tersebut.

Namun dalam hati tidak putus berdoa. Itu sahajalah senjata yang paling ampuh saat ini.

Demi untuk keselamatan dan keselesaan Izzati masih membiarkan wajahnya ditutupi seperti keadaannya di dalam teksi. Kebetulan pula tudung bawalnya juga berwarna hitam. Tidaklah tampak terlalu janggal jika dibiar sebegitu.

“INI yang awak panggil report?” Syed Faliq mempamerkan senyuman sinis.

“Ini bukan balancing report, Nazril… This is rubbish!”

Syed Faliq yang sedang duduk serta-merta berdiri. Serentak itu fail yang dipegang lempar ke muka pintu. Tanpa mahu mendengar sebarang alasan.

Kini fail yang mengandungi beberapa helai penyata penting jatuh bertaburan di atas lantai. Merah padam mukanya. Kecil besar sahaja bola matanya memandang ke arah pekerja yang langsung tidak menunjukkan riak bersalah.

Jika tidak mengenangkan peraturan syarikat. Sudah tentu pekerja yang seorang ini diberikan notis berhenti kerja 24 jam. Biar padan dengan muka dan biar pemuda itu rasakan. Bukan sehari dua masa yang diberikan. Bahkan sudah lebih seminggu tempoh untuk akauntan muda itu menyiapkan laporan kewangan. Namun masih juga gagal untuk memberikan hasil kerja yang terbaik. Itu yang membuatkan darahnya mendidih.

Sorry, bos… I amend balik mana yang perlu.”

Nazril mengetap gigi. Kemudian pemuda itu tunduk mengutip fail yang sudah selamat menjadi mangsa piring terbang bosnya. Bersengkang mata menyudahkan semalaman. Senang-senang sahaja hasil kerjanya dilabelkan sebagai sampah!

Langsung tidak patut dan memang tidak berhati perut. Jika tidak kerana Syed Faliq adalah anak kepada pemilik syarikat tempatnya mencari makan, sudah tentu penumbuk sulung naik ke muka anak muda itu.

What? Amend?! You’re still talking about amendment? Like I said just now… This is rubbish and I believe you know what to do with all this rubbish right? So, do it again from A to Z. I want the bloody report on my table by tomorrow, before lunch break! Now get out from my room!!!” Suara Syed Faliq bergema memenuhi ruang.

Serentak itu juga sepi mengambil alih aras bangunan yang menempatkan bilik anak muda itu. Jika sebatang jarum yang jatuh sudah pasti dapat didengar dengan jelas ke mana arahnya.

Syed Faliq mencerlung tajam. Secara tidak langsung bahasa matanya telah menghalau pekerja tersebut agar keluar dari biliknya. Bungkam. Dia meraup wajah berkali-kali.

Apa saja yang melibatkan soal kerja, sudah tentu dia tak mahu ada sebarang cacat cela. Syed Faliq mahu menjadi orang kebanggaan walid dan ingin mengikut jejak langkah abang sulungnya. Cekap dalam urusan perniagaan.

“Ada staf pun tak boleh diharap,” gumamnya tanpa menyedari kehadiran figura seseorang depan muka pintu.

Syed Kharmizi benar-benar terpaku. Melihat cara adiknya bekerja dan mengendalikan orang bawahan. Bermakna angin yang bertiup kencang mengenai sikap Syed Faliq sememangnya tepat. Sepasang matanya telah menjadi saksi.

Tanpa perlu mengetuk pintu Kharmizi melangkah masuk ke dalam bilik adiknya.

“Apa hal ni, Faliq? Satu department boleh dengar suara kamu. Chill la, Nazril tu staf baru. Sepatutnya kamu guide dia bukan terus sembur macam tu. Minor mistake aje kut. Ingat, orang lain pun ada perasaan. Hati staf pun perlu dijaga. Gunalah pendekatan yang lebih baik untuk tegur dia orang. Bukan terus mengamuk macam ni.”

Setahu Syed Kharmizi adiknya bukanlah seorang lelaki yang panas baran. Jauh sekali untuk mengasari insan lain tetapi jika Syed Faliq sudah naik angin, boleh bergegar satu bangunan. Mungkin kerana usia yang masih terlalu muda dan kurang matang menjadikan Syed Faliq lebih cepat tertekan. Pantang ada masalah yang melanda pasti adiknya akan melenting.

Maka pekerja bawahan yang menjadi mangsa amukan Syed Faliq. Secara tidak langsung terderalah kakitangan di bahagian yang diterajui.

“Sebab sentiasa bagi mukalah dia orang pijak kepala kita. Kerja senang pun tak boleh nak buat!” tuturnya kasar. Tidak bersetuju dengan pandangan Syed Kharmizi.

“Ini bukan soal staf baru atau lama, abang. Kita ambil bekerja sebab kelayakan yang dia orang ada. Tapi kalau itu pun tak boleh nak buat, baik ambil budak lepas SPM. Entah-entah lagi pandai buat kerja.”

Botol air mineral dicapai dan diteguk rakus. Lega anak tekak saat cecair memasuki kerongkong. Syed Faliq melabuhkan punggung di atas kerusi. Sedang cuba menenangkan hati yang menggelegak.

“Abang rasa baik Aliq ikut saranan walid. Sambung ambil master, timba ilmu dulu. Aliq pun masih muda lagi.” Wajah adiknya direnung lama.

“Pendapat abang pun sama macam walid. Don’t waste your time, Aliq.”

Syed Kharmizi menasihati si bongsu. Supaya masuk ke telinga serta mengalir ke dalam kepala dan seterusnya melekat ke otak. Tak adalah asyik menyinga saja kerjanya. Angin pula sudah setara dengan puting beliung. Jika dibiarkan tidak mustahil bangunan Mutiara Jentayu akan ranap jadinya.

Punggung dihenyak di atas kerusi di hadapan adiknya. Dari setahun ke setahun Syed Faliq menunda pengajian. Bermacam alasan yang tidak munasabah terpacul dari mulut tiap kali diajukan dengan soalan yang sama.

Pleaselah, bang… Aliq tak nak fikir lagi pasal perkara ni. Setahun dua lagi barulah Aliq decide nak study kat mana and for time being Aliq just nak enjoy dulu.”

Syed Faliq berdesit. Muak dengan saranan yang sama. Baik abang, walid mahupun umi asyik ulang cakap perkara yang sama. Amat membosan. Seolah-olah tiada perkara lain yang ingin dibangkitkan.

Tidak ingin melayan hujah Syed Kharmizi, pantas saja tangannya mencapai beg galas. Segala dokumen penting disumbat ke dalamnya. Tidak ketinggalan juga komputer riba turut diangkut pulang bersama.

“Aliq nak baliklah bang, penat. Abang tak penat ke?” soalnya sinis. Dia menilik sekilas jam tangannya dan pantas mengayun langkah ke muka pintu. Meninggalkan Syed Kharmizi termangu dalam ruangan bilik tanpa rasa bersalah.

Lebih baik angkat kaki sebelum Syed Kharmizi berceramah. Sudah ada tanda-tanda yang si abang ingin memulakan tazkirah pendek. Maklumlah anak sulung walid yang seorang ini sudah boleh ganti jadi ustaz jika terdesak. Sama seperti walid, tak habis-habis dengan tazkirah tiap kali usai bersolat.

Sebaik keluar dari pintu lif, kaki diatur untuk mendapatkan kereta yang terpakir.

Tit… Tit…

Telefon bimbit yang berada di dalam saku seluarnya berbunyi. Menandakan ada pesanan yang masuk.

Miss you darling. – Erdina

Miss you too. – Syed Faliq

Nak jumpa. – Erdina

Where? – Syed Faliq

Bangsar. – Erdina

Okay. See you later – Syed Faliq

Saat ini wajah yang cemberut kian berubah riak. Bibirnya mengukir senyuman lebar. Tanpa berlengah pedal minyak ditekan untuk menambah kelajuan. Sudah tidak sabar ingin bertemu dengan gerangan yang telah menghantar pesanan terhadapnya.

Erdina, seorang gadis yang bijak bersosial. Mempunyai pakej yang lengkap. Kekayaan dan kejelitaan serta miliki susuk tubuh yang menarik lagi menggiurkan. Liuk lentok tubuhnya saja bisa mencairkan nafsu. Disebabkan itu juga dirinya perlu bersaing untuk mendapatkan cinta si gadis suatu ketika dahulu.

Tidak sampai tiga puluh minit merempuh perjalanan Syed Faliq tiba ke destinasi. Tidak sia-sia meredah jalan yang sesak. Dari jauh dirinya sudah dihadiahkan dengan sebaris senyuman yang berbisa. Senyuman itu jugalah yang membuatkan tidurnya tak lena. Bahkan sejak kebelakangan ini, dalam sedar atau mimpi dirinya sentiasa terigaukan Erdina Datuk Seri Emrizal.

Erdina memuncungkan bibir yang merah merekah. Tubuhnya sengaja dilentokkan dengan gaya yang manja dan menggoda.

Darling, lambat lagi.” Nadanya sensual.

Sorry, Dina. I busy sikit. Dah lama you tunggu?”

Senyuman Syed Faliq makin melebar. Wajahnya turut bercahaya. Sepasang mata menyapu bersih seraut wajah Erdina yang anggun. Buah hatinya memilih sehelai blaus yang bukaan lehernya melurut ke bahu. Turut menampakkan separuh dari bahagian dadanya. Sebagai lelaki normal matanya nakal meneroka.

“Dah setengah jam I tunggu kat sini. So, I nak upah.”

Erdina sedang menayangkan aksi kucing parsi. Jari telunjuk didaratkan ke pipi sendiri. Mahukan hadiah yang istimewa kerana masanya sudah terbuang begitu sahaja.

No Dina, bukan kat sini.”

Bola mata Syed Faliq meliar ke sekeliling. Manalah tahu ada yang melihat aksi nakal kekasih hati. Sudah pasti akan membuat berbagai andaian. Walhal adalah dua tiga kali mereka berlaga pipi. Dan kalau pun tangannya menjalar, masih lagi beralas pakaian. Hanya setakat itu saja kenakalannya.

So, you dari mana?”

Syed Faliq melencongkan topik.

“I dari butik Narra. My best friend buka satu lagi cawangan kat sini. So, dah alang-alang ke butik ada juga sepasang dua yang I berkenan,” ujar Erdina penuh keterujaan.

Wajahnya makin berseri. Pasal fesyen dia tidak kesah jika sehari suntuk bercerita. Sambil tangan menunjuk ke arah beg-beg kertas yang terletak di atas kerusi yang bertentangan.

So, apa hal you nak jumpa dengan I?”

Syed Faliq enggan memberi peluang pantas saja mencantas topik. Sejujurnya telinga telah tepu. Tiap kali bertemu hanya mendengar tentang fesyen. Manakala matanya pula menangkap ke arah beg-beg kertas yang dikatakan sehelai dua tadi. Jika dua buah kerusi di hadapannya sarat dengan beg-beg kertas. Bercetak pula dengan nama butik, maknanya bukanlah sehelai dua yang dibeli oleh kekasih hatinya.

Namun itu semua tidak menjadi soal padanya. Apa sahaja permintaan pujaan hati, Syed Faliq sanggup turuti. Dia tidak kesah walau berapa banyak sekalipun gadis itu akan minta ‘claim’ duit shopping kelak.

Bistro yang berada di dalam bangunan Bangsar Shopping Centre terletak di Jalan Maarof, masih lagi sesak dengan kenderaan. Walaupun hari sudah menjengah ke waktu malam. Angin makin kencang bertiup. Menandakan tanah Kuala Lumpur ini akan disirami hujan pada bila-bila masa sahaja.

Darling, actually I ada perkara nak beritahu dengan you. Sebenarnya lusa I dah nak berangkat ke New York dan lepas tu mungkin ke Paris dan London. Tak lama… About two and half years,” tutur Erdina seraya melentokkan kepalanya ke bahu Syed Faliq. Sebelah tangan menggosok manja ke paha teman lelakinya.

“Hah! New York, Paris and London?”

Mata Syed Faliq membulat. Mengapa tidak ke Kutub Utara atau Kutub Selatan? Lagi jauh. Saat ini keningnya berkerut. Pantas Syed Faliq memalingkan wajahnya beberapa darjah. Kepala gadis yang melentok jatuh dari bahunya tidak dihiraukan.

“You tak bergurau, kan?”

Sebagai insan normal Faliq terperanjat dengan keputusan tersebut.

Erdina mengerdipkan matanya. Mengiakan segala kata-katanya.

“Lusa you dah nak pergi hari ni baru you beritahu dengan I! Dua tahun setengah you kata tak lama?”

Faliq berang. Nadanya tegang. Wajah merah padam. Erdina tidak pernah mahu berbincang terlebih dahulu. Tidak seperti dirinya yang sering mendapatkan pandangan Erdina dalam banyak perkara. Meskipun ada kalanya pendapat Erdina langsung tak masuk akal. Jauh sekali untuk diguna pakai.

“Tak boleh ke kalau you belajar kat sini aje? Di sini pun apa kurangnya kalau setakat course yang you nak ambil tu berlambak-lambak.”

Jika sebentar tadi Syed Faliq hanya menoleh pandang ke arah Erdina. Kini dia sudah memusingkan tubuhnya beberapa darjah. Memaku ke wajah tidak bersalah yang si gadis pamerkan.

Tidak sedarkah Erdina yang dirinya terlalu mencintai? Malah Erdina juga menjadi penyebab dirinya menunda pengajian. Namun detik ini Erdina pula yang memberikan kejutan terlebih dahulu. Syed Faliq meraup wajah berkali-kali.

Ya! Saat ini perasaannya libang-libu. Otak pula telah tepu.

“Faliq!”

Intonasi Erdina bertukar rentak. Wajahnya berubah kelat.

“I ingatkan you sekali lagi ya… Fesyen adalah minat I, my soul. Tak ada sesiapa yang boleh halang minat I. Keluarga I pun tak boleh halang I, inikan pula you. You kena ingat yang kita berdua belum ada apa-apa ikatan lagi. You pun tahu kan yang I nak jadi designer yang terkenal suatu hari nanti. Tak mungkinlah I nak kuburkan cita-cita I hanya disebabkan you!” Erdina menegaskan pendirian.

Mata mencerlung tajam membalas panahan mata yang sedang menikam ke arahnya. Egonya tercabar. Tidak akan sesekali membiarkan hidupnya dikongkong. Tambahan pula oleh seorang pemuda yang langsung tiada kaitan dengannya. Erdina menegakkan duduknya. Tidak lagi terlentok manja seperti sebelumnya. Padanya, perasaan Syed Faliq langsung tidak penting.

Syed Faliq pula seolah kehilangan kata-kata. Dia meraup wajah hingga ke rambut dan seterusnya menggosok batang tengkuknya. Menghela nafas panjang. Cuba untuk mengawal perasaan. Malahan menukar nada agar Erdina termakan pujuk. Atau sekurang-kurangnya Erdina menanggguhkan pemergian untuk sedikit masa lagi.

“Dina… I bukan nak halang cita-cita you. I tak kesah kalau you nak belajar di mana sekalipun. Tapi apa salahnya kalau you berbincang dengan I dulu. Kita dah lama kenal Dina and we love each other. Tolong jangan buat keputusan yang terburu-buru macam ni.”

Faliq berlembut. Wajahnya juga telah berubah riak.

No Faliq! This is my decision.” Tegas Erdina enggan mengalah.

ButI love you, Dina.” Syed Faliq semakin tidak keruan dengan keputusan cinta hatinya.

“Okey I sanggup ikut you ke New York but you tangguhkan dulu flight you. Kita nikah as soon as posibble before we fly.

Saran Syed Faliq tanpa mahu berfikir panjang. Sesungguhnya dirinya tidak sanggup kehilangan Erdina. Dia juga amat yakin dirinya tidak akan lepas mengikut si gadis tanpa hubungan yang halal. Syed Faliq lebih mengenali walid dan umi. Bahkan berani mempertaruhkan jarinya sendiri. Kedua-dua orang tuanya tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

What? Nikah?!”

Matanya membulat. Kemudian si gadis tertawa lepas. Kepala digeleng berkali-kali. Setelah itu kedua-dua bola matanya dijuling ke atas. Cadangan yang langsung tak masuk akal. Cara Faliq bercakap tak ubah seperti seorang budak mentah yang terdesak.

“Faliq sayang, I nak sambung belajar. Bukannya nak nikah. I tak nak terikat dengan apa-apa komitmen buat masa ni,” tuturnya kasar.

“Kita masih muda Faliq baru dua puluh empat tahun. I takkan berkahwin selagi I belum puas enjoy dan kalau you nak nikah juga you carilah mana-mana minah yang sama desperate macam you!”

Erdina merengus kasar. Seolah-olah baru tersedar dengan kelancangan lidahnya. Selepas itu jari-jemari Faliq digenggam mengharapkan pengertian pemuda itu.

“I sayangkan you Faliq tapi I kena pergi. Semua ni untuk masa depan I. I’m so sorry, Faliq. Kalau you sayangkan I, you akan tunggu I.”

Erdina bingkas bangun dan mengatur langkah meninggalkan Syed Faliq yang terpinga-pinga.

Manakala Faliq pula menghantar kelibat Erdina dengan perasaan yang berbaur. Sudah bertahun mereka menyulam kasih. Sudah beribu ringgit duitnya melayang hanya kerana ingin memiliki si gadis. Kini Erdina berlalu tanpa mahu menoleh ke belakang lagi. Faliq amat kesal. Terasa diri tidak dihargai.

Inikah kifarat? Balasan Allah terhadap hamba-Nya barangkali.

Petang tadi sewenang-wenang dirinya memperlakukan salah seorang pekerjanya seperti sampah. Langsung tidak mengambil kira tentang hati dan perasaan insan lain. Kini belum sampai beberapa jam dirinya pula melalui perkara yang sama.

Syed Faliq melurut kasar rambutnya. Tindakan Erdina benar-benar menggores hati. Ternyata Erdina seorang gadis yang terlalu menjunjung ego serta mementingkan diri.

Terlalu murahkah harga cintanya terhadap Erdina?

Makanan yang terhidang di depan mata hanya dipandang sepi. Putus selera. Hilang rasa lapar yang ditahan semenjak tengah hari tadi. Semuanya gara-gara seorang gadis. Sedangkan pada awalnya Faliq sudah tidak sabar untuk menikmati makan malam bersama insan kesayangannya. Namun segalanya hampa. Ternyata cinta dan kasihnya telah tertewas.

Pinggan yang berisi spageti ditolak ke tengah meja. Minuman yang masih bersisa dalam gelas turut ditepis kuat. Menyebabkan bunyi pinggan dan gelas berlaga sesama sendiri. Mengejutkan setiap pengunjung yang berada di dalam bistro tersebut. Faliq tidak peduli. Sekeping not seratus dicampak ke atas meja dan segera berlalu. Dia ingin segera pulang. Fikirannya semakin bercelaru.

“HEy, girl… Apa yang you buat di depan rumah ni hah?!” soal Syed Faliq sebaik menurunkan cermin tingkap. Kaget. Sebaik tiba di hadapan pintu pagar kelihatan seorang gadis sedang menanti. Malahan sedang enak bersandar dan duduk bersila di tepi tembok. Amat mencurigakan.

Manakala di pihak Izzati pula dirinya tersentak pabila diterjah dengan sebegitu kasar. Mata yang baru terpejam membulat semula. Dia bingkas bangun dan menepuk punggung serta membawa langkah mendekati kereta yang berhenti di hadapannya.

“Maaf encik, boleh saya tumpang tanya? Ada tak orang ni kerja di sini?” Izzati menunjukkan kertas kecil yang bertulis nama dan alamat pak longnya kepada pemuda tersebut.

Dalam masa yang sama tubuhnya ikut membongkok beberapa darjah untuk menyamai aras pemandu yang sedang duduk di dalam kereta sport merah itu. Hanya dalam samar cahaya lampu jalan yang terbias dia melihat ke wajah si pemandu. Dan sebagai remaja bohonglah jika hatinya tidak bergetar saat terpandang seraut wajah di hadapannya. Seorang pemuda datang dalam satu pakej yang lengkap.

“Awak siapa dengan orang ni, ya?” tanya Syed Faliq ragu-ragu.

Pada pengamatannya sungguh pun perempuan itu menutupi sebahagian wajah tetapi gadis tersebut adalah seorang remaja. Dia menelah berdasarkan suara, gaya dan bahasa tubuh. Walaupun gadis itu hanya bertubuh kecil dirinya perlu berwaspada. Manalah tahu gadis itu ada memasang niat yang tidak baik terhadap diri mahupun keluarganya.

“Sebenarnya dia pak long saya,” terang Izzati sekadar yang perlu.

Kening Syed Faliq berkerut.

“Dia tahu ke awak nak datang ke sini?” ujarnya seolah-olah tidak percaya.

Jika dilihat pada alamat yang tertera memang tidak salah. Alamatnya tepat. Bahkan orang yang dicari juga tinggal di sini. Cuma Syed Faliq ingin tahu siapa remaja di hadapannya dan apa kaitan dengan orang yang dicari? Kalau setakat mengaku bapa saudara, siapapun boleh mengaku.

“Sebenarnya saya nak tumpang kat rumah pak long sementara nak dapat kerja. Dah banyak kali saya telefon tapi tak dapat, sebab tu saya datang terus ke sini. Betul ke pak long saya duduk di sini? Encik kenal dengan dia?” terang Izzati dengan panjang lebar. Jauh di lubuk hati berasa amat lega.

“Memanglah pak long awak tinggal di sini.” Syed Faliq garu kepala yang tidak gatal.

“Tapi dia tak ada sekarang ni… Pergi umrah. Baru pagi tadi berlepas ke Jeddah. Dua minggu lagi baru balik. Awak datang lain kalilah ya?”

Setelah itu tanpa pamit dan salam Syed Faliq menaikkan semula cermin kereta serta memandu masuk ke pekarangan banglo. Alat kawalan jauh pagar ditekan agar pintu pagar kembali tertutup. Membiarkan si gadis berseorangan di luar pagar. Gadis itu bukan urusannya lagi. Pandai-pandailah mahu ke mana sekalipun.

Dirinya, umi dan walid saja yang mendiami banglo ini. Abang Syed Kharmizi pula sudah tinggal berasingan. Manakala di belakang kawasan banglo pula ada dua buah bilik yang sederhana yang luas. Dibina khas untuk pembantu rumah dan pemandu. Di situlah mereka menumpang teduh sejak bertahun lamanya.

Disebabkan keakraban yang terjalin, walid dan umi turut membawa kedua-duanya bersama untuk menunaikan ibadah umrah. Sebagai mengenang jasa mereka kerana telah lama berkhidmat. Malah mereka berdua juga sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Namun sebelum melangkah masuk, Syed Faliq masih lagi memerhatikan gelagat si gadis dari muka pintu. Dari gerak-geri tampak tidak mencurigakan. Hati turut mengiakan yang gadis tersebut tidak berbohong. Namun dirinya seolah-olah dapat mengesan kegelisahan gadis tersebut dari samar lampu jalan. Dan si dia masih setia berdiri di luar pagar.

Syed Faliq juga yakin si gadis pasti akan beredar sebentar lagi kerana hujan sudah mulai turun. Rintiknya kian kasar. Tidak berlengah Syed Faliq menutup daun pintu serta berlalu ke kamar. Ingin segera menyegarkan diri dan menenangkan fikiran yang berkecamuk.

Usai membersihkan diri Faliq sekadar mengenakan seluar trek dan sehelai baju T tidak berkolar. Terus saja membaringkan tubuh ke atas tilam. Remote TV yang tersedia atas meja sisi dicapai. Sekadar ingin menonton untuk seketika sebelum melelapkan mata.

Tidak sampai sepuluh minit berbaring, perut yang sejak siang tadi kosong tidak diisi mulai berlagu. Baru tersedar yang dirinya telah mengabaikan waktu makan sendiri gara-gara tugasan yang tidak pernah habis. Petang tadi, dirinya tidak menjamah makanan yang terhidang. Jadi wajarlah jika perutnya berbunyi kala ini.

Dengan langkah yang malas Syed Faliq gagahkan kaki menuruni anak tangga. Mencapai kunci kereta dan seterusnya keluar dari rumah. Namun tidak berhasrat untuk pergi jauh cukuplah sekadar ke restoran yang berdekatan. Roti canai sekeping sudah cukup untuk mengalas perut hingga ke pagi. Tambahan pula ketika hujan sedang mencurah serta diselangi oleh ribut dan petir.

Baru hendak mengundurkan kereta matanya menangkap susuk tubuh seseorang. Sedang berlindung di bawah pohon kelapa di hadapan banglo. Gadis itu menutup kepala dengan beberapa helai kertas surat khabar. Baju pula makin basah walaupun masih belum lencun sepenuhnya.

Ya! Mengapa remaja itu masih di sini? Sedangkan sudah diberitahu yang Pak long Pilus tiada di rumah pada waktu ini. Malahan tidak akan pulang dalam masa terdekat. Terbit rasa musykil dalam benaknya.

Dalam hujan yang sedang menggila melalui cermin tingkap yang diturunkan separuh dia meneriak gadis tersebut.

Girl!” wajahnya juga turut terkena tempias air hujan yang berjaya menerobos masuk.

Girl, masuk cepat!”

Mana mungkin dirinya akan membiarkan si gadis begitu sahaja. Dirinya masih punya perasaan belas terhadap sesama makhluk. Apatah lagi terhadap seorang manusia. Tambahan pula remaja itu seorang perempuan. Dalam kepayahan berada di tempat pemandu Syed Faliq berusaha membukakan pintu di sebelah penumpang. Dalam benaknya sudah terlintas ingin menumpangkan gadis itu hingga ke hentian bas. Dalam keadaan hujan yang kian lebat dan bunyi guruh berdentum serta kilat yang sabung-menyabung, sudah pasti lebih menyukarkan pergerakan remaja itu.

“Tak apa encik, saya boleh tunggu sampai hujan teduh.”

Izzati menolak dengan baik. Walhal dirinya sudah hilang punca. Tidak tahu ke mana harus dituju dalam hujan yang sebegini lebat. Sudah berulang kali juga dia menghubungi abangnya. Tetapi malang telefon Abang Naim masih tidak berjawab.

Tubuh pula sudah terasa gigilan halus. Dalam masa yang sama diri dihambat rasa gusar yang bukan sedikit. Pemuda yang terlalu asing sedang mempelawa dirinya menaiki sebuah kereta. Entah ke mana akan dibawa kelak? Tidak kenal serta tidak tahu niat sebenar pemuda di hadapannya. Atau mungkin juga tidak berbeza langsung dengan dua orang penyangak di hentian teksi tadi.

“Lambat lagi nak teduh. Apa yang I nampak hujan makin lebat adalah,” balas Syed Faliq. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh si gadis.

Bengang! Syed Faliq menutup pintu kereta yang telah dibuka. Keengganan si gadis membuatkan dirinya terpaksa memandu kereta memasuki kawasan banglo semula. Kemudian dengan pantas mendapatkan dua kaki payung dan berpatah keluar.

Apa yang matanya lihat semakin dirinya menghampiri, si gadis kian bertingkah resah. Namun langkah tetap diayun. Sebelah tangan memegang kaki payung untuk memayungi diri sendiri. Manakala sekaki payung yang telah dikembangkan dihulurkan kepada remaja tersebut. Dengan riak wajah yang curiga payung pemberiannya dicapai oleh si gadis. Ucapan terima kasih pula tenggelam timbul bersama dengan bunyi dentuman guruh di langit.

Girl! Boleh tak you berfikiran matang sikit? Nampak tak sekarang ni hujan tengah lebat? You nak pergi mana sebenarnya? Lagi pun pak long you tak ada, you kena balik rumah. Tak kesian dengan parents yang risaukan you ke?” soalnya bertalu.

Dalam masa yang sama timbul rasa bengang. Benar-benar telah menyusahkan.

Sampai bila dirinya harus berdiri sama dalam hujan yang sedang menggila? Angin pula sedang bertiup kencang. Kaki payung terpaksa digenggam kuat untuk mengelak diterbangkan angin. Sukar benarkah untuk remaja ini faham? Bukan dirinya berniat tidak baik.

“Maaf encik, saya tak nak menyusahkan encik. Tapi saya baru datang dari kampung. Memang semata-mata nak jumpa dengan pak long kat sini,” tegas Izzati.

Jarinya menarik awning tudung yang sudah melepet dek ditimpa air hujan. Bahkan tudung yang menutupi hidung dan mulut sudah melekap sepenuhnya ke muka. Walhal Izzati juga sudah berasa rimas. Namun alang-alang sudah dilihat oleh pemuda tersebut dirinya berkeadaan begitu Izzati teruskan juga.

“Encik, lepas hujan teduh saya akan pergi.”

Izzati menerangkan dengan nada yang kuat bagi menyaingi bunyi hujan dan angin yang semakin menderu. Kemudian wajahnya menekur ke tanah setelah menyampaikan apa yang perlu. Tidak selesa dirinya direnung oleh insan yang terlalu asing baginya. Walaupun dia sedar wajahnya terlindung oleh tudung yang dikenakan.

Syed Faliq cuba untuk mengamati ke seraut wajah yang separuh berbungkus di hadapannya. Walhal otak sedang ligat berfungsi. Sedang memikirkan jalan terbaik untuk membantu. Bukannya boleh percaya sangat, manalah tahu auta yang lebih. Alasan mahu mencari kerja, entah-entah lari dari rumah. Jika tidak buat apa diangkutnya beg yang boleh tahan besar tu!

Syed Faliq mengesat air hujan yang tempias ke muka.

Well, you kata you tak nak menyusah I, kan? Kalau macam tu jom masuk dulu. Nanti kuyup pula kat sini dan kalau I demam memang I akan blame you tau. Sebab you dah menyusahkan I. Tengok, sekarang I yang kena berdiri dalam hujan hanya disebabkan you.” Tegas Faliq lagi.

Sejujurnya dia tumpang berasa simpati jika benar apa yang dituturkan si gadis. Sudah semestinya remaja ini tidak begitu arif tentang selok-belok bandaraya ini.

Izzati serba salah. Hatinya kurang enak dengan gelagat si pemuda.

“Tak apa encik, saya tunggu kat sini saja. Lagipun dah ada payung ni. Lepas hujan teduh nanti saya pulangkan balik payung encik.”

Izzati menolak. Bukan tidak sudi tetapi lebih kepada berhati-hati. Lelaki di KL selalunya baik ada makna. Itu yang sering telinganya dengar dan matanya saksikan dalam drama TV. Pengalaman di hentian bas sebentar tadi juga turut mengiakan segala tanggapan negatifnya selama ini.

“Habis tu you lebih rela basah kuyup kat sini?!”

Tanpa sedar suara Syed Faliq sudah naik satu oktaf. Bengang. Dia benar-benar simpati tetapi remaja itu pula yang jual mahal.

“Tak apa… Encik masuklah dulu. Biarkan saya di sini.” Izzati terus-terusan berkeras.

Faliq hampir hilang sabar dan mendengus kasar.

“Apa yang you takut sangat ni? I bukan nak buat apa-apa dengan you. Kalau you tunggu kat sini lagi ramai orang yang akan nampak. Mesti orang ingat I bawa balik perempuan lepas tu berasmaradana masa keluarga I tak ada di rumah. Sekurang-kurangnya kat dalam pagar tu tak adalah orang nampak. Lagipun I bukannya nak buat benda tak senonoh dengan you. Tolonglah young girl bagi kerjasama sikit.”

Macamlah aku teringin sangat nak try, muka pun tak nampak!

Syed Faliq geleng kepala. Sedar tindakan dan kata-katanya sedang menakutkan si gadis. Tetapi dirinya terpaksa kerana angin semakin kencang bertiup. Pohon kelapa yang si gadis berteduh sedang meliuk lentok. Penyudahnya Syed Faliq sendiri yang memutuskan. Tanpa membuang masa pantas dia mencapai beg milik si gadis dan menjinjing memasuki kawasan banglo.

“I biarkan gate tu terbuka. Jangan risaulah I just nak tolong you. Kalau you terpacak di sini, lagi orang akan curiga dengan you. Silap-silap orang report polis. Ini KL young girl bukan kat kampung you,” tuturnya mendatar. Agar si gadis termakan dengan kata-katanya.

Manakala remaja perempuan itu pula sering menundukkan wajah. Walhal wajahnya sudah separuh terlindung. Apa lagi yang nak disegankan? Tersesat dari planet mana entah!

Izzati diterjah rasa bersalah. Dengan langkah yang berat kaki tetap diayun membuntuti pemuda itu. Sedangkan debaran dalam dada makin kencang. Sama kencang dengan angin yang sedang bertiup. Bahkan telah ada tanda yang ribut akan membadai kawasan sekitar.

Lima belas minit berlalu. Kedua-dua ini insan masih menyepi.

Syed Faliq bersandar ke dinding sambil menyilang sebelah kaki sambil membuang pandang ke arah jalan. Kedua-dua tangan menyeluk saku. Sesekali batang tubuh itu mundar-mandir.

Izzati pula melabuhkan duduk di atas kerusi yang tersedia. Tunduk dan membisu.

Girl, you dah makan?” tanya Faliq

Sekadar ingin memulakan perbualan. Jatuh kasihan apabila melihat tingkah si remaja. Sejak tadi sering melarikan wajah dari diperhatikan. Walhal apa yang ingin dimalukan, sah-sahlah wajahnya sudah terselindung. Ketara sangat malu tak bertempat. Memang comfirm tiada keyakinan diri.

Izzati geleng kepala.

Lama Syed Faliq amati si gadis. Matanya melorot ke lekuk tubuh dalam sepasang baju kurung yang basah dan sudah melekap sepenuhnya. Walaupun perutnya lapar tetapi mata sudah kenyang memandang.

Honestly sebenarnya I nak keluar makan. I rasa lebih baik you ikut I sekali. Lepas tu I hantarkan you ke mana-mana yang you nak pergi,” kata Faliq seraya menilik ke muka jam di pergelangan tangan.

Harapnya itu antara jalan penyelesaian yang terbaik buat masa ini. Dalam pada itu dia cuba mengamati si empunya wajah disebalik tudung yang menutupi. Sekali lagi matanya hampa. Sebagai lelaki nalurinya tetap nakal. Manalah tahu dengan hanya melihat sepasang mata sahaja dirinya boleh jatuh cinta pandang pertama. Seperti yang sering ditayang dalam drama TV. Walaupun kebarangkalian terhadap remaja tersebut langsung tiada.

“Maaf, saya tak tahu encik nak keluar. Kalau macam tu saya pergi dulu. Terima kasih, encik,” tutur Izzati seraya mencapai beg baju yang berada di atas kerusi.

Aduh! Ada tersalah cakap ke? Syed Faliq garu kepala. Serta-merta dia menghadang laluan si gadis. Dan sepantas kilat juga wajah remaja itu menekur ke lantai.

“Kalau you tak kesah I drop you kat bus stop depan sana. Nanti apa pula kata pak long kalau dia tahu yang I tak tolong you.”

Syed Faliq merampas beg dan sekelip mata sahaja beg baju itu bertukar tangan.

“I betul-betul nak tolong you. I tahu you memang tak percayakan I tapi untuk malam ni… Pleaselah young girl you kena percayakan I sebab malam dah makin larut.”

Syed Faliq amat mengharapkan pengertian remaja tersebut.

So, ikut I ya? Kita pergi makan dulu. Lepas tu I hantar you kat mana-mana bus stop terdekat, hurm.”

Walau sebenarnya pujukan tersebut lebih berbaur arahan.

“Terpulanglah, you nak anggap I apa sekalipun. Yang pasti I tak ada niat jahat. I cuma nak tolong you.”

Syed Faliq menokok pabila tidak mendapat sebarang respons. Seolah-olah dapat membaca dengan jelas isi hati si gadis. Kemudian pantas saja dia memasukkan beg baju ke dalam perut keretanya. Tidak lupa juga membuka pintu bahagian hadapan untuk si gadis. Dan apa yang matanya lihat dalam takut-takut sepasang kaki itu tetap juga melangkah masuk ke dalam keretanya.

Tanpa membuang masa, Syed Faliq mengundurkan kereta. Pintu pagar kembali tertutup dengan hanya menggunakan alat kawalan jauh. Pedal minyak ditekan dengan kelajuan yang perlahan. Kenderaan tersebut merangkak pergi dalam hujan yang belum penat mencurah. Pengelap cermin pula bergerak sehabis laju bagi membenarkan matanya melihat ke cermin hadapan. Sudah tentu dirinya harus memberikan sepenuh tumpuan terhadap pemanduan dalam keadaan cuaca yang sebegini, jika tidak buruk padahnya.

“Dalam hujan lebat macam ni you berani lagi nak berjalan sorang-sorang? Tak tahu takut ke?” omel Syed Faliq.

Seraya menoleh sekilas dan melihat semula ke cermin hadapan pabila kata-katanya hanya dibiar sepi. Namun tidak sedikit pun Syed Faliq berjauh hati.

“Jalan pun dah sunyi, you tahu tak? Bahaya. Ingat sikit you tu perempuan. Jangan nak tunjuk berani sangat,” katanya lagi terhadap gadis yang baru sahaja dikenali.

Tidak salah rasanya untuk menasihati. Umur tampak masih terlalu muda. Sekali pandang seperti gadis yang masuk kategori ‘stok’ baik-baik. Tetapi mungkin juga tanggapannya salah. Manakala gadis yang duduk di sebelah pula hanya membisu seribu bahasa. Tiap patah perkataannya bak angin lalu. Tiada sebarang reaksi yang diberikan. Namun Syed Faliq tetap tak ambil peduli.

So, you datang ke K.L ni naik apa?” soalnya lagi.

Matanya masih pegun melihat ke hadapan. Meliuk pohon di kiri dan kanan jalan akibat dipukul ribut kencang. Pemanduannya kian sukar.

“Naik bas.”

“Hah! Naik bas.” Matanya membulat.

“Habis tu you nak balik ni ada bas lagi ke?”

Ekor matanya melirik jam di dashboard kereta. Mustahil masih ada lagi bas yang masih beroperasi pada waktu begini. Kecuali bas bagi perjalanan jarak jauh sahaja, ke pantai timur mahupun ke utara dan selatan.

“You sekolah lagi?”

Syed Faliq masih berminat menyelidiki. Biarpun setiap pertanyaan hanya dibiar sepi. Manalah tahu jika dirinya sedang membawa seorang gadis yang masih di bawah umur. Tambah parah jika si gadis lari dari rumah. Memang mencari nahas namanya.

“Baru habis.” Ringkas Izzati menjawab tanpa memandang ke sebelah pemandu.

“SPM?” soal Syed Faliq lagi.

“STPM.”

Syed Faliq angguk kecil. Telahannya tersasar. Gadis itu pula sedang memeluk tubuh dan sesekali tangannya yang bersilang ke dada. Ada kalanya menggosok-gosok ke lengan baju. Mungkin gadis itu sedang menahan kesejukan. Maklumlah baju berkain nipis itu sudah hampir lencun.

Sempatlah juga matanya menjeling ke arah tersebut. Sungguhpun dirinya seorang lelaki yang budiman tetapi Syed Faliq hanya manusia biasa. Iman di dada hanya senipis kulit bawang. Dirinya sentiasa tidak melepaskan peluang.

SYED FALIQ mencuri pandang ke seraut wajah yang terselindung di sebalik sehelai tudung. Punyalah panjang awning tudung yang sengaja ditarik lebih ke hadapan. Hingga mahu melihat sepasang mata pun payah. Sudahlah menutupi muka ala-ala berpurdah.

Sejujurnya amat menjengkelkan. Kerana itu Syed Faliq kurang gemar perempuan kampung. Majoritinya bajet ayu.

“Apa hal yang you asyik tarik tudung tu ke depan? Bukan you dah tutup separuh dari muka you ke?” soalnya bengang. Matanya rimas melihat tangan gadis yang tidak tahu diam, sekejap tarik ke sana sebentar lagi tarik ke sini.

“Kalau nak tutup semua, baik you bungkus muka you terus macam hantu bungkus,” sindir Faliq lagi. Semakin rimas dirasakan.

“Jangan risaulah I tak nampak pun muka you. Well… Budak berhingus macam you ni, dahlah dress up macam ni. Not my taste, pleaselah!” tempelaknya kasar seraya menyisip teh tarik yang berasap nipis.

Sudah banyak pasang mata yang memerhatikan mereka. Mana tidak menjadi bahan tontonan umum jika gadis itu tidak lekang dari menjinjing beg baju. Amat memalukan. Syed Faliq terpaksa tebalkan muka. Gara-gara si gadis yang tampak takut-takut. Itu semua jelas memperlihatkan gadis tersebut baru tiba dari kampung. Tak pandai nak cover langsung!

Sudah pasti sesiapa yang melihat tentu akan melabel sesuatu yang negatif terhadap dirinya. Masuk juga ke telinga malam ini dirinya bakal menikmati ‘ayam kampung dara’. Tetapi Syed Faliq sekadar memekakkan telinga. Janji niatnya ikhlas ingin membantu. Apa yang pasti mulut orang bukannya boleh ditutup.

“You anak saudara pak long yang asal dari Negeri Sembilan tu ke?” tanya Syed Faliq. Setahu Syed Faliq, pemandu keluarganya itu berasal dari negeri adat perpatih.

Izzati angguk kepala.

“Yang tinggal dua beradik tu? Mak dengan ayah dah meninggal pasal kemalangan, kan?” soal Syed Faliq selamba.

“Ya.”

Opsss sorry.”

Timbul rasa kesal kerana telah membangkitkan tentang perkara tersebut. Dia masih ingat lagi cerita pemandunya beberapa tahun yang lalu.

“You nak pergi mana lepas ni? I hantarkan.”

Syed Faliq menilik jam tangan berjenama TAG Heuer. Hampir pukul sebelas malam. Agak lewat untuk melepaskan si gadis bersendirian. Namun atas dasar simpati dan perikemanusiaan Syed Faliq masih ingin membantu. Walaupun dirinya sendiri sudah terlalu lelah dengan tugasan di pejabat. Jika ikutkan hati dia tidak ingin ke mana-mana lagi. Tambahan pula dalam keadaan cuaca yang dingin sebegini. Bantal dan selimut seolah mengamit dirinya untuk pulang.

“Sebenarnya saya kena tunggu sampai esok. Baru boleh pergi ke rumah kawan saya kat Damansara Damai. Malam ni mungkin saya tumpang tidur di masjid kut. Encik tolong tunjukkan saya mana-mana masjid yang dekat dengan kawasan sini boleh tak?” ujar Izzati tanpa memandang ke arah pemuda itu. Dia menguis mee atas pinggan.

“Masjid?”

Beraninya. Tak tahu takut ke minah ni?

“You ni biar betul?”

Satu permintaan yang dirasakan terlalu berat sebagai lelaki dewasa untuk memenuhinya. Dan sudah pasti dirinya tidak akan berbuat begitu. Jika gadis itu tidak matang, biarlah dirinya memutuskan secara dewasa. Bukannya tidur di rumah Allah yang tidak selamat. Malahan datangilah pada bila-bila masa sekalipun. Namun pada zaman sekarang sesetengah manusia yang Allah anugerahkan dengan akal dan fikiran tidak lagi ragu-ragu untuk menodai kesucian rumah ibadat tersebut.

Di pihak Izzati pula memang dirinya punya duit untuk menyewa hotel murah tetapi dia tiada keberanian untuk menginap di situ. Hendak menyewa bilik hotel yang ‘berbintang’ pula dirinya tidak mampu. Duit yang dibawa sebagai bekal tidak sampai empat ratus ringgit. Itu pun harus berdikit-dikit untuk menampung perbelanjaan hingga mendapat gaji pertama. Sedangkan kerja masih belum ada bayangnya lagi.

Syed Faliq pula tidak tahu untuk memberikan reaksi. Masih lagi meneruskan suapan ke mulut. Namun dalam benaknya ligat mencerna sesuatu. Sejujurnya tidak sampai hati untuk meninggalkan remaja itu bersendirian. Dan sudah tentu dirinya tidak akan mengambil keputusan sebegitu. Perasaan pemandunya juga perlu diambil kira. Dan jika walid dan umi mendapat tahu sudah tentu dirinya juga yang akan dibebel kelak.

Waktu isyak sudah lama berlalu. Keadaan cuaca turut tidak mengizinkan dirinya berbuat begitu. Tabung dalam masjid masih ada yang berani mencurinya. Inikan pula seorang gadis polos yang menumpang tidur sendirian. Silap haribulan ada yang berniat tidak baik dan mengheret remaja ini keluar dari kawasan tersebut. Serta membawa ke tempat yang tidak sepatutnya. Sudah pasti gadis naif seperti ini bakal menjadi habuan manusia yang bertopengkan syaitan. Nauzubillah.

Oh! Tidak sanggup memikirkan semua itu. Syed Faliq geleng kepala. Telefon dalam saku dikeluarkan. Saat ini hanya seorang sahaja insan yang terlintas dalam benaknya. Syed Kharmizi lebih tepat untuk memohon bantuan. Azrin turut bersama. Sudah pasti mereka berdua sudi untuk membantu. Tanpa berlengah, Syed Faliq mendail nombor seseorang. Beberapa saat kemudian talian bersambung.

“Abang, Aliq nak minta tolong sikit.”

Perbualan atas talian memecah sunyi antara kedua-dua insan dalam sebuah restoran.

Dengan kepala yang masih tertunduk Izzati hanya memasang telinga. Sesekali matanya mengerling wajah pemuda yang berkerut dan kemudian si dia tersenyum girang. Seraut wajah yang cukup kacak. Sekali pemuda itu melirikkan bibir hati Izzati mula berkocak. Tetapi tidak lebih dari itu. Dirinya hanya menikmati dan mensyukuri nikmat keindahan yang diciptakan Tuhan.

Drive safe, abang.”

Syed Faliq mematikan talian. Lapang dada. Syed Kharmizi ada dan sedia untuk membantu. Selesai masalah yang membelenggu. Telefon didaratkan semula ke atas meja.

Girl… Malam ni I tumpangkan you di rumah abang I. You jangan risau isteri abang I ada sekali. Tapi dia datang lambat sikit sebab baru on the way balik dari Melaka. Sementara tu you tunggu di rumah I dulu ya. Nanti abang I akan singgah ambil you.” Syed Faliq mengusulkan.

Walau sebenarnya permintaan itu lebih berbaur arahan. Dia tidak peduli jika pelawaannya ditolak sekalipun. Apa yang pasti sebagai seorang lelaki dewasa yang matang dirinya akan memastikan remaja itu mengikut Syed Kharmizi pulang. Sekurang-kurangnya untuk malam ini. Esok baru cerita lain.

Namun Syed Faliq amat pasti si gadis pasti akan menolak dengan seribu alasan. Dan sudah tentu dirinya sudah bersedia dengan hujah. Selepas itu, Syed Faliq yakin walaupun dengan langkah yang berat remaja itu pasti akan mengikutnya pulang.

“Tak apa encik, saya tidur di masjid saja. Saya tak nak menyusahkan sesiapa.” Izzati kaget.

Untuk kesekian kalinya Syed Faliq cuba meneliti seraut wajah yang sedang berselindung di sebalik sehelai tudung. Jika ikutkan hati ingin saja dia mendongakkan wajah si gadis agar bertentang mata dengannya pabila berbicara. Tetapi mustahillah untuknya berbuat begitu. Remaja itu bukan sesiapa dengannya. Apa yang pasti remaja itu terlalu kolot.

Listen young girl, you ingat selamat tidur di masjid tu sorang-sorang? Malam buta macam ni you tak takut? Ini bukan di kampung you. Ini KL. KL tau, K… L…” Faliq menjongketkan keningnya. Sengaja ditekankan konsonan K dan L. Biar gadis itu tahu jika tersalah langkah buruk padahnya.

Ekor matanya melirik keluar restoran. Beberapa saat kemudian Syed Faliq berbisik perlahan.

“Nampak tak mat rempit yang tengah bersidai di luar tu?”

Dia memuncungkan mulut ke arah sekumpulan mat motor yang sedang berkumpul di seberang jalan. Berhadapan dengan pintu masuk sebuah restoran yang lain. Walhal mereka sedang bersorak girang sebaik pasukan pilihan menjaringkan gol kemenangan. Tak lebih dari itu.

“Semuanya tengah tunggu mangsalah tu. You tau tak ini KL? You tak tengok TV ke? Perempuan diragut, kena rogol, lepas tu dibunuh dengan kejam. Mayat pula dikerat dan dicampak ke dalam sungai. You tak terfikir ke semua tu, young girl?”

Syed Faliq menakut-nakutkan si gadis di hadapannya ini dengan kejahatan dunia masa kini.

“I tolong you pun sebab you tu anak saudara Pak long Pilus. Kalau tidak I peduli apa… Nak jadi apapun dengan you, lantaklah. Nak kena rogol ke, kena bunuh ke, none of my business!”

Dengusan nafasnya berbunyi kasar. Walau sebenarnya dia sedang menyembunyikan senyuman yang ingin terlakar. Syed Faliq bingkas bangun lantas mencapai kunci kereta. Dompet dikeluarkan untuk membuat bayaran di kaunter. Sebaik membayar harga makanan, Syed Faliq menyambung bicara.

So, macam mana? Nak ikut I atau you masih nak berjalan-jalan dalam gelap tu sorang-sorang? Lepas tu semua mat rempit yang melepak tu boleh jadikan you ‘lauk’ kenduri dia orang.” Syed Faliq berpaling sekilas dengan raut wajah bergaris serius.

Tingkah remaja yang gelisah dijeling dengan ekor mata.

NAZRIL menghentikan kereta dalam gelap tidak jauh dari situ. Setelah mengekori sebuah kereta yang dinaiki oleh dua orang insan dari restoran berdekatan. Bola mata tidak lekang dari memerhatikan setiap gerak-geri pemuda yang berlagak dan sombong. Namun malam ini segalanya terbongkar. Rupa-rupanya si pemuda berperangai syaitan. Mungkin syaitan pun angkat bendera putih dengan sikap anak orang kaya seperti itu.

Di pejabat tunjuk jaguh. Kononnya seorang hero. Semua kerja yang orang buat segalanya tak betul dan tak kena. Konon tinggi sangat dengan etika kerja dan berdisiplin. Walhal perangai sebenar hanya Allah sahaja yang tahu. Apabila dengan perempuan disiplin dan etika ikut terbang ke laut!

Hati Nazril berbahang. Meluat melihat muka anak muda yang lebih kurang seusia dengannya. Berlagak dan sombong serta terlebih poyo.

Walhal perasaan yang membara siang tadi boleh dikatakan hampir padam sepenuhnya. Namun sebaik melihat kelibat Syed Faliq bersama dengan seorang anak gadis yang diusung pula tanpa mengira waktu, hati Nazril kembali tersiat. Api kemarahannya menyala semula.

Benar seperti yang diperkata, iman tidak dapat diwarisi. Tan Sri Syed Khalid seorang yang warak orangnya. Sama seperti anak sulung mereka Syed Kharmizi. Namun tidak kepada anak bujang yang seorang ini. Alim-alim kucing rupa-rupanya. Di hadapan orang tua pijak semut tak mati. Tetapi di belakang keluarganya bapak gajah pun anak muda itu pijak boleh lumat jadinya.

“Hai… Nasib kaulah Tan Sri dapat anak perangai mengalahkan jembalang!”

Nazril mengeluh. Tidak tergamak untuk memikirkan adengan seterusnya. Hanya rasa simpati yang menjalar terhadap gadis tersebut. Sudah pasti bakal menjadi mangsa nafsu rakus manusia. Mentang-mentanglah mereka orang kaya dan berharta. Harga diri insan lain langsung tidak menjadi isu terhadap manusia seperti Syed Faliq. Yang nyata nama tak selari dengan sikap yang ditonjolkan.

Dan apa yang pasti orang seperti ini harus diajar secukupnya. Sudah pasti akan menjadi sejarah buat lelaki perasan bagus itu. Semestinya pemuda yang perasan bagus dan poyo itu akan ingat hingga ke mati!

SYED KHARMIZI terhenyak di atas sofa ruang tamu rumahnya. Tangannya memicit kepala yang tidak sakit. Buntu. Itulah yang dirasakan pabila menerima buah tangan yang dihantar ke telefon bimbitnya beberapa jam yang lalu. Bahkan mungkin video tersebut telah tular di media sosial. Dengan kapsyen ‘Anak bujang Tan Sri Syed Khalid buat maksiat dalam rumah sendiri’.

Telefon bimbit pula tidak putus-putus menerima panggilan daripada sahabat dan saudara-mara terdekat. Sudah tentulah ingin bertanyakan tentang perkara tersebut. Kini doanya hanya satu, agar umi dan walid tidak mengetahui tentang perkara yang sedang heboh diperkatakan.

Dalam masa yang sama, sudah beberapa kali juga dirinya cuba untuk menghubungi Syed Faliq tetapi masih gagal. Atau adik bongsunya itu masih belum mengetahui akan hal tersebut. Mungkin juga sedang enak berselubung di bawah selimut tebal. Maklumlah pagi hari Sabtu begini. Tambahan pula dengan kedinginan cuaca pagi dek hujan mencurah pada lewat malam.

“Apa yang kita nak buat ni, bang?” soal Azrin gusar. Bukan saja nada suara tetapi wajahnya juga turut menggambarkan sebegitu.

Tambah merunsingkan pabila mengenangkan kedua-dua mentuanya yang sedang berada di tanah suci. Tan Sri Syed Khalid seorang yang usahawan yang terkenal dengan perwatakan yang bersederhana, warak serta merendah diri. Sedangkan di sini pula tersebar berita tentang anak bujang mereka. Bahkan telah membuat maksiat di dalam banglo mewah milik pasangan itu. Sejujurnya Azrin tidak betah untuk membayangkan bagaimana penerimaan kedua mentuanya kelak.

Manakala di hadapannya pula terlalu sukar untuk menelah. Sama ada gadis itu sendiri yang membuat onar atau ada insan ketiga yang terlebih ‘prihatin’. Apa yang pasti video tersebut menayangkan adik iparnya sedang mengusyar seorang gadis di sebuah restoran. Hingga berjaya dibawa pulang ke rumah sedang tular di media sosial. Sedangkan satu syarikat dan rakan taulan serta saudara-mara mengetahui yang keluarga mentuanya baru saja berangkat ke tanah suci. Saat ini mana mereka sekeluarga mahu meletak muka?

Syed Kharmizi geleng kepala untuk kali tidak terhitung. Pada hematnya si bongsu bukanlah seorang pemuda yang terlalu nakal. Apatah lagi seorang kaki perempuan. Setahu mereka, Syed Faliq sedang dilambung cinta bersama Erdina. Anak gadis seorang tokoh politik. Tetapi sesuatu yang pasti Syed Faliq juga bukanlah seorang malaikat. Jadi apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

Walaupun lewat malam tadi dirinya sendiri yang membawa gadis tersebut pulang ke rumah. Setelah Syed Faliq menghubungi.

Apa yang dirinya tahu gadis tersebut berlindung di dalam rumah keluarganya. Mungkin kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Namun mindanya tidak betah menelah apa yang berlaku sebelum kedatangannya ke situ. Mungkin benar pasangan tersebut telah melakukan perkara yang tidak senonoh. Atau mungkin rakaman video yang terpapar hanya satu salah faham dan berjaya dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Segala perkara berlegar dalam benaknya. Siapakah yang telah merakam video tersebut dan menyebarkannya dengan kapsyen yang sebegitu? Tidak lain dan tidak bukan hanya untuk memburukkan nama baik dan reputasi keluarganya secara peribadi dan juga dalam bidang perniagaan.

Syed Kharmizi merenung gadis yang mendakwa anak saudara kepada pemandu keluarga mereka. Apa yang jelas si gadis juga tampak murung dengan kejadian yang menimpa. Gadis itu tampak lurus dan naif. Sukar untuk dirinya membuat kesimpulan. Namun apa yang pasti perkara telah pun berlaku. Sama ada suka atau pun tidak, si gadis sudah terlibat secara langsung.

“Adik tahukan apa yang dah berlaku semalam?” soal Syed Kharmizi terhadap si gadis yang sedang duduk di atas sofa di sebelah isterinya.

Dia yakin Azrin telah menyampaikan tentang perkara tersebut. Kini Syed Kharmizi inginkan kepastian. Lalu mencapai telefon atas meja kopi. Selepas beberapa saat dia memainkan video yang dimaksudkan. Kemudian diserahkan untuk tatapan si gadis.

“Abang yakin adiklah perempuan dalam video ni?” katanya. Tak ubah seperti seorang anggota polis.

Sukar untuk menelah agenda si gadis. Dalam video tersebut gadis di hadapannya ini menutupi keseluruhan wajah. Hanya sepasang mata sahaja yang kelihatan. Tetapi berbeza pula pada pagi ini. Detik ini gadis tersebut menutupi kepala hanya dengan sehelai tudung tanpa menutup hidung dan mulut. Bahkan kulitnya cerah tanpa sebarang cela di wajah. Jadi untuk apa gadis tersebut melakukan sebegitu?

Bagi pihak Izzati pula, dirinya benar-benar tergamam. Setelah menyaksikan video tersebut kedua-dua matanya membulat. Memang pada awalnya sudah diberitahu oleh Azrin. Tetapi Izzati tidak menyangka pula kapsyen yang diletakkan membuatkan sesiapa yang membaca dan melihatnya lebih memandang serong. Dan secara tidak langsung telah menimbulkan fitnah.

Setelah menyaksikan rakaman yang berdurasi beberapa saat itu lidahnya kelu. Izzati hanya mampu mengangguk kecil membalas pertanyaan pemuda di hadapannya.

Hati berasa tidak enak. Apa kaitan dirinya dengan video tersebut? Bahkan kapsyen yang tertulis langsung tidak menggambarkan tentang perkara sebenar. Mujurlah wajahnya terselindung di sebalik tudung yang dikenakan. Jika tidak sudah tentu akan menjadi buah mulut orang kampung.

“Adik…”

“Abang dengan akak boleh panggil saya Izza,” tuturnya perlahan.

Sejujurnya mata melihat keresahan yang terpancar di wajah pasangan suami isteri itu.

“Okey, Izza… Abang nak Izza bercakap jujur dengan abang.”

Belum sempat Syed Kharmizi menyudahkan bicaranya si gadis terlebih dahulu mencelah.

“Demi Allah abang, akak! Bukan saya yang sebarkan video tu dan bukan saya yang suruh atau upah orang lain untuk aniaya keluarga abang,” ucap Izzati. Seraya mengangkat tangannya ke paras bahu seolah-olah sedang mengangkat sumpah lagaknya.

“Saya betul-betul tak tahu tentang hal ni. Maafkan saya abang. Kak Rin saya kena pergi dari sini,” ujarnya seraya bangun dari duduk. Walhal otaknya telah tepu.

Wait Izza, abang tak boleh benarkan Izza pergi dari sini selagi masalah ni belum selesai. Izza duduk di sini untuk dua tiga hari lagi, ya?” tegas Kharmizi tanpa mahu berkompromi.

“Rin temankan Izza naik ke atas,” usul Syed Kharmizi terhadap isterinya.

Akur dengan arahan suami, Azrin memimpin tangan si gadis yang longlai. Mungkin masih terkejut dengan berita yang sedang tular. Atau mungkin si gadis kurang sihat kerana berhujan semalam. Azrin kurang pasti. Apa yang jelas wajah gadis bernama Izza itu kelihatan pucat dan tidak bermaya.

Namun hanya selepas mendaki anak tangga kedua, deringan telefon suaminya sekali lagi bergema memenuhi ruang. Azrin pantas memalingkan wajah ke belakang. Ketika itu bola mata mereka saling memanah. Saat ini wajah suaminya pula yang berubah riak.

Syed Kharmizi merengus kasar. Pabila wajah walid yang tertera atas skrin telefon bimbitnya. Kepala digelengkan. Panjang nafas dihela dan melepaskan perlahan-lahan. Lambat-lambat Syed Kharmizi meleretkan jari ke dada skrin. Sedangkan dalam masa yang sama dia memberikan isyarat mata agar isterinya beredar dari situ bersama si gadis.

“Assalamualaikum, walid…”

“ALIQ tak ada pilihan. Walid dengan umi dah buat keputusan. Dia orang nak Aliq bertanggungjawab dengan berita yang dah tersebar.”

Syed Faliq meraup wajah berkali-kali. Serabut. Rambutnya kusut. Masuk kali ini sudah tiga kali telinganya ulang dengar perkara yang sama. Awal pagi tadi walid sendiri menghubungi. Selang beberapa jam kemudian, umi pula turut berbuat demikian. Kini setelah muncul di kelab, abangnya juga buka topik yang sama. Muak!

“Apa dosa Aliq pada budak tu hah?! Sampai macam ni sekali dia sanggup aniaya Aliq.”

Syed Faliq kesal. Hatinya tertanya-tanya sendiri. Mujur si gadis sudah berada di rumah Syed Kharmizi, jika tidak sudah tentu dia akan mengajar dengan secukupnya. Salahkah hanya kerana rasa simpati dan ikhlas ingin membantu sesama manusia kini dirinya sendiri yang terjerat? Bermakna telahannya benar sewaktu melihat gadis itu buat pertama kali, yakni langsung tidak boleh dipercayai!

“Nama dia Izza.”

What everlah!”

“Aliq tak boleh buat tuduhan membuta tuli. Kita tak tahu siapa yang punya angkara. Sekarang semua tu dah tak penting lagi. Apa yang penting kita kena bersihkan semula nama keluarga kita. Dan Aliq pun tahu apa yang walid dengan umi nak Aliq buat?”

“Mustahillah, abang.”

Syed Faliq geleng kepala. Tak mungkin. Jika walid dan umi sudah membuat keputusan dirinya juga sudah membulatkan tekad.

“Tak ada yang mustahil dalam dunia ni Aliq. Ajal, maut dan jodoh pertemuan bukan di tangan kita.”

“Senanglah abang cakap… Bukan abang yang ada di tempat Aliq!” Syed Faliq menempelak kasar. Hati lebih tersiat dengan kata-kata abangnya.

Honestly… Aliq tak tahulah macam mana abang, walid dengan umi berfikir.”

Syed Faliq membidas. Kepalanya digeleng beberapa kali. Padanya keputusan walid dan umi benar-benar tak masuk akal. Syed Kharmizi pula patuh tidak bertempat. Dan kerana itu dirinya pula yang menjadi mangsa keadaan.

“Betina perangai macam tu nak bawa masuk dalam keluarga kita? Come on bang, ini bukan drama TV tau… Hari ni kahwin esok cerai.”

“Ada ke walid dengan umi cakap macam tu? Abang pun tak kata yang Aliq kena bercerai-berai.”

Mudah Syed Kharmizi mematahkan hujah si bongsu.

Then what?!” soalnya kasar.

“Nak suruh Aliq simpan betina tu… Nak simpan orang yang dah memalukan Aliq!”

Syed Kharmizi merengus kecil. Sebagai seorang abang dirinya amat mengerti apa yang sedang dilalui oleh Syed Faliq. Tetapi itu tidak bermakna adiknya bebas mengeluarkan tohmahan dan kata-kata kesat. Sudahlah si gadis juga turut menjadi mangsa dan terbeban dengan apa yang telah berlaku. Kini Syed Faliq pula menjatuhkan hukuman dengan sewenang-wenangnya.

Sorry, abang tak dapat nak tolong Aliq kali ni. Walid dah suruh abang buat persiapan. Benda ni kena settle sebelum walid dengan umi balik ke sini. Supaya senang walid nak confess dengan kawan-kawan dan saudara-mara kita yang lain. Selain nak handle pihak media,” terang Syed Kharmizi lagi.

Dia mahukan kerjasama daripada adiknya. Semua itu demi maruah keluarga.

“Soal majlis resepsi umi tak ada cakap apa-apa lagi. So, kita proceed dengan majlis akad nikah dulu.”

“Tak! Aliq tak nak nikah dengan betina berhingus tu,” bantah Syed Faliq keras dan kasar.

Bola matanya mencerun ke wajah si abang. Sebelah tangannya menepuk tiang bersebelahan dengan sekuat hati. Melepaskan rasa yang terbuku dalam dada.

Let me remind you, Aliq… Ini keputusan walid dengan umi bukan keputusan abang,” tegas Syed Kharmizi.

My answer is no!” Syed Faliq tetap berkeras.

“Sama ada jawapan tu ya atau tidak, minggu depan Aliq tetap nikah dengan budak tu,” kata Syed Kharmizi. Dia hanya menyampaikan pesanan dan amanat walid. Tidak lebih dan tidak kurang. Apa yang penting pernikahan tersebut perlu berlangsung sebelum walid dan umi pulang.

“Esok abang nak pergi berjumpa dengan abang budak perempuan tu, nak bincang tentang pernikahan kau orang. Aliq nak ikut sekali?”

“Aliq tak tahu pula yang abang dah pandai bergurau sekarang ni ya?” sindir Syed Faliq. Seraya menghadiahkan jelingan tajam.

Kini perasaannya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Namun tidak adil untuknya melepaskan kemarahan yang bersarang terhadap abang sulungnya itu.

“Abang pun kenal sangat dengan perangai adik bongsu abang ni.” Syed Kharmizi menepuk ke bahu adiknya.

“Abang yakin Aliq tak akan sesekali memalukan keluarga terutama umi dengan walid.”

Syed Kharmizi pamer wajah bersahaja seraya berlalu dari situ. Walaupun dirinya juga kurang bersetuju dengaan keputusan kedua orang tuanya.

“Jangan confident sangat abang,” laungnya sederhana kuat. Dia yakin Syed Kharmizi dapat mendengarnya dengan jelas.

Sebaik Kharmizi berlalu tubuhnya terhenyak ke sofa. Dia meraup wajah berkali-kali. Tangan dikepal menjadi penumbuk hingga menimbulkan urat-urat halus. Jika si gadis berada di hadapannya saat ini pasti akan dilayang ke wajah tersebut.

Masalah dengan Erdina masih belum selesai, kini ditambah pula dengan permintaan keluarganya yang tak masuk akal. Stres.

Tidak lama kemudian telefon bimbit dikeluarkan dari saku seluar. Lantas jarinya mendail nombor seseorang. Hanya selepas beberapa deringan talian bersambung.

“Kak Rin…” Tanpa salam tidak seperti kebiasaan Syed Faliq menerjah kasar.

“Tolong pass telefon kat betina tu.”

“Ohhh…” Azrin tersentak di hujung talian.

Beberapa minit berlalu barulah talian bersambut. Terdengar suara gementar si gadis menghulurkan salam.

“Hoi betina! Kau tak payah nak tunjuk baik sangatlah!” sergah Syed Faliq kasar. Nadanya tinggi. Wajah pula berubah bengis walaupun tidak dilihat oleh si gadis.

Suara di hujung talian serta-merta menyepi. Izzati terkedu.

“Hei betina, kau dengar sini baik-baik… Sekali kau dah hancurkan hidup aku beribu kali aku akan hancurkan hidup kau. Kau ingat tu sampai mati!!!” tempik Faliq sehabis suara. Mujur dirinya berseorangan dalam ruangan tersebut.

“Dan satu lagi, pastikan aku tak nampak muka kau. Sama macam kau bungkus muka kau pada malam tu. Tak payah berangan nak tayang muka tak siap kau tu kat depan aku. Aku tak berminat. Dan kalau aku nampak, siap kau! Aku tak ragu-ragu nak simbah asid ke muka betina murah macam kau!”

Selepas itu telefon bimbitnya dilempar kasar. Mujur saja objek tersebut mendarat ke atas sofa di hadapan.

“AKU terima nikahnya Izza… Izza… Izza…” Ucap Syed Faliq teragak-agak.

Walhal dalam hatinya sudah bertan-tan menyumpah seranah. Nama si gadis panjang tak ubah seperti gerabak kereta api. Kemudian genggaman tangan bersama jurunikah terlucut. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Masuk kali ini sudah tiga kali lidahnya tersasul. Takdir juga seolah-olah sedang menyebelahi dirinya.

“Bawa bertenang Encik Faliq. Ambil nafas dulu kemudian kita mulakan sekali lagi, ya?” tutur jurunikah yang tampak begitu tenang. Sudah pasti berbagai pengalaman yang telah dilalui saat menikahkan pasangan pengantin.

Syed Faliq menjulingkan kedua-dua bola matanya ke atas. Silap besarlah jika jurunikah itu menyangka dirinya gugup dan berdarah gemuruh.

“Faliq…” Syed Kharmizi menepuk bahu adiknya dari belakang. Seolah-olah cuba menyalurkan kekuatan untuk si bongsu.

“Ingat pesan walid dengan umi. Aliq tak kesian dengan dia orang?”

Syed Faliq menoleh sekilas ke wajah abangnya. Air muka Syed Kharmizi seolah terlalu mengharap. Isyarat mata yang Syed Kharmizi berikan benar-benar meruntun jiwa. Dan dia juga sedar maruah keluarga tergalas di atas bahunya.

“Siapa nama budak tu?” bisiknya perlahan ke tepi telinga abangnya berserta rasa bungkam yang tidak bertepi.

“Apa pasal nama dia panjang sangat? Tak ada nama yang panjang lagi ke?”

Syed Kharmizi pula enggan bersoal jawab. Pertanyaan adiknya tidak dihiraukan. Dia mendekatkan sedikit tubuhnya ke sebelah Syed Faliq. Lalu berbisik perlahan.

“Boleh kita mulakan sekali lagi?” soal lelaki yang bertindak sebagai jurunikah. Mewakili wali pengantin perempuan yang hanya duduk bersebelahan dan hanya menjadi pemerhati. Seolah-olah tidak berminat untuk mewalikan adik perempuannya sendiri.

Syed Faliq angguk kecil. Sekali lagi tangan dihulur kepada jurunikah dan memasang telinga hingga tangannya digoncang. Apa yang pasti dalam situasi yang sebegitu dirinya ingin segera menyudahkan apa yang sepatutnya ditamatkan.

“Aku terima nikah Hanan Izzati binti Hambali dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai.”

“Sah.”

“Sah.”

Fuh! Lega. Dia meraup wajah. Sebaik telinganya menangkap perkataan sah daripada dua orang saksi. Cukup untuk meringankan bahunya. Bukan kerana tidak sabar ingin menikahi si gadis tetapi Syed Faliq sudah tidak sabar untuk beredar dari situasi yang menyesakkan dada dan mindanya.

Usai doa dibaca dan selepas bersalam dengan jurunikah, saksi dan wali. Syed Faliq bangun dari duduknya seraya membuka langkah. Tanpa mengerling ke arah pengantin yang duduk di kerusi sedikit ke belakang disamping kakak iparnya.

Walaupun Syed Kharmizi dan Azrin berkali-kali memanggil dirinya, Syed Faliq tidak menghiraukan. Kaki diatur menuju ke tempat pakir. Selebihnya pandai-pandailah Syed Kharmizi menguruskan. Gadis itu juga bukan urusannya lagi. Tiada juga istilah membatalkan air sembahyang seperti kebiasaan yang dilakukan oleh pasangan pengantin. Lagipun bukan dirinya yang gatal nak menikah!

Mana mungkin dirinya akan mendekati perempuan tidak bermaruah seperti itu. Sanggup berselindung dalam sepasang pakaian yang menutup aurat hanya kerana ingin memenuhi impian dan niat jahat. Muka pula bertutup ala-ala perempuan alim. Walhal semua itu dusta semata-mata.

Mungkin si gadis masih ingat pesanannya tempoh hari? Atau mungkin juga melakukan begitu hanya kerana fesyen semata. Maklumlah busana perkahwinan muslimah masa kini yang pelbagai. Syed Faliq kurang pasti. Apa yang jelas kulit muka sudah tebal berinci-inci kerana memperisterikan perempuan berkelambu seperti itu.

Mujur Erdina telah berlepas ke New York. Jika tidak sudah pasti kekasih hatinya juga akan meroyan melihat situasi sebegitu.

Dan beberapa minggu lagi giliran dirinya pula untuk berlepas ke luar negara. Syed Faliq telah memutuskan. Dia juga sudah membulatkan tekad. Jika walid dan umi tidak mahu berganjak dengan keputusan mereka, dirinya juga akan melakukan perkara yang sama. Walid sendiri yang mengajarnya erti sebuah ketegasan. Kini walid juga terpaksa menerima keputusan anak bongsunya dengan tegas.

Dia ingin meninggalkan negara ini. Dalam masa yang sama telah tiba masa untuknya melanjutkan pelajaran yang tertangguh. Segala kenangan di sini harus berkubur.

Peristiwa hari ini diibaratkan hanyalah satu daripada perjanjian perniagaan yang tidak menguntungkan. Itulah yang dirasakan saat ini. Selain rasa sakit hati yang menggunung. Selebihnya kosong.

SETELAH seharian keluar mencari ketenangan, saat ini badan benar-benar terasa lesu. Dengan sepasang baju Melayu berona putih mutiara yang masih tersarung, Syed Faliq menghenyakkan tubuh di atas sofa. Bukan sahaja tubuh tetapi otaknya juga telah tepu. Lelah dengan permainan takdir.

Di luar pula rintik-rintik yang tadinya halus mulai kasar dan beberapa detik kemudian makin mengganas.

Dalam samar lampu dinding yang terbias bola matanya mengerling jam dinding. Waktu telah menginjak ke pukul satu pagi. Banglo dua tingkat ini benar-benar terasa sepi tanpa umi dan walid. Manakala Syed Kharmizi dan isterinya telah pulang ke rumah mereka selepas maghrib tadi. Dan lebih menyakitkan apabila abang dan kakak iparnya meninggalkan gadis asing itu di sini. Di bawah bumbung yang sama dan sedang mengeram di dalam bilik. Itu yang diberitahu oleh kakak iparnya.

Ya! Kini dirinya semakin yakin dengan kehendaknya. Tanpa berlengah, Syed Faliq mengayun langkah menuju ke bilik tetamu. Perlahan pintu dibuka dengan menggunakan kunci pendua. Sebaik pintu terkuak tanpa segaris cahaya Faliq mengatur kaki untuk mengejutkan si gadis.

Saat ini Syed Faliq merasakan yang dirinya perlu duduk serta berbincang empat mata. Walaupun terpaksa, dirinya harus berhadapan dengan perempuan murahan itu. Dia telah membulatkan tekad. Syed Faliq telah berfikir dengan sewaras-warasnya. Perempuan keji itu harus diusir dari dalam hidupnya. Sebelum kepulangan kedua-dua orang tuanya dari tanah suci.

Sejujurnya hati memberontak. Jiwanya kacau. Fikiran langsung tidak tenteram. Segalanya berkecamuk. Matanya tidak boleh lelap. Selagi tidak meluahkan apa yang sedang terbuku di dalam dada. Dia ingin perempuan murahan itu tahu yang dirinya sudah tidak sanggup lagi untuk meneruskan pernikahan ini.

Manakala di luar kilat memancar dan melebarkan cahaya. Menerangi ke segenap ruang yang gelita untuk sesaat dan kemudian kelam semula. Di luar hujan sedang menggila.

Sebaik berada disisi katil, Syed Faliq tersentak. Seolah-olah dirinya pula disambar kilat yang baru sahaja menerangi kamar tersebut. Dan sebagai insan normal jiwanya bergetar. Pabila terpandang sekujur tubuh yang sedang berbaring. Rambut beralun mencecah ke belakang badan. Pakaian yang dikenakan ke tubuh terselak hingga ke paras lutut.

Hasrat untuk mengejutkan si gadis terbantut. Mindanya menegah. Nalurinya berkocak. Bermula dengan membelai helaian rambut serta aroma yang mengasyikkan, Syed Faliq semakin sukar untuk menahan perasaan. Membuatkan jiwa lelakinya memberontak. Inginkan sesuatu yang telah halal untuknya.

Dalam masa yang sama si gadis tersedar daripada lena.

Saat ini telinganya mendengar dengan jelas rayuan dan tangisan. Syed Faliq juga dapat merasakan seluruh tubuh gadis itu menggigil ketakutan. Namun tetap tidak mengendahkan. Tambahan pula rambut perempuan murah itu mengerbang hingga menutupi keseluruhan wajah. Tak ubah seperti ‘Mak Lampir’.

“Tolong… Jangan apa-apakan saya, encik.”

Gadis itu merayu sambil menutup keseluruhan tubuhnya dengan sehelai selimut.

“Kenapa nak minta tolong? Kau yang nak sangat, kan?!”

Sebelah tangan menanggalkan butang baju Melayu yang dikenakan ke tubuh. Manakala tangan kirinya menepis kasar rontaan tersebut. Detik ini dirinya hilang kewarasan fikiran.

Dalam pada itu remaja tersebut bingkas bangun dari katil. Dalam gelap tanpa segaris cahaya yang melatari ruang, gadis itu menapak mencari arah pintu.

Namun dengan pantas rambutnya direntap dari belakang. Diseret menuju ke katil. Gadis itu mengaduh kesakitan. Tubuhnya ditolak dengan kuat hingga terlentang ke atas tilam. Membuatkan suaranya kian nyaring memecah hening malam.

“Tolong! Tolonglah jangan buat saya macam ni.” jerit remaja itu dengan sekuat hati. Membuatkan ego Syed Faliq makin tercabar.

“Jeritlah! Jerit kuat lagi. Kau ingat orang boleh dengar suara kau tu!”

Ketika itu batang tubuhnya sedang memaku si gadis dari atas. Setelah itu Syed Faliq mencengkam kedua-dua lengan agar gadis itu tidak lolos.

“Jangan buat saya macam ni. Tolonglah, encik!” rayu si gadis untuk kali yang tidak terhitung. Sambil cuba menepis setiap perlakuan si pemuda. Namun apalah daya yang ada jika ingin berlawan tenaga dengan seorang lelaki. Tambahan pula dalam keadaan diri yang diserang demam panas.

“Tak ada sesiapa yang nak datang tolong kau. Sebab aku kesiankan kaulah hidup aku jadi macam ni. Sebab aku nak tolong kaulah… Kau sanggup aniaya aku. Sekarang kau rasa diri kau layak ke nak minta tolong dengan aku?!” jerkah Syed Faliq sehabis suara. Sekuat tenaganya juga.

Mengenangkan itu api kemarahannya menjalar semula. Tangan kanannya ringan mengayun ke pipi si gadis berselang-seli. Penyudahnya wajah yang tersembunyi di sebalik rambut yang panjang itu tertoleh ke kiri dan kanan akibat penangan tangan seorang lelaki. Tanpa ada perasaan belas.

Selepas itu dengan mudah Syed Faliq menepis setiap pergerakan yang semakin lemah. Tubuh remaja yang bersaiz kecil itu memberi banyak kelebihan terhadap dirinya.

“Kau tak nak orang tengok muka kau, kan?” tuturnya sinis.

“Nak tutup sangat, kan?!”

Sepantas kilat tangannya menyingkap cadar yang menutupi tilam dengan sekuat tenaga. Bahkan sehingga menutupi keseluruhan bahagian atas tubuh dan wajah si gadis.

“Hah! Sekarang aku tolong tutupkan untuk kau. Aku pun tak teringinlah nak tengok.”

Hatinya puas dan tidak memerlukan masa yang lama. Tubuh yang longlai itu terlalu mudah untuk ditakluki. Syed Faliq yang memaksa. Dia tertewas. Kini dirinya menikmati kenikmatan tanpa sebarang bantahan dan rontaan lagi.

Mungkin remaja itu sudah pengsan atau separa sedar. Dia tidak ingin ambil peduli. Jika mati sekalipun itu jauh lebih baik. Semua itu disebabkan rasa benci yang menjalar ke segenap pembuluh darahnya.

Setelah hujan mulai menyepi. Syed Faliq bangun lalu mengutip pakaian yang bertaburan di atas lantai. Namun sebaik mengenakan baju ke tubuh telinganya menangkap rintihan kecil.

Syed Faliq melurut kasar rambutnya. Tanpa cahaya yang menerangi bola matanya mengamati susuk tubuh yang sedang mengerekot. Mengigil ketakutan membelakangi dirinya di sebalik sehelai selimut yang menutupi keseluruhan tubuh.

“Yang kau menangis bagai nak rak ni pasal apa? Kau yang nak sangat kan?!” Syed Faliq merapati katil semula.

“Betina murah macam kau ni lebih baik mampuslah… Hidup pun menyusahkan orang!”

Syed Faliq mengeluarkan dompet dari saku seluar. Teraba-raba dalam gelap malam. Beberapa keping wang kertas dikeluarkan untuk dibayar kepada remaja tersebut.

“Ini upah untuk servis kau yang tak seberapa tu. But still not bad.”

Syed Faliq mencampakkan beberapa keping wang kertas ke atas tubuh si gadis yang masih berselubung. Seolah-olah dirinya baru sahaja meniduri seorang pelacur. Walhal telah terbukti yang si gadis masih suci. Namun ego menghalang dirinya untuk mengakui sebuah kebenaran.

“Dengan duit sebanyak tu kau boleh beli sepuluh pasang baju. Apa yang melekat di badan kau tu aku tengok dah sama tahap dengan kain buruk. So, jangan lupa tukar kain buruk yang kau pakai tu. Apa guna aku bela kau kalau tak boleh nak gantikan kain buruk yang melekat di badan kau tu.”

“Tapi apalah sangat dengan duit yang aku bagi tu, kan?” tuturnya dengan nada yang sinis.

“Aku rasa kau mesti perlukan duit yang banyak sebab tu kau sanggup buat kerja jijik macam ni,” cemuh Syed Faliq. Hanya untuk menyakiti.

“Hei betina! Aku rasa di sini bukan tempat kaulah. Tu…” Telunjuknya menuding keluar.

“Luar sana… Kat celah-celah lorong di situ paling sesuai dengan kau. Tak payah kerja teruk-teruk pun kau cuma… Opsss jijik aku nak sebut.”

Syed Faliq melampiaskan amarah yang tidak berpenghujung. Sedangkan hakikat sebenar dirinya sendiri yang menjadi peragut. Meragut mahkota suci milik seorang remaja belasan tahun.

“Hoi, betina! Kau dengar sini baik-baik, lepas ni kau jangan muncul di depan aku dan keluarga aku lagi. Aku tak nak tengok muka kau. Esok kau berambus dari sini. Macam aku cakap tadi tempat kau kat lorong sana. Itu tempat yang paling sesuai dengan kau. Dasar betina tak bermaruah!”

Suaranya memetir ke segenap ruang. Hingga menenggelamkan esakan si gadis. Tujuannya hanya satu untuk membuatkan gadis itu berasa sakit hati dan pergi meninggalkan dirinya.

Pada Syed Faliq jika remaja itu menghilangkan diri itu jauh lebih baik. Tiada beban untuk ditanggung dan tiada apa yang perlu dipertanggungjawabkan. Syed Faliq puas. Perempuan seperti ini tidak layak untuk dikasihani. Apatah lagi untuk diangkat martabat sebagai seorang isteri.

PEJAM celik, pejam celik rupa-rupanya sudah hampir tujuh bulan dirinya berkelana di kota besar ini. Berseorangan tanpa teman di sisi. Sekali-sekala Pak Long Pilus dan Fateha datang menjengah. Bukan Nurul Fateha menghilangkan diri setelah apa yang menimpa tetapi kerana gadis itu sedang melanjutkan pelajaran.

Sahabat baiknya diterima masuk ke UiTM. Terpaksa tinggal berdekatan dengan kampus di Puncak Alam. Namun semua itu bersebab. Dalam keadaan begini semestinya diri tidak sanggup untuk bersua muka dengan Fateha.

Buat masa ini Izzati hanya mampu menyewa sebuah bilik kecil yang dikongsi bersama dua orang rakan sekerja yang terletak di Bandar Sunway. Rumah pangsa kos rendah yang mempunyai tiga bilik dan satu bilik air. Disewa pula bersama enam orang yang lain tidak termasuk dirinya. Amat menyesakkan. Mahu atau pun tidak, Izzati terpaksa menghadapinya dengan tabah.

Sebagai pekerja kilang elektronik yang diikat secara kontrak dengan pendapatan hanya cukup-cukup makan. Dia akur dengan ketentuan takdir. Bahawa hidupnya jauh lebih sukar di kota besar ini.

Seperti hari-hari biasa sejak tiga bulan kebelakangan ini. Sewaktu pulang dari tempat kerja, untuk kali yang tidak terhitung diri dicemuh lagi. Intonasi yang sengaja ditinggikan. Agar dirinya dapat mendengar dengan jelas. Tentang tajuk hangat yang sedang dibahaskan oleh panel bincang petang.

Namun telinganya sudah lali. Izzati tetap meredah lorong itu dengan menebalkan wajah. Tiada lagi air mata kerana ia sudah kering berbulan yang lalu.

Akur dengan keadaan diri. Izzati menelan tiap tohmahan dilemparkan terhadap dirinya. Di kilang tempat mencari makan juga tidak terkecuali diri disisihkan. Bahkan rakan sebilik juga turut memandang serong pabila perutnya mulai membukit.

Perlahan-lahan tangan mengelus perut yang kian memulas. Izzati sekadar berbaring lesu di atas sehelai tilam nipis yang lusuh milik teman serumahnya. Sejak pulang dari tempat kerja kesakitan itu makin kerap berulang. Bahkan detik ini sakitnya kian kuat mengigit. Sesekali bayi di dalam perutnya menegang dan sakitnya bukan kepalang. Membuatkan tubuh berpeluh dingin. Jika ikut perkiraan belum masa untuk melahirkan. Kandungan baru saja memasuki usia tujuh bulan. Namun tidak mustahil juga jika bersalin awal dari tarikh yang dijangkakan.

Izzati gagahkan tubuh untuk berdiri. Hilang segala tenaga. Mana tidaknya hanya air paip saja yang masuk ke perut sejak dari pagi. Dek sakit yang menggigit juga sudah beberapa kali dirinya berulang ke bilik air.

Izzati mengerang kesakitan. Perut seperti mahu pecah. Sudah tidak betah berdiri tegak dan hanya mampu berbongkok. Tangannya meruntun ke tombol pintu bilik. Manakala satu tangan lagi terpaksa mengampu perut yang sudah tidak tertahan sakit. Kedua-dua belah kaki pula sudah tidak kuat untuk berdiri. Seluruh tubuhnya menggeletar kedinginan.

Ingin meminta bantuan teman serumah, tak seorang pun kelihatan. Empat orang daripada mereka bekerja syif petang. Manakala selebihnya mungkin menyambung kerja lebih masa.

Izzati menarik nafas panjang. Dipaksa tubuh untuk berdiri. Tidak boleh berlengah. Dalam menahan kesakitan yang mencengkam dia gagahi jua mencapai dompet. Kakinya seolah diseret untuk keluar. Saat ini dia merasakan terlalu jauh jarak antara tempat kediaman dengan jalan besar.

Sewaktu melintas hampir saja dirinya tersungkur ke tengah jalan. Mujur tidak dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah hadapan. Berdecit bunyi tayar kerana berhenti secara mengejut. Hingga Izzati terjelepok di tengah jalan. Tubuh sedang mengigil. Tiada daya lagi untuk bangun. Saat ini dia merasakan nyawanya benar-benar sudah berada di penghujung.

“Kak!” suara cemas seorang lelaki.

Izzati tidak mampu untuk berkata-kata. Seluruh anggota bertukar sejuk. Dia sedang menahan sakit yang bukan sedikit. Kedua-dua tangan hanya mengampu perut. Sakitnya mencengkam pada bahagian ari-ari. Keningnya berkerut-kerut. Peluh merenik di dahi.

“Ya Allah… Saya hantarkan ke hospital, ya? Akak boleh bangun tak?” tanya pemuda itu lagi. Namun tiada sebarang respons.

Dalam keadaan sebegitu Nuqman harus memutuskan secara rasional. Dari celah kaki seluar yang dipakai sudah ada darah merah yang mengalir keluar. Nuqman panik. Tanpa berlengah dia mencempung wanita itu masuk ke dalam kereta. Setelah itu pedal minyak ditekan menuju ke destinasi.

Walhal tubuhnya juga sudah berpeluh dingin. Pertama kali melalui pengalaman getir sebegini. Sesekali dia menoleh ke kerusi bahagian belakang. Sebaik tiba di hospital terus sahaja Nuqman mencempung ke atas stretcher yang tersedia. Beberapa orang petugas hospital pula bergegas untuk memberikan bantuan.

Kemudian Nuqman berpatah semula ke kereta Myvi milik ibunya. Ingin memakirkan di tempat yang sepatutnya. Selepas itu dia berhasrat untuk terus menanti di luar wad bersalin. Dompet dan telefon bimbit milik wanita itu tutut bersamanya.

Setelah lebih lima jam menanti, barulah wanita itu ditolak keluar untuk ditempatkan ke wad biasa. Nuqman ikut melangkah. Perlahan dia mendekati wanita yang sedang terlantar lesu di atas katil. Hatinya tersentuh melihat pengorbanan seorang ibu. Sanggup bertarung nyawa demi melahirkan seorang lagi umat Muhammad ke atas muka bumi.

“Akak…” Suaranya seakan berbisik.

Hurm…” Sahut wanita itu dengan suara yang lemah dan mata yang masih lagi terpejam.

“Saya Nuqman. Saya yang hantar akak ke sini tadi. Saya nak pulangkan semula telefon dengan dompet akak.”

Berhati-hati Nuqman meletakkan barangan kepunyaan wanita itu ke atas meja sisi di tepi katil. Waktu melawat telah lama berakhir. Tidak ingin mengganggu pesakit lain yang sedang beristirahat.

Izzati angguk kecil.

“Terima kasih encik sebab sudi tolong saya,” ucapnya tidak bermaya.

Suara makin serak. Walaupun masih terlalu lemah Izzati tidak tidur dia sekadar memejamkan mata. Tiap bait perkataan antara jururawat dan doktor dapat didengar dengan jelas. Izzati faham dan mengerti. Sungguh pun perbualan mereka dalam bahasa Inggeris.

“Kalau orang lain di tempat saya pun mungkin akan buat perkara yang sama juga, kak.” Nuqman menyimpul senyuman. Lagipun kawasan hospital sudah tidak asing lagi bagi dirinya. Ibunya bertugas di sini.

“Encik Nuqman… Boleh tolong saya sekali lagi?”

Sebak apabila mengenangkan keadaan bayi yang tidak berayah. Namun kepada siapa lagi dirinya ingin meminta bantuan selain daripada sahabat baiknya sendiri. Tetapi kali ini biarlah pemuda itu yang membantunya terlebih dahulu.

“Encik boleh tolong azankan anak saya? Dari luar inkubator pun jadilah,” pinta Izzati dengan suara yang tertahan-tahan. Sebu dan sebak semuanya menjadi satu.

Nuqman terkedu. Bukan tidak sudi tetapi kebiasaannya perkara itu dilakukan oleh bapa bayi tersebut mahupun waris terdekat. Namun Nuqman hanya mampu angguk kepala serta mempamerkan senyuman seadanya. Apalah sangat dengan permintaan sekecil itu.

“Insya-Allah, apa salahnya tapi akak panggil saya Nuqman ya?”

Izzati sedaya upaya cuba meleretkan bibir. Sebagai tanda menghargai budi baik pemuda itu. Tetapi ternyata dirinya tidak mampu untuk berbuat begitu.

“Terima kasih, Nuqman.”

Bola mata Nuqman sempat mengerling sesuatu. Melihat sebaris nama yang ditulis oleh jururawat pada papan putih di hujung birai katil. Wanita itu setahun lebih berusia berbanding dirinya. Masih terlalu muda tetapi sudah bergelar seorang ibu.

“Akak nak makan apa-apa, saya boleh belikan?” tanya Nuqman sebagai tanda prihatin.

“Tak, Nuqman. Saya belum lapar lagi,” jawab Izzati tidak jujur. Walhal perutnya sudah berkeroncong. Sepanjang hari belum sebutir nasi masuk ke perut. Tenaga yang bersisa turut hilang saat melahirkan puteranya. Cukuplah setakat itu dirinya telah menyusahkan insan lain. Izzati tidak ingin membebankan anak muda itu lagi. Hutang budinya terhadap si pemuda sudah tidak terbalas.

Nuqman angguk. Pantas berlalu ke bilik air untuk mengambil wuduk. Ingin menunaikan permintaan ibu muda itu. Seterusnya mahu turun ke kantin dan membeli makanan. Mustahil wanita itu tidak berasa lapar kerana malam sudah semakin larut.

Andaian sepintas lalu Nuqman dapat merasakan wanita itu sedang dilanda masalah. Namun siapalah dirinya untuk mengambil tahu.

NURUL FATEHA berlari-lari anak menuju ke wad yang dimaksudkan. Khabar yang diterima melalui panggilan telefon daripada seorang pemuda benar-benar mengejutkan. Patutlah selama ini Izzati sering mengelak untuk bertemu. Rupa-rupanya sahabat itu sedang menanggung penderitaan berseorangan.

Dari satu katil ke satu katil dia memerhatikan pesakit yang terbaring. Anak matanya meliar. Langkahnya termati pada sebuah katil yang paling hujung bersebelahan dinding. Sebaik terpandang tubuh sahabat yang tampak kurus dengan wajah yang pucat sedang terbaring lesu, hampir saja dia mengalirkan air mata. Jauh dari apa yang dibayangkan selama ini.

“Sampai hati kau…”

Fateha sedaya upaya menahan sebak di dada. Kerusi di tepi katil ditarik dan dia melabuhkan punggungnya di situ.

“Aku ni kawan kau, Izza.” Merintih dengan sikap Izzati yang terlalu berahsia.

Izzati yang baru terlelap membuka matanya semula. Wajah sugul Fateha direnung seketika. Bibirnya melirikkan senyuman kecil. Sahabat yang masih sudi menziarahi setelah diberitahu tentang keadaan dirinya.

“Teha…”

Fateha menggenggam erat jemari sahabatnya. Seolah ingin menyalurkan segala kekuatan yang ada.

“Kenapa kau rahsiakan daripada aku? Aku tak tahu apa yang dah terjadi kat kau. Sampai hati kau ketepikan aku. Kita dah lama berkawan, Izza. Apa pun masalah kau boleh berkongsi dengan aku.”

Air mata yang ditahan gugur jua. Yakin sesuatu yang buruk telah menimpa sahabat baiknya sepanjang berada di kota besar ini.

“Teha…” Ujar Izzati sebak. Terharu. Beruntung dirinya punya seorang sahabat baik seperti Nurul Fateha.

Izzati meraih tubuh Fateha. Puas ditahan namun air jernih yang menguasai kelopak mata terjun dengan semahu-mahunya. Seolah-olah ingin melepaskan segala bebanan yang sedang ditanggung.

“Teha, aku tak tahu dengan siapa lagi aku nak mengadu. Aku cuma ada kau. Orang buat aku macam sampah, Teha,” adu Izzati dengan sebak. Tangisan makin mendayu.

Sejujurnya Fateha kurang mengerti. Namun dirinya amat yakin bebanan itu terlalu berat untuk ditanggung. Jika tidak masakan sahabatnya terbaring di dalam wad bersalin. Apatah lagi dalam usia yang masih terlalu mentah.

“Orang bodoh aje yang tak tahu nak menghargai diri kau, Izza.”

Fateha mengelus bahu Izzati. Saat ini si gadis benar-benar memerlukan semangat dan dorongan. Dan sebagai sahabat sejati dirinya tidak lokek untuk berkongsi semua itu.

“Sudahlah tu, kau rehat dulu ya?”

Fateha membantu menyelimutkan tubuh dan kaki Izzati. Wanita bersalin tidak betah dibiar kesejukkan. Itu yang sering didengar.

“Aku turun bawah sekejap ya, nak beli stoking,” ujar Fateha seraya berlalu.

Dalam pada itu dia sempat mencapai telefon bimbit sahabatnya. Ingin menghubungi Pak long Pilus untuk memohon bantuan. Pantas kaki diayun ke kedai serbaguna. Ingin membeli barangan keperluan untuk ibu yang sedang berpantang. Namun dalam setiap langkahnya masih terngiang-ngiang tentang bicara sahabatnya sebentar tadi. Berbagai persoalan bermain dalam benaknya.