Lelaki Neraka

RM26.00

Penulis: Asraf Shaari

Caption: kejahatan tersembunyi disebalik kebaikan

ISBN: 978-967-406-257-6

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

Iskandar yang baru sahaja bekerja di sebuah hotel mengalami gangguan pelik sehingga dia dituduh membawa sial. Kehilangan pekerja sehingga kepada kes kematian amat sukar untuk dirungkai seperti satu rantaian yang telah dirancang dengan teliti.

Malik, seorang pemuda yang hidup sebatang kara menyara hidupnya sendiri dengan satu aktiviti yang di luar jangkaan fikiran waras manusia. Ilmu hitam seperti satu permainan bagi dirinya. Kekejaman tetap akan berlaku setiap hari selagi dia masih hidup.

“Semua ni sebab kau punya sial!” – ALYA

“Iskandar, percayakan Allah dan percayakan saya. Cuba tenangkan diri dan insyallah semuanya akan baik-baik.” – YUSUF

“Hari-hari memang kaya aku kalau daging tu laku. Kehkehkeh…” – MALIK

              Yang pasti, dalang di sebalik semua kejadian amat hampir seperti musuh dalam selimut. Si pelaku bijak menyembunyikan sifat yang sebenar. Berjayakah Iskandar merungkai misteri kejadian aneh itu? Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam hal itu? Semuanya akan terjawab menerusi Lelaki Neraka ini!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Iskandar memarkirkan motosikalnya di pekarangan bangunan lima tingkat. Hatinya berasa gembira dan ini merupakan hari pertama dia diterima untuk bekerja di syarikat perhotelan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah sewanya. Sebagai anak bongsu, banyak tanggungjawab yang perlu dipikul memandangkan adik-beradiknya yang lain masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga sendiri. Hanya dia sahaja harapan untuk membahagiakan kedua-dua ibu bapanya.

Helmet ditanggalkan dan disimpan kemas di dalam raga motor. Dia memeriksa rambutnya bagi memastikan berada dalam keadaan terurus. Cermin sisi dipandang berkali-kali bagi memperbetulkan rambutnya. Sesekali timbul rasa bangga kerana memiliki wajah yang tampan. Setelah puas dengan penampilan yang ditonjolkan, dia mula berjalan memasuki ruang lobi hotel yang menempatkan kaunter pertanyaan.

“Assalamualaikum,” ucap Iskandar kepada penyambut tetamu wanita yang mengenakan tudung berwarna merah.

“Waalaikumussalam, boleh saya tolong?” Lemah lembut sahaja pertanyaan dilontarkan wanita itu kepada Iskandar.

“Saya Iskandar, pelajar lepasan dalam jurusan pengurusan hotel. Saya dapat panggilan telefon daripada pengurus untuk diterima bekerja di syarikat ni.” Tangan yang berada di dalam kocek seluar perlahan-lahan menyisir rambut yang tersedia rapi.

“Oh… Sekejap, ya.” Penyambut tetamu yang bernama Zulaika beredar ke pintu belakang kaunter. Dalam beberapa saat, dia muncul bersama dengan seorang lelaki yang mungkin pada jangkaan Iskandar merupakan pengurus hotel tersebut.

Tangan dijabat mesra. Tanda nama Khalid jelas terukir pada bajunya. Dia dipelawa masuk ke pejabat sebelum dibenarkan duduk di sebuah meja kaca yang menempatkan minuman dan makanan seperti biskut dan snek. Segelas air kopi susu dicapai dan diteguk sebelum beberapa keping biskut coklat diambil dan dimakan.

“Nama saya Encik Khalid, saya merupakan pengurus di syarikat Cold Hotel. Encik Iskandar diterima bekerja di syarikat ini sebagai bell-boy. Kami sekarang kekurangan pekerja. Saya amat berterima kasih kerana encik menerima tawaran kami memandangkan kami amat memerlukan pekerja di bahagian ini.” Segelas kopi susu dihirup sebelum perbualan diteruskan.

“Soal gaji encik tak perlu risau. Kalau encik bekerja lebih masa akan ada bayaran tambahan. Setakat ni belum ada pekerja yang mengadu kekurangan gaji. Bayaran gaji akan dibuat setiap akhir bulan,” sambung Encik Khalid sambil mengelap sisa kopi susu di bawah bibirnya.

Iskandar hanya mengangguk faham. Dia memandang sekeliling ruang pejabat yang agak besar. Memang dah nama pengurus mestilah pejabat pun besar. Iskandar tersenyum lebar melihat beberapa buah lukisan anime seperti Dragon Ball dan Naruto. Mahu sahaja dia meledakkan gelak di hadapan pengurus tersebut tetapi dapat ditahan. Memang pengurus ni amat meminati kartun. Macam budak-budak pula. Fikir Iskandar.

“Bekerja di sini memang bagus, cuma kerja agak mencabar sikit. Kadang-kadang kena berhadapan dengan pelanggan yang pelbagai ragam. Pelanggan yang macam orang gila pun ada. Jadi, pandai-pandailah macam mana encik nak uruskan. Bukan senang nak puaskan hati semua orang, kan?” Encik Khalid tersengih sebelum meletakkan gelas yang berisi kopi susu di atas meja kaca.

“Panggil saja saya Iskandar. Saya ni tak biasa dipanggil encik.” Kepala digaru walau tidak gatal.

“Ya, saya faham keadaan kerja di sini memandangkan masa di universiti dulu saya telah belajar beberapa teori dan fahaman mengenai pengurusan hotel. Masa praktikal pun saya telah didedahkan dengan cara-cara untuk menguruskan hotel,” sambung Iskandar dengan ramah.

“Kalau macam tu baguslah, nanti saya akan perkenalkan Iskandar dengan beberapa pekerja hotel.” Fail di belakang kabinet diambil dan sehelai kertas berupa borang diletakkan di atas meja. Sebatang pen hitam turut disertakan.

“Iskandar isi borang penerimaan tawaran kerja ini dulu bagi mengesahkan kehadiran ke tempat kerja. Nanti Iskandar ambil kad rekod kehadiran setiap hari. Ingat tau, setiap hari kena punch sebab itu adalah rekod bagi pemberian gaji setiap bulan. Kalau terlupa, saya perlukan sekurang-kurangnya dua orang saksi untuk mengesahkan kehadiran. Saya tak akan selalu berada di sini untuk memantau. Boleh minta tunjuk ajar daripada pekerja senior sepanjang berada di sini,” jelas Encik Khalid sambil menghabiskan sisa minuman di dalam gelasnya.

“Baiklah, saya faham.” Iskandar mengukir senyuman dan anggukan tanda faham atas arahan yang diberi.

“Okey, mari saya perkenalkan Iskandar dengan penyelia senior di sini,” pelawa Encik Khalid sambil berdiri dan membuka pintu pejabat. Iskandar membuntuti dari belakang.

“Seperti yang Iskandar sedia maklum, ini Zulaika, penyambut tetamu.” Zulaika berdiri tanda hormat. Langkah dituruti sehingga ke bahagian pantri. Terdapat lebih kurang empat pekerja wanita sedang bersarapan bersama.

“Ini Maria, Camelia, Lisa dan Alya. Mereka pekerja di bahagian pembersihan bilik. Semua mereka ni pekerja lama.” Encik Khalid memperkenalkan keempat-empat pekerja wanita itu. Seorang demi seorang berdiri tanda hormat kecuali seorang pekerja wanita yang bernama Alya. Dia hanya duduk tanpa memandang Iskandar. Barangkali tidak selesa dengan kehadiran pekerja baru.

Iskandar tidak berasa hati dengan layanan salah seorang pekerja wanita tersebut. Mungkin hari pertama dia dilayan dengan begitu. Lama-lama nanti mesralah. Fikir Iskandar.

Langkah Encik Khalid dituruti sehingga ke bahagian kafeteria. Beberapa pekerja lelaki kelihatan sedang menghidangkan makanan di atas meja panjang yang menempatkan pelbagai makanan sarapan dan minuman. Beberapa pekerja lelaki dihampiri.

“Ini Johari dan Basri.” Masing-masing berjabat tangan dan membalas senyuman.

“Ini pula penyelia senior di sini, namanya Encik Norman,” ujar Encik Khalid sambil memperkenalkan penyelia yang akan membantu Iskandar semasa bekerja di sini.

“Okey, saya beredar dulu. Encik Norman akan bantu Iskandar kalau ada perkara yang tak faham. Sesuaikan diri, ya? Assalamualaikum.” Salam dijawab serentak Iskandar dan Encik Norman.

“Nama saya Encik Norman. Panggil aje saya Norman. Tak perlu malu dan tak perlu segan. Anggap aje saya ni macam kawan baik.” Norman memperkenalkan diri seraya membawa Iskandar ke ruang bilik lokar.

“Iskandar boleh simpan semua peralatan dan beg di sini. Jangan risau, semuanya selamat.” Norman menyerahkan anak kunci lokar di bahagian hujung. Beg galas dan kelengkapan peribadi disimpan dan dikunci.

“Semasa bekerja, kita tak boleh menggunakan telefon bimbit dengan kerap kecuali ada hal kecemasan. Kalau nak berurusan dengan pihak luar, telefon khas ada disediakan di kaunter pertanyaan di hadapan,” sambung Norman sambil memperbetulkan kolar baju yang dipakai.

“Semua pekerja baru kena ikut dan dengar arahan daripada pekerja senior. Perkara tu dah biasa di sini. Kalau dapat apa-apa tugasan atau kerja jangan banyak bertanya, semua perlu dibuat walaupun kerja tu luar daripada bidang.” Penjelasan diteruskan sementara Iskandar mula menggaru kepalanya.

Perkara di luar bidang? Harap-harap semua kerja baik-baik aje. Iskandar berkata dalam hati.

“Rasanya tak ada apa yang boleh saya jelaskan lagi, Iskandar boleh berkemas dulu di bilik lokar, nanti waktu rehat bila-bila masa pergi aje ke pantri. Ada makanan dan minuman disediakan.” Norman mengambil senaskhah surat khabar dan berlalu pergi.

Tanpa disedari, di atas lokar almari kelihatan sesusuk tubuh berwajah hitam sedang merenung Iskandar. Rambut panjang mengurai hingga ke kaki. Kelihatan gigi taring kemerahan seperti darah. Bau busuk yang tiba-tiba menyengat memaksa Iskandar memeriksa sekeliling tempat. Ditolehnya ke arah lokar. Kosong. Tiada sebarang tanda dan bau busuk tadi serta-merta hilang.

Mungkin perasaan aku kut. Iskandar menyedapkan hati sambil berlalu keluar dari bilik lokar tanpa menyedari bahawa dia bakal berhadapan dengan rintangan yang tidak terduga seumur hidupnya.

Jam menunjukkan pukul 6.15 pagi. Iskandar bangun dengan bertemankan udara sejuk yang menusuk hingga ke tulang sum-sum. Malas terasa hendak ke bilik air yang sentiasa sejuk. Rakan serumahnya, Jamal tidak pulang ke rumah disebabkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah. Waktu rakannya pulang ke rumah selalunya seawal jam 8.30 pagi.

Ini merupakan hari kedua dia bekerja di tempat baru. Dia masih perlu banyak belajar untuk menyesuaikan diri sebagai bell-boy di sebuah hotel. Sementara ini, antara rakan sekerja yang lebih dia selesa bersama ialah Norman. Mungkin kebanyakan pekerja lain masih sedang menyesuaikan diri dengannya.

Setelah selesai menunaikan solat subuh, jam 7.00 pagi Iskandar mula bersiap ke tempat kerja. Beberapa ketul ayam goreng yang sempat dipanaskan sebentar tadi dimasukkan ke dalam bekas kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam beg galasnya. Dia lebih selesa dengan membawa bekal makanan dari rumah yang dimasak sendiri berbanding membeli di kedai.

“Is, sampai kat bandar nanti pandai-pandai jaga diri, ya? Dekat tempat orang jaga adab dan budaya kita, jangan terlalu ikutkan budaya yang tak elok.” Pesanan ibunya, Mak Kina masih lagi terngiang-ngiang dalam fikirannya. Tidak sampai hati dia meninggalkan ibu dan bapanya di kampung memandangkan dia merupakan anak bongsu kesayangan orang tuanya. Tapi, apakan daya dia tidak akan selamanya seperti katak di bawah tempurung.

Semasa mendapatkan motosikalnya di pekarangan rumah, sempat dia membalas senyuman kepada seorang wanita Cina yang sedang menyapu sampah di halaman rumah. Dia tidak berapa mengenali jiran-jiran di kawasan perumahan itu memandangkan dia telah mula bekerja setelah berpindah beberapa hari yang lepas.

Motosikal ditunggang cermat keluar dari kawasan perumahan menuju ke lebuh raya yang sibuk. Waktu seperti ini keadaan jalan raya telah mula sesak dan agak sukar untuk keluar daripada kesibukan kota. Namun sebagai penunggang motosikal, dia kurang mengalami keadaan tersebut.

Selang beberapa meter selepas lampu isyarat, kelihatan sebuah kereta remuk dilanggar sebuah lori tangki. Iskandar dapat melihat dengan jelas keadaan mangsa yang malang itu. Kelihatan seorang wanita tersepit di dalam kereta dengan separuh mukanya hampir hancur. Dilihat darah melimpah-ruah membanjiri jalan raya. Polis trafik sedang mengawal lalu lintas sementara menunggu bantuan ambulans ke tempat kejadian. Dilihat sebelah mata wanita tersebut hampir terkeluar dan masih lagi tergantung di soket matanya. Hampir tidak dapat dikenalpasti identiti mangsa terbabit.

Iskandar tidak sanggup melihat keadaan wanita malang yang seperti nazak dan menunggu masa nyawa dicabut Izrail. Tanpa membuang masa, motosikal dipecut laju mencelah antara beberapa buah kereta. Bimbang jika terlalu lama berada di kawasan tersebut dia akan terkena badi. Dalam diam dia mendoakan keselamatan wanita itu. Semoga dapat diselamatkan.

Sampai sahaja di lobi hotel, dia dikejutkan dengan laungan dan tangisan beberapa pekerja wanita. Tergopoh-gapah Iskandar meluru ke arah beberapa pekerja wanita yang bagaikan tidak lagi berasa segan silu menangis di khalayak ramai sambil diperhatikan beberapa penginap. Serta-merta Iskandar mendapatkan Zulaika yang turut serta menenangkan keadaan.

“Zulaika, apa yang berlaku ni? Kenapa dia orang semua ni?” soal Iskandar dengan pelbagai persoalan bermain dalam mindanya.

“Kami dapat panggilan daripada pihak polis yang mengatakan salah seorang pekerja, Camelia baru mengalami kemalangan sebentar tadi,” ucap Zulaika sambil menahan air mata daripada menitis. Sebak dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Mungkin Zulaika lebih kuat semangatnya berbanding dengan beberapa pekerja wanita di situ.

Iskandar terperanjat. Baru semalam dia melangkah ke tempat kerja dan belum menyesuaikan diri sepenuhnya tiba-tiba hari ini dia dikejutkan dengan berita salah seorang pekerja wanita yang mengalami kemalangan.

Inalillahiwainalillahirajiun…” Hanya itu yang mampu dia ucapkan. Jangan-jangan kemalangan tadi yang dia lihat tu agaknya Camelia, pekerja wanita yang dimaksudkan membayangkan rambut wanita berkerinting dan berwarna perang yang dilihatnya.

“Is, buat sementara ni awak jaga kaunter penyambut tetamu, ya? Ada beberapa pekerja yang tak ikut kami dah maklumkan perkara ni, semua perkhidmatan yang ditawarkan hotel ni tergendala buat sementara waktu,” kata Zulaika sambil tergesa-gesa keluar dari kawasan bangunan hotel diikuti beberapa pekerja wanita yang menangis sebentar tadi.

Kelihatan Norman juga tergesa-gesa diikuti Encik Khalid bersiap-siap untuk ke tempat kemalangan yang dimaksudkan.

“Iskandar, kami terpaksa pergi dulu. Maaf kalau hari bekerja awak tak seperti yang diharapkan. Sekejap lagi Yusuf akan datang tengokkan awak.” Sempat pesanan dilontarkan Norman sebelum menghilang bersama Encik Khalid.

Iskandar hanya memandang kelibat yang telah berlalu pergi sambil menghembuskan nafas. Terasa seperti hari ini tidak berlaku seperti yang dijangka. Rasa kasihan kepada pekerja wanita, Camelia. Tak sempat berkenalan dan beramah mesra. Hari ini satu malapetaka telah menimpa. Takdir Allah, tiada seorang insan di muka bumi ini yang menjangkakannya. Semua ketentuan telah ditetapkan. Hanya manusia perlu bersedia menghadapinya.

Dari pintu masuk kelihatan seorang lelaki berkopiah putih dengan wajah bersih melontarkan senyuman. Lihat daripada perwatakannya kelihatan seperti lelaki awal usia 30-an dan masih muda. Kemeja biru dan seluar slek dikenakan bersama dengan jaket rasmi pekerja amat sesuai dipadankan sekali. Melihatkan kopiah di kepala membuatkan dia terfikir, mungkin lelaki ini kuat agama.

“Assalamualaikum, saudara,” ucapnya setelah berdiri di hadapan kaunter menghadap Iskandar sambil menghulurkan tangan.

“Waalaikumussalam.” Salam dijawab dan huluran tangan disambut mesra.

“Ya encik, boleh saya bantu?” Iskandar memulakan bicara.

“Saya Yusuf. Pekerja di hotel ni juga. Saya bekerja di bahagian housekeeping. Ini Encik Iskandar, kan?” Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

“Oh, ya saya. Encik Yusuf yang ini rupanya. Encik Norman ada beritahu saya supaya Encik Yusuf tengokkan saya hari ni sementara pekerja lain melawat tempat kemalangan.” Teringat pesanan Encik Norman beberapa minit yang lalu.

“Ya, betul tu. Encik Iskandar masih baru lagi. Kalau ada apa-apa pertolongan, saya akan membantu. Walaupun perkhidmatan hotel ni tergendala sementara waktu, tapi perkhidmatan check-in hotel masih diteruskan memandangkan ramai pelancong datang ke sini,” ujar Yusuf sambil mendapatkan tempat di sebelah Iskandar.

“Terima kasih, Encik Yusuf. Saya sedang membiasakan diri. Harap-harap sangat kehadiran saya sebagai pekerja baru dapat diterima dengan baik.” Iskandar gugup. Dia masih cuba membiasakan diri.

“Tak ada masalah. Kehadiran Iskandar sebagai pekerja baru meringankan beban kami di sini. Apapun, panggil saya Yusuf. Tak perlu berencik-encik.” Yusuf mencapai sebatang pen sebelum jari-jemarinya menari mengetuk meja kaunter menghasilkan irama yang tidak menentu.

“Iskandar nak tahu sesuatu, sebelum ni beberapa bulan lepas, ada seorang pekerja bunuh diri terjun dari atas bangunan 5 tingkat ni. Alasannya, sebab tak tahan diganggu. Biasalah, di dunia ni bukan manusia sahaja yang wujud. Kemalangan yang berlaku pada Cik Camelia tu pun mungkin sebab kecuaian atau memang dah ditakdirkan untuk berlaku disebabkan ada kesilapan yang dilakukan.” Penjelasan Yusuf membuat Iskandar terkejut lantas dahinya diseka. Tidak disangka tempat kerja barunya mengalami kejadian seperti ini.

Belum sempat Iskandar bersuara, Yusuf menyambung ceritanya lagi.

“Manusia apabila membuat kesalahan mereka langsung tak sedar, tapi kesalahan manusia lain cepat aje mereka sedar. Mereka seolah-olah Tuhan yang layak menghukum sesama manusia. Mungkin juga kematian ngeri manusia ada kena-mengena dengan dosa atau kelakuan mereka. Siapalah kita ini sebagai manusia kerdil?”

Iskandar mendengar penjelasan Yusuf dan mengagumi lelaki tersebut yang petah dalam menyebarkan dakwah. Namun, timbul satu perasaan pelik dalam penjelasan itu tetapi dia diamkan sahaja dan tidak berani untuk bertanya.

“Iskandar jangan bimbang, perkara macam tu takkan berlaku kalau kita patuh pada perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hidup kita hendaklah berpaksikan pada syariat Islam. Cara hidup kita hendaklah dibezakan dengan cara hidup masyarakat bukan Islam.” Yusuf menyambung dan kemudian meletakkan pen yang dipegangnya ke atas meja.

Iskandar sekadar mengangguk. Terpukau dengan insan yang baru sahaja dikenalinya. Terdetik kegembiraan dalam hatinya untuk berkawan rapat dengan Yusuf. Banyak perkara mengenai Islam dan ilmu agama dapat dituntut. Terfikir pula, betapa jahilnya dia dengan ilmu agama senipis kulit bawang. Kerdilnya dia berada di samping insan yang bernama Yusuf.

“Iskandar, saya berlalu pergi ke bilik lokar dulu, ya. Saya nak simpan barang-barang ni dulu,” kata Yusuf sambil meminta kebenaran untuk berlalu pergi.

“Baiklah, terima kasih. Sedar atau tidak banyak juga ilmu yang saya dapat pagi ni.” Iskandar hanya mengeyakan sahaja sambil melihat beg galas Yusuf yang masih dipeluk di dadanya yang sedari tadi belum disimpan ke bilik lokar.

“Tak mengapa, saya hanya menjalankan amanah saya sebagai seorang manusia.” Yusuf berkata sambil berlalu pergi.

Iskandar masih memikirkan persoalan di mindanya. Terasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kata-kata yang dijelaskan Yusuf. Akhirnya, perkara tersebut dilupakan dan komputer di hadapan menjadi perhatian. Papan kekunci ditekan dan laman sosial kini dihadap bagi membalas komen dan membaca kisah-kisah yang dimuat naik ke laman Facebook.

Tanpa disedari, kelibat hitam pantas kelihatan melintasi ruang lobi dan menuju ke arah bilik lokar yang terletak tidak jauh dari tempat itu. Kelibat itu sempat menyeringai sebelum dengan laju menghilang dari kawasan tersebut. Persoalannya, kelibat apa itu?

Norman menunggu di ruang lobi bersama dengan beberapa pekerja hotel. Encik Khalid mengambil tempat bersebelahan Norman sementara beberapa pekerja wanita yang turut serta hadir masih melayan perasaan sedih sambil ditenangkan beberapa pegawai wanita yang bertugas.

“Macam mana boleh berlaku kemalangan macam ni? Pelik juga, ni dah kali kedua pekerja hotel mati. Sorang mati terjun bangunan dan kali ni seorang lagi pekerja sedang nazak.” Norman meluahkan perasaan yang terbuku kepada Encik Khalid.

Encik Khalid meraup wajahnya. Dia sedang memikirkan nasib hotel yang ditadbir. Sebagai pengurus, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat lebih-lebih lagi mereka kini mempunyai pekerja baru.

Beberapa orang jururawat berpusu-pusu dengan urusan masing-masing. Kelihatan juga beberapa warga emas dan juga kanak-kanak yang turut mendapatkan rawatan di hospital kerajaan itu. Bau ubat-ubatan menusuk hidung. Dalam keramaian dan kesibukan di hospital dilihat satu lembaga bergigi taring dan berwajah hodoh sedang merenung bilik ICU yang menempatkan Camelia, pekerja hotel.

Beberapa jam selepas menunggu di ruang lobi, seorang doktor yang berkaca mata mula merapati Norman dan beberapa pekerja yang turut tidak sabar mendengar khabar berita mengenai keadaan Camelia.

“Encik, macam mana dengan keadaan kawan saya?” Lisa merapati sambil memaut pergelangan tangan doktor yang berusia separuh abad itu yang memakai tanda nama Ahmad.

Doktor itu terdiam sambil memperbetulkan kedudukan kaca matanya. Dia memandang sekeliling yang agak sibuk dengan pesakit yang mendapatkan rawatan. Berat hatinya ingin menyatakan keadaan sebenar. Namun, apakan daya dia terpaksa demi tugas mulia yang dipikulnya.

“Maaf, kami tak dapat menyelamatkan kawan kamu. Kecederaan begitu serius dan dia sememangnya lumpuh seluruh badan. Hampir separuh badannya tak dapat berfungsi dengan normal. Maaf sekali lagi.” Tertunduk sayu doktor itu.

“Apa maksud, doktor? Tak dapat selamatkan apa?!” Alya mula diserang histeria dan mencekak kolar baju Doktor Ahmad. Maria, Lisa dan Zulaika lantas menarik Alya ke belakang dan menenangkannya. Doktor Ahmad memperbetulkan semula kolar bajunya.

“Sabar Alya, kami semua pun sedih. Janganlah buat kami macam ni.” Maria menitiskan air matanya. Dia juga terperanjat dengan berita kehilangan rakan sekerja yang sememangnya rapat. Namun kini hanya tinggal kenangan dan kematian Camelia yang mengerikan akhirnya terpaksa dihadap dengan dugaan yang sukar diterima.

Norman dan Encik Khalid masing-masing menekup muka. Mereka terima ketentuan Ilahi. Segala kenangan semasa Camelia berkhidmat di Cold Hotel mula terpancar di mata bermula dengan hari permohonan kerja sehinggalah digelar pekerja senior di hotel itu. Tiada sesiapa yang dapat menggantikan tempat Camelia yang sememangnya ramah dengan senyuman menawan.

Doktor Ahmad berlalu pergi menyelesaikan tugasan yang lain sementara mereka masih berduka dan terkejut dengan berita yang tidak disangka-sangka. Beberapa orang petugas hospital diminta untuk menghubungi waris terdekat Camelia. Alya masih tidak dapat mempercayai berita kematian Camelia. Tangisan dan raungan masih kedengaran tanpa ada sesiapa dapat menenangkannya. Keadaan berlarutan beberapa jam sehingga mereka semua beransur pulang dari hospital.

Makhluk berwajah hodoh dengan gigi bertaring panjang kelihatan merangkak di atas siling hospital sambil menjelirkan lidahnya yang panjang. Makhluk laknat tersebut mula bergerak ke arah bilik mayat yang menempatkan mayat Camelia yang terbujur kaku sebelum dibawa pulang ke kampung kediaman yang terletak di pedalaman Sabah.

Tepat jam 2.30 pagi. Suasana hospital kelihatan hening diselangi dengan tiupan angin yang menyejukkan suasana. Bayang-bayang pokok rendang kelihatan disinari pantulan bulan mengambang ke arah bangunan hospital yang menempatkan mayat Camelia.

Di sebalik suasana redup dan menakutkan, kelihatan seorang lelaki misteri yang tidak diketahui identitinya berjalan menuju ke pintu masuk hospital. Pengawal keselamatan yang bertugas seperti tidak perasankan lelaki misteri itu kerana asyik melayan lagu yang dimainkan melalui telefon mudah alih. Kelihatan makhluk ngeri dengan gigi taring berjalan mengiringi lelaki misteri tersebut.

“Dengar sini, aku nak masuk ke dalam dan cencang mayat perempuan tu. Kau duduk kat sini dulu. Jangan ke mana-mana. Nanti aku bawa makanan juga kat kau. Faham?” arah lelaki misteri kepada makhluk belaannya.

Makhluk itu hanya menderam dan membiarkan tuannya mendapatkan habuan yang diingini. Parang berkilat tergenggam erat di tangan kanannya. Mungkin akan ada jasad yang bakal dibaham parang yang kelihatan seolah-olah dahagakan darah.

Bilik mayat di tingkat 6 hospital merupakan destinasi dituju. Sampai sahaja di hadapan pintu, lelaki misteri itu mula tersengih seorang diri. Entah apa yang difikirkan pun tidak diketahui. Pintu utama bilik berkunci dengan menggunakan mangga. Entah ilmu apa dipelajari, melalui sedikit bacaan terus pintu tersebut terbuka.

Suasana gelap bilik mayat yang bercahaya suram hanya ditemani bulan mengambang memantul sedikitpun tidak menimbulkan langsung perasaan takut dalam hatinya. Satu per satu peti yang menempatkan mayat diselongkar sehinggalah sampai pada peti yang terakhir. Lelaki itu mula tersenyum.

“Akhirnya malam ni aku dapat lapah jasad kau. Memang dasar perempuan tak guna! Jangan ingat kau tu cantik sangat! Kau dah mati dengan muka hancur, dah tak ada harga diri lagi. Kau dah nampak macam sampah!” Sumpah seranah lelaki tersebut pada jasad Camelia yang kaku. Bahagian muka yang hancur kelihatan dibalut dengan kain putih.

Jasad Camelia ditarik keluar dari peti penyimpanan mayat dengan kasar. Mayat jatuh bergelimpangan di atas lantai. Parang yang tergenggam erat di tangan kanan mula diayunkan ke arah kepala mayat. Bunyi retak seperti tengkorak pecah jelas kedengaran. Lelaki itu ketawa terbahak-bahak sehingga tidak menyedari perlakuannya diperhatikan kelibat bertanduk di sebalik pintu masuk.

Parang yang mengalirkan darah ditarik dari tempurung kepala dan diangkat tinggi mula ditetak ke arah leher berkali-kali sebelum kepala mayat disembelih dengan kejam. Kepala terputus daripada jasad. Darah memercik di segenap ruang bilik mayat. Ketawa lelaki misteri itu masih tidak lenggang dari mulutnya. Barangkali puas melihat mayat diseksa jasadnya dengan zalim.

Seperti dirasuk syaitan, lelaki itu melapah mayat Camelia berkali-kali. Setiap anggota badan dikerat kepada beberapa bahagian. Darah yang memercik seperti badai tidak dihiraukan, malah darah dijilat dengan rakus tanpa berasa jijik. Mayat Camelia kini dicencang hingga hancur seperti daging yang dikisar.

Kesemua daging yang telah hancur disatukan dan dibungkus ke dalam plastik hitam yang turut dibawa yang disimpan di poket seluarnya. Peluh dan darah yang saling bersatu diseka. Darah di lantai dijilat seperti binatang yang tidak mengerti makna jijik dan kotor. Seolah-olah darah dan daging manusia itu makanannya.

Setelah lantai dibersihkan dan tugas dijalankan dengan sempurna, mayat Camelia yang telah hancur dicencang di dalam plastik hitam dibawa keluar daripada bilik mayat dan siulan di bibir mula kedengaran tanda berpuas hati kerana dendam yang disimpan sekian lama telah dibalas.

Angin di luar hospital bertiup dengan laju. Makhluk berwajah hodoh dengan taring yang panjang telah setia menanti di pekarangan hospital bagi mendapatkan habuan yang dijanjikan oleh tuannya.

“Nah, ambil makanan kau ni! Jom balik!” ujar lelaki itu sambil melemparkan beberapa ketul daging yang telah dicencang ke tanah. Makhluk laknat tadi mula menjamah dengan gelojoh sambil mengeluarkan bunyi deraman yang menakutkan. Barangkali telah lama tidak menjamah daging manusia yang segar.

Lelaki misteri tadi mula berlalu meninggalkan kawasan hospital dan melepasi pagar tanpa disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas. Dia diekori oleh makhluk hodoh bertaring yang dipercayai makhluk belaannya. Angin kencang terus bertiup dan kelibat lelaki bersama makhluk peliharaannya lesap dari tempat itu sekelip mata.

Iskandar menguap beberapa kali. Matanya berat untuk terus bertahan. Akhirnya dalam beberapa saat, dia tertidur. Belum sempat dia dibuai dengan mimpi indah, dia dikejutkan dengan suara tengkingan.

“Hei, kau apa hal tidur masa kerja ni?! Kau ingat tempat ni bapak kau punya ke? Kau nak tidur balik rumah la!” tengking suara itu dengan nada yang kasar.

Iskandar yang masih mamai dan terkebil-kebil cuba untuk mengamati identiti yang kedengaran seperti suara seorang wanita. Rupa-rupanya Alya sedang berdiri di sebelahnya sambil bercekak pinggang dengan raut wajah yang bengis.

“Maaf, saya mengantuk sangat. Hari ni saya kena kerja lebih masa.” Iskandar jawab dengan bersahaja disebabkan terlalu letih dari pagi hingga ke petang. Lebih mengejutkan, dia terpaksa menggantikan pekerja yang tidak dapat hadir disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Dengar sini, kau tu pekerja baru. Jangan nak tunjuk belang kat sini. Ni kan tempat bekerja. Kau ingat datang kat hotel ni suka-suka hati aje nak buat hotel ni macam hotel ni datuk kau punya?” sambung Alya.

“Okey, okey maaf.” Iskandar yang tidak tahan dengan tohmahan Alya mula berjalan menuju ke bilik air di sebelah kiri.

“Hoi, kau nak ke mana tu?!” tengking Alya dari jauh setelah langkah kaki Iskandar dipercepatkan menuju ke bilik air. Malas melayan Alya yang sedang marah.

Semasa berada di dalam tandas, Iskandar menuju ke singki untuk mencuci muka. Tanpa disedari, dia melihat seorang lelaki tua di sebelahnya yang berdiri berhadapan singki menghadap cermin sambil menundukkan muka.

Iskandar tidak mempedulikan lelaki tua itu dan hanya menyangka bahawa lelaki tua itu hanya pelanggan hotel biasa yang datang menggunakan tandas tingkat bawah. Namun, apabila diteliti, dilihat lelaki itu tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Perasaan pelik mula mencengkam diri.

Apahal pula orang tua tu berdiri aje dari tadi tak bergerak-gerak? Takkan sawan kut? getus hati Iskandar.

“Pak cik…” Iskandar menegur hanya ingin memastikan keadaan lelaki tua itu dalam keadaan baik. Sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku, adalah menjadi tanggungjawabnya menjaga keselamatan penginap secara tidak langsung setelah bekerja di hotel itu

Tiada jawapan daripada lelaki tua itu. Diam seribu bahasa. Takkan bisu kut orang tua ni. Iskandar mula berprasangka buruk.

Mungkin ke orang tua ni… Iskandar cuba sedaya upaya untuk tidak menganggap perkara yang baginya agak mengarut.

Iskandar merapati lelaki tua itu. Wajahnya tidak kelihatan. Cahaya bilik air yang hanya berpancar dari sebelah kanan pintu masuk tidak dapat memantulkan cahaya dengan baik dan hampir keseluruhan tandas yang tersedia tidak dapat dimasuki cahaya yang terang.

“Pak cik… Kenapa berdiri macam ni? Iskandar mula menyentuh bahu lelaki tua itu dan dengan pantas lelaki tua itu menoleh dengan renungan tajam dan menunjukkan gigi taring yang berdarah. Suara jerkahan kedengaran perlahan dari mulut lelaki tua itu. Iskandar terperanjat dan kakinya kaku di tempat dia berdiri.

Iskandar cuba menjerit meminta bantuan. Namun, suaranya tidak kedengaran. Suaranya seakan-akan terkunci. Lelaki tua itu masih lagi menderam sambil menunjukkan wajahnya yang bertaring disertai darah yang mengalir di mulutnya. Mata Iskandar seolah-olah terpukau dan tidak dapat berkelip. Perasaan takutnya hanya Tuhan yang tahu.

Ya Allah… Tolonglah aku daripada syaitan durjana ni. Hatinya mula meronta-ronta meminta pertolongan daripada Tuhan Yang Maha Esa. Hanya kepada-Nya sahaja dia dapat melepaskan diri daripada gangguan syaitan yang cuba menyesatkan dirinya yang hanya sebagai hamba Allah yang kerdil.

Entah berapa lama Iskandar tidak mengaji al-Quran. Hanya surah al-Fatihah dan bacaan dalam solat sahaja yang dia tahu. Hari ini dia diuji dengan gangguan makhluk terkutuk. Bacaan al-Fatihah cuba dilafazkan dengan bersungguh-sungguh. Namun, suaranya masih tersekat dan tidak dapat dikeluarkan.

“Allahuakbar!” Lafaz itu akhirnya berjaya diluahkan dari mulutnya. Makhluk tadi kelihatan marah dan wajahnya terkoyak sedikit demi sedikit sebelum lenyap di sebalik dinding tandas.

Iskandar berjaya menggerakkan kakinya dan terus meluru keluar dari tandas tersebut. Pintu bilik air tidak dapat dibuka. Dicubanya berkali-kali sehingga habis kudrat yang digunakan. Pintu masih gagal dibuka. Ditendangnya pintu sekuat hati. Tiada tindak balas berlaku. Dirinya masih terperangkap.

Tanpa dia sedari, sesusuk tubuh hitam kelihatan berdiri di belakangnya. Bau busuk dan hanyir seperti darah jelas menusuk rongga hidungnya. Astaghfirullahalazim, dugaan apa yang sedang melanda ni? Hatinya mula tidak selesa.

Iskandar berasa seperti ada seseorang yang berdiri di belakangnya. Fikirnya perlu ke dia pandang ke belakang. Entah bala apa yang sedang dihadapi. Dia berasa seperti nyawanya di hujung tanduk. Adakah makhluk di belakangnya mampu mencabut nyawanya?

Dengan nafas yang disedut dengan payah, Iskandar memandang ke belakang. Kosong. Tiada sesiapa yang kelihatan.

Arghhh!” Tiba-tiba kedengaran suara jerkahan di sebelah kirinya. Makhluk itu berwarna hitam pekat dan dengan wajah tidak kelihatan menerpa ke arah Iskandar. Seperti angin yang berlalu. Makhluk itu hanya menembusi dirinya dan menghilang di sebalik dinding. Iskandar yang mengalami kejutan yang luar biasa pengsan di atas lantai.

Iskandar mula terjaga dari pengsan setelah menyedari mukanya disimbah segelas air. Kelihatan beberapa pekerja mengelilinginya. Iskandar kaget. Dia seperti terpinga-pinga dengan situasi tersebut.

“Alhamdulillah. Dah sedar pun. Allah permudahkan urusan kita semua.” Kelihatan Yusuf memangku kepalanya sambil tersenyum.

“Apa sebenarnya yang terjadi pada kau, Is? Semalam Alya cakap kau ke tandas sebelah kiri kaunter dan lepas tu tak keluar-keluar. Dia ingat kau dah balik tapi barang-barang kau pun masih ada dekat bilik lokar.” Norman menunjukkan kerisauan.

“Kami terpaksa panggil pekerja kontraktor untuk buka pintu billik air yang dah lama ditutup. Bukan senang nak buka. Kami masuk aje dah nampak kau pengsan kat atas lantai.” Basri mencelah.

Iskandar tercengang dengan penjelasan mereka. Seolah-olah dia memasuki kawasan yang telah lama ditutup. Tapi kenapa dia boleh masuk ke bilik air tu? Siapa lelaki tua yang dia lihat? Makhluk apa yang berwarna hitam tu? Pelbagai persoalan bermain dalam benaknya.

“Memang patut pun dia kena ganggu dengan hantu puaka dalam tandas tu.” Alya menyampuk.

“Semalam budak ni tidur masa waktu kerja, lepas aku tegur dia terus ke tandas sebelah kiri. Aku tanya nak ke mana, dia tak jawab. Memang patut pun puaka tandas tu kacau kau!” sambung Alya dengan riak puas hati.

Norman menunjukkan isyarat agar Alya beredar. Alya mendengus dan menyertai beberapa pekerja wanita di ruang pantri. Alya seolah-olah tidak menyukai Iskandar.

Perasaan Iskandar bercampur-baur. Ada perasaan takut, gelisah dan tidak kurang juga perasaan marah yang hadir tiba-tiba dengan sikap Alya yang dirasakan agak biadab terhadap dirinya.

“Rehat la dulu, Is. Pagi ni orang lain yang gantikan tempat kau. Ke kau nak balik rumah terus?” Norman menyoal sambil membetulkan kedudukan kaki Iskandar di atas sofa.

“Aku nak balik rumah la. Lagipun aku dah lama kerja dari semalam lagi.” Iskandar terus ke bilik lokar mengambil beg galasnya dan menuju keluar.

“Is, mari saya hantarkan balik ke rumah,” pelawa Yusuf menawarkan bantuan kepada Iskandar.

Hmmm… Tak apa, terima kasih. Lagipun saya naik motor.” Iskandar menolak pelawaan Yusuf sambil terus berlalu pergi.

Selepas Iskandar berlalu pergi. Tiba-tiba Johari meluru masuk dan membawa berita yang mengejutkan.

“Mayat Camelia hilang! Pihak hospital tak jumpa mayat!” Johari bagaikan orang yang sasau.

“Hilang?” Hampir semua mereka yang berada di situ terkejut dengan berita yang disampaikan Johari.

“Hari ni keluarga Camelia datang nak menuntut mayat. Tapi pihak hospital tak jumpa mayat yang disimpan. Mereka sangka mereka tempatkan di bilik mayat yang lain tapi sampai sekarang tak jumpa-jumpa.” Lelah Johari dengan kata-kata yang terpacul dari mulutnya.

“Mereka dah siasat, nampak macam ada orang ceroboh hospital. Tapi tak ada langsung bukti. Pengawal keselamatan pun tak nampak sesiapa pun datang dari kawasan pagar hospital. Yang lagi pelik, semua kamera litar tertutup hospital langsung tak menunjukkan sebarang tanda pencerobohan,” sambung Johari.

“Astaghfirullahalazim.” Yusuf mengucap panjang. Semua yang masih bersedih atas kehilangan rakan sekerja kini berhadapan lagi dengan situasi yang tidak diketahui akan sebab munasabahnya terjadi.

“Kalau betul mayat Camelia hilang, ke mana hilangnya? Takkan ghaib macam tu aje?” Norman meluahkan persoalan yang langsung tiada sesiapa ada jawapan yang tepat.

Senyap. Mereka semua masing-masing sedang melayan perasaan. Dari pintu masuk kelihatan pasangan pelancong asing menggalas beg dan menuju ke kaunter pendaftaran untuk menempah bilik. Norman yang kebetulan berada di kaunter itu melayan pasangan pelancong dan pekerja lain mula beredar melakukan tugasan seperti biasa.

Tanpa disedari, senyuman terukir di bibir salah seorang daripada mereka. Senyuman yang tiada siapa dapat tafsirkan. Orang takkan jumpa mayat perempuan tu. Carilah kat lubang cacing pun. Takkan jumpa. Aku dah lenyek-lenyek dan makan kau. Dah jadi najis pun. Hehehe… Kata dalam hati salah seorang daripada mereka.

Hampir seminggu Camelia telah meninggal dunia dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda dan sebuah lori tangki. Misteri kehilangan mayat Camelia masih belum terjawab. Kes masih disiasat. Seolah-olah mayat Camelia masih belum disemadikan dengan aman. Walau bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan seperti biasa sebagai khalifah di muka bumi.

Iskandar bekerja syif malam pada hari ini. Usai sahaja menyusun rekod data tempahan bilik hotel dan mengira hasil yang diperolehi selepas jam 10 malam, dia mula melakukan tugas menjaga kaunter dan menjawab panggilan telefon jika ada pelanggan yang betul-betul memerlukan bantuan. Kerja sebagai bell-boy tidak semestinya mengangkat beg pelanggan, banyak kerja lain yang boleh dilakukan sementara pihak pengurusan mendapat pekerja yang lebih ramai bagi menampung kekurangan pekerja.

Jam telah menunjukkan pukul 11.00 malam. Kebiasaannya pada waktu-waktu begini agak jarang dia menerima pelanggan yang mendaftar bilik kecuali pelancong asing yang kadangkala datang mendapatkan bilik tidak menentu masanya lebih-lebih lagi hotel 5 tingkat ini berkedudukan di tengah-tengah bandar dan beroperasi 24 jam tidak seperti hotel lain yang hanya beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan.

Iskandar memeriksa telefon Samsung Galaxy Note Tab 3 version. Beberapa pesanan yang dihantar oleh kawan-kawannya dibaca dan dibalas. Laman sosial Facebook juga diperhati bagi melihat kisah-kisah menarik yang dimuat naik rakan-rakan yang kebanyakan tidak dikenali. Bosan dengan laman sosial, dia mula membuka aplikasi permainan video yang diminati iaitu Booking Revolution atau lebih dikenali sebagai Wrestling Revolution.

Sedang asyik bermain permainan video, tiba-tiba dia dikejutkan dengan deringan telefon. Permainan dihentikan sementara dan dengan pantas panggilan dijawab.

“Assalamualaikum, helo boleh saya bantu?” Telefon dialihkan sementara ke tepi.

Senyap. Tiada suara yang menjawab. Namun hembusan nafas dapat didengar dengan jelas.

“Helo, ada apa yang saya boleh tolong?” ulangnya lagi apabila soalannya tidak dijawab.

Kehkehkeh…” Kedengaran suara seperti seorang wanita sedang ketawa mengekek.

“Siapa ni? Ada apa telefon? Kalau tak ada apa-apa saya letak la,” ujarnya sambil gagang telefon masih dilekapkan ke telinganya.

Suara tadi senyap secara tiba-tiba. Tiada ketawa mengekek atau hembusan nafas. Iskandar terus meletakkan gagang telefon dan kemudian menyambung permainan video yang tertangguh sebentar tadi. Barangkali ada penghuni hotel yang sedang cuba main-main dengan dia.

Teringat kembali beberapa hari yang lepas. Ada seorang pelancong asing wanita yang diagak berasal dari Amerika cuba mengusiknya. Katanya Iskandar ni lelaki yang comel dan beberapa kali juga tangan wanita itu hampir menyentuh dagunya.

Ada juga beberapa waktu juga dia menerima panggilan daripada wanita itu apabila dia bertugas di kaunter pendaftaran. Agak menjengkelkan apabila panggilan yang diterima hanya hendak mengusik dan mengajak ke biliknya dengan alasan melampiaskan nafsu. Namun, dia menolak dan tidak mempedulikan gangguan wanita asing itu sehinggalah wanita itu mendaftar keluar tengah hari semalam.

Tetapi persoalannya, siapa yang membuat panggilan tadi sedangkan wanita asing itu telah mendaftar keluar. Dia memikirkannya kemungkinan dan meneruskan hobinya bermain permainan video yang diminati.

Beberapa minit kemudian, telefon berdering sekali lagi. Rela atau tidak, dia terpaksa mengangkat telefon itu. Gagang didekatkan ke telinga.

“Assalamualaikum. Helo, boleh saya bantu?” Panggilan dijawab dan kedengaran suara seorang wanita.

“Encik, boleh saya dapatkan ubat gigi dan sabun mandi?” pinta wanita itu tanpa menjawab salam Iskandar.

“Oh, boleh. Cik menginap di bilik nombor berapa, ya?” soal Iskandar cuba mendapatkan maklumat penginap tersebut.

“Saya di bilik nombor 404,” jawab wanita itu.

“Okey, sekejap lagi saya menyusul. Cik tunggu saya datang nanti, ya?” katanya sambil meletakkan gagang telefon seraya menuju ke arah bilik stor yang menempatkan pelbagai peralatan seperti tuala, sabun mandi, ubat gigi, cadar, sarung bantal dan sebagainya yang disediakan untuk kegunaan penginap hotel.

Malam-malam ni pun nak pakai sabun mandi ke? Kalau ubat gigi logik la juga kena berus gigi sebelum tidur. Ni dah malam nak sabun mandi. Takkan nak mandi? Tak sejuk ke? Hotel ni dah cukup sejuk walau tak pasang air cond. Agaknya nak cuci muka pakai sabun kut, gumamnya dalam hati sekadar mengisi kebosanan.

Setelah mendapatkan sabun mandi dan satu set ubat gigi dan berus gigi, dia terus mendapatkan lif untuk menuju ke tingkat 4 hotel yang mana terletaknya lokasi penginapan wanita yang yang menghubunginya.

Masuk sahaja ke dalam lif, butang ke tingkat 4 ditekannya. Terasa sejuk hingga ke tulang sum-sum memandangkan pendingin hawa juga tersedia di dalam lif. Perlahan-lahan lif bergerak menuju ke tingkat 4. Iskandar terasa seperti diperhatikan seseorang dari belakang. Terasa seperti terlalu lama menuju ke tingkat atas. Ayat Kursi mula dibaca dan nafas ditarik dengan tenang.

Teringat beberapa hari lalu ketika dia memasuki ke sebuah tandas yang terletak di tingkat bawah sebelah kiri. Entah macam mana dia boleh masuk ke tandas yang telah lama ditinggalkan dan dikunci. Sejarah apa yang berlaku di situ tidak langsung diketahui seolah-olah perkara ini sengaja dirahsiakan oleh pihak pengurusan bagi menjaga reputasi hotel itu.

Mulutnya masih terkumat-kamit membaca ayat Kursi sambil mata terpejam mengharapkan dia tidak diganggu oleh makhluk-makhluk yang tidak diketahui asal usulnya.

Beberapa saat kemudian, lif sampai ke tingkat 4. Pintu lif terbuka dan cepat-cepat dia keluar dari perut lif sambil tangannya masih memegang peralatan yang diperlukan wanita tadi.

Barangkali aku terlalu banyak fikir yang bukan-bukan ni. Paranoid sangat aku. Cis! getus hati Iskandar sambil menghela nafas lega.

Bilik nombor 404 menjadi destinasi dituju. Sampai sahaja di hadapan pintu, loceng ditekan. Tiada reaksi daripada penghuni. Loceng ditekan beberapa kali namun tiada sesiapa pun yang datang menyahut. Pintu bilik diketuk beberapa kali. Hampa. Masih tiada sesiapa datang membuka pintu bilik.

Terasa seperti dipermainkan, pintu bilik diketuk beberapa kali dengan kuat. Kesabaran semakin menipis. Tombol pintu dipulas dan secara tiba-tiba pintu bilik terbuka. Pintu dikuak dengan lebar. Gelap. Tiada sesiapa pun yang kelihatan. Iskandar mula panik.

Mungkin dia tak buka lampu. Tapi tadi kan dia minta barang-barang ni. Perasaan pelik mula bersarang dalam hatinya.

“Assalamualaikum. Cik?” Iskandar dengan berani memanggil penghuni itu.

Suis lampu dicari di sebalik dinding dalam keadaan teraba-raba. Secara tidak sengaja, dia teraba sesuatu seperti kenyal dan berbintik-bintik. Dia terperanjat dan mula menggelabah. Suis lampu masih tidak ditemui. Tertanya-tanya dengan apa yang disentuh, dia memandang objek yang dipegang.

Kelihatan dia seperti memegang topeng muka. Dengan pantas topeng itu dicampak ke atas lantai. Tidak menunggu lama, dia terus meluru keluar dan menutup semula pintu semula. Termengah-mengah dia menarik nafas.

Kejutan masih belum reda apabila dia mendapati tangannya terdapat kesan darah yang berbau hanyir. Apa benda yang aku pegang tadi? Perasaan seram mula membaluti dirinya. Ini kali kedua dia diganggu dengan gangguan pelik.

“Encik buat apa di sini?” Tiba-tiba suara seorang wanita menyapa Iskandar.

Terkejut dengan situasi itu dia hampir menjerit. Dia berasa lega apabila dia mendapati seorang wanita awal 30-an menyapanya. Nasib baik bukan hantu. Kepala digeleng apabila menyedari dia sedang duduk di hadapan pintu bilik 404.

“Oh, maaf. Saya hanya hantar barang pelanggan hotel aje.” Iskandar mula berdiri dan memperbetulkan pakaiannya.

“Bilik mana? Bilik 404?” tanya wanita itu.

“Ya, Ya…” jawab Iskandar tergagap-gagap disebabkan ketakutan yang dialaminya tadi.

“Encik, mana ada orang tinggal dekat bilik 404. Dah lama dikunci. Tengok tu ada mangga besar kat atas tombol tu.” Wanita tadi menunjukkan mangga besar di atas tombol pintu menandakan tiada penghuni di bilik 404.

Iskandar melihat dengan perasaan tidak percaya. Mana mungkin ada mangga besar kat situ. Jadi maknanya memang pintu bilik tu berkunci. Tapi macam mana dia boleh masuk tadi? Fikiran Iskandar mula memikirkan kelogikan atas perkara yang berlaku. Ah, sudah! Takkan dia kena ganggu lagi.

“Kenapa tangan encik berdarah?” Wanita itu bertanya lagi.

Errr… tadi saya ada bersihkan bilik. Lupa nak cuci tangan tadi.” Iskandar mula panik.

“Bersihkan sesuatu? Darah ke?” Wanita tadi kembali bertanya.

Eh, sibuk pula perempuan ni nak banyak-banyak tanya ni, omel Iskandar dalam hati.

Errr… Saya bersihkan air sirap tadi yang tumpah kat bilik sebelah.” Sengaja Iskandar berdalih dengan alasan yang mungkin tidak logik. Mana mungkin masih ada ke penghuni minum air sirap malam-malam sedangkan kafeteria pun telah tutup sejak pukul 10.00 malam tadi.

“Oh, ya ke? Tapi kenapa encik berdiri kat depan pintu bilik 404 ni?” Pertanyaan wanita ini mula membuat Iskandar sukar untuk memberi jawapan yang sebenar.

Errr…” Belum sempat Iskandar memikirkan ayat dalih yang diberi wanita itu pantas memotong kata-katanya.

“Oh, ni sabun mandi dan ubat gigi, ya? Nak hantar pada saya, kan?” Wanita itu pantas mengambil sabun mandi dan set ubat gigi yang belum sempat dikutip Iskandar.

“Saya memang perlukan sabun mandi dan ubat gigi ni. Dah lama saya tak mandi dan berus gigi saya.” Wanita itu teruja sambil tersenyum riang.

“Eh, cik ni ke yang call saya tadi?” Pertanyaan itu terus terpacul dari mulutnya.

“Ya, saya la yang call tadi. Kenapa encik?” Wanita itu kembali bertanya.

Iskandar mula berang dengan wanita itu. Namun perasaannya dapat dikawal dengan baik. Dia seperti dipermainkan wanita itu

“Kenapa cik cakap cik menginap di bilik 404 ni? Jangan main-main dengan pekerja hotel cik. Cik boleh menyusahkan pekerja di sini.” Iskandar sekadar menegur atas sikap wanita itu yang dirasakan bergurau tidak bertempat.

“Maafkan saya, tapi saya memang tinggal dekat bilik 404 ni. Dah lama saya menginap di sini,” kata wanita tadi sambil ketawa.

Iskandar memerhati pintu bilik 404 yang masih dikunci dengan mangga besar. Kepalanya digelengkan. Macam budak-budak aje perempuan ni main gurau bodoh ni, getus hatinya.

“Dah la cik, saya tak mahu main-main lagi. Saya nak pergi sambung kerja.” Iskandar malas melayan kerenah wanita itu.

“Tapi, saya nak minta satu benda aje, cik. Boleh tak cari balik kulit muka saya?” Wanita itu meminta pertolongan daripada Iskandar dengan nada sayu.

Iskandar yang telah mula berlalu pergi dan membelakangi wanita itu mula tersentak. Dia mula merasakan bahawa wanita itu bukan manusia biasa atau mungkin wanita itu psiko.

Kepala Iskandar mula menoleh ke arah wanita itu dan Iskandar tergamam melihat wajah wanita itu yang normal kini bertukar kepada wajah yang mereput dan hanya tinggal tengkorak. Kaki Iskandar terpaku di tempat dia berdiri.

“Encik, boleh kan tolong cari balik kulit muka saya?” Wanita tadi mula mendekati Iskandar sambil menghulurkan tangannya yang diselaputi nanah dan ulat.

Iskandar panik dan peluh berjejeran di dahinya. Ayat al-Quran langsung tidak diingati untuk dibaca walau surah al-Fatihah. Dia hanya mampu memandang wajah hodoh yang mula mendekatinya secara perlahan-lahan.

“Tolong aku cari kulit muka aku!” Wanita yang berubah wajah hodoh tadi menjerit sambil menayangkan muka tengkoraknya dengan mulut ternganga di hadapan muka Iskandar.

Iskandar membisu. Hampir tercabut nyawanya dengan situasi yang dihadapi. Mungkin apa yang disentuh semasa berada di bilik 404 tadi itu kulit muka wanita itu. Berdebar kencang hatinya. Rasa geli memegang benda kotor turut terasa. Sekali lagi dia masuk ke ruang yang berkunci.

“Aku nak kulit muka aku!” Wanita tadi menyinga. Kepalanya tercabut dari badan dan bergolek di hadapan kaki Iskandar sambil lidah terjulur panjang menyentuh kaki Iskandar.

Gelap. Iskandar pengsan tidak sedarkan diri.