Klong Mai

RM30.00

Penulis: Iman Fadia

Caption: ia hadir membawa seribu satu cerita

ISBN: 978-967-406-239-2

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 30.00 RM 33.00

Sejak memiliki peti kayu pemberian Phat yang dikenali di sebuah tokong Siam, hidup Dayah mula diselubungi misteri. Klong Mai yang sering disebut oleh wanita bangsawan Siam dalam mimpinya memberi petanda yang peti kayu pemberian Phat bukan sebarang peti biasa.

“Dayah… Awak simpan peti tu baik-baik. Saya tak boleh sentuh peti kayu tu. Tangan saya akan jadi panas. Awak simpan ya. Kalau ditakdirkan kita tak berjumpa lagi, saya redha peti tu dengan awak.” – PHAT

“Aku harap… Aku akan jumpa Phat satu hari nanti.” – DAYAH

Dayah meneruskan hidup di kampus selepas tamat SPM. Cintanya pada EZAKI, pelajar senior perubatan terpaksa dilupakan apabila mengetahui Ezaki dan Shireen bakal disatukan.

Kecewa dengan Ezaki dan Phat, Dayah terpaksa terima cinta Iqbal. Segalanya bertambah huru-hara apabila Phat muncul semula dan mula membawa kepada pembongkaran misteri Klong Mai.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

DAYAH kaku berdiri di tepi pokok. Dia pandang sekitar jalan itu. Rasanya baru tadi dia keluar dari pintu pagar sekolah dengan mengheret basikal yang sudah pancit. Lama tempat yang begitu asing itu dipandang. Sungguh pelik suasananya. Tiada lagi jalan raya dan rumah-rumah penduduk di kiri dan kanan jalan. Yang ada hanya pokok tinggi seakan-akan hutan kecil.

“Kat mana ni?” Dayah sudah bingung.

Tiada seorang manusia pun di sekitar situ. Keadaan yang panas terik tadi berubah suram dan kelam. Jalan tar pula sudah diganti dengan jalan kecil tanah yang kiri dan kanan dipenuhi pokok hutan yang tinggi. Daun berguguran laju apabila angin kuat bertiup tiba-tiba. Dayah cuba menghadang matanya daripada dimasuki habuk. Terasa angin kuat tadi bertiup bersama desiran pasir. Mata dipejam rapat. Seketika itu juga angin berhenti bertiup.

Klong Mai…”

Perlahan Dayah membuka mata. Di depannya kini berdiri seorang wanita cantik dan berpakaian pelik sedang tersenyum kepadanya. Banyak kali Dayah menelan air liur kelat. Melilau matanya melihat sekitar situ. Sungguh hanya dia dan wanita cantik itu sahaja sekarang ini. Ah! Tempat apakah ini? Di mana aku sekarang ini?

Klong Mai…”

Sekali kedengaran wanita itu berbicara dan kali ini dilihat seperti menghulurkan sesuatu kepadanya. Bagai dipukau, Dayah menghampiri wanita tadi dan turut menghulur tangan untuk menyambut. Hampir tangannya ingin menyentuh apa yang dihulur wanita tadi, wanita itu terus saja hilang ditelan kabus tebal. Namun, sebuah kotak berukir cantik terlepas dari tangan wanita itu. Dayah cuba capai dari atas rumput. Tiba-tiba pula muncul seorang lelaki berbadan tegap merenung tajam padanya. Lelaki itu juga berpakaian pelik.

“Kau siapa?” Tanya Dayah walaupun terasa takut.

“Aku penjaga Klong Mai.”

“Apa maksud kau Klong Mai?” Dayah makin bingung. Wanita cantik tadi juga berkata begitu.

Lelaki itu dilihat mengambil kotak berukir tadi dan mula menghilang. Dayah cuba mengejar. Tercungap-cungap dia berlari. Entah macam mana, dia tersepak akar pokok dan pap! Tersembam mukanya tepat mengenai tahi lembu.

DAYAH meraba mukanya. Terasa melekit dan lembik. Kerana benda itulah dia tersedar daripada tidurnya tadi.

“Cis! Tahi burung!” Dayah mendongak. Seekor burung gagak sedang bertenggek atas dahan pokok tempatnya berteduh. Cepat-cepat dia sapu menggunakan daun kering.

Baru dia sedar, rupa-rupanya dia tertidur di atas perdu pokok itu malah sempat bermimpi! Basikalnya pula disandar di batang pokok. Mungkin kerana terlalu penat mengheret basikal dari sekolah tadi.

“Ya Allah. Aku tertidur ke tadi?” Dayah cepat-cepat bangun dan menyambung mengheret basikalnya yang pancit. Dia pandang sekitar kawasan itu. Tidak ada seperti dalam mimpinya tadi. Terbayang kembali wajah wanita cantik dan seorang lelaki gagah dalam mimpinya tadi. Kedua-duanya menyebut ‘Klong Mai’.

Ish! Apa benda Klong Mai? Ah, tu semua mainan tidur aje.” Fikir Dayah lagi tatkala teringatkan mimpi tadi.

Dayah menyambung berjalan sambil mengheret basikal. Pulang dari sekolah tadi, tayar basikalnya pancit lagi. Sekali lagi dia terpaksa mengheret sejauh satu kilometer untuk sampai ke rumah. Beg sekolah diletakkan di dalam bakul depan basikal. Entah manusia mana yang suka sangat pancitkan tayar basikalnya. Ikut hati mahu saja dia mengadu pada cikgu tentang hal itu tetapi dia sendiri tidak tahu siapa punya angkara. Ah! Baik aku siasat sendiri. Aku sembunyi di sebalik tiang di tempat letak basikal yang berderet itu dan intai siapa yang gatal tangan keluarkan angin dari tayar basikal. Mudah saja! Desis hati Dayah.

Hmmm… Esok aku akan tahu siapa punya kerja!” Geram Dayah sudah tahap maksima!

Sejak berpindah sekolah setahun yang lepas, sudah banyak kali tayar basikalnya didajalkan pelajar lain. Dalam otaknya ligat memikirkan siapa yang punya angkara. Terus saja nama-nama yang selalu mengganggunya muncul di benak satu per satu.

Wati, pelajar 4 Delima, muka cantik tapi perangai mengalahkan penyangak. Soal disiplin tak usah cerita. Ada saja kesalahan yang dilakukan termasuk merokok dalam tandas. Tak padan dengan perempuan. Entah kenapa minah itu suka mencari gaduh walaupun hal remeh-temeh.

Shimah, pelajar 4 Anggerik pula, sudah terlebih tomboi, silap sikit saja, merasalah kena penyepak dan lempang minah tu. Pernah sekali dia disepak di betis atas kesalahan kecil saja, tidak beri salam pada senior. Mentang-mentanglah dia pelajar junior, baru masuk ke sekolah itu dalam tingkatan empat.

Zila, geng yang terakhir dalam kumpulan tiga sekawan itu, memang nampak lembut dan sopan tapi juga selalu langgar disiplin sekolah. Sama seperti Wati, suka merokok dalam tandas tapi apabila bercakap mengalahkan cili Mexico pedasnya!

Dayah mendongak ke dada langit. Matahari memancar terik di atas kepala. Sudah terasa perit kulitnya terkena panahan cahaya matahari. Dulu kulitnya putih kini sudah semakin gelap dek hari-hari mengheret basikal dengan cuaca terik begitu.

Kakinya sudah terasa lenguh. Sudah hampir dua puluh minit dia mengheret basikal. Tudung yang dipakai mula basah di tepi muka. Baju sekolah pula sudah basah dengan peluh yang semakin menitik dalam cuaca panas terik.

Dia jeling ke arah kanan. Sebuah patung besar sedang baring di sebuah tokong Siam. Matanya beralih pula pada pintu gerbang besar. Besar tulisan yang diukir di situ tetapi bukan itu yang menarik perhatiannya. Pokok-pokok yang ada dalam kawasan tokong itu sebenarnya yang lebih menarik matanya untuk melihat dari tadi. Hari-hari dia melalui jalan itu, lalu di depan tokong itu dan kerana hari-hari itulah, hari ini dia beranikan diri untuk berhenti dan menjenguk apa yang ada di situ. Selama ini jalan itulah yang selalu dilaluinya.

Dayah mula terjenguk-jenguk. Pokok-pokok yang menghijau dalam kawasan tokong siam itu cukup membuatkan dia kecur liur. Sudah musim ke???

Basikal disandarkan di tepi pagar simen yang mengelilingi kawasan tokong Siam. Terjenguk-jenguk dia melihat keadaan sekitar dalam kawasan tokong itu. Sekejap dia melompat apabila terasa paras pagar itu sama paras dengan kepalanya. Terloncat-loncat menjenguk pokok-pokok yang lebat dengan buah.

“Sedapnya…” Dayah berkata sendiri. Liurnya ditelan berkali-kali. Terasa sudah ingin meleleh.

Dayah mula melangkah ke arah pintu pagar yang terbuka luas. Langkahnya perlahan memasuki kawasan tokong yang bersih tanpa sehelai pun daun gugur. Tanah berpasir yang luas di sekitar kawasan tokong cukup cantik. Nampak seperti hamparan permaidani putih jika dilihat dari jauh. Bak pasir sungai yang terhampar luas.

“Bersih gila tempat ni. Hari-hari ke dia orang sapu?” Meliar mata Dayah melihat sekitar. Memang setiap pagi hendak ke sekolah, dia nampak sami-sami di situ selalu menyapu daun-daun yang gugur.

Kakinya semakin galak melangkah ke arah sebatang pokok yang begitu rendang dan lebat dengan buah. Dia mendongak melihat buah-buah yang bergayut di hujung dahan. Ada yang bulat, ada yang lonjong dan ada juga yang kecil-kecil.Sekali lagi dia menelan liur. Terasa air liur sudah meleleh keluar.

Dia berjalan perlahan-lahan di sekitar situ dan kemudian berhenti di sebatang pokok yang dilihat lebat berbuah tadi. Terus saja dia mendongak. Ingin saja dia panjat dan ambil buah itu. Kepalanya digaru-garu, berfikir cara untuk mendapatkan buah yang telah membuatnya merasa tidak sabar untuk menikmati buah itu.

“Selamat datang…”

Terkejut mendengar suara menegur, Dayah cuba berlari keluar dari kawasan tokong itu tapi lengannya sempat disambar seseorang.

Dayah menoleh. Seorang lelaki yang agak sebaya dengannya sudah tersengih padanya.

Lelaki muda berkemeja T dan berseluar agak lusuh itu masih menguntum senyum kepadanya. Rambut pula kemas dan ala ala penyanyi Mawi punya stail. Lelaki itu dipandang atas bawah.

Phat turut melihat gadis yang masih berpakaian sekolah itu seperti terpinga-pinga melihatnya. Dia senyum sendiri. Dari lagak gadis itu, dia pasti gadis itu cuba mengambil buah mangga yang lebat berbuah. Dia perasan, setiap kali gadis itu melalui kawasan tokong itu, gadis itu akan menjeling pada buah mangga.

Dayah mula gelisah. Dia melihat lelaki muda itu tidak mengalih mata melihatnya. Liur ditelan berkali-kali. Sudah terbayang yang lelaki itu akan membawanya ke tokong dan dituduh cuba menceroboh.

“Maafkan saya…” Dayah terasa tangan kuat lelaki itu sudah perlahan terlerai dari lengannya.

Sawadikaa…” Phat menyusun sepuluh jarinya sambil tunduk hormat.

Dayah tergamam. Tergaru-garu kepalanya mendengar kata-kata daripada lelaki muda itu. Dia perhatikan sami muda itu yang masih tersenyum kepadanya.

Hmmm… Macam sebaya aje dengan aku…” fikir Dayah sendiri. Terkebil-kebil dia memandang.

Sawadikaa…” ujar Phat lagi. Senyuman kekal di dua ulas bibirnya.

Dayah masih diam. Nak menjawab, sepatah haram dia tidak tahu bahasa yang digunakan oleh lelaki muda itu.

Sa… Sawa… Sawadika tu apa?” Dayah tergagap-gagap.

“Selamat datang… Lebih kurang itu maksudnya,” balas Phat, pekat dalam loghat Kelantan.

Dayah senyum sengih. Lega. Nampaknya dia tak akan dituduh menceroboh. Phat di pandang lagi. Kulit sawo matang, tinggi, senyuman manis dan ada tahi lalat di atas bibir sebelah kanan. Wajah itu ditenung lama. Seakan-akan pernah dia lihat wajah seperti itu. Dia mula berfikir. Siapa…Siapa… Siapa…

Errr… Awak nak cari apa?” Phat mula bertanya apabila melihat gadis itu asyik merenungnya dari tadi seperti memikirkan sesuatu. Berkerut dahi dan kening milik gadis itu.

“Hah!! Saya dah tahu!!! Remy Ishak!!!” Terpacul nama seorang pelakon dari mulut Dayah. Luas matanya, bibir tersenyum lebar.

“Siapa Remy Ishak?” Kali ini Phat pula terkebil-kebil.

Dayah terdiam. Dia luku kepalanya sendiri. Terasa tingkahnya tadi sudah ‘terover’. Terpacul nama Remy Ishak. Aish! Poyo, eh! Ada pula samakan rupa sami muda tadi dengan pelakon itu.

ErrrEr… Remy Ishak tu… Pelakon…” Dayah tunduk malu. Tergagap-gagap.

Phat senyum. Gadis itu dilihat semakin kalut. Mula-mula termenung, merenung, lepas itu tiba-tiba saja sebut nama Remy Ishak. Hati yang sunyi tadi mula terhibur seketika dengan tingkah gadis di depannya. Cukup terhibur sebenarnya.

“Awak datang sini nak cari apa?” Phat mula ramah. Dia sebenarnya sudah tahu niat gadis itu. Jelas tadi dia melihat gadis itu terkial-kial cuba memanjat pokok mangga. Tentulah buah mangga yang dicari.

Errr… Saya nak ambil buah tu… Boleh?” Tergagap-gagap Dayah menjawab sambil menuding ke arah satu pokok yang lebat berbuah.

“Ooo… Pauh tu…” Phat pandang buah yang terjuntai di dahan pokok. Kelihatan dahan pokok sudah melayut terjuntai ke bawah, berat dan sarat dengan buah yang lebat.

Pauh??! Dayah pandang lagi sami muda itu dengan riak pelik.

Errr… Pauh tu apa pula?”

“Buahlah.” Phat pula terkial-kial hendak menjelaskan maksud buah mangga.

Dayah sekali lagi meluku kepalanya. Tersenyum sendiri. Nampak sangat dia masih tidak fasih dalam loghat Kelantan.

“Mangga kut…” Dayah pandang ke atas pokok mangga. Kalau itu mangga, maknanya pauh itu pun manggalah. Dia pandang pula sami muda itu yang sudah terkebil-kebil.

“Oh… Ya ke? Orang sini panggil buah pauh.” Phat mula faham. Tersengih-sengih.

“Boleh saya ambil sikit?” Dayah sudah tidak sabar.

DaiDai…” Phat angguk-angguk.

“Hah??? Die?? Awak nak saya mati ke?” Dayah sudah terlopong mendengar kata-kata Phat.

Phat cuba menahan gelak. Dia tidak salahkan gadis itu yang mungkin tidak faham bahasa Siam. Tadi pun gadis itu bertanyakan maksud ‘sawadikaa’.

“Bukan saya nak awak mati. Dai tu maksudnya boleh. Itu bahasa Siam.” Phat ketawa juga akhirnya. Ternyata gadis itu memang kelam-kabut.

Dayah tersengih, malu sendiri. Itulah pertama kali dia mendengar bahasa Siam dituturkan sejak dia berpindah di daerah itu. Sejak keluarganya berpindah ke situ, banyak loghat Kelantan yang dia belajar tapi masih belum faham sepenuhnya. Kini satu lagi bahasa asing mula menjadi minatnya untuk belajar. Dia jeling Phat yang sudah ketawakannya. Nasiblah kau, Dayah…

“Nak ke? Buah tu muda lagi… Belum masak,” tanya Phat semula.

“Tak apa… Saya suka makan yang muda!” Dayah sengih, cuba bersikap selamba. Dah alang-alang terkantoi, biarlah dia buat muka selamba.

Phat mula mengambil galah panjang yang terletak di hujung rumahnya yang disandarkan di tepi tiang rumah. Dia kemudian kembali semula ke tempat gadis itu yang masih berdiri di bawah pokok mangga yang berbuah lebat. Buah yang terjuntai di dahan dijolok berkali-kali.

Buk! Buk! Buk!

Bertaburan buah mangga jatuh di atas pasir putih. Dayah sudah teruja. Dia segera mengutip satu per satu. Tidak susah untuk mencari buah yang jatuh kerana kawasan di sekitar pokok itu bersih. Tiada rumput. Hanya pasir putih yang landai. Dia senyum penuh makna.

“Cukup ke?” Phat pandang Dayah yang beria mengutip buah yang jatuh tadi.

Dayah mengangguk.

“Cukup doh ni! Timo kasih, ya!”

Phat sandarkan galah panjang tadi di batang pokok mangga. Dia senyum mendengar pelat tutur kata gadis itu yang cuba bercakap loghat Kelantan.

Dayah terasa malu apabila lelaki muda itu perasan lidah pelatnya yang cuba bertutur loghat Kelantan. Dia menyambung mengutip buah mangga yang bertaburan di atas tanah. Melilau matanya mencari sesuatu untuk meletakkan buah mangga yang telah dikutip tadi. Sesekali dia senyum kepada Phat. Dia segera tarik baju kurung dan memasukkan semua buah yang dikutip tadi.

Errr… Siapa nama awak?” tanya Dayah teragak-agak.

“Phat. Awak?”

“Saya Nur Hidayah. Panggil Dayah.” Dayah turut perkenalkan diri. Senyuman mula menguntum di dua ulas bibirnya. Sopan Phat perkenalkan diri.

Phat mula mencari beg plastik melihatkan pakaian sekolah Dayah sudah kotor dengan mangga tadi. Habis baju kurung sekolah yang berwarna putih terkena getah buah mangga.

Timo kasih!”

Dayah pulang ke rumah yang tidak berapa jauh dari situ. Beg plastik yang mengandungi buah mangga tadi disangkut pada pemegang basikal.

Phat hanya memandang gadis itu beredar dari situ. Dia senyum melihat gadis itu mengheret basikal. Agaknya tayar basikalnya pancit. Hmmm… Nur Hidayah… Cantik nama tu secantik orangnya. Phat menghela nafas. Dia kemudian menyambung menyapu daun-daun yang gugur bersama buah tadi. Daun-daun itu yang dikumpul tadi mula dibakar.

SENYUMAN Dayah sudah sampai ke telinga. Hari itu dia gembira mendapat sebungkus buah mangga yang bulat-bulat. Sampai saja di rumah, selesai solat zuhur, dia segera ke dapur dan mengupas buah mangga. Dapat satu pinggan besar. Dia sediakan pula sambal cicah kicap yang digaulkan dengan garam, gula, belacan dan cili padi.

“Dayah… Tak nak makan nasi ke? Pedih perut tu nanti.” Puan Zaharah menggeleng melihat anak daranya mengadap buah mangga muda dengan begitu berselera. Berkerut dahinya melihat anak daranya yang tidak sedikit pun merasa masam. Sudah seperti orang mengidam pula lagaknya.

“Lepas inilah, mak. Dayah nak habiskan buah ni dulu!” Dayah tersengih. Sudah tiga biji mangga dia bedal.

“Eh, mana Dayah dapat buah ni? Dayah curi, eh?” Sufian muncul di muka pintu dapur. Adiknya begitu berselera mengunyah buah mangga dengan sambal kicap. Dayah memang hantu mangga muda

Dayah hanya menjeling. Sufian, abang yang hanya tua setahun daripadanya dan juga bersekolah di sekolah yang sama.

“Mana ada. Abang Pian ni, tak baik tau tuduh Dayah macam tu! Mangga ni budak yang jaga tokong tu yang bagi!” Dayah mencebik. Dia kupas lagi sebiji.

“Hah! Tokong? Kau biar betul Dayah! ”Sufian luku kepala adiknya. Lantas mangga di tangan Dayah disambar rakus.

“Kenapa? Tak boleh ke?” Dayah gosok kepalanya yang terasa sakit. Mahu saja dia balas semula tindakan abangnya tadi. Cepat saja mangga itu dirampas semula dari tangan Sufian.

“Tak malu minta dengan orang! Dahlah ambil kat tokong!” Sufian mula marah-marah.

“Dahlah tu… Bukannya dia curi. Tak salah makan buah tu walaupun dari tokong. Bukannya dia jampi apa ke! Pokok tu kan Allah yang cipta. Asalkan minta dengan tuan empunya pokok tu, mak rasa tak apa. Lainlah Dayah tu pergi curi hak orang!” Puan Zaharah cuba memujuk Dayah yang sudah mula merajuk kena luku kepala dengan Sufian sebentar tadi.

Dayah senyum. Dia menjelir ke arah abangnya. Seronokapabila maknya menyokongnya seratus peratus.

SEJAK itu, setiap kali apabila pulang dari sekolah, Dayah akan singgah di pangkin di bawah pokok mangga itu sambil menikmati buah mangga muda. Phat pula senang berkawan dengan Dayah. Dayah sudah siap membawa bersama sebekas kicap yang telah dicampurkan dengan cili, gula dan belacan semasa pergi sekolah dan sebaik habis sekolah, di kawasan tokong itulah dia akan lepak bersama Phat.

“Phat, berapa umur awak?” Dayah mula berminat tentang diri sahabat yang baru dikenalinya.

“Enam belas tahun… Kenapa?”

Emmm… Samalah dengan saya. Awak sekolah kat mana?” Dayah menguntum senyum.

“Tu!” Phat tuding ke arah jalan kiri.

“Eh, saya pun sekolah kat situ. Tak nampak pun awak?” Dayah berkerut kening.

Errr… Tak masam ke buah tu?” Phat ubah topik. Dia senyum melihat Dayah begitu seronok mengunyah mangga muda. Langsung tak berkerut muka.

“Masam itu akan hilang bila cicah sambal kicap manis ni. Rasalah! Aroiii!!!” Dayah sengih lagi. Sudah tiga biji buah mangga dikupas.

“Wah! Dah pandai cakap Siamlah awak ni!” Phat senyum.

Mangga muda dicapai dan dicicah dengan sambal kicap. Phat berkerut menahan masam.

Dayah ketawa mengekek melihat wajah Phat yang telah berubah rona. Mata anak muda itu terpejam rapat. Mulut pula sudah sejemput. Agaknya menahan rasa masam mangga muda tadi.

“Sedap tak?” Dayah mula bergurau.

Hmmm… Masam tapi sedap… Aroiii…” Phat turut tersengih.

“Sedap, kan?! Hmmm… Sebenarnya saya baru pindah sini. Phat memang orang sini ke?” Dayah pandang Phat yang mula tunduk apabila dia bertanya soalan seperti itu.

Phat kuis-kuis ranting pokok mangga yang jatuh di atas tanah. Soalan Dayah tadi memang payah untuknya menjawab. Sejak kecil dia dibela dan dijaga oleh ayah angkat, Eh Di. Sehingga ke hari ini, dia tidak tahu asal usul siapa dirinya yang sebenar. Ayah angkatnya pula tidak pula ingin bercerita tentang hal itu. Sejak umur lima tahun, dia dibesarkan oleh ayah angkatnya yang menjadi sami di tokong itu. Dia hanya tahu menjaga kawasan tokong Siam di situ saja. Habis menyapu dan membersihkan kawasan tokong, dia akan pulang ke rumah. Dapatlah juga upah walaupun hanya cukup makan saja.

“Saya anak angkat…”

Dayah terdiam. Lama dia memikirkan untuk bertanya soalan seterusnya.

“Awak kenal ke mak ayah kandung awak?” Dayah pandang Phat sambil mengunyah pauh muda. Phat dari tadi asyik tunduk saja. Perasan perubahan wajah lelaki muda itu.

Phat hanya mengukir senyum.

“Tak kenal tapi saya ada simpan gambar mereka.” Phat keluarkan sekeping gambar dari poket seluar yang agak lusuh warnanya.

Dayah mengambil foto yang dihulurkan Phat. Lama dia merenung gambar itu. Sudah using dan agak kabur. Sepasang suami isteri bersama seorang anak kecil di pangkuan si isteri. Dia belek belakang gambar. Kedua-duanya seperti berpakaian daripada golongan bangsawan Thailand.

“Eh! Ada tulisan kat belakang gambar ni!” Dayah baca apa yang tertulis di belakang gambar.

Nama Ayah: Eh Dau a/l Eh Put.

Nama Ibu: Mek Kedi a/p Eh Dong.

Nama Anak: Phat a/l Eh Dau.

“Kenapa nama awak tak ada ‘Eh’ macam nama ayah awak?” Dayah sudah keliru. Dia garu kepala.

Phat tersengih sambil mengusap kepalanya yang agak botak.

“Entahlah! Saya pun tak tahu…”

Dayah jeling Phat yang tergaru-garu kepalanya. Mata mereka bertentang seketika. Seketika kemudian berderai ketawa mereka berdua.

Phat tiba-tiba berhenti ketawa. Dia tunduk semula. Apa yang bermain dalam fikirannya sekarang ini, bukan soal siapa dan di mana kedua-dua ibu bapanya berada. Soalnya sekarang ialah, bagaimana dia boleh tercampak di tokong itu dan bagaimana ayah angkatnya boleh membelanya.

Semalam, dia ternampak satu bekas peti kayu kecil berukir tulisan Siam yang disimpan di atas almari pakaian di dalam bilik ayah. Dia beranikan diri mengambil dan cuba membuka kotak itu tetapi sebaik kotak kayu itu disentuh, tangannya terasa panas. Ketika itu jugalah ayah sudah tercegat di muka pintu bilik. Muka ayah sudah berubah riak. Ada riak tidak senang. Cepat-cepat dia berlari keluar dari bilik ayah. Sampai sekarang, peti kayu itu masih menjadi misteri baginya.

“Phat… Awak okey ke?” Dayah kuis kaki Phat dengan ranting kayu. Dari tadi dia perasan lelaki muda itu mengelamun jauh.

Phat mendongak.

Errr… Awak tak nak balik ke? Dah lewat petang ni. Nanti mak dan abang awak marah.”

“Alah… Mereka tu tak marah pun. Saya nak berkawan dengan awak pun tak boleh? Kat sekolah tu, asyik kena buli aje dengan Wati, Shimah dan Zila. Geram!” Dayah mengetap bibir.

“Buli?” Phat terkejut.

Dayah angguk.

“Oh, ya… Phat kelas mana, ek? Tak nampak pun kat sekolah tu?” Dayah mula perasan semasa di sekolah, dia jarang nampak kelibat Phat.

“Saya ni tak pandai macam Dayah. Jadi, kelas tercorot ajelah.” Phat merendah diri.

“Ala… Saya pun bukannya pandai sangat.” Dayah tersengih.

Errr… Dayah, saya nak minta tolong boleh?” Phat mendongak dan menoleh ke arah Dayah.

“Tolong apa?”

“Esok, ayah saya tak ada kat rumah. Dia kena melawat tokong. Jadi… Saya… Saya..” Phat masih teragak-agak untuk memberitahu tujuannya.

“Apa?” Dayah sudah tidak sabar.

“Saya nak minta tolong. Awak datang ke rumah saya esok.” Phat cuba senyum.

“Boleh! Pukul berapa? Esok tak sekolah, kan?” Dayah sudah teruja. Ceria wajahnya ketika ini.

“Tengah hari.”

“Okey! Eh, kejap. Rumah awak kat mana?” soal Dayah semula.

“Saya tunggu awak kat sini, lepas tu kita sama-sama ke rumah saya,” balas Phat.

“Okay!” Dayah mula minta diri.

Phat hanya melihat Dayah mengayuh basikal meninggalkan kawasan tokong itu. Dayah yang sentiasa riang dan ceria itu cukup membuat hatinya terhibur.

USAI makan malam, Phat berehat di dalam bilik. Dia masih berfikir cara untuk mengambil peti kayu di atas almari pakaian ayahnya. Peti kayu kecil itu dilihat sudah usang. Ada sedikit lubang dan tempat kunci juga sudah rosak. Bermakna, mangga yang melekat pada kotak itu sudah tidak boleh dibuka. Phat mengiring pula ke kiri di atas tilam. Dalam benaknya masih berkisar peti kayu itu tadi.

Esok, Dayah akan datang dan dia akan mengajak Dayah sama-sama mengambil peti kayu itu. Dia akan suruh Dayah menyimpannya buat sementara waktu. Itulah saja cara yang dia boleh fikir. Hanya dengan cara itu, dia boleh mengetahui apa sebenarnya isi dalam peti kayu itu yang menjadi rahsia besar ayah angkatnya selama ini.

Bunyi ketukan di pintu jelas di telinganya. Phat bangun malas dan berjalan ke arah pintu. Pintu dibuka. Ayah sudah tercegat di situ.

“Ada apa, ayah?”

“Malam ni ayah kena pergi rumah Pak Cik Eh Ping. Ada masalah sikit di rumah dia. Phat jaga rumah, ya? Kunci pintu. Ingat jangan sentuh peti kayu tu lagi. Apa lagi buka peti kayu tu,” pesan Eh Di kepada Phat sebelum dia beredar ke rumah kawannya yang terletak di hujung kampung.

Phat hanya mengangguk tanda faham. Dia segera mengunci pintu utama dan kembali ke bilik. Lama dia berfikir tentang pesanan ayahnya tadi. Dia bingkas bangun semula dan mula melangkah ke bilik ayah. Nasib baik pintu bilik ayah tidak dikunci. Daun pintu bilik ayahnya dikuak perlahan. Matanya melilau melihat segenap ruang di dalam bilik itu. Dia mengintai pula peti kayu di atas almari pakaian. Peti kayu itu masih ada di situ. Perlahan Phat menghampiri almari.

Berdebar-debar jantungnya saat ingin menyentuh peti kayu itu. Dia masih berfikir sama ada ingin mengambil atau membiarkan sahaja peti kayu itu di situ. Separuh hatinya berkata, dia perlu mengambil peti kayu itu untuk mengetahui apa sebenarnya yang ada dalamnya dan separuh lagi hatinya berkata tidak. Itu barang milik ayah. Dia tidak boleh sembarangan menggeledah barang orang lain hatta barang itu kepunyaan ayah sendiri. Namun, hati kecilnya membuak-buak ingin tahu isi kandungan peti kayu itu. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata ayah dulu. Peti kayu itu ada kaitan dengannya tetapi sengaja ayah tak mahu memberitahu cerita sepenuhnya. Malah ayah pernah ingin membuangnya namun gagal. Terpaksa ayah simpan saja.

“Nak ambil ke tak?” Phat masih berfikir. Dia akhirnya memberanikan diri mengambil peti kayu itu. Terpelanting peti kayu itu jatuh di atas lantai. Terasa panas seluruh jarinya. Kedua-dua tangannya digosok-gosok. Terasa pedih.

Pappp! Gelap! Lampu rumahnya terpadam. Phat pandang sekitar bilik. Memang tidak nampak apa-apa. Dalam dia melihat sekitaran yang gelap itu, terasa ada seseorang memerhatikannya. Dari satu sudut, samar-samar kelihatan seorang lelaki seperti merenung tajam padanya. Hanya beberapa saat sahaja lelaki itu muncul dan hilang ditelan kabus.

Phat masih berada di tepi almari. Dalam keadaan gelap seperti itu dia masih dapat melihat dengan jelas peti kayu itu seperti mengeluarkan cahaya. Dia menelan liur berkali-kali. Pucat mukanya melihat perkara pelik yang pertama kali berlaku dalam hidupnya. Laju saja dia berlari keluar dari bilik ayahnya dan masuk ke bilik. Terus diselimut lingkup tubuhnya. Terasa badannya menggeletar dan menggigil.

Ketika ini juga dia mula mendengar bunyi tapak kaki berjalan di atas lantai papan rumahnya. Begitu jelas di telinga. Derapan kaki itu semakin lama semakin jelas. Dia cuba pasang telinga apabila terdengar ada suara dengusan dari bilik ayahnya. Bunyi benda berlaga semakin kuat di ruang tamu. Tidak berani dia bangun dan menjenguk melihat apa yang berlaku. Biarlah dia berada di bilik itu sampai ke pagi.

“Tapi… Macam mana dengan peti tadi? Peti kayu tu ada kat tepi dinding. Kalau ayah aku balik dan nampak peti tu ada kat situ, macam mana? Mampus aku dikerjakan!” Phat mula teringat peti kayu yang terpelanting tadi. Dia mula panik. Menggelabah.

Lama dia berada di dalam selimut. Suasana yang gelap dan panas itu dirasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Ah! Baik aku tidur ajelah.” Phat selimut lingkup tubuhnya dan paksa matanya untuk pejam serapatnya.

EH DI pandang tidak berkelip sebaik tiba di rumahnya. Pulang dari rumah Eh Ping tadi, dia terus saja pulang ke rumah, tidak singgah di mana-mana. Sebaik pintu dibuka, terkejut dia melihat keadaan di ruang tamu sudah seperti tongkang pecah. Almari yang disimpan dengan buku-buku agama sudah terbalik. Meja kecil yang terletak di tepi sofa juga sudah berubah tempat. Dia capai lampu suluh dari atas meja di tepi pintu. Suis utama rumah dibuka semula. Kini seluruh rumah itu sudah terang-benderang. Kali ini jelas dia melihat susunan perabot rumahnya sudah tunggang- langgang. Seluruh ruang tamu dilihat sekali lagi. Tiada sesiapa di situ. Dia terus saja ke bilik Phat.

“Phat! Phat! Buka pintu ni!!!” Daun pintu diketuk kuat.

Phat perlahan buka mata. Matanya digenyeh. Dia cuba mengamati suara dari luar pintu. Apabila sudah pasti itu suara ayah, dia mula bangun dan membuka pintu.

“Ada apa, ayah?” Berpisat-pisat Phat melihat ayahnya.

“Tu! Kenapa semua bersepah?” Eh Di menuding ke arah ruang tamu.

Phat jenguk. Terkejut dia melihat sofa dan almari buku ayahnya sudah terbalik. Perabot lain juga sudah bersepah. Apakah semua ini berlaku sekejap tadi?? Saat ini juga dia teringat peti kayu di dalam bilik ayahnya. Dia menelan liur. Apakah peti kayu itu masih berada di situ?

“Tak tahu ayah… Phat tidur tadi…” Phat mula gugup.

Eh Di menggeleng. Dia menapak ke biliknya. Suis lampu dipetik. Dia melihat sekitar bilik dan matanya jatuh pada peti kayu di atas almari. Dia lega.

Phat yang berada di belakang ayahnya terkejut melihat peti kayu itu sudah kembali ke tempat asalnya semula. Dia mula berubah riak. Pucat dan panik.

“Apa sebenarnya yang terjadi?” Phat garu kepala.

“Sudah, esok kemas semua tu,” arah Eh Di pada Phat dan menyuruh Phat menyambung tidur semula.

Phat masih terpinga-pinga. Dia menurut sahaja apa yang disuruh ayah. Esok, dia sudah nekad. Dia akan ambil juga peti kayu itu dan akan serahkan kepada Dayah.

capati dicubit lalu dicecah dengan kuah dal bercampur kari ikan. Kemudian capati itu dibawa ke mulut. Nikmat tidak terperi apabila tekaknya dapat merasa capati. Sudah hampir dua minggu dia tidak merasa keenakan capati dari restoran Pakistan yang selalu dibelinya.

“Aku rasa bhai tu dah jampi capati dan teh ais yang selalu kau beli dari restoran dialah. Sampai macam tu sekali kau teringin nak makan,” perli Adni yang sejak tadi melihat gelagat Hana.

“Capati dan teh ais dari kedai dia memang sedaplah. Susah nak minum teh ais yang cukup rasa macam ni. Tak kisahlah kalau dia mandrem ke, jampi serapah doa pengasih ke… Untung-untung aku selalu dapat makan free di restoran dia,” sahut Hana dengan nada berseloroh.

“Sengetlah kau ni!” tempelak Adni.

“Kau baru tahu ke?” Hana tidak mahu mengalah.

“Dah lama tahu. Cuma tahap senget kau semakin bertambah. Jangan aku pula sewel dahlah,” bidas Adni. Kemudian straw disisip ke celahan bibir. Air Milo ais disedut dengan penuh nikmat. Sedap!

“Kau dapat projek baru ke?” soal Adni apabila sedia maklum akan kesibukan Hana. Jika Hana memintanya untuk membeli makanan bungkus bermakna Hana sibuk dengan kerjanya.

“Haah! Encik Haikal nak aku briefing idea dan draf esok. Harap-harap tak adalah masalah,” balas Hana apabila selesai mengunyah.

“Alah… Kau kenyit mata pada Encik Haikal for sure dia luluskan kau punya idea dan draf tu. Selama ni mana pernah dia reject kau punya idea. Dia asyik harapkan idea dari kau aje,” sindir Adni yang sedia maklum perangai Encik Haikal, bos Hana.

“Baru Encik Haikal tahu kepala otak aku ni geliga. Boleh bikin cincin azimat tau!” balas Hana.

“Hana…”

“Hmmm…” sahut Hana.

“Kenapa Encik Haikal baik dengan kau aje eh?” duga Adni.

“Dia baik dengan semua orang apa. Bukan dengan aku seorang aje,” tempelak Hana.

“Adeh!” keluh Adni.

“Kenapa?” Hana pelik dengan keluhan itu.

“Hana! Kau tak rasa ke yang Encik Haikal tu ada feeling dekat kau?” soal Adni berterus terang. Tidak perlu kiasan kata dengan Hana. Sudah semestinya Hana tidak akan memahami. Tak romantik langsung! Kasihan bakal suami kau, Hana.

“Ada feeling? Gila!” Ringkas saja jawapan Hana.

“Mana tahu! Kut-kut dia memang ada hati dengan kau. Sebab tu dia banyak bagi jawapan positif dan baik dengan kau aje.” Adni cuba mencucuk jarum supaya Hana termakan dengan kata-katanya.

“Gila! Itu bias namanya! Berat sebelah! Bila bekerja biarlah adil dan sama rata. Tak kiralah dia bakal suami, bakal isteri, girlfriend, boyfriend atau ahli keluarga sekalipun… Bila kau jejak kaki di tempat kerja, automatik kau adalah staf. Suami, isteri, girlfriend, boyfriend, ahli keluarga ke… Itu selepas habis waktu kerja,” bidas Hana yang tidak menyenangi kata-kata Adni.

“Hana… Kau lesbian eh?” teka Adni, lurus.

“Hoittt! Lagi gila kau ni!” balas Hana.

“Dah tu… kau asyik dengan tittle lone ranger kau aje. Nak kata kau ada boyfriend, tak ada pun. Sejak dulu sampai sekarang. Secret admirer pun tak ada. Kau ni… tak ada hati dan perasaan ke?” Sakan Adni mengutuk Hana secara terang-terangan.

“Seronok kau kutuk, Ad,” perli Hana.

Adni hanya tersengih-sengih.

“Kalau aku tak ada hati dan perasaan, tak ada maknanya aku nak tolong mak cik dan pak cik aku tu. Kerana aku ada hati dan perasaanlah aku terpaksa tanggung hutang diorang sekeluarga,” tambah Hana. Capati dicubit lagi kemudian dimasukkan ke dalam mulut. Membebel… membebel juga! Tapi makan tak boleh letak tepi. Kena habiskan!

“Itu simpati!” bidas Adni.

“Simpati kan perasaan. Ia lahir dari hati.” Hana tidak mahu mengalah. Terkulat-kulat Hana mahu menelan capati. Terasa terlekat di kerongkong kerana terpaksa berdebat dengan Adni.

“Tercekik aku dibuatnya.” Air teh ais disedut laju. Lega!

“Kau tak ada admirer siapa-siapa ke? Dekat ofis atau zaman uni dulu ke?” duga Adni.

Serta-merta Hana tersentak apabila Adni menyebut zaman universiti dulu. Terbayang raut wajah seseorang dalam fikiran. Malah raut wajah yang dilihatnya di dalam lif dua hari lepas turut terlayar dalam minda. Hanya ada sedikit perbezaan. Sekarang semakin handsome. Gugur iman kawe!

“Hana!” Nada suara Adni naik seoktaf apabila melihat Hana seperti mengelamun jauh. Mesti ada sesuatu yang dirahsiakan.

“Apa?” Hana sedikit terpinga-pinga.

“Ada eh? Ofis?” teka Adni.

Serentak wajah Hana berkerut dengan tekaan itu. Aci tak kalau aku ketuk kepala minah ni dengan senduk?

“Encik Haikal eh?” teka Adni lagi.

“Hoittt! Jangan nak berangan jauh sangat,” tempelak Hana. Gila nak bercinta dengan bos sendiri.

“Kalau bukan Encik Haikal, siapa? Kita cuba throw back zaman uni,” cadang Adni.

“Tak payah nak throwback bagai.” Cepat-cepat Hana mencelah. Kan kantoi nanti naya!

“Jan, budak grafik?” teka Adni lalu memandang Hana. Hana hanya menjongket bahu sebagai jawapan.

“Mustahil Jan. Siapa eh yang selalu kau skodeng zaman uni dulu? Orang yang mampu buat kau tersipu malu kalah perempuan Melayu terakhir. Orang yang buat kau akan gelabah bila dia tegur kau. Siapa eh?” Adni cuba tercari-cari wajah yang mampu membuatkan Hana malu dan juga gelabah.

“Haaa!”

Terkejut Hana dengan sergahan Adni. Jantung Hana semakin berdegup kencang jika Adni dapat meneka gerangan orang yang dicarinya itu.

“Haider!” teka Adni.

“Mamat tu? Bagi free pun aku tak nak. Bajet muka aje handsome tapi otak kosong. Asyik nak aku suap aje semuanya. Assignment pun nak kebas aku punya. Kalau dia tolong bayar yuran studi aku tak apalah juga,” bidas Hana.

“Okey. Kita keluar dari kelas kau. Mungkin senior ke…” Adni tidak akan mengalah selagi dia tidak mengetahui gerangan yang berjaya mencuri perhatian Hana. Dari perilaku Hana pun dia boleh tahu. Pasti ada sesuatu yang Hana sembunyikan daripadanya.

“Senior mana eh yang handsome?” Bibir Adni kembali tersenget-senget sambil memikirkan gerangan untuk dijadikan mangsa. Tetapi…

“Aku tak nak cari yang handsome. Aku nak cari yang sedang-sedang. Kau kan tak suka yang handsome dan terkenal ni. Kau mesti cari lelaki yang low profile,” sambung Adni lagi, menukar kriteria yang ingin dicarinya.

“Hana… Aku rasa aku tahu siapa yang berjaya mencuri perhatian kau.” Dengan sekelip mata saja Adni sudah dapat meneka gerangannya.

“Siapa?” soal Hana.

“Umar Rayyan?”

Serentak Hana tersedak. Malah turut terbatuk-batuk kecil. Pantas bungkusan teh ais dicari lalu disedut laju. Tidak puas dengan air teh ais, Hana mencari air kosong pula. Diteguknya dengan selamba sehingga puas.

“Umar Rayyan, kan?” teka Adni sekali lagi.

“Jangan nak merepek!” tukas Hana, menggelabah.

“Mesti Umar Rayyan ni. Kau dah gelabah tadi. Riak muka kau pun dah lain. Blushing pun ada,” tebak Adni.

“Hoittt! Jangan nak merepek,” tukas Hana sekali lagi.

“Aku pasti sangat-sangat… Mesti Umar Rayyan.” Adni tetap dengan jawapannya. Riak wajah Hana yang sudah berubah itu jelas dapat dibacanya.

“Hoittt!” Hana kehabisan idea untuk membantah.

“Umar Rayyan… Hmmm… Boleh tahan! Tak adalah famous mana. Tak ada pula dengar gosip liar dan couple dengan mana-mana perempuan. Betul-betul low profile ni,” ujar Adni. Wajah Umar Rayyan terlayar dalam fikiran.

Tiba-tiba terbuntang kedua-dua biji mata Adni apabila teringat sesuatu. “Patutlah kau selalu sangat nak melepak di padang setiap petang. Rupa-rupanya kau nak skodeng dia masa latihan ragbi. Hana Humairah! Kau memang licik!”

“Hoit! Fitnah tu!” tukas Hana. Tapi hakikatnya…

“Hana Humairah… Rahsia terbesar kau, aku dah tahu.” Sakan Adni menyakat Hana apabila mengetahui gerangan orang yang dicarinya itu. Malah Adni turut ketawa geli hati melihat riak tidak puas hati Hana.

Kasut Converse berwarna hitam dikeluarkan dari almari kasut. Kemudian dia berlabuh di sebuah kerusi kayu. Kasut disarungkan ke kaki. Tali kasut yang berjuntai itu tidak diikat tetapi hanya diselit ke dalam kasut.

“Umar?” Satu suara menyapa lantas Umar mengangkat wajah memandang ke arah kelibat yang datang menghampirinya.

“Ya, nenda,” sahut Umar.

“Nak pergi mana malam-malam ni?” soal Datin Khaleeda.

“Keluar sekejap. Minum dan berbual,” jawab Umar sambil menyarung kasut di kaki kiri pula.

“Keluar dengan siapa?” soal Datin Khaleeda lagi.

“Keluar dengan Uwais,” balas Umar.

“Kenapa tak panggil Uwais datang ke rumah? Ni kan rumah dia juga. Uwais dah tak sudi datang rumah nenda ke?” Bertalu-talu Datin Khaleeda menyoal Umar.

Umar memandang nendanya lantas tersenyum manis. Usai menyarung kasut, Umar berdiri dan berhadapan dengan nendanya.

“Ada hal sikit Uwais nak berbual dengan Umar. Di rumah tak sesuailah, nenda,” jelas Umar cuba memujuk.

“Ada masalah baru nak cari abang dia. Kalau tak ada masalah, ingat abang pun tak. Nenda tak sukalah cucu-cucu nenda perangai macam tu,” luah Datin Khaleeda tentang perangai cucu-cucunya itu.

Uwais Rizqi ialah adik Umar. Selain itu, mereka berdua masih lagi mempunyai seorang adik lelaki bernama Uzair Raqib. Uwais dan Uzair memilih untuk tinggal bersama dengan papa mereka. Hanya Umar saja yang tinggal dan menemaninya di rumah peninggalan arwah suaminya.

“Nenda… Umar sebagai abang kenalah ambil berat hal adik-adik. Walaupun cara Umar macam tak ambil peduli, tapi Umar sayangkan adik-adik Umar. Nenda jangan risau eh. Umar ada cara tersendiri nak ajar adik-adik,” pujuk Umar lagi apabila terkesan nada jauh hati nendanya itu.

“Keluar pergi kelab ke?” Pertanyaan Datin Khaleeda membuatkan Umar ketawa kecil.

“Tak adalah, nenda. Umar dan Uwais pergi minum di kedai aje. Kami berdua tak masuklah tempat macam tu. Uzair mungkin, ya,” akui Umar tentang perangai adik bongsunya itu.

“Naik motor?” teka Datin Khaleeda apabila melihat topi keledar milik Umar.

“Haah! Umar janji tak balik lewat. Esok pagi Umar ada meeting dengan supplier.” Spontan tangan kanan diangkat seperti membaca ikrar.

“Hati-hati,” pesan Datin Khaleeda.

“Insya-Allah, nenda. Jangan tidur lewat, okey,” sahut Umar. Tangan nendanya disalami dengan penuh hormat. Kemudian sebuah ciuman mendarat di pipi nendanya.

“Assalamualaikum,” ujar Umar sebelum beredar.

“Waalaikumussalam,” jawab Datin Khaleeda. Anak matanya menghantar pemergian Umar sehingga kelibat itu hilang di sebalik daun pintu utama. Tidak lama kemudian, kedengaran enjin motosikal berkuasa tinggi meninggalkan kawasan rumah.

Sementara itu, di rumah sewa yang dihuni oleh Adni dan Hana berlangsungnya ‘konsert Hindustan’. Kalah konsert Lata Mangeshkar!

Sakan Hana bernyanyi di dalam bilik tidur. Adni yang berada di ruang tamu menggeleng perlahan. Jika Hana bersuka ria itu bermakna tugasannya tiada masalah. Malah ideanya diterima baik oleh Haikal.

Sejak petang tadi lagi Hana sudah bersuka ria. Pelbagai lagu dinyanyi olehnya. Adni suka melihat wajah Hana yang sentiasa ceria itu. Adni paling tidak suka jika Hana bermasam muka. Sapaan langsung tidak berbalas dan hanya berkurung di dalam bilik. Tetapi jarang sekali dia mahu melihat Hana dengan wajah yang masam mencuka melainkan Hana stres dengan kerja di ofis.

“Hana!” panggil Adni. Hana masih lagi dengan nyanyiannya.

“Hana!” panggil Adni sekali lagi. Tiada sahutan.

“Tak boleh jadi ni,” ngomel Adni. Telefon bimbit yang berada di atas sofa dicapai. Nombor telefon bimbit Hana didail. Kemudian telefon bimbit ditekap ke telinga.

Hanya dengan dua kali deringan, talian berjaya disambungkan.

“Weh!” sapa Hana.

“Aku malas berjalan nak ketuk pintu bilik kau,” terang Adni.

“Senget!” tempelak Hana.

“Jom keluar makan!” ajak Adni.

“Bab makan kau rajin pula,” perli Hana.

“Bab makan kena rajin. Kalau malas juga, kebulurlah aku,” bidas Adni. Kemudian kedua-duanya mengekek ketawa.

“Makan kat mana?” soal Hana pula.

“Mulut!” balas Adni selamba.

“Sengetlah kau ni!” tempelak Hana apabila laju saja Adni mengenakannya.

“Jomlah keluar makan! Berhenti sekejap kau punya konsert Hindustan. Lata Mageshkar pun tahu berehat sekejap,” perli Adni lagi.

“Tomyam, jom!” ajak Hana yang tiba-tiba teringinkan masakan tomyam.

“Restoran Murni!” ujar mereka berdua serentak.Tidak lama kemudian talian dimatikan.

Berdesup Adni menghilangkan diri ke dalam bilik untuk menukar pakaian. Dia senang menyewa bersama Hana. Cara pemikiran mereka berdua sama malah cita rasa juga sama.

Ketika mereka tiba di Restoran Murni yang terletak di Bukit Jalil, pelanggan masih lagi tidak ramai. Restoran Murni ini terkenal dengan makanan barat dan juga masakan Thai. Dan kerana makan mereka berdua sanggup pergi jauh sikit dari kawasan rumah.

Usai Hana dan Adni memberi pesanan, giliran seorang lelaki yang berada di sebelah meja mereka pula memberi pesanan. Tidak lama kemudian, pelayan tersebut beredar dari situ. Anak mata Hana mula meliar melihat kawasan persekitaran dan gelagat para pelanggan. Tiba-tiba anak mata Hana bertaut dengan lelaki yang berada di sebelah meja mereka. Lelaki itu mengukir senyuman.

“Hai,” sapa lelaki itu. Senyuman masih lagi tidak lekang dari bibir. Malah tangan juga turut dilambai ke arahnya.

“Errr… Hai,” sapa Hana semula sekadar beramah mesra. Bibir turut mengukir senyuman. Adni turut menoleh ke arah lelaki itu dan berbalas senyuman.

“Berdua aje?” soal lelaki itu cuba untuk memulakan perbualan.

“Haah!” Hana mengangguk.

“Bukan ke ramai?” seloroh lelaki itu lantas memandang sekeliling kawasan restoran. Para pelanggan mula memenuhi meja yang masih kosong.

“Loyar buruk pula,” bidas Adni yang tidak menyenangi jenaka lelaki itu.

Hana pula sudah menjeling tajam ke arah lelaki itu. Buat lawak pula! Punch-line nak mengayatlah tu. Tapi nak mengayat siapa? Aku ke Ad? Tapi… tadi dia tanya aku. Takkanlah nak mengayat aku pula? Sah! Sewel dah mamat ni!

“Sorry. Saya melawak aje,” ujar lelaki itu apabila jenakanya tidak disambut oleh Hana dan Adni.

“Saya Uwais. Uwais Rizqi.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada Hana dan Adni tetapi tetap tiada sahutan daripada mereka berdua.

“Tak nak kenalkan nama ke?” Uwais cuba memancing perhatian. Adni membalas pandangan Uwais dengan pandangan yang tajam.

“Saya datang menyapa dengan niat yang baik. Niat untuk mengeratkan silaturahim. Nabi pun menggalakkan supaya kita mengeratkan silaturahim,” jelas Uwais. Wajah dua orang gadis yang berada di sebelah meja dipandang satu per satu. Cantik! Masing-masing ada tarikannya sendiri. Yang penting, bukan plastik.

Hana mengeleng. Jika dia tidak memperkenalkan dirinya dan juga Adni, pasti suasana makan malam mereka tidak akan aman damai seperti selalu. Malah akan berterusan diganggu oleh lelaki yang bernama Uwais ini.

“Hana. Dia, Adni,” ujar Hana memperkenalkan dirinya dan juga Adni.

“Hana… Adni… Sedap nama tu. Manis! Macam tuan dia juga.” Ada saja idea Uwais untuk memuji gadis-gadis itu.

Deruman enjin motosikal berkuasa tinggi menarik perhatian Hana untuk berpaling. Anak matanya melihat motosikal berwarna merah yang baru saja menghampiri kawasan restoran. Honda CBR250. Merah! Memang cun habis! Melekat dengan jiwa!

Hana langsung tidak lepas memandang motosikal berkuasa tinggi itu sehingga diparkir tidak jauh dari situ. Hana memandang batang tubuh yang turun dari motosikal tersebut. Kelibat itu nampak santai dengan T-shirt berlengan panjang dan berseluar jean biru lusuh.

Sebaik saja topi keledar ditanggalkan, hampir pengsan Hana dibuatnya. Wajah itu… Hana langsung tidak menyangka. Tiga hari lepas mereka bertemu secara tidak sengaja di dalam lif. Hari ini di restoran pula.

Tiba-tiba tubuh itu mengorak langkah menghampiri Hana dan Adni. Serentak Hana menundukkan wajah. Tudung bawal yang elok tersarung di kepala dibetulkan supaya tampak lebih kemas.

“Dah lama sampai?” sergah satu suara.

“Errr….” Hana kehilangan kata-kata. Dia hanya mengangguk saja.

“Hana? Kau dah kenapa?” tegur Adni yang pelik dengan tingkah laku Hana. Tiba-tiba saja mengangguk.

“Kenapa kau angguk?” soal Adni.

Spontan Hana mengangkat wajah lalu mencari batang tubuh itu. Tetapi sudah tiada. Aduh! Dia terperasan! Syok sendirilah pula!

“Kau, kenapa?” soal Adni sekali lagi. Laju saja Hana menggeleng.

“Sempat kau jual minyak?” Suara itu menerjah lagi ke gegendang telinga. Tetapi terasa dekat sekali.

“Sempat jugalah sementara tunggu Abang Umar.” Suara Uwais pula kedengaran.

Hana memandang ke kanan, tiada. Kemudian kepala ditoleh ke kiri pula. Terkejut! Cepat-cepat kepalanya dipaling kembali. Riak wajah Adni nampak terpinga-pinga dengan tingkah laku Hana.

“Errr…” Hilang semua ayat yang cuba ditutur oleh Hana. Jari telunjuk ditunjukkan ke arah meja sebelah secara sembunyi. Malah anak mata Hana turut melirik ke arah kiri supaya Adni memandang ke arah yang sama.

Adni faham dan akur akan arahan itu. Kepala ditoleh ke kiri. Terkejut bukan kepalang apabila melihat raut wajah yang turut menyertai Uwais. Pandangan mata Adni bertaut dengan anak mata tersebut. Spontan Adni mengukir senyuman kepadanya dan kembali memandang Hana. Patutlah Hana menggelabah dan bertukar menjadi perempuan Melayu terakhir.

“Umar Rayyan…” Perlahan saja nama itu disebut oleh Adni.

“Uzair?” Umar bersuara.

“Macam biasa. Tak lekat di rumah,” jawab Uwais. Kemudian dia memandang Hana dan Adni di meja sebelah.

“Uwais… I’m here,” tekan Umar apabila adiknya menumpukan perhatian ke arah lain. Umar turut menoleh ke meja sebelah yang diduduki dua orang gadis. Seorang gadis tersenyum nipis kepadanya. Seorang lagi pula menoleh ke arah kanan dan memandang jauh ke dalam kegelapan malam. Lagak gayanya seperti malu alah tiba-tiba pula.

“Ada pen dan kertas?” soal Uwais kepada Umar.

“No,” jawab Umar.

“Adni… Hana… Ada pen dan kertas tak?” Uwais bertanya pula kepada Adni dan Hana. Pantas kedua-duanya menggeleng laju.

Uwais menggamit tangan dan memanggil pelayan restoran. “Dik!”

Seorang lelaki menghampiri Uwais dan Umar. Uwais bertanyakan pen dan kertas kepada lelaki tersebut. Sehelai kertas kecil dan sebatang pen dihulurkan. Laju tangan Uwais menulis sesuatu di atas kertas lalu dilipatnya. Kemudian pen diserahkan kepada lelaki tersebut.

“Dik, Nescafe ais satu,” ujar Umar kepada lelaki tersebut sebelum beredar dari situ.

“So?” Umar memandang Uwais.

Uwais melepaskan keluhan. “Uzair… semakin memeningkan kepala!”

Giliran Umar pula yang melepaskan sebuah keluhan.

HANA dan Adni berbual dan cuba mengabaikan kelibat yang berada di sebelah meja. Sesekali kedengaran perbualan dua jejaka tersebut. Usai makan malam, Hana berlalu untuk menjelaskan pembayaran. Kemudian Hana kembali ke meja.

“Hana?” panggil Uwais ketika Hana dan Adni mahu beredar pulang.

Serentak Hana berpaling dan memandang Uwais. Tetapi pandangan matanya tertancap di raut wajah milik Umar Rayyan. Pantas Hana mencari lengan Adni untuk berpaut. Dia lemah! Terutama apabila berbalas pandangan dengan lelaki bernama Umar Rayyan. Inilah kali pertama dia berbalas pandangan dengan Umar dan juga memandang wajah itu dari jarak yang dekat.

“Hmmm…” Uwais menghulurkan sekeping kertas yang berlipat kepada Hana. Terpinga-pinga Hana mahu menyambut huluran itu. Untuk aku ke? Biar betul?

“Terima kasih,” ujar Uwais apabila kertas itu sudah berada di dalam pegangan Hana.

“Uwais… Stop it, okay. Jangan berlagak romeo sangat,” tempelak Umar yang sudah mengalihkan pandangan daripada bertaut dengan pandangan Hana.

Tanpa pamitan, Hana beredar dari situ. Ketika berada di dalam perut kereta, Hana membuka lipatan kertas tersebut. Serta-merta wajah Hana berubah apabila membaca isi coretan Uwais. Kertas tersebut diberikan kepada Adni.

“Untuk kau!”

“Untuk aku?” Adni pelik.

“Dari Uwais,” ujar Hana.

“My contact number. Please berikan pada Adni.” Adni membaca hasil coretan Uwais di kertas tersebut.

“Aku pula kena jadi posmen,” bebel Hana.

Dia sedikit kecewa. Ingatkan nota kecil itu untuk dia. Tetapi untuk Adni pula. Hampir-hampir saja dia syok sendiri sekali lagi. Malu! Kalaulah nota kecil itu turut tertulis nombor telefon Umar, alangkah indahnya dunianya.

Umar memandang wajah adik bongsunya. Ikutkan hati adiknya itu sudah menerima ‘hadiah percuma’ daripada dia. Tetapi dia cuba sabarkan hati. Jika dia berkeras, pasti adiknya juga turut berkeras. Uzair Raqib, adik bongsunya ini seorang yang keras kepala. Malah teguran dan juga nasihat papa mereka langsung tidak meninggalkan bekas.

“So, what is your plan now? Dah habis study, kan?” soal Umar. Namun disahut sepi oleh Uzair.

“Uzair Raqib…” Umar menekan nada suaranya. Itu bermakna dia betul-betul mahukan perhatian dan juga jawapan. Bukan kebisuan sebagai jawapan.

“Uzair nak break dulu. Nak berehat.” Akhirnya Uzair bersuara. Sejak awal dia tiba di ofis abangnya, dia bertindak dengan mendiamkan diri saja.

“Berapa lama?” Umar berpeluk tubuh dan anak mata masih lagi tertancap pada wajah Uzair.

“A few months,” jawab Uzair perlahan.

“Selama beberapa bulan tu kau nak buat apa? Tidur? Melepak? Clubbing? Traveling?” tebak Umar bertubi-tubi dengan nada sinis.

Uzair diam membeku di sofa. Anak mata tidak berani bertentang mata dengan abangnya itu. Dan dia tahu tahap kemarahan abangnya masih lagi boleh dikawal. Nada suara itu masih lagi mendatar. Cuma nadanya sinis saja.

“I need you at here!” ujar Umar dengan nada yang masih lagi cuba dikawal. Kesabarannya sedikit goyah.

“Berikan Uzair masa untuk semua ni,” pinta Uzair sekali lagi.

“Aku boleh berikan masa. Tapi kau nak buat apa selama tu? Kalau kau hanya membuang masa dengan perkara tak berfaedah, baik tak payah. Kau datang kerja dan bantu aku di sini,” tempelak Umar, bengang.

Pelbagai cerita mengenai kelakuan buruk Uzair sudah sampai telinganya. Tidak senang duduk dia dibuatnya apabila memikirkan perangai Uzair yang semakin menjadi-jadi. Ketika belajar lagi Uzair sudah mula buat perangai. Dan Uzair sudah pun diberi amaran oleh dia. Sekarang, semakin buruk pula. Salah pilih kawan inilah jadinya. Tambahan pula papa mereka menegur dan memberi nasihat hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Lebih-lebih lagi dengan Uzair, anak yang bongsu.

“I have my own life!” Uzair mula rasa rimas apabila didesak oleh Umar.

“Yes, I knew! You have your own life. Tapi kau jangan lupa tanggungjawab dan juga amanah yang perlu kau pikul. Duit ringgit tak sewenang-wenangnya datang bergolek. Kau perlu bekerja untuk dapatkan semua tu,” tempelak Umar.

“Clubbing setiap malam! Belum lagi racing, betting game bagai. Aku tahu setiap aktiviti kau. Dan aku tahu papa akan menutup mata dengan perangai kau. Telinga aku pedih bila orang sampaikan pada aku. Kalau cerita ni sampai ke telinga nenda, macam mana? Tak ke nenda tu risau dan jatuh sakit?” Berderet-deret Umar melepaskan peluru kata tanpa henti. Dia benar-benar panas hati ketika ini. Jika bukan disebabkan Uzair ialah adiknya, memang sudah lama sebuah penumbuk hinggap di pipi Uzair.

“Tak nak pedih telinga, tak payah ambil tahu. Lantaklah nak jadi apa-apapun pada Uzair. Abang Umar tak payahlah tunjuk lagak baik. Tahulah Abang Umar tu cucu kesayangan nenda. Asyik-asyik Umar. Umar itu… Umar ini… Uzair dengan Abang Uwais ni siapa?” Uzair mula tunjuk belang. Kesabarannya mula goyah.

“Hei!!!” Nada suara Umar naik seoktaf.

“Nenda tak pernah bezakan antara kita bertiga. Kau dan Uwais yang pilih nak stay dengan papa. Alasan tak nak dikongkong oleh nenda. Itu bukan dikongkong tetapi kasih sayang. Bila nenda dah terbiasa dan rapat dengan aku, pandailah kau reka cerita itu dan ini. Nenda melarang bersebab! Nenda tak nak kita salah pilih jalan dan salah membuat keputusan,” tambah Umar lagi. Sepantas kilat dia membidas kembali tohmahan Uzair.

“Nenda berleter tu bukan cerewet. Tetapi sebab sayang. Kau tu yang tak faham. Kau lebih pentingkan kehendak hati. Kesunyian nenda ada kau faham? Ada kau ambil peduli? Even papa anak nenda sendiri pun tak faham apa kehendak hati nenda. Ini kau kata nenda beza-bezakan kita bertiga pula. Are you insane?” Umar langsung tidak kehabisan kata untuk menyedarkan Uzair daripada kesilapannya sendiri.

Uzair membungkam tanpa kata. Dia tidak perlu lagi melawan kata dengan abang sulungnya itu kerana dia pasti kalah. Abang Umarnya memang hebat dalam berkata-kata. Malah kata-katanya itu berbaur sindiran. Yang pasti, dia harus terima dan telan.

“Aku bagi masa dua bulan lagi. After that, kau suka atau tak… kau kena ikut cakap aku. Uwais dah bantu papa di main office. Aku nak kau bantu aku di sini pula. Tak payah semuanya berkumpul di main office.” Umar terpaksa membuat keputusan apabila adik bongsunya itu sudah diam membisu. Dia tahu akan kebisuan adiknya itu. Adiknya itu tidak mampu lagi untuk berlawan dengannya.

“Pergilah balik dan sambung tidur ke apa… Tapi jangan sampai keadaan semakin buruk. On that time, kau akan tahu siapa sebenarnya Umar Rayyan.” Keras sekali Umar meninggalkan amaran. Ya! Dia benar-benar serius dengan kata-katanya itu. Selepas ini, tiada lagi toleransi.

Tiada jawapan atau sebarang reaksi daripada Uzair. Dia bangun dari sofa lalu mengatur langkah menghampiri Umar. Langkahnya terhenti apabila berhadapan dengan Umar. Uzair masih lagi tunduk, tidak berani berpandangan dengan abang sulungnya.

“Abang Umar…” panggil Uzair.

“Apa?” soal Umar dengan nada kasar. Sedikit pun dia tidak berlembut dengan adiknya itu.

“Sorry,” ujar Uzair. Tiba-tiba saja Uzair memeluk tubuh Umar.

Umar kaku! Dia tidak tahu sama ada mahu membalas atau hanya biarkan saja pelukan itu. Pelik! Itu kata hati Umar. Untuk tidak menghampakan Uzair, Umar hanya menepuk lembut belakang tubuh Uzair. Dia buntu untuk membuat keputusan.

Umar memarkir Honda Civic yang dipandunya di sebelah MPV Toyota Alphard milik nendanya. Ketika dia memasuki laman rumah sebentar tadi, terlihat sebuah kereta Mini Cooper. Umar tidak pasti milik siapa kenderaan itu. Badannya terasa benar-benar letih.

Bayangan tilam dan juga bantal sudah bermain dalam fikiran. Tiba-tiba bayangan tersebut lenyap begitu saja apabila dia diganggu dengan deringan pendek dari telefon bimbit. Umar mencapai telefon bimbit yang berada di dashboard. Skrin dibelek dan terlihat mesej WhatsApp daripada Uwais.

 

Uwais : Dinner at nenda’s house tonight. Booking for one person, please.

 

Jari-jemari Umar ligat menaip sesuatu di skrin.

 

Umar : Done!

 

Hantar! Tidak lama kemudian, bunyi deringan pendek kedengaran lagi. Umar malas mahu membelek skrin telefon bimbit lagi. Terus saja telefon bimbit dimasukkan ke dalam kocek seluar. Jaket yang tergantung di bahagian tempat duduk belakang segera dicapai. Kemudian dia keluar dari perut kereta.

Umar melihat kereta Mini Cooper itu. Nombor plat itu tidak pula dapat dicamnya. Barangkali kawan nenda datang melawat. Pintu utama terbuka ketika Umar sampai di situ. Kasut ditanggalkan lalu dijinjit.

“Assalamualaikum. Nenda… Umar dah balik,” sapa Umar apabila melangkah masuk ke dalam rumah. Kasut disimpan ke dalam almari kasut. Tersusun kasut miliknya di situ. Kasut kerja, kasut Converse, kasut sukan malah pelbagai selipar turut disimpan.

“Waalaikumussalam,” sahut Datin Khaleeda yang datang menghampiri Umar.

“Hari ni nenda buat apa aje? Pergi mesyuarat ahli tingkap lagi?” perli Umar dengan nada berseloroh. Sengaja mahu mengusik nendanya itu. Mesyuarat ahli tingkap merupakan mesyuarat ahli persatuan. Umar kurang bersetuju nendanya itu mengikuti aktiviti persatuan tersebut. Dia mahu nendanya itu berehat saja di rumah.

“Hari ni nenda ikut diorang pergi rumah anak-anak yatim di Kuala Selangor. Best!” cerita Datin Khaleeda dengan nada teruja.

“Dan nenda dapat kawan baru. Mungkin kawan baru untuk Umar juga,” tambah Datin Khaleeda lagi.

“Oh, no! Nenda…” Umar sudah dapat mengagak makna ‘kawan baru’ yang dimaksudkan oleh nendanya itu. Pasti kawan baru nendanya itu wanita muda yang mahu diperkenalkan kepadanya.

“Umar belum ready lagilah. Cinta… Selama-lamanya… Mengarutlah semua ni.” Sudah acap kali nendanya cuba memperkenalkannya dengan anak-anak kawan nendanya tetapi semuanya ditolak mentah-mentah.

“Kamu tu bukan muda lagi. Dah hampir tiga puluh satu tahun. Nak tunggu dah bertongkat, kaki terketar-ketar nak berjalan, baru nak fikir kahwin? Begitu? Masa itulah kamu kena pelangkung dengan tongkat. Dah tua ganyut baru gatal nak kahwin,” bidas Datin Khaleeda.

“Nenda… Not again! Umar betul-betul tak minat,” tekan Umar dengan keputusannya. Dia betul-betul tidak berminat dengan hal sebegini. Cinta… Selama-lamanya… Itu semuanya mengarut! Hanya mainan bibir! Dia langsung tidak percaya cinta dan juga perkataan selama-lamanya.

“Jom! Nenda kenalkan kamu dengan dia. Berminat atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting dia tahu kamu tu cucu nenda.” Datin Khaleeda berkeras malah tangan Umar terus ditarik agar mengikuti langkahnya.

“Nenda?” Umar terkejut dengan tindakan drastik nendanya itu.

Mereka berdua tiba di ruang tamu. Seraut wajah sedang tersenyum kepadanya. Bukan tak cantik. Cantik! Sedap mata memandang. Tetapi hatinya tidak berminat untuk mempunyai apa-apa komitmen. Terutama dalam hubungan cinta yang sentiasa rumit.

“Ini cucu sulung saya. Umar Rayyan.” Datin Khaleeda memperkenalkan Umar kepada wanita itu.

“Umar… Ini Sara.” Datin Khaleeda memperkenalkan pula gerangan wanita itu kepada Umar.

“Hai…” sapa Sara dengan mesra. Tangan turut dihulur untuk berjabat mesra dengan Umar.

“Maaf, Cik Sara. I can’t! Bukan muhrim.” Umar berlaku jujur.

“Oh? Okey…” Sara menarik kembali huluran tangannya.

“Nenda, I’m tired. Umar naik atas dulu.” Umar mahu lekas beredar dari situ. Pandangan mata Sara sedikit merimaskannya.

“Okey. Jangan tidur. Karang terlepas solat maghrib.” Datin Khaleeda terpaksa mengalah lagi. Bukan senang mahu melembutkan hati cucunya itu. Atau dengan kata yang lebih tepat, mahu mencairkan dan menarik perhatian Umar.

“Okey, nenda. Sebelum Umar lupa, malam ni Uwais akan dinner dengan kita. Hanya Uwais!” pesan Umar sebelum beredar meninggalkan Sara dan Datin Khaleeda di ruang tamu.

“Saya minta maaf bagi pihak cucu saya. Dia memang begitu jika ada yang tak kena. Dingin! Mungkin ada masalah di kilang tadi,” ucap Datin Khaleeda.

Sekali lagi rancangannya tidak menjadi. Susah benar mahu mencairkan hati keras cucunya itu. Siapalah yang bertuah mampu mencair

kan hati keras Umar dan juga mampu menarik perhatian Umar? Kalau tiada, kempunanlah dia mahu bercicit.

Anak mata sesekali dilarikan dari skrin telefon bimbit Sony Ericsson T2 lalu dihala ke skrin komputer. Namun hanya seketika. Anak mata kembali tertancap pada skrin telefon bimbit. Drama Korea Descendants of the Sun lebih menarik minatnya.

“Uittt!” tegur Firda.

“Shhh…” Jari telunjuk ditempel ke bibir. Kalau Firda bising, alamat hancurlah aktiviti tidak bermoralnya ini.

“Berapa kali kau repeat drama ni?” perli Firda. Setahu dia, Hana bukanlah seorang peminat K-pop atau K-drama. Tetapi gara-gara drama Korea Descendants of the Sun, Hana sanggup menonton secara online. Pelik!

“Aku repeat episod ni aje sebab tak puas tengok. Sweet kut sarjan dengan leftenan ni,” balas Hana selamba.

“Bukan ke cerita ni dah habis tayangan di tv?” duga Firda.

“Dah! Ada cerita baru sekarang ni. Doctors! Aku sibuklah nak layan. DOTS ni aku tak boleh nak ignore. Macam ada tarikan magnet!” balas Hana. Anak mata melingas memandang persekitaran ruang kerja. Masing-masing sibuk menyiapkan kerja.

“Tolong cover untuk aku, eh,” pinta Hana yang kembali melayan drama Korea di skrin telefon bimbit.

“Suara pun tak ada,” perli Firda lagi.

“Subtitle kan ada,” balas Hana tanpa memandang rakannya itu.

Firda hanya menggeleng saja dengan gelagat Hana. Mahu dilarang, Hana pasti akan melakukannya juga. Hasil kerja Hana semuanya mendapat pujian daripada pihak atasan. Tidak hairanlah kalau kebanyakan projek besar dikendalikan oleh Hana.

“Hana?” panggil Firda.

“Hmmm…” sahut Hana. Anak mata masih lagi melekap di skrin.

“Hana!” Firda menekan nada suaranya. Menagih perhatian daripada Hana.

“Jangan kacaulah. Part best ni. Diorang bertemu semula lepas sarjan tu hilang dan disahkan mati dalam misi. Romantik! Dalam suasana bersalji pula tu!” Ternyata Hana leka dengan drama kegemarannya itu.

“Aku rasa lepas ni kau kena masuk ofis Encik Haikal,” ujar Firda.

“Biarlah. Nanti aku kenyit-kenyit mata kalau dia nak marah aku. Aku buat muka comel macam Puss in the Boots. For sure, marah dia hilang.” Kata-kata amaran Firda langsung tidak meninggalkan bekas pada Hana. Malah Hana memberi cadangan pula.

Lima belas minit berlalu. Hana tersenyum-senyum simpul menonton drama Korea. Skrin komputer tidak lagi dipandangnya. Persekitaran ofis pun tidak lagi dipedulikan. Hana leka dengan drama bisu tanpa suara itu. Yang pasti, hanya dia seorang saja yang memahami dan juga terhibur.

Pappp! Tapak tangan melekap di atas meja.

“Hana!” sergah seseorang. Hana terkejut lantas melarikan anak mata ke wajah itu.

“Kau layan DOTS lagi eh?” sergah Watie, pembantu Haikal.

“Mana ada! Saya check inbox WhatsApp la…” Alasan Hana.

“Aku nampak muka big boss dan Doc Kang tadi,” tempelak Watie. Hana tersengih-sengih saja. Kantoi! Tetapi kantoi dengan geng sekepala tiada masalah.

“Encik Haikal panggil kau ke ofis dia,” sambung Watie menyampaikan pesanan Haikal.

“Mood?” soal Hana yang bertanyakan keadaan mood Haikal terlebih dahulu. Kalau bagaikan angin mendung yang sedang berarak, dia harus prepare. Tidak perlu dia membuat perangai tiga suku dan tidak cukup akal. Dia perlu berlagak profesional.

“Okey aje. Tak ada maknanyalah Encik Haikal tu nak moody dengan kau, Hana. Dia merajuk manja adalah,” sindir Watie yang sudah sedia maklum gelagat bos baru mereka itu apabila berhadapan dengan Hana. Lembut gigi dari lidah!

“Encik Haikal ada tetamu tau,” ujar Watie lagi.

“Klien ke?”

“Kawan baik dia. Encik Umar Rayyan.” Jawapan Watie membuatkan Hana serta-merta gelabah. Buku nota yang dicapai entah di mana silapnya membuatkan bekas pen terbalik dan bersepah pen di atas meja.

“Eh? Bukan buku ni.” Hana semakin menggelabah. Batang pen dikutip lalu dimasukkan semula ke dalam bekas. Dia tercari-cari buku nota yang selalu dicatat setiap tugasan yang perlu dilakukan.

“Weh! Mana buku aku tu eh?” Buku yang dicari tidak dijumpai. Meja kembali berselerak dengan kertas dan buku pula.

“Hana relaks,” tegur Watie yang terkejut melihat Hana gelabah.

“Weh! Relaks! Kau gelabah, kenapa?” Firda turut pelik dengan perangai Hana. Sekali pun Hana tidak pernah gelabah sebegini apabila berhadapan dengan Haikal. Tetapi kenapa tiba-tiba pula?

“Aku tak boleh relaks. Lemah lutut aku ni. Terasa nak melorot jatuh,” bidas Hana. Semuanya disebabkan Umar Rayyan. Dia kawan baik Haikal? Kenapa aku tak tahu pula eh?

Hana mencapai buku yang berada di hadapan mata. Entah di manalah dia campak buku nota tersebut. Sebelum dia masuk bilik Haikal, tudung bawal dilipat dari dagu hingga ke kepala. Rapat! Wajahnya kelihatan bulat apabila dia melihat dari cermin bekas bedak kompak kepunyaan Firda.

“Kau kenapa? Skema gila!” Watie terpinga-pinga dengan penampilan Hana.

“Comel tak? Inilah taktik nak mengurat bos kalau tak nak kena marah,” seloroh Hana. Tanpa perlu menunggu jawapan daripada Watie, kaki terus mengorak langkah menuju ke bilik Haikal.

Daun pintu diketuk perlahan. Kemudian kedengaran suara Haikal mengarahkannya untuk masuk. Hana memulas tombol pintu lalu menolak daun pintu. Kaki seraya melangkah masuk.

“Encik Haikal,” sapa Hana.

Haikal menoleh dan memandang Hana. Dia Terkejut! Hana dengan penampilan sebegitu. Sudah dua kali Hana dengan penampilan skema. Pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Hana.

“Hana Humairah?”

“Ya, Encik Haikal,” sahut Hana.

“Please, Hana. Change your tudung style. I want the real Hana Humairah, my editor,” pinta Haikal.

Hana terpaksa mengalah. Lipatan tudung kembali ke normal. Wajah yang bulat kembali membujur malah dengan selamba dia memuncungkan bibir dan menghembus hujung tudung supaya terbentuk elok dan kemas. Pandangan mata Haikal dan juga sepasang lagi anak mata milik rakan Haikal tidak dihiraukan.

“Errr… Kau…” Hana melemparkan pandangan ke arah suara itu. Dua pasang mata saling bertaut.

Lutut menjadi lemah longlai. Hana cuba menggagahkan diri untuk berdiri. Anak mata yang merenung tajam ke dalam matanya itu bagaikan menusuk hingga ke hati. Dari mata turun ke hati. Hana semakin lemah. Dia cuba memaut sesuatu untuk terus bertahan dan berdiri. Tetapi…

Bukkk!!!

“Hana?!” Giliran Haikal pula menggelabah. Sepantas kilat dia meluru mendapatkan Hana yang sudah pun terbaring di atas permaidani.

“Weh! Apa hal dengan staf kau ni? Tiba-tiba pengsan pula.” Umar turut meluru menghampiri Haikal. Dia pun turut terkejut.

“Hana? Hana?” Berulang kali Haikal memanggil Hana. Kepala Hana sudah dipangku di atas ribanya.

Hana malu untuk membuka kelopak mata. Dia bukan pengsan tetapi tiba-tiba saja rebah. Lututnya lemah tidak terdaya untuk bertahan lagi. Semuanya disebabkan panahan mata Umar Rayyan. Semuanya disebabkan Umar Rayyan! Hana terpaksa berlakon pura-pura pengsan. Malu untuk berpandangan dengan Umar.

“Macam mana ni, Umar? Nak call ambulans ke?” Haikal mula risau apabila tiada sahutan daripada Hana.

“Relaks! Jangan terburu-buru,” ujar Umar cuba berlagak tenang.

“Dah tu, macam mana? Nak buat CPR?” saran Haikal.

Anak mata Umar terkesan satu pergerakan kecil yang tidak disedari oleh Haikal. Sebuah idea spontan bermain dalam fikiran.

“CPR? Kau maksudkan mouth to mouth?”

“Yalah! Mouth to mouth!” tekan Haikal.

“Siapa yang nak buat CPR?” soal Umar. Anak matanya mengerling ke genggaman tangan Hana. Semakin erat pula genggaman tangan itu. Kau acah-acah eh?

“Kita osom!” saran Umar yang semakin ligat mahu mengusik Hana.

“Okey!” setuju Haikal.

Alamak! CPR? Hana sudah menggelabah. Mulut siapa bakal membuat CPR? Haikal atau Umar? Hatinya mengharapkan Umar yang memenangi pertandingan osom dan membuat CPR kepadanya. Untung dia! Tapi… Allahuakbar! Bukan muhrim! Astagfirullahalazim!

“Tapikan… aku rasa kita guna cara lain dululah.” Tiba-tiba Umar menyuarakan cadangan lain pula.

“Cara apa?” soal Haikal, bingung.

“Ada cawan atau botol air?” soal Umar.

“Dalam toilet ada. Bekas pasu. Watie letak air dan bunga dalam tu. Boleh guna tak?” jawab Haikal.

“Bekas pasu? Boleh sangat-sangat tu!” Tanpa membuang masa, Umar berlalu ke bilik air untuk mengambil bekas pasu tersebut. Bunga dikeluarkan dan air diisi sehingga separuh penuh. Kemudian Umar kembali mendapatkan Haikal yang masih lagi setia memangku kepala Hana.

“Kau nak buat apa?” soal Haikal.

“Aku nak simbah ke muka dia,” jawab Umar selamba.

“Simbah? Percik sudahlah. Melampau sangat kau ni. Macam nak siram anak dara orang mandi aje,” perli Haikal.

“Maksud aku… percik!” Cepat-cepat Umar betulkan kata-katanya. Niat dalam hati mahu saja dia simbah air tersebut ke muka staf kesayangan Haikal. Mengada-ada!

Simbah? Biar betul mamat ni? Kuyuplah aku nanti! Hana sudah tidak keruan apabila memikirkan dia bakal disimbah dengan air. Aku kena bangun! Tetapi macam mana kalau tak nak kantoi?

“Satu… Dua…” Sengaja Umar menyebut dengan kuat supaya Hana dapat mendengar kiraan tersebut. Dia tidak main-main. Jika Hana masih lagi berlagak pengsan, memang dia simbah saja air ke muka Hana.

Hana tekad!

“Errr…” Kelopak mata cuba dibuka perlahan-lahan. Hana memandang dua raut wajah di hadapannya dengan wajah terpinga-pinga.

“Alhamdulillah. Awak dah sedar, Hana. Risau saya!” Haikal melepaskan nafas lega apabila Hana sudah membuka kelopak mata.

“Nasib baik tak kena simbah,” perli Umar.

“Apa dah jadi sebenarnya?” soal Hana, berpura-pura.

“Awak pengsan! Anything wrong? Awak tak breakfast ke hari ni? Pening-pening?” Bertalu-talu Hana digasak soalan daripada Haikal.

“Tulang lutut kau kurang vitamin.” Lain pula yang dijawab oleh Umar.

“Errr… Mungkin saya tak breakfast kut pagi tadi.” Alasan Hana. Padahal dua bungkus nasi lemak selamat berada di dalam perut.

“Diet?” teka Umar.

Hana memandang tajam wajah Umar. Semuanya salah kau! Terasa mahu saja dia buat CPR pada Umar supaya mulut bisa itu diam membisu ketika ini. Geram!

“Next time breakfast dulu sebelum datang kerja,” pesan Haikal. Dia cuba membantu Hana untuk berdiri semula.

“Atau awak nak saya buatkan breakfast untuk awak setiap hari?” Pelawaan Haikal itu sepantas kilat dibalas dengan gelengan daripada Hana. Sweetlah pula bos aku.

“Kau maid atau husband dia ke?” Umar mencelah.

Semakin berdongkol-dongkol perasaan geram dalam hati Hana dengan sindiran Umar. Muka handsome tapi mulut berbisa! Memang nak kena CPR mamat ni! Tapi bila akan tiba waktu itu?