Kerana kau Isteriku

RM26.00

Penulis: Nuriarina

Caption: terciptanya kita saling melengkapi

ISBN: 978-967-406-279-8

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

Kita memang dijodohkan bersama,

Sehati serta sejiwa,

Walau esok atau akhir nanti,

Kita telah ditakdirkan bersama-sama…

 

Wahai kekasih,

Bersabarlah menempuhi dugaan,

Kita sedaya telah berusaha untuk berdua,

Tapi selagi ada ruang terpisah impiankan musnah,

Kita masih ada cara untuk leraikannya…

(Kredit: Sehari Dan Sejiwa – Haslinda)

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Kita memang dijodohkan bersama,

Sehati serta sejiwa,

Walau esok atau akhir nanti,

Kita telah ditakdirkan bersama-sama…

Wahai kekasih,

Bersabarlah menempuhi dugaan,

Kita sedaya telah berusaha untuk berdua,

Tapi selagi ada ruang terpisah impiankan musnah,

Kita masih ada cara untuk leraikannya…

(Kredit: Sehari Dan Sejiwa – Haslinda)

 

Widad lari sekuat hati.Kepala kadangkala tertoleh ke belakang, matanya melilau mencari kelibat lelaki-lelaki yang mengejar dirinya. Melihatkan lelaki-lelaki itu semakin hampir, Widad mempercepatkan langkah kaki. Kain sempit dan sendat yang dipakai membuatkan pergerakan langkah kakinya menjadi lambat namun, hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk melarikan diri daripada lelaki-lelaki terbabit.

“Hoi, jangan lari!” jerit salah seorang daripada mereka.

Widad yang mendengar suara lelaki itu semakin pantas melarikan diri. Tiba di simpang jalan, Widad terus melulu melintas jalan tanpa menoleh ke kiri dan kanan terlebih dahulu. Terpaku Widad seketika melihatkan cahaya lampu yang menyuluh tepat ke arahnya.

Widad yang berada di tengah jalan tak mampu untuk bergerak ke mana-mana bagi mengelakkan diri daripada dirempuh kereta yang laju membelah jalan. Hanya mampu terkaku di tempat duduknya sahaja.

Argh!” pekik Widad. Terasa dirinya dilanggar oleh kereta itu sebelum matanya tertutup rapat.

Aidil yang terkejut dengan kejadian yang tak disengajakan itu cepat-cepat keluar dari perut kereta.Kelihatan sesusuk tubuh sudah terbaring kaku di hadapan keretanya. Aidil cuba menenangkan dirinya yang sedang panik sebelum melangkah pantas ke arah gadis yang dilanggarnya.

“Cik,” panggil Aidil risau sambil memangku kepala Widad di atas pahanya. Pipi Widad ditampar oleh Aidil perlahan, namun tubuh Widad tetap kaku tidak bergerak.Perasaan Aidil bercampur baur, bimbang, bingung, risau dan semua ada mengenangkan kejadian ini.

“Encik tolong…” Melihatkan dua orang lelaki yang menuju ke arahnya, dengan pantas Aidil meminta tolong.Namun, kedua-dua lelaki itu tidak mengendahkan Aidil.

Bertambah berkerut dahi Aidil apabila lelaki-lelaki itu meninggalkannya begitu sahaja tanpa sepatah kata tatkala melihatkan keadaan Widad. Mata Aidil melilau sekeliling mencari-cari insan yang boleh membantunya. Tiada seorang pun insan di situ, hanya Aidil dan Widad sahaja.

Akhirnya Aidil mencempung tubuh Widad lalu dimasukkan ke dalam kereta. Dalam keadaan panik, hanya satu tempat sahaja yang Aidil ingin tuju. Hospital atau klinik. Setelah meletakkan Widad di tempat duduk belakang, Aidil mengambil pula beg tangan Widad yang berada di atas jalan sebelum keretanya laju membelah jalan.

“How is she? What’s wrong with her? soal Aidil cemas setelah doktor selesai merawat Widad.

She’s fine… Cuma mungkin terkejut sikit, tu yang pengsan,” jawab Doktor Ayu, doktor yang merawat Widad.

“Tapi, saya langgar dia. No, I mean, I terlanggar dia,” ucap Aidil. Dalam keadaan macam ni, ayat yang dituturkan pun sudah lintang-pukang.

Don”t worry. Dia tak apa-apa, cuma luka sikit kat siku. Staf saya dah cuci luka tersebut. Keadaan dia pun saya dah check. Vital sign dia stabil, sebarang pendarahan di badan dia juga tiada kecuali luka kat siku tu ajelah. Tapi untuk lebih kepastian, kita tunggu dia sedar dulu, saya akan soal dia dengan lebih lanjut. Mungkin dia ada sakit di mana-mana,” terang Doktor Ayu panjang lebar.

Aidil menghembuskan nafas lega. Semoga perempuan yang dilanggarnya ini tidak apa-apa. Kalau terjadi apa-apa kat perempuan ni, siapa yang nak tolong jawab? Yang dilanggarnya itu anak orang.

Perlahan-lahan Widad membuka mata. Terkebil-kebil Widad seketika. Tempat ini agak asing baginya. Bunyi suara orang berbual sayup-sayup menyapa cuping telinganya. Widad menoleh ke arah bunyi suara yang didengari. Tatkala melihat sesusuk tubuh lelaki, mindanya tiba-tiba melayang mengingati insiden yang dialami.

Bunyi muzik yang membingit telinga, cahaya lampu malap yang berwarna-warni, lelaki-lelaki yang mengejar dirinya. Minda Widad dengan tidak semena-mena terbayang wajah lelaki yang hampir-hampir memperkosa dirinya. Dengan tiba-tiba nafasnya tercungap-cungap, perasaan takut masih lagi menyelubungi dirinya, segera Widad bangun dari tempat perbaringan lalu memeluk lututnya. Tangannya menggigil ketakutan, dapat dirasakan seolah-olah lelaki yang mengejarnya tadi masih berada dekat dengannya. Dia takut. Dia risau seandainya dia akan dibawa balik ke tempat tu. Tidak! Dia tak mahu. Dia tak mahu menggadai maruahnya.

Argh!” tempik Widad kuat.

Mukanya disorokkan di lutut sambil tangannya menutup kedua-dua belah telinganya. Tubuh Widad menggigil ketakutan. Aidil yang mendengar tempikan Widad segera menoleh ke arah katil yang menempatkan Widad, begitu juga dengan Doktor Ayu. Tanpa membuang masa, mereka berdua bergegas menuju ke arah Widad.

“Cik,” panggil Doktor Ayu. Bahu Widad disentuh lembut.

“Jangan sentuh aku. Jangan apa-apakan aku.Tolong…” Widad panggung kepala lalu menolak kasar tangan Doktor Ayu sambil matanya melilau ke kiri dan kanan.Tubuhnya masih lagi menggigil ketakutan. Air matanya laju menitis di pipi. Kejadian yang telah berlaku benar-benar menakutkan dirinya.

“Cik, saya Doktor Ayu. Cik selamat kat sini. Tak ada sesiapa yang akan mengganggu cik,” pujuk Doktor Ayu.

“Aku takut, mereka nak rosakkan aku,” tutur Widad dalam keadaan takut. Matanya masih lagi melilau.

“Cik selamat kat sini,tak ada orang nak rosakkan cik.” Doktor Ayu masih lagi cuba memujuk Widad. Nada suaranya dilembutkan, cuba memberi keyakinan kepada Widad sambil tangannya perlahan-lahan menyentuh bahu Widad.

Mendengarkan kata-kata Doktor Ayu, Widad merenung paras wanita separuh usia itu dalam-dalam, cuba mencari kebenaran dalam kata-katanya. Segaris senyuman dihadiahkan Doktor Ayu kepadanya.Dalam keadaan takut-takut, Widad menyoal.

“Saya kat mana ni?”

“Cik kat klinik saya. Cik kemalangan tadi, encik ni yang bawa cik ke sini,” terang Doktor Ayu.

Widad menoleh ke arah gerangan yang dikatakan oleh Doktor Ayu. Menyedari Widad memandangnya, segaris senyuman dihadiahkan Aidil kepada Widad namun tidak dibalas oleh gadis itu. Aidil angkat bahu. Sombong!

Otak Widad ligat berfikir. Memorinya menjengah mengingati kejadian yang berlaku tadi. Dia dikejar oleh konco-konco tauke kelab malam gara-gara dia berjaya meloloskan diri dari situ.

“Cik ada sakit kat mana-mana ke?” soal Doktor Ayu.Widad menggeleng lemah.

“Ni ubat awak dan yang ni ic awak.” Aidil menghulurkan plastik yang berisi ubat luka dan ic kepada Widad.

“Terima kasih,” ucap Widad takut-takut.

“Maaf, saya selongkar beg awak,” pohon Aidil.

Widad hanya mengangguk. Sedikit sebanyak, katakutan yang dialaminya pudar. Kesopanan Aidil membuatkan Widad berasa selamat di samping jejaka itu.

So, awak Widad Amani, kan? Saya Aidil Damien.” Perkenal Aidil tanpa dipinta. Widad hanya diam.

“Kat mana awak tinggal? Saya boleh tolong hantarkan,” soal Aidil lagi membuka ruang sepi antara mereka. Perlahan-lahan Widad menggeleng.

“Saya tak ada tempat tinggal,” beritahu Widad perlahan.

Kat mana dia nak tinggal? Entah. Sekarang memang dia tidak ada tempat tinggal. Untuk dia kembali ke rumah ayah tirinya, tak mungkin. Pasti dia akan dipaksa bekerja di kelab malam itu semula sedangkan dia sudah berjaya melarikan diri daripada cengkaman mereka.

Gulp! Tak ada tempat tinggal? Terasa sebiji batu menghempap dirinya. Dugaan apakah yang Engkau turunkan kepadaku ini, Ya Allah? Sekilas, Aidil memandang Widad di sebelahnya. Wow! Seksi habis. Dengan baju ketat tanpa lengan yang membaluti tubuhnya, skirt pendek ketat yang terdedah. Memang tergoda habis. Kalau macam inilah gayanya, silap-silap hari bulan, tok imam pun tertanggal serbannya.

Fikiran Aidil tiba-tiba teringatkan sesuatu. Entah-entah gadis di tepinya ini lari dari rumah tak? Manalah tahu, kan? Direnung lagi gadis di tepinya, nampak muka macam budak mentah aje lagi. Mungkin penghujung belasan tahun atau awal 20-an.

“Ke awak lari dari rumah?” Tanpa disengaja terpacul soalan itu dari mulut Aidil.

“Encik nampak saya macam tu ke?” Berang dengan tuduhan Aidil, Widad pantas menyoalnya pula.

“Manalah tahu, kan? Anak gadis zaman sekarang ni bukannya boleh percaya sangat. Sedangkan yang bertudung litup pun boleh buat onar, apatah lagi…” Kata-kata Aidil tergantung di situ.

Ah, orang biul pun dapat mengagak sambungan kata-kata Aidil itu. Widad menarik nafas, cuba menjana kekuatan dalam diri. Kata-kata Aidil sungguh berbisa, sangat terasa sehingga ke lubuk hatinya. Namun, dia juga tidak menyalahkan Aidil. Dengan gaya pemakaiannya yang sebegini, bukan sahaja Aidil malah pasti semua orang juga akan berfikiran sama seperti Aidil. Biarlah. Apa yang pasti Widad tahu dan kenal siapa dirinya.

“Kalau awak tak nak tolong saya tak apalah, tapi jangan pernah menilai saya tanpa mengenali saya terlebih dahulu,” ujar Widad tegas. Tangannya berkira-kira untuk membuka pintu kereta, namun terbantut apabila mendengar suara Aidil.

“Dah malam ni.” Sejurus mengucapkan kata-kata itu, kereta Aidil meluncur laju membelah jalan.

Entah mengapa dia berasa bertanggungjawab ke atas keselamatan Widad. Walau tidak selamanya dia menjaga Widad, tapi biarlah malam ni Widad ada tempat berlindung. Kesian pula melihatkan keadaan Widad sebegitu rupa.

“Jom,” ajak Aidil setelah kereta dimatikan di pekarangan hotel. Teragak-agak Widad untuk mengikut langkah kaki Aidil.

“Kenapa termenung lagi tu? Jomlah, jangan risau saya tak akan apa-apakan awak,” jamin Aidil.

Aidil sudah pun keluar dari perut kereta. Mahu tidak mahu terpaksalah Widad membuntuti langkah kaki Aidil. Berdebar jantung Widad tatkala langkah kakinya mengikuti langkah kaki Aidil menuju ke arah bilik hotel.Dalam hati, bermacam andaian buruk berlegar-legar dalam mindanya. Takut andai kejadian di kelab malam berulang kembali. Takut andai Aidil juga sama seperti lelaki-lelaki di kelab malam yang dijumpainya tadi. Hati Widad bertambah berdebar bila langkah kaki Aidil berhenti di salah sebuah pintu bilik hotel lalu tombol pintu dipulas setelah kunci dicucuk.

“Masuklah,” pelawa Aidil.

Tubuhnya sudah pun memasuki ke dalam bilik hotel yang sederhana besar itu. Lambat-lambat Widad masuk ke dalam bilik itu. Dalam hati, sempat dia berdoa agar Aidil tidak akan melakukan apa-apa perkara yang buruk terhadapnya.

“Malam ni buat sementara waktu, awak tidurlah dulu dalam bilik ni,” ujar Aidil.

Widad diam. Matanya terkebil-kebil. Bingung seketika. Otaknya pula sudah tidak mampu untuk berfungsi dengan baik gara-gara terlalu banyak andaian buruk yang dia fikirkan terhadap Aidil. Justeru, hanya matanya saja yang berkelip-kelip sedang otaknya tak mampu untuk mentafsir kata-kata Aidil.

“Okey, kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu,” pinta Aidil setelah melihatkan Widad diam. Orang-orang tua cakap, kalau diam maknanya setujulah, kan? Jadi fikir Aidil, Widad setujulah tu untuk bermalam di bilik hotelnya ini.

Errr… Encik…” Tergagap-gagap Widad memanggil Aidil tatkala melihatkan Aidil yang sudah berura-ura untuk keluar dari bilik hotel itu.

Yes?” Aidil yang sudah berkira-kira untuk melangkah keluar dari bilik termati langkah kakinya bila mendengarkan suara gagap Widad.

“Encik tidur kat mana malam ni?” soal Widad takut-takut.

Kalau boleh, dia ingin Aidil menemaninya dalam bilik hotel ini. Ketakutan gara-gara kejadian di kelab malam masih lagi menghantui dirinya. Tambahan pula, Widad takut andai konco-konco tauke kelab malam itu berjaya menjejakinya sampai ke sini.

“Saya tidur dalam kereta kat bawah. Jangan risau, bilik ni saya sewa dan saya tak akan tinggalkan awak kat sini,” jamin Aidil.

“Saya takut…” Teragak-agak Widad memberitahu.

“Allah ada bersama kita. Jangan takut, berserahlah pada Allah. Insya-Allah dengan izin-Nya, awak selamat.” Aidil cuba meniupkan kata-kata semangat buat Widad.

Perasaan belas simpati mengetuk tangkai hati Aidil.Tambahan pula bila mendengar cerita Widad bahawa dia hampir-hampir dirogol oleh seseorang. Terkadang terdetik juga dalam hati Aidil, lelaki manalah yang tak tergoda bila melihatkan perempuan seseksi ini? Begitu juga dengan Aidil. Tahap keimanannya semakin menipis. Lagi pula bukankah pada saat lelaki dan perempuan yang bukan muhrim berdua-duaan akan muncul orang ketiga? Yakni syaitan laknatullah yang akan menyesatkan anak cucu Adam sehingga hari kiamat tiba.

Justeru, sebelum apa-apa perkara buruk yang bakal berlaku antara mereka berdua, lebih baik Aidil tidur di dalam kereta sahaja pada malam ini. Nak sewa bilik lagi satu pun dah tak boleh sebab semuanya dah penuh.

Widad yang mendengar kata-kata Aidil hanya diam.Kepalanya tiba-tiba berputar, mata berpinar-pinar. Badannya pula terasa melayang-layang. Belum pun sempat tubuh Widad jatuh ke lantai, terasa ada sepasang tangan yang menyambut tubuhnya.

“Widad, are you okay?” soal Aidil cemas. Tubuh Widad dibawa ke sofa lalu didudukkan Widad di situ.

“Kepala saya tiba-tiba pening,” adu Widad.Tangannya memicit-micit kepala.

“Awak okey tak ni? Kita ke klinik semula, ya?” Mendengarkan cadangan Aidil, Widad cepat-cepat menggeleng.

“Saya tak apa-apa. Kejap lagi okey la ni.” Yakin Widad. Tangannya memegang kemas tangan Aidil yang berada di lengannya. Melihatkan mata Aidil yang memandang tepat ke arah tangannya, perlahan-lahan Widad melepaskan pegangan tangannya ke atas Aidil.

Aidil termangu seketika. Mindanya berputar ligat memikirkan tindakan yang bakal dia ambil kelak. Apa yang harus dia lakukan? Untuk terus berada di sini memang tak mungkin. Bukankah andai kita berdua-duaan, pasti ada sang ketiga yang mengacaunya? Lagi pula, imannya hanya senipis kulit bawang. Tapi, tak sampai hati pula untuk dia meninggalkan Widad dalam keadaan yang macam ni.Berbelah bagi hati Aidil kala ini.

“Kalau macam tu, saya keluar dululah. Awak tidur kat sini la malam ni ya?” Akhirnya kata-kata itu yang keluar dari mulut Aidil. Ah, lebih baik dia keluar dari bilik ini secepat mungkin daripada terjadi sesuatu perkara yang buruk kelak.

“Encik, tolong saya… Saya takut… Jangan tinggalkan saya,” rayu Widad sambil memegang tangan Aidil semula.

Entah kenapa dia berasa sangat takut bila berseorangan. Tangan Aidil digenggam kemas. Air mata mengalir laju. Masih lagi terbayang-bayang kejadian lelaki yang mengejarnya tadi. Terbayang wajah lelaki yang ingin memperkosanya. Hati Aidil pula berdebar saat Widad menyentuh tangannya buat kali yang kedua. Naluri lelakinya berperang hebat ditambah pula melihatkan keadaan Widad yang berpakaian seperti itu. Namun, melihat keadaan Widad yang basah dengan air mata, hati lelaki Aidil berasa sangat kasihan. Aidil membalas genggaman tangan Widad.

“Saya ada, jangan risau… Awak tak apa-apa,” pujuk Aidil.

Semakin kuat pula esakan Widad. Aidil memeluk Widad erat. Rambut Widad diusap lembut oleh Aidil. Widad membalas pelukan Aidil. Masing-masing hanyut dalam pelukan yang berbalas. Apabila nafsu menguasai diri, akal yang diberikan sudah tidak mampu lagi untuk digunakan dengan betul. Maka bersoraklah musuh manusia, sepasang lagi anak cucu Adam dapat digodanya ke lembah maksiat.

Pintu bilik diketuk bertalu-talu. Widad dan Aidil yang sedang lena tidur terganggu dek ketukan pintu bagai nak roboh. Aidil yang sedang enak memeluk bahu Widad, manakala Widad pula sedang memeluk pinggang Aidil membuka mata. Terbeliak mata Aidil melihatkan perempuan yang dipeluknya itu. Bukan Yana, isterinya.

“Awak?” Serentak kedua-duanya bersuara.

Pintu bilik masih lagi diketuk bertalu-talu membuatkan keadaan bertambah bingit. Aidil pantas bangun dari katil, dicapai tuala bagi menutupi tubuhnya yang terdedah. Widad pula mengambil cadar katil lalu dililitkan ke tubuh.

Aidil membuka pintu bilik. Ternampak seraut wajah asing baginya. Lelaki itu masuk ke dalam bilik mereka tanpa dipelawa. Widad yang melihat wajah lelaki itu, terpempan.Segera dia meluru ke arah lelaki itu lalu dipeluknya tubuh tersebut.

“Kau pergi mana? Puas aku cari kau, tapi kau tak muncul.” Widad menumbuk dada lelaki itu. Air matanya mengalir laju. Tiga hari lelaki ini tidak pulang ke rumah sehinggakan ayah tiri mereka berani menjualnya kepada tauke kelab malam.

“Aku minta maaf. Aku lalok, tak sangka si bangsat tu sanggup buat kau macam ni sekali,” mohon Zafrul, lelaki yang dipeluk oleh Widad itu.

“Aku takut, mesti dia orang tengah cari aku sekarang ni.” Widad meluahkan rasa takutnya terhadap Zafrul.

“Eh, apa semua ni? Kau siapa?”soal Aidil tiba-tiba.

Datang ke bilik orang tak bagi salam, tak perkenalkan diri tahu-tahu aje tercegat dalam bilik. Dah tu siap boleh berdrama air mata lagi seolah-olah empunya bilik ni tiada. Program jejak kasihkah ini?

“Aku siapa tak penting buat kau. Dan sekarang apa yang kau dah buat kat dia?” Soalan Aidil tidak dijawab malah Zafrul menyoal Aidil semula. Zafrul menjegilkan biji matanya ke arah Aidil. Jari telunjuknya menunjuk tepat ke wajah Widad.

“Apa yang aku dah buat?” Aidil pula menyoal Zafrul kembali. Lagak tidak bersalah dan tidak berbuat apa-apa terhadap Widad.

“Kau dah gulaikan dia, kau boleh tanya aku lagi apa yang kau dah buat?” soal Zafrul pula dalam lagak bengang.

“Kalau dia tak goda aku, perkara ni tak akan terjadilah!” Sinis Aidil mengejek. Zafrul bertambah bengang.Katil yang berada di depan disepaknya.

“Aku tak kira! Kau mesti bertanggungjawab! Kau kena kahwin dengan adik aku!” bentak Zafrul marah.

“Kahwin dengan betina ni?! What the hell?! Hei, aku tak ada hatilah nak h dengan perempuan pelacur seperti dia ni!” tempik Aidil kuat. Bergema suara Aidil dalam bilik yang sederhana besar ini. Kali ini Aidil pula yang bengang.Kenal pun tidak, tiba-tiba disuruh kahwin. No way!

Widad yang mendengar kata-kata Aidil tersentak.

Aku bukan pelacur! jerit hati Widad. Serasa ingin dihamburkan kata-kata itu dengan kuat sekali tepat ke telinga Aidil. Biar Aidil dengar dengan jelas bahawasanya dia bukan pelacur seperti yang dimomokkan oleh Aidil.

“Kau nak ke tak nak ke, aku tak peduli. Kau kena kahwin juga dengan adik aku. Sudah puas kau lunyaikan dia, senang-senang hati kau nak lepas tangan? Jangan mimpi!” ucap Zafrul tegas. Nada suaranya cuba dikawal agar perasaan amarah tidak dihambur keluar.

“Aku dah kahwinlah. Kalau kau nak juga aku kahwin dengan betina ni, kau pergi mintak kebenaran dengan isteri aku dulu,” terang Aidil sambil senyum sinis.

“Kita kahwin kat Siam,” putus Zafrul.

No way!” bentak Aidil geram.

“Kau jangan nak macam-macam. Kau yang buat adik aku macam ni! Bertanggungjawablah.” Leher baju Aidil dicekak oleh Zafrul. Mata Zafrul merah padam dek menahan kemarahan yang membara.

“Atau kau nak aku cari isteri kau sampai dapat dan aku lunyaikan dia sebagai mana kau lunyaikan adik aku?” ugut Zafrul pula.

“Kau jangan nak apa-apakan isteri aku…” Suara Aidil bergetar menahan marah.

“Kau bersiap… Kita ke Siam!” arah Zafrul kepada Widad. Widad terpaku dengan kata-kata Zafrul.

“Hei, siapa cakap aku setuju nak kahwin dengan dia?” soal Aidil geram. Suka hati dia aje buat keputusan.

“Kau setuju ke tak setuju ke, kau kena setuju juga.Kalau kau tak setuju sekali pun aku akan heret kau untuk setuju juga!” bentak Zafrul. Aidil menggenggam penumbuk.Mahu sahaja tangannya ini melayang ke wajah Zafrul, namun cuna disabarkan dirinya. Amarah tidak menyelesaikan masalah.

“Atau kau nak aku laporkan kepada pihak polis atau kau nak aku hubungi pihak jabatan agama? Laporkan kepada mereka yang kau bersekududukan dengan perempuan yang bukan mahram? Biar kau ditangkap basah?” soal Zafrul sinis.

“Sebelum kau buat semua tu, aku boleh lari dulu.” Aidil juga bernada sinis.

“Kau nak lari? Silakan! Tapi jangan salahkan aku kalau rumah tangga kau hancur!” Zafrul main tarik tali.

“Kau tak ada bukti,” ejek Aidil.

“Siapa cakap?” Zafrul mengeluarkan telefon bimbitnya lalu ditunjukkan kepada Aidil.

Beberapa keping gambar disuakan ke arah Aidil.Aidil melihat gambar yang berada dalam telefon bimbit Zafrul. Gambar-gambar dia bersama Widad. Gambar yang diambil ketika mereka keluar dalam kereta, gambar ketika mereka ingin masuk ke dalam bilik ini, gambar dia memeluk Widad.

“Abang, kau ekori aku? Tapi kenapa kau tak selamatkan aku?” soal Widad sayu.

“Aku nak selamatkan kau, dik. Kawan aku bagi tahu yang kau kemalangan. Aku cari kau, aku ekori kau sejak kau berada kat klinik lagi. Aku ekori kau sehingga kau masuk dalam bilik hotel ni. Aku tunggu lelaki ni keluar dari bilik dulu, baru aku nak selamatkan kau. Tapi sampai ke sudah dia tak keluar. Rupa-rupanya dia dah enak lunyaikan kau,” terang Zafrul. Widad hanya mampu menangis.

“Kalau gambar-gambar ni jatuh ke tangan bini kau, kau agak apa yang dia akan lakukan ya? Kau nak terangkan apa pada bini kau? Nak terangkan yang kau nak selamatkan adik aku dari jadi pelacur? Kau ingat bini kau percaya? Dari cara pemakaian adik aku macam ni, silap-silap hari bulan bini kau yang tinggalkan kau,” ejek Zafrul pula. Aidil tunduk, kepalanya diusap kasar. Apa pilihan yang dia ada? Dia tak sanggup untuk kehilangan isterinya yang tercinta.

“Jaga Widad baik-baik… Dia dah jadi isteri kau sekarang,” nasihat Zafrul. Aidil senyum sinis.

“Dia hanya isteri aku di atas kertas sahaja. Dan aku tak pernah anggap dia sebagai isteri aku.” Suara Aidil bergetar menahan marah.

“Sama ada kau suka atau tak, dia dah sah jadi isteri kau.” Zafrul tak mahu kalah.

“Sama ada kau suka atau tak, suka hati aku nak buat kat dia lepas ni,” ucap Aidil kasar seolah-olah mengugut Zafrul.

“Kalau kau apa-apakan dia, nahas kau!” ugut Zafrul pula.

Aidil diam. Sekarang ni akal warasnya lebih penting daripada nafsunya. Kalau diikutkan hati, mahu bersepai muka Zafrul dikerjakan. Tapi amarah dalam hatinya ditahan kerana Zafrul merupakan seorang penagih dadah. Dan penagih dadah, akalnya sudah tiada. Dia boleh buat apa sahaja yang dia mahu kerana otaknya sudah tidak berfungsi dengan betul.

Aidil gigit bibir. Dugaan ini memang berat untuk dia galas. Tak sampai satu hari mengenali Widad, perempuan ini sekarang sudah sah menjadi isterinya. Gila! Memang kerja gila. Otak Aidi berfikir ligat. Apa yang harus dia lakukan selepas ini? Ke mana ingin dicampakkan Widad? Bagaimana pula dia ingin memberitahu Yana akan hal ini? Buntu!

Bersiap cepat, kita balik KL sekejap lagi,” arah Aidil dingin.Widad yang sedang menangis merenung ke arah Aidil. Meminta simpati.

“Kita balik KL esok boleh? Saya nak ziarah abang saya dulu,” pinta Widad cuba memohon pengertian daripada Aidil.

Awal pagi tadi, Mak Nah jirannya menelefon Widad. Mak Nah memberitahu bahawa Zafrul sudah meninggal gara-gara overdose pengambilan dadah. Widad yang mendengar perkhabaran daripada Mak Nah itu terasa sebiji batu besar yang menghempap kepalanya. Terasa gelap dunianya.Sudahlah ibu bapa tersayang sudah pergi meninggalkan dirinya, sekarang satu-satunya abang yang dia ada juga sudah pergi meninggalkan dirinya. Hidupnya sudah sebatang kara di dunia ini.

“Dah, tak payah nak minta simpati aku. Cepat, kemas apa yang patut. Kita balik KL sekarang juga. Aku datang sini sebab ada seminar. Bukannya datang nak ziarah penagih dadah yang tak ada guna tu. Lagi pun, penagih dadah macam abang kau tu tak payah nak ziarah bagai. Buang masa aku aje,” hambur Aidil.

Hilang sudah sifat perikemanusiaan dalam diri Aidil gara-gara mengikut nafsu amarah. Ditambah pula dengan kejadian yang menimpa mereka berdua, lagilah membuatkan Aidil marah. Disebabkan oleh paksaan daripada Zafrul, dia kini sudah sah menjadi suami Widad tanpa kerelaan dirinya. Disebabkan itu, Widad yang menjadi mangsa nafsu amarahnya.

Widad yang mendengar kata-kata Aidil hanya mampu tunduk. Sedih? Memang itu yang dirasakan. Peritnya mendengar kata-kata makian dan hinaan yang dilemparkan oleh Aidil terhadap keluarganya. Akan tetapi, tahukah Aidil Zafrul itu merupakan satu-satunya abang yang dia ada? Satu-satunya ahli keluarga yang Widad ada. Seburuk-buruk Zafrul, walaupun Zafrul itu penagih dadah tapi dia tetap ahli keluarga Widad, dia tetap abang Widad. Ah, Aidil tidak akan faham semua itu!

Perlahan-lahan Widad mengemas apa yang patut.Bukan banyak sangat pun barang-barangnya. Semalam, dia hanya lari sehelai sepinggang. Mujurlah dia sempat mengambil begnya yang berisi sedikit wang, kad pengenalan dan juga beberapa dokumen penting. Mengenangkan Zafrul, air mata Widad perlahan-lahan menuruni lekuk pipinya.Zafrul abang kandungnya dan memang dia seorang penagih dadah. Tapi kasih sayang seorang adik terhadap abangnya tetap tak akan hilang walau macam mana teruk sekalipun abangnya. Walaupun Zafrul penagih dadah, tapi sikap melindungi Zafrul terhadapnya masih lagi utuh.

Widad juga tahu, Zafrul sangat menyayangi dirinya.Kalau tak, takkan Zafrul sanggup memaksa Aidil untuk menikahinya demi menyelamatkan maruah dirinya.

Cuma, Zafrul tersilap langkah mengambil dadah sebagai jalan mudah untuk melupakan masalah yang dihadapinya. Ah, air yang dicincang tak akan putus dan Zafrul tetap abangnya walau apa jua keadaan diri lelaki itu. Kasih sayang Widad pada Zafrul juga tidak pernah padam walaupun keluarganya dipandang hina oleh masyarakat gara-gara sikap penagih dadah Zafrul.

Dahulu, kehidupan mereka sekeluarga sangat bahagia. Namun, semuanya berubah setelah kematian ayahnya. Setahun kemudian, ibunya berkahwin lain. Walaupun Zafrul tidak menyukai ayah tiri mereka, Alias, tetapi ibunya tetap mengahwini Alias. Pada Widad, Alias seorang bapa tiri yang baik tapi tidak pada Zafrul. Saat itu, sikap Zafrul yang penyayang dan bertanggungjawab berubah sedikit demi sedikit.

Setelah kematian ibu mereka dua tahun kemudian, Zafrul mula berjinak-jinak dengan dadah. Mungkin sangat terasa akan kehilangan arwah ibu mereka. Alias juga sudah mula berubah setelah kematian isterinya. Alias mula berjudi, hutang sini sana disebabkan kegilaannya terhadap judi.Apabila hutang judinya meningkat dan Alias tak mampu untuk membayarnya, dia menjadikan Widad sebagai galang gantinya. Widad terpaksa bekerja di kelab malam untuk membayar segala hutang piutang Alias. Zafrul pula hanyut dalam dunia dadahnya tanpa mempedulikan nasib hidup Widad.

“Buat sementara waktu ni, kau tinggal dulu kat sini,” arah Aidil setelah kereta diberhentikan di pekarangan hotel bajet. Widad diam, langsung tidak bergerak di tempat duduknya.

“Tunggu apa lagi?! Turunlah!” jerkah Aidil.Terangkat bahu Widad dek jerkahan Aidil yang bisa membuatkan telinganya pekak terus.

“Saya tak ada duit nak bayar kos penginapan ni.” Lambat-lambat Widad menjawab. Aidil senyum sinis.

“Hotel murah macam ni pun kau tak mampu nak bayar? Belum lagi aku bawa kau ke hotel five star,” perli Aidil.

Widad yang mendengar kata-kata Aidil hanya tadah telinga. Perlilah dia cacilah dia, hinalah dia makilah dia andai semua itu mampu mengurangkan rasa amarah dalam diri Aidil. Biarlah dia yang jadi mangsa dalam amukan amarah Aidil yang terpendam sejak mereka sah menjadi suami isteri dua hari lalu. Lagipun, sekarang ni dia tiada siapa-siapa lagi.Tiada tempat untuk dituju, tiada arah untuk dilalui.Fikirannya buntu memikirkan arah hidupnya pada masa akan datang.

Melihatkan keadaan Widad yang tunduk membisu, Aidil mendengus sebelum keluar dari perut kereta. Dalam hati Aidil, masih lagi tersisa sedikit belas terhadap Widad.Tidak lama kemudian, Aidil muncul semula bersama kunci di tangan. Pintu kereta sebelah pemandu Aidil buka dengan kasar.

“Keluar. Ni kunci bilik kau. Masuk dalam bilik dan jangan sesekali kau keluar. Tunggu sampai aku datang. Kalau aku datang kau tak ada, nahas kau aku kerjakan,” ugut Aidil.

Kunci bilik dilemparkan ke wajah Widad. Matanya mencerlung ke arah Widad. Terkejut Widad tatkala kunci itu tepat mengena wajahnya namun Widad hanya mampu menghela nafas. Perlahan-lahan Widad mengambil kunci yang sudah terjatuh di tepi kereta. Widad memandang ke wajah Aidil, kecut perutnya melihatkan wajah berang Aidil.

“Terima kasih,” ucap Widad lembut. Langkah kakinya dituju ke arah bilik hotel bajet yang disewa oleh Aidil. Belum pun sempat langkah kaki Widad menjauhi Aidil, kedengaran namanya dipanggil kembali.

“Ambil baju-baju ni. Tutup sikit badan kau tu yang terdedah. Kalau cantik tak apalah juga nak dedah sini sana. Ni macam orang zaman batu aje aku tengok.” Aidil mencampakkan beg plastik itu ke arah Widad.

Sekali lagi untuk kali yang keduanya tepat, mengenai wajah Widad sebelum beg itu jatuh ke atas tanah. Beberapa orang yang lalu-lalang di situ memerhati silih berganti antara Widad dan Aidil. Pasti mereka pelik dengan tayangan perdana yang ditonton secara percuma di hadapan mata mereka. Widad mengambil beg plastik itu lalu cepat-cepat menuju ke arah bilik hotel. Malu tak usah cakaplah.Diperlakukan sebegitu oleh Aidil di tempat umum pula tu.Setelah masuk ke dalam bilik, Widad merebahkan dirinya ke atas katil. Seutas rantai loket berbentuk hati yang tersarung indah di lehernya direnung.

Widad rindu ibu dan ayah, bisik hati Widad perlahan. Widad dah tak ada sesiapa lagi kat dunia ni. Abang dah tinggalkan Widad. Abang dah ikut ibu dan ayah pergi. Apa yang harus Widad buat untuk teruskan hidup ini? Widad dah bersuami, tapi suami Widad layan Widad dengan teruk. Apa salah Widad? tangis Widad perlahan. Entah apalah yang bakal terjadi padanya kelak. Widad pejam mata dan berharap ada sinar dalam hidupnya kelak.

Aidil tiba di rumah sudah agak lewat malam. Masuk sahaja ke dalam apartmen, kedengaran suara tv terpasang. Langkah kaki Aidil menuju ke arah ruang tamu. Kelihatan isterinya, Yana sudah tidur membiarkan tv terpasang. Aidil renung wajah Yana yang mampu memberi ketenangan dalam hatinya. Pipi Yana diusap lembut sebelum dia mencium dahi dan kedua-dua belah pipi isterinya. Rindunya pada Yana sudah tidak tertanggung. Sedang asyik Aidil membelai rambut Yana, wajah Widad menyapa matanya. Aidil menghela nafas perlahan.

Maafkan abang sayang sebab menduakan Yana, bisik hati Aidil perlahan. Perut Yana yang sudah kelihatan diusap lembut. Lalu Aidil mengangkat Yana menuju ke bilik mereka. Sebelum tidur sempat lagi Aidil menjengah anak sulungnya, Adam yang sudah lena dibuai mimpi di dalam biliknya.

Pelik Yana melihatkan tingkah laku Aidil sejak kebelakangan ini. Suaminya itu lebih banyak termenung daripada bercakap. Sejak Aidil pulang dari menghadiri seminar tempoh hari, sikap Aidil boleh dikatakan berubah 99 peratus. Apa dah jadi dengan Aidil ni? Ini bukan kebiasaan sikap suaminya.

Tubuh kaku Aidil yang sedang duduk menghadap tv Yana pandang tanpa berkelip. Sekali pandang memang nampak Aidil sedang khusyuk menonton tv, tapi dua kali pandang memang nak gelak kuat-kuat pun ada. Aidil sedang khusyuk menonton rancangan Dora the Explore. Biar betul?! Ya, memang tak salah Aidil menonton rancangan kartun itu, tapi nampak pelik pula. Aidil mana pernah suka dengan rancangan Dora ni, rancangan ini Adam aje yang minat.Tapi, melihatkan daripada reaksinya, Aidil mempamerkan seolah-olah dia sangat berminat dengan rancangan tersebut. Betapa khusyuknya dia menonton, kalah menonton rancangan kegemarannya bola sepak.

Yana menggeleng kepala. Parah dah Aidil ni. Nazak tahap wad icu dah ni. Apalah yang menyebabkan suaminya ini berubah laku sebegitu rupa? Perlahan-lahan Yana mendekati Aidil, lalu duduk di sebelahnya. Betapa ‘khusyuk’ Aidil menonton tv sehingga langsung tak perasan Yana yang berada di sebelahnya. Tangan Aidil yang berada di atas paha Yana pegang. Langsung Aidil tidak bereaksi sampaikan tangannya yang dipegang oleh Yana pun langsung dia tak sedar.

Minda Yana sudah berselirat dengan pelbagai persoalan. Apa yang menyebabkan Aidil berubah laku sedemikian rupa? Kenapa Aidil sekarang ni jadi seorang pemenung? Seolah-olah Aidil sedang memikirkan sesuatu.Sesuatu masalah yang berat? Tapi apa?

“Abang…” seru Yana perlahan. Aidil pula kaku tidak berkutik.

“Abang…” Kali ni sedikit tinggi nadanya. Pun masih tetap sama. Aidil langsung tidak memberi respons seolah-olah Aidil sedang berada dalam dunianya sendiri.

“Abang!” Suara Yana ditinggikan sambil menepuk paha Aidil perlahan.

“Hah? Apa? Kenapa?” Kalut Aidil memberi respons.

Wajahnya terpinga-pinga seperti baru tersedar daripada lamunan. Yana yang melihatkan tingkah Aidil kerut dahi. Sah! Memang ada sesuatu. Tapi apakah sesuatu itu? Tanpa sempat Yana bersuara, alat kawalan jauh TV di atas meja Aidil capai lalu ditekannya. Daripada saluran TV9 bertukar kepada saluran Astro Oasis. Yana yang melihat tingkah laku Aidil yang sebegitu rupa semakin bertambah pelik.

“Abang ni kenapa? Tak sihat eh?” soal Yana sambil tangannya pantas dilekapkan ke dahi Aidil. Yana merasa suhu badan Aidil, kot-kot la Aidil demam tapi sejuk aje badannya. Tak demam.

“Abang tak apa-apalah, sayang. Penat sikit aje.Banyak kerja kat pejabat,” dalih Aidil. Tangan Yana yang melekap di dahinya dicapai lalu digenggam sambil mencium lembut kekura tangan isteri yang dicintainya itu, cuba meyakinkan isterinya.

“Betul ni?” soal Yana inginkan kepastian.

Anak matanya merenung tepat ke dalam mata Aidil.Teragak-agak Aidil mengangguk dek renungan Yana yang bisa mencairkan hati lelakinya untuk berkata benar. Seulas senyuman diberikan olehnya kepada Yana bagi meyakinkan si isteri.

“Sayang, lepas asar abang nak keluar kejap ya?” beritahu Aidil mengalihkan topik perbualan.

Sudah seminggu Widad menginap di hotel itu dan selama itu jugalah Aidil langsung tidak menjenguk Widad.Kekangan masa dek kerja yang bertimbun di pejabat ditambah pula dengan amarahnya yang masih bersisa terhadap wanita itu menyebabkan dia tidak punya sedikit pun ruang waktu untuk menjenguk Widad. Paling tepat, dia yang membataskan waktu untuk menjenguk Widad dek nafsu amarah yang masih lagi tersemat dalam dirinya.

“Lupalah tu,” omel Yana. Berkerut dahi Aidil bila mana kata-kata itu terpacul keluar dari bibir Yana.

“Lupa apa?” soal Aidil bodoh. Serius, langsung dia tak ingat apa-apa.

“Kan petang ni abang dah janji nak bawa Adam ke taman,” beritahu Yana. Aidil tepuk dahi.

“Tak ingatlah, sayang,” akui Aidil.

Hurm, sejak bila abang jadi pelupa ni? Selalunya abang tak macam ni pun,” omel Yana. Aidil diam. Nak dijawab macam ni sebenarnya…

Abang jadi pelupa sejak abang ‘hadiahkan’ Yana sorang madu. Tapi ‘hadiah’ tu abang simpan dulu. Tunggu masa yang sesuai baru abang bagi kat Yana. Sekarang ni abang tengah fikir macam mana caranya nak bagi ‘hadiah’ tu kepada Yana.

“Diam pula. Abang ada masalah ke? Tak nak cerita?” soal Yana prihatin.

Memang pelik Yana lihat sikap Aidil. Suaminya tak macam ni. Jarang Aidil lupa akan janjinya, tapi apa dah jadi hari ni? Senang-senang aje lupa janjinya pada Adam padahal dia yang menabur janji itu pagi tadi, bukannya sebulan yang lepas. Jangka waktu yang singkat macam tu pun Aidil sudah lupa. Apa dah jadi dengan suaminya ini?

Abang kahwin lagi satu…

Ayat itu berlegar-legar dalam minda Aidil. Terasa mahu sahaja ayat itu diluahkan kepada Yana, tapi, untuk dia memberitahu Yana akan hal ini, terasa berat pula mulutnya untuk berkata-kata. Tak sampai hati dia ingin melukai hati insan yang disayanginya.

“Abang, mengelamun lagi?” Yana menepuk paha Aidil. Apa kenalah dengan Aidil ni? Musykil Yana dibuatnya.

“Abang keluar sekaranglah ya?” ujar Aidil. Soalan Yana dibiarkan sepi tanpa jawapan.

Where are you going, honey?” soal Yana lagak polis pencen.

“Abang nak jumpa kawan sekejap,” jawab Aidil.

“Tapi jangan balik lewat sangat. Ingat, abang dah janji dengan Adam nak bawa dia ke taman. Nanti merajuk anak abang, Yana tak nak pujuk.” Yana mengingatkan.

Bukannya dia tak tahu fiil Adam. Kuat merajuk! Masak Yana andai anaknya yang sorang itu merajuk. Susah nak pujuk plus meragam tak henti-hentilah jawabnya.

“Ya, abang tahu. Abang keluar kejap aje. Sempat lagi abang balik dan bawa anak kesayangan Yana tu ke taman,” sahut Aidil sambil melangkah kakinya ke bilik untuk bersiap.

“Abanggg…” Meleret-leret bunyinya Yana sebut perkataan abang. Langkah kaki yang ingin ke bilik, terbantut.

“Apa, sayang?” soal Aidil lembut. Pasti ada sesuatu yang Yana inginkan.

“Nanti balik abang belikan Yana roti canai eh? Baby nak makan.” Yana mengusap-ngusap perutnya yang sudah pun kelihatan.

Baby ke ibu baby yang nak makan ni?” gurau Aidil. Langkah kakinya mendekati Yana semula. Hidung Yana Aidil cuit.

Babylah,” balas Yana. Aidil cebik bibir.

“Hai, badan tu abang tengok makin lama makin bengkak,” perli Aidil. Yana mencebik.

“Orang tu juga yang buat kita jadi macam ni…” Mendengarkan kata-kata Yana, Aidil ketawa lepas. Pantas Yana menekup mulut Aidil.

“Adam tidurlah…” ujar Yana. Kalau Adam tidur, janganlah siapa-siapa yang berani kacau. Tersedar dia, mengamuk tak sudahlah. Haihlah anak… Sikap siapalah yang dia ikut ni?

“Anak ayah nak makan roti canai ya? Sayang nak berapa keping?” Aidil berjeda seketika seolah-olah menanti anak dalam perut Yana menjawab soalannya. Kepala Aidil dilekapkan ke perut Yana.

“Hah? 10 keping? Banyaknya!” Aidil buat suara terkejut.

“Oh, baby makan sekeping aje. Ibu yang makan baki sembilan lagi.” Mendengarkan kata-kata Aidil, Yana menepuk lembut bahu Aidil. Perlilah tu. Mentang-mentanglah Yana kuat makan sejak mengandung anak yang kedua. Menyedari Yana memahami maksud gurauannya, Aidil sengih.

“Abang pergi dulu.” Langkah kaki Aidil segera menuju ke pintu bilik.

Dia ingin mengambil dompet dan kunci kereta.Sepintas lalu Aidil melihat penampilannya. Baju T dan seluar jean. Boleh la… Jumpa Widad aje kut. Bukannya nak jumpa kekasih hati.

“Abang…” seru Yana tatkala Aidil ingin menuju ke pintu utama.

Langkah kaki Aidil terhenti. Keningnya diangkat tanda menyoal panggilan Yana seketika tadi.

“Jangan keluar lama-lama. Nanti rindu,” ucap Yana.

Aidil yang mendengarnya tersengih lalu mengangguk.Sebelum Aidil menyambung langkahnya yang tergendala tadi, sempat dia hadiahkan flying kiss untuk Yana.Bekal rindu!

Dengan rasa malas yang amat Aidil memandu.Ikutkan hatinya yang masih lagi marah, tak ingin dia untuk menjenguk Widad di sana. Namun, hanya kerana perkataan tanggungjawab menyebabkan dia menguatkan hati menjenguk Widad kat tempat tinggal wanita itu.

Pesanan uminya, Hajah Khadijah masih lagi tersemat kukuh dalam ingatan. Hajah Khadijah sentiasa berpesan kepadanya agar bertanggungjawab atas apa yang kita buat waima secara sukarela mahu pun terpaksa. Berbekalkan pesanan dan perkataan itulah membuatkan Aidil masih lagi mahu mempeduli akan hidup Widad walaupun dalam hatinya sangat marah dengan apa yang telah terjadi.

Walau apapun yang terjadi dan walau bagaimana pun sesuatu kejadian itu berlaku, Widad sudah menjadi isterinya yang sah sekarang biarpun perkahwinan mereka tidak lagi didaftarkan di Malaysia, tapi di sisi Allah perkahwinan mereka tetap halal dan sah. Sama ada Aidil suka mahu pun tidak, Widad sudah di bawah tanggungjawabnya. Widad isterinya. Ya, itulah kenyataannya walau sehebat mana pun dia menentang, kenyataan tetap kenyataan.