Kau? Ceo Aku?

RM26.00

Penulis: Maya Rahman

Caption: bila hati batu seorang lelaki berjaya dilembutkan, apatah lagi suami sendiri

ISBN: 978-967-406-265-1

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

Dari seorang majikan egois a.k.a ‘bapa singa’ menjadi seorang suami? Danial Firdaus, lelaki yang diburui kerna harta,rupa. Tapi siapa sangka jodohnya disatukan kedua ibu bapanya bersama Aisya Sofia . Gadis yang berpendidikan tapi masih dididik penuh agama.

 

“CEO kita yg dah macam singa tu kau tak kenal?” – Fatini

“Awak, nak pergi honeymoon tak?” –  Aisya Sofia

“Kalau kau nak pergi, pergi lah sorang-sorang. Kalau nak pergi dengan aku, honeymoon kita dekat lobby office.”- Danial Firdaus

“Kau atau aku perampas? Aku kenal Danial dah berbelas tahun! Kau kenal dia baru setahun!”   – Mila Armilia

“Ini kesilapan terbesar aku pernah buat, jatuh hati terhadap wanita selain isteri aku” –Danial Firdaus

“Kalau ini takdir kita berdua, Aisya terima dengan hati terbuka” – Aisya Sofia

 

Kerana sahabat bertukar menjadi cinta, rumahtangga mereka makin goyah. Bertahankah Aisya dengan pilihan keluarganya? Bertahankah Danial Firdaus untuk terus ego dan menafikan kebahagiaan yang muncul tanpa disedari? Semuanya sudah tertulis dalam KAU?CEO AKU?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Kesunyian Jalan Tunku Abdul Rahman tika ini membuatkan Aisya sedikit gementar. Biasanya jalan inilah paling sibuk. Aisya memandang jam di tangan. 3 pagi. Aisya tetap meneruskan pemanduannya dengan cekal. Tiba-tiba… Boom! Aisya terus menekan brek kecemasan.

“Allah! Apa aku dah buat ni? Kenapa aku tak nampak ni?” Aisya mula kelihatan cuak apabila melihat kereta di hadapannya. Seorang lelaki keluar dari kereta sambil mencekak pinggang menuju ke arah Aisya. Diketuk cermin tingkap berkali-kali. Aisya membuka cermin penuh perasaan takut dan gelabah.

“Eh, perempuan! Kau turun sekarang. Kau ni pandai drive ke tak? Tak nampak ke kereta aku kat depan ni?” Bertubi-tubi soalan ditanya. Aisya menarik nafas sedalam-dalamnya. Dengan berani dia membuka pintu kereta Myvinya.

Sorrylah encik. Saya tak sengaja. Saya bayar berapa encik nak.” Aisya dengan berani bersuara. Lelaki berkemeja jalur hitam putih itu tersenyum sinis.

“Aku nak tanya kau, mampu ke kau bayar? Kau tengoklah ni kereta apa?” soal lelaki itu. Aisya memandang kereta itu.

Oh! Audi! Mak kau… Memanglah aku tak mampu bayar. Entah-entah bayar ganti rugi ni bersamaan dengan harga kereta aku, bisik Aisya dalam hati.

“Ha! Kenapa senyap?”

“Alah encik, saya tak nampak apa-apa yang teruk pun dekat kereta encik. Calar sikit aje. Considerlah sikit. Kita settle sekarang ni. Saya bayar 500, okey?”

“Eh, kau ni macam-macam kan. Memandai aje buat keputusan sendiri.”

“Habis tu encik nak buat apa? Report polis? Pergilah! Encik ingat polis nak layan sangat ke? Sikit aje pun calarnya.” Aisya hilang sabar.

Banyak songeh betul mamat ni! Berlagak gila! Hati Aisya memberontak keras.

“Okey, nah! Ini nombor telefon saya. Nanti encik mesej nombor bank encik, saya bank in. Saya ada hal lebih penting lagi.” Aisya berlalu pergi.

Lelaki itu tergamam. Beraninya minah ni. Pergi macam tu saja? Kau tunggu apa aku nak buat. Kau tak kenal aku lagi. Lelaki itu turut berlalu pergi dengan Audi R8 miliknya.

Suasana di dalam Zouq membuatkan Danial serabut.

“Hei, bro! kau dah kenapa ni? Enjoylah macam selalu. Ni tak, muka dah macam singa kelaparan aku tengok.” Syafiq menegur Danial sambil memerhati wajah yang kelihatan seperti baru diisytihar muflis.

“Aku tengah bengang ni, Fiq. Tadi on the way nak datang sini, ada seorang minah tu langgar Audi aku. Lepas tu belah macam tu aje. Siap suruh aku hantar nombor bank nanti dia bank in 500 buat ganti rugi,” terang Danial penuh kemarahan.

Whoa! Whoa! Relax bro, relax. Teruk sangat ke Audi kau tu sampai kau marah sangat ni?”

“Taklah teruk. Calar sikit aje.

“Haaa, dah tu, apa yang kau nak marah sangat? Okeylah tu dia nak bank in duit. Dari cara kau cerita ni, aku yakin dia takkan tipu kau. Dia mesti perempuan jujur,” ujar Syafiq. Dia cuba menenangkan hati sahabatnya yang dikenali lebih 8 tahun.

“Pasal duit aku tak kisah. Yang aku bengang sangat ni, boleh dia buat kering aje. Langsung tak ada muka takut.Nak merayu dekat aku ke… Ni lagi dia ejek aku suruh pi report. Last-last blah macam tu aje. Dia sedar tak dia cakap dengan siapa?” balas Danial angkuh. Syafiq tergelak kecil.

“Tu sebenarnya penyakit kau. Ego! Nak sangat perempuan merayu dekat kau. Danial… Danial… Tak berubah dari dulu.” Syafiq berlalu pergi meninggalkan Danial.

“Weh! Beb! You apa hal ni? Kena langgar dengan minah kampung pun dah stres ke?” Tiba-tiba seorang perempuan datang menegur Danial. Danial tersenyum memandang ke arah Mila. Tubuh badan Mila yang hanya tertutup dari dada sampai paha membuatkan semua lelaki di situ tergoda.

“Mesti Fiq yang bagi tahu, kan? Dah agak dah. Bila sampai?” tanya Danial sambil merenung muka sahabatnya itu. Danial, Syafiq, Armilia memang sahabat dari sekolah menengah sehinggalah mereka sama-sama menyambung pelajaran di Australia. Apa sahaja kisah suka dan duka mereka dikongsi bersama.

“Tadi lagi sampai. Tunggu youlah… Lambat sangat,” ujar Mila penuh manja.

“Mila, lain kali datang sini janganlah seksi sangat. This Malaysia, not Ausie anymore. Nafsu orang kita dengan orang barat tak sama,” ujar Danial risau.

Mila tersenyum dan mengangguk kepala. Senang hati apabila Danial mengambil berat terhadap dirinya. Bagi Mila, Daniallah sahabat yang selalu bersamanya.

Suasana pagi yang hening ditemani angin sepoi-sepoi seolah-olah memberi amaran bumi akan disirami nikmat hujan.

“Pagi yang gelap, kini sudah cerah, aku adikmu dan engkau abang!”

“Amboi! Cerianya anak mama ni. Ni bersiap cantik-cantik nak pergi mana?” Teguran Hajah Marina membatalkan niat Aisya untuk terus merapu lirik lagu nyanyian kumpulan Hujan.

“Pagi, mama! Eh, mana baba?” Aisya tersengih-sengih memandang Hajah Marina sambil menyenduk mi goreng ke dalam pinggan.

“Apa seru nama baba pagi-pagi ni?” Haji Harun yang segak berpakaian pejabat mengambil tempat di sebelah Hajah Marina.

“Ni kamu pakai cantik-cantik nak pergi mana?” sambung Haji Harun sambil memerhati anak bongsunya dari atas hingga ke bawah.

“Aisya nak cari kerjalah ba! Dah 4 bulan asyik duduk aje kat rumah. Aisya bosanlah!” rungut Aisya sambil memuncungkan mulut.

“Habis tu kamu nak pergi cari kerja apa ni? Kat mana? Dengan siapa?” soal Hajah Marina.

“Amboi mama… Mentang-mentanglah isteri encik peguam, mama pun dah macam peguam. Aisya tak kisahlah kerja apa, kat mana… Janji kerja Aisya tu dari sumber halal dan berkat. If kena jadi promoter sekali pun Aisya tak kisah, ma,” ujar Aisya.

“Aisya, kamu tu graduan ijazah kelas pertama perakaunan Universiti Malaya tau. Bukan tak boleh nak dapat kerja baik. Nah! Offer letter kerja untuk kamu. Semalam surat ni sampai. Baba lupa nak bagi.” Haji Harun menghulurkan sepucuk surat untuk Aisya. Aisya mengambilnya sambil membaca dengan khusyuk. Kelihatan dahi Aisya berkerut-kerut.

Aik, dah dapat kerja pun dahi berkerut lagi? Dah macam dapat surat kena jumpa perdana menteri.” Hajah Marina memandang Aisya penuh kehairanan.

“Taklah mama. Aisya tak pernah pun apply kerja ni. Megah Holding? Dengar pun tak pernah. Ma tak rasa pelik ke kenapa Aisya dapat? Entah-entah dia silap orang kut.” Aisya masih kehairanan melihat surat itu.

“Pergi ajelah, Aisya. Rezeki Allah tentukan. Dari mana, macam mana tu belakang kira. Sekarang ni Aisya pergi lapor diri dulu macam dalam surat tu nak. Nanti dah kerja, tanyalah bos.” Haji Harun cuba memberikan jalan penyelesaian untuk Aisya. Dia mencuit paha Hajah Marina seolah-olah sembunyikan sesuatu.

“Betul kata baba tu, Sya. Pergi aje dulu. Rezeki kita siapa tau,” sambung Hajah Marina menguatkan lagi kata-kata suaminya. Aisya hanya mampu mengangguk dan terus mendiamkan diri. Di dalam kepalanya penuh 1001 persoalan.

Pintu bilik diketuk. Danial memberi isyarat masuk. Syarifah, personal assistant Danial yang baru berkhidmat selama 3 bulan berjalan menuju ke arah Danial. Hatinya gementar seperti ingin berperang. Dari raut wajah Danial yang serius membuatkan dia dapat mengagak apa yang akan dia terima lepas ini.

“Bos, ni fail yang bos minta tadi.” Danial menyambut huluran fail. Dibuka satu per satu helaian fail itu.

“Syarifah! Saya nak tanya kamu, how long do you take to finish all of these?” Suara Danial sedikit tegas menambahkan lagi getaran dalam hati Syarifah.

ErrrErrr… Seminggu, bos.” Perlahan suara Syarifah.

“Seminggu? Ni kerja seminggu kamu? Saya nak kamu balik ke tempat kamu, edit balik semua kerja ni. Before lunch saya nak tengok balik. Faham?!” Suara Danial kian meninggi membuatkan Syarifah sedikit terkejut. Lagi kecewa apabila melihat kerja yang makan masa seminggu itu dihempas macam itu saja.

Sorry bos, tapi apa salah dokumen ni? Hampir 10 kali saya recheck.” Syarifah tetap bersuara dalam keadaan takut.

“Kamu tanya saya apa salah? Kamu tengoklah typing error ni! Spacing yang tak sekata! Margin yang entah apa-apa! Ni kamu kata kamu check 10 kali?!” Danial menjegilkan matanya ke arah Syarifah. Tangan Syarifah terketar-ketar mencapai fail kemudian keluar dari pejabat Danial.

Sebaik sahaja keluar, air matanya mengalir perlahan. Kesabarannya saban hari sudah melebihi batas.

“Awat ni, Pah? Hang kena apa lagi?” Teguran daripada Ina, head of department human resources membuatkan Syarifah sebak.

No wonderlah kalau kau cakap, PA si singa tu paling lama hanya bertahan 5 bulan. Salah sikit pun nak tengking-tengking. Tak boleh ke dia cakap lembut-lembut? Dia tak tahu aku buat dokumen ni siang malam sampai aku bawa balik kerja-kerja ni,” luah Syarifah penuh sayu.

Ina hanya mampu mengusap lembut bahu Syarifah. Bukan sekali atau dua. Tapi dah berkali-kali dia dengar luahan sebegini. Itulah perangai CEOnya, Danial Firdaus. Tiada siapa berani melawan setiap kata-kata Danial. 2 tahun bekerja di bawah pengurusan Danial, dia cukup kenal siapa Danial. Namun dia sedar, dalam tegas Danial ada lembutnya. Cuma mampu bertahan atau tak sahaja. Semasa awal-awal kerjanya di sini pun macam-macam kata keji dan cacian yang dihambur Danial. Tapi dia hanya membatukan diri dan menerima semua itu dengan hati terbuka.

Aisya berdiri di hadapan bangunan 3 tingkat. Dia memandang setiap manusia yang lalu-lalang di situ. Dia rasa sedikit awkward. Keputusannya untuk mendengar kata-kata mama dan babanya dibuat pagi ini juga. Pagi yang sepatutnya dia lapor diri sebagai pekerja baru di Megah Holding. Aisya mengenakan sepasang kurung moden biru kosong dan shawl bercorakkan bunga orkid biru lembut. Dia berjalan menuju ke arah kaunter pertanyaan.

“Hai. HelloErrr assalamualaikum. Saya Aisya. By the way, saya datang untuk ini…” Kelam-kabut Aisya memulakan bicara. Dia menghulur surat tawaran ke arah gadis berusia dalam lingkungan 30-an.

“Oh, new staff. Tunggu sebentar, ya. Erm, cik boleh duduk dulu.” Lembut layanan yang diberi. Aisya hanya menguntumkan senyuman manis.

Erm, Cik Aisya, saya dah informkan kepada finance manager kami. So Cik Aisya boleh naik tingkat tiga dan berjumpa dengan Encik Mahmud. Finance manager kami,” beritahu pekerja wanita itu.

Aisya berjalan menuju ke arah bilik yang diarahkan oleh gadis itu tadi. Semua mata tertumpu ke arahnya. Makin tak keruan Aisya.

Aisya membuka pintu setelah dibenarkan masuk. Seorang lelaki kira-kira dalam lingkungan 50-an, bermisai kemas, tersenyum ke arahnya. Aisya membalas senyuman lelaki itu.

“Nur Aisya Sofia bintu Haji Harun. 24 tahun. Lepasan Universiti Malaya!” Encik Mahmud memulakan bicara.

Haish, pak cik ni… Tak sempat aku nak taaruf, dia pulak taarufkan diri aku, omel Aisya dalam hati.

Encik Mahmud tersenyum seolah-olah mendengar kata hati Aisya.

“Kamu jangan risau. Saya bukannya stalk kamu kat mana-mana. Saya dah dapat info kamu dari HQ Megah Holding. Semua resume kamu saya dah baca. Not bad kamu ni. No wonderlah HQ hantar kamu ke sini.” Kenyataan Encik Mahmud menambahkan lagi kekusutan di dalam kepala Aisya.

Resume? HQ? Apa pulak ni? Bila masa aku hantar resume ni? Tapi segala persoalan Aisya dipendamkan dahulu. Aisya hanya mampu mengangguk, mengiakan kata-kata Encik Mahmud.

So, kamu dah bersedia nak start kerja?”

“Insya-Allah Encik Mahmud.” Aisya mengukir senyuman .

“Tapi sebelum tu saya nak tanya. Tadi Encik Mahmud ada cakap pasal HQ Megah Holding, kan? So ni branchnya saja ke?”

“Oh, mungkin kamu tak tahu lagi pasal syarikat kami. Megah Holdings ni HQ dia dekat Cheras, KL. Dalam negara ni ada 5 branch dia. Dan 2 di luar negara.”

Boleh tahan besar company ni. Macam manalah aku boleh dapat kerja di sini? bisik hati kecil Aisya.

Selesai sesi perkenalan dengan Encik Mahmud, Aisya diperkenalkan dengan semua staf department finance.

“Hai, nama saya Fatini. Panggil Tini aje. Ni Kak Syaf. Nama penuh Syafina. Ha, yang cantik, keding macam lidi ni Kak Syahida. Panggil Kak Ida aje. Abang yang berlagak macho ni Abang Zaidi. Paling tua antara semua staf.” Fatini memperkenalkan semua staf kepada Aisya. Kedatangan Aisya disambut baik oleh semua staf di situ.

“Aisya, kat bawah ada lagi 4 orang staf department sales and marketing, dan paling bawah sekali ada lagi 2 staf human resources. Nanti lunch hour Tini kenalkan. Sebab department sales and marketing tengah mesyuarat,” beritahu Fatini ramah.

Tepat jam 1 petang, kelihatan Fatini memberi isyarat kepada Aisya untuk keluar makan.

“Jomlah makan.” Aisya hanya mampu mengikut Fatini, Kak Syaf dan Kak Ida. Restoran Haji Pak Samad menjadi destinasi mereka.

“Dah berapa lama Aisya tamat belajar?” tanya Kak Ida memecah kesunyian antara mereka. Maklumlah, masing-masing tengah khusyuk makan.

Erm, baru 4 bulan kak.” Aisya menjawab lembut.

“Oh… Bila Aisya interview dengan company? Selalunya company kalau buka interview untuk jawatan kosong mesti ada iklan atau announcement. Ni tak ada pun.” Soalan Kak Syaf mematikan niat Aisya untuk meneruskan suapan.

Erm, sebenarnya Aisya pun tak tahu macam mana Aisya boleh dapat kerja ni. Aisya pun tak pernah attend mana-mana interview company ni. Sekali tengok surat sampai,” jawab Aisya jujur.

Seriously Sya? Mungkin rezeki kau kut,” balas Fatini.

“Tu la. Rezeki Aisya nak dapat kerja ni, nak jumpa kami. Mungkin adalah tu kenalan-kenalan Aisya yang tolong recommend,” sambung Kak Ida. Ternyata hati mereka bertiga sangat positif. Aisya tersenyum. Gembira mempunyai officemates yang memahami.

Jam menunjukkan 6 petang. Rata-rata pekerja Megah Holding Shah Alam sudah meninggalkan pejabat. Aisya mula mengemas barang.

“Sya, balik naik apa?” Teguran Fatini mengejutkan Aisya.

“Isy, kau ni Tini. Terkejut aku. Drivelah. Kau?”

“Aku naik public transport aje. Okeylah, aku balik dulu.”

“Eh, wait Tini. Rumah kau dekat mana?”

“Seksyen 13.”

“Oh, samalah kita. Jomlah aku hantar kau balik.Lagipun sama jalan.” Pelawaan Aisya membuatkan Fatini tersenyum lebar. Aisya dan Fatini seiring berjalan keluar.

“Sya, kau kenal CEO kita?” tanya Fatini penuh semangat. Aisya menggeleng.

“Kau tak kenal singa Malaya tu, Sya?” Sekali lagi Aisya menggeleng sambil mengerutkan dahi.

“Singa Malaya? Asal kau panggil dia macam tu?” Fatini tersenyum mendengar soalan Aisya.

“Tak apa, Sya. One day nanti kau akan faham juga kenapa aku panggil dia macam tu. Eh, bukan aku sorang called him like that. Tapi all the staff Megah Holding,” jawab Fatini penuh misteri. Aisya tergelak mendengar kata-kata Fatini.

“Eh, suspensnya aku dengar. Kenapa ni?” Hati Aisya memberontak ingin tahu.

Hmmm… Kalau kau nak tahu, CEO sekarang ni baru 1 tahun lebih jadi CEO. Before this ayah dia. Lepas dia balik belajar dari overseas terus ayah dia bagi dia pegang jawatan CEO. Even aku sendiri pun tak tahu apa motif ayah dia bagi budak mentah macam tu jadi CEO.”

“Kenapa kau panggil budak mentah pula?”

“Yalah… Umur baru 27 dah jadi CEO. Kau tak rasa mentah sangat ke? Selalunya kita dengar CEO ni mesti geng tua-tua, kan. Yang banyak uban dekat kepala tu. Kalau CEO muda pun dalam drama novel banyaklah!”

Aisya terkejut.

Seriously CEO kita baru 27? Wow! Gila muda. Aku ingat tak wujud CEO muda macam ni dekat Malaysia. Dia tu macam mana? Okey management dia?”

Management dia okeylah. Dalam masa setahun ni, sales kita naik 30 peratus. Tapi di sebaliknya, haaa… Hanya staf yang tahu. Kau tak tahu berapa ramai staf resign within one year ni. Tambah-tambah yang kerja dekat HQ sana.”

“Eh, kenapa jadi macam tu? Sales naik, staf resign? Company tak bayar gaji ke?” Aisya kebingungan.

“Bukanlah! Cerewetnya bos tu… Hanya Tuhan yang tahu. Nanti dia datang office kita kau akan tahu. Selalunya dalam masa dua bulan sekali dia akan turun branch. Tapi ikut suka dia jugalah. Kadang-kadang dua minggu sekali dia dah datang. Tapi bila dia datang tu get readylah nak kena stay up sampai pukul 12 tengah malam ke, stay up sampai tak balik rumah langsung ke… Ready nak kena marah, tengking-tengking…”

Aisya melopong tak percaya.

Wow! Sampai macam tu sekali? No wonderlah ramai yang berhenti. Scary gila dengar.” Serba sedikit kata-kata Fatini buat Aisya menyesal kenapa dia mudah sangat menerima tawaran syarikat ini tanpa selidik dulu.

“Alah Sya, kau jangan takut sangat. Lama-lama kita akan biasa. Lagipun bos tu walaupun perangai dia macam tu, ramai staf yang tergila-gilakan dia. Termasuklah aku.” Fatini tersengih.

Pulak! Tadi bukan main scary kau bagi gambaran dekat aku. Alih-alih kau cakap kau suka dia. Peninglah aku.” Aisya mengeluh membuatkan Fatini tergelak.

“Perempuan mana tak cair bila tengok bos sendiri dah macam pelakon Korea. Kau kenal Lee Dong Wook artis Korea tu?” soal Fatini.

“Hero My Girl tu? Kenallah. Aku ni layan juga drama Korea.”

“Haaa, muka dia ala-ala tulah. Tak adalah sama sangat. Tapi 70 peratus sama tu adalah. Handsome, kan?”

Aisya hanya mampu menggeleng sambil tersenyum melihat kerenah Fatini. Macam-macam mood. Tapi dari sudut hatinya tak nafikan kalau betul muka CEO macam Lee Dong Wook, memang handsomelah!

Sudah dua minggu Aisya bekerja di bawah Megah Holding. Hari-hari Aisya di pejabat sedikit sebanyak mengajar dan memberi pengalaman baru buat Aisya.

Aisya berjalan menuju ke arah Haji Harun di balkoni.

“Baba!” Aisya memeluk babanya dari belakang. Dari dulu sampai sekarang Aisya sangat manja dengan Haji Harun. Lagipun dia anak bongsu.

“Amboi anak baba ni. Balik kerja masam-masam peluk baba pula.” Haji Harun mencuit pipi Aisya.

“Sya, pergi mandi. Siap-siap. Nanti kita makan luar. Baba dah ajak Abang Asyraf dengan Kak Asma’ keluar sekali.

Wow! Mimpi apa baba ni? Family gathering ke? Okey, Aisya pergi sekarang juga.” Aisya terus berlari naik ke bilik.

Haji Harun menggeleng melihat gelagat anak daranya yang berusia 24 tahun. Hatinya berbelah bagi dengan keputusan yang akan disampaikan malam ini.

Haji Harun, Hajah Marina dan Aisya memasuki PappaRich sambil mata melilau mencari kelibat Asyraf dan Asma’. Dari jauh kelihatan Asma’, isteri Asyraf melambaikan tangan. Hajah Marina tersenyum memandang wajah anak, menantu dan cucunya dari jauh.

“Wah, mak su nak jadi pengantin nanti.” Teguran Intan, anak Abang Asyraf yang baru berusia sembilan tahun mengejutkan Aisya yang baru sahaja mengambil tempat duduk di sebelah Kak Asma’. Satu-satunya kakak ipar yang dia ada.

“Kenapa Intan cakap mak su macam tu?” tanya Aisya hairan sambil mengusap-usap pipi gebu Intan.

“Mama yang cakap macam tu. Kan mama, kan?” Intan menarik tangan Kak Asma’. Kak Asma terus tersengih.

“Eh, mama lawak ajelah tadi. Biasalah tu, Aisya…Budak-budak kan,” jawab Asma’.

“Okey, mama, Asyraf, Asma’, Aisya… Baba ada benda penting nak bincangkan malam ni. Mungkin semua dah tahu kecuali Aisya.” Haji Harun mula bersuara. Semua terdiam. Aisya masih terpinga-pinga apabila mendengar kata-kata Haji Harun.

“Aisya, soal ni baba, mama, abang, kakak dah pun bincangkan. Kami harap Aisya jangan terkejut dengan permintaan kami,” sambung Haji Harun membuatkan hati Aisya terus memberontak.

“Pasal apa ni, baba, mama? Apa yang semua rahsiakan?” Aisya mula bersuara. Kelihatan Haji Harun memberi isyarat kepada Hajah Marina supaya bersuara.

“Sebenarnya Aisya, minggu lepas ada seorang kawan ayah telefon nak masuk meminang kamu untuk anak dia.” Hajah Marina meluahkan isi hati penuh lembut dan berhati-hati.

“Kami semua tahu selepas pemergian Hisyam setahun yang lalu, hati Aisya masih belum ada pengganti. Baba pun kenal keluarga kawan baba ni. Baik orangnya, rendah diri, agama pun ada. Baba berharap sangat Aisya terima pinangan mereka. Apa yang kami buat semua ni untuk kebaikan Aisya juga.” Haji Harun terus menyambung kata sebelum sempat Aisya mencelah.

Aisya terus melopong dan terdiam. Dia sendiri masih terkejut dengan berita yang baru didengari. Kemudian dia perhatikan wajah Abang Asyraf dan Kak Asma’. Mereka hanya mampu memandangnya tanpa kata.

“Tapi ba, ma… Ni soal kahwin. Aisya perlukan masa. Aisya tak pernah kenal siapa anak kawan baba tu dan dia kenal ke Aisya macam mana?”

“Aisya, abang dah tengok dan kenal lelaki tu. Abang yakin Aisya takkan menyesal memilih dia sebagai suami Aisya nanti. Cukup pakej! Agama, rupa, budi pekerti, harta semua ada. Lagipun keluarga Dato Najmi tu sendiri pun dah tengok gambar Aisya.” Akhirnya Asyraf bersuara. Cuba menguatkan lagi harapan Haji Harun.

Gelaran Dato yang disebut Asyraf membuatkan Aisya terkejut. Anak Dato? bisik Aisya dalam hati.

“Betul kata abang tu. Akak pun suka dengan budak tu. Lagipun Aisya, tempoh bertunang nanti kan Aisya boleh kenal dengan dia. Itulah erti pertunangan yang sebenar. Saling mengenali. Akak dengan Abang Asyraf pun macam tu dulu. Kahwin atas pilihan baba dan mama. Tak pernah kenal sehingga kami bertunang. Tengok, bahagia sampai sekarang, kan?” tambah Kak Asma’ menyebabkan hati Aisya terus mati untuk berkata-kata.

Dia sendiri tak pernah diajar untuk menjadi anak derhaka dan tidak patuh kepada ibu bapa. Tapi hatinya masih belum terbuka untuk sesiapa selepas pemergian Hisyam, bekas tunangnya setahun yang lalu. Tetapi apabila melihat muka Haji Harun dan Hajah Marina, hatinya terus diserbu rasa bersalah dan tidak sampai hati untuk kecewakan mereka. Lagipun dia yakin Haji Harun dan Hajah Marina pasti sudah buat keputusan yang terbaik untuk dirinya.

“Baba, mama, abang, Kak Asma’, Aisya sendiri tak tahu apa yang Aisya kena cakap untuk tak kecewakan hati semua termasuk hati Aisya sendiri. Sekarang ni Aisya nak semua bagi masa untuk Aisya istikharah, berdoa minta petunjuk dari Allah. Ni soal kahwin. Aisya nak yang terbaik untuk diri Aisya.” Aisya bersuara penuh hati-hati. Takut setiap kata yang diucapkan melukakan hati mereka. Haji Harun tersenyum mendengar kata-kata Aisya. Hatinya lega apabila Aisya tidak menolak mentah-mentah hajat yang disampaikan.

Malam itu, sebelum tidur Aisya berdoa kepada Ilahi agar dikejutkan untuk qiamullail seterusnya mendirikan solat istikharah. Dia mencapai kotak di dalam laci di sebelah katil lalu dibuka. Dia merenung setiap barang termasuk sebentuk cincin emas. Gambar Hisyam diambil dan diusap perlahan. Air mata Aisya menitis tanpa dipinta.

“Syam, mungkin dah tiba masanya Aisya buka hati Aisya untuk orang lain,” bisik Aisya perlahan.

Setiap kenangan bersama Hisyam yang dikenali dari sekolah menengah sehingga mereka sambung pengajian di universiti datang bertalu-talu. Keputusan mereka untuk mengikat tali pertunangan ketika tahun ketiga di universiti dipersetujui keluarga. Tapi pertunangan mereka hanya mampu bertahan 4 bulan apabila Hisyam kembali bertemu Penciptanya. Hisyam terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke kursus pelajar perubatan UM. Akhirnya Aisya tertidur dibuai kenangan bersama Hisyam.

Esok paginya, sebelum berangkat ke pejabat, Aisya bertemu Haji Harun dan Hajah Marina.

“Pagi baba, mama!” Ceria Aisya menegur. Haji Harun dan Hajah Marina tersenyum.

“Baba, mama, Sya dah buat keputusan muktamad pasal semalam. Sya setuju dengan permintaan baba. Sya yakin setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sya yakin pilihan baba dan mama memang pilihan yang terbaik untuk Aisya sendiri. Sya perlukan restu baba dan mama untuk hidup Sya,” beritahu Aisya sehingga menyebabkan Haji Harun terkejut dengan keputusan anaknya. Tak sangka begitu cepat keputusan diambil.

“Jadi, bolehlah baba proceed dengan Uncle Najmi pasal pertunangan kamu ni?”

Erm, ikut suka babalah. Aisya ikut saja,” jawab Aisya sambil tersenyum walaupun hatinya masih berdebar dengan keputusan yang diambil.

Kelihatan Haji Harun dan Hajah Marina tersenyum lebar. Gembira dengan berita yang didengari. Hati Aisya sedikit lega melihat reaksi ayah dan ibunya. Petunjuk yang diterima selepas solat istikharah kembali menghantui mindanya. Mimpi seorang jejaka datang menghulurkan tangannya, diapit baba dan mama di sebelah meyakinkan Aisya, lelaki itulah pilihan baba dan mama untuk dirinya.

Vila Jannah tersergam indah di Bukit Antarabangsa. Dari luar sudah dapat mengagak berapa aset yang dimiliki si pemilik banglo ini. Kereta Alphard Haji Harun memasuki ruang parking. Ketibaan Haji Harun dan Hajah Marina disambut sepasang suami isteri dengan senyuman. Dato Najmi berusia 60 tahun tapi wajah dan keterampilannya tidak dimamah usia. Lagaknya persis lelaki 50-an. Isterinya, Datin Faridah berusia 55 tahun masih anggun bergaya.

“Awal kau sampai, Harun.” Tangan dihulur dan disambut oleh Haji Harun.

“Biasalah. Jalan tak jammed sangat,” balas Haji Harun mesra. Mereka berempat melangkah masuk ke dalam rumah dan mula membuka bicara seolah-olah setahun tak berjumpa. Pelbagai cerita menjadi topik perbualan.

“Ha Danial, kenalkan ni kawan papa, Haji Harun. Sekarang Haji Harun ni dah buka law firm sendiri.” Dato Najmi memperkenalkan Haji Harun kepada anak lelakinya yang baru sahaja turun dan kelihatan segak bergaya.

“Oh, ya ke? Assalamualaikum uncle. Sihat uncle?” sapa mesra Danial sambil menyalami Haji Harun penuh tertib. Dia hanya mampu mengukir senyuman buat Hajah Marina memandangkan mereka bukan muhrim untuk bersalaman.

“Alhamdulillah, sihat. Eh, Danial duduklah dulu. Minum, kita sembang-sembang,” balas Haji Harun sambil memerhati setiap inci diri Danial. Setiap pandangan yang dilemparkan penuh makna.

“Oh, maaflah uncle. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya ada meeting dengan client pagi ni. Client pula dari Jakarta. So nak cancel pun macam tak kena pula. Client dari jauh, kan. Nanti bila saya free saya invite uncle, aunty dinner,” balas Danial penuh sopan.

“Eh, tak apa Danial. Lain kali kita boleh jumpa lagi,” sambung Hajah Marina.

Danial hanya mampu mengangguk dan tersenyum seraya meninggalkan mereka. Setelah kelibat kereta Danial hilang dari pekarangan Vila Jannah, Dato Najmi mula bersuara.

“Macam mana Harun? Tulah Danial Firdaus, anak lelaki yang aku cakapkan.”

“Bagus orangnya. Tak ubah macam aku jumpa 10 tahun yang lalu. Masih hormat dengan orang tua,” jawab Haji Harun. Dia masih ingat kali terakhir dia bersua dengan Danial 10 tahun yang lalu. Itu pun hanya sekejap. Tak sempat nak beramah mesra.

So, betullah apa yang Abang Najmi cakap tadi, yang Aisya sudah setuju dengan hajat kita?” tanya Datin Faridah.

“Betullah. Sebab tu kami datang sini. Danial macam mana? Dah tahu soal ni?”

Dato Najmi dan Datin Faridah saling berpandangan apabila mendengar pertanyaan Hajah Marina.

“Danial belum tahu memandangkan kami pun tak sempat lagi untuk terus terang. Tapi saya yakin, dia akan terima permintaan kita walau macam mana sekalipun,” balas Dato Najmi penuh yakin membuatkan Haji Harun dan Hajah Marina kembali lega.

“Jadi, apa plan kita seterusnya?” soal Haji Harun.

“Macam yang kita bincangkan, dua minggu lagi kami hantar rombongan meminang,” balas Dato Najmi.

Datin Faridah dan Hajah Marina sudah tersenyum senang hati. Masing-masing tak sabar menerima menantu.

Setelah menerima mesej daripada Dato Najmi, Danial terus bergegas pulang. Musykil kenapa papanya menyuruh dia pulang segera.

“Assalamualaikum,” sapa Danial kepada ibu bapanya yang khusyuk menonton televisyen di ruang tamu.

Waalaikumussalam. Danial dah solat, makan?” tanya Datin Faridah.

“Dah. Dekat office tadi. Papa, ada apa papa mesej Danial suruh balik awal?” soal Danial.

TV ditutup. Dato Najmi memandang wajah Danial. Satu-satunya anak lelaki yang dia ada. Dia sedar kesilapannya yang terlalu memberi kebebasan kepada Danial. Sejak kecil sampai sekarang. Hidup Danial bebas walaupun dia tahu Danial memang sangat komited dengan kerjanya. Walaupun anaknya bebas bergaul sana sini, tapi dalam bab menjaga solat tetap terjaga.

“Danial, papa nak Danial dengar apa yang papa nak cakap sampai habis. Then, apa yang Danial nak cakap baru cakap. Okey?”

Danial mengangguk. Hatinya penuh debar. Jarang sekali papanya berkelakuan begini. Apa sebenarnya yang ingin disampaikan papa? Hatinya meneka.

“Dari Danial kecil sampai besar, papa tak pernah paksa Danial buat apa-apa, kan? Papa tatang Danial bagai minyak yang penuh. Danial nak sambung overseas papa support. Kredit kad, kereta, semua papa hadiahkan sejak  Danial remaja lagi. Cuma sekarang ni papa nak minta satu aje. Tolong setuju dengan hasrat papa dan mummy ni,” ujar Dato Najmi penuh kelembutan. Datin Faridah yang berada di sebelahnya hanya membatukan diri.

“Minggu depan papa nak masuk meminang anak Haji Harun untuk Danial. Anak dia cantik dan baik orangnya. Papa dan Haji Harun tu dah macam adik-beradik. Kami kenal sejak kecil sehinggalah atuk kamu pindah ke Switzerland waktu papa berusia 13 tahun. Kami jumpa balik 10 tahun yang lalu kemudian berpisah semula selepas Haji Harun berpindah. Kami jumpa balik tahun lepas. Papa kenal keluarga Haji Harun. Papa dan mummy pun memang berkenan dengan Aisya, anak gadis Haji Harun. Danial tak kisah, kan?”

Penjelasan Dato Najmi betul-betul mengejutkan Danial. Dia tersentak. Dia tak pernah sangka itu hasrat papa dan mummynya. Hatinya bergelora. Dia sendiri tak pasti apa yang perlu dikatakan. Kemudian dia meraup wajah yang sudah kemerahan. Hidungnya kembang kempis.

“Papa, mummyThis matter bukan benda yang boleh main-main. Kenapa papa dengan mummy tak pernah tanya Danial pasal ni? Alih-alih minggu depan terus nak bertunang. Who is she, how’s her, Danial kena dan wajib tahu! Please… Dani dah besar. Dani bukan budak-budak sampai soal kahwin pun pa dengan mummy nak atur,” jawab Danial penuh emosi. Fikirannya kusut. Digaru kepalanya yang tidak gatal. Tali leher yang dipakainya terus dibuang.

“Danial jangan risau, mummy dah kenal dengan dia. Mummy yakin Danial takkan menyesal nanti. Sesuai dan sepadan dengan Danial.” Datin Faridah pula bersuara memujuk anaknya.

I don’t care pa, mummy! Selagi Danial tak kenal dia, tak kenal hati budi dia, Danial takkan pernah setuju! Noktah!” Danial berdiri dan terus berlalu pergi.

“Muhammad Danial Firdaus bin Dato Najmi! It’s okay. But, jangan merayu kepada papa if lepas ni all your credit cards have been blocked, all your cars papa tarik balik dan yang paling penting semua shares papa dalam Megah Holding tu papa serah dekat Faris, your cousin!” Dato Najmi bersuara keras lantas mematikan langkah Danial.

“Pa, ni soal kahwin Danial. Kenapa papa kena babitkan dengan kerja Danial? Papa lebih sayangkan anak saudara papa tu dari anak sendiri?” soal Danial tak puas hati. Kata-kata dari mulut papanya sebentar tadi benar-benar menguji hatinya. Dia terkejut dengan keputusan Dato Najmi.

Pertanyaan Danial hanya dibiarkan begitu sahaja.Dato Najmi terus berlalu pergi dan masuk ke bilik. Wajah mulus Datin Faridah dipandang penuh harapan agar mummynya menyebelahinya.

“Danial, papa tak pernah minta apa-apa. Why not this time you follow his request? Lagipun bukan papa dan mummy suruh Danial buat benda tak baik. Ni juga untuk kebaikan Danial. Your future. Takkan Danial nak gadis-gadis yang tak cukup kain kat luar sana tu sebagai ibu kepada anak Danial sendiri? Takkan Danial nak suruh gadis-gadis pisau cukur sana tu jaga Danial waktu Danial susah nanti?” soal Datin Faridah sebelum meninggalkan Danial di ruang tamu.

Fikiran Danial bertambah kusut apabila mendengar kata-kata Datin Faridah. Kunci Audi R8 dicapai laju. Dia tahu siapa yang boleh menolongnya dalam kekusutan ini.

DING DONG! Ding dong! Kalut Syafiq bangun dari katilnya setelah mendengar loceng rumahnya ditekan berkali-kali.

“Eh, kau Danial! Dah kenapa ni cari aku tengah-tengah malam buta?” Syafiq terkejut melihat Danial Firdaus tercegat di hadapan pintu kondonya.

Danial berlalu masuk tanpa diundang. Hatinya kusut untuk menjawab pelbagai soalan yang dituju.

“Kau okey ke Danial? Kusut lain macam aku tengok ni?” soal Syafiq sambil memerhati wajah sahabatnya yang masam mencuka terbaring di atas sofa.

“Aku stres, Fiq! Stres!” jerit Danial sambil menggenggam rambutnya.

“Apa masalah kau ni? Cuba cerita dengan aku,” ucap Syafiq cuba mengambil peranan sebagai seorang sahabat dan pendengar yang setia.

Parents aku nak aku bertunang dengan anak kawan papa. Next week! Then if aku tak setuju, semua credit cards, kereta, papa tarik balik. Ha, yang paling teruk papa nak serahkan 6 peratus shares dia dalam Megah Holding dekat si Faris tu. Mahu aku tak hangat. Dahlah papa tak pernah tanya aku langsung. Tiba-tiba next week kena bertunang,” luah Danial bengang.

Hek eleh! Apa besar sangatlah masalah kau ni? Aku ingatkan shares company kau jatuh merudum ke, kau kena saman berjuta-juta ke… Ini tak, nak kena bertunang pun stres macam apa entah,” balas Syafiq sambil tergelak kecil. Dia menggeleng memandang sahabatnya.

“Kau tak faham, Fiq. Kau mesti tahu kan apa taste parents aku tu? Dan apa taste aku pulak? Bahagia ke aku nanti? Malulah aku. Dan aku tak diberi pilihan langsung nak terima atau tolak,” ujar Danial. Bengang melihat reaksi sahabatnya. Gelak Syafiq terhenti. Sedar sahabatnya benar-benar serius.

“Sekarang ni aku nak tanya, kau dah tengok dia? Gambar ke, apa ke?” Danial sekadar menggeleng.

“Dah tu, yang kau stres macam papa dan mummy kau jodohkan dengan Halimah Jongang tu dah kenapa? Relakslah bro. Aku yakin papa dan mummy kau memang betul-betul cari yang terbaik untuk kau. Diorang pun mesti nak jaga imej diorang ada menantu yang cantik, superb! Asal kau takut sangat nak kahwin? Chill la, bro… Mana Danial Firdaus yang aku kenal?”

“Eh, kau imaginelah… Takkan aku nak bawa perempuan tu ke function-function yang besar, jumpa kawan-kawan kita. Ada juga aku kena gelak. Aku pun ada tastelah!” ujar Danial membayangkan dirinya diketawakan. Itulah antara perangai buruk Danial. Ego! Sentiasa nak dipandang perfect!

Syafiq tersenyum. Dia kenal benar dengan perangai lelaki di hadapannya itu.

“Eleh, kau ni cakap macamlah kau dah tengok dan kenal dia. Entah-entah lagi superb dari taste kau. Ni tak, nak yang seksi memanjang. Kau kena fikir dalam-dalam, Danial. Untuk anak-anak kau nanti juga. Lagipun apa masalah? Bila ada function kau siapkanlah dia bagi cantik-cantik. Lagi satu, aku rasa benefit bila kau dah kahwin ni tak adalah kau rimas dengan staf-staf kau yang menggatal nak goda kau everyday nanti. Kalau kau malu sangat nak kenalkan dia dengan public, kau tak payahlah kenalkan dia. Cukup orang tahu kau dah berkahwin. Bila orang tanya pasal isteri kau, kau cakaplah dia nakkan privasi.” Idea Syafiq datang mencurah-mencurah. Kemudian dia meninggalkan Danial untuk terus berfikir dan membuat keputusan yang terbaik.

Danial terdiam. Jauh di sudut hati, dia membenarkan setiap idea yang diberikan Syafiq. Dia melepaskan pandangannya ke arah KLCC yang berdiri megah di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Vila Jannah sunyi tanpa anak kecil. Sudah dua bulan Faizura, anak sulung Dato Najmi yang kini menetap di Perak tidak pulang ke rumah. Sibuk katanya menguruskan cawangan Megah Holding di Ipoh. Ditambah pula suaminya, Saiful bekerja sebagai engineer Petronas yang memerlukan dia ke luar negara hampir setiap bulan.

Farah, anak kedua Dato Najmi pula yang baru dikurniakan seorang cahaya mata sentiasa sibuk memandangkan kerjaya doktor pakar sakit puan menjadi pilihan. Farahin, puteri bongsu Dato Najmi yang berusia 22 tahun pula masih berada di Rusia mengambil ijazah sarjana muda perundangan.

Kelihatan Dato Najmi bersama Datin Faridah menikmati sarapan bersama. Hampir 40 tahun hidup bersama sudah membuatkan mereka lali dengan kerjaya anak mereka. Deruan enjin kereta R8 Danial membuatkan Dato Najmi dan Datin Faridah berpandangan. Semalaman Danial tidak pulang ke rumah selepas disampaikan hajat mereka berdua kepada Danial.

“Pa, mummy. Danial ada benda nak cakap. Pasal semalam tu, Danial setuju ikut kehendak papa. Tapi… Danial ada syarat,” ucap Danial. Dato Najmi merenung mata Danial. Menunggu syarat yang akan dikenakan oleh anak lelaki tunggalnya itu.

“Apa syaratnya, Danial?” Datin Faridah terlebih dahulu bertanya.

Erm… Danial nak lepas kami kahwin, kami nak duduk asing. Lepas tu Danial tak nak majlis kahwin dibuat besar-besaran sangat. Cukup untuk keluarga, sahabat handai dan client penting. Semua staf Danial tak nak jemput kecuali top management sahaja,” beritahu Danial. Dato Najmi terdiam. Datin Faridah seolah-olah terkejut dengan syarat Danial.

“Danial, rumah ni kan besar. Banyak bilik. Kenapa nak duduk asing? Lagipun tak ada siapa nak duduk sini. Kak Fai kat Perak, Kak Farah dekat Melaka. Takkan kamu pun nak duduk jauh?” Datin Faridah bersuara. Tak berkenan dengan syarat Danial untuk duduk asing.

“Danial takkan keluar dari Kuala Lumpur ni,” ucap Danial pendek sambil memandang Dato Najmi yang masih tidak memberi sebarang komen.

“Papa setuju dengan syarat kamu. Papa tak kisah.Tapi papa pun ada syarat.” Dato Najmi kembali bersuara.

“Walaupun kamu duduk asing nanti, kamu jangan ingat kamu boleh buat apa saja kepada Aisya, isteri kamu. Jika papa tahu kamu mendera dia tak kira fizikal atau batin dan membuatkan dia tak bahagia, bila-bila masa saja papa akan laksanakan apa yang papa cakap semalam. Pasal majlis papa ikut kehendak kamu,” sambung Dato Najmi.

Danial terdiam mendengar syarat papanya yang kedengaran seperti memberi amaran kepada dirinya.

“Okey. Kalau kamu pun setuju dengan syarat papa ni, next week jangan lupa kami akan hantar rombongan meminang. Kamu tak perlu ikut. Tapi dua bulan selepas tempoh kamu bertunang, majlis akad dan kenduri akan dilaksanakan. Jadi papa nak kamu uruskan apa yang patut. Kursus kahwin, medical check up semua tu. Pasal baju dan hantaran, kamu bincang dengan mummy kamu.”

Dato Najmi mencapai briefcase dan berlalu pergi selepas meninggalkan kata-kata terakhir untuk anaknya. Begitulah Dato Najmi… Seorang yang serius dengan apa saja keputusan yang diambil. Walaupun begitu, Dato Najmi juga dikenali sebagai seorang pemurah dan rendah diri. Dengan anak-anaknya, dia akan bertegas dalam keadaan tertentu sahaja.

“Danial faham tak apa papa cakap tadi?” soal Datin Faridah selepas melihat wajah anaknya semakin kusut.

“Danial faham, mummy. Danial dah biasa dengan papa. Baiklah mummy. Pasal baju, hantaran, deko pelamin ke, apa ke, mummy uruskanlah. Danial ikut saja apa mummy nak. Danial tak kisah. Berapa hantaran, mas kahwin perempuan tu nanti mummy bagi tahu. Danial bank in,” balas Danial. Dia rasa tawar hati lantas meninggalkan ruang makan.

Datin Faridah terdiam melihat reaksi anaknya. Kadang-kadang dia sendiri tak pasti mahu ikut siapa. Kesian dia melihat keadaan Danial yang dipaksa. Tapi dia sendiri berkenan dengan pilihan suaminya. Danial dari kecil sampai sekarang memang sentiasa bertahan dengan sikap suaminya yang tegas. Dia tahu suaminya sengaja bertegas untuk mengajar Danial menjadi lebih matang sekali gus dapat mewarisi Megah Holding kelak.

Hari yang dinantikan tiba juga. Aisya cantik bergaya mengenakan sepasang abaya kosong dengan lace di lengan berwarna pink. Dikenakan pula shawl dusty pink di kepala. Persis model!

“Eh, bila mekap macam ni memang muka kau seiraslah dengan Siti Saleha artis kita tu. Patutlah zaman kolej dulu ramai cakap kau dengan dia kembar,” puji Anis, sahabat sejak di universiti setia di sebelah Aisya. Aisya mencebik. Dia hanya mampu bersyukur dengan apa yang dia ada.

Anis memandang Aisya yang masih confuse dengan pilihan sendiri. Dia faham perasaan Aisya memandangkan Aisya cerita dari A hingga ke Z. Tapi apakan daya, restu ibu dab bapa tu penting untuk mencapai reda Allah.

“Cantiklah kau hari ni, Sya. Simple but gorgeous sangat!” bisik Anis.

Aisya hanya mampu tersenyum. Hatinya makin berdebar. Dia sendiri rasa seperti masih bermimpi. Hari ini status dia akan bertukar. Menjadi tunang orang. Macam mana perangai bakal tunangnya masih menjadi persoalan. Dari gambar dia yakin bakal tunangnya ini seorang yang penyayang, bertanggungjawab, rendah diri. Rupa? Sangatlah perfect! Dia sendiri tak pernah berangan untuk punyai tunang sehandsome itu. Kulit tak gelap dan tak putih sangat. Tapi boleh dikategori cerah. Hidung memang mancung.Senyuman tu paling mencairkan hati. Tapi macam familiar wajah tunangnya apabila direnung balik gambar tersebut. Bak kata Anis macam pelakon Korea!

Ah! Adalah tu aku jumpa pelanduk serupa dia kat mana-mana. Aisya menyedapkan hati.

“Oi, cik kak. Keluarga mentua dah sampai. Simpanlah gambar tu.” Aisya tersengih macam kerang busuk memandang Anis.

“Potong betullah kau ni. Aku baru nak berangan. Dia ada tak kat luar?”

Anis menggelengkan kepala menjawab soalan Aisya. Aisya melepaskan keluhan. Frust! Tak dapat bersemuka dengan bakal tunangnya.

“Eh, kau ni. Jangan masam muka tu. Dah macam minah tempe. Tapikan Sya, aku hairanlah… Kenapa kau tak mesej aje Danial kau tu cakap nak jumpa ke, apa ke? Ni bukan setakat mesej, call pun tak pernah. Entah-entah dia sengau ke, gagap ke, kau tak tahu,” ujar Anis hairan dengan perangai kawannya itu.

“Oi! Mulut jangan masin sangat. Mak aku cakap dia normal! Normal! Tak ada semua tu. Aku bukan tak nak mesej dia. Tapi aku malulah. Takkan perempuan start dulu, kan. So aku biarkan ajelah. Lagipun sekarang ni aku sibuk sikit. Tak sempat nak fikir semua tu. Aku pun assumelah dia pun busy,” balas Aisya. Dia sendiri tak nafikan kesibukannya di pejabat menyebabkan dia sendiri tak berkesempatan untuk menghubungi Danial.

Majlis pertunangan berjalan dengan lancar. Mas kahwin sebanyak RM3333.33 dan hantarannya pula RM17777.77. Ikutkan Aisya, dia hanya mahu RM7777.77. Dia tidak meletakkan hantaran yang begitu mahal. Dia hanya mahu bersederhana. Namun keluarga Dato Najmi sendiri yang berkeras untuk bagi RM17777.77. Kata mereka itupun sedikit.

Tarikh perkahwinan dua bulan dari sekarang. Sebentuk cincin emas Habib Jewels terletak indah di jari Aisya. Senyuman di bibir Aisya menggambarkan perasaannya yang gembira menjadi tunangan orang. Namun Aisya lebih gembira melihat senyuman yang terukir di wajah Haji Harun dan Hajah Faridah .

Dia bangga dapat menggembirakan hati ibu bapanya. Ramai tetamu dan ahli rombongan keluarga Danial yang hadir. Aisya diperkenalkan dengan kakak-kakak Danial. Ternyata mereka sangat ramah dan mudah mesra. Faizura dan Farah turut gembira melihat bakal adik ipar mereka. Cantik dan berbudi bahasa.

Adik! Untunglah kau. No wonderlah papa beria-ia sangat nak buat Aisya ni jadi menantu dia. Sangat cantik, dik! Macam Siti Saleha sikit rupa dia. Tapi akak rasa dia manis lagi. Hehe. Berbudi bahasa pulak tu dik. Jangan menyesallah dengan keputusan kau ni. Nanti akak send gambar.

Danial menutup inbox pesanan ringkas. Dia tiada perasaan untuk terus membaca mesej Kak Farah. Setakat cantik macam siti Saleha, dia boleh dapat berkali-kali ganda cantik daripada itu kalau dia nak. Ditatap gambar gadis yang kini menjadi tunangnya. Manis! Dia sendiri tawar hati untuk mengambil tahu pasal pertunangannya ini. IPhone yang dipegangnya terus disimpan.

“Tahniah bro! Status baru nampak?” Syafiq datang lalu menepuk bahu Danial. Danial mendiamkan diri. Tak ada mood nak layan.

“Status baru apa ni?” Datang pula Mila menyampuk dan mengambil tempat di sebelah Danial.

“Eh, kau tak tahu ke Mila?” tanya Syafiq hairan. Selalunya Milalah paling laju dapat maklumat daripada Danial. Mila menggeleng sambil mengerutkan dahi.

“Kawan kita ni. Encik Danial Firdaus Dato Najmi. Mulai hari ini sudah pun menjadi tunang orang. Pilihan keluarga. Titik!” beritahu Syafiq dengan nada bangga.

Mila tergamam. Berita apakah yang dia dengar ni? Matanya melirik ke arah Danial. Danial hanya mendiamkan diri.

Hello… Hello Cik Hanis Armilia Tan Sri Shamsuddin. Are you there?” Syafiq melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka Mila setelah melihat Mila hanya mendiamkan diri.

Errr, sorry… Seriously? Danial? Betul apa yang Fiq cakap ni?” Mila tersedar. Dia cuba mengawalkan reaksinya. Danial hanya mengangguk. Dunia Mila gelap. Terasa seperti ada sebiji batu besar menghempap kepalanya. Terkejut dan kecewa dengan apa yang dia dengar.

“Wah, tahniah kawan! Eh, sorry. I nak pergi washroom kejap.”

Mila terus berlalu pergi. Air mata diseka cepat. Takut dikesan oleh Danial dan Syafiq. Di dalam tandas, air matanya berjuraian turun tanpa dipinta. Hatinya hancur.

Sampai hati kau, Danial. 10 tahun lebih aku suka dan sayang kau. Kau buat macam ni dengan aku. Kau tak pernah faham perasaan aku. Hati Mila meraung. Mila sedar selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan. Dia pasti Danial tak pernah tahu selama ini perasaannya bukan hanya sebagai kawan, tapi lebih daripada itu. Silap dia tak meluahkan isi hatinya. Dia malu dan takut kehilangan kawan jika Danial tahu perasaan sebenarnya.

Malam tu setelah Danial dan Syafiq pulang, Mila memandu kereta ke Zouq. Kelab malam yang sentiasa memberi dia kebahagiaan ketika stres. Malam itu Mila enjoy tanpa menghiraukan dunia. Arak yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan kerana permintaan Danial, diteguk kembali. Hatinya hancur. Kecewa dengan apa yang didengari tadi. Dia mula mabuk dan tak sedar siapa yang berada di sekelilingnya. Akhirnya dunia Mila kelam, kelam dan kelam.

“Mila! Mila!” Ketukan bertalu-talu kedengaran. Mila menutup telinga dengan bantal. Rimas tidurnya diganggu.

“Anak kesayangan awak tak bangun lagi? Membungkam sampai tengah hari?” soal Tan Sri Shamsuddin sambil membelek-belek News Straits Time.

“Puas saya ketuk pintu. Langsung tak dijawab. Tadi bibik cakap dia bangun pukul 5 pagi, dia nampak Mila baru balik dalam keadaan mabuk,” ucap Puan Sri Maria. Risau dengan keadaan anak tunggalnya itu.

“Awaklah, manjakan dia sangat dari kecil sampai ke besar. Apa yang dia nak awak bagi. Dah jadi macam ni kita nak buat apa?” sambung Tan Sri Shamsuddin sinis. Dari kecil sampai besar soal anak memang dia serahkan kepada isterinya. Kesibukannya dalam dunia perniagaan membuatkan dirinya mengabaikan anak tunggalnya itu.

“Senang awak cakap. Awak apa tahu? Semua perkara pasal Mila tu saya uruskan dari dia tadika sampai ke universiti. Awak tu dulu kadang-kadang sampai 3 bulan sekali baru jumpa dia. Outstation sana sini.”

“Habis tu every month saya bagi awak 25K untuk duduk di rumah, jaga Mila, apa awak buat? Berjoli sana sini. Mila keluar dengan siapa, pergi mana, ada awak tanya dia?” Suara Tan Sri Shamsuddin makin meninggi. Tak puas hati apabila kerjanya dipertikaikan Puan Sri Maria.

Tanpa disedari, Mila yang berada di tangga mendengar setiap patah kata yang dikeluarkan oleh kedua-dua ibu bapanya. Dia berlari masuk ke bilik kemudian menghempas pintu sekuatnya. Air matanya mengalir lagi. Dia tak nafikan hidupnya memang mewah. Apa yang dia nak semua dapat. Tapi tiada siapa yang faham, dia kekurangan kasih sayang. Dari kecil sampai besar boleh dikira dengan jari berapa kali dia didakap ayah sendiri. Mummy dia pula, setiap hari keluar dan tak pernah tanya soal hidup dia, dengan siapa dia berkawan, ke mana dia pergi… Hanya tanya makan ke tidak, ada duit atau tidak. Itu saja yang mummy tahu.

Frame gambar dia dan Danial dicapai lalu dibaling ke arah pintu. Pecah berderai. Hatinya marah! Geram! Hatinya masih tertanya-tanya perempuan mana yang kini menjadi tunangan Firdaus.

Kau tunggu, perempuan. Aku akan cari kau sampai ke lubang cacing, bisik Mila sendiri.