Jangan Ada Cinta

RM26.00

Penulis: Hairynn Salehuddin

Caption: cinta dating dan pergi tanpa dipaksa, hargailah cinta selagi ada

ISBN: 978-967-406-262-0

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

MIRA SOFEA mencintai MOHD DANIEL IMRAN sepenuh hatinya. Dialah lelaki pertama yang berjaya mengetuk pintu hatinya untuk menerima cinta seorang lelaki.

Tetapi semuanya berubah semenjak bekas isteri Daniel, AMY LIANA tiba-tiba muncul dalam kehidupan mereka. Hubungan Daniel dan Liana menjadi semakin rapat bila mendapat tahu yang Liana menghidapi kanser hati. Perasaan kasihan sedikit demi sedikit berubah menjadi sayang. Adakah Daniel bersikap adil terhadap Mira? Adakah hubungan rapat tersebut dapat bertahan lama daripada pengetahuan Mira?

Dalam masa yang sama, abang Daniel, MOHD HAKIM IMRAN kembali ke Malaysia setelah bertahun-tahun menjauhkan diri dari keluarga. Semuanya ada kaitan dengan penyakit kanser yang dihidapi oleh arwah mummynya, Puan Zainab. Hakim akhirnya bersetuju mengambil alih syarikat keluarganya setelah puas dipujuk oleh Daniel dan juga daddy mereka, Tan Sri Mohamed.

Hubungan cinta Mira dan Daniel pula semakin dilanda masalah sehinggalah berlakunya kes yang tidak diingini terhadap Daniel yang mengubah segalanya.

“I terpaksa bernikah dengan Liana. I’m sorry, sayang.”

Adakah cinta yang diungkapkan Mira datangnya daripada hati yang ikhlas? Atau sekadar untuk menjaga hati Hakim? Mungkinkah perasaan sayang dan cinta terhadap Daniel masih mendalam? Hakim dalam delima. Hatinya berbelah bahagi untuk membuat keputusan. Permintaan adiknya atau perasaan cintanya terhadap Mira?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“Mira, aku balik dulu.” Suara Hani membuatkan Mira sedikit terkejut. Apa tidaknya, dia sedang khusyuk menyemak akaun syarikat sebelum dihantar kepada ketua pengurus.

“Okey. Jumpa esok.” Langsung tak pandang pun wajah Hani yang sedang berdiri di sebelahnya. Pandangan Mira masih tertumpu pada skrin komputer.

“Jangan balik lambat sangat. Tak siap, sambung esok ajelah.” Hani, kawan sepejabat merangkap kawan baiknya sering kali memberi nasihat. Risau juga Hani bila Mira selalu balik lewat malam. Balik seorang diri. Bukannya selamat sangat zaman sekarang ni.

“Mana boleh. Encik Fuad tu nak by today. Tak apalah, sikit aje lagi ni. Actually dah siap pun, cuma nak semak balik.” Geleng kepala Si Hani dengan perangai Mira. Memang dari dulu dia macam ni. Selalu akan pastikan kerja yang diberi, siap dengan betul. Lagipun Mira ni tak suka kalau kerja sambil lewa. Ada salah sana sini. Itu sebabnya dia jadi salah seorang pekerja contoh di syarikat tersebut.

“Ikut kaulah. Take care. Apa-apa call tau.” Hani tepuk bahu Mira perlahan sebelum berlalu dari situ. Tinggallah Mira dan beberapa staf lain yang masih sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Encik Fuad pun masih ada lagi di dalam pejabatnya.

“Siap!” Lega Mira rasa. Dokumen yang baru dicetak tadi disusun mengikut susunan. Tidak menunggu lama, dia berlalu menuju ke bilik Encik Fuad sambil membawa dokumen yang disiapkannya tadi.

“Bagus. Rasanya semua okey ni. Tak apa, nanti saya semak balik.” Encik Fuad masih meneliti hasil kerja Mira. Satu per satu diperhatikan.

“Kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu, Encik Fuad. Jumpa esok, ya.”

“Okey Mira. Jumpa esok.” Terukir senyuman di bibir Mira bila kerjanya tidak dipertikaikan. Dari raut wajah Encik Fuad, jelas menunjukkan yang dia amat berpuas hati. Kaki melangkah keluar dengan hati yang gembira.

Begitulah rutin harian Mira Sofea binti Haji Mokhtar sebagai akauntan yang baru dua tahun bekerja di syarikat D&N Holdings.

“Assalamualaikum.” Mira memberi salam sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah.

“Waalaikumussalam. Anak ibu dah makan?” Puan Faridah yang sedang menonton televisyen mengalihkan pandangan ke arah anak perempuannya.

“Belum lagi. Ibu dah makan?” Mira mendekati ibunya dan mencium pipi seperti kebiasaan yang dibuat setiap kali pulang ke rumah.

Sambil mengusap lembut pipi anaknya, Puan Faridah sekadar menggeleng. Jam baru menganjak ke angka sembilan. Memang selalunya mereka akan makan bersama melainkan bila Si Mira ada janji temu.

“Mira mandi kejap, ya ibu? Lepas tu kita makan sama.” Sekali lagi pipi ibunya menjadi sasaran. Segera dia bangun dan berlalu naik ke bilik.

Mira cuma ada seorang adik lelaki yang masih belajar di asrama penuh di Seremban. Hanya pada hujung minggu atau pun cuti sekolah sahaja mereka berjumpa. Tinggallah Mira dan ibunya sahaja di rumah dua tingkat yang ditinggalkan oleh arwah Haji Mokhtar.

Sudah lima tahun arwah meninggalkan mereka semua selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta Honda yang dipandu Haji Mokhtar bertembung dengan sebuah kereta Proton Perdana dari arah bertentangan. Kedua-dua pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hendak atau tidak, mereka sekeluarga terpaksa reda dengan takdir yang menimpa mereka. Kehilangan Haji Mokhtar dengan tiba-tiba membuatkan kehidupan mereka berubah terus. Puan Faridah selalu termenung teringatkan arwah. Faris pula yang dulunya seorang yang periang, kini menjadi pendiam. Tidak banyak bercakap selepas kejadian tersebut. Mira yang banyak memberi kekuatan dan semangat kepada adik dan ibunya. Dan kini mereka berdua sudah dapat menerima hakikat sebenarnya. Semua yang hidup di dunia ini pasti akan mati suatu hari nanti.

Selepas makan malam bersama, mereka masuk ke dalam bilik tidur masing-masing. Puan Faridah memang begitu. Selepas menunaikan sembahyang isyak, memang katillah tempat yang akan dituju.

Sambil Mira berbaring di atas katil, telefon bimbit kesayangannya dicapai. Dibuka satu per satu WhatsApp yang belum dibaca. Salah satunya sudah tentu daripada orang tersayang. WhatsApp yang memang ditunggu-tunggu setiap malam.

My baby, dah makan?

Laju sahaja jari-jemari Mira membalasnya.

Baru lepas makan dengan ibu. You dah makan? Macam mana dekat sana?

Mohd Daniel Imran. Orang pertama yang berjaya mengetuk pintu hati Mira untuk menerima cinta daripada seorang lelaki. Pertemuan yang tak disangka antara mereka dulu membuatkan hati dan perasaan mereka tertarik antara satu sama lain. Dari hari ke hari, hubungan mereka semakin akrab dan akhirnya luahan perasaan terhambur juga dari mulut Daniel. Dan dia tidak bertepuk sebelah tangan. Begitu juga Mira. Perasaannya terhadap Daniel semakin hari semakin mendalam. Hatinya semakin berbunga-bunga semenjak berkenalan rapat dengan Daniel.

I dah makan tadi. Semuanya okey. Cuma I rindu dengan orang tu. Lama tak jumpa.

Datanglah mengada-ada Si Daniel pada buah hatinya ni. Apa tidaknya, sudah tiga hari dia ke Osaka, Jepun. Menghadiri kursus dan mesyuarat bersama orang-orang di sana. Ini semua ada kaitan dengan hal syarikat milik keluarganya. Teguh Maju Holdings Berhad.

Mengada-ada.

Sambil menaip, sambil tersenyum seorang diri. Siapa yang tak suka kalau diri dirindui seseorang. Lebih-lebih lagi dengan orang yang kita sayang.

Lagi dua hari sahaja Daniel berada di sana. Semakin tidak sabar dia hendak berjumpa dengan Mira. Memang begitulah kebiasaannya. Kerap kali juga Daniel ke sana sini untuk beberapa hari.

See you in two days sayang. Love you. Muahhh!

Berulang kali WhatsApp terakhir daripada Daniel dibaca. Dan kini Mira pula yang menanggung rindu. Siapa yang terlebih mengada-ada ni?

“Ibu, malam ni Mira makan dekat luar, ya?” Sambil menyuap mi goreng yang dimasak Puan Faridah tadi.

“Makan dengan Daniel ke?” Mira sudah tersenyum dengan pertanyaan ibunya itu. Anggukkan kepala mengiringi senyuman.

“Dia dah balik dari Jepun ke? Hari tu kata dia tak ada sini.” Mi goreng di pinggan dikuis sedikit sebelum menyuap ke mulut sendiri.

“Tengah hari ni sampailah. Lima hari aje dia dekat sana. Hari ni balik, esok dah mula kerja balik. Mesti penat tu.” Simpati pula Si Mira pada Daniel. Kalau outstation ni memang memenatkan. Lebih-lebih lagi kalau ke tempat jauh.

“Terpaksalah Mira. Kerja. Lagipun bukan syarikat orang lain. Syarikat ayah Daniel juga kan. Nak taknak dia kena kerja kuatlah sikit. Risau lebihlah anak ibu ni. Daniel dah biasa kan outstation ni semua. Dah sebati tu.”

Kata-kata Puan Faridah menenangkan sedikit perasaan gelisah Mira terhadap Daniel. Mira risau jika Daniel tak cukup rehat nanti. Kesihatan juga perlu dijaga. Itu yang selalu Mira tekankan pada Daniel. Tapi pada diri sendiri, Mira terlupa tentang itu. Kesihatan sendiri diabaikan.

“Ibu, Mira pergi dulu. Nanti lambat sampai ofis.” Laju sahaja Mira hirup air Nescafe di dalam cawan sehingga habis. Beg laptop dan beg tangan di tepi kerusi dicapai. Selepas bersalaman dan mencium pipi Puan Faridah, segera Mira berlalu pergi. Biasalah, kalau lambat sikit, sah-sah kena hadap kesesakan lalu lintas. Mahu terlambat masuk pejabat nanti.

“Baik-baik, Mira!” Sempat Puan Faridah menjerit pada anaknya.

“Mira, Encik Fuad panggil.” Kedengaran suara Kak Mimi dari tempat duduknya.

“Okey,” balas Mira. Fail-fail yang baru sahaja diambil dari kabinet diletakkan di tepi meja. Kaki segera melangkah menuju ke bilik Encik Fuad.

Tok tok…

“Masuk.” Suara Encik Fuad dari dalam memberi kebenaran pada Mira.

Pintu dibuka dari luar. Mira melangkah perlahan menghampiri meja Encik Fuad. Dilihatnya dia sedang meneliti kertas kerja yang Mira berikan padanya semalam.

“Duduk, Mira.” Tanpa tunggu lama, Mira segera menarik kerusi di hadapan meja Encik Fuad. Matanya masih sibuk memerhatikan kertas-kertas yang berada di atas meja.

“Okey, saya dah semak kerja Mira ni. Macam biasa, semua seperti yang saya nak.”

Tarik nafas lega Mira sekali lagi. Kerjanya sekali lagi memuaskan hati Encik Fuad.

“Oh ya, Mira. Ambil fail ni. Kemas kinikan. Sebab minggu depan saya nak kena update pada mereka.” Mira angguk tanda mengerti. Fail di tangan Encik Fuad diambil.

“Tan Sri, okey ke ni?” Diana, pembantu peribadi Tan Sri Mohamed menghampirinya. Wajah pucat majikannya yang sudah berumur ditenung lama.

“Rasa letih sikit. Diana, petang ni saya ada meeting dekat Putrajaya, kan?” Tan Sri Mohamed sesekali memegang dadanya sambil dahinya berkerut. Menahan sakit. Sejak akhir-akhir ni kesihatannya tidak berapa baik. Dadanya kerap kali terasa sakit.

“Ya, Tan Sri. Meeting dengan LNE Engineering tentang projek dekat Pahang. Tapi… Tan Sri nampak tak sihat ni. Apa kata kita tunda meeting ni ke hari lain?” Diana cuba memberi pendapat. Dia risau dengan kesihatan Tan Sri Mohamed.

Sepatutnya sudah masanya Tan Sri menyerahkan kebanyakan kerja-kerjanya kepada anak lelakinya. Dia sepatutnya perlu banyak berehat dengan faktor usianya yang sudah meningkat tua.

“Diana, awak tahukan betapa pentingnya mesyuarat kali ni. Banyak benda yang kita kena bincangkan dengan mereka. Jangan lupa suruh Zarif, Hamid dan Michael pergi sekali nanti.”

Apa lagi yang Diana boleh buat selain mengangguk. Arahan daripada bos besar perlu dituruti. Kalau ingkar, faham-faham ajelah. Memang Tan Sri tidak suka sesiapa pun mengingkari arahannya. Itu sudah pasti.

“Diana, Daniel balik bila?” Kaki yang tadi melangkah terhenti bila suara Tan Sri kedengaran. Berpaling semula memandang Tan Sri.

“Kalau ikutkan flight dia hari ni. Esok baru dia masuk kerja semula. Kenapa, Tan Sri?”

Nothing.” Diana hanya tersenyum sebelum berlalu keluar.

“Zarif, aku risaulah.” Sebaik sahaja Diana menghampiri meja Zarif, terus diluahkan perasaan gelisahnya.

“Risau pasal apa pula ni? Ada orang nak tackle kau ke?” Zarif sengaja mengusik Diana, kawan yang dikenali sejak 5 tahun lalu.

“Isy, kau ni. Ke situ pula dia. Aku risau pasal Tan Sri ni.” Ditamparnya sedikit bahu Zarif.

“Ooo… Tan Sri. Yalah, aku pun tengok dua tiga hari ni Tan Sri nampak tak berapa sihat. Kau tak suruh Tan Sri pergi jumpa Dr. Alif ke?”

“Macamlah kau tak kenal Tan Sri. Dia mana nak dengar nasihat orang. Aku suruh dia postpone meeting petang ni, tapi dia tak nak. Nak teruskan juga meeting tu. Nanti kau, Hamid dengan Michael kena ke Putrajaya. Meeting start at 2.30. Don’t be late. Macam biasa, jumpa Tan Sri dekat sana terus.” Sememangnya Zarif diberitahu dari semalam yang dia antara orang yang kena hadir mesyuarat petang nanti.

“Mira, aku balik dulu, ya.” Hani capai beg tangannya. Dia memang jarang balik lambat. Sharp on time punya. Boleh dibilang dengan jari berapa kali sahaja dia balik lewat dalam sebulan. Itu pun selalunya akhir bulan. Sebab nak siapkan repot bulanan.

“Eh, kejap-kejap. Aku pun nak balik cepat hari ni. Sharp on time macam kau juga.” Dan kali ini giliran Mira pula mencapai beg tangannya sambil jari laju menekan butang Off di skrin komputer.

Waaa… Ini mesti ada date ni. Oh yalah, aku lupa. Hari ni si buah hati pengarang jantung kau dah balik Malaysia. Patutlah dari pagi asyik tersenyum aje.” Hani betul-betul terlupa yang Mira ada beritahu padanya semalam.

Senyuman di bibir Mira semakin melebar. Siapa yang tak suka kalau dapat bertemu dengan orang tersayang. Lepaskan rindu bilamana hampir seminggu tidak berjumpa.

Hani memaut lengan Mira sementara menunggu lif tiba untuk ke tingkat bawah.

“Kau nak pergi mana ni?”

“Penyibukkk.” Pandangan tepat dituju pada Hani. Apa lagi, tersemburlah ketawa kuat dari mulut Hani, begitu juga Mira. Nasiblah tiada siapa yang peduli dengan mereka. Masing-masing sibuk dengan telefon sendiri.

“Sayang kat mana?” Suara romantik Daniel memenuhi ruang telinga Mira.

“Kejap lagi sampai. Lagi lima minit. You dah sampai ke?”

“Dah, I ada depan rumah you ni. Your mom macam tak ada dekat rumah. Kereta tak ada ni.”

“Ibu keluar. Pergi hantar tempahan kek. Okey, nak sampai. I dah nampak kereta you.” Sebaik sahaja kereta membelok menghampiri kawasan rumah, kereta Porsche hitam milik Daniel terus menjadi tumpuan matanya.

“Assalamualaikum.” Daniel beri salam sebaik sahaja Mira turun dari kereta. Sebenarnya dia juga rasa rindu pada wanita yang berada di hadapannya sekarang ini.

“Waalaikumussalam. Lama ke you tunggu? Sorry, tadi traffic light kat depan tu lambat.” Sambil menutup semula pintu pagar dan berjalan menghampiri Daniel yang sedang bersandar di tepi keretanya. Cantik punya posing. Ala model terkenal.

“Demi sayang. Lama pun takpa. I sanggup.” Kenyit mata Si Daniel pada Mira.

“Mengada-ada. Jomlah sayang. Lapar ni.” Memang perutnya sudah keroncong. Tadi tengah hari mana dia turun makan. Sekadar alas perut dengan roti marjerin. Itu pun Si Hani yang paksa dia makan.

“Sayang I lapar, ya? Okey, jom.” Mereka memasuki kereta dan beredar dari situ.

Restoran yang menyajikan makanan barat menjadi pilihan mereka berdua. Selalunya Daniel yang akan memilih tempat makan. Mira sekadar mengikut sahaja. Lagipun jarang Si Mira ni makan di luar. Manalah dia arif sangat tentang tempat-tempat makan yang sedap. Berbeza dengan Daniel. Selalu keluar makan dengan Tan Sri Mohamed, kawan-kawan rapatnya, dan sekali-sekala dengan klien syarikat mereka.

Sedang mereka menikmati makan malam bersama, kelibat seseorang membuatkan masing-masing terdiam. Padahal tadi sibuk Si Daniel bercerita tentang Osaka, Jepun.

Macam kenal aje perempuan tu, bisik hati kecil Mira. Puas dia cuba ingat semula di mana dia pernah nampak wajah perempuan tersebut. Daniel pun tiba-tiba diam pula. Mira semakin yakin bahawa perempuan tersebut mesti ada kaitan dengan Daniel.

“You kenal dia?” Mira beranikan diri bertanya. Selagi dia tak tanya, selagi itulah persoalannya tidak terjawab. Naik pening dia cuba ingat.

She’s my ex. You lupa ke sayang?” Perlahan sahaja suara Daniel menjawab tapi cukup jelas di telinga Mira.

Yes. Baru sekarang Mira ingat. Daniel pernah tunjuk gambar dia bersama bekas isterinya bercuti di Switzerland. Berbulan madu di sana.

Are you okay?” Daniel segera capai tangan Mira. Dipegang erat. Pandangannya tepat memandang wajah Mira. Dia tidak mahu Mira rasa cemburu dengan bekas isterinya itu.

Yes, I am. Don’t worry about me.” Mira cuba tenangkan hati sendiri. Siapa yang tak cemburu. Bekas isteri kemain cantik persis model. Tinggi pula tu. Kulit putih melepak. Lagipun Daniel pernah cerita serba sedikit tentangnya. Anak kacukan. Mummy Melayu, daddy mat salih.

“Okay, sayang. Mana tadi, pasal Osaka, kan?” Daniel kembali bercerita. Sesekali matanya masih sibuk menjeling ke arah pintu. Risau jika bekas isterinya masuk semula ke dalam restoran. Dia tidak mahu mood Mira berubah.

Tapi… Adakah benar dia risaukan tentang mood Mira atau sebenarnya mood dirinya sendiri?

“Amy Liana binti Azmil Stephen! Aku ceraikan kau dengan talak satu.” Suara tegas Daniel membuatkan semua terdiam termasuk isterinya yang baru sahaja dilepaskan.

Semua mata yang ada di situ memandang tepat pada Daniel. Tan Sri Mohamed seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku di hadapan matanya. Kebetulan Tan Sri Mohamed baru sahaja pulang dari bermain golf. Tan Sri Mohamed bersama Pak Ali, pemandu peribadinya terhenti langkah mereka sebaik sahaja mendengar kata-kata tegas Daniel itu.

Memang sejak akhir-akhir ni pertelingkahan antara Daniel dan Liana semakin menjadi-jadi. Ada sahaja perkara yang tidak kena di mata Daniel. Begitu juga Liana. Itu tak kena, ini tak kena. Cuma mereka tidak pernah bergaduh di hadapan Tan Sri Mohamed. Rasa hormat pada orang tua masih ada. Walaupun begitu, Tan Sri Mohamed lebih cepat menghidu semuanya. Dia tahu hubungan mereka semakin retak. Cuma dia masih tidak tahu punca pergaduhan mereka yang sebenarnya.

I never want to see you again Daniel Imran. You will regret it. You will.” Kali ini suara Liana pula yang semakin meninggi. Pandangan Daniel pada Liana masih seperti tadi. Tiada langsung rasa menyesal di sebalik anak matanya itu. Yang ada cumalah rasa marah membuak-buak.

“Daniel! Liana!” Sebelum Tan Sri Mohamed mendekati mereka berdua, Liana terlebih dahulu melangkah laju menghampiri bapa mentuanya itu.

I’m sorry, daddy. Halalkan makan minum Liana selama ini.” Tangan Tan Sri Mohamed dicapai. Dikucup lama sebelum air mata jatuh membasahi tangan. Rambut Liana diusap lembut. Rasa sedih menerjah di hati Tan Sri Mohamed. Dia tidak suka perkara sebegini terjadi dalam keluarganya. Ibu bapa mana yang suka melihat rumah tangga anak-anak mereka hancur begini.

“Daniel…” Tan Sri masih cuba memujuk anaknya itu untuk menghalang Liana keluar dari rumah mereka. Talak satu masih boleh dirujuk. Rujuk semula. Itu yang Tan Sri Mohamed mahukan. Mungkin Daniel telah melakukan kesilapan. Manusia. Tidak akan terlepas melakukannya. Tapi, semuanya boleh diperbetulkan.

I’m sorry, daddy.” Daniel tidak menunggu lama. Wajah Tan Sri Mohamed dipandang sekali imbas sahaja sebelum dia berlalu menaiki tangga ke atas.

Begitu juga dengan Liana. Dia masih terus melangkah keluar dari rumah tersebut. Tan Sri Mohamed hanya mampu melihat sahaja.

“Sabar, Tan Sri… Mereka tengah marah tu. Kita tak boleh buat apa-apa. Tunggu nanti dah reda sikit.” Pak Ali cuba memujuk Tan Sri Mohamed. Dia tahu bagaimana perasaan Tan Sri Mohamed. Perasaan seorang ayah.

Deringan telefon menyedarkan Daniel dari lamunannya.

Astaghfirullahalazim. Mengucap panjang Si Daniel. Peristiwa lama kembali menerjah fikirannya.

Telefon yang diletakkan di atas meja masih berdering. Dia tahu siapa yang telefon. Deringan istimewa.

“Hai, sayang.”

“You dah mandi? Tengah buat apa?” Suara manja Mira berjaya menenangkan perasaan Daniel yang sedikit gelisah.

“Belum lagi. I tengah tengok CNN ni. After this I pergi mandi ya, sayang.” Memang Daniel terpaksa berbohong. Orang kata bohong sunat. Takkanlah Daniel nak beritahu perkara sebenar pada buah hatinya itu. TV pun tidak terpasang. Tengok CNN konon.

“Okeylah, ibu dah balik tu. Take care, sayang. I love you.

You too sayang. Take care. I love you so much.

Arghhh! Kenapa selepas tiga tahun semuanya muncul semula? Kenangan pahit dalam hidupnya kembali bermain dalam fikiran. Wajah wanita yang sudah lama dia lupakan kini masuk ke dalam mimpinya.

Amy Liana. Kenapa kau perlu melintasi pandangan mataku kini?

“Diana, kalau Daniel dah masuk pejabat, suruh dia jumpa saya.” Arahan pertama Tan Sri Mohamed untuk hari ni diterima.

“Baik, Tan Sri.”

Dari tadi Diana masih tidak nampak kelibat Daniel masuk ke pejabat. Tapi manalah tahu dia terlepas pandang. Segera diangkat gagang telefon dan mendail sambungan pejabat Daniel.

Tiada sesiapa yang menjawabnya.

Baru sahaja Diana hendak meletak gagang telefon, pandangannya terus tertacap pada susuk tubuh seseorang.

“Daniel, Tan Sri panggil you.”

“Kak Die, tolong jagakan kejap.” Beg laptop diletakkan di atas meja Diana. Jarak umur antara mereka membuatkan Daniel anggap Diana seperti kakaknya sendiri. Lagipun banyak juga Diana hulur bantuan pada Daniel berkaitan dengan kerja pejabat.

“Yalah anak Tan Sri.” Sengaja Diana usik Daniel pagi-pagi begini. Menjeling sedikit Daniel pada Diana. Jelingan manja. Dan bagi Diana, dia sudah biasa menyakat Si Daniel dengan gelaran tersebut.

Selepas mengetuk pintu pejabat Tan Sri Mohamed, Daniel masuk tanpa menunggu lebih lama. Wajah daddynya dipandang tepat.

Daddy nampak pucat. Are you not feeling well?” Daniel segera mendekati Tan Sri dan letak tapak tangannya di atas dahi Tan Sri Mohamed.

Daddy tak demam. Cuma rasa letih sikit beberapa hari ni.” Sedikit ditepis tangan anaknya dari terus berada di dahi.

“Pergilah berehat, daddy. Mana yang Daniel boleh uruskan, biarlah Daniel urus.” Perasaan risau menerjah di hati Daniel. Dia tahu tahap kesihatan Tan Sri Mohamed tidaklah berapa baik. Kuat sangat bekerja punca utama. Dia kena banyak berehat sebenarnya. Itu yang doktor sarankan dahulu. Tapi macam biasalah, kedegilan Tan Sri Mohamed tak boleh disangkal. Kalau dia tak mahu, janganlah dipaksa atau dihalang.

Kan lebih senang kalau mummy masih ada. Kenapa mummy perlu tinggalkan kami semua terlalu awal?

“Itu semua kuasa Allah, Daniel. Jangan sesekali menolak takdir. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua.” Air mata Daniel mengalir saat dia teringatkan kata-kata Tan Sri dahulu selepas balik dari tanah perkuburan. Jenazah mummy selamat dikebumikan.

Daddy, why don’t kita cuba minta Abang Im.” Kata-kata Daniel terhenti saat Tan Sri memandang tepat ke dalam anak matanya.

He’s happy there. Daddy tak mahu rosakkan kebahagiaan dia dekat sana.”

But, daddy…”

“Daniel, stop it. Daddy masih boleh uruskan semuanya ni. Daniel kan ada.”

“Daniel tak sekuat Abang Im. He’s the perfect person daddy. Daniel yakin he can replace you better than me.” Memang itu yang Daniel rasakan. Dia masih tidak yakin dengan dirinya sendiri untuk mengambil alih tempat Tan Sri Mohamed.

Enough, Daniel!”

Terdiam Daniel. Dia tidak tahu kenapalah susah sangat daddy hendak terima apa yang dia katakan? Memang itu yang terbaik untuk syarikat ini. Daniel tidak pernah pentingkan diri sendiri. Kalau betullah dia tamakkan harta, sudah lama dia ambil alih tempat daddynya. Biar dia pegang jawatan tertinggi di dalam syarikat tersebut.

“Kak Die kata daddy cari Daniel pagi tadi. Ada apa, daddy?” Daniel tidak mahu memanjangkan lagi perkara tersebut. Dia tahu akhirnya nanti dia juga yang terpaksa mengalah.

Daddy nak Daniel uruskan projek ni. Ada masalah sikit. Try figure out the reason. Projek tak dapat siapkan dalam masa yang kita nak. Hamdan is the person in charge. Try check with him.”

Fail di tangan Tan Sri Mohamed dicapai. Dia berlalu keluar dari pejabat tersebut. Sempat Daniel mengerling pada wajah Tan Sri Mohamed. Apa yang Daniel boleh buat. Sekadar mengeluh. Mana boleh dipaksa-paksa Tan Sri Mohamed ni.

“Daniel, beg ni.” Hampir terlupa Daniel dengan beg laptopnya. Nasiblah Diana ingatkannya.

“Terlupalah, Kak Die. Sorry.”

“Kenapa ni? Ada masalah ke dengan Tan Sri?” Diana sekadar mengagak. Selalunya Daniel memang begitu. Boleh nampak dari raut wajahnya.

Daddy nampak tak sihat. But, you know him. Degil.” Perlahan sahaja Daniel bersuara tetapi masih jelas di telinga Diana. Mengangguk berulang kali dia. Memang betul pun apa yang Daniel kata. Degil.

“Oh ya, asyik lupa aje nak tanya. How’s your brother, Hakim? Dia masih dekat sana ke?”

Yup. Masih dekat sana. And he is doing well there. Kerja dengan company besar Kak Die. Abang Im berani. Not like me. Jauh beza.” Ketawa Kak Die mendengarnya. Lagi-lagi bila Daniel buat raut wajah dengan bibir sedikit dijuihkan.

“Mana ada. Daniel pun berani. Like him. Like your daddy.” Ayat pujuk hati Daniel.

“Pandai ajelah Kak Die ni. Okeylah, Kak Die, tolong call Hamdan. Suruh dia jumpa saya dekat pejabat. Thank you.” Dengan galas beg laptop dan fail di tangan, Daniel melangkah terus menuju ke pejabatnya.

“Tan Sri! Tan Sri!” Diana cuba menyedarkan Tan Sri Mohamed yang dilihatnya rebah di atas lantai. Patutlah dari tadi Diana ketuk pintu bilik tapi tiada suara menjawab dari dalam.

“Hamid, call ambulans cepat!” Nampak sahaja kelibat Hamid berlari masuk ke dalam bilik terus Diana menjerit meminta pertolongan.

Siapa yang tidak panik dengan keadaan sebegini. Mana pernah berlaku sebelum ini terutamanya kepada Tan Sri Mohamed. Dari tadi Diana asyik memastikan Tan Sri Mohamed masih bernafas. Takut dia jika tiba-tiba pernafasan Tan Sri Mohamed terhenti. Berdoa panjang Diana supaya ia tidak berlaku.

“Kak Die! Kenapa ni? Kenapa dengan daddy?” Daniel yang tiba-tiba melulu masuk sebaik sahaja mendapat tahu tentang Tan Sri Mohamed. Itu pun Hamid yang beritahu padanya sebaik sahaja dia menelefon ambulans.

Wajah cemas Daniel dipandang. Diana sendiri tiada jawapan tepat.

“Kak Die tak tahu apa terjadi pada Tan Sri. Masuk-masuk aje Tan Sri dah pengsan. Hamid dah telefon ambulans?”

Pandangan Diana kini beralih pada wajah Hamid. Manalah tahu si Hamid ni lupa nak telefon ambulans. Dia perlu pastikan itu semua.

“Dah telefon.” Mereka sama-sama menunggu ketibaan pihak ambulans. Nak buat apa-apa pun masing-masing bukannya pakar dalam bidang ni. Nanti takut lain pula yang jadi. Diana masih juga cuba menyedarkan Tan Sri Mohamed. Begitu juga dengan Daniel. Namun sia-sia sahaja usaha mereka. Tan Sri Mohamed masih tidak sedarkan diri.

Dan akhirnya Tan Sri Mohamed selamat dibawa ke hospital. Hanya Diana dan Daniel yang ikut ke hospital.

“Kalau jadi apa-apa pada daddy.”

Syhhh… Jangan fikir yang bukan-bukan. Kita sama-sama berdoa supaya Tan Sri selamat.” Diana segera memintas kata-kata Daniel. Dia tahu perasaan Daniel. Gundah gulana. Risau. Gelisah. Semua sekali bercampur. Kalau nak diikutkan, dia sendiri pun rasa begitu. Tetapi mana mungkin dia tunjukkan pada Daniel. Nanti lagi parah perasaan Daniel.

Mereka berdua setia menunggu di luar bilik kecemasan. Bila-bila masa sahaja doktor atau jururawat akan keluar dari bilik tersebut. Tidak sabar mereka hendak tahu keadaan terkini Tan Sri Mohamed.

“Macam mana keadaan Tan Sri?” Diana terlebih dahulu bertanya bila seorang doktor lelaki datang mendekati mereka. Sempat dia mengerling pada tag nama yang dipakainya. Doktor Badrul.

He is stable now. Cuma masih lemah. Keputusan sepenuhnya akan kita beritahu secepat mungkin. But now, Tan Sri memang kena masuk wad. We need to monitor him.” Diana angguk tanda mengerti. Mereka akan ikut sahaja apa yang doktor sarankan. Itu yang terbaik buat Tan Sri Mohamed.

“Daniel, Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat.” Diana mengusap lembut lengan Daniel. Rasa lega dan tenang sedikit bila mendengar apa yang doktor katakan tadi. Barulah ada senyuman terukir di bibir Daniel dan juga Diana.

“Sayang, daddy macam mana?” Mira juga rasa risau bila mendapat tahu keadaan Tan Sri Mohamed. Jatuh pengsan tiba-tiba. Selalunya ada kaitan dengan jantung.

He’s okay now. But we still need to wait for the full result.” Suara Daniel juga sudah berubah. Tidaklah secemas tadi bunyinya.

“Lepas kerja nanti Mira terus ke sana.” Walaupun Mira tidak nampak, Daniel tetap mengangguk.

Daniel segera menguruskan sendiri kemasukan Tan Sri Mohamed ke wad VIP walaupun Diana mahu membantu. Sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawabnya memastikan keadaan daddy terjaga.

Petang itu Mira segera memandu keretanya menuju ke hospital. Sebelum dia keluar dari pejabat tadi, ada dia menelefon Daniel bertanyakan lokasinya. Memang dari tengah hari tadi Daniel ada di sana menjaga Tan Sri Mohamed. Cadangnya malam nanti baru dia hendak balik ke rumah mengambil baju dan barang mandian. Dia tidak mahu sesiapa pun menemani Tan Sri di hospital melainkan dirinya sendiri.

“Sayang, cepat sampai.” Daniel menegur dahulu Mira sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam bilik yang menempatkan Tan Sri.

“Jalan tak sesak sangat tadi. Uncle macam mana?” Mira segera mendekati Daniel yang sedang duduk di tepi katil Tan Sri. Ipad di tangan diletak ke tepi bila wajah Mira menghiasi ruang matanya.

“Dia baru tidur balik. Tadi dah bangun makan.” Daniel usap lembut tangan Mira sambil pandangannya masih terarah pada Tan Sri Mohamed yang tidur lena dek ubat yang diberi makan tadi.

“You dah makan?” Mira mengalihkan pandangan pada Daniel kini.

“I takda selera.” Memang sejak dari tengah hari tadi Daniel tidak jamah sebarang makanan.

“I dah agak dah. Ni I ada bawa nasi goreng. You makan sikit, ya?” Sudah Mira agak pun. Dia tahu perangai Daniel ni. Kalau ada perkara yang merunsingkan fikirannya, mesti dia tak ambil kesah jika perutnya lapar. Akan dibiarkan sahaja.

“You suapkan boleh?” Mengada-ada pula Si Daniel ni. Hilang sedikit rasa rindu pada wanita yang berada di hadapannya ini.

“Boleh… janji perut you tak kosong.” Mira letak bungkusan yang dibawa tadi di atas meja sebelum membukanya.

Uncle kena banyak berehat ni. Duduk rumah aje. Tak payah kerja dah lagi.” Mira sekadar memberi pendapatnya sahaja. Sudu di tangan masih menguis-nguis nasi goreng tadi sebelum menyuapnya ke mulut Daniel semula.

“Tak ada siapa nak gantikan tempat dia lagi.” Air Nescafe panas dihirup perlahan.

“You kan ada sayang.” Hairan juga Mira. Siapa lagi yang layak menggantikannya kalau bukan Daniel. Siapa lagi waris Tan Sri Mohamed selain Daniel, anak kandungnya.

“I tak layak. Yang lebih layak… Abang I.” Mira benar-benar terlupa yang Daniel ada seorang abang.

“Dia yang lebih layak menggantikan tempat daddy. I tak layak. Banyak lagi benda yang I tak tahu.” Daniel luahkan juga apa yang dia rasa selama ini.

“You dah beritahu abang you pasal uncle?” Pertanyaan Mira sama seperti apa yang Diana tanya padanya tengah hari tadi. Dan jawapannya tetap sama. Kosong. Tiada jawapan keluar dari mulut Daniel.

Mira tidak mahu memanjangkan lagi isu tersebut. Dia cuba mengubah topik perbualan mereka. Biar Daniel tidak rasa tertekan.

Selepas hampir dua jam Mira menemani Daniel di situ, akhirnya dia meminta diri untuk pulang ke rumah. Daniel pun kebetulan hendak balik ke rumah sekejap. Hendak menukar pakaian.

Anything call me.” Banyak kali Mira ingatkan Daniel. Keprihatinan Mira memang tidak dapat disangkal. Sayangnya pada Daniel semakin mendalam.

You too sayang. Take care. I love you.” Daniel beredar dari situ bila sahaja Mira masuk ke dalam kereta.

Enjin kereta dihidupkan. Telefon yang disimpan di kocek seluar dikeluarkan. Nombor telefon seseorang dicari.

Abang Im.

Jarinya masih berkira-kira untuk menekan butang dail. Tiada arahan diterima lagi.

“Abang Im tak sayang daddy, tak sayang Daniel.” Nada suara Daniel sudah semakin meninggi.

“Daniel!” Hakim sudah tidak dapat menahan marah. Bila-bila masa sahaja tapak tangannya boleh hinggap di pipi adiknya itu.

“Kalau abang sayangkan kami, kenapa abang tak tinggal sahaja dengan kami di sini? Kenapa abang perlu balik ke sana semula?” Air mata yang cuba ditahan dari tadi menitis juga akhirnya. Pandangannya tepat terhala pada wajah abang kesayangannya itu.

“Abang… Abang.” Bagaimana Hakim hendak menjelaskan semuanya pada Daniel? Sukar untuknya menutur kata-kata.

Walau dihalang sekali pun, Hakim tetap dengan keputusannya untuk bekerja di New York. Jauh meninggalkan Daniel. Sudah lama Hakim tidak balik ke Malaysia hinggakan Tan Sri dan Daniel ke New York untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama.

Kini barulah Daniel tahu sebab Hakim tidak mahu balik dan tinggal bersama mereka di Malaysia. Itupun setelah Tan Sri Mohamed beritahu sebabnya. Kenangan bersama arwah mummy terlalu banyak. Dan sehingga kini, Hakim masih tidak dapat menerima sepenuh hatinya di atas kehilangan arwah. Ditambah pula, hatinya rasa sakit sangat bila daddy jadikannya orang terakhir yang tahu tentang penyakit mummy. Daniel pun tahu lebih dahulu daripada dirinya.

Akhirnya, jari menekan juga.

Bunyi deringan berkumandang di corong telinga Daniel.

Hello?”

“Assalamualaikum, Abang Im?” Daniel tarik nafas dalam-dalam. Sudah lama mereka tidak berhubung antara satu sama lain. Rasa janggal pula nak mulakan perbualan.

“Waalaikumussalam. Daniel?” Hakim cuba meneka gerangan yang menelefon.

“Ya, Abang Im. Daniel ni. Abang Im apa khabar?” Pertanyaan yang biasa tercetus bila berbual dengan seseorang.

“Abang Im sihat. Alhamdulillah. Semua kat sana sihat? Daddy sihat?” Daniel tidak terus menjawab. Pertanyaan Hakim dibiar lama tanpa jawapan. Walaupun hubungan Hakim dengan daddy masih tidak berapa baik, tetapi keprihatinan Hakim tak pernah berubah. Masih ambil berat tentang keluarga.

Daniel, is everything okay there?” Hakim seperti dapat mengagak. Seperti ada sesuatu perkara yang berat hendak diberitahu. Degupan jantung Hakim semakin laju. Kegelisahan semakin membelenggu diri.

Daddy.” Hanya sepatah kata sahaja yang keluar dari mulut Daniel. Hakim masih cuba mendengar dengan jelas. Takut apa yang Daniel beritahu tidak didengari.

“Kenapa dengan daddy? Daniel, tell me. Kenapa dengan daddy?” Semakin cemas dibuatnya. Laptop di atas meja ditutup separuh. Kebetulan Hakim berada di dalam bilik mesyuarat. Sedang menyediakan slide untuk pembentangan sekejap lagi.

He’s in the hospital now. Kena serangan jantung.” Ikutkan hati, Daniel tidak mahu beritahu Hakim apa yang terjadi pada Tan Sri Mohamed. Dia tidak mahu Hakim risau. Tapi terdetik di hatinya, kalau terjadi apa-apa pada Tan Sri Mohamed, mesti dia yang dipersalahkan. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang semula seperti apa yang berlaku pada arwah mummy dulu.

“Bila daddy kena? Daddy kena tahan ke? Daniel.”

“Tadi pagi.” Cepat sahaja Daniel menjawab sebelum sempat Hakim meneruskan lagi percakapannya.

“Abang Im akan balik Malaysia secepat mungkin. Anything pleaseee let me know.” Sedikit merayu Hakim pada adiknya. Dia tidak mahu terlepas apa-apa perkembangan tentang Tan Sri Mohamed.

Daniel tarik nafas dalam sebaik sahaja panggilan diputuskan. Telefon bimbit dicampak di tempat duduk sebelah. Bila dia yakin dia sudah kembali tenang, pedal minyak ditekan. Membawa kereta laju menyusur jalan menuju ke rumahnya.

“Sayang, nanti teman I pergi airport. I nak jemput seseorang yang istimewa.” Daniel sedikit mencuit lengan Mira yang dari tadi sibuk dengan telefon bimbitnya. Membelek Facebook yang sudah lama tidak dibukanya.

“Ya sayang, apa dia? Apa you cakap tadi?” Mira tidak mendengar dengan jelas apa yang Daniel katakan tadi. Apa tidaknya, otak sibuk membaca status kawan-kawan di Facebook. Wajah Daniel dipandang tepat. Salah dia kerana tidak memberi perhatian pada Daniel tadi.

“I cakap, kejap lagi teman I pergi airport. Jemput seseorang.” Pipi gebu Mira dicubit perlahan. Mira sekadar tersenyum. Dah memang salah sendiri. Ala, cubit ala manja gitu. Takdanya sakit mana pun.

“Siapa?” Mira hendak tahu siapa seseorang yang dimaksudkan Daniel.

“Cuba teka,” jawab Daniel.

Your new girlfriend.” Sambil tarik muka masam. Dicebik sedikit bibir tanda merajuk.

“You la girlfriend I. Mana ada lain.” Sedikit menggeleng kepala si Daniel dengan kata-kata Mira sambil mengukir senyuman padanya.

“Abang Im la. Tu la, sibuk dengan handphone lagi,” sambung Daniel.

Sorry la tak dengar tadi. Kejap ya, I habiskan coffee ni dulu.” Segera dia hirup coffee yang dipesan tadi. Daniel sekadar tersenyum melihat reaksi wajah kekasih hatinya itu.

Tidak lama kemudian mereka beredar dari pekarangan hospital dan terus menuju ke KLIA.

“Abang Im!” Mohd Hakim Imran menoleh ke arah datangnya suara orang memanggil namanya. Diperlahankan langkah kaki sambil matanya masih melilau mencari kelibat pemanggil.

Dan bila matanya tertacap pada wajah seseorang yang dia cukup kenal, bibir secara spontan mengukir senyuman. Troli yang diletakkan bagasi ditolak menukar arah ke si pemanggil tadi.

“Mohd Daniel Imran!” Hakim tidak menunggu lama. Pantas ditarik badan Daniel mendekatinya. Bahu Daniel disentuh dan ditepuk berulang kali. Inilah antara wajah-wajah yang dia cukup rindu.

Begitu juga Daniel. Tidak lepaskan langsung peluang yang ada. Bersyukur panjang kerana akhirnya dapat juga dia dan Hakim bertemu setelah hampir setahun mereka tidak berjumpa. Kali terakhir pun ketika menyambut Hari Raya Puasa setahun yang lalu. Rasa janggal yang tadinya membelenggu di jiwa Daniel kini semakin pudar. Dipenuhi dengan perasaan rindu pada satu-satunya saudara kandung yang dia ada dunia ini.

Kringgg.

Alamak! Terlupa pula nak matikan bunyi alarm ni.

Cepat-cepat jari kecilnya menekan butang Off di skrin telefon bimbit. Biar tiada bunyi lagi.

Hakim dan Daniel menoleh serentak memandang seseorang yang dari tadi berdiri di tepi mereka. Memerhatikan drama adik-beradik melepaskan rindu mereka setelah lama tidak berjumpa.

So… Sorry.” Disebabkan tenungan kedua-dua lelaki di hadapannya membuatkan lidah jadi kelu. Payah hendak mengeluarkan kata-kata. Tak pernah-pernah dia gagap sebelum ni.

“Oh, lupa nak kenalkan.” Daniel bersuara bila dilihatnya masing-masing diam seribu bahasa.

“Abang Im, kenalkan Mira Sofea, bakal tunang I.” Tangan Mira dicapai dan digenggam erat.

“Dan Mira, kenalkan Encik Mohd Hakim Imran, abang I.” Hakim hulurkan tangan pada Mira. Salam perkenalan antara mereka. Bibir menguntum senyuman manis buat wanita cantik di hadapannya. Seperti seakan-akan sudah terjatuh cinta pandang pertama.

Mira pula tidak menunggu lama. Salam perkenalan disambut baik. Tangan mereka bertaut buat pertama kalinya. Senyuman terukir pada bibir mereka berdua. Pandangan mereka bersatu buat kali pertamanya.

“Kita pergi makan dulu. Lepas ni Daniel hantar Abang Im ke hotel. Tapi… Abang Im masih tak nak stay dekat rumah kita ke?” Daniel cuba pujuk abangnya untuk balik dan tidur di rumah mereka. Manalah tahu kali ini Hakim berubah fikiran.

Daniel tahu hati abangnya itu keras seperti batu. Lebih-lebih lagi yang melibatkan perkara seperti ini.

Semenjak Puan Sri Zainab meninggal dunia, mana pernah Hakim tinggal di banglo milik Tan Sri Mohamed. Tempat yang telah meninggalkan banyak kenangan manis buat mereka semua. Kenangan yang Hakim tidak dapat lupakan terutamanya bersama Puan Sri Zainab semasa hayatnya masih ada. Kenangan tersebutlah yang membuatkan hatinya terlalu sedih dan pilu. Tidak terungkap dengan kata-kata.

Sehingga ke hari ini, Hakim masih tidak mahu menjejakkan kakinya di rumah tersebut. Baginya setiap sudut di dalam rumah tersebut mengungkap seribu kenangan bersama arwah.

“Belum masanya, Daniel. Abang tak bersedia lagi. Nanti hantar abang dekat hotel.” Itulah apa yang Hakim rasakan. Dia masih belum bersedia untuk menjejakkan kaki di banglo tersebut. Berilah sedikit masa lagi buatnya.

Mira yang duduk di tempat duduk belakang kereta hanya mendengar. Tidak patut dia menyampuk perbualan mereka berdua. Ini urusan keluarga mereka. Mira masih tiada hak untuk campur tangan.

Banyak sebenarnya persoalan yang timbul di benak fikiran Mira mengenai Hakim. Tapi Mira pendamkan sahaja dulu. Menunggu masa yang sesuai untuk bertanya pada Daniel suatu hari nanti.

Mereka terus menuju ke restoran yang terletak berhampiran dengan hotel yang akan Hakim menginap untuk beberapa hari nanti. Hotel yang sama Hakim menginap setiap kali dia balik ke Malaysia.

Terdetik di hati Mira. Kenapalah Tan Sri Mohamed dan Daniel tidak pindah sahaja ke rumah lain? Bolehlah Hakim tinggal dengan mereka setiap kali dia balik ke Malaysia. Jangan kata Tan Sri Mohamed takda duit nak beli rumah lain. Pelik sangat tu. Mungkin ada sebab lain mereka tidak pindah dari situ. Mungkin Tan Sri Mohamed tidak mahu pindah. Tidak mahu kenangan bersama arwah isterinya terpadam nanti.

Hakim banyak bertanya tentang Tan Sri Mohamed pada Daniel. Sesekali sahaja dia mengerling pada Mira yang duduk di sebelah Daniel. Melihat pada Mira, terus Hakim teringat pada bekas isteri Daniel sebelum ni. Kalau dari luaran, memang nampak berbeza sungguh mereka berdua.

Sehingga kini Daniel masih tidak tahu yang abangnya itu tidak berapa berkenan dengan bekas isterinya. Ada sahaja benda yang tidak kena di matanya. Tetapi tidak pernah sekali pun Hakim luahkan perasaan tersebut pada Daniel. Kalau itu membuatkan Daniel bahagia, Hakim tumpang gembira. Yang nak hidup bersama bukannya dia, tetapi Daniel. Kenapa perlu kisah pasal perasaannya.

Perasaan Hakim berbeza sekali bila pertama kali melihat wajah Mira.

Tidak, Mira kekasih hati adiknya. Bakal menjadi adik iparnya.

Cepat-cepat dia buang perasaan tersebut.