Izinkan Cintamu Yang Pertama

RM29.00

Penulis: Puteri An-Nur

Caption: hanya dengan mengingati-mu hatiku tenang

ISBN: 978-967-406-276-7

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 29.00 RM 32.00

Dunia percintaan sememangnya indah jika pasangan setia. Tetapi tidak bagi Nur Syahadah apabila dia diuji dengan kecurangan tunangnya yang bermain kayu tiga. Lebih parah tunangnya curang dengan kakaknya sendiri. Setelah dikecewakan, Nur Syuhadah akur akan jodoh yang dipilih oleh abinya iaitu Yusof.

“Nur mesti terima Muhammad Yusof. Dialah lelaki yang terbaik untuk

anak abi ni.” – Abi

Walau pada mulanya agak berat untuk Nur terima, tapi dia percaya pilihan abinya adalah yang terbaik untuk dirinya di samping dia mahu tinggalkan kenangan yang lalu dan bina hidup baru. Nur terima seadanya Yusof walaupun mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

“Kata orang, tak kenal maka tak cinta tau. Dah kenal mesti

awak akan suka…” – Yusof

Nur sahut kata-kata Yusof dengan pertaruhkan hidupnya. Padanya, bahagia atau derita, semua itu sudah ditetapkan Allah. Seusai dirinya sah menjadi suri hati buat Yusof, barulah Nur mengerti bahawa dunia Yusof yang dulu bukanlah seperti yang dia lihat kini.

Ternyata dugaan datang lagi dengan kehadiran Jessy yang mahu Yusof bertanggungjawab atas perbuatan Yusof yang lalu. Yusof terpanar. Kelu dia untuk berkata-kata apatah lagi mahu melukakan hati si isteri yang dicintainya. Kerana bagi Yusof, Jessy adalah masa lampaunya.

“Abang tak sampai hati tengok Nur sedih.” – Yusof

Tapi lain pula dengan pemikiran Nur. Baginya seorang suami tidak pernah diharamkan untuk berpoligami, apa lagi dalam keadaan suaminya mampu.

“Jangan risaukan Nur. Nur cintakan abang kerana Allah. Cinta kerana Allah bukan membawa ke jurang kejahatan, tetapi membawa ke jalan syurga-Nya. Doakan Nur menjadi isteri yang solehah, ya…” – Nur

Sebagai hamba-Nya, Nur meletakkan Allah yang pertama. Tetapi mampukah Nur hidup sebumbung dengan madunya, Jessy yang sentiasa merancang untuk menghancurkan hubungannya dengan Yusof?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

PUNGGUNGKU kebah, sejak tadi berpaut pada buaian rotan gantung. Aku bukan sengaja mahu bersadai, menayang diri di halaman rumah. Menunjuk ragam dengan muka kelatku yang macam mangga busuk. Aku termenung muram, memikirkan masa hadapanku yang tidak boleh diramal melainkan ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui. Aku buntu dengan asakan daripada abi dan umi.

Kahwin pilihan keluarga vs pilihan sendiri?

Abi beria-ia mahu aku berkahwin dengan anak muridnya. Huh! Diulangi, anak murid abi yang tidak aku kenali asal usulnya, bakal berjodoh denganku! Abi, aku tak mahu terlibat dalam drama air mata lagi. Perkara sebegini melibatkan hati dan perasaanku.

Dari dulu lagi, aku setia dengan Akhi Amir. Tak mungkinlah mereka boleh buat-buat tak perasan kesetiaanku dengan akhi, mereka pun tahu aku bukan wanita yang mudah jatuh cinta, apa lagi melayan ribuan jejaka, hatiku termangu-mangu sendirian.

Ya ALLAH, apakah ini yang Engkau mahukan dalam hidupku? Aku sudah ada dia tetapi Engkau hadirkan dia yang misteri pula sebagai pilihan jodohku. ALLAH… Aku lemah. Berilah aku kemudahan dalam menyelesaikan segala yang rumit dan segala permasalahan yang timbul. Kuatkan hatiku dalam menghadapi ujian-MU, Ya ALLAH…

Nak Kahwin rela atau terpaksa ek? Hurm… Yang mana lebih penting, restu keluarga atau pilihan hati kau, Nur? Suara hatiku berbisik, menghentamku pula.

Aku lepaskan keluhan berat.

Erm, mestilah aku pilih restu abi dan umi,” bicaraku meletus perlahan. Hanya diriku yang mendengarnya.

Tatkala aku begitu khusyuk melayan perasaan, aku tergamam. Mataku terpandang ke arah susuk tubuh dua insan yang telah mengacau-bilau ketenteraman hatiku sejak bertahun-tahun yang lalu. Aku dihimpit debaran, hatiku mula menginjak kekok. Aku tundukkan pandanganku ke bawah, membiarkan telingaku sahaja yang berfungsi. Salam yang mereka beri, aku jawab dalam hati.

“Anakku, Su. ALHAMDULILLAH, dapat juga umi jumpa Su, sayang.”

Drama sebabak itu benar-benar menyentuh hatiku. Ah, mataku masih berkeras, mahu tunduk menghadap lantai.

Aku cantumkan kedua-dua jari-jemari kiri dan kananku agar bertemu antara satu sama lain. Aku gelabah. Aku tundukkan kepalaku, sengaja tidak mahu berlaga wajah dengan wajah mereka. Bukan sahaja mata, malah hatiku juga ikut berdegil, tidak mahu menyambut kedatangan mereka.

Bukan aku yang pinta jadi begini, aku sentiasa memaafkan. Cuma, kemesraanku kepada kalian telah lama hilang. Maaf, aku tak sempurna, bukan maksum yang tiada dosa, luah hatiku.

Aku tersentak, mataku bertembung mata dengan Abang Haiqal. Aku menyumpah diri, tadi mataku tiba-tiba berani mendongak ke sana. Mujurlah sempat aku tunduk semula. Aku tahu Abang Haiqal dan Kak Su terkedu dengan tindakanku tadi. Terserlah sikap tidak mesra alamku terhadap mereka.

“Apa khabar umi, nek?”

Aku dengar suara Kak Su sayu dan bernada muram. Mungkin ada tanda-tanda akan menangis. Aku dengar juga suara umi sudah mula serak, dibanjiri air mata. Ekor mataku mencuri pandang lagi ke arah muka pintu. Mereka sedang berpelukan.

Umi dan nenek saling berdakapan dengan Kak Su. Abang Haiqal pula sekadar menjadi pemerhati program jejak kasih itu. Kenapa aku tak dengar sebarang bunyi kereta atau tapak kaki manusia masuk ke pekarangan rumahku tadi? Isy, nampak sangat aku tak fokus dengan keadaan sekelilingku!

“Rindunya dengan Kak Su…”

Aku kenal suara itu. Suara adik bongsuku, Iman Khairana. Perasaan sebak mula menjengah hatiku. Aku bagaikan patung, hanya mampu memandang mereka tanpa menyapa.

Ekor mataku gatal lagi, kembali menoleh ke sana. Kali ini mataku bertemu pula dengan mata Kak Su. Cepat-cepat aku kalih ke arah lain. Rupa-rupanya Kak Su sedang memerhatiku sejak tadi. Aku sahaja yang tak perasan renungan matanya yang bundar lagi sayu itu.

Kenapa susah sangat aku nak lupakan kejadian lalu? Umi, abi, Iman dan nenek tak pernah mengungkit, tetapi isu silam lalu tetapku bangkit. Aku masih mahu makan hati berulam jantung. Aku bukan benci dengan Kak Su dan Abang Haiqal. Aku sebenarnya… Hurm… Aku masih terluka.

“Maafkan Kak Su, dik. Maafkan kami…”

“Sampai hati Kak Su rampas tunang adik Kak Su sendiri. Nur tak pernah duga Kak Su seberani ni.” Lontaran suaraku masih tidak keras. Aku yang berhati lembut tidak betah marah sesuka hati. Disebabkan aku tidak suka berkasar dari dulu lagi, akhirnya ada orang yang berani menabur duri dalam kamar hatiku.

Aku dihadapkan dengan sedu-sedan tangisan daripada Kak Su. Hatiku mudah sahaja jatuh simpati, namun cekap sahaja hatiku libas segala perasaan kasihan yang menapak dan berumah dalam hatiku.

“Tangisan luar memang nampak banjirnya, Kak Su. Tapi tangisan dalam, lebih banyak limpahan ombak tsunaminya…” Sempat lagi aku lontarkan kiasan, sengaja mahu dia ingat tentang luka yang berdarah ini.

Nafasku hampir sesak, Kak Su tiba-tiba sahaja menerkam tubuhku, merayu dan menangis minta belasku. Berulang kali dia usap belakang tubuhku, namun aku keraskan hati menepis pujukannya. Air mataku hampir menitis, aku gagahi jua membentak dingin dengan Kak Su.

Aku tidak mahu menangis walau setitik pun di hadapan Kak Su. Aku tidak mahu biarkan kelembutan air mata ini menempel di pipiku. Biarlah aku begini, keras dan kaku. Aku rela tangisanku membanjiri kolam hati, bukan kolam mata. Muktamad!

“Tolonglah maafkan Kak Su…” Kak Su merayu lagi. Pipinya banjir dengan hujan air mata, semakin lama semakin lebat mengalahkan hujan yang menyimbahi bumi.

Pelukannya sengaja aku leraikan. Aku duduk jauh sedikit dari kedudukan Kak Su. Bunyi spring katil kembar di dalam bilikku mula kedengaran ketika aku berganjak tadi. Suasana di dalam bilikku hanya dibingitkan dengan tangisan Kak Su, sedangkan aku bersuara apabila perlu sahaja.

“Nur bukan Tuhan untuk memberi keampunan. Pintalah kepada ALLAH. Hutang dosa, hanya ALLAH yang menghitungnya, bukan Nur. Nur tak boleh tolong bayarkan untuk hamba-NYA yang lain!” ujarku selamba. Kali ini nada suaraku agak keras berbaur pedas.

“Selagi Nur tak maafkan Kak Su, selagi itulah hati Kak Su ni tak tenang, dik. Kami memang berdosa dengan Nur. Kak Su memang keji, Nur. Maafkan Kak Su…” rintihnya lagi.

“Abang Haiqal sayang sangat dengan Nur tapi dia pun sayang…” bicara Kak Su terhenti. Kepalanya menunduk, menangis teresak-esak.

Hatiku dipagut sayu mendengar nama yang disebut oleh Kak Su tadi. Kak Su lebih tua daripadaku, sebaya dengan Abang Haiqal. Persamaan kami ialah kami bersekolah di sekolah agama yang sama. Abang Haiqal dilantik menjadi ketua pengawas sekolah, Kak Su pula dikenali sebagai pelajar paling terbaik dalam seni tulisan khat.

Hantarlah dia ke mana-mana pertandingan khat, pasti juara bakal digondolnya. Aku pula hanya pengawas cabuk yang biasa. Pendiam dan tidak peramah sangat macam Kak Su. Aku kenal dengan Abang Haiqal setelah kami menyertai kem perkhemahan pengakap, itu pun ada orang tengah yang sampaikan niat Abang Haiqal yang mahu mengenaliku dengan lebih dekat lagi.

Kami sepakat bertunang atas persetujuan kedua-dua pihak keluarga yang mahukan kami bercinta ikut cara yang halal. Mereka mahu kami bernikah usai aku tamat persekolahan menengah. Aku sangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya ada petir kilat di tengah hari.

Aku tidak tahu sejak bila Abang Haiqal dan Kak Su jatuh cinta. Setahuku mereka hanya bertemu kalau Abang Haiqal ada kirim surat kepadaku. Kak Su selalu jadi orang tengah, rupa-rupanya orang tengah yang tikam aku dari belakang.

Musuh dalam selimutku adalah kakak kandungku sendiri yang amat aku percayai selama ini. Bijak sungguh mereka sorokkan hubungan mereka daripada pengetahuanku. Kejadian pahit itu berlaku ketika aku di tingkatan 3, Kak Su dan Abang Haiqal sudah pun tamat pengajian sekolah menengah.

“Haiqal cintakan Kak Su juga. Kami jatuh cinta dalam diam. Tapi Kak Su tak pernah berniat nak rosakkan cinta Nur…”

ALLAH… ALLAH… ALLAH… Hanya itu yang mampu aku ucap dalam hati.

“Kalau cinta sekalipun, perlu ke akhirinya dengan zina, hah?!” Celupar sahaja mulutku menengking. Aku mengatakan yang benar. Aku tidak benci jika hatiku dikhianati. Yang paling buat hatiku hancur selumat-lumatnya semestinya pada perbuatan biadab mereka.

Aku tidak mampu lupakan perbuatan terkutuk itu dengan mudah. Nafsu amarah menguasaiku, aku tajamkan penglihatanku kepadanya. Kak Su tunduk, takut agaknya. Air matanya semakin ligat mengalir keluar.

“Kenapa dia tak putuskan sahaja pertunangan kami kalau dah berkenan sangat dengan Kak Su? Kenapa nak tunggu sampai buat benda tak senonoh, baru nak mengaku cinta?” Sungguh banyak tujahan persoalan yang aku utarakan. Memang itulah yang sering aku soal dalam hatiku semenjak peristiwa pahit ini terjadi dalam sejarah keluarga kami. Air mataku bergenang, mujur tak tumpah.

“Dia tak salah, dik. Dia memang cintakan Nur tapi dia tak boleh lupakan Kak Su. Kak Su yang salah, kalau Kak Su tak datang ke rumah dia petang tu, semua ni takkan berlaku, dik. Kak Su nak betulkan keadaan tetapi jadi lebih teruk…”

“Kak Su tergamak masuk ke rumahnya dan berzina tanpa sengaja. Semuanya tanpa sengaja ke, Kak Su?” soalku sinis. Aku ketap bibir, nafasku terketar-ketar menahan marah.

Kak Su tundukkan kepalanya semula, mungkin malu denganku.

“Keluarga dia tak ada kat rumah masa tu, salah seorang saudara mereka dimasukkan ke hospital. Kak Su memang nak balik selepas kami bincang hal kita bertiga. Kak Su dah berniat nak undur diri, Kak Su nak dia pilih Nur dan berkahwin dengan Nur. Masa Kak Su nak melangkah keluar dari pagar rumahnya, hujan tiba-tiba aje turun dengan lebat. Dia ajak Kak Su berteduh kat dalam sebab pakaian Kak Su dah lencun. Kak Su terpaksa…”

“Cukup. Tak payah cerita lagi!” Aku mengangkat telapak tanganku, isyarat untuk mengakhiri ceritanya tadi. Telingaku tidak tergamak mendengar kisah penzinaan yang amat dibenci ALLAH.

“Ingat tak apa pesan Kak Su kat Nur dulu? Kak Su selalu ungkapkan ayat ALLAH ni kat Nur, Kak Su mahu Nur jaga diri sepanjang berhubung dengan Abang Haiqal, kan?” sindirku lagi.

Aku sengaja bertentang mata dengannya. Kak Su pula mengelak diri, lebih suka menunduk kepalanya ke bawah.

Wala taqrabuz zina, surah Al-Israa’, ayat 32.”

Suasana bisu.

Wala taqrabuz zina!” ulangku lagi lebih kuat.

Kak Su menangis teresak-esak. Bahunya terjingkit-jingkit.

“Dan janganlah kamu mendekati zina, zina itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk.”

Aku mahu dia benar-benar insaf, bukan niatku mahu memalukannya. Aku mahu Kak Su fahami terjemahan ayat al-Quran, kalam ALLAH itu dengan rasa keinsafan dan taubat nasuha yang sebenar-benarnya. Dia dan Abang Haiqal gagal mengawal nafsu. Ya, aku tahu semuanya telah terjadi, aku tidak boleh undurkan masa. Siapa aku nak menghukum mereka? Tugasku sekarang hanya mendoakan mereka, walau dalam diam.

“Harapkan pagar, pagar makan padi,” sambungku lagi dengan perlian.

Kak Su terus berlari deras ke muka pintu bilikku. Bayangnya sudah hilang daripada pandanganku. Mungkin sisa penyesalannya terlalu menggunung tinggi. Mungkin juga gegendang telinganya bernanah, tidak mampu menampung segala perlian dan sindiran aku terhadapnya. Akhirnya aku lepaskan juga air mata yang sedari tadi aku tahan daripada gugur.

Aku menghela nafas sesak, dalam kesedihan. Kepalaku menunduk ke bawah ditemani tangis sendu. Kejamkah aku? Tidak. Aku memang patut bersikap dingin. Kebenaran tidak mengenal siapa orangnya, walaupun kerabat saudara kita sendiri. Hukum ALLAH tidak pilih kasih, yang salah tetap salah. Haram tetap haram. Istilah ‘tidak sengaja’ yang bermain di bibir manusia hanya alasan, bukan tiket untuk lari dari hukum ALLAH.

“Kak Nur tak nak jumpa Kak Su dengan abang ipar kita ke?”

Aku tersentak. Lamunanku melayang jauh. Aku mengangkat kepala sedikit, merenung insan yang menyapaku tadi. Iman sedang menantikan jawapan daripadaku, aku pula termangu-mangu kelu. Diam membisu tidak mampu berikan jawapan yang pasti. Aku bukan seorang pendendam, tidak sesekali memusuhi mereka. Aku pun tak tahu sampai bila aku akan terus menjauhkan diri daripada Kak Su dan Abang Haiqal.

“Dahlah tu, Kak Nur. Tolonglah buang ego tu jauh-jauh. Sampai bila Kak Nur nak hukum dia orang? Iman tak suka tengok kita semua berpecah belah. Iman sayang kau orang berdua tau.”

Aku kerling ke muka pintu. Bayang mereka sudah menghilang. Hanya Iman yang setia berdiri di hadapanku. Aku kurang pasti sejak bila pula mereka semua masuk ke dalam rumah, yang Iman pula tiba-tiba sahaja sudah terpacak di ruang mataku. Berbalik kepada luahan Iman tadi, aku akui ada perasaan sedih sudah bertapak dalam hati ini.

Aku bingkas bangun meninggalkan Iman sendirian. Dia berhati luhur, tidak suka menjadi batu api. Iman, kau tidak akan pernah tahu perasaan yang Kak Nur simpan ni. Apakah kau tahu Kak Nur sedang bergelut dengan perasaan amarah dan sayang sekaligus?

Bohonglah kalau Kak Nur kata, Kak Nur tak sayang mereka. Ya, memang Kak Nur ego! Rajuk Kak Nur masih menjeruk lagi, Iman. Kaca yang sudah terhempas pecah, memang sukar nak dicantumkan semula. Kalau bercantum pun pasti akan ada kesan retaknya. Mana mungkin boleh jadi normal balik, luah hatiku.

Kalaulah Iman dengar semua ni. Huh, Semuanya hanya kalau sebab lidahku kelu untuk menegakkan kebenaran buat diriku sendiri! Lebih baik aku diam daripada berkata-kata.

Belum sempat aku melangkah setapak lagi, Iman memintas. Sengaja menyedarkan diriku yang berhati batu.

“Sedangkan Rasulullah S.A.W pun tidak berdendam dengan perbuatan orang-orang kafir laknatullah yang menyakiti baginda, mengapa umat baginda pula berkeras hati? Kak Nur jangan lupa. ALLAH Maha Pengampun. ALLAH memaafkan hamba-hamba-NYA yang bertaubat dan kembali kepada-NYA, kenapa kita pula menjauhkan diri dari hamba-hamba-NYA yang sudah bersih?”

Mendengar sahaja kalimah ALLAH dan Rasulullah, tubuh badanku tiba-tiba terasa dingin yang amat sangat. Nampak gayanya air sejuk yang disimbah oleh Iman tadi, sudah menampar tubuhku agar merinding dingin.

Aku percepatkan langkah, membuka kereta Kancil merah jambuku. Aku hidupkan enjin, lantas tergesa-gesa membawa keretaku keluar dari pekarangan rumah. Bicara akhir Iman tadi membuka ruang pada mataku untuk menumpah tangis. Aku menangis semahu-mahunya.

“Ah, degilnya hatimu, Nur!” marahku kepada diri.

Iman melabuhkan punggungnya ke buaian rotan yang diduduki kakaknya tadi. Serabut otaknya memikirkan kesudahan kisah Kak Su dan Kak Nur. Kalau drama bersiri, pasti ada penamatnya. Kisah perang dingin Kak Su dan Kak Nur pula, entahkan ada jalan penamat atau tergantung begitu sahaja. Hurm

“KAT manalah aku nak bawa diri ni…” keluhku setelah air mataku berhenti mengalir. Mataku melilau, aku tumpahkan pandanganku ke luar tingkap. Aku mencari destinasi persinggahan yang dapat menenangkan jiwaku yang sedang bercelaru.

Aku membuat pusingan U setelah membuat keputusan untuk menuju ke Masjid Al-Hikmah, berhampiran sahaja dengan taman perumahanku. Aku sudah terlajak jalan, terpaksalah aku undur, berpatah semula ke jalan yang sepatutnya.

Usai sampai di pekarangan masjid, aku matikan enjin. Aku berlenggang sahaja tanpa bawa apa-apa. Tadi aku keluar sehelai sepinggang, tiada beg tangan mahupun telefon bimbit yang mengiringi langkahku.

Kepalaku sempat mendongak langit, keadaan langit kelihatan suram, gelap. Kalau hujan, nampaknya aku kenalah berteduh dalam masjid dulu, tunggu hujan reda. Aku tak mahu fikir apa-apa lagi, yang aku mahu fikir sekarang ni, hanya satu. Mahu mengingati ALLAH sebanyak-banyaknya.

Isy, dia! Ajuku kepada diri. Hatiku tersentap setelah melihat susuk tubuh seseorang. Dialah encik calon suami. Bakal menantu pilihan abi dan umi.

“Mengganggu ketenteraman hatiku betul. Dahlah hati aku tengah gundah-gulana, dia datang pula tambahkan lagi gulana ni,” rungutku sambil menutup daun pintu dan mengunci.

Aku biarkan dia berjalan terlebih dahulu, sementara aku ayunkan langkah dengan tertib dan perlahan-lahan. Kakiku terasa berat untuk melangkah dan melintasi perjalanannya. Aku mahu mengelak dari bertembung muka dengannya.

Memanglah aku tak boleh mengelak bertemu muka dengannya untuk selama-lamanya. Dia bakal suamiku, pastinya suatu masa nanti kami akan bersua juga. Tetapi setidak-tidaknya, bukan sekarang. Bukan dalam keadaan hatiku yang serba tak kena ni.

Fuh, lega! desis hatiku. Bayang-bayang si dia sudah hilang. Cepat-cepat aku mencari arah ke bilik wuduk. Niatku mahu mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid. Sebelum aku menegakkan tiang solat, aku akan cuba sentiasa membaca doa selepas wuduk. Aku hanya tak buat, kalau aku terlupa.

“Membaca doa selepas wuduk ni hukumnya sunat. Cara membacanya ialah dengan menghadap kiblat dan mengangkat atau menadah kedua-dua belah tangan ke langit. Manakala pandangan kedua-dua mata ditujukan ke langit, walaupun dia seorang yang buta. Ingat, jangan tunggu masa yang lama. Doa selepas wuduk sunat dibaca sesudah berwuduk dalam jangka masa yang tidak terlalu lama…” Pesanan abi menjengah ingatanku sejenak.

Aku senyum dalam ketenangan. Mengucap syukur kepada Yang Maha Esa. Aku sepatutnya bersyukur dengan kelebihan ilmu agama yang ada dalam diri abi, hingga aku mampu mengutip buih-buih ilmu yang bermanfaat melalui pengajarannya dalam bidang agama. Sejak kecil lagi aku dan adik-beradikku mendapat didikan agama kerana abi sangat menitikberatkan perihal Islam dalam diri kami.

Fikiranku tiba-tiba dirasuk bayang Kak Su. Air mataku deras mengalir. Nasi sudah jadi bubur. Menangis air mata darah sekalipun, tidak mampu membaluti dosa silam. Aku tidak mahu menyuluh cermin pada kain koyak orang lain, lebih baik aku cermin diri sendiri yang sarat menampung dosa sama ada yang aku sedar atau tanpa aku sedar selama ini.

Kau bukan malaikat, Nur. Kau bukan maksum tiada dosa. Kau pendosa, Nur. Janganlah kau biarkan hati kau berasa riak dan takbur. Jangan ingat kau mulia daripada Kak Su dan Abang Haiqal. Jangan sesekali Nur, bisik hati kecilku, cuba membakar sifat bongkak dalam diri. Aku tarik nafas dalam-dalam sebaik sahaja tumpuanku sudah beralih arah ke tikar sejadah.

“BERAPA lama kamu berdua kat Malaysia ni?” Puan Siti kian galak menatap wajah anak dan menantunya, silih berganti.

“Lama jugalah, umi. Qal rasa, kami sempat tengok Nur naik pelamin kalau majlis tu diadakan sebelum kami berangkat ke Mesir. Sekarang ni, Qal masih dalam cuti semester.”

Haiqal menjawab pertanyaan mentuanya sambil melirik ke arah Su yang berada di sebelahnya. Wajah Su yang tersenyum kelat, mengundang sebak dalam hatinya pula. Haiqal tahu isterinya masih bersedih dengan kedinginan Nur terhadap mereka. Dia pun tak mampu maaafkan diri sendiri, apatah lagi Nur yang menjadi mangsa keadaan. Haiqal menelan air liur pahit, bagai menelan peria.

Nur Syahadah, insan yang penting dalam hatinya. Kalau dia biarkan perasaan cinta masih mahu menempel dalam hati, dirinya akan kecundang lagi. Kasihnya terhadap Nur masih ada, kalau disiram dan dibaja memang boleh tumbuh mekar semula.

Hurm, dia tidak akan benarkan perasaan seperti itu bermukim dalam hatinya lagi! Dia tidak sanggup melukai hati Su pula. Beban kesalan yang ditanggungnya sehingga kini tidak akan hilang hingga ke akhir hayatnya.

Basuhlah dengan Clorox sekalipun, kesan hitam itu tidak akan putih semula. Dia berdosa dengan Nur, dosa itu akan terampun andai Nur berbaik dengan mereka. Ya, hanya cara itu mampu memadamkan rasa bersalahnya selama ini.

“Baguslah tu, moga kita semua dapat berkumpul ramai-ramai di majlis tu nanti.”

“Nur bakal kahwin dengan siapa, umi? Su kenal tak orangnya?” Su menyampuk. Ada garis sayu dalam hatinya.

“Kamu tak kenal sebab budak lelaki tu bukan orang sini, orang Kuala Lumpur. Budak tu salah seorang anak murid pondok abi kamu. Abi kamu bagi tahu, budak Yusof tu berhijrah ke sini beberapa bulan yang lepas. Pondok Al-Nur Mukminin abi kamu tu dah ada bakal pewarisnya. Abi kamu berhasrat mahu bakal suami Nur turut serta membangunkan pondok Al-Nur Mukminin. Mesti budak tu istimewa orangnya sampai abi kamu serahkan amanah itu.” Uminya senyum lebar.

“Syukur, ALHAMDULILLAH…” ujar Su. Dia gembira tak terkata. Su sentiasa mendoakan kebahagiaan adiknya tiap-tiap kali selesai solat. Dia sudah banyak menabur duri derita dalam hidup adiknya. Sudah tiba masanya kebahagiaan memeluk Nur. Su terpaksa senyum ceria, menutup duka dan kesalan. Dirinya sentiasa terkenang-kenang kejadian lalu, mengenang dosanya yang tercipta di kawasan perumahan ini.

“Nur setuju tak, umi?” Ringan sahaja mulut Su bertanya. Ada juga rasa bimbang dalam hati, manalah tahu Nur masih ada hati dengan suaminya, Haiqal. Nak salahkan Nur pun tak boleh. Dia yang rampas Haiqal daripada Nur. Nur tak pernah bersalah. Dialah yang sepatutnya dipersalahkan. Hurmmm, hati Su sebak.

Puan Siti gerakkan bibir, terpaksa senyum dan mengangguk-angguk.

“Dia setuju.” Sebenarnya, dia serba salah. Nur tak pernah menzahirkan persetujuan, suaminya sahaja yang memandai-mandai. Dia pula diluah mati mak, ditelan mati bapak. Tersepit di tengah-tengah. Sokong suami atau anak?

“Biarlah budak Yusof tu jaga Nur. Abang yakin dialah pengganti Amir yang selayaknya. Awak pun tahu kan, kenapa kita kena cepatkan pernikahan ni?”

Kata-kata suaminya, diulang tayang lagi. Memang mereka terpaksa buat keputusan mendadak. Puan Siti nekad, biarlah Nur menangis sekarang dari menangis dikemudian hari. Pilihan suaminya pasti yang terbaik memandangkan suaminya lebih arif soal agama.

“Nur makin ceria semenjak dua hari ni,” ujar Puan Siti. Mereka-reka cerita yang tidak ada. Terpaksalah dirinya menutup cerita yang sebenar, demi membuang rasa bersalah dalam hati Haiqal dan Su. Dia mahu jernihkan hubungan mereka dengan Nur. Sejak kejadian lalu, hubungan Nur, Su dan Haiqal berantakan.

“Jangan lambat sangat, umi. Kalau kedua-duanya dah setuju, langsungkan aje majlis tu secepat yang mungkin. Buat apa tunggu lama-lama? Buah cempedak masak kalau diperam lama-lama pun boleh busuk, inikan pula hubungan Adam dan Hawa. Jangan ada perkara buruk pula yang mengotorinya nanti…” Haiqal sengaja memerli dirinya, biar dirinya tahu dosa sendiri.

Su terkesima. Air mata laju sahaja mengepung kelopak matanya. Anak matanya berlaga dengan mata suaminya. Masing-masing sebak.

Puan Siti terkilan, berasa kasihan. Seboleh-bolehnya dia cuba mengelak daripada berbicara hal yang telah berlalu. Parut yang lama kalau diselak, boleh memuntahkan hamis darah.

Nek Jah yang baru sahaja mahu menapak keluar dari biliknya, berhenti daripada melangkah. Dia bersandar ke dinding. Air matanya mengalir keluar mengenang dosa cucunya. Kisah pilu lalu tidak pernah luput daripada ingatannya.

“Mana abi nak letak muka ni, Su? Kamu berzina dengan tunang adik kamu sendiri. Abi tidak peduli kalau semua orang nak mengejek, ludah ke muka abi. Abi takut balasan ALLAH. Kamu tahu tak apa yang kamu lakukan tu memang dilaknat ALLAH?!”

Dada Su sesak dengan hambatan kata-kata abi kepadanya. Sepintas lalu, dirinya terkenang kesilapan lampau.

“Kamu dan Haiqal mesti bernikah malam ni juga!”

Kecut perutnya mendengar nada keras abi. Su nampak wajah umi pucat lesi pada hari dia ditangkap khalwat dengan Haiqal. Dirinya menyedari riak terkejut di wajah Nur. Su masih ingat lagi wajah sinis orang-orang yang menangkap dia dan Haiqal, sungguh terasa dirinya keji. Manusia di bumi sahaja sudah pandang hina, apatah lagi penduduk di langit. Paling dirinya takuti, pandangan ALLAH.

AstaghfirullahalazimAstaghfirullahalazimAstaghfirullahalazim

“Eh, leka betul kita berbual, sampai tekak ni dah kering dibuatnya, kan? Tunggu kejap ya, umi nak jengah ke dapur. Entah apalah yang dibuat Si Iman kat dapur tu. Bancuh air ke, tadah air? Lama sangat…” dalih Puan Siti.

Tergesa-gesa Puan Siti beredar, air matanya sudah mula bergenang sebaik sahaja dirinya memijak kaki dapur. Dikesatnya air mata yang tumpah setitik dua titik tadi dengan jari-jemarinya. Kemudian, Puan Siti mendekati Iman yang terkocoh-kocoh membancuh air kopi.

“Hai, tak siap bancuh lagi minuman tu, Cik Iman?” gurau Puan Siti, berharap duka dalam hatinya segera terhakis.

Iman sengih manja.

Heee, belum lagi. Kopi ni asyik pahit aje. Dah banyak kali dah orang taruk gula, pahit juga. Orang bukan tak reti buat, cuma tak biasa aje…” Iman beralasan. Dia halakan muncung sudu yang berisi air kopi itu, berharap uminya menghirup sedikit.

“Pahitnya.”

Iman sengih malu.

“Sejak bila pula gula kat dalam rumah ni kehabisan stok? Abi kamu baru aje beli semalam…” Puan Siti bergurau, sambil menyusun cawan ke atas dulang.

Iman muncungkan bibirnya, pura-pura merajuk.

“Ala, umi ni… Perli orang pula. Tak baik tau…”

“Cepat sikit, Iman. Abang dengan kakak kamu dah lama tunggu tu.”

“Baik, tuan permaisuri yang cantik rupawan bak bulan purnama.”

“Amboi, membodek umi aje kerjanya.” Puan Siti tersenyum simpul dengan usikan nakal anak bongsunya. Teringat pula dengan Nur, anak keduanya pun suka menyakatnya.

Erm… Iman…” Suaranya yang riang tadi bertukar muram.

“Ya, umi.”

“Iman tahu tak, Kak Nur keluar ke mana?”

“Dia tak bagi tahu pula nak ke mana. Tadi, dia menonong aje masuk kereta. Menoleh ke belakang pun tak. Iman tak sempat nak tanya apa-apa kat dia, umi…”

Puan Siti mengangguk.

Umi tahu Nur masih tak dapat lupakan apa yang terjadi dulu. Umi minta maaf, sayang. Umi tak boleh tolak Kak Su kamu dari hidup kita. Dia tetap anak umi. Umi sentiasa faham perasaan Nur, bisik hatinya, rasa bersalah.

“Umi, dah alang-alang umi buka cerita pasal Kak Nur, orang nak tanyalah, umi. Dah lama orang pendam aje selama ni, tunggu masa yang sesuai aje nak bertanya.”

“Apa, Iman? Tanyalah sekarang…” Pandangan Iman menimbulkan tanda tanya dalam hati Puan Siti.

Iman teragak-agak, digagahinya juga menyoal uminya.

Errr…. Kak Nur berdendam dengan Kak Su ke?” Pedas betul soalannya. Kalau dibuatnya Kak Nur dengar, memang makan hatilah Kak Nur terhadapnya.

Berkerut dahi Puan Siti, kurang senang dengan pertanyaan anaknya tadi.

“Isy, tak mungkinlah Kak Nur kamu nak berdendam. Dia perlukan masa nak bina hidup baru. Dah kahwin nanti baiklah dia,” sangkal Puan Siti.

“Tapi kalau dia macam tu juga umi, apa kita nak buat?”

“Apalah yang dibualkannya ni? Rancak semacam aje.”

Belum sempat Puan Siti menyampuk, datang pula suara dari arah muka pintu. Puan Siti dan Iman terkejut bukan kepalang. Su berdiri tegak di hadapan pintu masuk dapur sambil melempar senyuman ke arah mereka.

“Umi tengah nasihatkan Iman. Umi nak dia buat betul-betul dalam SMTA nanti. Insya-ALLAH, boleh cemerlang. Kan, Iman?”

Mata Puan Siti yang melirik ke arah Iman, membuatkan sengihan Iman agak panjang.

Pandai betul umi berdalih. Nasib baiklah semua yang dikatakan uminya benar belaka. Umi selalu pesan supaya dia belajar rajin-rajin, buat sehabis baik dalam SMA. Harap-harap Kak Su tak dengarlah soalanku tadi. Isy, sejak bila pula dia tercegat kat situ, ek? desis Iman dalam hati.

Iman merangkul pinggang uminya, sambil matanya melirik ke arah Kak Su.

“Hai, tak ada orang nak bagi hadiah ke? Tangan Iman duk gatal memanjang aje sejak dua tiga hari ni. Rasa-rasanya macam bakal dapat something aje ni…” Iman senyum meleret, topik perbualan diubahnya serta-merta.

Kak Su ukir senyuman dalam rasa yang hiba. Pandai sungguh mereka berpura-pura, sedangkan dia sudah dengar segala perbualan mereka tadi. Hurm, duhai hati tenanglah! La tahzan, innallahha ma’ana.

Kak Su memujuk diri dengan mengungkap bait-bait ayat itu. Dia masih ingat lagi sewaktu di Mesir, seorang rakan baiknya pernah menasihatinya dengan menggunakan ayat dalam bahasa Arab tersebut. Kata-kata semangat yang mendekatkan diri kepada pencipta.

Ya ALLAH, aku pendosa. Pantaskah aku bersedih hanya kerana sedikit ujian daripada-MU? Sedangkan nikmat yang paling besar telah Engkau berikan kepadaku, nikmat pengampunan-MU, Ya ALLAH. Nikmat itulah yang amat besar kalau nak dibandingkan dengan kesedihanku ini. Kak Su pura-pura ceria biarpun hatinya sedang dilanda angin derita.

“Kak Su memang ada bawa oleh-oleh untuk Iman. Bukan Iman aje, untuk nenek, umi, abi dan Kak Nur pun ada tau…”

“Wah, ole-ole dari Mesir! Bestnya. Made in Mesir tu.”

Puan Siti geleng kepala dengan gelagat Iman. Matanya berkalih kepada Kak Su.

“Membazir aje beli macam-macam untuk kami. Kamu tu perlukan duit. Orang baru kahwin ni banyak nak pakai duit, kan?”

“Eh, tak adalah membazirnya, umi. Kami jarang balik. Apalah salahnya Su bawakan oleh-oleh buat kenangan-kenangan. Nanti kalau masing-masing rindu, barang-barang tu yang jadi tanda ingatan. Betul tak, Iman?”

Iman usap lembut bahu uminya.

“Betullah apa yang Kak Su cakap, umi. Kenangan tu mahal harganya berbanding harga barang-barang yang Kak Su beli untuk kita. Bak kata pepatah, tak lekang dek hujan, tak lapuk dek panas.”

“Amboi, bersastera habis anak umi yang seorang ni…” ujar Kak Su.

Puan Siti tertawa kecil.

“Bahasa Malaysia Iman dapat A plus. Plus tau, Kak Su?”

Kak Su senyum lebar.

“Yalah, orang pandai bersastera. Kak Su ni terer dalam tulisan khat aje. Tak reti nak berpuitis-puitis ni.”

“Ha, yang tu Iman fail sikit…”

“Sudah-sudahlah bercakap tu. Jom kita ke depan. Umi dah tak sabar nak rasa pisang goreng yang Kak Su kau bawa ni.”

“Kami beli kat sini, umi. Tu pisang goreng Cik Da dekat simpang jalan masuk menghala ke rumah kita. Dari kecil lagi kita dah biasa makan air tangan Cik Da, kan? Tak sangka sampai sekarang pun Cik Da masih berniaga kat situ. Air tangan dia memang sedap, umi.”

Puan Siti mengangguk.

“Yang jaga gerai tu sekarang Cik Da dengan anaknya. Dulu masa mak dia masih hidup, umi memang selalu pergi sana. Jenguk mak dia. Umi paling suka kalau mak dia buat kuih pelita, memang rasanya lain dari yang lain. Umi pun kalah…”

Iman sudah bergerak ke ruang tamu bersama jag air kopi tadi. Kini tinggal Puan Siti dan Kak Su yang masih tercegat di dapur.

“Dah ada tanda-tanda ke?” bisik Puan Siti.

“Tanda apa, umi?” soal Kak Su, bingung.

“Dalam perut tu?”

Kak Su geleng, wajahnya sayu. Air liurnya yang ditelan terasa kesat.

Puan Siti usap bahu anaknya, bersimpati. Usia perkahwinan Su dan Haiqal menjangkau lebih dua tahun, namun mereka belum dikurniakan zuriat. Manusia hanya mampu merancang, ALLAH jualah yang menentukan tiap-tiap perkara. Hatinya sedikit sedih, rasa terkilan nak timang cucu agaknya. Apa-apa pun dia tetap redha dengan segala qada’ dan qadar ALLAH.

“Sabar ya, nak. Manusia hanya merancang dengan cita, ALLAH pula merancang dengan cinta-NYA. Perancangan ALLAH tu lebih baik.”

Hati Kak Su terusik dengan kata-kata uminya.

“Doakan kami ya, umi,” ujar Kak Su. Fikirannya menerawang, teringat detik-detik sukar yang telah berlalu.

“Dosa orang yang berzina ni sungguh berat. ALLAH dah laknat kat dunia lagi. Akhirat lagilah teruk balasan-NYA kecuali kalau kamu bertaubat, insya-ALLAH. ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi hamba-hamba-NYA yang bertaubat dari segala dosa…”

Air mata bergenang di kelopak mata Kak Su. Teguran abinya sebelum dia dan Haiqal berangkat ke Mesir dulu, tiba-tiba menjengah dalam ingatannya buat seketika. Inilah hukuman di dunia yang harus dijalani-NYA. ALLAH tidak zalim, tetapi hamba-hamba-NYAlah yang menzalimi diri sendiri termasuklah dirinya.

Astaghfirullahalazim, kolam hatinya ditujahi gerimis air mata taubat. Taubat nasuha, taubat yang sebenar-benarnya.

“Insya-ALLAH sayang, doa umi sentiasa ada buat kamu semua…”

Kak Su terharu lalu mepeluk pinggang Puan Siti. Usapan tangan uminya sungguh lembut, bak sutera. Hatinya tenang dalam dakapan uminya.

Ya ALLAH, terima kasih. ALHAMDULILLAH, Engkau masih mengurniakanku nikmat ibu. Izinkan aku merasa damai di sebalik tangan tuanya itu. Aku pendosa, Ya ALLAH. Jangan biarkan dosa-dosaku mengotori dirinya sehingga menyeretnya ke neraka kelak. Ampunilah dosa kedua-dua orang tuaku, Ya ALLAH. Limpahi mereka dengan rahmat dan kasih sayang-MU yang tidak terhingga. Astaghfirullahalazim.

Biar beribu ungkapan istighfar dilafazkan, dirinya tetap tidak tenang. Kalam istighfar tetap dirintihnya kepada ALLAH selagi hayat dikandung badan. Dosa lalu sentiasa diratapnya, mana mungkin bisa luput daripada ingatannya.

“Umi, terima kasih sudi terima Su lagi.”

Puan Siti toleh ke sisi, diusap pipi anaknya. Masing-masing menyimpan sebak dalam hati. Kedua-dua wajah menguntum senyum.

“Su tetap anak umi, dunia dan akhirat…”

AKU suka bertandang ke rumah ALLAH. Masjid Al-Hikmah sentiasa kelihatan bersih dan kemas. Telekung-telekungnya pun tersusun rapi. Nun di sudut kiri, terdapat pelbagai jenis buku agama merangkumi kitab al-Quran yang disusun pada rak paling atas, diikuti bawahnya, buku hadis, peringkat pertengahan pula terdapat pelbagai buku-buku agama.

Di bawah sekali, aku lihat terdapat beberapa untaian tasbih dan perhiasan yang indah terletak. Damainya hatiku ketika berada di dalam masjid. Terasa bahang panas yang mahu membakar jiwaku tadi, telah menjadi dingin dan setenang air sungai yang mengalir.

Memandangkan aku masih berada di atas tikar sejadah, telekung masih melekap ke tubuhku. Aku termenung sejenak, mengenang kembali rantai kehidupanku yang telah berlalu. Tidak pernah sekelumit pun dalam hatiku mahu mengagungkan kesucian diri.

Orang hanya nampak dingin luaranku, mereka tidak pernah menyelak jernih dalamanku. Hatiku bagai air yang mengalir, segala rasa kotor tidak membusuk lama dalam hati. Aku ingin menjadi manusia yang sering menyingkap salah diri, menghalusi dan merenungi khilaf hati. Dalam kemarahan terselit sayang, itu yang aku rasakan dengan Kak Su dan Abang Haiqal.

“PST Pst… Pssst...”

Bahuku dicuit seseorang. Aku toleh ke belakang. Kak Su sudah berada di belakangku dengan senyuman lebar. Dia dekatkan bibirnya ke telingaku, lalu berbisik.

“Ada surat untuk Nur. Khas daripada buah hati pengarang jantung, Haiqal.”

Aku hampir tersedak. Aku menjeling Kak Su, geram dengan tujahannya yang tiba-tiba. Salam tidak, sapa pun tidak. Tahu-tahu sahaja Kak Su datang berbisik kepadaku.

“Isy, Kak Su ni. Cakap malam pandang-pandang, cakap siang dengar-dengar. Tak nampak ke kat depan kita ni siapa?” balasku dalam bisikan.

Abi berdehem berulang kali, mungkin tahu apa yang kami bualkan. Aku jeling Kak Su, Kak Su pula sengih-sengih sahaja. Hai, sabar ajelah!

“Tak baik berbisik-bisik di hadapan orang,” tegur umi kepada kami. Umi memang sehati sejiwa dengan abi. Macam tahu-tahu sahaja yang abi tak suka perlakuan kami tadi.

Kak Su tersengih-sengih lantas menarik lenganku agar aku segera mengikut langkahnya. Sebelum aku pergi, sempat lagi aku sapa kedua-dua orang tuaku. Dalam sengih, aku mohon maaf.

Abi, umi, kami tak sengaja. Maaf, ya?”

Kami berlari anak meninggalkan mereka. Abi dan umi pastinya menggeleng kepala melihat kelakuan kami yang bagai kera dapat bunga.

Setelah menutup daun pintu bilik, aku lihat Kak Su terus menyembamkan tubuhnya ke katil. Aku pula bagai lipas kudung, cepat-cepat aku buka sampul surat tadi.

“Assalamualaikum.” Aku baca isi surat tadi dengan ton suara yang agak tinggi.

“Jawablah dik, dia bagi salam tu…” Sempat lagi Kak Su berseloroh.

Mukaku pula merah padam menanggung malu. Aku melebarkan senyuman sampai ke telinga. Maklumlah, gembira tak terkata dapat surat daripada tunangku sendiri. Ramai rakan sebayaku yang mencemburui aku. Pertama, sebab aku dah bertunang pada usia yang terlalu muda. Kedua, mereka cemburu sebab hero sekolah yang menjadi idaman para pelajar di sekolah kami, telah sah bergelar tunang aku.

“Waalaikumussalam…” jawabku, malu-malu.

IMBAUAN masa lalu membangkit sebak dalam hatiku. Aku biarkan air mata berbicara, menyatakan kesedihan yang aku kandung selama ini. Sebenarnya aku rindukan Kak Su. Tapi aku ego. Aku akui, aku terlalu rindukan kemesraan antara kami. Air dicincang takkan putus, namun aku sendiri tak tahu sampai bila air yang kami cincang itu akan bercantum semula. Segala-galanya berubah hanya kerana seorang lelaki dan aku tidak akan sesekali menyalahkan Abang Haiqal dan Kak Su. Kalau aku berbuat begitu, nampaknya aku menyalahkan takdir ALLAH. Aku pasrah dan redha dengan segala ketentuan-NYA dalam hidupku.

Aku bingkas bangun, menuju ke rak buku tadi. Aku capai senaskhah al-Quran bersama alas kayu buat menampung kitab itu, lalu aku duduk bersimpuh semula. SUBHANALLAH, Maha Suci ALLAH. Hatiku sangat tenteram melihat kalam ALLAH ini. Aku kucup, aku dakap ke pelukanku. Air mataku bergenang lalu tumpah jua.

Ya ALLAH, aku belum baca lagi bait-bait ‘kata’ daripada-MU, tetapi aku sudah rasakan ketenangan yang tidak terkata Ya ALLAH. ALLAH… ALLAH… Hebatnya kalam-MU ALLAH, desis hatiku mengagumi kebesaran-NYA. SUBHANALLAH.

“Kalau nak meluah rasa pada ALLAH, dirikanlah solat, seolah-olah kita sedang berbicara kepada-NYA. Nak dengar ALLAH berbicara dengan kita, bukalah al-Quran. Baca dan fahami isinya, seolah-olah Dia sedang berbicara dengan kita. Kita akan dapat ketenangan yang luar biasa…”

Satu suara tiba-tiba menjengahku.

“Ingat, kita kena jaga tertib semasa membaca al-Quran. Mestilah dalam keadaan bersih, ada air wuduk. Sebaik-baiknya menghadap kiblat, tutup aurat dengan sempurna, sebutan makhraj mesti betul, hukum-hukum tajwid dan bacaannya mesti kita sempurnakan. Paling bagus, fahami maksud ayat ALLAH yang kita baca. Berganda-gandalah rasa cinta dan kerinduan kita pada ALLAH nanti…”

Aku kenal suara yang menampar cuping telingaku, khayalanku terbang mengingati Akhi Amir. Dia seorang yang terpelajar, sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Qu’ran dan Sunnah) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM.

Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada (kerabatnya), orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan ALLAH dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAH mengampuni kamu? Dan ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang…

Bacaanku terhenti saat membaca terjemahan surah An-Nur, ayat 22. Mataku merenung tepat pada ayat tersebut dengan linangan air mata yang tiba-tiba mencurah-curah keluar. Isi tafsir al-Quran yang aku baca tadi, aku ulang banyak kali. Aku pandang penerangan ayat terjemahan yang ada di bawahnya. Aku baca pula penerangan tersebut.

Bibirku terkumat-kamit membaca dengan suara yang perlahan, cukup hanya aku seorang yang mendengarnya.

“Ayat ini berhubung dengan sumpah Abu Bakar r.a bahawa dia tidak akan memberi apa-apa bantuan kepada kerabat atau orang lain yang menyebarkan berita bohong tentang diri Aisyah r.a. Maka turunlah ayat ini melarang beliau melaksanakan sumpahnya itu dan menyuruh memaafkan dan berlapang dada terhadap mereka, sesudah mereka mendapat hukuman terhadap mereka.”

Ya ALLAH, ampunkanlah hamba-MU ini, aku masih tidak terdaya melupakan apa yang telah terjadi dalam hidupku. Aku memang lemah, Ya ALLAH. Berilah aku hati yang baru, hati yang tidak menyimpan sebarang rasa terkilan dan rajuknya.

Hati yang aku rasakan sekarang sangat keras, sukar dilembutkan. Jauhkan aku dari sifat mazmumah, sifat buruk yang mencacatkan anugerah hati-MU ini. Amin yarabbal alamin… Aku pohon doa dalam diam sebelum menyambung kembali mengaji al-Quran.

Air mataku mengalir deras seiring dengan bacaan pengajianku. Makin lama makin lebat mengalir, seolah-olah mahu menyaingi rintik-rintik hujan yang sudah mula muncul di pekarangan luar masjid. Aku biarkan diriku larut dalam pelukan kerinduan daripada-NYA.

AKU terpaksa berdiri tegak. Kaku dan membisu, menghadap hujan yang semakin mencurah-curah dengan lebatnya. Aku mencium bau hujan, terasa segar. Aku timbang-timbang buah fikiranku, apa aku harus redah sahaja hujan ini?

Seminit dua minit, hujan kian lebat. Aku selak sedikit lengan baju kurungku, aku lihat jarum jam tanganku. Hatiku sudah mula resah. Dalam masa setengah jam lagi, waktu solat maghrib akan tiba. Selepas itu, berduyun-duyunlah orang ke masjid, mahu mengerjakan solat berjemaah.

Aku dongak ke atas, memerhati permukaan langit yang gelap ketika hujan menyimbahi bumi. Terasa tenangnya bunyi hujan. Dalam keresahan, aku masih terbuai dengan keindahan rintik-rintik hujan. Fikiranku kosong, tenang. Tiba-tiba memori lalu datang lagi, kali ini aku ditayangkan dengan suasana ceria tiga orang adik-beradik yang masih kecil, sedang berkejaran dalam suasana hujan lebat. Gelak tawa mereka memenuhi pendengaranku. Aku diserang sebak.

Maafkan Nur, Kak Su. Nur cuba lupakan kisah lalu, tapi Nur tak berdaya… Suara hatiku merintih pilu. Macamlah Kak Su dengar luahanku tadi. Hurm, sampai bilakah aku akan begini? Melarikan diri dan terus berlari? Keras betul hatiku yang tersakiti.

Innama a’malubinniat...”

Berderau darahku. Eh, orang Arab manalah yang tiba-tiba menyapaku? Aku ada asas bahasa Arab, faham jugalah ayat tadi yang bermaksud lebih kurang begini, ‘bermulanya amalan itu dengan niat’. Aku toleh ke sisi, alamak! Debaran di dalam dadaku tiba-tiba kencang.

“Saya dah lama pasang niat. Niat nak mendirikan rumah tangga untuk mencari keredhaan ALLAH. Supaya saya dapat dekat lagi dengan ALLAH. Sebab itulah saya mencari seseorang yang hatinya terukir nama ALLAH dan Rasulullah. Moga hati saya semakin mencintai ALLAH dan Rasulullah.”

Isy, malunya. Kat mana aku nak sorok muka ni? Aduhai, kenapalah kau boleh tak ingat yang dia ada kat sini tadi, Cik Nur Syahadah oi?! bisik hatiku, mengutuk kealpaan diri. Aku boleh lupa yang calon menantu kesayangan abi masih berada di masjid ini sejak aku datang tadi. Hesy, nak lari, hujan lebat pula tu! Terpaksalah aku dengar bebelan dia.

Yusof senyum manis, gembira bertemu dengan bakal suri hatinya.

“Lupa pula nak bagi salam, kan? Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam,” jawabku acuh tak acuh. Aku halakan pandangan ke arah lain. Aku berpeluk tubuh sambil memandang lecak air di pekarangan masjid.

“Dari mana dan nak ke mana ni?”

Berbahasa-basi pula dia denganku. Aku jawab juga tanpa memandangnya.

“Dari tanah, nak pulang pun ke tanah juga…” tempelakku.

Yusof sengih, geli hati.

Saatku menoleh ke sisi, aku nampak dia menghulur senyuman manisnya yang semanis gula. Kalau ada semut, boleh juga aku biarkan semut bertenggek di sekitar bibirnya. Entah kenapa hatiku resah melihat kemesraannya. Bukan benci tetapi tidak selesa. Oh hujan, kehadiranmu sepatutnya menyejukkan hatiku, mengapa bahang panas pula yang aku rasai? Huh!

“Maksud saya, Nur dari rumah ke atau dari mana?”

Perlu ke aku jawab, ya? Kalau aku cakap dari rumah kenapa? Dia nak hantar rombongan meminang ke? Heh, melalut pula kau ni, Nur!

“Terima kasih sudi terima saya…”

Eh, soalan tadi belum pun aku jawab, tiba-tiba dia ucap terima kasih? Isy, nampak macam aku yang jahat, dia pula baik yang amat sangat! Hurm… Encik calon suami, maaf saya tak ada mood nak bermesra dengan awak, okey!

Aku angguk, malas mahu berkata apa-apa. Bukan aku yang terima, abi aku yang memandai-mandai bagi harapan. Aku tunggu Akhi Amir, dia pula yang mendapat perhatian abi. Sabarlah hati! Ada kesayuan dalam hatiku. Makin dikenang Akhi Amir, makin sakit pula hatiku ini.

“Kata orang, tak kenal maka tak cinta tau. Dah kenal mesti awak akan suka…” Yusof masih berusaha berdialog, biarpun hanya dia yang becok berceloteh.

Glup. Air liur yang ditelan terasa kelat. Kalau dibiarkan, boleh melarat. Terusik pula hati dan perasaan. Hurm

“Encik, kita dalam kawasan masjid ni. Tak manis berbual, kan?” pintasku lembut. Aku tahan rasa geram.

“Nah, pakailah payung ni. Balik cepat sikit, ya? Tak elok anak dara berkeliaran seorang diri. Nanti lepas kita kahwin, saya teman awak, ya? Tak adalah bahaya sangat…” Yusof berseloroh, sengaja mengusik si gadis.

Aku ketap bibir, malu. Bersuara pun tak, menyokong pun tak. Senyum jauh sekali. Aku terus menyambar payung yang dihulurnya. Lebih baik aku berhutang payung dari terperangkap lebih lama di sini dengan calon menantu pilihan abi yang terlebih peramah itu.

“Hati-hati bawa kereta!”

Sempat lagi si dia melaung dari jauh. Aku diam dan terus berlari ke arah keretaku. Aku lepaskan keluhan lega saat tubuhku sudah menerobos ke dalam kereta.

Terima kasihlah encik calon suami, jasamu akan aku kenang.

Aku memecut keretaku, membawa ke arah laluan jalan raya. Lelaki pilihan abi memang baik. Walaupun aku tidak kenal rapat dengannya, hatiku mengatakan dia orang yang baik. Aku buntu, siapakah sebenarnya yang tercipta untukku sejak di Luh Mahfuz? Adakah Muhammad Yusof atau Akhi Amir?

“Ana harap enti sudi tunggu ana.”

Aku teringat kembali permintaannya sebelum berangkat belajar di UIAM, beberapa tahun yang lalu. Dia merupakan anak kepada rakan baik abi dan umi. Setahun yang lepas, dia beranikan diri berbual denganku melalui perantaraan Iman.

Kami tak pernah keluar berdua, Iman akan temani kami. Macam mana alim pun seorang lelaki dan selabuh mana pun tudung seorang wanita kalau sudah berdua, pasti ada yang ketiga. Sebab itulah aku ajak Iman teman kami ketika kami bertemu di luar supaya yang ‘ketiga’ itu tidak dapat masuk jarum, menghasut maksiat.

“Garam di laut, asam di darat. Dalam periuk bertemu jua…” Itulah jawapan balasanku kepadanya. Dia pastinya mengerti bahasa kiasan yang ingin aku lontarkan tadi. Aku lihat wajahnya amat teruja dan gembira. Itulah kali pertama aku rasakan bahagia bertandang semula dalam hidupku selepas kejadian pertelingkahan antara aku dan Kak Su dahulu.

“Kalau dah jodoh tak ke mana. Kan, akhi?”

Iman yang berada di sebelahku berbisik-bisik. Aku pula menyampaikan jawapanku dengan bantuan Iman. Ah, rindunya saat itu! Saat di mana aku dan Akhi Amir bertemu dan merancang hala tuju hubungan kami.

Tapi sekarang?

Hurm, hatiku sebak. Sampai hati abi dan umi buat keputusan tanpa berbincang denganku. Aku dah berjanji. Sepatutnya mereka menggalakkan aku tepati janjiku kepada Akhi Amir, bukan merobohkan janji yang telah dimenterai. Aku tak faham kehendak mereka. Kenapa mereka berubah dalam sekelip mata? Apa salah Akhi Amir hingga mereka menolaknya mentah-mentah?

“Nur mesti terima Muhammad Yusof. Dialah lelaki yang terbaik untuk anak abi ni.”

Bicara abi bagai halilintar yang membelah bumi. Bukan sahaja bumi, malahan membelah dadaku. Dulu aku fikir aku akan berkahwin dengan Abang Haiqal tetapi ternyata dia bukan jodohku. Aku dilamar sengsara, hampir berbulan jualah aku menangisi takdir.

Semenjak Akhi Amir hadir dalam hidupku, aku tahu ada sinar yang mahu menapak dalam kebahagiaanku. Malah, abi dan umi sangat setuju apabila aku katakan yang kami ingin mengikat pertunangan dan berkahwin secepat yang mungkin setelah Akhi Amir tamat pengajian nanti. Aku sedia menunggunya dengan sabar.

Lain pula cerita sekarang, abi mahu aku terima Muhammad Yusof dan lupakan Akhi Amir. Mengapa abi dan umi berpatah arah? Terlalu banyak persoalan yang aku mahukan penyelesaiannya.

Langkahku liat sebaik sahaja aku tiba di hadapan pintu rumah. Salam yang aku hulur, dijawab seseorang.

“Nur dari mana ni?”

Aku senyum saat nenek terpacul di hadapanku. Rasa bersalah pula keluar tanpa pengetahuan penghuni rumah ini. Iman tahu aku keluar, agaknya Iman yang menceritakan kepada mereka. Cuma Iman tak tahu aku keluar ke mana.

“Nur beli barang tadi, nek. Hujan pula, Nur tunggu sampai hujan reda. Sebab tu Nur lambat balik. Nur tersekat kat kedai tu,” ujarku spontan, terpaksa mencipta kebohongan. Aku betulkan kedudukan tudung, terasa kekok pula diperhatikan nenek yang berkerut wajahnya.

“Nek tengok tangan Nur kosong aje. Kata beli barang, mestilah penuh tangan tu dengan barang, kan?”

Aku terperangkap dengan jerat penipuan yang aku cipta sendiri. Aku sengih malu. Alamak! Terkantoi pula.

“Nek dah makan garam dulu dari kamu. Sekilas ikan di laut, nek dah tahu jantan betinanya…”

“Wah, wah, cekapnya…” gurauku dengan sengihan.

“Kak Su kamu dah balik dah. Kalau kamu nak pergi jenguk, pergi aje rumah Mak Timah kamu. Su dengan suami dia tinggal kat rumah mentuanya buat sementara waktu ni.”

“Mereka tak duduk kat Mesir lagi ke, nek?” Aku bersuara. Kekok membicarakan hal mereka.

“Haiqal cuti semester. Katanya, pak cik Haiqal yang duduk di Mesir tu pun balik sama. Mereka berkampung di sini, nak tunggu kamu naik pelaminlah tu.”

Mendengar sahaja isu kahwin, terus hilang mood aku. Berita perkahwinanku sudah sampai ke Mesir. Patutlah Kak Su dan Abang Haiqal beria-ia balik ke sini. Semua orang nak meraikannya. Aku pula makin rasa berat hati. Akhi Amir dah lama tak hubungiku. Selalunya dia akan hantar pesanan melalui Facebook atau mesej ke telefon bimbitku. Sudah berbulan-bulan lamanya dia menghilang.

Dia tahu ke keputusan abi tu? Entah-entah dia sedang makan hati dengan abi? Isy, macam mana ni? Hatiku resah. Nampak gayanya majlis pernikahan aku akan berlangsung tanpa kerelaanku. ALLAHu, beratnya hati ni…

“Jangan lupa singgah kat sana, Nur. Jenguk Kak Su dengan Abang Haiqal kamu tu. Ajak Mak Timah kamu ke majlis Nur nanti. Tak adalah dia segan sangat nak datang kalau kamu sendiri yang ajak.”

Aduhai, sabar sahajalah, nenekku! Dia berwajah selamba, macam tak tahu sahaja yang aku dan Kak Su sudah buat haluan masing-masing. Seorang ke planet Marikh, yang seorang lagi ke planet Pluto. Jangan-jangan nenek aku lupa kut?

Nenek mahu aku jejak kaki ke rumah bakal mentua tak jadiku, iaitu Mak Fatimah, ibu kepada Abang Haiqal. Isy, memang tak pergilah jawabnya!

Errr, tak nampak orang lain pun selain nenek. Yang lain tak ada kat rumah ke, nek?” Aku segera ubah topik.

Abi kamu dah ke masjid. Umi dan Iman pula ke rumah Mak Timah kamu, menghantar Su dan suaminya ke sana. Nenek tak larat nak ikut, lutut ni tiba-tiba kebah semacam. Sakit kaki nenek tak elok lagi.” Nenek duduk di kerusi ruang tamu, mengurut betisnya.

Aku memang rapat dengan ibu Abang Haiqal, Mak Fatimah. Sejak kejadian lepas, hubungan kami secara automatik jadi renggang. Aku harap dia faham keadaanku. Aku menjaga hati dari ada perasaan yang tak baik. Aku mahu luputkan ingatan lalu. Moga suatu masa nanti aku boleh lupakan kesemuanya.

“Nur urutkan nek, ya?” Tanpa buang masa, aku urut kaki nenek. Aku tak nak nenek berterusan bercerita perihal keluarga Abang Haiqal.

“Nek kena banyakkan rehat lepas ni tau…” ujarku.

“Orang tua macam nenek ni, kubur dah kata mari dah, rumah kata pergi. Biasalah tu. Kalau tak sakit, bukan orang tua namanya, Nur…” seloroh nenekku.

Mataku bertembung dengan mata nenek. Renungannya yang lain macam itu menaikkan kerisauanku. Janganlah dia bangkitkan isu Kak Su dan Abang Haiqal. Cukuplah, aku tak nak ambil tahu dah!

“Nenek nak timang cicit dulu, nak bergelar moyang. Barulah senang hati nenek nak pergi menghadap ALLAH nanti…”

Erk, dummm… Jantungku bagai tercabut dari kedudukan asal. Isu cicit pula yang dibangkitkan nenek. Isy, isu itu pun sensitif juga! Nenek pun menggalakkan aku kahwin awal. Aku ukir senyuman terpaksa, pura-pura suka. Aku tunduk, menyembunyi resah.

“Kahwin aje cepat-cepat, Nur. Nenek takut tak sempat…”

Ada garis kasihan dalam hatiku. Sebak pula mendengar luahan nenek. Aku hanya mampu diam membisu. Tanganku lincah bergerak, mengurut sekitar tempurung kepala lutut nenek dan betisnya.

“Barang yang lepas jangan dikenang, Nur.”

Glup! Errr… Urutanku menjadi serba tak kena, mujur fokusku tak lari. Aku tidak berani mengangkat muka. Air mataku sudah mula mengepung kelopak mata. Sekejap lagi pasti tumpah. Aku menumpukan pandanganku ke kawasan tumpurung kepala nenek, sengaja menyorokkan kesedihanku.

Tiba-tiba telapak tangan nenek melekap ke ubun-ubun kepalaku yang masih berlapik dengan tudung. Hurm, lembutnya usapan nenek! Makin sebak hatiku dibuatnya.

“Sabar ya, Nur. Tiap-tiap yang terjadi, pasti ada hikmahnya. Nenek yakin pilihan abi kamulah yang terbaik buat kamu. Tiada seorang ayah yang mahukan anaknya menderita…”

Akhirnya air mataku tumpah jua. Nenekku perasan agaknya lututnya berair, lantas usapannya beralih arah pula ke belakang tubuhku. Tahulah dirinya yang cucunya sedang menangis, meluah rasa. Nenek pegang kedua-dua tanganku, lalu memaksa aku dongakkan kepala.

“Janganlah dikesali segala apa yang dah berlaku, Nur. Keputusan Nur tu memang tepat. Nek suka Nur pilih budak tu daripada Amir. Amir tu pun dah nak kahwin dah, kamu tak payahlah teringat-ingat lagi kat dia, ya?”

Aku tergamam. Aku renung mata nenek. Urutanku berhenti serta-merta. Akhi Amir nak kahwin? Hatiku berdebar-debar.

“Amir nak kahwin?” Aku aju soalan tadi dengan riak yang terlalu terkejut.

Nenekku kelihatan gelabah.

“Eh, kamu tak tahu ke?”

“Assalamualaikum.”

Aku dan nenek berpusing ke arah datangnya suara tadi. Aku jawab salam dalam hati. Aku bangun serta-merta, sambil mataku tajam memandang nenek, Iman dan umi. Air mata ini sudah terlalu sarat di dalam kelopak mata, lalu tumpah membasahi pipiku. Aku tidak mampu mengawal perasaan sedih lantas kubiarkan air mata mengalir tanpa noktah.

“Betul ke Akhi Amir nak kahwin?” Aku menyoal mereka pula.

Umi dan Iman terperanjat besar, terpinga-pinga dengan tujahanku. Masing-masing tergamam agaknya dengan soalanku yang terpacul keluar dengan tiba-tiba. Belum sempat pun mereka melangkah masuk, aku terus meninggalkan mereka semua. Pintu bilik yang aku tutup tadi, berdentum dengan kuat. Aku lepaskan kekecewaan dengan menangis sepuas hati.

“NUR tak tahu ke?” soal Nek Jah kepada Puan Siti. Pucat wajahnya.

Puan Siti menggeleng seraya duduk di atas sofa. Wajahnya muram.

“Nur tak tahu pun, mak. Kami rahsiakan daripada pengetahuannya sebab tak nak dia kecewa…” Kedua-duanya resah.

“Mak minta maaf. Mak tak sengaja bagi tahu dia. Mak ingat Nur tahu…”

Puan Siti senyum hambar.

“Tak apalah, mak. Nur memang patut tahu pun.”

“Patutlah mak tengok dia macam tak happy aje. Tak cakap apa-apa pun bila Amin bagi tahu hasrat budak Yusof tu. Rupa-rupanya dia masih tunggu budak Amir tu, ya?”

Puan Siti mengangguk lemah. Kasihan anaknya. Sudah banyak kali Nur kecewa. Hatinya pun bagai disiat-siat, merasai derita yang dilalui Nur.

“Dia memang setia tunggu Amir, mak. Tapi Amir dah ada pilihan lain. Keluarganya pun dah minta maaf cara baik, takkanlah kami nak memaksa orang terima anak kami?”

Nek Jah geleng kepala. Sedih mengenang nasib cucunya seorang itu.

“Kasihan Nur. Ujian yang menimpanya terlalu banyak. Mak harap dia bahagia dengan budak yang Amin pilih tu…”

IMAN yang sekadar memerhati babak pilu tadi terus sahaja berlari ke muka pintu bilikku. Kalaulah dari dulu lagi dia ceritakan hal itu, mungkin aku tidak terlalu terkejut seperti sekarang. Hurm

Tombol pintu yang tidak berkunci, mudahlah baginya menerobos masuk ke dalam bilik. Iman melulu masuk, dipanjatnya dada katil. Dia duduk berteleku di samping aku yang meniarap. Wajahku disembam ke bantal. Iman menyesal, teramat menyesal merahsiakan khabar Amir. Iman menepuk lembut belakangku, berhasrat untuk memujuk.

“Kak Nur…” Terketar-ketar suara Iman ketakutan. Mungkin dia risau kalau-kalau aku naik hantu dan mengamuk. Dia beranikan diri juga mengusap belakang badanku.

Iman takut-takut nak mulakan bicara. Apa pun dia tetap kena cakap juga. Selepas tarik nafas sedalamnya, dia beranikan diri bersuara.

“Maafkan kami, kak.”

Tiada respons. Hanya esak tangisku yang kedengaran di telinganya. Iman lanjutkan bicaranya.

“Umi dan abi tak bersalah dalam hal ni. Iman yang suruh dia orang rahsiakan daripada Kak Nur. Iman tak nak Kak Nur makan hati…” ujarnya.

Aku sengaja membatu diri. Tangisanku tiada tanda mahu berhenti.

Abi tak nak Kak Nur kecewa buat kali kedua. Sebab itulah abi nak Kak Nur terima Abang Yusof dan kahwin cepat-cepat supaya Kak Nur lupakan Akhi Amir tu…”

Aku kecewa. Teramat kecewa. Luka yang sedia tercakar dalam hatiku, ditoreh lagi dengan luka yang baru. Sungguh sakit tak terperi. Kian galak pula esak tangisku. Sampai hati Akhi Amir lukakan hatiku. Apa salah aku?

“Mak Cik Hajar dan suaminya datang ke sini hari tu. Nasib baik masa tu Kak Nur tak ada kat rumah, Imanlah yang tukang dengar semuanya…”

Selang beberapa minit kemudian, aku bangun. Iman terus memelukku dan menangis.

“Kak Nur janganlah sedih lagi. Iman rasa bersalah sangat tengok Kak Nur macam ni. Maafkan kami kalau dah lukakan hati Kak Nur…” ujarnya dalam esakan.

“Kenapa Iman tak bagi tahu awal-awal?” tujahku. Suaraku lemah. Terlalu banyak menangis.

Iman eratkan lagi pelukan. Dalam esak tangisnya, dia bersuara sayu.

“Iman tak sampai hati nak bagi tahu. Iman tak sanggup tengok Kak Nur sedih. Kak Nur dah banyak kali kecewa, sebab itu Iman tak berani nak bagi tahu dari mula…”

Pelukan kami terlerai. Kami bertentang mata. Aku ukir senyuman walaupun berat.

“Iman, Kak Nur harus redha dengan setiap yang berlaku. Kalau Kak Nur melalak meraung sekali pun, qada’ dan qadar ALLAH takkan sesekali berubah. Kak Nur pasrah. Kalau itulah yang ALLAH tentukan dalam hidup Kak Nur, Kak Nur relakan Akhi Amir pergi dari hidup Kak Nur…” Aku sebak. Air mata yang terhenti tadi, mengalir keluar semula. Iman mengesat air mataku dengan jemarinya.

Iman meraih tanganku lalu dikucupnya. Lama betul dia buat begitu, mungkin mahu memujuk hatiku. Aku hanya mampu lemparkan senyuman. Aku tidak larat lagi menangis.

“Iman, Kak Nur nak minta tolong ni.”

“Kak Nur nak Iman buat apa?”

“Tolong cakap dengan umi dan abi yang Kak Nur setuju kahwin dengan Muhammad Yusof. Kak Nur tak nak majlis sanding. Kita buat akad nikah, kenduri doa selamat kat rumah. Kak Nur nak kahwin secepat yang mungkin, ya…” pintaku separuh merayu.

Aku tekad, lebih baik aku tinggalkan semua kenangan lalu dan bina hidup baru. Yusof, dialah orang yang selayaknya mendapat tempat dalam hidupku. Memang aku pertaruhkan hidupku, selama ini pun hidupku adalah satu pertaruhan.

Biarlah kali ini aku bertaruh lagi. Bahagia atau derita, semua itu sudah ditetapkan ALLAH. Aku, hamba-NYA. ALLAH yang pertama. Kerana Dia, aku sanggup bernikah dengan insan yang aku tidak cinta. Aku bernikah kerana ALLAH, ingin mencari redha-NYA.

Iman senyum lebar, tangisannya reda kala melihat wajahku tenang dan tersenyum.

“Betul ke ni?”

Aku angguk, yakin dengan kata hati. Aku lepaskan hela nafas panjangku. Senyumanku melebar. Ya, aku redha dan pasrah! Muhammad Yusof, rupa-rupanya kau jodohku.

“Kak Nur kecil hati dengan Iman tak?” Iman masih ragu-ragu agaknya.

“Taklah, sayang. Kak Nur okey aje…”

“Maaf…”

Aku angguk. Mengusap pipinya. Tiada siapa yang bersalah pun dalam urusan takdir. ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik buatku. Inilah jawapan daripada ALLAH atas segala persoalan yang bermain dalam benakku selama ini. Cepat sungguh ALLAH tunjukkan jalan penyelesaiannya. Baru seketika tadi aku memikirkan perkara itu, Dia beri pula jawapan sepintas lalu.

Menyingkap tirai hati,

Mengintai keampunan,

Di halaman subur rahmat-MU, Tuhan,

Tiap jejak nan bertapak,

Debu kejahilan,

Akan kujirus dengan madu keimanan…

(Destinasi Cinta – Mestica)

~Muhammad Yusof~

 

    “ADA orang, dia dapat keputusan peperiksaan cemerlang, ada kerja besar, gaji besar, pangkat besar, ada anak isteri, dia langsung tak solat, mengaji memang tak buatlah kan, puasa dan yang lain-lain ditinggalkan sesuka hatinya, tetapi Tuhan tak pernah hukum dia malah dia rasa bangga, baiknya Tuhan, katanya. Ingat ya, orang itu fikir kejayaannya di dunia adalah hasil usahanya dan Tuhan pun meredhainya! Sedangkan dirinya tidak tahu yang ALLAH beri nikmat kepada manusia yang menderhakai-NYA, yang mana pemberian itu tidak diredhai-NYA, itulah yang dinamakan istidraj. Nikmatnya itu merupakan bala yang akan dipikulnya ke akhirat kelak, tunggulah pembalasan dan azab ALLAH. Bukan sahaja di akhirat, di dunia lagi ALLAH dah laknat…”

Yusof sebak.

“Rasululullah S.A.W bersabda, apabila kamu melihat bahawa ALLAH Taala memberikan nikmat kepada hamba-NYA yang selalu membuat maksiat yakni derhaka, ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh ALLAH S.W.T. Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi,” sambung lelaki yang mengimamkan solat maghrib tadi.

Tazkirah maghrib tadi benar-benar menusuk hatinya. Dia membatu diri, mengasingkan diri di suatu sudut yang agak terpencil. Suasana riuh beberapa manusia, tidak mengganggu konsentrasinya ‘berdating’ dengan ALLAH.

Dalam diam, dirinya menggerakkan jari-jemari kanan, mengikut cara Rasulullah S.A.W berzikir memuji kebesaran Ilahi. Dia lebih gemar menggunakan jari-jemari kanannya, yang dicipta ALLAH berbanding menggunakan rantai tasbih ciptaan manusia.

Setiap kali jari-jemarinya menyentuh antara satu sama lain, tiap kali itu jualah air matanya laju mengalir, mengenang dosa-dosanya yang lalu.

Hebatnya kau, jari. Kau mampu mengajak orang berzikir mengggunakan lipatan-lipatan yang ada pada jari-jemarimu, sedangkan manusia seperti aku, lupa mengucupkan dahiku ke tikar sejadah biarpun rohku diberikan badan, bisik hati kecilnya, menginsafi diri.

 

“HARI ni aku nak belanja kau orang semua. Jangan malu-malu, ya? Kita enjoy puas-puas. Malam masih muda. Hahaha…” Yusof terlalu gembira.

Mengekek-ngekek rakan-rakannya ketawa. Ada yang sudah mabuk, ada juga yang hampir nak mabuk. Yusof senyum berlagak, bongkaknya sudah meninggi. Syarikatnya berjaya mendapat tender baru, mengalahkan pesaingnya dari syarikat-syarikat yang berbeza.

Di kiri dan di kanannya diapit wanita yang seksi yang menggoda. Rakan-rakannya juga diapit oleh beberapa golongan wanita GRO. Semuanya cantik dan seksi belaka.

Yusof terlalu gembira malam ini. Dirinya akan mendapat keuntungan yang besar setelah projek tender barunya siap kelak. Siapa tak nak duit? Duit adalah segala-galanya bagi Yusof. Wanita pula jatuh ke tangga paling bawah sekali. Lebih bawah dari alas tapak kakinya.

“Tahniah, Is.”

Congrats…”

Congrats, weh!”

Yusof ketawa terbahak-bahak mengenangkan dirinya dilayan bagai raja pada malam ini. Wanita-wanita yang berada di sampingnya, memberi perkhidmatan yang terlalu ‘high class’ memandangkan dia anak orang kaya.

Tapi dia takkan mudah cair dengan wanita. Nafsunya tidak mudah bergejolak hanya kerana pemandangan yang mengghairahkan di hadapan matanya! Cita rasanya tinggi. Hanya wanita terpilih yang mampu membuka selera syahwatnya.

Is, you’re getting what you deserve...”

Yusof memandang ke arah yang ditunjukkan Safuan. Anak matanya gatal, memerhati keindahan yang berada tidak jauh daripadanya.

“Dari tadi I tengok dia pandang you. Minah kacukan macam tu memang taste you, right?” ujar Safuan yang separa mabuk. Kiri dan kanannya ditemani bunga-bunga malam. Masing-masing rebah di dalam dakapannya.

Aziq yang baru meneguk gelas yang berisi arak, menyampuk.

Tonight is yours, Is…”

“Hai…”

Tangan berjabat tangan. Yusof cium belakang telapak tangan wanita kacukan yang putih melepak dan berhidung mancung itu dengan penuh kelembutan. Itulah caranya memenangi hati wanita yang disukainya.

“I Nursyasha Jessica, panggil I Jesy.”

Wow, so nice...” sahut Yusof, memasang umpan.

“You pula?”

“Iskandar.”

“Panggil Is, kan?”

Yusof angkat kening.

How you know?”

“I tekalah.” Jesy tersenyum.

Yusof terpikat dengan senyuman Jesy. Orangnya tinggi, mungkin kurang dua inci dari ketinggiannya. Susuk tubuh Jesy ramping menawan, persis seorang model. Jangan-jangan wanita di hadapannya ini memang seorang model.

Yusof senyum menggoda.

“You ni model ke?”

Jari-jemari kanan Jesy menutupi mulutnya saat dirinya ketawa.

How you know?” Dia mengulang semula ayat yang digunakan Yusof tadi.

“Entahlah, hati I yang cakap macam tu.” Yusof bersemangat memulakan sesi suai kenal. Tadi itu hanya permulaan perkenalan mereka. Kali ini dia akan pastikan Jesy jatuh cinta dengannya. Dia pula sudah tertawan dengan kecantikan Jesy.

“You model, kan?”

“”Yup.”

“Patutlah kecantikan you ni lain macam sikit.”

“Oh, really?”

Yusof lemparkan senyuman. Dikucupnya tangan Jesy. Kepalanya mengangguk-angguk.

“Mestilah. Kalau tak, I takkan terpikat.”

Jesy ketawa lagi. Tawanya cantik. Yusof terpukau saat Jesy mempamerkan barisan giginya yang putih dan tersusun rapi. Lesung pipit Jesy tersembul di sebelah pipi kanan, mencantikkan lagi paras wajahnya.

“Boleh I duduk kat sebelah you?”

Jesy malu-malu.

“Duduklah. Kerusi ni tak ada nama tuannya.”

Yusof sengih lebar.

“Seorang aje ke?”

“Taklah, berdua.”

Yusof pandang sekelilingnya.

“Yang mana satu husband you?”

Jesy senyum, menampakkan barisan giginya yang putih berseri.

“Muka I ni nampak macam orang yang dah berlaki ke?”

Yusof jongket bahu.

I’m still single and available…”

Yusof angkat kening.

Aik, tadi you kata berdua? Datang dengan kawan ke? Mana kawannya?” ajunya.

Jesy senyum.

“Yang berdiri kat depan I ni…”

Suara Jesy yang halus merdu, menarik hati Yusof untuk mengenali wanita kacukan itu dengan lebih dekat lagi. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang bersebelahan dengan Jesy. Jarak mereka sangat rapat.

“I ada peluanglah ni, ya?”usiknya.

Jesy senyum malu lagi.

“Mungkin.”

Mata bertemu mata. Ada sesuatu yang dirasai mereka.

“Senyuman you menawan…”

Jesy tertunduk malu dalam senyuman.

“Mata you yang biru tu kelihatan macam mata patung Barbie tau? Very beautiful. You ni kacukan apa, ya?”

My mother Melayu campur Cina, my father pula berasal dari Australia. Lepas aje kahwin, lahirlah I.”

“Patutlah you tak macam orang Melayu sangat. Mix orang putih sikit.”

Jesy tersenyum lagi.

“Tapi I masih makan makanan orang Melayu tau, bukan western aje…” selorohnya.

“Sehati sejiwalah kita. I pun suka masakan orang Melayu. Kita ni serasilah kan kalau nak bersama…” pancingnya.

Dalam senyuman, Jesy lepaskan ikatan rambutnya yang terikat kemas. Dikibas-kibas rambut lurusnya yang lebat tadi, dia biarkan sebahagian rambutnya berjuntaian menutupi bahagian pipi kanan.

Anak mata Yusof tidak berkedip menyaksikan pemandangan indah itu.

“Malam ni I betul-betul bertuah dapat jumpa bidadari I…” sambung Yusof lagi dengan lirikan matanya yang menggoda.

Jesy usap jemari Iskandar. Pipinya berona kemerahan asyik dipuji.

So sweet, honey,” ujarnya manja.

“You la bidadari yang I cari selama ni, sayang…” Yusof berbisik ke telinga Jesy. Jesy jatuh cinta.

So?” ujar Jesy dengan jelingan manjanya. Bibirnya menerima minuman dari tangan Yusof. Empat mata saling merenung antara satu dengan yang lain.

I’m falling in love with you.” Yusof berbisik ke telinga Jesy, sengaja menggoda wanita muda itu.

Jesy tersenyum lebar.

Me too...” Jesy ikut berbisik sama.

Suaranya yang merdu telah memukau hati Yusof. Dia menggenggam jari-jemari Jesy, seakan-akan tidak mahu dilepaskannya lagi. Mereka saling berbalas senyuman.

Semenjak pertemuan malam itu, Yusof dan Jesy semakin rapat, bagai belangkas. Yusof terlalu mencintai Jesy, apa sahaja kemahuan Jesy akan diturutkannya. Dia benar-benar mabuk cinta dengan model yang cantik rupawan itu.

AIR mata Yusof berlinangan. Makin lama makin lebat. Kenangan silam sering menghantui fikirannya. Dia rasa bersalah dengan Jesy. Kalau boleh dia mahu bawa Jesy ke pangkal jalan tetapi…

“SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKBAR…” Dia ulangi zikirnya satu per satu, bermula dengan menyebut SUBHANALLAH sambil menggerakkan jari-jemari kanannya hingga ke kiraan penghabisan. Setelah itu dia sebut pula zikir yang lain dengan jumlah yang sama.

“Maafkan aku, Jesy…” getusnya perlahan.

Yusof kesal dengan kejahilannya pada masa lampau. Kali ini bayang-bayang Nur Syahadah menjelma pula. Yusof senyum manis. Cinta kerana ALLAH itu sangat indah. Bukan kerana rupa mahupun harta, tetapi semata-mata mencari redha-NYA.

Ya ALLAH, hamba tahu diri hamba ini kotor. Tidak layak hamba bergandingan dengan gadis sesuci Nur Syahadah. Hamba malu, Ya ALLAH. Malu kepada-MU, malu pada Rasulullah S.A.W dan hamba malu pada bakal isteri hamba. Sesungguhnya segala nikmat yang Engkau kurniakan ini amatlah besar. Tidak mampu hamba membalasnya. Hamba terlalu bersyukur dengan segala rahmat yang Engkau kurniakan ini, Ya ALLAH. ALHAMDULILLAH… ALHAMDULILLAH…

Yusof menangis teresak-esak. Bahunya terjingkit-jingkit. Semenjak dia berhijrah ke tempat ini, dia memasang azam untuk berubah seratus peratus. Dia mahu buang zaman jahilnya yang telah berlalu.

Dia tidak mahu lagi dikenali dengan nama ‘Iskandar’ yang terlalu banyak buat onar pada ALLAH. Dirinya memilih nama baru, Muhammad Yusof. Yusof yang sekarang, bukan lagi hamba-NYA yang jahil. Yusof yang sekarang, bersih dari kemewahan yang menjauhkannya dari Tuhan.

“CANTIKNYA tudung ni, Kak Nur. Lembut aje…”

Aku tidak memberi sebarang respons. Aku tahu Iman sengaja memancing minatku. Aku pandang pembalut hadiah yang terkoyak tadi dan isi dalamannya. Tudung labuh berwarna krim berlipat kemas telah pun dikeluarkan Iman. Iman menggayakan tudung itu di hadapan cermin. Berdiri tegak, persis peragawati.

Aku yang duduk di birai katil sekadar merenung hambar. Bukan aku tak sudi, aku rasa bersalah. Malah, aku tak rapat dengan Kak Su dan Abang Haiqal! Jadi, segala pemberian daripada mereka, aku sambut dengan dingin. Aku tak nak berhutang budi, luka ini belum sembuh lagi. Bagilah intan permata sekalipun, aku tidak akan sesekali ambil. Nur Syahadah memang keras hati orangnya, maafkan aku…

Iman tanggalkan tudung tadi dengan riak kecewa. Dia mengeluh berat.

“Kak Nur ni, janganlah sombong sangat. Orang dah kasi, kita ambillah. Tak baik tolak rezeki tau…”

Dia dah mula dah, cik pensyarah dah mula nak bersyarah dengan teks syarahannya. Huh, sabar ajelah! bisik hatiku. Aku membalas renungan Iman. Aku geleng kepala.

“Kalau Iman nak, Iman boleh pakai. Tak ada sebarang pembuangan, kan!” tempelakku.

“Kak Nur, hadiah ni untuk Kak Nur, bukan untuk Iman. Kenapa Iman nak kena pakai pula? Kecil hati Kak Su nanti tau…”

Hatiku sebak. Aku hanya diam membisu.

“Hati Kak Nur ni memang keras macam batu. Iman rasa, batu pun boleh cair tau, tapi hati Kak Nur ni tak cair-cair. Setahu Iman, Kak Nur Iman seorang yang berhati lembut, seorang yang penyayang. Kak Nur yang ada kat depan mata Iman ni pula, angkuh. Pentingkan diri sendiri…”

Zap!!! Kan dah kena setepek ke mukaku! Hurm, katalah apa yang kau nak kata, Iman! Bersyarahlah selagi kau boleh bersyarah, kau takkan tahu isi hati Kak Nur. Tidak sama sekali…

“Diam. Diam…” ujarnya.

Aku memaku diri.

“Diam ajelah yang Kak Nur boleh buat, kan? Bila Iman buka mulut, bercakap. Kak Nur bukannya nak dengar. Memanjang diam aje. Berbuih-buih dah mulut Iman ni nasihatkan, Kak Nur bukan nak dengar pun. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Hati Kak Nur ni ada besi ke keras sangat? Isy, meh sini Iman korek, keluarkan besi yang menghalang kakak Iman ni dari berbaik dengan Kak Su.”

Aku kawal tawa, lucu pula dengar bebelan Iman kali ini. Iman mewarisi perangai umi, kuat membebel. Sebenarnya, setiap yang diperkatakan Iman sentiasa melekat ke dinding hatiku. Aku sengaja pura-pura tidak memahami, padahal selama ini aku terharu dengan kematangan adikku itu.

Iman tepuk dahi. Penat membebel, kakaknya pula macam orang OKU, orang pekak bisu. Diam sahaja tanpa memberi sebarang respons.

“Okeylah, lain kali Iman bagi nasihat lagi erk. Buat masa sekarang ni, Kak Nur ambil tudung ni.”

Dia serahkan tudung tadi ke tanganku. Tapi aku biarkan sahaja. Aku masih memandang kaku ke arahnya. Malas mahu berdebat kalau Cik Iman sudah bersyarah. Yang baik aku ambil, walau terpaksa aku telan pahitnya.

“Lepas ni, ikut Kak Nurlah. Iman tak nak paksa. Kak Nur nak pakai ke, Kak Nur nak simpan buat pekasam ke, itu hak Kak Nur. Iman cuma mampu bagi nasihat aje. Kalau Kak Nur tak nak dengar juga, Iman tak boleh kata apa dah…” luahnya.

Aku lemparkan senyuman kepadanya.

“Terima kasih ambil berat…”

Iman terkejut. Peliklah agaknya dengan senyumanku yang tidak semena-mena. Mesti dia ingat aku nak marah dengannya.

Iman lepaskan keluhan berat, dia duduk di sebelahku. Kepalanya disandarkan ke bahuku. Aku tidak menolak, mengikut sahaja rentaknya.

“Iman bukan nak memihak kepada sesiapa. Iman rindukan kita bertiga berbaik-baik macam zaman dulu-dulu. Bergurau, sakat-menyakat. Dulu Kak Su suka sakat Kak Nur, kan? Lepas tu, Kak Nur ajak Iman kacau Kak Su, kita balas dendam balik. Kak Nur ingat tak lagi, kita pernah rosakkan kertas seni Kak Su. Masa tu Kak Su buat poster bertemakan tulisan khat. Kita kacau tulisan arab tu sampai jadi tulisan tamil. Penyudahnya, kita kena berlari sebab kena kejar dengan Kak Su. Dia siap bawa penyangkut baju lagi tu nak hambat kita. Geram betul dia masa tu, kan?” selorohnya.

Aku sebak, lidahku kelu mendengar luahan Iman. Tanganku berlingkar ke pinggangnya, lalu aku peluk Iman.

“Setiap orang ada lakukan kesilapan dalam hidup mereka, Kak Nur…” sambungnya dengan nada sayunya.

“Kak Nur tahu…” Hatiku tergerak untuk membalas luahannya. Kali ini, hatiku agak tergugat dengan nada suara Iman yang seolah-olah merengek bagai anak kecil itu.

“Kalau Kak Nur dah tahu, kenapa nak simpan marah tu lagi”

Hurmmm…”

“Susah sangat ke Kak Nur nak maafkan?” Iman takut-takut menyoalku.

“Kak Nur dah lama maafkan tapi Kak Nur tak boleh lupakan hal dulu. Kak Nur dah cuba, memang tak boleh. Iman ingat Kak Nur suka ke hidup macam ni? Hidup dengan kenangan silam…” Akhirnya aku luahkan segala yang terbuku dalam hati. Pipiku sudah mula basah.

Kepala Iman mendongak, memerhati wajahku.

“Kak Nur menangis?” soalnya terpinga-pinga. Agaknya situasi itu begitu janggal buat dirinya yang selama ini hanya nampak kekerasan di wajahku.

Iman kesal. Selama ini dia salah sangka. Dia fikir Kak Nur berdendam, rupa-rupanya kakaknya menyimpan duka.

“Iman minta maaf, Kak Nur. Iman tak faham hati Kak Nur…”

Diriku dipeluk. Iman mengusap-usap bahuku, memujuk.

Aku angguk. Hanya air mataku yang berbicara tika ini. Memori kami, tiga beradik yang diceritakan Iman tadi, benar-benar meruntun hatiku. Bukan Iman sahaja yang rindu. Aku yang berhati batu ini pun sangat merindui saat-saat kemesraan lalu.

“Kak Nur dah lama maafkan mereka,” ujarku dalam esak tangisku.

Syhhh… Dah Kak Nur, jangan cakap lagi. Iman tahu. Maafkan Iman. Maafkan Iman sebab dah buat Kak Nur sedih, ya?” Nada suara Iman sudah mula serak. Sebak mendengar esak tangisku. Dia ditujah rasa bersalah kerana membangkitkan kesedihan aku.

Aku angguk.

“Lepas ni Iman janji takkan ungkit hal ni.” Iman mengangkat tangan, menunjuk janji.

Aku senyum dalam kesedihan.

Promise,” katanya lagi.

“Doakan supaya Kak Nur dapat lupakan semuanya, ya?”

Iman angguk. Tubuhku dipeluknya lagi.

“Iman sayang Kak Nur, sayang Kak Su. Dua-dua Iman sayang sangat-sangat tau.”

Air mataku mengalir lebih deras.

“Kak Nur pun sayang Iman dan Kak Su…”

Iman menangis. Aku lagilah makin galak menangis. Kami berpelukan seketika.

“Kenapalah keluarga kita jadi macam ni, kan?”

Aku hanya mendengar luahan Iman tanpa mampu menyokong. Aku tak tahu nak cakap apa. Segala-galanya sudah ditetapkan oleh ALLAH.

“Iman nak kita semua bersatu. Macam keluarga orang lain…” luahnya lagi.

Aku menangis lagi. Tak tahu sampai bila kami akan bazirkan air mata untuk menangisi perkara yang sudah berlalu. Ya ALLAH, kami redha, kami pasrah, kami berserah diri kepada-MU…

Memuja alpa,

Memuja dosa…

~Datin Norlya~

 

PUKUL 9.00 malam, banglo milik keluarga Dato Yusri dan Datin Norlya masih ‘suam-suam suku’ dengan bahang panas. Tarian ala-ala disko semakin rancak, ruang tamu mereka persis pentas tarian yang bingit dengan muzik dan bergemerlapan dengan cahaya lampu di sini sana.

Suasana riuh manusia lebih kuat kalau nak dibandingkan dengan keramaian para penonton pentas muzik yang bersorak saat kemunculan artis kesayangan mereka yang berada di atas pentas.

Bahang panas tadi beralih pula pada skala kepanasan maksimum. Beberapa pemuda dan pemudi saling bercumbuan. Ilai tawa mereka riuh. Masing-masing lincah menari mengikut rentak muzik yang kian rancak kala malam berinjak ke pagi. Nun di sudut kanan, berhampiran pertengahan antara ruang tangga dan ruang tamu, seorang wanita begitu leka meneguk minuman keras. ‘Anak ikannya’ semakin berani menjalarkan tangan, meraba sesuka hati.

Alex, pemuda kacukan Cina beranikan diri membelai ‘kekasih gelapnya’ agar wanita yang lebih tua 20 tahun daripada usianya itu rebah dalam permainan cintanya. Tawa mereka kian berpanjangan, mengilai-ilai bak orang yang tidak siuman. Sesekali Datin Norlya berbisik-bisik, Alex ketawa berdekah-dekah, terpaksalah dirinya melayan kerenah Datin Norlya.

“Busuk betul orang tua tu tau. Bilik I tu dah bau tahi…” Datin Norlya menghabiskan sisa tawanya.

“You tak risau ke kalau dia dapat tahu hubungan kita ni?” soal Alex.

Don’t worrylah, sayang. Orang tua tu tak dapat buat apa-apa. Dia tu dah nak mampus. Nak angkat tangan pun tak larat, ini kan pula nak belasah kita. Hahaha…” Datin Norlya tertawa lagi, menghabiskan baki minuman kerasnya yang terakhir.

Alex ikut ketawa. Bodohlah kau mak cik tua, kau ingat kau tu hot sangatlah, ya?! Aku gilakan duit kau, bukan kasih sayang kau. Eee, orang tua tak sedar diri!

“I bukan apa… I kasihan kat you, sayang. Yalah, I risau kalau Dato dan anak lelaki you tu akan jadi penghalang untuk kita teruskan niat kita ni. I tak boleh hidup tanpa you, sayang. I love you so much…” ujar Alex.

Geli geleman terasa apabila dia mengungkap ayat romantis itu! Kalau bukan kerana harta, dia takkan bazirkan air liur dan masa melayan kehendak Datin Norlya yang perasan muda itu. Memikirkan habuan yang bakal digilapnya, dia rela berkorban jiwa dan raga demi wang.

“I tahu, sayang. I love you too. Tunggulah. Sabar, ya? I akan jadi milik you juga suatu hari nanti…”

“Anak you Si Is tu apa cerita? Dah dekat tiga bulan tak ada khabar berita pun. You still trust him?” Alex mahu tukar topik.

“Is takkan bolot harta I, sayang. Bagilah I masa, I perlu cari dia. Syarikat Amilin akan tumbang kalau tak ada dia. I tak reti nak uruskan business ni. Dulu pun Dato dan Is yang usahakan. I goyang kaki aje kat rumah…” ujar Datin Norlya manja.

Alex geram. Iskandar juga yang dicarinya. Macamlah aku ni tak berguna langsung. Apa yang susah sangat nak lantik aku gantikan tempat Iskandar? Isy, menyusahkan betullah orang tua ni, desis Alex dalam hati.

Alex tersenyum ketat.

“You tak nak I gantikan dia ke?”

“Bukan macam tu, sayang. I kenalah hormati Iskandar. Apa pun dia tetap anak kandung I, darah daging I. I takkan ketepikan dia. I’m sorry...” Datin Norlya memainkan watak gediknya, jari-jemarinya mengelus kolar baju Alex. Kepalanya sudah pening lalat, mabuk.

Alex mengucup pipi Datin Norlya, terpaksa beralah. Dia berperangai ala-ala lelaki romantis dan penyayang demi memenangi hati Datin Norlya. Sesekali ekor matanya mengerling seseorang. Dia curi-curi pandang insan yang sedang memerhati dirinya sejak tadi. Gadis yang memakai gaun merah jambu melambai tangannya kepada Alex. Alex ikut melambai, tetapi dengan penuh berhati-hati.

“I tunggu you dalam bilik tau, lepas aje Datin mabuk, you bawa dia masuk bilik lain. Selesai tugas you, datang ke bilik I, I nak jumpa you. Rindu…”

Alex mengingati perbualannya dengan Anis siang tadi. Suara menggoda Anis, mengingatkan Alex tentang misi sebenar mereka. Dia sanggup lakukan apa sahaja demi Anis, kekasih hatinya yang tersayang. Kerana Anis jugalah, dia sanggup memikat Datin Norlya, berpura-pura jatuh cinta. Semua itu demi kebahagiaannya dengan Anis.

“Anak lelaki I takkan jadi penghalang kita. Dia takkan berani apa-apa kan kita sayang. Dia hormat I. I kan ibunya…”

Datin Norlya menyuakan minuman keras ke muncung bibir Alex. Alex terpaksa minum dari bekas minuman wanita tua itu. Geli-geleman dirinya saat meneguk air arak yang baru diambil Datin Norlya tadi.

Gara-gara tamakkan duit, dia rela lakukan perkara sebegini. Malah, nyawa pun sanggup digadainya. Kedua-dua pasangan itu saling ketawa. Datin Norlya teruja dengan pacar mudanya, Alex pula sudah tidak sabar lagi bertemu dengan kekasih idamannya.

Parti itu masih berlanjutan biarpun jam sudah bergerak ke angka 12 tengah malam. Alex biarkan Datin Norlya meneguk beberapa gelas yang berisi arak, mudahlah dirinya meloloskan diri. Anak matanya menjeling Anis, dua mata saling merenung antara satu sama lain. Senyuman Anis kian melebar, dia tahu mak saudaranya sudah masuk jerat.

“You mesti pikat mak saudara I, buat sampai berjaya. You boleh bolot harta orang tua tu lepas suaminya mampus. Tapi you kena kahwin dengan auntie I, you sanggup?”

Alex teringat lagi perbualannya dengan Anis beberapa hari yang lalu.

“I sanggup sayang, asalkan I masih bersama dengan you. I nak you bahagia dengan kemewahan yang akan I rampas tu…”

Anis mengucup pipi Alex, tanda terima kasih yang tidak terhingga.

“I akan pastikan you dapat hak you. Tentang abang saudara I tu, you jangan risau. I dah ada pelan baik punya…”

Alex lemparkan senyuman kepada Anis yang sedang memerhati gelagat Datin Norlya dan dirinya. Kekasihnya memang bijak dalam merancang. Dia tidak sebijak Anis. Alex hanya pandai menjalankan watak, bukan perancang yang hebat seperti Anis.

Segala-galanya dilakukan dengan penuh hati-hati. Tiada seorang pun yang mengesyaki Anis ketika Dato Yusri kemalangan jatuh tangga di rumah ini. Mereka ingat, Dato Yusri akan meninggal dunia, perancangan mereka ada cacat sedikit memandangkan Dato Yusri sekadar lumpuh separuh badan akibat kecederaan yang teruk di kepalanya.

DATO YUSRI menangis, mengenang kejahilannya yang lalu. Dia gagal didik anak dan isteri ke jalan yang benar. Jalan yang dilalui mereka selami ini, bercabang-cabang. Bengkok dan gelap. Dato Yusri menyesal. Menyesal sungguh dirinya kerana melimpahi anak dan isteri dengan kemewahan.

Apa boleh buat, nasi sudah jadi bubur. Saat tubuh badannya sudah tidak larat lagi melakukan rutin harian, barulah pintu keinsafan mula mengetuk hatinya untuk berubah. Semenjak dirinya lumpuh separuh badan, Dato Yusri tidak mampu berdiri untuk mengerjakan solat fardu. Hanya mampu duduk di atas kerusi rodanya.

Dulu Dato Yusri selalu tinggalkan solat, tiba waktu rajin, dia solat. Bila malas sahaja, dia tak solat. Bab mengaji paling liat. Dulu dia hanya jadikan kitab al-Quran sebagai hiasan di rumah atau di pejabat. Itu pun sebab ada orang yang hadiahkan. Agaknya kalau tak ada yang beri, dia dan keluarga takkan kenal kitab suci itu.

Ayifff… Baaa… Aaa…”

Payahnya Dato Yusri menyebut huruf-huruf al-Quran. Suaranya pelat dan berterabur gara-gara sebelah wajahnya yang lumpuh. Nak buka mulut pun senget, apa lagi nak bercakap. Guru agama peribadi yang diupahnya, kadangkala garu kepala, berkerut kening memikirkan cara.

Kesabaran si guru sungguh tinggi untuk mengajar orang tua sepertinya yang tidak mampu menyebut dengan sebutan yang betul. Rugi, memang masanya rugi. Waktu sihat lupa diri, waktu sakit baru ingat mati. Renungannya jauh. Mengenang si anak yang menghilang pula.

Air mata Dato Yusri mula deras, hati pula memanggil nama si anak. Iskandar, ke manalah dia membawa diri? Merajuk sampai tak ingat dirinya lagi. Baliklah Is, papa minta maaf. Papa nak jumpa kamu sebelum papa hembuskan nafas papa yang terakhir, bicaranya dalam hati. Berharap anak yang menghilang, segera pulang.

Ukkk… Hukkk…” Batuknya menjadi-jadi. Dada Dato Yusri berombak-ombak kala batuk menyerangnya lagi. Bunyi bising di bawah biliknya kian kuat kedengaran. Jantungnya bagai nak tercabut, hatinya pula menyirap. Geram betul dia dengan perangai si isteri yang derhaka.

“Saya bawa minuman dan ubat untuk Dato ni. Makan ubat dulu sebelum tidur, ya…”

Dato Yusri segera angguk, tetapi agak payah oleh kerana kudratnya yang sangat lemah. Dia berusaha untuk bangun, bersandar ke hujung kepala katil. Tangan kanannya menggigil-gigil, tangan kiri pula tidak berfungsi. Lambat juga dia mengambil masa untuk bangun, disebabkan sebelah badannya yang tidak lumpuh itu tiada sokongan daripada anggota badannya yang lumpuh.

Mah Mah suakan ubat ke tangan Dato Yusri. Usai telan ubat, Dato Yusri teguk pula air suam yang dihulurkan Mak Mah kepadanya. Dia tidak mampu pegang, hanya mampu gerakkan muncung bibirnya.

Mak Mah yang mengerti keadaan majikannya tetap sempurnakan tugas sebaik yang mungkin. Gelas tadi diletakkan di atas dulang. Mak Mah letakkan dulang tadi di atas meja kecil berdekatan bilik air.

Sambil menyelimuti Dato Yusri dari paras kaki hingga ke pinggang, dirinya bersuara, meluah rasa yang terpendam.

“Mak Mah bukan nak menyibuk Dato, tapi hati ni macam kena siat. Hesy, sakit mata Mak Mah ni ha. Perangai Datin Norlya makin menjadi-jadi sejak Encik Is tak ada kat banglo ni. Dah banyak kali dia anjurkan parti haram tu, Dato. Mak Mah tengok dia orang semua tu sebiji macam monyet yang tak ada otak, terkinja-kinja. Bau arak tak usah nak cakaplah kan, pening kepala Mak Mah dengan baunya. Dato dengan Mak Mah tetap berdosa, walaupun tak terlibat sama…” adunya panjang-lebar.

Derhakanya kau, No… Sampai hati kau jadikan rumah kita ni sarang maksiat, desis Dato Yusri dalam hati. Dato Yusri sakit hati mendengar aduan daripada Mak Mah. Mulutnya yang senget itu bersuara dalam kepayahan.

Aaatttuuu… Aaatu… Aaang aaalah… Atuuu.” Dato Yusri berusaha menyatakan kesalannya. Ayat ‘aku yang bersalah’ tidak mampu dituturkan dalam keadaan yang normal. Entah Mak Mah faham ke tak bicaranya. Air matanya tumpah.

Memang aku yang bersalah, Mah. Aku yang salah didik. Memang padan muka aku. Ini semua balasan ALLAH. Dulu aku gunakan pinjaman yang diberi-NYA ke jalan maksiat. Sekarang ni Dia tarik sikit-sikit pinjaman-NYA. ALLAH, ampunkan aku, detik hati Dato Yusri kesal. Air matanya laju sahaja mengalir.

Dahi Mak Mah berkerut, cuba memahami bicara si lumpuh yang bermulut herot-berot. Tetapi apakan daya, dirinya tidak mengerti bahasa orang lumpuh. Dia membuat andaian yang majikannya tengah marah dengan kelakuan isterinya.

Kasihan Dato, dahlah anaknya tak balik-balik, ada isteri pula tak sedar diri. Berjimba sakan, berseronok dengan lelaki muda. Hesy, kalau aku jadi Dato, memang dah lama aku hilang sabar, bebel Mak Mah dalam hati.

“Sabar ajelah, Dato. Doa banyak-banyak. Mak Mah harap sangat Datin tu akan berubah baik. Kita nak cegah tak mampu, doa ajelah yang dapat kita buat, Dato,” sambung Mak Mah.

“Ha, baru Mak Mah ingat. Petang tadi Si Mail ada bagi tahu yang kawan Encik Is tahu Encik Is pergi mana. Kalau tak silap, dia cakap Encik Is ada kat Johor sekarang ni. Kita susah nak berhubung dengan Encik Is sebab dia matikan telefonnya. Harap-harap mereka dapat kesan kat mana dia tinggal sekarang ni kan, Dato.”

Ihhh… Ihhh...”

Mak Mah teka, majikannya berusaha menyebut perkataan Is.

“Ya, Encik Is, Dato.”

Uuuruh iiia atang iiini...” Dato Yusri terharu, beria-ia mahu mereka menyuruh Iskandar pulang bertemu dengannya.

Mak Mah garu kepala.

“Maaflah Dato, Mak Mah tak faham apa yang Dato cakap. Tapi Dato jangan risau lagi, ya? Mak Mah yakin kita dapat jumpa Encik Iskandar balik…” Mak Mah lemparkan senyuman, berharap berita yang disampaikannya tadi sedikit sebanyak menggembirakan hati si majikannya.

Dato Yusri pejam matanya. Maafkan papa, Is. Kalau dari dulu lagi papa dengar cakap Is, keadaan takkan jadi teruk sampai macam ni, luah hatinya meratapi kehilangan anak tunggalnya.

“ALEX tak boleh dipercayai papa, jangan bagi dia jawatan yang penting dalam syarikat ni. Dia tu talam dua muka, kaki temberang. Is tahu dia ada hubungan dengan Anis. Is tahu niat jahat Mak Cik Juli dan Anis. Is dah lama perhatikan tindak-tanduk mereka. Mereka nak jatuhkan papa. Papa sedar tak?”

Dato Yusri naik berang, pantas sahaja tangannya menepuk permukaan meja.

“Jangan nak fitnah orang, Is. Mereka tu ada kena-mengena dengan darah daging kamu. Mak Cik Juli tu adik papa, Anis tu anak saudara papa, sepupu kamu!”

Iskandar naik hantu, jari-jemarinya digenggam sekuat hati. Sakit hatinya mengenangkan ayah kandung sendiri berpihak kepada musuh. Papanya menuduh pula dirinya memfitnah, makin sakitlah hatinya.

“Jangan suka sangat tuduh sembarangan, kalau bercakap tu kena tunjukkan bukti. Kamu tak boleh main tuduh-tuduh, tuding jari sesuka hati kamu!”

Iskandar meramas-ramas rambutnya. Hatinya mendidih, rasa nak cabut rambutnya yang berserabai. Dia mati kutu dengan sikap sambil lewa papanya. Anis, anak Mak Cik Juli pernah gelapkan wang syarikat sebanyak sepuluh ribu ringgit. Dia tiada bukti, sebab itulah papanya masih sayangkan sepupunya yang pandai berpura-pura baik di hadapan papanya.

“Duit yang lesap tu memang bukan kerja orang luar, papa. Kerja orang terdekat juga. Siapa lagi kalau bukan Mak Cik Juli dan Anis tu? Mereka memang licik, jadikan Alex sebagai hamba suruhan, mereka pula lepas tangan. Itu baru jumlah sepuluh ribu yang kita detect, sebelum ni entah berapalah wang yang lesap dikebas mereka. Is tak tuduh, Is pernah nampak Anis dengan Alex, bukan main mesra lagi. Is yakin Alex orang yang sangat bahaya pada keluarga kita, pa. Kita kena buang dia secepat yang mungkin…”

“Sudahlah Is, papa tak nak dengar lagi. Jangan mengarutlah…”

Iskandar berang.

“Tolonglah jangan bagi muka dekat dia orang sangat, papa. Papa masih tak nampak lagi ke permainan mereka?”

“Berambus kau dari sini. Jangan kau berani datang ke pejabat ni lagi selagi kau tak basuh fikiran kotor kau dan selagi kau tak cuci karat dengki yang ada dalam hati kau tu!” tengkingnya.

Iskandar senyum sinis.

“Bagus papa, bagus. Papa bijak tapi sayangnya, orang yang sebijak papa ni boleh dipijak-pijak orang…”

Get out!” Nada suara Dato Yusri kian tinggi. Dadanya terasa mencucuk. Dia menyandarkan belakang tubuhnya ke kerusi. Tangannya mencari-cari sesuatu. Laci meja ditariknya.

Iskandar sudah hilang dari pandangan. Dirinya pula hilang kawalan, mungkin sakitnya menyerang. Jantungnya seakan-akan berhenti berdenyut. Tangannya kelam-kabut mencari ubat yang tersimpan di dalam laci meja pejabatnya. Namun belum sempat tangannya mencapai, dadanya mencucuk-cucuk. Dia jatuh dari kerusi dan…

“IHHH annn aaar… Ihhh annn aaar...” Dato Yusri menangis. Mula meracau-racau memanggil nama anaknya.

Mak Mah gelisah melihat keadaan Dato Yusri. Dia ke penyebab Dato Yusri melalak sakan? Memang salah dirinya juga. Siapa suruh mulutnya gatal bercerita perihal Encik Iskandar? Entah apalah yang ingin dikatakan Dato Yusri, Mak Mah jadi serba salah kalau Dato Yusri runsing.

“Dato, Mak Mah harap Dato sabar. ALLAH uji sebab sayang kita. Banyakkan doa, Dato. Insya-ALLAH, segala-galanya akan baik-baik aje…” pujuknya.

Aaauuu aakk ihh ann arrr...” ujar Dato Yusri. Dia sangat rindukan Iskandar. Kalau boleh, sekarang juga dia mahu berangkat ke Johor, mencari anaknya.

Errr… Mak Mah keluar dulu ya, Dato. Dato tidurlah, jangan difikirkan sangat masalah tu. Tiap-tiap masalah, pasti ada jalan penyelesaiannya. Kan, Dato?” ujar Mak Mah.

Dato Yusri senyap. Matanya merenung ke arah pintu masuk bilik. Saban hari, dia menunggu tangan insan yang dirinduinya akan membuka pintu bilik, lalu masuk menemuinya. Dadanya sebak, masih merindui Iskandar.

“Insya-ALLAH, subuh nanti Mak Mah kejutkan Dato solat subuh. Rehat ya, Dato. Maafkan Mak Mah kalau ada buat Dato bersedih…”

Mak Mah angkat kaki, sebelum dia menutup suis lampu, kepalanya menoleh ke belakang. Sayu hatinya mengenang nasib Dato Yusri. Dalam sekelip mata sahaja ALLAH tarik nikmatnya. Dari boleh berjalan ke sana sini, Dato Yusri hanya mampu terlantar di atas katil sehingga kini.

Hanya kerusi roda yang mampu meringankan sedikit penderitaan Dato Yusri seandainya majikannya itu mahu ke bilik air atau mandi. Selebihnya, dialah yang akan sediakan apa yang patut buat Dato Yusri. Mak Mah kesal, isteri Dato Yusri pula lepaskan tanggungjawab menjaga suami kepadanya. Dia simpati dengan nasib Dato Yusri yang beristerikan wanita seperti Datin Norlya yang tidak punya hati perut.

MATAKU agak sembab. Sejak akhir-akhir ini, air mataku mudah sangat tumpah. Kadang aku menangis dalam diam tatkala malam menjelang. Waktu yang paling sukar bagiku adalah waktu aku nak lelapkan mata. Ada sahaja yang datang mengganggu fikiranku, membuatkan hatiku sebak.

Kakiku melangkah perlahan-lahan menuju ke kelas. Mujurlah aku masih ada anak-anak murid yang comel-comel. Boleh jugalah aku menumpang rasa gembira. Memandang sahaja wajah kanak-kanak, memang boleh buat hati jatuh suka. Aku tenang dan selesa dengan kanak-kanak.

Aku mengajar kelas Kafa pada waktu petang, selepas zohor. Masa inilah aku dapat campak ke tepi segala masalah yang mengganggu fikiranku. Sekejap pun tak apalah, asalkan aku dapat memeluk rasa damai dalam jiwa.

Aku mengajar di sekolah agama rakyat yang berdekatan dengan Masjid Al-Hikmah. Sejak aku tamat persekolahan, aku ditawarkan untuk mengajar di sini. Kawan abi aku yang berusaha masukkan aku ke sekolah ini. Setelah sekian lama, aku semakin jatuh sayang.

“Assalamualaikum, ustazah. Tak sihat ke? Tak bermaya aje saya tengok.”

Aku tergamam namun sempat aku jawab salam dalam hati, lamunanku terus melayang. Kehadiran Ustaz Syazli Shah melahirkan rasa maluku. Mesti dia sudah lama perhatikan gelagat aku tadi. Guru muda yang gemar menegurku ini, dikurniakan wajah oleh ALLAH persis macam muka Ustaz Don, pendakwah terkemuka yang selalu muncul di televisyen.

Aku tahu Ustaz Syazli Shah mahu mengenaliku dengan lebih rapat. Aku sahaja yang buat-buat tak tahu selama ini. Entahlah, aku minat nak tengok mukanya yang macam Ustaz Don, bukan minat dengan dirinya.

“Sakit ke ni?” soalnya lagi. Ustaz Syazli Shah masih tidak berputus asa biarpun aku tidak jawab pertanyaannya tadi.

“Tak jawab pun salam saya tadi…” usiknya sambil tersenyum.

Isy, aku jawab dalam hatilah! bentak hatiku, tidak mahu mengalah namun aku jawab juga salamnya, mahu memuaskan hatinya.

“Waalaikumussalam…” jawabku dingin.

Ustaz Syazli Shah tersengih-sengih.

“Ustazah tengah sakit ke ni?” Dia menyoal dengan soalan yang sama macam tadi, tetapi lain sedikit susunan ayatnya.

“Haah, tak sihat sikit…” jawabku acuh tak acuh. Terpaksalah aku beri respon memandangkan dia benar-benar mahu tahu. Takkanlah aku nak cerita perihal masalah aku sampai wajahku hilang seri? Dia bukan sesiapa pun, sekadar teman yang sama bidang denganku.

“Laaa… Ya ke ni? Kenapa tak rehat kat rumah aje kalau dah tahu diri tu tak sihat? Jangan paksa diri, ustazah.”

Ustaz Syazli Shah sudah biasa dengan perangai aku yang dingin macam ais, beku macam patung. Yang peliknya, dia masih tidak serik menyapaku walaupun tahu aku tak berapa nak peramah dengannya.

Kalau aku ada keberanian, mahu sahaja aku ubah suara hati tadi menjadi peti suara mulutku. Barulah si kembar Ustaz Don tahu yang aku tidak gemar melayan lelaki yang bukan mahram untukku. Setakat ni, hanya Abang Haiqal dan Akhi Amir sahaja yang pernah rapat denganku, itu pun dengan bantuan orang tengah.

“Demam ke?”

“Tak.”

“Habis tu? Pening kepala?”

“Tak.”

“Cirit-birit ke?”

Astaghfirullahalazim, Ya ALLAH, sabarkanlah hatiku! Heh, ada juga yang kena baling dengan kasut dengan aku kejap lagi ni! Sabar Nur, sabar! Huh…

Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba kawal ton suara yang hampir nak meninggi.

“Saya sakit dada, sakit hati. Dalam badan saya macam panas aje ni…” ujarku. Entah dia faham ke tak bahasa kiasan aku tadi. Aku sahaja yang memahami bahasa perlianku sedangkan dirinya nampak tenang sahaja. Sebenarnya aku tengah rimas sebab Ustaz Syazli Shah menjadi wartawan tidak bertauliah, bertanya itu ini kepadaku.

“Awak letih, kan?” ujarnya.

Aduh, ke situ pula dia! Memang sah dia tak faham apa yang ingin aku sampaikan tadi. Aku malas nak layan, angguk dan setuju sahaja.

“Awak ada penyakit asma ke?”

Aku lihat wajahnya berubah cemas. Maaflah ustaz, aku terpaksa tipu.

“Tak, saya rasa lemah aje tadi. Mungkin penat agaknya…” dalihku.

Barulah wajahnya berubah tenang semula. Hurm, kasihan pula aku tengok dia yang bagaikan ayam berak kapur.

“Saya masuk kelas dulu ya, ustaz. Maaf, assalamualaikum.” Aku bergegas pergi, langkahku agak laju. Mahu segera lari daripadanya.

“Waalaikumussalam,” jawab Ustaz Syazli Shah.

Bagi Ustaz Syazli Shah, Nur Syahadah begitu misteri, sukar dibaca isi hatinya. Bertahun-tahun juga dia cuba ambil hati, sudahnya dia pula yang makan hati. Nasib badan, orang tak sudi takkanlah dia pula nak menonjol diri. Kalau ada jodoh adalah, kalau tak berjodoh pun dia tak hairan.

“ASSALAMUALAIKUM…”

“Waalaikumussalam warahmatullah hiwabarakaatuh, ustazah…”

Bunyi riuh suara anak-anak didikku bergema serata ruang bilik darjah. Saat aku memijak lantai kelas, mereka semua bersatu hati, berdiri tegak. Siap sedia memberi salam. Usai aku jawab salam tadi, mereka membaca doa sebelum mula belajar. Aku menadah tangan dengan senyuman yang sentiasa terukir apabila bertemu mata dengan mereka. Sejuk mataku memandang.

Setelah aku benarkan mereka duduk, tiba-tiba salah seorang anak didikku, menangis sekuat hatinya. Tumpuanku beralih kepadanya. Aku gerakkan kaki, menuju ke arah Aiman yang menangis. Satu kelas bergema dengan tangisannya. Rakan-rakannya yang lain terpinga-pinga, masing-masing memadang ke arah kami, ingin mengetahui apa yang terjadi.

“Madi cubit Aiman…” adu Ika, yang duduk di belakang tempat duduk Aiman. Dialah satu-satunya saksi kejadian. Mataku yang merenung Ika tadi terus menyoroti ke arah kedudukan Aiman dan Madi yang duduk bersebelahan. Aku geleng kepala. Aku pandang Madi, kemudian aku pandang Aiman pula. Silih berganti. Madi sengih takut.

“Tak baik cubit Aiman. Madi tak sayang Aiman, ya?” Aku bermain psiko, kesabaran perlu ada dalam diri seseorang pendidik. Mujurlah kesemua anak muridku makan dipujuk, mudah sikit aku nak kendalikan bahtera yang rata-rata anak kapalnya terdiri daripada anak-anak didikku yang masih tidak akil baligh, tidak matang lagi.

Madi tertunduk, kuyu wajahnya. Aku jatuh simpati tetapi aku harus bersikap adil. Tidak boleh berat sebelah.

“Aiman kawan Madi, kan? Aiman sayang Madi tak?” Aku sentiasa terapkan kasih sayang dalam setiap pengajianku. Aku mahu mereka memiliki nilai-nilai murni. Usia jagung seperti mereka harus diajar perkara yang baik, bukan yang buruk. Aku sengaja psiko Aiman pula, Aiman angguk.

“Tapi Aiman sorokkan pensel Madi, dia yang mula dulu. Madi cubitlah dia. Dia degil, tak nak kasi balik pensel Madi…” Muncung Madi sudah sedepa, mungkin rasa tercabar dengan layanan baik aku kepada Aiman. Aku senyum, terselit geli hati dengan sikap keanak-anakan Madi.

Kali ini Aiman pula tertunduk, rasa bersalah agaknya. Aku sudah lali dengan situasi begini. Aku gerakkan tanganku, aku usap rambut Madi, penuh gemalai. Aku suka belai rambut kanak-kanak, tambahan lagi kepada anak yatim seperti Madi.

Aku terfikir seseorang yang istimewa, Rasulullah S.A.W. Baginda sangat menghormati dan menyayangi anak yatim. Baginda juga gemar mengusap kepala anak yatim. Hikmah berbuat baik kepada anak kecil terutama anak yatim, tentunya mengajar diri dari rasa rendah diri, tidak bongkak mendongak langit.

Lagipun, kanak-kanak seperti Madi dan Aiman merupakan ahli syurga, sayangnya ramai manusia dewasa melayan ahli-ahli syurga dengan layanan yang buruk. Kadang mereka disepak, ada yang ditendang, didera dan macam-macam lagi. Paling menyedihkan, ada segelintir ahli syurga dibuang merata-rata gara-gara perbuatan haram ibu bapa mereka yang berzina.

ALLAH, hatiku sebak mengenang zina. Mungkin kerana itulah aku tidak mampu melupakan perbuatan Kak Su dan Abang Haiqal. Aku benci kerana mengingatkan bayi-bayi yang dibuang dan diperlakukan seperti binatang. Hatiku tidak tenang, teringat kembali masalah lampau antara aku, Kak Su dan Abang Haiqal. Hurm, sedihku datang menjengah seketika.

“Aku main-main ajelah. Aku tak nak pun pensel kau. Nah ambil balik!”

Suara Aiman menyedarkan aku dari tersasar jauh. Aku halakan mataku kepada mereka berdua. Aku geleng kepala.

“Eleh, dah kena marah dengan ustazah, baru nak bagi aku…” perli Madi.

“Diamlah kau…”

“Kau diam, gemuk.”

“Pendek, pendek. Aiman pendek…” Gilirin Madi pula yang mengejek.

“Kau gemuk, gemuk.”

“Madi, Aiman. Sudah. Tak baik ejek-ejek orang. Salam, minta maaf. Madi sayang Aiman, kan?”

Madi terdiam. Matanya melirik kepadaku. Aku pandang Aiman pula.

“Aiman sayang Madi, kan? Aiman kan kawan Madi. Balik sama-sama, pergi sekolah pun sama-sama, kan?” Aku cuba memujuk menggunakan kelembutan.

Kedua-dua anak muridku terdiam.

“Ustazah tanya ni, Aiman sayang Madi tak?”

Akhirnya Aiman mengalah juga dengan pertanyaanku, dia angguk. Madi menjatuhkan kening, kesal agaknya.

“Madi sayang Aiman?” alihku kepada Madi pula.

“Sayang.”

“Kalau sayang kawan, minta maaf, salam dan peluk Aiman.” Aku mengukir senyuman. Lega hatiku saat melihat mereka berdakapan. Krisis anak kecil amat mudah diselesaikan antara mereka. Mereka mudah melupakan dan mudah memaafkan. Sepatutnya orang dewasa sepertiku mengambil iktibar dari pergaulan kanak-kanak. Aku teringat seseorang. Wajahku terselindung sayu.

Kak Su… Hurmmm

Sebenarnya aku rindukan dia, tetapi aku tak tahu nak mula dari mana. Hubungan kami sudah jauh, teramat jauh. Macam mana aku nak sambung balik, ya? Hurm

“Ustazah, ada pak cik bagi surat. Pak cik tu kata namanya mr. sweet…”

Erk, mr. sweet? Berderau darahku dengan sapaan daripada Sofea. Mataku melilau sekitar luar bilik darjah, mahu mencari kelibat orang yang memberi surat kepada Sofea. Tak ada pula bayang si mr. sweet. Heh, berani sungguh Muhammad Yusof menggunakan perkataan begitu dengan anak kecil! Aku ketap bibir, diterpa malu.

Aku pandang Sofea yang duduk bersebelahan tingkap di hujung baris meja akhir. Sofea bangun, melulu menuju arah di mana aku sedang berdiri, sambil menayangkan surat kuning kepadaku. Aku sambut dan bertanya.

“Pak cik tu ada kat luar ke?” soalku kepada Sofea setelah surat tadi bertukar tangan.

Sofea geleng kepala.

“Dah balik kut…”

Aku kerling lagi sekeliling pemandangan luar melalui tingkap. Kosong. Tiada satu pun kelibat manusia. Aku menarik nafas tenang. Sofea pula sudah duduk ke tempat asalnya tanpa menunggu aku balas semula kata-katanya tadi.

Aku terus berjalan ke hadapan tanpa mengeluarkan isi surat itu. Surat tadi aku selitkan ke dalam bukuku yang ada di atas meja. Hesy, jantungku tiba-tiba buat senaman hari ni! Gara-gara penangan surat daripada Muhammad Yusof, aku terpaksa mengajar dalam keadaan jantungku berlari deras. Kenapa pula aku gelabah semacam ni, heh?

Bismillahirahmanirahim… Hatiku berbisik kalimah ALLAH. Aku cuba mencari ketenangan sebelum memulakan pekerjaan.

“Hari ni ustazah nak cerita tentang kisah semut atau nama arabnya naml.”

Aku lupakan seketika kewujudan surat tadi, tumpuanku beralih arah kepada mereka semua. Sebahagian mulut anak-anak didikku sudah terbuka sedikit, khusyuk terhadap penceritaanku sebentar sahaja lagi. Aku ukir senyuman.

“Firdaus, tutup mulut tu, nanti masuk lalat.”

Gurauanku disambut tawa oleh yang lain. Firdaus tersengih-sengih. Anak muridku yang seorang ini memang berperangai begitu, suka melopong dan mengangga mulut. Senyumanku melebar.

“Mulianya semut-semut ni sampai ALLAH adakan surah dalam al-Quran, khas untuk semut. Siapa tahu apa nama surah yang ada nama semut?” Aku sengaja memancing minat mereka untuk menumpukan sepenuh perhatian kepadaku. Aku suka berkongsi cerita dengan mereka, mahu naikkan semangat mereka untuk mencintai Islam. Bukan hanya belajar dan hafal segala ilmu agama tanpa mengamalkannya.

Satu kelas diam.

“Tahu tak?”

Ramai yang menggeleng-geleng kepala.

“Surah An-Naml, kisah semut dengan Nabi Sulaiman. Nak dengar tak?”

“Nak!!!” Satu kelas menjerit serentak, menjerit suka.

Aku segera capai kerusi guru, kubawa ke tengah-tengah ruang hadapan yang menghadap mereka. Aku perhatikan satu per satu wajah yang sedang merenungku, terasa lapang.

YUSOF mengintai semula di tepi tingkap. Tadi dia menyorok di belakang tembok, takut kehadirannya diketahui oleh Ustazah Nur Syahadah, merangkap bakal isterinya. Senyumannya melebar menatap wajah yang sedang tersenyum manis itu.

“Comelnya bakal isteri aku. Ooo, kalau dengan aku, bukan main sombong lagi, ya? Dengan budak-budak tu boleh pula rapat, siap senyum-senyum pula tu. Untunglah budak-budak ni boleh tengok senyuman mahal Cik Nur Syahadah. Dia dengan aku, usahkan nak senyum, nak pandang muka aku pun takut-takut. Macamlah aku ni hantu…” bebelnya separuh berbisik. Dia menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap cerita Nur Syahadah. Matanya masih tegak, tidak berkerdip memerhati insan yang disukainya.

Eh, apa pasallah budak ni duk terhendap-hendap tu? Lain macam aje ni. Haaa, ni memang tak ada kerja lain lagi ni, nak mengintai anak dara orang aje kerjanya. Aku tak boleh biarkan, bisik hati Ipin, jaga sekolah yang kebetulan mahu ke kantin.

Ipin yang diserang rasa pelik, menepuk-nepuk bahu pemuda yang terhendap-hendap sejak tadi.

Syhhh, jangan kacau. Nanti dia nampak kita…” bisik Yusof. Dia boleh lupa, dia seorang sahaja yang datang ke tempat ini. Tiada teman yang bersamanya.

Ipin tepuk belakang Yusof lagi, berulang kali. Wajah sinisnya disertai dengan ketapan bibir, geram kerana dirinya tidak dilayan.

“Isyyy, kacau ajelah. Jangan gang…” Yusof tidak menyudahkan ayat akhirnya. Dia sengih malu saat matanya tertoleh ke belakang.

Ipin pura-pura sengih, memaniskan wajah. Jari telunjuknya menunjuk ke arah dalam bilik darjah, kemudian ke muka Yusof. Silih berganti. Keningnya terangkat.

Yusof yang seakan-akan mengerti maksud isyarat jari telunjuk daripada lelaki tua yang beruban itu, terus sahaja berbisik ke telinga Ipin.

“Ooo, pak cik nak tahu apa saya buat kat sini?” tanyanya dalam bisikan.

“Ha, lebih kurang macam itulah, nak,” perli Ipin.

Yusof malu sendiri.

Errr… Saya nak dengar kisah semut.”

“Semut?”

Laju Yusof angguk.

“Isy… Isy… Semut, ya?”

Yusof sengih. Segan.

“Apa ceritanya dengan semut tu? Hihihi…” Ipin perli dalam tawanya yang dibuat-buat. Tawanya perlahan, hanya mampu didengari mereka berdua.

Yusof gelabah, berusaha memikirkan jalan keluar. Bahaya betul pak cik ni, tak pasal-pasal aku kena tangkap kejap lagi! bisik hati kecilnya.

Mujur dia cepat-cepat cover line, Yusof ajak pak cik tadi mencangkung bersama-sama dengannya. Ipin macam orang dungu, jadi pak turut. Lelaki lurus bendul itu lupa pada tanggungjawabnya yang harus membanteras jenayah di kawasan jagaannya.

“Semut ni dikenali juga dengan nama naml. Dalam surah An-Naml ada kisah semut ni. Ustazah tu cakap, ayat yang ke 18 dan 19…”

“Ooo…” Ipin bagai dipukau. Terangguk-angguk, teruja mendengar bicara anak muda itu.

“Kisah semut ni terjadi dalam zaman pemerintahan Nabi Sulaiman…” Yusof gerakkan tangannya ketika memulakan cerita.

Ipin mendengar dengan penuh tekun.

“Ni apa yang saya dengar dari cerita ustazah tadi. Saya tahu sikit-sikit aje, pak cik…”

“Yalah, apa kebendanya tu? Kamu ceritakan ajelah, tak usahlah buat aku suspens.” Ipin sudah tidak sabar mahu mendengar kisah selanjutnya.

Yusof sengih, wajahnya kembali serius.

“Nabi Sulaiman mendapat keistimewaan memahami bahasa binatang. Sejak kecil lagi, baginda memang seorang yang sangat cerdik, pintar, pandai menyelesaikan masalah dan macam-macam lagi. Semasa baginda dan segerombolan rakyat jelatanya, yang terdiri daripada umatnya, malaikat, jin serta binatang-binatang hendak menuju ke lembah Asgalan, baginda menyuruh rakyat jelatanya berhenti di pertengahan jalan, berhampiran kawasan kediaman lembah semut. Boleh dikatakan tempat tu memang kerajaan semut, sebab ada ratu semut dan sarang-sarang semut yang tidak terbilang banyaknya…” Beria-ia benar Yusof bercerita, siap menggayakan tangannya. Penuh minat.

Ipin angguk berulang kali, jatuh cinta dengan kisah yang diceritakan Yusof.

“Berhentilah sejenak, kita beri waktu kepada makhluk ALLAH untuk menyelamatkan diri…” ‘Wahai nabiyullah, kenapa kita berhenti di tengah jalan?’ Salah satu dari rombongan bertanya kepada Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman balas semula. ‘Di depan ada lembah semut, yang di dalamnya terdapat jutaan semut. Mereka akan kusuruh berlindung agar tidak terpijak oleh kita.’ Kalau abang nak tahu, rupa-rupanya Nabi Sulaiman mendengar rintihan ratu semut yang berbunyi begini, ‘hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.’ Surah An-Naml, ayat 18.”

“SUBHANALLAH…” Ipin kagum dengan kebesaran ALLAH menghadirkan mukjizat kepada Nabi Sulaiman yang boleh memahami bahasa binatang.

“Nabi Sulaiman tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Dan dia berdoa: Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-MU yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-MU ke dalam golongan hamba-hamba-MU yang soleh. Surah An-Naml, ayat 19,” ujar Yusof sebak.

Ipin juga sebak.

“Semut pun ada kisahnya kan, lebih mulia dari manusia. Malah, disebut-sebut ALLAH dalam kalam al-Quran…”

“Itulah, tengok ajelah zaman la ni. Macam-macam kes, kelakuan manusia yang teruk ni lebih hina dari binatang. Mulia lagi semut,” sokong Ipin setelah mendengar huraian Yusof. Masing-masing berkongsi pendapat dan bersembang, bercerita tentang hal-hal yang berkaitan dengan dunia akhir zaman.

AKU menyambung lagi kisah semut tadi. Kali ini aku huraikan nilai-nilai murni yang ada dalam kehidupan masyarakat semut mengikut kesesuaian pemahaman anak-anak didikku.

Aku gunakan bahasa yang mudah dan senang untuk mereka hadam dan simpan dalam kotak ingatan. Harap-harap mereka semua mengambil iktibar dan menjadikan kisah yang kuceritakan tadi sebagai teladan dalam kehidupan sehari-harian.

“Semut ni binatang yang hidup berkelompok di dalam tanah, membuat liang atau lubang dan ada ruang yang bertingkat-tingkat sebagai rumah. Dekat rumah semut ada gudang tempat menyimpan makanan musim dingin. Walaupun semut kecil tetapi mereka sentiasa bergerak dalam kumpulan. Ha, sebab itulah semut jadi kuat. Sebab apa semut kuat?” soalku, mahu mendapatkan respons daripada mereka. Kalau aku seorang sahaja yang bercerita, takut pula ada yang tidur.

“Sebab dia ada kawan-kawan yang boleh tolong dia, kalau ada orang kacau dia, ustazah…”

Aku tersenyum. Lucu pula dengan jawapan daripada Fateha, si budak cilik yang putih kemerah-merahan itu. Skema habis.

“Lagi?”

“Dia orang ramai, musuh takut.”

Aku angguk mendengar ucapan Madi. Aiman di sebelahnya sekadar menyokong dan ikut menyampuk.

“Betul tu, ustazah. Dia orang kuat, kan?”

“Pandai sungguh anak-anak murid ustazah. Siapa pernah tengok semut?” Aku bermain emosi dengan mereka, mengajak mereka menyusuri teladan semut.

“Saya!”

“Saya!”

“Saya, ustazah. Saya pun selalu nampak,”

“Rumah saya banyak semut, ustazah…”

“Kat rumah saya pun ada semut…”

“Saya pun…”

Seorang demi seorang menjawab soalanku tadi, sambil mengangkat tangan ke atas. Suasana kelas sangat riuh dengan paduan suara mereka yang seramai tiga puluh orang itu.

Aku gembira, tiada seorang pun yang menguap. Bermakna tiadalah yang mengantuk, mereka semua memberi tumpuan sepenuhnya dengan kisah semut yang aku ceritakan.

“Bagus, cuba kamu semua perhatikan cara semut bergerak. Siapa tahu apa yang semut buat waktu terserempak dengan rakan-rakan semut yang lain?”

Kali ini satu kelas sunyi sepi. Ada yang menggaru-garu kepala, bertanya rakan sebelah mereka. Agaknya, mereka tak faham soalan. Entah-entah tak tahu nak jawab, aku berandaian. Tanpa tunggu lebih lama, pantas sahaja aku jawab.

“Semut akan berhenti sekejap kalau bertemu dengan semut yang lain dari arah yang bertentangan. Betul tak?”

Ramai pula yang menyokong. Suasana kelas jadi riuh semula.

“Rasa-rasanya, semut tengah buat apa masa tu?” soalku lagi.

Adila pantas memintasku.

“Dia tanya kawan dia. Hai, kawan.”

Aku senyum lebar mendengar jawapan anak kecil itu. Comel sungguh jawapan yang diberi.

“Dia bagi salam, ustazah. Assalamualaikum…” Faziq membuat suara garau, berlakon sebagai semut.

Aku menyimpan tawa dalam hati. Macam-macam jawapan anak-anak kecil ini.

“Dia tanya nama awak siapa, awak nak pergi mana…” sampuk seorang lagi anak didikku, Akim. Alahai, lagi-lagi jawapan comel, hehehe. Aku terhibur dengan telatah mereka semua.

Aku terus menyambung.

“Pandai betul kamu semua ni. Ya, mereka sayangkan kawan mereka. Kalau jumpa aje, mesti berhenti sekejap, mereka suka berbual-bual, kan? Lepas tu, baru mereka jalan ke hadapan semula.”

Aku perhatikan, mereka semua begitu khusyuk mendengar. Ada yang mengangguk-angguk, melopong. Senyum nampak gigi yang rongak sana sini. Ada juga yang berbisik-bisik antara satu sama lain namun masih tetap fokus dengan ceritaku.

“Apa yang semut buat kalau nampak ada semut lain yang cedera atau sakit sampai tak boleh berjalan?” Aku menyoal.

“Dia angkat. Lepas tu semut tu kan, dukung kawan dia jalan sekali, ustazah.” Pantas sahaja Faziq menyampuk. Faziq seorang yang aktif dalam kelas. Aku sudah kenal dengan perangainya yang suka bercakap. Kalau Faziq tak ada, kelas akan terasa sunyi sedikit. Faziq seorang kanak-kanak yang periang dan kelakar.

Aku mengangguk mendengar jawapan Faziq.

“Semut baik hati tak?” soalku kepada mereka.

“Baik, ustazah!!!” Ruang bilik darjah bergema dengan paduan suara mereka.

“Semut sayang tak rakan-rakan dia?”

“Sayang!!!” jawab mereka lagi, juga serentak.

Aku senyum lebar.

“Madi, Aiman, semut suka gaduh tak?” Aku sengaja berkalih kepada mereka berdua.

Madi dan Aiman muram, masing-masing geleng kepala.

“Ustazah tak suka ada sesiapa pun gaduh, menyakat rakan yang lain, boleh tak?”

“Boleh…”

“Kuat sikit. Boleh tak jadi baik macam semut?”

“Boleh, ustazah!” laung mereka dengan suara yang kuat.

“Ustazah selalu cakap apa kalau nak berjanji, sebut apa? Insya…”

“ALLAH!” jerit satu kelas.

“Kuat lagi,” pintaku.

“Insya-ALLAH…” Mereka menyebut kalimah tersebut dengan penuh bersemangat.

“ALHAMDULILLAH,” bisikku perlahan.

“TERIMA kasihlah ya berkongsi cerita yang sangat bermanfaat tu dengan pak cik. Kejap, pak cik nak tanya kau ni. Awatnya kau mengendap ustazah kat dalam tu?” soal Ipin.

“Dia bakal isteri saya…”

Ipin melopong, mengangguk dengan kenyitan mata. Ipin gerakkan ibu jari ke atas, menunjuk isyarat bagus.

Yusof sengih, merah padam dirinya menahan rasa malu. Adeh, dia tak tahu pula yang sekolah agama di sini sediakan khidmat pengawal keselamatan! Hehehe, malu ditangkap begini! Nasib baiklah pak cik di hadapannya agak peramah. Terlepaslah dia dari hukuman. Fuh

“Jemput datang majlis saya, ya…” bisik Yusof

“Bila tu?” aju Ipin dalam bisikan juga.

Dua bulan dari sekarang…”

“Ooo, tak lama aje lagi tu. Hahaha, kau ni dah mabuk rindu ke, sampai curi-curi tengok dia kat sini?” usik Ipin. Dia terlupa nak berbisik, penyudahnya dia ketawa terbahak-bahak dengan suara yang lantang. Dia geli hati melihat keadaan Yusof yang sudah seperti pencuri, terhendap-hendap.

Alamak, pak cik ni buat bisinglah pula! Yusof merungut dalam hatinya.

“EHEM… Ehemmm…” Aku buat buat sakit tekak, berdehem berulang kali saat melihat gelagat dua orang lelaki yang berada berhadapan tingkap, menghala ke bilik darjahku.

Amboi, seronoknya mereka bersantai di tepi kelasku! Mereka berdua tengah adakan perjumpaan ahli mesyuarat tingkap ke?

“Assalamualaikum. Saya nak tanya ni. Ada event apa ya kat sini?” sindirku.

Ipin tergamam, sengih sambil menampar bahu Yusof. Yusof toleh ke belakang. Mereka berdua berdiri serentak.

Aku terpukau seketika.

“Waalaikumussalam…”

Pak cik guard menjawab salamku tadi, kemudian suara si dia pula yang keluar. Aku dihambat rasa gelabah dan malu, terkenang surat daripada si dia tadi. Aduh, malunya saat mata kami berlaga! Errr, dah kenapa pula dengan aku ni, tiba-tiba sahaja malu? Haish

Hehehe… Ustazah apa khabar?” Ipin mencari helah untuk melarikan diri. Malu pula disergah oleh ustazah yang mengajar di sekolah agama tempatnya bekerja.

“ALHAMDULILLAH, baik…” Usai menjawab, aku halakan pandanganku pada mata encik calon suami. Mata kami bertaut seketika.

“Ya, ya, aku datang ni!”

Tiba-tiba pak cik guard tadi mencelah. Dia melambai-lambai ke arah yang aku yakin tiada kelibat manusia langsung yang berdiri di kawasan itu. Peliklah, siapa pula yang panggil pak cik ni?

“Maaflah ya, pak cik kena pergi ni. Kawan pak cik panggil dah tu. Jangan lupa jemput pak cik datang ke majlis kamu berdua nanti tau…” Ipin tepuk bahu Yusof, setelah itu memandang Nur Syahadah.

Aku terkedu. Eh, pak cik ni tahu ke hubungan kami? Aduhai…

Yusof kelihatan kekok apabila ditinggalkan berdua dengan aku. Dia menggaru-garu dahinya yang licin sambil matanya berlari ke arah lain.

Hatiku terasa sesuatu yang boleh menghadirkan degupan jantung yang agak luar biasa kelajuannya. Degup jantungku berlari deras buat kali yang kedua, kali pertama sewaktu aku dapat surat tadi.

“Ehem… Ehem…”

Lidahku kelu, si dia pula macam pura-pura berdehem. Aku jadi tak tentu arah apabila pandangan matanya beralih ke mukaku. Anak mataku tiba-tiba sahaja memandang ke arah kantin. Lidahku terasa kaku, liat dan agak berat. Simptom-simptom cemas mula menyerangku. Anak mata kami berlaga akhirnya, aku rasa macam nak…

Errr… Hai…”

Glup. Sapaannya menjadikan dadaku berombak kencang. Aku pun tak tahu kenapa aku jadi begini. Cepat-cepat aku larikan renunganku ke arah kiri.

“Cantik…”

“Hah?” Aku terkejut. Cantik? Mataku melirik kepadanya. Terpaksalah aku beranikan diri berbalas renungan dengannya lagi.

“Cat kelas ni. Cantik warnanya…”

Aku angguk laju. Wajahku berona kemerahan. Aduhai encik calon suami, tolonglah cari soalan yang menguji minda sedikit. Kenapakah cat pula yang menjadi topik utama dalam pertanyaanmu? Alahai, merepek sahajalah si dia ni.

Yusof garu kepalanya yang tak gatal. Mati kutu dibuatnya. Suasana bingit yang datang dari kelas itu, tidak mengganggu mereka yang sedang tidak keruan. Masing-masing tidak tahu berdialog, mulut pula bagai digam dengan gam gajah.

“Saya balik dulu, ya? Moga bertemu lagi. Insya-ALLAH.” Yusof bergerak pantas, tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Langkahnya terus laju sepantas kilat. Arah laluannya menuju ke parkir kereta.

Aku yang masih tercegat di pintu belakang bilik darjah, hanya mampu memandang si dia dari jarak yang jauh. Hatiku tercuit dengan sikap selamba Muhammad Yusof. Memang lain dari yang lain, mengalahkan Akhi Amir dan Abang Haiqal. Mereka berdua tidak seperamah encik calon suami.

Senyumanku terukir. Aik, aku senyum? Senyumanku terlakar kerana Muhammad Yusof? Bagus, satu perkembangan yang positif untuk hatiku. Hatiku tercuit dengan gelagat si dia.

Aku sambung kembali pengajaranku yang terhenti beberapa minit yang lalu. Buat pertama kalinya, fikiranku teringatkan dia. Dia ialah Muhammad Yusof, insan misteri yang tidak aku kenali itu.