Izinkan aku mencintai dia

RM25.00

Penulis: Aein Dhiyauddin

Caption: saya berjanji selagi hayat ada, saya akan lindungi awak dan tak akan biarkan awak menangis lagi

ISBN: 978-967-406-249-1

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 25.00 RM 28.00

Kerana kecurangan Faris, Hannan Aisya berhijrah ke bandar membawa hati duka lara.

Saat Aisya bergelut dengan rasa sedih dan kecewa muncul pula Auzan Rudi Shauqi yang selalu memperlekehkan dirinya, malah dia lebih seronok membuli Aisya.

 

“Geum Jan Di…”

“Hah!”

“Geum Jan Di.”

“Siapa tu?”

“Nama baru awak.”

 

Bagi Aisya, Shauqi hanyalah langau yang mengganggu hidupnya. Namun pernyataan cinta seseorang kepada Aisya membuatkan Shauqi jauh hati.

 

“Along tak tau kenapa pertama kali jumpa dia along rasa… satu perasaan yang lain. Along rasa along rindukan dia.” Asyfar Haziq Musyaffa

 

Tiba-tiba kehadiran seseorang yang pernah bertakhta dalam hatinya memporak perandakan lagi hidup Aisya.

 

“Abang tau Sya masih cintakan abang… abang yakin sangat.” Faris Hakimi

 

Aisya dalam dilema. Antara cinta Faris Hakimi yang pernah mengecewakannya atau Asyfar Haziq Musyaffa, lelaki yang seiras pelakon pujaannya.

 

Bagaimana pula dengan Auzan Rudi Shauqi?

Terima kasih Ya Allah. Izinkan aku mencintai dia hingga ke akhir hayatku’

Cinta siapakah yang akan jadi pilihan Hannan Aisya?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Saya tunggu awak kat bawah pokok tepi padang. Dress nicely… – Faris’

Aisya tersenyum. Hatinya berbunga riang membaca nota yang disampaikan oleh Maria. Dia merebahkan badan di atas katil sambil merenung siling. Hatinya tertanya-tanya, apa pula kejutan Faris kali ini? Biasanya kalau ada nota dan perkataan dress nicely, pasti ada sesuatu yang istimewa. Ada hadiah atau… Ah, dia sendiri pun tak boleh nak fikir. Faris seorang lelaki yang penuh dengan kejutan. Aisya tersenyum sambil membaca nota daripada Faris sekali lagi.

“Apa agaknya kejutan dia kali ni?” Aisya bergolek-golek di atas katil sambil tersenyum. Nota yang diberikan Faris hampir renyuk kerana dibaca berkali-kali. Rasa gembira dan berdebar sama tinggi seperti KLCC. Gembira kerana nak berdating dengan kekasih tersayang dan pada masa yang sama berdebar memikirkan kejutan yang bakal diterima.

“Mar, kau tak tau ke apa kejutan dia?”

Maria jongket bahu tanda tidak tahu. Dia cuma posmen sahaja.

“Mar, bagi taulah…”

Maria geleng kepala sambil meletakkan jari telunjuk di bibir.

“Maria tersayang, bagi taulah aku apa kejutan dia?”

Maria sengih sesaat kemudian menunjukkan isyarat zip mulut.

“Tak apalah kalau tak nak bagi tau. Mesti something special, kan?” Aisya tersengih sambil keningnya menari zapin. Dia tahu pasti Maria tahu sesuatu. Tapi kalau dia tahu dah tak ada kejutan lagi. Hilang pula elemen surprise. Kesian Faris penat-penat rancang tapi tak surprise.

“Tak payahlah banyak tanya sangat. Pergi siap cepat…” Maria baling anak patung yang diambil dari sudut meja. Sikit lagi nak terkena Aisya. Mujur Aisya sempat mengelak. Dia tersengih ke arah Maria.

“Huh… Tak bagi can langsung aku nak berangan-angan dulu. Salah ke aku nak membayangkan apa kejutan dia?” Aisya bangun. Dia cuit hidung Maria yang masih setia berdiri di tepi almari sejak tadi. Maria menepis tangan Aisya. Orang kalau dah terlebih gembira, macam-macam ragamnya.

Aisya memunggah beg untuk mencari baju. Mereka datang dan menumpang di rumah abang Maria untuk bercuti. Tak sangka ada kejutan pula. Manalah dia bawa baju lawa. Dia keluarkan pakaiannya satu per satu lalu diacukan ke tubuhnya di hadapan cermin. Apabila dia rasa tak sesuai, dicampaknya baju itu ke atas katil.

Maria geleng kepala. Apalah yang nak dipilih Aisya kalau semua baju yang dibawa hanyalah baju kurung? Dan yang lebih sadisnya, semua baju kurung Aisya hanya berwarna hijau dan merah hati sahaja. Dua warna kegemaran Aisya. Beza cuma corak sahaja.

Akhirnya Aisya memilih baju kurung berwarna merah hati yang dihiasi bunga tampal dan manik. Itu saja baju yang paling cantik dia rasakan. Setelah menukar pakaian, sekali lagi dia berdiri di hadapan cermin. Berkali-kali dia membelek penampilannya. Senyuman memang tak pernah lepas dari bibir. Aisya rapikan rambutnya yang pendek separas bahu.

“Cantik tak?” Aisya tanya Maria. Sejak tadi sahabatnya itu cuma memerhati dan langsung tidak menegur. Biasanya mulut Marialah paling becok komen itu ini. Dia berharap penampilannya cukup cantik di mata Faris.

“Dah cantik dah. Kau pakai apa pun cantik. Jom… Lama pula dia tunggu nanti. Aku pun dah penat tengok kau ni.” Maria menarik tangan Aisya. Kalau dibiar nanti sampai petang Aisya tak habis di depan cermin.

Aisya mengikut Maria dari belakang. Hatinya berdebar-debar memikirkan kejutan Faris. Mungkin Faris akan membacakan puisi cinta seperti sebelum ini ataupun memberikan dia hadiah patung beruang yang hampir sama saiz dengan dia. Aisya tersengih mengingatkan kejutan-kejutan Faris sebelum ini. Bahagianya dia menjadi kekasih Faris Hakimi yang memang pandai menjaga hati perempuan.

“Pokok mana pula dia ni? Bukan ada satu pokok kat sini tapi banyak. Tak beritahu betul-betul pokok yang mana. Dah satu hal nak cari pula,” bebel Maria. Sebagai orang tengah dan juga posmen tak bertauliah, Maria sentiasa menemani Aisya apabila bertemu dengan Faris.

“Ha, itu dia.” Aisya menunjuk ke arah Faris yang sedang duduk beralaskan tikar di bawah pokok di sudut padang. Dia berjalan mendahului Maria. Rasa tak sabar membuatkan langkah kakinya semakin laju. Maria ditinggalkan di belakang.

Buk! Aisya terlanggar seseorang. Dia menjerit dan memejamkan mata. Akibat perlanggaran tersebut, dia hampir jatuh tapi mujur ada tangan yang memaut pinggangnya daripada jatuh.

Aisya buka mata. Sepasang mata yang redup sedang merenung tepat ke arahnya. Pandangan mereka bertaut seketika. Masing-masing senyap tak bersuara. Masa seakan-akan terhenti dan memberi peluang kepada mereka berdua saling bertatapan. Seorang lelaki yang kelihatan agak kusut-masai betul-betul berada di depan Aisya. Lelaki itu mendekatkan mukanya ke arah Aisya. Aisya tergamam. Dia cuba meronta tapi pegangan lelaki itu terlalu kejap di pinggangnya.

“Lain kali ada mata tu guna. Kalau tak nak guna, bungkus aje dalam plastik. Lepas tu buang dalam tong sampah. Sebab kau tak pakai mata, tak pasal-pasal aku tanggung dosa sebab sentuh perempuan bukan muhrim,” bisik lelaki itu di telinga Aisya.

Aisya terkedu. Erk! Adakah lelaki itu sedang memaki dan menyalahkan dia? Dia tak sengajalah. Tak perasan pun lelaki itu tadi. Tiba-tiba saja muncul menghalang laluannya.

“Ramai lagi orang yang perlukan mata untuk melihat. Kita yang ada mata ni pakailah elok-elok. Jangan bila berjalan sampai tak nampak orang.” Sekali lagi lelaki itu berbisik di telinganya. Aisya kaku.

Erk…”

“Mata kau tu cantik sangat tapi sayang tak pakai elok-elok. Celik tapi tak nampak.” Tangan lelaki itu masih lagi di pinggang Aisya. Mata Aisya terkebil-kebil memandang pemuda itu. Cuba untuk menghadam apa sebenarnya yang sedang terjadi.

“Kau kena kahwin dengan aku sekarang.” Pemuda itu melontarkan idea yang tak masuk akal.

“Kenapa pula saya kena kahwin dengan awak?” bantah Aisya. Mana mungkin dia akan kahwin dengan orang yang baru dia kenal. Lagipun dia dah punya buah hati yang seratus kali ganda handsome dan romantik.

“Sebab aku dah janji cuma akan sentuh perempuan yang akan aku nikahi… Dan sekarang kita dah bersentuhan. Kau faham kan erti bersentuhan tu? Atau otak kau tu dah jatuh kat lutut?”

Aisya pandang diri mereka. Memang mereka dalam keadaan berpelukan.

“Tak nak…” Aisya cuba meronta.

“Kau ingat aku nak ke? Harap muka aje cantik, akal tak ada. Otak letak kat lutut… Kau dah sentuh aku dan aku dah sentuh kau. Kita kena kahwin. Wajib kahwin tau tak?  Aku nak bawa kau pergi rumah tok kadi.” Lelaki itu terus mendesak. Rontaan Aisya tak berguna. Lelaki itu tak mahu melepaskannya.

“Tak naklah!” Aisya menendang keting lelaki itu. Lelaki itu mengaduh kesakitan lalu melepaskan pegangannya.

“Kau takkan terlepas dari aku. Aku pasti akan cari kau untuk kahwin dengan aku, wahai cik adik bermata hijau,” ucap lelaki itu sebelum berlalu pergi.

“Geramnya…” Aisya rasa macam nak kejar dan bagi sepak Melayu aje. Mulut dah kalah Mak Cik Siah. Tiba-tiba Aisya terfikir sesuatu. Ayat tadi tu sekadar di bibir atau serius? Perasaan gerun tiba-tiba muncul. Macam mana kalau lelaki tak betul tu jadi suami dia? Haruslah dia rasa takut setakut-takutnya. Bikin gila seantero Malaya. Lelaki tadi bukan spesies yang dia boleh jadikan suami. Mulut berapi kalah lahar meletus.

“Siapa dia tu? Macam penyamun aku tengok.”

“Aku tak sengaja langgar dia. Tapi dia mengamuk macam nak makan aku.”

“Sudahlah. Biarkan dia… Jom.”

Aisya membiarkan Maria menarik lengannya. Dia menoleh ke belakang untuk melihat kelibat lelaki tersebut. Namun lelaki tersebut sudah pun menghilang. Dia rasa bersalah kerana melanggar lelaki itu. Walaupun mulut lelaki itu pedas, dia tetap salah dan harus minta maaf.

Hatinya tetap tidak dapat melupakan renungan mata lelaki tadi. Renungan yang Aisya rasa sarat menanggung penderitaan. Sarat menanggung rindu lebih tepatnya. Tapi tak dinafikan renungan itu membuatkan hatinya bergetar. Renungan tajam yang seakan-akan menelan hatinya. Sesuatu yang tak pernah dia alami ketika bersama Faris.

Apa yang mereka bicarakan tadi biarlah menjadi rahsia. Dia pasti takdir tak mungkin akan menemukan mereka lagi. Lelaki misteri dan penuh tanda tanya itu pasti akan lenyap juga dari kotak fikirannya. Apa yang penting sekarang, buah hatinya yang sedang menunggu. Dia harus kembali ke dunia realiti. Lelaki tadi mungkin hanya hadir ibarat angin.

Dari jauh Faris tersenyum ke arah mereka berdua. Aisya membalas senyuman Faris. Apa agaknya tanggapan Faris bila melihat dia seperti berpelukan dengan lelaki tadi?  Harap-harap Faris tak marah.

“Kenapa tak bagi tendangan maut kat lelaki tu tadi?” tanya Faris. Aisya agak terkejut dengan pertanyaan Faris. Sangkanya Faris akan salah sangka atau marah.

“Dari tadi saya tengok dia duduk kat bangku sana. Saya bagi salam tadi tapi dia tengking saya. Mental agaknya…” terang Faris lagi. Patutlah Faris tak marah. Dia memang tahu lelaki tu bermasalah. Lelaki yang sangat misteri.

“Duduklah, kenapa berdiri aje? Kita piknik kat sini aje. Boleh, kan?” Sebagai seorang lelaki budiman, Faris menjemput Aisya duduk. Sempat lagi Faris membersihkan tempat kosong di hadapannya. Maria sudah pun duduk sejak mereka sampai tadi. Aisya senyum. Melihat senyuman Faris, dia boleh jangka memang ada kejutan untuk dia hari ini. Tapi Aisya tak jadi duduk sebaik sahaja terpandangkan bakul makanan.

“Ni bukan bakul makanan aku siapkan tadi ke? Kata Abang Malek…” Kata-kata Aisya terhenti apabila melihat sengihan tak bersalah Maria. Memang dia dah jangka Maria pasti tahu sesuatu. Boleh pula Maria tipu dia. Kata Abang Malek ada jamuan di pejabat. Rupa-rupanya dia memasak makanan untuk mereka bertiga.

Maria dengan muka tak bersalah mengeluarkan semua makanan dari bakul. Memang dengan senang hatinya pagi tadi dia menggunakan nama abangnya untuk menyuruh Aisya masak. Tapi itu pun atas permintaan Faris dan kerjasama Abang Malek juga. Abang Malek pun tahu hubungan cinta Aisya dan Faris.

“Duduk ajelah makan… Lapar ni. Orang dah ajak duduk tu duduk ajelah.” Maria buat tak tahu pandangan geram Aisya. Dia tarik kain baju kurung Aisya, memaksa Aisya duduk. Faris suruh duduk tak nak. Nak kena paksa duduk rupa-rupanya.

Kalau dia berterus terang dah tentu Aisya menolak. Terpaksalah guna nama abangnya yang memang berbaik hati menumpangkan mereka berdua semasa bercuti. Konon-konon nak meraikan Faris yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Cardiff bulan depan. Faris sememangnya pelajar cemerlang. Jadi tak hairanlah kalau dia dapat biasiswa belajar di luar negara selepas habis STPM. Dia dan Aisya ada juga A dalam slip keputusan SPM, tapi tak sebanyak Faris.

“Sya… Saya yang mintak Maria buat macam tu. Jangan marah, okey…” Lembut suara Faris menusuk ke jiwanya. Tambahan pula dengan senyuman manis Faris ibarat madu. Marahnya kepada Maria melayang bersama tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Nasib baik kekasih hati pandai mencairkan hatinya.

“Okey, tak marah dah… Mana boleh saya marah kawan baik saya ni.” Aisya jeling Maria yang sibuk menyuap makanan. Maria buat tak tahu dan terus saja makan. Faris senyum lagi. Aisya dah tak keruan. Senyuman lelaki tampan berkulit sawo matang ni memang membuatkan dia angau.

Faris mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya lalu diletakkan di atas tikar. Perlahan dia menolak kotak baldu berbentuk hati ke arah Aisya. Aisya terkaku dan membiarkan otaknya bekerja keras meneka apakah isi kandungan kotak itu. Apa yang dia tahu, kotak baldu sebegitu biasanya berisi cincin. Dia biasa tengok apabila ada majlis bertunang atau perkahwinan.

Aisya merenung kotak itu dalam-dalam. Tak berani untuk menyentuhnya. Dia sedar Faris sedang memerhatikannya dengan penuh minat. Kalau betul isi di dalam kotak itu cincin, jadi sekarang ni Faris sedang melamar dia ke? Aisya pandang Faris.

“Cincin ke?” tanya Maria lantas mengambil kotak di hadapan Aisya lalu membukanya. Tak sempat Aisya menghalang Maria. Sebentuk cincin emas dihiasi sebutir batu permata tersua di pandangan Aisya dan Maria. Aisya terkejut kerana sangkaannya betul.

“Saya nak awak jadi yang halal buat saya.”

Aisya terkaku mendengar pengakuan Faris. Faris mendekatinya lalu menggenggam kemas kedua-dua belah tangannya. Mulutnya seakan-akan terkunci untuk mengucapkan sesuatu.

“Faris nak Sya tetap di sisi Faris. Faris nak jadikan Sya milik Faris dunia akhirat. Faris janji akan membahagiakan Sya hingga akhir hayat Faris.”

Aisya rasa terharu mendengar niat Faris. Hatinya berbunga riang. Putik-putik cinta yang tumbuh mula memekar. Tanpa dia sedar, air matanya jatuh menitik. Dia tak jangka ini kejutan yang bakal diterima. Sejujurnya dia tak mengharapkan sesuatu daripada hubungan mereka. Dia dan Faris bakal terpisah. Perhubungan mereka hanya diibarat cinta monyet. Dia pun muda lagi. Baru meniti usia lapan belas tahun.

“Faris harap Sya akan setuju…”

“Sya terima ke lamaran Faris tu?” soal Malek buat kali ketiga.

“Sya dah fikir masak-masak ke nak kahwin ni? Sya kena ingat kalau Sya kahwin dengan Faris. Sya akan jadi isteri atas kertas aje buat masa lima tahun. Sya faham kan apa maksud abang ni?” sambung Malek lagi.

Aisya angguk faham. Faris akan terbang ke luar negara bulan depan. Ini bermakna mereka hanya ada masa seminggu sebagai suami isteri. Tapi itu sudah cukup untuk membuktikan kasih dan cintanya kepada Faris. Lagipun Faris sudah izinkan dia lanjutkan pelajaran kalau dapat tawaran.

“Sya yakin yang Sya akan setia dengan Faris? Dan Sya yakin Faris akan setia dengan Sya? Abang nak Sya fikir baik-baik.”

“Sya dah fikir, abang. Sya nak nikah dengan Faris.” Aisya tetap dengan keputusannya.

Maria yang duduk di sebelah Aisya hanya mampu jadi pemerhati. Melihat Abang Malek begitu serius, dia pun cuak. Aisya cuma adik angkat manakala dia adik kandung. Kalau dengan adik angkat dah macam ni, bagaimana nasib dia nanti?

Malek pandang Aisya lama. Pandangannya silih berganti kepada Aisya dan Maria. Kedua-duanya masih muda dan mentah. Aisya bukan adik kandungnya tapi dia memikul amanat nenek untuk menjaga Aisya. Aisya tiada ahli keluarga lain. Asal usul Aisya juga tidak pasti kerana arwah nenek mengunci mulut.

Aisya mula tinggal dengan mereka selepas nenek dan ayahnya meninggal dunia dalam satu kemalangan. Arwah ayah tidak mengizinkan Aisya tinggal bersama mereka. Dia pun tak tahu sebab apa ayah marah. Tapi arwah ayah tak pernah pula larang dia dan Maria berkawan dengan Aisya. Kata mak, ayah marah pada arwah ibu Aisya. Entahlah, dia pun malas nak ambil tahu. Apa yang pasti sekarang, permintaan Aisya amat berat untuk dia izinkan. Aisya masih muda.

“Kalau itu keputusan Sya, abang tak boleh nak halang. Sya ada hak untuk tentukan masa depan Sya walaupun abang nak Sya dengan Maria ikut jalan yang berbeza. Besok kita balik kampung… Abang beritahu mak. Sya kena ready hadap mulut laser mak…”

Aisya senyum. Keizinan Malek akan memudahkannya untuk menghadap mulut laser Mak Milah. Kehidupan indah bersama Faris sudah terbayang di depan mata. Semoga Allah memudahkan urusan dia dan Faris.

“Alhamdulillah, kini impian kita menjadi nyata. Abang harap Sya tak menyesal dengan pernikahan kita ni. Abang minta maaf sebab tak dapat mengadakan majlis besar-besaran untuk Sya.” Faris mengucup dahi Aisya yang kini sah menjadi isterinya. Panggilan saya sudah bertukar menjadi abang.

“Ini pun dah cukup buat Sya gembira. Asalkan Sya ada abang, itu dah cukup.” Aisya memeluk Faris. Sesuatu yang ingin dia lakukan sejak mereka bergelar kekasih. Hilang sudah rasa kekok dan malu. Aisya mengizinkan bibir Faris singgah di bibirnya. Dia rasa sungguh indah berdua-duaan dengan suaminya.

Aisya bersyukur walaupun majlis pernikahan mereka sangat ringkas dan hanya dihadiri keluarga Faris dan keluarga Maria. Majlis pernikahan mereka berlangsung lepas isyak di masjid. Aisya memang tiada keluarga lain selain daripada keluarga Maria. Faris pula tidak memanggil saudara-maranya kerana faktor masa.

“Nanti bila abang habis study, kita akan adakan majlis persandingan. Tak dapat buat besar kita buat sederhana pun jadilah.” Faris melepaskan tautan bibirnya. Aisya tergelak melihat bibir Faris merah kerana terkena lipstiknya. Faris turut ketawa dan mengelap bibirnya dengan tangan.

Faris pandang wajah Aisya lama. Dia gembira kerana pernikahan mereka akhirnya menjadi nyata walaupun mendapat tentangan hebat daripada Mak Milah dan ayahnya sendiri. Malah Maria pun tiba-tiba menentang mereka. Kalau dah jodoh, datanglah banyak mana tentangan, dia dan Aisya tetap bersatu.

Ayahnya tak mahu perkahwinan yang hanya di atas kertas sahaja. Menikahi Aisya seminggu sebelum dia berangkat ke UK ibarat memenjarakan gadis itu. Namun jika dia tak mengikat Aisya, dah tentu ‘kumbang’ lain akan sentiasa datang mengganggu. Dia perlu pastikan Aisya jadi miliknya. Bukan dia tak tahu ada suara-suara sumbang menyatakan ingin memikat Aisya sebaik sahaja dia pergi ke luar negara.

Dia tahu Aisya cukup pakej sebagai seorang wanita. Aisya seorang yang cantik malah memiliki wajah yang unik. Tidak diketahui dari mana datangnya kecantikan Aisya kerana ibunya meninggal ketika melahirkan Aisya manakala ayahnya pula hilang di laut. Aisya juga handal dalam memasak dan menjahit kerana dia adalah cucu angkat Nenek Zaharah, tukang masak terhandal dan juga tukang jahit terkenal di kampung mereka. Semua ilmu Nenek Zaharah diturunkan kepada Aisya. Mana mungkin dia lepaskan perempuan sebegitu.

“Pengantin baru… orang nak balik ni.”

Kedengaran suara Maria di luar bilik. Mesti Maria menganggap yang bukan-bukan kerana mereka terus sahaja masuk ke bilik selepas balik dari masjid tadi. Niat hanya nak menukar baju tapi tiba-tiba Faris mengekori Aisya. Akhirnya dari lima minit sudah menjadi hampir setengah jam mereka duduk berdua di dalam bilik. Mula-mula terasa kekok berdua-duaan dengan Faris. Tapi segan tu beransur hilang. Aisya belum sempat menukar pakaian. Masih tersarung lagi baju kurung berwarna putih gading di tubuhnya.

Faris melepaskan pelukannya. Aisya terus bangun dan membuka pintu. Maria menunggu di luar pintu dengan muka yang agak sedikit masam. Aisya pelik kenapa tiba-tiba Maria menghalang pernikahannya dengan Faris. Sedangkan Maria tak kisah pun masa mula-mula Faris melamar. Tapi Aisya buat tak tahu sahaja. Mungkin Maria takut hilang sahabat agaknya.

“Nak balik ke? Awal lagi ni…”

“Awallah sangat… Tengok jam tu dah pukul berapa?”

Aisya tengok jam. Dia terkejut. Sudah hampir tengah malam. Maknanya dia dan Faris duduk di bilik lebih dari setengah jam. Sungguh dia tak sedar masa berlalu begitu pantas.

“Abang… Sya nak turun bawah salam dengan mak.” Aisya menoleh ke arah Faris. Faris angguk. Dia turut bangun dan keluar dari bilik. Walaupun Mak Milah bukan ibu kandung Aisya, sekurang-kurangnya dia patut ada rasa hormat kepada wanita yang banyak membantu Aisya.

“Mak…” Aisya mencium tangan Mak Milah. Dia memeluk erat tubuh wanita tua itu. Rasa kasihnya kepada wanita itu sudah seperti ibu kandungnya sendiri.

“Anak mak ni dah dewasa rupanya. Mak ingatkan masih budak-budak lagi. Dah jadi isteri orang pun. Jaga diri baik-baik ya, sayang. Belajar jadi isteri yang baik… Ikut cakap suami. Nanti mak mesti rindukan anak mak yang seorang ni.” Mak Milah mengalirkan air mata. Aisya hanya anak susuan tapi sayangnya sama seperti Maria dan Malek. Aisya membesar di depan matanya.

“Kamu ni over sangatlah, Milah. Macamlah rumah kamu tu jauh sangat. Bila-bila masa aje Aisya boleh jumpa kamu.” Pak Jamal menegur Mak Milah. Seperti biasa, Mak Milah terlebih over acting. Siapa tak kenal ratu kebaya kampung mereka, Jamilah Jamaluddin.

“Dia dah jadi anak Abang Jamal lepas ni. Mana tahu Abang Jamal kedekut ke nanti tak bagi Aisya datang rumah Milah…” Mak Milah buat-buat merajuk. Pak Jamal ketawa. Dia jeling isterinya Kalsom yang tak banyak bicara. Isterinya memang tak berapa suka dengan Jamilah. Maklumlah, masa muda dulu Pak Jamal antara lelaki yang merebutkan Jamilah. Namun jodoh Jamilah dengan Manan.

“Takkan abang nak halang Hannan balik rumah mak dia sendiri. Bukan jauh mana pun…”

“Sya jaga diri elok-elok tau. Abang doakan rumah tangga Sya akan kekal bahagia hingga akhir hayat…” Malek juga hiba. Melepaskan Aisya merupakan sesuatu yang berat untuk dia lakukan. Amanah arwah neneknya untuk lihat Aisya berjaya mencapai cita-cita tak kesampaian. Nenek Zaharah mahu Aisya meneruskan impiannya. Dia berharap Aisya akan dapat mencapai cita-citanya walaupun bergelar isteri Faris.

“Abang Malek, terima kasih…” Aisya tersenyum.

“Sya, aku pasti akan rindukan kau lepas ni.” Maria memeluk Aisya.

“Mar, rumah ni dengan rumah mak bukan jauh mana pun. Dua tiga tapak aje. Taulah kau tu pewaris Milah over… Jangan tiru over acting mak kau,” bisik Aisya sambil tersengih. Kenapa pula semua orang sedih bagaikan tak akan jumpa dia lagi?

“Dua tiga tapak pun kau jangan lupa kau tu isteri orang. Dah tak boleh huhahuha dengan aku lagi. Tak dapatlah nak lepak kat pantai cuci mata macam biasa,” ujar Maria sayu.

Aisya tersengih saja mendengar luahan Maria. Takkan nak over acting macam Mak Milah kut? Maria lupa agaknya yang dia hanya ada masa seminggu sahaja dengan Faris. Selepas seminggu dia akan jadi Aisya yang lama. Cuma bezanya dia memegang status isteri orang. Maria memeluk Aisya terlalu erat seolah-olah tidak mahu melepaskan Aisya.

“Adik, sudahlah tu. Marah suami dia karang. Lagipun dah lewat malam ni. Bagilah peluang merpati dua sejoli ni memadu asmara…” Malek menarik Maria daripada terus memeluk Aisya. Kalau tak dihalang mungkin Maria akan terus memeluk Aisya.

“Abang… Nantilah.”

“Adik… Jom balik. Tengok muka Faris tu dah macam nak tembak adik dah tu.”

Maria akhirnya melepaskan pelukannya. Walaupun sedih dia harus relakan Aisya bersama Faris. Sahabatnya itu sudah menjadi milik seseorang bergelar suami.

“Kau kena janji Faris, jaga kawan aku ni baik-baik. Kalau kau berani lukakan hati dia, kau kena dengan aku nanti. Kalau kau buat dia nangis, aku belasah kau nanti.” Maria memberi amaran. Dia kurang setuju dengan perkahwinan Aisya dan Faris kerana suara-suara nakal kawan mereka yang lain. Tambahan pula Faris bakal meninggalkan Aisya selama lima tahun. Ibarat Faris menyeksa jiwa Aisya. Tapi Aisya sendiri yang sanggup dan rela. Jadi dia tidak boleh menghalang.

“Maria, aku sayang Aisya. Kau jangan risau. Aku janji aku akan jadikan dia perempuan paling bahagia dalam dunia ni.” Faris memberi janjinya.

“Aku pegang janji kau, Faris…”

“Maria, sudahlah… Jangan risau, okey. Insya-Allah semuanya baik-baik aje.” Aisya menarik Maria keluar dari rumah namun langkah Maria memberat sebaik sahaja tiba di pintu pagar. Entah kenapa hatinya rasa tak tenteram. Hatinya rasa pernikahan Faris dan Aisya satu kesilapan. Maria pandang Aisya dengan sayu.

“Adik, jom.” Malek menarik tangan Maria.

Faris menggenggam tangan Aisya. Memang tak mudah untuk berpisah dengan orang yang paling rapat dengan kita. Aisya melentokkan kepalanya ke bahu Faris. Dia mengekori Maria dengan pandangan mata hingga kelibat Maria hilang di sebalik padang. Rumah Faris dan rumah Maria hanya dipisahkan dengan sebuah padang bola sepak.

“Faris… Dah lewat malam ni. Pergilah bawa Hannan naik tidur. Mak kamu ni dah pening kepala. Ayah pun nak masuk tidur dulu…”

“Baik, ayah…” jawab Faris. Dia menarik Aisya untuk masuk ke dalam. Sudah lewat malam. Ada agenda lain di dalam kepala Faris.

“Abang, kita kemas dapur dululah baru naik tidur…” Aisya menarik tangannya sebaik sahaja kaki Faris menjejak tangga untuk naik ke atas. Dada Aisya tiba-tiba bergetar hebat. Dia sudah jadi isteri orang. Dia tahu apa tugas seorang isteri pada malam pertama setiap perkahwinan. Kalau boleh dia nak mengelak kerana belum sedia.

“Okey. Abang teman Sya sampai habis buat kerja. Abang tolong sekali…” Faris senyum. Dia faham kalau Aisya gemuruh. Dia dapat rasa dari tapak tangan Aisya yang tiba-tiba sahaja sejuk dan basah kerana peluh.

Aisya angguk.

“Abang nak makan ke? Rasanya dari siang tadi abang tak makan lagi,” tanya Aisya. Selepas balik dari masjid, dia dan Faris meninggalkan mereka yang lain untuk naik ke bilik dan tak jamah langsung makanan yang Mak Som sediakan. Tapi kenapa sampai sekarang dia tak rasa lapar?

“Abang nak makan Sya aje sekarang ni…” Faris senyum nakal sambil menopang dagu. Tak ada tapisan SIRIM langsung. Mentang-mentang dah sah jadi isteri.

Hampir tercabut jantung Aisya melihat senyuman nakal Faris. Dia telan air liur. Apabila dengar Faris nak makan dia haruslah dia faham. Itu permintaan suami mahukan dirinya. Grandma… Tolong. Dada Aisya sudah dup dap dup dap. Aisya senyum cuba sembunyikan gemuruh dan rasa takut. Kalau tak kerana mekap di muka, mungkin boleh nampak muka pucat Aisya. Aisya cuba buat biasa. Tapi dia gagal kerana mata Faris tak lepas daripada memerhatikanya. Dah sah jadi suami, Faris memang tak cover langsung. Dulu masa bercinta Faris sering mengelak untuk merenungnya.

Selepas setengah jam berhempas-pulas mengemas dapur, akhirnya kerja Aisya selesai. Faris masih lagi duduk sambil menopang dagu. Pandangan matanya masih belum lepas dari isteri tersayang. Walaupun berbaju kurung namun susuk tubuh Aisya nampak jelas apabila isterinya berdiri di bawah lampu. Sudahlah memakai baju putih. Dadanya sejak tadi berombak menahan gejolak rasa. Kalau tak kenangkan Aisya minta dia duduk jangan bangun-bangun, dah lama dia terkam isterinya.

“Dah sudah ke? Jom kita naik…”

Aisya tak dapat mengelak lagi apabila Faris menarik tangannya. Sabarlah, wahai suami. Tak ke mananya dia. Sampai saja di bilik, Aisya terkaku. Tiba-tiba fikirannya kosong. Dia belum bersedia menghadapi semua ini. Faris pula selamba membuka baju. Baju Melayu yang dipakainya tadi sudah dicampak ke dalam bakul. Sekarang Faris hanya bersinglet putih.

Mata Aisya sudah terkebil-kebil. Kali pertama melihat Faris tak berbaju. Walaupun tak sado macam pelakon atau model, namun dada bidang Faris tetap tak lepas dari pandangan matanya. Apabila terpandang sengihan nakal Faris, Aisya tertunduk malu. Faris mula menghampirinya. Jantungnya yang tadi agak normal mula melompat-lompat akibat debaran yang hebat.

“Sya nak mandi dulu… Melekit badan ni.” Aisya melarikan diri dari Faris. Lantas dia mengambil tuala dan baju dari dalam beg sebelum masuk ke bilik mandi.

Faris senyum dan geleng kepala. Dia tak mahu memaksa Aisya jika masih belum sedia. Dia ada masa seminggu lagi untuk bersama isteri tersayang. Faris baring di atas katil. Dia senyum sendirian. Comel pula lihat Aisya malu-malu. Lama pula Aisya di dalam bilik mandi. Ada apa-apa kejutan ke?

Sementara itu di dalam bilik mandi, Aisya berpusing-pusing sambil berfikir dugaan apakah ini. Dalam perkiraannya, ada seminggu lagi untuk ‘saat’ itu datang. Kenapa datang awal sangat? Aisya membersihkan pakaian dalamnya yang dicemari warna merah. Nampaknya putih matalah Faris.

Aisya memerhatikan dua buah beg besar yang diletakkan di tepi katil. Hari yang dinantikan tiba juga. Hari ini Faris akan berangkat ke luar negara untuk mengejar cita-citanya. Dia akan keseorangan selepas ini. Masanya untuk bersama suami tersayang sudah tamat dan sekarang mereka harus berpisah untuk sementara. Aisya memerhatikan Faris yang sedang bersiap di depan cermin. Minggu lepas semasa menikah dia rasa cukuplah masa seminggu dengan suaminya. Sekarang dia rasa berat hati untuk membenarkan Faris pergi.

“Sayang, kenapa ni?” Faris duduk di sebelah Aisya. Dia lihat wajah mendung Aisya. Dia pun berperasaan sama seperti Aisya. Dia pun rasa berat hati untuk meninggalkan Aisya. Tapi dia tak mungkin akan melepaskan peluang untuk menimba ilmu di luar negara. Peluang hanya datang sekali.

“Tak payah pergi boleh tak?” rayu Aisya. Cuba menahan air mata daripada tumpah. Kenapa dia jadi lemah dengan perpisahan ini sedangkan dari awal lagi dia tahu semua ini akan terjadi?

“Tak boleh, sayang. Abang bukannya nak pergi pasar raya boleh batalkan suka hati. Abang nak sambung belajar… Kalau ikutkan abang pun tak nak pergi tinggalkan isteri abang ni.” Faris memeluk Aisya. Cuba memberikan kekuatan kepada isterinya.

“Abang tak boleh balik ke bila cuti?” tanya Aisya lagi.

“Abang tak janji, sayang. Kalau ada duit abang balik. Sayang pun tahu mak dengan abah dah tua. Dah tak larat sangat nak kerja. Abang bergantung sepenuhnya kat biasiswa nanti…” terang Faris.

“Sya nak kerja. Nanti Sya kirim duit. Jadi abang boleh balik masa cuti…”

No! Jangan buat macam tu. Abang nak Sya sambung belajar. Sya masuk mana-mana kolej ambil diploma dalam bidang yang Sya minat. Sya minat rekaan fesyen, kan? Tak pun ambil bakeri. Jangan risau pasal pinjaman PTPTN. Nanti abang bayarkan… Yang penting Sya belajar.”

Aisya mengangguk. Faris melarangnya untuk bekerja jadi dia terpaksa akur. Sebenarnya dia sudah merancang untuk mendaftar di kolej swasta di Kuala Lumpur dalam bidang yang dia minati. Dia dan Maria merancang untuk keluar dari kampung dan tinggal bersama Malek. Mungkin apabila dia sibuk belajar, masa lima tahun akan berlalu tanpa dia sedari. Namun dia belum beritahu rancangannya kepada Faris. Dia risau kalau Faris takkan izinkan dia tinggal bersama Abang Malek.

“Sya jangan nakal-nakal tau…” Faris mengusik Aisya.

“Abang tu jangan nakal-nakal. Sya kat sini ada mak dengan abah yang pantau. Abang kat sana seorang aje. Jangan nampak minah salih mata sampai juling pula.” Aisya membalas usikan suaminya. Pecah tawa Faris mendengarnya.

“Hati abang ni dah jadi milik sayang. Tak mungkin abang bagi kat perempuan lain…”

“Abang janji jangan curang dengan Sya. Kalau abang mungkir janji nanti Sya korek mata abang.”

“Abang janji, sayang. Kalau abang mungkir janji, abang tak akan kenal erti bahagia dalam hidup abang. Bahagia abang cuma dengan wanita istimewa bernama Hannan Aisya.” Faris mendaratkan ciuman di kedua-dua belah pipi Aisya. Dia gembira apabila melihat segaris senyuman di bibir isterinya.

“Jom kita turun. Abah dah tunggu tu…”

Lima tahun berlalu…

 

Hari ini Aisya murah dengan senyuman. Sejak pagi tadi bibirnya tak habis-habis menguntumkan senyum. Tak ada sedetik pun senyuman itu hilang. Wajahnya kelihatan ceria dan berseri-seri. Maria cuba mentafsirkan perasaan sahabat baiknya yang sedang sibuk mencuci pinggan. Sambil mencuci pinggan sambil tersengih. Tadi masa Aisya mengelap meja pun asyik tersenyum juga.

“Kena sampuk hantu senyum ke?” tanya Maria. Dia jadi kurang sabar apabila melihat sahabatnya asyik tersenyum. Biasanya senyuman Aisya boleh dilihat apabila suami tersayang telefon atau memberi khabar. Cuma seketika. Selepas itu muka Aisya akan masam semula memikirkan mana nak cari duit untuk dikirim kepada Faris.

“Faris nak balik minggu depan,” jawab Aisya dengan senyuman melebar.

“Patutlah happy semacam aje.” Barulah Maria faham kenapa Aisya asyik tersenyum di sebalik mukanya yang letih tu. Suami tersayang akan pulang rupanya. Dia tumpang gembira untuk Aisya. Sudah tiba masanya Aisya berehat. Dia sendiri penat melihat Aisya yang bekerja siang dan malam tanpa sebarang rehat.

“Siapa tak happy? Lima tahun aku tak jumpa suami aku, Mar. Macam mana agaknya dia lepas lima tahun ni? Muka dia sama tak macam dulu atau dah bertambah handsome?” Aisya teruja. Dia membayangkan wajah suaminya yang kali terakhir dia temui lima tahun lalu. Biasa tengok dalam online tapi takkan sama dengan yang sebenar. Faris Hakimi lelaki biasa yang sangat sederhana. Memiliki seraut wajah tampan berkulit sawo matang. Apa yang istimewanya, apabila Faris tersenyum matanya akan menjadi sepet. Bagi Aisya Faris sama seperti Edward Cullen versi Melayu.

“Khayal…”

“Maaf… Aku… Aku gembira sangat, Mar. Akhirnya aku akan hidup dengan suami aku, Mar. Tak payah aku nak rindukan dia lagi lepas ni.” Aisya sangat teruja. Dari nada suaranya juga terpancar kegembiraan yang tak terhingga.

So lepas ni kau jadi suri rumah sepenuh masalah ni?”

“Tak juga. Kalau nak jadi suri rumah pun mungkin lepas dia kerja dalam dua tiga bulan ke… Bukanlah minggu depan juga aku berhenti kerja. Kewangan tak kukuh lagi aku nak berhenti.”

“Semoga lepas ni kau capai impian kau nak jadi suri rumah sepenuh masa untuk Encik Faris Hakimi tu. Tapi jangan lupakan aku pula,” pesan Maria.

“Insya-Allah aku tak akan lupakan kawan baik aku ni. Tapi tengok muka aku ni macam orang tua dah rasanya.” Aisya membelek mukanya di cermin yang tergantung di sebelah singki. Dia memandang wajah yang kusam dan pucat. Enam belas jam sehari masa dia peruntukkan untuk kerja. Tak ada masa untuk membelek muka sendiri.

“Memang pun muka kau tu dah macam nyonya jual sayur aku tengok. Kusam aje. Pergilah ambil cuti buat facial ke apa. Bagi berseri sikit. Nak sambut suami ni.” Maria memberi cadangan. Kesian Aisya banyak sangat bekerja sampai penampilan diri tak terjaga.

“Mana ada masa nak buat facial segala ni. Kena kerja juga. Hutang banyak lagi nak bayar. Bila Faris balik nanti aku mungkin buat satu kerja aje.”

Banyak lagi urusan yang perlu dia selesaikan sebelum berhenti kerja. Selepas ini dia akan menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangganya. Impian yang tertangguh selama ini akan tertunai. Rindu yang selama ini menyeksanya akan hilang. Insan yang dia tunggu selama ini akan berada di depan mata. Aisya senyum lagi. Tak sabar rasanya menunggu minggu depan.

“Gelilah aku tengok orang angau ni. Kejap sengih, kejap senyum. Pinggan mangkuk pun dah rupa Faris agaknya. Cepatlah sikit buat kerja tu. Asyik senyum, sengih, senyum, sengih, sampai besok pun tak siap.”

“Tak dapat aku gambarkan betapa bahagianya aku sekarang.” Aisya senyum lagi. Dia peluk pinggan yang baru dicuci. Seakan-akan memeluk suami yang tersayang.

“Mak cik, yang kau peluk tu pinggan, bukannya suami tersayang. Habislah siapa yang makan guna pinggan tu gila bayang nanti. Dapat bekas peluh Aisya.” Maria tergelak.

“Kau ni, Mar. Tak boleh biarkan aku bahagia langsung.” Aisya membasuh pinggan tadi sekali lagi. Dah Maria cakap macam tu, rasa malu pula terpeluk pinggan tadi.

“Aku doakan kau akan bahagia dengan Faris. Aku harap Faris tak sia-siakan pengorbanan kau selama ni.” Maria bernada serius. Entah kenapa tiba-tiba perkara ini terlintas di dalam kepalanya. Dia menyaksikan sendiri jerih perit Aisya bekerja untuk menampung keluarga Faris dan juga perbelanjaan Faris selama di luar negara.

“Insya-Allah, Faris tak macam tu orangnya. Kau pun kenal dia, kan? Aku yakin dia masih lagi Faris yang sama.”

“Dia call kau ke bagi tau pasal ni?”

Aisya geleng. Dia tahu pun daripada bapa mentuanya.

“Aku rasa dia peliklah sejak kebelakangan ni. Aku perasan kau bagi tau Faris call mintak duit aje.”

Maria tak perasan riak muka Aisya berubah. Sedikit sebanyak kata-kata Maria bermain dalam fikiran Aisya. Tempoh masa lima tahun sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu berubah. Dia berharap Faris bukanlah orang yang senang lupakan janji. Faris berjanji akan membahagiakannya. Dia pegang kata janji Faris hingga saat ini.

“Nanti teman aku pergi bank sekejap. Aku nak bank in duit untuk Faris…”

“Okey…”

“Lain kali ada mata tu guna! Kalau tak nak guna bungkus aje dalam plastik. Lepas tu buang dalam tong sampah. Sebab kau ni tak pakai mata, habis baju aku kena air Milo!”

Aisya dan Maria tak jadi melangkah apabila mendengar pekikan ibarat halilintar sekejap tadi. Mereka berdua menoleh ke dalam restoran. Maya sedang tertunduk-tunduk di hadapan seorang lelaki. Mereka hanya nampak bahagian belakang lelaki itu. Pasti Maya dengan mata gatalnya lagi. Maya memang pantang melihat lelaki tampan. Apatah lagi orang luar.

“Maaf, encik. Saya tak sengaja…”

“Maaf… Maaf… Dengan maaf kau ni tak boleh bersih baju aku, tau tak?! Buat hilang selera aku aje.”

Siapa tak marah kalau baju putih kena simbah air Milo. Memang ketara sangat kotornya. Lelaki itu kedengaran sombong dan angkuh. Orang dah mintak maaf tu takkan tak nak maafkan kut? Kawan lelaki itu terburu-buru keluar mengekori lelaki itu. Maya pun satu. Cubalah kawal mata tu. Kan dah kena tengking. Aisya hilang sabar. Biarpun dia tak suka Maya, tapi dia lebih angin apabila pelanggan mulut cabul macam tu. Dia berkira-kira hendak melangkah apabila Maria menahan. Maria menggeleng kepala.

“Tunggulah… Kata lapar tadi.”

“Malaslah. Bengang aku.”

Lelaki tadi berjalan laju hingga terlanggar Aisya di bawah tangga restoran. Aisya jatuh tertonggeng.

“Ni lagi seorang. Tak nampak ke orang nak lalu?! Tepilah sikit! Ingat muka tu cantik sangat nak bersidai kat depan kedai ni?!”

Tanpa menoleh ke belakang, lelaki itu terus menghamburkan kata-kata kesat yang membuatkan Aisya sakit hati. Aisya geram. Bukan nak mintak maaf atau tolong dia bangun. Sebaliknya kena sembur pula. Gila lelaki ni.

“Maaf ya, cik. Kawan saya period pain kut…”

Maria membantu Aisya bangun. Dahinya berkerut mendengar alasan tak masuk akal tu. Gila betul lelaki seorang ni. Bukan saja berlagak, tapi sombong melangit tahap ketujuh. Dia yang salah sebab jalan tak pandang depan, boleh pula marah Aisya.

“Lelaki ada period pain ke?” tanya Aisya bingung.

“Alasan aje tu. Lelaki dua alam pun tak ada period inikan pula lelaki normal. Apa kata kau bagi sepak Melayu kau kat dia? Baru tau siapa Aisya.” Maria geram. Kalau ikutkan hati, dia nak tumbuk aje lelaki angkuh tadi. Nasib baik dia perempuan yang lemah. Tengok lengan sado lelaki itu dah tiga kali ganda dengan lengan dia.

“Biarlah dia. Aku tak nak rosakkan mood gembira aku hari ni. Biarlah dia nak berlagak sombong ke apa… Tak tergores pun kulit aku ni…” Aisya hanya melihat lelaki itu pergi bersama kawannya.

Mister berlagak ni hebatlah. Bukan saja handsome tapi kaya.” Maria tiba-tiba buat muka teruja. Aisya pandang Maria. Mister berlagak? Apa punya namalah. Baru dia perasan lelaki itu memandu kereta BMW berwarna silver.

Handsome ke?”

Handsome sangat! Tak dapat aku gambarkan betapa tampannya lelaki itu. Macam pelakon Korea aku tengok. Tapi kalau jambang comel tu dia tebas, pasti lagi comel kut. Memang handsome gila. Wajarlah kalau Maya naik juling sampai lupa di mana letaknya meja.” Maria dah mula dengan perangai gatalnya. Bercakap dengan penuh perasaan sambil tangan di dada. Aisya senyum. Maria ni biar betul? Takkan lelaki macam tu dia nak? Mulut dan macam cili padi.

Handsome ke, comel ke, kalau perangai macam tu buat apa? Aku tak nak orang macam tu jadi suami… Mati kering aku hari-hari kena maki.”

“Hoi… Mister berlagak tu untuk aku. Kau dah ada laki, lupa ke? Kenapa pula dia tiba-tiba muncul dalam hidup kau?” Maria cubit pinggang Aisya. Tiba-tiba lupa Faris apabila jumpa lelaki berlagak ni.

“Sakitlah.” Aisya mengaduh sakit. Dia gosok tempat yang dicubit Maria tadi. Tangan ketam betul.

“Jomlah kita gerak… Kata nak pergi bank.” Maria menarik tangan Aisya.

“Hannan baru balik?” tegur Pak Jamal. Dia melihat jam di dinding sudah pukul dua pagi. Sengaja dia menunggu menantunya pulang dari kerja.

“Abah tak tidur lagi ke? Abah dah makan? Hannan ada bawa balik nasi goreng ni.” Aisya terkejut melihat bapa mentuanya sedang duduk di meja makan. Dia pulang agak lewat hari ini kerana ramai pelanggan. Aisya mengambil air dari peti sejuk lalu duduk menghadap bapa mentuanya. Memang dia penat sangat hari ini. Pelanggan datang tak putus-putus sejak petang tadi.

“Lepas ni Hannan tak payah dah kerja susah payah lagi. Faris balik nanti bolehlah Hannan duduk rumah aje. Boleh teman abah layan Hindustan.” Pak Jamal senyum. Aisya juga turut senyum. Memang itu yang diharapkannya. Memang dia sudah penat kerana bekerja tanpa henti selama lima tahun ini.

Pak Jamal bangga punya menantu seperti Hannan Aisya. Bukan sahaja cantik tapi baik. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga digalasnya tanpa sebarang sungutan. Sepatutnya dia yang menanggung Hannan Aisya memandangkan dia ayah kepada Faris. Tapi semuanya terbalik sekarang. Hannan Aisya yang bertungkus lumus bekerja menampung kehidupan mereka bertiga. Dan segala keperluan Faris di luar negara Hannan Aisya yang menanggungnya. Harapkan duit pencennya berapalah sangat.

Dia terpaksa pencen awal kerana tiba-tiba disahkan mengidap kencing manis yang kronik. Ibu jarinya juga sudah dipotong akibat kencing manis. Dan kerana itu juga Aisya membatalkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur. Semua ini berlaku enam bulan selepas Faris berangkat ke luar negara. Sekarang dia ada darah tinggi pula.

“Hannan, terima kasih sebab jaga abah dengan mak selama ni. Sepatutnya kami yang jaga Hannan, tapi dah terbalik pula. Lepas ni abah akan pastikan Faris balas semua jasa kamu. Abah akan pastikan Faris membahagiakan kamu.”

“Abah… Ni dah tugas Hannan sebagai anak. Apalah sangat yang Hannan buat ni berbanding kesudian mak dengan abah terima Hannan sebagai sebahagian daripada keluarga ni. Hannan tak pernah rasa kasih sayang ayah dengan ibu kandung Hannan. Mak dengan abahlah satu-satunya keluarga Hannan.” Aisya bersyukur kerana Allah mengizinkan dia menumpang kasih dengan keluarga suaminya.

Walaupun dia penat bekerja tanpa rehat yang cukup, dia tetap bahagia. Dia tak dapat menabur bakti kepada kedua-dua orang tuanya. Ibunya meninggal dunia semasa melahirkannya. Ayah kandungnya pula hilang di laut. Mayatnya gagal ditemui selepas dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai. Dia dibesarkan oleh Nenek Zaharah hingga berumur enam belas tahun. Selepas Nenek Zaharah meninggal dunia, dia menumpang di rumah Maria.

“Hannan naik tidur dulu, abah.” Aisya sudah tidak tahan mengantuk. Beberapa kali dia menguap di hadapan bapa mentuanya.

“Ha… Pergilah tidur. Penat sangat nampak tu.”

“Abah tak tidur ke?” Aisya bersalam dan mencium tangan bapa mentuanya.

“Kejap lagi abah tidur.”

Aisya memanjat tangga untuk masuk ke bilik. Dia terus baring di katil tanpa menukar baju. Penat sangat. Aisya mengambil gambar Faris yang diletakkan di hujung katil lalu dibawa ke dada.

“Abang… Sya rindu sangat kat abang. Sya tak sabar nak hidup dengan abang lagi…” Aisya tersenyum sendiri. Dia pejamkan mata. Malam ini dia tidur sambil memeluk gambar suaminya sama seperti malam yang lain.

Minggu depan dia tak perlu peluk gambar lagi kerana tuan punya badan sudah berada di sisi. Dia berharap sinar bahagia akan menjelma selepas ini.

Aisya mengesat air mata  menggunakan hujung lengan baju kurung yang dipakainya. Entah berapa banyak air mata yang tumpah sejak tengah hari tadi, dia pun tak pasti. Kaki langit mula bertukar warna. Warna jingga mula menjengah. Dia tahu hari sudah beransur senja. Sudah agak lama dia berada di situ, di taman permainan berhampiran rumah keluarga suaminya. Atau mungkin dia patut mula panggil bekas suami. Aisya mengimbas semula kejadian tengah hari tadi.

“Assalamualaikum, abang. Aisya rindukan abang.” Aisya mencium tangan Faris lalu memeluk suaminya. Lima tahun dia menunggu kepulangan suaminya, hari ini segala kerinduannya terlerai.

“Segan sikit kat orang.” Faris menolak badan Aisya dengan kasar.

Aisya terpinga-pinga. Takkan Faris tidak rasa apa yang dia rasakan? Faris tak rindukan dia ke? Mana ada orang lain di situ? Hanya ayah dan ibu Faris. Setakat peluk sahaja takkan Faris segan? Mereka suami isteri yang lama terpisah. Wajarlah untuk dia memeluk suaminya bagi melepaskan kerinduan. Tiada keterujaan di wajah Faris.

“Sya bawa beg abang naik atas, ya,” ujar Aisya diiringi senyuman. Walaupun dia terkesan dengan sikap Faris tadi, dia tidak mahu berburuk sangka. Mungkin suaminya penat.

Hmmm,” jawab Faris acuh tak acuh.

Senyuman Aisya mati. Kenapa Faris begitu dingin? Tiada segaris senyuman di bibir Faris sejak suaminya melangkah masuk ke rumah. Jawapan Faris juga cukup membuatkan hati Aisya galau. Kalau pun penat, takkan tak boleh senyum kat isteri sendiri? Bukan dia mengharapkan hadiah atau apa. Cukup sekadar wajah gembira suaminya. Faris menghilang ke bilik ibu bapanya. Aisya mengangkat satu per satu bagasi Faris ke bilik mereka.

Selesai mengangkat bagasi, Aisya terus ke dapur untuk menghidangkan makanan. Dia tahu pasti Faris lapar. Ayah dan mak mentuanya pun belum makan lagi. Mereka menunggu Faris sejak pagi tadi lagi. Aisya senyum sendiri. Semua lauk-pauk kegemaran Faris. Sejak pagi tadi lagi dia bertungkus lumus memasak seorang diri. Dia pun tak sabar mahu makan semeja dengan suaminya. Lima tahun Faris di perantauan. Tak sekali pun Faris pulang ke Malaysia kerana kekangan kewangan. Duit yang dia kirim untuk Faris cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan Faris di sana.

“Kenapa Is nak ceraikan Hannan? Apa salah dia?!”

Aisya mendengar namanya disebut. Dia tahu hanya ayah mentuanya yang memanggilnya Hannan. Orang lain selalu memanggilnya Aisya. Aisya tak jadi untuk mengetuk pintu. Selain namanya, dia mendengar perkataan cerai tadi. Aisya mulai cemas. Tak mungkin Faris akan menceraikannya. Faris dah berjanji untuk menjadi imamnya sehingga akhir hayat. Mungkin dia salah dengar.

“Is dah ada pilihan lain yang lebih sepadan dengan Is. Damia lebih sesuai jadi isteri Is berbanding Aisya. Kami sama-sama lulusan ijazah luar negara. Aisya lulusan SPM aje, abah. Lagipun Is tak nak isteri imej kampung macam Aisya tu. Malu Is nanti kalau orang sebut. Jawatan hebat ada kelulusan tapi dapat isteri budak kampung yang lulusan SPM aje. Jadi wajarlah kalau Is ceraikan dia…”

“Ya Allah…” Aisya terkejut. Tak salah apa yang didengarnya tadi.

Lututnya menjadi longgar secara tiba-tiba. Dia jatuh terjelepok di depan pintu bilik mentuanya yang separuh tertutup. Air mata gugur setitis demi setitis tanpa tertahan. Dia cuba menahan tangis tapi gagal. Dia menutup mulutnya agar tangisannya tidak didengari sesiapa. Hatinya bagai ditusuk dengan ratusan jarum yang tajam. Tergamak Faris melukakan hatinya. Segala impian untuk hidup bahagia sudah lenyap sebagaimana lenyapnya cinta Faris kepadanya tika ini.

“Is segan, ayah… Dia kampung sangat.”

Dan apa yang tambah menghiris hati, Faris sudah pandai menghina penampilannya. Dia lihat dirinya. Dia sedar dia tak cantik. Muka kusam. Pakaian pun hanyalah baju kurung yang sudah lusuh. Bila kali terakhir dia membeli baju baru pun dia tak ingat. Duit gajinya semua dikorbankan untuk Faris. Setiap sen yang dia peroleh semasa bekerja hanya untuk Faris dan mentuanya. Bukan untuk diri sendiri. Dia sedar ada benarnya kata-kata Faris. Lima tahun dulu Faris hanya pemuda kampung biasa. Memang layaklah mereka berdua bergandingan. Namun sekarang Faris bukan lagi pemuda biasa.

Aisya bersandar di dinding. Kekuatannya telah hilang sekelip mata. Kakinya tak kuat lagi untuk bangun dan berdiri. Biarlah dia duduk di situ dan mendengar segalanya. Dia tahu Faris takkan berkata hal yang benar di hadapannya. Ya Allah, berikan aku kekuatan…

“Abah tetap tak setuju kalau Faris nak ceraikan dia. Ingat sikit pengorbanan dia terhadap keluarga kita. Lepas abah pencen, dia yang menggalas tugas ketua keluarga ni. Dia korbankan peluang dia untuk belajar di universiti untuk jaga abah dan juga mak kamu ni.”

“Kita tak mintak pun dia buat semua tu. Dia yang nak buat. Takkan dia nak ungkit semua tu? Dasar perempuan tak ikhlas.” Ibu mentuanya pula bersuara.

“Dia tak ungkit Som tapi kita ni takkan nak lupakan semua apa yang dia buat? Awak kena ingat dia bukan darah daging kita pun. Tapi dia jaga kita dah lebih daripada keluarga sendiri. Ingat sikit menantu awak itulah yang tukar Pampers awak hari-hari masa kena strok dulu. Takkan dah lupa? Bila raya awak melaram dengan baju baru pakai duit siapa? Awak pun dah lupa diri macam anak awak ni juga!”

“Som tak mintak pun. Dia yang buat semua tu. Dia sendiri yang terhegeh-hegeh nak buat. Nak ambil hati mak mentua konon. Faris dah tak suka dia, buat apa simpan-simpan lagi?” Kata-kata yang keluar dari bibir ibu mentuanya menyentak tangkai hati Aisya.

“Som pun tak mahu ada menantu macam dia. Buat malu anak kita aje. Anak kita lulusan luar negara. Biarlah anak kita cari isteri yang setaraf. Baru kena,” sambung Mak Som.

Aisya tidak menyangka semua itu keluar dari mulut insan yang dianggapnya seperti ibu sendiri. Insan yang pernah dia cucikan najisnya dan mandikan setiap hari semasa sakit. Dia tak minta apa-apa balasan. Cukuplah sekadar kasih sayang. Dia silap kalau menyangka Mak Som sudah boleh menerimanya sebagai menantu. Rupanya Mak Som tak pernah menerima dia. Aisya tidak mampu untuk menghadapi semua ini lagi. Allahuakbar, kenapa dia harus dengar semua ini?

“Dulu abah larang kamu kahwin dengan Hannan sebab inilah. Abah risau kalau-kalau kamu berubah hati bila dah ke luar negara. Dan sekarang betul dugaan abah. Kamu balik aje terus nak ceraikan dia. Bukan ke kamu nak sangat kahwin dengan Hannan sebab takut Hannan dipikat lelaki lain? Sekarang kenapa kamu yang curang? Kamu dah tak cintakan dia lagi ke?”

Aisya berdebar. Suasana mulai senyap. Dia menantikan jawapan Faris.

“Faris anggap cinta monyet aje, abah. Umur baru masuk dua puluh tahun. Tak matang lagi. Sekarang Faris dah sedar yang Faris tak cintakan dia pun. Faris cintakan Damia.”

“Cinta monyet kamu kata?! Ya Allah, Faris… Abah tak besarkan kamu untuk menyeksa hati perempuan macam ni. Kalau Hannan dengar, mana abah nak letak muka? Abah dah janji akan pastikan kamu bahagiakan dia.”

Aisya pejamkan mata. Air mata yang gugur bertali arus menjadi saksi betapa jiwanya luluh dan hancur dikhianati suami sendiri. Ya Allah, kenapa dia diuji sebegini hebat? Kenapa dia yang terpilih untuk terluka kerana dikhianati? Cinta yang disemai untuk suami tercinta ternyata sia-sia. Semua kata-kata cinta Faris hanya dusta belaka.

Dia tak kuat lagi untuk berada di situ. Dia tak mampu mendengar semua kata-kata dusta Faris. Kata-kata nista ibu mentuanya sendiri. Hanya ayah mentuanya sahaja yang membela dia saat ini. Aisya cuba untuk bangun. Ternyata kakinya terlalu lemah untuk berdiri. Sebagaimana dia sangat lemah saat ini mendengar semuanya. Aisya mengengsot sedikit dan berpaut pada meja. Semakin lama dia di situ terasa dirinya makin hilang. Jiwanya juga turut hilang.

Akhirnya setelah berkali-kali mencuba barulah dia dapat kekuatan. Kakinya melangkah keluar dari rumah. Dia tak pasti ke mana arah tujuannya saat itu. Di dalam kepalanya hanya terbayang bangku tempat dia selalu melepaskan kerinduan kepada suaminya. Dan akhirnya dia di sini berteman air mata.

“Kenapa kau nangis kat sini? Bukan ke suami tercinta kau baru balik dari overseas? Patutnya happy-happy kat rumah.” Maria duduk di sebelah Aisya. Mata Aisya masih memandang ke tengah padang. Dia ralit melihat kanak-kanak yang sedang bermain. Agak lama dia membiarkan soalan Maria tidak berjawab.

Maria tahu kalau Aisya diam pasti ada masalah. Melihat air mata Aisya yang luruh, hati Maria tak tenteram. Kali terakhir Aisya menangis semasa kematian Nenek Zaharah dahulu. Maria tidak sabar menanti jawapan Aisya. Hanya suara Aisya yang sedang menangis kedengaran. Semakin lama semakin kuat. Maria menjadi risau. Dia memusingkan badan Aisya supaya menghadapnya.

“Kenapa Sya? Kenapa kau menangis sampai macam ni sekali?” tanya Maria lagi. Dia menggoncang badan Aisya. Melihat Aisya menangis sebegitu, pasti ada masalah yang besar.

“Faris… nak… ceraikan aku. Dia dah ada orang lain.” Suara Aisya tersekat-sekat. Berat hatinya untuk menjawab soalan Maria. Dia tahu pasti Maria tak percaya.

Maria terkejut. Betul ke apa yang dia dengar? Faris nak ceraikan Aisya. Segala kebimbangannya sudah menjadi kenyataan. Lima tahun dulu sebelum Aisya menikah, dia ada dengar khabar angin mengatakan Faris menikah dengan Aisya kerana tak mahu Zikri potong jalan. Zikri kawan sekelas mereka dan sudah lama cuba memikat Aisya. Maria tak mahu pernikahan sahabatnya kerana niat tak baik Faris.

Kalau betul Faris sudah berubah hati, dia memang simpati kepada sahabat baiknya. Bahagia yang diidamkan hancur sekelip mata. Erti kata bahagia belum menjenguk masuk ke dalam hidup sahabatnya.

“Kau serius ke? Betul ke Faris cakap macam tu? Dia dah janji kan akan jadikan kau perempuan paling bahagia.” Maria mahu pastikan berita itu. Dia takut Aisya tersalah dengar.

“Aku dengar sendiri, Mar. Dia malu ada isteri tak ada kelulusan macam aku ni. Dia malu dengan imej kampung aku. Dia…” Aisya gagal meneruskan ayatnya. Hatinya teramat sakit dan pedih. Seakan-akan beratus jarum yang ditusuk dalam hatinya dicabut satu per satu. Sedikit demi sedikit kesakitan yang dia rasa.

“Dia kata aku ni cinta monyet dia, Mar. Dia… Dia… Dia tak pernah cintakan aku. Dia kahwin dengan aku sebab tak mahu ada lelaki lain dapat aku,” sambung Aisya lagi. Cuba untuk melawan kesakitan yang dia rasa. Dia curahkan semua rasa di dalam dadanya agar dapat mengurangkan rasa sakit hatinya. Namun semuanya sia-sia. Sakit tetap terasa.

“Ya Allah, kenapa dia berubah macam ni?” Maria turut mengalirkan air mata. Kasihan dengan nasib Aisya. Maria memeluk Aisya. Tak sangka kawan baiknya akan diuji sebegini hebat. Dia tak menyangka Faris akan berubah sebegini rupa. Dia kecewa kerana Faris memungkiri janjinya untuk membahagiakan Aisya.

“Dulu masa tak ada apa-apa, dia sayang kau. Tapi bila dah ada segulung ijazah, cakap tak sepadan pula. Betul kata orang, seorang wanita diuji saat suaminya tak ada apa-apa tapi seorang lelaki diuji saat punya segalanya. Baru ada ijazah dah nak bongkak. Lupa jasa-jasa kau yang tolong dia selama ni. Aku rasa macam nak tumbuk aje muka dia yang tak cukup handsome tu,” sambung Maria lagi dengan nada penuh kecewa dan marah.

Walaupun sukar untuk menerima hakikat perubahan diri Faris, dia percaya Aisya berkata benar. Maria membiarkan Aisya terus menangis. Mungkin air mata yang mengalir itu mampu mengurangkan galau dalam hati Aisya.

“Aku nak jumpa dia… Aku nak buat perhitungan dengan dia. Dia dah sakitkan hati kawan aku bermakna dia cari gaduh dengan aku!” Maria bangun tapi segera ditahan oleh Aisya. Maria duduk kembali.

“Tak payahlah, Mar… Biar aku selesaikan sendiri. Mungkin kami boleh berbincang. Tengoklah nanti.”

“Kau tinggalkan aje lelaki tak guna tu. Jangan fikir pasal dia atau cinta palsu dia. Buang nama dia jauh-jauh. Dia bukan setakat khianati kau tapi dia hina kau. Kau yang kena hina, aku yang sakit. Dia khianat kau, aku yang rasa nak tumbuk dia. Kalau boleh aku nak tanam dia hidup-hidup. Bini susah payah kerja tanggung dia, dia pula senang-senang bercinta dengan perempuan lain.”

“Aku cintakan dia. Aku cintakan dia, Mar. Macam mana aku nak tinggalkan dia? Aku nak pujuk dia untuk jangan tinggalkan aku.” Aisya memohon pengertian Maria. Dia membetulkan duduknya. Dia perlukan Faris dalam hidupnya. Dia mesti perjuangkan keutuhan rumah tangga mereka.

“Hannan Aisya!” Suara Maria memetir.

“Sedar diri sikit yang dia tak cintakan kau. Dia tak cintakan kau, faham tak? Kau sendiri dengar dia cakap cinta korang cinta monyet. Kalau Faris fikirkan perasaan kau, takkan dia berniat nak ceraikan kau sebaik saja dia jejak kaki kat rumah. Tak guna kau rayu cinta orang yang langsung tak ada hati untuk cintakan kau. Mungkin Faris bukan imam kau, tapi orang lain. Jangan buang air mata untuk lelaki macam tu.” Maria menggoncang bahu Aisya. Dia tak setuju kalau Aisya terhegeh-hegeh mahu merayu kasih Faris. Kalau Faris seorang lelaki yang baik, dia takkan terdetik sikit pun soal sepadan atau tak. Dia pasti ingat semua pengorbanan dan menghargai Aisya.

Aisya berhenti menangis. Betul kata Maria. Tak guna dia cintakan Faris kalau lelaki itu memang sudah ada cinta baru. Dia harus kuat untuk menempuh hari mendatang tanpa seorang suami. Memang selama ini pun dia hidup sebagai isteri Faris hanya di atas kertas. Faris jauh di perantauan. Dia sendirian di sini memikul tanggungjawab menggantikan Faris sebagai anak.

“Aku dah agak dah pasti ada sesuatu yang tak kena bila kau kata Faris sibuk sangat sampai tak sempat nak telefon. Dah ada orang lain rupanya. Kau aje yang baik sangat tak nak curiga. Baik kau izinkan aku tumbuk dia. Sekali pun cukuplah.” Maria geram. Kenapalah semua kecurigaannya menjadi kenyataan? Kenapalah Faris berubah? Kasihan Aisya.

“Apa perlu aku buat sekarang, Mar? Aku tak ada sesiapapun kat dunia ni. Selama ni keluarga Farislah keluarga aku. Kalau betul dia ceraikan aku, mana aku nak pergi?”

“Hei, mangkuk. Kau dah lupakan aku? Lupakan Milah over tu? Kau ni dah sedih sangat sampai hilang ingatan pula. Habis tu sebelum ni kau duduk dengan siapa?” Maria cubit bahu Aisya. Geram juga dengan Aisya ni. Pengakhiran hidup bersama Faris tak bermakna hidupnya juga akan berakhir.

Auwww!” Aisya menjerit. Cubitan Maria lebih bisa daripada ketam. Dia lupa dia punya sebuah lagi keluarga yang begitu sayangkan dia. Mak Milah, ibu kepada Maria sudah menganggap dia sebagai anak sendiri. Mak Milah yang menjadi ibu angkatnya selepas kematian Nenek Zaharah semasa dia di tingkatan empat. Kenapa dia boleh lupa semua itu? Dia bukannya keseorangan di dunia ni. Kesedihan dan air mata buatkan dia dungu seketika.

“Mak Milah nak ke tumpangkan aku lagi?” Aisya ragu-ragu. Sejak sibuk dengan kerja, dia jarang ada kesempatan melawat ibu angkatnya. Sekarang apabila ada masalah, baru sibuk nak meminta belas lagi.

“Mak Milah sayangkan kau. Kalau mak tahu Faris nak ceraikan kau, silap-silap dia berparang dengan Mak Som nanti. Kan kau anak ketiga dia. Tak ada masalahlah. Jom kita belasah dia berjemaah. Abang Malek pun boleh join geng kita.” Maria mengesat air mata Aisya. Aisya senyum.

“Aku balik dulu. Nanti Pak Mail marah pula aku balik lama-lama. Kata nak solat kejap, ni dah terlajak lama.”

Senja sudah menjenguk. Azan maghrib bakal berkumandang tidak lama lagi. Kanak-kanak yang bermain tadi sudah mula pulang. Aisya tahu dia harus bersemuka dengan Faris. Dia harus kuat. Melepaskan Faris pergi bermakna melukakan hatinya. Tapi itu lebih baik daripada melihat kepura-puraan Faris. Ini semua urusan Allah. Mungkin Faris bukanlah imam yang diciptakan Allah untuknya. Aisya mengatur langkah untuk pulang ke rumah. Mungkin ini kali terakhir dia akan menjejakkan kaki ke rumah itu.

Angin tiba-tiba bertiup. Rambut Aisya yang panjang terbang mengikut arah tiupan angin. Tiba-tiba ada sesuatu mengenai kakinya. Sebuah cap bertulis NY betul-betul berada di kakinya. Aisya memungut cap tersebut. Dia melihat sekeliling padang. Seorang lelaki berlari-lari anak menuju ke arahnya. Mungkin tuan punya cap tersebut. Dia tak dapat melihat dengan jelas wajah pemuda itu kerana terhalang oleh rambutnya yang ditiup angin.

“Maaf saudari, cap saya tu.” Pemuda itu mendekatinya. Teramat dekat hingga Aisya tak selesa.

“Oh… Okey. Nah…” Aisya menghulurkan cap tersebut. Dia memandang ke depan dan hanya nampak leher pemuda itu. Aisya ingin mendongak untuk melihat tuan empunya tubuh namun tiba-tiba angin bertiup agak kencang dari arah belakang Aisya. Angin menerbangkan rambut Aisya sehingga mengenai muka pemuda itu. Dia tak jadi untuk mendongak sebaliknya menunduk.

“Maaf…” Aisya menjarakkan dirinya. Dia menyelitkan rambutnya di telinga. Aisya terus menunduk. Malunya dia. Kenapa dia tak terfikir untuk mengikat rambut tadi?

“Tak apa. Terima kasih, ya…” Pemuda itu berlalu. Aisya hanya melihat belakang pemuda itu. Nampak simple gaya pemuda itu tapi pelik bagi Aisya. Berbaju lengan panjang dan jean. Sangat jarang dia melihat lelaki memakai baju lengan panjang melainkan baju Melayu. Dia meneruskan langkahnya.

“Tak apa. Terima kasih, ya,” ujarnya sambil berlalu. Hatinya bergetar. Gadis itu baru pertama kali dia jumpa. Tapi kenapa dia rasa ingin berjumpa dengan gadis itu lagi? Siapa gadis itu? Bau rambut gadis itu membuatkan dia gila sekejap. Sang angin berbaik hati menemukan mereka.

Dia menoleh untuk melihat gadis itu. Tapi gadis itu sudah hilang. Ke mana pula perginya gadis itu? Agak lama dia memerhatikan gadis itu. Dia duduk di kerusi bertentangan dengan gadis itu. Saling menghadap dengan jarak seluas padang bola. Dia nampak gadis itu seakan-akan sedih. Duduk bersendirian sambil merenung ke tengah padang.

“Kau cari siapa?” Teguran kasar membuatkan dia berpaling.

“Tak ada cari siapa-siapapun,” dalihnya.

“Macam mana boleh sesat ni? Jom balik rumah mak mentua aku dulu. Nanti lepas solat kita makan kat luar. Aku dah jemu makan lauk orang berpantang ni.”