Ini Buku Seram

RM20.00

Penulis: Resmanshah

Caption: baca atas risikio sendiri… tak percaya cubalah…

ISBN: 978-967-406-244-6

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 20.00 RM 23.00

Bersiap untuk menghantui diri anda lagi dengan cerita yang lebih seram hingga membuatkan anda semua berasa menyesal dan geram sakan. Keseraman jalan cerita yang ada di dalam buku kali ini lebih mantap dan lebih mengelirukan.

Pasti ada yang terkeliru atau mungkin juga ada yang terasa menyesal kerana sudah membaca buku ini. Menyesal kerana kisah-kisah seram di dalam buku ini pasti akan terus menghantui hidup anda sehingga anda mahu menceritakannya kepada rakan taulan, saudara-mara, atau mungkin kepada sesiapa saja yang bertembung dengan anda.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

CINTA BUNIAN

Mata Hadi liar memerhati sekeliling. Namun kesemua pokok-pokok dan semak-samun di dalam hutan itu kelihatan sama sahaja.

Sejurus membuatkan hatinya gusar dan jantungnya berdebar dengan kencangnya.

“Sah aku sesat! Kurang asam betul,” bentaknya sendiri. Seraya dia memaki hamun dirinya dan keadaan sekeliling tanpa belas kasihan juga tanpa berlapis sama sekali.

Hadi adalah seorang pengkaji dunia hijau yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di sebuah universiti tempatan tiga bulan lepas. Niat di hati pada mulanya ingin mencari beberapa jenis akar kayu untuk dijadikan bahan kajian. Tetapi malangnya setelah berjalan merentasi belantara selama lebih dari satu jam, dia akhirnya mendapati dirinya telah pun tersesat dengan penuh jayanya. Lebih seronok lagi dia pergi ke hutan itu bersendirian. Kononnya mahu merasai sendiri thrill mengembara seorang diri seperti di zaman dahulu kala. Namun sebaliknya kesesatannya itu tidak dapat dikesan oleh saudara-mara, rakan dan taulan, mahupun jiran yang terdekat. Hadi menjadi mati akal dengan situasi yang sedang dihadapinya itu.

Sedang dia asyik menyumpah seranah akan kebodohan dirinya sendiri di bawah sebatang pokok yang besar dan rimbun daunnya, dengan tiba-tiba terdengar satu suara yang merdu menyapanya dari tepi. Walaupun suara tersebut agak lemah dan perlahan, tetapi ianya cukup gemeresik pada pendengaran Hadi. Sebaik menoleh, dia mendapat satu lagi kejutan apabila dia mendapati bahawa yang empunya suara itu adalah seorang gadis yang cantik dan ayu rupanya.

“Abang ni sesat ke?” tanya si gadis.

“Eh?! Tak ada lah, abang hanya terlupa jalan keluar aje,” jawab Hadi cuba menutup malunya.

“Abang ni boleh buat lawak bodoh pula di

dalam hutan macam ni. Marilah ikut saya, biar saya tunjukkan abang jalan keluar,” ajak si gadis dengan penuh ikhlas dan lembut lantas menggegarkan jantung Hadi mendengarnya.

Tanpa berlengah, Hadi lantas bangun dari duduknya dan mengekori gadis tersebut dari belakang. Mata jantannya sempat melihat potongan badan gadis ayu itu. Ianya cukup untuk menyemarakkan rasa buas di dalam sanubarinya selaku seorang lelaki. Kalau hendak diikutkan hasutan syaitan, mahu saja dia menerkam gadis itu biar puas nafsu serakahnya. Mujur masih ada tersisa sedikit keimanan di hatinya walaupun hanya setipis tisu tandas di rumahnya.

Sepanjang perjalanan, mereka berbual dengan cukup mesra. Sehingga sedar tak sedar, Hadi akhirnya ditakdirkan jatuh cinta pandang pertama pada gadis yang masih belum dia ketahui akan namanya itu.

Bagi Hadi kini mencari jalan keluar bukanlah soal utama lagi. Kalau tak jumpa langsung pun tak apa rasanya. Yang penting sekarang dia sedang berbahagia bersama dengan gadis idamannya itu.

“Sudah lama kita berbual, tapi abang masih tidak tahu akan nama awak.” Hadi akhirnya memberi isyarat perkenalan.

“Nama saya Wati,” ujar gadis itu sambil tersenyum manja. Membuatkan rasa geram memberontak di jiwa Hadi.

“Nama awak Wati, nama abang pula Hadi. Macam secocok pula nama kita kan? Er… Wati tinggal kat mana?” tanya Hadi selepas cuba berseloroh sebentar tadi.

“Saya rasa tak perlulah abang tahu di mana saya tinggal. Cukuplah hanya mengetahui akan nama saya.” Hadi berasa sedikit terkilan dengan jawapan yang diberikan oleh Wati itu.

Dia mula merasakan usahanya untuk memancing cinta Wati bagaikan embun pagi yang menghilang di tengah hari. Dia mula mendiamkan diri. Mungkin kerana rasa malu mula bertandang di hati.

“Mengapa abang tiba-tiba berdiam diri? Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi menyinggung perasaan abang. Saya takut sekiranya saya beritahu di mana saya tinggal, abang akan anggap saya ni seorang penipu,” lembut Wati bersuara.

Hati Hadi sedikit terubat mendengar penjelasan Wati itu. Dia mula kembali merasakan sinar harapan untuk memenangi hati dan cinta Wati.

“Wati, kalau abang anggap Wati ni penipu, tak adanya abang nak ikut Wati mencari jalan keluar. Wati cakap ajelah, dan abang akan selalu percayakan cakap Wati,” balas Hadi dengan lembut sambil memasang harapan ianya dapat mencairkan hati Wati.

“Begini bang, sebenarnya Wati berasal dari alam bunian. Wati bukanlah orang biasa. Wati merupakan salah seorang daripada penghuni alam bunian.”

Hadi tersentak mendengar semua itu. Dia mula sangsi. Keraguan yang berbaur percaya memenuhi ruangan hatinya. Jika difikirkan secara logik, memang tidak mustahil Wati adalah seorang gadis bunian kerana kehadirannya yang secara mengejut di dalam hutan belantara yang luas itu.

“Jadi, maknanya abang tak bolehlah berkawan dengan Wati? Hanya kerana dunia kita berbeza? Terus terang abang katakan bahawa abang jatuh hati dengan Wati seawal pertemuan kita tadi lagi,” balas Hadi dengan lemah.

Dia sudah tidak dapat membendung rasa hatinya lagi. Biarlah Wati tahu bahawa dia mempunyai keinginan untuk berkawan dan sekali gus menjadi teman hidup Wati.“Abang… kalau Wati tak nak berkawan dengan abang, Wati tak tolong abang cari jalan keluar. Er… sebenarnya Wati pun ada hati dengan abang juga.”

Mahu sahaja Hadi melonjak gembira mendengar kata-kata Wati sebentar tadi. Namun untuk menjaga air mukanya yang tak berapa nak jernih itu, dia lantas membatalkan niatnya itu. Mereka mula saling berpandangan. Senyuman manis mula terukir pada wajah masing-masing. Pucuk-pucuk cinta mula bersemi di dalam hati mereka.

“Tapi bang… sanggupkah abang meninggalkan dunia abang demi untuk bersama dengan Wati bang?”

“Wati… apalah gunanya dunia abang tanpa Wati berada di sisi abang? Demi kebahagiaan kita berdua, abang sanggup buat apa saja,” serius Hadi bermadah di hadapan Wati.

Sekali lagi mereka bertentangan mata. Tangan kasar Hadi mula memegang tangan halus

Wati. Manakala Wati hanya tersipu malu apabila menyedari tangannya kini sedang digenggam mesra oleh Hadi.

“Abang dapat merasakan kini akan keindahan sebenar dunia fana ini Wati. Biarlah hutan belantara ini menjadi saksi dua insan dari dua dunia yang berbeza bersatu atas dasar kata cinta yang sejati. Cinta yang tiada tolok tanding- nya. Cinta bagaikan Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang. Cinta yang tidak berbelah bagi dan…” Belum sempat Hadi menghabiskan kata- kata manisnya, tiba-tiba kedengaran satu suara garau yang memotong linenya dengan Wati.

“Cinta kepala otak hang,” kata seorang lelaki tua dengan selamba ditemani oleh seorang wanita tua dan beberapa orang lain.

“Wati… mari balik dengan mak, nak,” pujuk si wanita tua itu pula.

“Wati jangan tinggalkan abang Wati! Hoi penghuni bunian semua! Tidakkah kamu mempunyai hati dan perasaan? Haruskah kamu berlaku kejam dengan kami insan yang sedang bercinta? Janganlah kamu merampas Wati dariku!!!” bentak Hadi dengan penuh bersemangat.

“Oii mangkuk! Kamu ni nama aje orang bandar. Tinggi sekolah. Tapi otak simpan kat kepala lutut ke apa? Apa yang kamu sedang merepek ni hah? Ada ke panggil kami semua ni orang bunian. Gilo ko apo ko ni jang?” balas si lelaki tua itu masih dengan wajah yang penuh selamba dan bersahaja.

“Ah!! Sudahlah, janganlah kamu cuba untuk mengaburi hati dan perasaanku. Walau apa pun terjadi, aku tetap tidak mahu tinggalkan Wati,” bentak Hadi lagi kali ini dengan penuh nekad.

“Apa ke bodoh giler sangatlah budak ni? Kau dengar sini baik-baik. Wati ni anak aku. Kepala otak dia ni mereng sikit. Hati bapak mana yang tak tersentuh bila anak lelaki dia jadi macam ni? Kau faham tak?” jawab si lelaki tua namun kali ini dengan wajah yang pilu sehingga beliau menitiskan air matanya dengan penuh perasaan.

“Apa?! Kepala otak mereng?! Anak lelaki?! Apa ke jadahnya semua ini?” tanya Hadi dengan penuh hairan.

“Begini nak… anak mak cik ni sebenarnya baru saja keluar dari hospital bahagia kerana dia tertekan akibat penyertaannya sebagai peserta Miss Malaysia ditolak mentah-mentah. Mana tidaknya ditolak kalau anak mak cik ni lelaki. Anak jangan tertipu dengan penampilan anggun anak mak cik ni sebab dia ni memang pandai berfesyen. Kalau anak tak percaya dia ni lelaki, ni hah kad pengenalan dia,” terang si wanita tua sambil menghulurkan sekeping kad pengenalan kepada Hadi.

Pada kad pengenalan tersebut terpampang gambar seorang lelaki yang iras dengan Wati dengan nama Deman Syahwati Bin Soot Piau. Sejurus itu tanpa kompromi Hadi jatuh pengsan dengan mulutnya berbuih dan hidungnya mengalirkan darah merah dengan lancar. Orang kampung yang kebetulan berada di situ bergegas membawa beliau ke klinik desa yang berhampiran. Rupanya Hadi hanya sesat di dalam hutan kecil di Kampung Sedawai Keras dan cinta sejatinya telah didustai dengan penuh kejam. Sekian adanya.

HANTU BATU NISAN

Manalah aku nak cari benda tu? Lusa dah nak guna dah,” keluh Pak Rahmat sendiri tanpa siapa yang peduli.

Sejak dua hari yang lepas lagi hatinya tidak tenang kerana memikirkan permasalahan yang sedang bertandang di dalam kehidupannya. Sejak dua hari lepas jugalah tidurnya tidak pernah lena seperti selalunya. Pada malam itu dia mengambil keputusan untuk pergi ke warung Wak Deman dengan harapan dapat melekakan fikirannya dari terus memikirkan masalahnya itu buat sementara waktu.

Setibanya di sana, kelihatan suasana di warung sudah semakin lengang dengan hanya beberapa orang pelanggan tetap sahaja yang masih setia bertenggek di dalamnya.

Warung Wak Deman ini sememangnya sudah menjadi tempat rasmi bagi kaum Adam yang sudah agak lanjut usianya. Di sini mereka akan menjalankan aktiviti mereka yang boleh dikatakan kurang berfaedah seperti berborak kosong, membincangkan isu-isu semasa politik, dan kadang-kala menyebarkan gosip-gosip panas yang terjadi sekitar Kampung Pening Selamba itu sendiri.

“Hai Mat?! Apa ke jadahnya kamu ke sini malam-malam buta ni? Biasanya kamu ni kalau dah nak masuk maghrib aje dah tak nampak batang hidung tu,” tegur Soot Piau yang duduk semeja dengan Meon Kerbau dan Salim Getah. Bagaimana Meon dan Salim mendapat gelaran yang pelik sedemikian bukanlah isu penting dalam cerita ini. Jadi tidak perlulah ianya diterangkan.

Pak Rahmat sememangnya sudah cukup kenal lama dengan mereka bertiga ini. Mereka inilah teman sepermainannya sedari kecil sehinggalah ke peringkat usia yang kian senja.

“Yalah Mat. Kau ni dah buang tabiat ke apa? Tak pun kau gaduh dengan bini sampai kena tidur luar kot,” sampuk Meon Kerbau pula.

Pak Rahmat hanya tersenyum kelat lalu duduk bersama mereka. Dia kemudian memesan secawan kopi panas.

“Tak ada lah Meon, aku saja-saja nak tukar angin malam ni. Kau tengah borak pasal apa ni? Boleh aku tumpang sekaki ke?” tanya Pak Rahmat cuba untuk menukar topik. Dia tahu sekiranya dia tidak berbuat demikian, nescaya tiga rakannya itu akan menanyakan bermacam soalan lagi.

“Ni hah, anak Imam Kassim tu. Katanya kena tumpang dek puntianak dekat jalan baru tu semalam,” kata Salim Getah bagi memulakan semula perbualan mereka yang tergendala sebentar tadi.

“Anak Imam Kassim, Si Sarip kutu embun tu? Padan sangatlah dengan muka dia. Apa taknya selalu sangat balik jauh malam,” ujar Pak Rahmat sambil ketawa kecil.

“Hish! Kau ni Mat. Tak baik kamu cakap macam tu. Aku dengar masuk hari ni dah empat hari dia demam sejuk,” Pak Lebai bersuara. “Macam mana dia boleh kena tumpang tu?” soal Pak Rahmat dengan penuh minat.

“Begini, semalam masa budak Sarip tu tengah dalam perjalanan pulang, tiba-tiba kat bahu jalan ada awek cun tahan motor dia. Biasalah anak muda, pantang tengok dahi licin, dah naik bulu. Kata awek tu dia nak tumpang sampai ke hujung jalan. Jadi Si Sarip tu apa lagi, tak tolak peluanglah dia. Kena lagi tempat sunyi macam tu. Sampai saja mereka di tempat yang awek tu katakan, dengan tiba-tiba awek kat tempat duduk belakang hilang. Sejurus lepas tu kedengaran suara perempuan mengilai,” cerita Salim Getah dengan penuh gaya seorang pengacara rancangan misteri.

“Ala mungkin Si Sarip tengah berkhayal masa tu. Inilah orang kita ni. Cepat sangat nak percaya dengan benda-benda karut macam ni. Dahlah, kita cerita pasal benda lain lagi elok,” protes Pak Rahmat.

Kawan-kawannya memang sudah menduga yang dia akan berkata begitu. Ini kerana Pak Rahmat ni memang susah nak percaya dengan benda-benda tahyul terutamanya yang dia tidak nampak dengan mata kepalanya sendiri. Mahu tidak mahu akhirnya mereka terpaksa menukar topik perbualan mereka.

Sedar tidak sedar hari sudah semakin larut malam. Semua pelanggan warung sudah mula meninggalkan kerusi dan meja masing-masing. Hanya tinggal Pak Rahmat dan tiga rakannya sahaja yang masih bertahan.

Namun setelah wak Deman mendemonstrasikan beberapa isyarat yang berbaukan niat menghalau, akhirnya mereka mengorak langkah pulang ke rumah masing-masing.

“Kau ingat sikit Mat. Budak Sarip tu kena ganggu dek puntianak tu dekat jalan menuju ke rumah kau.” sakat Pak Lebai.

“Ala, kalau aku jumpa dengan puntianak tu nanti aku sampaikan salam perkenalan kau kat dia ya,” balas Pak Rahmat sambil tergelak.

Pak Rahmat lalu menghidupkan enjin keretanya dan mula bergerak pulang ke rumah. Suasana di jalan ketika itu sangat sunyi tanpa sebuah kenderaan pun yang berada sama ada di depan atau di belakang kereta Pak Rahmat.

Rasa bosan mula menyelubungi hati kecilnya. Lebih mengecewakan lagi radio keretanya telah rosak hasil dari kerajinan anak sulungnya,

Jaya yang sering menukang speaker radio tersebut. Bila mengenangkan sahaja tentang anak sulungnya itu, hatinya bertukar risau kembali seperti sebelum ini. Titik permasalahan mula memenuhi fikirannya. Baginya semua permasalahan ini adalah disebabkan oleh kebodohan anak lelakinya itu.

“Inilah kamu Jaya. Bapak suruh kamu tempah awal-awal benda tu, kau boleh kata terlupa pula. Sekarang bapak juga yang susah. Dasar anak tak boleh diharap!” marah Pak Rahmat sendiri lagi.

Di dalam kerancakan Pak Rahmat menyumpah seranah anaknya itu, tiba-tiba matanya menangkap kelibat seorang gadis yang berpakaian serba putih sedang memberhentikan keretanya. Perlahan-lahan Pak Rahmat memakir kenderaan ke tepi jalan. Ternyata gadis itu berada lingkungan usia 20-an. Di tangan kanan gadis tersebut sedang mengendong sesuatu yang ditutupi oleh kain putih.

“Anak tunggu siapa malam-malam buta begini?” tanya Pak Rahmat dengan penuh ramah. Dia cuba untuk melihat raut wajah gadis itu. Namun tidak berhasil kerana rambut panjang gadis itu menutupi keseluruhan bahagian atas mukanya. Yang kelihatan hanya hidung mancung dan bibir gebunya. Tetapi ianya sudah cukup menunjukkan gadis itu seorang yang cantik.

“Saya nak ke hujung jalan sana tu pak cik,” jawab si gadis.

“Kalau macam tu jom ikut pak cik. Tak baik tau anak duduk sini seorang-seorang. Takut jadi perkara yang tak diingini. Lagipun kebetulan pak cik pun lalu jalan tu,” pelawa Pak Rahmat dengan penuh ikhlas hati.

Gadis itu lalu membuka pintu kereta Pak

Rahmat dan duduk di bahagian belakang. Pak

Rahmat tersenyum. Di dalam buah fikirannya, alangkah eloknya jikalau gadis itu boleh dijadikan calon menantunya. Lagipun anaknya Jaya tu sudah lama membujang. Dia pun sudah lama mengidam hendak bercucu. Gambarannya menimang seorang cucu yang comel mula bermain di fikirannya.

Sepanjang perjalanan gadis itu langsung tidak berkata-kata. Pak Rahmat mula berasa bosan kembali. Bagi mengelakkan dari perkara itu berlaku, dia lalu cuba untuk membawa gadis tersebut bercerita.

“Anak ni datang dari bandar ke? Sebab pak cik tak pernah nampak pun anak sebelum ni,” katanya kepada gadis itu.

“Pak cik nak tau tak? Dulu saya bekerja di kilang keropok kat kampung sebelah tu. Masa tu saya hidup dengan bahagia sekali. Sehingga- lah, saya berjumpa dengan seorang lelaki yang selalu usik saya kalau saya balik kerja. Ditakdirkan pula saya telah jatuh cinta dengannya. Kami menjalinkan hubungan selama hampir enam bulan lamanya. Kerana terlalu percayakan dia, saya telah menyerahkan kehormatan saya kepadanya. Malang bagi saya kerana seminggu lepas tu saya disahkan mengandung. Lebih malang lagi apabila dia tidak mahu bertanggungjawab dengan perbuatannya malah lebih menyedihkan, selepas itu saya diberitahu bahawa dia telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Sepanjang saya mengandung tu, saya sering dicaci dan dimaki oleh orang-orang kampung dan keluarga saya sendiri. Sehinggalah akhirnya saya mengambil jalan mudah untuk menamatkan penderitaan saya. Saya membunuh diri dengan meminum racun tikus. Dan sejak itulah saya dipindahkan ke kampung ni pak cik. Hah! Kat simpang tu aje pak cik,” ujar gadis itu menamatkan ceritanya.

Dalam keadaan yang semakin panik, Pak Rahmat masih mampu mengawal dirinya. Perlahan-lahan dia memberhentikan kenderaannya betul-betul di satu simpang yang mempunyai papan tanda yang bertulisan jawi. Apabila dia mengamati tulisan tersebut, ianya bermaksud

‘Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung

Pening Selamba’.

“Mesti pak cik tertanya-tanya apakah benda yang sedang saya bawa ni kan? Hah! Inilah bendanya tu,” kata gadis itu lagi setelah dia sudah keluar dari kereta sambil menunjukkan sebuah batu nisan kepada Pak Rahmat! Mata Pak Rahmat terbeliak besar melihat semua kejadian itu. Hatinya berdebar kencang! Lebih-lebih lagi apabila dia melihat batu nisan tersebut.

“Ini sudah bagus! Bagi sini batu nisan tu!” kata Pak Rahmat lantas meragut batu nisan tersebut dari tangan gadis puaka itu. Dia lalu memecut kenderaannya sepantas dan sejauh yang boleh dari gadis puaka tersebut.

“Akhirnya dapat juga aku cari batu nisan untuk arwah laki Si Tijah tu. Selesai masalah aku. Bolehlah aku pasang Astro bila Si Tijah bayar aku nanti. Jadi tak payahlah lagi aku susah-susah nak pergi ke warung Wak Deman yang jauh tu semata-mata nak tengok gusti.” Pak Rahmat lantas ketawa keriangan.

Sementara itu, jauh di belakang kelihatan gadis puaka itu tadi masih lagi termangu di bahu jalan kerana tidak memahami respons hampeh yang diberikan oleh Pak Rahmat.