Hey Laura It’s Me

RM26.00

Penulis: Ieya Sya

Caption: aku tidak akan pernah menghilang

ISBN: 978-967-406-280-4

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

“Orang jahat memang susah nak gelak sebab hati mereka dah hitam. Hitam, hitam, hitam dan hitam!” ~ Laura

Dia bencikan Iskandar. Bagi Laura, sejauh mana pun kejahatan menjulang piala, akhirnya piala itu akan jatuh ke tangan kebaikan. Kerana itu dia menunggu kehadiran Iskandar demi sebuah jawapan. Bertahun menunggu, bukan Iskandar yang muncul tetapi Marlo, lelaki kasar, kurang ajar dan sarkastik yang sering mengekorinya. Datangnya Marlo bersama berita kelenyapan Iskandar dari dunia.

Rimos Cafe menemukan Laura dengan Fateh, barista yang kacak, sopan tetapi agak lemah. Mengenali Fateh membuatkan hatinya terganggu. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu memperlihatkan sisi romantisnya. Berada di sisi Fateh seringkali mengingatkan dia pada Iskandar sehingga Laura celaru.

“Pernah tak kita bertemu sebelum ni?”  ~ Fateh

“Kita tak pernah kenal sebelum ni. Mungkin bos pernah terserempak dengan perempuan seiras saya. Dalam dunia ni, banyak pelanduk dua serupa….” ~ Laura

Dunia Laura tiba-tiba kucar-kacir apabila dia diburu oleh Tuan Farid. Ketika itu seorang lelaki bernama Zack muncul. Lelaki yang memegang kunci pada semua rahsia yang berlegar di sekitar mereka. Namun, benarkah Zack ada kunci pada segala rahsia sedangkan di atas mereka ada manusia licik yang bijak bermain dengan sebuah kenyataan?

Ada kematian yang berlaku.

Ada kehilangan yang perlu mereka terima.

Ada kenyataan yang harus mereka telan.

Dan ada kejahatan yang mereka perlu hadapi.

Semuanya tersimpan di dalam Hey Laura, It’s me.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

TANGAN dan kaki lincah bergerak kiri dan kanan. Tubuh yang sekejap pusing ke depan dan belakang, ibarat tarian yang mengikut alunan muzik. Sesekali Fateh menarik senyuman manis tatkala sedar beberapa mata memerhatikannya. Corak di atas Caffe’ Latte dilukis berhati-hati. Puas hati, dia mendongak.

“Siap!”

Fateh senyum lebar. Garisan di kedua-dua belah pipinya naik, menambahkan seri wajah. Apabila salah seorang pekerja datang mengambil dan membawa pesanan ke meja pelanggan, dia membiarkan matanya mengekori lenggok itu. Sekali lagi, dia tersenyum saat beberapa pelanggan wanita melirik bersama senyuman penuh makna kepadanya.

“Bos, semakin hari pelanggan semakin ramai. Bos tak ada niat nak ubah suai kafe ni ke?”

Fateh berpusing. Tenang saja wajahnya menatap Rizman yang elok bersandar pada kabinet di bahagian belakang kaunter.

Maybe…” Fateh angkat bahu. Cawan yang tergantung, dicapai.

“Kalau bos nak ubah suai kafe ni, apa kata bos tukar sekali nama kafe ni. Dari Rimos Cafe, kita jadikan Smile Cafe. Pelanggan dekat sini dah admire gila dengan senyuman bos tu. Untung badan bos. Ramai perempuan tertarik.”

Fateh tak membalas sebaliknya dia sibuk menatap mesin di depannya. Apabila Rizman menapak ke sebelahnya, dia menoleh. Masih dengan senyuman indahnya.

“Bos, jangan senyum macam tu dekat saya. Saya ni teruna straight. Bukan gay. Istighfar, bos. Tolonglah kembali pada fitrah.” Rizman tepuk dada berkali-kali.

Patutlah perempuan di sini gila tengok senyuman lelaki yang viral di laman sosial ni. Gaya ala-ala flower boys. Menawan dan tertawan. Cuma, siapa yang rajin viralkan muka si Fateh ni, tak tahulah. Tapi berkat si viral, pelanggan tak putus-putus datang ke kafe.

“Kau tak ada kerja ke? Aku tengok pekerja lain bukan main sibuk. Gaya kau dah macam bos. Nak aku jual kafe ni dekat kau?” soal Fateh bersahaja. Hanya mengerling tanpa riak marah.

Tapi, terasa jugalah si Rizman. Cepat-cepat dia berdiri tegak. Kepala menggeleng laju.

“Jangan macam tu, bos. Saya mana ada duit nak beli kafe ni. Kuli aje. Sedar diri.” Rizman tertunduk. Saja tunjuk sebik.

Fateh menggeleng sekali lalu sebelum kembali meneruskan kerjanya. Kalau melayan Rizman, mahu tak siap pesanan. Baru nak fokus pada kerja, telefon di dalam laci meja berbunyi. Dahinya berkerut. Mata mengecil.

“Riz, kau ambil tempat aku.” Terus Rizman ditarik menghampirinya.

Terpinga-pinga Rizman dibuatnya. Tak sempat bersuara, Fateh sudah mencapai telefon di dalam laci. Sepantas kilat lelaki itu berlalu. Terus menuju ke bahagian dapur.

Hilang saja bayangan Fateh, Rizman mengeluh. Sedar beberapa pelanggan menghalakan pandangan ke arahnya, dia melemparkan senyuman. Namun, senyumannya tak berbalas.

“Nasib lelaki kurang kacak…” Rizman tertunduk kecewa.

Fateh merengus sebaik saja membaca perkataan yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Tangannya spontan mengusap belakang leher. Wajah tenang sekelip mata bertukar tegang.

“Masalah apa lagi?!” dengusnya sendiri.

Laju tangannya menyentuh satu-satunya nama yang ada dalam senarai kenalan di dalam telefon itu.

“Kau ada dekat mana?” soalnya sejurus panggilannya berjawab.

What? Dalam kafe?” Terbeliak biji mata Fateh.

“Aku datang sekarang!” Talian dimatikan.

Tanpa membuang masa, laju Fateh mendaki tangga yang menghubungkan pejabat kecilnya dengan ruangan atas. Ruangan yang dijadikan tempat rehat para pekerja. Sampai di atas, rak yang penuh dengan buku dihampiri. Mata meliar laju sebelum bertinggung. Buku di bahagian paling bawah diketepikan. Rakus tangannya menolak pintu kecil yang melekat di badan rak. Butang hitam yang muncul di situ, ditekan.

Krakkk!

Fateh berdiri saat almari di bahagian dapur mini terpisah menjadi dua. Dengan langkah bersahaja, dia menapak masuk ke dalam ruang kecil yang kelihatan di tengah-tengah belahan almari tadi. Lima tapak ke depan, almari tadi kembali bercantum. Sesaat, dia berada dalam gelap gelita sebelum lampu secara automatik terbuka. Sepuluh tapak lagi ke depan, kakinya bertemu dengan anak tangga menghala ke bawah.

“Macam mana kau masuk tanpa kunci?” tanya Fateh sebaik saja melangkah ke dalam rumah rahsia di bahagian bawah. Apron coklat ditanggalkan dari badan. Lelaki yang duduk di hadapan meja persegi, ditatap tajam.

“Aku masuk masa pekerja kau buka kedai tadi. Dan jangan risau, tak ada siapapun nampak aku,” balas Sairez tenang. Tangan bermain dengan rambut kerintingnya.

Fateh menjeling. Sakit mata tengok Sairez duduk dengan kaki melintang di atas meja. Tangan tak habis menggulung rambut yang persis penyanyi Aweera. Tanpa amaran, dia menendang pelipat kaki Sairez. Melambung kaki Sairez ke atas sebelum jatuh menghentak lantai.

“Hoi, sakitlah!” Sairez berdiri. Menggeletik kakinya. Sakit kut!

Fateh mencebik.

“Kesah pula aku. Cakap, benda apa yang emergency? Apa yang tamat?”

Tak hiraukan kesakitan Sairez, Fateh menyoal pantas. Sepatah perkataan yang dihantar Sairez tadi terbayang.

Kita tamat!

Apa yang dah tamat?

Dengar soalan Fateh, Sairez tepuk tangan sekali. Kedua-dua kaki dilurus, tak menggeletik macam tadi dah.

“Ada perempuan ajak kau date.”

Mencerlung biji mata Fateh.

“Kau panggil aku sebab…”

“Tak. Tu cuma makluman awal. Macam biasa, aku tolak dengan baik. Weh, sampai bila kau nak suruh aku gantikan kau layan semua mesej-mesej tu? Tak boleh ke kau stop bagi nombor telefon setiap kali pelanggan wanita kau minta?” Sairez beralih ke sofa. Duduk menghadap laptop yang terpasang.

“Layan ajelah. Aku bagi kau upah bukannya free. Win-win situation. Aku buat baik dengan mereka, mereka promote kafe aku. Then, aku dapat duit. Kafe aku pun semakin maju.” Fateh ikut ambil tempat di atas sofa.

Sairez menceber. Mula-mula melayan peminat Fateh memanglah teruja. Tapi lama-lama jadi bosan. Tak adalah hebat sangat hidup dikelilingi bunga. Kadang-kadang rimas!

Skip la pasal perempuan-perempuan tu. Boleh bayang tak betapa sakitnya mulut aku sebab asyik senyum dekat mereka? Huh!” Fateh tayang mula meluat.

Nak jadi hipokrit depan pelanggan sendiri bukannya senang!

“Kenapa kau mesej? Mesti ada benda penting, kan?”

“Sebut pasal tu…” Sairez tarik komputer riba sedikit ke depan. “Kita kena hentikan projek malam ni.”

“Kenapa?”

Sairez tarik nafas dalam-dalam.

“Kau dengar ni.” Rakaman di dalam komputer dimainkan.

Datuk Zahid: “Tak ada benda nak dicuri. Itu semua lakonan. Sebelum Marlo masuk ke dalam rumah Farid, aku hantar orang untuk bunuh Farid. Sebaik saja Marlo masuk, kita akan perangkap dia sebagai pembunuh. Kemudian… Biarkan dia meringkuk dalam penjara atas tuduhan   membunuh!”

Anymous: “Serius Datuk? Marlo dah kerja dengan kita berapa lama. Dia pekerja terbaik kita.”

Datuk Zahid: “Yang terbaik tu boleh jadi musuh. Sebab dia lebih bijak, kita kena hapuskan dia dulu. Lagipun manusia macam dia hanya hamba duit. Bila-bila masa dia akan membelot. Dalam dunia ni, bukan dia saja  yang terbaik.”

Anymous: “Siapa yang Datuk hantar?”

Datuk Zahid: “Lucas and the gang.”

“Macam mana sekarang? Aku rasa kita tolak aje kerja tu,” cadang Sairez seraya menekan butang stop.

Fateh diam. Wajahnya lurus ke depan. Matanya tajam menatap cermin televisyen yang memantulkan imejnya. Sebaik saja wajah sendiri menyapa mata, dia tersenyum sinis.

On aje.” Selamba dia memutuskan.

Sairez tercengang.

“Kau gila? Dia orang nak perangkap kau sebagai pembunuh.”

“Aku tahu tapi kita tetap akan teruskan apa yang dia mahu cuma…” Fateh berjeda. Urat kepala dibetulkan. “Tukar ke pelan B,” sambungnya.

Sairez tergamam. Tak berkerdip dia menilik kulit Fateh yang mula tegang. Urat-urat biru tenggelam timbul di tepi kulit kepala lelaki itu.

“Datuk Zahid bahaya, Fateh.” Sairez mengingatkan.

Dari wajah Fateh, dia tahu ada sesuatu yang licik difikirkan lelaki itu. Dan akal lelaki itu selalunya mengarah pada jalan yang sangat berbahaya. Dia tak fikir, dia sedia untuk terlibat dengan pelan B Fateh. Boleh bawa nahas!

“Bahaya atau tak, siapa peduli. Kau tahu aku, kan? Apa yang orang suruh buat, aku buat sampai berjaya. Tapi, kalau mereka dah sentuh aku, aku tak boleh tahan diri dari sentuh mereka.” Fateh berdiri.

“Sebab tu aku selalu ingatkan… Jangan sentuh aku!” Dengan ayat itu, Fateh mencapai kembali apronnya.

Sairez mengeluh panjang. Kalau Fateh dah sebut perkataan keramat dia tu, maknanya dia tak boleh bantah arahan lelaki itu.

“Okey. Tapi sebelum kau masuk balik ke kafe kau tu, aku ada satu lagi maklumat.”

Fateh yang selesai melilitkan apron di pinggang, berpaling. Keningnya terjongket naik.

“Aku dah dapat satu lagi maklumat tentang Iskandar. Perempuan yang pernah tinggal dengan Iskandar. Dan…” Sairez nampak teragak-agak.

“Dan?”

“Dia cinta pertama Iskandar,” maklum Sairez dengan muka sedikit menyeringai.

“Cinta pertama?” Fateh sebut balik perkataan itu. Dia terdiam seketika sebelum ketawa kecil.

“Aku tak tahu pula lelaki bodoh boleh bercinta,” tempelak Fateh sekilas sebelum berlalu bersama wajah yang sudah hilang serinya.

TANGAN yang dihiasi gelang hitam, ligat menyusun buku demi buku. Badan yang sekejap menunduk dan sekejap berdiri saat mencapai dan mengangkat buku, meliuk-liuk. Pinggang dan bahu berselang-seli digoyang. Irama muzik Bollywood dari filem Main Prem Ki Diwani Hoon semakin merancakkan setiap pergerakannya.

Ayi Main Ayi neele gagan se

Layi main layi taaron ke chun ke

Mere liye jo bana hai

Sun le jahan tu chupa hai

Paana mujhse mushkil hai

Phoolon jaisa mer dil hai

Aakar dekhle

Papa ki pari hoon main

O… O… Ho… Ho… Ho…

“Bukan main lagi akak bergolek. Masuk dek pelanggan, seminggu malu tak habis,” tegur satu suara di belakang.

Laura tersentak. Laju dia berpaling. Tersengih sebaik saja kelibat Farisya menyapa mata. Tarian dihentikan. Lagu dari telefonnya dimatikan.

“Sebab tak ada oranglah akak berani nak bergolek. Kamu ni datang awal kenapa? Nak over time?” Rambut lurus bergulung di bahagian bawah, disanggulkan.

“Taklah kak. Singgah sekejap, letak beg. Fari nak keluar sekejap lepas ni. Nanti pukul dua, Fari datang balik,” maklum Farisya sebelum menghampiri laci meja di kaunter. Beg kecilnya diperosok ke dalam ruangan kecil itu.

“Ingat nak teman akak dekat sini. Nanti kalau Fari masuk, akak keluar tau. Akak ada kelas Zumba. Hari ni dalam pukul lima, akak nak balik. Fari boleh balik awal hari ni,” ujar Laura. Earphone ditarik dari telinga.

“Betul ke, kak? Kiranya Fari kerja tiga jam aje hari ni?” Gadis muda itu terkejut. Namun dalam terkejut, bukan main hati bersorak.

“Akak ingat nak tutup kedai awal hari ni. Sebab malam ni akak ada satu lagi kelas.”

Farisya angguk.

“Kalau macam tu, Fari pergi dulu. Tengoklah, kalau Fari habis jumpa kawan cepat, Fari datang cepatlah.”

Farisya memasukkan dompet ke dalam poket. Apabila bosnya mengangguk, dia melambai. Kemudian hilang dari muka kedai bersama senyuman gembira.

Siapa yang tak gembira kalau boleh balik awal?

Lenyap bayangan pekerjanya, Laura melabuhkan punggung di atas bangku bersebelahan meja kaunter. Apron merah di tubuhnya disapu-sapu. Semua kerja penting dah siap. Sikit-sikit lagi tu, serah kepada Farisya aje nanti. Nafas ditarik dalam. Alat kawalan televisyen dicapai.

“Encik Mohamed Mokhtar atau dikenali sebagai Mok, berjaya ditahan oleh pihak berkuasa di rumah persembunyiannya pada pagi semalam.”

Suara pembaca berita membuatkan tubuh Laura yang bersandar, tertegak. Alat kawalan jauh dilempar ke atas meja. Sekelip mata, bunyi tepukannya bergema di setiap sudut kedai.

“Dah kena tangkap pun. Kau ingat kau boleh terlepas selepas bunuh orang? Apa masalah kau, hah? Seronok sangat ke membunuh? Dasar pentingkan diri sendiri. Hati manusia ke binatang? Meringkuklah kau dalam penjara! Kena gantung lagi bagus!” bebel Laura. Tangan mengipas muka sendiri. Hilangkan rasa panas sebelum semua organ di dalam badan terbakar rentung!

Selang sesaat, dia memicit dahi. Riak marahnya bertukar jadi gundah. Detak jantung cuba diredakan. Penjenayah bernama Mok tu memanglah tak ada kena-mengena dengan dia tetapi perbuatan lelaki itu mengingatkan dia kepada seseorang. Seseorang yang menjadi alasan, mengapa dia terlalu membenci perkataan penjenayah.

“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Kau lari ke mana pun, bayangan kejahatan kau akan menghampiri kau balik suatu hari nanti. Pasti! Dan aku akan tunggu bayangan kejahatan kau, bawa kau kembali pada aku, Iskandar!” getus Laura.

Kedua-dua tangan terkepal. Gigi diketap. Urat tepi matanya tenggelam timbul. Berkerut-kerut wajah menahan rasa sakit sekali gus kebencian yang tersimpan dalam hatinya bertahun-tahun.

Mata dipejam erat.

“Kalaulah kau muncul depan aku, Iskandar…” Laura ketawa kecil. Tawa yang berselirat dengan rasa pedih dan benci.

Reda daripada rasa marah, dia buka mata perlahan-lahan. Saat matanya terbuka, satu imej berdiri tegak di depannya.

“Bodoh!” Terjerit Laura. Lantang. Hujung kaki di lantai, tertolak. Hampir saja kerusi yang didudukinya terbalik ke belakang.

SorrySorry. Saya tak sengaja. Tak bodoh. Pandai… Pandai.” Bingkas Laura berdiri. Mulut ditampar perlahan.

Biasa tu, melatah maki orang!

Dah gila agaknya dia ni. Dalam banyak-banyak perkataan, kenapa perkataan bodoh juga yang terkeluar? Serba salah jadinya. Bukan senang pelanggan nak masuk ke dalam kedai menjual buku lama ni.

“Ya, encik?” Laura tenangkan suaranya. Tersengih-sengih dia di situ. Dalam diam, dia cuba mengamati wajah yang tertunduk itu. Namun cermin mata hitam yang dipakai oleh lelaki itu menyukarkan dia untuk mengecam.

Perlahan-lahan Laura merendahkan kepalanya. Nak usyar anak teruna orang!

Seperti tahu Laura ingin mencari wajahnya, lelaki itu berpusing. Berpura-pura menilik buku-buku yang tersusun di rak.

“Saya cari sebuah buku lama. Ada?”

Laura di belakang lelaki itu, berkerut.

“Buku apa? Tajuk? Nama penulis?” Kalau buku lama memanglah banyak. Sekurang-kurangnya beritahu tajuk buku. Senang nak cari.

“Penulis, Laura,” beritahu lelaki itu.

“Laura?” Laura tersentak. Itu namanya.

“Laura Isabella.”

Laura mengangguk. Komputer ribanya dihampiri.

“Tajuk buku tu apa, ya?” Tangan galak mengetik tetikus. Dia pun tak berapa tahu kalau ada penulis nama Laura Isabella.

“Iskandar…”

Tangan Laura membeku. Hujung matanya bingkas mengerling lelaki itu. Rentak jantungnya berubah. Bibir terkemam rapat. Rasanya tak ada penulis bernama Laura Isabella menulis buku bertajuk Iskandar. Yang ada cuma seorang Laura yang mengenali Iskandar.

Dan itu adalah dia!

Cepat-cepat dia sekolahkan wajahnya biar tenang.

“Sekejap, ya. Saya cari dekat belakang.” Laura berdiri tegak. Dengan senyuman palsu, dia berjalan melalui lelaki itu.

Apabila lelaki itu menunduk saat dia sekali lagi cuba mengecam wajah itu, hati Laura semakin tak enak.

Miss Laura…” Tak semena-mena suara garau itu mengalunkan namanya.

Langkah Laura termati. Nafasnya terasa semput. Tanpa menghiraukan lelaki itu, dia meneruskan langkahnya.

“Aku tahu kau Laura.”

Laura tergamam sejenak. Bebola mata dibawa ke tepi. Saat terasa derap kaki itu merapatinya, dia berganjak mendekati rak buku paling hampir dengannya. Tanpa sebarang amaran, laju dia menarik beberapa buah buku. Sepantas kilat Laura berpaling. Buku di tangannya dicampak secara rambang.

Namun tangkas dielak oleh lelaki itu. Pergerakannya dapat dibaca oleh lelaki itu. Saat dia melompat cuba melarikan diri, bahunya ditarik. Tubuhnya terdorong ke dada itu. Apabila dia angkat wajah, lelaki itu cekap membalikkan tubuhnya. Tangan keras itu melintang di lehernya. Nafas kencangnya mendominasi setiap ruang kedai.

“Apa kau nak?” Matanya mencerlung garang.

“Aku nak cakap dengan kau.” Terasa bibir lelaki itu hanya seinci dari telinganya.

“Aku tak kenal kau…” Kempis perut Laura saat mata sebilah pisau bersentuhan dengan perutnya.

“Tapi kau kenal Iskandar.”

Tangan Laura sudah mencengkam erat tepi seluar jean. Kepala lututnya menggeletar.

‘Apa masalah yang kau bawa kali ni, Iskandar?’

“NAIK!”

Laura keraskan badan. Tangan yang dikilas, cuba direntap.

“Sementara aku cakap elok-elok, baik kau naik. Jangan sampai aku lupa yang aku ni manusia. Masa tu baru kau akan menyesal.” Fateh menolak Laura supaya mara ke depan. Sesekali betis itu ditendang perlahan sebagai isyarat kepada Laura yang masih berkeras.

Tak semena-mena Laura ketawa kecil. Rontaannya termati.

“Lupa jadi manusia? Kalau kau sedar kau manusia, kau akan berlembut? Jangan buat lawaklah.”

“Apa yang lawak?” Fateh dekatkan bibirnya pada rambut itu. Berbisik perlahan dengan suara seakan-akan mencabar gadis itu.

“Manusia zaman sekarang, walaupun mereka sedar mereka manusia, tetap juga perangai serupa binatang!” hambur Laura penuh kebencian.

Fateh terkesima. Seketika kemudian dia tersenyum sinis. ‘Lebih teruk, ada manusia yang berperangaikan setan!’

“Aku tak nak cakap banyak dengan kau. Naik sekarang. Naik!” Sekali lagi tubuh Laura ditolak.

Fine! Aku naik.” Laura lembutkan badannya.

Melihat Laura tak meronta seperti tadi, Fateh longgarkan cengkamannya. Namun dia tersilap langkah. Lembutnya Laura bukan selembut gadis lain. Saat terasa cengkaman di tubuhnya semakin longgar, Laura bingkas menarik tangannya. Sepantas kilat dia memusingkan badan. Sebaik saja dia terpusing sepenuhnya, mata sudah berada betul-betul di hadapan wajah lelaki itu.

Bertentangan!

Fateh terdongak dek kepantasan Laura. Sedar mereka saling berhadapan, laju dia mencengkam pinggang gadis itu. Kemudian sekuat hati dia pusingkan kembali gadis itu. Laura tak mengalah. Tangannya terawang-awang cuba melepaskan diri, namun Fateh pantas menyilangkan kedua-dua tangannya sekali gus memeluk erat tubuhnya dari belakang. Sebelah tangan lelaki itu menutup mulut Laura, menghalang jeritan.

“Diam kau!” bentak Fateh. Belakang tubuh gadis itu ditekan rapat ke tubuhnya. Bila Laura masih cuba melepaskan diri, lagi kuat pautannya.

“Naik! Naiklah perempuan!” Tubuh Laura didorong secara paksa menaiki tangga.

Laura menyeringai kuat. Bila lelaki itu semakin ganas menolak, dia terpaksa relakan kakinya memijak anak tangga menghala ke bahagian atas kedai bukunya itu.

“Hoi, apa hal aku kena pakai macam ni? Malu siot!” Satu suara muncul di belakang.

Terpejam mata Fateh saat terdengar suara Sairez di belakang. Tak nampak ke dia tengah susah tahan minah yang asyik memberontak ni? Laju dia berpaling sampaikan Laura terpusing sekali.

“Lantaklah kau nak pakai apa sekali pun. Kau tak nampak ke malaun ni tengah histeria?” herdik Fateh.

Terhinggut bahu Sairez. Bila muka diangkat, dia tergamam. Cepat-cepat dia sorokkan muka di sebalik rambut panjangnya apabila mata Laura terarah kepadanya.

“Kau tengok keadaan dekat bawah ni. Clear atau tak. Kalau ada orang datang, kau tahu apa nak buat, kan?”

“Ya bang… Saya tahu apa nak buat,” balas Sairez dengan rambut masih dibawa menutupi wajahnya.

Fateh tarik muka. Bang? Nak termuntah dia dengar suara jantan yang dah bertukar jadi macam perempuan miang. Lagi nak termuntah apabila Sairez muncul bersama jubah perempuan. Ketat pula tu.

Mata Laura tak berkelip memandang pondan di hadapannya. Mekap macam badut! Merah sana sini.

Bukankah zaman sekarang peratusan kecantikan pondan lebih tinggi daripada perempuan? Tapi pondan di depannya buruk tahap nak muntah.

“Dah, naik atas sekarang,” arah Fateh. Tubuh Laura didorong kembali ke tangga.

“Bang… Lepas ni you kena sayang I lebih. I dah buat ni untuk you tau. I love you, bang…” Sempat Sairez berlakon gaya-gaya sotong lembik saat Fateh dan Laura sudah tiba di muka tangga bahagian atas.

Meremang bulu tengkuk Fateh. Bengang aje dia dengan Sairez. Dia suruh menyamar ala-ala gugurlz. Tapi Sairez dah macam pondan sejati. Ni bukan buat iman tergugat tapi sekali jantung dan limpa nak terburai dari badan.

Satu lagi, minah ni. Tak habis-habis dok umph, umph, umph! Dah tahu mulut kena tekup, diam ajelah. Sibuk nak bercakap. Tanpa menunggu lama, Fateh terus menarik Laura masuk ke dalam ruang atas. Tanpa belas, tubuh itu ditolak ke atas katil.

“Kalau kau tak nak mulut kau kena sumbat dengan apa-apa, kau diam!”

Sebelum Laura buka mulut, Fateh dah beri amaran. Laura kemam bibirnya rapat-rapat. Mata pula meliar mengikut gerak-geri Fateh yang seperti mencari sesuatu. Dalam masa yang sama, pandangannya terarah pada pintu keluar. Namun, teringat si pondan berjaga di bawah, niatnya terbantut.

“Jangan fikir nak lari.” Fateh muncul di hadapannya.

Laura angkat wajah. Fateh cepat-cepat larikan mukanya. Beberapa saat kemudian, tangan Laura ditarik ke belakang dan diikat dengan selimut bujang milik gadis itu. Sapu tangan panjang dililitkan pada mata gadis itu.

“Kau kenal Iskandar?” soal Laura tak semena-mena.

Fateh tak menjawab sebaliknya melepaskan nafas penat. Boleh tahan kuat juga perempuan ni. Sampai semput nafasnya. Punggungnya dilabuhkan di depan gadis itu. Seluruh wajah itu diratah dengan rasa aneh. Cermin mata hitamnya dibuka. Kolar baju yang menutupi bahagian mulutnya, diturunkan.

“Kau pernah bercinta dengan Iskandar?”

Laura terkesima. Tangan di belakang, terkepal.

“Iskandar…” Perlahan Laura menyebut sepotong nama itu. Kemudian dia diam. Bibir merapat. Ada getaran di situ.

Fateh mengerutkan dahi. Anak matanya turun pada bibir itu. Setiap pergerakan itu direnung teliti. Gaya Laura seakan-akan cuba menahan sesuatu. Dan semua terjawab apabila perlahan-lahan air mata mula melewati pipi gadis itu. Turun dengan perlahan sehingga ke dagu itu.

‘Dia menangis…’ bisik suara Fateh.

“DARI tadi kau asyik pandang aje tangan tu. Tangan kau kena najis mutawassitah ke apa?”

Sairez tenung Fateh dan tapak tangan kawannya bersilih ganti. Sejak balik dari kedai Laura’s Bookflowers, Fateh tak berhenti merenung tangan sendiri. Jam pun dah dekat lapan setengah malam. Lama tu!

“Pukul berapa Datuk Zahid nak aku buat kerja dia?”

Bebola mata Sairez naik ke atas. Mencebik sedikit. Lain yang ditanya, lain yang dijawab.

“Pukul sepuluh malam.”

Fateh mengeluh. Tangan yang ditahan pada meja makan, diangkat.

“Tepat pukul sembilan, aku akan ke rumah Farid. Sepuluh minit lepas tu, kau telefon polis. Pastikan konco-konco Farid musnah. Kau siapkan semua bukti tentang kerja haram Datuk tak guna tu. Kemudian serah pada aku. Pandai-pandai aku cari jalan serahkan bukti pada pihak polis.”

Sairez angguk sekali. Tak membantah! Daripada dia cari pasal dengan lelaki yang tak suka cakapnya dibantah, baik dia mengeyakan saja. Namun, hatinya sedikit gusar. Pantas dia mengekori Fateh yang sudah membolos ke dalam bilik.

“Fateh, aku bukan nak bangkang tapi dari kita terlibat dengan benda ni, baik kita cakap yang kita tak terima kerja ni. Kau selamat, aku selamat. Dari kau susah-susah perangkap dia,” cadang Sairez.

T-shirt hitam yang baru muat separuh di tubuhnya dibuka kembali. Tajam Fateh mengerling Sairez. Bibirnya berdesis perlahan.

“Dia sentuh aku, aku sentuh dia. Lepas tu, hutang antara aku dan dia selesai. End of it!” Fateh silangkan tangan tanda pangkah. T-shirt sekali lagi disarung bersama men black cardingan. Snow cap berwarna kelabu dicapai.

“Tapi ni bahaya. Urusan mereka tu urusan dadah. Kau tahu kan, macam mana manusia boleh jadi gila sebab dadah? Kalau mereka tahu kau dalang, habis. Bukan kau saja, dengan aku sekali!” Sairez dah gentar.

“Relakslah. Tak ada siapa pun tahu aku ni Marlo. Kau dan aku saja yang tahu. Kalau terbongkar siapa Marlo, itu bermakna…” Kecil mata Fateh kepada Sairez. Kepala Sairez ditekan dengan jari yang sudah membentuk seperti pistol.

“Sumpah, aku tak akan cakap. Kalau aku diugut bunuh pun, aku janji takkan bagi tahu. Sumpah!”

Fateh mencebik sinis. Kotak di atas meja dibuka. Kaca mata berkamera dikenakan pada mata. Butang on pada bingkai bahagian tepi ditekan. Menguji!

“Tapi disebabkan kali ni kau yang jebakkan aku dalam bahaya, duit tu 60-40, Okey?”

Dasar hantu duit! Fateh menarik pula beg khasnya yang tergantung di tepi almari solek.

“Duit tu semua untuk kau. Aku cuma nak pastikan orang yang cuba perangkap aku terima habuan.” Fateh berlalu dari bilik.

Semua? Mata Sairez penuh dengan imej duit. Mulut ternganga besar. Tak sampai lima detik, dia dah bersorak gembira. Bolehlah buat rawatan rambut dekat salon mahal. Yahoo!

Langkah Fateh diekori lagi.

“Tapi, kenapa kau nak selamatkan Farid tu?” duga Sairez saat tiba di rak kasut berhampiran pintu keluar rumah.

Musykil juga. Setahu dia, Fateh tak akan buat kerja kalau tak ada upah. Bagi lelaki itu, dia hanya akan buat apa yang membawa untung pada dia. Falsafah hidup Fateh senang saja. Matlamat menghalalkan cara. Cuma dua benda yang Fateh pegang. Perempuan dan kanak-kanak tak boleh terlibat, tak boleh dilukai.

“Mungkin aku boleh dapatkan klien baru.” Fateh berdiri. Pinggang direnggangkan.

“Kalau macam tu…” Sairez terus ambil tempat di ruang tamu. Duduk berhadapan tiga buah komputer yang terpasang.

Let’s start!” laungnya.

Fateh tabik sekali kemudian keluar.

Ya! Let’s start the game!

GERAK tangan yang pantas diperhatikan. Ayunan demi ayunan yang begitu cantik dan teratur cuba ditiru, tetapi gagal. Kagum apabila matanya difokuskan pada kaki yang bergerak tanpa menampakkan kesumbangannya. Pinggang yang lembut meliuk lentok buat hatinya disapa cemburu.

Kalaulah dia boleh menari secekap itu.

Perlahan-lahan Linda mengambil tempat di atas lantai. Tak mahu ganggu fokus si penari. Irama muzik dalam filem Dhoom 2 bertajuk Crazy Kiya Re membuatkan kepalanya terangguk-angguk. Saat lagu sampai ke detik akhir irama, tubuh si penari terkaku.

Sepi! Sesaat… Dua saat… Tiga saat…

“Tak penat ke? Tadi kau ajar budak-budak Zumba. Sekarang menari macam tak ingat dunia. Tak puas lagi?” Linda tunduk mengerling jam tangan sebelum memandang Laura yang melangkah ke arahnya sambil mengelap peluh.

“Aku stres!!!” teriak Laura. Punggung dihempas tepi Linda. Kaki dipaut, dibawa ke dada. Kedua-dua tangan menekup tepi kepala.

Serabut!

“Pula? Stres pasal apa?” Linda beri tumpuan sepenuhnya kepada sepupunya.

“Kalau pasal duit, insya-Allah aku boleh tolong. Lagipun jangan risau. Kau datang ajar budak-budak aku Zumba ni, aku bagi upah punya,” tambah Linda kemudian. Bahu Laura ditepuk-tepuk macam budak kecil.

Automatik Laura angkat wajah. Muka yang serabut jadi masam.

“Dahi aku ni ada cop ke setiap kali aku stres? Kau ni, pantang aku ada masalah mesti kau hentam aku ada masalah duit. Ni bukan pasal duit tapi Iskandar!”

“Iskandar?”

Laura sekadar mengangguk. Wajah gelisah kembali terpampang. Linda mengeluh. Hati Laura cuba dibaca. Sudah beberapa tahun Laura tak menyebut nama itu di depannya, sekarang nama itu kembali meniti di bibir nipis itu.

“Lin, macam mana kalau Iskandar dah mati?”

“Hah?”

“Aku takut Iskandar mati.” Muka diletak di atas lutut.

Linda terdiam. Namun beberapa saat kemudian dia tegakkan badan. Keluhan dilepas perlahan.

“Baguslah dia dah mati. Kau tak akan jumpa dia dan dia pergi bersama dosa-dosa dia. Mungkin dah ditakdirkan dia tak dihukum di dunia tapi di sana. Siapa tahu?” Senang saja Linda putuskan.

Laura buang nafas. Mungkin betul kata Linda. Kalau Iskandar dah tiada, bermaksud mereka tak akan bertemu lagi di dunia ini. Tiada pertemuan bermakna tiada kesakitan. Tapi hatinya sukar untuk menerima hakikat itu.

“Kau sedih sebab dia cinta pertama kau?” duga Linda tiba-tiba.

Laura tersentak. Detak jantungnya berubah. Tak sekata dan tak senada. Bayangan seseorang melintas. Seakan terngiang-ngiang setiap tawanya ketika bersama lelaki itu.

“Bukan! Aku cuma tak puas hati. Mana boleh dia tinggalkan dunia ni macam tu saja. Tinggalkan aku tanpa penjelasan. Aku tak boleh hidup tanpa tahu sebab sebenar atas semua tindakan dia selama ni. Aku tak boleh, Lin.”

“Habis tu nak buat macam mana? Takkan nak kejut dia dari kubur semata-mata nak suruh dia jawab setiap soalan kau?” tempelak Linda.

“Lin!”

Linda angkat kedua-dua tangannya.

“Okey, sorry. Aku bukan nak sindir kau tapi kau tahu kan, aku paling pantang dengan orang yang hidup bersama pengaruh masa silam. Come on, Laura. Tu cerita bertahun-tahun lepas. Masa kau masih berhingus. Lupakan ajelah. Kalau betul dia dah tak ada, kau patut reda. Biar dia tenang di sana.”

“Tapi sakit, Lin. Sakit sangat bila teringat apa yang dia buat. Kalau bukan sebab dia, aku tak akan kehilangan.” Laura pegang dada. Mahu tunjuk betapa dia masih dibayangi kisah semalam.

Linda usap bahu Laura. Sedih apabila menangkap kekeruhan pada wajah gadis malang itu.

“Dahlah tu. Apa kata kau ikut aku esok. Kita happykan diri. Nak?”

“Pergi mana?”

Linda senyum penuh makna.

“Senyum gatal macam tu, mesti ada benda tak elok. Jangan bawa aku pi kelab malam, Lin. Aku tak masuk tempat-tempat maksiat macam tu.” Laura menggeleng. Linda ni bukan boleh harap sangat. Kerja dia nak berseronok saja.

“Eh, minah ni. Aku debik nanti. Ada la. Esok kau tahu. Sebelum tu, aku nak tanya. Kau tahu dari mana Iskandar dah tak ada?”

Terus wajah lelaki misteri petang tadi menjelma di mata Laura.

“Aku mimpi malam tadi,” bohong Laura.

Entah kenapa, berat hati nak beritahu Linda pasal peristiwa petang tadi. Kalau dia beritahu, mesti perempuan tu kalut punya. Silap-silap Linda akan heret dia ke balai polis buat aduan.

“Agak-agaklah kalau nak buat lawak pun. Kau ingat, kau tu Mr. Bean? Sebab mimpi aje? Then, kau stres sampai tak ingat dunia sebab mimpi tu.” Linda menggeleng.

Laura tersengih.

“Lin, aku nak tanya kau ni. Dalam banyak-banyak drama atau filem… Tak kesahlah filem negara mana pun… Pernah tak kau tengok watak lelaki sama ada hero atau antagonis yang penuh dengan aura, bercinta dengan pondan?” tanya Laura saat terfikirkan si pondan bersama lelaki misteri itu.

Seram aje dia dengar si pondan tu bersayang-sayang. Lelaki gagah bercinta dengan pondan? Geli tekak, weh!

“Soalan apa kau tanya ni, Laura oi! Agak-agaklah lelaki penuh aura nak bercinta dengan pondan. Kalau lelaki metroseksual, aku percayalah. Sepanjang aku hidup tak ada lagilah filem macam tu. Tapi, tak tahulah kalau aku terlepas pandang.”

Semakin merepek pula sepupunya. Takkan dah tak betul gara-gara nama si Iskandar yang muncul?

“Aku cuma terfikir aje. Aku tengok buku-buku yang tersusun dalam kedai aku tu, buat aku terfikir nak menulis. Dok fikir kalau aku buat watak utama bercinta dengan pondan, apa terjadi?” ujar Laura.

Linda tarik muka. Apa pelik punya cerita?

“Aku tahu apa jadi.” Linda berdiri. Lagi lama dia bertenggek di depan Laura, entah soalan pelik apa lagi yang dia kena jawab.

“Apa?” Laura ikut bangun.

Linda senyum jahat.

“Sah-sahlah buku kau kena bakar. Entah-entah kau sekali dibakar dengan pembaca. Dahlah tu, Laura. Jangan nak berangan jadi penulis. Cukuplah kau jual buku-buku penulis. Jom keluar, minum. Dahaga ni. Kena teh tarik memang meletup ni.” Linda terus menghampiri pintu keluar gim.

Laura cekak pinggang. Sampai kena bakar? Dahsyat juga orang Malaysia ni. Tak tunggu lama, langkah Linda diekori. Tadi dah buang kalori, sekarang masa nak tambah kalori pula.

DARI jauh Fateh memerhati kawasan rumah Farid. Laju matanya mengesan benda yang akan menghalang pergerakannya. Mata berjaya mengesan! Dua orang lelaki di depan pintu masuk dan beberapa orang lagi berlegar-legar di sekeliling rumah.

Tak mudah untuk menyelinap masuk!

Perlahan-lahan dia melencongkan langkah ke belakang rumah. Dia mengeluh apabila dinding yang memagar sekeliling rumah itu agak tinggi. Muka didongak. CCTV yang terletak di atas setiap dinding buat dia tersandar seketika.

“Aku rasa tak mudah nak masuk rumah ni.” Bluetooth headset disentuh. “Tapi, kenapa rumah dia ni dikawal ketat sangat? Dia tu siapa? Perdana Menteri? Raja?” sambung Fateh ralat.

“Kau tak tahu siapa dia? Serius kau tak tahu? Dia salah satu usahawan terkenal dekat Malaysia ni kut.” Suara Sairez menyapa.

Fateh gigit bibir.

“Kenapa kau tak bagi tahu aku awal-awal? Habis, apa aku nak buat sekarang?”

“Apa lagi? Redah ajelah. Aku dah bagi amaran jangan terlibat tadi tapi kau nak juga selamatkan dia. So, hadaplah sendiri.”

Kedua-dua tangan Fateh terus terkepal. Bukan main berani lagi Sairez mengata. Nasib tak ada di depan mata. Kalau tak dah kena rimbuk!

“Sekarang kau ada dua pilihan. Masuk dengan kemampuan kau atau patah balik. Biar aje bodyguard jaga keselamatan dia. Kau bukan dapat upah pun,” selar Sairez.

Fateh diam seketika. Kepalanya ligat berfikir. Ya! Dia memang tak dapat upah untuk menyelamatkan nyawa yang satu ini tapi dia bukan Sairez yang hanya pentingkan duit.

“Aku kena teruskan. Kalau aku patah balik, hilang maruah Marlo. Marlo bukan jenis pengalah,” putus Fateh. Nafas ditarik untuk meyakinkan diri.

“Kalau itu kata kau, good luck. Tapi pastikan kau tak kelihatan dalam CCTV atau kita berdua mati.”

Tubuh yang disandar, dibawa ke depan. Berhati-hati-hati Fateh bangun tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Ada tiga CCTV yang terpacak di atas dinding. Semuanya bergerak merakam. Mata dipincing lama di situ.

Yes, I got it!” Fateh petik jari.

“Apa yang kau dapat?” Sairez menyibuk dalam  talian.

Fateh berdesis. Dasar penyibuk. Tanpa menghiraukan soalan Sairez, dia menghampiri bahagian penjuru rumah. Dari pengamatannya, bahagian penjuru tak dirakam dalam dua puluh saat setiap kali CCTV itu bergerak ke arah lain. Jadi, dia hanya ada dua puluh saat untuk memanjat dinding itu sebelum kamera kembali berpusing ke arah itu.

Dengan anggukkan, dia menjarakkan diri dari dinding. Saat CCTV bergerak dari bahagian penjuru rumah, laju dia berlari. Saat kaki hampir dengan tembok rumah, tubuhnya dilonjakkan. Tangan dipaut pada bahagian atas tembok. Tinggal jatuhkan dirinya ke bahagian dalam.

“Berjaya!” desis Fateh. Mata diarah pada CCTV.

“Kau berjaya buat apa?” Sekali lagi ada yang menyibuk di sebalik bluetooth headset di telinganya.

“Mulut kau diamlah, siot!” bentak Fateh. Saat itu juga CCTV menghala ke arahnya. Tak sempat fikir, tubuhnya didorong ke depan.

Gedebuk!

“Bunyi apa tu, Fateh?”

Fateh yang bergolek jatuh, cepat-cepat merangkak ke kawasan yang lebih gelap. Telinganya ditekup.

“Diam! Diam! Diam!” gumamnya kuat.

Kenapalah rakan sekerja dia ni tak faham apa maksud diam? Dahlah jatuh tak bersedia. Tergolek lagi. Bengang! Sairez dekat sana senang-lenang aje. Yang mamat tu tahu, tanya, tanya dan tanya. Tak tahu macam mana sakitnya dia nak menyelinap masuk.

“Aku dah berjaya masuk. Apa aku nak buat sekarang?” Dia perlukan idea. Snow cap ditarik ke bawah. Menyelindungkan lagi wajahnya.

“Kau tanya aku apa hal? Tadi suruh aku diam. Carilah jalan sendiri. Bukannya aku ada dekat sana pun,” rajuk Sairez.

Terketap gigi Fateh. Dalam keadaan genting ni, mamat tu nak merajuk pula. Hesy!

“Aku perlukan idea. Buntu, tahu tak?!” Dah gatal cari nahas, lepas tu mulalah nak buntu. Sejak bila otak geliga dia dah hilang kebolehan? Huh!

“Kau check la tingkap kalau-kalau ada yang terbuka. Kalau tak ada, kau panjat aje naik ke tingkat atas. Mungkin ada pintu gelangsar yang tak berkunci. Atau mungkin kau boleh menyamar sebagai salah satu bodyguard. Tak adalah orang nak syak kau kalau CCTV rakam pun. Macamlah kau tak pernah buat.” Laju Sairez bagi idea.

Mata Fateh terbuka luas. Segar dengar idea Sairez. Idea ketiga. Menyamar jadi bodyguard. Kebetulan ada satu mangsa tengah selamba buang air kecil di tepi pokok bunga. Macam rumah besar gabak ni tak ada tandas.

Berhati-hati dia mendekati lelaki yang enak menghadap pokok. Malam-malam siram baja fresh. Huh! Saat dia berada betul-betul di belakang lelaki itu, tangannya naik ke atas.

Satu… Dua… Tiga…

Puk!

Tubuh lelaki itu melorot jatuh. Fateh goyangkan tangannya.

“Kenapa leher dia ni keras sangat?” rungutnya sebelum menarik tubuh itu ke kawasan gelap. Tangan digosok laju. Sakit!

Kardigan dibuka, disumbat ke dalam beg. Jaket hitam lelaki pengsan itu disarung ke tubuh. Grey snow cap disisip di celah pinggang.

Fasa satu, selesai! Sekarang cari jalan masuk. Dengan wajah sedikit tertunduk, dia mula menghendap ruang untuk menyelinap. Setiap kali berpampasan dengan pengawal yang lain, cepat-cepat dia sembunyikan diri. Saat dia tiba di bahagian dapur, dia tersenyum lebar. Namun, hanya seketika senyuman itu terukir sebelum dia mengeluh panjang.

“Aku rasa esok aku tak boleh stay dekat kafe.” Mata memerhati lelaki berbadan agak besar sedang mengunci pintu dapur.

“Kenapa?” soal Sairez pelik.

Fateh mengeluh buat sekian kalinya.

“Sairez, kau rasa aku boleh lawan dengan lelaki badan besar dua kali ganda dari aku?”

Sairez diam.

“Hoi, aku tanya kau ni.” Benda di telinga disentuh. Sairez dah matikan talian ke?

“Boleh kut kalau kau sebut nama aku tiga kali. Aku transfer kekuatan aku pada kau,” seloroh Sairez.

“Kepala otak kau!”

Langkah terus dibawa menghampiri si badan besar. Tawakal!

HAMPIR saja Fateh tersandung saat tersepak karpet tebal di hadapannya. Bertalu-talu dia pijak karpet itu. Lepaskan geram.

“Menyusahkan!”

“Apa yang susah? Kau dah dapat masuk?”

Fateh berhenti lampiaskan amarahnya pada karpet. Ada lagi rupanya si Sairez. Ingat dah membuta dekat rumah.

“Aku dah dapat masuk. Tunggu masa nak cari bilik dia. Tapi, kau pasti bini dan anak dia memang tak ada dalam rumah ni? Aku tak nak pula ada perempuan memekak tengok aku muncul malam ni,” bisik Fateh. Tangga di hujung penjuru mula dipijak perlahan-lahan.

“Tak ada. Mereka memang tinggal dekat luar negara. Tapi tak tahulah kalau dia tengah berseronok dengan perempuan simpanan dalam bilik.”

Fateh menyeringai. Itu maknanya Farid kaki perempuan, kan? Ni yang susah ni. Kalau ada perempuan, leceh sikit nak buat kerja.

“Okey. Out.” Fateh tarik alat dari telinga.

Terjengket-jengket dia memeriksa setiap bilik dan ruang. Semuanya kosong!

“Mana pula bilik orang tua ni? Semua bilik aku dah periksa.” Fateh garu kepala. Lama dia perhatikan kalau-kalau ada bilik yang yang tertinggal. Dari tingkat atas, matanya tiba-tiba tertancap pada sebuah pintu kecil.

“Takkan dekat situ pula? Mustahil orang kaya tinggal dalam bilik kecil. Tu mesti bilik orang gaji,” omel Fateh.

“Sekejap! Kenapa tak nampak satu pun orang gaji dalam rumah ni? Baru pukul sembilan malam, kenapa sunyi? Gelap gelita?” Berpusu-pusu soalan menerjah mindanya.

Lama dia berfikir sebelum dia tersentak.

“Jangan-jangan…”

Tiba-tiba lampu terpasang. Serta-merta rumah yang gelap gelita jadi terang-benderang. Fateh terkejut. Namun, pantas dia menjatuhkan dirinya. Bergolek, membuka salah satu pintu bilik. Mendiamkan diri di situ.

“Apa ni? Mereka tahu aku nak datang?” Fateh menyeringai. Kalau ini perangkap untuk dia, memang makan tak habis!

Berdegup jantung lelakinya menunggu jika ada yang datang menyerang, namun sepi. Selang sesaat kemudian, ada bunyi bising sayup-sayup menampar cuping telinga. Berkerut dahi Fateh. Tak tahan mendiamkan diri, pintu dikuak sedikit. Membeku pergerakan matanya saat mata menangkap beberapa orang lelaki yang sudah dipegang oleh pengawal-pengawal yang berada di luar tadi. Beberapa saat kemudian, pintu kecil yang disangka bilik orang gaji, terbuka. Muncul satu wajah.

“Betullah tu bilik dia. Kenapa dia duduk bilik kecil macam tu?” Fateh mengeluh. Dalam masa yang sama, dia lega. Bukan dia yang disasarkan. Agaknya yang ditangkap tu adalah Lucas and the gang yang dimaksudkan oleh Datuk Zahid.

Boleh tahan juga Farid tu. Ingat bodoh tapi ternyata bijak. Habislah kau, Datuk Zahid. Lawan kau ni bukan tak ada akal. Sekejap saja Lucas and the gang yang kau hantar masuk perangkap. Bodoh!

“Datuk Zahid hantar kau orang untuk bunuh aku?”

Suara tenang itu buat pandangan Fateh terhala kepada lelaki separuh abad yang berdiri dengan lagak biasa. Namun, mata galak lelaki tua itu menikam kejap tiga lelaki yang cuba meronta dari pegangan.

“Dia ingat cukup hanya hantar tiga orang untuk bunuh aku?” tempelak Tuan Farid bersahaja.

Fateh tersenyum sinis. Penjahat yang berakal. Itu pandangannya pada lelaki bernama Tuan Farid itu. Saat ralit memerhatikan lelaki tua yang lengkap dengan pakaian tidur, Fateh nampak dua orang pekerja lain tergopoh-gopoh membawa sebuah kerusi besar. Kemudian lelaki bernama Tuan Farid itu melabuhkan punggung di situ. Kaki disilang. Ada kopi terhidang di depannya. Dengan lagak seperti tiada berlaku apa-apa, kopi dihirup.

“Walaupun annoying, aku suka gaya dia,” komen Fateh. Masih mengintai.

“Kita nak buat apa dengan mereka ni, bos?” Salah satu orang suruhan Tuan Farid tampil.

Lelaki separuh umur itu tak menjawab sebaliknya menghulurkan tangannya. Sepucuk pistol terus bertukar tangan.

“Selalunya orang yang masuk dalam rumah aku, tak akan selamat. Macam ni ajelah. Aku bagi kau orang dua pilihan. Kematian yang menyeksakan atau kematian yang pantas. Pilih.”

Membunuh! Ini yang Fateh tak lalu nak tengok. Betul kata Laura tempoh hari. Walaupun manusia zaman sekarang tahu mereka adalah manusia, tetap juga nak jadi binatang!

“Kau fikir kau akan selamat ke, Farid?” Tiba-tiba salah seorang lelaki suruhan Datuk Zahid yang dipegang erat menyoal sinis.

Tuan Farid mencebik. Beberapa detik kemudian wajahnya berubah bengis. Tanpa sebarang kata, dia berdiri lurus bersama tangan disilang ke belakang. Namun, tak semena-mena ada benda menekan belakang lehernya. Dia kembali terduduk.

Fateh membeliakkan biji mata. Tercengang dia tengok apa yang sedang berlaku sekarang. Salah seorang pengawal Tuan Farid sendiri mengacu pistol kepada tuannya. Sekelip mata Lucas and the gang ketawa kuat.

“Kesian kau Farid. Ingat dah pandai sangat. Orang sendiri jadi pengkhianat pun tak sedar,” kutuk Fateh perlahan.

“Lepaskan mereka semua. Campak semua pistol atau aku bunuh dia.” Si pengkhianat mula bersuara. Muka cuak tapi nampaklah bangga sebab dapat acu pistol kepada tuan sendiri.

Orang suruhan yang lain nampak teragak-agak mengikut perintah si pengkhianat. Tapi apabila Tuan Farid mengangguk, mereka terpaksa akur.

“Apa kau cakap tadi? Tiga orang tak cukup untuk bunuh kau?” Lucas, si ketua ketawa besar. “Bukan tiga tapi empat! Empat orang sudah cukup untuk bunuh manusia binatang macam kau,” tambah Lucas. Tersenyum puas kepada si pengkhianat.

Persaingan dalam perniagaan kadangkala menakutkan juga.

Fateh menggeleng. Tak sedar ke Lucas, dia pun perangai dah serupa binatang? Fateh renggangkan otot. Beg sandang dibawa ke depan. Snow cap kembali diletak di atas kepala. Topeng separuh muka dilekap pada wajahnya.

“Dalam keadaan checkmate macam ni, bantuan diperlukan. So, aku ni ibarat apa? Knight! Aku paling suka knight!” getus Fateh riang. Badan ditegakkan. Pisau dari poket belakang dikeluarkan. Perlahan-lahan pintu dikuak lebar.

Tarik nafas tiga detik, kemudian… Serang!

Pap!

Argh!!!” Bunyi erangan kuat bergema.

Pistol di dalam genggaman si pengkhianat terjatuh. Matanya terbelalak melihat pisau yang sudah tertikam tepat di bahunya. Dia menggeliat kesakitan. Saat itu semua mata tertumpu kepada Fateh yang sudah berlari menuruni tangga.

“Tunggu apa lagi? Seranglah bodoh!” bentak Fateh kuat.

Bagaikan akur dengan suruhan Fateh, orang suruhan Tuan Farid dan Lucas and the gang berlawan sesama sendiri. Saat itu Fateh sedar dia diperhatikan. Cepat-cepat dia angkat tangan menghalang Tuan Farid daripada merenung matanya.

Serangan demi serangan. Tujahan demi tujahan. Tumbukan demi tumbukan. Semua itu hanya dijeling Fateh tanpa masuk campur. Memang taklah dia gunakan kudratnya untuk lawan Lucas and the gang. Dia dah cuba patahkan serangan si pengkhianat tadi pun dah cukup bagus.

“Siapa kau?” Lantang Tuan Farid menyoal saat semua orang Datuk Zahid ditawan kembali. Mata tuanya tajam menikam lelaki yang sedang memalingkan wajahnya.

Fateh tersenyum sedikit. Tangan dijatuhkan. Dia berpaling dan menundukkan wajah. Berjalan mendekati Tuan Farid bersama langkah yang sedikit angkuh. Namun, kakinya membeku saat orang Tuan Farid menghalakan pistol ke arahnya.

“Hesy!” Fateh berdesis. Inikah balasan atas pertolongan?

“Turunkan pistol,” arah Tuan Farid. Automatik semua senjata tadi beralih dari tubuh Fateh.

Kening Fateh terangkat. Bila tiada ancaman, dia teruskan pergerakannya.

“Aku Marlo.” Fateh kenalkan diri.

“Marlo?” Sinis sikit suara Tuan Farid.

Hati Tuan Farid sedikit kagum melihat anak muda itu langsung tidak gentar berdiri di hadapannya. Muka tertunduk itu cuba dicari namun lelaki itu bingkas mengangkat tangannya.

“Jangan cuba cari tahu siapa aku.”

Tuan Farid luruskan pandangan.

“Kau salah seorang pesuruh yang diupah Datuk Zahid, kan? Aku fikir kau yang akan datang malam ni. Kenapa kau selamatkan aku? Beralih arah?”

“Puaskan hati,” balas Fateh pendek.

Tuan Farid kerutkan dahi.

“Aku tak selamatkan kau. Aku cuma nak puaskan hati. Dia rancang nak jadikan aku kambing hitam dalam pertuduhan membunuh kau. Patutkah aku diam saja? By the way, untuk pengetahuan kau, polis akan sampai ke sini bila-bila masa sahaja.” Fateh seluk poket. Menambahkan imej sombongnya.

“Jadi, aku tak perlu berterima kasih pada kau, kan?” Kening Tuan Farid terjongket.

Fateh mengangguk. Dalam masa yang sama, matanya mengerling salah seorang orang suruhan Tuan Farid yang menggenggam longgar pistol di sisi.

“Ya, kau tak perlu berterima kasih tapi…”

Serentak itu pistol dirampas. Dengan satu gerakan pantas, Fateh berpusing kepada Tuan Farid. Muncung pistol diletak tepat pada dahi Tuan Farid. Laju orang suruhan Tuan Farid mengacu pistol kepada Fateh.

“Aku tak suka terlibat dengan pembunuhan. Kau fikir kau malaikat maut? Lepaskan mereka semua,” arah Fateh meluat.

Tiba-tiba saja Tuan Farid melambakkan tawanya. Semua orang suruhannya berpandangan sesama sendiri. Lelaki yang mendakwa dirinya Marlo buat dia semakin tertarik. Alangkah bagus kalau dia ada seorang pesuruh berani begitu.

“Kau tak suka terlibat dalam pembunuhan, itu bermakna kau tak mungkin bunuh aku.”

Giliran Fateh ketawa. Tapi tak gah seperti Tuan Farid tadi.

“Aku tak suka pembunuhan kecuali… aku terancam. Kau tahu kan, matlamat menghalalkan cara,” balas Fateh.

Dia bergerak ke belakang Tuan Farid. Tangan masih mengacu pistol. Sampai di belakang lelaki tua itu, dia bingkas melintangkan lengan di leher itu. Memeluk dari belakang. Muncung pistol ditekan di kepala itu.

Terpejam mata Tuan Farid apabila tangan itu menekan lehernya. Isyarat mata diberi kepada orang suruhannya. Sekelip mata, pistol yang terhala kepada Fateh dijatuhkan. Lucas and the gang termasuk si pengkhianat dilepaskan.

“Keluar dalam kiraan tiga atau aku biarkan mereka semua ni bunuh kau orang. Keluar!” bentak Fateh.

Macam lipas empat lelaki itu melarikan diri. Fateh tarik muka. Dasar pengecut. Mata dihala kepada lima orang suruhan Tuan Farid yang masih menatapnya.

“Jangan siapa pun bergerak dari situ kalau tak nak orang tua ni mati. Faham?” Amaran diberi sebelum mendorong Tuan Farid mengikut langkahnya.

Sekali lagi Tuan Farid memberi isyarat supaya ikut saja kata-kata Fateh. Tanpa rontaan, dia biarkan saja Fateh menariknya hingga ke pintu rumah. Sampai di muka pintu, Fateh tunduk dan berbisik.

“Kalau kau perlukan apa-apa, hubungi aku. Aku boleh buat semua kerja kecuali… membunuh.” Sekeping kertas diletak di dalam genggaman Tuan Farid.

Selang beberapa detik, tubuh Tuan Farid dilepaskan dan pistol dicampak. Bagaikan angin, dia meluru keluar dan menghilang. Hilang saja bayangan Fateh, Tuan Farid ketawa kecil.

Dan semakin lama, tawa kecil itu berubah besar.

Wajah orang-orang suruhannya berubah pelik.

“Tuan…”

Muncul satu suara garau lain yang membuat tawa galak itu terhenti. Dan saat itu, senyuman Tuan Farid berbuah tatkala lelaki yang menyangkut sniper rifle di bahu menghadapnya dengan wajah bengis.