Hero Jelita

RM26.00

Penulis: Aein Dhiyauddin

Caption: selagi ada nafasku cinta ini hanya untuk kamu

ISBN: 978-967-406-273-6

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

Sekali lagi saya tanya ni. Sudi tak kahwin dengan saya- ARYAN LEE

No. Tak nak – AAIRA ZULAIKHA

 

AAIRA ZULAIKHA –‘Buntut Kuali’ itu gelaran yang diberi kepada. Lahir dengan rupa sederhana dan berkulit gelap menjadi bahan ejekan nenek dan sepupunya sejak dari kecil lagi.

ARYAN LEE- Kejelitaan yang dimilikinya melebihi seorang wanita. Lelaki yang sangat sempurna. Punya harta dan nama.

Puas dia menolak lamaran lelaki jelita itu namun takdir Allah mengikat mereka dalam sebuah pernikahan yang penuh muslihat. Seperti yang dia jangka pernikahan itu satu malapetaka dalam hidupnya. Tohmahan dan caci maki serta fitnah dia terpaksa hadapi kerana dirinya yang tidak sepadan dengan Aryan.

 

Kau jangan sangka aku bodoh tau. Aku tak percaya lelaki macam dia jatuh hati kau perempuan hodoh macam kau. Kau bomohkan dia kan – ERYNA

Saya akan jadi hero awak asalkan awak pegang tangan saya sampai bila-bila – ARYAN LEE

 

Mampukah Aaira bertahan menghadapi segalanya? Atau dia akan mengundur diri dan mencari hidup sederhana yang dia impikan? Dapatkah cinta Aryan membuatkan dia rasa kuat dan dihargai?

Aku akan pastikan Aryan jadi milik aku. Kau boleh berambus dari hidup dia- TENGKU LILY

Siapa pula Tengku Lily?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“Nenek dah cakap kan jangan pergi depan sana. Dia malu tengok kau.” Eryna merampas dulang berisi makanan dari tangan Aaira.

Aaira buat muka bodoh. Dah dia seorang sahaja perempuan muda di dapur, sudah tentulah dia yang angkat dulang. Takkanlah nak suruh mak dia yang demam atau mak cik lain yang kerjanya asyik membawang sahaja? Mak Long Ros a.k.a mak kandung Eryna, kerjanya membawang dari pagi. Kalau betul-betul potong bawang baguslah. Ini pandang bawang pun tidak sudi. Apa lagi nak angkat dulang.

“Ayah tolong Aaira, ya.” Haji Husin bangun dari duduknya membantu Aaira mengangkat dulang dari dapur. Dia menolak tubuh anaknya perlahan agar ke dapur. Risau kalau tetamu terdengar pertelingkahan dua orang gadis itu.

“Mentang-mentang dia putih melepak, ingat lawa sangat ke? Macam ubi salut ragi. Tapai ubi,” bebel Aaira perlahan yang hanya didengari oleh ayahnya.

“Aaira… Tak baik cakap macam tu. Nanti kalau Mak Long Ros dengar kecik hati dia.” Haji Husin menggeleng. Kalau balik kampung tak pernahnya berbaik-baik dengan Eryna. Ada saja yang kedua-dua sepupu itu gaduhkan.

“Ayah tak marah ke kalau Eryna kutuk anak ayah ni muka hitam macam buntut kuali?” Aaira tidak puas hati. Kenapa ayah asyik menangkan kakak dia yang gemuk gedempol dan banyak mulut itu? Mak Long Ros bukan setakat kutuk dia seorang malah mak dia pun kena kutuk.  Mentang-mentang mak dia anak yatim piatu dan tiada saudara mara.

“Jangan balas kejahatan orang dengan kejahatan. Kalau tak kita sama aje macam orang tu. Kalau Eryna terjun kolam Indah Water takkan Aaira nak terjun jugak? Nak berkubang dengan najis? Orang lain buat dosa kita janganlah ikut.” Haji Husin menjaga nada suaranya agar tidak didengari sesiapa. Dia bersama Aaira menatang dulang berisi makanan menuju ke ruang tamu.

“Tak naklah terjun kolam Indah Water. Terjun lombong emas Aaira nak.”

“Kalau nak lombong emas kena kahwin dengan anak tauke emas. Ayah ada kawan tauke kolam ikan. Aaira terjun kolam ikan ajelah.”

“Ayah ni. Orang serius dia main-main pulak.” Aaira menyerahkan dulang kepada Eryna. Masam muka Eryna melihat dia. Eryna pun terpaksa buat kerja hanya kerana nak jual muka. Nenek pun satu, kan bagus buat style buffet. Tak payah nak pakai dulang segala. Saja nak tayang Eryna ni cucu yang rajin.

“Tengok tu, dia menggeletis dengan anak tok ketua. Shahir tu pun satu… Gatal. Eloklah tu dua-dua gatal.” Aaira mengomel. Meluat melihat Eryna dengan Shahir bermain mata.

“Aku tau kau cemburu. Sedar sikit diri kau tu siapa.” Eryna menyerahkan dulang yang kosong kepada Aaira. Dia terdengar kata-kata Aaira tadi. Suka pula hatinya kerana Aaira cemburu. Kemudian dia pandang sekilas sepupunya lalu ayun langkah menuju ke dapur. Menyertai emaknya dan beberapa orang lain sibuk membawang.

“Cemburu… dengan Shahir? Memang taklah. Harap muka aje handsome tapi tanam anggur. Menyusahkan mak bapak aje Shahir tu…”

“Aaira, jaga mulut tu.”

“Yalah… Nah dulang. Aaira nak tengok mak kat bilik. Demam dah kebah kut.” Aaira menapak masuk ke bilik.

Melihat Eryna rancak berborak dengan mak cik-mak cik bawang, dia rasa menyampah. Mesti nama dia termasuk dalam salah satu topik perbualan. Aaira Zulaikha yang hitam macam buntut kuali sah jadi andartu. Usia dia 29 tahun hujung tahun ni. Macamlah Eryna bukan andartu. Mereka sebaya.

“Kenapa monyok aje ni?” Hajah Suriani perasan wajah sugul anaknya. Kalau wajah Aaira begitu pasti baru lepas bergaduh dengan Eryna.

“Eryna tuduh Aaira cemburukan dia dengan Shahir tu. Malas dah nak layan. Lepak kat bilik lagi bagus. Boleh borak dengan mak.” Aaira memeluk emaknya. Tapak tangan menyentuh dahi emaknya.

“Nenek ni kan time kenduri aje panggil kita. Itu pun sebab tak ada siapa nak tolong masak. Emak masak paling sedap. Kalau tak, haram nenek nak panggil.”

“Aaira, tak baik cakap macam tu. Nenek nak pertolongan kita. Ada kudrat kita tolonglah.”

“Mak sampai demam masak tapi itu pun nenek cakap mak malas. Tau makan tidur aje. Mak Long Ros terbaik. Mak Long Ros bagus. Huh!” Aaira tidak puas hati. Semalam emaknya balik lewat dari sekolah kerana ada urusan. Malam itu juga bergegas balik kampung kerana nenek hendak buat kenduri.

“Aaira… Mak okey aje. Tapi kenapa Aaira yang bising?”

“Aaira tak sukalah dia orang buli mak. Buli Aaira.”

Hajah Suriani mengusap ubun-ubun kepala anaknya. Faham perasaan Aaira. Setiap kali balik kampung pasti ibu mentuanya mengungkit kulit Aaira yang gelap. Dibandingkan pula dengan Eryna yang putih melepak macam Cina. Sudah tentulah Eryna putih sebab ayahnya keturunan Cina. Dia keturunan mamak.

“Ini semua salah ayah. Kenapa lahir gelap? Tak putih macam mak long?”

“Ya Allah budak ni… Itu semua kerja Allah. Siapalah kita nak halang? Mulut tu.” Hajah Suriani geram lantas dicubit perut anaknya. Selalu sangat Aaira pertikaikan kenapa ayahnya berbeza dengan emak saudaranya.

“Adoi mak. Sakitlah… Orang tanya aje.” Aaira gosok perutnya yang rasa berbisa. Dia ketawa. Mak pasti melenting apabila dia ungkit soal itu. Tak seperti ayah yang sporting. Kata ayah mak long lahir siang sebab tu cerah. Ayah lahir malam sebab tu gelap.

“Nak balik malam ni ke?” tanya Haji Husin yang tiba-tiba muncul di pintu.

“Nak,” jawab Aaira laju. Dia angguk kepala dengan laju. Berkali-kali. Berita yang paling menggembirakan hari ini.

“Siap-siaplah. Lepas kemas dan basuh pinggan, kita balik KL. Aaira drive separuh.”

“Aaira tak kisah. Yang penting malam ni jugak kita balik.” Aaira ukirkan senyum. Apalah sangat tiga jam lebih memandu asalkan dia tidak mendengar ayat-ayat yang menyakitkan hati. Rasa nak lompat bintang pula.

“Mak abang tak bising ke nanti?” tanya Hajah Suriani. Dia tidak mahu suaminya bertengkar lagi. Selalunya apabila pulang ke kampung memang tidak pernah aman. Topik utamanya mesti mengenai Aaira.

Hajah Suriani mengeluarkan beg dari almari dan memasukkan semua kain baju mereka dengan bantuan Aaira. Semuanya dibuat dengan pantas. Dalam sekelip mata sahaja mereka siap berkemas

“Bila masanya emak tak pernah bising? Kita buat apa pun bising. Lebih baik kita balik aje. Telinga ni lama-lama berdarah jugak dengar Kak Ros dengan mak mengutuk anak kita. Saya tak nak jadi anak derhaka dengan mengamuk kat emak sendiri. Baik kita balik.”

“Ayah memang bestlah… Sayang ayah.” Hati Aaira yang suram tadi mula ceria apabila mendengar perkataan pulang. Memang patut pun dia tak bawa banyak baju semalam. Satu malam tidur di kampung ibarat seribu malam terseksa.

“Orang dah siap makan tu. Jom Aaira kita kemas dan lepas tu cuci pinggan berjemaah. Lagi cepat siap lagi bagus. Lepas dah siap terus balik.”

Aaira tersenyum girang.

 

“Aku tau kau dah lama minat Shahir. Tapi sedarlah diri tu sikit. Korang berdua tak sepadan. Macam pinang dibelah kapak. Lainlah kalau dengan aku. Sama cantik sama padan.”

Aaira terkenangkan kata-kata Eryna semasa dia mencuci pinggan tadi. Bernanah telinga mendengar amaran sepupunya itu. Bila masa pula dia sukakan Shahir? Kalau sepuluh tahun dahulu ya memang dia pernah cakap Shahir kacak. Tapi bukan suka pun.

Paling tidak seronok perumpamaan Eryna. Pinang dibelah kapak. Dia pun sedar diri kalau bukan kerana amaran Eryna. Tidak mungkinlah dia akan menjebakkan diri sendiri jadi topik perbincangan mak cik bawang. Rasanya Shahir pun tak mahukan dia yang gelap ni.

Aaira menguap. Sekejap lagi mereka akan sampai di R&R Seremban. Selepas ini ayah akan ganti memandu dan giliran dia untuk tidur. Jam di dashboard sudah menunjukkan pukul 12.30 malam. Mujur besok hari cuti. Perlahan Aaira membelok masuk ke kawasan R&R.

“Ayah… Aaira nak pergi tandas dulu tau. Ayah ada nak beli apa-apa ke?” Aaira menanggalkan tali pinggang keledar.

“Belikan ayah kopi O ais kaw-kaw. Buat teman drive. Mak kamu dah berlayar. Kejap lagi Aaira pun ikut berlayar jugak. Tinggal ayah sorang-sorang. Ayah lelap dulu. Mana tau Aaira bertapa ke.”

“Ayah ni. Suka sangat usik Aaira.” Pintu kereta ditolak.

Tanpa sengaja pintunya terkena pintu kereta sebelah yang juga kebetulan sedang ditolak. Aaira pandang lelaki yang sedang hendak keluar dari kereta sebelah. Aaira hadiahkan senyuman sebagai tanda minta maaf. Namun lelaki itu beku. Baru Aaira perasan sesuatu. Cepat-cepat Aaira menarik kembali pintu keretanya.

Dengan wajah masam mencuka, lelaki itu keluar dari kereta tanpa menghiraukan Aaira. Jeling pun tidak. Pintu dihempas kasar. Hampir melompat Aaira kerana terkejut. Datang bulan agaknya lelaki itu. Dia memerhatikan belakang lelaki itu.

“Lelaki tu pakai cucuk sanggul ke? Dunia dah terbalik kut,” bisik Aaira perlahan. Sayang sungguh. Nampak segak memakai baju Melayu warna hijau. Badan tegap dan cantik tapi cucuk sanggul dua batang yang terselit di sanggul lelaki itu buat dia ketawa. Kalau ada sanggul maknanya lelaki itu berambut panjang. Kalau berambut panjang maknanya… Dia tahan diri daripada ketawa lebih kuat.

“Aaira, kenapa tu?” Haji Husin mendengar suara Aaira ketawa. Dibuka matanya sedikit untuk melihat. Sangkanya Aaira sudah ke tandas.

“Tak ada apalah ayah…” Aaira geleng. Pintu ditolak perlahan. Dia berdiri di sebelah pintu.

“Aryan, tunggu.”

Aaira menoleh. Dari pintu pemandu kereta sebelah kelihatan seorang lelaki keluar dan mengejar lelaki yang bersanggul tadi. Lelaki itu juga berbaju Melayu. Kacak dan segak sama macam lelaki tadi. Tiba-tiba Aaira rasa tekaknya loya. Kenapalah dia yang terpilih untuk menyaksikan drama cinta songsang mereka? Dah sah lelaki tadi adalah si ‘perempuan’.

Sebelum dia betul-betul muntah lebih baik dia mencari tandas. Harap-harap dia tidak akan berjumpa lagi pasangan tadi. Apa nak jadi dengan dunia ni? Lelaki pun boleh jatuh cinta sesama jantina.

“Nama sedap tapi gay.” Aaira tutup pintu kereta.

“Aryan, tunggu.” Faizal terus mengejar Aryan. Namun Aryan sudah menghilang ke dalam tandas. Faizal turut masuk namun kelibat Aryan tiada. Faizal keluar dari tandas. Menunggu Aryan di luar.

“Aryan.” Faizal terlihat kelibat orang yang ditunggunya keluar. Dia terus mengejar.

Dia menunggu di luar tandas semata-mata mahu meminta maaf. Namun Aryan terus melangkah laju menuju ke kereta.

Aryan terus menuju ke pintu kereta. Cukuplah tadi dia izinkan Faizal yang memandu keretanya. Sekarang biarlah dia yang memandu hingga sampai ke Kuala Lumpur. Sakit hati melihat Faizal saat ini tidak boleh dibendung.

“Jangan drive waktu marah. Biar aku drive sampai KL.” Faizal menahan Aryan daripada membuka pintu kereta.

“Kenapa sampai Johor baru kau bagi tau aku yang Lily tu bakal tunang kau? Diam-diam kau dengan Lily bercinta. Padahal kau tau Lily tu awek aku.” Aryan luahkan juga perasaan marahnya.

Semasa majlis pertunangan Faizal tadi, dia terkejut dengan kehadiran Lily sebagai tunang Faizal. Namun ditahan marahnya kerana hormatkan majlis. Kalau ikutkan hatinya memang Faizal kena belasah sampai lunyai.

“Maafkan aku… Kami… Kami…”

“Kau pun bodoh sangat ajak aku ikut kenapa? Apa alasan Lily reject aku?” Masuk kali ini sudah tiga kali cintanya tidak kesampaian. Mujur hatinya belum cinta mati kepada Lily. Kalau tidak memang payah untuk melupakan.

“Kau… Kau… Kau cantik sangat,” jawab Faizal perlahan. Dia tahu Aryan marah sebab itu dia ikut Aryan pulang ke Kuala Lumpur. Sangkanya Aryan akan mengamuk di dalam kereta. Sepanjang perjalanan dari Johor, Aryan hanya diam. Bercakap saat menyuruhnya ganti memandu.

Aryan terdiam. Hatinya memang sakit saat ini. Sakit dicucuk ratusan jarum yang tajam. Matanya tidak mampu melihat Faizal. Dihalakan pandangan ke arah lain. Kelihatan seorang gadis sedang berjalan dengan senyuman terukir. Tenang sedikit hatinya melihat senyuman itu. Baru dia perasan gadis itu adalah pemandu kereta yang terparkir di sebelahnya tadi. Matanya mengekori gadis itu hingga ke kereta.

“Aryan.”

“Diam. Aku tak nak cakap dengan kau.” Aryan memerhatikan kereta yang dinaiki gadis itu keluar dari petak parkir.

Kemudian sebuah kereta Mercedes dan BMW masuk ke dalam parking bersebelahan kereta mereka. Aryan kenal pemandu kereta-kereta tersebut. Seorang lelaki memakai baju Melayu berwarna biru keluar dari perut BMW. Dan seorang lelaki lagi keluar dan hanya berdiri melihat mereka.

“Aku ingat salah sorang dari korang dah mati dah. Faizal, kau ikut Akid. Aku naik dengan Aryan.” Thoriq menarik tubuh Faizal agar menjauhi Aryan.

Mulanya Faizal enggan namun melihat muka serius Thoriq, dia ikutkan sahaja. Aryan mungkin sedikit degil tapi masih punya timbang rasa. Thoriq kalau marah memang tiada kata-kata terluah. Hanya penumbuk atau penyepak yang akan singgah. Perlahan Faizal menjauhi Thoriq dan Aryan.

“Kau drive.” Akid mengarahkan Faizal memandu. Dia memberi isyarat kepada pemandu kereta Mercedes tadi untuk meneruskan perjalanan. Kali ini dia akan sekolahkan Faizal. Berani dia buat onar. Akid memberi isyarat kepada Thoriq.

“Kau drive,” arah Thoriq kepada Aryan. Aryan angguk.

Mereka berempat berpakat untuk mengikut Faizal dan keluarganya dengan memandu kereta masing-masing. Rancangan asal dia mahu pulang menziarahi neneknya di Melaka. Namun sebaik melihat tunang Faizal, dia batalkan niatnya. Dia pasti perang besar bakal terjadi.

“Salah aku ke rupa aku cantik macam perempuan? Termasuk Lily dah tiga orang perempuan reject aku sebab cantik sangat.” Aryan mula berbicara sebaik sahaja mereka keluar dari kawasan R&R.

“Aku rasa lepas ni kalau kau jumpa orang yang kau berkenan, paksa aje dia kahwin dengan kau. Bercinta lepas nikah. Lagi senang kut. Dah ada ikatan dia tak boleh buat apa.” Thoriq memberikan buah fikiran. Simpati dengan nasib Aryan yang kurang bernasib baik dalam percintaan.

Tiada reaksi daripada Aryan. Sahabatnya diam membisu dan kelihatan memandu dengan tekun. Reaksi Aryan memang dia tidak jangka. Kenapa tiada rasa kecewa?

“Kau marah sebab Lily dengan Faizal atau sebab paras rupa jelita kau tu?” tanya Thoriq. Aryan memang suka pendam dalam hati. Kalau tidak dipaksa memang Aryan tidak akan luah apa yang terbuku dalam hatinya.

Ramai perempuan yang memuji paras rupa Aryan namun untuk berdampingan dengan lelaki itu memang tiada siapa yang sanggup. Rata-rata mereka tidak boleh menerima hakikat kalau kekasih mereka lebih cantik daripada ratu dunia.

“Rupa paras kau… tak boleh buat apalah sebab itu semua anugerah Allah. Anggap aje semua perempuan tu bukan jodoh kau. Dia orang semua tu sekadar hiburan sebelum kau jumpa Mrs Aryan Lee kau tu.”

Aryan melepaskan keluhan panjang. Siapakah agaknya yang sanggup makan hati setiap hari melihat suami cantik jelita? Itulah yang dikatakan semua bekas kekasihnya. Termasuk Lily. Sebulan lebih Lily merajuk. Dia terlalu sibuk hingga tidak sempat memujuk buah hatinya. Tau-tau bertunang dengan kawan baik sendiri.

“Oh ya… Kalau perlukan bantuan aku jangan segan-segan. Aku pun nak tengok siapa bakal jadi isteri kau. Agak-agak kau nak cari perempuan macam mana?”

Aryan tersenyum. Kalau ditanya perempuan bagaimana dia mahu jadikan isteri memang langsung tiada kriteria utama. Cukuplah sekadar seseorang yang boleh menerima dia seadanya. Menerima dengan hati terbuka kecantikan semula jadi wajahnya yang selama ini menjadi mimpi ngeri. Entah kenapa senyuman gadis berkulit hitam manis tadi kembali terpapar di dalam kepalanya.

“Tak kisahlah siapa pun. Asalkan dia sudi bersuamikan lelaki cantik macam aku ni. Tyra Banks Melayu pun okey.” Aryan tergelak. Gadis tadi seperti Tyra Banks.Memang sangat kontra dengan dia yang putih melepak. Pasti menarik hidupnya nanti kalau jodohnya dengan gadis tadi.

“Tyra Banks lawa apa. Kalau dapat versi Melayu lagi unik kut.”

Aryan senyum. Entah kenapa bila sebut Tyra Banks Melayu ingatannya melayang kepada gadis tadi. Takkan dia sudah jatuh hati? Baru saja putus cinta.

“Lepak rumah kau atau rumah aku?” tanya Aryan. Mengubah topik perbualan mereka. Tidak mahu Thoriq menyebut Tyra Banks Melayu lagi.

“Rumah aku. Aku dah WhatsApp semua suruh lepak rumah aku. Faizal tu nak kena ajar sikit.”

Aryan menoleh ke arah Thoriq dengan wajah kurang senang. Walaupun Faizal telah melanggar perjanjian mereka berempat, dia tidak sedikit pun berdendam. Lily mengkhianatinya sebab mereka tidak berjodoh. Jodoh Lily dengan Faizal. Perit tapi dia akur dengan ketentuan Allah. Mungkin jodohnya dengan gadis lain.

“Kenapa?” Thoriq faham erti pandangan Aryan.

“Benda dah jadi. Tak payahlah kau ribut-ribut. Kalau patah riuk budak tu nanti apa kita nak cakap kat Datuk dengan Datin?”

“Apa nak susah? Cakap ajelah Faizal rampas makwe Aryan.”

“Lepas tu Aryan kena tuduh belasah Faizal. Kau yang belasah aku pulak yang kena tangkap polis nanti. Terlebih bijak namanya ni.”

Thoriq sengih. Kalau bab membelasah dan bertumbuk serahkan kepada dia dengan Dzakwan. Aryan bukan suka sangat dengan keganasan dan jarang masuk campur kalau melibatkan pergaduhan. Akid macam lalang. Suka hati dia nak masuk team mana.

“Biarkanlah dia. Aku malas nak gaduh-gaduh ni. Takkan sebab seorang perempuan persahabatan kita goyah. Dah jodoh dia dengan Lily.”

“Betul ni?” Thoriq mahukan kepastian. Dia bagaikan guru disiplin dalam kalangan mereka berempat. Mana-mana antara mereka yang membuat kesalahan atau melanggar peraturan dia akan bertindak. Bukan dia tidak pernah menumbuk Dzakwan kerana cuba mengurat gadis yang Faizal suka. Dalam persahabatan mereka dilarang keras merampas kekasih atau berebut perempuan.

“Betul. Aku pasti.” Aryan tegas. Kalau Lily boleh bermain kayu tiga di belakangnya ini bermakna Lily bukanlah perempuan yang patut dia jadikan isteri.

“Kau memang paling lembut hati antara kita berempat ni. Cantik jelita pulak tu. Bertuah siapa kahwin dengan kau nanti.”

Aryan tergelak. Tiada istilah bertuah kalau sudah tiga kali ditinggalkan perempuan. Wajahnya yang sangat jelita bagaikan satu sumpahan.

“Dah sampai pun rumah kau.”

Akhirnya setelah lebih sejam memandu mereka tiba di kawasan rumah keluarga Thoriq. Aryan memandu keretanya masuk ke dalam. Faizal sedia menunggu bersama Dzakwan. Akid menghilang entah ke mana. Aryan dan Thoriq sama-sama keluar dan mendapatkan mereka.

“Kita masuk dulu.” Thoriq membuka pintu. Kesemua rakannya hanya mengikut.

“Aku nak kau jelaskan kat aku kenapa kau boleh tikam belakang kawan kau sendiri?” Tanpa sebarang amaran Thoriq terus menumbuk perut Faizal. Mungkin Aryan boleh terima semua ini tapi bukan dia. Faizal terdorong ke belakang. Mujur badannya ditahan oleh Dzakwan.

Aryan buat muka selamba dan duduk di sofa. Tiada niat mahu menolong Faizal atau menghalang Thoriq. Kalau dah buat salah terimalah akibatnya.

“Aku…” Baru sahaja Faizal mahu buka mulut, sebiji lagi penumbuk hinggap di badannya.

“Paling bangang kau boleh ajak Aryan sekali. Kau tau kan Lily tu awek kawan kita? Kita dah bersumpah sebagai adik-beradik walaupun bukan sedarah. Kita tak akan tikam saudara kita sendiri. Tapi kau dah melampau!” Tumbukan ketiga mengenai perut Faizal. Thoriq berdiri dengan perasaan puas.

“Ada drama thriller.” Akid muncul dari dapur dengan dulang berisi teko minuman dan biskut kering. Semua mata tertumpu ke arahnya.

What… Aku lapar, okey. Tadi tak sempat makan.” Akid meletakkan dulang ke meja kopi. Dia labuhkan punggung ke sofa sementara Aryan menuangkan minuman.

“Makan biskut kering sambil tengok drama pun bagus jugak. Berapa banyak kalori ni agaknya?” Aryan mencapai cawan yang berisi minuman. Sekeping biskut dicapai dan dicelup ke dalam air Nescafe. Kemudian dia menjeling Akid yang tidak menjawab soalannya. Mamat sado makan biskut cecah air Nescafe. Cari nahas namanya.

“Hati-hati jangan sampai pecah barang. Nanti Puan Sri Tahirah mengamuk.” Akid memberi amaran.

“Aku tak nak tengok muka kau sampai Aryan cakap dia maafkan kau. Kau boleh blah sekarang.” Thoriq batalkan niat hendak belasah Faizal. Betul kata Akid. Mama akan tau dia belasah orang lagi kalau ada barang pecah.

“Dah lewat sangat ni. Dia nak balik macam mana?” Dzakwan bersuara. Dia memang sudah jangka Thoriq akan mengamuk.

“Suruh dia call driver dia. Tak pun call Uber atau Grab. Yang penting aku tak nak tengok muka dia.” Thoriq bersuara tegas.

“Aryan, maafkan aku.” Faizal bersuara lemah sambil memegang perutnya yang sakit.

“Aku tak pernah salahkan kau atas semua ni. Aku anggap Lily bukan jodoh aku. Tapi kau kena ingat satu perkara… Kalau Lily boleh khianati aku, tak mustahil dia akan khianati kau suatu hari nanti. Terima kasih sebab ajak aku datang ke majlis tunang kau… Aku akan maafkan bila sampai masanya nanti.” Aryan berlagak tenang.

“Hello manis.” Akid menegur Jane, PA Aryan. Sebuah senyuman dihadiahkan buat wanita pertengahan usia itu.

“Tuan Akid. Selamat tengah hari.” Jane membalas senyuman Akid.

Mood dia macam mana?”

“Okey aje,” jawab Jane ringkas.

“Okey tu means saya boleh ajak dia keluar makan?”

Jane angguk. Dia baru sahaja terdengar luahan perasaan majikannya kepada abangnya yang berada jauh di Jerman. Pintu bilik Aryan tidak tertutup rapat jadi dia dengar perbualan majikannya. Kekasih sendiri bertunang dengan kawan baik. Memang melampau Tengku Lily Ariana buat macam tu.

“Doakan saya tak kena sembur.”

Jane mengucapkan good luck tanpa suara. Hanya bibir yang bergerak. Akid senyum dan ucapkan terima kasih. Perlahan dia menolak daun pintu.

“Kau tak nak makan ke?” Akid terus menegur Aryan yang sedang tekun menghadap komputer. Nampak serius sahaja.

“Aku tak lapar,” jawab Aryan tanpa menjeling sedikit pun.

“Kau cakap tak lapar tapi naga kat perut kau tu dan mengganas. Kau jangan buat pasal.” Akid tarik kerusi dan duduk. Lengan diletakkan di atas meja.

“Jom makan. Jangan sebab sorang perempuan kau nak seksa diri.” Akid sengaja memancing.

“Tak ada maknanya aku nak seksa diri,” nafi Aryan keras. Barulah matanya melihat Akid.

“Kalau macam tu jom… Aku teringin nak makan cendol.”

“Aku malaslah. Nanti aku call food delivery.” Aryan tetap menolak. Malas dia hendak berjumpa kawannya yang lain.

“Aku kira sampai tiga. Kalau kau tak bangun kau memang tengah meratap hiba.” Akid bangun.

“Satu…”

“Okeylah…” Aryan mengalah. Dia mengambil kot di kepala kerusi.

“Tengah hari buta pakai kot. Simpan ajelah. Jiwa mat salih betul.”

Aryan akur. Akid memang kuat mendesak. Selagi dia tidak mengikut pasti ada sahaja helah untuk buat dia mengalah. Sebenarnya dia malas nak ikut Akid. Malas hendak mendengar kata maaf Faizal. WhatsApp dan panggilan Faizal langsung dia tak layan.

“Aku tak ajak Faizal. Jangan risau. Kita kan tengah pulaukan dia.” Akid berkata tanpa diminta. Dia tahu Aryan kurang selesa dengan Faizal.

Hmmm…” Aryan malas hendak komen. Dia boleh maafkan Faizal tapi untuk melupakan perbuatan sahabatnya itu bukan mudah.

“Jane… Tak rehat lagi ke?”

“Sekejap lagi, tuan.” Jane bangun.

“Petang ni ada apa-apa meeting ke?” tanya Aryan. Kepalanya kusut sekarang ini. Kalau boleh dia mahu balik rumah dan berenang. Boleh hilang sedikit tekanannya.

“Petang ni tak ada, tuan,” jawab Jane selepas menyemak jadual.

“Kalau tak ada apa-apa mungkin saya tak balik pejabat.”

Jane angguk. Dia memerhatikan dua sahabat itu menghilang. Simpati mula hadir untuk majikannya yang cantik jelita. Ada harta, ada rupa tapi tetap kena tinggal dengan kekasih.

“Aku nak berhenti kerja. Tak kira aku dah nekad ni.” Aaira tegas. Sudah tiga kali dia ulang hasratnya. Pintu kereta ditutup kasar. Geram dan marah bercampur baur.

“Biarlah Eryna tu. Mulut macam puaka. Jangan-jangan kau berhenti kat sini dia pun berhenti jugak. Kau dapat tempat kerja lain, dia ikut kau ke sana.” Isya menolak pintu kereta. Setiap kali Eryna buat pasal, setiap kali itulah Aaira kata mahu berhenti kerja. Tapi Aaira masih juga jadi pembantu pejabat di Kencana Megah.

“Kalau berani dia buat macam tu, aku patah-patahkan kaki keding dia tu. Senang sangat aku nak patahkan kaki lidi dia tu.” Aaira geram. Siap dengan aksi tangan lagi.

Sedang dia berjalan melalui celahan kereta, pintu sebuah kereta terbuka dan menghentam tubuhnya. Dia terlompat sedikit ke belakang.

“Hoi, tak nampak ke orang tengah jalan?!” Dia tolak pintu dengan kasar. Spontan kakinya naik menendang pintu kereta tersebut.

“Kau marah kat Eryna tapi kau lepas kat orang lain. Driver tadi tak salah. Punyalah jalan tu luas terbentang, kat tepi kereta dia jugak kau nak lalu.” Isya menggeleng. Aaira kalau marah memang susah nak reda. Dia ikut jalan yang disediakan manakala Aaira gatal kaki hendak lalu di celah-celah kereta. Kan dah kena.

“Lantaklah… Dia ada mata. Bukannya aku sekecik semut yang dia tak nampak.” Aaira terus membebel sambil masuk ke dalam Restoran Wahab Cendol.

“Mulut macam apa entah. Dia yang salah kita yang kena marah.” Akid membebel sambil melihat kelibat dua orang gadis tadi masuk ke dalam restoran. Dia hanya ternampak jubah berwarna hitam sahaja. Tak nampak jelas wajah kedua-dua gadis itu. Cuma dia perasan mata hazel gadis yang menendang kereta tadi.

“Kenapa?” Aryan toleh ke sebelah. Melihat Akid yang sedang membebel.

“Awek sorang tu. Dia tolak pintu kereta macam apa entah. Siap tendang lagi. Nasib baik aku tak keluarkan kaki. Kalau tak memang patah kaki aku.” Akid pandang kiri dan kanan sebelum membuka pintu. Tidak mahu insiden seperti tadi terjadi sekali lagi.

Selepas pintu ditutup, Akid tunduk melihat kesan tendangan perempuan itu. Perempuan itu sedang marah barang kali. Ketara kesan tapak kaki di pintu kereta Maserati milik Aryan yang berwarna putih itu.

“Elok-elok pakai tudung, pakai jubah… tapi perangai… Huh, seram!” Akid membebel seorang diri.

“Calar ke?” soal Aryan sambil memandang Akid.

“Ada cap kasut. Macam kasut sport aje.”

Hmmm. Biarlah. Unik sikit kereta aku. Jomlah.”

Akid bangun. Walau hatinya marah tahap tujuh petala langit, dah tuan punya kereta kata biarlah… maka lebih baik dia diam. Kemudian dia terus mengekori Aryan yang sudah pun masuk ke dalam restoran.

Sebaik sahaja masuk ke dalam restoran, Akid mencari-cari kelibat gadis yang buat onar tadi. Dia nampak kedua-dua gadis itu masuk. Namun yang mana satu? Ada ramai yang pakai jubah dan tudung hitam. Fesyen rasmi hari Rabu agaknya.

“Kau cari siapa?” Aryan pelik melihat Akid tertinjau-tinjau. Malas hendak ambil tahu, dia terus masuk dan mencari tempat duduk. Matanya melilau mencari tempat kosong. Dia terjumpa satu tapi agak tersorok. Matanya menangkap satu wajah yang seakan-akan dia pernah jumpa.

“Yang mana satu agaknya?” Akid masih lagi tercari-cari.

“Kau cari siapa?” tanya Aryan sekali lagi. Dia sudah pun melabuhkan punggung. Akid pula masih lagi berdiri.

“Perempuan yang tinggalkan cap tapak kaki kat kereta kau.”

“Biarlah… Order makan cepat. Aku lapar ni.” Mata melihat ke arah gadis yang duduk di meja hadapan. Senyuman gadis itu seperti dia pernah lihat. Sayangnya gadis itu duduk membelakangkannya. Fikirannya yang sedang kusut bekerja keras mencari memori di mana dia pernah menemui gadis itu.

“Thoriq dengan Dzakwan sampai lambat sikit.”

“Kita makan dululah.” Aryan melipat lengan bajunya hingga ke siku.

“Babe Kau rasa lelaki tu lelaki ke perempuan?”

Aaira alihkan mata ke arah tempat yang ditunjuk oleh Isya. Tadi dia melihat sekilas wajah itu. Sekarang dia perhatikan lebih teliti. Lama matanya melekat ke wajah itu. Cantik, desis Aaira. Dia merasakan lelaki itu lebih cantik daripada perempuan. Seperti dia pernah melihat wajah itu.

Dengan bibir merah bak delima, berkulit putih mulus, muka bujur sirih, memiliki sepasang mata yang comel… Langsung tiada cacat cela di wajah lelaki itu. Sebiji jerawat pun tiada. Mata Aaira turun ke bawah sedikit. Lelaki itu sedang menaip sesuatu di skrin telefon. Dia perasan jari-jemari lelaki itu runcing dan cantik. Persis perempuan.

“Lawa gilalah. Kalah kita perempuan ni. Dengan aku macam langit dengan bumi. Macam siang dan malam.” Aaira tidak teragak-agak untuk memuji.

“Lelaki ke perempuan eh? Handsome gila,” tanya Isya lagi. Matanya memerhatikan lelaki cantik itu. Sebijik macam pelakon Korea. Hatinya terus mencair. Buat seketika dia lupa tunangnya.

“Pakai kemeja kan… Lelakilah…” Aaira sudah nampak aura gedik Isya. Pantang tengok lelaki ala-ala Korea. Mulalah nak cair. Lupa agaknya diri tu dah bertunang.

“Dia lipat lengan kemeja sampai siku. Seksi gila.” Mata Isya terang benderang. Teruja melihat perlakuan lelaki itu.

“Jaga sikit mata tu. Ingat tunang kau.” Spontan Aaira menjentik dahi Isya. Tidak beradab sopan langsung.

“Lelaki lawa tu datang dengan lelaki. Gay kut dia ni.” Aaira toleh sekali lagi. Baru dia perasan lelaki yang duduk berhadapan dengan lelaki cantik tadi.

“Gay?”

“Gay. Lelaki bercinta dengan lelaki. Kau tau kan spesies tu?”

Isya kerut dahi. Kurang faham.

“Kau tak nampak pakwe dia pun boleh tahan sado. Nampak ketul kat lengan dia. Dari sipi-sipi ni pun aku tau dia tu handsome. Kenalah tu lawa dan handsome.” Aaira sengaja membakar hati Isya.

“Tak caya…”

Aaira mahu mejawab lebih panjang tapi terganggu dek kehadiran seorang lelaki tampan duduk di meja sebelah mereka. Berkulit sawo matang. Menariknya lelaki itu memakai cermin mata. Kalau yang ini memang sah lelaki. Aaira hadiahkan senyuman buat lelaki itu namun tidak berbalas. Lelaki itu hanya pandang dia sekilas. Sudah dia jangka lelaki itu pasti menyampah melihat muka dia.

“Kau ni tak baik tuduh dia gay.”

“Kau tak caya cakap aku, tengok baik-baik guna mata akal. Sorang lawa seorang handsome, sado. Tengoklah elok-elok.” Aaira geram dengan lelaki di meja sebelah mereka. Sombong. Senyum pun kedekut.

Lelaki itu ada ciri-ciri jejaka idamannya. Mereka berdua sesuai bersama. Warna kulit pun lebih kurang sama. Sama-sama berkulit hitam manis. Berbanding dengan lelaki di sebelah sana. Mempunyai kejelitaan yang membuatkan dia cemburu. Dua orang lelaki yang berbeza tapi sama-sama beku. Secebis senyuman bukan perlukan beribu otot bekerja keras.

“Lawa tak semestinya gay.”

“Tengok Isya… Tengok betul-betul. Lawa dan sado… Jawapannya… kau cari sendiri.” Aaira silangkan tangan di dada. Kemudian pelayan sampai membawa rojak dan cendol. Tanpa melengahkan masa Aaira terus makan. Tiada faedahnya asyik bercakap tentang lelaki cantik itu. Dia biarkan Isya yang masih leka memandang.

“Kau ni jagalah pandangan. Dengan gay pun nak jatuh hati. Makanlah cepat.”

“Dia bukan gaylah.” Isya geram. Dia menarik mangkuk berisi cendol. Sambil dia makan, matanya nakal memandang lelaki itu.

“Kau pandang dia, dia ada senyum kat kau tak? Ada tunjuk muka baik dia? Dia senyum kat lelaki tu aje. Takkan kau tak nampak? Jangan butakan mata. Sah gay.” Geram dengan mamat di sebelahnya yang masih lagi muka beku walaupun sudah tiga kali dia hadiahkan senyuman. Sengaja lepaskan marahnya. Tetapi pada orang yang salah.

“Kau ni. Kalau dia lelaki tulen, malu kau nanti.” Isya kurang selesa dengan kata-kata Aaira. Sesekali dia menjeling lelaki itu. Lelaki itu kelihatan sibuk dengan telefon dan sesekali tersenyum ke arah kawannya. Meremang tengkuknya memikirkan kata-kata Aaira.

“Kecantikan dia ni boleh mengundang pergaduhan gay-gay seluruh Malaysia. Jambu amat ni mesti jadi rebutan. Sah gay.”

“Yakin sangat ke?” soal Isya. sejak tadi Aaira tuduh lelaki cantik itu gay.

“Tak baik buruk sangka tau. Dia comellah. Kalau aku tak ada tunang pasti aku cuba ngorat dia,” tambah Isya lagi. Kurang senang dengan prasangka Aaira. Suka sangat fikir benda negatif.

Confirm gaylah. Gay aje suka jaga muka sebab nak pancing lelaki lain. Macam perempuan yang cantik-cantik nak pancing lelaki handsome. Kau jangan libatkan diri dengan gay macam dia.”

Isya tergeleng mendengar kata-kata Aaira. Mesti kes cemburu dan sakit hati. Cemburu dengan kecantikan lelaki itu sekaligus balas dendam sakit hati pada Eryna. Harap-harap lelaki itu tidak dengar perbualan mereka berdua.

Aaira sambung perhatikan lelaki itu. Kalaulah dia boleh minta sedikit kecantikan lelaki itu kan bagus. Sangat kontra dengan dia yang berkulit gelap. Matanya silih berganti memandang lelaki itu dan tangan sendiri.

“Rihanna tu kulit gelap, cantik aje aku tengok.” Isya menegur Aaira. Dah mulalah tu rasa rendah diri.

Aaira senyum tipis. Isya sentiasa tahu apa yang dia fikirkan.

“Rihanna kaya raya. Tak ada siapa nak kutuk.”

“Kau tu aje yang rendah diri sangat. Semua manusia diciptakan cantik dan sempurna oleh Allah. Manusia aje yang suka banding-banding. Kecantikan sebenar dari hati. Hati yang suci bersih buatkan wajah kita berseri-seri. Jodoh kau belum sampai lagi. Bukan sebab kau tak cantik.” Panjang lebar Isya bersyarah. Geram sangat dengan Aaira. Apabila lihat perempuan cantik mulalah rasa rendah diri. Sekarang di depan lelaki cantik pun nak rendah diri.

Mata Aaira masih lagi menghala ke arah lelaki berkulit putih itu. Entah kenapa saat dia menoleh, lelaki itu angkat muka dan hadiahkan senyuman. Aaira alihkan pandangannya. Senyuman lelaki itu macam Ji Chang Wook. Bahaya untuk hatinya.

“Kalaulah dia jadi suami aku… makan hati ulam jantunglah aku. Stres tengok muka cantik dia,” luah Aaira. Dia berharap agar tiada lagi pertemuan mereka selepas ini. Terjumpa kali pertama dah sakit hati. Kalau terjumpa kali kedua sah dia akan murung.

“Aku doakan kau bertemu jodoh dengan dia. Biar murung hari-hari.” Isya sengaja mengusik Aaira.

“Lelaki macam dia tu memang tak naklah. Kahwin free pun aku tak nak.” Aaira ketawa. Jauh sangat pemikiran Isya. Lelaki itu pasti sama seperti lelaki lain. Takkanlah lelaki itu pilih pasangan seperti dia. Memang tak padan.

“Jomlah. Nanti lambat kita masuk kerja.” Isya terlebih dahulu bangun dan diikuti oleh Aaira. Mereka berdua beriringan keluar dari restoran.

Tidak lama selepas mereka keluar, lelaki yang duduk di meja sebelah mereka bangun dan menuju ke meja lelaki cantik tadi.

“Kenapa kau duduk meja sana tadi?” soal Aryan. Matanya mengekori kelibat dua orang gadis yang duduk di sebelah meja Thoriq tadi.

“Tiba-tiba aku terdengar sesuatu yang menarik. Sebab tu aku lepak meja tu.” Thoriq tarik kerusi dan labuhkan punggung. Gelas berisi air kosong ditarik dan diminum perlahan. Sepanjang berada di meja sana dia menahan dahaga.

“Meja mana?” Akid yang tidak tahu cerita pusingkan kepala mencari-cari meja yang Thoriq maksudkan. Namun tiada apa yang menarik. Banyak meja mulai kosong.

“Apa yang menarik sangat tu?” soal Aryan. Dia membiarkan Thoriq menghabiskan mi goreng dan cendolnya. Sehelai tisu diambil untuk mengesat mulutnya.

“Budak perempuan kat meja tadi tu kutuk kau. Kutuk kecantikan kau.” Akhirnya Thoriq bersuara.

Aryan tergelak. Rasa telinganya sudah mangli mendengar segala jenis kutukan dari bibir perempuan. Rupa parasnya yang cantik lebih banyak kena kutuk daripada kena puji. Baik daripada kaum sejenisnya mahupun kaum Hawa.

“Kutuk gila-gila ke?”

Tiba-tiba dia teringatkan gadis tadi. Dia masih belum menemukan memori tentang gadis itu. Tapi dia yakin mereka pernah berjumpa. Hatinya kenal senyuman itu. Senyuman yang buat hatinya jadi tenang. Tadi dia stres dengan kerja dan Faizal. Tatkala melihat senyuman gadis itu, beban kerjanya seakan-akan hilang.

“Aku rasa baik kau dengar perbualan diorang. Baru kau tau kenapa aku duduk meja sana.” Thoriq menyerahkan telefon bimbitnya kepada Aryan.

Langkahnya tadi terhenti sebaik sahaja salah seorang gadis itu menyebut gay sambil melihat ke arah Aryan. Dia duduk di meja bersebelahan hanya untuk mendengar perbualan dua orang gadis tadi dan merakam keseluruhan perbualan memandangkan kedua-dua gadis itu bercakap agak kuat.

Aryan mengambil telefon bimbit Thoriq. Fon telinga dikeluarkan dari poket. Sebelah fon telinga dia serahkan kepada Akid. Dia dan Akid mendengar dengan teliti rakaman perbualan dua orang gadis tadi. Sesekali dia tergelak dan sesekali mukanya kelihatan kurang selesa dan marah. Tapi lebih banyak gelak dan senyum.

“Perempuan mana satu yang sibuk sangat tuduh aku gay ni? Sah, yakin, confirm aku gay.” Aryan menanggalkan fon telinga. Kemudian telefon diserahkan kembali kepada Thoriq.

Akid sambung makan sambil menangkap butir bicara Thoriq dan Aryan. Perempuan mana? Meja mana? Dia langsung tiada idea. Sangkanya Thoriq lambat sebab memang lambat. Rupanya ada sebab lain.

“Perempuan yang kulit gelap tu.”

“Sayang sungguh. Rupa cantik tapi mulut macam puaka. Mak cik bawang pun kalah.” Sungguh dia tidak sangka gadis yang memiliki senyuman manis itu bermulut bisa. Setiap kata-kata gadis itu membuatkan dirinya sakit hati.

Terangkat kening Thoriq mendengar pujian bercampur marah Aryan. Jarang Aryan memuji perempuan. Namun dia setuju dengan Aryan. Gadis berkulit gelap tadi mempunyai kecantikan tersendiri yang jarang ditemui. Dia dekatkan wajahnya ke muka Aryan. Mahu melihat sahabatnya itu serius atau bergurau. Melihat tiada riak lain dan hanya senyuman, Thoriq tarik badan. Pelik.

“Senyuman dia manis.”

Akid terhenti. Terlepas sudu di tangan. Mujur jatuh ke atas pinggan. Sesuatu yang baru. Dia saling berpandangan dengan Thoriq. Sah Aryan sedang angau.

“Dia cantiklah. Dia senyum lawa. Ada lesung pipi. Dua-dua belah pulak tu.” Aryan tersenyum. Bisa mulut gadis itu tidak mampu menutup senyuman manis yang dia lihat.

“Sekarang ni kau nak marah atau nak puji dia?” Thoriq pelik. Aryan langsung tidak marah walaupun dituduh gay. Aryan memang pantang jika ada orang menuduhnya songsang. Rupa paras jelita Aryan banyak mengundang pandangan negatif selain daripada pujian.

“Aku tengah puji dia,” jawab Aryan sambil tersenyum.

“Kenapa aku rasa pelik? Aryan Lee puji perempuan. Aku mimpi ke? Thoriq Haikal Hakim. Tolong beritahu Akid Muaz yang dia hanya bermimpi. Cubitlah pipiku agar aku tahu ini semua bukan mimpi.”

“Mengarut.” Thoriq menyepak kaki Akid.

“Kalau diikutkan rupa awek tadi memang tak boleh nak acah-acah tak perasan. Pertama kali aku tengok muka unik macam tu. Walaupun dia kulit gelap tapi terserlah aura kecantikan dia. Tapi betul kata kau. Mulut puaka. Sayang kan… Tak boleh buat bini.”

Kata-kata Thoriq membuatkan Aryan angkat kepala. Kenapa dia rasa kurang senang apabila Thoriq memuji gadis itu?

“Macam dia bermusuh dengan kau. Benci sangat dengan kau. Dia kutuk kau teruk, bro.” Thoriq sengaja tekankan suaranya. Dia yakin ada sesuatu antara Aryan dan awek tadi. Entah-entah Aryan pernah ada skandal dengan awek tadi. Atau Aryan pernah lukakan hati awek tadi.

“Ni first time aku jumpa dia. Jangan nak buat spekulasi.” Aryan menafikan tekaan Thoriq.

“Kau bukan tak biasa dengar perempuan rasa tergugat dengan aku,” tambah Aryan lagi. Sebenarnya dia juga rasa sesuatu. Seakan-akan perempuan itu punya dendam terhadapnya. Mungkin bila-bila masa perempuan itu akan bertukar menjadi psiko dan membunuhnya. Aryan menggeleng. Terlalu jauh khayalannya.

“Apa pun awek tadi sangat mencurigakan.” Thoriq sepetkan mata memandang Aryan.

Korang cakap pasal awek mana ni? Aku ingatkan si Yan ni berkabung sebab awek dah kena rampas.” Dzakwan tarik kerusi di sebelah Aryan. Dari jauh dia lihat betapa rancaknya perbualan antara Thoriq, Aryan dan Akid.

“Adalah awek ni. Kutuk dia jambu… Biasalah kan. Awek tu yakin sangat Aryan ni gay. Siap cakap kahwin free pun tak nak dengan kawan kita ni.” Akid bercerita sambil tergelak.

“Awek tu datang dari planet mana? Takkan dia tak kenal Aryan Lee? Pewaris empayar keluarga Lee. Kalau dia tak kenal Thoriq dengan Dzakwan tu memang tak hairanlah. Muka jambu ni kan banyak kali keluar majalah.” Dzakwan angkat sebelah tangan tanda high five. Berlaga tapak tangan dengan Akid.

“Betul sangat tu. Akid Muaz pun selalu keluar TV takkan tak perasan? Mari bersenam bersama Akid Sado.” Thoriq mengajuk suara Akid.

“Sangka baik. Dia baru balik dari pedalaman tanah besar China. Tak ada Internet. Sebab tu dia tak kenal Aryan Lee. TV dah setahun rosak. Dia tak kenal Akid Sado.” Dzakwan ketawa. Disambut oleh Thoriq dan Akid. Ketiga-tiga mereka gelak besar.

“Kalau difikirkan balik betul jugak, kan. Takkan awek tadi tak kenal siapa Aryan? Terbukti Aryan bukan gay sebab pernah cerita bab kahwin dalam majalah. Pernah jadi model butik pengantin kakak dia lagi. Akid… Diorang tak nampak mamat sado ni agaknya.” Thoriq topang dagu dengan siku di meja. Persoalan demi persoalan muncul.

“Awek manalah yang rabun sangat sampai tak kenal lelaki paling rare ni?” Dzakwan turut berfikir. Sama seperti Thoriq, dia sangat pelik kalau ada perempuan yang tidak mengenali Aryan.

“Tapi awek tu unik tau. Cantik. Kau nak tengok gambar dia?”

“Kau ada gambar dia?” Aryan menyampuk perbualan antara Dzakwan dan Thoriq. Dia tidak tahu pula Thoriq ada mengambil gambar awek tadi. Kalau tau memang awal-awal dia dah minta.

“Ada… Lupa nak tunjuk kat kau.” Thoriq mengeluarkan telefon dari poket seluarnya. Kekunci dibuka dan dia mencari gambar yang dimaksudkan. Seterusnya telefon dihulurkan kepada Aryan dan Dzakwan.

Aryan tersenyum melihat imej gadis yang terpapar di skrin. Gadis unik tapi mulut puaka. Dia ingin mengenali lebih lanjut tentang gadis itu tapi di mana dia harus cari? Bukan tuduhan gadis itu buat dia tidak senang duduk sebaliknya senyuman gadis itu buat dia tidak keruan.

“Kenapa kau senyum tengok gambar ni?” soal Dzakwan.

“Tak ada apa-apa,” jawab Aryan. Dia abaikan muka tidak percaya Dzakwan.

“Aku pernah nampak dia ni. Muka dia ni susah untuk orang tak perasan.” Dzakwan tiba-tiba bersuara. Dia yakin telahannya tidak silap.

“Kau nampak kat mana?” Laju Aryan bertanya. Tidak sabar-sabar hendak tahu.

Korang tau kan syarikat aku ada buat kerjasama dengan Kencana Megah? Dia ni pekerja kat pejabat Faizal. Rasanya dia cuma pembantu pejabat aje. Aku nampak dia masa meeting.” Ingatannya terhadap perempuan jarang silap. Apa lagi wajah unik begini.

“Ini awek yang tendang pintu kereta kau tadi.” Serta-merta Akid mengecam perempuan di dalam gambar itu. Walaupun hanya sekilas baru dia teringat mata hazel gadis itu.

Interesting.” Aryan tersenyum nakal.

“Apa yang ada kat kepala kau sekarang?” Thoriq risau melihat senyuman nakal Aryan. Dia tidak pernah melihat senyuman sebegini terbit dari bibir sahabatnya.