Half Girlfriend

RM32.00

Penulis: Zura Rahman

Caption: menyembunyikan rasa cinta ini umpama menghendap di balik lalang sehelai

ISBN: 978-967-406-266-8

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 32.00 RM 35.00

Kahwin?

Agenda kahwin itu tidak pernah termaktub dalam perancangan hidup CK, tidak pernah terlintas di hatinya. Apatah lagi apabila berkahwin dengan kawan baik sendiri. Bekas tunang kawan baik pula tu.

CK yang ‘selamba badak’. CK yang ‘cool’. CK yang punya segalanya yang diimpikan. CK yang tidak perlukan perempuan untuk rasa bahagia. CK yang cukup dengan dirinya sahaja. Namun, tiba-tiba dia ada Kaseh Hadana.

Kehadiran Kaseh Hadana dalam hidup lelaki itu umpama gempa bumi yang menyergap tanpa ama-ran. Kaseh Hadana bagai puting beliung yang bertiup kencang, menodai ketenteraman fikiran CK. Yang buat hidupnya kacau bilau. Yang buat seorang CK diserang dilema. Semua yang dirancang sempurna, tergendala di tengah jalan apabila status ‘Half Girlfriend’ sudah bertukar menjadi ‘Isteri’.

Seorang dari planet Marikh; dan seorang dari planet Zuhrah. Apabila dua makhluk itu bertemu di planet Bumi… peperangan demi peperangan berlaku.

 

“Kau memang! Tak sofistikated langsung.” ~ Hadana

“Only those who are complicated will have such sophistication.” ~ CK

“Mengaku ajelah kau tak sophisticated!” ~ Hadana

“Aku? Tak sophisticated? Try me.” ~ CK

 

Siapa tahu, angin dingin dari ‘offshore’ yang menggoda, memeluk dan membelai diri lelaki tenang dan selamba badak itu, membuka satu dimensi lain buat CK. Sekali gus, segala-galanya berubah. Konflik meruncing apabila niatnya dipersoal dan kelelakiannya dicabar.

Brother Code mereka tidak pernah menghalang; Naufal juga tidak pernah ambil peduli; mengapa tiba-tiba Naufal bereaksi berlebihan pula?

“ALLAH tahu kau belum bersedia. Sebab itu DIA pinjamkan Naufal untuk aku, kerana kau perlu-kan masa untuk menyanyangi aku.” ~ Hadana.

Dia lelaki yang terluka akibat peristiwa masa silam. Namun dia juga yang dihantar TUHAN untuk menjaga dan mencintainya. Dia… hanya satu dalam sejuta. Dia… adalah lelaki selamba badak yang punya hati yang luas dan berbunga-bunga.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“She’s a half girlfriend.

Sham memandang tepat ke arah CK yang baru sahaja menuturkan ayat tersebut. Jawapan CK terhadap soalannya, siapa Hadana?

Half girlfriend?”

Kepalanya digerak perlahan. Mengangguk.

“Kenapa half girlfriend?” Sham keliru.

CK ataupun nama penuhnya Chance Humprey Kallaghan yang lebih mesra dipanggil CK, diam sebentar. Berfikir, menyusun ayat yang sesuai. Lelaki muda berketurunan Kadazan-Dusun-Inggeris itu masih kelihatan tenang biar rambutnya yang sudah mencecah pangkal bahu sedikit tidak tentu arah. Rambut dilurut ke belakang, sepasang mata beningnya terarah tepat ke hadapan.

Tujuh tahun lepas…

 

Kulliyyah of Engineering, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Sejak dua bulan lepas lagi Naufal asyik bercerita tentang ‘sister’ tersebut. Pelajar tahun satu daripada Program Perakaunan yang disebut-sebut oleh pelajar lelaki. Yang digilai oleh Naufal. Namanya sering sahaja meniti di bibir para siswa yang sedang seronok mengusha siswi yang baru beberapa bulan berdaftar di kampus Gombak. Naufal tidak ketinggalan, malah dia boleh dikatakan gila bayang dek penangan Kaseh Hadana.

Disebabkan Kaseh Hadana, Naufal sering sahaja menghilangkan diri ke kampus yang menempatkan Kulliyyah of Economics and Management Sciences. KENMS, panggil mereka.

Antara Kulliyyah of Engineering, KENMS dan Mahallah Zubair Al-Awwam, jaraknya lebih kurang sepuluh minit berjalan kaki. Tidak jauh. Apatah lagi bagi seorang yang sedang angau dilamun cinta. Sepuluh kali sehari pun Naufal sanggup berulang-alik antara tiga tempat tersebut. Lebih teruk, dalam dua bulan itu, Naufal sudah menghafal jadual gadis yang telah mencuri hatinya.

“Cantik sangat ke sister tu?” tanya CK dalam acuh tak acuh, apabila Naufal mula bercerita tentang Kaseh Hadana. Dia sudah muak dengar nama itu disebut. Hampir bernanah telinganya menadah setiap pujian Si Naufal pada Kaseh Hadana. Tapi apakan daya, Naufal kawan baiknya. Nak tak nak, dia terpaksa tahan telinganya. Dan berpura-pura berminat dengan cerita Naufal.

“Cantik giler. Sweet… Sangat. Senyumannya, luruh jantung aku. Matanya… Ahhh…” cerita Naufal dengan penuh perasaan, sembari tangan menekan dada. Senyumannya, melebar.

CK membaling buku mechanical engineering yang dipegangnya ke arah Naufal. Buku setebal hampir dua inci itu sempat ditepis, jika tidak, tentu sudah benjol dahi Naufal dicium buku tebal tersebut. Terkujat, Naufal kembali ke alam nyata.

Sah! Kawan baiknya itu sudah diserang angin angau. Naufal sering sahaja tersenyum seorang diri. Sambil mengulangkaji course costing pun Naufal masih boleh tersenyum. Dia sudah gila agaknya. Kepala digeleng-geleng, bola mata menekuni jadual untuk esok hari. Naufal dibiarkan dalam dunia khayalannya.

CK dan Naufal sudah lama berkawan baik, sejak sekolah menengah lagi. Mereka sama-sama belajar di sekolah berasrama penuh di Pahang. Di UIA, mereka mengambil program yang berlainan, tetapi tinggal di satu mahallah dan sebilik.

“Kaseh Hadana namanya,” beritahu Naufal yang entah ke berapa kali.

“Cantik, kan? Secantik tuannya.”

CK tidak memberi apa-apa komen. Untuk memuji seorang perempuan dia tidak pandai.

“Kau cakap hari tu, dia budak accounting?” CK bertanya setelah Naufal habis bercerita.

Hmmm. Kenapa?”

“Kau dah approach dia ke belum?”

“Aku tengah adjustlah ni.” Naufal tersengih.

“Berapa percent success rate?”

Almost 100%!” Naufal berkata dengan yakin.

Wow! Confident nampak!”

“Tengok oranglah!”

CK mencebik. Sambil berborak, dia menyiapkan kerjanya untuk esok hari. Naufal pula sedang duduk santai di atas katil CK.

Hey, I’m already on the dean’s list. By final year, I’m going to be the head of KENMS society, and maybe the Dean’s Club president. Kau tengok nanti.”

YeahI know!” jawab CK, sekali lagi tanpa perasaan. Bukan dia tidak kenal dengan Naufal. Dia memang bercita-cita tinggi. Setiap impiannya, dikongsi bersama CK.

Naufal tersenyum puas. Dari tadi dia asyik tersenyum.

So, kau yakinlah kau boleh dapat sister ni?” Akhirnya CK bertanya. Kesian pula dia pada kawannya yang meroyan tak tentu pasal. Selagi dia tidak puas hati, Naufal tidak akan berganjak dari situ.

Di universiti itu, pelajar perempuan atau siswi dipanggil sisters. Manakala mereka, pelajar lelaki dipanggil brothers.

Naufal tersengih lagi. Kerana Kaseh Hadana, telinganya terpaksa menahan Naufal bercerita tentang gadis itu saban hari. Sikit-sikit Kaseh Hadana. Selagi nama Kaseh Hadana tidak disebut sekurang-kurangnya sepuluh kali sehari, Naufal tidak akan duduk diam. Dan dia tidak akan biarkan CK untuk duduk diam.

Disebabkan Kaseh Hadana juga, hari ini dia diheret ke Riverside Cafe. Dari kelasnya di Kulliyyah of Engineering tadi, CK ditarik Naufal ke situ.

Waktu begini ialah waktu puncak di Riverside Cafe. Sebenarnya nama rasmi kafe ini ialah Econs Cafe, bukannya Riverside Cafe seperti yang dipanggil mereka. Ia hanyalah sebuah kafe atau tempat makan yang terletak di sebatang tebing sungai yang merentangi kampus Gombak.

Kafe yang terletak di tebing sungai itu menjadi tumpuan pelajar terutamanya dari KENMS. Kerana di situlah tempat mereka makan, minum, berbual, bergosip dan berehat sambil menunggu kelas yang seterusnya bermula. Oleh kerana ia begitu terkenal dalam kalangan pelajar, mereka semua memanggilnya Riverside Cafe, nama yang lebih glam berbanding Econs Cafe.

Mereka berdua berdiri di situ. CK dengan lagak bersahaja dan tidak kisahnya manakala Naufal dengan mata yang liar melingas di sekeliling kafe, mencari kelibat Kaseh Hadana. Keterujaannya memuncak. Kebanggaannya mencanak.

“Kita orang declare minggu lepas!” tutur Naufal teruja. Wajahnya bersinar cahaya kegembiraan.

Well, congratulations,” ucap CK seraya tangan kanannya direntang ke arah Naufal.

0% failure rate. Not bad.” Akhirnya sister yang dipuja-puja itu telah secara rasmi menjadi kekasih Naufal. Nampaknya Naufal sudah pun mencapai misi penting dia dengan jayanya.

Tangan yang dihulur CK dijabat kemas. Senyuman lebar masih belum lekang dari bibir Naufal. Sudah setahun Naufal ‘kosong’. Sebelum ini Naufal berpacaran dengan sister yang satu batch dengan dia. Pertengahan tahun lepas, hubungan mereka terputus. Kekosongan hati Naufal nampaknya telah diisi oleh Kaseh Hadana.

Gadis mana yang tidak akan sukakan Naufal? Dengan wajah Melayu yang tampan serta aura kepimpinannya sebagai ketua persatuan dan kelab, mudah sahaja untuk dia memilih. Dan Kaseh Hadana yang menjadi impian Naufal.

Thank you!” balas Naufal dengan bangga. Dia tersengih lagi. Kebelakangan ini Naufal memang banyak tersengih. Nasib baik kafe itu tiada lalat. Jika tidak, mahu lalat buat sarang di dalam mulut Naufal. CK mengomel dalam hati.

Apa istimewa sangat sister yang bernama Kaseh Hadana itu? Ya, memang namanya cantik tetapi kadang-kadang tuan punya nama tidaklah seindah namanya. Tengoklah rakan sekelasnya yang bernama Puteri Balqish.

Sesiapa pun tidak menyangka perempuan yang kasar seperti Puteri Balqish mempunyai nama yang ayu sebegitu. CK tertanya sendiri. Jika tidak semegah seperti yang selalu Naufal katakan, segala tenaganya menapak ke Riverside Cafe adalah sia-sia.

CK masih berlagak bersahaja. Lagipun tiada apa yang perlu dia rasa teruja. Dia ditarik ke situ untuk melihat teman wanita Naufal yang cantik dan ayu itu. Dia memang tidak berminat untuk menjadikan mana-mana sisters di universiti itu sebagai teman wanitanya. Buang masa sahaja!

“Dia cantik tau!” Naufal belum puas memuji.

CK mencebik, keningnya turut terangkat. Tujuan dia dibawa ke mari adalah tidak lain dan tidak bukan kerana Naufal ingin membuktikan bahawa kekasihnya yang bernama Kaseh Hadana itu betul-betul cantik seperti yang sering diceritakannya.

Naufal nampak mimik muka CK yang menceber tetapi dia tidak ambil hati sangat.

“Kau ni CK… Kalau bab perempuan, kau memang loser!” Sempat Naufal mengacahnya, walau dia tahu gurauannya itu langsung tidak berbekas pada CK.

CK memang begitu. Dia mana ada perasaan dengan perempuan. Masalahnya perempuan selalu sahaja jatuh perasan dengan kawannya itu. Yang paling kelakar, pernah ada sister yang cuba mendekatinya dan CK yang langsung tidak memahami bahawa sister tersebut sebenarnya mahu berkenalan dengannya, buat selamba badak sahaja. Habis merah padam muka sister tersebut kerana malu. CK pula, buat tidak tahu sahaja.

Mata Naufal yang melingas tadi tiba-tiba berhenti di figura seorang gadis yang sedang beratur di satu barisan yang agak panjang. Nun jauh di belakang, sedikit tersorok dari pandangannya.

“Tu! Nampak tak?” Naufal menunjuk ke arah satu barisan di kafe dengan mulutnya.

“Mana?”

“Yang pakai tudung biru berbunga dengan skirt biru tu…”

Gadis itu sedang membelakangi mereka. Dia sedang galak bercakap dengan seorang sister yang lebih kurang sama saiz dengannya.

Tanpa memberi sebarang amaran, Naufal menapak laju ke arah Kaseh Hadana. CK menurut di belakang Naufal.

Gadis kecil molek itu diteliti dari atas hingga ke bawah. Dia sedang beratur untuk membeli makanan bersama seorang kawan. Kaseh Hadana membelakangi mereka, jadi CK tidak dapat melihat wajah teman wanita Naufal yang cantik itu.

Perkara pertama yang menarik perhatian CK ialah boot hitam yang dipakai Hadana. Boot setinggi tiga inci separas buku lali itu menegaskan gaya gadis itu. Boot itu tentu sekali buatnya lebih tinggi. Selendang berbunga yang dibelit di kepala, blaus krim dan skirt labuh tirus berbentuk A-line berwarna biru berbunga kecil. Keseluruhan padanan pakaian gadis itu buatnya kelihatan bergaya. Sebuah beg bersaiz jumbo berwarna ‘crimson’ yang tersangkut di bahu kirinya betul-betul menyerlah. Dari sisi, gadis itu ada pakej.

“Hadana!” Naufal memanggil.

Secepat kilat, Hadana berpaling. Langsung Hadana tersenyum manis ke arah Naufal. Matanya yang berwarna hazel itu bersinar galak. Dia percaya itu adalah kanta lekap, bukan mata asli sister tersebut.

“Hai!” sapa Hadana, mesra. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Manis sekali. Bersama dengan mata bundar yang bersinar galak seperti bintang, dipagari alis mata dan kening yang cantik, Kaseh Hadana memang mempesona. Matanya seolah-olah mempunyai kuasa ajaib untuk menyihir sesiapa sahaja dengan kuasa saktinya. Bibir mekarnya yang sedang tersenyum umpama dipalit madu yang paling manis. Patutlah Si Naufal gila bayang. CK membuat analisa ke atas sister tersebut.

“Dah habis kelas ke?” tanya Hadana dengan senyum yang masih terukir di bibir.

“Dah. Ada break sekejap sebelum kelas FA.” Naufal memandang Hadana tanpa berkelip.

“Saya nak makan dulu. Lapar ni.” Naufal mula mengadu. Sengaja tunjuk manja.

“Nak makan apa? Jomlah join kita orang,” ajak Hadana. Sekilas dia memandang CK yang hanya terpacak mendengar perbualan mereka.

Oh by the way, this is my best friend. CK.” Naufal memperkenalkan CK kepada teman wanitanya yang manis dan cantik itu.

Hadana memandang brother yang tinggi, kurus dan berambut panjang mencecah bahu itu dengan pandangan semacam. Alis kening Hadana yang cantik terbentuk mula bertaut.

Rugged betul kawan baik Naufal. Dengan baju T hitam dan seluar jean lusuh serta beg sandang di belakang, dia nampak cool sekali. Rambutnya itu, jika dibiarkan panjang sedikit lagi, akan menyamai panjang rambutnya.

Hello. Where are you from?” tanya Hadana ramah, bibir mengorak senyum.

CK tersenyum, menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Gadis itu tentunya menyangka dia international student.

I’m from Malaysia.”

Are you… Malaysian?” Hadana bertanya lagi, dengan teragak-agak. Matanya masih tidak berganjak dari wajah CK. Mata bundarnya kelihatan lebih besar apabila dia merenung begitu. Sekarang CK perasan bahawa mata putih Hadana kebiruan. Hadana betul-betul dapat ‘spell magic’. Tidak hairan Naufal bertungkus-lumus untuk mendapatkannya.

Yes, I’m a Malaysian,” jawab CK dengan bangga tetapi masih berbahasa Inggeris. Dia dapat rasakan Hadana tidak percaya. Dengan fizikalnya dan suaranya, tentu sekali gadis itu tidak percaya.

Di situ, rupa seseorang boleh menipu. Kadang-kadang, dari rupa paras yang 100% Melayu tetapi apabila mereka membuka mulut, ada yang bercakap dengan bahasa Arab yang fasih siap dengan dialek tertentu dan mereka tidak tinggal di Malaysia pun. Ada juga pelajar dari Nigeria yang dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Kadang-kadang mereka terkeliru dengan pelajar dari Indonesia yang disangka pelajar tempatan.

“Dia ni orang Malaysia, Hadana,” terang Naufal yang berdiri di sebelah CK.

Do you speak Malay?” tanya Hadana lagi. Kali ini ekspresi wajah Hadana tidak seperti tadi tetapi dia masih ragu-ragu tentang sesuatu.

“Mestilah, aku orang Malaysia.”

Hadana masih belum lepas memandang CK.

“Kenapa kau tengok aku macam tu?” tanya CK tidak senang apabila diperhati begitu.

Hadana kaget apabila disergah begitu rupa. Kasar sedikit bunyinya. Sudahlah CK beraku engkau dengannya, nada suaranya itu kurang enak di telinganya. Dia tidak seperti Naufal yang bersopan santun.

ErrrSorry. Siapa nama awak tadi? CK?” Hadana memohon maaf kerana merenung CK begitu tetapi dia tidak patut menempelaknya begitu. Kasar!

“Ya. Nama aku CK. Kenapa?” kata CK, masih lagi berbahasakan dirinya aku.

Brother ni lebih baik berbahasa Inggeris, sopan sikit bunyinya, gumam Hadana dalam hati. Baginya beraku engkau bersama kawan adalah tidak sopan. Lainlah jika mereka kawan baik. Ini kali pertama mereka bersua dia sudah disapa begitu. Intonasi suaranya pun, kurang enak.

“Awak asal dari mana?”

“Aku asal Sabah. Kenapa?”

“Dia orang Sabah, bah!” kata Naufal pula, cuba meniru cara orang Sabah bercakap.

“Oh… Orang Sabah.” Sekarang Hadana faham. Ramai kawan-kawannya dari Negeri Di Bawah Bayu itu berbahasakan diri mereka aku dengannya, namun mereka tidak kedengaran kasar seperti CK.

“Kenapa kau nak tahu?”

Hmmm… Tak ada apa-apa.” Hadana tidak mahu bertanya lagi. Kawan baik Naufal itu memang penuh dengan kejutan. Hadana betul-betul terkejut.

“Okay, nice meeting you, CK.” Hadana tersenyum nipis. Dia mahu menamatkan perbualan mereka dengan satu salam perkenalan yang baik. Hadana kurang suka dengan cara kawan baik Naufal itu. Nak dikata kurang ajar, berbunyi sombong. Nak dikata sombong, dia tak nampak sombong.

Menyedari keadaan yang agak tegang antara CK dan Hadana tadi, Naufal menyampuk.

“CK ni, mak dia mat salih. Tapi dia dah lama duduk kat sini. Dia memang fluent cakap Melayu.”

“Oh…” Anak separa mat salih rupa-rupanya. Patutlah rambutnya keperangan, matanya coklat kehijauan dan kulitnya putih kemerahan dengan tona eksotik.

Untuk memandang matanya, buat Hadana terpaksa mendongak. CK tersangat tinggi. Rasanya dia hanya separas dada CK. Manakala Naufal pun hanya pada paras telinganya sahaja.

“CK jarang ke sini. Saya ajak dia makan kat sini dengan kita. Awak tak kesah, kan?” Naufal bertanya Hadana.

“Saya tak kesah… Ini, kawan saya, Nisha.” Hadana memperkenalkan sister yang sedang beratur bersamanya.

Memang selalunya CK makan di mahallah atau di kafe di Kulliyah of Engineering sahaja. Dia tiada sebarang urusan untuk ke KENMS. Hari ini merupakan satu pengecualian. Kafe penuh pada waktu itu namun mereka berjaya mendapatkan tempat duduk di sebelah sekumpulan sisters. Mereka berempat – CK, Naufal, Hadana dan kawan Hadana yang dipanggil Nisha makan bersama.

Sekali pandang, keadaan di Riverside Cafe itu berlainan auranya. Kebanyakan sisters di situ lebih up to date dengan gaya pakaian masing-masing. Ada juga dalam kalangan mereka yang mengenakan solekan tipis.

Satu perkara yang diperhatikan ialah mereka duduk dalam satu bentuk yang unik. Sisters yang memakai tudung labuh sedang duduk bersama dengan rakan-rakan yang bertudung labuh manakala sisters yang berselendang atau bertudung bawal pula duduk sesama mereka. Boleh dikatakan pelajar Malaysia akan duduk bersama-sama dengan pelajar Malaysia manakala pelajar antarabangsa akan duduk bersama rakan senegara mereka.

Kemudian CK terpandang sekumpulan pelajar yang berlainan warna kulit dan etnik duduk bersama, sedang berbual riang. Lega, sekurang-kurangnya ada juga pelajar tempatan dan antarabangsa yang bergaul tanpa mengira bangsa dan agama.

Di bilik yang dihuni bersama dengan Naufal, CK bermalasan di atas katil. Hari ini dia terlalu penat. Kelasnya dari pagi sehingga petang. Dia terpaksa mengambil kursus Bahasa Arab yang diwajibkan oleh kesemua pelajar. Lebih teruk, oleh kerana dia tiada asas bahasa Arab, dia terpaksa bermula dari bawah. Itu pun CK bernasib baik apabila dia sudah berada pada tahap advanced dalam bahasa Inggeris setelah mendapat markah yang bagus dalam placement test yang memerlukannya mendapat sekurang-kurangnya 6.0 points.

Naufal datang ke biliknya yang terletak bersebelahan sahaja. Bilik di mahallah yang mempunyai empat bilik kecil yang dikongsi olehnya dengan Naufal dan dua pelajar lain dibahagikan dengan dinding. Bilik itu dilengkapi dengan sebuah katil bujang, sebuah almari pakaian serta meja studi dan rak buku. Naufal mengambil tempat di atas kerusi di meja studi.

“Baru balik ke?”

Hmmm,” jawab CK, malas.

“Esok nak keluar tak?” Mereka selalu keluar bersama-sama. Sebenarnya, banyak perkara yang mereka lakukan bersama-sama. Tengok wayang, kayuh basikal, naik gunung. Kebanyakannya dilakukan bersama dengan CK. Bukan dia tiada kawan lain, tetapi, di mana ada Naufal, CK pasti ada. Dan Naufal juga akan melekat dengan CK.

“Tak tahu lagi.”

“Jom kita keluar?”

CK mengerling ke arah Naufal.

“Kau tak nak dating dengan Hadana ke?”

Sejak Naufal kenal dengan Hadana, kawannya itu sudah jarang keluar dengannya. Dia tidak kesah kerana Naufal memang terpaksa bahagikan waktunya untuk Hadana juga. Lagi pun dia jumpa Naufal setiap hari. Sekiranya tidak keluar dengan Naufal, dia akan luangkan masa dengan Sham atau rakan-rakan yang lain.

Selain Naufal, Sham orang yang paling rapat dengannya. Mereka berdua mengambil program yang sama. Kebanyakan kursus mereka sama dan mereka menghadiri kelas yang sama. Secara automatik dia dan Sham menjadi rapat.

“Aku keluar dengan dia. Kawan dia ikut. Jomlah ikut sekali. Boleh double date!” Naufal tersenyum.

“Malaslah.”

“Kau tak nak berkenalan dengan kawan Hadana ke?”

“Tak naklah.”

“Kawan dia nak berkenalan dengan kau.”

“Aku tak minat.”

Ah, dia bukan tiada rasa pada kaum hawa, cuma agenda berpacaran tiada dalam rancangan hidupnya buat masa kini. Dia malas ambil pusing pasal hal perempuan. Sebab itu juga Naufal tiada rasa takut untuk memperkenalkan Hadana kepadanya kerana dia tahu dia selamat.

Naufal juga terlebih gembira apabila dia sudah dapat pengganti, terutamanya gadis yang cantik seperti Hadana. Tanpa berlengah, Naufal telah mengumumkan status barunya yang sekali gus membunuh semua gosip liar tentang mereka berdua. Telinganya masih belum pekak untuk tidak mendengar. Dia tahu ada yang berbisik tentang mereka. Hubungan mereka yang terlalu rapat rupa-rupanya telah disalah tafsir.

“Alah… Bukan buat apa pun. Kita pergi makan-makan, borak-borak. Dia suka kat kau.” Naufal mencuba menarik minat CK.

“Eh, budak perempuan zaman sekarang memang tak tahu malu, ya? Macam perigi cari timba!” kata CK dengan kening bertaut. Suaranya terkuat sedikit.

Naufal menyeringai.

“Pandai kau berperibahasa, ya?” Kadang-kadang CK kelakar juga. Dalam serius, dia boleh buat lelucon.

Kepala beralaskan bantal, CK pejamkan mata.

Bahu CK digoyang-goyang.

“CK! Bangun! Mana boleh tidur waktu maghrib macam ni. Tak elok. Boleh jadi insane tau tidur lepas asar, waktu mahgrib.”

“Aku bukan nak tidur. Aku nak pejam mata aje.” Dia betul-betul rasa penat. Semalam dia hanya tidur selama empat jam. Hari ini, kelasnya penuh. Dia penat dan mengantuk.

“Mula-mula pejam mata. Nanti tertidur pula.” Naufal mula membebel. Kadang-kadang Naufal terlalu prihatin. Dia bagaikan keluarganya yang tiada di sisi.

“Mana boleh tidur kalau kau dok bising!” CK membalikkan badan. Matanya masih terpejam.

Naufal tidak peduli, dia terus menggoyang-goyang bahu CK.

“Cepatlah, aku nak bagi tahu Hadana ni. Kalau kau tak ikut, kawan dia pun tak ikut.” Dia berharap kawan baiknya itu mahu turut serta.

Badannya dipusing menghadap Naufal.

“Kan aku dah cakap tadi? Aku tak pergi. Aku tak nak berkenalan dengan dia.”

“Dia sweet juga tau…”

CK menggeleng dengan mata terpejam.

“Betul ni? Rugi…”

“Apa yang ruginya?”

“Rugilah… kau dah lepaskan peluang untuk berkenalan dengan sister tu. Mana tahu, dia okey?”

“Isy… Aku tak minatlah nak couple macam kau orang ni.”

“Kalau kau tak nak ikut, lain kali aku tak nak kenalkan kau dengan sesiapa lagi.”

“Ikut suka kaulah Naufal. Aku tak minta pun kau jadi match maker aku.”

“Kesian kat Nisha. Dia suka kat kau…” Naufal cuba membujuk. Dia buat muka kesian.

“Aku tak minatlah benda macam ni…”

“Dia belum ada orang lagi. She’s still looking…”

“Kau kenalkanlah dia dengan orang lain. Takkan tak ada brother accounting atau brother econs yang minat kat dia?”

Naufal terpaksa mengalah. Alasan yang sama diberi CK – tidak minat! Naufal diam sebentar. Dagu digaru-garu. Tak guna pujuk CK lagi.

“Aku fikirkan… Lepas grad nanti, aku kerja setahun dua, aku nak terus kahwin.”

Dengan mata terpejam, CK ketawa kecil. Sinis!

“Apa hal kau gelak?”

“Baru bercinta seminggu dua dah bercita-cita nak kahwin. Entah-entah kau dengan Hadana tak sempat sampai final year.”

“Hei, jaga sikit mulut kau tu! Kau sepatutnya doakan jodoh aku dengan Hadana kuat. Itu baru dinamakan kawan!”

“Okey, aku doakan kau kahwin dengan Hadana. And live happily ever after. Puas hati?”

Naufal tersengih. Dia puas hati, walaupun dia tahu CK hanya memerlinya.

Tiba-tiba CK bangun. Naufal terkejut dengan CK yang tiba-tiba keluar dari biliknya.

“Kau nak ke mana ni?”

“Aku nak mandi. Kenapa? Kau nak ikut?” CK sengaja mengusik.

Naufal buat isyarat dengan tangan, menyuruh CK pergi.

CK gelak sakan. Puas hatinya dapat mengusik kawan-kawannya. Selalunya dia buat tidak peduli akan pandangan mereka setiap kali mereka kelihatan terlalu rapat. Sham yang sedang makan di ruang tengah sudah tersengih geli hati.

“Naufal, tak nak makan ke?” tanya Sham. Sham suka melepak di bilik itu. Bilik Sham di sebelah bilik mereka memudahkannya bertandang ke situ selalu. Bilik CK umpama bilik keduanya.

“Kau orang makan dulu. Aku tunggu CK.”

“Okey,” kata Sham lalu menyambung suapan.

Halim dan Ikwan hanya memandang. Bob asyik mengunyah. Mereka tahu betapa rapatnya Naufal dengan CK. Jika CK balik lewat dari kelas, Naufal akan menunggunya untuk makan. Cuma kadang-kadang mereka musykil apabila ternampak Naufal dan CK berbaring di atas katil bersama-sama, bergelak ketawa. Terutama apabila waktu malam, ia sungguh mengerikan.

Naufal kembali ke biliknya. Dia mengambil telefon bimbit dan menghantar satu pesanan kepada Hadana. Sungguh berguna telefon bimbit Nokia versi zaman tok kaduk itu. Biarpun ketinggalan zaman, ia memudahkannya berhubung dengan gadis idamannya.

Salam Hadana. – Naufal

Waaalaikumussalam. – Hadana

Awak tengah buat apa? – Naufal

Prepare untuk kuiz next week. – Hadana

Pelajar accounting sentiasa ada kuiz, iaitu ujian kecil yang dilakukan hampir setiap bulan untuk menguji kefahaman mereka dalam kursus yang diambil kerana kursus-kursus utama dalam accounting programme tidak memerlukan mereka membuat assignment.

Okey… Awak sibuklah, ya? By the way, CK tak ikut kita. – Naufal

Kenapa? – Hadana

Dia ada hal. – Naufal

Ya ke? Kesian Nisha… – Hadana

Nak buat macam mana. Dia ada hal penting. – Naufal

Naufal terpaksa memberi alasan supaya kawan Hadana tidak berkecil hati. CK memang tidak berhati perut. Apa salahnya jika dia turut mengikuti mereka, cuba ambil hati Nisha itu. Kata Hadana, Nisha suka sangat pada CK. Lain kali dia dah tak mahu cuba kenalkan CK dengan mana-mana budak perempuan pun kecuali jika dia yang meminta.

Okeylah kalau macam tu. So, kita berdua ajelah? – Hadana

Ya. – Naufal

Okey. Jumpa esok 🙂 – Hadana

Naufal menutup telefon bimbit dengan satu senyuman puas. Esok, dia akan keluar berdua-duaan dengan Hadana sekali lagi. Mereka akan ke KL, ambil angin dan makan-makan. Seharian di kampus pada hujung minggu begini amat membosankan. CK, entah apa agenda hujung minggu dia. Tidur seharian di bilik? Kayuh basikal mengelilingi Kampung Sungai Pusu? Atau pun keluar dengan kawan-kawan lelaki yang lain?

Paling tidak pun, CK akan menikmati pandangan luas terbentang dari tingkap biliknya apabila dia kebosanan. Bilik mereka di tingkat empat yang bersetentang dengan Banjaran Titiwangsa yang senantiasa menghijau itu benar-benar menyegarkan. Pada malam hari pula, mereka akan disajikan dengan City of Entertainment dari Genting Highlands. Dari tingkap bilik, bangunan tinggi mencakar langit yang bergemerlapan dengan cahaya yang dikelilingi kabus tidak ubah seperti sebuah kota terapung. Satu pemandangan yang sungguh mempesonakan. Yang pasti CK tidak akan keluar berpacaran.

Orang lain yang bercinta, dia pula yang terima tempias! Hari itu dia diminta berjumpa dengan Naufal di perpustakaan. Sudah sepuluh minit dia menunggu, batang hidung Naufal masih belum kelihatan. 10 minit dia berdiri di hadapan perpustakaan, memandang pelajar-pelajar yang lalu-lalang. Dan tentunya mereka juga turut memandangnya yang terpacak di situ seperti batang kayu.

“CK!” Suara Naufal kedengaran di belakangnya.

CK berpaling. Di samping Naufal, Hadana setia berdiri. Mereka kelihatan cocok bersama-sama. Sama cantik, sama pandai.

“Apa hal lambat?” CK bertanya dalam nada tidak sabar.

Sorry, ada discussion tadi.” Naufal beralasan. Hadana seperti biasa, hanya memerhati dan tersenyum. Kadang-kadang CK tertanya-tanya, gadis itu tidak pandai bermasam muka, kah? Rasanya tidak pernah dia lihat Hadana tidak senyum. Senyuman yang manis bergula.

“Kenapa suruh aku ke sini?”

“Kau dah habis kelas, kan?” tanya Naufal. Mereka sudah hafal jadual masing-masing supaya senang untuk mereka rancang program bersama.

Hari ini kelasnya habis awal. Pukul 12 tengah hari tadi adalah kelas terakhirnya. Petang ini, dia bebas mengatur jadual hariannya. CK seronok tidak terkata.

Hmmm… Kenapa?”

“Jom kita makan sama-sama. Riverside Cafe.”

“Okeylah. Aku pun lapar ni. Tak sempat nak makan tadi.” Kelasnya bermula terlalu awal hari itu, seawal pukul 8 pagi. Itu salahnya juga kerana mengatur jadualnya begitu. Namun dia lebih selesa dengan jadual yang teratur berbanding kelas yang tidak tentu hala yang membuatnya terpaksa menunggu di kampus sehari suntuk. Sekurang-kurangnya, selepas ini dia sudah tidak ada kelas. Dia bebas untuk berbuat apa-apa yang dikehendakinya.

Mereka bertiga menapak ke Riverside Cafe di KENMS, tempat makan kegemaran Naufal dan Hadana. Kafe tersebut menjual pelbagai jenis menu tempatan dan antarabangsa. Daripada masakan Melayu kepada masakan barat seperti sandwic dan chicken chop, terdapat juga masakan dari negara timur tengah.

Usai membeli makanan, mereka ke bahagian atas kafe kerana bahagian bawah tiada tempat kosong. Dari situ mereka dapat melihat sebatang sungai kecil yang mengalir merentasi kampus UIA Gombak. CK memerhati sungai yang mengalir lesu itu. Warna air sungai tersebut hampir menyamai warna teh tarik yang dibelinya tadi.

CK duduk di sebelah kanan Naufal, jadi dia duduk bersetentang dengan Hadana. Dia sedang makan sesuatu di dalam mangkuk. Nampak menyelerakan sekali gadis itu makan. CK mengintai dari tempat duduknya. Apa-apa sahaja yang berada di dalam mangkuk itu buat tekaknya kembang tetapi Hadana makan dengan penuh selera.

“Kau makan apa tu?” tanya CK dengan kening bertaut.

Hmmm?” tanya Hadana seraya memandang CK. Soalan itu ditujukan kepadanya apabila dilihat CK sedang menanti jawapan.

“Ini? Ini bubur. Chicken porridge!”

Tatkala mendengar, CK buat muka semacam.

“Kenapa kau buat muka macam tu?” tanya Hadana, kurang senang.

Hmmm… Kau makan benda macam tu?”

Bubur nasi yang sedap itu dikatakan benda oleh CK? Dia ni memang tak tahu pilih perkataan betul! Dalam diam Hadana merungut. Rasa kelat dengan komen CK yang kurang sedap itu disembunyikan.

“Sedap. Kau cubalah. Sekali cuba, nak lagi.” Dalam lembut, Hadana cuba menyangkal.

CK mencebik.

“Aku tak makan nasi lembik macam tu.”

“Ini bukan nasi lembik, ini porridge. Sedaplah. This is the best porridge in town,” kata Hadana penuh keyakinan.

“Kalau dah nama porridge tu, mana sedap…”

“Kau cubalah CK. Porridge abang ni lain tau… Dia letak ayam goreng deep fried. Kalau nak minta ayam ekstra pun boleh.” Hadana makan dengan penuh selera. CK hanya memandang semacam.

Jika dia memberi kritikan terlalu banyak, dia takut Hadana marah pula. Hadana memang tidak akan menunjukkan wajah marah atau masam tetapi CK tahu gadis itu akan membalas segala komennya, menandakan dia tidak setuju.

Dia malas berhujah dengan Hadana ketika perutnya sedang lapar. Apabila dalam kelaparan, hipotalamus manusia akan terjejas fungsinya yang akan buat dia tidak rasional. CK tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus makan.

Naufal dan Hadana makan sambil berbual-bual dan bergurau senda seperti dia tidak wujud di situ. Sudahlah dia langsung tidak memahami apa yang mereka bualkan. Pada mulanya CK tidak mempedulikan mereka, lama-kelamaan dia kebosanan. Kalau begini, lebih baik dia makan seorang diri tadi. Tidak perlu dia berjalan ke sini. Dia boleh sahaja terus balik ke bilik, makan dan berehat daripada menonton kemesraan Naufal dan Hadana dan mendengar cerita mereka yang tiada hujung pangkal. Perbualan Naufal dan Hadana yang sekali sekala diselangi dengan jargon yang pelik-pelik yang buat CK ternganga.

Bosan, CK perhatikan Hadana. Kali ini Hadana memakai selendang yang dililit di kepala dengan ropol-ropol di dada dan di tepi kepala. Matanya meliar ke sekitar. Bukan Hadana seorang yang berfesyen begitu. Terdapat beberapa orang sisters lagi yang mengenakan fesyen tudung yang begitu.

“Kenapa kau orang pakai tudung macam tu?” CK bertanya. Mulut dimuncung ke arah kepala Hadana.

Kening Hadana terjongket. Sepantas kilat tangannya menyentuh bahagian selendang yang beropol.

“Ini fesyen. Kenapa?”

“Peliklah! Tak boleh ke pakai tudung macam biasa?”

Hadana menjeling ke arah CK. Lelaki ini memang suka mengkritik!

“Apa yang tak kenanya pakai tudung macam ni?” Hadana bertanya dalam nada tidak senang dengan komen CK.

“Sakit mata aku kalau tengok perempuan pakai tudung fesyen pelik-pelik ni…” Jujur dan ikhlas daripada hati, tutur kata CK.

“Yang ni pelik ke? Taklah… Biasa aje.” Hadana cuba mempertahankan fesyen tudung yang digayakannya itu.

“Yang ni okeylah. Taklah teruk sangat. Kau jangan pakai fesyen tudung yang berserabut tu Hadana, pening kepala kita orang tengok!”

“Kepala kau aje yang pening, CK. Orang lain okey aje. Kan, Naufal?” Hadana memohon sokongan daripada Naufal.

Naufal hanya tersengih. Dia tersenyum.

“Mak kau pakai tudung ke, CK?” tanya Hadana, jujur. Dia benar-benar ingin tahu.

CK hanya mengeleng.

“Mak kau mesti cantik, kan?” Hadana berkata, matanya mencumbui raut wajah CK yang kacak.

Pada pandangannya, lelaki itu tidak sedar akan kelebihannya. Dia tidak menyedari anugerah Tuhan ke atasnya. CK memang selamba. Selamba badak kata Nisha. Walaupun selamba badak, Nisha tetap suka akan CK.

Sejak mereka bertemu tempoh hari, Nisha masih lagi berharap dapat berjumpa dengan kawan baik Naufal itu. Lelaki selamba badak ini sahaja yang tidak menunjukkan minat. Hmmm… badak mana ada perasaan ‘feeling-feeling’. Hadana mengutuk CK dalam diam. Dia gelak seorang diri.

Sekali lagi CK menggeleng. Kepalanya ditundukkan. Dia terus makan, seperti tidak berminat untuk berbual. Naufal diam. Dahinya sedikit berkerut. Mahu ditanya mengapa Naufal bereaksi begitu tetapi tidak kesampaian.

“Mak kau…”

“Boleh tak jangan tanya pasal mak aku?” Perlahan sahaja tutur kata CK, dengan kepala yang masih tertunduk. Walaupun wajahnya ditundukkan, Hadana dapat melihat dengan jelas riak wajah CK kerana dia tinggi. Walau dalam duduknya, Hadana masih dapat lihat wajahnya. CK tidak senang bercakap tentang hal itu.

Naufal buat isyarat menyuruhnya diam.

Menyedari dia sudah tersilap cakap, Hadana memohon maaf.

Sorry…” Dia benar-benar rasa bersalah.

Selepas itu, mereka makan dalam diam. Naufal dan Hadana yang tadi rancak berbual juga turut mengunci mulut.

Selepas CK mengundurkan diri, Hadana terus bertanya kepada Naufal.

“Kenapa dengan dia? Dia macam marah aje.”

“Lain kali awak jangan tanya dia pasal mak dia tau. Kalau boleh, jangan sebut langsung pasal mak di depan dia. Dia sensitif.”

“Kenapa?”

Parents dia dah divorced. Mak dia tinggalkan dia waktu dia kecil lagi.”

“Oh, ya ke? Sorry… Saya tak tahu tadi. Macam mana ni?” Kerut-kerut risau kelihatan di wajah Hadana. Dia sudah tersilap cakap berkenaan perkara yang tidak sepatutnya. Dia tidak sangka lelaki yang nampak jantan dan selamba itu boleh jadi sensitif sedemikian rupa.

“Tak apa, nanti dia okey sendiri.”

“Awak memang rapat dengan dia, ya?”

“Dah dia bestfriend saya, mestilah rapat. Kenapa?”

Topik perbualan bertukar arah kepada lelaki selamba yang misteri itu.

“Taklah. Sebab, you all nampak rapat sangat. Kalau tak rapat, awak tak akan bawa dia jumpa saya, kan?”

“Haah. Kita orang dah lama berkawan. Kita orang memang kamceng. He’s my bestfriend.”

“Satu boarding school?” tanya Hadana. Dia tahu di mana Naufal belajar sebelum melanjutkan pelajarannya ke situ.

“Haah.”

“Oh… Patutlah.”

“Hampir 10 tahunlah kita orang berkawan. Next year is our 10th year anniversary!” Naufal berseloroh. Dia ketawa.

Hadana turut ketawa.

“Jubli apa? Jubli perak?”

“Jubli perak tu perayaan tahun ke-25. Hmmm… Jubli timah kut. Hahahah.” Naufal ketawa besar.

“Awak dengan dia memang janji nak datang sini sama-sama ke?”

Naufal diam sebentar.

“Taklah.”

Coincidence?”

“Ya kut. Kebetulan. Jodoh kami ada lagi.” Naufal ketawa lagi.

“Kenapa?” Jujur, Hadana ingin tahu cerita Naufal dan CK, terutamanya CK. Dia tidak mahu tersilap kata lagi.

Naufal kelihatan seperti begitu menyayangi kawan baiknya. Kadang-kadang, dia kelihatan lebih daripada seorang kawan kepada CK. Dari amatannya, CK akan mengikut sahaja permintaan Naufal. Kecuali kes Nisha tempoh hari. Jika tidak, masakan CK diajak bersama makan dengannya walhal kelas CK nun jauh di Kulliyah of Engineering. CK pula, rajin dia menapak ke situ demi teman baiknya.

Well, actuallyHe was supposed to further his studies overseas. Sepatutnya dia ke UK. Tapi entah macam mana, tiba-tiba dia datang sini.”

“Dia ikut awak kut?” tanya Hadana dalam nada bergurau.

“Eh… Taklah. I don’t think so. He’s a smart guy. Dari dulu lagi dia bercita-cita untuk belajar kat overseas tapi entah kenapa, dia balik sini.”

“Awak pernah tanya dia?”

“Ada. Tapi dia tak pernah cakap kenapa.”

Hadana memandang Naufal, meminta cerita lanjut.

“Saya… Kalau dia tak nak cakap, saya tak paksa. Dia tu nampak aje macam tu, tapi dia sensitif. He’s sensitive about certain things. Terutamanya pasal mak dia.”

“Ya ke? Tak apalah. Lain kali, saya hati-hati dengan dia.”

“Ingat, jangan tanya pasal mak ayah dia tau!”

“Pasal ayah dia pun tak boleh tanya? Pasal keluarga dia?”

“Kalau nak senang, awak tak payah tanyalah.”

Hadana termenung sekejap, berfikir mengenai apa yang telah diceritakan oleh Naufal. Susah juga kalau begini. Ah! Dia bukan akan selalu berjumpa dengan CK. Mereka tidak perlu bercakap berkenaan apa-apa pun.

Sebulan lagi Naufal dan CK akan menamatkan pengajian mereka. Banyak perkara yang mereka bertiga lakukan bersama, banyak kenangan manis mereka di The Garden of Knowledge and Virtue. Hari itu, mereka berkumpul buat kali terakhir sebelum graduasi.

“Kita orang nak bertunang nanti, CK. Kau bila lagi? Girlfriend pun tak ada?” Hadana memberanikan diri bertanya. Setelah beberapa kali keluar bersama-sama dan selalu luangkan masa bersama-sama, hubungan mereka menjadi rapat. Mereka sudah dapat memahami perangai masing-masing. Kini, ketiga-tiga mereka merupakan kawan baik. CK bukan sahaja kawan baik Naufal, dia juga kawan baik Hadana.

Kadang-kadang kawan-kawannya pun pelik apabila mereka keluar bertiga. Titik tolak keakraban hubungan mereka ialah apabila mereka menyertai misi memanjat bukit bersama-sama. ARC menemukan Hadana dengan CK kembali setelah insiden di Riverside Cafe. Sejak itu, dia dan CK menjadi rapat. Hadana tidak lagi takut untuk bergurau senda dengannya. Cuma satu perkara sahaja yang dia sentiasa beringat iaitu supaya tidak bertanya perihal emak CK kepadanya.

“Aku? Aku macam inilah. Aku nak kerja. Cari duit banyak-banyak.”

“Lepas tu?”

“Lepas tu? Enjoylah! I want to travel around the world. I want to set up my own firm…” Tinggi cita-cita CK. Walau nampak seperti orang yang tiada masa depan, CK sebenarnya lebih serius daripada luarannya. Dan dia bercita-cita besar.

Get the IR…” CK menyambung.

“Kalau kau pergi UK itu hari, kau dah dapat travel merata tempat tau! Setakat nak ke Europe tu, setiap kali cuti kau boleh pergi. Lepas grad, kau boleh cuba minta kerja kat sana. Senang-lenang hidup kau.”

Sekarang CK lebih terbuka apabila bercerita mengenai perkara itu. CK sudah matang sedikit. Dia sudah tidak terlalu sensitif, atau melenting tidak tentu pasal.

“Benda lepas tu biarlah lepas… Aku masih ada peluang untuk buat semua tu.”

“Kau nak apply kerja kat mana?” Naufal bertanya.

Well, actuallyI already got a job offer.” CK tersengih.

Ceh! Kurang asam punya kawan. Senyap-senyap aje dia. Kau dapat kerja kat mana?”

“Rahsia!”

Naufal menepuk bahu CK kuat-kuat.

“Cakaplah!”

“Aku bagitahu nanti. But, I am telling you, it’s a good offer. Irresistible!” CK tersenyum seraya menjongketkan keningnya. Dia cuba berlagak dengan Naufal yang masih mencari peluang pekerjaan. Sekali-sekala dia teringin untuk berlagak di hadapan Naufal. Sengaja mahu mengusik kawan baiknya yang sentiasa cemerlang.

“Aku harap aku akan dapat offer dari PWC,” tutur Naufal perlahan, penuh harapan.

“Insya-Allah awak akan dapat. Saya doakan untuk awak,” celah Hadana. Dia tersenyum manis.

CK tersenyum melihat pasangan bahagia di hadapannya. Naufal begitu beruntung, mempunyai seorang kekasih yang begitu memahami dan menyokongnya dalam setiap perkara.

Don’t worry. Insya-Allah… Kau akan dapat punya.” CK turut memberi semangat.

Hadana memandang CK dan Naufal silih berganti. Dua orang kawan baik itu begitu menyokong antara satu sama lain. Walau selalu sahaja menyakat dan berseloroh, mereka sebenarnya menjadi tunjang kekuatan masing-masing.

Hadana bersyukur Naufal dikurniakan seorang kawan seperti CK. Ternyata dia tersalah anggap terhadap lelaki itu sewaktu mereka berjumpa buat kali pertama dahulu.

Wajah tampan menggoda CK ditenung.

You are really good looking.” Tiba-tiba sahaja mulut Hadana menuturkan apa yang sedang difikirkannya.

“Aku tahu,” kata CK selamba. Wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang riak. Jawapan perasan bagus CK buat Hadana ingin tertawa.

“Perasanlah pula!”

CK ketawa dengan reaksi Hadana.

“Kau kan, yang cakap aku good looking?”

Menyesal Hadana dengan mulutnya yang tidak dapat berfikir. Otaknya pula tidak mendengar kata. Tentu sekali lelaki itu akan melayang-layang dibuai perasaan bagus apabila dipuji begitu olehnya. Dia benar-benar menyesal.

“Boleh aku tanya sikit?”

“Tanyalah.” Pantas CK memberi jawapan.

Hmmm… Tak apalah…”

“Tanya ajelah. Kau nak tanya apa?”

HmmmNever mind. Next time.”

“Kau ni, Hadana… Suka cakap sekerat-sekerat macam ni. Kalau nak tanya tu, tanya ajelah. Potong stim betul.”

“Nanti kau marah kat aku pula, CK…”

“Kau cakap sekerat-sekerat macam ni lagi aku tak suka.”

Hmmm CK, betul ke kau tak nak cari girlfriend?”

“Kan aku dah cakap tadi? Girlfriend-girlfriend ni, tak mainlah.” tutur CK tanpa reaksi.

“Kawan aku masih lagi tunggu kau tau! Kau tak nak berkenalan dengan dia ke? Dia sweet… Kau mesti suka dia.” Hadana cuba mengusik CK.

CK kerut dahi.

“Kawan kau yang mana ni, Hadana?”

“Alah, yang kau jumpa pertama kali kita jumpa di Riverside Cafe tu. Nisha. Ingat tak?”

Dahi CK semakin berkerut. Dia mengerah otak untuk mengingat.

Hmmm… Kau ni kalau pasal perempuan, helpless betul. Yang ajak kau date tu!” Naufal menempelak.

“Siapa, ya?” CK masih cuba mengingati gerangan gadis yang berani mengajaknya dating itu.

“Eh, berapa ramai yang ajak kau date?”

CK tergelak.

“Apa? Kau ingat aku tak ada peminat ke?” CK mencebik.

Hurm… Kejap… Aku rasa aku ingat.” CK berkata tiba-tiba.

“Hah, kau dah ingat? Dia okey… Kau tak nak jumpa dia? Sekali aje, sebelum kau grad.” Hadana teruja apabila mengetahui CK masih mengingati Nisha. Dia cuba memujuk.

“Tak minatlah aku dengan perempuan ni.”

“Habis tu? Kau nak lelaki?” Terpacul soalan itu dari mulut Hadana.

Sejak beberapa bulan lepas dia ada dengar cakap-cakap kawan-kawannya tentang Naufal dan CK. Teringat lagi pertanyaan kawan-kawannya beberapa minggu lepas.

“CK, brother engine yang handsome yang kau cerita hari tu? Yang kau kata kau musykil tu? Dia tu straight ke?” tanya Sue, kawan baik Nisha.

“Dia memang straightlah.” Itu jawapan Hadana, cuba mematikan gosip liar mengenai CK.

Sekarang dia pula yang musykil.

“Apalah kau ni, Hadana. Aku tak berminat dengan kawan kau, tak bermakna aku tak straight. Kenapa dengan kau orang ni semua? Shallow betul!” CK membuang pandang ke arah lain. Dia memandang ke arah air sungai yang berkelodak. Biarpun berkelodak, ia lebih mendamaikan berbanding memandang sesetengah ragam manusia di kafe tersebut.

“Habis tu? Cerita sikit? Kenapa kau tak nak ada girlfriend? Make us understand,” pinta Hadana. Dia memang tidak mengerti. Bukankah itu perkara normal bagi seorang lelaki dan perempuan normal? Untuk menyayangi dan rasa disayangi?

“Aku tak nak kahwin!”

“Huh? Why?” Dia sukar memahami. Jika CK beria-ia mempertahankan kesucian dirinya, mengapa dia menolak perkahwinan?

“Aku tak pernah rancang nak kahwin. Aku tak perlukan perempuan sebagai isteri,” ucap CK terus terang.

Terkejut Hadana dengan ungkapan dari mulut CK yang menggoda. Ayat tersebut bukan sahaja tidak seksi, ia berbunyi kejam.

“Habis tu?” tanya Hadana perlahan. Dia lihat Naufal hanya berdiam diri. Mungkinkah Naufal sudah tahu mengenai hal ini? Tidak mustahil kerana mereka telah lama berkawan baik.

How many collapsed marriage institutions have you seen? Especially off late?” tanya CK serius. Wajahnya pun serius, bukan could-not-care-less seperti tadi.

Hadana merenung wajah CK. Seorang lelaki kacak yang gagah dan seksi – semua sisters di kampus ini akan bersetuju dengannya – yang mengaku normal tetapi tidak berniat mahu berkahwin kerana bencikan perempuan dan tidak percayakan institusi perkahwinan? Betulkah apa yang didengarnya? Hadana meneguk teh ais yang masih berbaki.

Dahinya berkerut sedikit, mengatur ayat yang sesuai untuk ditanyakan kepada CK. Dia belum puas menyoalsiasat lelaki itu.

“Jadi, kau kata… Kau tak pernah ada niat untuk berkahwin kerana kau tak perlukan isteri sebab kau tak percayakan istitusi perkahwinan? Habis tu? Kau jangan kata kau nak hidup dengan perempuan tanpa ikatan perkahwinan, CK.”

Don’t get me wrong. Firstly, I don’t believe in the istitution of marriage. Apa ada pada satu perkahwinan? Secondly, aku tak perlukan perempuan sebagai isteri. Perempuan ni, menyusahkan aje.”

Serta-merta wajah Hadana berubah. Perempuan menyusahkan? Itukah sebabnya CK tidak pernah berniat untuk bercinta dan berkahwin? Hadana membuka mulut untuk memprotes tetapi disekat oleh Naufal.

Wait… Wait.. Jangan bergaduh pasal ni. Please! Ini pendirian masing-masing,” ucap Naufal, terpaksa menjadi moderator antara CK dan Hadana.

“Kau tahu tak CK, sesiapa yang menolak untuk berkahwin, dalam erti kata lain dia telah menolak sunnah Nabi. Siapa yang menolak sunnah Nabi, maka dia bukan umatnya.” Hadana mengingatkan. Wajah Hadana yang manis itu sudah berubah serius. CK, tetap dengan wajah bersahajanya.

Naufal garu kepala. Sekarang teman wanitanya dan kawan baiknya sedang bertengkar tentang perkahwinan. Akhirnya, Naufal mengangkat kedua-dua tangannya.

Stop. Please.” Dia tahu Hadana tidak akan dapat mengubah pendirian CK tentang itu. Apa-apa pun, semua yang diberitahu Hadana sekejap tadi benar belaka.

Dia teringat akan firman Allah Ta’ala dalam Surah An-Nur, ayat 32 yang berbunyi…

Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan.

Dalil pensyariatan daripada Sunnah pula, Rasulullah SAW telah bersabda…

Wahai para pemuda, sesiapa antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya.

(H.R.Bukhari & Muslim)

Para ulama juga telah membuat penentuan hukum dengan berdasarkan kepada kedudukan dan kemampuan seseorang untuk mendirikan rumah tangga. Jika diikutkan syarat-syarat tersebut, CK tentunya akan lebih daripada mampu. Tetapi, apa hal pula dengan dia?