#Ghost

RM28.00

Penulis: Zura Rahman

Caption: saat kau muncul, aku tahu semua peraturan itu hanyalah sia-sia.

ISBN: 978-967-406-260-6

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 28.00 RM 31.00

Dia bagaikan seorang halimunan. Kewujudannya diakui, tetapi tidak kelihatan di mana-mana. Gerakannya tangkas dan cukup senyap. Kejam dengan senjatanya; dia membunuh tanpa belas kasihan. Dia bergerak di atas satu nama. Codenamenya – GHOST.

Apabila Geng Gagak Hitam mengesyaki ada anggotanya belot, mereka melancarkan buruan. Pencarian mereka membawa Geng Gagak Hitam kepada lelaki yang bergelar GHOST. Terselamat dari cubaan dibunuh, dia tercedera. Takdir menemukan dia dengan seorang doktor yang prihatin, yang berada di tempat yang betul, pada waktu yang tepat.

Budi yang ditabur, telah mengheret Dr Daryn Areena ke kancah dunia gelap mereka. Dia turut diburu oleh Geng Gagak Hitam, namun diselamatkan oleh lelaki yang digelar GHOST. Keadaan tergugat apabila dia mengetahui sesuatu tentang lelaki itu. Siapa yang cukup jahat untuk diburu begitu?

Apabila melarikan diri satu-satunya pilihan yang dia ada, Dr. Daryn Areena tersepit. Antara hidup dan mati, dia memilih untuk hidup. Antara percaya dan tidak, dia keliru.

If there is no one else that you can trust, trust yourself. But, if you can’t even trust yourself, you have to trust me – Ghost

Akhirnya kedua-dua mereka berada di dalam pelarian untuk menyelamatkan diri dari pihak-pihak yang rakus memburu mereka. Tetapi mampukah Dr Daryn Areena meletakkan sepenuh kepercayaannya kepada lelaki itu?

Ada perkara yang gelap tentang dia. Biar wajahnya tanpa riak, matanya itu… penuh kedukaan.  Dia… diselubungi tanda tanya. Misteri tentangnya tiada bernoktah. – Dr Daryn Areena

Siapa dia yang sebenarnya?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Hospital Kuala Lumpur, Malaysia.

Surgical glove yang tersarung di tangan ditanggalkan. Tempat itu ditinggalkan dalam tergesa-gesa.

Bang!

Pintu kaca terbuka secara tiba-tiba. Seorang gadis berjubah putih paras lutut berlari keluar dengan terburu-buru. Satu tangan menekup mulut. Dia berlari-lari anak sehingga ke hujung koridor, di mana tiada manusia lain yang wujud di situ.

Sekonyong-konyong dia berhenti. Terus melutut seperti orang yang sedang rukuk sebelum badannya melorot di pinggir koridor. Sebelum badan yang langsing itu terjelepok jatuh, cepat-cepat tangannya berpaut pada dinding balkoni.

Badannya jatuh seakan terduduk, hampir mencecah ke lantai. Bahunya terenjut-enjut. Si gadis doktor sedang menangis. Sebelah tangan berpegang pada balkoni manakala sebelah tangan lagi sedang menekup mulut. Di satu tempat rahsia, rasa yang terpekung di dada dihamburkan seorang diri.

Tidak lama, dengan mendadak dia terbangun. Dan berlari masuk ke bangunan bercat putih melalui pintu berdinding kaca tadi.

Are you okay?” tanya Doktor Mukhlis. Kaca mata berbingkai hitam yang melorot di atas hidung ditolak ke atas lalu dibetulkan sedikit. Matanya dikerdip.

Yes, I’m okay doc.” Dia berkata dalam nada yang paling meyakinkan. Dagunya diangkat tinggi. Wajahnya dikawal rapi. Tangannya mula sibuk bekerja dengan semua peralatan di hadapan.

Keadaan di Operation Theatre itu senyap seketika. Hanya dia dan Doktor Mukhlis yang berada di situ pada waktu itu. Misi dan pembantu doktor yang lain sudah meninggalkan tempat tersebut.

Bilik bedah sunyi dan sepi serta sejuk yang mencengkam. Semakin dingin dengan apa yang telah berlaku sebentar tadi.

Tiba-tiba satu suara yang dalam kedengaran. Ia datang daripada Doktor Mukhlis, yang mengetuai prosedur tadi.

“Sebelum ni, I tengok you boleh hadapi perkara macam ni dengan baik. Kenapa tadi?” Mata diangkat memandang Daryn Areena, doktor muda yang baru beberapa tahun berkhidmat di hospital tersebut. Gadis cekal yang memilih kerjaya kedoktoran sebagai punca rezeki.

Can I ask you a question?” Daryn bertanya.

Anything.”

How do you keep your insanity? Having to go through all these?”

Doktor Mukhlis tersenyum sedikit.

Sooner or later, you will know.”

I’m not experienced enough…” Ayat penyata itu umpama meletakkan kesalahan di bahu sendiri. Dia kesal kerana dia terlalu mengikut perasaan. Kenapa tadi? Kenapa sekarang? Dia tidak mengerti.

Don’t blame yourself. We are not God.”

“I tahu… Tapi…”

Go get yourself a good rest, doc. Kerjaya doktor ni bukan untuk semua orang. Selain daripada degree dari medical school, you perlukan perkara lain. I nampak semua tu dalam diri you. You can be a really good doctor. I know you can.” Satu senyuman mengakhiri kata-kata doktor yang berumur hampir sebaya dengan ayahnya itu.

How?”

The first time I met you, I knew it. You are a brilliant doctor.

Daryn Areena senyum tawar.

Cawan kertas yang berisi Nescafe panas ditenung. Digoyang-goyang perlahan dalam gerakan tidak bermaya. Air Nescafe pekat sudah separuh habis diteguk. Dan dengan senafas, Daryn menghabiskan sisa Nescafe di dalam cawan.

Dia masih diam di bilik rehat. Bilik yang disediakan khusus untuk para doktor yang melakukan rutin ‘on call’. Tempat mereka berehat dan tidur seketika sebelum bergegas melayani pesakit.

Daryn pejam mata. Terbayang apa yang berlaku pada saat yang genting itu. Kejadian itu diputar lagi ke fikiran.

Death on table!

Tiada seorang doktor pun yang mahu kematian pesakit sebegitu. Itu perkara terakhir yang mereka perlukan selepas berhempas-pulas cuba menyelamatkan nyawa pesakit. Jika nyawa pesakit diambil juga, ia bukan di situ. Namun siapalah kita untuk menentukannya. Itu satu insiden yang ingin dielakkan namun tiada siapa yang dapat menghalang.

Setelah beberapa minggu dia memantau keadaan pesakit dan pembedahan tadi telah dilakukan oleh doktor terbaik hospital tersebut, pesakit menghembuskan nafas di atas meja bedah.

“Sue… I lost him,” beritahunya di corong telefon. Suara serak akibat menangis.

“Siapa?” Nada suara gadis yang dipanggil Sue kedengaran sedikit cemas.

The patient.”

Sue di hujung talian terjeda sekejap. Dia terpinga-pinga dengan berita yang dibawa.

Sorry… Patient mana ni?” Sue bertanya. Dia masih belum mendapat maklumat terperinci. Bukan satu dua orang pesakit Daryn. Bukan satu dua orang pesakit yang dirawat mereka setiap hari.

“Abang tu…”

“Yang tu? Yang anak empat, isteri tengah pregnant?

Yup.”

“Oh…”

Diam sebentar.

“Bila?”

“Baru tadi. Death on table.”

“Apa yang jadi?” Sue kedengaran terkejut.

“Ada complication…”

“Kau okey ke ni?”

Daryn angguk. Namun setelah menyedari yang kawannya itu tidak dapat melihat anggukannya, dia berkata,

“Aku okey…”

I feel guilty…”

“Dah ajal dia, Reena.”

Titisan air hidung yang keluar dihembus ke helaian tisu. Hidung terasa ketat. Seketat ‘trakeanya’ kini.

We have tried…” Suara Daryn serak. Seperti tadi.

I believe you have tried your best.” Sue cuba memujuk. Dia memahami situasi yang sedang dialami Daryn.

“Aku tahu…” Tapi entah kenapa kali itu, dia tidak dapat menahan rasa sedih apabila tidak dapat menyelamatkan nyawa pesakit. Walhal dia telahpun bersedia untuk menghadapi perkara sebegitu.

Ketika pembedahan berlaku, berlaku komplikasi yang tidak dijangkakan. Mereka telah sedaya upaya mengawal supaya komplikasi terkawal, namun apabila ajal memanggil tiada siapa yang berupaya. Tiada sesiapa yang melakukan kesilapan. Semuanya mengikut prosedur.

Nafas berat dipaksa keluar dari rongga hidung. Susah. Payah. Entah mengapa, kali ini ia berlainan sekali. Dia tahu. Dia sudah bersedia. Namun dia tewas hari itu. Tewas dengan perasaan sendiri.

1752 hours.

Waktu kematian itu dicatat. Sebab kematian juga dicatat. Waktu itulah dia berlari keluar. Entah ke mana, tetapi di satu kawasan yang tiada manusia untuk melihat seorang doktor meratapi kematian pesakitnya.

“Kita bukan Tuhan, Reena. Kerja kita untuk selamatkan pesakit. Selebihnya adalah urusan Allah.”

“Aku tahu…”

“Habis tu… Kenapa?”

Jeda.

“Sebab dia?”

Senyap.

“Biarkan dia pergi, Reena.”

Nafas dihela perlahan. Mata dipejam rapat. Ya, kita bukan Tuhan. Kita datang daripada-Nya. Dan suatu hari nanti kita akan pulang menghadap Dia juga. Tuhan sekalian alam. Pencipta segala isi bumi dan langit.

KL Hilton, KL Sentral, Kuala Lumpur…

 

Loceng di pintu bilik bernombor 207 itu ditekan sekali. Kemudian sekali lagi ditekan apabila pintu masih belum terbuka. Selang beberapa saat pintu ternganga dengan satu wajah terjengul di muka pintu. Seorang lelaki muda tersenyum lebar menyambut dua orang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Umurnya mungkin dalam lingkungan 35 tahun.

“Abang Sham.” Lelaki sederhana tinggi yang berkulit agak cerah itu menyatakan namanya. Lelaki yang menyambut kedatangannya itu mengangguk.

“Masuk, masuk… Dato sedang menunggu.” Dia tersenyum seraya membenarkan mereka berdua ke dalam.

Dua lelaki yang berada di luar tadi masuk ke dalam bilik hotel yang serba mewah. Mereka disambut oleh seorang lelaki yang lebih tua dengan satu senyum lebar.

Lelaki yang diperkenalkan sebagai Dato tadi bangun lalu tangan direntang ke arah Abang Sham. Tangan lelaki muda itu dijabat kemas lalu digoyang-goyangkan dengan kuat sekali. Begitu erat salaman lelaki-lelaki tersebut. Kedua-duanya tersenyum gembira. Pertama kali mereka bertentang mata, setelah beberapa lama berurusan di atas talian.

Kemudian dia berbuat perkara yang sama kepada lelaki tinggi yang memakai jaket kulit hitam dan bertopi baseball yang juga berwarna hitam. Dia tentunya rakan sekutu Abang Sham. Dia kelihatan lebih muda. Dan sedikit ‘reserved’.

“Maaf Dato, kami terlewat sedikit,” tutur Abang Sham dalam bahasa Melayu yang bersulam dialek Siam-Kelantan.

“Oh… Tak apa. Saya yang terlebih awal,” jawab Dato sambil tertawa senang. Dia memang sengaja datang lebih awal kerana dia sedikit berdebar. Ini kali pertama dia melakukan urusan sulit seperti ini.

“Ini, Rid.” Abang Sham memperkenalkan lelaki tinggi di sebelahnya. Rid hanya mengukir satu senyuman tipis.

“Dia kawan saya,” kata Abang Sham lagi. Menjelaskan mengapa Rid dibawa bersama.

Lelaki yang dipanggil Rid itu akhirnya membuka mulut.

“Apa khabar, Dato?” Dia carik sedikit senyuman.

“Baik. Baik. Sila duduk,” pelawanya kepada tetamu-tetamunya. Lelaki yang dipanggil Dato tadi masih tersengih. Dia melabuhkan punggung di atas sofa. Kaki disilangkan. Tangan terdepang ke tempat duduk yang empuk dan mewah.

Kedua-dua lelaki di hadapannya dipandang silih berganti. Abang Sham sedang tersenyum lebar manakala yang dipanggil Rid itu sedang tenang memerhati dekorasi mewah bilik hotel. Sekali lagi Dato tersenyum. Bangga dengan tempat yang dijadikan ‘pertemuan’ mereka.

Perjumpaan sulit itu akhirnya tercapai juga setelah mereka merisik mengenai ejen menjual senjata api di pekan Sungai Golok sebelum mereka berjumpa dengan Abang Sham. Menurut risikan pembantunya, Abang Sham telah melakukan ‘kerja’ tersebut lebih sepuluh tahun dan selama itu, tidak pernah berlaku sebarang masalah.

Keadaan senyap buat seketika. Kemudian Dato tepuk tangan, lalu berkata dalam suara yang penuh keterujaan.

“Okey! Sekarang…” Kemudian Abang Sham dipandang dengan pandangan bermakna.

Abang Sham tarik sesuatu dari beg yang dibawanya. Beberapa pucuk pistol diletakkan di atas meja.

Kelihatan mata Dato bersinar-sinar melihat senjata-senjata yang sedang dipamerkan di hadapannya. Sebelum ini mereka telahpun berbincang tentang senjata yang ‘patut’ dibeli oleh ahli perniagaan itu. Katanya dia perlukan senjata bagi pertahanan diri, serta untuk disimpan bagi kegunaan ‘genting’.

Apa-apa sahaja niat pembeli membeli senjata darinya adalah urusan mereka. Abang Sham tidak ingin campur tangan. Malah dia tidak pernah mahu bertanya, kecuali jika diberitahu. Yang dia peduli, senjata laku dijual dengan harga yang ‘berpatutan’. Berpatutan bermaksud, sekurang-kurangnya dia dapat keuntungan lebih kurang RM500 sepucuk senjata seperti itu. Itu sudah memadai. Baru berbaloi dengan risiko yang diambil. Abang Sham tersenyum senang.

Bilik hotel itu telah ditempah oleh pelanggan mereka. Selalunya urusan mereka dilakukan di hotel-hotel ternama kerana ia adalah tempat yang selamat untuk melakukan urusan sebegitu. Setakat ini dia belum pernah ditimpa masalah. Semua urusannya berjalan lancar. Rid yang duduk di sebelah dikerling. Lelaki itu sedang memandang Dato yang sedang teruja tanpa riak di wajah.

“Ini sahaja?” tanya Dato.

“Saya ada bawa lebih Dato… Tetapi ini adalah senjata yang paling sesuai untuk kegunaan Dato.” Senyuman manis terlakar di bibir Abang Sham.

Bayangan not-not kertas sudah menari-nari di hadapan mata. Dia melakukan kerja tersebut bagi mendapatkan duit poket. Dia ada pekerjaan tetap yang lain, namun pendapatan sampingan daripada jualan senjata api telah buat hidupnya sekeluarga lebih selesa. Bagi Rid yang baru berjinak dalam ‘peniagaan’ tersebut, ini kali kedua dia mengikutnya berjumpa dengan pelanggan.

Dato angguk-angguk tanda setuju. Selalunya pelanggannya adalah individu-individu berketurunan Cina dari Malaysia. Yang ini, adalah jumlah kecil pelanggan Melayu yang memerlukan senjata. Abang Sham memerhati sahaja Dato memeriksa setiap senjata. Dari sinar matanya, cahaya penuh keterujaan terpancar.

“Harga senjata api bergantung kepada jenis dan sama ada senjata itu barang lama atau baharu. Yang ini… Harganya RM6,700. Yang ini…. RM8,000,” terang Abang Sham apabila melihat Dato sedang menimang-nimang pucuk-pucuk pistol dia tangan.

Dato mengangguk. Pembantunya yang terpacak di sebelahnya hanya memerhati urusan jual beli itu. Dia kelihatan seperti ‘bodyguard’ pelanggannya itu.

“Yang ini lebih mahal, Dato. Yang ni pula masih belum digunakan. RM10 ribu, Dato.” Perkataan Dato disebut setiap kali dia habis berbicara. Mahu memberi rasa bangga dan puas pada diri ahli perniagaan itu. Jika untung sabut, Dato itu mungkin akan membeli lebih dari sepucuk senjata. Bermakna dia akan dapat duit lebih hari itu.

Abang Sham memberitahu harga setiap senjata yang terpamer di hadapan Dato. Dia juga kongsikan kelebihan yang ada pada setiap senjata. Senjata-senjata tersebut dia dapat daripada kawan-kawan yang membeli dari kedai senjata api berlesen yang mahu menjualnya kembali. Malah ada juga yang mereka beli dari Vietnam.

Akhirnya Dato memilih senjata api jenis Smith & Wesson semi automatik yang merupakan senjata api terlaris yang pernah dijualnya. Turut dibeli senjata jenis Walther.

“Peluru? You jual juga ke?” tanya Dato setelah menyimpan barang yang telah dipilihnya ke dalam sebuah briefcase.

“Saya tak jual peluru, Dato. Tapi Dato boleh beli sendiri di kedai-kedai senjata api berlesen. Nak beli peluru ni tak susah Dato. Tak macam beli pistol. Harga sekotak peluru pun tak mahal… lebih kurang RM200 aje untuk satu kotak yang mengandungi 50 butir peluru,” terang Abang Sham lagi.

Pistol dan duit bertukar tangan. Semuanya tersenyum lebar. Puas hati dengan habuan masing-masing. Usai urusan jual beli tersebut, mereka meminta diri.

Daryn Areena tergesa-gesa menyarung kasut dan menghidupkan enjin kereta apabila menyedari dia telah terlewat. Kasut flat yang selalu dipakainya di kala dia memandu akan ditukar di hospital nanti. Berdesup kereta dipandu mengejar waktu. Nasib baik dia berjaya sampai pada waktu yang ditetapkan.

Good morning!” Daryn menyapa Doktor Lutfi dan Siti dengan ceria. Lega kerana dia tidak terlambat.

Good morning, doctor. Ceria hari ni? Ada apa-apa ke?” tanya Siti dengan senyum manis melebar. Cawan kertas dari atas meja diambil dan dihulur kepada Daryn.

Daryn buat signal ‘apa-ini’ dengan mata.

“Untuk doktor…” jawab Siti dengan senyuman yang masih melekat di wajah.

Thank you,” kata Daryn seraya mengambil cawan tersebut.

“Untung, doktor…” kata Siti lagi. Di bibirnya masih mekar dengan senyuman.

“Sampai-sampai aje, kopi mahal dah menunggu.”

Daryn mengekek. Faham akan kata-kata Siti. Dia tidak perlu berkata apa-apa lagi.

Special delivery tu.”

“Ya?” Daryn ajuk rentak Siti yang terus-terusan ingin mengusik.

“Saya tak dapat minum kopi mahal yang sedap pun tak apa. Dah kenyang tengok muka Doktor Daniel yang handsome,” seloroh Siti yang buat Daryn terus mengekek.

“Amboi… Macam tu sekali.” Wajahnya yang cuba dikawal terkoyak dengan senyuman. Geli hati! Tak tertahan untuk ketawa dengan gurauan Siti saban hari terutama apabila bercakap fasal doktor muda yang satu itu.

Setiap hari dia akan menerima cawan berisi kopi panas. Jenama yang sama, yang buat ramai yang iri hati. Daryn tersenyum lebar.

Usai kerja-kerja di wad, melawat wad, layan pesakit di klinik, separuh hari sudah terbang. Perutnya sudah berkeroncong. Dia perlu makan yang secukupnya kerana malam itu akan bermula sesi ‘on call’. Namun belum pun dompet ditarik dari beg tangan di dalam laci, Suzie pula datang bersama Aini. Agak serius tingkah laku mereka.

“Doktor, patient kat wad mengalami shortness of breath. Doktor boleh ke sana sekarang?” tanya Suzie dengan nafas yang tercungap-cungap.

Tanpa membuang masa, Daryn melangkah meninggalkan klinik serta-merta. Dia perlu lakukan pemeriksaan segera jika pesakit membuat aduan seperti itu. Jika pesakit tiba-tiba mengalami demam mendadak atau mengalami kesukaran untuk bernafas seperti tadi, dia terpaksa tinggalkan semua perkara lain yang kurang memerlukan perhatian.

Daryn congak-congak. Dari pukul 5.00 petang sehingga pukul 8.00 pagi, semuanya 15 jam. Ini bermakna dia akan bekerja selama 24 jam dalam tempoh tersebut. Malangnya dia perlu sambung kerja pada pukul 8.00 pagi selepas tamat on call nanti. Jadi, secara total menjadikan waktu bekerjanya mencecah 33 jam tanpa henti.

Fuh! Letih giler. Badan disandar ke kerusi. Mata dipejam rapat. Fikiran cuba dikosongkan. Kerja sebagai seorang doktor sudah sinonim dengan istilah ‘on call’ atau kerja lebih masa. Terutama bagi doktor muda sepertinya yang baru beberapa tahun praktis di dalam bidang kedoktoran. Terutama sekali di sebuah hospital kerajaan di sebuah bandar raya seperti di Kuala Lumpur. HKL antara hospital yang paling sibuk di bandar raya itu. Yang 24 jam sibuk dengan kes yang pelbagai jenis setiap hari. Keadaan seperti itu kadang-kadang sukar untuk dielak.

Mata terbuka apabila telinga menangkap bunyi sesuatu. Dikerling ke arah misi yang sedang bertugas.

“Siti, saya akan buat ward round sekejap lagi. Siapa doktor pakar yang on call malam ni? Cuba you check?”

“Dr. Haryati, doktor,” jawab Siti.

Thanks.”

“Doktor akan buat ward round dengan Dr. Hayati malam ni?” Doktor Hayati adalah doktor pakar yang akan membuat lawatan ke acute cubicle, di mana terdapat pesakit yang memerlukan pemantauan rapi.

“Haah.”

“Saya balik dulu, doktor. Bye!” tutur Siti ceria. Syifnya sudah habis.

Bye. Take care, Siti!”

Usai pemeriksaan ke atas pesakit tadi, dia pulang semula ke klinik. Laporan juga perlu dibuat. Semua kes yang diterima pada hari itu juga perlu direview. Daryn pegang perut. Perutnya sudah terasa pedih. Baru dia teringat bahawa dia masih belum makan.

Huh! Malaysia sekarang ini dah tak aman! Boleh tembak orang lain dengan sewenang-wenangnya. Macam tembak anjing sahaja! Daryn mengomel dalam hati seraya memutar sudu kecil di dalam muk. Aroma Nescafe yang sedang dibancuh berkepul-kepul menerobos lubang hidung. Terus mata yang sedikit layu buntang membulat. Segar!

Telinga masih dapat menangkap suara dari pembaca berita di TV. Bibir manis menyisip muk berisi Nescafe panas yang agak pahit. Muk di bawa ke hadapan dan diletakkan di atas meja. Roti yang diambil dari toaster disapu peanut butter dan jem raspberi. Sarapan ringkas pada hujung minggu apabila dia malas untuk keluar membeli.

Sejak berpindah di kejiranan baru itu, dia jarang-jarang keluar. Lagipun kebanyakan rumah di situ kosong, masih belum diduduki orang. Dia adalah antara penduduk yang paling awal berpindah ke situ.

Sambil menggigit roti, jemarinya laju bermain di atas skrin Samsung. Pesanan daripada grup WhatsApp dilihat sekilas. Kemudian mata dilarikan ke pesanan lain. Dia mengimbas sebentar semua pesanan yang berlonggok di aplikasi itu. Ternampak pesanan daripada Munie, rakan sejawatnya.

 

Tolong ganti I minggu ni.

Ada hal penting.

Kena balik kampung.

 

Pesanan itu bermaksud dia terpaksa mengambil tugas Munie malam nanti, yang juga bermakna selama dua minggu berturut-turut dia akan pulang lambat. Langsung Daryn tidak kesah. Lagipun dia bukan ada perkara lain yang akan dilakukannya.

Roti yang sudah ditelan separuh diletak tepi. Nescafe panas diteguk perlahan. Telefon bimbit yang berdering lagu Hymn for the Weekend itu diangkat.

Hello?”

“Kau kat mana?” tanya Sue usai memberi salam. Suaranya ceria sekali.

“Kat rumah.”

“Tak kerja hari ni?”

“Tak…” Daryn menjawab malas. Dia masih kepenatan.

“Jom kita keluar? Shopping?” Suara Sue berkumandang dalam nada tinggi, penuh keterujaan.

Membeli-belah! Namun dia tiada selera untuk itu. Daryn teguk Nescafe.

Hmmm… Malaslah.”

“Jomlah. Kalau tak nak shopping, kita tengok wayang.”

“Aku penatlah.” Daryn menjawab dengan malas.

“Kau baru balik ke?”

“Tak juga. Aku malas.”

Dah agak dah itu jawapan gadis itu. Dia tahu kenapa.

“Reena, kau tak boleh macam ni.”

I’m okay…”

“Kau cakap kau okey, but you don’t sound okay. Kalau kau okey kau tak akan terperuk kat rumah macam ni tau!” Sue mula membebel.

“Jom, ikut aku tengok wayang. Aku belanja kau Baskin-Robbins!”

Sue mula menawarkan umpan. Ingin Daryn tergelak namun dia menahan. Sue memujuknya seperti memujuk seorang kanak-kanak.

“Aku tahulah kau nak jadi Paed, tapi tak payahlah cakap dengan aku macam cakap dengan budak kecik!”

Sue ketawa mengekek.

“Habis tu?” Sue mengekek lagi.

“Kau nak makan apa? Aku belanja.” Dia memujuk lagi.

Maaf Sue, umpan kau tak mengena. Dia benar-benar tidak berada dalam shopping mode atau apa-apa mode sekali pun. Daryn ini hanya ingin bersendirian di rumah.

“Kalau tak nak Baskin-Robbins kita makan New Zealand Ice Cream. Raspberry ice cream favourite kau tu macam mana?” Suara Sue semakin teruja, bersemangat memujuk.

Tak dapat menahan, Daryn akhirnya tergelak. Kuat letusan ketawa Daryn menerobos telefon.

“Apa-apa aje kau ni, Sue!”

“Jom… Dah lama kau tak keluar, kan? Tak elok macam ni… Jom kita gi makan pasta favourite kau. Atau… Apa-apa ajelah. Janji kita keluar. Pleaseee…”

“Mana ada… Aku selalu keluar apa.”

“Ya… Kau keluar pagi, malam baru balik. Takpun, tak balik-balik. Kau berumah kat hospital tu!”

“Dah kerja aku macam tu.”

“Dr. Daryn Areena…” Namanya diseru. Bersama gelaran doktor di hadapannya, bermaksud sesuatu di situ.

Daryn terdiam. Dia tahu dia perlu mendengar. Apabila Sue bercakap dalam nada itu, dengan memanggilnya begitu, Daryn tahu Sue sedang menyindirnya. Setelah pelbagai pujukan dan helah tidak berjaya, kawan baiknya itu terpaksa menggunakan cara tersebut.

“Aku pun doktor juga. Aku pun on call juga… Tapi aku tak berkampung kat hospital tau! Mana ada aku tidur kat hospital kecuali time on call!”

Kebelakangan ini, Daryn terlalu suka bekerja. Jika dia terpaksa berada di hospital merawat pesakit 24 jam setiap hari pun dia tidak kesah.

Sue terus membebel.

“Kau tak boleh macam ni… Kau pandai ubati orang, tolong orang… Cuba kau tolong diri kau tu.”

“Aku tak apa-apa, Sue.” Sekali lagi Daryn cuba meyakinkan kawan baiknya.

Trust me. I’m okay.”

You can’t do this to your self, babe. Let bygones be bygones… Kau kena move on.”

“Aku dah move on, Sue.”

“Tak. Kau boleh tipu diri sendiri. Bukan aku, Reena.”

PleaseMove on. Jangan dikenang lagi. Jangan difikir lagi. Jeffrey…” Belum sempat Sue habiskan ayatnya, Daryn mencantas. Tergantung ayat Sue.

Don’t go there, Sue…” Pilu suara si gadis Daryn setiap kali nama itu disebut. Dia seperti sudah mati bersama lelaki itu.

Sue mematikan kata. Dia tidak sanggup meneruskan kata-kata. Hanya hatinya yang menyebut.

Jeff dah tak ada, Reena. Kau tak akan dapat bawanya kembali.

Sebuah gudang di luar ibu kota…

 

Klik!

Bunyi dari Smith & Swenson yang ditujukan tepat kepadanya memberi amaran. Bermakna pada bila-bila masa sahaja peluru akan menembusi tengkorak kepalanya. Sepasang mata hitamnya tajam memerhati. Seluruh deria berada pada tahap berjaga-jaga. Namun, wajahnya dikawal tanpa emosi. Kosong. Tiada perasaan bersalah. Tanpa rasa takut.

Dia kelihatan begitu tenang. Memandang lurus ke arah lawannya yang kelihatan bengis dan tidak sabar. Bersama sepucuk pistol automatik yang diacukan tepat ke kepalanya.

“Baik kau mengaku sekarang!” tengking Mat Tham ke arahnya sekali lagi. Matanya merah, hampir terjegil keluar.

“Aku dah kata, bukan aku.” Tenang dia menjawab. Herdikan dan ugutan Mat Tham langsung tidak memberi sebarang kesan.

“Aku tak percaya. Semua orang tak percaya!”

“Kau percaya?” Soalan dijawab soalan, cukup untuk mencabar kesabaran.

“Kalau bukan kau siapa lagi? Mengaku ajelah!” Suara Mat Tham semakin meninggi. Kesabarannya sudah menipis.

“Bukan aku yang buat, kenapa aku nak mengaku?” Setiap kali didesak, setiap kali lelaki itu dengan tenang menafikan. Sehingga ia memberi tekanan kepada yang bertanya.

“Kau jangan cuba berdalih, Ghost!” tempik Mat Tham lagi. Mata sepetnya bersinar-sinar dan terjegil hampir terkeluar dari soket mata yang sempit.

Terkejut teramat sangat apabila nama itu disebut, yang akan buat mulutnya ternganga. Boleh bikin darahnya berderau namun dengan tenang Rid tayang wajah tanpa perasaan. Wajah bersahaja seolah-olah nama itu tiada apa-apa makna baginya. Hujung bibirnya mengherot sedikit. Sinis.

Mat Tham buang dengusan nafas berat. Tahap kesabarannya sudah seperti wap air yang akan lenyap di udara. Marah apabila diperdaya begitu. Geram apabila lelaki yang dipanggil Rid itu masih berlagak tenang. Tidak takutkah dia? Jika orang lain berada di tempatnya, berkali-kali didesak begitu serta diacu dengan pistol di kepala, mereka pasti akan mengaku. Sekurang-kurangnya mereka ketakutan dan menggigil, jika tidak terkencing di situ.

“Siapa Ghost?” tanya Rid bersahaja. Berpura-pura tidak mengenali empunya diri.

Mat Tham mencebir.

“Kau jangan nak berdolak-dalik. Aku tahu kau yang mereka gelar Ghost!!!” Beroktaf tinggi nada suara lelaki itu kini. Tidak tahan. Tiada lagi kesabaran.

“Ikut suka kau. Aku tak kenal dia,” jawab Rid dengan tenang.

“Lebih baik kau mengaku kalau nak selamat. Kau yang buat semua tu, kan? Kau adalah Ghost, kan???”

“Aku cakap, aku tak ada kena-mengena dengan hal tu! Cuba kau siasat dalam kumpulan kau sendiri. Kau yakin semua pengikut kau berpihak pada kau? Kau tak rasa ada yang iri hati dengan kau? Atau menjadi tali barut?” Rid cuba mencucuk kepercayaan lelaki di hadapannya.

“Ah! Tak mungkin! Mereka semua dah lama dengan aku! Mereka tak akan buat macam tu!”

Rid tersenyum sumbing. Sinis.

“Kau yakin?”

“Baik kau mengaku sekarang!” Mat Tham terus mendesak.

“Dia orang tak mungkin buat macam tu! Dia orang dah lama dengan aku. Setia dengan aku! Kat sini… Kau seorarang sahaja ahli baru!” Naik turun nafas Mat Tham menuturkan semua itu. Dia terus menyambung.

“Kau mungkin orang kepercayaan Rambo, Rid! Kau mungkin orang harapan kumpulan ni. Dan…” Kening Mat Tham terangkat, wajahnya berkerut.

“Kau orang yang aku paling percaya!!! Jahanam, kau! Berani, kau!” tempik Mat Tham tanpa mengira apa-apa pun.

“Berani kau buat macam ni!!!”

“Kau dah lupa? Siapa aku yang sebenarnya?” Rid masih bersuara tenang. Masih memasang wajah biasa. Dia diam berdiri tanpa bergerak walau sedikit. Namun, dari ekor matanya, setiap gerak-geri pengikut-pengikut setia Mat Tham ataupun lebih tepat konco-konco Mat Rambo diperhati. Setiap inci pergerakan mereka dipantau secara senyap.

Lelaki itu… Tidak takutkah dia? Tidak sayang nyawakah dia? Jika benarlah Rid adalah Ghost… Dia yang patut takut.

Sekarang Mat Tham kelihatan mula ragu-ragu. Kedua-dua belah tangannya yang memegang pistol cuba dikawal, cuba menstabilkan pegangan. Keliru. Tidak dapat membezakan antara fakta dan kesangsiannya.

Tidak mungkin dia mengkhianatinya! Tidak mungkin dia orangnya.

G.H.O.S.T.

Itu nama yang menjadi ketakutan mereka di dalam dunia gelap mereka. Tidak mungkin Rid adalah Ghost.

Tak mungkin!