Dia Janjikan Setia

RM27.00

Penulis: Wan Nur Najihah

Caption: kau yang pertama untuk selamaya

ISBN: 978-967-406-277-4

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 27.00 RM 30.00

MARINA KHADEEJA – Seorang gadis yang ego dan anti lelaki. Dia saksi penderitaan ibunya yang hidup bermadu. Lantaran itu dia memilih untuk hidup dalam keadaan bencikan lelaki.

Bertahun hidup dalam dunia ciptaan sendiri, kehadiran Izzhan mula mengganggu hidupnya. Hanya kerana satu pertemuan, dirinya terus dikejar.

“Keikhlasan memang tak nampak, tapi saya boleh buktikan dan awak akan rasa keikhlasan saya. Saya betul-betul nak kawan dengan awak. Seumur hidup saya tak pernah jumpa perempuan macam awak. Tak sangka wujud lagi.”

“Tak sangka perempuan jahat masih wujud?”

UMAR IZZHAN – Dia tahu Rina bencikan dia. Dia tahu Rina bencikan semua lelaki. Tapi dia tidak peduli. Hatinya sudah berkenan pada gadis sombong itu. Hati Rina perlu ditawan. Berkali lamarannya ditolak, tetap Marina Khadeeja yang dikejar.

“Tolong bagi peluang pada saya. Saya akan buktikan tak semua lelaki macam apa yang awak fikir. Masih ada lelaki yang setia. Terima saya sebagai suami awak.”

Mereka berjaya disatukan tanpa kerelaan Rina. Tapi kebahagiaan yang diimpikan tidak mudah dicapai. Bukan mudah untuk merubah Rina. Hati batu Rina perlu dileburkan. Hanya satu jalan. Kesetiaan! Dia perlu setia. Belum lagi mengecapi bahagia, kesabarannya kembali diuji.

“Saya terima Ainul jadi isteri kedua abang.”

“Kau penipu. Selama ni kau tak pernah cintakan aku. Cinta kau palsu. Cinta aku pada orang yang salah. Orang yang langsung tak hargai aku.”

Kesabaran yang dibina akhirnya runtuh. Sejauh mana sayangnya kepada Rina akan kekal andai cinta sucinya dipermainkan? Apa yang menyebabkan Rina menyerahkan Izzhan kepada Ainul? Siapa sebenarnya Ainul? Dan berjayakah Izzhan merubah Rina?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“PAPA, nak patung Frozen. Nak yang tu.”

“Tak payah. Kat rumah dah banyak. Main yang ada kat rumah aje.”

Rina yang melihat pantas menghentikan troli yang ditolaknya. Matanya tajam memandang seorang lelaki yang sedang menunggu giliran untuk membayar barang yang dibeli. Langsung tidak dipedulikan permintaan si anak.

“Nani bangun, papa cubit nanti,” marah lelaki itu apabila anak perempuannya mula duduk di atas lantai sambil menangis kuat. Mukanya mula merah apabila menjadi perhatian orang ramai. “Jangan nak degil. Kat rumah dah banyak. Nak beli buat apa lagi? Membazir.”

“Tolong jangan berkira sangat. Beli ajelah apa yang dia nak.” Tanpa dapat ditahan Rina menyampuk. Selamba saja bagai hanya ada dia dan lelaki itu saja. Sungguh dia tidak sanggup melihat kanak-kanak itu menangis. Teringat dirinya sewaktu kecil.

“Tolong jangan masuk campur ya, cik. Ni anak saya.”

“Untuk anak sendiri, jangan kedekut sangat duit tu. Setakat patung yang berapa ringgit tu, belilah satu.” Cebik Rina sambil menjeling tajam lelaki itu. Langsung tiada perasaan malu apabila semua mata mula memandangnya. Mungkin orang awam tidak menyangka ada gadis yang berani menegur seorang ayah. Tapi itulah dirinya. Seorang yang berani bersuara.

“Tolong jaga sikit mulut tu. Saya ayah dia, saya tahu apa yang saya buat,” marah lelaki itu. “Sebagai ayah saya tak nak manjakan anak. Ada hari saya perlu bertegas untuk mendidik anak supaya dia tahu tak semua yang dia nak dia akan dapat.”

Rina hanya tersenyum sinis. “Anak encik tu kecil lagi. Yang dia tahu apa yang dia nak mesti dia dapat.” Dipandang kanak-kanak yang sudah berhenti menangis itu. Mungkin faham apa yang sedang berlaku. Memang tak patut seorang ayah buat begitu. Sampai menangis si anak apabila permintaannya tidak diendahkan.

“Cik tak boleh samakan cara saya didik anak dengan cara ayah cik didik cik. Mungkin ayah cik terlalu baik sehingga apa yang cik nak cik akan dapat. Ayah yang terlalu ikut kepala anak sampai satu tahap anak yang dididik akan pijak kepala sendiri. Menjadi manusia yang tiada adab,” sindir lelaki itu pedas.

Berombak dada Rina melihat lelaki yang sudah melangkah pergi itu. Sesuka hati ‘sound’ tanpa tahu kisah hidupnya. Dia tidak mahu apa yang pernah dialami turut dilalui oleh kanak-kanak itu. Masa kecillah anak-anak perlu dimanja. Jika tidak anak-anak akan membesar menjadi pendendam seperti dia.

Rina menjeling tajam kepada orang awam yang masih ada di sekitarnya. Ada seorang dua berbisik sesama sendiri. Mungkin mengutuk sikapnya yang kelihatan kurang ajar. Tapi dia peduli apa? Dengan selamba dia menolak troli masuk ke kaunter bayaran.

“KENAPA pula ni?” keluh Rina apabila kereta yang dipandu mula tersengguk-sengguk. Signal ke kanan diberi lalu dia memberhentikan kereta Honda Jazz miliknya di tepi jalan. Sudahlah dia mahu cepat, kereta pula buat hal. Memang masalah betul.

“Pancit?” soalnya sendiri apabila melihat tayar kereta hadapannya bocor. Inikah balasan kerana sesuka hati ‘sound’ lelaki itu tadi? Tak kisahlah, yang penting benda dah jadi. Sekarang sebelum hari bertambah gelap, dia perlu menukar tayar dengan segera. Mujur setakat mengganti tayar kereta sudah menjadi kepakarannya. Rina membuka bonet.Beberapa saat kemudian dia menepuk dahi.

Dia sudah guna tayar ganti bulan lepas. Aduh, macam manalah dia boleh lupa? Apa yang perlu dilakukan? Tak ada jalan lain, dia kena minta tolong kawan serumahnya. Sungguh dia tidak suka menyusahkan orang. Masalahnya akan diselesaikan dengan cara sendiri. Tapi kali ini dia terpaksa.

“Helo Qasha, kau kat mana?” Rina bersandar di kereta. Sesekali dia menggaru lengannya yang digigit nyamuk. “Lambat lagi ke kau balik? Kereta aku pancit ni. Ya ke? Okeylah aku tunggu. Tapi jangan lambat sangat. Aku kat Jalan Loke Yew.”

Sebaik sahaja menyimpan kembali telefon, Rina menuju semula ke bonet. Beberapa alatan untuk mengganti tayar dibawa keluar.

“Kuat ke nak tukar tayar tu?”

Rina mendongak pada suara yang menegurnya. Pantas dia bangun sambil menjeling tajam lelaki yang mengenakan kemeja ungu dan seluar slack. “Jangan pandang sebelah mata perempuan zaman sekarang. Setakat tukar tayar kereta apalah sangat,” ujarnya sombong.

“Nak saya bantu?”

“Kalau encik nak tunjuk baik atau rajin, maaf… encik salah orang. Saya tak perlukan pertolongan encik. Saya boleh buat sendiri. Tak semua perempuan lemah.” Jack, pemutar jack dan sepana dicampak ke tanah. Rina kembali duduk mencangkung di tepi tayar. Senyuman sinis dihadiahkan buat lelaki yang entah datang dari planet mana.Sepana diambil lalu dimasukkan ke dalam rim tayar untuk melonggarkan nat. Dia mengetap gigi apabila nat tidak bergerak sedikit pun.

“Tak semua perempuan boleh buat kerja lelaki. Kuat macam mana pun perempuan tetap perlukan lelaki,” sampuk lelaki itu apabila melihat si gadis terkial-kial.

“Baik encik pergi sekarang.” Fikirnya apabila dia tidak melayan, lelaki itu akan pergi. Apabila melihat lelaki itu tersenyum manis, dia mengetap gigi. “Encik fikir saya akan tergoda dengan senyuman encik? Saya akan cair bila seorang lelaki handsome senyum pada saya? Macam saya cakap tadi, encik salah orang. Senyuman encik tu sebelah mata pun saya tak pandang. Saya perempuan bukan jenis yang hidup mengharapkan lelaki semata-mata. Saya boleh hidup dengan kaki saya sendiri.”

“Saya bukan nak goda. Niat saya cuma nak tolong. Saya ikhlas. Cik perempuan, seorang-seorang tepi jalan. Saya risaukan keselamatan cik. Apa pun boleh jadi.”

Rina ketawa sinis. “Risau? Tak perlu nak berlagak baiklah encik. Saya jenis tak percayakan lelaki. Encik baik macam malaikat pun, saya tetap tak percaya. Macam nilah encik. Saya tak nak bertengkar tepi jalan macam ni. Baik encik pergi sakarang.” Takkan sesekali dia terhutang budi dengan insan yang bergelar lelaki.

“Kalau saya tak nak pergi, macam mana? Saya tak ada niat lain. Kalau cik tak percaya…” Lelaki itu menarik keluar dompetnya lalu menghulurkan kad pengenalan. “Ambil ic saya sebagai jaminan. Kalau saya ada buat apa-apa, cik laporkan pada polis.”

Wajah tenang lelaki itu dipandang. Masih tidak faham bahasa rupanya. Kad berwarna biru itu diambil lalu dicampak ke tepi jalan. Rina tersenyum sinis melihat reaksi terkejut lelaki itu.

“Kalau encik rasa saya perempuan baik, encik salah. Kalau encik fikir saya perempuan yang mudah tergoda dengan lelaki, encik salah. Saya bukan macam perempuan kat luar sana. Perempuan yang lembut, sopan santun atau yang terhegeh-hegeh dengan mana-mana lelaki. Lelaki pada pandangan saya hanya sampah. Satu kesalahan kalau encik tolong saya sebab sampai mati pun saya tak akan kenang jasa encik,” tegas Rina sambil melawan pandangan lelaki itu. Tak perlulah dia pura-pura baik. Ini dirinya yang sebenar. “Kalau saya terpaksa balik jalan kaki pun saya sanggup daripada saya terima pertolongan encik.”

“Saya tak pernah jumpa perempuan segarang awak.”

“Sekarang encik dah jumpa. Simpan saja pertolongan encik untuk perempuan lembik yang jenis suka mengharapkan lelaki. Sekarang encik pergi, jangan ganggu kerja saya.”

Seinci pun lelaki itu tidak berganjak. Dipandang gadis yang mengenakan T-shirt lengan pendek, seluar jean dan rambut paras bahu yang dilepas bebas. “Saya akan pergi tapi lepas tayar kereta awak diganti. Saya tak boleh biarkan awak sendirian. Perempuan tetap perempuan.” Usai berkata lelaki itu pantas menuju ke keretanya. Bonet dibuka lalu tayar ganti miliknya dikeluarkan.

“Encik nak buat apa?” halang Rina apabila lelaki itu cuba menukar tayar keretanya. “Kan saya dah cakap jangan nak tunjuk baik.”

“Saya cuma nak tolong.”

“Tak payah tolong. Saya tak harap pun!” marah Rina. Dia bukan manusia yang memiliki kesabaran yang tinggi. “Saya kira sampai tiga. Kalau encik tak pergi, saya akan call polis.”

“Cakap boleh berdiri dengan kaki sendiri. Tapi bila susah akhirnya cari polis juga. Jangan lupa majoriti polis adalah lelaki dan yang akan tolong awak nanti mesti polis lelaki. Perempuan yang boleh berdiri sendiri, jika ada apa-apa yang terjadi dia tidak akan minta bantuan polis,” ucap lelaki itu tenang. Tayar disimpan ke dalam bonet kereta semula.

“Kalau awak tak nak terima pertolongan saya, tak apa. Tapi saya tetap akan pergi selepas tayar kereta awak elok. Mungkin saya tak beruntung dapat jumpa awak. Tapi awak beruntung dapat jumpa saya. Saya tak akan sesekali biarkan seorang Hawa dalam kesusahan. Saya dididik supaya sentiasa menolong orang yang dalam kesusahan tambah-tambah jika melibatkan kaum yang lemah iaitu kaum Hawa. Hawa sentiasa perlu dilindungi oleh Adam.”

“Tapi saya bukan Hawa. Saya pun tak perlukan Adam untuk melindungi saya.”

“Saya akan jadikan cik Hawa dan saya akan jadi Adam yang melindungi Hawanya.”

Geli tekak Rina mendengar ayat lelaki yang tidak dikenalinya. Kali pertama jumpa sudah mahu tunjuk baik. Apa lelaki itu fikir dia akan mengalah? Tengok saja siapa yang akan mengalah nanti.

“Saya Izzhan. Cik?” tanya lelaki itu walaupun dia yakin seratus peratus yang soalannya tidak akan dijawab. Tekaannya tepat apabila gadis itu langsung tidak menghiraukannya.

TANGAN yang berpasir ditepuk-tepuk lalu Rina melepaskan nafas lega. Akhirnya berjaya juga dia menarik keluar tayar yang pancit tanpa bantuan sesiapa. Lelaki yang masih sedia menjadi penemannya dijeling tajam.

“Tahniah.”

Rina mencebik lalu menolak tayar yang pancit ke bonet belakang dengan kakinya. Baru saja mahu menunduk untuk mengangkat tayar, lelaki tadi sudah mengangkat tayar tersebut masuk ke dalam bonet.

“Cik nampak penat. Kalau tak kenapa tak angkat awal-awal?”

Jam tangan dipandang. Manalah Qasya ni? Makin lama di sini, makin menyampah dia melihat lelaki itu. Kalau jantan lain sekali kena halau, memang tak akan pusing ke belakang dah. Lelaki pun ada ego. Jangan terhegeh-hegeh kepada yang tak sudi. Tapi lelaki ini lain. Dalam situasi ini, lelaki itu boleh lagi pamer wajah yang tenang. Macam orang tiada perasaan.

Ambiklah pakai. Kesian kena gigit nyamuk.” Izzhan menghulurkan jaket yang diambil dari dalam kereta. Sampai merah-merah lengan gadis itu. Apabila jaketnya diambil, dia mula rasa lega. Tapi tak sampai beberapa saat jaketnya sudah berada di atas tanah. Dia menggeleng perlahan.

“Rina…”

“Qasya, kenapa lambat?” soal Rina apabila melihat kawan serumahnya muncul.

Jammedlah. Aku call kau tak angkat. Eh, Encik Izzhan?” Langkah Qasya terhenti apabila melihat lelaki yang berpusing itu. Bulat matanya. “Encik buat apa kat sini?”

“Cik kenal saya ke?” Izzhan mengerutkan dahi apabila ditegur.

“Tak payahlah nak berkenalan kat sini. Qasya, buka bonet kereta kau. Aku nak ambil tayar.”

Qasya menarik lengan Rina. “Kau buat apa kat sini dengan dia?” bisiknya.

“Buat apa? Lelaki ini yang datang kat aku,” jawab Rina kuat.

“Dia bos akulah. Mesti kau layan dia dengan kasar, kan?”

“Bos kau?” soal Rina sambil mengangkat kening. Dipandang Qasya yang menggelabah. Kemudian matanya beralih ke wajah lelaki bernama Izzhan. Oh, inilah orangnya. Adalah sekali dua dia dengar cerita Qasha. Kata teman serumahnya, Izzhan seorang yang sangat baik sehingga disegani oleh semua pekerja. “Aku tak heran pun.”

“Encik Izzhan, maafkan kawan saya. Dia memang macam ni. By the way saya Qasya, staf Umaru Holdings. Bekerja di bahagian sumber manusia. Encik memang tak kenal saya tapi saya kenal encik sebab encik bos saya,” cerita Qasya untuk menghilangkan tanda tanya di wajah lelaki itu.

“Oh, saya ingat awak. Kita pernah terserempak tapi tak pernah bertegur sapa.” Izzhan memetik ibu jarinya. Patutlah rasa pernah jumpa.

Qasya tersenyum lega. Terasa diri dihargai apabila seorang bos mampu mengingatinya. “Saya segan nak tegur encik. Maklumlah saya siapa, encik siapa.”

“Tak payah segan. Tegur aje, saya okey.”

Tidak menunggu lama, Rina merampas kunci kereta yang ada di tangan Qasya. Langsung tidak berminat untuk mengetahui perihal lelaki itu. Tak ada sebab dia perlu berbaik.

“Biar saya angkat…” Entah bila muncul, Izzhan mengambil tayar lalu dibawa ke kereta Rina. “Biar saya pasang.”

Berombak dada Rina saat ini. Sengaja mahu tunjuk baik dan rajin di depan pekerja sendiri ke?

“Siap. Kurang sepuluh minit,” ujar Izzhan lalu bangun. Tangannya ditepuk untuk hilangkan kotoran.

“Hebatnya encik. Sekejap aje dah siap,” puji Qasya sambil menepuk tangan.

“Qasya, aku balik dulu. Nanti kat rumah aku bayar duit tayar.” Rina melangkah ke pintu kereta. Pintu ditutup kuat. Tanpa menunggu lama dia meninggalkan Qasya dan Izzhan. Dia sudah cakap, dia bukan seorang yang kenang budi.

“BARU balik?”

“Kau tak tidur lagi?”

Soalan dibalas soalan. Rina meletakkan muk yang berisi Milo di atas meja kopi. “Tak mengatuk. Kau pergi mana? Lewat balik?”

Qasya tersengih-sengih lalu duduk. Rambut yang disanggul dilepaskan lalu dia mencium haruman rambutnya. “Lepas jumpa kau, Encik Izzhan ajak makan. Rugi weh kau tak ikut. Tak pernah aku mimpi dapat makan dengan bos. Kalau staf lain tahu, memang jadi gosip hangat. Staf bawahan ada skandal dengan bos. Kalau kau nak tahu, Encik Izzhan tulah lelaki yang selalu aku cerita pada kau. Lelaki idaman hati aku. Masa dia ajak makan aku rasa nak pengsan.”

“Oh, ya ke?” soal Rina seolah-olah mengejek. Tengok lelaki itu pun dia tahu jenis kaki perempuan. Hanya bermodalkan raut wajah yang menarik, ayat bunga-bunga dan senyuman yang menggoda, terus gadis-gadis yang lemah seperti Qasya sujud di kaki lelaki itu. Mujur dirinya bukan seperti itu. Pengalaman papanya menyebabkan dia benci lelaki. Lelaki tidak akan cukup seorang. Sempurna mana pun perempuan, mereka akan cari lain. Ibu sebagai bukti.

“Kau ni hati kering betul. Kau tak tergoda ke tengok bos aku tu? Kira untung dia berhenti nak tolong kau. Kau aje yang tak reti bersyukur. Ucap terima kasih pun tak.”

“Kau kenal aku macam mana. Aku dengan lelaki macam langit dengan bumi. Tak ngam. Aku nak pesan kat kau, jangan mudah tergoda sangat pada lelaki. Setakat bos kau bawa pergi makan, kau dah senyum sampai ke telinga. Mana maruah kau? Patutnya kau kena jual mahal. Ingat selagi hidup jangan percayakan lelaki. Cinta, sayang tu semua menipu. Lepas dia dapat apa yang dia nak, kau akan ditinggalkan macam sampah,” nasihat Rina. Dia dan Qasya jauh berbeza. Qasya pantang nampak lelaki mulalah tergedik-gedik.

“Tapi Encik Izzhan tak macam tu. Dia baik. Famili dia pun baik. Keluarga mereka dihormati. Kebajikan pekerja sentiasa dijaga. Kalau kau tahu Encik Izzhan siapa mesti kau pun tergoda. Dia tak suka mainkan perempuan. Semua staf perempuan kat pejabat dia hormat walaupun dia bos. Dia memang mengangkat martabat perempuan.”

Rina mengeluh bosan. “Kau pujilah dia sampai langit, hati aku langsung tak goyah.”

“Ruginya kau. Mesti Allah dah tutup mata kau untuk melihat kebaikan lelaki-lelaki kat dunia ni. Yang kau tahu lelaki semua sama. Kenapa kau benci sangat dengan lelaki?” Sudah setahun mereka berkawan, tapi apa pun tentang Rina dia tidak tahu. Yang dia tahu kawannya ada seorang ibu. Rina seorang yang sangat perahsia. Kalau dia tanya lebih-lebih, kawannya akan melenting.

Perkenalan mereka bermula apabila Rina menyewa rumah teres dua tingkat milik ibu saudaranya. Sebelum dia hadir, Rina hanya tinggal seorang diri. Tapi atas belas kasihan, Rina menerima dia untuk tinggal bersama. Lagipun apabila tinggal berdua segala perbelanjaan boleh dibahagi dua. Dia pun tidak mampu bayar sewa andai kata tinggal seorang diri.

“Ceritalah pasal kau dan keluarga kau. Teringin juga aku nak tahu.”

“Tak ada apa yang menarik pun pasal aku. Aku naik dulu.” Benci apabila hal keluarganya dicerita kepada orang luar. Dia tidak mahu Qasya mengeji andai tahu siapa keluarganya. Bagaimana penerimaan Qasya kalau tahu siapa papanya? Dia malu untuk cerita. Keluarganya cacat.

Hanya dia yang tahu keadaan keluarganya.

“Dia tanya aku kita tinggal kat mana. Aku cakaplah kita tinggal kat Taman Cheras Indah. Dia pun beritahu dia tinggal kat Taman Cheras Hartamas.”

Rina mendengus. Semudah itu Qasya beritahu orang luar di mana mereka tinggal. Buatnya lelaki itu ada niat yang tak baik, macam mana?

USAI memarkir Honda Jazz merahnya, Rina melangkah keluar. Kaki diatur menuju ke butik pakaian miliknya. Butiknya terletak di tengah-tengah antara deretan kedai. Sebaik tiba di hadapan butik, segugus kunci dikeluarkan lalu dia membuka pintu.

Inilah rutinnya setiap hari. Datang pukul 8 pagi dan balik apabila kerjanya selesai. Kadang-kadang butik sudah tutup tapi dia masib belum pulang. Perangainya yang mudah marah menyebabkan dia sesuai bekerja sendiri. Lagipun dia tidak suka bekerja di bawah orang. Dia tidak suka diarah. Setakat ini dia hanya mempunyai dua orang pekerja yang datang pada pukul 8.30 pagi. Hanya hari minggu saja Butik Warna beroperasi pada waktu malam.

Inilah butik yang dibuka setahun yang lalu ketika dia berusia 23 tahun. Butik yang menyediakan pakaian wanita seperti jubah, baju kurung, kemeja, blaus malah T-shirt turut dijual. Butik inilah sumber pendapatannya untuk hidup. Disebabkan butik ini masih baru, jadi dia perlu berusaha keras untuk memajukan perniagaan sendiri.

Apa yang membanggakan, setiap wang yang diguna untuk mendirikan butik semua hasil titik peluhnya sendiri. Kelulusan tertingginya hanya SPM. Dia tiada diploma, jauh sekali ijazah. Habis saja SPM, dia terus bekerja sambilan di Kuala Lumpur. Meninggalkan ibu tercinta di kampung untuk mengejar cita-cita. Sepanjang bekerja dia akan menyimpan sebanyak RM500 sebulan. Untuk ibu di kampung dia akan menghantar RM200 walaupun banyak kali ibu menolak. Selebihnya buat belanja sendiri dan sedikit wang untuk diberi kepada mak su. Ketika itu dia tinggal bersama mak saudaranya.

Enam bulan Rina bekerja sebagai cashier dia Petron. Kemudian dia bekerja di restoran KFC. Tak sampai setahun dia berhenti lalu bekerja sebagai store assistant di 7-Eleven selama dua tahun. Dia berhenti ketika memegang jawatan sebagai management trainee. Selepas itu dia bekerja sebagai pembantu butik di KLCC selama tiga tahun. Cukup segala ilmu dan duit, dia cabar dirinya untuk membuka butik.

Dan hari ini berkat kegigihan dan kesabaran, akhirnya dia berjaya membuka Butik Warna. Tidak dinafikan pada awal pembukaan butik dia hampir muflis. Mana taknya, dalam masa sebulan boleh kira berapa sangat pelanggan yang datang. Tapi untuk berputus asa, itu bukan dirinya.

Tanpa membuat pinjaman dari mana-mana pihak, dia berjaya atasi masalah kekurangan pelanggan. Alhamdulillah, dengan mengadakan promosi besar-besaran butiknya mula menjadi tumpuan. Sekarang ini walaupun masih tidak capai target, tapi dia sudah berpuas hati apabila butiknya masih dikunjungi pelanggan. Malah butiknya sudah ada pelanggan tetap.

“Butik ni dah buka ke?”

Rina berpusing ke belakang apabila mendengar suara yang menegur. Beg tangan diletakkan di atas meja cashier. Kelihatan seorang wanita berjubah hitam dan seorang gadis muda terjenguk-jenguk melihat butiknya. Biasanya kalau urusan melayan pelanggan semua diuruskan oleh pekerjanya. Dia kurang pandai melayan tambah-tambah jika melibatkan pelanggan yang cerewet. “Maaf, tak buka lagi. Lagi sejam baru buka.”

“Kami nak masuk sekarang boleh? Nak beli jubah aje. Lagipun kat sini tak ada kedai jual baju. Anak saya jubahnya koyak. Malu kalau orang tengok,” luah wanita itu sambil menunjukkan jubah yang dipakai anaknya.

Rina tersenyum hambar. Betullah orang cakap, pelanggan banyak kerenah. Dia hargai setiap pelanggan yang datang tapi mereka juga perlu patuhi apa yang ditetapkan. Butiknya buka pukul 9 pagi. Dia datang awal bukan mahu membuka butik tapi mahu menyemak rekod jualan semalam. Kerjanya hanya di dalam bilik. Butik dan pelanggan diserahkan kepada pekerja.

“Pekerja saya belum datang. Butik pun belum dibersihkan. Tapi kalau puan dengan cik nak masuk juga, dipersilakan.” Terpaksa apabila melihat muka kesian gadis itu. Lampu dan pendingin hawa dibuka. “Pilihlah pakaian yang berkenan. Insya-Allah harga memang berbaloi.”

Langkah kaki diatur mengikut dua pelanggannya. Pelik juga macam mana jubah si anak itu boleh terkoyak. Takkan masa pakai tak perasan?

“Umi, ini pun okey juga…” Gadis itu menarik sehelai jubah yang diletakkan di dalam plastik lut sinar.

“Ainul sayang pergi cuba dulu. Kalau muat, umi belikan.”

Fitting room sebelah kanan…” Entah kenapa cemburu pula dia melihat keakraban dua beranak itu. Terus teringat ibunya di kampung. Ibu juga selalu memanggilnya Rina sayang.

“Awak pemilik butik ni?”

Hilang terus ingatan kepada ibu apabila disoal oleh wanita itu. “Haah…”

“Nampak muda lagi. Dah ada butik sendiri.”

“Saya baru 24 tahun. Butik ni pun masih baru…” Rina menunduk apabila wanita itu memandangnya atas bawah. Walaupun butiknya menjual pelbagai pakaian yang terkini dan moden, tapi dia sebagai pemilik butik hanya bersederhana.

Sekarang dia hanya mengenakan seluar jean biru cair, kemeja warna hijau manakala rambut paras barunya dilepas bebas. Muka pula hanya mekap natural supaya tidak nampak pucat. Penampilan yang langsung tidak melihatkan dia seorang pemilik butik.

“Terima kasih ya bagi kami masuk. Kalau tak mesti anak saya malu. Jubah dia koyak sebab tersepit kat kereta. Anak saya baru aje balik ke Malaysia. Sebelum ni belajar di Jordan,” cerita wanita itu tanpa dipinta.

Rina hanya mengangguk dengan keramahan wanita itu. Dia faham. Tengok penampilan wanita ini dan anaknya dia tahu mereka sangat menjaga maruah. Gadis tadi pun memakai jubah dengan mengenakan tudung labuh. Mungkin ustazah. Sama juga dengan wanita ini. Tapi penampilan wanita ini nampak moden walaupun mengenakan tudung sedikit labuh. Sejuk perut si ibu mengandungkan anak yang pandai menjaga maruah. Dia? Jangan menilai hanya disebabkan dia tidak bertudung. Maruahnya sangat tinggi.

Bunyi telefon berjaya mengganggu tumpuan wanita itu. Laju saja dikeluarkan telefon yang nyaring berbunyi itu. “Waalaikumussalam. Ya. Dah sudah ke? Umi ada kat butik ni. Alah, butik dekat klinik tu aje. Datanglah sini. Okey.”

“Umi, okey dah jubah ni.” Si gadis muncul sambil tersenyum. Siap pakai terus.

“Umi belanja.”

“Eh, tak payah. Ainul boleh bayar sendiri.”

“Tak apa, umi belanja…”

Rina membawa dua pelanggannya ke tempat pembayaran. “Tunggu sekejap, ya. Saya baru nak on mesin.”

“Assalamualaikum…” Serentak mereka bertiga berpaling pada suara yang memberi salam. Rina mengerutkan dahi apabila melihat lelaki yang tersenyum manis itu. Kenapa dia macam pernah lihat senyuman itu?

“Izz, tunggu sekejap. Umi nak bayar jubah.”

Saat nama itu disebut baru Rina ingat. Itu lelaki yang dia jumpa semalam. Bencinya apabila mereka kembali bertemu. Ingatkan semalam yang pertama dan terakhir. Melihat lelaki itu semakin menghampiri, Rina buat tidak tahu.

“Assalamualaikum Rina…”

Terbatuk kecil Rina dibuatnya apabila Izzhan tiba-tiba menegur. Mujur dia tidak melompat. Sungguh tak sangka lelaki itu tahu namanya dan masih berani menegurnya.

“Izz kenal ke?”

“Kenal, umi. Ni kawan Izz.”

Bulat mata Rina mendengar pengakuan selamba Izzhan. Bila masa aku jadi kawan kau? Saja kau nak cari pasal dengan aku. Tak cukup lagi ke ayat-ayat berbisa yang aku bagi semalam? Dada Rina sudah berombak.

“La, umi tak tahu pun. Biasanya semua kawan Izz umi kenal. Oh, siapa nama penuh kamu?”

Rina tersenyum hambar. Kenapa wanita yang dipanggil umi ini nampak terkejut? Mungkin tak suka anaknya berkawan dengan perempuan seperti dia. Kalaulah wanita dan gadis ini tiada, sudah dia tengking lelaki tidak tahu malu itu.

“Marina Khadeeja binti Mazlan.”

“Cantik nama,” puji wanita itu sambil tersenyum. “Dah lama kenal Izzhan?”

Air liur ditelan perlahan. Dijeling lelaki itu.

“Baru aje kenal. Rina, ini umi saya. Boleh panggil umi. Ini adik saya, Ainul.” Izzhan memperkenalkan keluarganya. “Umi dengan Ainul pergi tunggu kat kereta dulu. Nanti Izz datang. Jubah ni biar Izz bayar.”

Melihat umi dan Ainul berjalan keluar, Rina terus menarik kasar jubah yang ditinggalkan. Dia segera scan harga jubah tersebut. “RM85.00” Wang kertas bernilai RM100 disambut. Baki dipulangkan lalu dia melipat jubah dan dimasukkan ke dalam beg kertas.

“Sama-sama.”

“Encik boleh keluar sekarang,” halau Rina apabila Izzhan sengaja memerlinya. Mood baiknya sudah terbang dengan kehadiran lelaki ini. “Semalam pertemuan pertama kita dan ini pertemuan terakhir. Tak payahlah mengaku saya ni kawan encik. Saya tak suka bila encik memandai-mandai.”

“Tapi saya tetap anggap awak kawan saya.”

“Encik ni memang jenis yang tak faham bahasa ke? Jangan kacau saya boleh?”

“Saya tak kacau pun. Saya pun tak sangka boleh jumpa awak kat sini. Mungkin selagi awak tak ucap terima kasih pada saya, selagi itu kita akan berjumpa.”

Rina memandang Izzhan. Hairan dengan sikap lelaki ini. Setiap kali berbicara, wajah tetap tenang. Ayat yang dilontarkan cukup teratur seperti sudah berfikir apa yang mahu dikatakan.

“Itu yang encik mahu? Okey, saya akan ucapkan terima kasih. Terima kasih sebab tolong saya walaupun saya tak perlukan pertolongan encik.”

“Macam tak ikhlas aje?”

“Memang saya tak ikhlas,” akui Rina selamba.

“Awak sangat sombong.”

“Memang saya sombong.” Rina melawan pandangan Izzhan. Kemudian dia melarikan anak mata. “Keluar sekarang.”

“Okey, saya keluar. Tapi nanti saya akan datang lagi. Saya nak jumpa kawan saya.” Senyuman manis dilemparkan lalu dia melangkah pergi.

Rina menumbuk meja. Geram!

“ASSALAMUALAIKUM…”

Rina tersenyum sebaik mendengar suara merdu itu. Pen diletakkan di atas meja lalu dia bersandar di kerusi. Rindunya kepada ibu yang berada nun jauh di pantai timur.

Waalaikumussalam. Ibu sihat?”

“Sihat. Susahnya nak dengar suara anak ibu ni. Kena ibu yang call dulu.”

“Rina baru ingat nak call ibu nanti. Nak call sekarang takut ibu tengah masak. Ibu tengah buat apa?”

“Baru habis masak. Kejap lagi papa balik nak makan.”

Rina mengeluh apabila mendengar perkataan papa. Kalau bercakap dengan ibu, pasti nama papa akan muncul. Mengganggu kebahagiaannya saja. Salah satu sebab mengapa dia mahu berjauhan dengan ibu adalah disebabkan papa. Dia tidak mahu melihat ibu melayan papa. Dia yang sakit hati.

“Bila Rina nak balik kampung? Papa dengan ibu rindu dengan Rina.”

“Buat apa Rina nak balik? Ibu kan dah ada papa. Layanlah papa tu baik-baik. Sayang dia banyak-banyak. Papa tu pun bukan selalu ada di rumah. Dia kena balik rumah bini dia yang lain,” ujarnya berjauh hati. Dulu masa dia di rumah, seminggu hanya dua kali papa akan pulang. Setiap kali papa balik, dia akan berkurung di dalam bilik tanpa makan dan minum.

“Rina sayang, kenapa cakap papa macam tu? Rina faham kan keadaan papa? Dia tak boleh ada dengan kita selalu. Papa pun ada anak lain.”

“Papa yang cari masalah. Sekarang tanggunglah sendiri. Kalau papa tak buat hal mesti kita akan bahagia sekarang. Tak perlu ada orang kedua dan ketiga. Padanlah Rina benci papa. Ibu, tak payahlah cakap pasal dia. Bencilah.”

“Yalah, ibu tak cakap dah pasal papa. Nanti ada masa ibu ke KL jenguk Rina, ya.”

“Okey, macam biasa. Jangan datang dengan papa.” Rina memberi peringatan.

“Rina, papa dah baliklah. Nanti kita borak lagi ya, sayang. Assalamualaikum.”

Usai menjawab salam, Rina meletak telefonnya di atas meja. Bingkai gambar diambil lalu dipeluknya. Sungguh dia rindu ibu. Ikutkan hati dia mahu terus pulang ke kampung. Tapi egonya menahan. Dia tidak mahu melihat orang yang dibencinya. Dia tidak pandai berlakon untuk pura-pura mesra.

“Masuk,” suruh Rina apabila pintu biliknya diketuk. Berdiri di pintu ialah stafnya yang paling muda. Baru berusia 20 tahun. “Ada apa, Shifa?”

“Kak Rina, ada orang nak jumpa.”

“Siapa? Akak tak ada janji temu dengan sesiapa pun,” soalnya malas.

“Dia cakap kawan akak. Nama dia erm…” Shifa mengetuk kepala untuk mengingati nama seseorang.

“Izzhan…”

Rina pantas bangun apabila melihat lelaki itu berdiri di pintu masuk biliknya sambil tersenyum. “Shifa, awak boleh sambung kerja.”

“Sebenarnya saya baru lepas jumpa klien area sini. Alang-alang lalu depan butik awak ni, saya singgahlah nak jumpa kawan saya. Jom makan. Saya belanja,” ajak Izzhan apabila melihat wajah kurang senang Rina.

“Saya tak nak makan. Dan sekali lagi saya jelaskan saya bukan kawan awak. Saya tak nak ada apa-apa hubungan pun dengan awak walaupun sebagai kawan. Awak ni tak ada kerja ke? Pagi tadi dah menyemak, tengah hari pun nak menyemak. Sakit mata!” tengking Rina. Tapi apa yang dia dapat? Izzhan hanya tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih.

“La, kan saya dah cakap saya baru lepas jumpa klien. Itu termasuk dalam kerja sayalah. Saya cuma nak ajak makan. Kalau tak nak tak apa. Dapat jumpa awak sekejap pun saya lega.”

“Lega? What do you mean?” Setiap kali jelingan tajam yang diberi, senyuman manis yang dia dapat. Sah, Izzhan gila.

“Lega sebab dapat jumpa awak. Kawan saya. Boleh saya masuk?” Belum sempat tuan bilik bagi kebenaran, lelaki itu sudah melangkah masuk. Kerusi di depan meja ditarik. Bilik sederhana itu dipandang. “Cantik bilik. Mesti awak suka warna ungu, kan?”

Rina menarik nafas panjang. Tak pernah dia berhadapan dengan lelaki degil seperti ini. “Saya banyak kerja sekarang. Jangan ganggu saya. Kalau encik nak makan, bawa staf saya. Saya izinkan. Tapi cuma seorang sebab seorang lagi kena jaga butik.”

“Saya tak nak bawa staf. Saya nak bawa bos kepada staf.” Dipandang wajah cerah Rina. Muka cantik tapi sayang gadis itu seperti mawar berduri. Sekadar tengok jangan berani sentuh. Bila sentuh tangan akan berdarah terkena duri. Segenap inci wajah itu diperhatikan. Muka berbentuk oval, mata yang tajam, hidung agak mancung, bibir mungil dan apabila bercakap kelihatan ada lekuk sebelah kanan tapi tidak berapa kelihatan.

“Encik nak apa sebenarnya?” Rina mula naik angin tambah-tambah apabila Izzhan mula menatapnya tanpa berkelip.

“Saya nak kawan dengan awak. Saya suka perempuan macam awak.”

“Tapi saya tak nak kawan dengan encik. Encik takkan mampu nak hadap perangai saya. Lagipun encik sendiri cakap saya sombong. Saya berani jamin, tak sampai seminggu encik memang akan lari.”

“Tak payah panggil saya encik. Panggil nama saya saja.”

“Ikut suka hati sayalah nak panggil apa.” Rina mengurut perlahan dahinya. Masalah kerja dan keluarga belum selesai, ditambah pula masalah yang dibawa oleh mamat ni. Nak jadi kawan konon. Sejak kecil dia tidak pernah ada kawan lelaki.

“Setuju nak jadi kawan saya?”

“Sampai mati pun saya tak setuju. Sila keluar sekarang dan jangan muncul lagi depan saya. Jangan sampai saya hilang hormat pada encik.” Tinggi suara Rina. Mungkin Izzhan ingat dia pura-pura jual mahal.

Izzhan hanya tersenyum lalu mengangguk tanda faham. Langsung tidak ambil hati. Sudah agak ini layanan yang dia dapat sebaik memasuki butik ini. “Okey, saya keluar dulu. Tapi jangan lupa makan. Staf awak cakap, bos mereka jarang keluar makan. Makan pun tak tetap masa. Kesihatan kena jaga baik-baik. Ingat, ramai sayangkan awak. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

Salam dijawab dalam hati. Hanya pandangan mata yang menghantar pemergian Izzhan. Lelaki, sengaja mahu tunjuk prihatin dan ambil berat seolah-oleh mereka baik. Tapi dalam hati siapa yang tahu. Penuh dengan tipu muslihat dan mangsanya tidak lain dan tidak bukan ialah perempuan. Nasib perempuan itu tidak termasuk dirinya.

“SELAMAT pagi…”

Rina memandang ke arah suara yang mengucapkan selamat pagi. Bibir diketap geram apabila melihat lelaki yang sedang tersenyum itu. Gugusan kunci disimpan semula ke dalam beg.

“Senyumlah sikit pagi-pagi ni. Nanti rezeki tak masuk,” tegur Izzhan. Suka pula dia melihat Rina berbaju kurung Pahang dan rambut disanggul tinggi. Gadis itu nampak manis.

Lelaki itu dipandang. Berpakaian formal seperti mahu ke pejabat. Tetap kemas tapi sakit pula hatinya yang melihat. “Awak nak apa? Tak puas lagi ke ganggu saya?”

“Saya nak pergi office. Kebetulan lalu depan butik nampak pula awak. Tu yang saya singgah. Saja nak tegur. Office saya kat Jalan Indah 7.”

“Tak tanya pun.” Geram dengan sikap terlebih ramah Izzhan. Butiknya terletak di Jalan Indah 26. Padanlah lelaki itu boleh singgah.

“Awal lagi ni. Jom pergi breakfast.”

“Kalau saya tak nak?”

Izzhan tersenyum. Cuba untuk tidak ambil hati dengan sikap dingin gadis ini. Tapi dia suka dengan keperibadian Rina yang tegas. Nampak sukar untuk didekati. Pasti ada cara untuk cairkan hati gadis itu. “Saya tak boleh paksa. Tapi saya harap suatu hari nanti awak sudi keluar makan dengan saya. Saya ikhlas nak kawan dengan awak.”

“Apa bukti awak ikhlas?” sampuk Rina.

Terdiam Izzhan sesaat dua. “Keikhlasan memang tak nampak, tapi saya boleh buktikan dan awak akan rasa keikhlasan saya. Saya betul-betul nak kawan dengan awak. Seumur hidup saya tak pernah jumpa perempuan macam awak. Tak sangka wujud lagi.”

“Tak sangka perempuan jahat masih wujud?”

“Bukan itu maksud saya.” Izzhan betulkan tanggapan Rina. “Awak bukan macam kebanyakan perempuan yang ada kat luar sana. Saya nampak sesuatu yang lain pada diri awak. Awak tak terhegeh-hegeh pada lelaki. Awak perempuan yang ada pendirian.”

“Kalau tahu saya tak terhegeh-hegeh pada lelaki, kenapa sibuk nak dekat dengan saya?”

“Sebab saya nak kawan dengan awak. Saya ikhlas.”

Tak habis-habis dengan ikhlas. “Penipu. Saya tak percaya lelakilah. Tolonglah jangan kacau saya lagi. Saya bosan, tahu tak?”

“Tapi saya tak bosan. Saya tak tahu apa yang terjadi dalam hidup awak sampaikan awak benci pada lelaki. Tapi percayalah semua lelaki tak sama. Saya bukan macam tu.” Bersungguh Izzhan beritahu. Sebab itu dia berani dekat dengan Rina.

“Ya ke?” Rina mengejek. Papanya dulu macam itu juga. Baik orangnya sebab itu ibu terima. Mereka hidup bahagia tetapi papanya berpaling tadah kepada wanita lain. Lelaki yang baik tidak akan menduakan isterinya.

“Awak bagi peluang saya kenal dengan awak dulu. Selepas kita kawan, kalau awak masih tak boleh terima saya, saya janji tak akan kacau awak lagi.”

“Peluang? Saya tak berminat.”

Izzhan mengeluh kecil. Tak sangka sebegini keras hati gadis ini. Dalam hati dia tertanya-tanya apa yang pernah berlaku dalam hidup Rina sehingga gadis itu membenci lelaki? Pernah putus tunang ke? Atau cinta dipermainkan oleh lelaki? Makin berminat pula untuk dia dekat dengan Rina.

Pintu dibuka lalu Rina melangkah masuk meninggalkan Izzhan. Sepuluh kali lelaki itu cuba dekat, sejuta kali dia akan sombongkan diri. Biar sampai satu tahap lelaki itu sendiri akan mengalah dengan kesombongannya.

USAI menggunakan mesin ATM, Rina terus pulang ke butik. Niat hati mahu singgah beli nasi tapi memandangkan orang tengah ramai, dia mengalah. Buang masa beratur panjang-panjang.

“Awal balik Rina?” tegur Kak Isma, pekerja yang paling lama berkhidmat dengannya sebaik Butik Warna dibuka.

“Orang kurang kat bank. Shifa mana?”

“Kat belakang tengah makan. Ni ada nasi dan lauk untuk Rina sekali. Pergilah makan. Akak dah makan dah.”

“Buat susah-susah aje. Saya boleh beli sendiri.”

“Eh, tak. Bukan akak yang beli. Ada pelanggan bagi. Tu yang akak ambil aje.”

Rina terus melangkah ke belakang. Bukan kali pertama ada pelanggan yang memberi makanan. Sudah banyak kali. Biasanya pelanggan tetap yang kebetulan singgah. Katanya ingin berkongsi rezeki. Tak pun makanan yang dihulurkan oleh pekerja-pekerja deretan kedai ini. Kadang mereka meraikan majlis seperti hari jadi. Jadi makanan yang banyak dihulurkan sedikit ke butik.

“Kak Rina kena habiskan sebab banyak sangat ni. Saya dah tak larat nak makan,” tegur Shifa yang tengah makan. Plastik berisi nasi ditolak ke tepi.

Rina membasuh tangan lalu duduk di kerusi. Nasi bungkus dibuka lalu dimakan.

“Kan best kalau hari-hari ada customer hantar makanan. Tak payah keluar dah. Duit pun jimat.”

“Ni customer mana pula yang bagi ni? Mesti nak mengurat Shifa,” soal Rina sambil menyuap nasi ke dalam mulut. Entah kenapa senang pula dia makan pemberian pelanggan. Mungkin disebabkan dia betul-betul lapar.

Pantas Shifa meneguk air. “Mana ada orang nak mengurat saya, kak. Dia nak mengurat akak. Sebab tu belanja makan semua ni.”

“Hah?”

“Alah, lelaki yang datang semalam tu. Dia yang bagi nasi ni. Tapi dia cakap jangan beritahu akak.” Shifa mengetap bibir apabila terlepas cakap.

Tidak menunggu lama, Rina terus bangun lalu membasuh tangan. Air mineral dibuka lalu diteguk perlahan. Sumpah, kalau tahu nasi ini pemberian Izzhan, dia tidak akan makan. Geli-geleman tekak.

“Kenapa akak tak habiskan? Membazir.”

“Shifa, dengar sini. Lepas ni kalau lelaki tu bagi apa-apa jangan ambil. Kita tak tahu dia letak apa dalam nasi ni. Entah-entah dah letak jampi. Nak bagi kita tunduk pada dia.”

“Eh, tak baiklah akak ni. Abang tu baik. Selalu senyum. Langsung tak sombong. Saya tengok dia pun dah tahu dia baik. Cakap pun sopan. Kalau dia jahat tak adanya dia bagi nasi ni.”

Rina menggeleng kepala dengan sikap lurus Shifa. Mudah sangat terpedaya dengan lelaki. Sebiji macam Qasya.

“Tu kekasih akak ke?” soal Shifa sambil tersengih. “Nampak sesuai aje dengan akak.”

“Oh my God. Pleaselah Shifa. Jangan nak merepek.”

“Taklah, saya tengok dia ambik berat pasal akak. Tadi masa nak bagi nasi siap cakap pastikan bos adik makan tau. Sweet pula dia panggil saya adik.”

Rina ketawa sinis. Apalah motif Izzhan? Tak dapat dia, cari pekerjanya pula. Disebabkan Izzhan, Shifa sudah fikir bukan-bukan. “Shifa, sepanjang awak kerja di sini pernah nampak saya layan mana-mana lelaki ke?”

Lambat-lambat Shifa menggeleng. “Akak sombong dengan lelaki. Kadang-kadang budak hantar surat pun selamba aje akak jerkah. Kesian dia. Sebab akak garang, semua lelaki tak berani dekat.”

Sikit pun dia tidak marah apa yang dikatakan oleh Shifa kerana kata-kata itu memang betul. “Lepas ni kalau dia datang lagi jangan layan. Setakat bagi nasi ni, apalah sangat.” Rina terus melangkah masuk ke bilik. Hilang terus rasa lapar.

JUBAH yang bergantungan dibelek satu per satu. Kemudian disusun mengikut saiz dan warna. Hampir 200 pasang jubah yang dijual. Sambil melihat tangannya merekod saiz jubah yang sudah berkurang. Setiap dua minggu dia akan buat pesanan. Paling awal seminggu selepas buat tempahan, baru pesanannya akan sampai.

Pada pemerhatiannya, jubah warna hitam paling cepat laris. Ada sesetengah jubah diupah sendiri oleh tukang jahit. Kualiti pun lebih baik daripada yang ditempah dari kilang. Tapi upah tukang jahit agak mahal. Jadi untuk menstabilkan perniagaan, dia terpaksa mengambil jubah separuh daripada tukang jahit dan separuh lagi dari kilang. Hanya harga yang berbeza. Pakaian yang lain dia hanya tempah apabila kuantiti semakin berkurang. Dia tidak suka simpan banyak stok. Pernah terjadi stok pakaiannya digigit tikus.

Banyak dia rugi tapi itulah pengalaman. Dia hanya simpan stok untuk baju-baju yang jualan sangat laris seperti jubah dan blaus. Lagipun dia tidak boleh simpan banyak. Ruang butiknya cukup terhad sampai kadang-kadang stok baju perlu disimpan di dalam biliknya.

Dia tak sanggup letak stok di bilik yang dijadikan tempat solat. Nanti akan mengganggu keselesaan pekerja. Tak apalah, hanya tempat ini yang mampu disewa. Itu pun sudah rasa cekik darah mahu bayar sewa RM4000 sebulan. Mengenangkan ini kawasan strategik iaitu berhampiran jalan raya, dia beranikan diri untuk menyewa.

Bunyi pintu menyentakkan Rina. Masuk sepasang lelaki dan perempuan sambil berpelukan. Matanya melilau mencari Kak Isma tapi tidak kelihatan. Mungkin belum selesai solat. Shifa pula keluar sebentar. Nak tak nak dia terpaksa melayan. Kurang senang pula dia melihat aksi terlebih mesra pasangan itu.

Bie, biasa-biasa aje baju kat sini.”

“Kita tengok dulu ya, ling. Mana tahu ada yang cantik. Lagipun kat sinikan banyak baju,” pujuk si jejaka.

Mahu muntah hijau Rina dibuatkanya. Bie… Ling…Meremang bulu romanya. Tengok pada gaya seperti belum bernikah tapi tak tahulah kalau dia salah tengok. Si gadis asyik memeluk lengan si jejaka. Bercinta sampai tak ingat dunia. Nanti bila lelaki itu tinggalkan kau, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah.

“Kak beli kat sini ada promosi tak?”

Rina melangkah ke arah pasangan itu. Si gadis dengan wajah sombong manakala si jejaka dengan wajah manis. Tapi sungguh dia mahu muntah apabila melihat si jejaka. Apa kau ingat kau handsome? Mahu saja dia hulur cermin. Cantik lagi patung yang ada di butiknya.

“Kalau nak potongan harga boleh daftar jadi ahli. Pendaftaran hanya sekali dengan bayaran RM20. Kalau dah jadi ahli, setiap pakaian yang cik pilih akan dapat potongan harga sebanyak 10 peratus,” jelas Rina saat si gadis sibuk membelek blaus. Dia menahan nafas apabila tiba-tiba si jejaka mengenyit mata kepadanya. Dia dah agak. Lelaki sekarang memang tak boleh dipercayai. Girlfriend ada di sebelah, siap berpegang tangan tapi mata masih lagi memandang perempuan lain. Kurang ajar betul.

Bie, yang ni cantik tak?”

“Cantik. You pakai apa pun mesti cantik. Baju tu pun nampak sesuai dengan kulit you. Pandai you pilih.”

Tersengih si gadis apabila dipuji begitu. Tambah bangga apabila teman lelakinya tanpa segan silu memuji di depan perempuan lain. Terasa bahagia.

“Okey, I pergi try dulu, ya.”

“Dah lama kerja kat sini?” soal si jejaka apabila teman wanitanya melangkah ke arah fitting room.

Tiada jawapan hanya jelingan tajam yang diberi. Rina melangkah ke kaunter pembayaran.

“Tak elok sombong dengan pelanggan. Bos you tak ajar ke cara menghormati pelanggan? Pelanggan yang datang kena layan baik-baik sebab gaji you pelanggan yang bayar,” kata lelaki itu sambil bermain-main dengan bunga hidup yang ada di kaunter. “Cantik orangnya. Tapi sayang kerja butik. Mesti belajar tak tinggi,kan?”

“Saya belajar sampai SPM aje. Encik pulak? Belajar sampai UPSR atau PMR?” sindir Rina sambil menjeling ke luar kedai. Tepat di depan pintu kedainya tersadai sebuah kereta Kancil. Parking yang dikhaskan untuk pelanggan. Siapa lagi pemilik kereta itu kalau bukan si jejaka tak cukup makan ini.

“Panggil bos you, I nak jumpa!” marah lelaki itu apabila dihina.

“Kenapa? Malu ke? Nak tunjuk bergaya, banyak duit, biar gadis-gadis terpaku. Tapi kereta pun setakat mampu pakai Kancil. Baju yang encik pakai sekarang entah-entah beli kat bundle. 4 helai RM10. Saja tunjuk banyak duit, belanja awek beli baju kat butik. Tapi apa pun tak ada.” Rina tersenyum sinis apabila wajah lelaki itu berubah. Mungkin tak sangka dia terima ayat pedas daripada seorang pembantu kedai.

Bie, I sukalah baju ini. I naklah. Betul-betul muat dengan I.” Si gadis muncul saat suasana semakin panas. “You kenapa ni? ”

“Pekerja ni mengurat I. Cakap I tak sesuai dengan you.”

Terus Rina buat-buat ketawa. Wah, sengaja mahu cari pasal dengannya.

“Eh perempuan, panggil bos kau. Aku nak jumpa. Muka tak tahu malu betul.” Baju di tangan dicampak ke atas kaunter.

“Saya bos kat sini. Butik ni saya yang punya.” Jujur Rina. Si lelaki nampak terkejut. “Untuk mengetahuan cik, saya tak hadap pun dengan boyfriend cik. Sebelah mata pun saya tak pandang. Saya mengurat dia? Sebenarnya dia yang cuba mengurat saya. Nasihat saya, tinggalkan lelaki macam ni. Tak rugi pun. Jadi perempuan jangan bodoh sangat. Gelap mata dengan lelaki sampai tak nampak apa yang dibuat. Di depan pijak semut tak mati tapi di belakang entah-entah cik ni cuma stok dia saja.”

“Jahatnya mulut kau.”

“Saya cuma cakap. Bantu kaum Hawa supaya tak mudah terpedaya dengan lelaki.” Rina tersenyum jahat apabila si gadis berlari meninggalkan si jejaka. Mungkin sudah terpengaruh dengan kata-katanya. Hilang satu pelanggan. Tapi tak apa sebab dia rasa puas.

Kak Isma muncul sambil menggeleng kepala. “Sah, lepas ni mereka tak nak datang sini lagi.”

“Siapa suruh cari pasal dengan saya.” Mungkin Kak Isma sudah dengar apa yang terjadi. Disebabkan inilah dia kurang gemar layan pelanggan.

TEPAT pukul 9 malam, Rina mula berkemas untuk pulang. Setelah memastikan semua pintu berkunci, dia menutup lampu dan pendingin hawa. Hanya lampu belakang dibiarkan menyala. Pintu utama dikunci lalu dia menuju ke kereta. Belum sempat kunci kereta dikeluarkan, beg tangannya tiba-tiba direntap. Sepantas kilat dia berpusing lalu menarik kembali beg tangannya. Dia tak boleh biarkan beg tangannya jatuh ke tangan peragut kerana ada wang sejumlah RM4000. Wang untuk membayar sewa kedai esok.

“Lepaslah!” jerit Rina sambil cuba menendang kaki lelaki itu. Tangannya cuba menggagau isi beg untuk mengeluarkan pisau. Memang dia ada simpan pisau kecil untuk keselamatan. Baru saja mahu mencapai pisau tersebut, lelaki itu terus memukul tangannya. Tak sampai beberapa saat, seorang lagi lelaki yang menunggu di atas motor turut serta. Dengar kasar dia ditolak sehingga terjatuh. Baru saja mahu bangun perutnya ditendang pula.

Rina mengaduh kesakitan apabila lelaki-lelaki itu pergi. Lambat-lambat dia bangun lalu duduk di hadapan longkang. Tidak tahu apa yang perlu dia buat sekarang. Semua hartanya ada di dalam beg tangan itu. Dia sudah mati akal. Kali pertama diragut. Matanya jatuh pada gugusan kunci di atas jalan. Pantas dia ambil. Hanya kunci butik yang selamat. Mungkin jatuh semasa dia bergelut tadi.

Lengannya yang terasa pedih dipandang. Malah tapak tangannya juga luka. Kenapalah dia yang jadi mangsa ragut? Adakah ini balasan kerana sudah menyakiti hati pelanggannya? Allah balas tidak sampai 24 jam. Sebuah kereta yang berhenti di depan butik dipandang. Kereta jenis BMW X6 warna hitam metalik.

“Rina, are you okay? Saya nampak awak kena ragut tadi. Kenapa awak melawan?” soal Izzhan risau. Kebetulan dia ada di seberang jalan. Apabila ternampak kejadian itu dia terus buat pusingan U.

“Saya tengah sakit sekarang baik awak pergi. Jangan nak naikkan angin saya.”

“Bagilah saya tolong awak. Awak tengah susah tapi masih nak sombong lagi.”

“Saya tak perlu pertolongan awak, faham tak?!” Makin tinggi nada suaranya makin terasa pedih di tangan. Dia mengibas-ngibas tangannya untuk menghilangkan rasa sakit.

Izzhan memandang tangan Rina. Jatuh kesian dia melihat gadis itu. “Jom saya teman awak pergi ke klinik.”

“Tak payah. Dalam butik ada first aid.”

“Luka macam ni baik terus pergi klinik. Lagipun bukan jauh. Situ aje.” Mulut dimuncungkan ke arah sebuah klinik berhampiran Butik Warna.

Rina mengeluh dengan kedegilan Izzhan. Ingat dirinya yang paling degil, rupanya ada lagi makhluk Allah yang lebih degil. Kalau tak mengenangkan tangannya yang semakin pedih, mahu saja dia halau lelaki itu.

“Kan senang macam ni,” puji Izzhan apabila Rina mengalah. “Lepas pergi klinik, saya teman buat report polis, ya.”

“Tak payah, saya boleh pergi sendiri,” tolak Rina sambil berjalan beriringan dengan Izzhan.

“Baik pergi malam ni. Bukan apa, dalam handbag mesti ada semua maklumat tentang diri awak. Mana tahu peragut tu masuk rumah awak pula. Kita kenalah siap sedia dari awal.”

“Peragut tu cuma ada kunci rumah tapi dia tak tahu saya tinggal kat mana. IC alamat kat kampung.” Rina tidak mahu mengalah. Sebaik sampai di klinik dia duduk di kerusi yang disediakan.

“Awak duduk dulu. Saya pergi daftar.”

“Lepas ni kalau kena ragut jangan melawan. Terkejut saya tengok tadi. Mujur kena tolak. Kalau kena tikam lagi teruk.” Izzhan duduk sebaik sahaja selesai membuat pendaftaran.

Rina hanya diam. Tak suka apabila orang cuba menasihatinya. Lelaki itu tahu apa? Selain menanggung sakit dia turut menanggung kerugian. RM4000 dan duit di dalam pursenya. Kalau tahu ini yang terjadi, awal-awal dia simpan di dalam biliknya.

IZZHAN memandang Rina yang hanya senyap di sebelah. Gadis itu leka memandang ke luar tingkap. Langsung tidak mempedulikannya. Tapi dia tidak kisah. Dapat tolong Rina yang dalam kesusahan pun sudah buat dirinya lega.

“Jom pergi makan.”

“Lepas makan awak nak heret saya pergi mana pulak?” soal Rina tidak puas hati. Sudahlah dia dipaksa ke balai polis. Entah macam mana dia boleh cair dengan pujukan Izzhan. Pandai lelaki itu ambil kesempatan saat dia sakit. “Cakap nak hantar balik rumah. Kalau tak nak hantar berhenti aje tepi jalan. Saya boleh naik teksi.”

“Awak suka buat sesuatu yang membahayakan diri awak. Biarkan awak tepi jalan ibarat menyerahkan awak pada penjahat. Ingat awak tu perempuan. Lainlah saya, duduk tepi jalan 10 jam pun tak ada orang nak culik.”

“Habis awak baik sangat? Siapa tahu awak ada niat jahat?” Dia menjeling Izzhan yang leka memandu. Langsung tidak terkesima dengan kata-kata pedasnya. Sempat lagi mengukir senyuman.

“Tapi saya tak buat apa-apa pun pada awak. Kalau saya ada niat tak baik mesti saya dah buat jahat pada awak. Tambah-tambah bila berdua-duaan dalam kereta. Apa pun boleh jadi,” balas Izzhan tenang.

“Mana tahu nak tunggu masa yang sesuai.”

Pecah ketawa Izzhan. Rina seorang yang sangat menjaga diri. Dia tidak salahkan gadis itu andai berburuk sangka kepadanya. Sesiapa pun akan terasa pelik jika melihat dia yang terlebih baik dan ramah. Mesti mereka ingat kebaikannya ada udang di sebalik batu. “Insya-Allah, awak selamat bila dengan saya. Saya akan jaga awak seperti saya jaga diri saya sendiri. Awak boleh fikir apa saja tentang saya. Janji saya tahu niat saya yang sebenar.”

Rina menelan air liur. Tekaknya terasa mual. Kalau terus bercakap boleh muntah hijau dia di dalam kereta ni. Bukan takat muntah hijau, kuning, biru semua ada. Jalan selamat baik dia diamkan diri. Tak sabar mahu segera pulang. Kejap lagi sampailah. Sekarang pun sudah masuk ke kawasan perumahannya. Dia memandang Izzhan apabila lelaki itu tiba-tiba berhenti.

“Jom teman saya makan dulu,” ajaknya lalu mematikan enjin. Bila masa lagi dia mahu makan bersama Rina. Lagipun dia belum puas berkenalan. “Atau awak tak nak makan kat tempat macam ni? Kalau tak nak kita makan kat tempat lain.”

Rina memandang warung yang sangat terkenal di kawasan rumahnya. Selalu juga dia dan Qasya makan di sini. Tempat ini sajalah yang dia mampu. Nak makan kat tempat lain mahal. Dia menjeling Izzhan. “Saya tunggu dalam kereta. Malas nak keluar. Tak nampak ke ramai orang duk melepak tu? Semua lelaki. Takkan saya nak pergi menyelit sekali?”

“Saya akan jaga awak.” Izzhan tersenyum.

Malas melayan Rina terus keluar. Lagi cepat dia teman lelaki itu makan, lagi cepat dia boleh balik. Berbulu sudah telinganya mendengar kata-kata Izzhan. Ada saja yang mahu dijawab. Langkah kaki diatur menuju ke meja yang kosong.

“Nak makan apa?” Izzhan duduk di depan Rina.

“Saya tak nak makan.”

“Rina, mana Qasya?” tegur wanita yang merupakan pelayan di warung makan itu.

“Kat rumah.”

“Patutlah tak ajak dia, nak makan dengan pakwe rupanya. Kali pertama Kak Nanu nampak pakwe Rina. Handsome orangnya. Sesuai sangat dengan Rina,” puji Kak Nanu sambil tersengih. Dikeluarkan buku kecil dari dalam poket apron.

Rina memandang Izzhan yang sedang tersenyum. Dalam keadaan seperti ini lelaki itu masih mampu tersenyum? Tak penat ke asyik senyum? Atau Izzhan sengaja mahu goda Kak Nanu dengan senyumannya? Apasal teruk sangat taste lelaki ini? Kak Nanu janda anak seorang.

Dia sudah mahu putus nafas mendengar kata-kata Kak Nanu. Sesuai? Tang mana yang sesuai tu? Dia dan Izzhan macam langit dan bumi. Tengok saja perbezaan yang paling ketara. Lelaki itu seorang yang gemar tersenyum berbanding dirinya yang selalu berwajah ketat. Agak-agaklah Kak Nanu kalau mahu puji sekali pun.

“Bagi saya char kuetiau dua, air suam dua.” Izzhan memesan sekali untuk Rina apabila gadis itu hanya senyap.

Kak Nanu mengerutkan dahi. “Bukan Rina tak makan char kuetiau ke?”

“Oh, ya ke? Maaf saya tak tahu.” Izzhan memandang Rina dengan harapan gadis itu beritahu apa yang mahu dimakan. Tapi hampa apabila Rina sengaja buat tak nampak.

Padan muka. Siapa suruh tunjuk pandai? Sekali dah malu. Rina ketawa dalam hati.

“Biasanya dia makan apa?” soal Izzhan kepada Kak Nanu.

“Dia selalu order nasi goreng cendawan. Itu memang kesukaan dia. Sekali dengan teh O ais.”

Izzhan mengangguk faham. Dia dah tahu satu kesukaan Rina. “Kalau macam tu bagi dua nasi goreng cendawan, tapi air jangan teh O ais. Bagi air suam.”

Sweetnya boyfriend Rina. Mula-mula order char kuetiau. Tahu Rina tak suka, terus order makanan yang Rina suka.”

Izzhan memandang Rina sebaik sahaja Kak Nanu melangkah pergi. Bilalah dia boleh lihat Rina tersenyum? Manisnya senyuman Rina pasti dia akan terbawa-bawa dalam mimpi. Sepasang mata tajam itu dipandang. Baru dia perasan bulu mata gadis itu lebat dan lentik.

“Jangan tengok saya boleh tak? Kang saya cungkil biji mata dengan garpu,” ucap Rina.

“Sejuk ke? Saya ambil kot dalam kereta sekejap.”

“Tak payah,” bantah Rina apabila Izzhan hendak bangun. Lagipun dia bukan sejuk tapi rasa sangat panas. Panas apabila terpaksa berhadapan dengan orang yang menjengkelkan matanya.

“Awak memang selalu pergi kerja pakai macam ni ke?”

“Maksudnya?”

“Ringkas dan simple. Biasanya kalau pemilik butik mesti mereka sangat bergaya. Dari rambut sampailah ke kaki. Dengan handbag yang berjenama. Cara berjalan, bercakap dan berpakaian semua menarik. Tapi awak cuma pakai jean dan T-shirt. Langsung tak nampak macam pemilik butik. Nampak lebih kepada pekerja. Staf awak pula yang nampak macam pemilik butik. Bergaya mengalahkan bos.” Jujur Izzhan berkata. Memang dia tak sangka. Semalam semasa jumpa pun dia fikir gadis ini pekerja di situ. Mujur pekerja Butik Warna beritahu siapa sebenarnya Rina.

“Lain orang lain penampilan. Saya tak boleh ikut mereka. Saya selesa cara macam ni.” Disebabkan urusan pelanggan diserahkan sepenuhnya kepada Kak Isma dan Shifa, jadi bab-bab penampilan dia kurang beri perhatian. Cukuplah stafnya yang bergaya dan cantik.

“Awak jadi diri sendiri. Walaupun hidup dalam dunia fesyen tapi awak masih dengan penampilan awak. Langsung tak mudah terikut,” puji Izzhan. “Lepas ni macam mana awak nak cari balik duit RM4000 tu? Bila nak bayar sewa?”

Apa yang terjadi dia sudah dengar apabila Rina memberi keterangan di balai polis. Biasalah kalau buat laporan, semua polis ingin tahu. Dari A sampai Z. Malah apa isi di dalam beg pun dia tahu. Nak tak nak gadis itu kena beritahu apa yang ada di dalam beg. Dia di sebelah hanya pasang telinga.

“Tak payah sibuklah.” Terpaksalah esok dia tebalkan muka jumpa tuan kedai untuk meminta tempoh bayaran. Nak tak nak terpaksa dia keluarkan wang simpanannya.

Melihat wajah Rina yang kembali hampa, pantas Izzhan menarik keluar dompetnya. Sekeping kad berwarna putih ditarik lalu dihulurkan. “Kalau awak nak minta tolong terus call saya. Jangan malu-malu.”

Rina tersenyum sinis sambil menjeling kad tersebut. “Umar Izzhan Datuk Umar. Pengurus Besar Umaru Holdings. Anak Datuk rupanya.”

“Datuk hanya pangkat. Anugerah atas kejayaan seseorang apabila dapat mencapai sesuatu yang membanggakan. Sebagai tanda penghormatan. Bila ajal memanggil, pangkat semua tak penting. Yang dibawa hanya amal ibadat.”

Rina menolak kad itu kembali kepada tuannya. “Memang saya susah tapi saya tak akan jatuhkan maruah saya minta tolong pada awak. Saya akan selesaikan masalah saya dengan cara saya sendiri. Awak ingat dengan duit saya boleh lemah? Saya tak perlukan duit awak. Satu sen pun saya tak hadap.”

Izzhan tersenyum. “Tolong bukan saja dari segi duit. Istilah tolong luas. Kalau awak susah, ingin teman berbicara, boleh telefon saya. Saya akan tolong dengar masalah awak. Awak sakit, saya akan tolong hantarkan ke klinik. Awak sedih, saya boleh hilangkan kesedihan awak. Awak nak keluar, saya boleh tolong temankan. Pendek kata kalau awak ada masalah, saya akan tolong selesaikan. Lagipun bukankah hidup kita perlu tolong-menolong? Tak salah kalau kita minta tolong. Itu tak akan jatuhkan maruah kita. Allah ciptakan manusia dengan berlainan kekuatan. Ada yang awak tak boleh buat tapi saya boleh buat. Kalau tak kenapa perlu ada istilah tolong?”

Rina terdiam. Lancar sekali bicara Izzhan. Bercakap sambil tersenyum. Dia yang dengar sudah tidak mampu melawan. Ya, memang itu yang dia fikirkan. Lelaki itu ada duit, pasti fikir dia akan terhegeh-hegeh ingin meminjam. Dia belum terdesak. Kalau terdesak pun dia takkan sesekali mencari Izzhan.

Sorry, makanan lambat sampai. Orang ramai pulak malam ni.” Kak Nanu meletakkan dua pinggan nasi goreng cendawan dan dua gelas air suam.

“Rina, jemput makan. Lepas ni saya terus hantar awak balik,” pelawa Izzhan apabila Rina hanya diam. Mungkin terasa apa yang dikatakan sebentar tadi. Tiada niat pun mahu menggores hati gadis itu. Dia bercakap dengan sangat berhati-hati. “Saya minta maaf kalau kata-kata saya agak lancang. Lepas ni saya tak akan sakitkan hati awak lagi. Saya faham kalau awak tak nak terima pertolongan saya.”

Diam.

“Kalau marah saya sekali pun, jangan sampai tak makan. Segan saya nak makan depan awak. Lagipun membazir kalau tak makan,” pujuknya lagi.

“Siapa suruh pandai-pandai order?”

“Okey, saya salah sebab pergi memandai. Kalau awak tak nak makan, saya bungkuskan. Awak boleh makan kat rumah.”

Sudu dan garpu dibersihkan dengan tisu. Pinggan berisi nasi goreng kegemarannya ditarik. Benci apabila dirinya terus dipujuk. Dengar suara lembut Izzhan pun dia boleh naik angin. Tak habis mahu memaksanya.

“Kak Nanu…” panggil Rina apabila sudah separuh makan. “Bagi teh O ais. Cepat sikit. Saya dah tercekik ni.”

“Tak elok minum air sejuk malam-malam,” tegur Izzhan tanda prihatin.

“Siapa minum air sejuk?”

“Habis teh O ais tu bukan sejuk?”

Rina menolak pinggannya ke tepi. Hilang mood makan. Ada aje idea mahu mencari salahnya. “Yang awak nak sibuk sangat kenapa? Saya yang minum, bukan awak.”

“Saya tak nak awak sakit.”

“Saya tak pernah sakit sebab minum teh O ais. Tak payah nak tunjuk baiklah. Saya tak suka.” Sebaik sahaja teh O ais yang dipesan tiba, dia terus menyedut air teh O ais. Sekejap saja habis licin. Disedut air sampai berbunyi. Kemudian air batu diangkat dengan straw lalu dimasukkan ke dalam mulut. Biar terkejut Izzhan melihat aksi kurang sopannya. Nak sangat makan dengannya. Ingat dia nak sopan-sopan masa makan? Oh, memang taklah.

Izzhan pula yang sopan. Makan pun kunyah perlahan. Dia, masuk nasi ke dalam mulut kunyah sekali dua terus telan. Biar lepas ini lelaki itu serik mahu mengajaknya makan. Dipandang Izzhan. Lelaki itu hanya selamba. Macam tak ada perasaan pula.

“Dah kenyang?” soal Izzhan apabila melihat Rina tidak lagi menjamah makanan. “Saya tak habis lagi. Sekejap, ya.”

Baru saja mahu menyambung makan, telefon Izzhan yang berada di atas meja berbunyi. Tidak menunggu lama dia terus mengangkat panggilan. “Waalaikumussalam, ya umi. Izz tak balik lagi. Tengah makan. Makan dengan kawan.”

Rina mengetap gigi. Tak habis-habis mengaku kawan. Lancar pula tu.

“Dengan Rina. Semalam kan umi jumpa dia. Izz makan dengan dialah. Lepas hantar dia, Izz terus balik. La, keluar makan aje. Takkan tak boleh? Lagipun Rina baru kena ragut. Izz tolong. Oh, okey. Nanti Izz sampaikan. Waalaikumussalam.” Telefon kembali diletakkan di atas meja. “Umi kirim salam. Dia cakap ada masa suruh bawa awak datang rumah. Dia nak kenal.”

Salam dijawab dalam hati. Anak mak rupanya Izzhan ni. Cakap dengan mak pun lembut saja. Balik lambat pun mak telefon tanya ada kat mana. Jujur pula lelaki ini beritahu apa yang terjadi.

“Umi saya memang macam tu. Semua kawan saya dia jemput datang rumah. Sebab tu semua kawan saya dia kenal. Nanti kalau awak nak jumpa umi saya, saya boleh bawakan.”

“Atas alasan apa saya nak jumpa umi awak?”

Izzhan terdiam. “Mana tahu awak teringin nak jumpa. Lagipun tak salah kalau berkenalan. Mana tahu umi saya pun suka awak.”

“Makan cepat sikit. Saya dah bosan kat sini,” ucap Rina. Malas nak melayan. Kalaulah rumahnya dekat sudah lama dia balik jalan kaki.

SEBAIK sahaja kereta yang dipandu Izzhan berhenti di hadapan rumah, Rina terus membuka tali pinggang keledar. Tak sabar-sabar mahu keluar. Malam ini adalah malam yang paling membosankan apabila dia perlu menghadap wajah tenang lelaki itu.

“Awak duduk seorang saja ke?” Sengaja Izzhan bertanya supaya Rina berada lebih lama di dalam kereta. Sedih pula mahu melepaskan gadis itu pergi. Sungguh dia suka keluar dengan Rina.

“Dengan Qasya.”

“Esok saya ambil awak, ya. Kereta awak kan ada kat butik.”

“Tak payahlah tunjuk baik depan saya. Cukup sampai sini saja. Saya dah tak nak terima apa-apa pertolongan lagi. Ini adalah pertemuan kita yang terakhir. Lepas ni saya tak nak tengok awak lagi.”

“Esok awak nak pergi butik macam mana?”

“Itu bukan masalah awak. Kalau saya tak boleh pergi butik pun saya boleh duduk rumah. Jangan nak menyibuk hal saya.”

“Bagus juga duduk rumah. Boleh berehat. Biar lengan awak baik baru kerja semula. Ubat tu jangan lupa makan.”

Rina ingin membuka pintu tetapi berkunci. “Buka kunci, saya nak keluar ni.”

Izzhan hanya diam. Sengaja dia tidak mahu buka.

“Okey, macam ni.” Rina cuba menenangkan dirinya. “Saya takkan sesekali ucap terima kasih. Awak lupa apa yang saya cakap masa kereta saya pancit? Saya tak perlu pertolongan yang awak beri malam ni. Lagipun kalau ikhlas, awak tak akan hadap ucapan terima kasih saya.”

“Saya tahu awak tak akan ucap terima kasih. Saya pun tak kisah. Cuma saya sedih bila terpaksa berpisah dengan awak. Saya tak nak malam ini menjadi pertemuan terakhir kita.”

Rina ketawa sinis. “Apa awak melalut malam-malam? Sedih berpisah? Eh, saya nak tanya awak. Siapa saya pada awak sampai awak nak sedih bagai? Saya kekasih awak ke? Tunang? Isteri? Jangan nak buat drama sangatlah. Kenal pun baru berapa hari.”

“Itu yang saya rasa. Tempoh perkenalan tak penting. Yang pasti saya dah rasa dekat dengan awak. Bila awak sakit saya pun rasa sakit. Saya anggap kita dah lama kenal.”

“Ya Allah…” Rina meraup rambutnya. Rasa telinganya sudah berdarah. “Lelaki kalau bercakap manisnya mengalahkan gula. Awak dah salah orang. Saya tak akan tergoda dengan kata-kata awak. Jujur saya cakap yang saya dah menyampah dengan awak. Faham?”

Tersentak Izzhan dengan kata-kata spontan Rina. Sungguh dia tidak faham dengan gadis ini. Mengapa sekeras ini hati Rina? Masih tidak nampak keikhlasannya ke? Dia cuma mahu berkawan.

“Mesti awak fikir saya akan ucap terima kasih. Saya akan terharu dengan apa yang awak buat kemudian terima awak jadi kawan. Lepas tu kita akan rapat lepas apa yang menimpa saya. Awak silap. Saya tetap saya. Simpan semua perangai baik awak untuk orang yang lebih memerlukan. Saya tak akan hargai. Ini baru sikit awak kenal saya. Saya yang sebenar lagi teruk daripada apa yang awak bayangkan.” Rina melangkah keluar dari perut kereta. Jelingan tajam dihadiahkan sebagai ganti ucapan terima kasih.

KAU nak pergi kerja ke?” soal Qasha apabila melihat Rina muncul di dapur.

“Habis kalau aku tak pergi, siapa yang nak tengokkan butik tu?” Milo 3 in 1 dikeluarkan lalu dibancuh. Siap bancuh dia duduk di meja makan.

“La, kau tu kan bos. Kau nak pergi ke, tak nak ke, mana ada orang nak marah. Setakat tak pergi sehari, tak bankrapnya butik kau.” Roti dicecah air lalu dimasukkan ke dalam mulut. “Kalau aku jadi bos, memang taklah aku pergi kerja. Sakit pun tak hilang lagi.”

Rina hanya diam. Jadi boslah dia kena kerja kuat. Tak boleh duduk diam. Hala tuju Butik Warna semuanya bergantung bagaimana cara dia mengurus. “Hantar aku pergi butik, ya.”

“Hantar? Kenapa kau tak cakap awal-awal? Aku tak pergi office. Singgah tempat lain dulu. Hantar dokumen yang bos aku kirim.”

“Ya ke? Tak apa nanti aku cari teksi.”

“Siapa tu?” soal Qasha apabila mendengar bunyi hon. “Kau dah call teksi ke?”

“Tak ada.”

“Aku pergi tengok kejap.”

Sekeping roti diambil lalu disapu mentega. Nanti dia mahu singgah butik sekejap. Selesai apa yang patut, dia nak ke UTC. Buat lesen dan ic. Kemudian ke bank. Kalau tak sempat terpaksa dia selesaikan esok.

“Rina, Encik Izz datang!” laung Qasya.

Rina tersedak. Telinganya salah dengar ke?

“Dia datang nak jumpa kau. Pergilah jumpa dia. Aku pergi dulu,” beritahu Qasya lalu beg tangannya diambil.

Hesy, memang tak tahu mengalah ke apa Izzhan ni? Hati kering betul. Ingatkan tak nak jumpa lagi. Semalam dia nampak kekecewaan di wajah itu. Tapi tak sangka hari ini lelaki itu masih berani datang ke sini. Rina sengaja berlama di meja makan. Biar lelaki itu terus menunggu. Tiada niat pun dia mahu menemui Izzhan. Tengoklah nanti cukup sepuluh minit pasti lelaki itu terus beredar.

Selesai sarapan, Rina melenggang ke ruang tamu. Langsir diselak. Dia mengeluh apabila melihat Izzhan menyandar di kereta. Masih tidak mahu mengalah. Saat perasan lelaki itu melihat dirinya, pantas dia menutup semula langsir. Dia akan tunggu lagi sepuluh minit. Kalau lelaki itu masih tidak bergerak, dia terpaksa keluar.

Keluar bukan untuk berjumpa tapi keluar sebab dia mahu menunggu teksi di perhentian bas. Cukup sepuluh minit, dia kembali mengintai. Rina mengeluh geram. Beg tangan dicapai lalu dia melangkah keluar. Pintu dan grille dikunci.

“Selamat pagi…” s kimoterapi apa Izzhan sambil menghalang laluan Rina. Penantiannya berakhir. Mengalah juga gadis berhati batu ini.

“Tepilah.”

“Jom saya hantar pergi butik,” pelawa Izzhan lalu membuka pintu keretanya.

Rina menutup semula pintu kereta dengan kasar. “Tak perlu. Awak ni kenapa? Mimpi apa semalam sampai lupa apa yang saya cakap?”

“Awak cakap apa?” Izzhan pura-pura tanya.

“Saya cakap saya dah menyampah dengan awak,” luah Rina selamba. Bagi sedar sikit.

Izzhan mengangguk sambil tersenyum. “Saya ingat. Tapi saya tak kisah pun.”

“Awak ni memang tak ada perasaan ke? Kenapa masih nak terhegeh-hegeh pada orang yang tak sudi?” Rina mengetuk dahi apabila melihat wajah tenang Izzhan. Aku cakap dengan manusia ke pokok? “Macam mana saya nak bagi awak faham? Janganlah jadi bodoh.”

“Saya nak tolong awak. Lepas saya hantar awak pergi butik, saya tak kacau awak dah.”

“Saya tak percaya. Apa motif sebenar awak rapat dengan saya? Saya tak ada harta, muka pun buruk. Tak ada yang boleh dibanggakan. Kenapa awak masih nak rapat dengan saya sedangkan awak sedia maklum saya jenis macam mana? Awak langsung tak ambil hati apa yang saya cakap sebelum ni ke?”

“Saya suka tengok awak, cara awak, pendirian awak. Awak lain daripada perempuan yang saya pernah kenal. Awak satu dalam seribu. Awak seorang yang tegas.” Jujur Izzhan memberitahu. “Kalau tak nak rapat pun, cuma kawan biasa-biasa pun saya tak kisah.”

“Kalau awak ni perempuan, saya boleh jadi kawan awak. Tapi awak lelaki. Saya benci lelaki. Saya anti lelaki. Jangan cakap dengar suara, tengok muka lelaki pun saya boleh naik angin. Lelaki tak pandai hargai apa yang Allah bagi.”

Izzhan merenung Rina. Lain macam saja bicara gadis itu. “Saya ajak awak kawan, bukan suruh awak terima saya sebagai teman lelaki. Kawan dan teman lelaki itu berbeza.”

“Tak, itu sama sebab melibatkan lelaki. Saya tak nak awak pergunakan saya. Cukuplah apa yang saya rasa selama ni. Saya tak perlukan lelaki dalam hidup saya. Saya benci.” Rina menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu. Laju saja dia meloloskan diri ke dalam perut teksi. Lelaki itu muncul dalam hidupnya secara tiba-tiba. Dia masih terkejut dan masih tidak boleh menerima Izzhan.

Memang permintaan lelaki itu cuma mahu berkawan, tapi siapa tahu apa yang akan jadi lepas mereka berkawan. Izzhan pandai bercakap. Dia takut hatinya akan goyah lalu menganggap lelaki itu lebih daripada kawan. Saat dia mula sayang, Izzhan akan tunjuk belangnya. Dia tidak mahu semua itu terjadi. Pendiriannya adalah jangan percayakan lelaki. Sekali dia terjebak, payah untuk dirinya lari. Baginya lelaki ialah racun yang akan merosakkan hidupnya.

Biarlah dia hidup begini. Dia selesa.

 

TEPAT 6 petang Rina melangkah masuk ke dalam rumah. Beg tangan dicampak ke atas meja lalu dia merebahkan diri di atas sofa. Mata dipejam rapat. Sungguh dia sangat penat berkejaran ke sana sini. Tapi dalam masa yang sama dia berasa lega kerana dalam masa sehari urusannya sudah selesai.

Baru saja mahu terlelap, dia teringatkan sesuatu. Pantas telefon rumah dicapai. Ibu di kampung masih belum tahu apa yang terjadi. “Helo ibu…” Rina memberi salam apabila talian bersambut.

Waalaikumussalam…”

Air liur ditelan apabila mendengar suara garau itu. Dia kenal pemilik suara itu. Suara yang sudah lama tidak didengarnya.

“Rina sihat? Bila nak balik kampung? Papa dan ibu rindu dengan Rina. Baliklah jenguk kami.”

“Saya nak cakap dengan ibu,” tegasnya. Langsung tidak menjawab soalan papanya. Entah apa yang dibuat di rumah ibu pun dia tak tahu. Mesti bergaduh dengan bini muda. Pandai pula cari bini tua.

“Ibu tengah solat. Rina cakap dengan papa. Nanti papa beritahu ibu.”

Tidak menunggu lama, Rina terus letak gagang telefon. Meluat, benci, marah semua bergabung menjadi satu. Kalau tahu papa yang angkat, sumpah dia tidak akan telefon. Rindu konon. Memang penipu besar. Ayah yang sayang anak mesti akan hadap perangai anak walaupun anaknya degil. Tapi papanya? Sibuk dengan bini-bini muda. Balik rumah baru sibuk tanya khabar dia.

 

PAGI hari lagi Rina sudah muncul di butik. Bekerja seperti biasa walaupun tangannya masih berbalut. Dia tahu setiap pengorbanan yang dilakukan pasti akan membuahkan hasil suatu hari nanti. Usai membuka lampu dan pendingin hawa, dia terus ke kaunter. Menyemak jualan semalam dan mengira untung. Kemudian sempat dia membersihkan kaunter yang kelihatan berselerak. Mungkin Kak Isma dan Shifa sibuk semalam sehingga tidak sempat mengemas.

“Assalamualaikum.”

Rina mendongak apabila melihat Izzhan muncul. Dia memandang pintu kaca. Patutlah lelaki itu masuk, dia lupa kunci pintu. “Waalaikumussalam.”

“Sihat?”

“Alhamdulillah.” Nak tak Rina menjawab. Jujurnya dia sudah penat bergaduh dengan lelaki yang tidak kenal erti putus asa ini. Mengalah bukan bermakna dia menerima Izzhan sebagai kawan, tetapi untuk menjaga hatinya supaya tidak lagi sakit. Sakit kerana melayan perangai lelaki yang tidak mahu mengalah. “Nak apa datang sini?”

“Saja singgah sebelum saya ke office. Nak tengok keadaan awak.”

Rina mengangkat tangannya yang berbalut. “Nampak tak?”

“Alhamdulillah makin baik.”

“Lain kali tak payah susah-susah datang sini.”

“Tak susah pun. Kalau awak nak saya boleh singgah sini hari-hari,” jawab Izzhan tenang. Suka hatinya apabila melihat Rina sudi bercakap walaupun nada suara masih dingin.

Rina ketawa sinis. “Isteri awak tak marah ke nampak awak dengan perempuan lain?”

“Saya tak kahwin lagi.”

“Oh, habis tunang awak tak marah? Girlfriend? Secret admirer? Kekasih gelap? Mereka tak marah? Saya tak nak kena serang atau main tarik-tarik rambut nanti.”

“Saya tak ada semua tu.”

“Tak ada?” soal Rina seolah-olah tidak percaya. Lelaki bergaya macam ni pun masih single? Tak ada anak dara yang berkenan ke? Atau Izzhan terlalu memilih? Penipu aje ni. “Saya cuma nak ingatkan supaya jangan duakan isteri, tunang or girlfriend awak. Mana tahu awak ada niat nak pasang lain. Saya tak naklah jadi orang ketiga. Saya tak cakap awak cuba pikat saya. Memang teruk betul taste awak kalau apa yang saya anggap ni betul.”

“Tapi kalau betul boleh saya cuba pikat awak?” potong Izzhan.

Telinga Rina sudah berbulu. “Awaklah lelaki paling rugi dalam dunia. Awak ada rupa, pangkat, tengok muka mesti orang berpendidikan, kan? Awak keluar aje dari butik ni, awak akan nampak ramai anak dara yang cantik-cantik. Tak nak anak dara, janda pun banyak yang meletop. Yang bergetah. Pilih mana awak berkenan kemudian pikat dia. Habis cerita. Tak payah buang masa kat sini. Awak tak akan dapat apa-apa.”

“Habis kalau saya dah berkenan yang ada di depan mata saya, macam mana?”

Rina mengetap gigi. Dipandang wajah Izzhan yang bersungguh-sungguh. “Awak cuma bertepuk sebelah tangan. Awak tahu kan maksudnya? Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Cuma awak yang nak, saya tak ingin. Bukalah mata awak sikit. Pandang perempuan lain.”

“Macam mana saya nak pandang perempuan lain kalau saya dah terpikat dengan awak?” Jujur Izzhan berkata. Memang itu yang dia rasa. Sehari tidak melihat Rina dia sudah rasa lain. Sebab itu dia akan singgah ke sini terlebih dulu. Melihat wajah dan mendengar suara itu seolah-olah dapat memberinya semangat. “Memang awak tak percaya. Kalau saya kat tempat awak pun saya tak akan percaya. Kenal tak sampai seminggu terus mengaku dah terpikat. Mesti awak ingat saya gila. Tapi semua itu jujur dari hati saya. Saya tak tipu. Saya ikhlas. Kalau awak terima saya, saya suruh umi masuk meminang awak secepat mungkin.”

Terbatuk Rina mendengar tutur Izzhan yang lancar. Tekaknya seperti terlekat sesuatu sehingga mengganggu pernafasannya. Dia mengipas muka yang terasa panas. “A…apa awak me… merepek ni? Meminang? Oh, my God.” Sah, Izzhan dah gila. Gila nak berbini.

“Saya minta maaf kalau awak terkejut.” Air mineral di atas kaunter diambil. Penutup botol dibuka lalu dihulurkan kepada Rina. Melihat gadis itu yang kembali okey, dia menarik nafas lega. Sah kejap lagi dia kena maki hamun. “Saya nak tunjuk yang saya betul-betul ikhlas.”

“Tak perlu tunjuk. Saya tak nak tengok.”

“Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Izzhan meminta diri apabila melihat wajah Rina mula berubah.Mungkin ini bukan masa yang sesuai. Dia pun satu, nampak sangat tergopoh-gapah. Macam mana Rina mahu percaya.

“Lain kali tak payah datang lagi.” Sempat Rina tinggalkan pesan. Dia tahu pesanannya seperti mencurah air ke daun keladi. Pagi besok mesti lelaki itu bertenggek lagi di butiknya.

“Tak pernah aku jumpa lelaki gila macam ni,” ujarnya sendirian.

 

WALAUPUN cuba menyibukkan diri, tapi fikiran Rina tetap teringatkan kata-kata berani Izzhan. Kenapa dia nak ambil serius? Patutnya kata-kata seperti itu bagai angin lalu di telinganya. Kali pertama dia berada dalam situasi ini. Adakah kata-kata Izzhan merupakan lamaran?

Sungguh dia tidak faham dengan lelaki itu. Semudah itu mengakui sudah terpikat dengannya? Kalau mereka kenal lama pun dia masih tidak percaya, apatah lagi tempoh perkenalan yang singkat ini. Tambah-tambah perangainya yang tidak mempercayai lelaki. Sekarang dia sedang diuji oleh seorang lelaki. Argh, boleh gila hidupnya.

Dalam masa seminggu hidupnya berubah. Sebelum ini dia cuma memikirkan masalah butik, sekarang tambah lagi satu masalah. Dia perlu cari ketenangan. Mahu pulang ke kampung tapi apabila teringatkan papa, dia terus malas.

“Kak Rina…”

Rina tersentak apabila ditegur. Terpelanting jatuh pen yang dipegangnya. Dia memandang Shifa yang hanya tersengih. “Shifa, lain kali ketuk dulu. Tak pun bagi salam. Jangan main terjah macam ni. Terkejut tau.”

“Saya dah ketuk. Kak Rina yang tak dengar. Ada orang nak jumpa.”

Izzhan. Terus nama itu muncul. Siapa lagi yang datang butik kalau bukan lelaki itu? Nak kena kejar dengan parang juga si Izzhan ni.

“Cakap kat dia saya tak nak jumpa.”

“Bukan abang handsome yang selalu jumpa Kak Rina tu. Tapi orang lain. Handsome juga tapi tak boleh lawan dengan pakwe Kak Rina tu.” Shifa cuba mengingati kembali nama yang diberitahu tadi tapi dia lupa.

“Nanti saya keluar,” ucap Rina malas. Lelaki mana pula kali ni? Entah-entah kawan si Izzhan. Dah pandai main kasar sekarang bawa kawan datang butik. Rina melangkah keluar dari biliknya. Dari jauh dia sudah melihat satu susuk tubuh yang berdiri sambil membelek jubah. “Ada apa nak jumpa saya?”

Saat matanya melihat wajah itu, jantungnya seakan-akan terhenti berdenyut. Sungguh tidak sangka lelaki ini datang ke butiknya. Nama, wajah dan segala perihal lelaki itu sudah dia lupakan. Tidak mahu diingat kembali kerana hanya akan menyakitkan hati.

“Rina…”

“Nak apa lagi?” Dipandang lelaki bernama Redza itu. Lelaki yang turut tersenarai dalam sejarah hidupnya. Antara lelaki yang dibenci.

“Abang nak jumpa Rina sekejap.”

“Sekarang dah jumpa, kan? Cepatlah cakap. Tolong jangan buang masa saya.” Rina cuba mengawal marahnya apabila melihat Kak Isma dan Shifa mula terjenguk-jenguk. Lagipun dia tidak mahu membuat kecoh kerana ada beberapa orang pelanggan. Langkah kaki diatur menuju ke sofa.

“Rina sihat? Kenapa tangan berbalut? Maaf abang lama tak jumpa Rina.” Redza turut melabuhkan duduk. Dipandang tangan Rina yang berbalut. Langsung tidak ambil hati dengan layanan dingin gadis itu.

“Itu bukan masalah awak. Saya sakit sekalipun saya tak minta awak jaga saya. Selama ni saya hidup sendiri, alhamdulillah sampai sekarang masih bernyawa.”

“Abang dapat pindah KL. Abang tak tinggal kat Singapore lagi. Lepas ni bolehlah abang tengok-tengokkan Rina.”

“Kenapa beritahu saya? Awak tak ada lagi saya suka. Bertahun kita tak jumpa, kenapa sekarang muncul? Apa tujuan awak? Nak sakitkan hati saya? Tak puas ke apa yang awak dah buat pada saya sebelum ni?” luah Rina perlahan.

“Kenapa Rina cakap macam ni? Rina tanggungjawab abang. Bila abang kat sini, abang akan jaga Rina. Setuju atau tak, abang tak kisah,” tegas Redza. Memang dia sedia maklum perangai degil dan keras kepala Rina. “Rina masih tak nak terima abang ke? Sampai bila nak hidup macam ni? Abang sayangkan Rina. Bagi peluang abang jaga Rina. Abang akan buktikan tak semua lelaki sama dengan apa yang Rina fikir. Lupakan apa yang terjadi antara kita. Tak guna berdendam. Kita mulakan hidup baru.”

Seorang lagi makhluk yang degil selepas Izzhan. Memang mereka boleh jadi geng. Sengaja tunjuk hero di depannya. Yang sana cakap begini, yang sini cakap begitu. Lama-lama dia boleh masuk Hospital Tanjung Rambutan.

“Saya mulakan hidup baru sebab saya nak lupakan kehidupan lama saya. Kehidupan yang penuh dengan air mata dan dendam. Kalau awak sayangkan saya, biarkan saya dengan hidup saya. Awak tak akan kacau saya sebab awak tahu saya benci awak,” gumam Rina sambil memandang tepat ke mata Redza. Biar lelaki itu tahu dia bersungguh dengan apa yang diucapkan.

“Saya penat, sangat penat,” ujar Rina lalu meninggalkan Redza sendirian.