Detik Persona

RM17.00

Penulis: Halis Azhan

Caption: –

ISBN: 978-967-406-199-9

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 17.00 RM 20.00

Mengepalai pasukan editorial “Persona” bukanlah keutamaannya. Dia hanya ingin meleraikan resah

gara-gara Ain berkerenah. Begitu pun beralah tidak lagi menjadi pilihan apabila Ain dan pasukan

editorial “Persada” cuba menyaingi. “Persona” dan “Persada”, sama-sama mengintai gah. Setapak demi

setapak dia dan pasukan editorial “Persona” melangkah, sederap bersama, mengatasi segala tingkah.

Dia, dan “Persona”, mengejar detik persona.

Apakah konflik sebenar antara Falina dan Ain? Mengapakah Falina tidak disenangi oleh Ain, sehingga

pergolakan sesama mereka menimbulkan persaingan antara dua pasukan editorial, “Persona” dan “Persada”.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

BERHATI-HATI.

 

Pada kali pertama menatap tadi, cerpen nukilan Ain itu memang kelihatan serba sempurna. Pendek kata, dia telah mematuhi hampir semua prinsip penulisan cerpen seperti yang pernah diajarkan oleh Cikgu Shamri di kelas kami. Cerpen itu ada segala-galanya, kecuali sebaris pendek tajuk yang sesuai.

Namun setelah dua kali menatap pula, aku dapat mengesan beberapa perkara yang khilaf. Sedang elok mendepani Ain sekarang, memang tidak kena kalau aku mendiamkan diri. Paling baik aku berterus-terang sahaja. Ketika menarik nafas dalam-dalam, seraut wajah yang selalu mendesak itu kutatap.

“Betul ke, Ain… kau tulis sendiri cerpen ni?” tanyaku ragu-ragu. Aku menanda beberapa baris ayat yang mengelirukan itu dengan hujung jari-jemari, tidak akan menitipnya dengan dakwat sebarang warna selagi Ain tidak mengaku apa-apa.

Aku nampak Qistina menyinggung lengan Ain.

“Mestilah aku tulis sendiri. Sejak dulu pun, guru-guru BM selalu puji karangan aku. Itu kau memang tahu, kan?” kata Ain. Dia cuba melorekkan senyuman, tetapi ketara cuma memaksa diri.

Ah! Dia sahaja yang selalu dipuji? Apa kurangnya aku? Di SMK Taman Syahdu, aku mendapat perhatian yang sama baik dengannya.

Aku cuba buat-buat tidak peduli dan tunduk melihat halaman kedua cerpen itu semula. Nama watak protagonisnya Edora kali pertama digunakan di halaman itu. Selainnya, Dora di halaman-halaman lain ialah Sindora. Menjelang konflik dalam cerpen ini menemui noktah, Dora tiba-tiba menyeru ayahnya sebagai ‘ayah’, sedang sebelum itu secara konsisten sebagai ‘papa’. Selain itu, latar tempat juga tidak tekal. Sekejap di Kuala Lumpur, sekejap pula di Bandar Bukit Persada. Beberapa baris ayat ditaip berulang, tidak habis, ada juga yang tergantung.

“Kenapa Falina? Tak percaya?” tanya Qistina. Pada awal tahun dahulu, pelajar perempuan berambut ikal ini belajar sekelas dengan kami di Tingkatan Empat Alpha, kemudian bertukar ke Tingkatan Empat Sigma.

Aku belum mahu menjawab pertanyaan Qistina. Aku tidak ada apa-apa urusan dengannya. Seboleh-bolehnya, garis sempadan itu kekal seperti itu. Dia pasti tidak sahaja-sahaja menyapaku. Kalau tiba-tiba membuka mulut kepada seseorang yang jarang-jarang didepaninya, hampir pasti Qistina ada helah yang terselindung.

“Atau ada apa-apa yang tak kena dengan format? Aku dah ikut semua syarat penyertaan.” Ain mendesak lagi. Tidak ada apa-apa yang tidak kena dengan naskhah itu. “Aku cetak atas kertas A4, cerpen ditaip double spacing dan font Times New Roman saiz 12. Cerpen ditaip sebelah muka dan semuanya ada nombor halaman. Dan lagi, aku cetak empat naskhah semuanya untuk semua hakim.”

Aku menggeleng. Masalahnya bukan format, dan bukan juga bilangan naskhah yang perlu dicetak kepada urus setia dan para hakim. Dengan segala yang tertera yang dapat kufahami, hatiku lebih berat menyatakan pendapat yang berbeza.

“Apa yang tak kena?” Ain bertanya lagi.

Sebenarnya, lebih mudah kalau aku menandatangani sahaja ruangan akuan penerima pada borang penyertaan Ain. Persoalan yang sedang tersangkut di hati ini lebih elok dibincangkan dalam bilik redaksi sahaja. Kalau andaianku mengena, paling baik biarlah para pengarang dan guru penasihat majalah Persada sahaja yang maklum.

“Kalau aku tak silap, tugas kau terima karya pelajar saja. Sama ada karya itu bagus atau tidak, guru-guru BM semuanya lebih pandai menilai daripada kau,” celah Qistina sekali lagi ketika aku teragak-agak untuk berterus-terang.

“Taklah. Bukan macam tu,” tingkahku cepat-cepat. Seboleh-bolehnya, aku tidak ingin membenarkan pelajar perempuan itu campur tangan.

“Eh! Apa tu? Cakap sekali lagi,” kata Qistina, buat-buat tidak mendengar.

Ah! Aku meluat sungguh melihat Qistina yang sengaja berkerut.

“Tak ada apa-apalah,” balasku dengan geram.

“Hah! Kalau dah tak ada apa-apa, jangan tunggu lama-lama lagi. Ain beritahu aku tadi, dia penat sangat siapkan cerpen itu sepanjang hari minggu yang lalu Dia minta tolong kau carikan tajuk yang sesuai saja,” kata Qistina lagi. Dengan tidak semena-mena, dia menghulurkan sebatang pen berjenama kepadaku. Kertas borang penyertaan Ain memang telah ada di tanganku.

“Kenapa kau tak cuba semak cerpen Ain ini, Tina? Kau kawan baik dia, kan? Sebagai pengarang, aku sepatutnya terima karya yang dah siap elok saja.” Aku cuba cuci tangan. Selalu orang berkata, bercakap dengan Qistina paling elok dengan nada menempelak.

“Aku… aku…,”

“Apa yang tak kena lagi, Falina?” ulang Ain, tahu dia perlu memintas kerana Qistina terjerat dengan kata-kata sendiri.

Sebenarnya, aku sangat selesa kalau Ain mendatangiku tanpa Qistina. Aku memang ragu-ragu Ain menukilkan sendiri cerpen ini. Aku rajin membaca sejak kecil, seperti pernah mengikuti sebuah karya tentang seorang gadis anak angkat berusaha membuktikan seorang lelaki kaya di tempat baharunya ialah ayah kandungnya sendiri. Agaknya sudah lama, sehingga aku tidak ingat lagi tajuk karya dan nama penulisnya.

Selainnya, aku tidak ingin mengusul Ain lebih lanjut di tempat terbuka. Memang lumrah pada petang Isnin, ramai pelajar SMK Taman Syahdu mengunjungi pusat sumber sementara menanti masa perjumpaan persatuan akademik bermula. Aku pula kebetulan berada di Anjung Ilham untuk menyelesaikan kerja rumah bahasa Inggeris.

“Oii! Cakaplah.” Ain sudah naik angin.

Oii? Huh! Kasarnya bahasa. Selain nama penuhku, Aini Falina, aku memiliki nama panggilan yang senang disebut dan sedap didengar. Flin.

“Okeylah!” kataku akhirnya, kali ini terpaksa berterus-terang dengannya. “Aku fikir, kau ciplak cerpen ini daripada mana-mana sumber. Kau tergesa-gesa salin semula dan aku dapat kesan banyak perkara yang tak kena.”

Ain dan Qistina tentulah terkejut bukan kepalang. Namun aku tetap berpada-pada, memberitahu mereka dengan mendesis sahaja. Harap-harap juga tidak ada pelajar yang kebetulan lalu-lalang di situ turut memasang telinga.

“Eh! Itu tuduhan melampau,” sanggah Ain dengan serta-merta.

Aku lihat, seraut wajah itu telah berubah menjadi merah padam. Dia sudah bercekak pinggang. Seperti selalu, nafas Ain turun naik seperti lembu laga yang mengah apabila benar-benar marah.

Aku tetap tenang. Apa susahnya menghadapi situasi ini? Berani kerana benar dan aku berada di pihak yang benar.

“Cerpen ini ada banyak kesilapan teknikal. Kalau kau tulis sendiri, Ain… tak susah kau nak betulkan semuanya,” kataku, tidak akan kalah.

“Kau jangan buat cerita mengarut macam ini, Fallina. Kau lupa ke… Ain akan jadi pengerusi Kelab Penulisan Kreatif? Dia tak buat kerja bodoh macam tu,” bantah Qistina pula. Namun dia masih sempat menoleh ke sekeliling, takut memang ada pelajar SMK Taman Syahdu yang memberi reaksi serta-merta.

Aku tidak gelabah. Memang lah Qistina boleh berkata apa-apa sahaja. Namun, Ain tetap perlu menandatangani borang pengakuan yang sama, mengaku bahawa cerpen itu buah tangannya sendiri. Pada tahun ini, buat julung-julung kalinya majalah Persada menganjurkan peraduan mengarang karya kreatif bagi kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris. Hadiah utamanya lumayan, bernilai RM200. Selayak hadiah saguhati sahaja pun akan menerima RM50.

“Kau pun jangan lupa, Tina… aku menang Anugerah Nilam bagi batch kita selama tiga tahun berturut-turut. Dan dua tahun lalu, aku menang anugerah yang sama di peringkat negeri,” balasku tidak ragu-ragu.

Anugerah Nilam dipertandingkan saban tahun di setiap peringkat persekolahan untuk menggalakkan para pelajar membaca. Aku pula bukanlah rajin membaca kerana ingin memenangi anugerah itu. Ayah dan ibu, kedua-duanya guru sekolah rendah, memang telah menerapkan budaya membaca kepada anak-anak sejak dahulu lagi. Di rumah, aku dan adik-adik ada empat buah rak besar yang sarat dengan aneka majalah pelajar dan buku fiksyen dari dalam dan luar negara.

“Hai, bijaknya alasan dia!” sindir Qistina. Dia masih ada helah. “Jangan berlagak sangat, Falina. Kau bukannya baca semua buku.”

“Aku memanglah tak sempat baca semua buku, Tina. Tapi tetap boleh jadi kebetulan aku pernah baca cerpen seperti ini. Aku tak bimbang sebab dah diajarkan sistem dokumentasi yang baik. Dalam softcopy atau hardcopy, aku boleh cari semula sinopsis karya yang pernah dibaca,” tegasku tidak teragak-agak.

Kali ini Qistina diam. Entahlah. Boleh jadi dia percaya, boleh jadi dia tidak faham sistem dokumentasi yang kunyatakan itu.

“Kalau macam itu, kau patut tapis semua cerpen yang masuk bertanding. Itu baru adil.” Ain terus cuba memerangkap.

Ain lain. Dia faham kepentingan sistem dokumentasi kepada ulat buku. Itu kata Cikgu Maisara kepadaku pada suatu ketika dahulu.

“Taklah. Bukan aku seorang saja yang jadi pengarang Persada.” Aku juga cepat mengelak. Badan redaksi majalah sekolah kami membariskan seramai lima belas orang pengarang lagi. “Cuma aku seorang yang dilantik jadi tukang kutip karya kreatif. Kebetulan pula aku pernah baca cerpen seperti ini di mana-mana. Agaknya nasib kau saja yang kurang baik sebab pilih cerpen ini.”

Aku buat-buat membelek naskhah tanpa tajuk itu sekali lagi. Aku sebenarnya telah mempelawa Ain dan Qistina mengambil tempat di seberang meja batu. Namun mereka kononnya ingin cepat, terus menolak. Agaknya percakapan kami ini tidak akan berlarutan lebih lama kalau Ain dapat memilih tajuk cerpennya dan kemudian mencoret tanda tangannya di borang penyertaan itu.

Dan agaknya juga, kalau aku tidak cuba berkompromi, mereka tidak akan angkat kaki dan lebih lama tercegat di hadapanku.

“Macam inilah, Ain. Kau tanda tangan dulu borang penyertaan ini dan nanti berikan aku tajuknya. Tentang kandungan cerpen ini, aku akan cuba siasat betul-betul,” putusku. Sebenarnya aku memang terganggu kerana belum siap perenggan pertama karangan bahasa Inggeris yang dibekalkan oleh Cikgu Rusliza pada pagi tadi. Ketika baru duduk tadi, aku merancang sekurang-kurangnya separuh kerja rumah itu siap sebelum masa perjumpaan persatuan akademik sampai.

“Orang lain?” usul Qistina tidak puas hati.

“Kalau aku tahu ada kes macam ini lagi, aku beritahulah Cikgu Syafiq dan Cikgu Maisara,” janjiku dengan malas. Kadang-kadang aku terfikir, sikap Qistina tidak akan membantu Ain apa-apa.

Akhirnya, aku menyuakan borang penyertaan itu kepada Ain semula. Sambil itu, aku memutarkan pergelangan tangan kiri, meneliti gerakan setiap jarum pada muka jam analog. Ain boleh menggunakan pen Sheaffer milik Qistina kerana pen mata bola yang lebih murah di tangan yang sama akan kugunakan akan kugunakan untuk menulis ayat kedua karanganku. Menjelang pukul 3.30 petang, tidak banyak lagi masa yang berbaki untuk aku menyelesaikan karangan itu.

Tiba-tiba Ain merampas cerpen ‘milik’nya itu semula dari tangan kananku.

“Kenapa kau susah sangat nak diajak berbincang?” sungut Ain dengan geram. Ketika dada terus berombak turun naik, ekor matanya tidak lepas melirik wajahku, tidak berkelip-kelip.

Aku tidak patut membiarkan Ain melepaskan kata-kata dengan sesuka hatinya. Aku bukannya kepala batu atau langsung tidak boleh diajak berbincang. Cuma, cara Ain tidak kena, niatnya yang sebenar juga tidak jelas. Sebenarnya, dialah yang cuba berdolak-dalik denganku.

“Kau kan ada sebuah cerpen lagi, Ain? Tapi aku ingat lagi, kau tak ada apa-apa masalah pun nak tanda tangan borang penyertaan pertama dulu,” kataku. Setelah tidak ada kertas lain di tangan, maka aku boleh mencapai buku rujukan Bahasa Inggeris SPM di atas meja batu.

Aku bukannya tidak tahu, Ain menghantar sendiri sebuah cerpen kepada Cikgu Maisara. Namun pada masa itu, maklumat tentang peraduan mengarang itu belum diwarwarkan lagi kepada semua pelajar SMK Taman Syahdu. Kononnya, Ain juga dipelawa oleh guru perempuan itu untuk menjadi salah seorang pengarang majalah Persada. Kononnya lagi, Ain menolak kerana syarat peraduan tidak membenarkan pengarang majalah sekolah mencuba nasib dalam peraduan itu.

Dan selepas itu, barulah aku menjadi pilihan Cikgu Maisara.

“Huh!” bentak Ain dengan geram.

Sia-sia sahaja aku mencurah minyak ke atas bara yang baru menyala.

“Tarikh tutup peraduan kekal pada hujung minggu ini. Kalau sangguplah, kau boleh tulis sebuah atau dua buah cerpen lain lagi,” kataku. Namun, aku tidak fikir Ain sudi mendengar cadanganku itu. Tidak ada apa-apa reaksi, aku persis bercakap dengan dinding.

Lirik mata Qistina mudah kuteka, berisyarat menggesa Ain segera beredar. Aku bertahan tidak membuka mulut. Tidak kena berkata-kata, Ain akan meningkah lagi dan percakapan kami tidak selesa. Ada suatu jalan mudah, dia menghantar sendiri naskhah itu kepada Cikgu Syafiq atau Cikgu Maisara, biarlah menjadi pilihan terakhir. Aku tetap percaya bahawa cerpen itu bukanlah buah tangan Ain yang asli.

Tidak lama kemudian, Ain dan Qistina benar-benar meninggalkan meja batu itu. Aku tidak ambil pusing, tidak tahu arah tujuan mereka. Biarlah. Tanpa pelajar-pelajar perempuan itu, keadaan di Anjung Ilham tetap tidak berubah. Laluan keluar masuk ke pusat sumber tetap sibuk. Namun, aku mendapati tangan kiriku dapat menulis dengan lebih lancar dan kemas setelah menemui beberapa perkataan baharu dalam kamus digital.

Karangan itu bercambah sedikit sahaja, lebih kurang seratus patah perkataan dalam enam baris ayat di perenggan pertama. Aku tetap puas hati. Memadailah. Aku telah menulis rangka karangan bentuk fakta itu, berangkai-rangkai menjadi pokok peta minda, sepatutnya selesai sekiranya Ain muncul tanpa kerenah. Sejak belajar di sekolah rendah lagi, aku dididik oleh ayah dan ibu agar menghargai masa dan tidak melengah-lengahkan kerja rumah.

Hampir pukul 3.30 petang, aku akhirnya menyandang semula beg sekolah Dignity di bahu kanan dan meninggalkan Bangunan Utama. Perjumpaan Persatuan Biologi sepatutnya diadakan di tingkat satu Blok A. Aku ingin membeli sebotol air minuman di kantin terlebih dahulu. Sepanjang hari itu, aku kerap dahaga kerana tertinggal bekas minuman di rumah.

Namun terlihat Syafinaz berdiri di pangkal Blok B, aku terus berhenti menapak. Dia tidak lepas memandang, seperti memang ada urusan denganku. Separuh tubuhku berpusing, aku kemudian pasti tidak ada sesiapa lagi di belakangku.

“Kau tunggu aku, Inz?” Aku meminta kepastian setelah kami berdiri sebelah-menyebelah. Dia mengangguk.

“Kebetulan berjumpa, elok sangatlah aku tanya pada orangnya sendiri,” beritahu Syafinaz. Dia belajar di Tingkatan Empat Sigma.

“Aku dah bayar yuran Rumah Saphire, Inz. Kau tak lupa, kan? Aku jadi orang pertama yang hulurkan duit RM20 dulu,” kataku, tiba-tiba teringat pengumuman yang bergema pada awal pagi tadi. Semua pelajar tingkatan satu, tingkatan dua dan tingkatan empat SMK Taman Syahdu diminta membayar yuran rumah sukan masing-masing bagi penggal kedua dalam masa yang terdekat.

Pada awal tahun ini, Syafinaz telah dipilih sebagai ahli jawatankuasa Rumah Saphire bagi mewakili pelajar-pelajar tingkatan empat. Salah satu tugasnya ialah mengutip yuran rumah sukan kami. Aku pernah memegang jawatan yang sama ketika belajar di tingkatan dua dahulu, lantas faham akan kesusahan yang bakal dihadapinya. Justeru, sebaik selesai mesyuarat, aku menyerahkan dua lembar wang kertas merah kepadanya di hadapan Cikgu Jasmina. Sepotong namaku kemudian dicatatkan dalam buku rancangan mengajar ketua guru penasihat Rumah Saphire itu.

Syafinaz menguntumkan senyuman. “Tak. Aku tak akan lupa. Nama Aini Falina mula-mula sekali aku tuliskan dalam buku resit. Kau dah bayar penuh untuk setahun. Terima kasih. Memang betul kata kawan-kawan, kau selalu memudahkan kerja orang.”

Aku meleretkan senyuman balas. Ayah dan ibu sebenarnya selalu berpesan agar aku ringan tangan. Balasannya tetap ada. Katakan orang yang kuharap-harapkan tidak kelapangan ketika diperlukan, dengan izin Allah, seseorang yang tidak disangka-sangka akan muncul dan melakukan sesuatu perkara yang baik untukku.

“Sama-sama. Itu tak ada apa-apalah,” balasku. Sebenarnya, aku tetap kembang hati apabila dipuji seperti itu.

Kami tidak memiliki banyak masa kerana perlu menghadiri perjumpaan persatuan akademik masing-masing. Aku mengajak Syafinaz berbual-bual sambil membuka langkah ke kantin sahaja. Sebenarnya, telahanku tentang hal kutipan yuran rumah sukan sekejap tadi tersasar.

“Itulah sebabnya aku tak percaya bila Tina beritahu tadi, kau cuba sabotaj Ain Aku percaya, kau ada sekurang-kurangnya satu sebab yang baik untuk tolak cerpen itu,” terang Syafinas sejurus kemudian. Aku terkejut.

“Bila Tina beritahu kau, Inz? Di mana?” tanyaku serta-merta.

Darahku berderau, kata-kataku bergetar. Aku teringat, Qistina dikatakan gemar menokok apa-apa cerita yang melibatkan dirinya. Sungguhpun Ain yang ingin menyertai peraduan mengarang itu, tetapi dia juga berada di Anjung Ilham. Sebelum ditukarkan ke kelas aliran sains sosial itu, dia berkawan baik dengan Ain di Tingkatan Empat Alpha.

“Sebenarnya di Taman Flora tadi, Tina bukannya nak beritahu aku. Dia merungut panjang depan Ana dan Ika, kononnya kau berlagak tunjuk kuasa. Aku, masa tu… sedang berbincangan isi karangan bahasa Malaysia dengan budak-budak tu,” sambung Syafinaz. Arianna dan Syafika yang sama-sama belajar di Tingkatan Empat Sigma, kononnya menjadi kawan baik Qistina sejak belajar di sekolah rendah lagi.

“Ada budak TS2 lain lagi di situ?” tanyaku lagi.

“Kami berempat saja. Tina pun ahli kumpulan yang sama,” jawabnya.

“Ain?” tanyaku, tidak akan tercicir sepotong nama yang penting itu.

“Ain dah balik. Tina kata lagi, dia marah sungguh tadi. Ada juga amaran untuk kau. Katanya, perkara itu belum selesai lagi,” beritahu Syafinaz tanpa berselindung.

Kali ini, aku mengangguk-angguk sahaja. Terpulanglah. Biar apa pun sikap Ain, keadaan tetap tidak berubah. Aku cuma menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Cikgu Syafiq dan Cikgu Maisara. Itu sahaja. Kalau Ain betul, tentu dia tidak keberatan menurunkan tanda tangannya di ruangan akuan penyertaan. Seterusnya, aku juga tidak ralat menurunkan tanda tanganku di ruangan akuan penerimaan.

“Flin, betul ke Ain ciplak cerpen itu?” tanya Syafinaz tiba-tiba.

Aku diam lagi. Mengiya tidak patut, menidak pun tidak kena. Setidak-tidaknya sekarang, aku belum ada jawapan yang tepat.

PERANGKAP.

 

Pada malam itu, aku menemui jawapan yang dicari-cari itu. Mujurlah.

Tajuk cerpen yang asal itu agak panjang, tetapi mudah disebut dan mudah juga diingati. Cerpen bertajuk ‘Naskhah Rindu Dora Kepada Papa’ itu tersiar dalam majalah Edisi Siswa pada bulan Disember lebih kurang tujuh tahun yang lalu. Plotnya memang menarik, gaya bahasanya lincah dan bersahaja. Lantaran itu, aku teruja membacanya semula berulang kali. Namun, penulisnya memakai nama pena sahaja, iaitu Tinta Edora.

Aku memang syak Ain mengutip cerpen itu mana-mana majalah lama. Tidak mungkin dia menemuinya dalam majalah baharu. Agaknya Ain terlupa, kereta Proton Waja hanya dapat dikatakan sebagai produk terkini automobil negara pada dekad yang lalu. Dia tidak menukar fakta itu dalam cerpen tanpa tajuk itu. Paling penting, Ain juga tidak tahu bahawa ayah dan ibu sudah lama menjilid segala majalah kanak-kanak dan remaja untuk kegunaan anak-anak. Antaranya ialah Edisi Siswa, dapat kutelaah semula sejak keluaran sulungnya lagi.

Aku kini bersedia untuk bersoal jawab dengan Cikgu Maisara sekiranya dipinta berbuat begitu. Ketika merentasi Dataran Saujana bersama-sama Syafinaz pada petang semalam, kami dapat melihat Ain bercakap dengan guru perempuan itu di hadapan Dewan Seri Persada. Hampir pasti Ain menggubah semula skrip asal kami di Anjung Ilham. Aku tidak patut buruk sangka. Namun sangat mengenali Ain kerap belajar sekelas dengannya sejak dari tingkatan satu lagi, dia tidak suka kalah kepada sesiapa. Kali ini juga seperti tidak terkecuali.

Akibatnya juga, jadual belajarku pada malam itu serba tergendala. Setelah mengimbas dan mencetak semula naskhah cerpen itu, aku terburu-buru menyiapkan karangan bahasa Inggeris. Selepas itu, aku perlu mengemas kini nota sejarah dan biologi. Menjelang tengah malam, aku tidak sempat menyelesaikan apa-apa soalan matematik tambahan lagi.

Tentu sahajalah, aku terlupa menghubungi Syafinaz.

“Itu Falina. Dia patut tahu perkara ini.”

Baru menjengah kelas, Fitria sudah menggesa kawan-kawan menoleh ke arahku. Aku terpinga-pinga ketika mendapati beberapa orang pelajar perempuan Tingkatan Empat Alpha sedang mengerumuni Duratul. Pelajar perempuan itu tersipu-sipu. Seraut wajahnya merona merah seperti ingin terus menyembunyikan sesuatu. Di atas mejanya ada senaskhah majalah Edisi Siswa keluaran terbaharu, sedang ditatap beramai-ramai.

“Cepatlah, Flin. Letak beg sekolah kau tu dulu,” gesa Faridani.

Di barisan kedua dari hadapan, Ain buat-buat tidak peduli. Dia sedang menulis nota. Namun di sebalik kain tudung biru muda di kepala, cuping telinganya pasti bercapang untuk mengikuti baris-baris percakapan itu.

Aku duduk sebaris dengannya, tetapi di jujutan paling tepi. Meja Faridani di tengah-tengah.

“Apa yang aku patut tahu tu? Kalau ada dalam ES, sabarlah sikit. Biar aku duduk dulu,” kataku dengan bersahaja. Sengaja aku melirik pada Ain, melihat dia menahan dengus di tempat duduknya.

“Kau patut tahu perkara ini lebih awal lagi. Ini lain pula jadinya. Kami yang perlu beritahu kau,” sungut Daphne Ho.

Gambar Hazanil Fitri, rakan sekelas kami, terpampang megah di halaman muka majalah pelajar keluaran bulan Mei itu. Dia dinobatkan sebagai Olahragawan TS2 pada kejohanan olahraga SMK Taman Syahdu tidak lama dahulu. Aku tidak terkejut kerana memang awal-awal tahu. Malah, aku turut bertenggek di tangga astaka ketika wartawan majalah Edisi Siswa menemuramahnya pada tengah hari itu.

Selain itu, bukan rahsia juga Hazanil menaruh hati pada Duratul. Ramai pelajar kelas kami tahu akan perkara itu.

“Kalau fasal Hazanil, aku dah tahu awal-awal lagi, Daphne. Aku pun ada di tangga astaka masa sesi temu ramah itu,” kataku berterus-terang.

“Ini bukan fasal Hazanillah. Kalau tanya Dura, dia tak kisah gambar siapa pun yang terpampang di muka depan tu,” kata Faridani pula. Serta-merta seraut wajah Duratul yang comel itu berkerut-kerut apabila disakat seperti itu.

“Jangan dengar cakap budak-budak ni, Flin. Tak ada apa-apa yang menarik pun dalam majalah tu,” katanya cepat-cepat. Dia cuba menarik majalah Edisi Siswa itu, tetapi Daphne Ho lebih bersedia dan pantas merampasnya semula.

Ain memang tidak akan mendekati kumpulan pelajar ini. Selain Hazanil yang sejak lama menjadi seterunya apabila bertelingkah, Ain juga tidak selesa kalau dikaitkan dengan pelajar baharu SMK Taman Syahdu ini. Sebenarnya mereka mempunyai nama yang serba sama, iaitu Duratul Ain binti Abdullah. Gara-gara sama nama, Hazanil pandai-pandai menetapkan Duratul sebagai Duratul Ain A, iaitu Yang Anggun, dan Ain pula sebagai Duratul Ain B, iaitu Yang Biasa-biasa.

“Apa lagi perkara yang menarik dalam ES bulan ini kalau bukan fasal Hazanil?” Aku membuka pertanyaan itu kepada seisapa sahaja yang sudi menjawab.

“Kalau nak jawapan yang paling baik, cuba kau tanya Hazanil pula,” cadang Ainina. Tahu terus disakat, Duratul berpaling dan cuba mencubit lengan Ainina. Telah menjangka tindakan serta-merta itu, Ainina pula awal-awal lagi beranjak jauh.

Ada tawa berderai, tanda semua orang senang hati.

“Terangkanlah… kalau boleh paling ringkas dan tanpa melibatkan Hazanil,” pintaku, tidak terdesak tetapi tidak juga mendesak.

“Tajuknya ringkas, tetapi isinya panjang lebar,” sahut Faridani.

“Ringkaskan kedua-duanya,” balasku.

“Cerpen pun dah jadi akronim bagi ‘cerita pendek’, Flin. Kalau diringkaskan, apa lagi yang menarik,” kata Dania pula.

“Cerpen?” ulangku.

Aku sedang membelakangi Ain, tidak dapat melihat reaksinya apabila genre sastera yang satu ini disebut-sebut.

“Ya. Cerpen Dura tersiar dari halaman 12 hingga halaman 16. Cikgu Mai dah lekatkan satu salinan di papan kenyataan Kelab Penulisan Kreatif sejak petang Jumaat lepas,” sambung Fitria. Kali ini, dia mengambil majalah itu dari tangan Daphne Ho dan menyerahkannya kepadaku.

“Wah! Tahniah, Dura,” ucapku serta-merta, dengan ikhlas.

Sebenarnya, aku belum menatap majalah Edisi Siswa keluaran terbaharu ini lagi.

“Cerpen biasa-biasa saja, Flin. Baru tersiar sekali taklah bermakna tulisan aku dah bagus. Banyak lagi aku perlu belajar.” Duratul merendah diri. Dia teragak-agak hendak meleretkan senyuman. Sebenarnya, kalau dia sekadar mencebis pun selalu kelihatan memikat. “Nanti kau bacalah ulasannya sekali. Aku sebenarnya takut nak bandingkan cerpen ini dengan naskhah asalnya.”

“Kau tahu, Dura… cerpen tu tersiar dalam ES pun dah jadi sejarah baru di TS2. Bukan calang-calang orang dapat tulis cerita panjang-panjang,” kataku lagi. ES ialah nama ringkas bagi majalah pelajar itu. TS2 pula ialah nama panggilan bagi SMK Taman Syahdu di Bandar Bukit Persada. Namun sebenarnya, kalaupun dia bukan orang pertama, Duratul tetap berhak menerima pujian itu.

“Jangan lupa masukkan cerpen ini dalam majalah Persada,” pesan Fitria ketika aku mula membelek dan mencari halaman 12.

“Itu tak jadi masalahlah. Kalau Cikgu Mai dah tahu, dia pun tentu dah buat keputusan itu,” balasku.

“Kalau nasib baik, cerpen ini diumumkan menang peraduan mengarang majalah Persada. Tak lama lagi Dura jadi kaya-raya. Dia dah tentu dapat saguhati daripada ES, dan lepas tu mungkin menang RM200 lagi. Wah! Seronoknya. Seronok sungguh kita jadi kawan baik Dura,” seloroh Ainina.

Ada tawa meledak lagi. Duratul terus menguntumkan senyuman.

Aku terpaksa menggeleng. Ainina tidak perasan akan suatu syarat penting peraduan mengarang itu. Cerpen yang pernah tersiar dalam apa-apa sumber dianggap tidak asli lagi. Cerpen buah tangan Duratul ini tidak terkecuali kerana telah disunting oleh editor majalah Edisi Siswa.

“Kasihan Dura, Nina. Syarat peraduan tak benarkan karya yang pernah tersiar dalam apa-apa majalah atau akhbar dipertandingkan semula. Dura boleh dapat saguhati majalah ES saja,” beritahuku. Wajah Ainina berkerut-kerut.

“Tak dapat bertanding?” ulangnya meminta kepastian.

Aku menegas dengan menggeleng. Memadailah.

“Itu tak adil. Cerpen Dura tu bagus,” sanggahnya.

“Bukan aku yang buat syarat tu,” sambungku.

“Kau cubalah pinda syarat tu,” cadang Daphne Ho pula.

“Bukan aku juga yang sediakan hadiah peraduan,” kataku lagi.

“Tapi, kau dah jadi orang penting majalah Persada sekarang. Kau boleh cuba pujuk Cikgu Mai pinda syarat peraduan itu,” kata Ainina lagi, tidak putus asa.

Aku tahu, loceng pertama pada hari Selasa akan berdering pada bila-bila masa sahaja. Aku terpaksa bertangguh menekuni cerpen bertajuk ‘Kasih Di Pintu Hati Ibu’ itu. Nama dan gambar menjelaskan Duratul sebagai penulis cerpen itu. Namun tetap ada ralat, di bawah nama itu juga tercatat nama sekolah lamanya.

“Tak apalah, Flin. Nanti aku hantar cerpen lain untuk peraduan mengarang itu,” beritahu Duratul.

Aku bukan tidak peduli, cuma sejenak itu perhatianku tiba-tiba melekat pada halaman 17. Siaran Peraduan Mengarang Buletin Pelajar tertera di situ, kelihatan sangat menarik apabila hadiah tempat pertama yang ditawarkan ialah wang tunai RM6,000 dan plak kemenangan. Suatu pasukan editorial yang mengambil bahagian mengandungi paling ramai sepuluh orang pelajar. Tema buletin tentang sekolah masing-masing, terpulanglah kepada kreativiti, cuma kedengaran mencabar kerana tarikh tutupnya ditetapkan pada akhir bulan depan.

Kringgg!!

Loceng tetap berdering panjang. Percakapan itu terhenti setakat itu dahulu. Ketika bergerak ke koridor, aku sempat mengerling Ain. Tentu dia turut memasang telinga tadi, kerana sepasang matanya terus menikam dan memahat wajahku.

Ah! Pedulikan. Bukan salahku kalau hatinya tersiksa disiat-siat.

Seorang pelajar lelaki tingkatan tiba-tiba muncul ketika para pelajar Tingkatan Empat Alpha berbaris di hadapan kelas. Namanya Mahzan, memang kukenali sebagai adik lelaki Cikgu Maisara. Dia membawa pesanan lisan guru perempuan itu untukku, meminta aku pergi ke bilik redaksi pada masa rehat. Ain pasti telah maklum, kerana pesanan itu dikhabarkan kepadaku sahaja. Dia hanya bersandar mendengarnya di daun pintu belakang.

“Agaknya Cikgu Mai nak pinda syarat peraduan tu,” kata Ainina sejurus Mahzan beredar. Kebetulan sungguh dia mendekati dan kemudian berdiri di sebelahku ketika pelajar lelaki itu menuturkan kata-katanya.

“Kenapa dia tiba-tiba nak pinda syarat peraduan tu?” tanyaku.

“Sebab cerpen Dura bagus sangat,” ulangnya.

“Taklah. Agaknya ada lagi masalah lain yang tak dapat dijangkakan,” balasku.

“Apa masalahnya? Peraduan ini dibuka kepada pelajar-pelajar TS2 saja. Lagi pun, bukan ramai orang pandai menulis cerpen macam Dura,” tingkah Ainina dengan bersahaja.

“Orang masih pandai ciplak cerpen orang, Nina. Kami perlu siasat betul-betul,” kataku pula. Kali ini, aku sengaja menerjah Ain seperti itu, geram kerana dia berusaha memanjangkan perkara itu.

“Eh! Ada orang macam tu?” Ainina seperti tidak percaya.

“Tak tahulah.” Aku membalas dengan malas.

Ain termakan umpan, terus menggetap bibir kerana sama geram. Biarlah. Aku juga tidak patut dilihat terlalu mengalah.

Sungguhpun telah bersedia, tetapi dadaku tetap dipetik debar. Gelagat Ain sukar diramal. Pada asalnya masalah ini tidak ada kaitan dengan Cikgu Maisara. Terdetik di hatiku, segala-galanya bermula sejak cerpen Duratul tersiar dalam majalah Edisi Siswa, seawal-awalnya pada hujung minggu lalu.

Namun kebetulankah, dua orang pelajar yang sama nama itu berkongsi minat yang sama? Kedua-duanya juga menyertai Kelab Penulisan Kreatif dan meraih perhatian yang istimewa daripada Cikgu Maisara. Kalau tekaanku benar, Ain sedang cuba menyaingi Duratul dan aku berada di tengah-tengah untuk menghalang tujuannya. Kalau tidak ada pemenang Anugerah Nilam ini, Ain tidak ada halangan menghantar sebuah cerpen ciplak dan kemudian memenangi peraduan mengarang itu.

Selepas itu jarum-jarum jam terus bergerak mengikut kadarannya yang biasa. Agaknya aku sahaja yang sedang menanggung debar, kerap terfikir bahawa jarum saat sengaja berlengah sepanjang pagi. Tidak putus-putus aku mencerap gerakannya, tidak selesa aku belajar selagi tidak menghadap Cikgu Maisara di bilik redaksi.

Aku sangat naif, sepatutnya tidak ada kaitan langsung dengan apa-apa tujuan Ain yang masih terselindung itu.

Masa rehat sampai jua. Ain mendahuluiku menjengah bilik redaksi. Aku bagai ingin menepuk dahi apabila mendapati Qistina berada di situ. Arianna dan Syafiqa turut merakamkan sokongan mereka, biarpun cuma berdiri bertongkat siku di pagar koridor bilik Alumni, berselang beberapa tiang dari bilik redaksi.

“Falina, duduk di sini,” arah Cikgu Maisara sebaik aku muncul di muka pintu. Aku berhenti sekejap di situ, cuma untuk meneliti salinan cerpen ‘Naskhah Rindu Dora Kepada Papa’ ada dalam sebuah fail merah hati.

Cikgu Maisara mengambil tempat di kepala meja. Pagi itu dia memakai baju kurung moden motif bunga anggerik dengan latar ungu muda, kelihatan sangat anggun, tetapi aku dapat mencuba mengambil hatinya. Sementelah, Ain dan Qistina cepat-cepat mengisi tempat di sebelah kiri guru perempuan itu. Hai! Entahlah. Awal-awal lagi ‘perbicaraan’ ini menjadi berat sebelah. Biar apa pun tugas Qistina. Sama ada sebagai ‘peguam bela’ atau ‘saksi’, dia tidak sepatutnya turut serta.

Sekejap itu juga aku terfikir, alangkah bagusnya kalau Fitria, anak perempuan peguam terkenal itu, sedia berada di sini dan mewakiliku yang menjadi ‘defendan’. Selalu dikatakan orang, ke mana tumpahnya tuah kalau tidak ke nasi. Mengenali Fitria sejak belajar di sekolah rendah lagi, dia cekap mencari keraguan pada hujah lawan dan pandai membidasnya semula dengan hujah sendiri yang lebih bernas.

“Ain kata, awak cuba sabotaj eluang dia menang hadiah wang tunai RM200 itu. Petang semalam, awak sengaja tak nak terima penyertaan Ain. Apa alasan awak buat begitu pada dia?” Belum pun aku selesa berlabuh punggung di kerusi menghadap ‘plainitif’, Cikgu Maisara telah mengujarkan ‘pertuduhan’.

“Saya tak salah, cikgu.” Aku menjawab dengan tegas.

“Kenapa kata tak salah? Tugas awak sebagai pengarang bukannya menilai cerpen yang masuk peraduan. Kalau belum ada tajuk seperti yang dikatakan oleh Ain, catatkan saja dalam kurungan, ‘Tiada Tajuk’. Ada rezeki Ain, dan cerpen itu benar-benar menang, saya sendiri akan fikirkan tajuknya nanti,” beritahu Cikgu Maisara lagi.

Sungguhpun kedengaran berdiplomasi, tetapi aku tahu kata-kata itu lebih memihak kepada Ain. Qistina menyeringai. Dia seperti percaya, aku tidak mampu membuktikan tuduhanku terhadap Ain pada petang semalam.

“Ain memang ciplak cerpen itu, cikgu, Saya ada salinan cerpen yang asal,” kataku dengan berani. Setakat ini, aku dapat menangani perkara ini dengan baik.

“Ciplak?” Bulat bundar mata Cikgu Maisara menikam wajahku.

Aku mengangguk. Cikgu Maisara memang terkejut. Ain dan Qistina pula sahaja-sahaja buat terkejut.

“Berat tuduhan itu.” Qistina cuba menarik simpati Cikgu Maisara.

“Saya pun tak tahu macam mana Falina boleh kata saya ciplak cerpen itu, cikgu. Petang semalam pun dia bukannya baca semuanya. Tengok-tengok sekali lalu, dia hentam keromo dan tuduh serkap jarang saja.” Sekarang Ain sudah mula mereka cerita baharu pula.

Berani kerana benar. Takut kerana salah.

“Saya tak hentam keromo dan tuduh serkap jarang, cikgu. Ini salinan cerpen yang asal itu,” kataku sambil membuka fail merah hati dan mengunjukkan salinan cerpen itu kepada Cikgu Maisara. “Tajuk cerpen asal ialah ‘Naskhah Rindu Dora Kepada Papa’ dan penulisnya ialah Tinta Edora. Itu nama pena. Saya belum sempat cari nama sebenar penulis ini.”

Cikgu Maisara terus mengambil naskhah cerpen yang kuhulurkan itu. Anehnya, Ain dan Qistina tidak kelihatan cemas. Sebaliknya sekarang, hatiku pula yang berdebar-debar semula. Aku memang tidak dapat meneka helah mereka yang seterusnya.

“Saya ada di Anjung Ilham semalam, cikgu. Saya dapat sahkn bahawa Falina memang tak baca sungguh-sungguh cerpen itu. Dia tengok sekali lalu saja dan kemudian tuduh Ain yang bukan-bukan,” tuduh Qistina, baru sekarang menjalankan tugasnya sebagai saksi. Aku rasa, sekejap lagi tugas itu akan berubah menjadi ‘peguam cara’ pula.

“Ini pula cerpen saya, cikgu. Percayalah. Tak ada apa-apa yang sama dengan cerpen itu. Saya tulis sendiri cerpen saya dan tak pernah ciplak cerpen orang lain. Tak guna saya buat begitu kalau saya memang ada bakat menulis.” Ain mengambil giliran semula, sangat cermat menyusun kata-katanya. Kali ini, dia menghulurkan sekeping sampul surat putih kepada Cikgu Maisara.

“Saya fikir, kami nak minta satu perkara lagi. Dengan bukti yang ada, Falina bukan saja perlu mengaku salah. Dia juga mesti minta maaf dengan serta-merta daripada Ain. Paling baik, kalau ada maruahlah… sekarang juga dia letak jawatan sebagai pengarang majalah Persada.” Belum sempat Cikgu Maisara membandingkan kedua-dua naskhah itu, Qistina sudah membuat tuntutan.

Cis! Celupar sungguh mulut ‘peguam cara’ tanpa tauliah ini. Aku semakin geram.

“Jangan melampau, Tina. Biar Cikgu Mai baca kedua-dua naskhah dulu. Kalau aku yang salah, aku pasti minta maaf. Kalau fasal jawatan itu, biar Cikgu Mai yang buat keputusannya. Cikgu Mai yang pilih aku sebagai pengarang majalah Persada dulu.” Aku tidak boleh diam begitu sahaja.

“Oii! Siapa yang melampau ni? Petang semalam kau memang nak aniayai Ain,” tuduh Qistina lagi.

“Kau pun dengar aku minta Ain tanda tangan borang penyertaan… mengaku… dia tulis sendiri cerpen itu. Kalau dia betul… kenapa dia tak buat begitu?” usulku semula.

Kata-kataku tidak lancar. Aku sebenarnya baru terfikir, selepas ini Ain akan mengunjukkan pula borang penyertaan yang telah ditandatanganinya kepada Cikgu Maisara. Aku tidak senang duduk lagi apabila melihat Cikgu Maisara memegang beberapa helai kertas berwarna kuning air. Pada petang semalam, Ain mencetak cerpen itu di atas kertas berwarna putih mutiara.

Dadaku bukan lagi berdebar-debar. Dadaku telah bergetar kencang bagai dipalu dengan kuat bertalu-talu.

“Kedua-dua cerpen ini tak sama. Siapa yang bercakap benar ni?”

Aku berasa darah menyerbu pantas naik ke ubun-ubun kepalaku. Ain dan Qistina sangat terdesak, memilih cara yang sangat kotor untuk memerangkapku.

AIB.

 

Kalaulah Syafinaz tidak mengetahui hujung pangkal perkara ini, aku tidak akan mengisahkan aib yang terpaksa kutanggung apabila Ain dan Qistina berkerenah. Kurang bersedia melalui ‘perbicaraan’ yang penuh helah itu, aku kerap terperangkap dengan kata-kata sendiri apabila diasak oleh Cikgu Maisara. Kedua-dua pelajar perempuan itu berjaya meyakinkan Cikgu Maisara bahawa naskhah cerpen yang dicetak di atas kertas berwarna kuning air itu adalah naskhah yang sama yang diunjukkan kepadaku pada petang semalam.

“Kau patut simpan naskhah pertama itu, Flin,” sungut Syafinaz, perlahan sahaja, ada nada simpati. Sepatutnya begitu, dan itulah barang yang lepas yang patut kukenang dengan penuh kesal sekarang.

“Aku tak tahu mereka betul-betul berdendam seperti itu,” balasku, juga perlahan, ada nada pasrah.

“Apa keputusan Cikgu Mai?” tanya Syafinaz.

Aku berusaha mempertahankan perkara yang sebenar, malah kali ini terus menuduh Ain dan Qistina berbohong kepada Cikgu Maisara. Bertikam lidah, satu lawan satu dengan Ain, tidaklah menggentarkan hati. Aku tidak tahan apabila Qistina sama cepat mencelah sahaja. Dia dapat membuktikan kehdirannya di meja batu itu kerana sempat merakam gamar selfie kami bertiga di meja batu pada suatu ketika aku tunduk meneliti naskhah ciplak cerpen ‘Naskhah Rindu Dora Kepada Papa” itu.

“Apa keputusan Cikgu Mai, Flin?” ulang Syafinaz ketika aku kekal diam.

“Cikgu Mai tak kata aku betul, dan dia pun tak kata aku salah. Kes ini dianggap selesai sebaik kami keluar dari bilik redaksi,” getusku, terus sugul.

“Kau belum jawab soalan aku,” balas Syafinaz, cepat mengingatkan aku.

Sebenarnya hatiku terguris pedih. Aku fikir, Cikgu Maisara hanya berolok-olok berlaku adil kepada kedua-dua belah pihak. Dia menerima sendiri naskhah cerpen baharu Ain dan mengekalkan tugasku sebagai pengarang majalah Persada. Namun dengan tugas baharu mengelolakan laporan persatuan, kelab, badan beruniform dan pasukan permainan, keputusan itu dengan sendirinya menjelaskan sikap sebenar guru perempuan itu. Dia memilih untuk mempercaya kata-kata anak emasnya.

“Aku tak kelolakan peraduan mengarang itu lagi,” keluhku.

“Kau apa tu… tak jadi pengarang majalah Persada lagi?” usul Syafinaz semula. Boleh jadi dia tidak mendengar dengan jelas, boleh jadi juga aku tidak melunaskan pertanyaannya dengan tepat.

“Taklah, Inz. Aku masih jadi pengarang majalah sekolah. Tapi mulai hari ini, orang baru akan kelolakan peraduan mengarang itu. Aku dapat tugas lain,” terangku. Di bilik redaksi tadi, Cikgu Maisara tidak menamakan pelajar yang akan mengambil alih tugasku. Fikiranku mula bercelaru, tidak terujar mendengarnya lagi.

Ada sebak menyendati dada, buat sejenak kepalaku beralih, tidak menghadap Syafinaz lagi. Kami memilih meja yang tersorok di tingkat satu Kafe La Rizz itu, jauh daripada pengunjung-pengunjung lain, tetapi tetap berbisik ketika menuturkan kata-kata. Hatiku ralat, tekakku kesat, aku belum mencubit kek dan pastri yang menjadi santapan tengah hari kami. Sejak tadi, aku cuma meneguk sedikit jus oren.

Sebenarnya perutku merajuk. Pada mulanya, aku ingin duduk diam di kelas sementara menanti masa perjumpaan kelab bukan akademik pada pukul 3.30 petang bermula. Aku tidak tahu Syafinaz mencariku di sekitar kawasan sekolah selepas masa belajar berakhir, dan terkejut ketika melihat kelibatnya berdiri di muka pintu kelasku. Rupa-rupanya Qistina mengulangi perilaku yang sama di kelas mereka, memperkatakan masalah yang sama itu di hadapan kawan-kawan yang sama.

“Sebenarnya, kau dibuang kerja? Begitu?” Syafinaz tiba-tiba menebak.

Aku tergamam, serba salah antara mengangguk dengan menggeleng.

“Siapa kata aku dibuang kerja? Aku tak dipecat daripada badan redaksi. Aku buat tugas lain saja.” Aku perlu memperbetulkan tanggapan itu, takut tersebar menjadi fitnah kepada Cikgu Maisara pula. Seraut wajahnya kusorot semula.

“Atia Qistina.” Cepat juga Syafinaz menyebut sepotong nama penuh Qistina itu. Kali ini, sepasang mataku terbeliak. “Dia beritahu Fatin Arianna dan Fifi Syafiqa lagi, Cikgu Mai tak sampai hati saja nak pecat kau daripada badan redaksi. Kalau diberi kerja lain tu, maknanya Cikgu Mai tak percaya kau patut buat kerja yang sama lagi.”

“Jadi?” Aku bertanya, seperti orang bodoh.

“Diberi kerja lain samalah seperti dibuang kerja, Flin.”

“Siapa yang kata?” Kau yang kata atau Tina yang kata”

“Tina yang kata.” Syafinaz tenang sahjaa melunaskan pertanyaan berkembar itu Ada jeda sejenak ketika dia membasahkan tekak. “Dan lagi, aku bukannya nak jadi batu api. Aku cuma percaya kau buat kerja yang betul. Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Mesti ada sebab Ain meradang bila kau mengusul macam-macam.”

Aku diam semula, berketap bibirku menahan kata-kata. Kalau Syafinaz berada di bilik redaksi itu tadi, dia dapat mendengar sendiri baris kata-kata Ain dan Qistina yang meluncur laju seperti bilah-bilah anak panah yang tajam yang menjunam jatuh ke mukaku. Selepas Cikgu Maisara menegaskan keputusannya, aku berasa kulit mukaku perih, seepas itu aku tidak dapat bertentang mata dengannya lagi.

“Biarlah, Inz. Mereka berkawan baik dengan Tina sejak di sekolah rendah lagi. Kalau Tina kata bumi berbentuk empat segi sama pun kedua-duanya tetap percaya.” Aku menjawab dengan malas, sbeenarnya tidak ingin memanjangkan percakapan ini lagi. Aku lebih berharap selepas beberapa hari perkara ini beransur-ansur reda dan selepas itu terus dilupakan.

“Masalahnya mereka dah beritahu perkara ini pada seisi Empat Sigma, Flin. Kau dah jadi budak jahat sekarang. Orang boleh kata kau iri hati dan ada niat tak elok pada Ain,” tekan Syafinaz, kali ini nadanya lebih keras dan berbaur kesal.

“Aku…,”

“Kau nak biarkan macam itu saja?”

“Kau nak suruh aku buat apa lagi?” tanyaku semula. Syafinaz tidak berada di kedudukanku, bolehlah melepaskan kata-kata dengan semahu hatinya. “Aku tak ada bukti dan saksi, tak ada sesiapa yang akan dengar kata-kata aku. Sia-sia aku dapat malu kalau bangkitkan lagi perkara ini pada Cikgu Mai.”

“Kau cakaplah semula dengan Cikgu Mai. Kali ini tanpa Ain dan Tina. Kalau Ain boleh buat begitu, kenapa kau tak boleh? Aku rasa, Cikgu Mai tak adil. Dia dengar cakap sebelah pihak saja,” sungut Syafinaz, lebih bersungguh-sungguh.

Aku menggeleng lemah. Syafinaz berpindah ke SMK Taman Syahdu ketika belajar di tingkatan tiga, boleh jadi tidak mengetahui tentang hubungan akrab Ain dengan Cikgu Maisara. Kononnya dahulu, pelajar dan guru itu kebetulan sama-sama menyertai suatu bengkel penulisan kreatif anjuran sebuah persatuan penulis tempatan. Kemudian, kedua-duanya merancang penubuhan Kelab Penulisan Kreatif di SMK Taman Syahdu.

“Kalau kau berada di tempat aku, Inz… apa kau akan buat?” Aku menduga.

“Aku bantah sekeras-kerasnya keputusan Cikgu Mai itu. Aku akan kekal dengan tugas yang sama dan Ain tetap perlu hantar naskhah cerpennya pada aku,” tegasnya.

“Masalah tak akan selesai kalau keputusan Cikgu Mai tak berubah.” Aku terus menjerat Boleh jadi Syafinaz juga hangat-hangat tahi ayam berkeras.

“Kalau keputusan Cikgu Mai tak berubah, aku dengan serta-merta letak jawatan sebagai pengarang majalah sekolah.” Dia memutus.

Aku terpempan. Letak jawatan? Semudah itu?

“Letak jawatan, Inz?” Aku bertanya semula.

“Ya. Letak jawatan?” ulang Syafinaz. Nafasnya terhela sekejap. “Sekali lagi, aku bukannyanak jadi batu api. Tapi, fikirlah sendiri, kau bukannya dapat buat kerja-kerja majalah Persada dengan seronok kalau guru penasihatnya tak percaya pada kau lagi. Tugas ini di mana-mana sekolah pun dilakukan secara sukarela saja. Setakat aku tahu, badan redaksi tak termasuk dalam senarai kelab bukan akademik.”

Syafinaz tidak silap menerjah. Keahlian badan redaksi Persada eksklusif kepada pelajar-pelajar terpilih sahaja. Cuma, seseorang pelajar berkenaan juga diberi pilihan untuk meninggalkan kelab bukan akademik yang disertainya. Pada awal tahun ini, aku telah ditanyakan perkara yang sama, tetapi berhasrat untuk kekal menjadi setiausaha Kelab Buku SMK Taman Syahdu.

“Kalau aku ikut cakap kau, Inz… aku akan dikatakan emosional,” kataku lambat-lambat, dan dengan sangat berhati-hati.

“Taklah. Aku percaya tindakan itu profesional. Malah, semua orang yang pandai berfikir akan kata itu tindakan profesional,” sanggah Syafinaz serta-merta.

“Kau tak boleh tutup mulut Tina, Ana dan Ika,” sangkalku semula.

“Ain pun tak boleh tutup mulut aku. Nanti bila kawan-kawan yang lain tahu perkara yang sebenar ini, mereka akan berada di pihak kau,” sambung Syafinaz dengan penuh yakin, tetap ada jawapan.

Aku patut menggeleng. Tindakan meletak jawatan itu boleh dianggap sebagai suatu protes, boleh jadi juga disalah anggap sebagai hukuman terhadap apa-apa kesalahan yang kulakuan dalam badan redaksi. Aku masih berfikir untuk menarik benang dalam tepung. Kalau berhati-hati, benang tidak putus dan tepung pun tidak berserak. Selain itu, aku juga tidak pasti kalau masih berharap dapat mengelolakan tugas yang sama.

“Nanti aku fikirkan semula. Bukan sekarang,” putusku, akhirnya.

“Kalau letak jawatan, kau boleh buat banyak perkara lain, Flin. Kau boleh baca seberapa banyak buku yang kau suka dan menang Anugerah Nilam bagi batch kita sekali lagi. Kau juga boleh tulis cerita sendiri, jadi cerpenis macam Dura,” desak Syafinaz.

Aku baru hendak mencebis kek keju di piring, terus mengerling semula.

“Kau tahu fasal cerpen itu?” tanyaku.

“Aku tahu sejak petang Jumaat lepas lagi. Aku pun terfikir juga, Ain langsung tak seronok bila orang tahu dia bukanlah Duratul Ain yang menulis cerpen dalam majalah itu,” terangnya sambil turut mencebis kek buah-buahan di piringnya.

Memanglah, nama Duratul Ain binti Abdullah tertera jelas di bawah tajuk cerpen ‘Kasih Di Pintu Hati Ibu’ itu. Namun, penulisnya yang sebenar mudah dikesan kerana gambar dan nama sekolah lama Duratul dapat ditatap di bawahnya. Kalau Ain berasa tercabar, dia sepatutnya berusaha mengirim cerpennya kepada majalah yang sama.

“Kita tak perlu libatkan Dura. Masalah sama nama bukan besar dan sebelum ini pun banyak berlaku di mana-mana,” kataku. Dengan segala masalah yang timbul ini, orang lain tidak perlu diheret lagi.

Syafinaz menyatakan persetujuannya dengan sebaris senyuman sahaja. Selepas itu, dia menggesa aku menikmati santapan tengah hari itu. Pandai dia memujuk tadi, memberitahu bahawa restoran yang baru dibuka di hujung Jalan Persada Syahdu itu menyediakan aneka roti, kek dan pastri yang enak, sehingga aku akhirnya beranjak dari kerusi. Katanya, kalaupun selera belum terbuka, ciciplah sedikt.

Firasat Syafinaz betul. Aku dan dia baru turun ke tingkat bawah ketika melihat Arianna, Qistina dan Syafiqa sedang petah bercerita kepada beberapa orang pelajar perempuan tentang ‘perilaku’ku yang buruk di sebuah meja paling hampir dengan pintu. Hampir pasti kami tidak meneka rambang kerana mereka serta-merta diam. Aku dan Qistina turut mengerling balas, sama tajam, saling tidak berkalih.

Aku tidak boleh berhenti di meja itu. Di seberang pintu kaca, Ainina dan Daphne Ho kebetulan baru sampai dan akan menerpa masuk. Terpandang wajahku, Daphne Ho cepat-cepat menarik telefon pintar dari saku baju kurung putih, menekan beberapa butang pada skrin sesentuh dan melekapkannya di tepi telinga.

“Kau patut beritahu kami pagi tadi lagi!”

Itu rumusan Fitria. Faridani, Dania, Ainina, Daphne Ho, Farina dan Farini tidak perlu berfikir untuk mengangguk bersetuju. Syafinaz telah tahu segala-galanya, tidak beralih kepalanya daripada panorama Taman Tasik Cahaya di bawah bahang matahari petang. Setelah keluar dari Kafe La Rizz, aku bersetuju untuk menemui mereka di taman rekreasi itu.

“Aku tengok Ain diam saja di kelas. Aku fikir tadi, dia pun tak nak panjangkan perkara ini di luar bilik redaksi,” getusku. Sejak tadi diasak dengan pertanyaan demi pertanyaan, aku kerap diingatkan agar melunaskan semuanya tanpa dolak-dalik.

“Itu sebab Ain memang jadi kera sumbang dalam kelas,” tingkah Daphne Ho.

“Dulu pun dia berkawan dengan Tina saja. Bila Tina pindah kelas, dia buat hal sendiri saja setiap hari,” tokok Ainina, enggan ketinggalan melepaskan radang.

Sebenarnya, aku sahaja yang tidak sedar ada perkara hangat diperkatakan di luar kelas. Memanglah Ain diam kerana dia jarang-jarang membuka mulut dalam kelas, dan selepas rehat semua pelajar Tingkatan Empat Alpha belajar seperti biasa. Masalahnya. Arianna, Qistina dan Syafiqa lebih sibuk menjaja cerita yang sama di mana-mana waima masa belajar pada hari Selasa telah berakhir. Ada lagi tokok tambah, kononnya aku tidak bersedia menerima keputusan Cikgu Maisara dengan hati yang terbuka.

“Jadi, apa aku nak buat sekarang? Bersemuka dengan Ain semula?” tanyaku.

Semua orang memandang Fitria, seperti menjangka dia pasti ada jawapannya. Selalunya, dia memang ada jawapannya.

“Taklah. Tak guna jumpa Ain. Kita bukan tak tahu perangainya bila marah-marah dan tak nak mengaku salah,” balas Fitria dengan bersahaja. Sebenarnya bukan seisi kelas sahaja sangat maklum. Paling tidak, lebih separuh sekolah paling tidak pernah mendengarnya. “Kau patut bersemuka dengan Cikgu Mai saja. Kami boleh temankan.”

Aku tidak ulas bibirku cepat mencetuskan keluhan.

“Kenapa mengeluh? Kau takut?” tanya Faridani. Pondok tempat kami berteduh agak besar, dia tiba-tiba beralih ke tempat baharu yang tidak disinggahi bahang.

Aku mengangkat bahu dahulu. “Tetap tak ada gunanya kalau aku tak ada saksi dan bukti. Cikgu Mai tak pernah mengajar kelas kita, jadi kita pun tak kenal dia sangat. Kalau dah macam tu, pergi ramai-ramai pun bukannya boleh buat apa-apa. Aku rasa, dia akan ulangi perkara yang sama, iaitu masalah antara aku dengan Ain tak akan timbul lagi selepas ini sebab dia ada tugas lain untuk aku.”

Syafinaz juga tiba-tiba meraih kesempatannya untuk mencelah.

“Aku dah cadangkan Flin agar dia letak jawatan saja. Tapi, dia berkeras nak kekal dalam badan redaksi Persada. Aku dah dapat jangka reaksi Ain, atau Tina, atau Ana dan Ika nanti. Mereka kata… Aini Falina tak tahu malu. Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Pandai-pandailah tengok cermin kalau Cikgu Mai dah tak suka,” luah Syafinaz, tidak teragak-agak langsung. Sejak tadi dia punggungnya beralaskan sebuah bongkah kuboid berjubin, mudah berpusing dan menghadapku semula.

“Kau dah jadi batu api, Inz,” Farna mengingatkan. Kakak kembar Faridani itu belajar di Tingkatan Empat Epsilon, terletak di sebelah kelasku.

“Ada masanya kita patut jadi batu api,” balas Syafinaz, tidak berasa bersalah langsung meluncurkan kata-kata berapi itu.

“Aku pun rasa kita patut jadi batu api. Tapi syaratnya, selepas itu kita sama-sama tolong Flin,” sahut Farini, seorang lagi kakak kembar Faridani, belajar sekelas dengan Farina.

Aku diam sahaja. Akur akan kata mereka, sebenarnya akur akan kata hati sendiri. Keputusan seperti itu agak kena pada tempatnya pada sesuatu masa.

“Apa salahnya, Flin… kalau kau letak jawatan sebagai pengarang majalah Persada untuk karang sebuah buletin pelajar?” Fitria mencetuskan cadangan lain, serta-merta menghulurkan tangan kanannya ke arah Ainina, menjadi isyarat meminta sesuatu. “Sebenarnya, kami saja-saja bercakap perkara ini pada masa rehat tadi. Dan kebetulan semua setuju… bila aku kata dalam kalangan pelajar TS2, kau seorang saja yang layak jadi ketua pengarang buletin pelajar macam dalam syarat-syarat penyertaan ini.”

Ainina mengeluarkan naskhah majalah Edisi Siswa yang kutatap pada pagi tadi dari beg sandangnya. Serta-merta aku teringat akan siaran Peraduan Mengarang Buletin Pelajar yang kutatap sekali lalu itu, belum tahu apa-apa butirannya pada baris-baris perkataan yang lebih kecil. Heh! Entahlah. Kalau disarankan mengetuai buletin pelajar ini, aku perlu membentuk pasukan editorialku sendiri.

“Modal untuk cetak lima naskhah contoh buletin itu tak mahal. Kita boleh kongsi sikit-sikit seorang. Tinggal sekarang nak tentukan bahan-bahan yang nak dimuatkan saja. Kau paling akrab dengan buku dan majalah, tentu ada banyak idea,” kata Fitria ketika majalah pelajar itu sampai ke tanganku sekali lagi.

“Kita masih perlu cari guru penasihat,” pintas Dania pula.

“Kita?” tanyaku, tiba-tiba musykil.

“Kita fikirkan guru penasihat kemudian,” tegas Fitria.

“Kita?” tanyaku sekali lagi, meminta kepastian. Aku tidak salah mendengar.

“Ya… kita. Kau pilihlah siapa yang kau suka, Flin. Aku boleh lukis apa-apa ilustrasi yang kau perlukan. Kalau grafik komputer, ‘amoi’ kata tak ada masalah. Dia pandai juga pakai mouse dan keyboard. Dura kata tadi, dia sedia sumbangkan sebuah cerpen untuk buletin ini. Fitria boleh buat proofreading, dan bagi apa-apa pandangan yang lebih baik lagi. Nina dan budak-budak kembar bertiga pula boleh tolong taipkan apa-apa artikel,” beritahu Dania dengan panjang lebar.

Kadang-kadang Daphne Ho dipanggil ‘amoi’ sahaja, cepat menarik muka.

“Aku pun nak join pasukan editorial ini,” Syafinaz mencelah.

“Inz?” Aku teragak-agak bertanya, atau agaknya meminta kepastian sekali lagi.

“Aku tahu masalah Flin ini sejak dari awal lagi. Aku memang tahu dia di pihak yang benar. Tapi seorang saja, aku tak dapat tolong dia apa-apa. Sekarang, Flin dah ada ‘pasukan’ dan aku patut jadi ‘sukarelawan’,” beritahu Syafinaz, tetapi tetap beringat-ingat, cepat sedar bahawa kawan-kawan di sekelilingnya belajar di Tingkatan Empat Alpha dan Tingkatan Empat Epsilon. Mereka lebih akrab denganku. “Itu pun kalau aku diterima dan tak menyusahkan sesiapa.”

Ketika orang berbudi, aku juga patutlah berbahasa.

“Taklah, Inz. Kecik tapak tangan, apa-apa yang lebih besar daripada itu semua Flin boleh tadahkan.” Belum sempat aku menyebut, Ainina lebih cepat memintas. Dia mengubah suai peribahasa itu.

“Nyirulah, Nina. Dalam peribahasa Melayu, benda yang lebih besar daripada tapak tangan itu kita panggil nyiru. Kecil tapak tangan, nyiru dia tadahkan.” Daphne Ho tidak mahu ketinggalan berkata-kata, menyebut peribahasa yang tepat.

“Aku tahulah, amoi. Kau tu… pernah tak seumur hidup tengok nyiru? Aku pernah, sebab nenek sebelah ibu sempat simpan sebelum petani-petani di tempatnya gunakan macam-macam mesin di sawah padi,” sergah Ainina pula, tidak senang hati apabila gurauan itu diperbetulkan.

Daphne Ho lebih cepat mencemik, tidak dapat membeliakkan mata serentak.

Ada perasan lega berturap di hati, sebenarnya belum dapat menggerakkan ulas bibirku. Memiiki pasukan editorial yang dedikasi belum memadai kerana aku perlu melakukan banyak perkara lagi. Namun paling utama, tentulah mengangguk di hadapan kawan-kawan yang sangat prihatin dan sedang menanti keputusanku.

Aku mengangguk. “Okey. Nanti kita sama-sama buat buletin itu.”

Angin bertiup sepoi-sepoi, tetapi diruapi bahang, meraup wajahku.

KAK RUZY.

 

Sejurus loceng berdecit, bas henti-henti RapidKL berhenti di kaki lima Jalan Persada Mesra, betul-betul menghadap muka jalan ke rumahku. Syafinaz pula akan turun kira-kira 200 meter di hadapan. Katanya rumahnya terletak tidak jauh dari pondok perhentian bas.

“Kau siapkan surat itu malam ini juga, Flin. Kalau perlu bantuan, nanti emel pada aku. Kita sama-sama tengok dan buat pembetulan,” pesan Syafinaz ketika aku berpaut di sebatang palang besi, menanti bas pegun dahulu sebelum membuka langkah di lorong tengah.

Aku sebenarnya tidak tahu kami tinggal di kawasan perumahan yang sama. Rumah Syafinaz berselang lima lorong sahaja, dan pagi kami kerap menaiki bas yang sama ke sekolah. Sebelum ini aku tidak perasan dan dia juga tidak peduli, kerana kami tidak pernah terfikir akan menjadi kawan baik.

“Ya. Nanti aku siapkan, Inz. Aku juga akan minta bantuan kau,” balasku. Syafinaz terus melirik, tahu dadaku terus berdetak bimbang. “Aku belum pernah sediakan surat macam tu, jadi aku perlu berbincang dengan kawan.”

Kata itu kota. Kata-kata itu menjadi janjiku yang dapat memuaskan hati Syafinaz. Ulas bibirnya terus bergerak-gerak meleretkan senyuman. Dia menyertai kawan-kawan di Taman Tasik Cahaya tadi, berulang kali mengingatkan aku agar jangan berubah fikiran lagi. Pada pagi esok, aku tidak akan menjadi pengarang majalah Persada lagi dan selepas itu tugasku beralih mengarang buletin sendiri.

“Jangan bimbang, Flin. Ramai orang sanggup tolong kau,” balasnya.

Aku mengangguk sahaja, sengaja tidak menutur balas lagi. Sekilas kerling, ramai penumpang di belakang turut berdiri dan selepas ini akan berasak-asak ke pintu. Di kaca tingkap, ada titis-titis jernih akhirnya menjalur halus, selepas ini banyak lagi akan singgah di situ. Ketika menaiki bas di kaki lima tidak jauh dari Taman Tasik Cahaya tadi, gumpalan awan di dada langit mula saling mengejar. Belum kedengaran butir-butir air jernih jatuh merintik di bumbung bas, tetapi telah ada butir-butir yang sama membintik di cermin pemandu. Gerimis!

“Aku perlu cepat, Inz. Dah hujan, Rumah aku jauh di hujung jalan tu,” kataku tiba-tiba, berasa perlu minta diri apabila bunyi derap kasut semakin menghampiri.

“Jangan lupa tengok Telegram. Nanti ada macam-macam idea baru lagi untuk buletin itu,” pesan Syafinaz lagi. Dia juga menyedari wajah langit yang terus berubah, beranjak ke tempat duduk di sebelah lorong.

Sebaik bas berhenti nanti, pasti penumpang-penumpang akan membuka langkah lebar ke rumah masing-masing. Kalaupun tidak perlu menyempurnakan larian persis jaguh pecut 100 meter dunia, ramai akan memilih acara lumba jalan kaki. Sejak tadi, aku perasan rata-rata penumpang bas henti-henti itu memakai pakaian seragam dan baju T sekolah-sekolah di Bandar Bukit Persada. Boleh jadi seperti kami, mereka mengikuti kegiatan kokurikulum di sekolah masing-masing.

Ah! Tidaklah. Aku dan Syafinaz tidak sampai pun ke sekolah semula tadi. Aku dan dia, dan kawan-kawan yang lain, sangat terangsang merangka buletin itu sejurus aku mengangguk dan menyatakan persetujuan. Semua orang mengeluarkan telefon pintar masing-masing, kecuali Ainina, dan Fitria memulakan grup baharu yang dinamakannya Buletin TS2. Ketika sedang seronok, kami bersetuju untuk memikirkan semula nama buletin itu, dalam bahasa Melayu seperti syarat peraduan. Biarlah sepotong nama itu senang disebut, dan sedap juga didengar.

“Flin…,”

“Taklah. Aku tak lupa,” kataku sebelum Syafinaz mengulangi pesanannya.

Aku ingin mengatakan bahawa telefon pintar itu akan berada di sebelah tangan kiriku, kerana aku kidal, lebih cepat mencapainya, tetapi tidak sempat menyatakannya apabila terasa ada kelibat-kelibat lelaki dan perempuan mula mengasakku. Tidak ada kata-kata seterusnya lagi kerana aku perlu membuka langkah sebaik bas berhenti, Langkah pertamaku agak laju kerana ada lajak daripada kedudukan pegun, tidak dapat lagi aku melambai Syafinaz. Kami naik awal di Taman Tasik Cahaya dan dapat mengisi tempat duduk di barisan kedua dari hadapan, dan selepas ini aku menjadi orang kedua atau ketiga menapak keluar dari bas.

Benarlah. Aku terikut-ikut berlari anak sebaik tapak kasut hitamku menjejak kaki lima jalan. Hujan merintik lebih deras, kali ini berasa perit apabila bilah-bilah yang menjalur itu menimpa wajah. Sekejap sahaja, lebih banyak titis-titis jernih yang sama membintik di pakaian seragam sekolahku. Jarak dari pangkal Jalan Persada Mesra 1/1 ke hujungnya kira-kira 100 meter, benar-benar aku teringat akan kesungguhan Hazanil memburu pingat emas acara pecut itu pada kejohanan olahraga SMK Taman Syahdu.

Huh! Tidak juga. Hazanil tidak akan berlari dalam hujan renyai-renyai.

Langkah pantas itu cuma terhenti apabila aku mendekati pagar rumah. Aku kaget sejenak apabila mendekati sebuah kereta Honda City putih dengan nombor pendaftaran 2652 menjalar di hadapan pintu pagar. Sebuah kereta ini belum pernah kulihat, tetapi arif bahawa semua ahli keluarga mak long di kampung memakai nombor pendaftaran yang sama. Aku teragak-agak memilih laluan ketika hujan terus menjirus tubuhku.

Masalahnya, seluruh pakaianku basah lencun. Kalau mak long yang sampai, yang pasti turut menyusul ialah salah seorang anak lelakinya. Kononnya meskipun dia boleh memandu sendiri, namun terhad di sekitar kawasan kampung sahaja. Sejak pemergian pak long setahun yang lalu, anak-anak lelakinya yang memandu ke tempat yang jauh.

Mujurlah rumah itu telah diubahsuai pada hujung tahun lalu, sekarang aku boleh memilih pintu baharu di bangunan tambahan. Kalau berkunci, aku boleh menelefon ibu, perlu menunggu sekejap di situ, setelah dibuka terus berjanji akan mendatangi tetamu setelah menukar pakaian di tingkat atas. Tidak jadi sahaja, kerana ibu dapat mengesan kelibatku di bawah tempat letak kereta.

“Lina, masuk ikut sini,” kata ibu di muka pintu.

Di rumah, aku dipanggil Lina. Nama itu sama mudah disebut.

“Baju basah, bu,” balasku, ada alasan, cukup kuat.

“Tak apa. Bukan ada sesiapa lagi. Kak Ruzy datang seorang saja,”

Kak Ruzy? Nama penuhnya Ruzy Amani, anak perempuan tunggal mak long,

“Kak Ruzy balik bercuti?” tanyaku semula, terus teragak-agak.

Sepupu yang selalu kukagumi itu mengikuti pengajian dalam bidang guaman di United Kingdom, kemudian bertuah terpilih memulakan kerjaya di kota London. Sejak habis pengajian dua tahun yang lalu, baru sekali dia pulang bercuti ke tanahair. Itu pun beberapa hari sahaja, dan kebetulan ketika dia berkunjung, aku sedang mengikuti kem motivasi menjelang peperiksaan PMR anjuran pihak sekolah. Kami saling berhubung melalui laman Facebook sahaja, lama-lama sekali kerana dia selalu sibuk.

“Masuk dulu,” arah ibu, dapat melihat tubuhku terus disimbah tempias.

Kelibat Kak Ruzy kemudian muncul di sebelah ibu. Aku terus menukar arah ke muka pintu, dan serta-merta meleretkan sebaris senyuman. Sungguhpun berbeza usia agak jauh, kira-kira lapan tahun, tetapi kami sangat akrab kerana kebetulan berkongsi suatu ciri istimewa. Aku dan dia sama-sama menjadi anak perempuan tunggal dalam keluarga masing-masing.

“Apa khabar, kak?” tanyaku penuh hormat ketika kami bersalaman. Cuma kali ini, aku perlu menjarakkan diri kerana pakaianku basah lencun.

“Khabar baik, Lina. Kakak sihat saja,” katanya, sangat memahami sebab aku tidak ingin berdiri lebih dekat, memeluk dan berlaga pipi dengannya, kanan dan kiri. “Kakak cuma lebih seronok tengok adik kakak ni dah besar panjang. Dah jadi anak dara pak uda dan mak uda sekarang.”

Itu baris kata-kata Kak Ruzy yang lumrah pada setiap pertemuan kami. Agaknya lebih ketara sekarang, aku hampir sama tinggi dengannya. Selainnya aku mengirasi wajah ayah, dan dia pula mengirasi wajah ibunya, dengan itu ramai orang berkata kami bagai adik-beradik sebenar. Saudara-mara yang lebih dekat juga kerap membandingkan zaman kanak-kanak kami, kononnya banyak perkara yang serupa.

“Itu sebab kakak lama-lama sekali jumpa Lina,” kataku pula.

“Kali ini kakak dapat tengok-tengokkan adik kakak lebih lama,” balasnya.

Agaknya, keserupaan itu menjadikan kami sangat akrab. Dia memang seorang kakak yang baik, penyayang, sangat cermat juga dengan kata-katanya. Paling kusenangi, Kak Ruzy tahan mendengar segala luahanku, dapatlah aku melepaskan segala perkara yang terbuku di dada, kemudian dia bijak menyusun kata-kata yang dapat melapangkan dadaku semula. Bertuahlah aku, meskipun dia seorang kakak sepupu sahaja.

Dan sejurus kemudian, dadaku sesak dan sebak semula. Setelah berada di depan mata, sepatutnya aku boleh mengadu masalah yang baru mendatang ini kepadanya. Entahlah. Keadaan itu tidak sama. Malah, boleh jadi aku tidak dapat mengarang sepucuk surat peletakan jawatan itu dengan mudah kerana dia akan berkongsi bilik denganku.

“Err… kali ini berapa lama kakak dapat cuti?” tanyaku semula.

Sebenarnya, aku tidak kisah berkongsi bilik dengan Kak Ruzy. Malah setiap kali keluarganya berkunjung ke rumah teres di hujung jalan ini, aku tertunggu-tunggu masa kami dapat bersembang berdua sahaja, tentunya di sebalik daun pintu itu. Kami akan berceloteh panjang tentang dunia remaja yang sedang dilaluinya dan akan kujejaki, dengan semahu-mahunya, pasti terganggu kalau terdengar bunyi ketukan atau suara memanggil dari sebalik daun pintu yang sama. Kalau boleh juga, kami ingin meleraikan tali jam yang meliliti pergelangan tangan dan membalikkan muka jam di dinding dan di atas meja, kalaupun tidak dapat menangguhkan putaran jarum-jarumnya.

“Kali ini kakak tak perlu kumpulkan cuti kalau cuma nak tengok-tengokkan adik kesayangan kakak ini. Asal ada masa lapang saja, kita juga boleh pusing seluruh KL, kita singgah di mana-mana restoran yang kita suka. Macam dulu-dulu… jalan-jalan cari makan,” kata Kak Ruzy pula, kali ini lebih panjang lebar. Malah, dia menyebut dengan lancar nama program televisyen kegemarannya di hujung baris kata-kata itu.

Aku terpegun. Sungguh? Ibu turut menguntumkan senyuman.

“Kak Ruzy dapat pindah, ya?” Aku meneka rambang. Paling sipi pun tekaanku, dia ditugaskan mengelolakan suatu kes di tanahair sendiri.

“Ya.” Dia menjawab sepatah dahulu, menelorkan kepastian. “Seorang staf di KL habis umur mengejut dua hari lepas, heart attack… jadi firma itu fikir kakaklah orang yang paling sesuai ambil alih tugas-tugas dia. Kebetulan pula ada suatu kes besar, kakak tergesa-gesa dapatkan flight… tak sempat uruskan banyak perkara. Kakak ni… baik sikit saja daripada dikatakan sehelai sepinggang.”

Dan persoalan itu juga terjawab dengan sendirinya, hampir seluruhnya.

“Wah! Bagusnya” Aku terus cuba buat-buat seronok.

Entah kenapa juga, suaraku kedengaran mendatar sahaja.

“Jadi kakak sekarang nak minta tolong sangat-sangat adik kakak ni… temankan kakak beli pakaian baru sekarang. Kakak dah mula bekerja esok… dan tak mungkin kakak nak pakai pakaian yang sama ini ke pejabat,” sambungnya, berundur sedikit dan mendepakan tangan, sengaja memperagakan sehelai blaus ungu muda yang dipadankan dengan sehelai skirt labuh hitam di tubuhnya kepadaku.

“Sampai macam tu sekali… sehelai sepinggang?” ajukku, buat-buat terkejut pula dan cuba melawak. Seboleh-bolehnya, aku cuba menggariskan kerut di dahi.

Ada derai, Kak Ruzy tercuit hati mendengar usikanku.

“Sekarang Lina naik dulu, mandi, solat Asar, tukar pakaian baru, turun semula… nanti ikut Kak Ruzy beli pakaian baru,” arah ibu, satu persatu mengikut aturan, seperti sengaja membataskan kata-kataku.

Aku teruja mengetahui Kak Ruzy bertamu, sekejap tadi terlupa menyalami dan mencium pipi ibu sebaik pulang ke rumah. Berasa bersalah, aku lantas mencapai tangan kanan ibu dan mengulangi rutin itu. Berdiri lebih dekat dengan daun pintu, aku sempat menjengah, memang benar tidak ada sesiapa lagi mengisi ruang tamu.

“Memang tak ada sesiapa, Lina. Abang Redza baru saja balik. Dia tinggalkan kereta Honda City itu untuk kakak,” pintas Kak Ruzy, cepat menelah kebimbanganku.

Benar. Anak kedua mak long itu tidak ada di situ lagi. Kereta buatan Jepun itu masih baharu, kerana aku sempat melihat plastik lutsinar masih membaluti tempat duduk belakang. Sementelah, adik-adikku juga pernah bercerita bahawa sepupu kami itu berhasrat memiliki sebuah kereta baharu dalam masa terdekat.

“Mana kereta BMW biru?” tanyaku, tiba-tiba teringat akan sebuah kereta mewah kegunaan Kak Ruzy ke tempat kerja lamanya, seperti dalam laman Facebook.

“Kakak tak dapat bawa naik kapal terbang dari Heathrow. Paling awal bulan depan sampai. Nanti kakak bawa Lina balik ke kampung,” janjinya, turut bersahaja.

Aku diam sahaja ketika Kak Ruzy terus menyeringai kerana dapat mengenakan adik sepupunya ini. Namun, ibu bijak memberi isyarat agar kami tidak memanjangkan gurauan itu, dengan menarik beg sandangku, biar mudah aku menanggalkan stoking dan kasut sekolah. Kak Ruzy juga mencari semula sofa empuk yang didudukinya tadi, dengan tertib menghabiskan baki minumannya di atas meja.

Aku tidak mengambil masa yang lama bersiap-siap di tingkat atas. Kira-kira 20 minit selepas itu, aku sudah muncul semula di ruang tamu dengan pakaian yang kasual. Berasa perlu bergerak dengan cepat, dan selesa, kerana Kak Ruzy akan memborong banyak pakaian baharu, aku memilih berbaju T lengan panjang merah dan berseluar panjang hitam. Kalau mengikut keadaan yang biasa-biasa, aku hampir pasti mendapat bahagianku, paling tidak sehelai dua pakaian baharu.

Dalam kereta, sebenarnya Kak Ruzy memiliki lebih banyak modal bercerita. Kononnya, dia kelam-kabut sejak dua hari yang lalu gara-gara arahan mengejut dan berkuat kuasa serta-merta itu, lantas suatu perkara yang sangat diharap-harapkan ialah rehat yang panjang pada hujung minggu nanti. Namun itu pun belum pasti, kerana kes yang perlu ditanganinya sangat besar. Paling baik sekarang, pada malam nanti dia dapat berbaring semula di atas tilam yang empuk.

Aku cuba menjadi seorang pendengar yang baik. Sekejap ekor mataku melirik ke arah Kak Ruzy, sekejap pula menancap skrin telefon pintar di paha kiriku. Aku dapat mengesan kawan-kawanku bergilir-gilir menaip status baharu di grup Buletin TS2 itu.

“Jadi, kakak beritahulah pak uda dan mak uda, kakak nak tumpang bermalam di rumah Lina sementara dapat cari rumah sewa paling dekat dengan pejabat. Harap-harap paling lama seminggu saja,” kata Kak Ruzy, kali ini sempat menoleh lebih lama ke arahku ketika berhenti lagi di suatu kawasan lampu isyarat.

Perjalanan ke Plaza Heritage tersekat-sekat kerana masa bekerja telah berlalu. Ketika hujan terus berintik laju, ramai pemandu mengambil sikap berhati-hati.

“Kenapa seminggu saja, kak? Lina rasa ayah dan ibu tak kisah kalau kakak tinggal lebih lama. Bilik baru Lina itu pun besar… masih selesa duduk berdua,” kataku, benar-benar ikhlas, dan percaya ayah dan ibu juga sama tidak keberatan membenarkannya.

“Tak boleh. Kerja kakak tak sama macam kerja pejabat,” balasnya.

“Lina tak fahamlah,” kataku, berasa lebih mudah meminta dia berterus-terang.

“Mudah saja. Majikan kakak beribu pejabat di London. Kakak perlu berhubung dengan peguam-peguam di sana meskipun kakak berada di KL dan dah habis masa bekerja. Ini bererti, kakak akan selalu pulang lewat. Kakak tak nak rutin ini ganggu keluarga Lina,” terang Kak Ruzy. Sehabis berkata dia menekan pedal minyak, kereta Honda City bergerak beberapa meter apabila kereta Proton Preve di hadapan membuka sedikit ruang.

Aku teragak-agak, sekejap ingin mengangguk, sekejap juga ingin menggeleng dan menidakkan andaian itu. Akhirnya, aku tidak berbuat kedua-duanya.

“Lagi pun, adik kakak ni rajin belajar. Kakak pula yang tiba-tiba rasa bersalah ajak Lina keluar. Kakak bukanlah tak perasan Lina sekejap-sekejap tengok muka skrin telefon tu. Kalau guna Telegram, kakak agak… Lina dan kawan-kawan berbincang fasal apa-apa projek di sekolah,” sambungnya ketika ada jeda.

Ah! Dia peguam terlatih, bukan calang-calang kalau aku tersalah berkata-kata.

“Apa masalah Lina di sekolah tadi?” pintasnya.

Aku ingin berterus-terang sahaja, tetapi masih ada jalan tengah.

“Err… sebenarnya bukan… masalah Lina.”

“Tapi, kakak nampak Lina susah hati sangat,” desaknya.

“Lina… kasihan pada seorang kawan baik Lina. Dia tiba-tiba dapat masalah besar bila guru penasihat majalah sekolah tak percaya pada dia lagi. Dia dah buat kerjanya dengan betul, tapi ada seorang pelajar perempuan menipu badan redaksi. Err… budak ni nak menang peraduan mengarang karya kreatif, kak. Err… kawan Lina dapat kesan dia ciplak cerpen orang,” beritahuku, pada awalnya teragak-agak, kemudian teringat dapat berselindung di sebalik kelibat seorang kawan baik.

Katakanlah Syafinaz! Nama panggilannya Inz. Nama penuhnya Intan Syafinaz.

“Cerita tak lengkaplah. Ceritakan semula sejak dari awal lagi,” arah Kak Ruzy.

“Kakak nak buka fail ke?” tanyaku, kedengaran berolok-olok.

“Bolehlah kalau nak buka fail. Kakak dengar kes ini menarik dan boleh menang.” Dia juga sama bersahaja menokok, atau agaknya seronok kerana aku mendengar kata.

Kak Ruzy tidak akan tahu, masalah itu menjadi semakin besar sekarang. Aku membaca status demi status itu sekali lalu sahaja, sekadar memahami sungutan Daphne Ho apabila didatangi oleh Arianna, Qistina dan Syafiqa di hadapan pintu pagar utama SMK Taman Syahdu. Rupa-rupanya ketiga-tiganya mengekori kami ke Taman Tasik Cahaya dan meninjau dari jauh, meneka bahawa percakapan di bawah pondok berteduh itu berkait rapat dengan keputusan ‘perbicaraan’ di bilik redaksi Persada. Daphne Ho tidak keseorangan diasak, bersama-sama Ainina, berterus-terang bahawa mereka dan kawan-kawan yang lain memang memihak kepadaku.

Pesan Fitria, meskipun rancangan menerbitkan buletin tidak terbongkar, namun kami tetap perlu berhati-hati. Arianna, Qistina dan Syafiqa selalu panjang akal, kalau dibiarkan pasti menjadi api dalam sekam.

“Jadi ke buka fail ni?” tanya Kak Ruzy semula, sahaja-sahaja menyakatku.

Jalan sangat sesak. Kalau diikutkan jarak yang sebenar, kami sepatutnya sampai di Plaza Heritage tidak sampai pun lima minit. Aku tidak boleh berdiam diri lagi kerana Kak Ruzy akan terus mendesak. Sementelah, aku tidak boleh mengubah cerita, perlu bertahan bahawa ‘seorang kawan baik’ itulah yang menanggung masalah ini. Seperti di Taman Tasik Cahaya, aku mengulangi cerita yang sama, kali ini menggunakan ganti nama diri ketiga, ‘dia’ dan sesekali ‘Inz’, dengan lebih hati-hati.

Agaknya, aku sama baik mengolah cerita dengan Duratul. Selama aku berujar, Kak Ruzy mendengar setiap baris kata-kataku dengan teliti. Dia cuma tidak menulis apa-apa kerana sedang memandu, dan memang tidak ada keperluan berbuat begitu.

Dan selepas ini, aku juga perlu memohon maaf daripada Syafinaz.

“Akhir sekali kami berpakat ramai-ramai di Taman Tasik Cahaya, Inz tak perlu beriya-iya jadi pengarang majalah sekolah lagi. Kawan-kawan beritahu tadi, kononnya dia ada kekuatan untuk jadi ketua pengarang buletin itu. Kawan-kawan juga berjanji akan tolong Inz dari mula sampai akhir,” beritahuku, agak lancar ketika sepasang mata kerap menerawang, berhati-hati agar tidak mengelirukan Kak Ruzy dan diri sendiri.

“Lepas dapat kata sepakat, apa lagi masalah Inz sekarang?” tanya Kak Ruzy lagi, tidak mahu aku berhenti setakat itu sahaja.

“Inz perlu sediakan surat peletakan jawatan. Masalahnya, dia belum pernah karang surat seperti itu. Lina ingat nak tolong dia,” beritahuku.

Ketika menghampiri simpang ke Plaza Heritage, Kak Ruzy sempat melirik.

“Kalau nak tolong dia, apa kata Lina letakkan diri dalam kedudukan Inz dan masa karang surat nanti, bayangkan Lina sendiri yang lepaskan jawatan pengarang majalah sekolah. Tak rugi kalau Lina berterus-terang dengan guru penasihat itu,” cadang Kak Ruzy, benar-benar memeranjatkan.

Boleh jadi… Kak Ruzy sama bijak bermain kata-kata denganku.

LETAK JAWATAN.

 

Aku berdiri tidak bergerak-gerak ketika Cikgu Maisara memandangku dengan tunak. Memang ada debar di hati, tidaklah membadai, tetapi berlaku seperti ini bagai dapat menghantarku keluar dari Bilik Guru II. Keadaan cuma tidak tegang lagi seperti pada pertemuan kami kira-kira 24 jam sebelumnya.

“Awak tak perlu buat begini, Falina,” katanya, perlahan sahaja.

Aku tidak membalas. Aku akan menanti kata-katanya yang seterusnya.

“Saya tak dapat terima peletakan jawatan ini. Awak akan terus jadi pengarang Persada dan buat kerja-kerja yang sepatutnya. Saya nak buat satu mesyuarat minggu depan dan selaraskan tugas semua pengarang semula,” tegas Cikgu Maisara. Dia melipat sepucuk surat itu dan menyerahkannya kepadaku semula.

Aku menggeleng. Seperti pesanan kawan-kawan, aku tidak perlu menyambut huluran itu, sama bertegas tidak akan mengubah keputusanku. Sikap Cikgu Maisara menepati jangkaan mereka, dengan menganggap perkara itu tidak patut berbekas di hati sesiapa. Malah ketika menghulur, dia buat-buat tekun mencatat nota.

“Keputusan saya tak berubah, cikgu,” desisku. Pesan Fitria, percakapan ini patut didengar dua hala di kubikel itu sahaja. “Seperti dalam surat itu, saya perlu lebih banyak masa untuk membaca dan menulis. Cikgu Zafril pun dah ingatkan saya, dia akan kutip buku Nilam tak lama lagi.”

Aku tidak mengada-adakan cerita. Kebetulan ketika menarik daun pintu kaca Bilik Guru II tadi, aku berpapasan dengan guru bahasa Malaysia yang mengelolakan program Nilam itu. Sebenarnya, bukan baru sekali Cikgu Zafril mengingatkan aku akan tarikh-tarikh penting dalam kalendar anugerah Nilam pada tahun ini.

“Itu saja?” Cikgu Maisara mendesak aku lebih telus.

“Itu saja alasan saya, cikgu. Nanti saya menyesal bila dikatakan yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran.” Aku menjawab, berperibahasa lebih mudah, kerana seisi sekolah tahu pencapaianku dalam program tahunan ini.

“Saya minta alasan yang jujur, Falina. Satu alasan pun dah cukup.” Cikgu Maisara juga bukanlah tidak dapat menelah helahku. Dia mendesak sekali lagi.

Aku menarik nafas dalam-dalam dahulu. Aku tidak akan tunduk pada desakan itu. Pada masa yang sama, tidak ada gunanya aku mencetuskan alasan sebenar, kerana Cikgu Maisara tetap akan menyebelahi anak emasnya. Kalaupun cuba bersuara, dia ada setiap tingkah, pasti akan menempelakku lagi.

“Saya dengar awak nak tubuhkan pasukan editorial sendiri. Kononnya, awak dan kawan-kawan nak masuk peraduan mengarang buletin pelajar dalam ES itu. Kalau motifnya balas dendam, saya fikir baik awak lupakan saja.” Cikgu Maisara tidak sabar menanti lagi, kali ini terus memintas. Tangan kirinya yang memegang surat peletakan jawatanku jatuh semula di atas meja.

Dadaku bergetar. Aku cuma dapat bertenang kerana kerap menerima kejutan demi kejutan sejak Ain dan Qistina mendatangiku di Anjung Ilham dua hari yang lalu. Masalahnya sekarang, perkara yang dibincangkan dan dipersetujui di Taman Tasik Cahaya pada petang semalam juga bukan rahsia lagi kepada Cikgu Maisara.

“Malangnya, awak tak akan dapat bantuan daripada pihak sekolah,” sambungnya.

“Saya tak faham maksud cikgu,” kataku, cepat meminta penjelasannya

“Awak dah baca syarat penting peraduan itu?” tanya Cikgu Maisara.

Aku boleh mengangguk, dan aku juga boleh menggeleng, tidak ada bezanya.

“Ada banyak syarat peraduan itu, cikgu.” Akhirnya aku memilih jawapan paling jujur, dengan itu biarlah Cikgu Maisara sendiri menerangkan tujuannya.

“Buletin itu mesti berkisar mengenai sekolah peserta itu sendiri,” jawabnya.

“Jadi?” usulku sepatah, memang keliru.

“Awak tak akan dapat apa-apa bahan daripada badan redaksi Persada, sama ada bahan sekarang atau bahan sebelumnya. Kalau nak masuk juga peraduan itu, awak dan kawan-kawan perlu bermula daripada kosong. Saya tak akan benarkan pengarang-pengarang saya tolong awak dalam apa-apa bentuk jua pun,” tekan Cikgu Maisara dengan lebih panjang lebar.

Aku terpegun, dan semakin keliru. Siapa sebenarnya yang memasang motif balas dendam sekarang? Kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Aku teringat, Ain lewat masuk ke kelas bahasa Malaysia pada masa pertama tadi.

“Kami akan buat semuanya daripada kosong lagi, cikgu. Kami dah rangka draf dan ada bahan-bahannya. Saya juga berjanji tak akan guna apa-apa bahan daripada badan redaksi Persada, atau berhubung dengan pengarang-pengarangnya,” kataku, terpaksa melafazkan janji itu. Kata akan menjadi kota.

Nada suaraku mendatar sahaja, tetapi tetap menarik perhatian Cikgu Maisara. Ekor matanya melirik tajam dan menikam wajahku. Aku degil? Atau kurang ajar? Entahlah. Aku menzahirkan reaksi seperti yang diharapkan oleh guru perempuan itu sahaja. Berdiam diri semata-mata juga tidak kena pada tempatnya.

“Siapa kawan-kawan awak tu?” tanya Cikgu Maisara lagi.

“Ramai juga.” Aku cuba mengira kelibat kawan-kawan yang mengelilingiku pada petang semalam, tetapi tidak dapat menyebut bilangan yang tepat. “Ramai sangat yang tawarkan diri. Saya belum putuskan 10 orang ahli pasukan editorial itu. Tapi, saya pasti memang tak ada pengarang Persada.”

Telah jelas juga, Cikgu Maisara belum tahu perkara itu sepenuhnya. Namun aku juga terlupa, sikapku yang lurus bendul mengira bilangan pelajar yang ingin menyertai pasukan editorial boleh kedengaran seperti cakap besar di tepi telinganya. Sebenarnya, aku tidak ada niat lain di hati kecuali melunaskan pertanyaannya sahaja.

“Awak sebenarnya menolak tuah, Falina. Saya baru nak lantik awak jadi ketua pasukan editorial saya,” getusnya. Aku tidak ada pilihan, tetap perlu menadah telinga. “Tapi, saya juga perlukan seorang pengarang yang jujur dan setia. Sikap awak memang mengecewakan saya.”

Aku baru terfikir untuk menyusun kata-kata semula, jangan didengar meninggi diri. Namun kali ini aku benar-benar ditimpa kejutan. Dadaku bagai retak seribu dirempuh oleh suatu bebanan yang sangat berat. Sungguh. Kalau boleh, aku juga ingin meminta Cikgu Maisara menuturkan kata-kata itu semula, sepatah demi sepatah dalam susunan yang asal, jangan ada yang tercicir. Tidak dapat kucetuskan sahaja, kerana ulas bibirku sama cepat bergetar.

“Terima kasihlah kerana berterus-terang. Rupa-rupanya awak ada banyak helah. Segala-galanya yang dengar tentang awak sebenarnya indah khabar dari rupa.” Boleh jadi Cikgu Maisara sedar aku kehilangan kata-kata, terus menghukum lagi dengan melepaskan kata-katanya yang seterusnya.

Aku terasa pandanganku berpinar-pinar. Dadaku yang bagai retak seribu, sekarang bagai pecah berderai-derai.

“Terima kasih sekali lagi. Saya ada calon yang lebih komited untuk tugas ini,” ucap Cikgu Maisara lagi, tidak peduli sedang menghiris hatiku.

Aku menggetap bibir dengan kemas ketika seraut wajahku terus menahan air bening, jangan sampai tumpah di alur pipi. Seluruh tubuhku seram sejuk. Dengan tidak disangka-sangka, aku telah mencipta sengketa dengan guru perempuan yang seorang ini. Dia bukan sahaja membentak, malah telah buruk sangka terhadapku.

“Saya… minta maaf, cikgu.”

Aku persis bercakap dengan dinding. Cikgu Maisara tidak ingin menancap wajahku lagi. Terus berdiri di tepi kubikelnya tidak akan mengubah apa-apa.

“Saya… minta diri dulu.”

Aku tidak disogokkan dengan apa-apa pilihan lain lagi, terpaksa minta diri. Sebenarnya aku baru terfikir, Cikgu Maisara telah mengatur kata-katanya sejak sebelum kemunculanku lagi. Dia perlu menuturkannya mengikut pilihan jawapanku sahaja. Aku baru sedar, dia membaca sekali lalu sahaja tajuk surat rasmi yang kuhulurkan itu. Selepas itu, serta-merta dia mendesak aku bersikap telus terhadapnya.

Kali ini, siapa pula menjadi musang berbulu ayam? Rancangan meletak jawatan selaku pengarang Persada baru diajukan sekali, dalam satu bulatan di bawah pondok berteduh menghadap Taman Tasik Cahaya. Kecuali Ainina yang tidak memiliki telefon pintar, semua kawanku yang lain mengetahui rancangan kami yang seterusnya dalam grup Telegram.

Sejurus kemudian, aku teringat akan status Daphne Ho dan kawan-kawan yang lain yang bertali-temali dalam grup Telegram pada petang lewat semalam.

“Mai…,”

Aku tidak perlu mengharapkan Cikgu Maisara berubah fikiran lagi. Sejurus kemudian Cikgu Salwa mendekati kubikel itu. Susuk tubuhnya yang berisi dengan sendirinya mendesak aku beranjak. Tiba-tiba meraih peluang, Cikgu Maisara mengangkat kepala semula, dan dengan cepat menyimpulkan senyuman.

“I’m sorry, Falina. If you don’t mind, please excuse us for a while.” Perhatian Cikgu Salwa beralih sekejap kepadaku, berbasa-basi dalam bahasa Inggeris. Kalaupun dia tidak menarik beberapa helai kertas putih di tangan rapat ke dada, aku tetap faham bahawa percakapan mereka itu serba sulit.

Aku terus berpusing dan membuka langkah ke muka pintu Bilik Guru II semula. Jaraknya tidaklah jauh, agaknya dalam sekitar 10 meter sahaja. Namun aku berasa seperti perlu mengerah tenaga 10 kali ganda. Aku berhati-hati menyelinap di celah sekian-sekian banyak kelibat guru dan pelajar. Ketika dadaku terus sesak dan sebak, aku memang tidak ingin berpapasan dengan sesiapa sahaja yang mengenaliku.

Percaturanku tidak menjadi. Setelah pulang dari Plaza Heritage, aku terus mengarang surat peletakan jawatan ketika Kak Ruzy sedang berbual-bual dengan ayah dan ibu di tingkat bawah. Aku tidak sempat mengira berapa kali menekan butang delete dan backspace di papan kekunci, dengan cermat dan berhemah memilih perkataan dan ayat, sebenarnya ingin terus menjaga hati Cikgu Maisara. Alasan terakhir dan terbaik yang kufikirkan, kerana ingin menyandang anugerah Nilam sekali lagi, sepatutnya tidak boleh dipertikaikan.

Aku tidak akur dengan nasihat Kak Ruzy. Masakan dapat, kalau sikap berterus-terang sekadar memarakkan radang di hati Cikgu Maisara. Seterusnya kalau tersebar, jarang ada orang ingin mendengar penjelasanku, apatah setiap dakwaan bersandarkan andaian semata-mata. Ain dan Qistina pasti telah selesa menyembunyikan segala bukti. Dengan itu, aku akhirnya dituduh lagi mengada-adakan cerita.

Aku cuma hairan, kerana masih dapat mengekang limpahan air mataku.

“Flin!”

Seingat-ingatku, aku tidak berkongsi nama panggilan itu dengan sesiapa di SMK Taman Syahdu. Sebaik melepasi pintu kaca, aku mendapati Fitria dan Syafinaz telah menantiku di Anjung Iltizam. Pada awal masa rehat tadi, Syafinaz ingin menemaniku berdiri di tepi kubikel Cikgu Maisara, bersedia menokok kalau aku kehilangan punca. Namun, aku menolak dengan baik, dengan alasan keadaan belum mendesak.

“Apa dah jadi?” Fitria bertanya dahulu.

Aku menggeleng. Namun, isyarat itu tidak dapat menjawab pertanyaannya.

“Kau tak jadi letak jawatan, Flin?” Syafinaz pula menyusul, mengusulku dengan nada tidak puas hati.

“Taklah. Aku ikut rancangan asal, tapi…,”

“Tapi, Cikgu Mai dah tahu fasal pasukan editorial kita. Kau terperangkap bila dia asak kau dengan soalan itu dan ini,” pintas Fitria. Aku mengangguk. “Dan dia ugut kau… kononnya rancangan ini tak akan menjadi. Kita terkontang-kanting bila dia bekukan segala bahan yang ada dalam bilik redaksi. Malah semua pengarang Persada pun tak dibenarkan berhubung dengan kau.”

Wajahku berkerut. Fitria meneka dengan tepat seluruhnya. Sepanjang mengatur langkah keluar dari kubikel Cikgu Maisara aku kerap teringat akan si musang berbulu ayam, sekarang seperti ada jawapannya. Persoalannya, siapa si musang itu?

“Betul.” Aku mengiyakan telahan Fitria dengan suara yang perlahan, dan sugul. “Rupa-rupanya kau dah tahu semuanya.”

Dia menggeleng. “Taklah. Aku teka saja. Kalau kau ikut aku ke bilik pengawas sekejap tadi, kau boleh dengar sendiri cerita ini dari mulut Iris dan Sai. Budak-budak form five itu nak ajak kita masuk pasukan buletin mereka.”

“Malah, mereka tak kisah kalau kau nak jadi ketua pengarang,” tokok Syafinaz.

“Kemudian?” Aku sedang keliru, entah kenapa mendesak seperti itu.

“Kemudian, Cikgu Mai melentinglah bila mereka minta semua bahan sambutan sepuluh tahun penubuhan TS2. Kata Iris, batch mereka yang buat macam-macam kajian untuk pameran Hari Terbuka itu. Kata Sai pula, mereka nak guna semula bahan-bahan itu dalam buletin,” sambung Fitria lagi.

Tiba-tiba Syafinaz menarik lengan baju kurung biru mudaku, kerana dua orang guru lelaki sedang membuka pintu kaca yang sama. Muka laluan itu bukanlah tempat yang sesuai untuk bercakap dengan santai. Ketika masa rehat hampir berakhir, memang banyak kelibat keluar masuk dengan urusan masing-masing di situ. Aku turut membuka langkah apabila Fitria dan Syafinaz mendekati papan kenyataan umum di sebelah kiri pintu kaca.

Kedua-dua pelajar itu, nama penuh mereka Iris Yuhanis dan Saidatul Arifah, sama-sama menjadi orang penting badan pengawas SMK Taman Syahdu. Mereka juga memegang banyak jawatan penting. Pada tahun lalu, ketika pelajar-pelajar tingkatan lima mendapat keutamaan menggerakkan Hari Terbuka, sekumpulan kecil pelajar tingkatan empat ditugaskan menggali semula sejarah sekolah sepanjang sepuluh tahun penubuhannya. Selepas dipamerkan pada Hari Terbuka, pada tahun ini badan redaksi bercadang ‘mengitar’ bahan-bahan itu semula dalam majalah Persada.

Aku baru faham, Iris dan Saidatul juga ingin ‘mengitar’ bahan-bahan yang sama dalam buletin mereka. Fikirku, mereka berhak meminta bahan-bahan itu dipulangkan. Masalahnya, Iris dan Saidatul bukanlah dalam kalangan pengarang Persada, sedang Cikgu Maisara ingin membentuk pasukan editorial pilihannya sendiri.

Agaknya, inilah masalah baharu Cikgu Maisara yang tidak ingin dikongsikannya denganku. Selain itu, mujurlah tidak ada musang berbulu ayam dalam kalangan kawan baikku. Aku sangat bimbang tadi, hampir-hampir buruk sangka.

“Sekarang kau dah faham masalah di bilik guru tadi?” tanya Fitria semula.

“Aku fahamlah sikit-sikit. Tapi setakat ini, Iris dan Sai belum beritahu aku apa-apa,” jelasku, berasa lebih tersepit sekarang.

“Mereka cari kau di bilik pengawas pagi tadi, Flin. Mereka cari kau sekali lagi di situ pada masa rehat. Jadi aku fikir, tak mudah kau berterus-terang dengan Cikgu Mai kalau dia memang nak lepaskan kemarahannya,” beritahunya lagi.

Aku mengangguk lemah. Apa dayaku kalau Cikgu Maisara durian dan aku hanya mentimun. Setidak-tidaknya sekarang, mengalah menjadi pilihan yang lebih baik.

“Cikgu Mai emosionallah,” getus Syafinaz pula.

“Dia tetap guru kita, Inz,” bantahku, memberi ingatan.

Aku sekadar mengulangi pesanan ayah dan ibu kalau anak-anak tidak berpuas hati dengan sikap guru masing-masing. Sejak Cikgu Maisara terjerat dalam helah Ain dan Qistina, aku belum terlanjur menghamburkan perasaan kesalku di hadapan sesiapa.

“Kita…,”

“Kau akan dengar lagi jawapan yang seakan-akan sama bila berkawan lebih lama dengan Flin. Jadi, biasakanlah telinga dengar skema jawapan macam ini,” sela Fitria.

Aku bukanlah terjeda kerana Fitria berlapik menghamburkan pujian. Aku cuma tergamam ketika mengamati kelibat seorang ahli bomba berdiri di koridor Bangunan Utama. Dia sedang memerhati pergerakan pelajar di sekitar Blok B, Blok C dan Blok D dengan tekun. Ketika ramai pelajar SMK Taman Syahdu memakai pakaian seragam bomba pada hari Rabu, kelibatnya memang tidak mudah disedari.

“Jom! Kita pergi ke Dataran Saujana. Kita cari tempat yang teduh di situ,” putus Fitria ketika ekor mataku terus memerhatikan gelagat ahli bomba itu.

“Kenapa nak pergi ke sana, Fitria? Sekejap lagi loceng berbunyi,” bantah Syafinaz.

Kedua-dua kelas kami terletak di Blok A. Tingkatan Empat Alpha paling hujung di tingkat dua, Tingkat Empat Sigma pula lebih dekat dengan Bangunan Utama di tingkat satu. Suatu isyarat yang lebih jelas lagi ialah pelajar-pelajar menengah atas mula berbaris panjang di koridor kelas masing-masing.

“Dan loceng itu nanti berbunyi sangat panjang dan bingit,” sambung Fitria.

“Fire drill?” tanyaku, dalam bahasa Inggeris, terlupa akan ungkapan yang sama dalam bahasa Melayu. Enggan dilihat tersipu-sipu, aku terfikir suatu helah. “Sebab ahli bomba ada di sini kau pakai serkap jarang? Kalau turun ke bawah, saja-saja nanti kita dapat penat naik semula ke tingkat dua.”

“Taklah. Di tingkat bawah PK HEM sedang bercakap dengan seorang pegawai bomba. Di tingkat satu ada seorang lagi ahli bomba menghadap Blok A dan Blok E. Sebelum masa rehat pertama, kita dengar pengumuman minta Dataran Saujana dikosongkan. Dan lagi, dah lama juga TS2 tak buat latihan kebakaran,” Fitria menafikan telahanku. Dia menyebut suatu ungkapan yang tidak sampai di hujung lidahku sekejap tadi. “Dan katakanlah loceng berbunyi macam biasa, anggaplah kita berusaha buang kalori masing-masing saja.”

Ada jeda. Aku dan Syafinaz sama-sama memikirkan perkara yang sama. Dataran Saujana menjadi tempat berkumpul yang paling sesuai kerana kedudukannya yang jauh dari segala bangunan yang terpacak gagah dalam kawasan sekolah. Selain itu, aku juga tidak ingat kali terakhir SMK Taman Syahdu mengadakan latihan kebakaran.

“Kau selalu buat ramalan macam ni, Fitria?” tanya Syafinaz, ingin tahu.

“Aku tengok semua drama CSI di Astro. Polis dalam drama bersiri itu kaji segala kemungkinan dengan apa-apa bukti dalam tangan. Aku rasa, peguam pun buat perkara yang sama.” Fitria menepati ramalanku, pasti ada jawapan.

Syafinaz baru mengenali Fitria, belum arif sikap kawan sekelasku ini yang rajin meneladani kerjaya ayahnya. Selain itu, Fitria cekap merancang. Hujah-hujahnya yang bernas dan matang dengan mudah mengikat perhatian pendengar. Dengan itu, dia dipilih menyertai pasukan Forum Remaja sejak belajar di tingkatan satu lagi dan pada suatu ketika pernah bersaing di pusingan akhir peringkat negeri.

“Kita perlu cari budak-budak kembar tiga beradik, Nia, Nina dan Daphne. Kalau semua pelajar diarahkan beratur ikut kelas atau tingkatan, mudahlah nak dikesan. Kalau ikut badan beruniform, kita perlu atur masa lain,” putus Fitria.

“Kenapa?” usulku pula.

Aku dan Fitria menyertai pasukan kadet trafik. Syafinaz yang berpakaian seragam seakan-akan sama pula menyertai pasukan pengakap laut. Seingat-ingatku, Faridani, Farina dan Farini menyertai pasukan pandu puteri, Dania memilih pasukan pengakap udara dan Ainina dan Dabphe No menjadi ahli Pertubuhan Bulan Sabit Merah Malaysia.

“Dalam syarat peraduan, setiap sekolah dibenarkan hantar dua buletin saja. Aku rasa, TS2 sekarang dah ada empat pasukan editorial yang berminat nak ambil bahagian. Kita perlu ambil tindakan segera,” beritahunya, sedang menghitung anak-anak tangga ke tingkat bawah, tidak menoleh lagi.

Aku terpegun. Syafinaz sama terpegun. Fitria tetap mendahului kami.

Benar. Loceng kemudian berdering sangat panjang dan bingit.