Coklat Cinta

RM24.00

Penulis: Nurharyati Ishak

Caption: cinta itu perkongsian, bersatu dibawah nafas kesetiaan dan kepercayaan

ISBN: 978-967-406-247-7

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 24.00 RM 27.00

ADELIA… Adelia, hidupnya tidak seperti gadis lain. Dia sentiasa terkongkong di bawah perintah Ayu. Kemana-mana sahaja dia ditemani Syamil. Namun apakan daya, menyedari akan status diri, dia terpaksa. Menjejak ke negara matahari terbit, hidupnya mula berwarna. Di sanalah dia mula mewarna. Di sanalah dia mula mengenali erti cinta meskipun Syamil seakan bayang hitam yang sentiasa merantai kakinya.

SYAMIL… Kehadiran gadis itu sejak kecil sering mengundang amarahnya. Namun dia sedar, ada satu perasaan halus yang mula mengusik hatinya walaupun dia sering menafikan. Namun sikapnya yang sering menengking Adelia membuatkan gadis itu semakin  menjauhinya.

DAMIEN… Seorang jejaka Cina yang mula menyinari hati Adelia. Sikapnya yang romantis dan melayan Adelia seperti seorang puteri membuatkan gadis itu mula membuka hatinya perlahan-lahan. Demi ingin melindungi Adelia, dia sanggup mengikat janji cintanya.

“You betul-betul cintakan I?”

“Sumpah.” Damien angkat sebelah tangan separas bahu.

“You janji tak akan curang dengan I?”

“Lelaki ini adalah lelaki yang paling setia dalam abad ini.”

“Kalau suatu hari nanti I dah gemuk, you masih setia dengan I?”

“Takkan sesekali I peduli pada saiz badan you.”

Namun segalanya bukan mudah. Satu demi satu dugaan mula menguji cinta mereka sehingga terbongkarnya rahsia yang menyebabkan mereka harus mempertimbangkan ikatan yang terbina selama ini. Dengan status diri, rahsia terpendam serta hasad dengki membuatkan mereka semakin jauh.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“EH Delia, sinilah. Asyik duduk kat pondok tu aje kenapa?” Julia menggamit Adelia yang sedang duduk berjuntai kaki di pondok kayu di tengah sawah sambil memerhati Syamil dan Julia menangkap ikan puyu di alur parit.

Minggu ini mereka datang bercuti di kampung Julia lagi. Julia ialah kakak angkat Adelia, satu kelas dengan Syamil. Kalau cuti panjang, mereka akan datang bercuti di sini. Keluarga Julia sudah dianggap seperti keluarga Adelia sendiri. Mak Wan dan Pak Suki tidak pernah membezakan Adelia dan Syamil dengan anak-anak mereka. Sebab itu Adelia seronok apabila berada di sini.

Setiap kali hendak ke kampung Julia, Ayu akan suruh Syamil temankan Adelia. Rimas juga Adelia, tetapi itulah syaratnya. Kata Ayu, kalau Syamil tak pergi, Adelia juga tak boleh pergi. Terpaksalah Adelia ikut syarat itu. Pergerakan Adelia terus terbatas kalau Syamil ada. Sudahlah suaranya pun kasar mengalahkan tentera Jepun. Buat Adelia sakit hati aje.

“Menung apalah Delia kat sini sorang-sorang? Orang sampai berpeluh ketiak memancing puyu, sedap-sedap pula dia relaks kat sini, ya?” tegur Julia sebaik sahaja dia naik di pondok dan duduk berhampiran Adelia sambil menghela nafas penat. Syamil duduk jauh sedikit dari mereka, berjuntai kaki di anak tangga sambil berehat selepas memancing sepat di bawah terik mentari.

Adelia menayang sengih kepada Julia. Dia perhatikan wajah kedua-duanya. Sudah merah menyala dan merambu peluh mereka penuh muka. Baju pun sudah basah dengan hujan peluh. Tidak pernah dibuat orang memancing ikan tengah hari rembang macam ini. Selalu orang memancing waktu pagi dan petang selepas condong matahari. Kalau Adelia, tak kuasalah dia nak buat kerja-kerja yang meletihkan macam tu. Panas! Penat!

Ini Syamil punya fasallah ni, teringin nak makan puyu gorenglah, puyu masak lemak cili padilah. Tak pasal-pasal pula Adelia kena keluar temankan dia datang ke sini. Yalah, tinggal di rumah sorang-sorang pun nak buat apa? Nak cangak sorang-sorang sembang dengan cicak? Nak bertekak dengan katak? Sudahlah Pak Suki dan Mak Wan pun turun ke bendang.

“Julia! Syamil! Adelia! Dah, jom balik. Dah tengah hari rembang ni!” Mak Wan melaung dari batas sawah untuk menghala pulang.

Julia pantas terjun dari pondok kemudian berlari mendapatkan Mak Wan. Adelia juga terjun untuk menuruti langkah Julia. Dalam waktu yang sama, Syamil turun dari pangkin dan pintas kaki Adelia hingga menyebabkan Adelia terhuyung-hayang dan terjatuh ke dalam petak sawah.

“Makkk!”

“Delia! La… Pening ke apa kau ni dik? Tiba-tiba tersungkur dalam petak sawah.” Julia berpatah balik apabila terdengar jeritan nyaring Adelia.

“Huh, lembab!” Syamil sempat sedekahkan ayat kejamnya. Kemudian dia terus berlalu dari situ.

“Isy, apalah kau ni, Mil! Tak baik tau buat macam tu,” tegur Julia.

Menonong saja Syamil pergi meninggalkan mereka berdua. Cermin mata Adelia terpelanting masuk ke dalam tanah becak itu. Jenuh pula mereka berdua mencari cermin mata Adelia selepas itu. Kasihan Adelia. Gadis lemah lembut yang selalu dibuli oleh Syamil.

“Tak payah pakailah. Nanti balik cuci dulu. Bukan rabun sangat pun,” tegur Julia apabila melihat Adelia berusaha membersihkan cermin matanya untuk dipakai semula.

“Nanti ikut akak pergi pekan, pakai kanta lekap aje. Tak payah lagi pakai cermin mata. Rimaslah tengok! Macam nerd aje.”

Adelia tersenyum hambar. Tak apalah nerd pun. Adelia tak ganggu hidup orang. Hmmm… Sebab rupanya macam lurus bendul agaknya dia selalu dibuli Syamil. Entahlah, sejak kecil lagi Adelia sudah menjadi mangsa ketidakpuasan Syamil. Bukan sebab nerd atau tidak. Tetapi sebab sikap Syamil yang tidak boleh menerima kenyataan apabila kasih sayang ibu berbahagi kepada anak angkat seperti dia.

 

Tengah hari itu Julia dan Adelia sama-sama menyiang ikan puyu hasil daripada memancing tadi. Banyak juga ikan puyu ni. Jenuh siang. Duri insangnya tajam. Syamil hanya duduk memerhati. Rimas betul Adelia tengok Syamil duduk keras macam batu di situ tanpa menolong mereka buat kerja. Kalau lambat siap, lambatlah mereka boleh makan.

Auch!” Tiba-tiba duri puyu tercucuk jari Adelia. Berdarah jarinya. Syamil cepat-cepat datang. Jari Adelia ditarik. Syamil curahkan air lalu dihisap bekas luka itu. Terkejut macam nak pitam Adelia dibuatnya dengan tindakan Syamil secara tiba-tiba itu. Kenapa hisap darah di jari pula? Bukan kena patuk ular.

“Teruk tak luka?” Julia meninggalkan kerja menyiang lalu datang melihat.

“Ttt… tak… tak teruk sangat pun…”

Adelia cepat-cepat tarik tangannya apabila Syamil sedang menunjukkan sikap prihatinnya tahap tak boleh blah. Di wajah Julia jelas nampak hairan. Adelia lagilah hairan. Tidak pernah dibuat-buat Syamil begitu baik dengannya. Tiba-tiba aje jadi macam tu. Macam buang tabiat pun ya.

Syamil meluru pergi apabila tersedar dan termalu sendiri. Entah macam mana dia jadi kalut begitu. Nampak jari Adelia berdarah, dia pun jadi tidak tentu arah. Berlagak herolah konon. Memalukan muka sendiri.

Sebenarnya Syamil bukan bencikan Adelia. Adelia sudah lama tinggal bersama keluarganya. Mustahil dia benci kepada adik angkatnya itu. Tetapi sikap kasar Syamil tidak dapat dibuang apabila berhadapan dengan Adelia. Melihat Adelia membesar di hadapan mata, melihat sikap mengalah Adelia, tiba-tiba hati Syamil berentak lain macam. Dia mahu lari dari perasaan pelik itu. Cuba mengetepikannya sedaya mungkin. Namun perasaan itu tidak mampu dikuis.

Syamil terus menuju ke belakang rumah, melihat Pak Suki sedang memasukkan seguni padi ke dalam bekas plastik besar.

“Buat apa tu, ayah?” tegur Syamil

“Ayah nak rendam padi benih.”

“Padi ni bila nak tabur?”

“Kena tunggu empat puluh lapan jam dulu, lepas tu tapis selama dua puluh empat jam pula, baru boleh tabur.”

Syamil mengangguk-angguk tanda faham. Dia langsung tidak tahu proses mengerjakan sawah padi. Kalau makan hasilnya, memang dia pandai.

“Sekarang ni kerja-kerja tabur padi benih taklah susah macam dulu lagi. Semua guna mesin penabur. Bila pokok padi dah bertunas nanti, baru kita buat kerja-kerja menyulam. Ha… Kerja-kerja menyulam ni barulah gunakan tenaga manusia. Bila pokok padi mula naik, proses membaja pula. Meracun kena selalu sebab siput gondang mudah sangat serang pokok padi. Kalau tak jaga betul-betul, alamat padi hanya tinggal hampas ajelah…” terang Pak Suki lagi. Satu pelajaran buat Syamil ketika dia berkunjung ke rumah keluarga angkatnya di Yan kali ini.

“Emak kamu dah siap masak?” tegur Pak Suki ketika Syamil ralit memerhati.

“Belum lagi, ayah. Ikan pun tak habis siang lagi, macam mana nak masak?” jawab Syamil.

“La… Sisik ikan puyu yang berlambak-lambak tu kamu siang guna pisau? Tercucuk duri insang tu karang…”

Pak Suki beralih dari situ kemudian menuju ke bangsal tempat penyimpanan barang-barangnya. Kemudian tin susu tepung sederhana besar dibawa keluar. Tin itu berlubang-lubang di sekelilingnya. Ditebuk sebesar lubang paku dari arah luar.

“Nah, ni nanti kamu masukkan ikan-ikan puyu tu ke dalam sini, tutup tudungnya dan goncang kuat-kuat. Semua sisik dia akan keluar habis nanti.” Pak Suki serahkan tin tersebut kepada Syamil.

Syamil ambil tin susu yang disua kepadanya kemudian terus menghala ke arah tempat mereka menyiang ikan puyu sebentar tadi. Seperti yang telah diajarkan oleh Pak Suki, dia pun mengerjakan ikan puyu dalam tiga pusingan saja. Tidak sampai lima belas minit, semuanya sudah selesai dibuang sisik. Mudah saja kerja-kerjanya.

Kreatif juga pemikiran orang kampung. Harapkan mereka bertiga, entah sampai petang nanti belum tentu boleh makan. Julia walaupun orang kampung, dia tinggal di asrama. Dia langsung tidak tahu kerja-kerja kampung. Tamat sahaja darjah enam, terus ke MRSM. Sebab itu dia tidak tahu apa-apa.

 

“DELIA!” Adelia yang sedang berada di dapur bergegas menuju ke ruang tamu apabila terdengar Syamil menjerit kuat memanggil namanya.

“Ada apa panggil Delia?” tanya Adelia dengan perasaan risau sebaik sahaja sampai di sisi Syamil.

“Mana tuala aku?” Syamil sergah tanya.

Berkerut kening Adelia. Tuala dia, kan? Tanya orang pula kenapa? omel Adelia dalam hati. Kemudian dia buat muka hairan.

“Kau ni telinga tak korek ke? Orang tanya buat tak dengar pula!” marah Syamil sampai terbeliak biji mata memanah kepada Adelia yang terpacak berdiri di hadapannya.

“Delia mana tahu. Tuala sendiri, kan? Dalam biliklah kut,” jawab Adelia cuba memberanikan diri.

“Apa hal kecoh-kecoh ni, Mil?” Julia datang menyusul sambil mencekak pinggang.

“Ni, tanya budak ni, tuala Mil dia letak mana? Nyanyuk pula dia sampai terketar-ketar nak jawab.” Syamil memuncungkan bibir ke arah Adelia.

“La… Tuala aje pun… Ada, Ju sidai kat ampaian sana. Mil sepuk kat tingkap tu kenapa? Tak disidai nanti tahi lalat habis,” beritahu Julia.

Kemudian Syamil terus turun ke tanah dan mengambil tualanya yang sudah kering. Langsung dia tidak rasa bersalah terhadap Adelia dengan tuduhannya sebentar tadi.

Julia menggeleng melihat kelakuan Syamil. Di dalam kelas tak ada pun Syamil bersikap macam ini. Tutur kata beradab dan sopan sentiasa. Tetapi apabila menghadap muka Adelia, bakat garangnya menyerlah sungguh.

“Jom kita ronda-ronda kampung, nak?” ajak Julia.

“Wah… Best ni. Naik basikal ke kak?” Adelia begitu teruja.

“Haah. Nanti jalan kaki, orang tu nak ikut pula. Jomlah lekas, sementara dia ada kat dalam bilik air tu.” Terkocoh-kocoh mereka menyusup keluar kemudian terus ke bawah rumah menolak basikal dan mengayuh menuju ke jalan mini tar kampung.

“Ronda-ronda ke tu?” Baru saja memulakan kayuhan, Muin yang sedang menetak daun pisang di perenggan rumah Julia menegur.

“Ya, pak cik. Ronda-ronda kampung. Mak Cik Sarah ada, pak cik?” Julia berbalas tanya pula.

“Entahlah, Ju. Tak perasan pula. Tadi sebelum pak cik keluar, dia tengah mandi.”

“Kirim salam pada mak cik ya, pak cik,” pesan Julia sebelum mereka berlalu pergi dari situ.

Kayuhan Julia melalui kawasan sawah padi. Sekarang ini petak-petak sawah baru disalurkan air. Tidak semeriah waktu padi menghijau. Waktu sekarang ini nyamuk pun banyak. Setakat menggunakan ubat nyamuk, tidak lut dek serangga itu.

Bestnya tinggal di kampung, kak. Udara pun bersih. Otak pun tak sesak. Rasa tenang aje.” Sambil menghirup udara segar, Adelia meluahkan rasa dalam hatinya.

“Tinggal di rumah tak best ke?” Julia merisik tanya pula.

Adelia diam. Entahlah… Bila selalu kena jerkah dengan Syamil, mana nak datang bestnya? omel Adelia dalam hati.

“Bolehlah…” Lemah sahaja jawapan yang keluar dari celah bibir Adelia.

Hm… Kenapa ni Delia? Akak tengok macam ada masalah berat aje.”

“Macam mana tak berat kalau dah selalu kena tengking?”

Muka Adelia jatuh suram tiba-tiba. Walau Julia tak nampak, dia tahu mood Adelia tidak seronok apabila bercerita tentang Syamil ataupun tentang rumahnya. Bukan Julia tidak tahu tentang asal usul Adelia. Semuanya dia tahu. Adelia yang ceritakan sendiri kepada Julia dari mula. Sebab itu dia jatuh kasihan kepada Adelia. Julia simpati dengan nasib Adelia yang tidak punya siapa-siapa dan tidak kenal ibu dan ayah kandungnya.

“Sabarlah, Delia… Mungkin angin bulan dia datang. Sebab tu Syamil jadi macam tu. Syamil tu sebenarnya okey. Cuma kadang-kadang dia tunjuk juga perangai lanun dia tu. Mungkin dulu dia dari generasi Pirates of the Caribbean ke… Nenek moyang dia buka kilang mercun raya Cina ke… Mana tahu?” Julia buat lawak. Tergelak Adelia walaupun tidak bersungguh.

Haish… Letihlah Delia dengan semua ni, kak.” Adelia mengeluh berat. “Kadang-kadang rasa macam nak aje Delia libas belakang dia dengan getah paip masa dia duk tengking-tengking Delia tu.” Adelia sambung lagi sambil melepaskan geram.

“Isy, kejam sangat kau ni, dik… Gerun akak.” Tergelak Julia dengan kelucuan itu.

“Kita berhenti kat sinilah, kak. Tengok air sungai ni. Seronok juga tengok orang memancing petang-petang ni,” ajak Adelia.

“Ini bukan sungailah. Ini tali air,” pintas Julia lalu menghentikan basikalnya.

“Tak apalah apa pun. Jom kita turun. Delia nak tenangkan fikiran kejap.”

Julia akur. Dia menongkat basikal di seberang jalan mini tar di sebelah tali air. Kemudian mereka berdua melihat beberapa orang wanita kampung sedang memancing. Sakan juga mata kail menyentak ikan puyu. Sampai tidak putus-putus.

Adelia teringat ikan puyu masak lemak cili padi dan ikan puyu goreng tengah hari tadi. Sedap betul Mak Wan masak. Sampai berpinggan-pinggan dia menambah nasi. Sempat juga dengar Syamil menyindir…

“Kau membela ke Delia?”

Sentap juga Adelia. Nasib baik selepas itu Pak Suki pertahankan dia.

“Alah… Sesekali apa salahnya? Makan aje, Delia. Jangan nak sekat-sekat. Rezeki Allah bagi.”

Maka sentap Adelia terus padam. Malah seleranya semakin laju pula.

“Isy, tiba-tiba jadi lapar pula.” Teringat hidangan tengah hari tadi, terpacul ayat itu dari mulut Adelia tanpa disengajakan.

Uik, tak kenyang-kenyang lagi makan tengah hari tadi? Mak oi… Ini bela jin ke apa ni? Badan kurus cekeding aje, tapi makan… kus semangat.”

Adelia tergelak. Macam-macamlah Julia ni.

“Tapi mak masak sedap betullah, kak. Kalau tak sebabkan perut ni dah penuh, mahu aje Delia tambah lagi.” Dengan muka tak malunya Adelia beritahu sambil tersengih-sengih.

“Masakan orang kampung, Delia… Semua bahan original. Kunyit ambil segar dari pokok lepas tu ditumbuk.Sebab itulah sedap. Lagi pun resipi orang tua ni lain sikit. Ada umph gitu.”

“Betul,” balas Adelia. Senyum mekar di ruang bibirnya. Senyum yang jarang-jarang sekali boleh dilihat kerana kali ini Adelia tidak ditemani Syamil. Selalunya ke mana saja Adelia pergi, Syamil mesti ada. Kalau Syamil ada, muka Adelia yang semacam cahaya matahari itu pun bertukar menjadi gerhana bulan.

Ah, Syamil pun satu. Asal nampak Adelia, pasti bakat Hitlernya itu datang. Dari mana dia dapat penyakit yang serupa itu tak tahulah. Ayu tak pula menyinga macam tu.

“Delia…”

Hmmm…”

“Agaknya Syamil tu ada hati kut kat Delia. Tu sebab dia selalu cari pasal dengan Delia. Sebab dia nak ambil perhatian Delia.”

“Huh! Tak ada maknanyalah. Kak buat lawak ke apa ni? Lawak sarkas? Tak apa, Delia tumpang gelak ajelah.” Maka Adelia terus gelak mengekek-ngekek sambil menutup mulutnya. Sepantas itu jugalah cubitan singgah di pahanya. Tergaru-garu Adelia kerana sakit.

“Taklah… Selalunya orang lelaki ni kan, kalau nak ambil perhatian orang perempuan, dia mengurat, jeling-jeling, lempar-lempar senyum. Sesetengah tu pula macam Syamil itulah. Macam Hitler. Buat-buat garang. Tapi dalam hati penuh bonsai.” Mereka ketawa sekali lagi dengan pepatah yang tidak serupa pepatah itu.

“Orang macam Syamil tu, kak… Mati hidup balik, mati balik, hidup tiga empat kali lagi pun Delia tak percaya dia sukakan Delia. Syamil tu sejak Delia kenal alam lagi dia dah suka tengking-tengking macam tu. Takkanlah belum sunat lagi pun dia dah ada hati kat Delia?”

“Hesy, budak ni!”

“Ke… akak yang ada hati kat Syamil? Kak sukakan Syamil, ya?” Adelia menjeling-jeling dan menduga hati kecil Julia.

“Budak ni! Dia kilas ikut situ pula.” Cubitan Julia mahu mencari sasaran lagi tetapi Adelia pantas mengelak.

“Kak, nanti bila dah tua-tua kan, Delia nak tinggal di kampung ajelah. Nak tinggal di sini.”

Seketika gurauan mereka terhenti. Adelia memandang jauh ke dalam sungai dan bercerita.

“Orang lain sibuk nak duduk di bandar, tarah bukit, gunung-ganang segala bagai, nak bina rumah taman. Awak nak datang duduk kat kampung pula buat apa?” sindir Julia.

“Entahlah, kak. Delia rasa jiwa Delia ada di sini. Rasa dekat sangat dengan alam. Cinta sangat dengan kawasan-kawasan yang macam ni. Tenang dengan hijau daun padi, jauh dari asap-asap kenderan dan kilang. Yang penting, boleh makan ikan puyu selalu.”

Hmmm… Itu yang betulnya. Nak makan ikan puyu selalu tapi bagi alasan macam-macam pula. Budak klon Cina ni kalau bab makan, serah pada dia.” Sindiran Julia langsung tidak bertapis. Memang wajah Adelia seperti amoi. Bibir nipisnya manis apabila dia tersenyum. Matanya tidak sepet. Tetapi kalau dia gelak, kelopak matanya akan tertutup. Kulitnya putih bersih macam orang Cina.

“Kak…” panggil Adelia.

Julia beralih ke sebelah melihat Adelia yang sedang ralit memerhati tali air sambil melihat anak-anak ikan berenang-renang.

“Kita jadi adik-beradik sampai bila-bila, ya?” Adelia mengangkat muka. Pandangannya bersatu dengan anak mata Julia. Ada genangan air di kelopak mata Adelia. Julia terus peluk bahu Adelia kejap.

“Delia cuma ada akak, keluarga akak dan ibu aje. Mak dan ayah akak, Delia dah rasa macam mak dan ayah kandung Delia sendiri. Terasa ikhlas kasih sayang yang mak dan ayah beri pada Delia. Sebab tu Delia rasa gembira tinggal di sini.” Kepala Delia melentok di bahu Julia.

“Delia tetap adik akak sampai bila-bila. Dunia akhirat. Akak tak ada adik-beradik perempuan. Yang ada semuanya lelaki. Ikhwan dan Ikmal si kembar tu, sibuk memanjang dengan bola dan aktiviti menangkap burung sampai tak sempat akak nak curah kasih sayang.”

Adelia tergelak kecil. Memang pun. Sejak Adelia bertandang ke sini dua hari lepas, payah sungguh nak nampak muka dua beradik kembar itu. Tengah hari waktu mereka makan, dua beradik itu masih menjerat burung. Balik pula waktu orang lain sedang terlentang rehat di dalam bilik. Waktu malam, cuma waktu makan sahaja mereka duduk sama-sama menghadap makan malam. Selepas itu masing-masing lesap di dalam bilik.

“Jomlah, kak. Tiba-tiba perut berkeriuk ni. Mintak makan lagilah ni.” Adelia panggung kepala kemudian terus bangun membuatkan Julia turut bangun. Sengaja Adelia hendak lari dari keadaan suram itu dan tidak mahu terus terbawa-bawa. Sebab itu dia bangun terus tanpa bagi salam.

Mentari pun sudah hampir tenggelam. Di dada langit sudah nampak warna kuning kemerah-merahan menandakan waktu sudah menghampiri senja. Mereka berkayuh pulang ke rumah sebelum masuknya waktu maghrib. Jejak sahaja di muka pintu, Syamil sudah memandang mereka sambil mencekak pinggang.

KORANG pergi mana ni? Dah nak malam baru balik? Delia, kenapa keluar tak bagi tahu aku?” Muncul sahaja Julia dan Adelia di muka pintu, Syamil terus menujah tanya dalam intonasi yang berbeza. Mulanya nada pertanyaannya biasa-biasa saja. Tetapi apabila tertuju kepada Adelia, suara itu bertukar keras tiba-tiba. Sebiji macam Hitler.

“Alah, kau ni… Keluar dengan aku aje kut… Takkan itu pun nak kena bagi tahu?” Julia pintas pula bagi pihak Adelia. Bibirnya mencebik-cebik sambil melintasi Syamil untuk berlalu. Julia sambar sekali lengan Adelia.

Lelaki berwajah ala-ala anak mami berhidung mancung, berbulu mata lebat dan berkulit cerah yang sudah berpakaian baju Melayu itu menurut langkah mereka.

“Kenalah bagi tahu… Kan aku diamanahkan untuk jaga dia. Jadi apa-apa nanti, apa aku nak jawab dengan ibu?” Julia dan Adelia terus meloloskan diri masuk ke dalam bilik. Sampai sahaja Syamil di depan pintu bilik, Julia terus tutup pintu. Tersentap perjalanan Syamil di situ. Mujur dia tidak tercium kayu keras yang berukir bunga kerawang itu. Kalau tidak, penyet hidungnya.

 

“EH, sikitnya kau makan, Mil? Tak selera ke? Tengok Delia ni, berselera sunguh dia. Seronok aku tengok dia makan,” tegur Julia sebaik sahaja melihat Syamil sudah mencapai geluk mencuci tangan.

“Dia memang… Makan sampai lupa diri.” Deras saja Syamil tembak membuatkan selera Adelia yang sedang membuak-buak terus mati.

“Eh, kamu ni, Mil. Kesian adik kamu tu. Patah selera dia,” tegur Pak Suki sambil menambah lagi nasi ke pinggannya.

“Entah, Syamil ni. Ada ke pula cakap macam tu? Kesian Delia. Dari petang tadi lagi duk teringat-ingat nak balik habiskan masak lemak cili padi ikan puyu ni.” Di samping membalas tembak Syamil, sempat Julia mengusik adik angkatnya di sebelah.

Adelia siku lengan Julia. Mulutnya berdesit. Jeling dihantar kepada Julia kemudian beralih kepada Syamil pula. Nasib baik Syamil tak pandang ke arah mereka. Kalau tidak, tentu Adelia gerun melihat pandangan lelaki itu. Entahlah, apabila selalu menerima tengkingan seperti dipanah halilintar, tali perut yang duduk elok pun boleh bersimpul.

“Berhenti sebelum kenyang, ayah. Untuk hindarkan dari penyakit. Itu amalan Rasulullah.” Syamil seperti berkhutbah pula. Nampak macam ustaz pun ada. Ustaz tak jadi.

“La… Dah sudah dah? Ni nasi tak habis lagi ni,” tegur Julia apabila melihat Adelia juga mencapai geluk mencuci tangan.

“Berhenti sebelum kenyang, kak. Nanti dapat penyakit pula.” Adelia pulang sindiran kepada Syamil. Sempat Syamil menjeling tetapi Adelia buat-buat tak nampak.

Pak Suki tergelak. Mak Wan juga ikut gelak. Yalah, itulah satu-satunya ayat bidas yang pernah mereka dengar. Selalunya Adelia ini jenis pendiam dan menunduk takut sahaja apabila Syamil menengking.

“Apalah abang ni, makan sikit sangat. Patutlah tak larat lari. Orang lari kejar bola, dia lari bola yang kejar.”

Ikhwan yang sedang berselera, menyindir dan mengingatkan kembali peristiwa di padang bola pada petang kelmarin. Ikmal si kembar pula terus tergelak. Lucu pula tengok Syamil lari, bola ikut belakang. Macam mana dia boleh terlepas bola ikut celah kelangkang tak tahulah. Selepas itu Syamil lari sorang-sorang sampai hilang kawalan dan bola kejar di belakangnya.

“Itu skill baru. Abang baru belajar tapi tak habis lagi. Belum abang nak tunjuk skill, korang dah gelak. Kalau ikut skill betul-betul, abang boleh sumbat gol sebiji dua tu.”

Syamil buat lawak dengan selambanya. Lagi sakanlah pasangan kembar itu gelak. Sampai berair-air kelopak mata mereka. Julia dan Adelia pakat memandang, tidak faham apa-apa tentang isi cerita mereka. Cuma Mak Wan dan Pak Suki turut gelak bersama. Mungkin lucu agaknya cerita Syamil itu.

“Kalau dah bola kejar di belakang, bukan tak larat tu. Itu namanya terlajak kuat. Laju mengalahkan bola.” Mak Wan buat lawak pula. Kali itu kekekan mereka terus berjela.

Makan malam mereka berlalu dengan kelucuan di meja makan hingga berair biji mata dan senak perut dibuatnya. Apabila kian bersambung, Julia juga turut tergelak. Cuma Adelia saja yang tidak biasa gelak secara berlebihan apabila berhadapan dengan Syamil. Dia jadi kekok.

Selepas makan, mereka duduk di ruang tamu sambil bersembang. Hari ini bulat pula biji mata, sebab itu Adelia boleh duduk bersama. Kedua-dua kembar itu sudah masuk ke dalam bilik membuat kerja sekolah.

“Ni habis sekolah nanti nak sambung belajar di mana pula?” Pertanyaan Pak Suki terarah kepada Syamil.

“Mil ingat nak sambung belajar ke Jepun. Nak belajar tentang teknologi diorang.”

“Jepun? Bagus tu. Kita pergi sana belajar, bawa balik ilmu-ilmu diorang. Makmurkan negara kita. Itu yang sepatutnya.”

Pak Suki yang sedang mencarik tembakau untuk diletakkan di dalam rokok daun, menyambung kata-katanya semula.

“Kalaulah kamu bertiga belajar satu tempat, senang hati ayah dengan mak. Kurang-kurang pun masing-masing boleh jaga satu sama lain kalau ada sakit pening.”

“Kena sama-sama pulunlah kalau macam tu. Kita fight cukup-cukup periksa nanti,” jawab Syamil dengan bersungguh.

“Kau tu tak apalah… Kau tu budak pandai. Ni aku ni, setakat boleh aje,” bidas Julia pula.

“La… Awal lagi, kan? Lagi enam bulan. Sempat lagi nak belajar dan buat ulang kaji.” Syamil pula membalas.

“Nampak macam awal lagi tapi aku ni dah terketar-ketar macam tak sempat nak belajar dah,” jawab Julia.

“Syamil ni, ayah… Dia nampak relaks aje kat kampung ni sebab dalam kepala dia dah simpan penuh semua yang dia baca. Ju ni simpan tak masuk, simpan tak masuk. Risau punya fasal.” Julia kalih kepada Pak Suki pula sambil menyindir Syamil. Syamil mencebik pada Julia.

“Mana nak masuk kalau dah cuti asyik duk masukkan cerita kat tv tu aje. Asal pukul tujuh, cangaklah kamu depan tv. Apa tu ceritanya? Rose, Rina Rose?”

“Ariana Rose la ayah…”

“Yang itu kamu senang ingat pula. Yang belajar, payah sangat nak ingat,” sindir Pak Suki.

“Itu sebab hero dia handsome, ayah. Tu yang senang ingat.”

“Macam tulah kamu.”

Syamil dan Adelia tergelak serentak apabila anak-beranak itu pakat bidas-membidas. Mak Wan masih di dapur. Katanya nak bancuhkan kopi.

Hm… Berjaga lagilah malam ni. Apa lagi, tengok Facebooklah… Adelia sengih dalam hati.

 

“KAMI gerak dulu, ayah.” Syamil dan Adelia menyalami tangan Pak Suki dan Mak Wan sebelum berangkat pulang. Syamil memeluk erat dua beradik kembar itu. Adelia pula menemui Julia lalu dipeluk kejap kakak angkatnya.

“Jaga diri elok-elok, ya. Nanti cuti sekolah jangan lupa datang lagi,” pesan Mak Wan dengan genangan air mata. Mak Wan memang macam itu. Kalau nak lepas Adelia balik, mesti menangis. Drama sungguh!

“Insya-Allah, mak. Kalau ada umur, pasti Delia datang lagi. Doakan Delia selalu ya, mak.”

“Mak selalu doakan Delia, doakan Syamil dan anak-anak mak yang lain.”

“Kak Delia, kelmarin Abang Asyraf kirim salam. Lupa pula nak bagi tahu.” Sambil tersengih-sengih, Ikhwan menyampaikan salam daripada teman sekampungnya buat Adelia. Mereka bermain bola sepak sama-sama. Apabila tengok Adelia, Asyraf terus jatuh hati. Sebab itu dia suruh sampaikan salam.

Berkerut kening Adelia memandang dua beradik yang sedang tersengih-sengih itu. Baru darjah enam sudah pandai jadi posmen karat, kutuk Adelia dalam hati.

“Asyraf mana? Yang kulit macam kapal arang tu?” Pantas saja Syamil menyelit. Siap menghina orang lagi. Macam dia tu kacak sangat.

“Isy! Tak adalah sampai macam kapal arang. Abang ni, tak baik tau. Kulit gelap sikit aje. Tapi hidung dia tinggi terpacak, boleh buat sangkut cawan lagi. Handsome tu…” Ikmal pula membalas bagi pihak abang kembarnya.

Syamil mencebik. Aksi wajah yang biasa ditunjukkan apabila menyindir Adelia secara jelas. Kemudian dia terus berlalu mengangkut begnya masuk ke bonet belakang teksi.

“Kirim salam balik kat abang tu, ya?” balas Adelia. Saja nak panaskan hati Syamil. Cemburukan orang kenapa entah? Tak pasal-pasal.

Selepas itu, masing-masing memboloskan diri ke dalam perut teksi. Lambaian terakhir dihantar buat Pak Suki sekeluarga.

“Seronoklah?”

“Seronok apa pula?”

“Yalah, dah ada orang kirim salam. Tersengih-sengih… Tersengih-sengih…” Sindiran itu semakin keras pula. Sakit betul hati Adelia. Malu pada pak cik teksi sebab itu dia balas balik.

“Seronoklah juga… Rasa macam glamor aje.” Sempat Adelia kerling ke sisi. Dia perasan muka Syamil sudah merah. Tengah marahlah tu. Apa hal pula nak marah-marah orang? Macamlah Adelia ni bini dia.

Adelia berani sebab berada di dalam teksi. Dengan orang tua pula tu, tentu Syamil tak berani tengking-tengking dia sampai nampak anak tekak. Selamat Adelia buat sementara.

ADELIA sedang menyalin pakaian di dalam bilik. Selesai berpakaian, rambutnya yang lurus panjang hingga mencecah ke pinggang itu disikat kemas. Sebelum mengikat dan diserkup dengan tudung, Adelia keringkan rambut dahulu. Nanti tak adalah berbuah dan berbau hapak. Tinggal serumah dengan bukan mahram, dia wajib menjaga aurat. Ustaz pun pernah beritahu, kalau mendedahkan aurat kepada bukan mahram, apabila mati besok, rambut akan digantung dengan rantai besi dari api neraka. Panasnya menggelegak hingga ke otak.

Selesai bersiap dan berbedak, Adelia beralih untuk keluar. Sewaktu itulah dia perasan pintu biliknya tidak ditutup dengan rapat. Adelia menepuk dahi kerana kelalaiannya. Macam mana dia boleh tak perasan? Jengah saja keluar, terpacak batang tubuh Syamil di depan pintu. Matanya tajam menikam ke wajah Adelia. Serta-merta tubuh Adelia menjadi gementar.

Adelia tidak tahu maksud pandangan itu. Tajam, tegang, dengan wajah yang sudah merah bersama simbahan peluh. Adelia lihat Syamil meneguk liur keras. Dia cepat-cepat berlalu, takut kena tengking lagi.

“Kau cantik, Delia.”

Ah, Adelia sudah berasa seram lain macam apabila mendengar suara Syamil memujinya dengan nada bergetar begitu. Cepat-cepat dia kais pergi suara dan ingatan bukan-bukan yang singgah dalam pemikirannya. Adelia risau perkara yang bukan-bukan betul-betul terjadi kepadanya.

“Ni, Delia. Tolong tengok budak-budak tu sekejap. Ibu nak siapkan tempahan kek gula hangus untuk masjid malam nanti. Itu ha, duk bergaduh riuh-rendah berebut pensel. Kita dah beli sama rata, tapi bagi hilang. Mengamuk si Muaz tu bila Danish cakap pensel tu dia punya.”

Bercerita sakan Ayu kepada Adelia dan disuruh Adelia pergi melihat anak-anak angkatnya yang sedang berebutkan alat tulis di ruangan belajar. Ayu tahu, dia boleh harapkan Adelia kerana Adelia seorang penyabar. Anak-anak yang dibelanya sedari kecil itu mudah mendengar cakap Adelia apabila gadis itu memujuk.

Ayu dan arwah suaminya telah mengambil anak-anak yatim piatu seramai empat orang dan berlainan ibu bapa itu untuk dijadikan anak angkat mereka dan dibesarkan di rumahnya yang diberi nama As Solah. Anak kandung Ayu cuma Syamil seorang sahaja. Manakala Adelia juga adalah anak angkatnya.

Adelia berjalan menghala ke Pusat Ilmu untuk meninjau keadaan anak-anak di sana. Selalunya pada hari-hari cuti begini, di situlah mereka berlepak. Tetapi hari ini dia terlewat sedikit.

 

“EEE… Ini aku punyalah.” Muaz berkeras.

“Ini aku punya. Kau punya entah mana letak, kau cakap ini kau punya pula!” Danish juga tidak mahu kalah.

Sampai sahaja Adelia di pintu Pusat Ilmu, dia nampak budak-budak itu sedang sakan bertekak. Terus dia meluru ke arah mereka,

“Eh, eh, eh, ni bergaduh pasal apa pula ni?” Adelia duduk menghadap kanak-kanak berusia lapan tahun itu.

Muaz dihantar ke sini selepas kedua-dua ibu bapa dan dua orang lagi adik-beradiknya meninggal dunia dalam satu kebakaran pada lewat tengah malam pada tahun lepas. Muaz terselamat dalam kejadian kerana pada waktu itu dia sedang berada di Cameron Highlands, sedang bercuti dengan emak saudaranya.

Danish pula kematian ayah selepas mendapat serangan jantung secara tiba-tiba. Emaknya yang tidak bekerja, terpaksa keluar untuk mencari rezeki untuk sekolahkan anak-anak tetapi tidak mencukupi untuk mereka sekeluarga. Sebab itu anak yang kecil sekali diserahkan kepada As Solah untuk jagaan yang lebih sempurna.

“Muaz ni, Kak Delia. Dia ambil pensel Danish. Suka-suka hati aje mengaku pensel dia.”

“Itu Muaz punyalah! Muaz tahulah macam mana pensel Muaz!” Muaz juga berkeras. Kedua-duanya nak menang.

“Okey, okey, mari sini pensel tu kak nak tengok.”

Adelia menghulurkan telapak tangan kepada mereka. Danish kemudiannya meletakkan sebatang pensel di tangan Adelia. Dibawa pensel itu di bawah pemerhatiannya. Ada satu tanda di situ. Hmmm… Tanda gigitan. Adelia tahu bagaimana cara untuk menyelesaikannya.

“Okey. Kak Delia nak tengok gigi Muaz dan Danish. Sengih, sengih, sengih cepat.” Adelia berlucu dengan adik-adiknya. Kemudian kedua-duanya pakat sengih.

Adelia memerhatikan gigi Muaz yang elok tersusun. Bersih dan cantik. Kemudian beralih kepada gigi Danish yang sedikit rongak. Dia cuba mengusik,

“Ini gigi tak gosok ni,” usik Adelia.

“Gosoklah, kak,” jawab Danish.

“Dah tu, kak tengok gigi dah rongak. Kalau tak pun, ini tentu suka gigit pensel. Tu sebab kuman-kuman rosakkan gigi.”

“Isy, tak adalah kak. Danish nak gigit macam mana? Gigi depan pun dah rongak,” jawab anak itu telus.

Adelia pantas beralih pula kepada Muaz. Anak itu sudah menunduk. Mungkin takut kena marah sebab dia suka gigit pensel. Adelia angkat dagu Muaz yang sudah bertemu dada.

“Nah, pensel Muaz. Simpan baik-baik, ya?” Lalu pensel bercorak flora dan fauna itu diserahkan kepada Muaz. Melebar senyum Muaz apabila menerima penselnya kembali. Terus dia peluk Adelia kejap. Adelia meraup rambut Muaz penuh kasih.

“Terima kasih, kak.” Ucapan terima kasih menyusul dari celah bibirnya yang halus itu.

“Tapi kak!” Danish ingin memberontak, tapi sempat dipintas oleh Adelia selepas pelukan Muaz terlerai,

“Pensel tu ada bekas gigit. Isy, tak naklah akak pensel yang ada bekas gigi Muaz. Danish nak ke?”

Cepat-cepat anak itu menggeleng.

“Dah tu, pergi cari pensel Danish sendiri. Mungkin tersorok dalam beg ke…”

Danish cepat-cepat berlalu untuk mencari penselnya semula. Selesai satu tugas. Adelia menarik nafas lega. Dia beralih lalu menghala ke meja belajar. Dia tarik kerusi dan duduk di sana sambil menghadap surat khabar yang bertarikh hari ini.

“Kak Delia…” panggil Syafiqah. Anak kecil berusia tiga tahun dan masih membawa bantal busuk ke merata-rata itu datang mendapatkan Adelia dalam nada manja.

“Ya, sayang…”

“Nak peluk…” Adelia menggamit Syafiqah supaya menghampirinya sebelum mengangkat tubuh anak itu dan diletakkan di ribanya lalu dipeluk. Kucupannya menyasar di pipi gebu anak itu.

“Akak! Akak! Akak! Ni tolong ajar matematik sekejap boleh tak? Susahlah darab ni.” Safuan datang menyusul pula. Tersadai bahan bacaan di meja bacaan Adelia.

“Darab aje, kan? Takkan susah kut. Darab hafal tak ni?” Adelia menyelak buku latihan Safuan. Terdapat bekas padam hingga nipis kertas buku berpetak itu.

“Hafallah, kak… Tapi suka lupa.” Anak dalam darjah lima itu menjawab sambil menggaru-garu kepala.

“Main banyak, tu pasal suka lupa.”

Dengan Safuan memang Adelia selalu bergurau cara begitu. Anak itu agak rapat dengannya. Dia rapat dengan Syamil juga dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Ringan tulang pula, sebab itu dia mudah disayang.

“Kak, Abang Syamil mana?” tanya Safuan.

“Entah, tak jaga dia pun.” Malas Adelia mahu pelawa masuk nama itu ke dalam lubang telinganya.

“Akak, ni nak tanya satu soalan lagi ni.”

“Berapa banyak kau punya soalanlah Safuan…” Adelia naik pening dengan budak seorang ini. Kalau bercakap tidak pernahnya sedikit.

“Abang Syamil tu kalau cakap dengan akak, kenapa suka tengking-tengking? Kalau dengan kita orang dia cakap baik-baik aje.”

Hah! Perangai busybody dia datang dah… Ni yang malas ni, omel Adelia dalam hati. Tapi Adelia jawab juga walaupun hatinya tidak suka menjawab apa-apa saja soalan kalau berkenaan diri Syamil.

“Arwah atuk dia dulu buka kilang mercun raya Cina. Tu pasal mulut dia asyik meletup-letup aje.” Kata-kata daripada Julia diguna pakai semula. Kemudian mengekek Adelia ketawa dalam hati. Adelia nampak Safuan menepuk dahi. Harap budak ni tak faham apa maksud yang disampaikan tadi.

“Buat kerja sekolah tak habis lagi, Wan?” Tiba-tiba suara itu datang menegur dari arah belakang. Macam nak luruh jantung Adelia dibuatnya. Dup dap dup dap, punyalah kuat jantungnya berbunyi. Bersimbah terus peluh penuh di muka.

“Panjang pun umur abang. Baru aje Wan sebut-sebut nama abang tadi.” Safuan bawa buku latihannya kepada Syamil pula. Syamil sudah menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Adelia di meja belajar mereka.

“Ni bang, nak kira darab ni macam mana?” Lalu Safuan tunjukkan kerja sekolahnya kepada Syamil pula.

“Cuti sekolah punya lama, tak hafal darab lagi? Dah tu duk buat apa? Duk mengumpat?” Sindiran itu dipanah kepada Adelia sipi-sipi, namun baranya tetap terasa melecur ke hati.

Safuan sengih.

“Tak adalah, bang. Tadi tu bukan mengumpat. Itu buat lawak,” balas Safuan. Pandai jugak politik budak ini. Ada peluang jadi wakil rakyat nanti.

“Ngantuklah, Kak Delia…” Syafiqah sudah merengek.

Fuh, selamat… Tak payah nak tadah muka lama-lama depan Syamil. Pandai kau, Fiqah. Besar besok ada peluang jadi pelakon, ujar Adelia dalam hati.

Pantas Adelia mendukung Syafiqah lalu dibawa ke bilik. Dia menemani Syafiqah hingga kedua-duanya terlena.

PADA tengah malam, Adelia terkejut daripada tidur apabila pintu biliknya berbunyi. Melalui cahaya lampu tidur yang terpasang, dia nampak susuk tubuh seseorang masuk ke dalam biliknya. Pantas Adelia turun dari katil dan berlari menuju ke tepi dinding memetik suis lampu.

“Syamil! Apa kau buat kat dalam bilik aku ni?!” jerkah Adelia dengan kuat sekali. Dia sudah tidak risau lagi andai isi rumah itu terdengar suaranya. Syamil yang pada mulanya tidak menyangka Adelia akan terjaga, terus terkaku dan rasa serba salah.

“Aku cari pen aku! Pen aku hilang. Kau ada ambil?” suara yang menjawab itu sudah tergagap-gagap menunjukkan secara jelas bahawa dirinya bersalah kerana menceroboh masuk ke bilik Adelia.

Macam Adelia bodoh. Dia tidak tahu kenapa Syamil menerjah masuk ke biliknya tengah-tengah malam buta macam ini. Perangai Syamil sudah lama dalam pemerhatiannya. Cuma Adelia tak nak suarakan sahaja isi hatinya kepada Ayu sebab dia masih tidak ada bukti.

“Lebih baik kau pergi keluar sekarang sebelum aku jerit kuat-kuat. Pergi!” Adelia cuba mengawal suaranya walaupun nadanya begitu marah.

Sakit hati betul Adelia. Dalam keadaan dia yang berbaju tidur tanpa lengan kerana cuaca pada waktu itu panas menggelegak, dengan rambutnya yang tidak bertutup, membuatkan kemarahan itu jadi membuak-buak. Hilang sudah rasa takut dan gerun ketika berhadapan dengan Syamil.

Syamil tahu kelentongnya tidak menjadi. Dia tidak menunggu lama, terus keluar dari ruang bilik tersebut. Ah, dia pun tidak tahu kenapa langkahnya dibawa ke sana. Ia berlaku di bawah sedar tanpa menggunakan pertimbangan akal yang waras.

Syamil nampak Adelia siang tadi. Dia juga pernah nampak Adelia dalam keadaan tidak sepatutnya ketika menghendap Adelia secara curi-curi sebelum ini. Tuntutan nafsunya tidak terkawal lagi pada malam ini hingga iblis mengipas satu kejahatan dan memadamkan terus iman yang sedikit disimpan.

Peluh memercik di serata muka. Syamil masuk ke bilik sambil menahan debaran yang begitu kencang. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa tindakannya hingga sebegitu sekali. Memang dia sentiasa kasar setiap kali menegur Adelia. Tetapi di ruang hatinya ada terjentik suatu rasa. Syamil cuba padamkan rasa itu, tetapi kian hari kian merebak pula hingga dia tidak mampu mengawalnya.

Berlalunya Syamil dari ruang bilik, Adelia terus mengunci pintu. Dari mana Syamil dapatkan kunci pendua tidak tahulah. Adelia tidak pernah lalai mengunci pintu setiap kali masuk tidur. Semenjak dua menjak ini, nalurinya berbisik satu kecurigaan tentang Syamil. Hari ini Syamil terlepas masuk juga.

Kembali semula ke katil, Adelia menangis semahu-mahunya. Dia benci keadaan ini. Dia tidak suka lagi tinggal di sini. Adelia rasa dirinya sudah tidak selamat lagi. Apa yang harus dia lakukan? Adelia teringatkan Mak Wan di kampung.

Emak… Tolong Delia, mak, rintih Adelia dalam hati. Air mata berjuraian di pipi. Sudah puas Adelia mengadu kepada Tuhan. Malah semakin kerap dia meminta perlindungan daripada Tuhan. Adelia berharap dirinya sentiasa dalam lindungan.

 

SIANG itu setelah memastikan Syamil telah ke Pusat Ilmu, Adelia keluar secara senyap menuju ke dapur. Dia mahu beritahu Ayu tentang kejadian semalam. Dia tidak boleh tunggu lagi. Adelia risau, kalau dia tidur hingga tidak sedar diri, Syamil kerjakannya dan terus padam rekod. Ayu pun semenjak melihat peningkatan pelajaran Syamil begitu baik, kasih sayangnya lebih ditumpahkan kepada Syamil. Adelia kadangkala rasa terasing dengan keadaan itu.

“Ibu… Delia nak bincang sikit dengan ibu.”

“Ada apa, Delia?” Tumpuan Ayu lebih kepada kacang buncis daripada Adelia yang sedang duduk di hadapannya.

“Ibu, semalam Syamil ceroboh ke bilik Delia.” Dalam takut-takut, Adelia ceritakan kepada Ayu.

“Isy! Jangan mengarutlah, Delia. Mimpi aje kut. Apa ke hal Syamil nak masuk ke bilik Delia tengah-tengah malam buta tu?”

Ayu telah dibutakan dengan kebaikan anak kesayangannya yang bijak dan pandai serta dianggap boleh diharap itu.

“Betul, bu. Delia tak bohong. Syamil ceroboh bilik Delia. Percayalah bu.” Air mata Adelia hampir pecah.

“Ibu tak percayalah Syamil buat macam tu. Delia tidur kunci pintu, kan? Kalau dah kunci pintu, macam mana dia boleh ceroboh masuk? Sudah, pergi tengok adik-adik. Ibu nak masak ni. Nanti berlapar pula mereka semua tu kalau lewat masak.”

Kalau tadi Adelia cuba menahan air matanya yang hampir pecah, tetapi kali ini dia tidak mampu lagi. Adelia cuba menahan, namun mutiara jernih itu gugur juga menyapa pipi. Hati Adelia remuk dengan kata-kata yang keluar dari bibir Ayu. Adelia tidak menunggu lebih lama. Dia terus berlalu masuk ke biliknya. Adelia tidak sanggup berhadapan dengan Syamil. Dia rasa benci!

Bermula dari kejadian itu, Adelia lebih berhati-hati daripada sebelumnya. Baginya, manusia seperti Syamil memang tidak boleh dipercayai. Nampak muka macam malaikat tetapi hati perut hitam pekat. Sejak kejadian itu berlaku, jarang terdengar suara petir Syamil di ruangan rumah mereka. Memanglah tidak dengar, sebab Adelia terus-terusan mengelak daripada bertemu muka dengan Syamil.

 

PADA waktu tengah hari ketika mereka sama-sama keluar dari pintu pagar sekolah, Syamil mengejar Adelia yang berjalan begitu laju untuk menaiki bas. Adelia tahu Syamil sedang mengejarnya, sebab itu dia cuba mengelak.

“Delia!”

Lantang suara Syamil memanggil Adelia. Namun Delia langsung tidak berhenti. Malah dia semakin laju melangkah. Sudah seminggu peristiwa itu berlaku, namun Adelia masih tidak dapat memaafkan Syamil. Melihat muka Syamil pun dia sudah benci. Manakan mampu dia maafkan perkara seperti itu berlaku ke atasnya. Kelakuan Syamil yang buat-buat baik itu menyebabkan Ayu pun tidak percaya dengan kata-katanya. Sedih hati Adelia dengan sikap Ayu.

“Delia! Tak dengar ke aku panggil?!” Dengan kasar Syamil terus merentap lengan Adelia.

“Lepaslah! Sakit, tahu tak?” Adelia rentap balik walaupun cengkaman Syamil begitu kuat dan menyakitkan.

“Kau pekak ke sampai tak dengar aku panggil?!” jerkah Syamil.

“Kau jangan nak buat hal tengah-tengah jalan ni, ya? Aku jerit karang.” Adelia tidak kalah dengan suara. Kalau dahulu memang ya, Adelia akan menunduk dan mengalah. Apabila kenal dengan perangai Syamil yang berupa iblis laknat itu, Adelia tidak mahu lagi mengalah.

“Jeritlah, jerit. Aku nak tengok sekuat mana kau nak jerit!” Syamil tunjuk kuasa dan hebat di hadapan Adelia.

“Kau nak apa?!” Muka Adelia yang nampak tegang itu sudah merah menyala dengan tikaman mentari di tengah hari rembang.

“Aku nak bagi amaran pada kau, Delia! Jangan berani-berani kau beritahu pada ibu pasal aku. Aku kerjakan kau betul-betul nanti.”

Syamil menuding betul-betul di depan muka Adelia seraya memberi amaran keras. Mukanya nampak serius. Selepas melepaskan ugutan begitu, Syamil terus berlalu pergi memanjat tangga bas sekolah. Perangainya benar-benar seperti budak samseng, tidak seperti yang telah digambarkan oleh guru-guru dan pelajar sekolah.

Pedih dada Adelia apabila menerima ancaman berbaur begitu. Mahu saja dia cincang mulut Syamil yang jahat itu supaya tidak lagi menengking-nengking dan mengugutnya yang bukan-bukan. Adelia harap tamat sahaja SPM nanti, Syamil akan berambus terus dari rumah. Dia tak nak tengok lagi muka Syamil di persekitarannya.

Dua tahun kemudian…

 KINI Syamil sudah melanjutkan pelajaran ke Jepun. Syukur… alhamdulillah. Selama ketiadaan Syamil, Adelia mampu menarik nafas lega dan bebas berada di kawasan rumah.

Deringan telefon bimbit Ayu berbunyi. Tiada sesiapa di ruang tamu. Adelia memanjangkan leher memantau kalau-kalau Ayu ada di situ. Malas sungguh dia hendak mengangkat panggilan telefon. Nak-nak pula masa dia sedang sibuk buat tinjauan tentang universiti yang hendak dilamar untuk meneruskan pengajiannya.

Selepas mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini, Adelia berura-ura untuk menyambung belajar di Universiti Malaya. Boleh belajar sama-sama dengan Julia. Lamaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti di Jepun telah ditolak. Sebab itu Julia cuma meneruskan pengajiannya di dalam negara.

Tak apalah, itu pun sudah syukur alhamdulillah kerana Universiti Malaya adalah antara universiti yang terbaik di Malaysia.

“Helo…” Selepas menekan butang On, Adelia menyapa pemanggil di seberang sana.

“Haah, tunggu kejap.” Adelia meletakkan telefon bimbit itu di tempatnya semula sambil mencebikkan bibir.

Syamil rupanya. Menyampah pula dengar suara dia, omel Adelia dalam hati.

“Ibuuu! Ibuuu! Ada panggilan ni.”

Hanya dua kali jerit sahaja, terkocoh-koocoh Ayu keluar dari bilik air lalu menghala ke ruang tamu. Rambutnya yang masih basah, disimpul dengan tuala. Manakala kain batik masih sekerat dada.

“Siapa?” tanya Ayu sambil menjongketkan kening ke arah Adelia.

“Siapa lagi, anak kesayangan ibulah.” Sinis Adelia memberitahu kemudian dia kembali duduk menghadap skrin komputer riba.

Adelia sempat mengerling ke arah Ayu. Begitu teruja dan gembira sekali Ayu menjawab panggilan. Naik menyampah pula Adelia. Sakit hati melihat drama di depan mata. Percaya sangatlah Ayu dengan anak kesayangan dia yang seorang tu. Perangai mengalahkan apa, Ayu tak sedar lagi. Asal bijak pandai, ibunya dah anggap Syamil itu baik. Adelia tahulah macam mana orangnya Syamil tu. Tunggu orang leka aje.

Selesai menjawab salam selepas tamat perbualan, Ayu kembali semula ke bilik air. Urusannya masih belum selesai lagi agaknya. Manakala Adelia masih tidak berganjak dari situ. Setelah membuat pencarian, dia membuka akaun Facebook pula. Ralit hingga terleka seketika waktu asar. Memandang jam pun sudah menjangkau ke pukul lima setengah petang, bergelut Adelia ke bilik air untuk berwuduk.

Selesai mengerjakan solat, Adelia kembali semula ke ruang tamu. Meniarap di situ dengan bebasnya mengerbangkan rambut yang separas pinggang dan hitam lebat. Kalau Syamil ada, mustahil dia boleh duduk dengan bebas begini. Mujur juga anak-anak angkat Ayu yang lain tidak ada di rumah pada waktu ini.

“Delia… ibu nak cakap sikit.” Ayu datang menyusul ketika Adelia sedang sibuk membalas komen kawan-kawan. Terus Adelia bangun dan membetulkan duduk.

“Ada apa, ibu?” tanya Adelia kembali.

“Syamil mintak Delia isi kemasukan ke universiti tempat dia belajar,” beritahu Ayu. Manis wajah yang Ayu tunjukkan sambil melorek senyum buat Adelia. Manakala berbeza pula dengan Adelia. Membulat biji matanya.

“Kenapa pula, bu? Delia dah ada rancangan lain. Delia nak sambung belajar kat sini aje.” Adelia cuba membantah.

“Dengar cakap ibu, Delia. Baik Delia belajar sama-sama dengan Syamil aje. Ada juga orang boleh tengok-tengokkan Delia. Ibu risau nak lepaskan Delia sorang-sorang kalau tak ada siapa yang tengok-tengokkan.”

Sungguh, Adelia adalah kerisauan Ayu. Sejarah kemunculan Adelia di depan pintu rumahnya semasa bayi pun sudah mengundang perkara yang macam-macam dalam fikiran Ayu. Kalau boleh Ayu mahu Adelia terpelihara. Dia tidak mahu Adelia bebas laku dan jadi yang tidak-tidak. Ayu sudah usahakan yang termampu dengan memberikan didikan agama dan memelihara Adelia dari kebebasan di luar sana. Kalau jauh dari pandangan matanya, Ayu tidak tahu apa akan jadi kepada Adelia.

“Kan dekat sini Kak Julia pun ada. Kak Julia boleh tengok-tengokkan Delia.” Alasan demi alasan Adelia berikan kerana tidak puas hati.

“Dia bukan adik-beradik kita, Delia. Ibu lebih percayakan Syamil daripada orang luar.” Kali ini Ayu sudah mula berkeras.

Adelia terus menyebal.

Ibu ingat Syamil tu boleh jaga Delia ke? Ibu ingat Delia akan selamat kalau ada dekat dengan Syamil? Syamil itulah iblis yang paling bahaya sekali berbanding orang luar. Dia bukan saudara Delialah, ibu! Adelia memberontak dalam hati.

“Tapi bu…” Kelopak mata Adelia sudah rasa berpasir. Bulir-bulir jernih sudah mula bergenang.

“Tak payah bertapi-tapi lagi. Ikut cakap ibu. Nanti Syamil akan isi permohonan untuk Delia. Delia bagi butir-butir peribadi pada Syamil nanti.” Tegas kata-kata Ayu. Dia sudah hilang sabar dengan kerenah Adelia. Semenjak Adelia sudah besar panjang ni, perangai kerasnya nampak sangat. Suka membantah dan tidak hormat pendapat orang lain. Dengan Syamil pun sudah pandai berkurang ajar. Ayu tidak pernah mengajar Adelia berperangai begitu. Dia tidak mahu anak-anaknya berseteru. Sebagai seorang gadis, Adelia harus mempunyai nilai sopan santun dan berbudi bahasa seperti gadis Melayu.

“Delia tak nak!” Keras juga jawapan dari bibir Adelia. Ayu yang sudah bangun untuk ke dapur tidak jadi melangkah. Pedih hati Ayu melihat perangai Adelia. Degil sampai tidak boleh dipujuk-pujuk.

“Kalau tak nak, tak payah sambung belajar! Duduk rumah aje jaga adik-adik!” Kalau Adelia berkeras, jangan ingat Ayu tidak reti bertegas. Pantas dengan ayat muktamad itu, terus Ayu menyambung langkahnya.

Adelia mengesat pelupuk matanya yang sudah basah. Sampai hati ibu buat macam ni pada Delia. Melebihkan Syamil daripada Delia. Nak kata Delia tak pandai, keputusan Delia melayakkan Delia melamar di mana-mana universiti sekali pun. Kalau Syamil bijak, Delia juga tidak kurang. Tetapi kenapa ibu bertindak pilih kasih? Delia tahu Delia cuma menumpang, Delia bukan anak ibu. Tetapi ibu cakap kasih ibu terhadap Delia tetap sama rata dengan anak kandung ibu. Ternyata kata-kata ibu hanya sekadar untuk menyedapkan hati. Ibu tak jujur dengan kata-kata ibu! Semasa Delia mengadu tentang perangai Syamil pun ibu tak nak percaya. Ibu letakkan hukum terus kepada Delia tanpa mendengar luahan hati Delia, luah Adelia dalam hati.

Adelia memadamkan komputer riba. Kemudian dibawanya komputer itu ke dalam bilik dan dia duduk berkurung sambil merenung nasib diri.

Kalaulah Delia ada emak dan ayah macam orang lain, tentu Delia tak jadi macam ni. Tentu Delia dilayan sama rata antara adik-beradik yang lain. Delia ini anak siapa? Allah, tolonglah Delia. Peliharalah hamba-Mu ini, Ya Allah… luah hati Adelia. Merambu-rambu air mata Adelia selepas merebahkan tubuh di tilam.

“Kak Julia, mak, ayah…” Adelia begitu merindui Mak Wan, Pak Suki, Julia dan juga adik-beradik angkatnya di kampung. Di sana Adelia diberikan kasih sayang yang tulus. Sejak Syamil melanjutkan pelajaran ke Jepun, Ayu sudah tidak benarkan Adelia bercuti di kampung lagi. Risau itulah alasan dari bibir Ayu. Padahal bukan Ayu tidak kenal dengan Julia. Selalu Julia datang bertandang ke As Solah memberi anak-anak di sini kelas tambahan kalau dia ada kelapangan.

Sampai hati ibu. Ibu macam nak pisahkan kasih Delia dengan keluarga Julia. Langsung tak berikan kebebasan kepada Delia untuk bergembira, rintih hati Adelia.