Cinderbella

RM27.00

Penulis: Miss elle

Caption: hati bukan untuk dimiliki..tapi untuk dicintai dan mencintai..

ISBN: 978-967-406-271-2

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 27.00 RM 30.00

Hana Abella, merasakan kisah dirinya mirip seperti Cinderella apabila ibunya membuat keputusan untuk berkahwin dengan seorang duda yang mempunyai dua orang anak lelaki. Yalah, usai saja ibunya berkahwin, dia terus dapat dua orang abang tiri.

“Sah. Memang sah awak dah gila…” – Bella

“Apa kau kata?! Aku gila?!” – Shah

Kehadiran Shah dalam hidup Hana Abella membuatkan hidupnya huru-hara. Pantang berjumpa, mesti akan berkelahi. Tambahan pula apabila mereka tinggal sebumbung. Walaupun bergelar abang tiri kepada Bella, itu tidak bermakna pertelingkahan sesama mereka tamat. Ada saja yang tidak kena pada mata Shah.

Namun begitu, ia tidak menghalang untuk Bella daripada terus melupakan cinta pandang pertamanya. Perkenalan dengan Daris Eduardo membuatkan hatinya sentiasa berbunga-bunga. Tambahan apabila disunting oleh lelaki itu untuk menjadi suri hatinya walaupun usia perkenalan mereka baru mencecah beberapa bulan sahaja.

“Jom kita kahwin?”  – Darius

“Awak ingat senang ke nak kahwin? Semudah ABC macam tu?” – Bella

Dalam hati berkobar-kobar mahu menerima lamaran Darius, Bella terlupa sesuatu. Terlupa akan restu seorang ibu. Sementelah, si ibu pula telah merancang untuk menyatukan Bella dengan Shah. Bella terpanar. Padanya, Shah hanyalah seorang abang dalam hidupnya. Tidak mungkin dia akan memerima Shah, namun apabila didesak, dia gundah. Dia serba salah dalam membuat pemilihan.

Memilih Darius, umpama cinta tanpa restu walaupun dia mahukan kebahagiaan dengan cinta hatinya. Memilih Shah, hubungan tanpa cinta tetapi dengan restu ibunya membuatkan hati Bella libang-libu. Perlukah dia berkorban? Siapakah yang menjadi pilihan hati Bella?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

AKU tersenyum sendirian melihat ibu yang kelihatan agak ceria pada hari ini. Entah apalah berita gembira yang didengarinya sehingga ibu tersenyum ceria seperti itu sekali. Berkerut dahiku apabila buat pertama kalinya aku mendengar ibu menyanyi-nyanyi kecil sambil menumis masakannya. Hmmm, pelik. Aku kena siasat ni.

“Ibu!” sergahku membuatkan bahu ibu sedikit terangkat.

“Hesy, Bella ni! Tak ada kerja lain ke selain nak buat ibu sakit jantung?” rengus ibu sebelum meneruskan tugasnya yang tergendala.

“Ala… Sekali-sekala nak bermanja-mana dengan ibu, apa salahnya? Lagipun Bella ni manalah ada adik-beradik lain untuk dibuat teman bergaduh. Hanya ibu yang Bella ada untuk gaduh, manja dan macam-macam lagilah.”

“Tak apa. Tak lama lagi Bella ada la teman,” balas ibu sambil tersengih.

“Teman? Siapa?” soalku pelik sambil menuang air teh ke dalam cawan lalu meneguk perlahan.

“Bella jangan terkejut, ya? Ibu dah nak kahwin!” ujar ibu sangat teruja.

Burrr!!!

Tersembur semua air yang masuk ke dalam mulutku sebentar tadi.

“Apa Bella ni? Cubalah minum tu elok-elok sikit,” tegur ibu ketika aku tergesa-gesa mencapai tisu.

“Betul ke ni, ibu? Tapi kenapa?” soalku dengan suara mengendur.

Yalah, ibu bukan muda lagi. Kalau dia nak kahwin masa aku kecil lagi tak apalah. Ini aku sudah berumur dua puluh tiga tahun. Apa lagi yang ibu mahu? Kami berdua tak perlukan seorang lelaki untuk menanggung kami anak-beranak. Pelik betul la aku dengan ibu ni.

“Kenapa kamu tanya? Tak suka?”

Soalanku dibalas dengan soalan.

“Bukanlah tak suka. Cuma pelik… Kalau ibu kahwin selepas beberapa tahun arwah ayah meninggal dunia, tak apalah juga. Ini selepas sebelas tahun baru ibu nak cari pengganti? Itu kes luar biasa, bu…” komenku.

“Ah, ibu tak kira kamu nak cakap apa pun. Dia dah melamar ibu dan ibu setuju. Tak lama lagi kami berdua akan menikah.”

Aduhai ibu… Ibu… Aku ingatkan cerita dalam novel saja yang macam ni. Rupa-rupanya wujud juga dalam dunia realiti. Dan terjadi di dalam rumahku sendiri pula tu.

Hmmm… Suka hati ibulah. Asalkan ibu bahagia,” keluhku perlahan.

“Haaa… Itulah jawapan yang ibu nak dengar. Bukannya komen yang tidak memberi galakan kepada ibu. Lagipun, cuba Bella fikir… Ibu ni dah tua. Tak lama lagi Bella pun dah nak kahwin. Kalau Bella kahwin, kesianlah dekat ibu ni. Tak ada teman…” ujar ibu dengan wajah sayu.

Berkerut dahiku mendengar kata-kata ibu itu. Laaa, aku ingatkan orang tua perlukan masa untuk dekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Tapi nampaknya kes ibu ni lain macam sikit. Boleh dia nak cari teman pada usia yang tak berapa nak muda ni?

“Yalah, ibu. Buatlah apa yang ibu rasa membahagiakan ibu…” balasku selamba sebelum mencapai pinggan dan mencedok mi goreng yang masih berasap tipis. Hmmm, baik aku layan perut aku dari layan cerita ‘luar biasa’ ibu tu.

“Hoi… Makan tu dah baca doa ke belum?” tegur ibu sambil menampar tanganku perlahan apabila sudu hampir kusuakan ke mulut.

Aku menghela nafas berat. Ibu ni memang sengaja nak manja cara kasar dengan aku. Bukan ke tadi dia nampak aku tengah tadah tangan di depan dia? Haih, inilah nasibnya kalau ibu dan aku rapat seperti seorang teman. Hmmm, tadi ibu cakap dia perlukan teman, kan? Bukankah dia sudah punya teman yang cukup punya cantik dan baik sedang duduk di sisi dia ni? Perlu juga ke seorang suami? Alahai, ibuku sayang.

“Bakal ayah baru Bella tu kerja apa?” soalku berpura-pura berminat. Wajah ibu serta-merta berubah ceria dengan senyuman meleret menghiasi wajahnya. Aduh, mak. Gawat ni. Ibuku sendiri sudah terkena penyakit angau.

“Dia bukan ayahlah, Bella. Panggil dia papa…” ujar ibu tersipu malu.

Aku terbatuk-batuk kecil.

Hmmm… Okey. Papa. Dia kerja apa?” soalku sekali lagi.

Erm… Malu la ibu nak cakap. Nanti kamu tahu sendirilah selepas dah jumpa dia.”

“Jumpa dia? Bila masa pula Bella ada masa nak jumpa dia?” soalku pelik. Yalah, aku ni bukannya selalu sangat duduk di rumah bersama ibu.

“Ibu ingat hujung minggu ni majlis pernikahan ibu nak buat biasa-biasa saja. Nanti masa tu Bella jumpalah dengan dia dan anak-anaknya.”

What?! Hujung minggu ni?!” soalku terjerit kecil. Ibu ni biar betul?! Ibu mengangguk kecil sambil tersenyum lebar.

Oh my gosh, ibu. Bella tak tahu nak komen apa.”

“Tak payah komen. Ucapkan tahniah sajalah.”

Hmmm… Yalah, bu. Tahniah,” balasku mendatar.

“Okeylah. Bella nak gerak ke tempat kerja dulu. Hujung minggu ni mungkin Bella tak ada semasa majlis nikah ibu tu sebab Bella terpaksa ikut Rose ke Mersing untuk urusakan hal di sana.”

“Hal apa?” soal ibu pelik.

Errr… Hal kami la,” balasku selamba sebelum segera mencapai beg tanganku dan menyalami ibu. Baik aku ‘cabut’ dulu sebelum diasak dengan pelbagai soalan dari ‘inspektor’ tak berbayar tu.

“Hei, kamu tu cuma kerja sebagai guru tadika saja. Kenapa banyak sangat halnya sehingga terpaksa pergi ke Mersing?!” laung ibu ketika aku sedang terkocoh-kocoh menyarung kasut.

“Oh… Kami ada hal mustahak sangat, ibu. Memang tak dapat dielak. Okeylah, ibu. Bye!” balasku sebelum segera berlari-lari anak keluar dari pintu pagar rumah.

Pon! Pon!

Aku menghela nafas lega. Tepat pada masanya! Rose sudah memberhentikan keretanya di hadapan pagar rumahku. Syukur! Aku tak perlu nak menjawab soalan pelik daripada ibu.

Beb… Kenapa kau lambat sangat tadi?” soalku sejurus menutup pintu kereta.

“Lambat apanya? Kau janji pukul lapan pagi, kan? Ni tengok jam, pukul lapan tepat,” balas Rose dengan wajah tidak puas hati sambil menunjukkan jam di dashboard keretanya.

“Ah… Yalah. Yalah. Jalan cepat,” arahku. Malas mahu berbahas dengan budak seorang ni. Nanti akhirnya aku juga yang kalah dalam perbahasan peringkat di dalam kereta ni.

“Kenapa aku tengok kau kalut sangat ni, Bella?” soal Rose pelik.

“Nanti aku ceritalah. Sekarang ni berikan aku sedikit ruang untuk tenangkan fikiran…” balasku acuh tak acuh.

Aku dahlah tengah berserabut ni sebab ibu tiba-tiba saja nak kahwin. Lainlah kalau dia nak kahwinkan aku, okey juga. Masalahnya dia sendiri yang nak kahwin. Ini sudah kes luar biasa!

“WHAT?! Mak kau nak kahwin lagi?!” soal Rose dengan wajah terkejut.

Aku mengangguk lemah. Ketika itu dia ketawa kuat sambil menghentak-hentak stereng keretanya.

“Kalau kau rasa nak tolong gelakkan aku saja, baik tak payah. Tak membantu aku langsung,” rengusku kegeraman.

“Taklah. Masalahnya lawak kut. Aku tahulah yang mak kau tu muda lagi, baru empat puluh empat tahun. Tapi tak sangka la pula dia memang ada terfikir nak kahwin lagi. Ya Allah… Sumpah lawak. Jangan nanti tahun depan kau kendong baby pula. Orang ingat bawa anak, rupa-rupanya bawa adik…” ujar Rose sebelum sekali lagi dia menggelakkan aku sekuat hati. Kali ini bukan stereng saja yang dihentaknya. Paha aku juga turut menjadi mangsa pukulannya.

“Sakitlah!” bentakku sebelum menepis tangannya di pahaku. Ketika itu kedengaran bunyi hon kuat dari belakang.

“Padan muka, gelakkan aku lagi. Kan dah kena hon,” ujarku bersama senyuman sinis.

Rose menunduk sedikit kepada pemandu yang membunyikan hon di sisi keretanya apabila keretanya masih berhenti walaupun lampu isyarat sudah bertukar hijau.

Ketika kereta kami baru saja bergerak tak sampai lima minit, tiba-tiba saja ada sebuah kereta yang menghalang laluan kami di bahu jalan. Serta-merta Rose membrek secara mengejut menyebabkan aku hampir-hampir saja tercium dashboard keretanya. Mula la aku rasa nak naik angin bila terjadi kejadian yang menguji kesabaran begitu.

Beb… Kenapa dengan dia tu weh? Kenapa dia halang kereta kita? Bukan ke aku dah minta maaf pada dia tadi?” soal Rose ketakutan apabila pemandu kereta tersebut keluar dari keretanya.

Aku segera membuka tali pinggang keledarku. Ceh, nak tunjuk samseng konon. Tapi tak apa, dia datang tepat pada masanya. Aku memang tengah serabut dan rasa nak tumbuk sesuatu pagi ini. Baguslah dia datang serah diri.

Beb! Kau nak buat apa ni?” soal Rose cuak apabila aku membuka pintu kereta untuk keluar.

“Aku nak buang bala dalam diri aku sekejap,” balasku selamba sebelum menapak keluar dari kereta tersebut.

“Hei, lain kali kalau tak tahu tengok lampu isyarat, tak payah bawa kereta. Baik duduk diam di rumah saja,” ujar pemandu kereta itu.

Laaa… Lelaki ke? Patutlah ego semacam.

“Kalau macam tu, saya rasa baik encik duduk di rumah. Sebab tak ada adab. Buat sakit hati manusia di sekeliling alam ni saja kalau jumpa orang macam encik,” balasku sinis.

“Eh, kau tu kalau dah tahu buat silap, minta maaflah. Bukannya cakap ikut sedap mulut saja,” balas lelaki tersebut.

Aku hanya mencebik. Gaya dia memang dah tiptop. Pakai smart dengan cermin mata hitam lagi. Kereta dia tak payah cakaplah. BMW M4 warna merah tu, siap boleh buka bumbung lagi. Setahu aku kereta tu baru saja keluar pada tahun 2016. Hebat! Kau hado?

Aku menggeleng perlahan. Memang la aku tak ada. Nak beli kereta pun tak pernah terfikir. Baik aku simpan duit beli rumah.

“Yang kau pandang kereta aku lama-lama tu, kenapa?” soal lelaki itu pelik.

Aku berdehem kecil. Kantoi, aku memang dah jatuh cinta pandang pertama dengan kereta dia.

“Eh, saya pandang saja. Manalah tahu kereta awak tu ada tercalar atau kemek disebabkan kami lambat gerak semasa di lampu isyarat tadi,” balasku selamba sambil berpeluk tubuh. Sesekali mataku menjeling ke arah kereta merah itu. Ah! Cemburunya aku! Ibu, Bella nak kereta macam tu!

“Kau ni memang sengaja nak menguji kesabaran aku, kan?!” ujar lelaki itu seraya melipat lengan kemejanya sehingga ke siku dan membuka cermin mata hitamnya. Oh my! Is that Arjun Rampal, my love?!

“Dengar sini baik-baik, eh? Aku tak ada mood nak layan perempuan sewel macam kau ni pagi-pagi buta. Pesan elok-elok pada kawan kau yang pengecut di dalam kereta tu, lain kali bawa kereta tu ikut peraturan. Jalan raya ni bukan bapak dia punya. Faham?!” tengkingnya di hadapan wajahku.

“Faham, Encik Arjun…” Aku segera mengetap bibirku. Apa yang aku merepek ni?!

“Apa kau panggil aku?” Dia menoleh ke arahku dengan wajah tegang.

“Eh… Tak… Sa… Saya cuma cakap bulan Jun ni panas. Baik encik tutup bumbung kereta encik tu. Kita bukan di Switzerland atau negara sejuk.”

Aduh! Sekali lagi aku cakap benda yang pelik-pelik ni.

“Kau sibuk kenapa? Suka hati akulah. Dasar perempuan sewel!” rengusnya sebelum menapak semula ke keretanya.

Hesy! Sakitnya hati aku! Tanpa berlengah, aku melipat lengan bajuku sehingga ke siku sebelum mendekatinya.

“Encik!” laungku.

“Kau nak apa la…”

Belum sempat dia menyambung ayatnya, aku sudah menghadiahkan penumbuk sulungku ke wajah kacaknya itu. Maaflah, Arjun Rampal. Nasib baik lelaki ni bukan kau. Terpaksalah aku bagi juga hadiah yang aku simpan sejak tadi. Pergh… Dah macam dalam cerita Hindustan pula situasiku kali ini. Cuma bezanya tak ada sound effect saja. Cermin mata hitam lelaki itu terjatuh ke atas jalan raya manakala lelaki itu pula sudah tersandar di kereta idaman aku tu. Sebelum dia cakap macam-macam, lebih baik aku lari.

“Lain kali jangan biadap sangat!” laungku apabila kereta Rose lalu di sebelah lelaki tadi yang masih bersandar di keretanya. Ceh, macam teruk sangat aje aku tumbuk dia. Terdiam terus mamat tu. Tangannya pula mengusap pipinya. Hanya matanya merenungku tajam. Aku pula mencebikkan mulut sebelum menjelingnya tajam.

Beb… Kau kena sampuk apa tadi? Mamat tu tak buat apa pun dekat kau, yang kau pergi tumbuk dia tu kenapa?” soal Rose dalam nada yang masih kedengaran gugup.

“Ah, dia memang patut kena tumbuk pun. Kereta dah macho, muka dah handsome. Sayangnya, tak ada adab…” balasku sambil menggeleng-gelengkan kepalaku.

“Tapi aku rasa kalau orang tengok keadaan tadi, dia orang akan cakap kau yang tak betul sebab tiba-tiba tumbuk dia tanpa sebab.”

“Apanya yang tanpa sebab? Bukan ke dia halang kereta kita tadi? Dan itulah sebabnya.”

“Tapi dia halang saja. Bukannya cederakan kau pun,” balas Rose lagi.

“Untuk mengelakkan dia cederakan kita, baik kita cederakan dia dulu,” jawabku selamba sambil meniup buku limaku. Sakit juga sebenarnya bila menumbuk orang.

“Kau ni… Suka cari masalah, buatnya dia saman kita macam mana? Aku rasa dia tu bukan calang-calang orang tau. Tengok kereta pun dah tahu.”

“Alah… Setakat kereta aje mahal tapi otak murah buat apa? Entah-entah itu kereta bos dia,” balasku selamba.

Hmmm, ya tak ya juga, kan? Manalah tahu itu kereta bos dia. Alangkah bertuahnya bos dia kerana memiliki kereta yang ‘kacak’ macam tu. Aduhai, ini yang buat aku rasa tak sabar nak jadi kaya. Tapi, kalau setakat kerja sementara di tadika, ada jaminan ke aku bakal dapat kereta macam tu? Sedarlah diri kau sikit, wahai Cinderbella.

Kerja kau tu cuma jaga anak orang saja. Kawan kau yang boleh diharap pun cuma Si Rose ni saja. Hmmm, agaknya inilah yang dinamakan kisah Cinderella versi moden. Tapi kenapa cerita Cinderella yang dia orang terbitkan tahun lepas tu lain, ek? Dalam cerita tu Cinderella sebenarnya kaya tapi lepas ayah dia meninggal, mak tiri dan kakak tiri dia yang dengki dan jadikan dia hamba di dalam rumah sendiri.

Hmmm, pelik. Aku tak kaya. Cuma ada sebuah rumah tinggalan ayah. Ibu pula, baik saja. Cuma sejak tadi pagi, ibu jadi pelik sebab dia tiba-tiba cakap nak kahwin. Hesy! Bila fikirkan semula pasal hal itu. Jiwa aku jadi kacau. Kenapalah banyak-banyak benda dalam dunia ni yang ibu mampu buat, kahwin juga yang dipilih? Hujung minggu ni pula tu.

Hah! Cakap pasal hujung minggu ni. Aku belum bincang lagi dengan Rose tentang penipuan aku pasal Mersing tu. Sebenarnya aku sengaja nak mengelak dari hadir di majlis pernikahan ibu. Segan kut. Aku yang muda ni pun belum dapat calon, ibu yang tua tu pula yang kahwin. Aduh, dunia dah terbalik ke apa ni?

Beb… Hujung minggu ni jom pergi Mersing.”

“Buat apa?” soal Rose pelik.

Holiday la. Takkanlah nak pergi kahwin kut?”

Hesy, dalam sehari ni. Entah sudah berapa kali aku asyik sebut perkataan itu saja. Benci pula bila asyik teringat pasal hal tu.

Holiday? Kenapa tiba-tiba? Tak plan pun.”

“Ah, ikut sajalah. Banyak cakaplah kau ni.”

“Okey. Aku on saja,” balas Rose selamba. Keretanya diparkirkan di pekarangan tadika tempat kami bekerja. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di taman mini.

“Baguslah…” balasku sambil tersenyum lebar.

Ketika itu kelihatan sebuah kereta Bentley diberhentikan berdekatan dengan kereta kami.

“Alamak! Cik Dania dah datang!”

Kami berdua sudah terjerit kecil. Aduhai, kalau minah salih tu datang untuk pantau keadaan tadika miliknya ini, memang peninglah kepala kami hendak mendengar ceramahnya tentang etika kerja dan tanggungjawab kami sebagai guru tadika.

Setiap kali kalau dia membebel, pasti dia akan membandingkan persekitaran tadika di sini dengan persekitaran tadika di Auckland dan negara-negara barat yang lain. Tahulah dia tu membesar di luar negara tapi tak perlulah asyik nak kritik kami saja. Geramnya dengan Cik Dania tu! Umur saja muda tapi mulut macam mak nenek!

“ASSALAMUALAIKUM, Cik Dania…”

Aku dan Rose melangkah sopan di hadapan Cik Dania Eduardo yang sangat garang itu. Sesuailah dengan nama dia yang pelik tu. Tak tahulah dia berasal dari mana. Dia kata dia orang Melayu tapi pelik sebab nama dan rupa dia langsung tak nampak kemelayuan dia.

“Waalaikumussalam… Hah, kenapa you berdua lambat? Bukan ke sepatutnya seorang guru harus datang sebelum anak muridnya tiba?” soal Cik Dania sambil membetulkan tudungnya yang sememangnya sudah terletak cantik di kepalanya.

Kadang-kadang aku malu juga. Cik Dania yang muka bukan main mat salih dengan mata kelabunya itu pun pakai tudung. Tapi aku? Huh, selamba badak aje keluar dengan rambut lepas macam ni. Entah bilalah hati aku nak terbuka untuk pakai tudung?

“Helo, saya tanya ni…” ujar Cik Dania menyedarkan aku daripada lamunanku.

Errr… Ada problem sikit, cik…” balas Rose dengan senyuman hambar.

Aku hanya mengangguk mengeyakan kata-kata Rose itu. Cik Dania melihat jam di pergelangan tangannya.

“Lain kali jangan ulangi kesalahan awak ni lagi. Parents bayar kita untuk jaga anak dia, kalau mereka nampak guru-guru di sini sendiri tidak mematuhi peraturan, macam mana kita nak didik anak mereka, kan?”

Aku hanya mengangguk perlahan mengeyakan kata-kata Cik Dania itu.

Errr… Cik Dania bila sampai ke Malaysia?” soalku ketika kami bertiga berjalan beriringan masuk ke dalam tadika.

Erm… Baru sampai semalam. Mama dengan didi saya saja datang nak jenguk-jenguk rumah kami di sini…” balas Cik Dania selamba.

Didi?” soal Rose pelik namun Cik Dania hanya tergelak kecil.

Didi tu sebenarnya kata nama lain bagi daddy. Waktu kami kecil-kecil dulu, abang saya tak pandai sebut daddy, jadi dia panggil daddy kami sebagai didi. Selepas kami lahir pun panggilan tu seperti dah terbiasa. So, melekat sampai sekaranglah panggilan tu.”

Aku dan Rose mengangguk-angguk mendengar cerita Cik Dania itu. Sejuk hati aku melihat senyuman manis di wajah cantik itu. Cik Dania ni lawa betul orangnya. Kulitnya tidaklah terlalu putih seperti mat salih tetapi warna matanya berbeza dengan orang Melayu. Ketinggiannya juga kelihatan seperti seorang model. Kalaulah aku jadi mak dia, memang bangga gila sebab dapat anak cantik dan bijak pandai macam Cik Dania ni.

Aku dengar-dengar, keluarganya juga bukan calang-calang orang. Daddynya merupakan seorang yang mempunyai aset yang banyak. Paling tak logik sekali, ada juga yang mengatakan bahawa mereka memiliki sebuah pulau persendirian. Nak tergelak aku dengar. Dia orang ni kut ya pun nak menipu, agak-agaklah. Baik sebut istana aje terus. Merepek aje la.

“Ibu bapa Cik Dania datang sini lama ke?” soalku penuh minat.

Yalah, kalau berkesempatan. Nak juga aku tengok sendiri rupa ibu bapa gadis muda yang cantik ni. Umurnya baru saja memasuki angka dua puluh lima tetapi sudah berjaya memiliki tadika besar seperti Paradise Kindergarten.

Kalau tengok saja tadika ini dari luar, orang pasti akan fikir bahawa ini adalah sebuah institusi pengajian tinggi atau mungkin sekolah persendirian yang dikhaskan untuk anak-anak orang elit. Tapi kenyataannya yuran di sini sangatlah rendah. Kadang-kadang aku pelik dengan Cik Dania ni. Kaya sangat ke dia sehingga boleh buka tadika seperti ini tanpa meletakkan bayaran yang tinggi?

“Mama dan didi saya mungkin akan tinggal di sini lama. Mungkin setahun lebih. Maklumlah, mama saya tu memang orang sini. So, rindulah nak balik tanah airnya sendiri, kan?”

Aku mengangguk-angguk. Untungnya mereka. Nak pergi mana-mana pun tak payah risau. Lagipun, setahu aku Cik Dania ni mempunyai lima orang adik-beradik. Cik Dania merupakan anak keempat. Adiknya pula masih belajar di sebuah universiti tempatan. Pelik, kan? Kalau akulah jadi dia, lebih baik belajar di luar negara saja. Dah tentu-tentu ibu bapa mereka memang mampu untuk tanggung yuran pembelajaran anak mereka. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan.

Tengok aku ni, ikutkan hati memanglah nak sambung belajar lagi. Tapi ekonomi keluargaku hanyalah bergantung pada aku seorang dan ibu yang cuma mengambil tempahan menjahit di sebuah butik. Kalau musim raya, memanglah kami agak mewah sikit. Kalau tidak, cukup-cukup makan saja.

Lamunanku terganggu apabila telefon bimbit Cik Dania berbunyi. Cik Dania tersenyum lebar apabila melihat skrin telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum, abang! Tenho saudades tuas... (I miss you so much…)”

Berkerut dahiku mendengar apa yang dikatakan olehnya itu. Bahasa apa yang dia cakap ni? Aku langsung tak faham. Wajah bingung Rose di sisiku dipandang sekilas. Dia mengangkat bahunya tanda dia juga tidak tahu apa yang dikatakan oleh Cik Dania. Aku segera menunjukkan isyarat kepada Cik Dania meminta izin untuk masuk ke dalam. Dia hanya mengangguk sambil tersenyum.

“Apa bendalah yang Cik Dania tu cakap, kan? Sepatah haram aku tak faham…” omelku ketika berjalan beriringan dengan Rose.

“Itulah… Yang aku faham cuma ‘tuas’ saja. Itu pun dalam bahasa Melayu la. Tapi apa kena-mengena tuas dengan abang dia? Abang dia cikgu Fizik ke? Sebab setahu aku, masa SPM dulu aku pernah belajar pasal tuas semasa dalam kelas Fizik tapi sayangnya masa tu aku tertidur pula dalam kelas…” ujar Rose sambil menggaru kepalanya dengan wajah blur.

Aku tergelak kuat. Kawan siapalah yang ngok ngek sangat ni?

“Dahlah, Rose… Kau tak payah nak buat lawak pagi-pagi macam ni. Jom, kita pergi sambut budak-budak tu. Kesian aku tengok Sue, terpaksa layan kerenah Herman yang tak habis-habis menangis setiap kali datang tadika. Padahal dah setahun dia sekolah di sini, perangai masih tak berubah langsung…” balasku sebelum menapak ke arah Sue yang sedang memujuk Herman yang memeluk kaki ibunya kerana tidak mahu masuk ke dalam tadika.

Huh, inilah tugas aku setiap hari. Pujuk anak-anak yang tak nak pergi sekolah. Apalah nasib aku ni?

“ROSE… Bella… Kau orang berdua sibuk tak hujung minggu ni?” soal Cik Dania ketika kami baru saja hendak memasuki perut kereta.

Rose dan aku saling berpandangan sebelum kami menggelengkan kepala.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Boleh tak kalau kau orang berdua tolong saya?” soal Cik Dania.

“Tolong apa, cik?” soalku pelik.

“Sebenarnya mama dan didi saya nak sambut hari jadi abang dan kakak saya yang kembar tu Sabtu ni. Tapi anak-anak mereka tak ada siapa pula yang nak tolong tengok-tengokkan. Maklumlah, anak saudara saya tu lasak sikit. Boleh tak kalau kau orang jadi nanny mereka Sabtu ni sementara majlis berjalan? Don’t worry, saya bagi upah lebih untuk duit minyak. Penginapan, jangan risau. Saya uruskan juga. You berdua sediakan badan saja…” ujar Cik Dania bersungguh-sungguh.

Aku tersenyum lebar mendengar tawarannya itu. Bagus juga kalau aku ikut Cik Dania. Tak adalah aku nak tanggung dosa sebab dah menipu pada ibu mengenai ketidakhadiranku semasa majlis pernikahan ibu.

“Boleh… Boleh sangat, Cik Dania. Nanti cik WhatsApp saja pada saya tentang tempat dan waktu. Insya-Allah, saya suruh driver saya ni bawa saya ke sana…” ujarku seraya menunjuk ke arah Rose yang tercengang.

Cik Dania hanya tergelak.

“Kau orang berdua ni comel la. Okeylah, terima kasih ya sebab sudi bantu saya…” ucap Cik Dania sambil tersenyum.

Aku mengangguk kepadanya.

“Okeylah, kami balik dulu ya, Cik Dania. Bye, assalamualaikum…” ucapku seraya melambai ke arahnya.

Cik Dania turut membalas lambaianku. Kadang-kadang Cik Dania ni memanglah tegas tapi sebenarnya dia baik. Dan aku sayang Cik Dania sebagai bos aku. Kadang-kadang dia sudah kuanggap seperti seorang kakak. Lagipun umur dia memang lebih tua dua tahun daripada aku.

Aduhai, beruntungnya kalau dia jadi kakak aku. Sudahlah baik, cantik dan berbudi bahasa pula tu. Kalaulah aku ni lelaki, sudah lama aku mengurat Cik Dania tu.

“ASSALAMUALAIKUM… Ibu, Bella dah balik!” laungku dari luar rumah. Hmmm, pelik. Kenapa banyak kasut dekat sini?

“Bella dah balik, sayang?” ujar ibu lembut.

Berkerut dahiku apabila mendengar ibu menggelarkan aku dengan panggilan ‘sayang’. Tanganku serta-merta mendarat di dahi ibu.

“Nak kata demam, tak ada pula…” komenku selamba.

Ibu merengus kecil sebelum menepis tanganku. Membulat mataku apabila ibu menarik tubuhku merapatinya.

“Kamu jangan buat hal, ya? Bakal suami ibu dan anak dia ada di dalam tu…” bisik ibu memberi amaran.

Aku tersenyum kelat.

“Dekat dalam tu?” soalku sambil menunjuk ke dalam rumahku.

Ibu mengangguk laju.

“Kenapa dia orang datang?” soalku tidak senang.

“Laaa… Sebab ibu jemputlah. Saja nak buat makan-makan sikit. Lagipun, Sabtu ni kan kamu tak ada. Jadi, ibu jemputlah papa kamu tu datang supaya boleh berkenalan…”

Erk, papa? Oh my goat! Haha… Rasa macam nak bertukar jadi kambing aje sekarang ni. Geli kut nak panggil dia papa. Euw

“Eh, jomlah sayang masuk. Kita jumpa papa dan Abang Shah…” ujar ibu sambil memeluk bahuku masuk ke dalam rumah.

Pula dah. Abang Shah mana pula ni? Tadi dia suruh aku panggil bakal suami dia ‘papa’, sekarang ni ada Abang Shah pula? Pening kepala aku ni.

Mataku membulat apabila tengok ‘jembalang’ di depan aku ni.

“Kau?!”

“Awak?!” jerit kami serentak.

Berkerut dahi ibu memandang aku dan ‘Abang Shah’ dia tu terjerit kecil apabila melihat satu sama lain.

“Shah kenal dengan anak ibu ke?” soal lelaki yang dapat aku agak bakal ‘papa’ aku tu.

“Huh, apa tak kenalnya, papa… Siang tadi dialah…”

Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, aku segera memotong.

“Papa… Apa khabar? Teringin sangat nak jumpa papa. Tak sangka rupa-rupanya ibu memilih seorang bakal suami yang segak macam ni.”

Ayah kepada si ‘jembalang’ itu hanya tersengih mendengar pujianku. Ibu turut tersenyum lebar. Sukalah tu sebab aku terima bakal ‘papa’ tiri aku tu. Huh, menyampah! Ingat ya, ibu. Bella terima bakal suami ibu sekarang, nanti kalau Bella nak kahwin, ibu jangan nak cerewet sangat. Terima saja sesiapa yang Bella bawa jumpa ibu. Huh, geramnya!

“Bella pun apa kurangnya. Papa tak sangka rupa-rupanya bakal isteri papa ni ada seorang anak perempuan yang comel macam Bella ni.”

Fuh, boleh tahan orang tua ni, ya? Menanam tebu di tepi bibir betul.

“Biasalah tu, bang. Tengoklah siapa ibunya…” sampuk ibu.

Ah, sudah. Baik aku blah sekarang sebelum muntah darah sebab tengok perangai ibu yang ‘luar biasa’ manjanya tu.

“Bella minta diri ke dapur dulu, ya papa. Ibu… Dan… Errr… Abang…” Sengaja aku menekankan perkataan abang itu agar kedengaran sarkastik. Si ‘jembalang’ itu kelihatan merengus kecil sambil berpeluk tubuh. Eleh, tak suka konon. Ingat sikit, ya? Tak lama lagi aku ni bakal jadi adik kau. Sila beri contoh yang baik sebagai seorang abang. Bukan sebagai bangang. Haha… Jahat kau, Bella!

PRANGGG…

Terangkat bahuku apabila sebiji cawan dicampak dengan kasar ke dalam singki. Mataku membulat melihat si jahanam ni tersenyum sinis kepada aku.

“Eh, letak cawan tu cuba elok-elok sikit. Awak ingat beli cawan tu pakai daun ke? Awak nak ganti ke kalau pecah?!” bentakku sinis.

“Alah, kalau setakat cawan buruk tu, sepuluh biji pun aku boleh gantilah…” balasnya selamba.

“Ni aku nak tanya kau, kenapa kau tumbuk muka aku pagi tadi? Sampai lebam pipi aku ni tau? Nasib baik tak nampak sangat…”

Aku tergelak sinis.

“Tak nampak sebab kulit awak tu tak berapa nak cerah. Hmmm, kalau saya tahu, lebih baik saya terajang aje terus tadi pagi. Lagipun, awak bukan boleh buat apa pada saya. Kita kan bakal ‘adik-beradik’,” balasku sengaja ingin menaikkan api kemarahannya.

Dia merengus kegeraman.

“Kau ingat aku suka sangat ke nak jadi abang kau? Aku pun tak fahamlah dengan papa aku tu. Banyak-banyak perempuan dalam dunia ni, mak kepada perempuan gila yang aku jumpa pagi tadi juga yang dipilihnya.”

Aku membulatkan mataku kepada si ‘jembalang’ tu.

“Eh, ‘jembalang’! Awak ingat saya suka sangat ke nak dapat abang tiri ngok ngek macam awak?”

“Nama aku Shah Jahan! Bukan jembalang, faham?!”

Aku tergelak kuat.

“Nama awak Shah Jahan?” soalku meminta kepastian.

Lelaki itu mengangguk selamba.

Yup. Shah Jahan Khan bin Arsalah Khan,” balasnya penuh riak.

“Baguslah tu. Sorang Shah Jahanam, sorang lagi Tersalah Khan. Sesuailah tu bapak dengan anak…” ujarku sebelum menggelakkannya sekuat hati. Lawak kut. Banyak-banyak nama dalam dunia ni, nama tu juga kau pilih. Tiba-tiba terasa telingaku dipiat.

“Aduh… Aduh… Aduh… Sakit!” Aku sudah mengaduh kesakitan.

“Maaflah, Shah. Anak ibu ni memang kuat mengusik. Dia cuma bergurau aje tu. Shah jangan ambil hati, ya?”

Aku sempat mencebik walaupun dahiku sudah berkerut apabila ibu masih belum melepaskan telingaku. Si jahanam tu sempat tersenyum sinis kepadaku sebelum dia menapak keluar dari ruangan dapur.

“Apa ni, ibu? Sakitlah!” rengusku sambil mengusap telingaku yang sudah kemerahan.

“Padan muka! Siapa suruh cakap macam tu pada abang kamu?” balas ibu sambil berpeluk tubuh.

“Hesy, ibu ni… Dia belum jadi abang Bella lagi la!”

I don’t care! Hujung minggu ni ibu dan papa akan menikah, Bella dan dia akan jadi adik-beradik. So, jangan nak berkurang ajar dengan abang, faham? Ibu tak pernah ajar anak ibu jadi tak ada adab macam ni…” ujar ibu tegas.

Aku hanya memandang ibu dengan riak tidak puas hati. Nampak tak? Belum kahwin lagi dia dah utamakan anak tiri. Lepas kahwin nanti, silap-silap aku ni hidup macam Cinderella aje. Bencinya!

“Dah! Hidangkan makanan kat depan,” arah ibu sebelum dia menapak semula ke ruang tamu.

Ah! Nak nangis! Kenapalah ibu berubah macam ni? Bakal suami dan abang tiri aku tu baru aje jumpa aku tak sampai satu jam. Sekarang ni ibu dah menganaktirikan aku. Sampai hati ibu buat bestfriend dia macam ni. Tak apa. Tengoklah nanti aku nak merajuk dengan ibu. Huh!

TOK-TOK! Tok-tok!

Aku masih lagi mengurungkan diri di dalam bilik sambil melunjur di atas katil dan membaca majalah hiburan.

“Bella… Ibu masuk, ya?”

Aku masih tidak membalas. Biskut yang tersedia di meja sebelah katilku segera kucapai dan kunyah kasar. Geram dengan ibu punya pasal, biskut yang jadi mangsa.

“Kenapa Bella tak tidur dengan ibu malam ni?” soal ibu lembut.

Eleh, sengajalah tu nak buat aku lemah lutut bila dengar ibu cakap lembut-lembut macam tu. Macam tak tahu saja anak dia ni dalam hati ada taman. Merajuk macam mana sekalipun, aku tetap juga cair bila ibu pujuk baik-baik macam tu.

“Bella nak tidur sorang malam ni…” balasku dingin. Ketika itu terasa rambutku diusap oleh ibu.

“Tapi ibu takutlah nak tidur seorang. Bella tak takut ke?” soal ibu cuba memancing perhatianku.

“Tak. Tak takut langsung…” bohongku. Padahal macamlah ibu tak tahu bahawa aku ni penakut tahap tujuh petala langit. Alangkan bunyi cicak saja, aku dah boleh lari maraton dalam rumah. Mana tidaknya, aku geli kut dengan benda warna kelabu kehijauan tu. Hesy, bayangkan saja sudah buat bulu romaku meremang.

Tsik… Tsik… Tsik…

Bagaikan tahu saja bahawa aku sedang memikirkan pasal dia. Si makhluk yang kubenci itu sudah mengeluarkan bunyinya.

“Haaa, dengar tu… Bella tak takut ke kalau malam-malam cicak terjatuh atas muka Bella?” soal ibu sambil tersengih.

Aku merengus kecil sebelum menutup majalah di tanganku dan mengambil peket biskut di atas meja sisi katil lalu menarik tangan ibu untuk keluar dari bilikku.

“Macam ni la anak ibu. Dengar kata…”

Aku hanya mencebik perlahan sebelum memeluk bahu ibu.

So, macam mana tadi? Bakal suami cakap apa?” soalku ingin tahu. Malas nak merajuk lama-lama dengan ibu. Nanti aku juga yang ‘waterfall’ sebab buat ibu susah hati.

“Dia cakap lepas ibu dan dia kahwin, kita akan pindah ke rumah dia.”

What?! Habis tu rumah tinggalan arwah ayah ni macam mana?” soalku kerisauan.

“Rumah ni Bella ambil la. Ibu tak akan jual pun. Kita cuma pindah saja. Lagipun rumah dia besar tau…”

“Ya? Dia kerja apa?” soalku pelik.

Hmmm… Papa Bella tu sebenarnya pemilik butik kain terbesar di Malaysia tu.”

“Siapa?! Pemilik Jakel ke?” soalku terkejut.

Ibu menampar lenganku kasar.

“Hei! Bukanlah! Hesy, papa tu pemilik Khanna Textile cawangan Malaysia…”

“Oh… Kedai kain?”

Hmmm… Ya la…”

Then, macam mana ibu kenal dia?” soalku pelik.

Ketika itu ibu tersipu malu.

“Masa tu ibu keliru nak pilih kain yang mana satu untuk pelanggan yang nak tempah baju pengantin. Kebetulan papa ada di situ, dia terangkanlah pasal kualiti kain. Dan sejak itulah setiap kali ibu pergi beli kain, papa sanggup keluar dari ofis dia semata-mata sebab nak promote kain pada ibu…”

Sedaya upaya aku menahan tawaku. Alahai, pasal kain rupa-rupanya. Ingatkan pasal apalah. Yalah. Hebat betul ibu boleh mengurat pemilik Khanna Textile tu. Pelik juga aku. Ilmu apa yang ibu pakai? Rupa-rupanya disebabkan kain saja.

“Anak dia tu pula, kerja apa?” soalku pelik.

“Anak dia doktor. Dekat Paradise Hospital…”

Oh my! Bukankah hospital tu milik keluarga Cik Dania aku tu?! ‘Jembalang’ tu kerja di hospital keluarga Eduardo?! Bapaklah!

Hmmm… Ibu tadi pun ada cakap pada Abang Shah supaya tolong recommend kan Bella kerja di situ. Bella bukan tak ada pelajaran. Kan Bella ada ijazah sarjana muda dalam kejururawatan. So, eloklah kalau Bella kerja di dalam bidang yang sesuai dengan Bella…”

Aku mengeluh perlahan.

“Penatlah, ibu. Bella tak nak kerja jadi jururawat. Lagipun kerja Bella sekarang ni okey apa? Gaji pun bagus. Apa salahnya kalau Bella kerja saja dekat situ?”

“Bella, cuba dengar cakap ibu. Ibu nak yang terbaik untuk Bella…” ujar ibu dalam nada berat.

Hmmm… Yalah ibu. Bella ikut cakap ibu…”

Akhirnya aku mengalah. Nampaknya tak lama lagi terpaksalah aku berhenti kerja. Mesti aku akan rindu dengan Cik Dania, Rose dan Sue. Ah, aku tak suka!