Cindai Berdarah

RM26.00

Penulis: Indah Hairani

Caption: kerana cinta dia dibunuh kerana cinta dia kembali

ISBN: 978-967-406-248-4

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 26.00 RM 29.00

Berkurun dendam terkurung  dalam penjara misteri tidak berkesudahan. Keturunan ke tujuh menggamit dendam mereka kembali menyala.

Roh itu kembali mengamuk, memburu bayang-bayang orang yang dicintainya. Gentala dan kekasih yang didambakan dua saudara Asep dan Sunti.

Gentala, Imran seperti satu jasad. Wajah dan susuk tubuh Gentala dimiliki Imran. Cinta terhadap Gentala menyebabkan Imran diburu. Setiap yang ingin mendekati Imran, mereka akan diganggu. Roh itu hidup dalam susuk tubuh dua saudara kembar yang saling ingin memiliki.

Kerana cinta,  Asep dibunuh. Kerana  dendam Sunti kembali.  Merah adalah warna-warna sengsara. Darah adalah lambang kekejaman dan kengerian. Dua roh dan dua jasad. Mereka wujud dalam Cindai Berdarah.

Apakah yang telah terjadi sebenarnya? Bagaimanakah nasib Imran? Mampukah lelaki itu bebas daripada cengkaman dendam berkurun lama? Dapatkan nakhah seram ini bagi merungkai jawapan untuk persoalan yang anda ingin cari!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

MALAM kelihatan terang. Bulan di langit bulat keemasan. Angin sekali-sekala menguak daun pintu. Seorang anak muda kelihatan berdiri di tingkap menghalakan pandangan ke kawasan hutan kecil di hadapannya. Hutan sejarak satu kilometer itu nampak kelam dari tempat dia berdiri. Sesekali menimbulkan misteri di benak anak muda itu.

Di tengah-tengah bandar, adanya hutan yang tidak disentuh orang. Sejak dia tinggal di banglo itu, lima tahun lalu, begitulah keadaan hutan kecil itu. Mak Nang, pembantu rumahnya pernah bercerita, hutan kecil itu adalah tapak lombong terbiar sejak berpuluh tahun yang lalu. Tidak ada yang berani mendekati selepas peristiwa penemuan dua mayat tanpa kepala lima tahun lalu. Malah mat-mat penagih pun tidak berani ke situ. Itu cerita pembantu rumah Imran yang berusia pertengahan lima puluhan itu.

“Tak ada orang yang berani ke sana.” Suara Mak Nang terngiang-ngiang di ingatan anak muda itu. Barangkali benar kata-kata Mak Nang itu, Imran sendiripun kadangkala naik merinding roma sesekali merenung hutan kecil itu.

“Kenapa, Mak Nang? Berhantu ke?”

“Isy! Jangan celopar sangat mulut tu.”

“Apalah Mak Nang ni. Isy… Karut semua tu.”

“Jangan celopar!” Imran masih ingat malah marah orang tua itu masih terngiang-ngiang sampai saat ini. Fuh! Pada zaman yang serba moden ini, masih ada orang seperti Mak Nang ini. Tersenyum sumbing anak muda itu mengenang riak wajah orang tua pembantu rumahnya itu. Di tangannya tergenggam segelas susu sejuk. Dihirupnya perlahan minuman kegemarannya.

Pandangannya masih tertancap pada hutan yang kelam di bawah sinar bulan. Direnungnya dalam-dalam. Sukarnya melarikan pandangan dari rimbunan hutan itu. Seperti ada yang menyuruh dia terus berdiri dan memandang ke arah itu.

Tengkoknya tiba-tiba meremang. Bulu romanya mencacak di kedua-dua lengannya. Allahuakbar… Kalimah itu berdesir dari bibirnya. Audzubillahiminassyaitonirrojim… Tiba-tiba pandangannya perlahan-lahan mampu dialihkan dari rimbunan hutan itu.

Cepat-cepat dia menarik daun tingkap dan langsir menutupi pandangannya. Namun dia masih berdiri tanpa bergerak di sebalik tingkap kaca itu. Dielusnya lengannya perlahan. Aneh! Aneh sungguh. Getus anak muda itu sambil mengetap bibirnya.

Perasaan seram yang belum pernah dialaminya sepanjang tinggal di banglo itu. Dia termenung sejenak. Kemudian anak muda itu mengangguk perlahan-lahan. Baru dia ingat, perasaan aneh itu telahpun dirasanya sewaktu di pejabat siang tadi. Sepanjang hari dadanya berdebar tidak menentu. Perasaannya gelisah sehingga jarum jam menunjukkan ke angka 5 petang. Hari ini dia mengambil keputusan untuk keluar awal dari pejabat. Perkara yang jarang dilakukannya menjadi tanda tanya rakan-rakan sepejabat. Namun pertanyaan tidak berjawab.

Ah! Tiba-tiba anak muda itu mengeluh lagi. Kenapa perasaan aneh ini menjalar ke dalam benaknya. Apa? Apa sebenarnya? Ketukan tiba-tiba kedengaran bertalu di pintu biliknya. Anak muda itu tersentak lantas menoleh ke pintu dengan wajah berkerut. Ketukan kedengaran lagi.

Anak muda itu melangkah ke pintu. Jemarinya perlahan memulas tombol pintu. Pintu dikuak perlahan. Wajah pembantu rumah berumur pertengahan lima puluhan itu terjongol di depannya. Dia merenung wajah itu dengan dahi berkerut. Pembantu rumahnya itu menghulurkan telefon bimbit ke arahnya. Kenapa pula telefon bimbitnya ada di tangan wanita itu? Jarang sekali dia meninggalkan telefon bimbit di tingkat bawah. Isy!

“Ada panggilan untuk Encik Imran,” beritahu pembantu rumah itu sambil membetulkan sanggulnya yang terburai.

“Siapa, Mak Nang?” soal anak muda yang dipanggil Imran itu dengan spontan merenung skrin telefon bimbitnya. Perempuan yang disebut Mak Nang tidak menjawab. Sebalik memberi isyarat supaya dia sendiri yang menjawabnya.

“Okey, Mak Nang. Mak Nang boleh pergi,” ujar Imran perlahan sambil kembali menutup pintu biliknya. Kedengaran detak tapak kaki Mak Nang menuruni anak tangga kayu banglo agam itu. Imran kembali menjeling ke skrin telefon bimbit di tangannya. Telefon bimbitnya dilekatkan di telinganya.

“Helo.” Imran memulakan percakapan.

“Helo, assalamualaikum. Imran?” Kedengaran suara seorang perempuan kedengaran menggigil di hujung pendengarannya. Anak muda itu mengerut keningnya antara lupa dan ingat.

“Ya! Imran bercakap,” jawab anak muda itu pantas.

“Siapa ni?” tambah anak muda itu lagi.

“Nek muda. Nek muda ni. Kamu… Kamu tak ingat ke?” Kedengaran suara tidak berpuas hati dengan pertanyaan anak muda itu. Imran mengerut keningnya. Siapa nek muda ni? Soalan itu berlegar-legar. Sukar memikirkan apa yang orang lain tak nampak.

“Nek muda?”

“Ya! Ya, nek muda isteri tok muda kamu. Kamu lupa?” Soal suara wanita di pendengaran sebelum sempat Imran menjawab. Sejenak Imran termenung, cuba mencari sesuatu yang mungkin mempunyai petanda untuk mengingatkannya.

“Tok muda di Kampung Jawa,” beritahu suara itu bergema di gegendang telinga. Imran menepuk perlahan dahinya.

“Oh… Ya… Ya, nek muda. Ya, saya minta maaf. Nek muda apa khabar?” Pantas soalan itu keluar dari bibir Imran. Hampir setahun wajah nek muda dan tok muda tak dipandangnya. Tok muda adik tengah arwah atok dan neneknya. Oh ya, baru dia ingat sepenuhnya.

“Nek muda baik. Baik belaka adanya. Kamu tu, sejak kepergian mak dan abah kamu, kenapa sampai sekarang kamu tak datang jumpa tok muda kamu? Kenapa?” tambah nek muda panjang lebar.

“Saya sibuk sikit sejak dua menjak kat sini. Saya jarang ke mana-mana, nek muda,” balas Imran memberi alasan pada pertanyaan orang tua itu.

“Nek muda nak kamu datang segera ke rumah nek muda.” Semakin menggigil kedengaran suara itu.

“Kenapa, Nek Muda?” Soal anak muda itu pantas.

“Dengar baik-baik. Kamu datang juga!” balas orang tua itu tanpa menghiraukan pertanyaan nek muda.

“Tok muda kamu dah lama tunggu kamu datang,” tambah orang tua itu dalam nada bergetar.

“Tok muda… Tok muda tunggu saya?”

“Ya, kamu kena datang. Kamu tak sayangkan tok muda kamu?” Pertanyaan orang tua itu buat dada Imran berdegup kencang. Kenapa pelik benar percakapan orang tua itu?

“Tolong datang juga malam ni. Kamu kena datang.” Permintaan dan arahan daripada isteri tok mudanya.

“Malam ni?”

“Ya! Malam ni!” balas nek muda semakin menampakkan nada tegas dan mengarah.

Imran menjeling jam di dinding biliknya. Jarum jam telah menunjukkan tepat jam 12 tengah malam. Allahuakbar! bisik hati Imran pantas.

“Kamu kena datang malam ni juga!” ujar orang tua itu berulang-ulang.

“Ya, ya, nek muda, saya akan datang,” jawab Imran dengan bersegera. Kedengaran bunyi orang tua itu meletak gagang. Imran terpaku sejenak. Satu keluhan berat keluar dari dada anak muda itu. Tanpa berlengah, Imran menyarungkan seluar jean dan kemeja T lantas kemudian bergegas mencapai kunci pacuan empat rodanya. Imran bergegas menuruni anak tangga dan Imran memanjangkan langkah ke bilik Mak Nang. Pintu bilik Mak Nang diketuk berkali-kali. Orang tua itu terjongol hanya beberapa kali pintu diketuk.

“Kenapa, Encik Imran?” soal Mak Nang pantas.

“Saya nak ke Klang, Mak Nang.”

“Ke Klang? Buat apa sampai jauh-jauh malam begini?” soal Mak Nang dengan mata terjegil merenung anak muda itu.

“Kenapa tak boleh tunggu sampai besok pagi aje nak? Risau Mak Nang,” ujar Mak Nang sambil mengerut keningnya.

“Saya kena pergi juga malam ni, Mak Nang. Mak Nang jangan risau, bukan jauh sangat, di Klang aje pun, Mak Nang,” ujar Imran menerangkan agar Mak Nang faham apa yang ingin diperkatakannya.

“Yalah-yalah, Encik Imran,” ujar Mak Nang segera.

“Mak Nang jangan tunggu saya, saya dah bawa kunci ni,” ucap anak muda itu sebelum melangkah panjang untuk keluar. Mak Nang mengekori Imran ke pintu dan berdiri memerhati Imran yang tergesa-gesa menyarungkan kasutnya. Imran itu mengangkat tangan ke arah Mak Nang.

“Kunci pintu baik-baik, Mak Nang. Mana tahu kalau-kalau saya balik lambat nanti,” ujar Imran lagi. Mak Nang mengangguk-angguk.

“Yalah, nak. Baik-baik memandu,” pesan orang tua itu seperti pesanan arwah mak Imran sewaktu hayatnya setiap kali dia ingin keluar rumah. Imran tersenyum dan mengangguk-angguk. Anak muda itu terus menghenyakkan punggungnya sebaik sahaja daun pintu kereta ditarik. Hanya beberapa minit kenderaan yang dipandu anak muda itu terus membelah malam.

Bermacam-macam bermain di benak Imran. Apa yang berlaku pada datuk saudaranya itu? Nek muda isteri ke empat tok muda. Ketiga-tiga isteri tua diceraikan serentak selepas tujuh hari pernikahan tok muda dan nek muda. Apa ilmu yang dipakai nek muda? Itu yang diperkatakan orang kampung ketika itu. Dia masih ingat, cerita arwah ayahnya selepas dibawa dan diperkenalkan dengan orang tua itu enam tahun yang lalu. Menurut arwah ayahnya, sampai saat ini, tidak ada seorangpun yang boleh menjawab persoalan itu. Tok muda tidak pernah mendapat anak.

Kata arwah ayah, tok muda seorang yang mandul. Kerana itu, perkahwinan dengan keempat-empat isteripun, mereka tidak mendapat anak. Barangkali alasan itu, tok muda begitu baik dengan arwah ayah Imran, anak saudaranya. Imran tiba-tiba menggeleng kepala. Entahlah! Tiba-tiba ucapan itu menggetus di bibirnya. Tak perlu difikirkan cerita lama. Apa yang perlu difikirkan sekarang kenapa dia diminta ke rumah tok muda? Kenapa? getus benak Imran. Imran menarik nafas kemudian dilepasnya semula. Imran kembali memberi perhatian pada pemanduannya sambil berdoa agar tidak ada apa yang bakal memberi masalah dengan pertemuan itu. Imran memandu perlahan memasuki lorong ke rumah tok muda.

Di sekitar jalan utama sudah kelihatan banyak perubahan. Sudah terdapat taman perumahan kos sederhana. Kedai-kedai makan juga kelihatan dibuka orang. Dulu di kawasan ini hanya warung-warung kecil itupun dikuasai warga asing. Imran memandu lagi sambil menyusur jalan kecil menuju ke rumah pasangan orang tua itu. Sebaik Imran tiba, kawasan rumah kelihatan suram. Cahaya hanya nampak kelip-kelip. Kenapa nek muda tak buka lampu? Atau kerana elektrik sudah dipotong? Atau mereka sebenarnya tidak ada di rumah? Habis? Kenapa mereka suruh dia datang? Imran diam sejenak di dalam kenderaan sambil matanya memberi perhatian pada rumah usang itu.

Beberapa minit kemudian, Imran mematikan enjin kenderaannya dan terus menolak daun pintu keretanya. Anak muda itu keluar dari kenderaan dan berdiri memandang sekeliling. Sunyi. Malah bunyi ranting jatuhpun dia mampu dengar. Perasaannya mula rasa tidak selesa. Seperti ada sesuatu yang berlaku. Atau panggilan itu bukan daripada nek muda. Tengkuknya meremang. Mana mungkin dia berdiri menunggu. Dia perlu keluar dari situ. Tangannya kembali menarik daun pintu. Dup! Terasa satu tangan di atas bahunya. Dengan pantas Imran menoleh. Matanya membeliak memandang ke kanan. Bibirnya terkunci.

MAK NANG kembali menarik daun pintu lantas menguncinya semula. Seperti selalu sebaik sahaja majikannya itu keluar, dia akan cepat-cepat memastikan semua pintu terkunci rapi. Dunia hari ini, ramainya manusia mencari peluang tanpa memikirkan orang lain. Orang sanggup melakukan pembunuhan untuk memenuhi kehendak naluri. Inginkan wang tanpa perlu bekerja. Ada peluang merompak, mereka akan merompak. Ada peluang meragut, mereka akan meragut. Jadi, kena sentiasa beringat-ingat. Selalu kunci rumah, jangan sesekali buat-buat lupa. Itu yang selalu diungkap oleh Imran pada Mak Nang. Setiap kali pesanan-pesanan itu diajukan, orang tua itu akan mengangguk-angguk mengiakan setiap yang diperkatakan majikannya itu.

Mak Nang merenung sekali lagi pada tombol penyelak. Ya! Dah jelas, dia telahpun mengunci pintu itu. Berlenggang-lenggang Mak Nang masuk ke biliknya. Sesekali Mak Nang tersenyum mengenangkan wajah majikan mudanya itu. Anak muda itu kadangkala suka menunjukkan wajah cemasnya setiap kali bercerita tentang jenayah-jenayah yang berlaku di sekeliling. Sebab itu, anak muda itu sering menghabiskan masa di rumah daripada di luar. Kalaupun keluar, jarang benar anak muda itu pulang melangkaui jam 12 tengah malam. Itu yang buat Mak Nang suka berkhidmat di rumah anak muda itu. Jauh sangat sikapnya berbanding dengan anak-anak muda lain yang pernah dikenal Mak Nang, walaupun berkedudukan baik dan memiliki jawatan yang baik itu. Namun Imran sangat berbeza karakter dan cara hidup. Dan dia bersyukur ditakdirkan bekerja dengan Imran sejak kedua-dua ibu bapa majikannya masih hidup.

Mak Nang mengeluh ringan. Dia bergegas ke biliknya dan kembali memulakan kerja-kerja melipat pakaian masih banyak yang belum selesai. Berbakul-bakul pakaian milik anak muda majikannya itu perlu dilipat dan separuhnya disangkut. Imran lebih suka pakaian disangkut berbanding dilipat. Anak muda itu tidak cerewet soal pakaian tetapi dia cerewet tentang keadaan rumah, aroma dalam rumah. Majikannya itu suka kepada haruman. Itu yang Mak Nang faham tentang majikannya itu malah cukup arif dengan cita rasa Imran.

Hampir setengah jam Mak Nang bersama bakul-bakul pakaian, selesai semua melipat dan menyangkut pakaian, Mak Nang bangkit untuk membawanya ke bilik majikannya itu. Semua pakaian yang telah berlipat dimasukkan ke dalam bakul untuk dibawa ke bilik pakaian Imran. Namun ketika dia melangkah kakinya untuk keluar dari biliknya, tiba-tiba telinganya tertancap satu bunyi pelik menderum memecah malam. Semakin lama semakin kuat dan mendekat. Langkah Mak Nang terhenti. Wajahnya berkerut. Dia berdiri menyendeng telinganya, mencerap bunyi aneh yang tiba-tiba muncul itu. Namun bunyi itu tetap asing dan anih tetap berlegar di pendengarannya. Mak Nang mengundur beberapa langkah, kemudian mendekati tingkap. Langsir diselaknya perlahan dan mengintainya ke luar tingkap. Mata Mak Nang terbeliak melihat ke arah pokok-pokok di halaman rumah, bukit dan rumah-rumah jiran mereka. Bahana apa yang melanda ni? jerit hati Mak Nang. Mak Nang menggigil. Lututnya seperti tertanggal. Sepanjang lima puluh enam tahun usianya, inilah saat yang paling menakutkan. Suasana kelihatan ganas. Semakin lama Mak Nang berdiri melihatnya, semakin Mak Nang menggigil.

Akhirnya Mak Nang gagahkan kakinya Menapak ke katil. Dengan pantas tangannya menarik selimut lantas membungkus badannya kemudian merebahkan badannya ke lantai. Rumah itu terasa seperti buaian. Terayun ke kiri dan ke kanan. Dentuman kedengaran kuat menggegarkan dada. Mak Nang menekap kedua-dua belah telinga dengan pasrah. Bunyi ngeri kedengaran begitu kuat. Dia menyerahkan segalanya pada Tuhan. Mak Nang cuba mencuri pandang di sebalik selimut tebal, melihat keadaan sekeliling. Namun belum sempat melihat keadaan sekelilingnya Mak Nang kembali memejamkan matanya. Tidak ada apa lagi yang tinggal kecuali ketakutan.

Ya Allah, baru beberapa jam, Imran memandu ke Klang, keadaan ini berlaku. Bagaimana keadaan majikannya di jalanan? Atau kereta Imran turut terjunam ke dalam rekahan-rekahan jalan sebagai mana yang dia saksikan melalui tingkap tadi. Atau rumah tok muda ranap ke bumi sebagai mana rumah-rumah jiran yang dilihat tadi? Peluh membasahi wajah wajah Mak Nang. Suhu pendingin hawa telah diletakkan pada bacaan 17 darjah Celsius semasa dia masuk ke bilik tadi. Tetapi kenapa saat ini, dia terasa bahang hangat. Ya Allah, apa sebenarnya berlaku ini, Ya Allah, bisik Mak Nang di bawah selimut. Selamatkanlah hamba-Mu ini, Ya Allah.

Ketukan bertalu-talu tiba-tiba kedengaran di luar bilik. Mak Nang tersentak. Dia memberi tumpuan pada bunyi yang muncul. Bunyi itu semakin lama, semakin kuat. Mak Nang membuka matanya perlahan. Dia gagahkan diri untuk bangun dan berdiri sejenak. Kemudian Mak Nang memulas tombol pintu. Ditariknya perlahan dan penuh hati-hati. Allahuakbar… Kata-kata itu terlontar dari bibirnya. Imran berdiri memandang ke arah Mak Nang dengan wajah berkerut.

“Mak Nang? Kenapa tak kunci pintu? Kan saya dah pesan tadi supaya mengunci pintu. Bahaya, Mak Nang,” ujar Imran dengan wajah serius. Mengerut dahi Mak Nang mendengar pertanyaan majikannya itu. Bukankah dia telah menguncinya semula tadi? Wajah Imran direnungnya tidak berkelip.

“Mak Nang dengar tak apa yang saya cakap?” soal Imran lagi.

“Ya! Ya! Mak Nang dengar nak,” balas Mak Nang sambil mengangguk-angguk seperti belatuk.

“Mak Nang… Mak Nang selalu lupa, apa yang saya pesan. Tapi bila saya tanya, selalu Mak Nang cakap, faham, faham,” tambah Imrah seakan-akan tidak berpuas dengan jawapan Mak Nang.

Wajah Imran semakin serius. Wajah itu tidak kelihatan seperti hari-hari lepas. Hari ini wajah Imran tidak setenang biasa. Namun pertanyaan itu hanya tersimpan dalam dadanya. Sebaliknya wajah Imran direnungnya dari kepala sampai ke kaki. Wajah itu seperti orang sedang mengalami tekanan perasaan buat Mak Nang tidak boleh menunggu lebih lama. Ada sesuatu yang ingin ditanya pada Imran.

“Kenapa Mak Nang pandang saya macam ni?” soal Imran yang kembali menapak.

“Tak… Tak ada apa-apa.” balas Mak Nang lagi.

“Encik… Encik tak apa-apa?” tanya Mak Nang dengan wajah pucat dan menggigil tanpa menjawab pertanyaan majikannya itu.

“Mak Nang pula yang tanya saya. Mak Nang tu kenapa? Selalu Mak Nang yang pesan-pesan pada saya,” balas Imran dengan wajah serius. Mak Nang menggaru-menggaru kepala.

“Encik Imran, selepas Encik Imran keluar tadi. Ribut kuat sungguh! Semua pokok tumbang. Rumah-rumah jiran kita pecah Mak Nang tengok. Dan…”

“Dan apa lagi, Mak Nang? Isy… Mak Nang ni. Saya tak marahpun Mak Nang terlupa tapi lalai Mak Nang tu bahawa bahaya. Mak Nang tahu, kan?” balas Imran sambil tertawa kecil.

“Ya Allah… Sumpah! Mak Nang tengok, jalan raya merekah,” beritahu Mak Nang sungguh-sungguh meyakinkan majikannya. Semuanya berlaku betul-betul di depan matanya. Malah rasa takut masih ada dalam dadanya.

“Ya ke, Mak Nang? Saya tak kena hujan atau ributpun tadi,” ujar majikannya itu dengan senyum di bibirnya. Mak Nang menggaru-gatu kepala. Kecewa ceritanya dipandang acuh tak acuh, sedangkan dia melalui peristiwa ngeri itu dengan penuh ketakutan.

“Kenapa dengan Mak Nang ni? Mak Nang tak sihat ke? Atau Mak Nang ni mengigau? Dah pukul 3 pagi. Pergilah Mak Nang sambung tidur. Saya pun nak naik tidur ni, letih sangat,” beritahu Imran sambil memanjat anak tangga. Mak Nang terkebil-kebil memandang Imran. Kenapa Imran susah sangat nak percaya cerita-ceritanya? getus hati Mak Nang. Mak Nang mengeluh. Mak Nang mengekori langkah majikannya hingga majikannya itu hilang di sebalik pintu. Mak Nang kembali menarik daun pintu biliknya. Kemudian dengan langkah teragak-agak, dia mendekati tingkap. Ditariknya daun langsir dan memandang ke arah pokok-pokok. Semuanya tidak terjejas. Dipandangnya ke pangkal pokok-pokok, kalau-kalau ada daun-daun muda yang gugur dipukul ribut yang begitu kuat yang Mak Nang saksikan tadi. Tidak ada sedikitpun daun-daun atau ranting di pangkal kesan ribut melanda. Mak Nang mengalih ke arah bukit, bukit itu juga masih berdiri teguh. Lantas pandangan menghala ke rumah-rumah jiran, masih berdiri dan kelihatan lampu yang menyala akhirnya pandangan Mak Nang ditumpukan pada jalan raya. Dahi Mak Nang berkerut. Ya! Apa yang telah terjadi sebenarnya? Persoalan itu tertinggal di benak Mak Nang. Kelihatan beberapa kenderaan sedang bergerak di atas jalan raya. Tidak ada satu rekahan pun kelihatan di permukaan jalan raya. Mak Nang mengerut keningnya lagi sambil memicit dahi. Atau aku yang bermimpi? getus benak Mak Nang.

“Ya! Aku bermimpi!” Kata-kata itu meletus dari bibir Mak Nang. Mak Nang menoleh ke katilnya, selimut tebalnya kemas di katil dan bilik terasa kembali dingin. Mak Nang melabuhkan punggungnya di atas katil lantas menarik di hujung kaki. Dengan perlahan dia merebah badannya. Selimut yang ditarik menutupi wajahnya. Mak Nang berkira-kira untuk cepat melelapkan mata, namun matanya tetap tidak dapat dilelapkan. Peristiwa yang dilalui tadi kembali bermain di benaknya. Apa itu mimpi sebenar? Atau?

“Atau apa?” Suara bergema di benaknya.

Mak Nang membuka matanya, melirik sekeliling. Tidak dada satu pun kecuali kelam dan gelap. Mak Nang kembali memejamkan matanya. Ya Allah… Mata, tidurlah, getus Mak Nang dalam hatinya.

“Ya, tidurlah…” Satu bisikan kedengaran di hujung telinganya. Jantung Mak Nang berdegup tiba-tiba. Mak Nang menahan nafas. Hembusan nafas seseorang terasa dekat dengan pipi kiri Mak Nang. Selepas beberapa saat, terasa bahunya ditepuk-tepuk. Seperti seorang ibu menepuk bahu untuk menidurkan anak. Bisikan itu bertukar kepada bunyi syair halus dan mendayu-dayu memenuhi ruang bilik tidur Mak Nang. Syair itu silih berganti dengan ketawa bergema. Nafas Mak Nang terhenti. Mak Nang cuba membuka matanya, namun kelopak matanya berat. Dia juga cuba bangkit. Seluruh anggotanya juga berat dan sejuk. Bibir Mak Nang berkumat-kamit berusaha membaca ayat-ayat suci al-Quran yang diingatnya. Namun dia langsung tidak mampu berbuat demikian. Syair itu kedengaran dan kedengaran lagi. Syair itu meresap dalam dadanya. Syair itu menjadi indah dalam pendengaran Mak Nang. Dan bibir Mak Nang tersenyum.

“Mak Nang… Mak Nang…” Kedengaran satu suara memanggil berdesis di telinga Mak Nang. Suara halus itu silih berganti dengan syair indah itu. Akhirnya Mak Nang membuka matanya. Ada sesuatu yang berdiri di depannya. Mak Nang terbungkam. Bibirnya menggigil-gigil. Lututnya terasa longgar.

DADA Imran bergegup kencang. Dia berpusing menghadap ke arah susuk tubuh perempuan yang berdiri betul-betul di hadapannya. Perempuan itu menguak rambut yang berjuntai menutup sebahagian wajahnya. Jelas kelihatan sepasang mata yang hitam legam merenungnya diiringi senyum melebar. Bibir yang merah menyala itu terjuih sedikit. Imran mengurut dadanya.

“Nek muda suruh naik.” Berdesir suara itu memecah kesunyian malam. Bibir Imran seperti terkunci.

“Mari ikut!” ujar susuk tubuh tinggi lampai dalam pakaian berwarna kusam itu. Susuk tubuh itu berjalan mendahului Imran menuju ke arah anak tangga rumah kayu usang itu. Imran menolak dengan tangan kiri pintu kereta kemudian menapak perlahan membuntuti susuk tubuh di hadapannya. Ketika susuk tubuh itu menapak anak tangga, pandangannya tertancap pada betis seputih susu membuatkan matanya sukar beralih ke arah lain. Pandangannya terus ke arah susuk tubuh itu sehingga susuk tubuh itu hilang di dalam rumah nek muda. Imran tersentak. Dia meraup wajahnya dalam debar. Imran menongkah anak tangga dan menapak masuk ke dalam rumah itu. Kelihatan seorang wanita tua terbongkok di sebelah lelaki yang terbaring di atas tilam kekabu. Ketika mendengar tapak kakinya mendekati, wanita tua itu menoleh.

“Im… Imran. Du… duklah, cu…” ucap wanita tua itu terketar-ketar. Imran yakin itulah nek muda. Imran mendekati lantas duduk di sebelah wanita itu. Dan dengan wajah berkerut, Imran merenung sejenak wajah itu. Ya Allah! bisik Imran dalam hati. Beberapa tahun tak jumpa, nek muda semuda ini? Hanya suaranya kedengaran tua dan badannya kelihatan bongkok sedikit, tetapi wajahnya mengalahkan wanita tiga puluhan. Imran menoleh ke wajah tok muda yang terbaring. Kurus kering hanya tinggal kulit membalut tulang. Bergetar hati Imran melihat keadaan tok muda. Kesiannya orang tua ini, getus hati Imran. Imran mengangkat wajah dan melilau sekeliling. Ingatannya tercari-cari susuk tubuh tinggi lampai dengan rambut panjang paras melepasi punggung dan kulit berwarna putih susu. Siapa susuk tubuh itu? Anak angkat nek muda dan tok muda? Atau cucu angkat?

“Kami berdua di sini…” ujar nek muda seakan-akan mendengar percakapan hati Imran. Imran mengetap bibir dan mengalih pandangan pada wajah nek muda. Nek muda tersenyum. Terjongket hujung bibir nek muda sambil matanya menjeling ke arah Imran. Imran membiarkannya. Renungan nek muda tidak memberi apa-apa kecuali hairan dengan lagak muda nek muda di depannya.

“Bagaimana keadaan tok ni, nek?” soal Imran sambil mengalih renungan ke wajah tok muda. Berkerut wajah Imran, sesekali terhidu bau yang tidak menyenangkan daripada sekujur badan tok muda. Barangkali sudah lama orang tua ini sakit, bisik hati Imran lagi. Siapa yang mandikan tok muda?

“Sudah empat tahun tok kamu ni terlantar macam ni. Hari-hari nek muda mandikan,” beritahu nek muda. Sekali lagi Imran tersentak. Wajah Nek Muda direnung kembali. Kemudian mengarah semula pandangan ke wajah tok muda. Lelaki itu tetap memejamkan matanya.

“Dia tak nak bercakap. Dia tahu nak makan dan nak minum saja.” Tiba-tiba suara nek muda berubah nadanya berbeza ketika dia mula-mula masuk ke rumah itu. Suara nek muda kedengaran menggigil-gigil bertukar menjadi suara seusia wajahnya. Dada Imran berdebar-debar. Imran merenung wajah cengkung dan tubuh yang kurus melengking hingga hampir senipis tilam kekabu tempat perbaringan tok muda itu. Dengan teragak-agak dia menyentuh lengan yang berjulur sedikit di bawah selimut. Seperti ada sesuatu yang bergerak-gerak di bawah kulit tua itu. Cepat-cepat Imran menarik tangannya. Nek muda tiba-tiba bangun.

“Cucu duduk dulu, ya? Nenek nak ke dapur sekejap,” beritahu nek muda.

“Nek, kalau nek nak buat air untuk saya, tak payahlah. Saya dah minum di rumah,” beritahu Imran. Dia ingin segera beredar dari rumah itu. Dia ingin menziarahi tok muda, itupun kerana diminta nek muda.

“Hah? Tak sudi minum air nenek, ya?” balas nek muda sambil mengilai. Nyaring kedengarannya sehingga naik meremang Imran dibuatnya.

“Bu… Bukan macam tu, nek. Saya dah kenyang sangat. Baru lepas makan terus datang ke sini.” Imran berbohong. Dia hanya menjamah makanan pada jam enam petang tadi, itupun dipaksa oleh Mak Nang. Hari ini memang dia tidak lalu menjamah makanan. Dia sendiri tidak tahu kenapa jadi demikian. Nek muda hilang ke dapur. Dari dapur kedengaran ilai tawa nyaring buat Imran curiga pada wanita tua itu. Atau mungkin nek muda bergurau dengan gadis tadi? Tetapi, nek muda baru saja memberitahu, nek muda hanya berdua dengan tok muda di rumah itu. Pertanyaan itu bermain di benak Imran. Imran mengalih perhatian pada lelaki tua di depannya itu.

“Tok… Tok… Ni saya datang tok, kata tok nak jumpa saya,” ujar Imran separuh berbisik. Lelaki tua itu masih tidak bergerak. Membuka matapun tidak. Imran memerhati dada di bawah selimut. Mana tahu lelaki itu tidak bernafas lagi. Bisikan itu bergema dalam dadanya.

“Tok, kalau tok tak nak buka mata, saya nak balik ni,” bisik Imran. Namun tidak ada sebarang tindak balas daripada orang tua itu. Imran menarik nafas kemudian dilepasnya kembali. Apa makna kehadirannya malam-malam buta begini, jika orang yang ingin ditemui seakan-akan tidak mahu bercakap dengannya, getus imran dalam hati.

Imran bangkit dari duduknya. Belum sempat berdiri, tiba-tiba tangannya disentap dengan kuat. Imran tersentak dan terduduk. Tenaga tok muda yang terlantar itu sekuat ini? desis hati Imran dalam debar. Imran menarik kembali tangannya daripada cengkaman tangan kurus orang tua itu.

“A… Aku dah lama tunggu kamu datang.” Suara parau tok muda tiba-tiba memecah kesepian. Imran tersentak. Jantungnya berdegup. Perlahan Imran kembali merapat punggungnya di lantai. Imrann sekali tunduk menunggu kata-kata daripada orang tua itu. Wajah cengkung orang tua itu direnungnya. Apa yang ingin diperkatakan tok muda?

Dia sudah tidak selesa dan sabar berlama di bawah pelita minyak tanah yang hanya mampu menerangi ruang mereka berdua. Sedangkan di bahagian lainnya kelihatan gelap. Seperti berada di gua. Imran tidak biasa dengan suasana gua itu. Dia dibesarkan dengan lampu menggunakan tenaga elektrik. Pernah berpengalaman di bawah pelita menggunakan minyak tanah, ketika pulang di kampung arwah ayahnya di Johor, itupun sekali-sekala ketika terputus elektrik. Aduh… keluh Imran dalam hati.

“Kenapa lambat sangat kamu datang?” Tiba-tiba suara tok muda mendesir di telinga Imran.

“Ya… Ya… Saya datang nak jumpa tok la ni. Kenapa, tok?” jawab Imran disusuli soalan. Tangan kirinya mengelus-elus lengan kanan kesan cengkaman tangan tok muda itu. Orang tua itu terdiam. Kedengaran tapak kaki mendekati mereka.

“Cu, minum ni.” Suara nek muda dalam nada mengarah sambil meletak segelas minuman di sebelah Imran. Imran menjeling. Kelihatan minuman berwarna merah pekat dalam gelas kaca. Sirap, bisik hati Imran tak semena-mena.

“Kanda! Kanda suruh dia datang. Kanda tak nak bercakap?” Kasar suara nek muda sambil membongkok memandang wajah tok muda yang berbaring. Tok muda sedikitpun tidak menjawab.

“Kanda! Cakaplah! Nanti dinda suruh dia balik.” Semakin kasar nek muda bersuara. Terbeliak Imran mendengar nada percakapan nek muda terhadap tok muda. Seperti berada pada zaman bangsawan. Namun lelaki tua itu tetap terdiam. Matanya dipejam rapat-rapat. Tidak langsung dilayannya percakapan nek muda. Imran mula rasa tak sedap hati. Perasaan cemas bercampur baur dengan curiga. Dia merenung jam di pergelangan tangannya, dalam samar dia melihat jarum panjang ke angka dua belas sementara jarum pendek ke angka dua. Sudah lama dia berada di rumah itu. Nek muda bangun dan kembali masuk ke sebuah bilik di depan mereka. Imran berkira-kira dalam hati, kalau begini keadaannya, dia perlu berbuat sesuatu. Keluar dari rumah orang tua ini dan datang semula esok pagi. Siang lebih senang ceritanya, bisik hati Imran mengeluarkan kunci pacuan empat rodanya dan bersedia untuk bergegas keluar.

“Kau duduk dulu!” Tiba-tiba suara garau tok muda sekali lagi kedengaran. Kali ini lebih kasar dan garau daripada sebelumnya. Dada Imran bergetar aneh.

“Ya! Ya, tok!” Cepat-cepat Imran menjawabnya.

Nek Muda tiba-tiba keluar dari bilik dengan sebuah kotak usang di tangannya. Kotak itu diletak kasar di hadapan tok muda.

“Nah! Bu… Buka mata, kanda! Ambillah tu. Dia dah nak balik.” Cara nek muda bercakap seakan-akan Imran itu orang asing pada mereka. Tiba-tiba tok muda menjulurkan tangannya dan menarik penyelak kecil pada penutup kotak itu. Berdebar-debar dada Imran melihatnya. Apa sebenarnya yang ingin ditunjukkan oleh kedua-dua orang tua itu. Imran merenung wajah nek muda. Wanita itu tersenyum panjang membalas renungannya. Jemari tok muda terketar-ketar mengeluarkan sesuatu dari dalam kotak usang itu. Imran memandang pada kotak dan sesuatu yang dikeluarkan. Tiba-tiba satu aroma aneh meresap ke rongga hidungnya. Hanyir dan bau kemenyan silih berganti. Imran menutup hidungnya dengan tangan sambil menoleh ke arah nek muda. Nek muda ketawa nyaring.

“Biar dinda yang cakap pada dia,” beritahu nek muda dan menarik kasar dari tangan tok muda. Tok muda terkial-kial ingin mencapai dari tangan nek muda.

“Dinda tahu semua! Dinda tolong kanda beritahu. Kanda tidurlah! Kanda kena rehat,” ujar nek muda lagi. Imran kebingungan. Apa semua ini? Kenapa dengan tok muda? Siapa pula nek muda sebenar? Pertanyaan-pertanyaan itu tidak terjawab.

“Ke sini kamu!” arah Nek muda dengan suara lantang. Imran menonong ikut suruhan nek muda. Sehelai kain panjang berwarna merah gelap kecoklatan dikeluarkan nek muda. Sambil tersenyum-senyum manja, nek muda melurut-lurut kain itu berkali-kali. Matanya melirik ke arah Imran. Imran terkaku.

“Kain ini, bukan kain sembarangan. Kain ini kain daripada keturunan pertama kamu. Betul kan, kanda?” Tok muda tidak menjawab. Nek muda tertawa lagi.

“Kamu jaga baik-baik. Dia pendamping kamu. Dia akan bersama-sama kamu. Susah senang kamu. Seperti dia bersama kami. Susah senang kami.” Lontar suara nek muda buat jantung Imran berdegup. Imran terkaku.

“Dia akan ikut kamu, ikut laut. Ikut udara. Ikut darat. Dengan syarat.” Nek muda terhenti bercakap sejenak.

“Kanda cakap? Atau dinda?” soal nek muda merenung tajam ke wajah tok muda.

“Tak… Tak perlu beritahu saya nek, tok. Saya tak berminat nak simpan benda ni,” beritahu Imran tiba-tiba sebelum sempat Tok Muda menjawabnya. Tok muda yang terbaring tiba-tiba terbangkit. Nek muda terbeliak memandang tok muda. Kain di tangannya terlepas. Sepantas kilat tok muda menyambarnya.

“Ka… Kamu kena ambil. Kena ambil! Hak kamu. Aku tak larat nak dukung dia!” Dukung? Apa maksud tok muda? Imran merenung wajah lelaki tua itu. Seluruh badannya menggigil.

“Kamu bagi dia makan. Kamu perasap dengan kemenyan pada setiap malam Selasa. Dan… Dan setiap purnama lima belas, ketika bulan penuh. Kamu keluarkan dan embunkan sehingga sebelum subuh.” Suara nek muda silih berganti dengan suara tok muda. Kain itu dimasukkan semula ke dalam kotak dan dihulurkan pada Imran. Seperti ditolak-tolak, tangan Imran terus mencapai.

“Ya, ya, tok. Saya terima,” desis bibir Imran tanpa sedar. Imran pantas menyentuh bibirnya. Nek muda mengilai mendengar kata-kata Imran. Suara itu memecah kesunyian malam di hujung kampung itu. Tok muda merebah badannya semula.

“Tok… Saya mintak diri. Saya mintak maaf, tok,” ucap Imran perlahan.

“Boleh! Kamu boleh balik. Tapi sebelum balik, kamu tolong panjat dan buang atap tu,” perintah nek muda. Seperti terpukau Imran bangun untuk memanjat tangga. Kelihatan tok muda gelisah dan membunyikan suara berderam garau dan kuat. Imran cemas melihat reaksi tok muda. Dia bersiap sedia apa saja yang bakal terjadi. Paling tidak bersedia untuk menyelamatkan diri daripada orang tua yang mula kelihatan aneh dan menakutkan itu. Imran menarik nafas dan melepaskannya semula cuba mengurangkan rasa cemas dan takut. Tok muda menggapai-gapai tangan seakan-akan melarang Imran berbuat demikian.

“Kenapa jangan pula, kanda? Biarlah! Cepat, cu! Kamu naik dan buangkan sekeping atap.” Tanpa berfikir panjang, Imran terus memanjat. Dia ingin segera selesai dan segera meninggalkan rumah itu. Seperti yang diarah nek muda, Imran terus mencabut sekeping zink betul-betul setentang dengan tempat perbaringan tok muda. Kemudian dengan pantas dia kembali turun. Imran mencapai kotak yang berisi kain itu dan berdiri sejenak. Wajah tok muda direnungnya. Pandangannya sukar dialihkan. Ada sesuatu yang berlaku pada wajah itu. Wajah tok muda bertukar perlahan-lahan. Kulit muka semakin masuk ke dalam tulang-tulang dan rahang pipi. Gigi mula kelihatan menyeringai. Beberapa ekor ulat tiba-tiba muncul dari lohong-lohong pipi. Dari seekor hingga dua ekor. Seterusnya seperti berebut-rebut untuk keluar ke permukaan. Ulat-ulat itu merayap dan meratah tubuh tok muda. Lama-kelamaan sekujur jasad tok muda kelihatan bergerak-gerak. Lutut Imran menggigil. Imran memegang kedua-dua belah pipinya dengan kedua-dua tangannya. Bau mula membusuk membuatkan tekaknya meloya. Nek muda ketawa nyaring.

“Minum air!”

“Terima kasih, nek,” balas Imran tanpa menyentuh pun gelas minuman di atas dulang di hadapannya itu. Imran gelisah. Nek muda seakan-akan mengerti melihat wajah Imran.

“Kamu pergi balik. Ulat-ulat tu biar aku yang selesaikan. Kau balik!” jerit nek muda disusuli ketawa panjang. Imran memandang wajah nek muda sekilas kemudian menapak. Sebelum melangkah bendul, nek muda menghulur kotak usang. Dan seperti dipukau, Imran terus mencapainya. Seperti dikejar, Imran memanjangkan langkah menuruni anak tangga menuju ke kenderaannya. Tanpa menghiraukan dan menoleh, Imran menarik daun pintu kenderaannya dan melompat masuk kemudian menarik dengan kuat. Berdentum bunyi daun pintu memecah suasana sepi di halaman rumah milik nek muda itu. Enjin dihidupkan. Kenderaan mula bergerak. Tiba-tiba kedengaran pintu belakang kenderaannya ditutup. Imran tidak menghiraukan siapa yang masuk ke dalam kenderaannya. Apa yang penting, dia ingin segera meninggalkan kawasan itu. Sebaik masuk jalan utama, Imran menekan pedal minyak dan kenderaan yang dipandunya meluncur laju membelah malam. Jalan raya kelihatan lengang. Sepanjang memandu pulang rasa kesal menyelinap ke dalam benaknya. Kenapa dia perlu pergi pada waktu malam.

“Ya Allah! Kenapa dengan aku ni? Bodohnya aku!” jerit Imran memenuhi kenderaan.

Syyy…” Tiba-tiba kedengaran di telinga Imran. Imran tersentak dan menoleh. Namun semuanya kelihatan kelam.

TUJUH Selasa berlalu. Tujuh minggu meninggalkan waktu. Imran terlupa janji-janji pada nek muda dan tok muda. Malah cindai yang dibawa pulang tidak langsung dipedulikan. Tujuh Selasa juga disimpan tanpa dijenguknya. Peristiwa yang dialami di rumah orang tua itupun seakan-akan dilupakan oleh kesibukan tugas Imran di pejabat yang kadangkala terbawa balik ke rumah. Peristiwa itu hanya seperti mimpi. Imran melalui hari-hari seperti biasa adanya. Di pejabat, di rumah dan sekali-sekala keluar bersama teman pejabat dan selepas menghabiskan masa di rumah.

Hidup sebagai anak yatim piatu dan tunggal sememangnya tidak seindah orang lain. Itu yang selalu bermain di minda Imran. Imran mengeluh. Malam ini dia tidak ke mana-mana. Waktu ingin dihabiskan di rumah. Siang tadi dia menghabiskan masa dengan teman lama. Pertemuan dalam penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur menyaksikan pertemuan semula itu. Fairoz teman dari Pantai Timur itu kini telah memegang jawatan kurator di salah sebuah muzium di Malaysia. Tidak disangkanya, lelaki yang menggemari muzik dan bercita-cita untuk memiliki studio muzik sendiri akhirnya bekerja dengan artifak-artifak lama di muzium. Dan percakapan-percakapannya turut menyentuh mengenai fabrik yang dikaitkan dengan unsur-unsur mistik. Fairoz ada menyebut cindai. Imran mengukir senyum sendirian. Berat bibirnya untuk bercerita tentang cindai yang disimpannya. Biarlah! Tak ada kepentingan! getus hati Imran sambil membetulkan pijama tidurnya. Suasana suram malam itu sedikit tidak menyelesakan. Cerita pertemuannya dengan teman lama itu dilupakan. Imran berdiri menghadap alat pendingin hawa.

Suasana terasa pelik berbanding dengan malam-malam sebelumnya. Bilik tidurnya terasa hangat. Imran membuka pijama di badannya. Dia menolak pintu gelangsar dan berdiri di beranda. Bulan seperti menyorok di sebalik awan. Angin yang bertiup menjamah kulitnya tidak langsung memberi kedinginan pada tubuhnya. Peluh mula merenih membasahkan kedua-dua belah pipinya. Berkali-kali Imran mengelus pipinya, namun peluh tetap merenih dan membasahi pipinya. Imran bergegas masuk semula dan bergegas menuruni anak tangga menuju ke dapur. Mak Nang yang baru selesai mengemas dapur sebelum masuk ke biliknya. Seperti selalu pembantu rumahnya itu akan masuk tidur setelah kerja-kerja dapur diselesaikannya. Kedatangan Imran dalam wajah berkerut dan tidak selesa itu mengejutkan Mak Nang. Orang tua itu merenung Imran dengan wajah kehairanan. Imran tidak langsung menegur Mak Nang seperti yang selalu. Seperti ada yang tidak kena pada majikannya itu. Imran Menapak ke peti sejuk lantas menarik daun pintunya mengeluarkan sebalang minuman oren. Dicapainya sebuah muk lantas dituangkan minuman dari balang di tangannya itu. Minuman itu dihirup Imran dengan rakus. Seperti dia ingin habiskan sejumlah dua liter sekali gus agar hangat di dada dan badannya hilang. Namun ternyata sebalang minuman yang baru dihabiskan itu masih tidak mampu melegakan haus Imran.

“Encik Imran? Kenapa, nak?” soal Mak Nang dengan wajah berkerut kehairanan.

“Saya panas, Mak Nang,” jawab Imran pantas. Wajah orang tua itu mula berkerut dan merenung ke arah Imran.

“Mak Nang pula sejuk sampai ke tulang hitam,” ujar Mak Nang sambil menarik baju sejuk yang dipakainya.

“Bersentuh air cuci pinggan pun rasa kebas. Kat bilik pun Mak Nang tutup air cond, nak.” Sekali lagi Imran mendengus mendengar kata-kata Mak Nang. Aku dahlah panas, haus pula sampai nak menggelegak tekak ni, getus hati Imran menahan marahnya pada pembantu rumahnya itu.

“Encik pergi jumpa doktor, mana tahu ada penyakit. Sekarang ni banyak penyakit pelik-pelik, nak,” sambung Mak Nang sambil masih lagi memandang ke arah Imran.

Imran tidak membalas kata-kata Mak Nang. Tangannya sekali lagi menarik daun pintu peti ais. Melilau matanya mencari sebalang lagi minuman. Dia ingin hilangkan haus dan hangat badannya. Pandangannya tertancap pada sebalang lagi minuman. Dengan pantas dicapainya. Balang air dan muk itu dibawa menapak anak tangga menuju ke biliknya di tingkat atas. Tanpa sedikit pun menoleh ke arah Mak Nang yang berdiri memandangnya dengan perasaan curiga. Imran menarik daun pintu, kemudian menghempasnya semula. Dentumannya memecah kesunyian malam. Dia kembali ke beranda kemudian menghenyak punggungnya di atas kerusi rotan di tepi pagar beranda. Tangannya masih memegang balang minuman. Dituangnya ke dalam muk sehingga penuh. Diteguknya tanpa puas sehingga balang berisi air tidak bersisa. Imran menggosok-gosok dadanya. Sebu memenuhi ruang dada. Peluh telah membasahi sebahagian badan yang tidak berbaju. Imran bangkit dan berjalan masuk dengan mengibas-ngibas badannya. Matanya melilau mencari alat pengawal suhu. Ditekannya penunu suhu alat pendingin hawa kepada 16 darjah Celsius. Suhu yang sudah melebihi dingin bilik tidurnya sebelum ini. Imran kemudian menarik kerusi di sebelah meja tulisnya dan terus berteleku di meja. Dia memejamkan matanya memikirkan perasaan hangat luar biasa yang belum pernah dialaminya sebelum ini. Kenapa, ya? bisik hatinya.

Angin dingin tiba-tiba menyentuh tubuhnya. Rasa dingin itu menyentuh lehernya turun ke bahu kemudian terhenti di bahagian belakang. Imran tersentak. Namun rasa dingin itu menenggelamkan rasa terkejutnya. Barangkali suhu daripada alat pendingin hawa telah memenuhi biliknya. Imran tersenyum. Dia bangkit dari kerusi dan berdiri mendepakan tangan untuk menikmati sepenuh rasa dingin itu. Matanya dibuka semula.

Dan seperti diarah-arah kakinya berjalan ke arah almari pakaiannya. Pintu almari dikuaknya. Jemarinya dengan sendiri mencari sesuatu yang terselindung di sebalik pakaian yang tersangkut di dalamnya. Jemarinya mula tersentuh permukaan penutup kotak kayu berwarna coklat kehitaman itu. Lantas dengan perlahan, cangkuk pada penutupnya kotak ditariknya. Penutup itu dikuak. Jemarinya menyentuh fabrik lembut yang berlipat rapi di dalamnya. Dengan cermat dia menariknya keluar. Kain lembut itu terus dibawa ke dada dan dipeluknya erat. Aroma harum mula memenuhi ruang biliknya. Dengan penuh perasaan diciumnya.

Aroma yang belum pernah dinikmatinya malah lebih harum daripada aroma Ferarri Black miliknya. Cindai itu dicium lagi seperti tidak ingin dilepasnya. Imran membawanya ke katil kemudian merebah badannya di atas tilam. Cindai itu didakapnya dan diletakkan di atas wajahnya supaya aroma itu tidak hilang dari deria baunya. Bibir Imran mengukir senyum. Seperti bau bidadari. Gumam Imran seperti hanyut dibawa perasaan. Dielusnya perlahan-lahan, tekstur cindai itu. Cindai itu bertukar menjadi licin, halus dan lurus. Selurus dan sehalus rambut. Imran mengelusnya lagi. Asyik diulik perasaan. Syair mendayu tiba-tiba kedengaran di hujung telinga Imran. Imran seperti terkaku. Suara itu sangat merdu. Siapakah pemilik suara itu? Bidadarikah kamu? Sekali lagi bidadari diungkapnya. Bisikan pertanyaan Imran berulang-ulang. Suara itu mengulitnya. Pipinya terasa dielus lembut. Seperti jemari angin. Syair itu kedengaran lagi. Semakin menambah asyik Imran.

“Sungguh merdu…” Tiba-tiba suaranya berbisik antara dengar dengan tidak di telinganya. Syair itu terhenti. Kemudian bersambung lagi. Imran semakin hanyut dalam asyik.

“Siapa kamu? Aku senang mendengarnya.” Bibir Imran bergumam lagi seperti diarahnya. Soalan tidak berjawab. Suara merdu itu terus kedengaran bersyair. Imran mengelus lagi. Rasa licin itu menyejukkan jemarinya, malah seluruh badannya kini mula merasa dinginnya.

“Aku sangat senang pada kamu,” bisiknya seperti suruh-suruh seseorang. Syair itu tiba-tiba terhenti. Tangan Imran juga terhenti mengelus.

“Aku kenal kamu,” bisik Imran lagi.

“Kita telah lama kenal.” Suara itu seperti deru angin mendesir di telinganya. Suara itu menggetar jiwa Imran.

“Siapa…” Lemah suara Imran dalam khayal. Tidak ada jawapan didengarinya.

“Aku milik kamu. Kamu milik aku.” Suara itu berdesir lagi.

“Kamu kesayanganku, Kangmas,” ujar suara lembut itu lagi. Elusan-elusan lembut tangan Imran terhenti. Imran cuba membuka matanya.

“Sekian lama aku menunggu saat indah ini, Kangmas. Aku rindu sekali sama kamu, Kangmas.” Desir suara penuh kelembutan. Seperti satu magnet, tangan Imran kembali mengelus.

“Aku ingin hidup di sisi kamu.” Kemudian desir suara itu bertukar kembali menjadi syair. Kerongkong Imran rasa tersangkut. Dia tidak mampu berkata-kata.

“Bicaralah sama aku, Kangmas.” Desis suara itu. Imran terkumat-kamit. Dia dipanggil Kangmas. Dalam mata yang masih terpejam, dia seakan-akan melihat susuk tubuh itu terbaring di sisinya. Sejuk dan dingin terasa menghimpit dadanya. Terasa lembut mengelus pipinya. Bibir Imran mengukir senyum. Rasa asyik yang belum pernah dinikmatinya sebelum ini. Tiba-tiba sosok itu bangkit dan berdiri di depannya. Tangan Imran menggapai-gapai seakan-akan masih tidak puas mengelusnya. Susuk tubuh itu hilang dari pandangan Imran. Namun belum nafas Imran bertukar hembusan, susuk tubuh itu berdiri di depannya dengan segelas minuman di tangan. Bau hanyir tiba-tiba memenuhi ruang tidurnya dan kemudian menyelinap ke deria baunya. Bau itu meloyakan. Imran ingin menutup hidungnya, namun ternyata sia-sia. Tangan seperti lemah dan tidak mampu digerakkannya.

Susuk tubuh tinggi lampai tersenyum memandangnya. Bibirnya merah merekah dan sedikit terjuih. Ingatannya kembali pada wajah yang pernah mengajaknya naik ke rumah tok muda. Imran merenung sepasang mata itu. Bebola matanya hitam legam membalas renungan Imran. Ya! Itulah susuk tubuh yang sama. Jantung Imran berdegup kencang. Perasaan Imran mula gelisah. Susuk tubuh itu tiba-tiba mengilai dengan nyaring sambil mendekati Imran. Bau hanyir itu semakin mendekat dan bau hanyir membuat tekak Imran mula meloya. Darah! Ya darah! bisik Imran gementar.

“Aku haus, Kangmas,” ujar susuk tubuh itu dengan suara mendesir seperti suara dedaun buluh ditiup angin. Susuk tubuh itu seperti meraih belas ihsan Imran. Imran gementar. Susuk tubuh itu semakin mengilai panjang memecah malam.

“Izinkan aku minum?” ujar susuk tubuh itu sambil menunjukkan gelas berisi cecair berwarna merah pekat dan hampir kehitaman di tangannya. Imran terkaku. Kerongkongnya terasa tersumbat. Pandangannya tidak mampu dialihkan dari wajah itu. Darah yang dihirup dengan rakus itu. Minuman itu berciciran di dagu dan menitis di bajunya. Baju yang dipakai kelihatan merah.

“Ini untukmu, Kangmas. Minum bersama aku.” Susuk tubuh itu menghulurkan baki minuman ke bibir Imran. Imran menolaknya. Gelas itu diletak di atas meja di sebelah katil Imran. Susuk tubuh itu tiba-tiba terbang hampir menyentuh siling. Mata Imran mengikut setiap gerak susuk tubuh itu. Rambutnya panjang mengurai menyentuh lantai. Susuk tubuh itu terbang di permukaan siling. Sesekali dia menoleh dan merenung tajam ke arah Imran. Suara ilaian nyaring kedengaran lagi.

“Kangmas… Malam ini, aku ingin di sisimu,” bisik susuk tubuh itu. Dada Imran berombak menahan loya. Sisa-sisa darah pekat menitis di lantai dan di langsir. Warna putih langsir kelihatan merah pekat oleh titisan darah. Semua gerakan itu diekori mata Imran dengan debaran.

“Bisa kan, Kangmas?” Soalan itu tidak berjawab. Susuk tubuh itu singgah di atas almari. Rambut panjang itu dibiarkan mengurai jatuh ke lantai. Wajah Imran direnungnya. Bola mata kehitamannya tidak berinteraksi namun renungan itu mengerikan. Imran memejamkan matanya, semakin lama direnungnya semakin memerah wajah pipi susuk tubuh itu.

Susuk tubuh itu kembali terbang mendekati Imran. Gelas di atas meja dicapainya. Kemudian gelas itu dihulur ke bibir Imran. Imran merenung darah yang hampir mencecah bibirnya. Bau hanyir juga mencecah hidungnya. Dengan sekuat tenaga, Imran menepisnya. Gelas itu terlepas dari tangan susuk tubuh itu. Gemercing kaca bertaburan bergema di ruang tidur Imran. Darah merah pekat terpercik ke lantai.

“Allahuakbar!!!” Tiba-tiba ungkapan keramat itu meluncur laju dari bibir Imran. Susuk tubuh itu merenung tajam ke arah Imran. Bibirnya kelihatan gementar.

“Allahuakbar!!!” Sekali lagi kalimah itu dilaungkan Imran. Kali ini lebih kuat daripada sebelumnya. Susuk tubuh itu tiba-tiba ghaib dari pandangan.

“Subhanallah…” Satu lagi ungkapan itu menyusul.

Imran tersentak dan terbangkit dari katil. Dielus wajahnya yang dibasahi peluh. Imran merenung langsir. Kemudian renungan beralih ke lantai. Tidak ada sedikit pun titisan darah pada langsir dan lantai. Imran tercari-cari gelas minuman, juga tidak kelihatan. Imran terbangun dengan wajah pucat dan gementar. Seluruh tubuhnya dibasahi peluh. Dia memandang sekeliling. Semuanya kosong dan sepi.

Imran menjeling ke atas almari pakaiannya dengan curiga, jika makhluk itu masih berjuntaian di situ. Semuanya tidak ada dalam penglihatan Imran. Imran beristighfar dan mengurut-urut dada. Ada sesuatu yang bermain di benaknya. Imran tiba-tiba menggigil.

MAK NANG tersentak. Bunyi bising dari tingkat atas membuat jemarinya terhenti membilas. Cawan-cawan di tangan diletaknya perlahan di dalam singki. Mak Nang diam sejenak sambil memberi perhatian pada bunyi yang baru saja didengarnya itu. Seperti ada sesuatu yang sedang berlaku di bilik Imran. Beberapa minit membiarkan telinganya mendengar bunyi aneh itu. Bunyi itu tiba-tiba hilang. Mak Nang mengerut keningnya. Suasana kembali sunyi. Jemari Mak Nang kembali meneruskan kerja-kerja membilas cawan-cawan di singki. Barangkali majikannya itu sedang menonton TV, bisik hati Mak Nang. Kesian. Sudah sampai masanya Imran berumah tangga. Wajah kawan-kawan rapat perempuan Imran tiba-tiba hadir memenuhi ruang benak Mak Nang. Reina cantik. Budak kacukan Melayu Thai tu memang cantik. Padan dengan Imran, getus hati Mak Nang. Elok jadi isteri majikan mudanya itu. Dup!!! Satu tamparan kasar hinggap di bahu Mak Nang. Cawan di tangan Mak Nang hampir terlepas. Spontan Mak Nang menoleh. Mencari kelibat Imran yang selalu mengusik. Mak Nang melilau matanya. Namun kelibat Imran tidak kelihatan. Mak Nang mengerut keningnya.

Isy! Kuatnya berkhayal. Mak Nang merungut. Mak Nang kembali memberi perhatian pada kerjanya. Cawan-cawan yang masih bersisa di dalam singki dibersihkan. Perasaannya mula tidak selesa.

“Isy.” Sekali lagi desis Mak Nang sambil mengelus belakang lehernya. Tiba-tiba gemercing bunyi gelas terhempas di atas lantai kedengaran memecah kesunyian. Mak Nang tersentak. Bunyi itu kedengaran panjang dan menjauh. Mak Nang berdiri sejenak sambil mengerut keningnya. Dadanya berdebar. Apa yang terjadi di bilik Imran? Mak Nang meletak cawan di tangannya lantas bergegas pantas dari ruang dapur. Mak Nang berdiri ketika berada di hadapan tangga menuju ke tingkat atas. Beberapa saat kemudian Mak Nang menjengah ke tingkat atas. Memerhati ke arah bilik Imran. Jiwa Mak Nang gelisah. Apa yang sedang berlaku di bilik Imran? Atau Imran terjatuh di biliknya? Isy!

Tanpa menunggu lebih lama, Mak Nang menapak anak tangga menuju ke bilik Imran. Baru sahaja berada di beberapa anak tangga, langkah Mak Nang terhenti. Ada sesuatu yang menyentuh pendengarannya. Jantung Mak Nang berdegup kencang. Mak Nang kembali Menapak menghampiri tombol pintu. Suara orang bercakap-cakap berselang-seli dengan ketawa nyaring kedengaran. Suara siapakah itu? Rasa curiga semakin menerjah benak Mak Nang. Atau lelaki itu membawa perempuan masuk ke rumah?

Perbuatan yang tidak pernah dilakukan Imran selama ini. Dia kenal anak muda itu. Mak Nang menekapkan telinganya ke daun pintu bilik sambil sebelah tangannya memegang tombol. Suara nyaring ketawa itu seakan-akan menembusi masuk ke anak telinganya. Tengkuknya kembali meremang. Dadanya berdebar. Siapakah itu? Jemarinya kemas memegang tombol. Masih berfikir untuk memulas tombol atau batalkan sahaja. Tidak wajar! Fikir Mak Nang, mengintip peribadi orang. Baru sahaja Mak Nang ingin melepaskan tombol, tiba-tiba terasa tombol dalam genggamannya berpusing. Mak Nang menarik tangannya perlahan sambil merenung tombol yang mula terhenti berpusing. Mak Nang mengundur beberapa langkah menunggu siapa akan muncul saat sambil menahan debar. Suara ketawa itu hilang. Tidak ada siapapun yang muncul. Imran juga tidak muncul.

Mak Nang menarik nafas kemudian dilepasnya semula. Hanya khayalan, bisik hati Mak Nang lega. Mak Nang mengetuk perlahan-lahan.

“Encik… Encik Im…” panggil Mak Nang separuh berbisik. Tidak ada suara sahutan dari majikannya itu.

Suasana sepi. Tidak ada suatu bunyipun yang kedengaran lagi. Mak Nang membatalkan niatnya untuk mengejutkan majikannya itu. Barangkali semua itu hanya khayalan yang sering mengganggu fikirannya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Bermula peristiwa ribut kuat yang melanda kawasan penginapan mewah ini, berbagai peristiwa pelik berlaku. Mak Nang berjalan perlahan ke anak tangga. Belumpun kakinya melangkah turun anak tangga pertama, pintu bilik itu terkuak perlahan. Mak Nang memandang ke pintu. Mak Nang mengerut keningnya. Kaki Mak Nang seperti ditarik-tarik supaya masuk. Dua langkah, kaki Mak Nang, Mak Nang telahpun berada dalam bilik itu.

Dum!!! Pintu terus tertutup. Langkah Mak Nang ikut terhenti. Ada satu kelainan. Mak Nang memandang sekeliling. Mencari suasana bilik Imran. Semuanya telah beralih rupa dan suasana. Dinding-dinding simen bertukar kayu. Susunan dinding janda berhias seperti dinding rumah lama yang pernah Mak Nang lihat zaman kanak-kanak dahulu.

Mak Nang seperti hanyut dalam suasana silam. Mak Nang merenung langsir, langsir-langsir berwarna kusam. Almari pakaian Imran kelihatan tinggi hampir menyentuh bahagian siling bilik itu yang kelihatan seperti alang-alang berlantai kayu. Almari berukir itu direnung Mak Nang dengan takjub. Imran sudah hilang dari minda Mak Nang. Kaki Mak Nang Menapak lagi beberapa langkah. Mak Nang takjub. Aroma harum mula yang menyentuh deria bau Mak Nang membuat Mak Nang seperti lupa diri. Mak Nang memejamkan matanya. Menikmati aroma dengan sepenuh jiwa. Bau apakah ini? Harumnya, bisik hati Mak Nang. Bau yang belum pernah nikmatinya.

Mak Nang kembali membuka matanya perlahan-lahan kemudian kembali meneliti sekeliling. Pandangannya terarah ke katil yang besar dan berkerawang indah. Meneliti keindahan kerawang seperti dia berada di bilik peraduan pengantin lama. Tiba-tiba dadanya berdegup. Satu susuk tubuh sedang kelihatan duduk di atas katil memandang ke arahnya dengan senyum. Rambut putih panjang mengurai jatuh ke lantai. Kulitnya kelihatan putih, seputih susu. Sepasang mata hitam merenung Mak Nang dengan bibir merah darah sedikit terjuih.

Seluruh tubuh Mak Nang menggigil. Tengkuk terasa meremang dan menebal. Siapa makhluk ini? Mak Nang ingin mengundur untuk keluar. Dia yakin, dia bukan berada di bilik Imran. Ya! Mak Nang yakin. Tapi di mana? Di mana dia berada sekarang? Kaki Mak Nang berat. Mak Nang tidak mampu bergerak. Bibirnya juga terkunci. Matanya seperti terpukau memandang susuk tubuh itu. Anak mata Mak Nang teralih ke sebelah susuk tubuh itu. Kelihatan satu jasad lelaki terbujur lemah.

“Ini suamiku,” beritahu perempuan itu sambil memandang ke arah lelaki yang terbaring di sisinya. Lelaki itu memandang ke arah Mak Nang dengan pandangan sayu. Saat pandangan Mak Nang menyentuh wajah lelaki itu, nafas Mak Nang terhenti. Wajah itu direnungnya dalam-dalam. Lelaki itu tiba-tiba meletakkan kepala di atas ribaan wanita itu.

“Suamiku,” beritahu perempuan itu sekali lagi disusuli ketawa nyaring.

Ah! Itu Imran. Imran majikan aku! Mak Nang ingin menjerit memanggil nama Imran, jeritan Mak Nang hanya bergema di kerongkong. Hanya matanya merenung Imran di atas ribaan perempuan itu. Kepala Imran diusap perempuan itu dengan senyum panjang.

“Suamiku sedang sakit,” beritahu perempuan itu sambil mengusap-usap kepala Imran. Mak Nang masih lagi tidak mampu mengalih pandangan dari wajah Imran. Kepala Imran terkulai di atas ribaan perempuan itu.

Syyy…” desis perempuan itu dengan nada suara bertukar parau dan serius. Perempuan itu tiba-tiba mengangkat kepala Imran dari ribaannya kemudian diletaknya di atas bantal di sebelahnya. Perempuan itu mencapai sebuah gelas di atas meja kecil di sebelah katil berkerawang itu. Sebilah pisau berkilat dikeluarkan dari lacinya. Perempuan itu tiba-tiba bangkit dari katil dan berdiri merenung ke wajah Mak Nang. Jantung Mak Nang berdegup pantas. Mak Nang mula cemas. Wajah Imran, pisau dan gelas di tangan perempuan itu seakan-akan memberitahu ada sesuatu mengerikan akan berlaku.

Pandangan perempuan teralih ke arah belakang Mak Nang. Mak Nang cuba menoleh, namun dia juga tidak mampu berbuat demikian. Kedengaran seperti bunyi sesuatu diseret ke arahnya. Makin lama, bunyi itu makin dekat. Dada Mak Nang berdebar-debar. Terasa satu susuk tubuh berdiri di sebelah Mak Nang. Ya! dari ekor mata, Mak Nang dapat melihat seorang lelaki dengan berseluar paras lutut, seperti seluar sampak, pakaian orang-orang dahulu berdiri tegap sambil tangannya bercekak pinggang, tanpa berbaju. Kemudian menolak kasar seorang perempuan ke arah kaki perempuan yang berdiri dengan pisau di tangannya. Mak Nang mengerut keningnya.

Perempuan itu menjerit kuat ketika merenung gadis yang tertunduk di tepi kakinya. Perempuan yang terjelepok di kaki itu meraung dan meronta sekuat hati. Susuk tubuh itu mendekati gadis itu dan menarik rambut dengan kasar. Wajah gadis itu terdongak. Mata Mak Nang membulat tajam. Wajah gadis itu direnungnya. Reina? Reina kawan sepejabat Imran? Mak Nang mengalih pandangan ke wajah Imran. Lelaki itu membuka mata ketika mendengar jeritan Reina. Dia cuba menarik perhatian Imran supaya memandang ke arahnya, tetapi lelaki itu tidak langsung memandang ke arahnya. Seolah-olah dia langsung tidak wujud di situ.

“Tolong. Tolong aku…” Gadis itu merayu-rayu ke arah Mak Nang. Lelaki di sebelah Mak Nang, merengus dan mendekati gadis itu lantas mengilas ke dua tangannya ke belakang.

 

“Tinggalkan dia untukku!” jerit perempuan putih susu itu dengan kuat. Lelaki itu melepas tangan Reina.

“Tolonggg. Tolonglah. Immmm! Tolong aku!” jerit gadis itu membuatkan air mata Mak Nang mengalir. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia seperti patung berdiri melihat peristiwa itu.

“Kamu! Ke sini!” arah perempuan itu ke arah lelaki agam yang berdiri di sebelah Mak Nang tadi. Lelaki itu menonong ke arah susuk tubuh itu.

“Nah! Dua gelas. Udah cukup,” arah susuk tubuh itu. Tanpa menyoalnya, lelaki itu terus mencapai pisau dari tangan susuk tubuh itu itu lantas mendekati Reina. Gadis itu meraung memecah sepi ruang bilik itu. Perempuan itu memandang ke arah Reina itu dengan wajah marah dan tidak sabar. Lelaki agam itu terus menarik leher Reina dengan kasar. Pisau di tangannya terus ke leher Reina, hanya dengan sekali tarik darah menyembur. Aroma bertukar menjadi hanyir darah.

Mak Nang seperti sudah tidak mampu untuk berdiri menyaksikan kengerian itu. Telinganya juga sudah tidak sanggup mendengar suara garau keluar melalui lubang tenggorok Reina dalam sisa-sisa nafas terakhir. Perempuan itu mengilai-ilai sambil menghulurkan gelas ke arah lelaki itu. Lelaki itu meletak gelas di tepi leher lalu darah keluar dan masuk ke dalam gelas. Gelas penuh terus dihulurkan kepada perempuan itu.

Perempuan itu meneguk dengan rakus. Tubuh Reina menggelupur. Lelaki itu hanya memandang ke arah Reina tanpa belas. Gelas yang baru habis dihulur kembali ke arah lelaki itu. Segelas lagi dihulurkan. Kali ini perempuan itu membawanya ke katil. Kepala Imran diangkat ke riba. Mak Nang semakin menggeletar melihatnya. Perempuan itu meletak gelas darah itu ke bibir Imran. Mak Nang tidak sanggup melihat Imran dan Reina diperlakukan perempuan itu. Mak Nang menjerit sekuat hati. Tetapi suara itu tidak sedikitpun keluar dari bibirnya. Mak Nang menjeling ke arah Reina, gadis itu telah terlentok tidak bernafas.

Perempuan itu memandang ke arah lelaki yang berdiri dengan senyum dan tangan berlumuran darah. Dengan ekor mata, perempuan itu memberi isyarat ke arah almari pakaian yang tinggi itu. Lelaki itu tunduk dan mencapai kedua-dua tangan Reina lantas tubuh itu ditarik ke almari pakaian. Pintu almari terus dikuaknya. Dan dengan sekali ayun, sekujur tubuh gadis itu telahpun hilang di dalam almari. Pintu almari kembali ditutup. Namun darah masih mengalir keluar melalui lubang pintu. Semuanya seperti tayangan sebuah filem thriller. Penglihatan Mak Nang beralih ke arah katil. Kelihatan perempuan itu sedang berusaha membuka mulut Imran.

“Kangmas! Yuk, minum!” ujar perempuan itu sambil menuangkan terus ke mulut Imran. Sebahagian darah itu tumpah menimpa dada Imran. Mak Nang menggigil-gigil. Nafasnya sudah tercungap. Dadanya sakit. Seperti duri-duri mencucuk paru-parunya.

“Jangan, encik! Jangan!” Jeritan itu cuba dilepaskan. Namun segalanya sia-sia.

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!!!” jerit Mak Nang sedaya upaya yang ada. Kudrat suara seperti hilang. Lutut Mak Nang longgar dan menggigil. Badan Mak Nang lemah dan terjelepok di atas lantai. Mak Nang tidak mampu melihat semua itu. Dia memejamkan mata. Kalaupun dia meninggal, dia sudah reda. Apa semua itu? Mak Nang mula mengingati surah-surah lazim. Malah bibir Mak Nang mula boleh membaca ayatul Kursi. Mak Nang membacanya dengan sungguh-sungguh.

Tiba-tiba badan Mak Nang bergoyang-goyang. Kepalanya terasa diangkat. Mak Nang tidak berani membuka matanya. Dia menyerahkan segalanya kepada takdir.

“Ya Allah! Mak Nang!” Suara majikannya menyentuh pendengarannya. Mak Nang membuka matanya perlahan-lahan. Bau hanyir juga menyelinap hidung Mak Nang.

“Mak Nang! Buka mata, Mak Nang. Bercakap dengan saya. Jangan pejam mata.” Suara Imran kedengaran lagi.

“Kenapa ni, Mak Nang?” Kedengaran lagi suara Imran. Kali ini Mak Nang kembali membuka matanya. Perlahan-lahan. Direnungnya wajah Imran. Ya! darah merah masih kelihatan dada baju Imran. Sekali lagi Mak Nang memejam matanya. Mak Nang sudah tidak tahu apa yang berlaku. Pandangannya kelam.