Calon Suami Buat Novelis

RM27.00

Penulis: Eliza AB

Caption: karya dia yang bisa membuat jantung ini berdegup kencang

ISBN: 978-967-406-269-9

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 27.00 RM 30.00

Qaira  Nur Imani, seorang novelis  yang serik untuk jatuh cinta lagi. Cukuplah tiga kali dia kecewa kerana bertepuk sebelah tangan. Lantaran itu, pintu hatinya ditutup buat insan yang bergelar lelaki. Namun, perkara itu tidak menghalang Puan Noriani mencari calon suami untuk anaknya itu.

“Selagi Aira tak bawa calon untuk ibu, selagi itu ibu akan kacau hidup Aira!” – Puan Noraini

Bagi Qaira, nak cari calon suami bukan semudah ABC. Kenalah pilih yang betul-betul sesuai dan kena dengan jiwa serta dapat menggetarkan naluri perempuannya. Kalau boleh, dia menginginkan seorang suami sama seperti hero-hero dalam novelnya.

Pertemuan dengan jejaka kacak Hadif Asyraf merubah hidup Qaira. Hadif yang juga mempunyai masalah yang sama dengan Qaira melamar Qaira walaupun mereka baru berkenalan. Bagi Hadif, dia yakin dengan prinsip 5Bciptaannya. Berkenalan, berkawan, bercinta, berkahwindan bahagia.

“Aku nak melamar kau jadi isteri aku. Kita kahwin?” – Hadif

“Memang kita dah berkenalan.Kita pun dah berkawan. Tapi kitabelum bercinta. Mana boleh berkahwin terus?” – Qaira

“Kalau macam tu, kita kahwin kemudian kitabercinta.Aku nak jadi hero kau selama-lamanya.”- Hadif

Qaira dalam dilema. Calon sudah ada tapi mampukah Hadif menjadi calon suami buatnya seperti yang diidamkan? Mampukah dia membuka pintu hatinya buat Hadif Asyraf buat kesekian kalinya?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“AKU terima nikahnya Qaira Nur Imani binti Qamil dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai,” sambut pengantin lelaki selafaz.

“Sah?” tanya tok kadi yang bernama Imam Mahathir.

“Sah!” sahut beberapa orang saksi.

“Alhamdulillah!” ucap Imam Mahathir sekali gus membaca doa.

Tetamu-tetamu yang berada di situ turut sama menadah tangan dan mengaminkan doa. Senyuman terukir di bibir masing-masing.

Usai berdoa, pengantin lelaki bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menuju ke arah Qaira yang sedang duduk bersimpuh di sisi keluarga. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Misinya untuk memperisteri Qaira Nur Imani, gadis yang diidamkannya selama ini berjaya. Tidak menyangka semudah itu dia berjaya memikat hati Qaira Nur Imani.

Qaira berdebar-debar. Semakin pengantin lelaki menghampiri, semakin laju jantungnya berdetak. Belum pernah lagi dia melihat wajah pengantin lelaki. Dia juga tidak mengenali siapa bakal suaminya. Semua itu diatur oleh keluarganya dan dia menerima seikhlas hati perkahwinan ini.

“Aira, jari!” suruh Lija, tiba-tiba.

Qaira tersentak. Dihulurkan jari manis ke arah pengantin lelaki. Sebentuk cincin pengikat kasih tersemat indah di jari manisnya. Kemudian, huluran tangan suaminya disambut lalu mencium lembut tangan itu. Hatinya berkira-kira untuk mengangkat wajah. Malu untuk menatap wajah suami.

“Terima kasih kerana sudi menjadi isteri abang,” ucap pengantin lelaki. Dahi Qaira dikucup lembut. Dia tersenyum buat seketika.

Qaira mengangkat wajah. Buntang matanya melihat wajah di hadapannya itu.

“Hai, sayang!” suara suaminya lalu tersengih.

“Tidak!!!” jerit Qaira sambil bingkas bangun. Sungguh, dia terkejut melihat wajah lelaki itu. Bertambah terkejut melihat gigi lelaki itu yang rongak dan berlubang.

“Tidak! Tidak!” Qaira menjerit buat kali yang kedua.

“Aduh!” rengek Qaira kemudian. Pantas, dia membuka mata. Melilau matanya melihat keadaan sekeliling. Adakah dia di majlis perkahwinan atau di tempat lain?

“Hahaha…” gelak Lija, tiba-tiba.

Qaira terkejut. Dihalakan mata ke arah suara ketawa.

“Kau ni dah kenapa sampai cium lantai bagai? Kau mimpikan apa?” tegur Lija seraya melangkah menghampiri Qaira.

Qaira tidak membalas. Dia bangun dari jatuhan dan mengusap punggungnya yang terasa sakit.

“Kau mimpikan hero-hero ciptaan kau tu ke? Hero yang mana satu yang kau mimpi kali ni?” tanya Lija pula. Berminat untuk tahu.

“Hero rongak!” balas Qaira, geram.

“Rongak?” ulang Lija, berkerut dahi.

Mamat rongak tu la!”

“Maksud kau, Kamal rongak?”

“Huh! Kacau daun betul. Punya la best mimpi aku ni. Bukan senang aku nak mimpi kahwin kau tahu tak?”

Lija yang mendengar ketawa besar. Kepala menggeleng kecil.

“Ingatkan handsome la suami aku tu. Tup-tup keluar muka Kamal rongak. Langkah seribu aku bagi. Kalah Michael Jordan.”

Semakin galak Lija ketawa. Wajah tegang Qaira ditatap.

“Buang karan betul!” geram Qaira lagi.

“Siapa suruh tidur tengah hari rembang macam ni? Kan dah mimpi Kamal rongak.”

Qaira mendengus kasar. Dia bersandar di sofa. Jam di dinding dikerling buat seketika. Masa baru merangkak ke pukul satu petang.

“Kau keluar tak hari ni?”

Qaira berfikir sejenak.

“Kalau kau tak keluar, aku nak keluar sekejap. Nak beli barang sikit.”

“Aku ada date.”

Date? Dengan siapa? Kau tak beritahu aku pun yang kau ada date.”

“Ibu aku tu la. Tak habis-habis nak cari calon suami untuk aku. Naik bosan aku kau tahu tak,” beritahu Qaira mengeluh ringan.

“Oh!” sambut Lija, sepatah.

“Kau nak keluar pukul berapa?” tanya Qaira seraya memandang ke wajah Lija.

Lija hanya membisu. Otaknya sedang ligat berfikir.

“Wei, mak cik! Kau nak keluar pukul berapa?” tegur Qaira, keras.

“Haaa… Apa… Apa… Kau jatuh dalam longkang,” latah Lija, terkejut.

Qaira ketawa melihat tingkah laku Lija. Tidak menyangka Lija akan melatah.

“Kau ni, Aira. Aku sekeh baru tau,” geram Lija sambil mengurut dada.

Qaira masih lagi ketawa. Tidak diendahkan kemarahan Lija.

“Kau nak keluar pukul berapa?” ulang Qaira pada pertanyaannya tadi.

“Tak jadi!” jawab Lija masih meredakan diri sendiri.

“Tak jadi? Kenapa pula?”

“Aku nak ikut kau dating sama. Boleh tak?”

What?!”

“Ala, bolehlah! Aku nak juga tengok calon suami yang ibu kau cadangkan tu.”

“Eh, mana boleh!”

“Apa pasal pula tak boleh?”

“Nanti kau berkenan pula dengan dia kalau dia handsome. Tak boleh! Tak boleh! Tak boleh!” tegas Qaira sambil menggeleng.

“Ala… Bolehlah, Aira. Aku janji tak mengurat calon suami kau tu,” janji Lija sambil mengangkat tangan. Lagak seperti orang memberi sumpah sahaja.

No! Muktamad!” tolak Qaira bingkas bangun.

“Bolehlah, Aira!” pujuk Lija lagi.

No way!” putus Qaira lalu beredar dari situ.

“Aira! Aira!” panggil Lija. Namun panggilannya itu tidak bersambut. Kelibat Qaira sudah pun menghilang di sebalik pintu bilik.

“Ah! Aku peduli apa. Aku tetap nak ikut!” putus Lija berlalu ke bilik.

“YALAH, ibu. Kalau ibu tak percaya, ibu datang la sini,” kata Qaira berserta nafas ringan.

“Ibu tetap tak percaya,” tukas Puan Noraini pula.

Qaira mengeluh untuk kesekian kali.

“Aira tu suka main-mainkan ibu.”

“Kalau ibu tak percaya, ibu tanya Lija. Dia ada kat sebelah Aira.”

“Lija? Lija ikut sekali ke?”

“Haah!”

“Kan ibu dah pesan, datang seorang diri. Degil!”

Qaira ketawa kecil.

“Melencong entah ke mana la tu. Perginya tidak nanti. Percayalah cakap ibu ni.”

“Ibu, ada gunanya Lija ni. Dibuatnya calon ibu tu ada masalah mental, naya Aira nanti. Tak pasal-pasal keluar muka hadapan surat khabar ‘Gadis Diculik atau Dibunuh oleh Pesakit Mental’. Siapa yang susah? Ibu juga, kan?” terang Qaira bernada serius.

“Hesy… Ada ke cakap macam tu,” tegur Puan Noraini kurang senang.

Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.

“Calon ibu tu orang baik-baik. Anak Haji Mahadi, tok imam kat masjid sini.”

“Haji Mahadi? Tok imam? Yang mana satu?”

“Tok imam masjid tepi jalan tu.”

“Oh, tok imam tu. Aira ingatkan tok imam dalam novel Aira tu.”

“Qaira Nur Imani!” tegur Puan Noraini sedikit meninggi.

Sorry… Sorry. Janganlah marah ibu. Aira main-main saja,” pujuk Qaira, lembut.

“Suka main-mainkan ibu.”

Qaira ketawa kecil dan tersengih. Matanya terpandang Lija yang baru keluar dari tandas. Berkerut wajah kawan baiknya itu.

“Okeylah, ibu. Aira letak dulu. Aira dah nampak calon ibu tu.”

Hurm… Ingat pesanan ibu ni. Jangan nak kenakan orang lagi.”

“Yalah, ibu. Tapi boleh tahan calon ibu ni. Dari belakang tengok macam Hafizi, hero Aira dalam Cinta Encik Jutawan. Bila dekat, nampak macam Aeril, hero My Best Husband!” beritahu Qaira sambil matanya tertancap ke susuk tubuh yang membelakanginya.

“Ini bukan novel Qaira Nur Imani. Ini realiti!” geram Puan Noraini.

“Okey… Okey! Aira pergi jumpa calon ibu tu, ya. Senyum sikit!” balas Qaira lalu tersenyum. Dikerling Lija yang sudah pun berada di sisi.

“Ingat, Aira! Jangan nak kenakan budak tu pula,” amaran Puan Noraini.

Yes, madam!”

Qaira menyahut sambil mengangkat tangan kanan. Seperti memberi tabik hormat kepada ketua. Seminit kemudian, dia mematikan talian. Nafas ditarik dan dilepaskan ringan.

“Apa kes?” soal Lija, berminat.

“Kes biasa!” jawab Qaira lalu tersenyum.

“Ibu takut kau buat hal la tu.”

“Ala… Biasalah. Itulah cara untuk aku mengelak daripada berjumpa dengan calon-calon tu semua.”

“Sampai bila kau nak mengelak? Lambat-laun, kau kena juga pilih salah seorang daripada calon yang ibu kau kenalkan.”

Qaira tidak membalas. Kata-kata Lija cuba dihadam.

“Mana dia?” tanya Lija sambil melilaukan mata.

Qaira mendiamkan diri. Otaknya sedang memikirkan sesuatu.

“Aira, itu ke dia?”

Lija bertanya buat kali yang kedua. Ditunjuk ke arah seorang pemuda yang sedang duduk membelakangi mereka berdua.

“Haaa!” sebut Qaira, tiba-tiba.

Opocot kau jatuh tergolek!” latah Lija sambil melompat.

Qaira yang melihat membesarkan mata. Terkejut melihat tingkah laku Lija sebentar tadi. Terlepas ketawa dari bibirnya.

“Aira!” tegur Lija, keras.

Sorry la, beb. Aku tak sengaja,” kesal Qaira lalu tersengih.

Lija mengurut dada. Wajah Qaira dipandang tajam.

“Kau ni baru sergah sikit dah nak melatah. Entah apa-apa entah,” kutuk Qaira, selamba.

Lija tidak membalas. Dia masih mengurut dada yang berdegup pantas.

Hurm… Macam menarik dan tertarik saja,” beritahu Qaira.

“Siapa? Siapa?” tanya Lija, berminat.

Qaira hanya tersenyum. Dia melangkah menghampiri pemuda yang sedang duduk sambil meneguk minuman.

“Hai!” tegur Qaira dari belakang.

Pemuda yang bernama Sharmin itu terkejut. Tersembur air yang baru diteguk.

Qaira yang melihat ketawa. Geli hati melihat tingkah laku pemuda itu.

“Qaira!” tegur Lija pula sedikit geram.

Qaira tersengih. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan dengan Sharmin.

“Hai!” tegur Qaira kemudian.

Sharmin tidak membalas. Dia mencapai tisu lalu mengelap mulut yang sedikit kotor.

“Dah lama tunggu?” tanya Qaira dalam nada sengau.

Lija yang mendengar menahan ketawa. Dia melabuhkan duduk di sisi Qaira.

“Saya Qaira Nur Imani. Awak anak tok imam Haji Mahadi, kan?”

Lija menyiku lengan Qaira. Masih cuba menahan ketawa tatkala mendengar suara sengau Qaira. Pasti Qaira sedang berlakon ketika ini.

Sharmin hanya memandang. Kelu lidahnya untuk bersuara. Rasa terkejut mengenali Qaira Nur Imani. Berbeza dengan apa yang diketahui daripada ayahnya.

“Kenapa diam ni? Suara saya sedap sangat ke?”

“Haaa… Tak ada.”

Qaira menahan ketawa. Riak di wajah Sharmin diperhati dalam diam.

“Awak…”

“Kenapa? Awak terkejut sebab suara saya sengau ke?”

Sharmin sekadar mengangguk.

“Ala… Biasalah tu. Kan kita nak dijodohkan. Mestilah cakap yang baik-baik saja.”

“Tapi…”

“Saya mintak diri dulu. Bye!” ujar Qaira bingkas bangun dari duduk.

Lija turut bertingkah laku yang sama. Dia mengekori Qaira dari belakang.

Aaa… Awak!” panggil Sharmin.

Qaira tidak mengendahkan panggilan Sharmin. Dia melangkah keluar dari dalam restoran. Seminit kemudian, pecah ketawanya itu. Ketawa yang ditahan-tahan sejak dari tadi.

Lija turut sama melepaskan ketawa. Kepala menggeleng memikirkan tindakan Qaira.

“Mampus kalau ibu aku tahu,” ujar Qaira masih ketawa.

“Kau tengok tak muka dia tadi? Macam nak terkeluar biji mata dia disebabkan terkejut,” kata Lija sambil menekan perut. Geli hati!

Qaira hanya ketawa. Dia turut sama menggeleng mengenangkan tindakannya tadi.

“Eh, kejap… Kejap.”

Qaira mematikan ketawa. Berkerut dahinya memandang Lija.

“Bukan ke part tadi macam dalam novel…”

“Dia, My Wife!” sahut Qaira.

“Haaa… Kau ni, Aira. Pandai betul!” puji Lija, menggeleng.

Qaira tersengih. Ingatannya mengimbas semula jalan cerita dalam novelnya yang bertajuk ‘Dia, My Wife!’. Apa yang sedang dilakukannya ketika ini sama seperti satu babak di dalam novelnya.

So, nak ke mana?” tanya Lija ingin tahu.

“Pantai!” jawab Qaira, laju.

“QAIRA ni memang nak kena betul,” geram Puan Noraini.

Telefon bimbit di tangan digenggam erat. Sakit hatinya selepas mendapat tahu tentang Qaira daripada Haji Mahadi.

“Buat malu saja dengan Haji Mahadi tu,” sambung Puan Noraini lagi.

“Hai, yang awak membebel seorang-seorang ni kenapa? Awak bebelkan apa?” tegur Encik Qamil dari arah belakang.

Puan Noraini terkejut. Diurut dada yang berdegup kencang.

Sorry! Abang tak sengaja,” ujar Encik Qamil, kesal.

Puan Noraini tidak membalas. Wajah Encik Qamil ditatap dengan pandangan tajam.

“Awak bebelkan apa?”

“Anak kesayangan awak tu la. Buat hal lagi.”

“Anak saya? Siapa anak saya?”

Encik Qamil mengusik. Wajah isterinya ditatap kasih.

“Awak jangan nak bergurau pula, Encik Qamil. Puan Noraini tengah marah.”

Encik Qamil yang mendengar ketawa. Matanya masih menatap wajah Puan Noraini.

“Anak awak tu buat hal lagi. Anak awak berlakon sengaukan suara. Terkejut budak Sharmin tu. Tak pasal-pasal saya kena explain dengan Haji Mahadi,” terang Puan Noraini dalam nada geram. Dengusan kasar terlepas dari bibir.

Semakin galak Encik Qamil ketawa. Kepala menggeleng mendengar tentang Qaira.

“Abang!”

“Dia, My Wife!”

“Apa yang Dia, My Wife?”

“Novel anak awak la. Kan ada part tu dalam novel.”

Puan Noraini berfikir sejenak. Otaknya cuba mengimbas isi kandungan di dalam novel Dia, My Wife!.

“Yang awak sibuk-sibuk nak kenenkan dia dengan anak Haji Mahadi tu kenapa? Awak sendiri dah tahu perangai anak awak tu macam mana. Yang awak buat juga tu kenapa?” soal Encik Qamil, menggeleng.

“Kalau saya tak buat macam tu, sampai bila-bila pun anak kita tu tak kahwin. Umur makin meningkat. Entah apa yang difikirkan Qaira tu pun saya tak tahu. Itu tak kena. Ini tak kena. Lelaki macam mana lagi yang dia nak?” bebel Puan Noraini.

“Macam hero dalam novel dia la. Awak ni, Ani. Itu pun tak tahu.”

Selamba Encik Qamil menjawab. Dia segera beredar dari ruang tamu menuju ke bilik. Kepala menggeleng mengenangkan tindakan Puan Noraini. Selama ini, bukannya dia tidak tahu tindakan Puan Noraini. Masuk yang kelima kali Puan Noraini merancang, namun satu pun rancangan tidak berjaya. Qaira masih lagi mengelak untuk dijodohkan.

Puan Noraini hanya memandang. Sakit hatinya mendengar jawapan daripada suaminya itu. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Cara apa lagi yang perlu dilakukan supaya Qaira berkahwin? Perlukah dia mengatur perkahwinan tanpa pengetahuan Qaira seperti yang digambarkan dalam novel? Atau dalam erti kata lain, kahwin paksa!

“Novel? Kahwin paksa?” sebut Puan Noraini, berkerut dahi.

“NEXT!” suara Qaira.

Next? Aira, dah berapa orang kau reject? Takkan satu pun tak sesuai?” soal Ainul, berkerut dahi. Ada nada tidak puas hati.

“Ala, semua tu tak menepati cita rasa aku.”

“Cita rasa? Hurm… Sampai ke sudah la kau takkan jumpa. Bukannya aku tak tahu cita rasa kau tu. Nak macam hero-hero dalam novel kau tu, kan?”

“Haaa… Bijak pun kau.”

“Helo! Ini bukan novel. Ini realiti. Okey!”

Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru sekali.

“Mengalahkan nak cari calon suami. Padahal nak cari pembantu pejabat saja.”

Qaira masih lagi tersengih. Wajah pembantunya itu ditatap mesra.

So, bila lagi ada interview?” tanya Qaira kemudian.

Ainul membuka diari berwarna hitam. Matanya meneroka isi di dalam diari itu.

“Minggu hadapan.”

“Okey! Macam biasalah. Kau aturkan semua tu.”

“Ini kali yang terakhir. Kalau kau tolak lagi, kau tanggung sendiri.”

“Yalah… Yalah. Membebel macam mak nenek la kau ni.”

Ainul menjegilkan mata.

By the way Aira, petang nanti kau ada meeting dengan pihak atasan. Dia orang nak tengok laporan akaun bulan lepas.”

“Petang ni? Apa pasal tak beritahu aku awal-awal?”

Emergency! Aku baru dapat tahu daripada Gina pagi tadi. Dia suruh aku sampaikan pada kau.”

“Aku ada hal la, Ainul. Aku cadang nak mintak keluar sekejap.”

Ainul menjongketkan bahu tanda tidak tahu.

“Tak apalah. Aku cuba cancel pertemuan aku dengan mamat tu. Hope dia tak kesah dan tak marahkan aku. Dah banyak kali aku postponed.”

Mamat? Mamat mana?”

“Sibuk pula kau ni, Ainul.”

“Ala… Aku nak tahu juga. Ibu kau nak kenenkan kau dengan lelaki lagi ke?”

“Tak ada maknanya. Aku nak discuss pasal novel aku tu.”

Ainul mengangguk faham. Diari di tangan dipeluk erat.

“Dah alang-alang kau tanya ni, kau ada calon untuk aku tak?” tanya Qaira, tersengih.

Ainul membuntangkan mata. Terkejut mendengar pertanyaan Qaira.

“Abang kau ke? Adik kau ke? Sepupu sepapat? Jiran tetangga?”

“Aira, aku ada seorang kakak saja. Mana ada abang dan adik lelaki.”

“Eh, ya tak ya juga. So, tak ada la.”

“Rasanya tak ada. Kalau ada nanti, aku beritahu pada kau.”

Hurm…” balas Qaira pendek.

“Aku keluar dulu. Tak pasal-pasal melalut pula nanti. Jangan lupa meeting petang nanti,” pamit Ainul bernada pesanan.

Qaira sekadar berdehem. Dia menghantar langkah Ainul sehingga hilang dari pandangan mata. Tanpa menunggu, dia bangun dari duduk lalu keluar dari bilik itu. Dia perlu berjumpa dengan Encik Ghazali untuk membincangkan tentang penerbitan novelnya.

“JODOH itu rahsia Allah. Lambat dengan cepat saja. Kena yakin kepada Allah,” kata Qaira lalu tersenyum. Air minuman disedut perlahan.

“Memang la. Tapi kalau kau tak berusaha, macam mana kau nak jumpa dengan jodoh kau?” balas Niezam, menggeleng.

“Aku tengah berusaha la ni. Kau ingat nak cari suami macam cari sayur kat pasar tu ke? Boleh main pilih-pilih saja? Main tunjuk saja?” kata Qaira bernada geram.

Niezam tersengih. Ada benarnya kata-kata Qaira itu.

“Nak cari ‘laki’ memang la berlambak. Kat tepi jalan pun dah boleh dapat. Tapi kalau nak cari ‘suami’… Itu yang susah,” hujah Qaira pula.

Niezam mengangguk perlahan. Wajah Qaira ditatap seketika. Sudah lama dia mengenali Qaira. Sejak dari universiti lagi. Sikap gadis itu begitu menyenangkan.

“Kau tak ada calon untuk aku ke?”

“Dulu aku nak, kau jual mahal. So, tanggung la.”

“Masalahnya kau tak beritahu aku yang kau suka kat aku. Aku tahu pun daripada Tini. Kalau Tini tak beritahu, sampai ke tua la aku tak tahu yang kau ada perasaan pada aku.”

Niezam menggaru kepala yang tidak gatal. Ada benarnya juga. Memang dulu dia tidak berani berterus terang. Dalam diam dia menyukai Qaira. Sejak dari semestar pertama lagi.

Tetapi disebabkan perubahan Qaira, dia mengelak daripada gadis itu. Dia menjauhi Qaira. Pernah juga mereka berdua bergaduh atas sebab-sebab yang tidak munasabah.

Semua itu hanya tinggal kenangan. Kini, dia sudah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak. Hanya doa yang mampu diberikan kepada Qaira agar bertemu dengan seorang lelaki yang dapat membahagiakan gadis itu.

“Kau ingat tak lagi macam mana kita gaduh dulu?”

“Aku ingat. Mana boleh aku lupa tentang tu.”

“Aku mintak maaf. Aku tak tahu siapa betul dan siapa salah.”

“Perkara dah lama. Tak perlulah nak diingatkan lagi.”

Qaira hanya mengangguk. Ada benarnya kata Niezam. Semua itu sudah lama. Biarlah menjadi kenangan dalam kisah hidup mereka.

So, macam mana dengan novel kau? Okey?”

“Ikutkan aku ada discussion dengan Encik Ghazali. Tapi terpaksa cancel sebab petang ni aku ada meeting.”

“Oh… Itu yang kau ajak aku keluar makan.”

Qaira sekadar mengangguk lalu tersengih.

“Nasib baik la aku ni jenis yang baik hati. Bolehlah temankan kau. Kalau tidak… Tak ada maknanya nak temankan kau.”

“Ala… Dengan aku pun nak berkira.”

“Ah! Kena juga berkira. Nasib baik la wife aku tu jenis yang tak cemburu. Kalau jenis yang cemburu, tak pasal-pasal kau kena hambat dengan batang penyapu.”

Respect kat wife kau.”

Niezam hanya tersenyum. Rasa bangga kerana memiliki Saleha sebagai isteri.

“Kau tak ada calon untuk aku ke?” Qaira bertanya pada soalan yang sama.

Niezam berkerut dahi.

“Niezam!”

“Yang kau tolak calon-calon ibu kau tu siapa suruh?”

“Yang tu… Aku no komen.”

“Dia orang tu semua tak handsome macam aku ke?”

“Kau? Kau handsome?”

Niezam sekadar mengangguk. Seminit kemudian, dia ketawa.

“Calon-calon tu semua tak boleh buat jantung aku berdegup laju.”

“Kau ingat ini novel? Hero dan heroin bertemu. Jantung masing-masing berdegup laju. Begitu?”

“Mestilah! Kalau jantung kita tak berdegup, tak ada perasaan namanya tu. Aku nak tanya kau. Macam mana pertemuan kau dengan Saleha dulu? Jantung kau berdegup laju tak?”

Niezam berfikir sejenak. Cuba merencana pertanyaan Qaira. Kemudian, dia mengangguk. Sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan gadis itu.

“Haaa… Aku nak yang macam tu la. Bila aku jumpa dengan seorang lelaki, jantung aku berdegup kencang. Aku rasa serba tak kena. Gelabah! Kalut! Macam pertemuan hero dan heroin ciptaan aku dalam kesemua novel aku tu,” beritahu Qaira penuh perasaan.

“Aduh!” rengek Qaira kemudian tatkala Niezam menepuk dahinya.

“Kau ingat diri kau tu Sofea, Alisya atau Jasmine? Kau tu Qaira Nur Imani. Bukan heroin yang kau ciptakan tu,” tegur Niezam, menggeleng.

Qaira tersengih. Dahi yang terasa sakit diusap lembut.

“Jangan nak samakan diri kau dengan heroin-heroin tu semua. Ini realiti dan bukan khayalan. Kalau kau terlalu memilih, sampai bila-bila pun kau takkan jumpa dengan imam kau,” tegur Niezam bernada nasihat.

Qaira tidak membalas. Kata-kata nasihat Niezam meniti dalam benak hati.

“Aku tetap doakan untuk kau. Semoga kau bertemu dengan seorang imam yang dapat membimbing kau dunia akhirat,” doa Niezam bernada ikhlas.

Qaira hanya tersenyum. Kepala mengangguk kecil. Ucapan terima kasih meniti di bibir. Rasa beruntung kerana memiliki seorang sahabat seperti Niezam. Semoga hubungan persahabatan kekal hingga ke akhir hayat.

“HAI! Fauzan. 25. Model,” perkenal Fauzan lalu tersenyum.

Qaira membulatkan mata. Wajah Fauzan di hadapan ditatap berserta senyuman di bibir. Kacak!

“Hai, Qaira. Emel, 23 dan pilot,” perkenal Emel pula.

Qaira menoleh ke arah yang bersuara. Wajah Emel menyapa mata. Senyuman di bibir lelaki itu sungguh menawan.

I’m Danish. 26 years old. Chief executive officer.” Danish bersuara. Dicapai tangan Qaira lalu mengucup lembut tangan itu.

Qaira tersenyum malu. Dia menundukkan muka memandang jemari sendiri.

“I sudi jadi husband you kalau you sudi.” Fauzan bersuara. Dia menghampiri Qaira lalu duduk di sisi gadis itu.

“Kalau you pilih I, I sanggup buat apa saja yang you suruh. I sanggup korbankan segala-galanya demi you,” kata Emel pula. Dia turut sama duduk di sisi Qaira.

“Ini hadiah I untuk you, Qaira. I sanggup bagi company I pada you kalau you pilih I sebagai husband.” Danish membuat tawaran. Tangan Qaira dicapai lalu digenggam erat.

Qaira tersenyum malu. Wajah ketiga-tiga pemuda di hadapan ditatap silih berganti. Masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Sukar untuk membuat pilihan. Yang mana satu menjadi pilihan?

“Pilih I, Qaira,” suara Emel.

“I akan membahagiakan you,” celah Fauzan.

“I yang paling sesuai untuk you,” sampuk Danish.

Qaira terkedu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada ketiga-tiga pemuda itu? Jika dia memilih salah seorang daripada mereka, adakah yang dua lagi dapat menerimanya? Buntu! Buntu ketika ini.

“Pilih I, Qaira.”

Serentak mereka bertiga bersuara. Masing-masing mengasak sehingga menyebabkan Qaira membuntangkan mata.

Errr…”

Qaira mematikan ayat. Tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan.

“I paling sesuai untuk you,” asak Emel.

“I dan bukan dia,” suara Fauzan.

“You patut pilih I dan bukan mereka berdua,” tegas Danish.

Qaira memandang satu per satu wajah di hadapan. Rasa rimas tatkala tubuhnya ditarik dan ditolak oleh mereka bertiga. Rasa nak patah pinggang dan tangannya itu. Dia perlu menghentikan drama itu sebelum melarat.

Stop it!” tegah Qaira, meninggi.

Serta-merta dia bangun dari duduk. Lagak seperti seorang ketua yang memberi arahan kepada orang bawahannya.

“Qaira Nur Imani!” tegur Encik Borhan sambil menjegilkan mata.

Qaira tersentak. Dihalakan mata ke arah suara yang menegur. Buntang matanya melihat wajah Encik Borhan. Kemudian, dihalakan mata ke arah manusia-manusia yang berada di dalam bilik mesyuarat itu.

“Awak mengelamun, Qaira?” soal Encik Borhan pula.

Errr…” Qaira berjeda.

Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Malu ketika ini. Berpasang-pasang mata sedang tertumpu ke arahnya. Jantungnya berdegup dengan kencang.

“Mana laporan kewangan bulan lepas?” tanya Encik Borhan.

“Ada… Ada. Sekejap, Encik Borhan,” balas Qaira sambil mencari laporan kewangan syarikat. Serba tak kena ketika ini.

“Maaf, Tuan Haji Saiful. Staf saya ni kalut sikit orangnya,” ujar Encik Borhan lalu tersenyum kelat.

Haji Saiful hanya mengangguk. Matanya memerhati tingkah laku Qaira yang sedang mencari maklumat kewangan.

“Qaira!” panggil Encik Borhan, perlahan.

“Haaa… Sekejap! Saya dah jumpa,” balas Qaira.

Setelah jumpa, dia bangun dari duduk. Belum sempat dia melangkah menghampiri Encik Borhan, kakinya tersadung di kaki bangku akibat kalut. Tersembam dia ke atas lantai berserta helaian kertas laporan kewangannya itu.

Pekerja-pekerja yang berada di dalam bilik mesyuarat itu terkejut. Masing-masing memandang ke arah Qaira sambil cuba menahan ketawa.

“Qaira, apa kena dengan awak ni?” tanya Encik Borhan, keras.

Qaira bangun. Dia mengibas seluar yang sedikit kotor. Helaian kertas yang bertaburan dikutip satu per satu. Setelah itu, diserahkan kepada Encik Borhan berserta sengihan di bibir. Rasa malu turut menumpang dalam hati.

“Maaf, Encik Borhan. Saya gemuruh!” ujar Qaira kemudian.

Dia segera duduk di atas kerusi. Matanya memandang wajah-wajah yang berada di dalam bilik itu. Pandangannya terhenti pada dua wajah yang tidak dikenali. Siapa lelaki tua di sisi Encik Borhan itu? Di sisi lelaki tua, seorang pemuda yang sedang beriak tidak berperasaan.

“Encik Borhan!” panggil Qaira, perlahan.

Encik Borhan menoleh. Wajah Qaira ditatap berkerut.

Errr… Siapa tu?” tanya Qaira pula. Dimuncungkan mulut ke arah Haji Saiful dan pemuda di sebelah lelaki tua itu. Siapa mereka berdua? Adakah mereka berdua staf baru di syarikat?

“Kan tadi saya dah kenalkan siapa mereka berdua. Siapa suruh mengelamun?” balas Encik Borhan masih keras.

“Oh, saya lupa. Maaf, Encik Borhan,” balas Qaira. Dihalakan mata ke arah kedua-dua tetamu itu.

“Encik ni pembantu pejabat, kan?” Selamba Qaira bertanya.

Haji Saiful yang mendengar ketawa besar. Tidak menyangka dengan pertanyaan Qaira. Kepala menggeleng kecil.

“Qaira Nur Imani!” Keras nada Encik Borhan menegur.

“Alamak! Salah! Sorry… Sorry. Saya duduk dan zip mulut,” suara Qaira, bergetar.

Gerun pula dia melihat wajah Encik Borhan. Bukan sekali dia ditegur Encik Borhan, acap kali dia ditegur. Namun, teguran itu dibuat endah tak endah sahaja. Apa yang pasti, Encik Borhan berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Encik Borhan mendengus kasar. Geram dengan perangai dan sikap Qaira. Sudah puas dia menegur Qaira tetapi gadis itu masih dengan sikap yang sama. Walau bagaimanapun, dia tetap berpuas hati dengan hasil kerja Qaira. Selama ini, Qaira tidak pernah mengecewakannya. Disebabkan itu dia melantik Qaira sebagai pengurus akaun syarikat.

“Maaf, Haji Saiful,” ucap Encik Borhan, kesal.

“Tak apa, Borhan. Staf awak ni memang kelakar,” balas Haji Saiful.

Encik Borhan tersenyum kelat.

“Kalau macam tu, kita akan teruskan projek tu. Tentang budget, Encik Borhan jangan risau. Syarikat saya akan suntik modal ke dalam syarikat Encik Borhan.”

“Pastikan budget yang dibuat tidak melebihi budget yang telah kita tetapkan hari tu.”

“Baiklah! Saya akan mintak Qaira sediakan budget tu.”

“Saya?” tanya Qaira, tiba-tiba.

Mereka yang berada di dalam bilik itu memandang ke arah Qaira. Berkerut dahi masing-masing mendengar pertanyaan Qaira.

“Habis tu kalau bukan awak siapa?” soal Encik Borhan bernada geram.

“Encik Borhan!” Selamba Qaira menjawab.

Haji Saiful ketawa mendengarnya.

“Boleh tak jangan perbodohkan diri sendiri?” tegur seseorang, tiba-tiba.

Qaira dan yang lain-lain menghalakan mata ke arah yang bersuara. Wajah di sisi Haji Saiful ditatap berserta kerutan di dahi.

“Membazir masa saja. Kalau dah habis boleh kita balik? Rimas kat sini lama-lama. Tambah-tambah tengok orang memperbodohkan diri sendiri. Ingat lawak ke?”

“Awak maksudkan siapa?” soal Qaira bernada keras.

Adakah dirinya yang dimaksudkan oleh pemuda itu? Tetapi siapa pemuda di sisi lelaki tua bernama Haji Saiful? Adakah pekerja tuan haji itu?

“Awak terasa ke?” soal pemuda itu pula.

“Saya serahkan semua tu kepada Encik Borhan. Kalau ada masalah apa-apa, Encik Borhan boleh hubungi saya,” sampuk Haji Saiful sambil bingkas bangun.

Ada baiknya dia meminta diri daripada menunggu. Khuatir perkara yang tidak diingini berlaku. Lebih baik mengelak daripada berlaku.

“Baiklah, tuan haji,” balas Encik Borhan turut sama bangun.

Mereka yang berada di situ turut sama bangun. Masing-masing menghantar pemergian Haji Saiful sehingga di muka pintu bilik.

Mamat tu mengata aku. Siap kau kalau aku jumpa dengan kau lagi. Aku tenyeh-tenyeh mulut kau dengan cili,” geram Qaira sambil mengepal tangan.

Entah kenapa jantungnya berdegup dengan kencang tatkala memandang wajah pemuda itu. Degupan yang berlainan daripada degupan biasa.

Uit! Kenapa dengan jantung aku ni?” soal Qaira perlahan kepada dirinya sendiri. Disentuh jantungnya yang sedang berdetak hebat.

“Takkan…” Qaira mematikan ayat. Dia terfikirkan sesuatu.

“Tak mungkin!” tukas Qaira menggeleng laju.

QAIRA memandang langit malam. Sinaran bulan menerangi ruang gelap. Tampak cantik dan indah. Angin malam menyapa tubuh. Tenang. Otaknya sedang ligat mencari ilham sambil jari-jemarinya menekan papan kekunci. Laju jemarinya menaip kisah yang sedang dicipta.

Senyuman terukir di bibir dengan tiba-tiba ketika menaip bahagian yang romantik. Alangkah indahnya jika apa yang dicoretnya selama ini adalah dirinya sendiri. Pasti dia tidak perlu memikirkan soal jodoh. Soal lelaki. Sudah tentu jodoh telah ditetapkan. Pasti hero bertemu dengan heroinnya walau dugaan datang melanda.

Namun, semua itu tidak mungkin akan berlaku dalam hidupnya. Kisah itu hanyalah rekaan semata-mata. Seperti kisah yang dicoret oleh penulis-penulis lain. Terkadang dia menginginkan kisah sebegitu dan dia berharap kisah itu akan berlaku dalam hidupnya.

“Tak mungkin aku akan dapat lelaki seperti Hafizi. Seorang yang romantik, caring dalam tegas dan cool. Mustahil aku akan dapat seperti Aeril. Seorang suami yang penyabar, soleh dan tegas dalam kelembutan,” bicara Qaira, sendirian.

Keluhan ringan terlepas dari bibir. Dia menongkat dagu di hadapan laptop. Memikirkan jalan cerita yang seterusnya untuk novel terbaharunya itu.

“Takkan nak macam Zahrin? Cerewet, pemarah, perengus dan segala macam perangai nakal. Tapi dia romantik dan pelindung.”

Qaira masih lagi berfikir. Satu per satu nama-nama hero ciptaannya meniti dalam minda. Mencari kelebihan dan kekurangan pada setiap hero-heronya itu.

Mamat tu?” ujar Qaira kemudian.

Wajah pemuda yang memperlekehkannya siang tadi meniti di tubir mata. Rasa geram mendengar kata-kata pemuda itu. Ikutkan hatinya yang panas, mahu dihempuk pemuda itu. Siapa sebenarnya pemuda itu? Adakah dia orang kanan Haji Saiful?

“Huh! Ingat dia bagus sangat ke? Selamba badak saja nak kritik aku,” geram Qaira. Jemarinya laju menekan huruf. Serta-merta dia mendapat idea untuk menulis.

“Aku nak masukkan mamat tu dalam cerita aku ni. Watak antagonis!” sebut Qaira sambil ketawa nakal. Laju jemarinya menaip. Rasa mudah untuk meneruskan penulisan sebaik sahaja mendapat ilham.

Kenapa jantung aku berdegup kencang tatkala melihat wajah pemuda itu? Adakah pemuda itu lelaki yang aku cari selama ini?

Errr… Apa pasal pula aku taip macam tu?” soal Qaira, sendirian.

Emilia mengimbas semula kata-kata yang pernah diucap di hadapan Haris. Jika seorang lelaki dapat membuat jantungnya berdegup laju, lelaki itu merupakan calon atau jodoh untuk dirinya. Adakah pemuda itu calon yang dicari selama ini?

“Siapa pemuda tu?” soal Lija, tiba-tiba.

Qaira terkejut dan berhenti menaip. Dia menoleh ke belakang buat seketika.

“Siapa pemuda yang dah berjaya buat jantung cik penulis kita ni berdegup kencang?” soal Lija lagi sambil melabuhkan duduk.

“Bila masa pula jantung aku?” soal Qaira pula bernada serius.

“Bukan jantung kau ke?”

“Bukan!”

“Habis tu, siapa yang kritik kau siang tadi?”

Qaira membisu. Bagaimana Lija tahu tentang itu? Adakah melalui Ainul?

Handsome tak?”

“Ainul beritahu kau, kan?”

Well! Tak ada rahsia antara kami berdua.”

“Ainul ni memang nak kena. Tak boleh simpan rahsia betul.”

Handsome tak?” ulang Lija kepada pertanyaannya tadi.

“Huh! Mulut macam puaka,” balas Qaira, mendengus kasar.

Lija yang mendengar ketawa kecil. Wajah tegang Qaira ditatap mesra.

“Janganlah aku jumpa dengan mamat tu lagi.”

“Kalau jumpa?”

“Tak mungkin. Lelaki macam tu tak boleh dijadikan suami.”

“Hai, belum apa-apa lagi dah up calon suami. Kenal pun belum lagi, kan?”

Qaira terkedu. Ternyata dia tersalah berbicara.

“Berapa peratus dah siap?” tanya Lija, berminat.

Matanya tertancap pada skrin laptop. Satu per satu bait-bait kata di situ dibaca dan cuba untuk difahami. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali Qaira menulis, dia yang menjadi tukang baca. Mencari salah silap serta logik dan tak logik pada manuskrip rekaan Qaira.

“Ibu ada call kau tak?”

“Ibu? Tak ada. Kenapa?”

“Yalah, lepas kes kau lari dari blind date tu.”

Qaira ketawa kecil. Ingatannya mengimbas semula pertemuan itu.

“Aku ada cadangan macam mana kau nak jumpa dengan calon suami kau tu.”

“Cadangan? Apa dia?”

“Nanti aku beritahu kau. Sekarang ni aku rasa lapar. Apa kata kita keluar pergi cari makanan? Nak tak?”

“Pula dah!”

“Kau nak tahu tak cadangan aku tu?” soal Lija sekadar menduga.

Qaira berfikir sejenak. Kemudian, dia mengangguk tanda setuju.

“Haaa… Macam tu la. Lepas kita cari makanan dan perut aku dah kenyang, aku beritahu kau cadangan aku tu. So, deal?” kata Lija penuh yakin.

“Yalah… Yalah. Kau tu kadang-kadang bukannya betul. Sekarang cakap macam ni. Lepas melantak, satu pun kau tak ingat,” kutuk Qaira, selamba.

Lija hanya tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru. Sejak dari semalam dia memikirkan cadangan itu. Berharap Qaira menerima cadangannya nanti.

WHAT? Mama kau dah carikan jodoh untuk kau?” tanya Hadif Asyraf lalu ketawa.

Ikhwan tidak membalas. Wajah ketawa Hadif ditatap seketika.

“Zaman sekarang kita sendiri yang cari jodoh. Bukan mak bapak kita. Kuno dan kolot!” sambung Hadif masih ketawa.

Ikhwan masih membisu. Kata-kata Hadif meniti dalam minda.

“Kita ada hak tentukan siapa jodoh kita. Bukan mak bapak kita,” tegas Hadif.

“Kadangkala calon mak bapak kita adalah yang terbaik untuk diri kita, Dif,” suara Ikhwan. Air minuman diteguk perlahan.

“Terbaik kau kata? Cuba kau tengok kawan kita, Si Azhar. Dia kahwin atas pilihan mak bapak dia. At the end, bercerai. Tak serasi. Perempuan ada masalah.”

“Mungkin jodoh mereka takat tu saja.”

“Aku tak setuju dengan jodoh pilihan mak bapak ni. Kalau boleh, biar aku sendiri yang cari. Aku kenal dan bercinta.”

“Orang tua-tua kata, bercinta lepas kahwin kan membawa bahagia ditambah dengan restu keluarga.”

“Pemikiran kolot! Aku tetap tak percaya!” tegas Hadif.

Ikhwan hanya menggeleng. Sejak dari dulu lagi Hadif akan membidas jika melibatkan soal jodoh. Dia tidak percayakan jodoh yang dirancang oleh keluarga. Mungkin disebabkan kisah kakak kandung Hadif, Hazleen membuatkan pemuda itu berfikiran sebegitu.

Hazleen berkahwin atas tiket keluarga. Tetapi perkahwinan Hazleen hanya bertahan selama seminggu. Ini kerana suami Hazleen sudah mempunyai kekasih hati sebelum mereka berkahwin. Disebabkan itu, Hazleen membawa diri ke suatu tempat yang tidak diketahui oleh Hadif sekeluarga. Alasan untuk merawat kelukaan dalam hati.

“Walau apa pun alasannya, aku tetap tak suka dan tak percaya dengan jodoh keluarga. Kau sendiri tahu kan apa yang terjadi pada Hazleen. Sampai ke hari ini aku tak dapat nak maafkan ayah aku. Disebabkan keputusan ayah aku buatkan kakak aku jadi macam tu.”

Ikhwan menghela nafas ringan. Diperhatikan riak di wajah Hadif.

“Kalau ayah tak paksa Kak Leen kahwin dengan malaun tu, Kak Leen takkan bawa diri sampai ke hari ni. Aku takkan kehilangan kakak. Aku tak ada sesiapa melainkan Kak Leen. Pada siapa lagi aku nak mengadu kalau bukan Kak Leen?” luah Hadif bernada sebak.

“Aku faham, Dif. Aku faham perasaan kau. Tapi kau kena terima semua tu sebagai ketentuan Allah. Dah tertulis yang perjalanan hidup Hazleen begitu. Bukan salah ayah kau. Bukan salah sesiapa. Allah dah tetapkan semua tu terjadi. Terima seikhlas hati. Ayah kau buat macam tu sebab dia tahu mana yang terbaik untuk anak-anak dia,” nasihat Ikhwan, panjang lebar. Berharap Hadif mendengar kata-kata nasihatnya itu.

Hadif tidak membalas. Air minuman dipandang dengan pandangan kosong.

“Kau ada cuba contact Hazleen?” tanya Ikhwan sekadar ingin tahu.

“Aku cuba tanya kawan-kawan dia. Dia orang semua tak tahu di mana dia berada sekarang,” jawab Hadif lalu menunduk.

“Tak apa la, Dif. Insya-Allah suatu hari nanti, kau akan berjumpa dengan Hazleen. Dia memerlukan ruang untuk memperbaiki diri dan menerima ketentuan Allah.”

Hadif mengangguk perlahan. Ada benarnya kata-kata Ikhwan. Walau bagaimanapun, dia tetap mengharapkan Hazleen pulang ke pangkuan mereka. Berdoa agar Hazleen dilindungi dan dirahmati Allah.

“Hai!” tegur Qaira, tiba-tiba.

Tersentak Hadif dan Ikhwan buat seketika. Masing-masing menghalakan mata ke wajah Qaira. Kenapa dengan gadis itu? Malah, pegangan di lengan membuatkan Hadif berkerut dahi.

“Kau…”

Syhhh!” suruh Qaira.

Dia menundukkan muka tatkala seorang pemuda menghampiri meja itu. Berdoa agar dihalang pandangan pemuda tersebut.

Ikhwan dan Hadif berkerut dahi. Mata mereka memandang ke arah seorang pemuda yang berada tidak jauh dari meja mereka. Apa yang berlaku ketika ini?

“Ada lagi tak?” soal Qaira berbisik masih menunduk.

“Apa yang ada?” soal Hadif pula.

Mamat tu!” balas Qaira.

Hadif memandang sekeliling restoran. Matanya mencari kelibat mamat yang dimaksudkan oleh Qaira.

“Dah pergi, cik,” ujar Ikhwan.

Qaira yang mendengar segera mengangkat muka. Melilau matanya melihat sekeliling restoran. Mencari kelibat Fadzil.

Fuh! Lega,” ucap Qaira kemudian.

Hadif menarik kasar lengannya dari pegangan Qaira. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Dibetulkan T-shirt yang sedikit terangkat.

“Kenapa ni, cik?” tanya Ikhwan, berminat.

“Saya kena kejar dengan mamat gila,” jawab Qaira, selamba.

Mamat gila?” ulang Ikhwan, berkerut dahi.

“Dari tadi mamat tu kejar saya. Kawan saya pun hilang entah ke mana.”

“Dia yang gila atau kau yang gila?” sampuk Hadif bernada sinis.

Qaira menoleh. Matanya tepat ke wajah Hadif.

“Dif!” tegur Ikhwan kurang senang.

“Aku tak rasa mamat tu kejar tanpa sebab. Mesti ada benda yang minah ni buat kat mamat tu. Kalau tak, takkan mamat tu kejar dia?” jelas Hadif sambil berpeluk tubuh.

“Mungkin betul apa yang cik ni cakap. Kau sendiri tengok macam mana tingkah laku mamat tu tadi.” Ikhwan bersuara. Gelengan kecil diberikan kepada Hadif.

“Kau ni mudah sangat percaya pada orang. Entah-entah minah ni memang gila. Tak pun mamat tu tadi pegawai dari hospital sakit jiwa. Nak tangkap minah ni. Pesakit gila melarikan diri daripada tahanan.” Selamba Hadif berkata.

Bulat mata Qaira mendengarnya. Tajam matanya ke riak selamba Hadif. Ikutkan hati, mahu disekeh mamat bermulut celopar itu.

“Hadif, kenapa cakap macam tu?” Ikhwan menegur buat kali yang kedua. Kurang senang dengan kata-kata Hadif.

Qaira hanya mendengar. Tanpa menunggu, dia bangun dan beredar dari situ. Dikepalkan tangan sambil cuba menahan kemarahan dalam hati.

Haish! Sakit hati aku ni,” marah Qaira, mendengus kasar.

“AIR,” ujar Lija. Secawan Milo panas dihulurkan kepada Qaira.

Qaira membalas huluran. Air minuman diteguk perlahan.

“Nasib baik kau tak ada apa-apa. Kalau tidak…”

Lija mematikan ayat. Pasti Qaira memahami maksud kata-katanya itu. Disebabkan kehadiran Fadzil tiba-tiba, mereka bertindak melarikan diri. Fadzil merupakan salah seorang calon suami Qaira. Disebabkan penolakan Qaira, Fadzil bertindak kasar dengan memaksa gadis itu. Qaira hampir terjatuh akibat paksaan Fadzil.

“Cuak aku tadi kau tahu tak?”

“Kau ingat kau seorang saja ke? Aku pun cuak kau tahu tak?”

“Aku tak sangka perkara ni boleh jadi sampai macam ni sekali. Disebabkan penolakan aku, Fadzil bertindak macam tu.”

Lija tidak menjawab. Otaknya dikerah berfikir.

“Macam mana dengan lelaki-lelaki lain yang pernah aku tolak? Dia orang pun nak balas dendam pada aku ke?” soal Qaira bernada khuatir.

“Kau janganlah fikir yang bukan-bukan. Mungkin Fadzil buat macam tu sebab dia tak boleh nak terima penolakan kau. Kau kan tahu Fadzil tu sukakan kau.”

“Bukan aku yang nak sangat berkenalan dengan dia orang tu semua. Ibu aku yang pandai-pandai nak kenenkan aku dengan dia orang.”

“Insya-Allah, tak ada apa-apa. Kau janganlah risau.”

Qaira tidak membalas.

“Lagipun, dari dulu lagi Fadzil tu suka kat kau. Mungkin dia tak boleh nak terima penolakan kau.”

“Aku tahu dia dah lama suka kat aku. Aku pernah beritahu dia yang aku perlukan masa untuk berfikir. Tapi dia tak boleh nak terima jawapan aku.”

Lija mengangguk faham. Bukannya dia tidak kenal dengan Fadzil. Pemuda itu seuniversiti dengan mereka berdua.

“Aku harap perkara ni tak berlaku lagi. Aku juga berharap, lelaki-lelaki lain tak seperti Fadzil,” ujar Qaira penuh harapan.

“Insya-Allah, mudah-mudahan,” balas Lija lalu tersenyum.

Qaira menghela nafas ringan. Peristiwa yang berlaku tadi masih meniti dalam minda. Seminit kemudian, wajah pemuda yang bermulut celopar menyapa mata.

“Huh! Mamat tu!” rengus Qaira, keras.

Mamat? Mamat mana?” soal Lija, berkerut dahi.

Mamat yang aku tumpang menyorok kat dia tadi. Memang mulut longkang betul!”

Lija cuba mengimbas kata-kata Qaira.

“Ada ke dia kata aku pesakit mental lari daripada tahanan. Memang sengal betul mamat tu. Suka hati saja nak kata aku macam tu.”

Tergelak Lija mendengarnya. Wajah tegang Qaira ditatap mesra.

“Yang kau gelak kenapa?” tegur Qaira, keras.

“Lancang betul mulut mamat tu sampaikan dia gelar kau pesakit mental,” balas Lija masih ketawa.

“Bukan lancang. Macam longkang terus. Busuk!”

“Relaks la, Aira. Tak elok marah-marah macam ni.”

“Kau nak suruh aku relaks? Mamat tu memang berlagak gila.”

Handsome tak?”

“Apa pasal pula kau tanya handsome ke tidak?”

“Mana la tahu kan bakal calon suami kau.”

“Huh! Tak ada maknanya. Mintak dijauhkan. Mulut longkang macam tu nak jadi suami aku? Daripada dia, baik aku ambil Fadzil tu saja.”

Lija yang mendengar ketawa. Geli hati melihat riak di wajah Qaira.

“Tapi aku macam pernah jumpa dengan dia sebelum ni,” ujar Qaira, perlahan. Dikerahkan otak supaya mengingati raut wajah Hadif. Di mana dia melihat wajah itu? Seperti pernah berjumpa sebelum ini.

Mamat bancuh kopi kat pejabat kau kut,” tebak Lija ketawa besar.

Qaira turut sama ketawa. Otaknya masih ligat berfikir.

“Aku dah mengantuk. Aku masuk bilik dulu,” ujar Lija kemudian.

Qaira sekadar mengangguk. Dia masih memikirkan gerangan lelaki itu.

“Kat mana aku jumpa dengan dia?” soal Qaira kepada dirinya sendiri. Dia bingkas bangun dan melangkah menuju ke dapur. Gelas minuman dibasuh dan diletakkan di atas pengering pinggan mangkuk.

“Haaa… Dalam meeting petang tadi. Mamat tu la yang kritik aku,” suara Qaira sebaik sahaja mengingatinya.

QAIRA memerhati tingkah laku Puan Noraini. Ibunya itu sedang mundar-mandir sambil berpeluk tubuh. Apa yang tidak kena dengan ibunya itu? Kenapa dia disuruh pulang dengan tiba-tiba? Adakah disebabkan hal yang lepas maka dia dipanggil pulang? Hal di mana dia mengelakkan diri daripada berkenalan dengan Sharmin, anak Imam Mahadi.

Keluhan ringan terlepas dari bibir. Sejak dari dulu lagi ibunya tidak putus-putus mencari calon suami buatnya. Naik muak dan jemu tatkala dipaksa untuk bertemu dengan kesemua calon tersebut. Jika tidak diikutkan, dikatanya anak derhaka. Mahu tidak mahu, terpaksa jugalah dia berjumpa dengan mereka semua. Sekadar syarat sahaja.

“Ibu dah cari calon yang sesuai untuk Aira,” ujar Puan Noraini.

“Calon lagi!” keluh Qaira, perlahan.

“Selagi Aira tak bawa calon untuk ibu, selagi itu ibu akan kacau hidup Aira!” tegas Puan Noraini. Dilabuhkan duduk di hadapan Qaira.

“Ibu ni tak bagi chance Aira nak hidup aman la.”

“Ibu tak peduli. Selagi Aira tak jumpa dan bawa calon untuk ibu dan ayah, selagi itu ibu akan cari calon untuk Aira.”

“Sampai hati!”

“Sampai hati ke tak sampai hati ke, ibu tetap dengan rancangan ibu. Nak tak nak, Aira kena juga dengar cakap ibu.”

Qaira mengeluh untuk kesekian kali. Keputusan Puan Noraini menjerut hati. Bukannya dia tidak mahu berusaha mencari. Sejak dari universiti lagi dia berusaha. Setiap kali dia meminati seorang lelaki, pasti ada halangan yang mendatang.

Wajah Ady menyapa mata dengan tiba-tiba. Lelaki yang pernah disukai ketika di universiti dahulu. Disebabkan Ady mempunyai komitmen terhadap keluarga, maka dia ditolak. Dalam erti kata yang lain, dia hanyalah bertepuk sebelah tangan.

“Dengar tak apa yang ibu cakap ni?” tegur Puan Noraini.

“Haaa… Apa dia, ibu?” soal Qaira, terpinga-pinga.

“Orang tengah bercakap, dia mengelamun pula.”

Qaira hanya tersenyum. Entah kenapa rasa rindu dengan kenangan bersama Ady. Adakah rasa kasih dan sayang terhadap Ady masih tersemat kemas dalam hati?

Setiap kali dia membuka akaun Facebook, tidak pernah terlepas melihat akaun Facebook Ady. Tatkala melihat kebahagiaan Ady, rasa cemburu hadir dalam benak hati. Adakah dia akan sebahagia Ady suatu hari nanti?

“Aira!” Puan Noraini menegur buat kali yang kedua.

“Apa dia, ibu?” tanya Qaira, perlahan.

“Ibu nak Aira jumpa dengan lelaki tu. Ibu dah tetapkan hari, masa dan tempat. Aira pergi jumpa saja dengan dia,” jelas Puan Noraini.

“Perlukah ibu?” Qaira bertanya lagi.

“Seperti yang ibu katakan tadi. Perlu!” tegas Puan Noraini lalu bangun dari duduk.

Qaira tidak membalas. Wajah Puan Noraini ditatap seketika.

“Kali ni ibu tak nak ada masalah lagi seperti yang lepas. Ingat, Aira!” amaran Puan Noraini lalu beredar dari situ.

Qaira hanya memandang. Dia menyandarkan tubuh ke sofa. Apa yang harus dilakukan ketika ini? Perlukah dia menerima cadangan Puan Noraini?

“Kenapa aku susah nak lupakan dia?” soal Qaira, sendirian. Dia bangun dari duduk dan melangkah menuju ke bilik. Otaknya memikirkan permintaan Puan Noraini.

“Perlukah aku terima kali ni?” tanya Qaira pula. Satu per satu anak tangga didaki. Permintaan Puan Noraini berlegar-legar dalam minda.

“Cadangan Lija!” Terpacul ayat itu dari bibirnya.

Cadangan yang diutarakan Lija dua hari yang lepas berlegar-legar dalam minda. Ada baiknya dia menerima cadangan Lija itu.

“Baik aku call Lija. Bincang pasal ni,” suara Qaira lalu tersenyum senang.

“DARI tadi Jah tengok abang termenung saja ni kenapa? Abang ada masalah ke?” tegur Hajah Halijah sambil duduk.

Haji Saiful sedikit tersentak. Dihalakan mata ke wajah Hajah Halijah.

“Abang fikirkan apa? Hadif?” soal Hajah Halijah lagi.

Haji Saiful menghela nafas ringan. Anggukan kecil diberikan kepada isterinya itu.

“Kenapa dengan Hadif?”

“Abang fikirkan masa depan Hadif.”

“Masa depan Hadif?”

“Umur Hadif dah nak masuk 27 tahun. Sampai ke hari ni, Hadif tak pernah bawa mana-mana gadis untuk diperkenalkan kepada kita.”

“Oh! Itu yang abang risaukan.”

Haji Saiful mengangguk lemah.

“Abang janganlah risau. Lambat-laun nanti, ada la tu.”

“Abang tetap risau, Jah. Abang yakin Hadif masih marah dengan abang atas apa yang berlaku kepada Hazleen dulu.”

Hajah Halijah tidak membalas.

“Hadif masih marah dengan abang atas keputusan abang yang dulu. Abang paksa Hazleen berkahwin dengan pilihan abang. Disebabkan keputusan abang tu, Leen tinggalkan kita tanpa khabar berita. Abang tak pernah nak memahami perasaan Leen. Abang ikutkan perasaan ego abang sehingga abang tak menyelami hati anak abang sendiri.”

“Semua tu dah berlaku. Tak boleh nak diputarkan kembali.”

“Abang tetap rasa bersalah, Jah.”

Hajah Halijah menggeleng perlahan. Tangan Haji Saiful ditarik lalu digenggam erat.

“Mungkin sebab tu Hadif tak nak kita carikan calon untuk dia. Mungkin juga Hadif takut nak bercinta atau berkawan dengan mana-mana perempuan.” Haji Saiful menyuarakan apa yang dirasai selama ini.

“Tak apalah, bang. Mungkin Hadif dah ada calon yang sesuai dan tak nak beritahu kita. Mungkin belum tiba masanya untuk kenalkan dengan kita.”

Hajah Halijah sekadar menduga. Mungkin ada benarnya kata-kata Haji Saiful. Disebabkan keputusan Haji Saiful terhadap Hazleen membuatkan Hadif memendam perasaan marah. Sehingga ke hari ini, anak-beranak itu tidak seia dan sekata. Ada sahaja perkara yang dibahaskan oleh anak-beranak itu.

“Jah ada rancangan,” ujar Hajah Halijah.

“Rancangan? Rancangan apa?” tanya Haji Saiful, berminat.

“Kita upah seorang perempuan dan kenalkan dengan Hadif.”

“Upah perempuan? Awak biar betul, Jah?”

“Kita suruh perempuan tu kerja dengan Hadif. Jadi PA Hadif dan tolong siasat untuk kita. Mungkin kita boleh tahu sama ada Hadif ada kawan perempuan ataupun tidak.”

Haji Saiful berfikir sejenak. Otaknya cuba merencana kata-kata Hajah Halijah.

“Mana la tahu kan lepas kenal dengan perempuan tu Hadif jatuh cinta. Itu pun kalau Hadif tak ada kawan perempuan lain.”

Haji Saiful masih lagi berfikir.

“Macam mana?”

“Boleh ke kita buat macam tu, Jah? Kita permain-mainkan perasaan Hadif. Kalau Hadif dapat tahu, kita juga yang susah nanti. Bertambah benci Hadif dengan abang.” Haji Saiful menyuarakan rasa kerisauan.

As long Hadif tak tahu tentang ni.”

“Kita menipu Hadif. Tak pasal-pasal kita aniaya anak gadis orang.”

Hajah Halijah tidak membalas. Ada benarnya juga kata-kata Haji Saiful itu. Seandainya Hadif mengetahui perkara yang sebenar, pasti gadis itu akan dibenci oleh Hadif.

“Kita bagi peluang pada Hadif cari pasangan hidupnya sendiri. Kalau tak ada juga, baru kita masuk campur. Kita carikan calon untuk Hadif,” ujar Haji Saiful.

Hajah Halijah sekadar mengangguk. Senyuman diberikan kepada Haji Saiful.

“Kita doakan yang terbaik untuk anak-anak kita.”

“Insya-Allah, abang.”

“Abang rindukan Hazleen.”

“Jah pun sama, bang. Dah macam-macam usaha kita lakukan untuk mencari Hazleen. Tapi semua tu tak mendatangkan hasil. Di mana kita nak cari Hazleen lagi?”

“Abang harap suatu hari nanti Leen pulang ke pangkuan kita. Abang rasa bersalah dengan Leen. Abang…”

“Sudahlah, bang. Kita doakan agar terbuka pintu hati Leen untuk pulang.”

Haji Saiful menghela nafas berat. Hanya doa yang dapat diberikan buat Hazleen agar selamat di mana sahaja anaknya itu berada.

SO, kau terima tak dengan cadangan aku tu?” tanya Lija tidak sabar.

“Ada something la dengan cadangan kau tu,” balas Qaira. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi lalu berpeluk tubuh.

“Apa yang something?”

“Yalah! Siapa yang boleh kita upah jadi calon suami aku tu?”

Lija berfikir sejenak. Wajah-wajah calon suami Qaira menyapa seorang demi seorang.

“Macam tak ada siapa pun yang sesuai.”

“Haaa… Sharmin.”

“Sharmin? Anak tok imam tu?”

Lija mengangguk.

“Hesy… Tak nak aku. Dibuatnya ibu aku berkenan, tak pasal-pasal aku dinikahkan oleh bapak dia sendiri.”

Lija ketawa mendengarnya.

“Apa kata kita iklan kat dalam Facebook, nak tak?”

“Wei, kau biar betul?”

“Betul la.”

“Kau gila? Aku ni dah la novelis. Tak pasal-pasal jadi isu pula.”

Lija tersengih.

“Kalau Haris macam mana?”

“Haris? Maksud kau Haris Samad? Kawan matrik kau dulu?”

Qaira mengangguk lalu tersenyum.

“Kau dah buang tabiat ke? Dia kan suami orang. Dah ada dua orang anak pun. Kau tahu kan wife dia tu macam mana. Cemburu!”

“Aku cadang saja. Aku pun tahu Fatimah tu macam mana orangnya.”

“Aku rasa kita tolak ke tepi cadangan pertama ni. Apa kata kita guna cadangan kedua? Itu lebih senang daripada cadangan pertama.”

“Maksud kau daftar kat My Jodoh?”

Lija mengangguk laju.

Errr…” Qaira termati kata-kata.

“Ala… Bukannya orang tahu kau daftar kat sana. Aku ada terbaca satu artikel ni. Ramai yang bertemu jodoh melalui website My Jodoh tu.”

“Aku tak rasa rancangan kau tu bernas.”

“Belum cuba belum tahu. Kau cuba la.”

Qaira menggaru kepala. Buntu ketika ini.

Meh aku tolong bukakan website dia,” ujar Lija sambil menghampiri Qaira. Laptop di hadapan ditarik. Jemarinya memainkan peranan dengan menggerakkan tetikus dan menekan papan kekunci.

Qaira hanya memandang. Tingkah laku Lija diperhati penuh minat.

“Aku dah tolong bukakan website. Kau daftarlah. Free saja. Cuma kalau kau nak communicate dengan orang lain, mean hantar mesej and so on, kau kena bayarlah,” terang Lija penuh semangat. Diserahkan laptop kepada Qaira.

Terror juga kau bab-bab ni,” puji Qaira sambil jemari menggerakkan tetikus.

“Aku pun daftar kat situ,” ujar Lija lalu tersengih.

Qaira ketawa mendengarnya. Kepala menggeleng kecil.

“Wah! Handsome-handsome lelaki dalam ni. Perempuan-perempuan dalam ni pun boleh tahan juga. Ada juga yang cantik. Takkan semuanya masih single?”

“Dia orang tu memilih. Mana nak dapat kalau nak cari yang cantik atau handsome.

Qaira mengangguk faham. Satu per satu profil diperhati. Tingkah lakunya terhenti tatkala tertarik kepada satu profil.

“Novelis!” sebut Qaira, perlahan.

“Siapa? Kau ke?” tanya Lija seraya menoleh.

“Eh, bukan aku. Ni ha. Ada satu profil. Nickname dia novelis.”

Lija segera menatap skrin laptop. Membaca profil tersebut.

“Lelaki!”

“Macam menarik dan tertarik saja.”

Qaira tidak membalas. Dia meneliti profil itu.

Beb, aku nak keluar beli barang sekejap. Kau nak pesan apa-apa tak?”

“Tak ada!”

“Kalau macam tu, aku keluar sekejap.”

Qaira hanya mengangguk. Matanya masih meneliti profil tersebut.

“Umur 27 tahun. Ampang. Pengurus. Pergh! Jawatan dia. Tapi kenapa dia guna nickname ‘novelis’?” soal Qaira sendirian. Matanya masih menatap skrin laptop. Satu per satu maklumat tentang novelis itu dibuka dan dibaca.

“Baik aku mesej dia. Macam menarik saja mamat ni,” kata Qaira.

Tanpa berlengah, dia segera membuat bayaran melalui online pada pakej yang diambil. Setelah itu, dia meneroka senarai kenalan satu per satu. Rasa teruja untuk melihat mereka yang berdaftar di website itu.

HADIF menyandarkan tubuh ke kepala katil. Kepenatan bermain tenis mulai terasa dan minta direhatkan. Otaknya mengimbas semula perbualan Haji Saiful dan Hajah Halijah. Bukannya dia sengaja mencuri dengar perbualan kedua-dua orang tuanya itu. Secara tidak sengaja dia terdengar perbualan mereka.

Keluhan dilepaskan. Cadangan Hajah Halijah meniti dalam minda. Cadangan mengupah seorang gadis untuk diperkenalkan dengannya. Adakah dia tidak laku sehingga uminya sanggup menyuarakan cadangan tersebut?

Hadif membaringkan tubuh. Kata-kata Ikhwan terngiang-ngiang dalam minda ketika ini. Ikhwan tidak pernah berputus asa dalam menasihatinya.

“Jodoh itu rahsia Allah. Kita dijadikan berpasang-pasangan. Lambat dengan cepat sahaja,” suara Ikhwan, perlahan.

Hadif hanya tunduk mendengar. Tidak berniat untuk membalas.

“Ajal, maut, jodoh dan pertemuan. Semua itu ketentuan Allah. Aku yakin, jodoh kau dah ditetapkan oleh Allah. Cuma belum tiba masanya untuk kau bertemu dengan jodoh kau tu,” sambung Ikhwan lagi.

“Aku tahu, Wan. Semua tu ditentukan oleh Allah,” balas Hadif seraya mengangkat wajah.

“Kalau kita tak berusaha, kita takkan dapat hasilnya. Kau kena berusaha mencari.”

“Aku belum bersedia lagi.”

“Sampai bila nak tunggu kau bersedia? Kalau kau cakap macam tu, selama-lamanya kau takkan bersedia nak ke alam perkahwinan. Mungkin kau perlu cuba berkenalan dengan seorang perempuan. Selama ini aku tak pernah tengok kau keluar dengan mana-mana perempuan sedangkan masa di universiti dahulu, kau seorang yang boleh dikatakan popular,” terang Ikhwan, panjang lebar. Wajah Hadif ditatap mesra.

Hadif tidak membalas. Ada benarnya penerangan Ikhwan. Dulu, dia seorang yang popular di universiti dan menjadi rebutan para gadis di universiti itu. Kini, dia bukanlah seperti itu. Semenjak dia bekerja, masanya dihabiskan pada kerjaya. Untuk bersosial, jarang sekali. Disebabkan itu, sehingga ke hari ini dia belum mempunyai kekasih hati.

“Kalau kau dah bersedia, kau beritahu pada aku. Insya-Allah, aku akan bantu kau.”

“Tengoklah nanti.”

Bunyi mesej masuk menyentak lamunan pendek Hadif. Dicapai telefon bimbit lalu membaca kiriman mesej.

“Mungkin aku boleh ikut rancangan umi,” kata Hadif sendirian.

Skrin telefon ditatap dengan pandangan yang kosong. Otaknya sedang cuba memproses rancangan Hajah Halijah.

“Mungkin aku perlu cari seorang perempuan untuk berlakon. Dengan cara itu, mereka takkan cari calon untuk aku. Aku tak nak jadi macam Kak Leen,” sambung Hadif lagi.

Berkerut dahinya memikirkan tentang itu. Jika dia mengikut cadangan Hajah Halijah, siapa yang sanggup memegang watak itu?

Minah gila!” sebut Hadif seraya mengangkat tubuh.

ENCIK BORHAN meneliti fail di hadapan. Berkerut-kerut dahinya meneliti maklumat di dalam fail itu. Seperti ada yang tidak kena pada maklumat yang dilaporkan oleh Qaira. Usai meneliti, diletakkan fail ke tepi. Matanya memandang wajah Qaira yang sedang mengelamun.

Sejak mula Qaira bekerja, dia sudah sebati dengan sikap dan perangai Qaira. Dari segi kerja, Qaira seorang yang amanah, bertanggungjawab dan jujur. Jarang sekali Qaira melakukan kesilapan. Gadis itu pandai membahagikan masa di antara kerja dan menulis.

“Qaira!” tegur Encik Borhan kemudian.

Qaira tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu. Adakah permintaan Puan Noraini yang sedang difikirkannya itu? Permintaan supaya hadir ke satu majlis di rumah teman ibunya.

Kenapa Puan Noraini mengajaknya ke majlis itu? Adakah Puan Noraini berniat untuk memperkenalkan dia dengan calon seterusnya? Calon yang diperkatakan oleh Puan Noraini sehari yang lepas.

“Qaira Nur Imani!” Encik Borhan memanggil dalam nada keras.

“Haaa… Apa dia, Encik Borhan?” soal Qaira sebaik sahaja tersedar.

“Awak ni tak habis-habis nak mengelamun. Awak ada masalah ke?”

“Tak adalah, Encik Borhan.”

“Awak dah lama jadi staf saya, Qaira. Segala riak di wajah awak tu saya dah boleh baca. Apa masalah awak?”

Qaira tersenyum kelat. Kepala menggeleng kecil.

“Pasal kerja?”

“Eh, tak. Bukan pasal kerja. Pasal peribadi.”

“Peribadi?”

Qaira sekadar mengangguk.

“Kalau awak tak keberatan, awak boleh cerita pada saya. Anggap saya ni macam ayah awak sendiri.”

“Tak apalah, Encik Borhan. Saya boleh selesaikan sendiri masalah saya. Maafkan saya kalau tingkah laku saya kurang senang dalam hati encik.”

“Awak risau pasal jodoh?” tebak Encik Borhan.

Qaira tergamam. Bagaimana Encik Borhan dapat mengagak masalahnya ketika ini?

“Ayah Aira dah cerita kesemuanya pada uncle,” beritahu Encik Borhan.

Sudah berubah kata ganti diri. Bukannya dia tidak kenal dengan Encik Qamil, ayah Qaira. Encik Qamil merupakan rakan seuniversitinya dahulu.

“Aira tak risaukan pasal tu. Ibu tu yang lebih-lebih. Kadang-kadang naik runsing Aira dengan rancangan dan permintaan ibu,” luah Qaira. Selesa berbual begitu.

“Ibu Aira buat macam tu demi kebaikan Aira juga. Dia risaukan Aira.”

“Tapi…”

“Tak apalah, Aira. Jika dah tertulis jodoh Aira, ada juga nanti. Banyakkan berdoa dan berusaha,” kata Encik Borhan bernada nasihat.

Qaira hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Encik Borhan.

“Petang nanti ikut uncle,” ujar Encik Borhan bernada arahan.

“Ke mana?” soal Qaira, berkerut dahi.

“Ada discussion dengan Haji Saiful.”

“Oh, baiklah!”

“Aira boleh keluar sekarang. Apa-apa nanti, uncle beritahu. Tentang laporan kewangan ni, nanti uncle semak balik,” arah Encik Borhan.

Qaira tidak membalas. Dia bangun lalu menapak keluar dari bilik. Otaknya sedang berfikir. Siapa Haji Saiful? Adakah dia lupa siapa Haji Saiful?

“HADIF!” tegur Haji Saiful.

Hadif mematikan langkah. Dihalakan mata ke arah Haji Saiful.

“Hadif nak ke mana?” soal Haji Saiful sambil melangkah menghampiri.

“Keluar makan,” jawab Hadif acuh tak acuh.

“Petang ni kita ada meeting dengan Encik Borhan. Wahida ada beritahu pada Hadif?”

“Ada.”

“Kita nak bincang tentang projek kita di Shah Alam tu. Ayah…”

“Hadif keluar dulu,” pintas Hadif laju lalu beredar dari situ.

Haji Saiful hanya memandang. Keluhan berat dilepaskan. Hadif masih bersikap dingin dengannya. Adakah selama-lamanya Hadif akan bersikap begitu? Semuanya disebabkan keputusannya yang lepas.

Hadif melangkah keluar dari pejabat. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Orang ramai berpusu-pusu keluar menuju ke restoran.

Alone!” suara Hadif sendirian.

Dia memulakan langkah menuju ke restoran yang berdekatan. Keluhan ringan terlepas dari bibir untuk ke sekian kali.

“Hai!” tegur Qaira, tiba-tiba.

Tersentak Hadif buat seketika. Malah, pegangan di tangan membuatkan dia bertambah terkejut. Dia menoleh buat seketika. Wajah Qaira menyapa mata.

“Kau!” sebut Hadif kemudian.

Syhhh!” suruh Qaira sambil meletakkan jari telunjuk di bibir.

Berkerut Hadif melihat tingkah laku Qaira. Apa yang dimaksudkan oleh gadis itu?

“Qaira!” panggil Norman sedikit meninggi.

Qaira menoleh. Peluh dingin sudah membasahi dahi.

Please! Tolong saya!” bisik Qaira penuh mengharap.

“Qaira!” Norman memanggil buat kali kedua. Lengan gadis itu ditarik.

Terhenti langkah Qaira. Dilepaskan pegangan di tangan Hadif.

“Dah lama I cari you. Kenapa you larikan diri daripada I?” soal Norman.

“I… I…” Qaira tersekat-sekat.

“Kenapa, Qaira?” Norman bertanya lagi.

Qaira serba salah. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Norman?

“Qaira!” panggil Norman lagi.

Hadif yang melihat tidak berminat untuk membantu. Dia menyambung langkah yang terhenti sebentar tadi.

“Awak!” panggil Qaira tatkala melihat pemergian Hadif.

“Qaira!” panggil Norman buat kali yang kedua.

“Saya ada meeting. Nanti kita jumpa lagi,” jawab Qaira laju.

Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Tercungap-cungap nafasnya. Disentuh dadanya buat seketika. Cuba menahan kelajuan jantung.

Fuh! Nasib baik dia tak ikut aku lagi. Ya Allah, kenapa la malang sangat aku ni? Asyik jumpa dengan lelaki-lelaki yang aku tolak dulu,” luah Qaira sendirian.

Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Ingatan memutarkan semula perkenalan dengan Norman. Pemuda itu merupakan anak kawan Puan Noraini dan salah seorang calon ibunya. Sejak pertemuan pertama mereka, Norman sering kali mengganggu hidupnya.

Gangguan itu terhenti selepas Norman berkahwin dengan pilihan orang tuanya. Tetapi kenapa Norman masih mengganggu hidupnya sedangkan lelaki itu sudah berumah tangga? Persoalan yang meniti dalam minda ketika ini.

“Ah! Malas aku nak fikir. Buat sakit otak saja,” putus Qaira lalu beredar dari situ.

“SEORANG nampak?” tegur Qaira seraya duduk.

Tersedak Hadif dek teguran itu. Terkejut!

Sorry!” balas Qaira, kesal.

Segelas air minuman dihulurkan kepada Hadif. Tingkah laku pemuda itu diperhati penuh minat. Senyuman meniti di bibir.

“Kau nak apa?” soal Hadif sehabis sahaja air minuman diteguk.

“Tak ada apa. Saja!” balas Qaira lalu bersandar ke kerusi. Dia berpeluk tubuh di situ.

Hadif memandang tajam wajah Qaira.

“Awak ni boleh tahan handsome juga.”

“Kau nak apa sebenarnya?”

“Nak bincang business dengan awak. Nak tak?”

Business apa?”

Qaira menghela nafas ringan.

“Jangan buang masa aku boleh tak?”

“Awak jadi calon suami saya boleh?”

What?!” Hadif terkejut pantas berdiri.

“Relaks la, bro. Takkan itu pun nak terkejut?” kata Qaira lalu ketawa kecil.

Hadif mendengus kasar. Dia duduk di atas kerusi semula lalu meneguk rakus air dari dalam gelas. Wajah tersenyum Qaira ditatap benci.

“Kalau awak setuju, kita tetapkan syarat. Macam mana?”

“Masalah kau, aku tak nak masuk campur.”

“Saya tahu, awak pun mempunyai masalah yang sama macam saya.”

Hadif terkedu. Serta-merta perbualan Haji Saiful dan Hajah Halijah bermain dalam minda.

Come on la. Awak pun hadapi masalah yang sama macam saya, kan? Saya dah siasat pasal awak,” suara Qaira lagi.

Wajah Hadif ditatap mesra. Senyuman terbias di bibir. Pandai-pandai saja kau ni, Aira. Dibuatnya dia mengamuk, mampus kau nanti, bisik Qaira dalam hati.

“Kalau aku ada masalah sama macam kau, itu bukan masalah kau.”

“Memang la bukan masalah saya. Tapi tak salah kalau kita berkongsi masalah yang sama. Betul tak?”

Hadif tidak membalas. Dikepalkan tangan menahan kemarahan dalam hati.

“Macam mana?” soal Qaira lagi.

“Aku tak berminat!” balas Hadif bingkas bangun.

Qaira yang melihat turut sama bangun.

“Gila!” kutuk Hadif lalu beredar dari situ.

“Eh, nanti dulu!” panggil Qaira sedikit lantang.

Hadif tidak mengendahkan panggilan Qaira. Dia melangkah menuju ke pejabat. Dikerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menghampiri ke angka 2.00 petang.

“Berlagak betul mamat tu. Bukannya betul-betul. Aku main-main saja,” kutuk Qaira sambil mencebirkan bibir. Meluat melihat tingkah laku Hadif.

“Hei, aku tak minat la dengan lelaki macam kau. Perasan bagus! Perasan handsome!” laung Qaira bernada bengang. Masih tidak berpuas hati.

Hadif yang mendengar mematikan langkah. Seminit kemudian, dia menyambung langkah menuju ke pejabat.

Minah gila!” kutuk Hadif buat Qaira.

“Macam mana la aku boleh spontan saja tadi? Hesy, kau ni, Aira. Buat malu sajalah,” kutuk Qaira pula kepada dirinya sendiri.

Tanpa menunggu, dia melangkah jalan menuju ke tempat yang dituju. Seperti yang diberitahu oleh Encik Borhan tadi. Mesyuarat di pejabat Haji Saiful.

“TERIMA kasih!” ucap Encik Borhan, ramah.

Haji Saiful dan Wahida merangkap setiausaha Haji Saiful mengangguk dan tersenyum. Masing-masing melabuhkan duduk di atas kerusi.

“Apa khabar, tuan haji?” tegur Qaira, sopan.

“Sihat, alhamdulillah, Qaira. Awak macam mana? Sihat?” balas Haji Saiful.

“Saya sihat, alhamdulillah. Maafkan saya atas tingkah laku saya dalam mesyuarat yang lepas,” ucap Qaira bernada kesal.

“Tak mengapa, Qaira. Saya tak ambil pusing pasal tu. Maafkan saya juga atas tingkah laku anak saya.” Haji Saiful bersuara.

“Anak tuan haji?” Qaira berkerut dahi. Cuba untuk mengingati tentang itu.

“Itulah! Mengelamun lagi masa mesyuarat. Siapa suruh?” tegur Encik Borhan.

Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.

“Maaf lambat,” ujar Hadif, tiba-tiba.

Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Hadif yang baru menapak masuk ke dalam bilik.

Qaira turut sama menoleh. Buntang matanya melihat gerangan yang masuk ke dalam bilik itu. Serta-merta dia menundukkan wajah. Tidak menyangka lelaki itu anak kepada Haji Saiful. Peristiwa yang berlaku di restoran tadi bermain di tubir mata.

“Masuk, Hadif!” arah Haji Saiful.

Hadif melangkah masuk ke dalam bilik. Matanya memandang wajah-wajah di dalam bilik itu. Pandangannya terhenti ke seraut wajah di sebelah Encik Borhan.

“Boleh kita mulakan sekarang?” tanya Haji Saiful bernada lembut.

“Boleh, tuan haji,” jawab Encik Borhan.

Haji Saiful mengangguk. Tanpa berlengah, mereka memulakan perbincangan. Satu per satu usul diutarakan dan diperjelaskan oleh Encik Borhan.

Qaira hanya mendengar. Tidak berniat untuk menyampuk. Rasa gementar dan berdebar ketika ini. Dapat dirasakan yang Hadif sedang memandang ke arahnya. Walaupun dia tidak pasti, dia yakin pemuda itu sedang memerhati tingkah lakunya.

Usai berbincang, Qaira segera beredar dari bilik itu. Disentuh dadanya yang berdetak hebat. Situasi yang sama dihadapi ketika bermesyuarat di syarikat dulu. Adakah disebabkan Hadif, dia berkeadaan begitu?

“Ah, tak mungkin!” tukas Qaira, menggeleng laju.

Mustahil dia menyukai pemuda itu? Mustahil juga pemuda itu calon yang sesuai buat dirinya. Kata-katanya yang lepas terngiang-ngiang di cuping telinga.

“Kalau aku jumpa dengan seorang lelaki dan lelaki itu bisa buat jantung aku berdegup kencang. Rasa serba tak kena. Gelabah! Kalut! Macam pertemuan hero dan heroin ciptaan aku dalam kesemua novel aku tu. Lelaki itu yang aku cari selama ini,” ucap Qaira kepada kata-katanya yang lalu.

“Mustahil… Mustahil… Mustahil. Tak mungkin!” tukas Qaira, berkali-kali.

Tidak masuk dek akal pemuda itu lelaki yang dicari selama ini. Jauh dari apa yang diingininya. Tidak seperti hero-hero ciptaannya itu.

Argh! Stres aku kalau fikirkan pasal calon suami ni,” rengus Qaira lalu beredar dari situ menuju ke ladies room.

Belum sempat dia melangkah menghampiri ladies, tubuhnya ditarik masuk ke dalam sebuah bilik. Dia terkejut dengan tindakan itu.

“Awak nak buat apa ni?” soal Qaira, bergetar.

“Aku ada business proposal untuk kau,” jawab Hadif sambil melangkah ke kerusi. Dilabuhkan duduk di situ sambil memandang ke wajah Qaira. Senyuman sinis menghiasi bibirnya.

Qaira membetulkan keadaan. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Hadif. Riak selamba terlukis di wajah itu.

“Kau berminat tak?” tanya Hadif pula.

“Berminat apa?” soal Qaira, berkerut dahi.

“Aku jadi calon suami kau dan kau jadi calon isteri aku.”

What?!” Terjerit Qaira mendengarnya.

“Bukankah itu yang kau cadangkan pada aku tadi?”

Wait! Saya bergurau saja tadi. Janganlah ambil serius.”

“Aku tak bergurau. Aku serius!”

Qaira menelan liur. Kelat! Perbuatannya di restoran beberapa jam yang lepas telah memakan dirinya sendiri.

“Kau setuju?”

“Saya tak setuju!”

“Bukankah itu masalah kau sekarang ni?” Hadif memulangkan pertanyaan Qaira tadi.

Errr…” Qaira termati kata-kata.

“Aku pun hadapi masalah yang sama. Jadi, tak salah kalau kita selesaikan masalah kita dengan cara ni,” kata Hadif sambil berpeluk tubuh.

Sejak dari tadi dia memikirkan tentang kata-kata Qaira ketika di restoran tadi. Ada baiknya dia menggunakan pendekatan seperti itu. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu menerima cadangan Hajah Halijah. Mengupah seorang gadis untuk diperkenalkan kepadanya. Biar dia sendiri yang melaksanakan rancangan tersebut.

“Saya akui yang saya sedang menghadapi masalah tentang jodoh. Tapi itu tak bermakna saya perlu terima cadangan awak,” ujar Qaira sambil melabuhkan duduk. Dia turut sama berpeluk tubuh.

Why?” Hadif berkerut dahi.

“Pertama, saya tak kenal dengan awak. Macam mana awak nak jadi calon suami saya? Sekurang-kurangnya kena kenal hati budi masing-masing. Kedua, awak bukan dalam kategori yang saya idam-idamkan selama ini. Bukan macam hero-hero yang saya cipta dalam kesemua novel saya tu.”

“Ketiga, saya tak rasa awak seorang yang terdesak sama macam saya. Awak sekadar untuk suka-suka saja. Keempat, awak ni seorang yang tak mesra alam. Sombong dan berlagak. Dan yang terakhir, awak tak boleh nak jadi imam yang baik untuk saya,” jelas Qaira, panjang lebar.

Tanpa menunggu, dia bingkas bangun dari duduk dan memulakan langkah untuk beredar dari bilik itu. Kepala menggeleng dengan rancangan pemuda itu. Entah apa namanya pun dia sendiri tidak tahu.

“Nanti dulu!” tahan Hadif seraya bangun.

Qaira mematikan langkah. Dia menoleh ke belakang dan memandang wajah Hadif. Menanti butir bicara daripada pemuda itu.

“Terlalu awal untuk kau menilai diri aku,” ujar Hadif sambil melangkah menghampiri Qaira di muka pintu bilik.

Qaira memandang Hadif yang sedang melangkah menghampirinya.

“Pertama, kita boleh berkenalan. Tak lama mana pun kita berkenalan. Kedua, hero-hero yang kau cipta? Kau novelis?” suara Hadif.

“Ya! Saya part time novelis,” balas Qaira.

“Oh! Tak sangka yang kau ni novelis. Impressed!”

Qaira tidak membalas.

“Kau belum kenal dengan aku. Kalau kau dah kenal, kau boleh nilai aku sama ke tidak macam hero-hero dalam kesemua novel kau tu. Mungkin sedikit dan bukan 100%. Ketiga, memang aku tak terdesak.”

“Tapi untuk persiapan diri aku sendiri sebelum ayah dan umi aku cari calon untuk aku dan aku tak percaya langsung dengan perkahwinan atas dasar keluarga. Jawapan untuk yang keempat sama seperti jawapan aku yang kedua tadi. Dan yang terakhir, belum tentu kau boleh jadi makmum yang terbaik untuk aku,” jelas Hadif, panjang lebar. Matanya memandang tepat ke wajah Qaira.

Qaira hanya membisu. Otaknya cuba merencana penjelasan Hadif. Perlukah dia bersetuju dengan cadangan dan permintaan Hadif?

So? Kau setuju?” tanya Hadif lagi.

Qaira menghela nafas ringan. Anggukan diberikan tanda setuju. Tak salah mencuba, bisik hati Qaira.