Bulan Cinta

RM29.00

Penulis: Mimie Afinie

Caption: selagi ada bulan dilangit, selagi itu saya ada untuk awak.

ISBN: 978-967-406-250-7

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 29.00 RM 32.00

Pertama kali bertemu Razlan, Rania sudah jatuh hati. Hubungan rapat antara Razlan dan bapanya, Encik Raof membuatkan Rania percaya, lelaki itu turut menyukai dia. Namun ternyata dia silap. Hati Razlan langsung tiada untuk dia.

“Dari awal saya tau, awak sebenarnya suka saya. Sebab itulah awak sengaja berbaik dengan ayah saya, kan?” – RANIA

“Saya berbaik dengan ayah awak sebab ayah awak sendiri, langsung tak ada kena mengena dengan awak. Saya kalau nak cari pasangan, saya tak cari orang macam awaklah.”- RAZLAN

Ya Allah, pedihnya hati. Teruk sangatkah dia, hina sangatkah dia sampai Razlan tergamak menyebut begitu? Dia tak kisah kalau Razlan tak suka dia tapi bila Razlan menolak ‘lamaran’ ayah, dia sangat berkecil hati. Boleh dia bayangkan hati ayah yang kecewa dan terluka.

Rizman, lelaki yang ada segala-galanya. Tapi dalam ramai-ramai gadis, dia yang tidak punya apa-apa ini juga yang Rizman nampak. Dia juga yang Rizman hendak. Sungguh, dia terharu.

“Saya nak minta izin pak cik untuk mengambil Rara sebagai isteri saya. Saya sayang Rara dan saya benar-benar ikhlas.”- RIZMAN

Hanya ada dua jawapan untuk lamaran Rizman itu. Sudi atau tidak. Sangat mudah. Tetapi kenapa Rania rasa sukar untuk buat keputusan? Kenapa harus ada rasa was-was dan bimbang?

Lalu bagaimana kesudahan kisah Rania, Razlan, Rizman? Siapakah ‘bulan cinta’ Rania? Siapakah yang bakal menjadi imamnya? Razlan atau Rizman?

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“BOLEH tak Rara duduk diam-diam? Pening angah tengok Rara ke hulu ke hilir dari tadi. Orang nak tengok TV pun tak senang.” Hidayat pandang adiknya sambil jegil mata.

“Kalau tak nak pening, tak payah la tengok.” Tak cukup mengejek, Rania buat muka pula.

“Dah Rara kat depan mata angah, nak tak nak kenalah tengok.”

“Dah, dah, dah. Sebelum jadi panjang, lebih baik dua-dua diam. Nanti lain pula jadinya.”

Encik Raof terpaksa menyampuk. Kalau dibiarkan mahu jadi bergaduh. Bukan dia tak faham dengan perangai budak dua orang ni. Kalau tengah berbaik, bukan main lagi. Bertepuk bertampar, ketawa sampai tak ingat dunia. Tapi kalau bergaduh, macam-macam yang keluar dari mulut masing-masing.

“Ayahhh…” Rania dah menempel di sebelah Encik Raof di atas sofa tunggal. Manja suaranya.

“Apa dia, sayang?”

“Boleh tak kalau Rara tak nak mula esok? Rara nak minta tangguh minggu depan.” Lembut mata Rania memandang ayahnya. Nak memujuklah tu.

“Tak boleh!” Belum sempat Encik Raof kata apa-apa, Huzir menjawab. Keras suaranya.

“Bolehlah ayah.” Rania pujuk. Buat-buat tak dengar ucapan along.

“Kenapa nak minta tangguh pula?”

“Tiba-tiba Rara rasa macam tak yakin.”

“Mana boleh macam tu. Rara kena percaya pada diri sendiri. Kena yakin. Ayah percaya Rara boleh.”

“Entah, belum apa-apa dah tunjuk lemah. Rara, kita ni tak boleh cepat mengalah. Kena berjuang habis-habisan, faham?”

“Angah jangan menyampuk boleh tak? Berjuang apa benda entah. Angah ingat Rara ni nak pergi berperang ke, apa?” Rania tayang penumbuk. Hidayat balas dengan jelir lidah.

“Rara ni kan, umur dah dua puluh enam, tapi perangai sampai sekarang masih tak matang. Boleh tak Rara belajar jadi matang sikit? Belajar jadi dewasa?”

Kecil saja along di mata Rania masa ni. Pedas sungguh ayat tu weh! Tapi ayat along mana pernah tak pedas. Dari dulu macam itulah mulut dia.

“Pening pula kepala ayah dengan kau orang ni la.”

“Entah, semua sibuk nak menyampuk.” Rania juih bibir.

“Ayah cakap kau orang, bermakna termasuklah Rara sekali. Rara pun menyumbang pening kepala ayah, tau? Jangan nak perasan.” Hidayat mengejek.

“Tak ada, tak ada… Kan ayah?”

Encik Raof hanya geleng kepala sambil pandang muka Rania.

“Sekarang dah pukul sepuluh lebih. Rara nak masuk tidur sebab pagi-pagi esok Rara nak keluar pergi joging. Selain itu, Rara tak nak fikir apa-apa.”

“Rara jangan nak mengada-ngada. Pukul tujuh setengah pagi esok, along akan pastikan Rara dah ada kat depan pintu pagar,” marah Huzir.

“Tak nak.”

“Rara mana boleh buat macam tu. Eh! Along dah keluar duit banyak tau? Rara jangan suka-suka nak buat keputusan sendiri.” Huzir sambung marah.

Sambil jeling along, Rania bangun dari sofa.

“Dah bagi nak ungkit balik. Susah-susah sangat, Rara bayar balik duit along tu.”

“Ayah tau Rara bergurau aje tu. Takkan la Rara sampai hati nak malukan ayah, betul tak?”

Dengar suara ayah yang macam tu, Rania tak jadi nak menjawab lagi. Ayah selalu buat Rara kalah. Pandai betul ayah psikologi Rara. Jarang marah, pukul pun tak pernah. Itu yang buat rasa hormat semakin menebal terhadap ayah.Sememangnya Abdul Raof Mohd Shukor ialah ayah terbaik di dalam dunia ini.

JEMARINYA mengetuk-ngetuk stereng. Mulut menyanyi perlahan, mengikut rentak lagu dari radio yang sedang terpasang. Sesekali mata menoleh ke arah pintu rumah. Sudah hampir sepuluh minit dia di sini. Salam sudah beberapa kali dihulurkan, suis loceng rumah juga sudah ditekan, tapi orang yang ditunggu masih tidak kelihatan.

Hati dah sama panas dengan enjin kereta. Terus terang, dia memang pantang dengan orang yang tidak menepati masa, tidak menepati janji. Baru tangannya nak menekan hon, pintu rumah terbuka. Bukan seorang, tetapi empat orang muncul dari situ.

Dia keluar dari kereta kemudian berjalan ke arah pintu pagar. Tapi sesudah dua minit di situ, empat orang tadi masih juga berada di depan muka pintu. Sepertinya sedang berlaku sesi perbincangan di situ. Apa hal pula ni? Sampai bila nak kena tunggu?

“Assalamualaikum.” Seraya tersenyum, salam dihulurkan.

Waalaikumussalam.” Encik Raof datang ke arah pintu pagar.

“Encik ni dari Sekolah Memandu Kita ke?”

“Ya, saya.” Mesra suaranya.

“Minta maaflah encik, lama tunggu. Anak pak cik tu tak pernah bawa kereta sebelum ni. Tu yang dia cuak sikit. Kami tengah bagi semangat dekat dia la ni.”

“Okey. Tak apa. Saya tunggu.” Berlapik Razlan jawab. Biasalah kalau dengan orang berpangkat bapa, dia memang lemah sikit. Hati yang sedang hangat, mendadak jadi sejuk.

“Saya Razlan Hakimi. Panggil Razlan aje.” Kedua-dua belah tangannya dihulurkan kepada lelaki itu.

“Pak Cik Raof.” Huluran tangan Razlan disambut.

“Sekejap, pak cik panggil anak pak cik, ya?” Lantas dia bergegas ke dalam pagar semula.

Tiga minit kemudian, Encik Raof datang. Rania, Huzir serta Hidayat juga.

“Inilah Rania Aisya, anak pak cik yang nak belajar memandu tu. Yang dua orang ni pun anak pak cik.”

Kepada Rania, Razlan sekadar beri sedikit senyuman. Kepada anak-anak lelaki Encik Raof, dia hulur tangan untuk bersalaman.

Jadi, inilah guru memandu tu? Memang lawa sungguh mamat ni. Dari atas ke bawah Rania tilik. Dengan tingginya, dengan matanya yang cantik, hidung terletak, bibir merah samar, kulit cerah.

Haisy, Macam tak sesuai aje jadi guru memandu. Boleh ke pelajar perempuan beri konsentrasi pada pemanduan kalau dah guru kat sebelah terlajak kacak macam ni?

“Rara, ini Razlan… Dia ni yang akan ajar Rara, tau?”

“Ooo… ooo… okey.” Terus Rania jadi gagap. Ralit sangat merenung sampai dia jadi lupa diri sekejap. Harap-harap semua tak perasan. Lebih-lebih lagi Razlan, si kacak itu.

Tapi hati, kenapa tiba-tiba nak berdebar-debar pula ni? Hei, tolonglah jangan macam-macam.Tak suka tau!

“Boleh kami pergi sekarang, pak cik?”

“Boleh.” Encik Raof senyum.

“Ayah.” Rania tayang muka sedih. Tangan ayah dicapai dan dipegang.

“Pergi ajelah. Insya-Allah, okey tu. Ayah doakan ya?” Encik Raof memujuk lembut.

“Relaks la. Tak ada apalah.” Hidayat menepuk-nepuk belakang adiknya. Cuba bagi semangat.

“Kan ada Razlan tu, Rara. Tak payah nak takut sangatlah.” Huzir pula bersuara.

“Dah, dah… Kesian Razlan. Dah lama sangat dia tunggu.” Encik Raof memaut bahu anaknya. Kemudian membuka pintu kereta sebelah penumpang.

“Razlan bawa atau nak bagi anak pak cik bawa?”

Rania membesarkan matanya. Ada pula ayah pergi tanya macam tu? Melampaunya!

“Dia dah pernah bawa kereta ke?” soal Razlan.

“Tak pernah.” Cepat-cepat Rania jawab. Sebenarnya pernah. Angah yang ajar. Tapi di kawasan lengang dan tiada kenderaan.

“Kalau tak pernah tak apalah. Biar saya bawa dulu.”

“DAH macam nak hantar orang pergi Mekah la pula. Sampai satu keluarga hantar. Lepas tu siap bagi pesanan penaja bagai. Padahal nak belajar memandu aje pun.” Razlan menyindir. Ketika itu kereta baru bergerak meninggalkan pekarangan rumah Rania.

Rania menoleh. Bulat matanya memandang wajah Razlan. Melampaunya mamat ni. Tadi kat depan ayah, kat depan semua orang, bukan main bersopan santun. Tak sangka, mulut macam longkang yang penuh lumut. Muka yang terlajak kacak tadi, tiba-tiba nampak buruk di matanya.

“Tapi tak cukup ramai tu. Apa pasal tak ajak ketua kampung, penghulu, pengerusi rukun tetangga, tok imam, tok siak sekali? Mesti lagi meriah.”

Telinga Rania dah rasa hangat. Mamat ni memang kurang ajar.

“Eh! Salah ke kalau ramai yang hantar saya? Saya belajar memandu ni saya bayarlah. Bukan percuma tau? Suka hatilah berapa ramai yang nak hantar saya pun.”

“Siapa cakap salah? Kalau awak nak ajak satu taman tu pun boleh. Nak lagi gempak, bawa bunga manggar sekali. Kompang jangan lupa. Terus arak awak masuk dalam kereta ni.”

“Eee, mulut!” Sakit pula hati Rania. Dahlah belajar tanpa rela, dapat pula pengajar mulut buntut ayam macam ni. Harap-harap hari ini sajalah dia belajar dengan mamat poyo ini.

“Tadi tu kenapa lambat?” soal Razlan, tanpa mempedulikan Rania yang sedang marah.

“Tak ada apalah.” Jawab sajalah macam tu. Takkan nak berterus terang, kan? Malu tau? Sejujurnya, dia takut.Juga suka berfikir yang bukan-bukan. Dia risau kalau-kalau dia akan langgar orang. Lepas tu dia terasa macam semua kenderaan dari arah berlawanan akan bertembung dengan kereta yang sedang dia pandu.

Bukan tak cuba buang perasaan tu, tapi tak boleh. Sebab itulah dia belum ada lesen memandu sampai sekarang walaupun umur dah nak masuk 26 tahun. Ikutkan bukan dia yang nak belajar sangat. Along yang paksa sampai sanggup keluar duit. Dia faham kenapa along bersungguh benar. Yalah, selama ini dia ke tempat kerja tumpang kereta along.

Tapi lagi dua bulan along dah nak berkahwin dan kena berpindah ke rumah sendiri. Itu sebab along paksa dia belajar memandu dan punya lesen macam orang lain. Cuma yang jadi masalah sekarang, dia seorang yang penakut dan punya tahap keyakinan diri yang sangat rendah.

Ikutkan dia boleh aje naik kenderaan awam. Tapi ayah tu mana nak kasi. Dari dulu lagi ayah macam tu. Susah sangat nak melepaskan anak daranya ini ke mana-mana sendirian. Konon risau keselamatan dia. Tapi dalam ayah duk larang, sesekali ada juga dia guna perkhidmatan awam macam teksi, LRT mahupun Uber.

“Takut?”

“Mana ada.”

“Mengaku ajelah.”

“Tak takutlah.”

“Tadi tu dia orang tengah pujuk awak, kan?” Tanpa menghiraukan jawapan Rania, Razlan bertanya begitu.

“Kenapa nak kena tanya macam tu? Tugas awak cuma mengajar saya aje, kan? Lebih-lebih pula!”

“Tanya macam tu pun nak marah? Berlagak betul!”

Berlagak dikatanya aku? Kurang asam betul! Baru bercadang nak balas, telefonnya berbunyi. Segera dia keluarkan dari beg sandangnya. Syafiq dalam talian.

“Fiq, nanti I telefon balik, ya? I tengah belajar memandu ni.” Perlahan Rania jawab. Tak nak bagi Razlan dengar.

“You belajar memandu? Jangan buat lawak boleh tak?” Kuat suara Syafiq. Macamlah baru sehari dua dia kenal Rania.

“Lawak apa pula? Betul la.”

“Apa apa ajelah,” pintas Syafiq. Sikit pun dia tak percaya.

“I nak ajak you keluar.”

“Okey, petang ni kita keluar.”

“I pergi jemput you sekarang. Kita keluar pagi ni.”

“Tak boleh. Sekarang ni I ada kelas memandu. Kan I dah cakap tadi?”

“You serius ke ni?”

“Seriuslah. Takkan I nak tipu you pula.”

“Tak cakap dengan I pun.”

“Lupa.” Sebenarnya bukan lupa, saja tak nak beritahu. Bukan apa, risau mereka bergaduh pula. Syafiq tu kan lain macam sikit. Cemburu tak bertempat. Kalau dia beritahu awal-awal, silap-silap dia tidak dibenarkan belajar memandu pula.

“I tak percaya. Entah-entah you dengan lelaki lain.” Syafiq merungut.

Rania mendengus. Betul pun apa yang dia fikir. Kalau tak cemburu, kalau tak syak yang bukan-bukan, bukan Syafiq la tu.

“Suka hati aje you tuduh I, kan?” Suara Rania mendadak jadi tinggi. Lupa dengan siapa dia berada sekarang.

“Tapi betul kan you dengan lelaki?”

“Ya, memang betul.”

“Raniaaa!!!” Syafiq menjerit.

“Dia guru sekolah memandu ajelah. Takkan itu pun tak boleh?”

Razlan senyum. Haiya! Ada orang cemburu la.

“I tak percaya.”

“Ya Allah. I tak tipu.”

“Dia handsome, kan?”

“Mana ada. Dia dah tua. Rambut pun dah beruban. Memang tak handsome langsung. I tengok pun tak selera.”

Razlan jegil mata. Amboi mulut! Sesedap rasa mengumpat aku. Memang cari pasal betul la perempuan ni.

“Kalau betul, buktikan pada I.”

“Bukti apa benda pula ni?”

“You wefie dengan dia. Lepas tu hantar gambar tu dekat I. Sekarang!” Syafiq beri arahan.

Rania tergamam. Syafiq suruh dia wefie dengan mamat poyo ni? Dah hilang ingatan apa?

“You dengar tak?”

“Okey la, Fiq. I tak boleh cakap banyak. Nanti I call you balik. Bye.” Rania segera mematikan talian. Suka hati Syafiqlah nak marah ke, nak mengamuk ke, malas nak fikir.

“Apa awak cakap? Orang tua rambut beruban, tak handsome, awak tak selera?” Razlan dah marah. Kut ya pun nak lepaskan diri dari kekasih hati, tak perlulah nak babitkan dia pula. Memang cepatlah dia naik angin.

“Bila masa saya cakap macam tu?” Eh, rasanya dah cukup perlahan dia bercakap. Takkan Razlan boleh dengar pula?

“Eh, eh, tak nak mengaku pula. Untuk pengetahuan awak, telinga ni hari-hari saya korek tau? Kalau awak duduk sebatu pun saya boleh dengar awak bercakap, ini kan pula kat sebelah ni aje. Nak menipu pun agak-agaklah.”

“Eleh, mengata orang! Awak pun sama menipu. Ingat hebat sangat telinga awak sampai boleh dengar saya bercakap dalam jarak sebatu tu?”

“Betul la. Kalau bercakap melalui telefon, usah kata sebatu, seribu batu pun boleh dengar.”

“Loyar buruk!” Rania mencebik.

“Lain kali tolong jangan babitkan saya. Saya tak suka, tau tak!” Serius suara Razlan. Memang dia tak suka. Yalah, kau bergaduh dengan pakwe kau, lepas tu kau nak heret aku sekali, apa kes? Baru kenal tak sampai setengah jam, dah macam-macam kerenah kau dah tunjuk.

“Maaf!” Sepatah sahaja Rania cakap. Benda dah jadi, nak undur balik pun dah tak boleh. Yang perlu difikirkan sekarang ialah Syafiq. Macam mana ya nak pujuk lelaki tu?

“Maaf konon.” Razlan mengejek.

“Eh! awak ni dah kenapa? Orang dah minta maaf, terima ajelah. Apa yang tak puas hati lagi ni?”

“Saya tak puas hati sebab awak cakap saya tua, beruban, tak handsome.”

“Okeylah… Awak handsome, macho, segak, tampan, kacak, lawa, sado, cemerlang, gemilang dan terbilang. Okey, puas hati?” Hati dah semakin menyampah dengan lelaki ni. Sangat menyampah. Tak taulah macam mana dia nak terus belajar dengan orang macam ni.

“Jangan lebih-lebih boleh tak?” Razlan toleh Rania sebentar sambil jegil mata.

“Kena puji pun marah? Tak bersyukur betul.”

“Belum apa-apa dah derhaka dengan guru. Harap-harap sekali ajelah ambil test terus lulus.” Razlan mengomel.

“Ya Allah, mulut. Macam ini ke tingkah laku seorang guru? Belum apa-apa dah doa yang tidak baik untuk anak murid.”

“Bila masa saya doa yang tak baik? Cuba faham betul-betul ayat saya tu.”

Eleh, tak nak mengaku konon. Macamlah aku bodoh sangat tak faham ayat sindiran dia tu.

“MACAM mana kelas memandu kau semalam? Ada ke kau langgar siapa-siapa? Dah berapa orang jadi arwah?” Muna yang menempel di sebelah kubikel Rania tayang sengih.

“Kau ni, mulut memang nak kena cili, kan? Suka hati aje cakap macam tu. Hesy, minta simpang.” Rania membeliakkan matanya.

“Ala, aku gurau aje. Jangan la marah.” Makin lebar sengih Muna.

“Ceritalah pengalaman kau. Aku nak dengar.”

“Jangan cari pasal, Muna. Nanti Cik Melly bising. Dah la kerja tengah menimbun ni.”

“Nia, dah pukul satu lebihlah. Dah waktu rehat.” Muna tayang jam di pergelangan tangan kirinya.

“Laaa, ya ke? Patut la ahli mesyuarat tingkap dah bersidai kat sini. Dah pukul satu rupanya.” Rania gelak.

Muna ikut gelak. Muna atau nama penuhnya Muna Sabrina merupakan rakan sekerja yang paling rapat dengan dia. Ketika mula melapor diri di syarikat ini tiga tahun lepas, Muna sudah enam tahun berkhidmat. Beliau merupakan antara rakan sekerja yang paling lama dan berpengalaman di sini.

“Eh, cepatlah cerita.”

“Malaslah. Buat sakit hati aje.”

“Kau sakit hati dekat siapa?”

“Guru memandu tu la.”

“Kenapa?”

“Razlan tu memang spesies menyakitkan hati, Muna. Tapi dia silap orang la. Dengan Rania Aisya jangan buat main-main.”

“Cikgu kau nama Razlan? Muda lagi ke dia?”

“Muda lagi. Lebih kurang umur aku juga.”

“Mesti dia kacak dan bergaya, kan?”

“Apa guna kacak, muka lawa kalau mulut macam longkang yang tak pernah cuci, tak pernah sental? Benci tau lelaki macam tu.”

“Habis, kau nak cakap kau lawan dia la?”

“Yalah. Dah dia sindir aku, takkan nak diam aje.”

“Entah-entah kau ada buat salah tak? Bukan boleh percaya sangat kau ni.”

“Si Razlan tu memang kurang ajar, Muna. Aku mana ada buat salah?” Malaslah nak cerita. Nanti Muna pun akan menyalahkan dia juga. Tapi dia tak rasa salah dia besar sangat. Alah, setakat lambat beberapa minit, takkan itu pun nak kecoh?

“Ya ke kau tak buat salah langsung?” Semacam Muna pandang Rania. Bukan boleh percaya sangat budak ni.

“Aku cuma lambat sikit aje.”

“Aku dah agak dah. Ni mesti kes kau tak nak belajar memandu, kan? Lepas tu semua pakat pujuk kau. Ayah kau, abang-abang kau, ketua kampung, ketua balai raya, tok sidang. Tu yang jadi lambat.”

Terkekeh-kekeh Rania gelak. Pandai betul Muna teka. Dahlah ayat Muna yang dekat hujung tu dah lebih kurang ayat Razlan aje. Cuma apabila Muna yang sebut, dia tak rasa nak marah pun. Rasa kelakar adalah.

“Tengok, kan betul apa yang aku cakap. Tapi, Nia… Kau mana boleh lawan guru. Tak berkat ilmu yang kau dapat. Nanti susah nak lulus.”

“Alah, guru apa la sangat. Setakat ajar memandu aje pun.”

“Tak kira la dia ajar apa pun, dia tetap guru kau, Nia.”

“Yalah, yalah, betullah tu. Tapi Si Razlan tu memang kurang ajar, Muna. Hilang sabar aku tau.”

“Kau kena belajar bersabar. Kau kena kawal diri kau. Setakat dia sindir sikit-sikit tu, kau buat-buat tak dengar aje la.”

“Aku harap, lepas ni cikgu lain pula yang akan ajar aku. Tak suka la dia tu.”

“Tak kisah la siapa pun. Yang penting, kau jangan suka melawan cakap cikgu. Faham?” tegur Muna.

“Faham, Puan Muna Sabrina,” balas Rania.

“Kau kalau dengan orang lain bukan main berapi-api, tapi dengan Syafiq, menikus. Cuba kau lawan si Syafiq macam mana kau lawan cikgu memandu kau tu. Ini apa yang Syafiq cakap, semua kau ikut. Kau macam lembu kena cucuk hidung tau tak?”

Muna dah mulalah tu. Mana ada dia macam lembu kena cucuk hidung? Ada masa-masanya dia melawan juga cakap Syafiq tu. Tak adalah semua dia turut. Tengok keadaan juga.

“Jom la pergi makan… Perut aku dah lapar.” Malas nak panjangkan hal Syafiq, dia tarik laci, mengeluarkan dompet dari situ. Kemudian bangun dari kerusi.

“Syafiq tak ajak kau makan ke hari ni?”

Rania geleng. Dia tahu Syafiq masih marahkan dia kerana hal semalam. Sampai sekarang Syafiq langsung tak nak bercakap dengan dia. Tapi tak perlulah beritahu Muna. Nanti bising pula mak cik tu.

“Dia pergi mana?”

“Entah. Mana aku tau.”

“Peliknya kau tak tau dia pergi mana. Mesti kau gaduh lagi dengan dia, kan? Kali ini dia cemburu kau dengan siapa pula?” Selalunya macam itulah. Kali ini harus atas alasan yang sama juga. Dah faham sangat dengan pasangan itu.

“Nia, sudah-sudahlah. Tak payahlah kau hadap sangat dengan Syafiq tu. Kau layak dapat lelaki yang lebih baik dari dia tau? Kau tu dahlah cantik, baik pula tu, pemurah lagi… Walaupun perangai tu kadang-kadang agak mengada-ngada dan merimaskan.”

“Amboi, mulut… Laju aje kalau bab mengata. Dalam puji, dia kutuk kita pula.” Rania jeling.

“Mengata kalau benda betul tak salah rasanya. Lagipun aku mengata depan-depan, kan?” Muna melepas tawa. Tahu, Rania bukan marah pun. Satu yang dia kagum tentang Rania, dia katalah apa pun, nasihatlah macam mana pun, gadis itu tak pernah nak ambil hati. Tak pernah nak sentap. Tapi itu dengan dialah. Dengan orang lain, wallahuaklam.

Cuma itulah, apabila saja berkaitan Syafiq, Rania dah tak makan nasihat. Sebab itulah sampai sekarang, gadis itu masih lagi bersama Syafiq. Itu yang dia tak faham. Memanglah Syafiq tu ada rupa, tapi dengan perangai panas baran, cemburu buta dan selalu anggap diri betul tu, berbaloi ke untuk Rania?

“Sebenarnya Syafiq tu sayang kau ke tidak, Nia?” Selalu sangat Muna tanya soalan itu.

“Mestilah.” Seperti selalu juga, penuh yakin Rania jawab.

“Hati aku kata, dia tak betul-betul sayang kau. Dia tak serius dengan kau, Nia.”

“Kau mana boleh cakap macam tu. Kalau dia tak sayang aku, tak serius dengan aku, tak adalah dia cemburu kalau aku dengan lelaki lain. Cemburu kan tanda sayang?”

“Cemburu sikit-sikit, ya itu sayang namanya. Tapi kalau dah cemburu buta, cemburu melulu, sayang apa macam tu? Itu mengongkong namanya.”

“Mengongkong sebab dia tak sanggup tengok aku dengan orang lain. Itu saja, Muna. Tak salah, kan?” Masih juga nak jawab meskipun dia sendiri bersetuju dengan ucapan Muna itu. Nak buat macam mana, hati dah terlanjur sayang dia.

“Hesy, budak ini… Kalau kita bagi nasihat, bukannya nak dengar. Ada aje jawab dia.” Muna tayang muka geram. Mana taknya, masa Syafiq buat perangai, kepada dialah Rania mengadu. Kepada dialah Rania duk tayang muka monyok tu. Macam manalah dia tak sakit hati dengan si Syafiq tu?

“Lain kali, kalau kau ada masalah dengan Syafiq, jangan mengadu dengan aku lagi… Malas dah nak dengar.”

“Ala Muna, jangan la macam ni. Kalau bukan kau, siapa lagi yang nak dengar luahan aku? Kau aje tempat aku mengadu… Tempat aku mencurah perasaan. Kau ni dah macam mak aku, tau?”

“Eee, tak nak aku ada anak macam kau. Degil, tak dengar kata.”

“Tak kira… Nak juga ada mak macam kau.”

“Hei, sudahlah… Geli telinga aku dengar.”

Sudahnya Muna gelak. Tak bolehlah nak marah lama-lama. Budak Rania ni memang jenis tak makan saman.

SIBUK sangat hari ini sampaikan dia tidak sempat menelefon mama di kampung. Usai waktu bekerja petang tadi, dia terus ke My Mom’s Cafe. Mansor atau Chot, rakan sekampung merangkap tukang masak ada hal petang ini. Itu sebab dia terpaksa masuk awal sikit.

Selalu dia datang ke kafe selepas solat maghrib. Selain dia dan Chot, ada lagi seorang tukang masak tetap iaitu Bakri. Malah mereka juga ada tiga orang pekerja lain iaitu Khalil, Luqman dan Hariz.

Setiap malam, bermula jam 8.00 sehingga 1.00 pagi, di kafe yang sudah dua tahun beroperasi itulah dia menghabiskan masa. Itu adalah waktu perkhidmatan dia sendiri, tetapi kafe mula dibuka bermula jam 5.00 petang.

Bermula dari sebuah kedai makan kecil, dia sangat bersyukur dengan apa yang terhasil hari ini. Sambutan ke atas kafe yang berkonsepkan masakan Kedah dan masakan panas ini sungguh menggalakkan. Setiap hari ada sahaja pelanggan baru yang berkunjung selain pelanggan tetap yang setia.

“Mama, Lan ni,” ujar Razlan, usai salam dihulurkan.

“Ya, mama tau.” Ceria bukan main suara Puan Khalida. Sebelum itu sempat menjawab salam Razlan.

“Lan ingat mama dah tidoq dah.”

“Dak lagi aih. Mama baru habih tengok wrestling.”

Razlan gelak. Sejak bila mama terjebak dengan sukan wrestling ni?

“Lambat Lan telefon mama malam ni? Mama nak telefon, takut Lan sibuk. Tak mau la kacau Lan.”

Razlan tolak rambutnya ke belakang. Kesian mama. Tentu mama tertunggu-tunggu panggilannya. Rasa macam bersalah pula.

Betui, ma. Lan memang sibuk haghi ni. Lepaih mengajaq, Lan teruih pi kafe. Kesian kat Keri, masak soghang-soghang.

Pasai apa Keri soghang-soghang? Chot pi mana?”

“Mak Chot mai dari kampung. Chot bawak mak dia pi Nilai ghumah kakak dia. Mak Chot rajin mai sini, ma. Baru lagi dia mai haghi tu, ni mai lagi. Tapi mama Lan ni setahun sekali pun susah nak mai.” Terus terang, dia sangat mencemburui Chot. Bertuah sungguh Chot dapat selalu jumpa emaknya. Bukan macam dia. Boleh kira berapa kali sahaja dalam setahun dia dapat bersua muka dengan mama tercinta.

“Mama Lan?”

“Ha la. Mama Lan, Puan Khalida binti Mazlan. Amboi! Buat-buat tanya pula mama ni.”

Puan Khalida ketawa mengekek. Sengaja nak usik Razlan.

“Mama tak mau mai KL ka? Lan rindu betui dengan mama.”

“Mama bukan tak mau pi. Dughian, rambutan, petai dok tengah berbuah ni. Nanti sapa nak jaga?”

Biaq pi la pokok-pokok tu. Tak payah nak jaga sangat la mama oi.”

“Lan tau dak kat kampung kita la ni, mat pit suka dok mencughi.

“Alah, setakat depa nak cughi buah-buah tu buat makan, biaq pi la mama. Banyak mana sangat pun depa boleh makan.”

“Depa tu bukan cughi untuk makan tapi depa juai,” kata Puan Khalida lagi.

“Nak tinggai rumah ni pun mama ghisau. Semalam rumah Pak Mail kena pecah. Tiga oghang masuk ghumah dia. Depa pakai topeng. Pak Mail dengan Mak Mah depa ikat.”

Astaghfirullahaladzim. Pak Mail yang duduk kat simpang jalan nak masuk ghumah kita ka ma?” soal Razlan dengan hati yang dipenuhi rasa bimbang. Bimbangkan mama sebetulnya. Mama dahlah tinggal seorang. Kalau apa-apa jadi macam mana? Memang ada jiran tapi jarak di antara rumah mama dan rumah jiran agak jauh juga. Kalau berlaku apa-apa, memang jiran tak dengar.

“Haaa… Dia la tu.”

“Pak Mail tau ka gheja sapa?”

Oghang kampung kita jugak la, Lan. Mat pit la tu.”

“Hesy, mama ni! Tak baik sangka bughok.”

“Laaa… Sangka bughok apa pula? Pak Mail sendiri habaq kat mama lagu tu. Depa tu memang oghang kampung kita.” Bersungguh-sungguh Puan Khalida bercerita.

“Yang lawaknya depa bercakap Kedah tapi dok mengaku kata depa oghang Indonesia. Kami bukan oghang sini, kami oghang Indon. Jangan habaq kat polis kata kami oghang kampung ni.” Sambil bercerita Puan Khalida gelak bukan main kuat lagi.

Razlan ikut gelak walaupun hati risau memikirkan mama. Kalau boleh, esok juga dia nak mama datang ke sini. Tinggal terus dengan dia. Tapi nak buat macam mana, mama tu degil. Nak juga tinggal kat kampung. Padahal bukan ada sesiapa pun kat sana. Arwah tok, emak angkat mama dah lama meninggal dunia. Dan mama sendiri merupakan anak jati Selangor, bukan orang Kedah. Mama tak ada saudara-mara pun kat sana.

Pak Cik Yusof satu-satunya anak tok pula sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur. Sekolah Memandu Kita tempat Razlan bekerja, Pak Cik Yusof punyalah tu. Anak-anak Pak Cik Yusof yang seramai empat orang tu, langsung tak berminat nak bekerja dengan bapa mereka. Itu sebab Pak Cik Yusof mempelawa Razlan untuk bantu dia dan turut sama memajukan sekolah itu.

Mai pindah dok KL dengan Lan, mama.” Dah banyak kali sebenarnya dia mempelawa. Tapi mama buat tak endah sahaja.

“Tak mau la.”

“Mama ni ketegaq, mama tau dak?” Razlan jadi geram pula dengan kedegilan mama.

“Lan ghisau la.”

Toksah dok ghisau sangat la, Lan. Jiran-jiran kat sebelah ghumah ada. Kalau jadi apa-apa, mama panggil depa.”

“Suka hati mama la.” Razlan dah putus asa. Tak guna cakap banyak. Ada sahaja jawapan mama.

“Mama boleh pindah KL tapi dengan syarat.”

“Syarat?” Razlan tunjuk muka tercengang. Yalah, tiba-tiba pula nak letak syarat.

“Lan kena caghi menantu untuk mama.”

“Hah!” Razlan termangu.

SEJAK semalam sudah tiga kali Rania buat panggilan, tapi Syafiq tidak jawab. Mesej juga sudah banyak kali dihantar, pun tidak dibalas. Okey, ini kali terakhir. Kalau Syafiq masih tak jawab, dia tidak akan menghubungi lelaki itu lagi. Lantaklah nak putus ke, apa ke… Yalah, ada teman lelaki kalau asyik menyakitkan hati, buat apa? Memanglah sayang, tapi kalau dah selalu sangat buat perangai, perasaan sayang pun boleh terbang melayang tau tak?

Satu, dua, tiga. Dia sudah hampir nak tekan butang merah apabila suara Syafiq kedengaran sayup-sayup dalam talian.

“Nasib baik you jawab. Kalau tidak…”

“Kalau tidak, kenapa?”

“Tak ada apalah.”

“Kalau tidak, kenapa?” Syafiq ulang tanya. Sedikit mendesak.

“Kalau tidak I dah merajuk dah.” Jawab sajalah macam tu. Memanglah masa tengah marah rasa macam nak minta putus dan-dan tu juga. Lepas tu macam dah tak nak tengok muka dia lagi. Tapi bila tengah berbaik, dialah lelaki terhebat kat dalam dunia ni.

Kalau boleh mata tak nak pandang ke tempat lain langsung. Setiap detik, setiap saat hanya wajah dia yang mahu dihadap. Begitulah hebatnya penangan cinta Syafiq. Sejujurnya, dia sayang sungguh dekat Syafiq tu. Lagipun dah lama sangat mereka kenal. Sejak mereka di universiti lagi.

“You nak merajuk?” Kuat Syafiq gelak.

“Kenapa, tak boleh ke?”

“Boleh aje tapi ada ke yang nak pujuk?”

“You la pujuk I.”

“Macam la I nak pujuk.”

Bibir Rania menjuih. Itu yang paling dia menyampah dengan Syafiq. Lelaki itu memang jenis hati kering. Setiap kali dia merajuk, jangan mimpilah Syafiq nak pujuk. Sudahnya dia sendiri yang akan cari Syafiq.

“Kenapa sejak semalam I telefon you tak jawab? Mesej pun tak balas?

“Saja.”

“Saja!” Rania jerit. Boleh pula Syafiq jawab macam tu. Teruknya dia.

“Lupakan la pasal tu.”

Amboi! Senangnya dia cakap. Dah buat hati kita sakit, dah buat kita marah, lepas tu suruh kita lupakan macam tu aje?

“I masih tak puas hati dengan you.”

“Kita jangan cakap pasal tu lagi boleh tak, Fiq?”

“Selagi you tak berhenti dari kelas tu, selagi tu I akan sebut.”

“Sepatutnya you bagi dorongan, bagi semangat dekat I. Ini suruh berhenti pula.”

“You pun tau kan, I tak boleh tengok you dengan lelaki lain.”

“Dia guru memandu I ajelah. Takkan dengan dia pun you nak cemburu?”

“Memang I cemburu.”

“Ya Allah, Fiq… Tolong la jangan macam ni. Ikutkan I sendiri tak nak tapi ini untuk kebaikan I juga. Lagipun abang I dah bayar semua. Kalau I berhenti, apa kata dia? Ayah I pun mesti kecewa dengan I.”

“You lebih pentingkan orang lain daripada I.” Syafiq merengus.

Orang lain? Automatik mata Rania jadi besar. Melampaunya Syafiq ni. Eh! tolonglah. Dia orang tu bapak aku, abang aku. Kau tu sebenarnya orang lain. Kau tak ada kena-mengena dengan aku, tau tak?

“I tak ada apa lagi nak cakap dengan you. Assalamualaikum.” Lantas talian dimatikan. Lantaklah kau nak merajuk selama mana pun. Dah tak larat nak pujuk, dah tak larat nak jaga hati.

“KERETA Viva ni memang direka tak ada signal ke?” Razlan melirik Rania yang sedang memandu.

“Apa pula tak ada? Ada apa?” Walaupun seratus peratus tumpuan hanyalah ke arah jalan raya di depan, Rania tetap menjawab soalan itu. Ikutkan rasa cuak dan gabra yang menguasai diri, memang dia tak nak bercakap langsung.

Kalau boleh, dengan Razlan sekali dia tak nak bagi bercakap. Tapi orang dah bertanya mestilah kena jawab, kan? Lagipun Razlan nampak okey pula hari ini. Tak adalah nak menyindir-nyindir macam tempoh hari.

“Oh! Ada, ingatkan tak ada.” Razlan gelak kecil.

Laaa… Takkan tak tau kut. Kata guru memandu. Aku yang tak pernah bawa kereta pun tau.

“Tau pun ada. Ingatkan tak tau. Kalau dah tau, kenapa tak bagi signal masa nak tukar lorong tadi, Cik Rania oiii?”

Oh! Menyindir aku rupa-rupanya. Ingatkan betul-betul tak tau. Teringin sangat nak menjawab tapi waktunya sangat tidak sesuai. Sekarang adalah waktu untuk mengendalikan ketakutan dalam diri. Nanti-nantilah dia uruskan mulut si Razlan ngok-ngek ni.

“Setiap kali nak tukar lorong, nak masuk simpang… signal jangan lupa bagi. Rasanya dah banyak kali saya tegur awak pasal ni.”

Memanglah Razlan dah banyak kali tegur. Masalahnya, dia kan masih belum mahir? Mana nak tengok cermin sisi lagi, cermin pandang belakang lagi. Lagipun ini baru kali kedua dia belajar. Mestilah masih terkial-kial.

“Awak belajar kereta auto aje pun. Apa yang susah sangat?” Razlan sambung bebel.

Kalau boleh Rania tak nak dengar bebelan lelaki tu. Dia bimbang konsentrasinya akan terganggu. Tapi kalau dah suara tu macam langau duk mengganggu kat tepi telinga, mustahil tak dengar, kan? Sepatutnya dia sumbat siap-siap telinga dengan earphone tadi. Daripada dengar guru tiga suku ini duk membebel, lebih baik dia hiburkan hati dengan koleksi zikir Hafiz Hamidun. Hati tenang, pahala pun dapat.

“Saya ni tengah ajar budak tadika ke apa ni?”

Budak tadika dipanggilnya aku. Kurang asam!

“Kat depan sana tu ada simpang. Awak tau kan apa perlu awak buat bila nak masuk simpang?”

“Taulah, bagi signal,” balas Rania dengan kasar. Tak habis-habis nak ingatkan pasal signal tu. Baru tadi cakap, ini cakap lagi. Ingat aku ni pekak apa, nak kena ingatkan banyak kali.

“Ada orang pernah cakap dekat saya. Kalau kita nak berjaya, ingat empat perkara. Pertama, disiplin kena ada. Kedua, kena cepat belajar. Ketiga, bersedia untuk dimarahi dan keempat, jangan malu bertanya.”

Kalaulah ada jarum dan benang, memang dia dah jahit dah mulut si Razlan ni. Dari tadi asyik berbunyi saja. Orang nak bawa kereta pun tak senang.

“Keempat-empat tu awak tak ada, Rania. Awak tak berdisiplin. Dua kali dah saya ajar awak, dua kali juga awak lewat. Awak lambat belajar. Sampai sekarang masih terkial-kial. Awak tak boleh kena marah. Saya marah sikit, awak melawan. Lagi satu, awak jenis yang berat mulut. Tak tahu tapi tak nak bertanya. Lepas tu asyik ulang kesalahan yang sama.”

Ya Allah, Kau berilah kesabaran yang tinggi pada aku. Jangan sampai aku buat tindakan yang bukan-bukan pula.

“Signal!” jerit Razlan apabila kereta menghampiri simpang.

Serta-merta Rania mengikut arahan. Tapi dalam kelam-kabut, isyarat yang sepatutnya ke kanan, diberi ke kiri pula.

“Kanannn!” Lagi sekali Razlan menjerit, panjang.

Dek terkejut punya pasal, kaki Rania yang sedang menekan pedal minyak tertekan brek pula. Akibatnya kereta terhenti secara mengejut.

“Saya suruh tukar signal ke kanan. Yang awak pergi tekan brek kenapa?”

Dengan tercungap-cungap, Rania menggosok-gosok dadanya yang berdegup kencang. Kaki masih menekan brek.

“Siapa pula suruh awak berhenti? Jalanlah,” marah Razlan. Nasib baik tak ada kenderaan lain. Bahaya betul la dia ni.

Rania buat tak endah. Tak ada hati nak ikut arahan.

“Awak ni nak belajar ke tak nak?” Razlan dah tinggi suara. Hati dah makin geram dengan Rania. Sudah lama dia mengajar memandu. Sudah beratus pelajar dia dah ajar, tapi belum pernah dia jumpa pelajar yang menyakitkan hati macam ni. Dahlah tak tepati masa. Kalau minggu lepas dia menunggu hampir lima belas minit, tadi dekat setengah jam. Perempuan ni betul-betul buat dia naik angin.

“Tak nak,” balas Rania, kasar. Brek tangan ditarik. Gear pula diletakkan pada kedudukan N.

“Awak nak pergi mana ni?” soal Razlan apabila Rania membuka pintu kereta.

“Saya dah tak nak belajar. Saya nak berhenti.” Serentak itu pintu dihempas dengan kuat.

Razlan menggelabah. Dia betul-betul tak sangka Rania akan bertindak senekad itu.

Razlan keluar dari kereta kemudian masuk semula lalu duduk di tempat pemandu. Kereta digerakkan ke bahu jalan, berhenti, lalu keluar semula dan berjalan ke arah Rania yang sudah pun duduk di atas bangku di perhentian bas berdekatan. Kemudian dia duduk di sebelah gadis itu.

“Jom, sambung belajar.”

“Tak nak.” Tegas suara Rania. Mata dibawa pandang ke arah lain. Tak rasa nak pandang pun muka Razlan. Yalah, dari tadi tak sudah-sudah nak membebel. Tak habis-habis nak sebut pasal kelemahan dia. Benci tau!

“Rania, marilah,” pujuk Razlan, lembut. Kalaulah dia gagal memujuk, apa dia nak jawab dengan Pak Cik Raof? Pagi tadi beria-ia Pak Cik Raof berpesan agar dia dapat mengajar Rania dengan baik. Kalau boleh Pak Cik Raof nak dia ubah diri Rania. Daripada penakut dan tidak sukakan memandu kepada rasa suka dan seronok.

Tapi belum apa-apa, ini pula yang jadi. Dalam hal ini memang dia salahkan diri sendiri. Kalau dengan orang lain dia boleh bersabar dan bertolak ansur, tetapi entah kenapa sebaliknya pula apabila dengan Rania. Mungkin sebab sikap Rania yang suka melawan kut.

Dengan muka mencuka, Rania geleng.

“Kan saya dah cakap, saya nak berhenti. Saya dah tak nak belajar dah.”

“Janganlah macam ni, Rania. Kesian Pak Cik Raof tau? Besar harapan dia dekat awak. Kalau awak tetap dengan niat awak tu, mesti dia kecewa.”

Rania tidak berganjak sedikit pun. Muka Razlan dikerling tajam. Tiba-tiba saja sebut nama ayah, apa hal? Takutlah tu! Padan muka. Buat lagi perangai macam tu. Taulah awak tu pengajar tapi perlu ke nak menyindir dan marah-marah? Kalau macam inilah cara Razlan mengajar, sampai bila-bila pun dia takkan berjaya dapat lesen memandu. Tengoklah kalau tak percaya.

“Awak nak saya dukung awak ke?” Razlan mengengsot mendekati Rania. Yalah, cakap baik-baik tak jalan, cuba ugut macam tu pula. Tengok berkesan ke tidak.

“Heh! Awak jangan macam-macam, eh?” Rania bergerak ke tepi. Mata tajam merenung Razlan. Kalaulah lelaki ini betul-betul buat seperti yang dicakapkan sebentar tadi, dia sudah bersedia. Dia akan guna buah silat yang dia belajar semasa di sekolah rendah dahulu.

“Kalau awak tak bangun, tak masuk balik dalam kereta… saya dukung awak. Saya tak kira. Apa nak jadi pun jadilah.” Razlan membongkokkan sedikit badannya. Tangan dihulurkan kepada Rania. Saja nak takutkan gadis itu.

“Hei! Apa ni? Janganlah main kasar.” Rania berteriak.

“Okey… Okey… Saya masuk balik dalam kereta. Puas hati awak, kan?” Dia bangun lalu berjalan laju ke kereta.

Razlan sengih. Berjaya juga taktik aku. Di belakang Rania, dia melangkah.

“Ini hari terakhir awak ajar saya tau?” ucap Rania.Dengan muka masam dia masuk ke dalam kereta.

“Kut ya pun marah sangat, janganlah sampai hempas pintu,” tegur Razlan. Ketika itu dia sudah berada di dalam kereta.

“Lepas ni saya nak minta cikgu lain yang ajar saya. Saya tak nak belajar dengan awak.”

“Cikgu lain?” Razlan gelak besar.

“Kalau awak nak tau, dekat sekolah memandu tu, saya yang paling okey. Kalau dapat cikgu lain, masak awak. Lagi teruk dia orang layan awak nanti. Boleh nangis tau?”

Lama Rania pandang muka Razlan. Boleh percaya ke dia ni?

“Lantaklah, saya peduli apa?” Cakap sajalah macam tu. Yang penting, jangan tunjuk sangat kat depan Razlan kata dia dah cuak.

“Okey, tak apa. Saya nak tengok. Jangan lepas ni awak cari saya semula. Merayu-rayu, melutut supaya saya ajar awak balik.”

Rania membeliakkan matanya. Merayu-rayu? Melutut? Eee, perasan sungguh! Macam manalah aku boleh terjebak dengan mamat jiwa kacau ni?

“Okey, teruskan pemanduan awak.” Razlan memberi arahan. Buat-buat tak nampak muka Rania yang berang.

Rania tak beri respons. Dia hanya mencerlung Razlan. Kalaulah boleh ditelan, memang dia dah telan makhluk ni hidup-hidup.

“Tau la saya handsome, tak payah nak renung sangatlah. Nanti terjatuh hati, macam mana? Saya belum bersedia nak terima pinangan orang.” Razlan berkata selamba.

Mamat ni memang jenis perasan tahap langit ke tujuh. Helo! Siapa pula la yang nak terjatuh hati dengan dia tu? Siapa yang nak pergi pinang dia? Eee, tolonglah!

Baru tangan nak pegang gear, tiba-tiba Rania menjerit kuat. Automatik pintu dibuka. Kelam-kabut dia meloncat keluar dari kereta.

“Awak dah kenapa?!”

Razlan membesarkan matanya. Perempuan ni betul-betul menguji kesabaran dia! Kalau ada sepuluh pelajar macam ni, cepatlah dia dapat penyakit darah tinggi.

“Lipas!” Dengan rupa cemas, Rania menuding jari telunjuknya ke arah seekor lipas yang sedang merayap di  atas dashboard.

Razlan segera menangkap lipas tersebut lantas dibuang melalui tingkap.

“Lipas dah tak ada. Masuklah.”

Teragak-agak Rania masuk semula ke dalam perut kereta.

“Menjerit macam tengok naga. Padahal lipas aje kut.”

Rania menjeling geram. Mulut kalau tak menyakitkan hati orang, tak boleh agaknya.

“Kalau naga, awak dulu yang kena sembur dengan api.”

“Melawan! Dengan saya bukan main berani lagi. Dengan lipas yang tak sampai dua inci tu, kenapa takut?”

Malas nak melayan, Rania capai gear… terus masuk ke gear D. Tapi belum sempat memulakan pemanduan, Razlan bersuara lagi.

“Bismillah jangan lupa. Apa-apa pekerjaan pun mulakan dengan bismillah. Insya-Allah segala urusan kita akan Allah permudahkan.”

Rania kerling. Setiap kali nak mula pandu kereta, itu jugalah yang Razlan ingatkan. Macamlah dia tak reti sangat.

Sengaja Rania melafazkan dengan kuat. Bukan setakat bismillahirrahmanirrahim, dia siap baca doa menaiki kenderaan lagi. Ambil kau! Ingat orang tak reti sangat?

“Alhamdulillah. Saya tau anak Pak Cik Raof memang terdidik dengan baik.”

Ini memuji atau menyindir? Orang kalau dah biasa menyindir, memang dia takkan ikhlas dalam memuji. Faham sangat.

“Signal!”

Signal lagi. Hesy! Macam mana boleh lupa ni? Tolonglah peka, Rania oi! Jangan bagi peluang dekat Razlan untuk herdik kau.

“Jangan lepas ni saya gelar awak Rania signal pula,” perli Razlan.

“Awaaak!!!” jeritnya kuat seraya memandang Razlan. Lupa seketika yang dia sedang memandu.

“Hoi, Pandang depan!” sergah Razlan apabila kereta sedikit tersasar ke bahu jalan. Pantas tangannya menolak stereng.

Cepat-cepat Rania kalih pandangannya ke jalan raya di depan. Bertenang Rania, bertenang. Jangan layan sangat mamat senget ni. Ini kali terakhir kau belajar dengan dia. Ingat tu!

“Awak nampak tak masjid kat depan sana tu? Berhenti kat situ.”

“Kenapa nak berhenti kat masjid pula?”

“Saya nak ajak awak main congkak kat situ.” Selamba Razlan jawab.

Dia ni tak habis-habis nak perli orang. Benci!!!

“Kita berhenti solat asar sekejap. Waktu asar dah masuk.”

Rania jadi malu sendiri. Apa pasal dia pergi tanya macam tu? Dah sah-sah masjid tu tempat orang solat. Memang patut sangat kena sindir dengan Razlan.

Sebaik Rania berhentikan kereta, Razlan terus keluar. Tapi baru menapak beberapa langkah, dia berpatah balik. Pintu kereta sebelah penumpang dibuka lalu dia menjenguk ke dalam.

“Awak period ke?”

Bulat mata Rania. Muka dah kemerahan. Segan sungguh dengan pertanyaan Razlan itu. Bercakap tak berlapik langsung. Bukanlah tak boleh tanya, tapi beralas la sikit. Awak tu lelaki. Tanya macam tu dekat perempuan, tak reti malu ke?

“Mana ada.”

“Dah tu, jomlah masuk masjid sekali. Kita solat kat sini.”

“Tak apa, saya solat kat rumah aje.” Sekarang hampir pukul lima. Pukul enam tamat belajar memandu. Dalam pukul enam lebih dah boleh sampai di rumah. Sempat sangat nak solat asar. Masih banyak waktu lagi.

“Dah alang-alang kita berhenti kat masjid, solat aje la kat sini. Lagipun tak baik melambat-lambatkan solat tau?”

Terkena sebiji di atas batang hidung. Razlan ni dah jadi macam ayah pula. Menegur dalam lembut. Tapi ayah tu lainlah, ayah sendiri. Tak adalah nak rasa malu sangat kalau kena tegur macam tu. Tapi teguran Razlan tu memang betul-betul buat dia rasa segan sungguh.

“Saya tak bawa telekung.” Masih nak beri alasan. Bukan apa, dia keluar dari rumah tadi sehelai sepinggang. Hanya wallet yang dia bawa. Bedak dan lipstik memang dia tak bawa. Lepas solat nanti, haruslah muka dia pucat lesi. Tak kisahlah siapa pun Razlan tu, tapi dia memang tak selesa kalau muka dalam keadaan macam tu. Hilang keyakinan diri. Rasa macam hodoh sangat.

“Kat dalam masjid tu banyak telekung, cik adik. Lagipun pakaian awak ni pun menutup aurat. Dah siap pakai stoking lagi. Tak ada masalah untuk solat. Islam tu mudah.Jangan susahkan.”

Hendak tak hendak Rania keluar dari kereta. Di belakang Razlan, dia melangkah perlahan.

“Kita tak tau bila ajal akan menjemput kita. Ajal datang bila-bila masa dan di mana sahaja. Sesaat pun tak tunggu kita, tau. Kadang-kadang tengah sihat macam ni pun, kita boleh mati. Mana tau tengah-tengah syok ajar awak memandu sekejap lagi, tiba-tiba saya dijemput pergi. Sekurang-kurangnya saya dah sempat solat asar.” Tanpa pandang Rania yang sedang melangkah di belakang, Razlan memberikan sedikit tazkirah.

“Bila kita solat awal, kita akan rasa kita ada banyak sangat masa. Percayalah cakap saya.”

Kalau sebelum ini, ucapan Razlan sering buat Rania rasa nak lempang pipi lelaki itu berkali-kali, tapi tidak untuk kali ini. Hatinya rasa sejuk dan tenang sekali. Tak sangka dengan mulut dan tingkah laku dia yang sering menyakitkan hati itu, Razlan punya ciri lelaki Islam yang baik.

“APA tengok-tengok? Saya tau la muka saya hodoh, pucat lesi tapi tak payah la nak buat muka pelik seolah-olah saya ini makhluk ganjil dari planet lain.” Rania melarikan mukanya ke arah lain. Segan sungguh dengan pandangan mata Razlan Hakimi poyo tu.

Kalau setakat pandang tak apa lagi. Ini siap senyum-senyum lagi. Itu sajalah nak perli orang tu. Konon nak cakap muka dia memang hodoh dan tak cantik kalau dah pucat lesi macam tu. Macamlah dia tak tahu apa yang ada kat dalam kepala otak Razlan tu.

“Alah… Tengok sikit pun tak boleh. Macamlah luak.” Razlan ketawa. Sebetulnya ketawa malu. Yalah, dah kantoi tengah renung muka anak dara orang, kan… Haruslah malu. Bukanlah renung gatal ke apa, tapi terpesona. Ya, terpesona. Itu perkataan paling tepat. Rania tampak lebih cantik tanpa sebarang alat solek di wajahnya. Cantik semula jadi. Itu yang tanpa sedar telah mendorong matanya untuk memandang ke wajah putih bersih itu dengan agak ralit.

“Apa yang awak cakap tu salah.” Razlan sambung.

“Apa yang salah?” Rania kembali pandang muka Razlan. Lama matanya singgah di wajah yang sedang murah dengan senyuman itu.

Alahai, manisnya senyuman dia. Kalau macam ginilah hari-hari, buat air tak payah pakai gula pun tak apa. Dah cukup dah manis dari senyuman Razlan tu.

Wahai cik hati, tolong jangan nak menggedik sangat. Setakat senyum manis, kalau mulut macam longkang buat apa? Baik tak payah!

“Tak ada apalah.” Razlan meraba-raba mukanya. Dia jadi segan pula dengan pandangan tajam Rania itu.

“Apa yang salah?” Soalan diulang dengan nada sedikit mendesak. Memang dia cukup pantang dengan orang-orang yang suka bercakap separuh jalan.

Razlan tak segera jawab. Topi yang dipakai terbalik sejak tadi, dibetulkan kedudukannya. Kemudian ditarik sedikit ke bawah, menutupi sebahagian matanya. Sambil menopang dagu, pandangannya ditalakan ke wajah Rania yang polos.

“Yang salah adalah… bila awak cakap muka awak hodoh dan pucat lesi,” jelas Razlan.

“Kalau awak nak tau, saya nampak awak lagi cantik macam ni, tau? Tak perlu calit apa-apa pun kat muka tu, awak nampak cantik semula jadi. Orang kampung saya cakap natural beauty.

Rania dah kemerahan mukanya. Malu dengan pujian Razlan. Malu juga dengan renungan lelaki itu. Nampak lain macam sungguh. Syafiq pun tak pernah renung dia macam tu.

“Boleh tak saya nak balik?” Dia cuba untuk tidak mengulas komen Razlan tentang mukanya. Tak perlu pun. Terus terang, dia rasa sangat pelik dengan renungan lelaki itu. Juga dengan sikap manis yang ditunjukkan. Kenapa tiba-tiba Razlan berubah watak pula? Entah-entah… Heh, tak payah la sambung. Mustahil sangat.

“Kenapa nak balik?”

“Sebab kelas dah habis dan memang sepatutnya saya dah boleh balik pun.”

“Tak boleh,” balas Razlan.

“Kenapa tak boleh?”

“Sebab saya nak ajak awak makan.”

“Saya tak nak makan.”

“Saya tetap nak ajak awak makan.”

“Dah pukul enam lebih. Nanti ayah saya risau.”

“Saya dah bagi tau ayah awak, kita sampai lambat sikit.”

Lebih-lebih la pula mamat ni. Boleh pula dia libatkan ayah? Tapi kut ya pun Razlan dah memaklumkan kepada ayah, takkan ayah main setuju sahaja? Mana boleh macam tu? Tugas lelaki itu hanyalah sekadar mengajar dia memandu. Ini sampai ajak keluar makan, apa kes? Lagipun Razlan tu baru sangat mereka kenal. Takkan senang-senang nak percaya? Hesy! Tak faham betullah ayah ni.

“Saya tak nak makan.”

“Tak baik tolak rezeki.”

“Kalau rezeki yang boleh mendatangkan masalah, lebih baik tolak.” Rania tak mahu kalah.

“Saya berani jamin, kalau dari pihak saya, takkan ada masalah yang akan timbul.”

“Saya tak nak makan. Saya nak balik.” Lagi sekali Rania menyebut.

“Khalil!” Razlan memanggil seraya melambaikan tangannya ke arah pekerja yang berdiri di sebelah kaunter.

Khalil segera mendekat. “Ya bang?”

“Mintak sup ekor dua, jus kedondong asam boi dua. Lagi satu, Nasi Goreng Sayang Mama dua.”

“Tu aje, bang?”

“Itu aje. Cakap dekat Chot, cepat sikit.” Nasib baik kafe baru dibuka dan masih tiada pelanggan. Kalau tidak, jenuh juga nak menunggu.

“Awak okey kan dengan menu yang saya pilih tu?”

“Kan saya dah cakap saya tak nak makan? Tak faham ke?”

“Lepas makan kita balik, okey? Kita makan sekejap aje.” Tanpa mempedulikan rungutan dan muka Rania yang dah macam nak telan orang tu, Razlan memujuk. Dah macam pujuk budak kecil bunyinya. Bukanlah tak boleh balik sekarang, tapi dia betul-betul lapar. Kalau tidak, dia pun tak sukalah nak paksa-paksa orang.

Bayangkan sejak pagi tadi cuma dua keping roti bakar yang masuk ke perut. Selepas itu dia terus mengajar sampai sekarang. Empat orang kesemuanya termasuk Rania. Dia cuma berhenti sebentar untuk solat zohor dan asar. Kebetulan dah lalu ikut sini, dia bawalah Rania singgah makan sekali.

Kepada bapa Rania tadi sudah dikhabarkan tentang kelewatan mereka. Secara jujurnya dia tak ada niat lain pun. Kalaulah Rania menganggap dia cuba nak menggatal atau nak mengurat, itu memang tak betul. Ya, dia memang puji wajah Rania yang cantik tanpa sebarang solekan sebab memang itu kenyataannya. Dah memang betul Rania nampak cantik macam tu, dia cakaplah cantik. Tak salah kut. Langsung tak ada niat terselindung.

“Makanlah. Jangan malu-malu.”

Wah! Nasi goreng dan sup ekornya nampak sungguh menyelerakan. Perut mendadak rasa lapar. Rasa macam rugi pula kalau tak makan. Lagipun Razlan nampak macam ikhlas pula.

“Boleh saya makan?” Malu-malu Rania bertanya. Maklumlah, tadi dia juga yang beria-ia tak nak makan.

“Laaa… Saya memang suruh awak makan pun. Makan kenyang-kenyang tau.” Razlan ketawa, lembut.

Saat sesudu sup ekor dihirup, Rania pejam mata.

Ya Allah, sedapnya sup ni. Sesudu demi sesudu dihantar ke mulut. Tanpa sedar, perbuatannya menjadi perhatian Razlan.

“Sedap sangat ke sup tu?” Yalah, cara Rania menikmati sup ekor tu nampak lain macam sungguh. Sampai pejam-pejam mata.

“Sedap sangat. Saya memang suka sup ekor pun.” Tanpa malu Rania mengaku.

“Kalau dapat sup yang sedap macam ni, saya memang tak pandang dah makanan lain. Tapi nasi goreng tu pun nampak macam sedap juga, kan? Lepas ni, saya nak makan nasi goreng tu pula.”

Teruja punya pasal dengan sup ekor yang sangat lazat itu sampaikan Rania jadi lupa dengan siapa dia berhadapan sekarang. Buat seketika dia jadi lupa dengan perasaan tidak senangnya terhadap guru memandu itu.

“Cukup tak sup tu? Kalau tak cukup, kita minta lagi satu.”

“Tak apa, dah cukup dah ni. Nanti nasi goreng tu saya nak isi kat mana pula? Perut saya ni bukannya besar sangat.” Rania ketawa.

Pertama kali melihat Rania ketawa. Makin comel pula gadis itu di mata Razlan apabila ketawa macam tu. Selalu tu dia asyik tengok muka Rania yang tegang dan ketat.

“Okey… Awak makan dulu. Kalau rasa nak tambah, bagi tau. Kalau nak cuba menu lain pun boleh juga. Cakap aje nak makan apa, banyak mana. Tanggung beres.”

Ini perli ke apa ni? Ingat perut aku ni tong sampah ke apa? Muka yang manis tersenyum jadi masam tiba-tiba. Razlan kalau tak perli orang memang tak sah. Menyakitkan hati betul!

Aik! Tiba-tiba memuncung ni apa hal? Pelik betul minah ni. Baru sekejap okey, tiba-tiba dah datang perangai dia balik. Orang baru nak puji senyuman dia tu.

“Berapa ringgit saya punya?” soal Rania setelah semangkuk sup ekor dan sepinggan nasi goreng berjaya dihabiskan.

“Tak payah bayar.”

“Kenapa pula? Saya makan, saya bayarlah.”

“Saya cakap tak payah… tak payahlah.”

“Saya tak nak termakan budi.”

Razlan angkat kening sebelah. Banyak hal betul la perempuan ni.

“Saya tak anggap itu sebagai budi pun.”

“Saya tak nak awak ungkit pada kemudian hari.”

Astaghfirullahaladzim… Saya bukan jenis manusia macam tu la. Bila saya belanja awak, itu bermakna dah rezeki awak. Lagipun apa sangatlah nasi goreng sepinggan dengan sup ekor semangkuk tu? Tak ada hal pun pada saya. Saya tak jatuh miskin pun kerana tu.”

“Jangan termakan budi, nanti tergadai body. Mesti awak pernah dengar ungkapan tu.” Rania menyindir.

Razlan ketawa besar. Lucunya perempuan ni. Boleh pula dia terfikir sampai ke situ?

“Weh! Apa benda awak merepek ni? Setakat bagi makan macam tu, sampai nak tergadai body segala tu apa hal? Takkan semurah itu nilai body awak?”

Mendadak muka Rania jadi merah. Malu sungguh dengan ucapan Razlan itu.

“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Awak mesti pernah dengar ungkapan tu, kan?” tambah Razlan. Kali ini dalam senyuman.

“Tak payah jawab pun tak apa. Jom saya hantar awak balik.” Lantas dia bangun dari kerusi.

Kena lagi dengan Razlan. Dengan muka yang dah rasa berinci-inci tebal, Rania ikut bangun.

“I tak sangka you sanggup curang dengan I.” Sambil mencekak pinggang, Syafiq merenung Rania dengan perasaan marah yang meluap-luap. Terus terang, dia masih rasa sukar untuk percaya dengan apa yang disaksikan petang semalam. Patutlah Rania beria-ia menolak ajakan dia untuk keluar bersama, rupa-rupanya ada janji temu dengan skandal.

Berubah air muka Rania. Buat beberapa saat dia jadi kelu. Mati-mati dia duk ingat Syafiq ajak keluar sebab nak bawa dia makan tengah hari. Tak sangka rupa-rupanya lelaki itu punya agenda lain.

Tak tahu nak cakap apa untuk mempertahankan diri. Selalunya Syafiq hanya menunjukkan sifat cemburunya tapi buat pertama kali sejak mereka jadi pasangan kekasih, Syafiq sanggup menuduh dengan tuduhan yang sangat berat itu.

“Eh! Apa kurangnya I ni, apa lebihnya dia sampai you sanggup buat I macam ni?” Syafiq sambung marah.

“You cakap apa ni? I tak faham langsung.”

“You jangan buat-buat tak faham, Nia.”

“Dah memang I tak faham, I cakap la tak faham. Curang? Eh! Apa benda you merepek ni?” Rania gelak. Rasa sangat kelakar. Entah dari manalah agaknya Syafiq dapat berita mengarut itu?

Syafiq merengus. Hatinya jadi semakin sakit dengan tawa Rania. Terasa seperti dipersendakan.

“You ingat I tak tau apa yang you buat di belakang I?”

“I buat apa? Tolong la berterus-terang, Muhammad Syafiq Fitri!” Rania meninggikan suara.

“You ada skandal dengan guru memandu tu, kan?”

Melopong mulut Rania. Mata dah jadi besar. Tapi selepas itu dia ketawa mengekek. Geli benar rasa hatinya dengan tuduhan itu. Dia ada skandal dengan Razlan? Weh! Lawak ini dipetik dari majalah mana ni? Gila-gila? Apo? Ujang? Sungguh tak kelakar.

“You tak payah nak gelak sangat la. I dah tau semuanya.”

Rania berhenti ketawa. Kali ini dia merenung Syafiq, tajam. Daripada rasa kelakar, dia jadi marah yang amat. Okey, kalau benda betul dia boleh terima. Tapi kalau perkara tak betul, perkara yang sengaja diada-adakan, perkara berunsur fitnah, dia tak boleh bertolak ansur. Melampau sangat tuduhan itu.

“You jangan sesuka hati nak tuduh I, Fiq.”

“I bukan saja-saja nak tuduh. I nampak dengan mata kepala I sendiri.”

“Apa yang you nampak?”

“Semalam you keluar dengan dia, kan?”

“Memang la semalam I keluar dengan dia. Tapi macam biasa, I pergi belajar memandu.”

“Belajar memandu konon.”

“Habis you ingat apa? I berfoya-foya dengan dia?”

“Ya, you memang berfoya-foya dengan dia.”

“Melampaunya mulut you, Fiq!” jerit Rania. Dia sudah tidak peduli dengan keadaan sekeliling. Lantaklah kalau ada yang dengar pun. Teruk sangat tuduhan Syafiq itu.

“Mulut I jadi melampau sebab perbuatan you yang melampau.”

“Tak guna bercakap dengan you.” Rania berpusing ke belakang. Berniat mahu meninggalkan tempat itu. Apa guna berbincang, apa guna berterus terang, kalau setiap patah perkataan yang keluar dari mulut dia, Syafiq anggap dusta?

“Selagi I tak dengar pengakuan dari mulut you, jangan harap you boleh ke mana-mana.” Syafiq meluru laju ke depan. Memintas pergerakan Rania.

Langkah Rania terhenti.

“Kenapa I nak mengaku benda yang I tak buat?”

“Masalahnya you memang buat benda tu.”

“I pergi belajar memandu aje. Salah ke?”

“You pasti you hanya pergi belajar memandu?”

“Ya.”

“Jangan nak temberang la, Rania. Yang merajuk keluar dari kereta… kemudian datang skandal you pujuk… siap nak dukung lagi, apa tu? Tak cukup dengan tu, you dengan dia berhenti kat masjid. Kat dalam masjid I tak nak la tuduh apa-apa, kan? Sebab I tak nampak.”

“Syafiq!!!” Membuntang mata Rania. Nafasnya naik turun. Serius, dia sangat marah.

“Jangan menyampuk! I belum habis cakap lagi,” pintas Syafiq.

“Dan dengan dua biji mata ni jugalah I nampak you dengan dia berdua-duaan kat dalam kafe. Sambil makan, you siap main mata lagi dengan dia.”

“You intip I?”

“Memang pun.”

“Melampaunya you!” Jari telunjuknya Rania tuding dekat ke muka Syafiq. Sebelah tangan lagi mengurut-urut dadanya. Cuba tenangkan hati yang sedang marah. Perbuatan Syafiq mengintip dia petang semalam sangat keterlaluan. Tidak terlintas langsung dalam fikirannya, Syafiq sanggup bertindak sampai begitu sekali. Teruknya lelaki ini.

“Kenapa you sanggup buat macam tu?”

“Sebab I dapat rasa, you tak jujur dengan I.”

Hati, silalah bertenang. Rania pejam mata, kemudian celik semula. Nafas dihela panjang dan dilepas perlahan. Dia nekad, dia takkan beri muka lagi kepada Syafiq. Dia tidak akan membenarkan manusia di depan dia ni untuk mendera dan melukakan hati dia lagi. Cukuplah apa yang dirasa selama ini. Cukup sampai di sini sahaja.

“Kalau dah setiap cakap I, you tak nak percaya. You tetap juga nak tuduh I macam-macam… I rasa…” Rania berhenti di situ. Sebetulnya tak tergamak nak sebut.

“Apa yang you rasa?”

Rania melepas nafasnya perlahan. I rasa biarlah setakat ini aje hubungan kita. Tak guna kita teruskan kalau you tak pernah ada rasa percaya pada I.

Ikutkan itu yang Rania nak cakap tapi macam selalu, dia tak mampu. Tak kisahlah macam mana perangai Syafiq tu, yang penting lelaki itu sayang dia.

“You nak cakap apa sebenarnya ni?” desak Syafiq.

“Tak ada apalah.”

“I tau you memang nak beritahu sesuatu, kan? Baik you cakap betul-betul.”

“I dah cakap tak ada, tak adalah.” Sudahnya hanya itu yang mampu Rania sebut.

“I tak percaya.”

“Terpulang pada you,” balas Rania.

“I pergi dulu. Assalamualaikum.” Segera Rania angkat kaki dari situ.