Bisikan Syaitan

RM23.00

Penulis: Asraf Shaari

Caption: kerana tekanan aku terdengar bisiskan

ISBN: 978-967-406-275-0

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 23.00 RM 26.00

Dibuli dan didera secara fizikal dan emosi, ADAM menjadi tidak keruan. Entah sampai bila dia mampu bersabar dan bertahan sedangkan keluarganya dihina seperti sampah di jalanan hanya kerana kisah silam arwah ayahnya ENCIK TALAHA. Tekanan kian terasa apabila dia mula terdengar bisikan seperti cuba menghasutnya melakukan sesuatu yang sememangnya tidak masuk akal.

Selain itu, ibunya pula yakni PUAN KAMARIAH difitnah membela hantu raya. Bukan itu sahaja, wanita yang paling disayanginya itu terpaksa menahan dugaan akibat sikap masyarakat yang tidak menerima mereka seadanya. Dia ingin menuntut keadilan. Dia mahu musuh-musuhnya mati. Hanya kematian mereka dapat memuaskan hatinya. Namun, dia tidak menyedari perbuatannya itu bakal mengundang padah kelak.

Kau tak rasa dipulaukan ke? Mereka semua berpakat nak buat hidup kau susah!

“Sejak keluarga kau pindah kat kawasan ni aku rasa macam kampung ni dah tak selamat lagi tau!” – MAK CIK ANI

“Dia orang semua jahat. Dia orang buli Adam. Diorang buli mak Adam. Adam tak tahan! Mereka semua tu setan! Adam bunuh setan!” – ADAM

Adakah Adam akan meneruskan hidupnya seperti biasa? Bagaimana dia ingin menebus dosa yang telah dilakukan? Apakah kisah silam yang telah terjadi pada Encik Talaha yang menjadikan Adam semakin menderita selepas ketiadaan ayahnya  itu? Semua jawapan ada dalam novel berjudul BISIKAN SYAITAN ini. Kisah yang mengajar apa itu erti kesabaran, dendam dan pembalasan!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Suasana pagi amat dingin. Bayu angin di luar rumah membuatkan manusia yang sedang lena asyik melayan kerenah mata. Selimut galak ditarik hingga hampir menutupi muka.

Seorang remaja dalam belasan tahun juga tidak terlepas daripada melenakan diri. Waktu telah menunjukkan pukul 5.30 pagi. Namun, dia masih tidak berganjak dari pembaringan.

“Adam, bangun! Dah pagi ni. Nanti lewat nak ke sekolah!” Suara seorang wanita berteriak dari dapur jelas kedengaran.

Dia tidak mempedulikan panggilan ibunya dari dapur. Dia mengalihkan badannya ke sebelah kiri.

“Adam, bangun! Mandi lepas tu pergi sekolah.” Puan Kamariah menjenguk anaknya dari muka pintu bilik setelah sahutannya tidak dijawab.

Disebabkan tiada reaksi, Puan Kamariah mendekati anaknya dan menggoncangkan bahu anak lelaki tunggalnya itu.

“Ish… Mak ni kenapa kacau pagi-pagi buta ni? Nak tidur pun tak senang la!” Adam kembali memeluk bantal goleknya.

“Bangun, Adam. Kejap lagi nak pergi sekolah. Cepat bangun, mandi, solat dan pakai baju sekolah. Cepat! Cepat!” gesa Puan Kamariah.

“Adam tak nak pergi sekolah la, mak. Esok aje la.” Selamba sahaja Adam menjawab.

“Tak nak ke sekolah kepala hotak engkau! Jangan nak mengada-ada! Bangun sekarang! Kang tak pasal-pasal ada yang nak kena makan rotan ni!” Puan Kamariah terpaksa berkasar dengan anaknya.

Ini bukan kali pertama Adam berkata yang dia tidak mahu ke sekolah. Setiap pagi dia akan berkata perkara yang sama. Muak dengan sikap anaknya sendiri yang kadangkala sukar diramal.

“Okeylah, okeylah… Selagi tak bangun selagi tu la memekak pepagi buta ni!” Adam akhirnya bangun dengan perasaan malas.

“Dah, pergi mandi. Mak dah sediakan air panas tu,” ujar Puan Kamariah sebelum beredar dari bilik anaknya.

Adam sebenarnya budak lelaki yang baik dan mendengar kata. Tetapi sejak masuk ke sekolah menengah, sikapnya berubah sama sekali. Puan Kamariah sedia maklum dengan masalah anaknya di sekolah. Tetapi apakan daya? Dia hanya mampu berdoa supaya anaknya tabah menghadapi liku-liku kehidupan.

Usai sahaja mandi, solat dan mengenakan pakaian sekolah, Adam menuju ke dapur untuk bersarapan. Dua keping roti yang disapu mentega kacang telah tersedia bersama air Milo panas kegemarannya.

“Mak, ada duit sikit tak? Petang nanti Adam balik sekolah ingat nak ke KFC kejap kat bandar tu,” kata Adam dengan nada manja.

“Nah, ambil ni. Jangan joli sangat dengan duit tu. Simpan sikit untuk esok.” Puan Kamariah menghulurkan wang kertas berjumlah RM50 kepada anaknya.

Adam menerima wang tersebut dengan hati yang girang. Terbayang dalam fikirannya untuk menjamu makanan lazat hasil resipi rahsia dari barat itu.

“Adam pergi dulu la, mak.” Tangan ibunya dicium dan dia bergegas keluar menuju ke sekolah setelah menghabiskan sarapannya.

“Jalan baik-baik ya, Adam. Baca doa. Hati-hati kayuh basikal.” Itulah nasihat yang sering Puan Kamariah pesan pada anak tunggalnya itu hampir setiap pagi tanpa berasa jemu.

Adam hanya mengangguk lantas menaiki basikal menuju ke sekolah yang terletak beberapa kilometer dari rumahnya.

Sampai sahaja di sekolah, dia terus membuka beg sandang dan mengeluarkan buku latihan dan buku teks matematik. Kerja rumah yang diberikan oleh Cikgu Maizura masih belum disiapkan.

Bila diteliti memang banyak yang masih belum selesai. Dalam hati, dia mencemuh cikgunya itu kerana memberi kerja rumah yang terlalu banyak dan sukar untuk diselesaikan.

“Apa benda ni? Tak faham aku,” rungut Adam setelah melihat soalan yang baginya amat tidak logik.

Soalan-soalan pengiraan algebra dan penyelesaian persamaan amat menyakitkan kepalanya. Dia langsung tidak menumpukan perhatian semasa cikgunya sedang mengajar. Akibatnya dia sendiri yang tanggung dan terpaksa mencari cara penyelesaian dalam buku teks matematik yang tebal.

Rakan-rakan yang lain telah masuk ke kelas dan semakin lama semakin ramai. Kebanyakan mereka berbincang mengenai kerja rumah matematik yang diberikan. Seperti situasi Adam, mereka semua juga turut tergesa-gesa menyiapkan kerja rumah dan membanting otak yang semakin keliru dengan soalan-soalan yang perlu diselesaikan.

Adam tidak mempedulikan suara rakan-rakan sekelasnya yang turut sibuk berbincang antara satu sama lain. Suara hingar bingar di dalam kelas semakin kuat dan berhenti serta-merta setelah seorang guru masuk ke dalam kelas.

“Semua bangun! Assalamualaikum, cikgu!” Ucapan daripada ketua kelas, Samsudin kedengaran lantang.

“Assalamualaikum cikgu!” Semua pelajar menuruti apa yang telah diucapkan oleh ketua kelas mereka.

“Waalaikumussalam. Semua boleh duduk.” Cikgu Maizura selaku guru yang mengajar subjek matematik itu tersenyum manis. Senyuman yang bagi semua muridnya amat menakutkan jelas terpamer memandang setiap seorang daripada mereka.

“Kerja rumah yang cikgu bagi kelmarin dah siap ke belum?” Cikgu Maizura bertanya dengan nada sinis setelah melihat hampir kesemua meja di hadapannya terbuka dengan buku latihan dan buku teks masing-masing. Beberapa peralatan menulis juga sedang dipegang menunjukkan mereka semua sedang kalut menyiapkan tugasan.

“Siapa tak siap kerja berdiri sekarang!” laung Cikgu Maizura menyentakkan mereka semua. Habis hilang seri di wajahnya.

Terketar-ketar lutut mereka yang tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi. Adam turut bangun. Dia yang duduk di meja hadapan sudah tidak betah memandang wajah Cikgu Maizura yang seperti singa kelaparan.

“Semua yang tak siap kerja rumah sila bangun, ambil buku dan alat tulis pergi siapkan di luar kelas! Sekarang!” tempik Cikgu Maizura.

Tergesa-gesa mereka mengangkat buku-buku dan alat tulis keluar dari kelas. Beberapa buah kerusi diambil sebagai meja seberguna semasa berada di luar kelas.

Sekarang, hanya tinggal lima orang pelajar yang masih kekal di dalam kelas. Cikgu Maizura menggeleng-gelengkan kepala memikirkan sikap anak muridnya yang kian menjadi-jadi. Bimbang dengan pencapaian Penilaian Menengah Rendah yang bakal ditempuhi kelak.

Dia meneruskan sesi kelas selama satu jam bersama dengan lima orang murid mengajar topik yang baru.

Sementara itu, Adam dan rakan kelasnya yang lain sedang berasak-asak di kaki lima menyiapkan kerja rumah. Suasana hinga -bingar itu sukar dibendung.

“Hei! Semua boleh diam tak? Jangan bising sangat! Kelas lain pun nak belajar! Kalau tak siap kerja tu buatlah macam orang tak siap kerja! Benda tu pun nak kena ajar ke apa? Bising macam duduk dekat pasar aje!” bebel Cikgu Maizura. Tangannya menggenggam erat pemadam papan tulis.

Semua yang berada di luar itu terus senyap. Adegan itu dapat disaksikan pelajar di kelas sebelah. Ada yang tersengih melihat mereka didenda dan dimarah. Malu rasanya memikirkan mereka akan diejek kelak.

Adam menjauhi sedikit ruang tempat duduk di luar kelas dan menyendiri. Tiga orang rakan sekelas datang mendekati dan duduk bersamanya.

Huhuhu… Kau tengok ni… Budak ni pun tak siap kerja sekolah. Kan aku dah kata…” ujar Khairil. Seorang pelajar berkaca mata. Budak yang amat tidak disukai Adam.

“Keri, cuba mu tengok dia tulis apa tu?” Shahrul mengarahkan Khairil untuk mengintai jawapan yang ditulis Adam.

Dengan pantas Adam menutup bukunya. Dia mengangkat kerusi dan beredar menjauhi mereka bertiga.

Ceh, macam la dia tu bijak sangat sampai tak bagi orang tiru,” cemuh Shahril setelah mendiamkan diri sejak tadi. Dia umpama lembu dicucuk hidung. Terpengaruh dengan sikap Khairil dan Shahrul yang suka menganggu dan membuli Adam.

“Mu nak tiru dia, ingat betul sangat ke jawapan dia tu? Kepala otak dia bodoh macam lembu,” hina Khairil sambil ketawa lalu disambut oleh Shahrul dan Shahril.

“Bukan Keri wei, dia bukan bodoh, tapi sewel hikhikhik…”

Adam hanya memekakkan telinganya. Dia sudah lali dengan ejekan serta hinaan daripada mereka bertiga. Kadangkala mereka bertindak melampaui batas sehingga dia menitiskan air matanya tanpa diketahui sesiapa.

Tidak mahu berlaku sebarang pergaduhan, Adam pantas menyiapkan kerja rumah yang masih tertunda. Mereka bertiga yang sedang galak mengejek dan menghinanya diabaikan sahaja.

Semakin lama bilangan mereka yang berada di luar kelas telah berkurangan dan Adam masih lagi menyiapkan kerja matematiknya yang tertangguh. Betul atau salah tidak lagi diambil kira. Tangannya galak menulis sehingga ke soalan yang terakhir.

Akhirnya Adam berjaya menyiapkan kerja rumah yang diberi. Dia berkemas untuk masuk ke kelas.

“Dah siap ke, lembu?” Khairil bertanya setelah melihat Adam bersedia masuk kelas.

Kata-kata Khairil tidak diendahkan. Dia tidak mahu memandang mereka bertiga ataupun bercakap dengan mereka. Pandang muka mereka pun tidak mahu.

“Babi tu dah siap la tu, wei… Jawapan dia bukan betul pun, mu tengok buku dia pun macam sampah! Hihihi…” Mengekek Shahrul melepaskan gelak dan seperti biasa akan disambut oleh mereka berdua.

Adam lantas masuk ke kelas. Air matanya berlinangan. Tiada sesiapa pun yang melihat atau mempedulikan dirinya. Cukup terseksa dia di sini. Mulut ketiga-tiga mereka amat melukakan hatinya namun dia masih mampu diam, bersabar dan terus bersabar.

Selesai sahaja waktu persekolahan, Adam terus ke perhentian bas yang terletak di luar pagar sekolah. Di situlah tempat pelajar lain yang datang dari jauh untuk ke sekolah menaiki bas yang telah disediakan. Basikal yang dinaiki ditinggalkan di tempat letak basikal sementara dia mahu ke bandar.

Sebuah bas awam yang melalui kawasan itu ditahan. Dia terus menaiki bas menuju ke pusat bandar untuk memenuhi kehendaknya setelah seharian menempuh dugaan yang berat dan tekanan yang tidak dapat dielakkan.

Sampai sahaja di pusat bandar, dia tidak terus ke destinasi yang ingin dituju melainkan kakinya menuju ke masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat zohor. Pesanan ibunya supaya tidak meninggalkan solat tersemat dalam hatinya.

Seorang pengemis yang agak lusuh pakaiannya duduk di birai masjid sambil menadah sebuah bekas seperti menagih orang ramai menghulurkan wang ringgit.

Adam yang kebetulan baru sahaja selesai menunaikan solat dan meluru keluar amat bersimpati melihat lelaki yang tidak terurus pakaiannya. Tangannya terus menyeluk saku dan duit syiling 50 sen dihulurkan ke dalam bekas.

“Terima kasih, adik. Semoga Tuhan balas jasa baik adik. Semoga dimurahkan rezeki di dunia dan di akhirat.” Doa lelaki itu yang kelihatan gembira menerima wang walaupun tidak sebanyak yang diharapkan.

Adam tersenyum. Teringat dia pada zaman kanak-kanak 10 tahun yang lalu. Bukan senang nak dapat wang walau hanya 50 sen. Bahkan kerana 50 sen juga dia bergaduh besar dengan anak jirannya.

Sekarang, tidak sukar lagi untuk dia mempunyai wang walaupun RM1. Zaman telah banyak berubah dan ekonomi telah mula maju. 50 sen tidak lagi menunjukkan nilai yang mahal. Senang-senang sahaja dia boleh pegang wang kertas yang berjumlah RM50.

Namun begitu, dia bersyukur kerana dia dan ibunya tidak lagi bersusah payah mencari wang. Ibunya yang bekerja di pasar pagi menjual kuih-muih dengan gaji anggaran RM700 sebulan sudah memadai ditambah pula dengan simpanan tiap-tiap bulan.

Langkah kakinya laju menuju ke tempat yang paling menarik untuk dikunjungi. Mungkin kerana reputasi tempat itu selain makanan yang disediakan amat lazat dan memikat selera menambat hatinya untuk menjadikan tempat wajib dikunjungi jika ke pusat bandar.

Restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) yang menyajikan makanan ala-ala barat sesuai dengan peredaran masa menjadi destinasinya. Makanan yang berasaskan ayam goreng rangup serta makanan sampingan lain membuka seleranya. Perutnya yang sudah berkeroncong meronta-ronta untuk diisi.

Dia menikmati burger, kentang, ayam goreng, dan segelas minuman berkarbonat. Semasa menikmati makanan yang terhidang, dia menjeling mata ke meja sebelah yang telah kosong yang masih belum dikemaskan.

Masih banyak lagi sisa makanan yang terbiar. Terdapat seketul ayam goreng yang tidak langsung terusik. Kentang yang disaluti keju masih banyak di dalam bekas. Pekerja restoran pantas mengemas mana yang patut dan sisa ditinggalkan dibuang ke dalam tong sampah.

Derita rasa hati melihat makanan yang masih banyak dibuang begitu sahaja. Rugi wang ringgit memesan makanan yang mahal dan pada akhirnya tidak dihabiskan. Manusia sekarang memang suka membazir dan perangai pula tidak ubah seperti syaitan.

Tapi, kenapa dia peduli? Memang patut dia ambil tahu memandangkan ramai lagi insan di luar sana yang memerlukan makanan untuk terus hidup seperti pengemis yang baru dijumpai tadi. Ramai juga insan bernasib malang seperti di negara perang yang makanan seperti roti kosong dianggap sangat bernilai.

Kenapa kita dengan mudah membuang makanan sesuka hati? Hanya kerana berasa kenyang? Nafsu makan yang tidak dapat ditahan sehingga memesan melebihi yang sepatutnya? Atau nilai makanan yang tidak lagi menunjukkan harganya.

Mungkin manusia akan sedar jika suatu hari nanti dunia dilanda perang atau berlaku fenomena alam yang mengakibatkan bencana pada sesuatu kawasan. Pasti makanan akan menjadi aset yang paling berharga.

Mungkin waktu itu manusia berlumba-lumba dan berebut-rebut untuk mendapatkan sesuap nasi mahupun sekeping roti bagi mengalas perut yang sedang dalam kelaparan.

Adam terus menghabiskan saki-baki makanan. Hanya tulang ayam sahaja menjadi sisa makanan yang sebenar. Kentang goreng telah dihabiskan. Burger yang dimakan telah lama dihadam. Air Pepsi sahaja yang masih belum habis. Dia menunggu air batu untuk cair sepenuhnya.

Tidak lama selepas itu, dia beredar setelah menghabiskan minuman. Puas hati kerana dapat menikmati makanan yang diidam-idamkan setelah beberapa minggu menahan kempunan. Hajat hati telah tertunai.

Dia singgah sebentar di salah sebuah kedai buku untuk membeli novel kegemarannya. Hobi dan minat membaca memang tidak dapat dipisahkan sejak dia kecil lagi. Arwah ayahnya mengajar dia untuk menjadi seorang yang bijak dan pandai melalui amalan membaca.

Sebuah novel yang berjudul Manikam Kalbu hasil tulisan Faisal Tehrani menarik perhatiannya. Terus sahaja dia ke kaunter dan membayar harga buku dengan baki duit yang terdapat di dalam sakunya.

Bas yang sama sedang menunggu penumpang dan akan bergerak mengikut waktu yang ditetapkan. Lalu bas itu terus dinaiki.

Sewaktu menunggu bas bergerak, dia membuka plastik yang membalut novel dan terus membaca setiap bait cerita dengan penuh khusyuk. Penumpang bas yang lain hanya seramai lima orang sahaja dan enjin telah dihidupkan sementara pemandu bas berehat di tempat makan.

Tanpa dia sedari, lima penumpang yang berada di tempat duduk belakang sedang merenung tajam ke arahnya. Salah seorang daripada mereka berkepala botak dengan bercermin mata hitam. Kawannya yang lain juga diberi isyarat supaya bertindak.

Salah seorang daripada mereka yang kelihatan agak baik perwatakannya mendekati Adam secara senyap dari belakang.

“Adik, tengah buat apa tu?” tanya lelaki itu.

Pertanyaan secara mengejut menyebabkan dia tersentak. Bacaannya terganggu seketika.

Errr… Saya tengah membaca, bang,” jawab Adam. Dia memerhati lelaki yang mengenakan baju biru muda dengan pandangan yang pelik. Tidak pula dia kenal akan gerangan lelaki itu.

“Adik, abang tak ada duit ni. Boleh tak kalau abang nak RM5 aje?” rayu lelaki itu dengan muka yang sengaja dibuat-buat sedih.

“Saya tak ada duit, bang.” Adam tahu lelaki yang sedang duduk di sebelahnya ini cuba mengambil kesempatan dengan meminta wang sedangkan jika dilihat dari segi penampilan tidak menunjukkan tanda-tanda yang lelaki ini pengemis tetapi lebih kepada ahli-ahli sindiket yang mahu mengaut keuntungan dengan cara yang licik dan jahat.

“Ala, adik… Tolonglah… Abang nak RM5 aje…” rayu lelaki itu lagi tanpa berputus asa.

“Maaflah bang, saya memang tak ada duit.” Adam bingkas menyimpan novel yang dibaca ke dalam beg dan terus bangkit dari tempat duduknya untuk beredar. Dia terpaksa menepis kaki lelaki yang duduk di sebelahnya.

Belum sempat dia bergerak menuju ke tempat duduk lain, tangannya digenggam kuat.

“Nak ke mana, dik? Relaks la dulu.” Lelaki itu menghalang laluan Adam.

“Maaf bang, saya nak duduk kat tempat lain.” Pada masa ini dia mengharapkan beberapa penumpang lain yang duduk di bahagian belakang akan membantunya.

“Abang nak duit RM5 aje, dik…” Lelaki itu dengan berani menyeluk saku Adam mencari wang tunai yang diingini.

Adam terpaksa melawan dan menepis tangan yang cuba menyeluk sakunya. Lelaki itu semakin bertindak kasar. Adam terpaksa mengalah. Tenaganya tidak mencukupi untuk menandingi tenaga lelaki dewasa.

“Okey, okey. Saya bagi.” Adam mengeluarkan lima keping wang kertas RM1 dan dihulurkan ke arah lelaki itu.

“Hah, kan bagus kalau macam ni. Adik ni memang budak baik.” Lelaki itu memuji dan menepuk bahunya. Wang yang diterima dimasukkan ke dalam kocek seluarnya.

Adam langsung tidak berasa bangga dengan pujian itu. Dia menyumpah lelaki itu. Tidak pasal-pasal RM5 diberi secara percuma kepada mereka yang tidak berhak.

Dia bingkas mahu ke tempat duduk lain namun lelaki itu menghalangnya.

“Bang, tolonglah. Saya dah bagi duit, kan? Saya nak duduk kat tempat lain.” Kakinya menyondol lelaki itu mahu diminta supaya diberi laluan.

“Hoi, kau buat apa ni hah?” Seorang lelaki yang duduk di barisan belakang bas yang sejak tadi memerhati bertindak dengan menyergah lelaki yang mengganggu Adam.

“Tak ada buat apa pun. Cuma nak berkenalan dengan adik ni,” ujar lelaki itu dengan wajah selamba.

“Nak berkenalan haram jadah kau! Dia tu lelaki la! Kau buang tabiat ke apa? Kau ‘pau’ duit dia, kan?” soal lelaki itu dengan nada suara yang tinggi.

Adam lega kerana akhirnya ada juga seseorang yang baik hati membantu dirinya yang sedang dalam kesusahan.

“Eh, mana ada aku ‘pau’ duit dia. Aku sengaja nak berkenalan. Takkan tak boleh kut? Adik ni handsome apa…” Sengaja lelaki itu mahu bermain-main.

“Gila! Kau memang gay! Berapa ringgit kau ‘pau’ duit budak ni?” soalnya lagi.

“RM5 aje…” Lelaki terpaksa menjawab.

“RM5? Apa pasal tak mintak RM10?” Lelaki yang disangka membantu Adam kini memandang ke arah Adam dengan satu renungan tajam.

“Hoi, budak! Bak sini RM10!” jerkah lelaki itu.

“Apa ni?” Adam mula resah. Dia mahu melarikan diri tetapi lelaki tadi masih menghalang laluannya.

“Aku nak RM10! Baik kau bagi atau aku sendiri yang akan rampas!” ugut lelaki itu.

Adam semakin tidak keruan. Dia mengharapkan akan ada ramai penumpang lain yang menaiki bas. Malangnya, pada waktu beginilah tiada penumpang lain melainkan lagi tiga penumpang di belakang yang disyaki rakan kepada dua lelaki itu.

“Bang, tolonglah. Saya tak ada duit. Saya bukannya kaya sangat pun.” Adam masih menafikannya.

Disebabkan Adam enggan menyerahkan wang yang diminta, lelaki itu memberi isyarat kepada tiga lagi lelaki yang duduk di barisan belakang bas untuk menghampiri Adam.

Tangan dan kaki Adam dipegang erat. Kocek seluar diseluk untuk mencari jikalau ada wang kertas yang terselit.

“Hah, ada pun!” kata lelaki itu dengan gembira apabila mencapai wang kertas berjumlah RM10.

Namun, disebabkan wang kertas RM10 itu bercampur dengan wang kertas yang lain, semua wang yang ada habis dirampas.

“Bang, jangan ambil semua duit saya. Kalau abang nak RM10 tu, ambillah. Tapi pulangkan selebihnya.” Sedih Adam melihat hampir RM30 wang di dalam keceknya dikebas.

Argh! Aku peduli apa? Kau tak nak bagi sangat tadi aku ambi terus la semua. Kahkahkah…” gelak lelaki itu.

Beg galas Adam diperiksa mereka bagi memastikan jika terdapat wang yang disimpan di dalam beg. Mereka tidak menemui wang sebaliknya novel yang baru dibeli tadi dirampas.

Wei, kau suka kan baca novel? Baik kau ambil buku ni,” arah salah seorang lelaki itu kepada rakannya.

Mereka berlima kemudian turun dari bas setelah pemandu datang bersama kontraktor untuk memulakan perjalanan. Adam hanya meratap nasib malangnya. Bukan sahaja wang yang dikebas malah novel yang baru dibeli turut sama dirampas.

Adam mengetap giginya. Terbit satu perasaan tidak berpuas hati disulami perasaan marah. Dia menggenggam erat tangannya. Dendam kepada mereka berlima hanya terpendam dalam hati tanpa mampu bertindak atau berbuat apa-apa. Dia dianiaya dengan kejam.

10 tahun lepas…

 

“Hoi, budak! Kau buat apa kat sini hah?” Pekikan suara seorang wanita separuh abad yang sememangnya terkenal dengan mulut becok lancang kedengaran membelah suasana kejiranan.

Adam tertunduk. Wajahnya memandang tepat ke tanah. Dia tidak berani menentang mata dengan Mak Cik Ani yang amat garang.

“Hei, kau pekak ke apa budak? Aku tanya kau buat apa kat laman rumah aku ni? Nak mencuri, ya?” tuduh Mak Cik Ani melulu.

Adam tidak dapat bersuara. Tekaknya menelan air liur dengan penuh kepayahan. Lidahnya kelu. Kakinya terpaku. Dia amat ketakutan dan mengharapkan ibunya datang menyelamatkan dirinya yang sedang dilanda kesusahan.

“Celaka budak ni!” Tanpa berfikir, tangan Mak Cik Ani diayunkan tepat pada wajah Adam mengenai pipi di sebelah kiri.

Adam menangis dengan suara yang kuat. Dia memegang pipinya yang terasa amat perit. Air matanya tidak berhenti mengalir.

Kekecohan yang berlaku itu menyebabkan Puan Kamariah berlari-lari anak menuju ke halaman rumah Mak Cik Ani tanpa sempat menyarungkan seliparnya.

Astaghfirullahalazim… Kenapa ni, Adam? Apa kau buat kat anak aku ni hah?!” Puan Kamariah merangkul dan memeluk seraya mengusap kepala anaknya itu.

“Anak kau macam binatang! Dia sengaja main-main dekat halaman rumah aku! Agaknya buah rambutan aku yang selalu hilang tu dia punya angkara!” tengking Mak Cik Ani dengan nada yang tidak puas hati.

“Kau pandai-pandai aje main tuduh macam tu! Kau nampak ke anak aku yang ambil buah rambutan kau?!” Puan Kamariah membela anaknya.

“Memang aku tak nampak, tapi aku tahu! Kau, laki kau dengan anak kau memang keluarga keturunan pencuri!” Suara Mak Cik Ani yang nyaring itu menyebabkan jiran-jiran yang berdekatan mula keluar dari rumah dan berkumpul untuk menyaksikan perkara yang berlaku itu.

“Hei, Ani! Kau jangan nak hina keluarga aku tau! Habis kau ingat keluarga kau tu baik sangat ke?!” Puan Kamariah melawan kembali.

Wei, perempuan! Sejak keluarga kau pindah kat kawasan ni, aku rasa macam kampung ni dah tak selamat lagi tau! Yalah, laki kau tu kan bekas banduan! Bekas ketua perompak pula tu!” Sengaja Mak Cik Ani memanjangkan pergaduhan.

Memang tidak dapat dinafikan lagi, suaminya Encik Talaha memang seorang bekas banduan. Suaminya itu didakwa atas tuduhan merompak kedai emas. Tapi itu kisah lima tahun yang lepas.

Puan Kamariah bersama suaminya memulakan hidup baru selepas suaminya dibebaskan dari penjara dan mereka menetap di Kampung Jinjang iaitu kampung yang sedang diduduki sekarang.

Puan Kamariah hanya mendiamkan diri. Sukar dia mahu melawan kata-kata wanita di hadapannya apabila isu mengenai suaminya diungkit kembali.

Bukan kemahuannya menentukan nasib sebegini. Memang benar kata-kata yang sering diutarakan bahawa sekali kita buat jahat, selamanya akan diingati orang walaupun sedaya upaya kita cuba mengubah untuk masa depan yang cerah.

“Ha, kenapa senyap pula? Sedar diri dah ke yang kau tu bini perompak?” Mak Cik Ani tidak habis-habis mengungkit.

“Kak, sudahlah tu! Benda kecik pun nak perbesarkan juga!” Salah seorang jiran cuba menghentikan Mak Cik Ani daripada terus memarakkan api yang kian membara.

“Aku tak nak berhenti! Selagi keluarga dia ada kat kampung ni, selagi tu la aku tak puas hati!” ujar Mak Cik Ani.

Semua jiran-jiran yang menyaksikan situasi itu ada yang masuk semula ke dalam rumah. Ada yang masih setia menonton dan tidak kurang juga ada yang berlalu pergi dari situ seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi.

Ini bukan kali pertama mereka mendengar Mak Cik Ani bertengkar dengan Puan Kamariah. Sudah acap kali juga mereka bergaduh. Setiap kali itu jugalah Mak Cik Ani akan mengungkit kisah silam yang menimpa suaminya yang sekarang sedang bekerja di kilang.

Puan Kamariah mengalah. Tidak ada gunanya dia bertengkar dengan wanita yang bermulut becok itu. Entah esok lusa tak pasal-pasal dia akan wrestling depan orang ramai secara tak rasmi yang sedang menonton dengan tiket wayang percuma.

“Mari Adam, kita masuk rumah.” Puan Kamariah memimpin tangan anak kecilnya itu untuk pulang ke rumah. Adam menyeka air mata yang masih lagi bersisa.

Hmmm… Eloklah sangat la tu tiga beranak! Kalau esok lusa korang semua mati, aku akan buat pesta keramaian dekat rumah aku ni selama seminggu!”

“Jom, Adam. Lekas kita balik sekarang,” gesa Puan Kamariah setelah melihat anaknya masih tidak berganjak.

Adam menarik baju ibunya. Dia menunjuk ke satu arah. Lantas Puan Kamariah melihat di sebelah kanan penyidai baju Mak Cik Ani. Terdapat sebiji bola kepunyaannya yang selalu dimainkan.

Pantas Puan Kamariah berlari ke arah itu dan mencapai bola kepunyaan Adam sebelum mendengar Mak Cik Ani berleter dengan lebih kuat.

“Kau ingat ya, lagi sekali anak kau masuk dalam kawasan rumah aku, siaplah aku sebat anak kau sampai mati!” ugut Mak Cik Ani.

Mak Cik Ani terus membebel dengan kata-kata cacian dan hinaan. Namun, semuanya seperti kedengaran sayup-sayup apabila mereka dua beranak masuk ke dalam rumah.

“Adam, lain kali jangan main bola dekat rumah orang tu. Nak main, pergi jauh sikit. Susah mak nanti.” Puan Kamariah menasihati anaknya itu walaupun amaran telah diingatkan berkali-kali.

Adam hanya mengangguk kepalanya. Entah faham ataupun tidak. Puan Kamariah melepaskan lelahnya dan duduk berehat di atas sofa sementara Adam galak mengeluarkan barang mainannya yang lain.

Tepat jam 6.00 petang, suaminya Encik Talaha pulang ke rumah dengan muka yang penuh kepenatan.

“Mariah, tadi saya dengar ada orang cakap awak ada gaduh dengan Mak Cik Ani, kan? Pasal apa pula?” soal Encik Talaha kepada isterinya.

Maka, Puan Kamariah pun menceritakan perihal yang terjadi dari mula hingga akhir bagaimana pergaduhan itu boleh terjadi.

Encik Talaha mengeluh. Nafasnya ditarik panjang. Sudah pasti keluarganya adalah sasaran kebencian Mak Cik Ani memandangkan dia merupakan bekas banduan.

Semua penduduk di kawasan kejiranan ini pada mulanya tidak menyukai keluarganya memandangkan wajahnya yang sering terpampang di media massa dan akhbar harian.

Hampir setiap hari selepas dia dan isterinya berpindah di kampung ini sehingga Adam selamat dilahirkan, sebilangan besar penduduk masih tidak dapat menerima kehadirannya.

Sampai suatu masa, dia berdoa kepada Allah meminta petunjuk dan hidayah agar dipermudahkan hidup keluarganya. Doanya dimakbulkan Allah. Semakin lama, ramai penduduk kampung sudah mula cuba melupakan kisah silamnya.

Dia berbuat baik dengan semua penduduk kampung walaupun mereka memandang hina kehadirannya di kampung itu. Aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh Perbadanan Ahli Kelab Persatuan Kampung Jinjang turut disertainya.

Alhamdulillah, hingga kini ramai pemuda kampung yang menjadi rakan karibnya. Setiap kali ada aktiviti gotong-royong, dia pasti akan bersama mereka menjayakannya.

Hanya keluarga Mak Cik Ani sahaja yang begitu dingin dengan keluarganya. Suami Mak Cik Ani iaitu Pak Ali hanya mengikut telunjuk dan kata-kata isterinya sehingga diri sendiri terpengaruh.

Anak Mak Cik Ani pula, Aiman yang selalu bermain dengan anaknya Adam juga telah terbatas pergerakan akibat dihasut oleh ibunya sendiri. Manakala anak perempuannya yang bernama Anita sering bersikap biadap terhadap keluarga mereka bahkan pernah meludah di hadapan isterinya.

Mengingatkan semua perkara yang terjadi, dia benar-benar menyesal atas kesalahan lampau yang dilakukan. Kesempitan hidup memaksa dia mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang.

Setelah ditahan di dalam penjara selama beberapa tahun, dia munasabah dirinya. Dia nekad mahu mengubah hidup yang lebih baik demikeluarganya yang tersayang.

Dia kesal dengan sikap manusia yang tidak habis-habis mengungkit kisah silamnya. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Nasib hidupnya kini hanya ditentukan oleh Allah s.w.t. sahaja dan dia hanya mampu untuk berusaha, berdoa dan bertawakal.

Wajahnya diraup berkali-kali. Sikap melampau Mak Cik Ani memang sukar dibendung sehingga boleh mencetuskan kemarahan. Dia dan keluarganya masih mampu bersabar hingga ke hari ini.

Jika boleh, mahu sahaja dia membawa isteri dan anak lelaki tunggalnya itu hidup di kawasan perumahan lain jauh daripada kawasan yang sedia ada. Namun, kesempitan wang, tenaga dan masa benar-benar tidak mengizinkan lebih-lebih lagi sekarang dia sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai pembantu di kilang roti.

Dia memandang anak lelakinya itu. Dia mahu Adam menjadi manusia yang berguna apabila dewasa kelak. Tidak mahu mengikut telunjuknya yang dahulu. Biarlah yang lepas dijadikan satu pengajaran yang berguna untuk membina masa depan yang cerah buat anaknya.

“Abang, nah air.” Puan Kamariah yang datang dengan secawan teh panas menyentakkan lamunannya.

Dengan pantas tangannya mencapai cawan teh itu dan meneguknya sampai habis. Tidak sedar pula bahawa teh yang dihidang itu amat panas disebabkan terlampau dahaga.

Puan Kamariah melihat telatah suaminya yang kemudian berjalan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Dalam hati, dia bersimpati terhadap suaminya walaupun pernah bergelar banduan.

Adam menceritakan semua kejadian yang berlaku di bandar kepada ibunya setelah selamat sampai pulang ke rumah. Mujur konduktor bas mengenali Adam. Maka, tiada masalah untuk dia menaiki bas tanpa membayar pada waktu itu. Dia berjanji akan membayar bila-bila masa jika dia ke bandar kelak.

Puan Kamariah hanya mendengar cerita anaknya itu. Dia bersimpati atas perkara yang terjadi. Namun, apakan daya yang dia mampu lakukan. Jika dia berada di tempat kejadian, mungkin dia akan melindungi anaknya daripada menjadi mangsa gengsterisme.

Adam membersihkan diri dan memakai pakaian. Dia kemudian terus keluar dari rumah tanpa memaklumkan kepada ibunya.

Destinasi yang ingin dituju kini ialah rumah Safwan, rakan baiknya yang masih setia berkawan dengannya meskipun semua orang sedang memulaukannya.

Dia memandang rumah di hadapan yang besar halamannya. Itu rumah arwah keluarga Mak Cik Ani yang suatu ketika dahulu menetap di situ.

Kini, rumah itu tidak ubah seperti rumah hantu. Rumah yang telah dibiarkan selama bertahun-tahun tanpa ada pemilik atau penghuninya. Pernah ada pasangan yang mahu menyewa rumah tersebut tetapi akhirnya membatalkan hasrat setelah melihat keadaan rumah itu yang tidak terurus. Berbeza semasa Mak Cik Ani masih hidup.

Adam tersenyum sinis. Dalam hatinya berbolak-balik sama ada ingin berasa kasihan dengan arwah Mak Cik Ani atau ingin terus ketawa berdekah-dekah dengan tanda dia berpuas hati atas pemergian wanita itu.

Bayangkan, setiap kali dia mahu bermain dengan anak Mak Cik Ani, wanita itu akan menengking dan menjerkahnya. Beberapa kali juga dia dipukul dengan menggunakan batang kayu. Badannya yang kecil pada waktu itu tidak dapat menanggung kesakitan yang parah.

Padan muka! Satu keluarga mati! Sampai tujuh keturunan kau pun aku takkan maaf! bisik hati kecil Adam. Dia menelan air liur. Baru sekarang dia sedar yang tiada seorang pun ahli keluarga Mak Cik Ani yang masih hidup. Jadi bagaimana akan ada tujuh keturunan? Dia menggaru-garukan kepalanya. Perlukah dia masih berdendam sedangkan mereka semua telah lama terkorban?

Adam mempercepatkan langkah menuju ke rumah Safwan. Semakin lama dia berdiri dan memandang rumah itu, semakin marak api kebencian dalam dirinya.

Safwan yang sedang membetulkan rantai basikal tercabut memandang ke arah Adam yang menuju ke rumahnya.

“Hah, Adam! Apa hal kau datang petang-petang ni?”

Adam menghembuskan nafasnya dengan kuat setelah berjalan laju beberapa ketika. Tujuan Adam jika datang ke rumahnya tidak lain dan tidak bukan mahu menceritakan masalah yang dihadapinya.

Tatkala Adam dilanda kesusahan, selain ibunya Puan Kamariah, Safwan ialah tempat kedua dia mengadu domba masalah peribadinya.

“Kau tau tak wei, tadi masa kat bandar aku kena ‘pau’ dengan sek-sek bandar, wei. Habis duit aku dia orang ‘pau’. Buku yang aku baru beli pun dia orang bawa lari.” Adam mengadu.

“Laaa… Dah tu? Kau buat report polis tak?”

“Tak done la wei.”

“Dah tu gane dengan duit tu?”

“Duit aku kena ‘pau’ la wei, ada dengan dia orang.”

“Apa pasal kau tak lawan?”

“Dia orang ramai la, kau ingat aku ni terminator ke apa?”

Safwan hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia hanya mampu mendengar masalah Adam tetapi tidak mampu membantu.

“Aku nasihat, lain kali kalau kau duduk dalam bas, kena jauh dengan dia orang, kalau bas kosong dan kau nampak geng-geng ramai duk kat bahagian belakang tu, baik kau jangan naik lagi dan tunggu sampai abang drebar bas naik.” Hanya itu mampu Safwan katakan pada Adam.

Adam mengangguk lemah. Selepas ini dia perlu berhati-hati. Duit susah nak dicari memandangkan dia masih bersekolah dan bukannya bekerja.

Wei, jomlah masuk! Minum lepak-lepak dulu dalam rumah. Mak ayah aku pegi pasar kejap. Dia orang tak balik lagi,” pelawa Safwan.

“Tak apa la, wei. Aku nak pegi tempat lain dulu. Lain kali la. Assalamualaikum!” Adam terus berlalu pergi dari rumah Safwan.

Setelah menceritakan dan berkongsi masalah dengan rakan baiknya itu, dia berasa amat lega seperti telah melepaskan beban yang berat di bahunya.

Adam menuju ke taman permainan yang terletak tidak jauh dari situ. Dia melihat sekumpulan budak lelaki sebayanya sedang bermain bola sepak.

Mereka tidak pernah berminat mahu berkawan dengan Adam. Pernah beberapa kali dia cuba berkawan dengan mereka namun dia dihina dan dicemuh.

Dia hanya mampu melihat mereka bermain dengan riang sambil bersorak keriangan mengejar bola dan menendang menghampiri gawang gol.

Seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia tiga tahun menghampirinya sambil tangan membawa yoyo.

“Abang, tengok ni. Adik beli yoyo baru.” Budak lelaki yang bernama Faris itu menunjukkan alat permainan yang dibeli.

Adam hanya mengukir senyuman. Dia gembira melihat telatah Faris yang tergedik-gedik bermain walaupun tali yoyo yang dijatuhkan ke bawah tetapi tidak dapat melantun semula.

“Adik, bukan macam tu mainnya, meh sini abang tunjuk.” Adam meminta yoyo itu untuk dihulurkan lalu ditunjukkan cara yang betul untuk bermain dengan pelbagai teknik pergerakan.

Faris melihat dengan begitu teruja sekali. Adam menyerahkan semula yoyo kepada budak lelaki itu untuk melihat dia mempraktikkan cara yang telah ditunjukkan tadi.

Seorang wanita datang menghampiri mereka berdua dan menarik tangan Faris menjauhi Adam.

“Mama dah pesan kan?! Jangan main dengan orang ni!” marah wanita itu kepada budak lelaki yang juga anaknya.

“Adik nak tunjuk yoyo ni aje kat abang tu. Abang tu ajar adik main yoyo tau, mama,” kata Faris.

“Heh! Mama kata tak boleh, tak boleh la! Tak reti base ke apa? Tak takut ke kena bunuh?” Wanita itu menengking anak kecilnya itu.

Faris terdiam. Dia tidak berani lagi mahu bersuara.

“Kau dengar sini budak! Jangan berani dekat dengan anak aku lagi! Kalau aku nampak, siaplah!” Mata wanita itu mencerlung tajam memandang Adam.

“Kak, saya tak buat apa-apa pun. Faris cuma…” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, wanita itu memintas katanya.

“Aku tak peduli! Yang penting kau jangan dekat dengan anak aku! Kau, emak kau dengan arwah bapak kau semua sama aje! Pembunuh!” maki wanita itu sambil berlalu pergi meninggalkan Adam yang sedang terpinga-pinga.

Tersentak Adam apabila wanita itu telah jauh berlalu pergi. Fikirannya seolah-olah dalam awang-awangan.

Timbul perasaan marah yang hadir secara tiba-tiba tanpa diduga. Marah kerana manusia di sekeliling tidak sudah-sudah mengungkit kisah lama arwah bapanya. Dia dan ibunya yang terkena tempias yang teruk.

Ini bukan tempias lagi, ini seperti dia dan ibunya dicurah dengan air tempayan yang disaluti dengan air najis yang jijik dan kotor.

Dia tidak berdendam dengan arwah bapanya. Mungkin kerana terlalu sayangkan keluarganya, arwah bapanya mengambil tindakan drastik yang mungkin luar daripada jangkaan fikiran manusia biasa.

Adam berjalan pulang ke rumahnya dengan perasaan yang bercampur-baur. Dia berharap suatu hari nanti dia akan memperbetulkan keadaan. Jika tidak dengan cara baik, dia akan cuba juga walaupun dengan cara yang amat kasar.

Dalam diam, Adam menyimpan dendam!

Penilaian Menengah Rendah (PMR) hampir tiba. Ramai pelajar mula bertungkus-lumus untuk menumpukan perhatian kepada subjek yang lemah. Pada waktu ini, mesti setiap meja akan dipenuhi buku baik lelaki mahu pun perempuan. Istilah belajar last minute memang sudah menular sejak dulu lagi.

Bagi Adam, tiada guna berpura-pura rajin sedangkan sifat sebenar tertanam sikap malas. Lihatlah sendiri dari awal tahun. Berapa ramai yang betul-betul berusaha dan berapa ramai yang belajar sambil lewa?

Biarlah keputusan peperiksaan dia sederhana. Dia berusaha setakat yang dia mampu. Mana mungkin dia akan dapat lapan ‘A’ dengan belajar last minute.

Kehadiran tiga rangkai ke dalam kelas amat tidak menyenangkan Adam. Dia cepat-cepat mencapai buku teks mana-mana subjek dan membacanya. Tidak mahu dirinya nampak mudah diganggu.

Khairil mendekati Adam untuk melihat apa yang dibaca. Shahrul dan Shahril hanya ketawa terkekek-kekek. Entah apa yang lucu sampai mereka boleh terkekek macam tertelan tahi cicak.

“Rajin budak ni baca buku.” Khairil bersuara. Dia membisikkan sesuatu pada kedua rakannya itu.

“Keri wei, dia baca buku matematik la.” Shahrul memberitahu kepada rakannya itu.

Adam hanya berpura-pura tuli. Dia tidak mempedulikan tiga ekor binatang yang entah datang dari mana berbuat kacau.

“Orang bodoh je baca buku Matematik.” Shahril bersuara. Kata-katanya itu menyentakkan hati Adam.

Memang ada betul juga cakap Si Shahril tu. Dia memang bodoh pergi baca buku matematik sedangkan subjek itu banyak pengiraan dan bukannya hanya belajar dengan membaca sahaja. Baru dia faham kenapa mereka ketawa terkekek-kekek di belakangnya.

Dok heran pun orang gitu. Otak bebal!” Khairil menghina Adam yang sudah mula bengang.

Adam menyimpan semula bukunya di dalam meja dan keluar sebentar ke koridor kelas. Dia melepak sementara di situ memerhati beberapa orang murid sedang berpusu-pusu menuju ke kelas masing-masing.

Khairil dan dua rakannya menuju ke koridor kelas di mana tempat Adam berdiri. Mereka sengaja berada di situ untuk mengganggunya.

“Molek sikit Keri wei, jangan dekat sangat dengan dia, kang dia tolak mu jatuh sampai bawah kang,” ujar Shahrul sambil tidak henti ketawa.

“Kalau dia tolak aku, aku mati jadi hantu senang sikit nak cekik dia pula,” jawab Khairil.

“Bahaya wei, kang dia jadi macam ayah dia. Susah mu, Keri.” Shahrul sudah mula membuka kisah yang bermatian cuba dilupakan Adam.

Tidak mahu mendengar kata-kata selanjutnya, Adam kembali semula ke dalam kelas meninggalkan mereka bertiga yang galak bersembang menyentuh isu arwah ayahnya. Suara mereka masih kedengaran kuat walaupun kedudukan koridor agak jauh sedikit di tempat duduknya.

Adam ralit memerhatikan rakan sekelasnya yang sedang menulis sesuatu. Apabila diamati, dia mula tidak senang duduk.

“Kina, kita ada homework Geografi ke?” Adam bertanya kepada rakan perempuan sekelas yang duduk sejarak di sebelah kanannya.

Kina hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu melayan Adam apatah lagi bercakap. Tangannya asyik dengan menulis dan menulis.

“Lela, kita ada homework Geografi ke?” Adam bertanya pula kepada rakan yang duduk di sebelah Kina.

Seperti Kina, Lela juga hanya membatu sambil menulis. Suara Adam yang bercakap tidak dipedulikannya.

Buku teks Geografi dibeleknya. Adam menepuk dahi. Dia baru teringat yang mereka diberikan tugasan menyiapkan soalan latih tubi subjek itu beberapa hari yang lepas. Disebabkan subjek itu hanya dua kali seminggu, sukar baginya untuk mengingati kerja rumah berkenaan.

Jadual kelas pada pagi itu berjalan seperti biasa. Tepat pada pukul 10.30 pagi, semua pelajar keluar untuk berehat. Masing-masing keluar untuk mengisi perut. Bau nasi dengan lauk-pauk sudah terbayang dalam minda.

Kekecohan murid yang keluar berpusu-pusu menuju ke kantin tidak dihiraukan Adam. Dia mengeluarkan buku teks Geografi dan menyiapkan latih tubi yang diarahkan oleh gurunya beberapa hari lepas.

Entah sedar atau tidak, kelakuannya diperhatikan oleh Khairil dan dua rakannya dari arah belakang.

Perlahan-lahan Shahrul bergerak mendekati Adam. Dia memerhatikan dari belakang tanpa sedikit pun disedari Adam.

Bunyi ketawa mengekek yang sering didengar menyentak perhatian Adam. Dia lantas memandang belakang dan seperti biasa mereka bertiga tercegat sambil mengetawakannya.

“Kita pun tak siap lagi, jom kita duk dekat dengan dia. Mana tau boleh dapat jawapan sikit.” Shahril memberi cadangan.

Adam menutup bukunya. Dia mengambil alat tulis yang diperlukan dan beredar bersama buku teks menuju ke perpustakaan dengan harapan mereka tidak mengekorinya dan berbuat kacau.

“Eleh, budak tak betul tu lari dah. Jom la kita buat cepat. Kang cikgu masuk.” Mereka tidak mengekori Adam sebaliknya gigih menyiapkan kerja rumah yang diberikan.

Tiba-tiba Khairil mendapat satu idea.

Dia berjalan menuju ke bakul sampah kecil dan memerhatikan isi di dalamnya. Terdapat beberapa kertas yang dironyok, bekas sisa pengasah pensel dan plastik makanan.

Bakul sampah itu diangkat dan dibawa menghampiri tempat duduk Adam.

“Mu nak buat benda tu, Keri?” Shahrul sengaja bertanya sedangkan dia sudah tahu muslihat yang ingin dilakukan kawannya itu.

Khairil membuka zip beg galas Adam dan memasukkan kesemua sampah ke dalam beg itu sehingga memenuhi separuh isi padu beg itu.

Bakul sampah diketuk-ketuk membiarkan sisa dan saki-baki habuk keluar memasuki beg galas Adam. Hati Khairil puas dengan kerja gila yang dilakukan.

Shahrul dan Shahril hanya memandang sambil ketawa berdekah-dekah. Beberapa rakan perempuan yang masuk ke kelas menyaksikan tingkah laku Khairil namun tidak mempedulikan tindak-tanduk mereka bertiga. Bagi mereka, Adam harus diajar sehingga tidak tahan dibuli dan terus keluar dari sekolah ini.

Tali beg galas yang menyokong kedudukan beg dileraikan. Tali itu diikat kemas pada kerusi dengan ikatan yang amat kuat sehingga tidak dapat lagi diurai dengan mudah.

Setelah itu, dia kembali menghadap buku menyiapkan tugasan yang tertangguh. Dua rakan sekelas perempuan yang memerhati tindak-tanduk mereka turut ketawa seolah-olah gembira melihat mereka membuli Adam.

Waktu rehat hampir tamat. Adam kembali semula ke kelas. Dia tidak mempedulikan tiga pasang mata yang sentiasa memerhatikannya. Dia duduk seperti biasa dalam keadaan lega kerana tugasnya telah selesai.

Peristiwa Adam yang baru didajal oleh tiga serangkai itu masih belum disedari. Beg galasnya yang berisi sampah sarap tidak langsung disedari malah tali begnya juga tidak diketahui telah diikat kemas pada kerusi yang diduduki.

Cikgu Osman yang mengajar subjek Geografi masuk ke dalam kelas. Buku di atas meja sudah siap terbuka dalam keadaan bersedia. Kelas bermula seperti biasa membincangkan topik latih tubi dan juga tip-tip untuk menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Tepat pukul 1.30 tengah hari, semua pelajar dibenarkan pulang. Adam mengemas buku dan disimpan di bawah meja dan separuh lagi dibawa balik.

Apabila beg galasnya dibuka, alangkah terkejutnya dia melihat separuh isi di dalam begnya mengandungi sampah yang berupa kertas dan habuk yang tidak dapat dikenal pasti bersama plastik makanan.

Adam memandang ‘tiga ekor’ yang dicop beruk itu dengan pandangan tajam. Mereka bertiga menjulurkan lidah sambil berlalu keluar dari kelas. Hati Adam makin sakit melihat mimik muka mereka yang mengejeknya.

Beg galas cuba diangkat, namun gagal. Begnya seperti tersepit sesuatu. Dia memeriksa dan mendapati tali begnya terikat kemas pada kerusi. Ini mesti tidak lain dan tidak bukan perbuatan mereka bertiga yang menganiaya dirinya.

Ikatan tali pada kerusinya cuba dileraikan dengan sebaiknya. Ikatan mati itu tidak mudah dibuka. Adam semakin kalut apabila murid dari kelas lain yang mengikuti kelas tambahan di kelas itu sudah mula masuk ke dalam kelas berpusu-pusu.

Adam mengangkat kerusinya ke koridor. Dia menyambung semula kerja yang tidak sepatutnya dilakukan.

Dari jauh, Safwan yang juga kebetulan baru sahaja keluar dari kelas di hujung bangunan memandang Adam yang sedang bersusah payah melakukan sesuatu, lantas didekati rakan baiknya itu.

“Hoi, kau buat apa tu?” Safwan menepuk bahu Adam dari belakang.

Terlihat jelas wajah Adam yang berlinangan air mata memandangnya. Cepat-cepat air mata diseka.

“Tengah masak nasi ni.” Adam masih mampu bergurau sedangkan hatinya sudah membengkak sehingga berdarah.

Safwan terdiam. Dia memerhati kelakuan Adam. Rupa-rupanya Adam sedang meleraikan ikatan tali beg di kerusi dengan penuh kepayahan.

Meh sini aku tolong kau.” Safwan menawarkan bantuan tanpa diminta.

Adam membiarkan Safwan membantu. Geram dalam hatinya masih belum pudar. Kalaulah mereka lenyap di dunia ini, alangkah bahagia hidupnya.

“Susah nak lerai tali beg ni. Ikat mati.” Berkerut dahi Safwan yang bersungguh mahu membuka ikatan.

“Kalau tak boleh, tak apa la. Kau ada gunting? Pinjam kejap.”

Safwan mengeluarkan gunting yang selalu digunakan untuk kelas pendidikan seni visual. Dia menyerahkan gunting itu kepada Adam.

Adam menggunakan gunting itu untuk memotong tali begnya yang terikat.

Setelah itu, begnya berjaya diangkat dari kerusi. Dia kemudian meminta kebenaran cikgu yang sedang mengajar kelas tambahan dan memulangkan kerusinya ke tempat asal. Tali beg yang tidak dapat dilerai dibiarkan tersangkut di kerusi itu untuk entah jangka masa berapa lama.

Dia mendapatkan Safwan dan mereka berlalu pulang ke rumah. Beg galasnya terpaksa digalas dengan hanya menggunakan satu bahu sahaja memandangkan sebelah lagi telah terputus talinya.

Safwan mengayuh basikal membiarkan Adam berada di hadapan melayan perasaan. Kesian melihat nasib rakan karibnya itu yang sering dibuli. Entah apa yang seronok dengan membuli sehingga membuat manusia lain merana.