Bila Hati Memilih Dia

RM29.00

Penulis: Wan Nur Najihah

Caption: dan aku tewas dengan keikhlasan cintanya…

ISBN: 978-967-406-263-7

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 29.00 RM 32.00

“Kau nak cerai, kan? Aku ceraikan kau dengan talak tiga. Puas hati kau?” – Nazriel

Dan sejak itu dia menutup pintu hatinya serapat mungkin. Percintaan selama 8 tahun akhirnya sia-sia dan perit untuk terima hakikat perkahwinan dengan isteri yang dicintai  gagal. Enam tahun bersama anak tunggalnya, hidupnya kembali diuji dengan kehadiran seseorang.

“Nasiblah kahwin dengan saya dapat pakej sekali dengan Nufail.”- Nazriel

Bagi Adra tidak mungkin dia mahu menerima lelaki itu.  Ternyata kerja sementara untuk menjadi pengasuh Nufail menjadi titik permulaan perkenalan mereka. Makin lama mengenali terbit rasa kagum pada bapa muda itu dan tanpa sedar hubungan mereka menjadi rapat.

Tapi sayang apabila satu tragedi tidak dijangka menimpa. Hidupnya nanar mengenangkan keadaan diri. Dan Nazriel mula rasa bersalah. Atas dasar tanggungjawab dia diangkat menjadi isteri semata-mata mahu menjaga maruahnya yang cuba dicalar oleh lelaki lain.

“Memang bagi awak kecil tapi saya tak boleh. Bila awak pegang tangan saya, saya rasa takut. Saya ingat apa yang jadi malam tu. Saya tak boleh.”- Adra

Sabarnya Nazriel melayan setiap kerenahanya. Sekali pun lelaki itu tidak pernah mengungkit.  Dia dijaga dengan begitu baik sehingga hati yang kosong mula berlagu cinta.

“Saya tak sempurna untuk awak.” – Adra

“Saya tetap nakkan awak.”- Nazriel

Kejamkah dia andai menolak seorang lelaki yang benar-benar ikhlas mahu menjaganya? Dan bila hati sedia memilih, perasaannya dilukai.

“Adra hanya ibu tiri Nufail je. Bukan ibu kandung yang lahirkan dia. Naluri keibuan tak ada dalam diri Adra. Selagi tak bergelar ibu Adra tak akan rasa.”

Keikhlasannya diragui. Kasih sayang yang dicurahkan tidak dipandang. Nazriel yang dipuja akhirnya menunjukkan diri sebenar. Dan hatinya tidak tegar mencintai lelaki yang hidup atas dendam lama.

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

ADRA gelabah. Satu per satu plastik di dalam bakul merah dikeluarkan. Sampai plastik terakhir, dia mengetap bibir. Apa yang dicari tiada. Serta-merta tangan dan bibir mula bergetar. Manusia mana yang tegar mencuri duit jualannya? Hanya itu wang yang dia ada. Air mata mula membasahi pipi.

Kenapa hari ini nasibnya malang? Ingatkan selamat berada di dalam surau. Tapi dia silap. Kepalanya mula buntu. Jam dinding sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Pukul 8 dia perlu sampai ke rumah. Kalau lambat pasti dia akan dipukul oleh ibu tirinya, Mak Cik Melur.

Tapi bagaimana mahu pulang kalau tidak bawa wang jualan sekali? Lengan baju diangkat. Masih kelihatan bengkak di lengan akibat dipukul tiga hari lepas. Ini gara-gara jualannya tidak habis. Tubuhnya terlalu lemah dan sakit untuk dipukul lagi.

Dia tahu Mak Cik Melur sedang menunggu di rumah. Pasti mengamuk ibu tirinya itu kalau tahu duit jualan telah hilang. Bukan setakat dia dengan adiknya akan dipukul. Teringatkan Adwa, Adra terus bangun. Dia perlu cari kembali duitnya. Dia tidak kisah dirinya dipukul atau tidak diberi makan tapi bukan adiknya. Telinganya sudah tidak mampu mendengar jeritan dan tangisan Adwa.

Bakul yang berisi kuih diangkat. Hari ini jualannya tidak berapa baik. Tapi masih sempat untuk dia habiskan jualan kuih. Adra bergerak ke arah tapak pasar malam. Mungkin ada antara pengunjung yang berminat untuk beli kuihnya.

Laju dia berjalan. Dia perlu kejar masa. “Abang nak beli tak kuih sa…” Belum sempat ayat habis, pelanggan sudah lari. Tidak putus asa dia cuba lagi. Air mata mula mengalir apabila tiada seorang pun mahu beli.

Melihat satu pasangan yang duduk di bangku kosong, cepat-cepat Adra menghampiri. “Kak, abang, nak beli tak kuih saya? Murah aje saya jual.”

“Tak nak.”

Adra menelan air liur mendengar jawapan si gadis. Dia tidak mampu sorok wajah sedih.

“Kak tolonglah beli kuih saya. Saya perlukan duit.” Hilang terus rasa malu. Dikesat air mata. Apa dirinya kelihatan seperti pengemis sehingga orang tidak mahu membeli? Dia lihat si gadis mencebik.

“Kuih apa ni?”

“Awak, jomlah. Buat apa nak beli? Saya dah kenyang. Membazir aje nanti.”

Tanpa dipinta, air mata kembali mengalir apabila pasangan itu pergi. Adra terduduk di bangku sambil mengusap perut yang berbunyi. Sungguh dia lapar. Balik dari sekolah, Mak Cik Melur memaksanya keluar menjual. Dia hanya diberi makan waktu malam. Itu pun berkongsi dengan Adwa.

Ikutkan hati dia tidak mahu pulang malam ini. Tapi itu hanya akan mendatangkan masalah saja. Kenapa dia perlu mengharungi hidup sesukar ini? Semua rakan sebayanya belajar untuk menduduki UPSR. Dia pula berada di bandar untuk jual kuih.

Kalaulah ibu masih ada pasti bukan di sini tempatnya sekarang. Kalau ayah tidak kahwin lain pasti dia tidak perlu hidup menderita. Tak guna menangisi apa yang berlaku. Itu tetap tidak akan merubah hidupnya.

Rantai emas yang terletak elok di leher dibuka. Inilah rantai yang jadi idaman Mak Cik Melur. Mujur sahaja sampai sekarang dia masih pertahankan. Tapi hari ini dia tidak tahu apa nasib rantai ini. Pasti akan dirampas. Sungguh dia sayang rantai milik arwah ibu.

Adra menyapu air mata. Dia perlu pulang sekarang. Dirinya sangat penat. Mahu berjalan pun tidak larat. Kali ini dia terpaksa reda tubuhnya dipukul lagi.

“Dik…”

Kepala diangkat. Dia memandang lelaki yang bersama gadis tadi. Tapi kali ini gadis itu tidak kelihatan.

“Abang nak beli kuih?” soalnya dengan penuh pengharapan.

“Haah. Jual kuih apa? Kenapa menangis?”

“Duit kena curi. Saya tak ada duit. Kalau abang beli kuih saya baru saya ada duit.” Ikatan plastik dibuka untuk tunjuk kuih yang dijual. “Ada koci, kuih ketayap, Qasidah, cekodok pisang pun ada. Abang nak kuih mana?”

“Setiap kuih ni bagi dua.”

Laju saja dia angguk. Alhamdulillah, ada juga duit yang akan diberi kepada Mak Cik Melur nanti. “Banyaknya…” Not warna ungu yang dihulurkan tidak diambil.

“Tadi cakap duit kena curi, kan? Ni abang ganti balik.”

Terharu, itu yang dia rasakan. Lelaki itu faham-faham saja situasinya. Tak pernah dia pegang duit RM100 dalam hidup. “Terima kasih, abang…” ucapnya setelah dipaksa untuk mengambil duit tersebut. Dia akan kenang jasa baik lelaki muda ini.

“Dah makan belum? Ni ada nasi ayam. Tunang abang beli tapi tak makan. Nak buang sayang. Adik ambillah.”

Lambat-lambat Adra mengambil huluran tersebut. Entah berapa lama dia tidak makan nasi ayam. Air liur ditelan apabila sudah terbayang keenakan makanan kegemarannya itu.

Baru sahaja lelaki itu melangkah, dia memanggil lelaki tersebut. Bakul kuihnya diangkat bersama. Rantai emas dikeluarkan lalu dipandang sayu. Entah apa yang merasuk, dia hulurkan rantainya.

“Ini rantai saya. Ambillah. Anggap aje saya jual pada abang.”

Tidak menunggu lama, dia terus pergi. Sengaja dia buat tidak dengar suara yang memanggilnya. Biarlah rantai itu jatuh ke tangan lelaki yang tidak dikenali daripada jatuh ke tangan Mak Cik Melur.

“AZRIEL, awak pergi mana? Saya pergi tandas kejap aje awak dah hilang.” Sofea duduk lalu menghentak kaki tanda marah. Beg sandang dicampak ke tepi. Muncung sudah panjang sedepa.

“Sofea, apa macam ni? Malulah orang tengok,” tegur Nazriel lalu mengambil semula beg Sofea. “Saya beli ni. Jom makan.”

Bulat mata Sofea. “Awak jumpa budak tadi?”

“Saya teringin nak makan kuih dia jual.” Sebenarnya dia kembali mencari budak itu sebab kesian.

“Awak makanlah. Saya dah kenyang,” tolak Sofea sambil menjeling lelaki yang baru bergelar tunangnya. “Berapa ratus awak bagi dekat budak tu?” Mereka kenal bukan sehari dua. Nazriel seorang lelaki yang mudah kesian tambah-tambah lagi apabila melihat budak-budak berniaga.

“Sikit aje. Biarlah, rezeki dia.”

“Kita nak kahwin. Awak lupa ke? Duit yang ada baik awak simpan. Awak tu tak kerja… Masih belajar. Keluarga kita bagi kahwin pun dah untung. Awak kena tunjuk pada family saya yang awak mampu jaga saya.” Sengaja Sofea mengingatkan tentang itu kepada tunangnya.

Nazriel letak donat yang baru digigitnya ke dalam plastik. Dipandang Sofea. Dua hari lepas mereka berjaya mengikat tali pertunangan setelah bercinta sejak zaman sekolah. Sebagai tanda syukur, dia sengaja beri duit lebih kepada budak perempuan itu.

“Awak jangan risau pasal duit. Duit boleh dicari. Walaupun belajar tapi saya kerja.”

“Duit awak kerja tu berapalah sangat…” keluh Sofea. Dia tahu tunangnya melakukan beberapa kerja semata-mata untuk cari duit. “Awak nak belajar lagi… Kerja lagi… Awak tak rasa kita terburu-buru ke?”

“Awak menyesal ke? Saya betul-betul nak kahwin dengan awak. Awak hanya perlu percaya saya. Saya akan buat apa saja untuk awak. Walaupun kita kahwin masa belajar, awak takkan hidup susah dengan saya.”

Sejak kali pertama jumpa Sofea, dia sudah jatuh hati. Habis SPM terus dia bekerja sehingga sekarang. Janjinya harus ditepati.

“Kalau saya tak percaya awak, kita takkan bertunang.”

Nazriel tersenyum. Keputusan untuk menikahi Sofea sewaktu belajar muktamad. Apa pun yang terjadi selepas ini, sekurang-kurangnya gadis itu ada di sisinya. Dia yakin Sofea jodoh yang dikurniakan Allah.

“Sofea…” panggilnya. “Senyumlah sikit. Awak kalau senyum nampak manis. Donat ni pun kalah.”

PINTU dapur dibuka perlahan-lahan sambil mata melilau mencari Mak Cik Melur. Jam dipandang. Sudah pukul 8.30 malam. Dia lambat, patutlah wanita itu tiada. Pasti ibu tirinya ada di ruang tamu menonton tv.

Tadi sewaktu pulang, rantai basikalnya beberapa kali terlucut. Terpaksalah dia berhenti. Habis kotor tangan dan baju kena minyak hitam. Itu belum lagi dia jatuh akibat langgar batu. Tak pasal-pasal lutut dan siku luka. Dia hanya mampu menahan sakit. Tapi tak apalah. Janji dia balik cepat.

Bakul kuih diletak di atas meja. Baru saja cuci tangan, kelibat Mak Cik Melur muncul. Terus plastik kuih dibuka. Dia hanya menunduk. Sudah tahu apa akan jadi nanti.

“Kau tak habis jual? Kenapa kau balik? Mesti kau pergi main, kan? Pandai kau tipu aku!” tengking Mak Cik Melur lalu mencubit lengan Adra. “Aku rugi lagi malam ni. Tak guna betul kau!”

Adra sudah menangis. Tangan kirinya menekup lengan kanan. Dia tidak mampu menahan sakit lagi. Cubitan Mak Cik Melur betul-betul di tempat luka. Sangat berbisa cubitan itu. Kadang-kadang sampai berdarah kulitnya. Duit yang ada di dalam poket dikeluarkan. Hanya ini yang boleh menghentikan amukan wanita itu.

“Eh, mana kau dapat duit ni?”

“Ada orang bagi…” Polos Adra menjawab.

Melihat duit sebesar itu, senyuman mula terukir. “Mesti orang kesian tengok kau. Dah rupa pengemis. Duit jual kuih mana?” Poket seluar Adra diraba. Ada beberapa keping duit kecil. “Pandai kau nak curi duit.”

Adra mengesat air mata. “Mak cik, Adra lapar…”

“Kau jangan berani makan. Lauk tu aku simpan untuk ayah kau. Kalau aku tengok luak, siap kau!” Ditolak Adra masuk ke bilik lalu dia naik ke tingkat atas. Sudah fikir mahu dibuat apa duit sebesar ini.

“Kakak…”

“Adwa…” Adra melangkah ke arah adiknya yang baru keluar dari bilik. “Mak cik bagi makan tak?”

“Tak. Tapi Adwa tak lapar. Tadi kat sekolah Adwa dah makan.”

Dia tahu adiknya tipu. Pasti Adwa sedang menahan lapar. Dia keluar lalu diambil plastik berisi makanan. Sengaja dia tinggalkan di luar.

“Ini ada makanan. Jom kita makan dulu.” Tangannya dibasuh bersih-bersih lalu ditarik Adwa masuk ke bilik. Pintu dikunci lalu dia duduk bersila di atas lantai. Polystyrene dibuka lalu dihulurkan kepada adiknya.

“Kakak makan dulu. Adwa tahu kakak lapar.”

Akur, Adra terus menyuap nasi ke dalam mulut. Mereka dua beradik sangat rapat. Lagipun dia tak ada siapa lagi melainkan Adwa dan ayah.

“ADRA, kau pekak ke?” marah Mak Cik Melur sebaik saja Adra muncul. Ditolak kasar bakul kuih. “Baik kau jual kuih ni sampai habis. Kalau tak, taulah nasib kau nanti.”

Adra menunduk. Penat balik sekolah belum hilang, dia sudah pergi menjual. Untung orang yang masih ada ibu.  Balik sekolah terus dapat makan. Dia hanya mampu minum air. Dipandang Maria, saudara tirinya yang sedang makan. Mereka sebaya tapi tak pernah berbaik. Maria sebiji ikut perangai ibunya.

“Mak cik, Adra nak nasi…” Kalau hari baik dapat juga dia sepinggan nasi kosong. Itu lebih baik daripada tiada apa-apa.

“Aku masak untuk anak-anak aku, bukan untuk kau. Eh…” Tajam mata Mak Cik Melur memandang leher Adra. Rasa macam ada yang tak kena. “Mana rantai kau?”

“Hi… hilang.” Fikirnya wanita itu akan perasan semalam. Ternyata duit RM100 berjaya menyelamatkannya.

“Hilang?” Bulat mata Mak Cik Melur. Terus dia bangun. Mahu tercabut jantung mendengarnya. “Kenapa kau hilangkan rantai kau? Aku nak simpan kau tak bagi. Kau mengadu kat ayah kau. Sekarang dah hilang. Apasal kau ni bodoh sangat?”

“Sakit, mak cik…” Dan entah untuk kali keberapa tubuhnya menjadi mangsa. Hari ini lebih sakit daripada semalam. Bukan setakat itu, rambutnya ditarik kuat sampai kepala rasa pening. Dia tahu betapa teringinnya Mak Cik Melur terhadap rantai lehernya itu.

“Kau takut aku jual rantai kau kan sebab tu kau tak bagi aku?” Macam orang gila dia ketika ini. Tak pasal-pasal rugi besar.

“Mak cik…” Adwa yang berada di dalam bilik terus keluar apabila terdengar bunyi bising. Ditarik kakaknya ke tepi. Dipandang tajam ibu dan kakak tirinya. Sampai longlai kakaknya dipukul. “Kenapa mak cik selalu pukul kakak?”

“Kakak kau hilangkan rantai. Kau tahu tak rantai yang dia pakai tu mahal?”

“Kalau hilang pun tu rantai kakak, bukan rantai mak cik.” Berani Adwa melawan. Mak Cik Melur yang ajar dia supaya biadab. “Saya nak telefon polis.”

Mak Cik Melur mengilai. “Kau sekolah baru darjah empat dah pandai nak ugut aku. Polis mana percaya. Sedar sikit, aku bela kau pun dah untung. Ikutkan hati aku halau kau adik-beradik. Aku tak kira malam ni aku nak tengok rantai tu ada. Kalau tak sakit kau dua beradik. Getah paip sampai kat kau.”

“Adwa, kenapa melawan?” tegur Adra sebaik Mak Cik Melur dan anaknya beredar.

Adwa tiga tahun muda daripadanya. Melihat Adwa senyap, dia terus masuk ke bilik. Adiknya masih kecil dan hanya mahu pertahankan seorang kakak yang lemah.

Pintu ditutup lalu dia duduk. Air jernih kembali jatuh. Inilah kehidupannya sebagai anak tiri. Bila semua ini akan berakhir? Sampai bila dia mahu bertahan? Usia mudanya dihabiskan dengan penderitaan. Pemergian ibu pada waktu yang salah. Dia masih perlukan ibu. Apakah hidupnya akan hancur seiring dengan waktu?

Sebelas tahun kemudian…

 

    “YA, mak cik…” Adra berlari-lari anak menuju ke pintu bilik. Tak sempat dia nak lipat kain telekung. Suara nyaring Mak Cik Melur buat dia terkejut. Pasti ada sesuatu yang tak kena. Yang pasti dia akan dipersalahkan.

Mak Cik Melur mencekak pinggang. Anak tirinya dipandang sampai hendak terkeluar bebola mata. “Kau tak masak ke? Aku lapar ni. Aku dahlah kerja penat-penat, balik rumah kau tak masak. Pemalas betul.” Tidak menunggu lama, terus dihamburkan amarahnya. Lengan baju disingsing ke lengan. Tangan sudah sedia mahu menarik telinga Adra.

“Adra dah masak.”

Geram dengan jawapan Adra, Mak Cik Melur terus mengheret gadis itu ke dapur. Tudung saji dihempas.

“Kau dah masak? Mana? Mana?” Ditunjal kepala gadis itu. “Menipu aje kerja kau. Dari kecil sampai besar tak pernah berubah. Kerja tahu nak mengusahkan aku aje.”

Adra mengeluh perlahan. Pasti makanan yang dimasak telah dihabiskan oleh adik-beradik tirinya. Padahal awal-awal dia sudah pesan supaya tinggalkan sedikit lauk. Teringat lauk yang disimpan untuk ayah, dia segera menuju ke almari. Keluhan kali kedua terbit apabila melihat mangkuk kosong. Tahu-tahu saja dia ada simpan lauk.

“Ayah kau tu miskin tapi kau gatal nak sambung belajar. Dah habis belajar kau menganggur. Kau ni memang anak tak guna!” Marah Mak Cik Melur masih bersisa.

Adra hanya senyap. Dia sudah terbiasa. Kini dia sudah tidak rasa apa-apa lagi. Jalan terbaik dengar saja amarah Mak Cik Melur dan jangan sesekali melawan.

“Bila kau nak cari kerja? Nak duduk rumah suruh aku bela ke? Belajar masuk universiti pun tetap bodoh jugak. Aku ingat habis belajar terus boleh kerja.”

“Mak cik, Adra dah cari kerja cuma belum dapat lagi. Adra pun baru tiga hari duduk rumah.” Tak sampai seminggu dia balik, ini habuan untuknya. Dia tahu Mak Cik Melur marah disebabkan tidak puas hati dia berkeras mahu sambung belajar. Katanya membazir duit.

“Alasan kau aje. Kerja kampung banyak. Kau kerja aje cuci pinggan kat kedai makan. Buat air ke… Kau tu aje yang berlagak. Mentang-mentang ada ijazah, tak nak kerja kampung. Geli sangat. Kau nak tunjuk kat semua orang yang kau ni cerdik. Buat malu aku aje habis belajar duduk rumah.”

“Mak cik nak makan? Adra masakkan untuk mak cik.” Adra mematikan topik.

“Tak payah. Tengok muka kau tu menyakitkan hati aku aje.”

Adra masuk bilik sebaik sahaja Mak Cik Melur beredar. Dilabuhkan duduk di katil bujang. Inilah bilik yang dihuni sebaik sahaja kematian ibu. Apa yang terjadi, dia terima dengan reda. Ini hidupnya dah hanya dia yang boleh ubah masa depan. Sebab itu dia tekad untuk sambung belajar walaupun ditentang keras oleh Mak Cik Melur.

Dia tahu hanya dengan pelajaran hidupnya boleh berubah. Takkan selamanya dia mahu hidup begini? Dia mahu bahagiakan adik dan ayah yang bersusah payah menjaganya. Dia tidak mahu harap belas ihsan orang lain.

Setelah empat tahun di alam universiti, akhirnya dia berjaya menamatkan pelajaran. Air mata menjadi saksi betapa sakitnya dia untuk habiskan tempoh itu. Kini hidup barunya akan bermula. Segulung ijazah diharapkan mampu memberi sinar dalam hidupnya.

Adra bersandar di kepala katil. Bilik ini dikongsi bersama Adwa. Tapi memandangkan adiknya juga sedang sambung belajar, maka tinggallah dia seorang diri. Adwa hanya balik pada cuti semester. Ada baiknya begitu. Kalau Adwa balik setiap bulan pasti akan jadi orang gaji Mak Cik Melur.

Baru tiga hari dia pulang. Alhamdulillah, air matanya tidak tumpah. Sengaja dia buat tak dengar dengan amarah, amukan, tengkingan dan ejekan Mak Cik Melur. Melihat ayah membuatkan dia jadi kuat. Ayah penyebab dia pulang. Masuk tahun ini sudah 15 tahun ayah kahwin dengan Mak Cik Melur.

Sebelum kahwin dengan ayah, Mak Cik Melur merupakan janda yang dicerai. Kerana kesian dengan hidup wanita itu, ayah ambil Mak Cik Melur jadi isteri. Tiga orang anak Mak Cik Melur dengan suami pertama ialah Abang Mazwan, Maria dan Marlisa. Dia hanya rapat dengan Marlisa. Yang dua lagi selalu cari masalah dengannya.

Fikirnya apabila umur makin meningkat mereka akan berbaik. Tapi masa tidak merubah keadaan. Tetap sama seperti dulu. Biarlah, dia tidak kisah.

Kuala Lumpur…

PINTU dibuka. Melihat ruang tamu yang sunyi, Nazriel mengerutkan dahi. Mana semua orang? Salamnya tidak dijawab. Dia melangkah masuk lalu merebahkan diri di atas sofa empuk. Laju tangannya menarik tali leher dan dibuka dua butang atas baju kemeja. Penat sungguh seharian bekerja.

“Papa…”

Baru sahaja memejamkan mata, namanya  dipanggil. Sekelip mata seorang anak kecil menerjah duduk di atas pangkuannya.

Argh, berattt…”

Yeah, papa dah balik.”

Dicium pipi dan rambut anaknya. Kembang kempis hidung mencium aroma wangian Carrie Junior, pasti baru lepas mandi. “Nufail pergi mana? Papa ingat Nufail pergi taman.”

“Nek Ros tak larat nak pergi. Nanti kita pergi taman ya, papa.”

“Ya…” Nazriel berjanji. Apabila melayan telatah Nufail, penatnya terus hilang. Tiada istilah penat untuk melayan kerenah anak tunggalnya.

“Kenapa papa balik lambat? Nufail tunggu papa dari tadi. Nek Ros cakap papa banyak kerja.” Petah Nufail berbicara. Tidak padan dengan umurnya yang baru enam tahun.

“Papa kerja cari duit untuk Nufail. Nanti papa ada duit, boleh beli mainan.” Anaknya jenis yang mudah faham. Sejak kecil lagi Nufail tidak banyak ragam. “Nek Ros mana?”

“Ada ni…” Muncul seorang wanita berusia 55 tahun sambil membawa sebuah beg kecil. “Che Ros balik dululah. Dah lewat ni. Nanti tak ada bas.”

“Suami Che Ros tak ambil?” Che Ros merupakan pengasuh Nufail. Sudah empat tahun wanita itu menjaga anaknya. Nufail agak takut dengan orang yang tak dikenali tapi dengan Che Ros, anaknya sangat rapat dan manja. Nufail tahu siapa yang menjaganya masa kecil.

“Dia ada kerja sikit. Kereta pula ada masalah.”

Teringatkan sesuatu terus Nazriel mengeluarkan sampul berwarna putih dari dalam beg.

“Awalnya bagi gaji bulan ni?” Terkejut Che Ros.

“Rezeki awal. Kiralah dulu.”

“Hesy, tak payahlah. Selama Che Ros kerja sini, Azriel tak pernah salah bagi. Kalau kurang pun Che Ros halalkan.” Jujur Che Ros berkata. Sangat untung kerja dengan Nazriel. Lelaki itu jenis tidak kedekut dan tidak berkira. Kadang-kadang dia naik segan. Kerjanya mudah tapi gaji lumayan.

“Walaupun Che Ros tak kira tapi Che Ros tahu mesti kamu bagi lebih. Nampak tebal semacam aje.”

Nazriel ketawa. “Anggap aje saya sedekah. Saya tahu bukan mudah nak jaga Nufail ni. Kalau orang yang dia suka, manja dia lain macam sikit. Asyik nak berkepit aje. Sampai tak boleh buat kerja.” Ketika Che Ros jaga Nufail, anaknya baru dua tahun. Cepatnya masa berlalu.

“Tak susah pun nak jaga. Yang penting kena baik dengan dia dulu baru dia baik dengan kita. Okeylah, Che Ros balik dulu. Che Ros dah masak. Nanti Azriel makanlah. Nufail dah makan tadi. Che Ros suruh tunggu Azriel tapi dia tak nak.”

“Nak saya hantar tak?” pelawa Nazriel. Kesian wanita itu tunggu bas.

“Tak apa. Azriel rehat aje. Nanti nak bawa Nufail pergi taman.”

Pintu rumah ditutup sebaik wanita itu keluar. Dipandang Nufail yang ralit menonton TV. Apa lagi kalau bukan cerita kartun. Kali ini rancangan Boboyboi.

“Nufail, tadi kat tadika makan apa?” Sengaja dia tanya. Inilah teman berbualnya ketika di rumah. Selalunya kalau dia balik, ada saja cerita Nufail tentang apa yang terjadi di tadika. Tapi hari ini senyap pula anaknya.

“Cikgu bagi makan mi kari. Sedap sangat.” Ibu jari diangkat. “Papa…”

“Apa dia?” Kepala Nufail digosok perlahan.

“Minggu depan ada persembahan. Cikgu cakap datang kena bawak papa mama. Tapi Nufail tak ada mama…”

Dipandang anaknya yang muram. Bukan kali pertama Nufail bangkitkan hal ini. Sejak dia menghantar ke tadika, Nufail sudah pandai bercakap soal mama. Mungkin disebabkan faktor pergaulan.

“Tapi Nufail ada papa, kan?”

“Kawan-kawan Nufail semua ada mama, ada ibu, umi, kenapa Nufail ada papa aje? Nufail cakap Nufail ada Nek Ros. Diorang cakap diorang pun ada nenek.”

Hilang bicara Nazriel. Nufail sebesar ini pun sudah faham apa yang terjadi. Rasa bersalah muncul dalam diri. Kalau tidak kerana dia, pasti kehidupan Nufail akan sempurna. Fikirnya apa yang dibagi selama ini sudah cukup. Rupanya dia silap. Nufail rindukan kasih sayang seorang ibu. Ini semua salahnya.

Tapi dia tidak minta semua ini terjadi. Sehabis daya dia pertahankan masjid yang dibina. Apa guna kalau hanya dia yang berusaha. Sakit dan kecewa yang dia dapat.

“Nufail, jom kita pergi taman.” Nazriel bangun lalu mendukung anaknya. Lama-lama Nufail akan faham apa yang dia buat selama ini.

ADRA menghentikan langkah sebaik sampai ke ruang tamu. Dia mengeluh melihat tempat yang seperti baru dilanda tsunami. Pasti kerja Radi. Anak kepada Abang Mazwan. Memang dia yang kena kemas. Malas fikir panjang, satu per satu mainan kembali disimpan.

Sesekali matanya mencari Abang Mazwan tapi tidak kelihatan. Entah ada di dalam bilik atau pun sudah keluar. Kalau keluar pun bukan pergi kerja tapi melepak di kedai kopi. Dia sebenarnya tidak menggemari sikap panas baran Abang Mazwan. Lelaki itu tiada kerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung. Itu dia tidak kisah. Tapi Abang Mazwan seorang yang pemalas. Hanya bekerja dua tiga hari kemudian berhenti.

Lelaki itu tiada rumah. Anak dan isteri semua tinggal di sini. Kak Lina, isteri Abang Mazwan pun tidak bekerja. Sampai bilakah penderitaan ayah akan berakhir? Sejak kecil ayah menjaga anak orang. Bila dah besar ingat akan membalas budi. Rupanya tidak.

Kalau ayah menegur Abang Mazwan suruh bekerja, pasti lelaki itu melenting. Sungguh tidak malu mereka suami isteri ditanggung oleh ayah. Dalam hati dia berdoa supaya segera dapat kerja. Dia mahu bawa ayah keluar dari sini.

“Adra, kau tak masak ke?”

Tersentak Adra apabila Abang Mazwan tiba-tiba keluar dari bilik. Nampak gaya baru lepas bangun. Anak dan mak perangai sama saja. Hidup untuk makan.

“Beras dah habis.”

“Kau pergilah beli.”

“Kejap lagi Adra beli. Tapi ikan tak ada.”

Disisir rambut yang kusut masai dengan tangan. “Belilah. Itu pun nak cakap kat aku.”

“Beras dah beli guna duit Adra. Ikan guna duit abanglah.” Berani pula dia balas walaupun tahu tengkingan yang akan dia dapat. Sebenarnya dia mahu Abang Mazwan sedar tentang tanggungjawab. Dia bukan jenis yang kedekut untuk beli barang dapur.

“Aku tak ada duit. Kau kan tahu aku tak kerja!” marah Abang Mazwan.

“Carilah kerja bantu ayah. Kesian ayah nak tanggung kita semua. Abang tak kerja, Kak Lina tak kerja… Sampai Radi pun ayah nak kena tanggung.”

“Makin berlagak kau sekarang. Kenapa kau tak kerja?”

Adra mengeluh. Dia malas nak tegur lebih-lebih apabila melihat wajah Abang Mazwan sudah berubah.

Abang Mazwan mendekat sambil menggaru leher. Sesekali mata hitamnya memandang ke luar rumah. “Ni kau ada duit ke? Aku nak pinjam sikit. Kak Lina kau suruh beli pisang cheese. Nanti aku tak beli dia merajuk.” Tapak tangan sudah ditadah.

“Adra tak ada duit. Duit yang ada pun untuk Adra belanja.”

“Aku pinjam RM20 aje. Nanti ada duit aku bayar balik.”

Bayar balik? Dia sudah tidak percaya. Duit ayah sudah berapa ribu Abang Mazwan pinjam. Sampai sekarang belum bayar. Kahwin pun boleh dikatakan separuh guna duit ayah.

“Adra masuk dulu…” ucap Adra. Panggilan lelaki itu dia sengaja buat tidak dengar. Malas nak layan.

“ADRA, kau tak malu pulak kerja macam ni?”

“Maksud kau?”

“Yalah, kau kan ada ijazah… Tapi selamba aje tolong aku buat kuih.”

Adra tersenyum sambil memandang kawan sekolah rendahnya, Mila. Walaupun belajar setakat SPM, kehidupan gadis itu jauh lebih baik. Dengan hanya buat dan jual kuih, Mila sudah berjaya membeli sebuah kereta.

“Malu buat apa? Inikan kerja halal. Lagipun kalau duduk rumah bosan pulak. Baik aku tolong kau. Dapat juga duit.”

Dia juga sudah tidak tahan dengan Mak Cik Melur. Setiap hari dia dipanggil pemalas. Wanita itu kalau salahnya nampak… Salah anak sendiri sengaja dibutakan mata yang celik. Sekalipun telinganya tidak pernah dengar wanita itu membebel perihal Abang Mazwan dan Maria yang tidak bekerja.

Nasibnya baik apabila terjumpa Mila beberapa hari lepas sewaktu keluar pergi ke kedai. Tahu sahaja dia tidak bekerja, Mila terus pelawa bantu buat kuih.

“Lama sangat aku tak nampak kau. Dulu kalau balik cuti tak pernah lekang kat rumah. Aku ada cari kau. Tapi tak pasal-pasal aku kena maki dengan mak cik kau tu,” beritahu Mila sambil tangan ligat membancuh tepung.

“Nama aje cuti tapi aku kena kerja. Nak harapkan duit PTPTN saja tak cukup.”

“Adra, kau kerja apa nanti? Dulu belajar kau ambil apa?” Mila berminat ingin tahu.

Accounting. Payah sangat nak dapat kerja sekarang. Dah sepuluh kerja aku minta,” luah Adra lalu memasukkan inti karipap ke dalam acuan. Terasa laju tangannya bekerja sambil berborak. “Padahal bukan jawatan tinggi-tinggi aku minta. Ada yang aku apply jadi kerani.”

“Kat Terengganu ni kerja kurang. Cuba kalau di KL, berlambak orang nak pakai. Kau yang tak nak . Asyik duduk kampung aje. Tolak rezeki namanya tu. Kalau aku baik aku berhijrah. Boleh kenal tempat orang.”

“Senanglah kau cakap. Aku tak nak tinggalkan ayah aku lagi.” Ada dia dapat tawaran kerja tapi luar dari Terengganu. “Aku nak kerja kat sini. Biar aku nampak ayah aku buat apa. Kau fahamlah mak dengan adik-beradik tiri aku tu semua bergantung pada dia. Sekarang giliran aku tanggung ayah.”

“Kau nak tanggung dia maknanya kau akan tanggung sekali mak tiri kau, Mazwan anak beranak, si Maria tu sekali. Kau kena ingat.” Tinggi Mila angkat senduk.

Adra terdim. Memang pedas ayat Mila. Tapi itulah kebenaran. Sanggupkah dia?

“Sementara dapat kerja, kau kerja dengan aku dulu. Memang aku bagi upah tak banyak. Tapi duit tetap duit.” Mila mencuci tangan. Memang dia sedia maklum dengan kehidupan Adra. Mereka bukan saja kawan sekolah tapi kawan sepermainan sejak kecil. Itu pun sebelum arwah ibu Adra meninggal.

“Eh kau kerja ni mak cik kau tahu tak?”

“Tak. Lepas masak pagi tadi terus aku keluar. Macam mana aku nak cakap? Pantang nampak aku ada aje yang tak kena. Dia suka ungkit benda lepas-lepas. Aku cakap dengan Maria aje. Tak tahulah dia beritahu ke tak kat mak dia.” Adra basuh pinggan mangkuk yang kotor. Kerja dengan Mila masa tak tetap. Semuanya tengok atas tempahan pelanggan. Kalau banyak pagi-pagi lagi dia kena datang. Kalau kurang tempahan petang baru dia mula kerja.

“Berani pulak kau. Kau tak rasa dia akan mengamuk ke nanti? Mazwan dengan Maria tu mana nak cari makan tengah hari nanti?”

“Kak Lina ada, pandai-pandailah dia masak.” Itu pun kalau wanita itu nak masak. Tengok atas kerajinan juga. Telefon 24 jam di tangan Kak Lina. Kadang-kadang dia yang kena jaga Radi. Tak faham sungguh kehidupan mereka anak-beranak.

NAZRIEL menepuk tangan sekuat mungkin. Sesekali dia melambai kepada Nufail yang berdiri di atas pentas. Ibu jari diangkat tanda memuji persembahan anaknya. Bukan main ceria Nufail di atas pentas.

“Azriel, sudahlah tu… Ramai orang tengok ni,” tegur Che Ros. Kalau ada aktiviti di tadika memang Nazriel akan membawanya sekali. “Jom keluar. Nufail dah tunggu kat luar.”

Dewan sederhana besar mula riuh apabila ibu bapa berjumpa anak-anak mereka. Dia perasan ramai juga penjaga yang hadir. Matanya mula mencari Nufail. Selepas ini dia mahu mengajak anaknya ke KFC.

“Papa…”

“Terbaiklah anak papa,” ucap Nazriel sambil mendukung anaknya.

“Papa, janganlah dukung. Nufail malu.”

Nufail kembali diturunkan. Dia lupa anak itu sudah enam tahun.

“Mana mama awak, Nufail?”

Hilang kegembiraannya apabila terdengar soalan spontan daripada kawan Nufail. Kanak-kanak perempuan itu seperti mencari seseorang. Kemudian dia memandang anaknya yang sudah hilang keceriaan di wajah.

Lidah jadi kaku untuk menjawab. Mungkin tak sangka soalan ini yang akan ditanya. Rupanya inilah yang Nufail rasa apabila orang bertanya tentang mama. Baru dia faham. Kesian anaknya.

“Mama Nufail sibuk, sayang…” Che Ros jawab bagi pihak Nazriel. Nak marah pun tak boleh sebab mereka masih kanak-kanak. Biasalah, pasti sifat ingin tahu menebal dalam diri.

“Mama Mimi pun sibuk tapi mama datang tengok Mimi menari. Mama Nufail tak pernah datang pun.”

“Nanti ada masa mama Nufail datanglah. Mama Nufail tak datang tapi papa Nufail datang. Nek Ros pun datang tengok. Tadi masa Mimi menari Nek Ros tepuk tangan kuat-kuat. Pandai Mimi menari.”

Mimi sudah tersipu malu apabila dipuji.

“Mimi, tu mama Mimi ke? Dia dah panggil tu,” beritahu Nazriel apabila melihat seorang wanita melambai tangan.

“Nufail, saya pergi dulu. Bye uncle… Bye nenek.”

Sebaik Mimi berlalu, Nazriel terus memeluk Nufail dengan penuh kasih sayang. Dicium anaknya itu. Dia tidak mahu Nufail terbawa-bawa hal itu. Inilah hakikat yang perlu dia terima apabila menghantar Nufail ke tadika.

“Papa nak makan KFC ni. Nufail nak tak?”

“Nufail nak jumpa cikgu dulu.” Nufail kembali ceria.

Nazriel dan Che Ros menuju ke bangku kosong. Sambil menunggu sesekali matanya memandang ibu-ibu yang memeluk dan mencium anak mereka. Patutlah Nufail cemburu. Kasih sayang ayah dan ibu tidak sama.

“Che Ros, saya jahat ke?”

“Kenapa cakap macam tu?”

“Kesian Nufail… Kalaulah dia ada mama…” Ayatnya tidak habis. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu disambung. Kenangan lama kembali bermain dalam ingatan. Kalaulah dia berjaya pertahankan rumah tangganya, pasti sekarang Nufail ada mama. Sungguh dirinya seorang ayah yang teruk.

“Azriel, apa yang jadi bukan salah kamu. Benda dah jadi. Kamu dah sedaya upaya selamatkan rumah tangga kamu tapi tak guna kalau kamu saja yang beria-ia pertahankan.” Dia mengenali Nazriel ketika lelaki itu sudah bergelar duda. Nazriel sendiri yang cerita kepadanya apa yang berlaku terhadap perkahwinannya.

“Saya tak tahu akan jadi macam ni akhirnya. Nufail yang terima akibat. Dia tak dapat keluarga sempurna.” Kehadiran Nufail amat dinantikannya. Tapi sayang hanya dia yang menanti. Kenapalah wanita yang dicintai sepenuh hati boleh berubah sampaikan dia sendiri sudah tidak kenal?

“Jodoh kamu dengan dia tak panjang, Azriel.”

Nazriel tersenyum hambar. Semuanya sia-sia. Bercinta bagai nak rak tapi berpisah juga akhirnya. Dulu dia yang buta walaupun matanya celik.

“Kalau saya tahu takkan sesekali saya kahwin.”

“Kamu menyesal ke?”

“Saya cuma kesal Nufail tiada mama,” balas Nazriel perlahan. Dia tak nak kenang lagi apa yang telah terjadi. Nasi sudah menjadi bubur. Nufail amanah Allah untuknya. Takkan dia sia-siakan. Anaknya berhak dapat kebahagiaan.

DARI jauh lagi Adra sudah melihat kelibat Kak Lina di muka pintu. Bukan main bergaya. Atas bawah sedondon berwarna hijau. Wanita itu nampak seperti mahu keluar. Sah, dia kena jaga Radi. Kak Lina langsung tiada perasaan segan.

“Lambatnya kau balik,” tegur Kak Lina sambil betulkan lilitan shawl.

“Tak lambatlah…” Baru pukul dua petang sudah dikatakan lambat. Tak tahulah macam mana nasibnya nanti kalau dia pulang pukul 5. Dipandang meja makan yang kosong. Benar telahannya, Kak Lina tak masak.

Sejak balik kampung rasanya baru dua kali wanita itu masak. Itupun bila dia tidak sempat. Terfikir juga sebelum ini siapa yang masak? Adakah disebabkan dia ada di sini, jadi dia yang perlu ambil alih kerja rumah?

Kak Lina menyarung kasut dua inci jenama Dorothy Perkins. “Adra aku nak keluar kejap. Kau tengokkan Radi.”

“Adra nak masak ni, kak. Tunggulah sekejap lepas habis masak.”

Bukan apa, Radi sangat aktif orangnya. Pantang dia terleka adalah yang dibuatnya. Apa-apa jadi Kak Lina akan salahkannya. Kalau suruh bawak Radi, macam-macam alasan Kak Lina bagi. Terasa menyesal pula balik awal.

“Aku dah lambat dah ni. Kau masaklah apa-apa. Nanti Abang Wan balik nak makan.”

Adra memandang Kak Lina yang sudah melangkah keluar. Hanya kesabaran yang dititipkan dalam diri. Masak pun harapkan dia. Jaga anak pun dia. Makin naik kepala wanita itu sekarang. Kadang-kadang disuruhnya basuh baju mereka anak-beranak. Itu dia tidak boleh terima. Sengaja dikeraskan hati. Dirinya bukan pembantu rumah.

“Radi…” panggil Adra. Ketika itu Radi sedang bermain basikal di ruang tamu. “Radi lapar tak?”

“Laparlah, acik. Ibu tak masak pagi tadi.”

“Acik nak masak. Radi kena duduk diam-diam tau. Janji dengan acik.” Jari kelengkengnya diangkat. Kalau pandai melayan dan ambil hati, Radi mudah saja mendengar kata.

“Radi nak makan apa?”

“Nak makan nasi. Acik masak cepat sikit.”

Adra hanya tersenyum. “Acik nak pergi dapur. Radi jangan keluar tau. Duduk aje sini.” Dipandang rumah yang kosong. Manalah Maria? Kak Lina tak berani pula minta tolong dekat Maria. Mungkin gadis itu jenis melawan.

Lengan baju dilipat. Ikan yang dibeli semalam dikeluarkan. Masak apa yang ada sudah. Nak makan sedap-sedap tak mampu. Sebelum balik tadi dia sempat singgah ke pasar beli kangkung dan labu air. Ini semua hasil duitnya buat kuih. Mila beri upah ikut jam. Yang selebihnya dia simpan untuk kegunaan sendiri.

“Adra, kau pergi mana?”

Tersentak Adra apabila ditegur Maria. “Kerja dengan Mila.”

“Kau buat kuih?”

“Janji dapat duit. Daripada duduk rumah tak dapat apa-apa.” Dia sebenarnya menyindir Maria. Sudah dua minggu Maria menganggur. Sebelum ini gadis itu kerja di butik pakaian. Disebabkan gaduh dengan pelanggan, Maria terus kena pecat. Maria gadis yang pantang ditegur, mulalah melenting. Kalau di rumah dia yang banyak mengalah.

“Mak dah cakap belum kat kau? Kau setuju tak?”

“Cakap apa?” Pelik apabila melihat senyuman Maria. Pasti ada sesuatu yang dia tidak tahu.

“Nanti kau tahulah. Masak cepat sikit aku dah lapar.”

BULAT mata Adra mendengar permintaan Mak Cik Melur. Patutlah balik tadi muka wanita itu bersinar-sinar. Siap beri senyuman kepadanya lagi. Ternyata di sebalik senyuman itu ada rahsia tersembunyi.

“Adra tak nak kahwin.” Ini rancangan wanita itu. Mahu menjodohkan dia dengan anak Mak Cik Maryam.

“Kau ni berlagak betul. Ada orang nakkan kau tu pun dah untung tau.”

“Adra nak kerja, mak cik,” tegasnya. Mak Cik Melur semakin keterlaluan. Sungguh dia tidak boleh terima.

“Habis, bila kau kerja kau tak boleh kahwin?” potong Mak Cik Melur apabila Adra berani melawan. Hilang terus angan-angannya. “Mentang-mentanglah anak Maryam tu jual buah aje, terus kau tak nak. Memilih kau ni. Ke kau nak kahwin dengan jantan yang kaya-raya aje? Ada ke lelaki macam tu nakkan kau?”

“Bukan macam tu.”

“Daripada kau kerja buat kuih, baik kau kahwin dengan si Farhan tu. Dia kerja jual buah tapi banyak duit. Kereta ada dua. Rumah dah ada. Apa lagi kau nak? Kalau kau kahwin dengan dia nanti, kau duduk rumah goyang kaki aje.”

Farhan, dia kenal lelaki yang sebayanya. Dulu sewaktu sekolah, Farhan boleh dikategori sebagai budak nakal. Pantang jumpa selalu mengusik. Digelarnya pengemis. Kadang-kadang lelaki itu akan makan kuihnya tanpa bayar.

Tapi tak sangka apabila dewasa Farhan boleh berjaya. Dia tumpang bangga. Kejayaan lelaki itu atas usaha sendiri. Farhan merupakan anak tokeh emas terkenal di Kuala Terengganu. Cuma lelaki itu tidak berminat berniaga emas. Dipilih kerja berniaga buah. Semuanya dia dengar daripada Mila.

Tapi sayang dia tetap tidak berminat dengan lelaki itu. Hidungnya dapat hidu niat Mak Cik Melur. Semuanya semata-mata ingin berbesan dengan keluarga Farhan. Siapa tidak mahu ada besan kaya? Pasti akan ada keuntungan di situ.

“Ke sebab si Farhan tak ada ijazah macam kau jadi kau tak nak kat dia?” soal Mak Cik Melur. Dia juga terkejut apabila ibu si Farhan menyatakan hasrat. Tak sangka orang macam Adra pun ada yang berkenan.

“Maryam tu suka kau. Jadi menantu orang kaya kau nanti. Pakai emas kiri kanan.”

Mak Cik Maryam, wanita itu sangat baik. Sewaktu sekolah dulu, wanita itu selalu membeli kuihnya. kadang-kadang dia diberi duit. Tapi itu tidak akan menggugat pendiriannya. Yang berkenan pun Mak Cik Maryam, bukan Farhan. Beberapa hari lepas mereka terserempak tapi tidak bertegur sapa. Dia yang buat sombong.

“Kau fikir baik-baik. Kalau kau nak beritahu aku. Jangan malulah. Kalau kau jadi, keluarga sana akan tanggung majlis kau.”

“Adra tetap tak nak. Kenapa nak kahwinkan dengan Adra? Kenapa tak dengan Maria?”

“Eh, kau ni… Maria kan dah ada Zul.”

“Melur… Jangan dipaksa. Adra tu muda lagi.”

Ayah muncul meredakan suasana. Mak Cik Melur menjeling suaminya.

“Saya cuma nak sampaikan berita baik.”

“Ayah dah makan?” soal Adra. Setiap kali lihat ayah hatinya jadi sayu. Sejak dulu ayah tidak pernah tunjuk kesusahan diri di depan anak-anak.

“Dah. Adwa ada telefon tak?”

“Ada. Pagi tadi dia nak cakap dengan ayah. Tapi ayah dah keluar.”

“Ayah ada dapat duit sikit tadi. Nanti kamu masukkan dekat akaun dia,” beritahu Pak Budin apabila isterinya bangun ke dapur. Bukan apa, dia tidak mahu isterinya bising kalau tahu dia mengirim duit untuk Adwa.

“Kesian Adwa entah makan ke tidak dia kat sana,” sambung Pak Budin lagi.

“Kalau ayah tak ada duit, buat belanja aje duit tu. Adwa kan dapat biasiswa.” Antara dia dan Adwa,  adiknya lebih untung. Pembelajaran Adwa ditaja. Dapat juga meringankan beban ayah.

SENYUMAN Nazriel melebar sebaik wajah Nufail menyapa mata apabila pagar automatik terbuka. Bukan main gembira anaknya dapat main di luar. Semalam dia belikan basikal baru. Pagi tadi ketika ingin menghantar anaknya pergi tadika, Nufail menyuruhnya bawa sekali basikal.

Kereta diparking lalu dia keluar dari perut kereta. Punyalah sayang pada basikal sampai kehadirannya tidak dihiraukan. Kaki melangkah menuju ke taman mini.

“Nufail… Papa dah balik ni.”

Basikal diletak ke tepi lalu Nufail memeluk papanya. “Bila papa balik? Nufail tak perasan pun.”

Dipandang wajah comel Nufail. “Mana nak sedar kalau asyik main basikal aje.” Peluh di dahi anaknya disapu.

“Azriel, mari minum dulu.” Che Ros keluar sambil menatang dulang ke meja yang terletak di taman mini. Sempat dia menyediakan kuih gulung.

“Che Ros, duduklah. Nufail macam mana hari ini? Dia okey?” Dilabuhkan duduk di kerusi sambil memandang Nufail yang kembali ralit bermain basikal.

“Dia okey. Tapi tulah, balik tadika tadi terus nak keluar main basikal. Che Ros tak bagi sebab panas. Dia merajuk. Che Ros bagilah main sekejap. Che Ros cakap kalau dia tak masuk, petang nanti dia tak boleh main lagi.” Dilapor kepada Nazriel apa yang berlaku hari ini.

“Che Ros jangan ikut sangat perangai dia. Nufail tu tak kira panas ke, hujan ke, suka sangat main di luar.” Mujur sahaja rumahnya berpagar. Kalau tak pasti setiap jam akan lesap. Sudahlah taman permainan pun dekat.

“Tak sabar nak balik ke Che Ros?” soal Nazriel. Beg Che Ros di tepi pintu dipandang.

“Suami Che Ros dalam perjalanan. Awal pulak hari ini.”

“Che Ros, saya ada benda nak cakap ni.” Air teh dihirup perlahan. “Che Ros ingat tak apa yang saya cakap lima bulan lepas?”

“Tak ingat. Yang minggu lepas kamu cakap pun Che Ros dah tak ingat,” potong Che Ros sambil ketawa.

Nazriel turut ketawa. “Cadangan saya nak buka cawangan dekat Terengganu dah diluluskan.”

“Ya Allah, syukur alhamdulillah. Impian kamu dah tercapai.” Che Ros tumpang gembira. Dia tahu betapa susah payahnya Nazriel bangunkan syarikat yang dimilikinya. Dia melihat lelaki itu dari tiada apa-apa, menjadi seorang yang hebat tanpa bantuan sesiapa.

“Rezeki Nufail tu. Lepas dia lahir rezeki mencurah-curah.”

Kadang-kadang dia sendiri tidak percaya mampu sampai ke tahap ini. Lima tahun mengurus syarikat, alhamdulillah sudah ada empat cawangan. Dia menjalankan perniagaan membekal bahan-bahan untuk pembinaan bangunan. Dan sekarang dia mula berjinak-jinak dalam bidang hartanah selain cuba untuk menceburi francais. Semuanya akan dilakukan secara berperingkat.

Man jadda wajada. Siapa yang bersungguh-sungguh pasti berhasil. Ingat tu,” ucap Che Ros.

“Terima kasih Che Ros untuk segalanya. Che Ros muncul masa saya susah. Bila Che Ros cakap nak jaga Nufail, saya tak percaya masih ada orang yang baik hati.” Awal-awal dulu dia pernah beritahu Che Ros yang dia tidak mampu untuk membayar gaji. Tapi wanita itu tetap berkeras.

“Kamu ayah yang hebat.” Che Ros teringat bagaimana sedih hatinya apabila melihat Nazriel mendukung Nufail yang masih bayi ke hulu ke hilir dengan perniagaan yang merosot. Waktu itu Nazriel hanya mampu menyewa sebuah rumah kecil.

“Dulu kalau kamu ada duit, kamu selalu beli nasi lemak yang Che Ros jual.”

“Sebab nasi lemak Che Ros sedap.” Di situlah dia mengenali wanita itu.

“Kalau bekas isteri kamu tengok kejayaan kamu sekarang, mesti dia tak akan percaya. Dia buat tindakan salah sebab tinggalkan kamu.”

Nazriel termenung. Memang tidak dinafikan  yang dia bangkit dari hidup disebabkan bekas isterinya, Sofea. Wanita tu menghadiahkan dia satu pengalaman yang sangat berharga.

“Bila cawangan baru buka nanti, kamu pindah ke sana ke?” Che Ros tukar topik. Dia tidak mahu Nazriel sedih teringat cerita lama.

Lambat-lambat Nazriel mengangguk. Dia pun berat hati untuk pindah. Tapi cawangan baru perlukan pengawasan dan perhatian. Dia tidak percaya orang luar untuk mengurus. Sepanjang dia berniaga, sudah berpuluh kali dia ditipu sehingga hampir muflis.

“Kat mana?”

“Kuala Terengganu. Saya dah dapat tempat. Bila cawangan kat sana dah stabil, saya balik sini.”

“Wah, kat kampung arwah mak kamu, kan?” Dia tahu mak Nazriel berasal dari Terengganu.

“Haah. Saya pun dah lama sangat tak balik sana.” Lepas arwah ibu meninggal, boleh dikira dengan jari berapa kali dia pulang. Jenazah ibunya ditanam di kampung ayah, di Melaka.

“Tak apa. Kamu pergilah. Jangan risau nanti Che Ros boleh jual nasi lemak semula,” balas Che Ros seakan-akan memahami.

“Eh, jangan Che Ros. Che Ros tolong tengok-tengokkan rumah. Saya bagi gaji sama macam Che Ros jaga Nufail. Kereta saya dua buah tu kalau pak cik nak guna ambillah. Saya bawa sebuah aje.”

Audi dan Mazda, dua buah kereta yang jarang diguna. Nak jual tapi dia sayang. Daripada terbiar baik bagi suami Che Ros guna.

Che Ros ketawa. “Gelak dekat orang nanti kalau pak cik pakai kereta macam tu.”

Nazriel tersengih. Dia tidak berkira dengan Che Ros yang sudah dianggap seperti ibu kandung sendiri. Kalau wanita itu mahu duduk di rumahnya pun dia tidak kisah.

KARIPAP dan donat disusun ke dalam peti. Hari ini Mila minta tolong hantar makanan frozen ke kedai runcit sementara gadis itu ke supermarket untuk hantar bekalan. Usai siap Adra bergegas ke kaunter. Lepas ini dia perlu kembali ke rumah Mila untuk menyiapkan kuih.

“Semuanya 40 plastik. Karipap 20, donat 20,” beritahu Adra kepada Pak Shidi, pemilik kedai.

“Kamu tak dapat kerja lagi ke?”

“Ni Adra dah kerja.” Adra buat lawak. Bosan juga apabila orang asyik tanya hal yang sama. Macamlah dia buat kerja haram.

“Pak Shidi tanya aje. Ibu tiri kamu duk canang kat orang kampung kamu belajar tinggi-tinggi, tapi kerja jual kuih,” ujar Pak Shidi sambil menyerahkan bil dan duit kepada Adra. “Dia tak sedar anak dia dua orang duk rumah tak kerja.”

Adra senyum. “Biarlah dia tu. Macam Pak Shidi tak kenal. Mak cik ada hutang tak?”

“Minggu ni tak ada lagi. Tapi abang kau ada hutang. Dia ambil rokok tak bayar.”

“Kalau abang Adra tak nak bayar. Biar dia bayar sendiri. Nanti kalau bayar dia makin naik kepala.” Sudah tahu tiada duit gatal nak merokok. Buat malu betul.

“Tak apa. Pak Shidi faham.”

“Adra balik dulu, ya.” Usai memberi salam Adra terus keluar. Baru beberapa langkah berjalan, dia bergerak ke tepi apabila sebuah kereta mahu melanggarnya. Dipandang kereta jenis Honda Civix berwarna putih. Tak sampai beberapa saat pemandu kereta itu keluar. Farhan.

“Hai Adra…” Cermin mata hitam disangkut di atas kepala. Apabila melihat Adra ingin melangkah, dia terus menghalang laluan gadis itu.

“Amboi, kau makin sombong sekarang. Jumpa aku buat tak kenal.”

Adra hanya senyap. Masih tidak berubah perangai Farhan.

“Lama tak nampak. Kau sihat?”

“Kau nak apa?” soal Adra malas.

“Saja nak tanya khabar alang-alang dah jumpa ni.” Dipandang Adra. Tak sangka ini gadis yang selalu dia usik sewaktu kecil. Jauh beza penampilan sampaikan dia sendiri hampir tidak kenal.

“Makin cantik kau sekarang. Patutlah tak nak pandang orang macam aku. Mak cik kau cakap kau teringin nak kahwin dengan orang kaya.”

Adra menjulingkan matanya. Mak Cik Melur suka sangat menabur fitnah. “Kau kenal mak cik aku macam mana. Semua yang buruk mesti dia bagi kat aku. Yang baik-baik semua anak dia.”

“Kenapa kau tolak? Mak aku beria-ia nak ambil kau jadi menantu. Kalau orang lain dah lama terima.”

Bulat mata Adra memandang Farhan. Ambil dia jadi menantu bermakna dia perlu jadi isteri Farhan. Itu tidak akan sesekali terjadi. Lagipun ini semua hanyalah rancangan Orang tua mereka. Dia tidak tahu sama ada Farhan sudah berpunya atau belum. Kalau belum pun tetap dia tak sudi.

“Aku tak layak nak kahwin dengan orang kaya macam kau. Aku ni kan budak jual kuih.”

“Tapi kalau kau sudi aku okey aje.” Mata kiri dikenyit. “Tak perlu kau susah-susah jual kuih lagi.”

“Aku tak suka kaulah,” jujur Adra. Senyap Farhan dengan pengakuan beraninya. Kalau lelaki itu fikir dia lemah seperti dulu, Farhan silap.

“Itu satu penghinaan buat aku. Kau ingat aku pun nakkan kau? Sedar sikit diri tu. Jangan ingat kau belajar tinggi-tinggi, kau boleh hina aku,” marah Farhan lalu mengenakan semula cermin mata hitam. Tercabar dirinya sebagai seorang lelaki.

Malas berkata lebih, Adra terus melangkah pergi. Buat penat mulut aje bercakap dengan Farhan.

Adra termenung memandang laptop. Dia baru saja selesai menyemak e-mel. Fikirnya ada e-mel baru tapi tiada. Sampai sekarang dia belum terima jawapan untuk status permohonan kerja. Kalau pun permohanannya ditolak, apa salahnya beri jawapan supaya dia tidak tertunggu-tunggu.

Setiap hari dia menanti posmen datang. Mana tahu ada berita gembira. Tapi hampa. Penantiannya tidak berpenghujung. Entah bila dia akan dapat kerja. Pointernya boleh dikira bagus. Ternyata rezeki masih tidak menyebelahinya.

Ada rakan-rakan seperjuangannya sudah dapat kerja. Cemburu dia dengan rezeki mereka. Mungkin tidak lama lagi rezekinya akan sampai. Dia hanya perlu sabar dan berdoa. Dia terus membuka Google lalu menaip kerja kosong di Kuala Terengganu.

“Adra…”

Laptop ditutup apabila pintu bilik diketuk.

“Ya, Kak Lina.” Pantang ada waktu lapang pasti ada yang datang mengganggu. Dia tahu sebab Kak Lina memanggil. Tahu pula wanita itu dia ada di dalam bilik.

“Kau buat apa?” Kak Lina memanjangkan leher melihat bilik Adra.

“Tak buat apa-apa.”

“Tolong jaga Radi kejap. Aku nak keluar dengan Abang Wan.”

Adra mengeluh sambil pamer wajah bosan. Sudahlah dia baru balik setelah seharian di rumah Mila. “Nak pergi mana?”

“Aku nak pergi beli barang. Esok nak start berniaga. Bawak Radi satu benda tak jalan.”

Kecil matanya memandang Kak Lina yang tersenyum simpul. Dia tak tahu pula wanita itu mahu berniaga. Kalau betul alhamdulillah. Dapat tanggung hidup mereka anak-beranak pun sudah memadai. Tapi mana Kak Lina dapat modal? Pasti Mak Cik Melur yang bagi.

“MAK CIK, jemput makan…” pelawa Adra apabila melihat mak tirinya turun. Sejak bekerja dia jarang terserempak dengan Mak Cik Melur.

“Lepas ni bil air api semua kau bayar. Jangan nak harapkan aku aje bayar. Duit bapak kau bagi boleh guna buat benda lagi.”

“Ya, mak cik.” Adra akur.

“Berapa si Mila tu upah kau sampai kau boleh bayar api air?” Tiba-tiba Mak Cik Melur pula yang angin melihat kepatuhan Adra. Fikirnya gadis itu akan membantah.

“Tak adalah banyak. Dalam RM30 sehari.” Kadang-kadang kurang kadang-kadang lebih. Tengok hasil jualan macam mana. Kerja dengan Mila tiada cuti.

“Sebulan paling kurang kau dah ada RM900. Duit yang kau ada tu jangan kedekut sangat buat beli barang dapur sikit.”

Inilah Mak Cik Melur. Sebaik mana pun dia pasti ada yang tak kena. Tetap dicari salahnya. “Adra tak kisah tapi lagi elok kalau barang dapur Kak Lina dengan Abang Wan yang beli. Adra kan dah bayar air api.” Dia beri cadangan.

“Dengar kata kau jumpa Farhan tapi kau sombong dengan dia?” Mak Cik Melur menukar topik.

Adra tahu sebenarnya memang Mak Cik Melur hendak bercakap tentang Farhan. Dia kenal wanita itu.

“Aku dah beritahu Farhan suruh kenal-kenal dengan kau. Kalau jadi lepas raya nanti aku nak kahwinkan kau. Dia pun nampak tak ada masalah.”

Nafas panjang ditarik. Sungguh dia tidak suka sikap memaksa wanita ini. Ingat dia manusia yang tiada perasaan ke?

“Mak cik, saya ni manusia bukan anak patung. Cukuplah apa yang selama ni mak cik buat pada saya. Hati saya sakit tau. Tapi sekali pun saya tak pernah derhaka sebab saya hormat mak cik sebagai mak saya. Hidup saya biar saya tentukan.”

Mak Cik Melur mencebik. “Selagi aku dan ayah kau tanggung, tak payah nak berlagaklah. Kau ingat masa kau belajar, ayah dengan adik kau tu siapa jaga? Jahat-jahat aku, kau anak-beranak masih hidup. Kau jangan lupa tu. Budak tak sedar diri.”

“Mak cik pun jangan lupa siapa yang ambil mak cik masa susah dulu kalau bukan ayah. Ayah saya banyak bantu mak cik. Kalau ayah tak ada, agaknya mak cik anak-beranak pun masih merempat.”

Habis berkata-kata, pipinya mula terasa panas. Setelah bertahun-tahun, hari ini dia kembali merasa tamparan Mak Cik Melur. Masih berbisa seperti dulu. Dia dapat lihat perubahan wajah wanita itu. Mungkin tidak dapat terima hakikat dia berani menjawab.

“Saya minta maaf kalau buat mak cik marah. Tapi saya kena beritahu sesuatu yang mungkin mak cik dah lupa. Rumah yang mak cik duduk ni bukan rumah ayah. Ini rumah arwah ibu saya. Tanah kebun itu pun bukan ayah punya. Ayah tak ada harta. Harta-harta tu akan jatuh pada saya dan Adwa. Harap mak cik sedar diri,” sambung Adra lagi lantas masuk ke bilik. Setelah bertahun-tahun baru hari ini dia dapat keberanian.

Selama ini dia bersabar dengan harapan Mak Cik Melur akan berubah dan terima dia dengan baik. Tapi dia silap. Kebaikan wanita itu sewaktu mula-mula kahwin dengan ayah. Makin lama belangnya mula muncul.

Ternyata keputusan ayah untuk berkahwin supaya kebajikan dia dan Adwa terjaga adalah salah. Dia tidak pernah bahagia.

“NUFAIL, tak adil tau turun tak tunggu papa.” Beg laptop diletak di atas sofa lalu Nazriel menuju ke meja makan. Tadi dia cari anaknya di tingkat atas. Rupa-rupanya anaknya sudah turun. Pasti sudah tidak sabar makan nasi lemak Che Ros. Dari dalam bilik lagi hidungnya terbau aroma nasi lemak.

Dia dan Nufail sama-sama menggemari nasi lemak buatan wanita itu. Minggu ini saja sudah tiga kali Che Ros masak nasi lemak. Pinggan diambil lalu dia menyenduk nasi. Dia memandang Nufail. Kemudian dia mencium pipi Nufail yang begitu ralit menikmati nasi lemak.

“Papa jangan kacaulah. Nufail nak makan ni,” marah Nufail.

Kemudian Nazriel menggosok rambut anaknya.

“Papa… Nufail baru sikat rambut ni.” Nufail mencebik apabila rambutnya sudah tidak kemas. Kedua-dua belah tangan sudah mencekak pinggang tanda merajuk.

“Nanti sikatlah balik. Dalam kereta papa ada sikat.” Nazriel ketawa. Nufail lepas mandi wajib pakai bedak kemudian sikat rambut. Kemudian barulah anaknya akan keluar.

“Kamu dengan Nufail ni tak puas ke asyik makan nasi lemak aje?” Che Ros muncul sambil membawa teko berisi teh.

“Tak.” Nazriel dan Nufail sama-sama menjawab.

“Kalau hari-hari nak masak pun tak apa. Che Ros, jom duduk sekali,” pelawa Nazriel.

Che Ros menarik kerusi di sebelah Nufail. Kalau buat nasi lemak wajib ada kangkung celur dan kacang. Kalau tak ada dua benda tu, tak berselera dua beranak itu makan.

“Che Ros dah makan tadi. Minggu ni kan kamu pindah?”

“Haah. Kalau boleh kena cepat. Office dekat sana dah beroperasi.” Tiga orang stafnya sudah ke Kuala Terengganu beberapa hari yang lepas. Apabila hal di sini selesai, dia akan mula berangkat.

“Rumah sewa dah jumpa?”

Nazriel senyum sambil mengangkat keningnya beberapa kali. “Saya dah beli rumah kat sana. Senang tak payah menyewa.”

“Tak rugi ke? Kamu kat sana tak lama, kan?”

“Tak adalah. Nanti bila nak balik sini, rumah tu boleh bagi staf yang handle cawangan sana duduk.”

“Kamu ni baik betul dengan pekerja. Tak pernah nak berkira. Patutlah semua pekerja sayang kamu,” puji Che Ros. Salah satu sebab perniagaan Nazriel cepat maju kerana lelaki itu tidak kedekut. Kebajikan pekerja sangat dijaga.

“Kalau tak ada pekerja, saya tak sampai ke tahap ni. Mereka semua tulang belakang saya.”

Dia sudah buka empat cawangan syarikat. Dan pekerjanya sudah melebihi 40 orang. Ini semua kurniaan Allah. Dia pernah hidup susah jadi dia sangat hargai apa yang dimiliki sewaktu senang.

“Kamu dah jumpa belum siapa nak jaga Nufail nanti? Dah daftar tadika?”

Soalan Che Ros berjaya membuatkan Nazriel berhenti makan serta-merta. Dipandang wanita itu tidak berkelip. Sungguh dia lupa akan hal ini.

Astaghfirullahalazim…” Dahi ditepuk.

“Tak apa. Sempat lagi ini. Nanti suruh orang kat sana uruskan.” Kesian pula dia dengan Nazriel. Kalau lelaki itu ada isteri, tidak perlulah fikirkan hal ini.

“Tadika tu saya tak kisah. Tapi siapa nak jaga Nufail nanti?” Nazriel mengeluh. Kenapa dia lupa tentang hal ini? “Nufail tak nak dengan orang yang dia tak kenal. Bukan senang nak layan kerenah dia.”

“Cari pembantu rumahlah. Kalau tak suka orang luar, ambil orang tempatan.”

“Tak perlulah pembantu rumah. Saya nak cari pengasuh aje. Cukup jaga Nufail. Kerja rumah tu saya boleh buat. Mak saudara saya ada kat sana. Nanti boleh suruh dia tolong carikan.”

Kalau Che Ros tidak bangkitkan soal ini, pasti dia kelam-kabut sebaik sampai di sana. Bukan senang nak jadi seorang ayah dan ibu dalam satu masa.

“ASSALAMUALAIKUM…”

Suara orang memberi salam membuatkan Adra menghentikan kerja. Pasti pelanggan yang datang untuk membeli kuih. Biasanya penduduk kampung. Beli di rumah lebih murah berbanding di kedai. Tangan dicuci lalu dia keluar.

“Salam aku dah jawab belum? Kau nak dosa ke?”

Adra mendengus apabila melihat Farhan. “Mila solat. Kau nak beli kuih ke?” tanyanya terus.

“Mila solat. Kau nak beli kuih ke? Ini ke jawapan assalamualaikum?”

Adra buat tak tahu.

“Adra, kau masih marahkan aku sebab aku selalu usik kau masa kecil-kecil dulu ke? Aku minta maaflah. Kau janganlah buat muka macam aku ada hutang dengan kau,” tegur Farhan kurang senang. Nak rapat pun dia takut. Adra langsung tak boleh didekati. “Kita dah besar sekarang. Boleh jadi kawan.”

Adra tidak perlukan kawan pada saat usianya sudah 23 tahun. Lagipun kenangan lama antara mereka menjadi penghalang dia menerima Farhan.

“Kau nak kuih apa? Aku ambilkan.”

“Aku saja datang sini. Aku dengar kau tengah cari kerja. Kebetulan syarikat kawan aku nak pakai akauntan. Kalau kau nak, kau boleh bagi aku resume. Nanti aku bagi pada dia.”

“Aku tak nak. Aku boleh usaha sendiri.” Bukan mahu sombong. Dia cuma tidak mahu termakan budi. Dia takut ada rahsia di sebalik kebaikan yang dihulur. Lagipun dia tidak percayakan sesiapa kecuali ayah, Adwa dan Marlisa.

“Kau ingat aku budak jahat ke?” soal Farhan apabila melihat kedinginan Adra. Fikirnya gadis itu akan berlembut apabila dia cuba berbaik.

“Aku dah agak kau tolong bukan sebab ikhlas,” sindir Adra. Dia masih ingat dulu Farhan pernah sorokkan basikalnya. Sampai menangis dia cari. Apabila tidak jumpa dia pulang dengan berjalan kaki. Bukan dekat. Hampir 3km. Balik rumah pula terus dipukul oleh Mak Cik Melur. Lelaki itu tidak tahu apa-apa. Sakitnya hanya dia yang rasa.

“Aku ikhlas nak tolong kau. Aku tahu kau nak ubah nasib keluarga kau. Sebab tu kau sanggup belajar walaupun keluarga kau tak mampu,” ucap Farhan. Sangat susah untuk dapatkan kepercayaan Adra sekarang.

“Apa motif kau? Mak cik aku ada hutang dengan kau ke? Atau dengan keluarga kau?” Dia tidak mahu sangka buruk. Tapi apabila lelaki yang nakal tiba-tiba berubah baik, dia perlu ambil tahu.

“Farhan,” tegur Mila yang baru muncul.

Adra masuk ke dalam rumah. Dia sengaja biarkan Mila melayan Farhan. Soalannya tidak perlu jawapan sebab dia tak nak ambil tahu. Dia dan Farhan tidak rapat. Kerjanya yang terhenti tadi kembali disambung. Lima minit kemudian Mila menarik kerusi yang berada di hadapannya.

“Kenapa tengok aku macam tu?” soal Adra. Laju saja tangannya menguli tepung.

“Farhan kiram salam. Dia cakap kau sombong.”

“Kenapa orang yang aku kenal semua cakap aku sombong? Masa belajar, aku pernah kena tegur dengan lecturer sebab tak nak sekumpulan dengan lelaki,” beritahu Adra. Sejak di alam universiti lagi dia tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki. Kawan serumah melabelkan dia kera sumbang. Kekurangan diri menyebabkan dia selesa bersendirian.

“Farhan dah berubah sekarang. Tak macam dulu. Dulu aku pun tak suka dia. Sekarang ni kami dah berkawan. Dia pun banyak tolong aku. ”

“Itu hal kau dengan dia,” balas Adra selamba. Kalau Farhan berubah pun tiada kena-mengena dengan dia. Dia langsung tak berminat.

“YA. Lagi dua tiga hari saya sampai. Sempatlah kut kalau Mak Leha nak cari pengasuh. Tak kisah umur berapa janji boleh jaga budak. Kalau ada yang mak cik-mak cik pun okey. Hari Selasa kena mula kerja dah.” Nazriel bercakap sambil memandang kolam renang. Hanya Mak Leha harapannya. Mungkin ibu saudaranya ada kenal orang kampung yang boleh jaga Nufail.

“Tak naklah yang tua sangat. Bukan apa, Nufail ni lasak. Takut tak larat nak jaga. Muda sangat pun tak nak. Takut tak tahu jaga budak. Takut dia pukul Nufail pulak. Yalah. Nanti kalau dah jumpa suruh aje dia datang rumah hari Selasa. Waalaikumussalam.”

Selesai satu masalah. Harapan dia semoga Mak Leha berjaya cari orang yang betul-betul sesuai. Nazriel duduk sebentar sambil merendam kaki ke dalam kolam. Sesekali dia perlu cari masa untuk merehatkan diri.

“Azriel, jauhnya termenung? Ingat apa tu?” tegur Che Ros. Jarang sungguh dia nampak Nazriel duduk sendirian. Pasti ada sesuatu yang sedang difikirkan.

“Saja duduk sini. Bosan. Nufail tidur. Mak cik pulak tengah masak tadi. Takut ganggu.” Hari ini dia tidak ke pejabat. Masa yang ada digunakan untuk mengemas barang.

Che Ros melabuhkan duduk di tepi kolam. “Che Ros dah siap masak. Hari ni Che Ros masak istimewa sikit. Kamu dengan Nufail wajib makan habis. Lepas ni entah bila kamu nak makan masakan Che Ros.”

“Apa susah… Kalau saya rindu boleh aje balik sini hari minggu.”

“Che Ros dah kemas baju Nufail. Semua dah ada dalam beg. Nanti Azriel tinggal ambil aje.”

Nazriel menunduk. Segan dengan kebaikan Che Ros. “Buat susah aje. Saya boleh urus semua tu.”

“Tak ada susahnya.” Dia ikhlas mengemas baju Nufail. Dia faham Nazriel kadang-kadang sibuk sehingga lupa hal di rumah. “Kenapa kamu macam tak suka aje pergi sana?”

“Entahlah. Saya teruja office baru nak buka. Tapi rasa macam sedih nak tinggalkan rumah ni. Nufail tu kat sana tak tau apa jadi nanti. Entah boleh terima atau tak dengan hidup baru.”

“Insya-Allah Nufail baik-baik aje. Kalau jumpa rakan sebaya nanti okeylah dia. Che Ros dah pesan banyak kali. Harap dia ikut. Che Ros pun doakan semoga kamu dipertemukan jodoh di sana nanti.” Lancar sahaja Che Ros bercakap. Mana tahu doanya termakbul.

Berkerut dahi Nazriel. “Kenapa tiba-tiba cakap pasal saya?”

“Maaf, Che Ros cuma nak tahu… Azriel tak nak kahwin lagi ke?”

Laju saja Nazriel menggeleng. “Saya dah pernah kahwin.” Setelah bercerai, tidak pernah sedetik pun dia terfikir mahu berkahwin lagi. Cukuplah sekali. Dia sudah tidak berani ada isteri.

“Tak nak cari mama untuk Nufail?” soal Che Ros. Dia bukan saja kesian pada Nufail, tapi pada Nazriel sekali. Lelaki tetap perlukan wanita dalam hidup mereka.

“Dia dah ada saya.”

Che Ros memandang Nazriel. Tenang saja wajah itu. Tapi dia tidak tahu apa yang ada dalam hati lelaki itu.

“Kalau ada jodoh lagi Azriel terima?”

Nazriel tetap menggeleng.

“Kamu tak boleh lawan takdir Allah andai kata…”

“Cukuplah sampai bila-bila saya dengan Nufail aje. Saya tak perlukan orang baru dalam hidup. Kami dah cukup bahagia,” potong Nazriel. Kesilapan diri membuatkan dia tidak yakin untuk berkahwin lagi. Dia selesa dan bahagia hidup begini.

“Azriel dah tak percayakan perempuan lagi?”

“Apa yang bekas isteri saya buat dulu sangat sakit untuk saya terima. Saya cintakan dia sepenuh hati. Habis duit saya belanja untuk dia supaya dia tak susah hidup dengan saya. Tapi akhirnya apa yang saya dapat? Dia tinggalkan saya bila saya dah tak ada apa-apa. Saya rasa terhina sangat.” Bergenang air mata apabila teringat apa yang pernah dibuat oleh bekas isterinya. Betul perempuan diuji saat lelaki tiada apa-apa.

“Perempuan yang sangat baik pernah saya kenal akhirnya berubah. Tergamak dia tinggalkan saya dengan Nufail semata-mata nak pergi pada lelaki lain. Masih ada ke perempuan baik? Saya tak percaya,” sambungnya lagi.

Ternyata Sofea tidak mampu hidup bersamanya. Wanita itu hanya bersamanya ketika senang. Apabila dia diuji dengan kesusahan, Sofea pergi tanpa rasa bersalah. Semua ini silapnya juga. Dia buta dalam cinta.

“Maafkan Che Ros buat Azriel teringat cerita lama,” ucap Che Ros. Niatnya hanya ingin tahu isi hati lelaki itu.

“Tak apa, Che Ros. Sesekali kita kena ingat cerita lama supaya kita sedar tak ada manusia yang sempurna dalam dunia. Kadang-kadang kita rasa keputusan kita tepat tapi ternyata salah,” ucap Nazriel.

“Jom masuk makan. Dah sejuk agaknya lauk tu,” ajak Che Ros, mengubah topik perbualan.

Nazriel sekadar mengangguk.