Bila Cinta Milik Dia

RM22.00

Penulis: Sharina Elisa

Caption: ku izin kau cari bahagia,selagi hatimu tak terluka

ISBN: 978-967-406-245-3

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 22.00 RM 25.00

Gadis genius secantik Rania tidak mengimpikan jejaka macho sebagai pelengkap hidup.  Demi mencari cinta yang suci, dia menukar identiti menjadi gadis montel 130kg. Raqib, jejaka yang diminati Rania dalam diam bertindak mengherdik dan mencaci saban hari kerana bimbang gadis itu menyimpan rasa di hati. Adel Hauzan, doktor kosmetik muncul menawarkan peluang kepada Rania supaya mampu menjadi kurus dan jelita. Lima tahun Rania bersabar dengan kata-kata makian, dia jadi lelah dan mula membuat keputusan untuk menerima tawaran Adel Hauzan.

Meski Raqib membenci, Rania tetap menjadi yang teristimewa di hati lima jejaka bersaudara. Kasih yang tulus itu meletakkan Rania sebagai yang teratas dalam carta hidup mereka. Sesiapa yang berani menyentuh si adik maka, buruk padahnya! Sehingga Adel bimbang hendak mendekat. Awal-awal sudah diberi peringatan.

Maliqi yang yatim piatu dibesarkan bersama Rania sejak kecil menaruh rasa. Demi cinta yang tersimpul rapi, dia izinkan Rania mencari kebahagiaan selagi gadis itu tidak terluka.

Pernah beberapa kali Rania muncul mempamerkan wajahnya yang sebenar. Kononnya, dia adalah Raudhah dan merupakan teman serumah Rania. Raqib yang tidak mengenali, mula jatuh hati. Mulalah dia hendak merisik perihal Raudhah daripada Rania tanpa mengesyaki kedua-dua pemilik nama itu adalah orang yang sama.

Dah ni nak ke mana ni? Dengan bagasi besar ni? – Maliqi

Aku ada misi – Rania

Misi? Misi apa? – Maliqi

Misi mencari suami – Rania

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“Baiklah, cik. Terima kasih,” ucap Thaqif mengakhiri perbualannya. Gagang telefon diletakkan kembali ke tempat asal. Jemarinya menekan Enter. Selesai memasukkan data pelanggannya tadi.

Raqib yang baru sahaja pulang melirik sekilas ke arah Thaqif. Nampak seperti rezeki datang lagi.

“Amacam?” tanyanya mahu tahu.

“Ada job baru untuk kau. Jap, aku tengah cetak maklumat pasal majlis dia.”

“Oh, okey!” balas Raqib sambil mengangguk.

Lehernya digosok-gosok perlahan. Sedikit penat apabila kerjanya bertali arus.

“Nah!” ujar Thaqif seraya menghulurkan sekeping kertas.

Huluran kertas bertukar tangan. Senget kepala Raqib membaca huruf demi huruf yang tertulis di atas kertas putih itu. Akalnya cuba mencerna sesuatu.

“Apasal? Bekas awek kau ke yang nak menikah kali ni? Takkan nampak nama sama terus terkenang kisah lama kut,” usik Thaqif sambil ketawa kecil.

Kemudian dia kembali memusingkan badannya menghadap komputer. Tugas Raqib mengambil gambar. Tugasnya pula mengedit dan mencantikkan lagi gambar yang sudah diambil. Tugas yang lain barulah mereka sama-sama lakukan. Raqiblah yang tak nak ambil pekerja. Kalau tidak, tak adalah mereka terkejar-kejar.

Nama dan alamat yang tertera menyebabkan hati Raqib berdebar laju. Rasa sakit dikhianati seperti memukulnya sekali lagi.

Teringat jelas dalam benaknya waktu Nur Hanis bertegas mahu meninggalkannya. Sangkanya, Nur Hanis sengaja mahu menduga dan mengujinya. Tapi ternyata gadis itu serius.

Dia tahu, kalau hendak dibandingkan dengan bakal suami bekas kekasihnya itu, dia memang jauh ketinggalan. Lelaki itu miliki kemewahan yang tidak mampu dia berikan kepada Nur Hanis.

Thaqif palingkan kepala ke belakang apabila Raqib tidak menyambut usikannya.

“Kau jangan cakap tu Nur Hanis putih melepak bekas awek kau dulu tu?!” Thaqif bangun mendekati Raqib.

Raqib menarik kerusi. Dia duduk lalu bersandar di kerusi. Lambat-lambat Raqib mengangguk.

“Kau masih suka dia?”

Raqib mengangguk lagi.

“Hanya dia. Sampai bila-bila. Takkan ada perempuan yang boleh buat aku jatuh sayang selain dia.”

Thaqif terdiam. Dia tidak tahu bagaimana hendak memujuk temannya itu. Malah dia tahu temannya itu terlalu mencintai gadis bernama Nur Hanis. Sudahnya, dia menepuk bahu Raqib.

“Kita lepaskan job ni. Nanti aku call dia. Minta maaf.  Cakap schedule kita full.”

Raqib pantas menggeleng. Rezeki yang Allah berikan, kenapa nak tolak? Thaqif ni kenapa? Tak ingat macam mana mereka bersusah payah selama ini hingga sampai ke tahap ini?

“Janganlah nak paksa diri pula. Nantikan gambar ke mana, kau tu ke mana! Aku tak nak kau menangis pula dekat majlis orang.” Serius sahaja riak muka Thaqif.

Tiba-tiba Raqib bangun.

“Jangan cancel. Aku pun nak ucap tahniah. Bekas janda aku nak menikah.”

Raqib sengaja ketawa padahal dalam hatinya bergelombang segala rasa. Thaqif mengeluh. Dia garu kepala.

Raqib berjalan ke muka pintu. Dia mahu keluar. Berkurung di dalam pejabat kecil macam ni, boleh pecah kepalanya teringatkan memori bersama Nur Hanis. Kata orang, penyakit jangan ditempah. Bala jangan dicari.

“Dah tu nak ke mana pula?” tanya Thaqif tidak puas hati.

“Aku nak pergi cari ketenangan. Kacau si badak sumbu kejap. Barulah rasa marah, sakit hati, cemburu dan apa-apa ajelah dalam hati ni hilang. Biar si badak sumbu tu jadi makanan aku.”

Raqib ketawa jahat.

“Isy, jahatlah kau ni! Suatu hari nanti kau jatuh hati kat Rania tu, baru kau tahu badak ke sumbu!”

“Hoi, mulut tu jangan longkang sangat! Selisih Malaikat 44. Kus semangat tengok badan dengan muka dia. Weh, hilang selera makan aku!” tempik Raqib bengang.

Terkekeh-kekeh Thaqif ketawa.

Apalah si Raqib ni! Sendiri ada masalah hati, nak pergi sakitkan hati orang lain pula, getus hati Thaqif.

“Sudah-sudahlah tu, Nia. Pergilah makan. Dari pagi tadi Nia tak makan. Nanti perut tu masuk angin.”

Raqilla seperti menghalau. Dia sebenarnya risau melihat cara Rania bekerja. Sentuh sahaja mesin jahit, tentu gadis itu akan lupa segalanya. Selagi kain yang dijahit tidak siap, selagi itulah tidak berhenti.

“Kejap lagilah, kak. Nia ni kalau tak makan seminggu pun tak kurus-kurus juga, kak,” ujarnya sambil ketawa sendiri.

Raqilla menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Isy, apa Nia cakap ni? Dah! Pergi makan.”

Rania memuncung. Raqilla ni selalu betul mengganggu fokusnya bekerja. Dia baru nak masuk mode menjahit. Dah potong line!

“Kak Qilla, badak ni kalau tak makan pun tak adanya badan dia tu nak mengecut,” kutuk Raqib sambil ketawa terbahak-bahak.

Rania julingkan matanya ke atas. Malas dia hendak melayan si Raqib ni. Bukannya ada faedah pun. Dari dia mula bekerja dengan Raqilla sampailah sekarang, mamat seorang tu memang suka mengatanya macam-macam. Sampah ke kalau jadi gemuk?

Hai hati… Macam mana kau boleh terpikat dengan si mulut longkang ni? Tak reti nak bezakan kacak hati budi dengan kacak rupa ke? Setakat muka handsome, mulut tak reti kawal, nak buat apa? tanya akal pada hatinya.

Raqilla menghempuk bahu Raqib. Kuat.

“Isy, apa kak ni?” marah Raqib geram.

“Kau tu apa hal datang sini tak kira masa? Datang kalau setakat nak sakitkan hati orang, baik tak payah!”

Raqib mencebik.

“Kak dah tak reti nak bezakan adik sendiri dengan pekerja? Adik sendiri dipukul. Pekerja dibela. Adil ke macam ni?”

“Kau tak sibuk, kan? Pergi belikan makanan untuk Nia. Kakak tak tahu yang dia belum makan lagi tadi. Kalau tak, kakak dah belikan masa keluar tadi.”

“Duk risaukan badak tu kenapa? Kak tu dah makan?”

“Kakak puasa hari ni. Nia tulah belum makan lagi.”

“Gemuk ni takkan lapar. Lemak yang dia ternak tu banyak.”

Rania memekakkan telinga. Kalau dia melawan, lagi sakit hatinya nanti.

“Tak baiklah panggil Nia macam tu. Penatlah kakak nak marah,” rungut Raqilla sambil memasukkan pakaian yang sudah siap dijahit ke dalam beg kertas.

Raqib tidak puas hati. Kenapa si badak ni tak reti nak balas kata-katanya? Perempuan ni tak reti nak ajak berlawan cakap ke? Bosan betul! Dasar perempuan kolot! cebik Raqib

“Hei, badak gemuk! Kau nak makan apa?” tanyanya kasar.

“Astaghfirullah… Budak ni! Panggillah elok-elok! Nia ni kan ada nama,” tegur Raqilla. Dia tidak berkenan perangai adik lelakinya yang seorang ini.

Raqib tersengih apabila berjaya membuat Rania menjeling tajam ke arahnya.

“Kau tak payah makan nasilah. Aku takut kau jadi lagi gemuk. Kan tak muat kerusi ni kau nak duduk.”

Sabar, Nia! Sabar! Jangan kau layan lalat-lalat berterbangan. Anggaplah mamat mulut longkang ni macam lalat. Rania pujuk hatinya sendiri.

Raqilla picit dahi. Pening kalau fikirkan perangai si Raqib ni.

“Tapi produk kali ni memang betul-betul berkesan, Tan Sri.”

Bersungguh-sungguh Adel Hauzan meyakinkan Tan Sri Idrus berkenaan produk ciptaannya kali ini.

“Buktikan dulu. Jangan kecewakan saya, Doktor Del. Dah banyak saya laburkan wang saya dalam produk-produk awak selama ni. Pastikan kali ini pulangan yang saya dapat berganda-ganda daripada sebelum ini.”

Adel Hauzan mengangguk tanda faham.

“Awak angguk untuk apa? Saya nak awak buktikan yang produk tu betul-betul berjaya. Saya nak tengok bukti di depan mata. Saya tak nak tengok awak cari seorang hodoh dan seorang cantik. Saya tak nak awak menipu macam tu. Awak cari yang betul-betul gemuk dan hodoh. Kalau betul produk yang awak cipta ni betul-betul ajaib sampai mampu menguruskan, mencantikkan, memudakan dan memutihkan, buktikanlah depan mata saya. Saya nak jumpa si hodoh tu dulu. Saya nak awak tunjuk depan saya yang awak ni berjaya buat sepertimana yang awak cakap tu. Barulah berbaloi saya keluarkan wang.”

Adel Hauzan telan liur. Tidak cukup ke kejayaan produk yang dihasilkannya selama ini sampai macam tu sekali Tan Sri Idrus mahu menekannya?

“Macam mana?” tanya Tan Sri Idrus dalam intonasi mendesak.

Adel Hauzan mengangguk perlahan. Makhluk mana pula yang dia hendak cari ni?

“Saya bukannya nak mendesak awak, Doktor Del. Saya sangat berbangga dengan kejayaan awak selama ni. Saya ni dah lama kenal awak tapi sekarang ni banyak sangat produk kecantikan di pasaran. Kita kena bersaing. Produk empat dalam satu ni kita kena pastikan yang ia betul-betul berjaya.”

“Baiklah, Tan Sri. Saya akan buktikan,” balas Adel Hauzan lemah. Dia bangun dan mahu keluar. Tidak betah berada di situ.

Tan Sri Idrus turut berdiri.

“Bagus! Saya tahu awak takkan hilangkan kepercayaan saya. Tak sia-sia kita bekerjasama selama ni,” puji Tan Sri Idrus sambil menghulurkan tangan.

Adel Hauzan ukir senyuman payau. Tangan Tan Sri Idrus digenggam.

“Papa, Bella…”

Adria Bella yang muncul secara tiba-tiba di muka pintu tergamam apabila melihat papanya ada tetamu.

“Errr… Maaf!” pinta Adria Bella. Dia berkira-kira mahu pergi.

Adel Hauzan sedikit terpanar melihat kecantikan anak gadis Tan Sri Idrus. Tidak berkelip matanya buat beberapa saat.

“Mari sini papa kenalkan.”

Adria Bella melangkah masuk ke dalam bilik itu dengan wajah segan.

“Doktor Del, ini anak perempuan saya. Adria Bella. Bella, nilah orang yang selalu papa ceritakan tu. Bella kena banyak belajar dari doktor ni. Barulah boleh berjaya macam dia suatu hari nanti.”

Adel Hauzan menghulurkan tangan. Kembang kempis lubang hidungnya apabila dipuji sebegitu.

“Del,” beritahunya sepatah.

Berbahang wajahnya apabila Adria Bella hanya mengangguk tanpa menyambut huluran tangannya. Lekas-lekas dia menarik tangannya semula.

“Maaf. Saya tak bersalam dengan lelaki bukan muhrim.”

Tan Sri Idrus sembunyi senyum.

Adel Hauzan tersenyum plastik.

“Tak apa. Tan Sri, saya minta diri dulu,” pinta Adel Hauzan.

Wajahnya masih merah menahan malu. Dia mencebik. Entah-entah berlakon depan bapak dia, ucapnya dalam hati

Isy, apa kau ni, Del? Buruk sangka dekat orang pula! sangkal hatinya.

Raqib yang baru sahaja selesai mengerjakan solat isyak menepuk dahi. Telefon bimbitnya hari ini asyik berdering tidak henti. Agaknya kalau benda empat segi itu reti bercakap, dah tentu ia mengadu penat. Mana tidaknya? Si Thaqif tu asyik menelefonnya tidak  henti.

“Betul ke kau nak teruskan job ni, Qib?” tanya Thaqif sebaik sahaja Raqib menjawab panggilan.

Nadanya cukup risau. Yalah, Nur Hanis tu cinta pandang pertama teman baiknya itu. Masa berkasih dulu, Raqib selalu bercerita pasal Nur Hanis. Tapi dia tak pernah pula berjumpa empat mata dengan perempuan pujaan hati si Raqib ni.

Raqib menanggalkan cermin matanya. Hujung matanya dipicit.

“Kau ni risau tak bertempatlah. Relakslah. Perempuan bersepah lagi kat dunia ni. Lelaki handsome macam aku ni, tak payah nak cari isteri. Lagipun dalam sebulan ni, hari-hari aku berlatih nak ucap tahniah kat dia! Takkanlah tiba-tiba aku nak give up cabar diri sendiri?”

Thaqif melepaskan keluhan di hujung talian.

“Aku tahulah kau tu senang kalau nak cari perempuan lain. Masalahnya, hati kau tu bukannya boleh lepaskan dia!”

“Dia bukan jodoh aku. Apa yang aku boleh buat?”

Lama Thaqif terdiam.

“Kau nak aku temankan kau tak esok?”

Raqib lempar ketawa. Buat-buat!

“Aku janji, aku okey! Jangan risau. Aku nak tolong Kak Qilla jap.”

“Yalah,” balas Thaqif ringkas. Tahu sangat Raqib mahu mengelak daripada terus bersoal jawab.

Talian diputuskan. Raqib tersenyum nipis. Kawan baiknya itu macam dapat tebak apa yang ada dalam hatinya.

Kemudian dia keluar dari bilik. Raqilla yang sedang bersila sambil menjahit manik diperhati sekilas. Dia berkira-kira sendiri. Perlu ke dia beritahu yang Nur Hanis akan berkahwin esok? Perlu ke dia beritahu yang dia kena jadi tukang ambil gambar untuk majlis perkahwinan orang yang dicintai? Agaknya kalau Raqilla tahu, kakaknya itu akan benarkan dia pergi tak?

Raqib mencongak sendiri.

“Dah jauh malam sangat dah ni. Kak tak nak tidur lagi?” tegurnya terpesong daripada soalan.

Lain yang difikirnya, lain yang terkeluar. Sengaja dia menguap beberapa kali. Cuba menutup riak risau. Bimbang tertangkap dek kakaknya.

“Ada sikit lagi ni. Customer ni cerewet sangat. Nanti lari sikit aje daripada apa yang dia mahu, dia suruh buat balik. Tu yang jadi lambat siap.”

Sofa kulit yang berada di ruang tamu menarik perhatian Raqib. Dia merebahkan badannya di atas sofa. Belakang tangannya diletakkan di atas dahi. Hatinya kembali gusar. Gelisah!

Macam  manalah reaksinya di majlis perkahwinan Nur Hanis nanti? Senyum tak berhenti? Tayang muka beku macam ais? Ucap tahniah sambil ketawa senang?

“Kamu tu termenung macam orang mati isteri kenapa?” tanya Raqilla hairan. Senyap pula adik lelakinya malam ini.

Raqib menyambut dengan keluhan perlahan. Kalau otaknya asyik nak ingat pasal Nur Hanis, memang sampai bila-bilalah dia takkan boleh lupakan perempuan itu. Dia cuba bersikap positif.

“Kak rindu abang tak?” soal Raqib tanpa memandang wajah Raqilla.

Raqilla jongket kening sambil mata masih tertancap pada jahitannya.

“Kau jumpa dia?”

“Tak,” jawab Raqib sambil menggeleng.

“Rindu pun tak ada gunanya lagi. Kami dah berpisah.”

“Kak masih sayang dia tak?”

“Sayang dia hanya untuk kerjaya dia.”

“Maknanya, kak masih sayang dialah, kan?”

Perlahan-lahan Raqilla mengangguk.

“Dia sayang kak tak?”

Raqilla jongket bahu.

“Hati orang ni susah nak tebak. Dulu kak aje beria-ia nakkan dia. Tapi bila dah kahwin, kak sedar. Cinta tu tak boleh dipaksa. Tak pasal-pasal kak dapat gelaran janda.”

Raqib diam. Dia perhati saja siling rumah yang sudah dipenuhi sarang labah-labah itu.

“Kau banyak tanya ni kenapa?”

Raqib jongket bahu. Dia diam seketika.

“Tidur dululah, kak. Esok ada kerja. Selamat malam. Assalamualaikum.”

Lekas sahaja dia berdalih. Kan nanti terkantoi, payah. Raqilla ni bukan boleh buat kira. Ada aje idea dia mahu mengorek rahsia.

“Waalaikumussalam,” balas Raqilla.

Betul ke kau ni, Nis? Isy, tak naklah aku. Nanti orang kata pengapit badak atas pelamin,” tolak Rania.

Tak pernah terfikir dek akalnya menjadi pengapit. Biasanya pengapit ni kan orang yang kurus. Ini kalau saiz dia, mahu runtuh pelamin orang. Seratus tiga puluh kilogram kut. Bukan 43 kilogram. Mahunya runtuh pelamin orang nanti. Siapa yang nak bertanggungjawab?

Nur Hanis memuncung. Tidak suka apabila permintaannya ditolak oleh Rania.

“Kau aje best friend hidup mati aku. Takkanlah hari bahagia aku kau tak nak ada kat tepi aku? Badak sangatlah kau tu! Badak cari penyakit, kan? Baik kau jadi pengapit aku. Kalau tak, aku bongkar rahsia kau!” ugut Nur Hanis.

Rania menggeleng.

“Apa? Kau tak nak?”

“Aku tak nak jadi pengapit kau aje. Aku ni ada aje kat tepi hati kau. Sebab hati kau tu kan dah dicuri orang,” usik Rania cuba menceriakan suasana.

Nur Hanis mengembungkan pipinya. Dia yang sudah siap disolek sedang menunggu rombongan pihak lelaki sampai. Sekejap lagi, majlis akad nikah akan berlangsung.

Tiba-tiba Rania terasa haus. Sejak dia datang ke rumah Nur Hanis awal pagi tadi, satu titik air belum membasahi tekaknya.

“Kau nak ke mana?” tanya Nur Hanis, geram. Nak elak jadi pengapitlah tu! Nur Hanis memuncung lagi.

Pertanyaan Nur Hanis tidak dihiraukan. Rania terus keluar dari bilik untuk membasahkan tekaknya.

 

Raqib mengurut dada. Nafasnya ditarik dalam seakan-akan memberi kekuatan kepada diri sendiri. Cermin mata yang dipakai ditanggalkan sebelum disarungkan semula ke matanya.

“Eh, bang!” Raqib sedikit terperanjat melihat Adel Hauzan.

“Yang kau terkejut sangat tu kenapa? Nis tu kan adik sepupu abang! Memanglah abang ada kat sini.”

Raqib tersengih-sengih. Belakang lehernya digosok. Lupa! Nur Hanis dengan bekas abang iparnya itu kan sepupu. Dia pun kenal Nur Hanis waktu majlis perkahwinan Raqilla dengan si Adel inilah. Macam manalah dia boleh terlupa?

“Kau datang sini untuk apa? Bawa sekali dengan kamera ni… kau ke tukang ambil gambar?”

Raqib tarik sengih lalu mengangguk.

“Nanti kau tangkaplah gambar abang sekeping dua. Yang handsome-handsome sikit. Nanti kau WhatsApp abang,” pesan Adel Hauzan sambil ketawa.

Raqib mengangguk. Nampaknya Adel Hauzan masih tidak berubah. Masih suka berceloteh seperti dulu. Sayangnya, lelaki itu sudah berpisah dengan kakaknya.

Kemudian Raqib menanggalkan kasut sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

“Saya Raqib. Jurugambar untuk majlis hari ni.” Dia memperkenalkan diri.

“Pak cik ni ayah pengantin perempuan. Dah makan ke? Nasi dah siap masak tu.”

Kecut perutnya bertemu dengan ayah Nur Hanis. Kalau ikutkan, dia yang sepatutnya jadi bakal menantu ayah Nur Hanis.

“Belum lagi, pak cik. Kejap lagi saya makan. Ni nak tanya sikit. Majlis ni pihak pengantin buat acara apa? Bersilat ke?”

“Bersilat tu ada. Pak cik buat biasa-biasa aje. Ambil mana yang perlu aje. Ikutkan orang susah macam pak cik, nak buat akad nikah dengan majlis kecik-kecik aje. Gambar tu kalau boleh ambil sendiri aje. Tapi itulah… Menikah dengan orang kaya ni payah sikit. Nak buat kenangan sikit katanya. Apa tu orang panggil, outdoor ke apa? Yang tu buat juga! Haih! Tak payahlah macam tu semua! Pak cik dulu menikah mana ada gambar-gambar kat luar macam tu! Kekal juga sampai anak cucu,” ramah orang tua itu.

“Biasalah tu, pak cik. Zaman sekarang ni, orang nak buat special sikit. Biar ada kenangan esok lusa.”

Pak cik itu mendekatkan mukanya ke telinga Raqib.

“Mana tak specialnya… Anak pak cik tu teringin sangat kahwin dengan orang banyak duit! Nak melaram sakan untuk majlis ni. Bersanding saja sampai berpasang-pasang baju nak ditukar! Tu yang pak cik tak berkenan dengan bakal suami dia tu! Membazir,” bisiknya.

Raqib jongket kening. Ada juga bakal mentua macam ni. Belum apa-apa lagi dah tak suka bakal menantu.

Usai memeriksa pencahayaan di dalam rumah dan beramah mesra dengan ahli keluarga pengantin, dia beransur ke meja makan. Perutnya yang mula berkeroncong itu perlu diisi sebelum majlis bermula.

 

Adel Hauzan menyusun lauk-pauk di atas meja. Tiba-tiba matanya terpanar apabila memandang Rania.

“Perfect!”

Mahu sahaja dia menjerit melihat gadis itu. Cukup pakej yang dia cari. Hitam, gemuk, tampak berusia dan berjerawat!

Baru sahaja dia mahu melangkah mendekati gadis itu, namanya dipanggil untuk mengangkat buah tembikai yang siap dipotong. Baru sekejap dia berpaling ke belakang, gadis tadi sudah lesap.

Adel Hauzan mengetap gigi. Bahan uji kajinya sudah terlepas!