Aneh

RM24.00

Penulis: Khaidir Helmi

Caption: selamat datang ke rumah ni

ISBN: 978-967-406-264-4

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 24.00 RM 27.00

Misteri bermula apabila Aqira mencari rumah sewa untuk tinggal pada semester tiga pengajiannya, demi memberi tumpuan kepada pelajaran dan hobinya, menulis. Diana, kawan baiknya mempelawa Aqira serta dua orang rakan lagi untuk menyewa di sebuah rumah lama. Walaupun berasa aneh dan tidak sedap hati, Aqira menerima sahaja cadangan dan pelawaan itu kerana kesuntukan masa dan percaya tiada apa yang aneh akan berlaku.

Aqira cuba memulihkan keadaan dengan memanggil kawan baiknya, Aulia untuk memagar dan memulihkan rumah itu serta rakan serumahnya yang diganggu. Namun ia berakhir dengan tragis. Aulia kemalangan setelah pulang dari rumah sewa itu. Ketika pengebumian Aulia, Aqira terpandang seorang perempuan misteri berbaju batik memegang sebuah buku hitam. Aqira cuba untuk mengenal pasti wajah perempuan itu namun terhalang oleh selendang yang dipakai. Malah perempuan misteri itu juga ghaib secara tiba-tiba.

Sebuah buku hitam, perempuan berselendang dan berbaju batik, kejadian aneh saban waktu dan kematian yang tragis menghantui Aqira. Mengapa ia terjadi, mengapa dirinya menjadi mangsa gangguan, mengapa semua kejadian aneh itu berlaku bertimpa-timpa? Aqira bertanya kepada dirinya sendiri sehinggalah dia melihat dirinya sendiri – Aqira yang aneh. Siapa dia yang sebenarnya? Dari mana asalnya?

“Aqira, aku takutlah. Kenapa benda itu ganggu kita semua?”- DIANA

“Tak payah takut, Diana. Benda itu takkan dapat masuk selagi aku ada dengan kau.”-AQIRA

“Kita manusia dan tuhan jadikan kita lebih mulia daripada makhluk lain. Kita ini khalifah di muka bumi. Mana mungkin boleh takut dengan makhluk yang Allah laknat.”-AULIA

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Sekejap Aqira mengiring ke kiri. Sekejap dia mengiring ke kanan. Entah mengapa, sukar untuk dia lelapkan mata meskipun jarum jam sudah menunjukkan angka 12.00 tengah malam ketika ini. Kepalanya terasa sangat berat seolah-olah dihempap dengan bongkah batu yang besar. Perlahan-lahan dia membuka kelopak mata.

Mengingatkan video yang baru sahaja ditonton maghrib tadi, membuatkan fikiran Aqira kembali celaru. Terimbau satu per satu kejadian seorang budak yang histeria dan menyebut perkataan demi perkataan yang dia sendiri tidak faham. Kenapa mudah sangat tubuhnya dimasuki makhluk dari alam lain? Apakah memang wujud makhluk bernama hantu? Atau ia sekadar imaginasi yang terhasil daripada ketakutan manusia sahaja? Pelbagai persoalan mula berlegar-legar dalam ruangan mindanya sekarang ini.

Ya. Dia percaya dengan adanya alam ghaib. Wujudnya jin dan syaitan.

Tapi hantu? Dia kurang yakin akan munculnya makhluk itu melainkan ia mitos semata-mata. Pernah dia mendengar cerita orang dulu-dulu. Hantu merupakan roh orang yang membunuh diri dan tidak diterima oleh bumi. Rohnya tergantung di antara antara langit dengan bumi. Ceritanya kelihatan logik apabila difikirkan balik, namun dia masih tidak mampu menerima wujudnya roh sebegitu. Baginya, yang mati tetap mati.

Sambil dia termenung dengan matanya melirik ke siling, tiba-tiba terlintas tentang rumah sewa. Lupa, dia masih belum punya tempat tinggal untuk semester akan datang.

Tak boleh jadi ni. Aku mesti telefon Diana.

Satu-satunya teman paling rapat yang Aqira ada semenjak masuk ke dalam kolej adalah Diana. Orangnya berkulit putih dan berdarah Bugis daripada ibu dan ayahnya. Terkenal dengan kecantikan dan tubuh badan yang menarik. Mana-mana lelaki yang bertemu dengannya pasti akan tergoda. Jauh berbeza dengan dirinya yang merupakan seorang gadis yang lemah lembut dan pemalu.

Aqira bingkas bangun. Dia terus keluar lalu memulas tombol pintu bilik kakaknya dengan penuh berhati-hati. Daun pintu dikuaknya kecil. Dia menjengulkan sedikit kepala. Sepasang matanya pantas menuju ke arah katil Kalisha.

Mujur kakaknya tiada. Aqira melepaskan nafas lega seraya mengukir senyuman.

Akak, adik minta maaf, ya? Adik nak pinjam telefon akak kejap. Nanti adik pulangkan balik. Nakal! Bukannya dia tiada telefon bimbit sendiri. Sengaja dia mahu jimatkan kredit telefonnya.

Perlahan-lahan dia melangkah ke arah meja belajar kakaknya. Sebuah kotak dibuka. Memang tepat sangkaan Aqira. Kakaknya tidak membawa telefon bimbit yang satu lagi. Aqira tersenyum puas. Pantas dia mengambilnya lalu duduk menyandar di birai katil kakaknya itu. Butang nombor telefon Diana ditekan.

Sekali dail, tidak diangkat.

Dua kali, tidak diangkat juga. Hatinya dipaut resah.

Kali ketiga, barulah panggilan itu berjawab. Aqira melepaskan nafas lega.

“Assalamualaikum, Diana. Ini aku, Aqira.”

“Waalaikumussalam. Isy, kau tukar nombor lagi? Aku ingat siapalah yang telefon aku malam-malam buta ni.”

“Eh, bukanlah. Aku pinjam yang akak aku punya. Kebetulan, dia keluar tak bawa telefon. Jadi, aku pinjamlah, Kau apa khabar?” ujar Aqira sambil mengukir senyum.

“Akak kau tak marah kau pakai telefon dia tanpa kebenaran?” soalnya tanpa menjawab pertanyaan Aqira.

“Ala, nak marah kenapa? Aku adik kesayangan dialah, Diana. Actually, aku ada something nak tanya ni.”

“Apa?”

“Pasal rumah sewa. Semester ketiga dah nak mula ni. Habislah. Aku tak tahu nak tinggal kat mana nanti. Aku ingat nak cari rumah sewa. Itu sebab aku telefon kau ni kalau-kalaulah kau boleh tolong aku dapatkan rumah sewa kat mana-mana,” luah Aqira, kecewa.

“Kau ini. Tak payahlah kalut sangat. Aku ada.”

“Maksud kau?” Dahi Aqira berkerut. Dia sukar menangkap apa yang cuba disampaikan.

“Ingat lagi tak rumah sewa yang aku tunjuk pada kau hari tu?”

Aqira memaksa memorinya untuk mengimbas kembali. Terbayang sebuah rumah. Sekali pandang, memang nampak macam boleh didiami. Tapi, dua kali pandang, nampak seram. Seram sangat. Mana tak naik bulu roma. Dengar kata, ada orang bunuh diri dalam rumah itu.

Ada pelajar pernah menyewa rumah itu. Tapi pada akhir cerita, pelajar itu hilang. Ghaib entah ke mana. Aqira menelan liur beberapa kali apabila mendengarnya. Takkanlah rumah itu yang dimaksudkan oleh Diana?

“Maksud kau, rumah teres berhantu tu? Kau jangan, weh. Mati hidup balik, aku tak nak tinggal di sana. Sumpah! Gila apa? Heh.”

Bulat mata Aqira. Agak-agaklah Diana mahu menyuruh dia tinggal di rumah sewa itu. Seriau! Biar betul kawannya yang seorang ini?

“Eh, bukan yang tu la minah senget. Maksud aku, rumah teres yang satu lagi. Yang belakangnya ada hutan. Kau ingat lagi tak?” Diana pernah membawa Aqira ke rumah itu sebelum ini.

Rumah itu memang sudah lima tahun belum ada sesiapa yang duduk atau menyewa. Bermakna mereka adalah orang pertama yang akan tinggal di situ. Mungkin. Diana cuma deal pakai telefon bimbit sahaja. Sejenak dia cuba termangu seketika.

Berderau darah Aqira. Ah, sudah. Sudah datang perangai tiga suku kawan dia ini. Rumah itu lebih seram daripada rumah pertama tadi. Idea Diana langsung tak boleh pakai. Dia rasa kawannya itu sudah gila atau memang gila sejak lahir lagi. Hutan itu nampak seram dan sangat menakutkan. Sekali pandang. Macam daerah tinggalnya jin dan iblis. Mungkin tempat orang bunuh diri. Mungkin juga tempat ditanamnya mayat-mayat yang tidak berdosa. Pelbagai andaian singgah di benak kepalanya.

“Kau ni pun, risau sangat. Nak kata penakut, kau lagi jauh kuat iman daripada aku. Macam inilah. Kalau benda tu datang ganggu kita juga, kita minta bantuan bomoh. Amacam?”

“Isy, syiriklah weh. Kau tak takut Tuhan ke apa?” Aqira geram. Cakap bukan main lepas saja kawan dia seorang ini.

“Hahaha… Tahu tak apa. Habis kau takut sangat dengan hantu sampai tak takut dengan Tuhan? Itu tak syirik?”

Sentap. Aqira mengigit bibirnya. Dia terdiam untuk beberapa saat.

“Tapi…” Mulutnya cuba berkata sesuatu namun sempat dipintas Diana.

“Ala, kau jangan risaulah, Aqira. Nanti semester depan, dapat rumah lain, kita pindah. Okey?”

Sebenarnya, Aqira masih berasa serba salah. Perasaan waswas itu tetap ada memandangkan rumah yang bakal dia tinggal nanti bukan calang-calang tempat tinggal. Bapak segala seram. Tapi kalau difikirkan balik, di mana lagi dia nak tinggal nanti? Sudahlah dia sememangnya pendiam. Bercakap pun dengan orang yang dia kenal sahaja. Macam mana lagi hendak mencari rumah sewa dalam masa terdekat ini? Keluhan nafas dilepas perlahan.

“Eh, diam pula minah senget ini. Jadi tak? Kalau tak jadi, tak apa. Aku boleh cari orang lain.”

“Isy, kau ini! Aku dengan kau ni dah macam kembar tahu. Takkanlah aku boleh berpisah dengan kau? Gila, apa?!”

Aqira terpaksa untuk tidak berlaku jujur walaupun jiwanya masih tidak tenteram. Hutan di belakang rumah sewa itu bukannya hutan biasa-biasa walaupun kawasan perumahan itu adalah kawasan biasa-biasa sahaja. Wujud misteri yang masih belum terungkap sampai sekarang. Semua orang tidak tahu. Memikirkan sahaja sudah membuatkan bulu romanya menegak.

“Haha! Kan bagus kalau awal-awal cakap macam itu. Okey, kira jadilah ini, ya? Kalau jadi, aku nak masukkan kau dalam WhatsApp group rumah sewa nanti.”

“Wah, siap ada group bagai! Hebatlah kau, Diana. Maju. Selain daripada aku dan kau, siapa lagi satu rumah dengan kita?” Teruja dia mengetahui yang rakannya itu dalam diam-diam dah cipta satu stable yang dia sendiri tidak tahu.

“Tak ramai nak tinggal rumah kat sewa tu. Aku ajak Momo dengan seorang budak diploma. Cukup empat orang termasuk aku dan kau. Tak perlu ramai-ramai. Serabut. Susah kalau pilih orang yang kita tak kenal. Buatnya rumah kita macam reban ayam. Sepah sana sini. Mahu terjegil biji mata!” tambahnya lagi berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

Bukan semua orang ni pembersih lagi-lagi manusia yang digelar wanita. Banyak sangat pad putih yang dibuang merata. Bertambah geram apabila ada yang buang di dalam lubang tandas yang menyebabkan tandas tersumbat. Terpaksa pula panggil tukang baiki dan bayar sejumlah wang. Kan dah menyusahkan orang namanya itu.

“Budak diploma? Siapa?” Sebolehnya Aqira tidak mahu tinggal serumah dengan orang yang dia tidak kenali. Bukan dia hendak buruk sangka, cuma dia tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini seperti kecurian.

“Tiara. Dia kata tak ada tempat tinggal lagi untuk semester depan. Jadi, aku pun ajaklah dia sekali. Jangan risau. Dia budak baik.”

“Sanggup pula dia tinggal rumah berhantu macam tu? Tak rasa seram ke apa? Kalau aku, aku tak sanggup.”

“Isy, kau ini! Budak tu tak kesah. Asalkan ada tempat tinggal semester depan, itu dah cukup bagi dia. Hantu? Makanan dia aje tu.”

“Nampaknya, aku kena belajar sesuatu dengan dia. Belajar untuk jadi berani. Belajar untuk hadap dengan benda dengan yang tidak kelihatan pada pandangan manusia biasa.”

“Dah, jangan mengarut sangat. Aku pun dah mengantuk ni. Nak tidur.” Nguapannya kedengaran dari corong telefon sebagai isyarat matanya bakal terpejam.

“Okey, aku pun nak tidur. Jumpa kau minggu depan. Kirim salam dengan Fahimi, ya? Assalamualaikum…”

“Fahimi? Kenapa dengan Fahimi? Weh, kau jangan pandai-pandai nak reka cerita. Aku dengan dia cuma kawan aja. Nothing’s more.” Sentapnya secara tiba-tiba dan tidak sempat pula dia menjawab salam.

“Sudahlah, malas aku nak layan. Nanti kau kahwin dengan si dia tu, jangan lupa jemput. Tak dapat jadi pengapit, jadi tukang basuh pinggan pun aku rela. Asalkan dapat tengok kau dengan si dia bahagia sampai ke jenjang pelamin. Ala-ala macam prince and princess gitu. Hihihi!” Sengaja dia mahu menghangatkan perasaan rakannya itu. Bukan kali pertama mereka memerli antara satu sama lain.

“Aduh! Kau ni dah salah faham. Kejap, bagi aku peluang cerita benda yang betul. Sebenarnya…”

Tuttt!

Aqira sengaja memutuskan talian. Dia tersenyum puas. Kedengaran telefon kakaknya berdering. Terpapar nombor Diana. Namun, dia tidak mengangkat panggilan tersebut. Sengaja. Dia meletakkan kembali telefon itu perlahan-lahan ke dalam kotak. Risau tercalar. Dia lega. Kakaknya masih belum pulang.

Belum sempat bergerak, pintu bilik kakaknya terbuka. Pantas mata Aqira menuju ke arah muka pintu. Dadanya berdegup kencang.

Muncul wajah ibunya di ambang pintu. Tajam merenung mata Aqira. Aqira menelan liur. Kesat.

“Kenapa masuk bilik ini lagi?”

“Ibu jangan salah faham. Aqira masuk bilik ni sebab rindu pada kakak. Maafkan Aqira ya, ibu?” bohong Aqira. Terpaksa. Nanti tak pasal-pasal kena bebel.

Puan Zima mencebik lalu dia berpaling meninggalkan bilik Kalisha begitu sahaja.

Aqira menghembus nafas lega. Nasib perbuatan buruknya tidak terbongkar. Kalau tak, memang naya kena bebel.

Perlahan-lahan Aqira melangkah keluar dari bilik kakaknya itu. Dia masuk ke dalam biliknya lalu menghempaskan badannya yang keletihan ke katil. Terlupa pula untuk dia membasuh kaki sebelum tidur.

Hujan turun mencurah-curah di luar rumah. Sesekali Aqira tersentak dengan bunyi petir yang memekakkan telinga dan mengecutkan tali perutnya. Namun dia tetap berlagak selamba dengan membelek media sosialnya sampailah terasa bosan.

Akhir sekali, dia mencapai sebuah novel berkulit hitam yang diambil dari bilik akaknya tadi. Bukan mahu mencari pasal. Namun sebagai jalan supaya dia akan terlelap juga nanti. Dari tadi dia masih sulit untuk tidur seperti seorang pesakit insomnia.

Aqira menyelak halaman demi halaman. Dia bukan sejenis spesies sekadar membaca sepintas lalu. Tapi mendalami sejauh mana isinya. Menjiwai setiap watak sehingga merasakan dia adalah watak tersebut tidak kira watak baik atau jahat. Begitu juga dengan jalan cerita di dalam novel, dia membayangkan dirinya yang berada di tempat tersebut sehingga terlintas satu per satu gambaran yang diceritakan oleh si penulis.

Aku bukan binatang…

 

Ariqa menangis teresak-esak. Sesekali tangan kanannya menyentuh pergelangan tangan kiri yang masih lagi pedih akibat dirotan ibu tirinya, disebabkan hanya terlanggar pasu bunga di halaman rumah.

Dia menangis bersendirian di dalam bilik tanpa ditemani sesiapa. Sejak dia masih bayi lagi dia dijaga ibu tirinya. Dia tidak mengenali rupa paras ibu kandung yang telah melahirkannya. Apa yang dia tahu, Apa yang dia tahu, dia ditinggalkan ibu kandungnya berhampiran longkang. Nyaris dia maut ketika itu apabila ada beberapa ekor anjing cuba menghampiri dan membahamnya.

Sebuah buku yang berwarna hitam yang berada di meja bersebelahan katil dicapai. Dia membelek sehingga ke muka surat di mana catatan terakhir berhenti.

Hari ni mak rotan sebab terlanggar pasu bunga. Mak marah sangat. Kalau dapat putarkan masa, dah tentu Ariqa takkan main dekat luar.

Itulah catatan ringkas untuk kejadian yang berlaku hari ini. Sisa air mata diseka. Deria sakit yang dialami masih menyengat. Buku hitam yakni sebuah diari ditutup semula.

Bunyi pintu menyentak lamunannya. Ibu tirinya kelihatan berdiri di muka pintu dengan muka bengis.

“Oh, baru kena marah sikit, baru kena rotan sikit dah lari masuk bilik! Kenapa kau tak main kat luar tu? Keluarlah sial!” herdiknya dengan lantang.

Air mata Ariqa kembali mengalir. Jiwanya tersentak dengan suara pekikkan dan tengkingan yang terlontar dari mulut ibu tirinya. Bukan dia tidak biasa tetapi dia masih kecil dan mudah terasa dengan herdikan tersebut. Kasih sayang yang sepatutnya dibelai manja tidak mungkin diperoleh. Malah, kebencian dan kesengsaraan yang dia harus tempuhi.

“Kau keluar sekarang!”

Ariqa menepis apabila tangannya ditarik ibu tirinya. Akibat berang dengan kelakuan itu, mukanya ditampar berkali-kali tanpa belas kasihan. Rambutnya ditarik dan telinganya dipulas-pulas.

“Budak jahanam! Aku kutip kau, boleh kau nak melawan, ya? Dasar budak sial!” Ibu tirinya mencapai penyapu lidi yang berada di tepi daun pintu dan melibas ke tubuh kecilnya.

Meraung Ariqa akibat tidak tahan pedih yang menyengat tubuhnya. Bagaikan syaitan, ibu tirinya itu menendang tubuh kecilnya sehingga kepala terkena pada almari kayu. Benjolan besar terasa pada kepala kirinya.

“Kau nak melawan aku lagi tak? Haa?”

Mulut Ariqa dikeroyok. Ibu tirinya seperti tidak berpuas hati. Jika di negara ini tiada undang-undang, sudah pasti dia akan membunuh budak yang dianggap sial dalam hidupnya itu.

Sempat ibu tirinya menendang kepalanya sebelum beredar. Pintu dihempas kuat. Keadaan kembali sepi.

Entah berapa lama dia cuba tenangkan diri. Perlahan-lahan dia bangkit dari atas lantai dan merangkak ke atas katil. Rambutnya kusut-masai. Air mata yang hampir mengering dibiarkan sahaja tanpa disentuh.

Mahu mengadu dengan sesiapa pun dia tidak tahu. Mana ada sesiapa yang sudi berkawan dengannya. Dia tidak dibenarkan mendekati sesiapa pun. Tiada yang kenal rapat dengan dirinya. Disebabkan itulah dia sentiasa bersendirian. Kadangkala, dia akan bermain di halaman rumah walaupun ditegah keras ibu tirinya.

Dia berasakan yang zaman kanak-kanaknya musnah. Kegembiraan yang sering didambakan tidak kunjung jua. Dia hanya mengenal derita. Setiap malam sebelum tidur, dia akan menangis dan mengadu entah pada siapa.

Diari berwarna hitam itu dicapai kembali. Tangannya ligat menulis catatan yang terjadi. Semuanya pengalaman buruk yang ditempuhi.

Mak pukul Ariqa lagi. Dia suka tengok Ariqa menangis. Dia suka tengok Ariqa sakit. Dia nak Ariqa mati. Dia dah tak nak bela Ariqa lagi. Mana Ariqa nak pergi selepas ni?

Tanpa dia sedari, titisan darah menitis dari kepalanya ke arah helaian diari hitam itu. Dia menutup diari yang bercampur dengan darahnya dan diletakkan di atas meja. Sebuah novel yang berjudul Bercakap Dengan Iblis diambil dan mula dibaca.

Novel itu menjadi penyeri hidupnya. Itulah antara teman yang dia ada tatkala kesunyian. Minat membaca kisah-kisah seram sudah semestinya menjadi pilihan. Biarlah dia hidup dalam karya fiksyen dan fantasi. Dia lebih gembira begitu berbanding berada di alam realiti yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Setelah beberapa bab dibaca, matanya mulai kuyu. Dia terlelap sambil memeluk buku yang dibacanya.

“Ariqa…”

Satu suara menegurnya.

“Siapa tu?”

Dia tidak dapat melihat sesiapa berada di sekitarnya. Hanya suara yang didengari saling bertindih-tindih.

“Siapa tu? Ariqa takut…” Dia merengek.

“Kau kena jadi kawan kami!”

“Bunuh semua musuh kau!”

“Hapuskan mereka yang sakiti kau!”

“Kau layak hidup bahagia!”

Arghhh!”

Ariqa menjerit ketakutan. Suaranya itu telah berjaya mengejutkan ibu tirinya yang sedang lena dibuai mimpi.

Lampu bilik dibuka. Ariqa terketar-ketar. Tangan ibu tirinya memegang erat penyapu lidi, antara senjata yang paling dia takuti.

“Kau menjerit ni apa hal budak? Nak kena ni!”

Ariqa cuba melarikan diri namun gagal. Badannya terlebih dahulu menjadi sasaran penyapu lidi.

“Sakit!” ucap Ariqa namun kata-katanya tidak dipedulikan ibu tirinya yang seperti mengamuk sakan.

Seluruh tubuh Ariqa lemah. Kesan biru semakin kelihatan pada wajahnya. Dia tiada upaya untuk bangkit. Perit yang dirasakan hanya Allah yang tahu.

Agak lama dia terlentang di atas lantai. Bagaikan sedang terbang, tubuhnya berdiri sendiri dan bergerak ke arah dapur.

“Kenapa ni?” Suaranya seperti terlontar di kepala. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh bergerak sendiri tanpa rela.

Lesung batu dicapai. Kakinya kini mula menuju ke bilik ibu tirinya.

“Bunuh dia! Dia bukan manusia! Dia setan! Dia tak sayangkan kau! Dialah yang menyebabkan kau terseksa!” Satu suara berbisik di telinga kirinya.

Tanpa ragu-ragu, dia menetak lesung batu itu pada kepala ibu tirinya sehingga berdarah. Berkali-kali dia lakukan tanpa teragak-agak.

“Eh?” Ariqa mencampakkan lesung batu itu. Dia kaget melihat kepala ibu tirinya berlumuran darah.

Keesokannya, Ariqa dan kakak tirinya dibawa ke rumah bapa saudaranya untuk tinggal di situ. Kematian ibu tirinya sukar disiasat berikutan terdapat kekeliruan. Tambahan pula, lesung batu yang dijumpai berhampiran tiada tanda cap jari si pelakunya.

Ariqa tersenyum sendirian. Novel seram yang belum habis dibaca dipeluk erat bersama diari berwarna hitam yang menjadi peneman ke mana sahaja.

“Aku tak salah, aku bunuh setan aje.” Ariqa bersuara perlahan. Hatinya keras. Dendam yang selama ini dipendam terbalas juga.

Mendadak bacaan Aqira terhenti pada muka surat itu. Novel itu ditutup lalu diletak kembali di sisi katil. Dia tidak sanggup lagi meneruskan bacaannya. Bimbang juga kalau watak utama itu tiba-tiba sahaja muncul dan berada di sisinya. Boleh tersembam kepalanya di atas lantai. Tak pasal-pasal kepalanya benjol dan matanya lebam.

Aqira bangkit. Rasa dingin yang menggigit kulit tubuhnya membuatkan dia mahu membuang air kecil.

Namun, sebaik-baik saja kepala Aqira berpaling ke kiri, sepasang matanya terpandang susuk tubuh yang sedang berdiri tegak dengan mata yang membulat. Aneh. Rasanya pintu biliknya sudah dikunci tadi.

Ya, makhluk itu berada di hadapan pintu bilik yang sedang tertutup rapat.

“Akak, bila akak masuk? Kenapa akak tak tidur lagi? Eh, kejap. Akak mesti baru balik, kan? Ini mesti dating dengan pakwe, kan?” Aqira sengih, menampakkan barisan giginya yang putih.

Namun begitu, Kalisha tetap membisu. Dia cuma berdiri di hadapan pintu dengan wajah menunduk ke bawah.

Pantas Aqira berjalan ke arah kakaknya itu. Kini, dia betul-betul berhadapan dengan Kalisha. Ditenungnya mata bulat kakaknya dengan jari yang diletakkan di bawah bibir, ala-ala pemikir hebat Sherlock Holmes. Ditiliknya wajah itu dari atas hingga ke bawah kaki. Terkedip-kedip mata bundar Aqira yang diapit alis hitam itu. Bagai sedang membuat kesimpulan sebuah kes yang berprofil tinggi.

“Diam macam patung cendana. Mata bulat dan tajam macam nak makan orang. Mulut pula macam kena jahit. Akak nak jadi hantu, ya? Sengaja nak takutkan Aqira, kan? Ala, janganlah. Adik tak takutlah dengan hantu-hantu ini. Khurafat tahu? Hantu tak pernah wujud melainkan manusia yang wujudkan sendiri benda itu. Betul tak, akak?”

Pertanyaan Aqira langsung tiada balasan. Tetap sama sahaja seperti tadi.

Dah kenapa dengan akak aku sorang ni? Aqira mencebik. Benak fikirannya cuba mencari jawapan lagi sehinggalah dia teringat sesuatu. Ini mesti kakaknya sudah tahu dia meminjam telefonnya tadi.

“Okeylah, Aqira minta maaf. Betul-betul terdesak tadi. Aqira janji. Lepas ni tak akan buat lagi perangai macam tu. Janji!” Sambil tangannya diangkat seperti mengangkat sumpah.

Tiba-tiba petir menyambar atap rumah lalu Aqira terduduk sambil menutup kedua-dua belah telinga. Petir yang menyambar tadi terlalu dekat dan kuat. Lagi pula dia sememangnya penakut dengan bunyi guruh sejak kecil. Setiap kali bunyi guruh dan kilat sambar-menyambar, dia akan duduk diam-diam sambil memeluk lutut sendiri.

Setelah beberapa saat, Aqira kembali membuka kelopak mata. Kepala didongakkan, mencari kakaknya. Aneh, Kalisha ghaib begitu sahaja. Biar betul! Mendadak Aqira berdiri seraya menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia semakin hairan.

Eh, macam mana akak aku boleh hilang tiba-tiba ni? Padahal, aku tutup mata tadi tak sampai satu minit. Pintu bilik pun masih tertutup rapat. Eh, siap berkunci lagi. Atau tubuh dia boleh tembus dinding? Mustahillah! Mana ada manusia yang boleh ghaib macam tu aje? Pap!

Apakah tadi sebenarnya hantu? Jadi, tadi dia bercakap dengan hantu dan bukannya manusia? Patutlah senyap macam tunggul. Mata pula terbelalak keputihan. Sengih lain macam. Rupa-rupanya itu memang bukan kakaknya, Kalisha.

Merinding bulu romanya. Dia mula ketakutan, bulu tengkuk mula tegak berdiri . Tanpa ditunggu lagi, pantas dia berlari keluar dari biliknya. Tiada tujuan khusus, asalkan tidak berada di dalam bilik itu lagi. Seram!

Dum!

Aqira terlanggar seseorang yang memegang tongkat di tangan kanan, betul-betul di hadapan pintu bilik. Dia mengengsot ke belakang, menjauhi makhluk yang menakutkan itu sambil menjerit ketakutan.

“Tidak!”

“Aduhai, anak dara ibu ni. Tengok ibu sendiri, macam tengok hantu Kak Limah. Ini ibulah, Aqira. Bukan orang lain pun.”

Puan Zima tercegat di muka pintu bilik Aqira. Mana tak nampak macam muka hantu kalau berbedak sejuk tebal di muka. Putih macam mayat. Sekali imbas, tidak ubah macam muka Nenek Peah dalam drama yang pernah popular di televisyen dulu. Persis, malah seratus peratus serupa, tiada cacat cela.

Gerun Aqira. Macam hendak pecah dada dek debaran-debaran yang datang tanpa dipinta. Sudahlah tadi hantu menyamar jadi kakaknya. Sekarang, terpaksa pula dia berhadapan dengan ibu tirinya yang berpenampilan menakutkan.

“Kenapalah ibu selalu buat Aqira terkejut? Mujur jantung tak gugur tadi. Kalau tak, mahu meninggal adik malam ni. Huh!”

“Tadi ibu dengar adik terjerit-jerit dalam bilik. Ibu datanglah. Takut juga kalau ada apa-apa berlaku pada adik. Adik bukan sihat sangat,” luah Puan Zima, prihatin dengan keadaan anak daranya itu.

“Ibu, Aqira dah besar. Aqira tahu jaga diri sendiri. Lagipun hantu tak pernah wujud, bu.” Aqira bangkit seraya merenung tajam ke arah muka ibunya yang berkedut. Entah kenapa, dia tiba-tiba sahaja rimas dengan ibu tirinya itu.

Aqira berjalan melepasi ibunya namun tiba-tiba sahaja bahunya dipaut dari arah belakang. Mendadak Aqira berhenti melangkah. Apakah itu benar-benar ibunya yang asli atau ‘dia’ yang muncul lagi? Dia mula berfikir bukan-bukan. Ramasan tangan di bahunya itu terasa lain macam.

“Ibu tak ada beberapa hari ini. Adik jaga rumah elok-elok, ya? Jangan bagi sesiapa pun masuk kecuali orang tu memang adik kenal.”

Aqira berpaling. Fuh! Mujur bukan jelmaan hantu atau jembalang. Silap diri sendiri juga. Belum apa-apa pun, sudah berfikir yang bukan-bukan. Padan muka!

“Ibu nak pergi mana pula? Adik sebenarnya nak ke kolej esok, ibu. Nak tengok rumah sewa. Kelas adik tak lama lagi dah nak mula. Maaf, ibu. Bukan adik sengaja nak bantah, tapi pelajaran lebih penting. Adik tak nak ponteng kelas semester ini semata-mata nak jaga rumah ni. Cukup-cukuplah semester lepas gagal sebab jarang masuk dalam kelas. Adik nak berubah, bu,” kata Aqira, jujur.

Ya, memang. Aqira pernah gagal. Tetapi tidak bermakna dia perlu gagal sampai mati. Dia perlu bangkit dan tunjukkan pada semua orang yang dia memang mampu untuk berjaya. Rasa macam tidak sabar sangat hendak belajar dan menatap muka-muka pensyarah. Paling penting, Aqira mensasarkan senarai dekan pada semester depan. Biar arwah ibunya bangga. Bangga punya anak sepintar dan sebijak Aqira. Perlahan-lahan dia mengukir senyum sambil matanya merenung ke atas siling.

“Tapi rumah ini kalau tak dijaga, ibu takut ada benda lain yang menghuni. Adik faham maksud ibu, kan? Ibu takut sesuatu yang lebih buruk akan terjadi pada adik nanti.”

“Ibu tahu tak khurafat kalau kita percaya sangat dengan benda-benda itu semua? Adik yakin, benda tu pasti tak akan ganggu kita semua lagi.”

“Ibu bukan maksudkan benda dari alam lain sangat. Tapi ibu lebih risau keadaan kamu tu sendiri. Kamu tak sihat lagi. Kalau boleh ibu tak nak kamu ke kolej lagi buat masa ni, Aqira.”

“Ibu ni risau sangat. Adik jamin. Benda tu tak akan ganggu kita satu keluarga lagi. Lagipun ibu… Kak Kalisha kan ada. Dia boleh jaga rumah ni tanpa perlu adik teman.”

Aqira memberi jaminan padahal dia baru sahaja diganggu. Terpaksa. Kalau tidak, pasti ibunya tidak membenarkan dia untuk pergi melihat rumah sewa. Aqira tidak mahu mengecewakan sahabat baiknya, Diana. Lagipun, dia sudah berjanji. Munafik kalau kita memungkiri janji tanpa alasan yang munasabah.

“Akak? Akak mana maksud kau?”

“Alah, anak ibu yang seorang lagilah. Anak ibu ada dua tahu? Bukan seorang. Seorang Aqira. Seorang Kalisha. Buat-buat lupa pula ibu ini.”

Mulut Puan Zima terkunci. Dipandang sekeliling rumahnya. Tiada sesiapa melainkan dia dan Aqira seorang. Dia tarik nafas panjang lalu akhirnya dia turut melangkah pergi sama seperti anak tirinya itu.

Aqira akhirnya selamat sampai di rumah yang diperkatakan oleh Diana tempoh hari. Dia mendongak, memerhati rumah tersebut dari atas hingga ke bawah. Susah sebenarnya hendak percaya. Dari luar, rumah teres dua tingkat itu kelihatan bersih dan cantik. Bukan macam hari itu. Berlumut, kotor dan menyeramkan. Macam rumah teres yang sudah lama terbiar. Sekarang, ia sudah berubah seratus peratus. Sudah sesuai untuk didiami dengan selesa.

Namun, ada sesuatu yang cukup mengganggu fikiran Aqira ketika ini. Dia memandang tingkat atas rumah teres tersebut. Pelbagai soalan menerjah di dalam kepala.

Dua tingkat? Siapa yang tinggal di atas? Pelajar lelaki? Macam mustahil.

“Macam mana? Okey tak rumah ini, Aqira? Tentang sewa, kau jangan risau. Mak cik tua tu bagi murah saja. Dia tak berkira sangat bab duit. Asal ada yang sudi tinggal di rumah dia ini pun dah cukup bagus. Betul tak, Momo?”

Momo cuma mengangguk tanpa menjawab pertanyaan Diana. Orangnya sedikit montel, muka ala-ala Cina dan pakai spek. Berbanding Diana, dia ni jenis bersopan-santun. Bercakap apabila perlu dan agak sedikit penakut.

“Berapa sewa rumah ini, Diana?”

“Empat ratus untuk satu bulan. Tak mahal sangat, kan?”

“Serius? Takkanlah rumah sebesar ini murah macam tu sewanya?” Aqira teruja.

Semurah itu untuk rumah sebesar ini?

“Hah? Kenapa terkejut? Itulah. Kan aku dah kata, rumah ni memang terbaik. Fully furnished. Sewa pun murah. Lagi satu, rumah ini dengan kolej pun tak jauh sangat. Nak jalan kaki pun boleh. Tapi hari ini kau jalan, tahun depanlah baru sampai. Hihi!”

“Terima kasih, Diana. Jujur aku beritahu, serius, kau memang terbaik, weh! Macam BoBoiBoy!” Aqira memuji. Diana menyengih sinis.

“Diana, awak tak tanya mak cik tua tu siapa yang akan menyewa tingkat atas? Atau kita berempat saja yang akan tinggal di rumah ini?” Momo mencelah. Raut wajahnya kelihatan masih takut-takut. Waswas!

“Nampaknya macam itulah, Momo. Memang kita berempat saja yang akan tinggal di sini. Tingkat atas belum ada penyewa lagi. Ingat nak letak barang-barang peribadi kita dekat tingkat atas tu tapi bila fikir ada tikus dan anai-anai bersarang, baik tak payah. Kenapa, Momo? Momo nak ke tinggal sorang-sorang kat atas tu?”

Diana mengukir senyuman jahat. Sengaja ingin mengusik kebendulan Momo. Bulat mata Momo memandang Diana. Debar mula bertamu di dadanya. Rentak jantungnya mula berdegup laju. Seram.

“Saya cuma tanya. Takkanlah saya sanggup tinggal seorang diri kat atas tu. Saya bukan berani macam awak, Diana.” Jujur sahaja Momo menjawab.

“Tapi kalau nak, aku boleh tolong. Mungkin kau lebih bahagia kalau kau berteman dengan benda itu. Ya tak? Nak?”

Tajam mata Diana mencerlung ke dalam mata Momo. Seperti ingin menelan kawannya itu hidup-hidup. Pantas Aqira mencubit bahu Diana.

“Kau ini, Diana. Tak habis-habis nak takutkan Momo. Kasihan Momo. Momo bukan buat apa-apa pun pada kau. Apa punya member perangai hantu macam ini.” Aqira berpaling menghadap Momo lalu dia menyambung.

“Kau okey, Momo?”

Sekali lagi Momo menjawab dengan anggukan. Dia tidak berani lagi untuk mencelah. Seram dengan Diana. Bimbang kalau Diana betul-betul akan mengotakan apa yang dituturkannya sebentar tadi. Masak dia nanti.

“Aqira, Momo… Mari masuk. Kita kemas dulu apa yang patut petang ini. Malam karang senang sikit. Boleh rehat dan tidur dengan tenang nanti.”

Diana bergerak ke arah pintu rumah. Kunci rumah diseluknya dari dalam poket seluar. Perlahan-lahan pintu dibuka. Dia menanggalkan kasut di luar rumah sebelum melangkah masuk.

Suasana hening tiba-tiba melanda menyebabkan Aqira berhenti melangkah. Dia terpaku di muka pintu seolah-olah sedang berfikir sesuatu.

Momo pula seperti teragak-agak. Dia teringat pesanan arwah neneknya. Di dunia ini, bukan kita seorang yang wujud. Ada lagi makhluk Tuhan yang lain. Dia melihat kita tapi kita tidak mampu melihat dia. Kita dan dia berada di dunia yang sama, namun di dimensi yang berbeza-beza. Kita sahaja yang tidak mampu melihat mereka. Sebaliknya, mereka senang-senang sahaja melihat dan memerhatikan kita.

Bahu Momo tiba-tiba dipegang dari belakang.

“Kenapa kau tak masuk lagi? Buat apa lama-lama di luar?”

“Tak adalah. Arwah nenek pernah pesan. Rumah yang dah lama terbiar, jangan terus masuk. Sebaliknya tanam dulu tahi besi di setiap tiang seri rumah. Baru benda tu tak berani kacau,” ujar Momo sambil matanya memandang sekeliling rumah.

Aqira telan liur. Apa benda tu mampu buat? Orang tua zaman dahulu ni pun satu hal. Suka reka benda bukan-bukan yang jelas tiada dalil dan bukti. Sampai generasi sekarang jadikan ia ikutan walaupun jelas-jelas syirik.

“Kenapa dengan awak pula ni? Tiba-tiba diam aje? Awak tak percaya kat saya ke apa? Atau awak nak kata saya kolot?” marah Momo secara tiba-tiba.

“Aku percaya, Momo. Cuma pendekatan yang kau guna itu sebenarnya salah. Bukan aku cakap tak betul tetapi pendekatan dalam Islam itu sebenarnya lebih baik. Antaranya baca doa dan masuk dengan langkah kaki kanan. Tak payahlah nak tanam biji besi bagai ni. Susah. Cara Islam lagi senang,” ujar Aqira dengan lembut demi menjaga hati sahabatnya itu.

“Ikut awaklah, Aqira. Saya cuma sarankan untuk kebaikan kita semua sahaja. Awak tak nak ikut tak apa. Tapi jangan paksa saya untuk ikut awak punya cara, okey? Saya tak nak.”

Momo masih tetap dengan kepercayaannya. Aqira beristighfar panjang dalam hati. Dia menggeleng-geleng. Ah, sudah. Parah ini. Mitos konvensional lebih dipertahankan daripada ajaran Islam yang sebenar. Bukan Momo saja. Malah, ramai lagi di luar sana yang macam Momo. Mungkin ada yang lebih teruk.

“Aqira, Momo. Buat apa lagi tercegat kat luar? Kau orang berdua tengah zikir ke apa? Masuklah, weh. Kita ada banyak kerja yang nak dibuat ini!” jerit Diana dari dalam rumah.

Aqira dan Momo memandang satu sama lain. Tanpa menghiraukan Aqira, Momo terus menonong masuk. Aqira tidak terkejut. Barangkali Momo memang rapat dengan arwah neneknya itu. Dia kemudian menanggalkan kedua-dua kasut lalu dinding rumah dipegangnya. Dia memandang ke dalam rumah sambil membaca bismillah.

Assalamualaina… Waalaaibadillahissholihin. Salam bagi diri kami dan salam bagi hamba yang soleh.” Aqira memberi salam lalu membaca sepotong doa.

Dia bukan alim sangat. Namun dia masih ingat pesanan ustaznya ketika di bangku sekolah menengah dahulu. Dia melangkah dengan penuh yakin dengan harapan tiada apa-apa yang menakutkan di dalam rumah itu. Takut pada Allah. Itu yang penting bukan takut pada makhluk.

Aqira melangkah masuk ke dalam biliknya. Besar. Terdapat dua buah katil yang rapat ke dinding. Satu katilnya. Satu katil Diana. Langsir kuning tingkap di dalam bilik itu kelihatan sudah pudar warnanya sementara jaring kecil yang menutupi lubang tingkap dipenuhi dengan sawang labah-labah. Tilam tempat dia mahu tidur nanti juga kelihatan kotor. Manakala cat pada besi kepala katil juga sudah mengelupas, mendedahkan besi yang sudah berkarat. Nampak sangat bilik ini sudah lama ditinggalkan.

Tiba-tiba bahunya dipegang dari belakang.

“Kau dah kenapa? Tercegat berdiri depan pintu? Menyesal?” tanya Diana.

“Eh, tak adalah. Aku cuma terkejut jugalah tengok kita punya bilik. Luar lawa. Tak sangka dalam dah macam rumah hantu,” jawab Aqira, jujur.

“Isy, syukurlah. Kalau kotor, kita bersihkan. Dari kau merempat bawah jambatan, ini dah kira okey apa,” jawab Diana. Nadanya kedengaran bersahaja, menunjukkan dia tidak merungut dengan keadaan biliknya itu.

“Yalah. Yalah.”

Aqira mengalah. Namun ada betulnya juga cakap Diana. Sekurangnya dia sudah ada tempat perlindungan untuk semester ini. Ini sepatutnya yang dia lebih fikirkan.

“Kau tak makan lagi kan, Aqira? Tak lapar?”

Tepat apa yang diteka oleh Diana, Aqira memang tak makan lagi. Namun tidak pula, dia teringin makan sesuatu.

“Tak… Aku tak lapar…”

Perlahan-lahan kaki Aqira melangkah ke arah tingkap lalu langsir diselak. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Di hadapan matanya, terbentang sebuah hutan yang dia sendiri tidak tahu apa yang berada di dalamnya.

Persekitarannya gelap dan suram. Sepi. Sunyi. Sesekali akan kedengaran bunyi angin bertiup diikuti dengan lambaian dedaun seperti cuba menyapanya. Kelihatan macam ada sesuatu yang memerhatikannya.

Telefon pintar dicapai dari atas meja. Mujurlah isyarat Internet di kawasan rumah ini masih lagi berfungsi dengan baik. Dapat juga dia berbalas WhatsApp dengan rakan sekelasnya.

Sedang dia asyik melayan mesej di atas katil, tiba-tiba muncul sesuatu dalam benak fikirannya.

Ada apa sebenarnya dengan hutan belakang rumah sewanya itu? Kenapa nampak lain macam aja? detik hati Aqira dengan pelbagai persoalan.

“Peliklah aku dengan kau ni. Dari tadi asyik termenung aja. Kau fikir apa sebenarnya, Aqira?” tanya Diana. Kelihatan dia tercegat berdiri di hadapan pintu bilik dengan hanya berkemban. Nasib Aqira baik bukan sejenis lesbian.

“Tak ada apa-apa…”

“Kalau tak ada apa-apa kenapa muka kau berkerut semacam? Jangan nak tipu akulah. Aku tahu kau tengah fikir sesuatu.”

“Sebenarnya aku rasa macam ada benda tak kenalah dengan rumah ni. Kau rasa?”

“Hahaha! Lawaklah kau ni, Aqira. Kau punya takut sama macam Momo. Suka fikir bukan-bukan. Padahal bukan ada apa-apa pun dengan rumah ini. Cuma kita sahaja fikir benda itu ada dan wujud.”

“Tapi…” Belum sempat Aqira membalas, Diana sudah memulas tombol pintu lalu terus menuju ke bilik air.

Aqira senyum pahit. Terkilan dengan sikap Diana. Padahal dia bukan main-main. Memang itu yang dirasakannya semenjak menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah ini. Bagai sesuatu yang buruk bakal berlaku. Lagipun dia pernah tidak silap dengan apa yang telah dirasa dan apa yang bermain dalam benak fikirannya sekarang. Sesuatu yang dirasakan hati tidak akan pernah menipu.

Akhirnya, dia mencapai sebuah buku yang disimpan di bawah katilnya. Penat andai difikirkan lagi pasal rumah ini. Lagipun silap dirinya juga. Bukan main cakap besar tadi. Tikus bagailah. Tinggal satu semester lagilah.

Helaian demi helaian diselak. Sebatang pen yang terselit di celahan jari telah bersedia untuk menulis.

Tok! Tok! Tok!

Berderau darah Aqira. Kedengaran seperti cermin tingkap diketuk seseorang. Lama dia terpaku di hadapan tulisan di dalam bukunya itu. Bingung. Apa harus dia membukanya atau tidak? Dia menutup bukunya. Dipandang sekeliling. Entah kenapa, dia merasakan bagai ada sepasang mata yang sedang memerhati tajam dirinya sekarang.

Tap! Tap! Tap!

Aqira tersentak, dia segera bangun. Tiba-tiba dadanya berombak kencang, berdebar tidak tentu hala. Semakin lama semakin dekat kedengaran di cuping telinganya. Seakan-akan bunyi tapak kaki manusia sedang berjalan di luar rumahnya. Mendadak dia bangkit dari atas katil. Matanya menoleh ke kanan dan ke kiri biliknya sendiri. Cuba mencari dari arah mana datangnya tapak kaki itu.

“Aku warning pada kau. Jangan nak ganggu kawan-kawan aku yang lain!” ujar Aqira lalu dia berjalan ke arah tingkap biliknya. Berhati-hati dia mengatur langkah.

Dum!

Momo masuk ke dalam biliknya dengan seraut wajah yang pucat. Aqira dan Momo saling berpandangan.

“Awak dengar tak apa yang saya dengar?” tanya Momo.

“Kau dengar ke?” Aqira tidak menjawab sebaliknya dia juga turut melontarkan persoalan. Bukan apa. Takut-takut ia sekadar mainan perasaan.

“Saya dengar macam bunyi orang berjalan luar rumah kita ni.” Momo melangkah laju ke arah Aqira. Tangan Aqira dicapai lalu digenggam erat. Tak sampai 24 jam tinggal di dalam rumah itu, bermacam perkara sudah berlaku. Dia benar-benar ketakutan. Biasalah perasaan seorang wanita. Tidaklah seberani seorang lelaki.

Aqira dan Momo nekad untuk melihat siapa pemilik bunyi tapak kaki misteri tadi. Perlahan-lahan pintu tingkap dibuka. Harap-haraplah bukan benda itu, doanya dalam hati. Aqira menggenggam erat kain langsir. Dengan sekali nafas dia menolak ke tepi langsir sehingga terselak luas.

Hanya kegelapan di luar jendelanya itu. Mungkin mainan perasaannya sahaja.

Tetapi setelah diperhati dengan lebih jelas, kelihatan seorang perempuan berjalan masuk seorang diri ke dalam hutan dalam keadaan samar-samar. Nampak macam bukan berjalan. Tetapi lebih kepada terapung. Mungkin terlalu laju.

“Assalamualaikum…”

Belum habis debaran di situ, kedengaran gema salam pula dari luar rumah. Aqira menelan liur. Alamak, pandai pula benda tu ucap salam bagai.

“Aduh, macam manalah aku boleh terlupa? Junior Diana rupa-rupanya kat luar rumah kita.” Momo menepuk dahinya sendiri.

What? Junior? Malam-malam macam ni?” Aqira terpinga-pinga.

Sebaik-baik saja membuka pintu, kelihatan seorang gadis ayu berkebaya ketat bewarna biru.

“Mana Diana?”

“Kak Diana ada. Dia tengah mandi. Adik baru sampai? Mana ayah dengan mak adik?”

Aqira seperti dapat membaca apa yang berada dalam fikiran juniornya itu.

Nampak macam baik budak Tiara ini. Pandai Diana pilih, gumam Aqira dalam hati. Itupun setelah dilihat wajah putih bersih milik Tiara.

“Kenapa panggil aku adik? Aku ni bukan adik kaulah. Muka pun macam tembok tak siap. Ada hati nak panggil aku adik,” jawab Tiara dengan senyum sinis.

Aqira terkedu. Sangkaannya meleset. Tangannya hampir-hampir mahu melekat pada pipi Tiara namun sempat dipegang oleh seseorang dari belakang. Aqira pantas berpaling. Terkejut dia apabila Diana muncul dengan tiba-tiba.

“Muncul pun kau, Diana. Maaflah tanya. Kawan kau ni, asal muka sekor-sekor macam nenek kebayan? Anak haram ke apa?” Makin melebar senyuman Tiara.

“Kau ini asal kurang ajar sangat, hah? Ingat kau tu, junior. Kami ni senior. Jaga sikit mulut longkang sial kau tu,” pesannya dengan nada kasar.

Tajam Aqira menatap mata Tiara sambil dia menolak bahu juniornya itu. Tolakannya perlahan sahaja, sekadar memberi teguran.

Namun, Tiara bukan macam junior yang lain. Dia tidak cepat mengalah. Pantas tangannya mencapai belakang kepala Aqira. Kepala Aqira ditarik rapat ke kepalanya.

Dahi bertemu dahi. Mata bertemu mata. Tiada sedikit pun perasaan takut terpancar pada wajah Tiara. Mata Aqira dipandangnya tajam. Momo dan Diana masing-masing tergamam.

“Haha! So, kalau kau senior, aku kena sujud kat kaki kau? Kena sembah kau macam Tuhan? Macam tu ke yang kau nak, celaka?”

Terbeliak biji mata Aqira! Tidak sangka sama sekali yang pelajar junior itu tergamak menentangnya. Kewibawaan sebagai pelajar yang lebih tua tercabar dengan sikap biadab si junior yang berlagak berani.

“Sudah. Masuk bilik kau Tiara!”

Pergelangan tangan Tiara direntap oleh Diana. Namun Tiara masih menatap tajam ke arah wajah Aqira. Dia masih belum puas memberi amaran.

“Mujur ada Diana. Kalau tak, sekor-sekor aku sumbat dalam longkang bagi ular tedung makan. Tak pun sumbat kau orang masuk dalam penjara,” kata Tiara.

“Aku ni anak Datuk. Aku boleh buat apa-apa saja yang aku suka termasuklah jadikan kau orang semua balaci aku. Faham?!” sambungnya lagi.

Tiara beredar lalu merempuh bahu Aqira. Makin menggelegak darah Aqira. Mujur ada Diana dan Momo. Budak baru tadi sudah melampau. Tidak hormat dengan orang yang lebih tua. Ikutkan hati mahu sahaja diajar dengan secukupnya.

Manusia biadap, getus hati Aqira. Batinnya bergelora menahan rasa amarah. Penumbuknya digenggam erat. Rasa panas pula mahu memukul sesuatu.

“Maaf, Aqira. Dia memang macam tu. Paranoid.”

“Paranoid? Maksudnya, kau bawa budak sakit mental masuk rumah kita, Diana?” Dahi Aqira berkerut. Patutlah perangai macam orang terencat akal. Rupa-rupanya gila.

Pantas Diana menggeleng.

“Eh, bukan gilalah. Kalau gila, aku pun tak nak kawan dengan dia. Apatah lagi nak ajak masuk rumah kita,” dalihnya menafikan tuduhan Aqira.

“Habis tu? Apa dia?” Aqira seperti tidak berpuas hati.

“Tak. Macam ni. Paranoid dia ni macam susah sikit nak percaya dengan semua orang. Terutama dengan orang baru. Rasa nak marah. Takut. Semua ada.”

“Aduh, susahlah kalau ada orang paranoid macam tu dalam rumah kita.” Aqira mengeluh.

“Tak apa. Kau jangan risau. Lama-lama nanti bila dah biasa dengan kau orang semua, hilanglah paranoid dia tu,” ujar Diana memberi jaminan.

Begitu senang Diana melepaskan budak itu. Nasib baiklah budak itu selamat di bawah seliaan rakannya. Kalau dengan dia jangan kata selamat, entah-entah dah lebam budak itu kena tumbuk dengan buku lalinya.

“Okeylah, aku maafkan budak tu. Lagipun aku memang anggap dia macam adik sendiri dah.” Aqira tersenyum nipis. Lebih baik dia mengalah saja. Malas nak panjangkan hal remeh-temeh. Banyak lagi benda lain nak fikir. Kemudian dia terus beredar menuju ke pintu bilik.

Tubuhnya penat. Dia perlukan rehat yang secukupnya. Biarlah semua benda yang berlegar dalam fikirannya melayang.

“Aqira …”

Tiba-tiba kedengaran suara halus memanggil-manggil nama Aqira. Suaranya sayu seperti merintih. Namun Aqira sedikit pun tidak berpaling ke arahnya. Suara itu merintih-rintih namanya namun Aqira seperti antara sedar dan tidak. Suasana sejuk menyebabkan dia menarik selimut sehingga ke paras dada. Tidur.

Hanya itu penawar segala derita.