Alahai Anak & Menantu

RM28.00

Penulis: Dhiyana

Caption: memang bikin mak mertua naik hantu!

ISBN: 978-967-406-261-3

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 28.00 RM 31.00

Pertemuan pertama antara Wafiy dan Ayra bermula ketika di Sabah, di salah sebuah universiti tempatan. Jurang umur yang berbeza empat tahun, ditolak ke tepi oleh Wafiy. Misi dia hanya satu, misi memikat Ayra, seorang pelajar Master.

Kenakalan dan juga kecomelan Wafiy membuatkan hati Ayra selalu diuji. Hati cuba menidakkan perasaan sendiri, tetapi selalu saja dia tewas tersungkur. Ketika hatinya dah mula menerima sahutan kasih dari Wafiy, panggilan telefon dari mak membuatkan dia tersepit. Mak dah berkenan pada Wafiy!

Kerana adat dan juga maruah keluarga, mereka berdua disatukan di dalam hubungan yang halal. Usia perkenalan yang masih mentah, memberi peluang untuk Ayra meletakkan syarat di dalam hubungan baru mereka berdua. Tetapi, syarat hanya tinggal syarat.

“ Nak tidur dah ke? ” – HILMAN WAFIY

“ Tak kan nak main pula malam-malam ni? ” – NURUL IMAN KHAYRA

“ Main? Nak main apa malam-malam ni? – HILMAN WAFIY

“ Tak payah nak bermimpi! ” – NURUL IMAN KHAYRA

                Disaat mereka berdua mula kenali erti bahagia, Ayra mendapat tahu yang dia bukan lah calon menantu pilihan mama Wafiy. Sedikit pun dia tak melatah. Ayra mula mengatur strategi untuk misi memikat hati mertua. Pelbagai perkara yang dia lakukan demi untuk menjayakan misi. Malah dia sanggup untuk belajar senaman Tai Chi. Kemunculan Juhaira, calon menantu pilihan mak mertua sedikit pun dia rasa tak tergugat. Malah, masih mampu berlagak tenang saat dia dikasari.

                Hubungan mesra matlamat yang satu, kadang kala semuanya akan jadi haru-biru. Alahai… anak dan menantu. Memang bikin mak mertua naik hantu!

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

“Hmmm…” Norehan menggumam apabila kedua-dua belah kaki melangkah masuk ke dalam apartmen yang bakal menjadi tempat tinggal Wafiy selama dua tahun setengah.

“Okey sangat dah ni! Fully furnished pula tu.” Herman mencelah. Anak mata melingas memandang sekeliling apartmen yang dicari Wafiy menerusi aplikasi Mudah.my. Nasib baik tak kena tipu.

“Dua bilik aje,” bidas Norehan dengan nada sinis.

“Okeylah tu. Fiy seorang aje yang tinggal pun. Nak buat apa sewa apartmen banyak bilik kalau tinggal sorang-sorang?” bidas Herman semula. Susah betul nak puaskan hati isteri kesayangannya ini.

“Kalau kita datang bercuti kat sini nak tidur mana? Bilik tak cukup.” Norehan masih lagi tak berpuas hati.

“Cukuplah tu. Bukannya Wirda ada pun. Yang ada… abang, Ann dan Hilal aje. Abang dan Ann boleh tidur sebilik. Hilal dan Fiy boleh tidur sebilik. Macam mana tak cukup bilik lagi?”

“Jue?” Anak mata Norehan melirik ke arah Jue yang asyik mengekori Wafiy sejak tadi.

“Tak habis-habis dengan Jue. Tinggal ajelah budak tu dengan kak long. Asyik nak mengekor aje ke mana Ann pergi. Rimas abang!” Perlahan saja nada suara Herman meluahkan rasa tak puas hati dengan sikap anak saudara isterinya itu. Bimbang pula jika didengari Jue.

“Biarlah! Bakal menantu kita juga tu.”

Herman mendengus kecil. “Bakal menantu Ann, bukan abang.” Tanpa membuang masa, dia beredar meninggalkan Norehan. Usah dilayan! Kan lagi panjang angan-angan isterinya itu. Macamlah Wafiy setuju dengan rancangan jodoh tu.

“Okey tak, papa?” Wafiy membawa diri menghampiri papanya.

“Okey dah ni! Siap fully furnished. Tak payah fikir apa-apa dah. Cuma Astro ajelah kena pasang sendiri,” komen Herman. Sungguh dia berpuas hati dengan apartmen yang dicari Wafiy.

“Astro tu kemudian pun tak apa. Yang penting dekat dengan kampus. Rental pun murah aje.”

“Soal rental tu tak payahlah Fiy fikir. Hal tu mama yang perlu fikir sebab mama yang beria-ia nak Fiy cari apartmen.” Herman menjeling ke arah Norehan yang sudah duduk di sofa untuk melepaskan penat.

Wafiy tergelak kecil. Mama awal-awal lagi dah pun meninggalkan pesan. Mama tak nak dia tinggal di kediaman yang disediakan oleh pihak universiti. Mama sanggup keluarkan duit untuk bayar sewa apartmen setiap bulan untuk dia.

“Fiy jangan sesekali sewakan bilik kedua tu kat student lain eh. Mama dapat tahu, siap Fiy!” Norehan memberi amaran pula.

And… no outside women allowed!” Anak mata mencerun tajam memandang raut wajah Wafiy.

“Jangan sesekali heret entah mana perempuan masuk ke rumah ni.” Tegas! Bab ini yang paling dia pantang. Ketiga-tiga anaknya didedahkan dengan ajaran agama secukupnya.

“Ya, ma! Fiy biar bilik tu kosong.” Wafiy akur. Tawa kecil masih lagi bersisa.

“Dah… Pergi berehat. Malam nanti kita keluar makan,” arah Herman. Kemudian tangan dipaut ke bahu Wafiy. “Fiy, ikut papa,” ajak Herman lalu menarik tubuh Wafiy.

“Nak ke mana pula tu?” Norehan menyoal apabila kedua-dua beranak itu mahu keluar dari apartmen.

Surprise! Surprise!” jawab Herman dengan perasaan teruja.

Hurmmm… Okey!” Norehan tahu dan faham jawapan suaminya itu. Sudah semestinya kejutan untuk Wafiy.

“Nak ikut!” Hilal berlari-lari anak mengekori papa dan abangnya. IPad diserahkan kepada mamanya sebelum dia keluar dari apartmen.

“Kita nak pergi mana, pa?” Wafiy tertanya-tanya ketika mereka berdua menuruni tangga untuk ke tingkat bawah.

“Tak ke mana pun. Turun bawah aje. Sebab surprise tu tak boleh bawa naik ke apartmen.” Sempat lagi Herman berseloroh, kenakan Wafiy.

“Papa ni… buat Fiy saspenslah!”

Herman ketawa. Dibiarkan anak keduanya itu tertanya-tanya.

Apabila sudah berada di tingkat bawah, Herman menghampiri seorang lelaki yang sedang berdiri di sisi sebuah kereta. Mereka berdua saling berbalas senyuman dan bersalaman. Sebuah fail plastik lut sinar bertukar tangan. Herman meneliti beberapa dokumen yang terselit di dalam fail tersebut.

Sebelum lelaki itu beredar, mereka saling bersalaman sekali lagi. Wafiy dan Hilal turut menghulurkan salam kepada lelaki itu. Mereka bertiga menghantar pemergian lelaki itu dengan pandangan mata.

“Siapa tu, pa?”

Herman berkalih dan memandang Wafiy. “Anak kawan papa. Dia kerja kat sini.”

Wafiy sekadar mengangguk. Kemudian anak mata jatuh pada Hilal di sebelah. Idea mengusik bermain di dalam kepala. Sengaja dia menarik cuping telinga Hilal.

“Angah!” Hilal menepis tangan Wafiy. Tak adalah sakit sangat. Cuma geram apabila selalu menjadi mangsa usikan.

“Apa tu, pa?”

“Geran kereta,” jawab Herman selamba. Kemudian kunci kereta dihulurkan kepada Wafiy.

Wafiy terpempan! Anak mata terbuntang luas apabila terpandang kereta mini berwarna hitam berkilat. Malah mulut turut melopong.

“Mini Cooper?!” Wafiy sudah teruja.

“In your dream.” Herman ketawa sinis. Dia menghampiri Wafiy dan kepala Wafiy ditoleh ke arah sebuah kereta berwarna biru yang terparkir di sebelah kereta mewah Mini Cooper.

“Swift?”

“Okeylah tu daripada tak ada. Swift pun kereta juga, memudahkan Fiy nak pergi ke mana-mana selain ke kelas.” Aihhh… Sama aje perangai Wafiy dengan si mama. Kalau diberi Mini Cooper, memang melampaulah. Dia pun hanya memandu Hilux. Lawan tokeh sungguh!

“Okey.” Wafiy terpaksa mengalah. Kunci kereta diambil dan dia merapati kereta Suzuki Swift yang bakal digunakannya selama berada di Sabah.

Pintu kereta dibuka dan dia menjengah untuk melihat hiasan dalaman kereta tersebut. Masih dalam keadaan elok. Bolehlah! Daripada tak ada langsung.

“Macam mana? Okey?” Herman menghampiri Wafiy dan turut menjengah ke dalam perut kereta.

“Wah!” Hilal menyampuk. Selamba saja dia membuka pintu tempat duduk belakang dan meloloskan diri ke dalam perut kereta.

“Okey! Just nice. Monthly macam mana? Potong elaun Fiy ke?”

Herman ketawa dengan pertanyaan itu. “Nak potong pun boleh. Tak nak potong pun boleh.”

“Kalau tak nak potong?” Sengaja Wafiy menduga. Kalau tak potong elaun lagi bagus. Lega sikit dia.

“Kalau tak nak potong elaun senang aje. Ikut syarat mama.”

“Pa!” Wafiy merenung tajam wajah papanya. Ikut syarat mama? Memang taklah! Dia sebolehnya nak membantah adalah. “Tak naklah!”

“Jue okey apa? Cantik pun cantik. Bijak pun bijak.” Herman galak mempromosi Jue. Saja mahu mengusik Wafiy. Sejujurnya dia pun kurang menyenangi rancangan isterinya itu.

Wafiy menggeleng laju. Mama tak habis-habis nak jadi match maker. Disebabkan inilah dia mohon sambung belajar jauh dari rumah. Tak perlulah dia nak menghadap Jue setiap hari. Dan tak perlulah dia nak menadah telinga mendengar rancangan mama untuk dekatkan dia dengan Jue. Hakikatnya Jue bukanlah orang lain pun. Sepupu dia juga. Macam tak ada orang lain dah dalam dunia ni.

Malam itu mereka sekeluarga makan malam di Tanjung Aru sambil menikmati bayu pantai. Wafiy terpaksa menyabarkan hati apabila Jue tak sudah-sudah cuba merapatinya. Dan Hilal pula dipaksa menjadi perisai di antara mereka berdua. Sungguh dia rimas apabila Jue bagaikan gam ingin sentiasa melekat.

“Kekenyangan papa malam ni. Seafood memang tahap terbaik. Besar-besar semuanya. Puas makan!” Herman tersandar kekenyangan di kerusi. Makanan laut di Kota Kinabalu memang tak pernah mengecewakan.

“Kenyangnya!” Wafiy turut tersandar kekenyangan. Terasa seronok apabila menikmati makan malam sambil disapa bayu pantai. Sejuk dan tenang.

“Angah…” Hilal menagih perhatian daripada Wafiy.

Hmmm… Kenapa?” Wafiy memandang Hilal di sebelah.

“Nak makan ketam.”

Wafiy menegakkan tubuhnya semula. Dia faham apa yang dimahu oleh Hilal. Seekor ketam diambil dan tanpa banyak kata dia mula mengorek isi ketam tersebut lalu disuap ke mulut adik bongsu.

Herman dan Norehan senang dengan perhatian yang diberikan oleh Wafiy kepada Hilal. Ketika Hilal lahir, Wafiy tak berapa menyukainya. Malah ada saja akal Wafiy untuk buat si adik menangis. Namun perkara tersebut tak berlarutan lama. Perangai Wafiy mula berubah dan mula menyenangi kehadiran Hilal dalam keluarga.

Wafiy terasa jari-jemarinya melekit dengan air rebusan ketam. Dia bangun untuk membasuh tangan. Apabila hanya tinggal selangkah saja dari singki, dia dikejutkan dengan kedatangan seorang gadis yang turut ingin membasuh tangan. Wafiy mengalah dan memberi peluang kepada gadis itu terlebih dahulu.

“Terima kasih.”

Sesaat Wafiy dan gadis itu saling berpandangan. Spontan senyuman terukir walaupun hanya di hujung bibir. Anak mata Wafiy masih lagi menyoroti kelibat gadis itu sehinggalah tubuh itu kian jauh melangkah pergi. Gadis itu kembali menyertai rakan-rakannya.

“Cun juga orang sini eh.” Wafiy tersengih-sengih sendiri. “Lagi cun dari Jue.” Spontan dia tertawa kecil.

“Ehem… Ehem…” Satu suara berdehem dari tepi.

Sepantas kilat Wafiy berkalih. Dia terpanar seketika. Tangan yang sudah bersih masih lagi di bawah paip air. Anak mata tertunak pada seraut wajah yang tercegat berdiri tak jauh darinya.

“Ehem… Ehem…” Sekali lagi suara itu berdehem. Kali ini sedikit kuat.

“Sakit tekak?” usik Wafiy.

Figura itu mencerun dengan renungan tajam. Wafiy tersengih-sengih. Pili air dibiarkan terbuka tanpa ditutup. Pasti figura ini mahu membasuh tangan.

“Usik sikit aje.” Wafiy tersengih-sengih. Dia melangkah menjauhi singki, memberi ruang untuk figura itu.

Sebelum melangkah pergi, Wafiy sekali lagi memandang figura itu. Dia langsung tak menyangka, pandangannya itu akan dibalas oleh figura itu. Mereka berdua saling berpandangan. Wafiy mengukir senyuman lebar. Tetapi figura itu langsung tak membalas senyumannya. Malah jelingan tajam yang diterimanya pula.

“Jelingan tu tajam… menusuk ke dalam hati.” Dia tersenyum lagi. Aihhh… Mungkin jodoh dia ada di sini kut. Kuasa magnet semakin terasa kuat.

Anak mata kerling sekilas ke jam tangan G-Shock yang terlilit kemas di tangan. Sudah pukul lapan tiga puluh minit pagi. Anak mata berkalih pula pada langsir yang terikat kemas. Cahaya matahari sudah pun menampakkan sinar seawal pukul enam setengah pagi lagi.

Usai bersarapan, kunci kereta dan juga telefon bimbit di atas meja makan dicapai. Beg galas yang berada di atas sofa segera diambil dan disandang ke bahu. Hari ini adalah hari pertama kuliah. Dia tak nak terlewat.

Setelah memastikan suis elektrik dimatikan barulah dia keluar dari rumah. Apabila daun pintu dibuka dari dalam, dia tergamam seketika. Awal-awal pagi dia disajikan dengan pemandangan indah di hadapan mata. Diamati raut wajah yang berdiri di hadapan muka pintu utama apartmen di hadapannya itu. Eh? Eh? Bukan ke… Peristiwa dua hari lepas bertandang di dalam kepala. Tanjung Aru… Basuh tangan… Singki…

“Sekejaplah, Ayra.”

Muncul pula raut wajah lain di sebelah figura yang sedang memperbetulkan beg galas yang disangkut di bahu kanan. Kelibat Wafiy yang terpacak langsung tak diendahkan. Wafiy mengalihkan pandangan ke raut wajah lain.

“Hai. Selamat pagi,” sapa Wafiy, mesra.

“Hai. Selamat pagi,” sapa figura kedua itu. “Baru pindah masuk, kan?”

Wafiy mengangguk. “Haah!”

“Menyewa berapa orang serumah?” soal dia lagi.

Wafiy tersengih-sengih. “Seorang aje.”

“Seorang aje? Kerja kat sini ke?”

Kali ini Wafiy tersengih-sengih pula. “Student.”

Student? Wow! Not bad!”

Wafiy tersengih-sengih lagi. Kepala yang tak gatal digaru. Kemudian dia memperkenalkan diri pula. “Saya, Wafiy.”

“Emma,” sahut si dia yang sejak tadi melayani perbualan Wafiy. “Ini, Ayra.” Anak mata Emma melirik ke arah Ayra yang masih lagi berwajah ketat. Awal-awal pagi dah masam mencuka. Aih!

“Saya rasa macam pernah tengok awaklah.” Berkerut wajah Emma, merenung Wafiy yang sudah menapak keluar dari rumah.

“Ingat lagi tak dua hari lepas di Tanjung Aru? Kita terserempak masa nak basuh tangan di singki,” ujar Wafiy tentang detik pertemuan mereka buat kali pertama. Di situlah dia bertemu dengan Emma. Kemudian barulah dia bertemu dengan Ayra pula.

“Haahlah! Patutlah rasa macam memori tu fresh lagi. Rupa-rupanya kita baru aje jumpa. Tak sangka kan… kita berjiran pula.”

“Itulah. Kuat medan magnet ni,” seloroh Wafiy lalu tertawa selamba. Dan tawanya itu disahut Emma. Tapi, tak disambut Ayra.

“Jom!” ajak Ayra lalu mengambil topi keledar yang diletakkan di tepi pintu. Apabila dia ingin menuruni tangga, dia memandang Wafiy sekilas. Tanpa garisan senyuman, dia berlalu dari situ.

“Awak student mana?” soal Emma ketika menuruni tangga bersama-sama Wafiy.

“UMS.”

“Samalah! Awak… diploma, degree, master, PhD?” soal Emma lagi, mesra.

Degree International Bussiness,” jawab Wafiy.

Not bad!”

“Biasa-biasa ajelah.”

Apabila mereka berdua sudah tiba di tingkat bawah, Emma dan Wafiy saling berpandangan dan tersenyum. Wafiy melemparkan pandangan ke arah Ayra yang sedang berjalan menuju ke kawasan parkir motosikal tak jauh dari situ.

“Awak pergi kuliah naik apa? Kereta?” teka Emma apabila terlihat reaksi Wafiy yang kelihatan santai saja.

Wafiy tersenyum meleret, mengiakan tekaan Emma.

“Anak manja mama…” perli Emma berserta senyuman nakal.

Yes! I am,” sahut Wafiy. Malah kenyitan mata nakal turut beraksi.

Emma tertawa dengan reaksi Wafiy. “See you later, Wafiy. Bye.” Emma terpaksa mengundur diri apabila terlihat kelibat Ayra yang sudah pun menanti di atas skuter.

Bye,” balas Wafiy. Tangan turut melambai-lambai ke arah Emma.

Aihhh…” Sebuah keluhan dilepaskan. “Sorang friendly. Sorang lagi muka ketat. Period kut.” Senyuman senget terbit di hujung bibir.

Hari pertama kuliah berjalan dengan lancar. Dan dia turut berkenalan dengan beberapa orang rakan sekelas. Antaranya ialah Zill, yang paling ramah dan bersikap selamba di dalam kelas. Dia selesa berkawan dengan Zill.

“Orang kata awek-awek Sabah ni comel-comel. Ada yang macam Cina, ada yang macam ala-ala Filipina pun ada.”

Wafiy tersenyum meleret dengan pujian Zill. Dia sudah dapat mengagak ayat selanjutnya daripada Zill. Fikirannya dan Zill memang boleh ngam!

“Kau nak try mengayat sorang ke?” duga Wafiy.

“Sorang macam tak cukup. Kena buat spare dua atau tiga orang baru meriah hidup,” jawab Zill berseloroh.

“Kasanova juga kau ni eh!” tempelak Wafiy.

“Kasanova apanya? Sorang pun tak melekat,” sahut Zill dan berpadu ketawa bersama-sama Wafiy.

“Budak sebilik aku ada cerita pasal sorang senior ni. Perempuan. Further master kalau tak silap aku. Dia cerita senior ni cantik. Lemah lembut. Senyuman dia… alahai, manis! Hati kau akan lebih cepat cair dari aiskrim. Tapi…” Zill mula membuka cerita.

Belum sempat Zill menyambung kata, Wafiy lebih pantas mencelah. “Eleh! Kau, Zill… Cerita gempak. Tiba-tiba ada tapi pula.” Geram pula dia apabila ada unsur-unsur saspens yang diselit oleh Zill. Tiba-tiba jantung rasa berdebar-debar.

“Senior ni kerek sikit. Susah sikit nak senyum, gelak bagai. Dengan orang yang dia kenal aje dia melayan,” sambung Zill.

Then… kau nak cuba?”

Hmmm…” Zill menggumam panjang. “Tengoklah dulu macam mana. Kalau cun kena pada taste aku, go on ajelah. Nak juga merasa ada awek senior.” Zill mengenyit mata nakal.

Puihhh!” ejek Wafiy. “Nak show off!” tempelak Wafiy yang sudah faham benar maksud Zill.

Perghhh… Ayat budak WeChat! Kau layan WeChat eh? Kau mesti selalu Look Around ni.” Ada saja idea Zill nak kenakan Wafiy. Ada geng satu kepala begini memang senang. Berlawak kasar pun tak ada yang terasa hati.

“Buang masa aje semua tu.” Wafiy cuba berdalih dan menyembunyikan riak muka daripada dikesan oleh Zill.

“Kau mesti pernah layan WeChat ni. Pernah, kan?” teka Zill lagi. Tekaan dia tak pernah salah. Dia tahu Wafiy pernah guna aplikasi WeChat.

“Dulu aje, okey! Aku dah uninstalled pun. Buang masa aje semua tu.” Wafiy terpaksa juga mengaku apabila rimas didesak oleh Zill.

Zill tersenyum meleret. Kan dah kata! “Tak payah layan semua tu. Buang masa aje. Sekarang ni download application lain pula. Yang ni lagi best!”

Application apa?” Wafiy memandang wajah Zill dengan penuh tanda tanya. Teringin juga nak download aplikasi yang dikatakan oleh Zill itu.

“SimSimi!”

“Itu lagi buang masa!” Wafiy mendengus kecil.

Zill ketawa terbahak-bahak kerana dapat kenakan Wafiy sekali lagi. Raut wajah Wafiy yang sedikit bengang diendahkan saja. Lama-kelamaan Wafiy turut tertawa bersama-sama Zill.

SimSimi? Hilal layan aje application tu. Dia tahu pun sebab berlambak game di dalam iPad yang dibeli papa untuk Hilal. SimSimi turut terselit di dalam iPad Hilal.

“Ayra…” panggil Emma. Kemudian dia berpaling dan memandang Ayra yang sudah pun bersiap untuk ke tempat kerja.

Rakan serumahnya ini tak pernah kenal erti penat. Malah mengeluh letih jauh sekali. Siang berkejaran di kampus dengan kuliah dan tugasan. Lewat petang, Ayra bekerja sebagai pekerja part-time di sebuah kafe. Apabila waktu malam pula, pulang saja dari kerja, Ayra akan study dalam tempoh dua jam. Begitulah rutin harian Ayra setiap hari.

“Kenapa?” Ayra berpandangan dengan Emma seketika.

“Jiran depan rumah kita ni comel juga eh.” Emma tersengih-sengih. Terbayang raut wajah Wafiy yang comel itu. Alahai… Macam budak-budak sekolah aje.

“Kau ni… tak habis-habis.” Ayra malas mahu melayan. Bukan dia belek sangat wajah jiran depan rumah ni. Hanya pandang sekilas lalu. Macam mana dia nak memberi komen comel atau tak?

“Serius weh! He is too cute. Macam budak-budak. Bibir dia merah. Macam pakai lipstik,” puji Emma lagi.

Ayra sudah menjuling kedua-dua belah mata ke atas. Emma kalau bab memuji memang juara. Kalaulah pujian ni boleh didengari Wafiy, mahu kembang semangkuk Wafiy dibuatnya.

“Entah-entah dia memang pakai lipstik. Entah-entah dia tu…” Ayra senyap. Sengaja dibiarkan kata-katanya tergantung, berharap Emma faham ayat yang seterusnya.

Hoit! Mustahillah!” tempelak Emma.

Ayra sudah ketawa dengan riak wajah Emma yang terkejut dan bercampur bengang. Kemudian dia duduk di sebelah Emma di atas sofa.

“Mustahillah!” tekan Emma.

Ayra masih lagi dengan tawa. Namun kian reda. Ingatan cuba diperah untuk mengingati gerangan Wafiy yang kini berjiran di depan rumahnya. Tak adalah macho mana pun. Cute tu… ya! Ciri-ciri maskulin… Tough, tall and good looking? Memang non hado!

“Emma…” panggil Ayra pula.

“Apa?”

Ayra mendekatkan dirinya pada Emma. “Muka cute macam tulah selalunya menjadi mangsa geng kunyit,” bisik Ayra.

Astaghfirullahalazim!” Emma mengucap panjang.

Ayra tersenyum meleret. Nakal. Seronok sungguh dia dapat kenakan Emma. Jiran yang baru berpindah tu juga yang dipuji Emma. Tahulah Emma ni mesra rakyat orangnya. Sakan memuji jiran baru hingga langit ke tujuh. Aihhh!

“Kau kutuklah dia. Mana tahu suatu hari nanti tiba-tiba dia jadi suami kau. Baru padan muka kau! Mengunyitlah kau setiap hari.”

“Allahuakbar! Kau, Emma! Tak bercucu mak aku nanti.”

Serentak mereka berdua ketawa besar dengan jenaka masing-masing. Ayra senang apabila berkawan dengan Emma. Sejak menuntut ijazah sehinggalah sekarang, mereka berdua sama-sama menanti segulung master pula di dalam genggaman.

“Budak degree ke?” soal Ayra apabila tawa sudah reda.

“Haah! International bussines.” Emma mengiakan.

“Kau berkenan kat dia ke?” teka Ayra. Dipandangnya reaksi Emma di hujung ekor mata.

Emma mencebik bibir. “Too cute to handle.”

Sekali lagi meledak tawa Ayra dengan jawapan Emma. Dia sangkakan Emma berminat. Sebentar tadi sakan memuji. Sekarang, menolak pula.

“Kau nak ke? Kalau kau nak, aku boleh tolong.” Emma memulangkan pertanyaan kepada Ayra. Malah bantuan turut ingin dihulurkan. Rakan serumahnya ini belum pernah lagi jatuh cinta. Dia teringin sekali nak lihat Ayra merasai penangan cinta. Terangau-angau!

Laju Ayra menggeleng kepala. Dia turut tertawa. Faisal pun dia tolak, inikan pula jiran depan rumah. Budak degree yang muda bertahun-tahun dari dia. Alahai… Stok ikan bilis!

“Kenapa kau gelak?”

Ayra ketawa lagi. Dia bangun dari sofa. Beg dicapai lalu digalas ke belakang tubuh. Tawa kembali reda.

“Aku nak pergi kerja dulu.”

“Dan-dan nak lari,” tempelak Emma.

Ayra tersenyum meleret. Kasut kerja disarung ke kaki. Topi keledar dicapai dan dikelek ke pinggang. “Emma…” panggil Ayra buat kali terakhir sebelum dia keluar.

“Apa?” Emma menjeling.

“Budak jiran tu stok ikan bilis aje,” ujar Ayra kemudian kembali ketawa. Tanpa menunggu balasan daripada Emma, daun pintu utama kembali ditutup.

Sebaik saja dia mengangkat wajah, dia terkejut dengan kehadiran Wafiy yang terpacak di hadapannya dengan wajah tergamam. Serta-merta senyuman dan juga tawanya mati. Bulat mata Wafiy memandang dia. Setiap kali dia bertemu dengan Wafiy, pasti lelaki ini akan bereaksi sebegini. Entah apalah masalah si Wafiy?

Dia melarikan anak mata daripada berpandangan dengan Wafiy. Langkah kaki turut diatur menuruni tangga. Dia langsung tak pandang Wafiy semula. Pelik dengan reaksi Wafiy setiap kali mereka berdua berjumpa. Tiga kali dah kut!

Jam sudah menunjukkan pukul sembilan dua puluh minit malam. Berbaki lagi empat puluh minit dia akan tamat waktu kerja. Ayra singgah dari meja ke meja untuk membersih dan mengelap meja. Para pelanggan masih lagi berkunjung ke kafe tetapi tak serancak awal-awal tadi.

Sedang dia sibuk dengan aktiviti membersih dan menyusun semula kerusi, anak mata tertangkap pada sesusuk tubuh yang sedang berjalan di luar kafe. Dia dapat melihat dengan jelas sesusuk tubuh itu melalui kaca lut sinar yang memisahkan bahagian dalam kafe dan kaki lima luar kafe. Mata dia tak salah daripada mengenali raut wajah itu walaupun hanya baru tiga kali mereka bersua muka. Wafiy!

Ayra kembali menyambung tugas. Sesekali dia melihat kelibat Wafiy sehingga tubuh itu melangkah masuk ke dalam kafe. Diperhatinya Wafiy yang sedang beratur di kaunter dengan hujung mata. Ternyata kelibat dia di situ masih lagi tak disedari Wafiy. Lega sikit!

Dia meneruskan semula aktiviti mengemas dan membersih sebelum tamat waktu kerja. Ketika dia membersihkan meja di sebelah dinding kaca lut sinar, anak mata sekali lagi terpandang kelibat Wafiy yang sudah pun berada di kaki lima luar kafe. Wafiy sudah pun melangkah pergi.

Namun belum sempat dia menghela nafas lega, tiba-tiba kelibat Wafiy kembali kelihatan. Selamba saja Wafiy berundur dan berhenti di luar kafe. Apabila Wafiy berpaling saja, mereka berdua saling bertentang mata. Wafiy tercegat berdiri di luar kafe dengan senyuman manis di bibir. Ayra langsung tak membalas senyuman Wafiy. Jelingan pula dibalas. Tanpa menghiraukan Wafiy, dia kembali meneruskan tugas.

Lima belas minit kemudian, Ayra memandang ke arah kaca lut sinar tu semula. Kelibat Wafiy tidak lagi kelihatan. Barangkali Wafiy sudah pulang. Dia dan rakan sekerja yang lain sudah pun siap sedia untuk pulang dan menutup kafe. Apabila dia menapak keluar dari kafe, dia terkejut apabila Wafiy menjengulkan diri.

“Hai,” sapa Wafiy cuba beramah mesra.

“Hai.” Nak tak nak, terpaksa jugalah Ayra menyahut sapaan Wafiy.

“Dah lama awak buat part-time kat kafe ni?” soal Wafiy cuba menghilangkan rasa kekok dengan jiran depan rumahnya itu.

“Kenapa?” soal Ayra tanpa memandang Wafiy.

Wafiy menapak menghampiri Ayra. “Saya nak buat complain,” bisik Wafiy perlahan hampir di telinga Ayra.

Ayra terkejut! Cepat-cepat dia menjauhi Wafiy. Stok ikan bilis ni… memang nak kena karate agaknya. Suka hati main bisik-bisik pula.

Ayra merenung tajam wajah Wafiy. Dipandangnya Wafiy dari atas hingga ke bawah. Cute pula si Wafiy ni dengan gaya topi Bruno Mars di kepala dan kemeja bercorak kotak. Astagha! Jaga mata, Ayra.

“Nak complain apa?” soal Ayra yang kembali merenung wajah comel Wafiy.

Mocha yang saya beli pahit sangat. Manis susu langsung tak terasa,” ujar Wafiy.

“Jenny…” panggil Ayra lalu berkalih mencari penyelia kafe.

“Kenapa Ayra? This man is bothering you?” Jenny menghampiri Ayra. Dia turut menjeling tajam ke arah Wafiy.

“Dia complain mocha yang dia beli tak rasa manis. Pahit,” ujar Ayra.

“Nah! Cuba rasa.” Wafiy menghulurkan cawan yang berisi air mocha panas yang dibelinya sebentar tadi.

Ayra menyambut huluran Wafiy. Ketika dia ingin mengambil cawan itu dari pegangan Wafiy, tak semena-mena jari-jemari mereka saling bersentuhan. Spontan tangan tiba-tiba menggigil apabila dia hulurkan cawan itu kepada Jenny. Apa hal pula ni? Takkanlah Parkinson tiba-tiba pula?

Jenny membuka penutup cawan dan meneguk sedikit air mocha panas tersebut. Berkerut wajah apabila air tersebut menuruni tekak. Yukkk! Pahit!

“Resit…” Wafiy turut menghulurkan resit pembelian kepada Jenny.

“Esok you datang semula ke kafe. I akan ganti semula yang baru untuk you. On behalf from my staffs and cafe, I am so sorry.”

It is okay.” Wafiy tersenyum kecil. Ada peluang untuk dia bertandang ke kafe lagi. “Thank you, Jenny.” Senyuman Wafiy kian melebar. Senyuman mesra.

Bibir Jenny seakan-akan bergerak kecil. Anak mata turut memandang Wafiy dan Ayra silih berganti. Wafiy seakan-akan memahami apa yang bermain di dalam kepala Jenny.

“Wafiy!” Wafiy memperkenalkan dirinya kepada Jenny. Salam perkenalan turut dihulurkan.

Jenny menyambut salam perkenalan itu dengan senang hati. “You kenal Ayra?”

I am her new neighbour,” balas Wafiy yang masih tak lekang dengan senyuman.

Neighbour? So… you datang nak jemput Ayra balik?” teka Jenny, sengaja mahu mengusik Ayra. Dipandangnya reaksi Ayra. Rakan sekerjanya itu berlagak selamba saja.

“Kalau dia sudi,” sahut Wafiy berani.

Jenny ketawa. Kali pertama seorang lelaki datang menjemput Ayra pulang dari kerja. Berbulan-bulan lamanya dia mengenali Ayra, belum ada lagi mana-mana lelaki datang ke kafe dan mengaku mengenali Ayra. Wafiy… seorang lelaki yang berani.

Topi keledar disarung ke kepala. “Jenny… I balik dulu. Jumpa esok.” Ayra beredar menghampiri skuter yang terparkir di hadapan kafe. Dia mahu segera beredar dari situ.

“Sekejap! Tunggu saya.” Wafiy turut mengorak langkah menghampiri kereta yang diparkir di hadapan kafe. Cepat-cepat dia meloloskan tubuh ke dalam perut kereta dan menghidupkan enjin.

Bye, Ayra.” Jenny melambai-lambai kepada Ayra sebelum skuter yang ditunggang Ayra laju beredar dari situ.

Bye, Jenny! See you tomorrow,” sapa Wafiy dengan nada sedikit kuat. Tangannya turut dikeluarkan dari tingkap kereta dan melambai-lambai ke arah Jenny. Kereta dipandu beredar dari situ, mengekori Ayra dari belakang. Lagak gayanya seperti sudah mengenali Jenny bertahun-tahun lamanya. Mesra!

Jenny ketawa kecil dengan keletah Wafiy yang sangat ramah dan mesra itu. Berbeza dengan perangai Ayra. Ayra awal-awal aje kurang mesra dan ramah. Apabila sudah saling mengenali, kemesraannya kian terserlah. Malah ada saja kenakalannya yang mencuit hati dan membuatkan mereka ketawa.

Wafiy pulang dari kuliah apabila jam melewati pukul tiga petang. Kereta diparkir di bawah teduhan bumbung. Apabila enjin kereta dimatikan, dia keluar dari perut kereta. Anak mata terpandang skuter yang selalu ditunggang Ayra dan juga Emma terparkir di tempat parkir motosikal.

“Tak ada kelas ke diorang berdua ni?” soal Wafiy perlahan.

Kaki baru saja menapak dua langkah, tiba-tiba sebuah idea gila muncul dalam fikiran. Teringat semula peristiwa semalam di kafe.

“Hari ni dia kerja, kan?” Senyuman nakal terbit di hujung bibir. Kepala turut terangguk-angguk.

Langkah kaki dilencong ke arah tempat parkir motosikal. Sesekali Wafiy mengintai pondok pengawal keselamatan yang tak jauh dari situ. Pengawal keselamatan hanya terperap di dalam pondok pengawal saja. Apabila tiba di tepi skuter yang mungkin milik Ayra atau Emma, dia merendahkan tubuh dan bercangkung di sebelah skuter tersebut.

Bismillahirrahmanirrahim.” Anak mata dilarikan ke arah pondok pengawal keselamatan. Tangan pula ligat menjalankan tugas.

Wafiy tersenyum nakal. “Sorry tau. Tak pasal-pasal kau jadi mangsa. Cik Ayra tu jual mahal sangat. Jelingan mata dia tu tajam menusuk ke dalam hati. So, salahkan Cik Ayra tu eh.”

Pondok pengawal keselamatan sekali lagi diperhatikan. Entah apalah pengawal keselamatan sedang buat sehingga langsung tak menapak keluar dan meronda kawasan kediaman. Wafiy cepat-cepat membuka langkah untuk beredar dari situ. Ditoleh ke belakang untuk melihat skuter kepunyaan Ayra dan Emma. Spontan dia tertawa kecil.

Sambil mendaki anak tangga menuju ke tingkat dua, Wafiy menggumam lagu Cheerleader dengan gembira. Apabila tiba di tingkat dua, pintu rumah Ayra dan Emma sedikit regang. Pintu grille masih lagi bertutup rapat. Dia kembali menggumam lagu dengan selamba.

“Wafiy…”

Sepantas kilat Wafiy berkalih. Dia tersenyum saja apabila berpandangan dengan Emma yang terpacak di muka pintu.

Korang tak ada kelas ke?” soal Wafiy.

“Tak ada hari ni. Kelas student master tak adalah pack sangat,” jawab Emma. Pintu grille dibuka dari dalam. Tangan kiri sedang menatang sebuah mangkuk berisi bihun sup.

“Untunglah.” Tahulah dia yang dua orang jiran di depan rumah ini pelajar master.

“Untung apanya? Bagai nak pecah kepala adalah. Proposal satu hal. Tesis lagi,” bidas Emma. Dipandangnya Wafiy yang sentiasa kelihatan santai dan murah dengan senyuman.

“Apa tu?” Bibir Wafiy yang merah itu terjuih ke arah mangkuk yang dipegang oleh Emma sejak tadi.

“Oh! Ni…” Emma menghulurkan mangkuk tersebut kepada Wafiy. “Bihun sup. Ayra masak. So, tak salah rasanya kalau share dengan jiran.”

“Itu lebih digalakkan lagi!” sahut Wafiy gembira. Langkah kanan dia! Rezeki datang bergolek. Alhamdulillah.

“Macam tahu-tahu aje perut ni belum berisi lagi,” seloroh Wafiy. Huluran Emma disambut dengan rasa syukur dalam hati. Jimat duit makan tengah hari!

“Takkanlah tak makan langsung lunch tadi?”

Wafiy menggeleng. “Break sejam lepas tu masuk kelas semula. Malas pula nak pergi lunch. Bila dah habis kelas, fikir nak balik rumah aje. So, plan nak call delivery aje sekejap lagi.”

“Tak payah call delivery. Makan aje bihun sup tu. Kalau nak tambah lagi, ketuk aje pintu. Jangan malu-malulah dengan kitorang.”

Wafiy tersengih-sengih. “Bukan malu, tapi segan.”

Emma ketawa kecil. “Tak payah nak segan-seganlah. Hidup berjiran ni kena saling menolong.”

Wafiy terangguk-angguk. Tiba-tiba terasa muka tebal berinci-inci. Emma dan Ayra hulurkan makanan pada saat dia sedang kelaparan. Tetapi awal-awal tadi dia cuba kenakan Ayra pula. Kalau dia mengaku, Emma dan Ayra akan marah tak?

“Emma…”

Hmmm… Kenapa?” Terjongket kening Emma dengan panggilan Wafiy itu.

“Sini sekejap,” panggil Wafiy menjauhi dari muka pintu rumah Emma dan Ayra.

Emma menurut dan menghampiri Wafiy. “Kenapa?” Dia tertanya-tanya dengan kelakuan Wafiy.

“Terasa bersalahlah pula.”

“Kenapa?” Emma masih lagi menyoal dengan pertanyaan yang sama.

“Sebelum naik tadi, saya…” Wafiy membisikkan sesuatu ke telinga Emma.

Terbuntang kedua-dua belah mata Emma dengan pengakuan Wafiy. Kemudian dia tertawa kecil. “Nakal juga awak ni eh?”

Wafiy tersengih-sengih. Kepala yang tak gatal digaru-garu. Sungguh dia rasa serba salah.

“Ayra keluar pergi kerja pukul lima nanti. Awak tunggu kat bawah siap-siap. Nanti pandai-pandailah awak mengayat nak tumpangkan dia ke tempat kerja.” Emma pula memberi idea.

Plan asal memang macam tu pun.”

“Awak memang sangat nakal, Wafiy. Geliga otak tu!” Emma langsung tak menyangka, Wafiy berani sungguh membuat rancangan gila sebegitu. Tapi mahu ke Ayra menumpang Wafiy petang nanti? Silap-silap Ayra ambil cuti.

“Awak suka Ayra eh?” teka Emma dengan wajah nakal.

Wafiy tersenyum meleret saja. “Hidup berjiran ni kena saling mengenali. Tak baik menyombong. Jiran ni umpama keluarga kita.” Sengaja Wafiy berkias.

“Yalah tu!”

Wafiy tersengih-sengih lagi. “By the way… terima kasih untuk bihun sup. Nanti saya pulangkan semula mangkuk ni.”

“Okey!” Emma mengangguk saja. Dia kembali menapak masuk ke dalam rumah. Senyuman meleret masih tak lekang dari bibir. Aihhh… Masaklah Wafiy dek Ayra. Bukan senang nak cairkan hati Cik Nurul Iman Khayra.

Sepuluh minit sebelum pukul lima petang, Wafiy sudah pun berada di dalam kereta menanti kehadiran Ayra. Anak mata asyik memandang tempat parkir motosikal dan jam tangan silih berganti. Dia cuba tenangkan diri dan sabarkan hati.

Tak lama selepas itu, terlihat kelibat Ayra menghampiri tempat parkir motosikal. Diperhatinya gelagat Ayra dari dalam kereta. Ayra sudah pun menyarung topi keledar di atas kepala. Belum sempat skuter ditolak keluar dari tempat parkir berbumbung, Ayra sudah pun mencangkung sambil membelek tayar. Wafiy tersenyum lebar.

Gelagat Ayra diperhati lagi. Ayra kembali bangun dan telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar. Ayra sedang berbual dengan seseorang dalam talian. Beberapa ketika kemudian, seorang lelaki menghampiri Ayra. Mereka berdua berbual mesra. Lelaki tersebut turut tunduk membelek tayar skuter.

Wafiy mula rasa tak senang dengan gelagat dua manusia di kawasan parkir motosikal. Hancur rancangannya nanti. Cepat-cepat dia keluar dari perut kereta dan mengorak langkah menghampiri tempat parkir motosikal.

“Awak…” sapa Wafiy.

Ayra berkalih dan memandang Wafiy. Kenapalah aku perlu berjumpa dengan si ikan bilis ni lagi?

“Kenapa? Ada apa-apa masalah ke?” soal Wafiy, pura-pura.

“Tayar skuter Ayra pancit.” Lelaki itu menjawab bagi pihak Ayra.

Wafiy berkalih dan berpandangan dengan lelaki itu. Tinggi… Tegap… dan macho! Stok jejaka pilihan gadis zaman sekarang. Stok macam dia selalunya stok reject. Pilihan terakhir bagi gadis-gadis zaman sekarang.

“Hai. Tristan.” Lelaki itu menghulurkan salam perkenalan. “Classmates Ayra.”

Wafiy menyambut salam perkenalan itu. Bibir teragak-agak mahu memperkenalkan diri. “Wafiy. Jiran Ayra.”

Dia hanya jiran Ayra berbanding Tristan yang satu kelas dengan Ayra. Betapa kerdilnya dia apabila dibandingkan dengan Tristan.

“Jom I hantar you pergi kerja. Pasal skuter ni you jangan risau. Nanti I call mekanik datang tukar tiub.”

Punah harapan Wafiy dengan ajakan Tristan itu. Hancur lebur rancangannya pada hari ini. Sejak tadi dia berangan-angan berdua-duaan dengan Ayra di dalam kereta. Permulaan perbualan telah pun difikirkannya. Tetapi… hampa!

“Boleh juga! Then kunci skuter ni you hantar kat Emma di rumah eh?”

Kata setuju daripada Ayra bagaikan sembilu tajam menusuk ke dalam hati. Bergolek-golek Wafiy jatuh dari tangga dek tolakan daripada Tristan. Alahai Wafiy… Masuk kabus, keluar asaplah kau.

Nice to meet you, Wafiy.” Wafiy dan Tristan sekali lagi bersalaman.

Me too.” Terpaksa juga Wafiy menyahut. Dalam hati sudah berbakul-bakul sumpah seranah dilemparkan kepada Tristan.

Wafiy menghantar pemergian Ayra dan Tristan dengan pandangan sedih. Dia melambai-lambai dengan semangat yang lemah. Tiba-tiba Ayra menoleh ke belakang dan berpandangan dengannya. Anak mata terkesan senyuman kecil di hujung bibir Ayra. Serta-merta semangat yang patah itu kembali meresap ke dalam tubuh.

Wafiy kembali menghampiri kereta yang masih lagi tidak dimatikan enjin. Kereta yang dipandu Tristan melewatinya. Malah Tristan turut membunyikan hon. Gulp! Air liur ditelan. Wolkswagen Polo. Dia pula hanya ada Suzuki Swift. Itu pun pemberian papa. Aihhh… kerdilnya dia.

Bayangan senyuman Ayra kembali bermain dalam fikiran. Walaupun nipis di hujung bibir saja, kesannya amat mendalam. Wafiy bersandar di badan kereta dan tangan dilipat ke dada. Bibir terherot ke kanan dan juga ke kiri. Kedua-dua belah mata pula dikecilkan. Otak… ligat memikirkan idea yang seterusnya.

Dagu diurut. “Hurmmm…” Dia menggumam panjang seiring dengan otak yang sedang bekerjasama.

“Baru first round. Tak apa… Ada lagi round seterusnya.

Ni, Hilman Wafiylah! Pantang berundur selagi tak kena reject.

Tok! Tok! Tok! Daun pintu jiran hadapan rumah diketuk. Tak sampai seminit, daun pintu dibuka dari dalam. Apabila dia dan tuan rumah saling berpandangan, spontan dia tersengih-sengih.

Hmmm… Tahu dah!”

“Awak tahu dah?” Wafiy pelik apabila Emma lebih awal mengetahui apa yang bermain di dalam kepalanya.

“Ayra dah call awal-awal tadi. Lagipun Tristan datang hantar kunci skuter tadi. Kejap lagi saya nak keluar jemput Ayra balik dari kerja,” jelas Emma.

“Kenapa tak ajak Ayra tumpang awak tadi?” soal Emma pula.

“Belum sempat ajak, si sado tu dah pelawa.” Terselit nada merajuk pada suara Wafiy.

“Siapalah saya ni kalau Ayra nak terima? Saya baru berjiran dengan awak berdua. Dan awak berdua pun belum kenal saya sepenuhnya. Perasaan waswas tu tetap ada berbanding dengan si sado yang dah lama awak kenal.” Nada merajuk kian terserlah.

Emma spontan ketawa. “Merajuklah pula,” usik Emma.

“Tak merajuk. Cuma hancur lebur rancangan.”

Emma ketawa lagi. Sungguh lelaki bernama Wafiy ni jenis yang berterus terang dan setiap telatahnya akan menggeletek hati. Tristan digelar si sado. Ya, memang Tristan kelihatan tegap. Kalau dibandingkan dengan Wafiy, alahai… umpama ikan jaket dan ikan bilis. Memang kelakar sangat! Sangat!

“Dah tu apa next plan?” soal Emma apabila tawa sudah reda.

“Jemput Ayra balik dari kerjalah malam ni. Lagipun, kafe berhutang hot mocha dengan saya. Ada point saya nak pergi kafe tanpa dia syak apa-apa.”

Hurmmm… Good point!” Memang geliga otak Wafiy. “Tapi, apa kes kafe berhutang hot mocha dengan awak pula?” Itu membuatkan dia tertanya-tanya.

“Sekejap lagi saya cerita dengan awak. Cuma, sekarang ni… awak ikut saya sekali jemput Ayra balik kerja.”

“Kenapa pula? Tak naklah jadi orang ketiga. Mengganggu aje.” Laju saja Emma memberi alasan.

“Kalau awak tak pergi, Ayra pun tak akan balik dengan saya. Silap-silap awak tetap kena pergi jemput dia.” Wafiy sudah pun dapat mengagak perkara ini akan berlaku. Siapalah dia nak dibandingkan dengan Tristan dan Emma? Dia hanya jiran baru.

Emma diam seketika. Ya tak ya juga, kan. “Betul juga tu. Ayra tu kadang-kadang menyombong sikit dengan orang yang cuba nak dekati dia. Tapi dia tak adalah sombong mana pun. Mula-mula nak kenal aje dia jual mahal sangat.”

“Lepas tu kita pergi makan. Saya belanja!” sogok Wafiy supaya Emma bersetuju dengan rancangannya kali ini. Harap-harap menjadilah.

Bulat kedua-dua belah mata Emma. Bersinar-sinar. “Itu lagi best! Hidup berjiran memang begitulah. Saling membantu, saling menghulur dan menerima. Dan saling mengingati.” Emma tersengih-sengih. Orang nak belanja kut! Rezeki jangan ditolak.

Wafiy ketawa kecil. Faham benar maksud Emma. “So, malam ni on eh?”

On! Pasal Ayra, don’t worry. Tahulah saya nak memujuk dia pergi makan lepas kerja.”

Set!” Wafiy menghela nafas lega. Emma pun dah bersetuju. Harap-harap Ayra tak membantah dengan rancangan makan malamnya. Kalau Ayra membantah, alahai… tak lena dia dibuatnya malam ni. Jenuh memikirkan rancangan seterusnya pula.

Hari ini giliran Ayra pula menjadi cashier. Dalam kesibukan melayan pesanan para pelanggan, dia ternanti-nanti raut wajah si jiran depan rumah. Peristiwa petang tadi masih lagi terbayang di dalam kepala. Raut wajah si jiran kelihatan sedih dan kecewa saja apabila dia berlalu bersama-sama Tristan. Si jiran ada berniat nak tumpangkan aku ke? Kalau ada berniat, kenapa tak ajak? Alahai… Kesianlah pula.

“Ayra…”

Ayra berkalih dan memandang Jenny. “Yes, Jenny.”

Your neighbour tak datang ke hari ni? I nak ganti semula hot mocha dia.” Jenny juga turut ternanti-nanti Wafiy sejak pagi lagi.

“Entahlah. I pun pelik juga ni.”

“Dia lupa kut.”

“Tak apalah, Jenny. Sekejap lagi dah habis kerja I bawa balik untuk dia. Kami berdua berjiran depan rumah aje pun.” Dia pun berkira-kira begitu juga. Kalaulah Wafiy tak munculkan diri, dia akan bawa balik saja hot mocha untuk Wafiy.

“Okey!” sahut Jenny dan berlalu meninggalkan Ayra di kaunter.

Kelibat Wafiy masih lagi tak kelihatan sehinggalah kafe sudah ditutup. Air mocha panas kepunyaan Wafiy dibawa pulang. Malah ada tiga biji cream puff turut dibawa pulang untuk Wafiy. Pemberian daripada Jenny tanda salam perkenalan.

Apabila Ayra, Jenny dan beberapa orang pekerja keluar dari kafe, mereka sedikit terkejut dengan kemunculan Wafiy. Tenang saja Wafiy bertenggek di boot hadapan kereta. Penampilannya tetap santai saja dengan T-shirt berwarna merah dan berseluar pendek. Topi Bruno Mars tetap menghiasi kepala.

“Hai,” sapa Wafiy.

Errr… Hai,” sapa Ayra semula. Diperhatikan lagi gelagat Wafiy yang seronok mengulum lolipop. Penampilan, gaya dan gelagatnya tak ubah seperti remaja sekolah saja. Comel!

Your mocha…” Ayra menghulurkan cawan berisi mocha panas kepada Wafiy.

“Oh! Terima kasih.” Hujung jari-jemari mereka saling bersentuhan apabila cawan bertukar tangan. Tiba-tiba Wafiy menggeletis. Bulu roma meremang! Tangan kiri menggosok-gosok tengkuk.

“Kenapa pula ni?” Ayra terkejut dengan reaksi Wafiy. Kena serang sawan ke apa ni?

“Meremang bulu roma. Seram!”

Serentak Ayra menjeling tajam. Menyesal pula dia bertanya. “Nah!” Sebuah paper bag kecil diberikan kepada Wafiy pula.

“Apa ni?” soal Wafiy. Mulut bertanya tetapi huluran tetap bersambut. Dibukanya gulungan untuk mengintai isi di dalam paper bag tersebut.

Cream puff dari Jenny. Tanda salam perkenalan dari dia.”

“Ooo…” Spontan mulut Wafiy membulat.

“Jenny!” Wafiy mengangkat tangan dan tercari-cari kelibat Jenny. “Thank you for the puff,” ujar dia apabila berpandangan dengan Jenny.

Your most welcome.”

Wafiy kembali berpandangan dengan Ayra. “Jom! Pergi makan,” ajak Wafiy berserta senyuman manis.

Tapi laju ditolak Ayra. “Tak nak! Dah kenyang!”

“Okey…” Wafiy sudah dapat menjangka penolakan daripada Ayra. “Jom! Saya hantar awak balik.” Dia mencuba nasib untuk kali kedua.

“Tak apalah. Emma datang ambil saya.”

Dan Wafiy turut menjangkakan penolakan kedua ini. Nafas ditarik dan dihela semula. Tenang. “Awak nak tolak tak kali ni?” Kepala ditoleh ke belakang dan mata mengenyit nakal memberi isyarat kepada Emma yang sejak tadi mendiamkan diri di dalam kereta.

“Jomlah pergi makan! Aku lapar ni!” Emma mencelah dan keluar dari kereta.

Ayra terkejut dan memandang Emma dengan pandangan tak berpuas hati. Ini mesti berkomplot. Wajah Emma direnung tajam.

“Kau tenung muka aku pun takkan kenyang punya. Aku tahu kau pun lapar. Bihun sup kat rumah tinggal sup aje. Bihun dah habis.”

Ayra tak menyahut. Dia masih lagi merenung wajah Emma dengan pandangan tajam. Minah ni memang nak kena dengan aku! Dalam diam-diam dia buat hal.

“Jomlah!” Emma menggoyangkan tangan Ayra seperti anak kecil. “Wafiy belanja kita malam ni sebagai tanda salam perkenalan dari jiran baru.” Emma mempamer wajah simpati sambil merengek manja.

Please… Lapar tahap kronik ni. Aku gastrik nanti baru kau tahu.” Emma merengek lagi.

Ayra melepaskan sebuah keluhan kecil. “Okey…” Terpaksa juga dia mengalah. Sejujurnya dia masih lagi tak selesa dengan Wafiy. Terutama renungan mata Wafiy. Kadangkala merimaskan. Dan adakalanya terasa menusuk hingga ke hati. Mulalah jantung nak berdegup kencang.

Wafiy tersenyum lebar. Yes!

“Aku duduk belakang… Cup dulu!” Laju saja Emma berlalu ke kereta dan membuka pintu tempat duduk belakang.

“Jom!” ajak Wafiy, mencari raut wajah Ayra.

Ayra hanya sekadar mengangguk dan berlalu ke kereta.

Bye, guys!” Sempat lagi Wafiy menyapa Jenny dan pekerja lain sebelum dia meloloskan diri ke dalam perut kereta.

Bye!” balas Jenny dan pekerja kafe sambil melambai.

Mereka bertiga makan malam di Tanjung Aru. Walaupun jam sudah melewati pukul sepuluh malam, deretan restoran di situ tetap meriah dengan kunjungan para pelanggan. Tak kiralah daripada pelancong atau pun penduduk tempatan.

“Awak pernah datang ke Sabah sebelum ni?” soal Emma yang sejak tadi menceriakan suasana di meja makan.

Wafiy mengangguk. “Pernah. Dua kali macam tu.”

“Bercuti dengan family?” soal Emma lagi.

Wafiy masih lagi dengan anggukan. “Once dengan family. Kali kedua dengan member universiti dulu.”

Suasana kembali sepi. Masing-masing leka menikmati makan malam. Ayra yang duduk di hadapan Wafiy langsung tak mengangkat mata. Dia tahu, kalau dia mengangkat anak mata pasti pandangan dia dan Wafiy akan bertembung. Lebih baik dia tunduk dan mendiamkan diri saja.

Korang berdua asal mana? Orang sini juga ke?” Wafiy sengaja ingin menduga. Daripada cara loghat Ayra dan Emma, kedua-duanya bukanlah berasal dari Sabah mahupun Sarawak. Pasti kedua-duanya dari Semenanjung Malaysia.

Ate… teman orang Perok! Kuala Kangsor!”

Kan tepat jangkaan aku! Kedua-duanya berasal dari Semenanjung Malaysia.

“Awak Ayra?” Wafiy memandang wajah Ayra. Sejak tadi gadis itu mendiamkan diri dan menundukkan pandangan saja. Malu atau tak berani berpandangan?

Ayra menyahut dengan pandangan mata. Mata dia dan Wafiy saling bertembung buat seketika. Kemudian dia kembali menundukkan pandangan.

“Kedah… Alor Setar,” jawab Ayra. Perlahan.

“Dua-duanya orang utara rupanya.”

“Awak orang mana, Wafiy?” Sedaya upaya Emma cuba mengekalkan suasana mesra antara mereka bertiga. Nak harapkan Ayra, alahai… jenuh beku!

“Saya orang bandar aje. KL. Tak ada kampung pun. Setakat ada Kampung Baru ajelah jadi tempat lepak dengan kawan-kawan.”

Emma ketawa dengan jenaka selamba daripada Wafiy. Manakala Ayra langsung tak ketawa. Emma geram dengan perangai Ayra. Disepaknya kaki Ayra di bawah meja. Dan tindakannya itu berjaya menarik perhatian Ayra. Anak mata dikerling ke arah Wafiy apabila dia dan Ayra saling berpandangan.

“Tak lawak eh?” soal Wafiy, jujur. Risau pula dia apabila Ayra sepi tanpa reaksi. Susah benar dia nak raih perhatian daripada jiran yang jual mahal ni. Tapi, dia suka! Rasa tercabar.

“Ha! Ha! Ha! Ha!” Ayra ketawa terpaksa. Malah tawanya kedengaran seperti robot saja.

Gelagat Ayra terasa mencuit hati. Bibir dikemam, cuba menahan tawa daripada terlepas. Tetapi bibir menarik senyuman pula. Lama-kelamaan dia tak dapat menahan lagi. Akhirnya, tawa terlepas juga.

“Perli ke apa?” Ayra merenung tajam wajah di hadapannya.

Cepat-cepat Wafiy menggelengkan kepala. “Tak! Tak! Bukan macam tu.” Wafiy terpaksa berhenti seketika daripada berkata-kata. Dia cuba redakan tawa dan kembali bertenang.

I think it is cute,” tambah Wafiy.

Cute?” Kali ini tawa Emma pula terburai. Malah dia turut mengajuk tawa Ayra sebentar tadi.

“Emma!” Ayra menggumam geram dengan nada ditahan.

“Biarkan. Dia tengah happy tu. Balik rumah nanti awak smack down dia cukup-cukup.”

Ayra memandang Wafiy sekali lagi. Kemudian dia menghantar jelingan tajam ke arah rakan serumahnya itu pula. Emma memang minta kena smack down pun! Siaplah balik nanti. Memang aku tak akan lepaskan minah ni.