Aku Bukan Jurujual Cinta

RM25.00

Penulis: Zura Fayyad

Caption: adakah cinta  hanya  dilukai dan melukai

ISBN: 978-967-406-258-3

Sem. Malaysia Sabah/Sarawak
RM 25.00 RM 28.00

PERTEMUAN secara kebetulan antara Fawwaz dan Husna Nazihah ataupun dikenali sebagai Hunny tidak seindah yang disangka. Dan kalau boleh dielak, pasti Fawwaz akan rasa bersyukur kerana tidak perlu bertemu dengan gadis ego dan perasan bagus.

“Apa ni?”

“Baju Cik Hunny tu dah koyak. Takkan nak berjalan depan public dengan baju yang koyak tu? Lainlah kalau Cik Hunny tu bintang Hollywood yang suka tayang badan kat public…”

“Busuk tak jaket kau ni? Kalau busuk, kau simpan sajalah…”

“Biar jaket busuk, Cik Hunny. Jangan hati kita yang busuk dengan sifat angkuh dan bongkak.”

Namun dari insiden malang tersebut, mereka menjalin persahabatan. Dan daripada hubungan yang biasa-biasa, hati si gadis mula terpaut dengan karakter si jurujual. Tapi bukan senang untuk tackle hati si jurujual bernama Fawwaz. Hati si jurujual telah dimiliki oleh seseorang.

“Saya cintakan awak, Fawwaz!!!…”

“Saya minta maaf, Husna… Tapi cinta saya bukan untuk dijual beli. Saya bukan jurujual cinta yang begitu mudah memperdagangkan cinta saya kepada sesiapa saja termasuklah awak, Husna.”

Sejauhmanakah Fawwaz dan Husna Nazihah mampu mempertahankan cinta mereka berdua? Ketahui kisah selanjutnya di dalam naskhah Aku Bukan Jurujual Cinta…

Beli Sekarang LAZADA
Beli Sekarang SHOPEE
Category:

Description

Bosan, bosan… Kalau berterusan macam ni, aku nak makan apa bulan ni? Pelanggan kurang berkunjung ke ruang pameran kereta syarikat tempatku bekerja ini. Kerja sebagai jurujual kereta ni, gaji basicnya kecil. Kalau nak pendapatan lebih, kenalah buat jualan kereta banyak-banyak. Barulah boleh dapat komisyen lumayan. Bulan ni, sebuah kereta pun aku belum jual lagi. Dah sampai 10 hari bulan dah ni. Ah pening, pening!!! Fawwaz mengeluh sendirian.

Terngiang-ngiang di telinganya, pesan emak ketika menelefonnya dua hari lepas, meminta dia menghantarkan sedikit wang kerana adiknya, Farihah hendak membeli buku rujukan SPM. Fawwaz faham benar dengan kesempitan kewangan keluarganya. Ayahnya cuma bekerja sebagai kakitangan am di majlis perbandaran. Berapa sangatlah gaji ayahnya untuk menanggung keperluan keluarga yang semakin bertambah. Emaknya pula adalah suri rumah tangga sepenuh masa. Emaknya membuat dan menjual makanan ringan seperti kerepek pedas dan rempeyek secara kecil-kecilan untuk membantu menambah pendapatan keluarga.Tapi masih tidak mencukupi.

Sebab itu Fawwaz memutuskan untuk tidak melanjutkan pengajiannya ke peringkat ijazah setelah mendapat diploma dalam bidang pemasaran. Ayahnya mendesak dia memohon ke universiti. Ayahnya berjanji untuk mencari sumber kewangan untuk membiayai pengajiannya pada peringkat lebih tinggi tapi Fawwaz menolaknya dengan hormat. Sebaliknya, Fawwaz memutuskan untuk bekerja sebaik saja menamatkan pengajian diploma bagi meringankan beban ayah dan emaknya. Sebagai anak sulung lelaki, dia bertanggungjawab untuk membantu menyara keluarganya. Biarlah dia mengorbankan pengajiannya asalkan ayah dan emaknya tidak perlu lagi bekerja keras siang dan malam untuk mencari wang.

Lamunan Fawwaz terhenti apabila terlihat gelagat tiga orang gadis sekawan di luar bilik pameran. Gadis-gadis itu berbual dan ketawa dengan suara yang kuat seolah-olah mereka sahaja yang berada di situ tanpa mempedulikan orang ramai yang berada di sekeliling mereka. Salah seorang daripada gadis itu mengajak dua orang kawannya itu masuk ke dalam bilik pameran kedai. Suara bising di luar kedai tadi berpindah masuk ke dalam kedai pula.

Memang tak tahu hormat orang langsung budak-budak ni. Mak bapak dia orang ni tak reti mengajar adab bila berada di public agaknya! getus hati Fawwaz. Memandangkan Fawwaz adalah jurujual yang berdiri paling hampir dengan tiga gadis sekawan itu, dia menghampiri kumpulan gadis itu dan menyapa mereka dengan tertib. Sesuai dengan imej korporat dan profesional syarikat.

“Selamat datang ke bilik pameran kami. Cik-cik semua ni nak tengok kereta ke? Syarikat kami menyediakan pelbagai pilihan model bagi memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan kami. Cik bertiga boleh tengok dulu mana-mana model yang berkenan. Saya sedia membantu.” Fawwaz mengucapkan selamat datang kepada tiga sekawan itu sambil menghulurkan business cardnya. Gadis-gadis itu membelek business card Fawwaz.

“Encik Fawwaz, memang kami datang nak tengok kereta. Tapi bukan yang ni. Kami datang nak tengok kereta api!!!” Gadis yang berambut kemerahan dan mengenakan blaus nipis berwarna biru serta seluar jean sendat yang sengaja dipotong paras lutut itu membuat lawak dan disambut ilai tawa kawan-kawannya. Kemudian gadis itu senyum mengejek kepada Fawwaz.

Eh, melampau betul budak-budak ni! Kalaulah bukan pasal aku sedang bekerja, mahu juga aku lempang muka dia orang ni sekor-sekor. Fawwaz menahan marah dalam hatinya.

“Maaf, cik. Kalau cik nak tengok kereta api, cik dah salah tempat. Bukan di sini tempatnya tapi di stesen kereta api.” Fawwaz masih cuba berlagak profesional.

“Aku pun tahulah nak tengok kereta api kena pergi stesen kereta api. Takkan nak pergi kat marina bot pulak?” Gadis berambut kemerahan itu cuba buat lawak badutnya sekali lagi. Sengaja hendak mengusik Fawwaz agaknya.

“Kalau cik dah tahu macam tu, kenapa cik masuk juga ke sini?” Fawwaz menyindir gadis berambut kemerahan itu.

“Aku nak tengok keretalah, bodoh!!!” Gadis itu menengking Fawwaz.

Muka Fawwaz terasa berbahang sebab dibodohkan oleh gadis berambut kemerahan itu di hadapan orang lain. Tapi Fawwaz tetap bersabar kerana insiden itu berlaku di dalam premis kerjanya. Dia tertakluk kepada peraturan kerja yang selalu menitikberatkan customer is always right. Kalau insiden itu berlaku di luar bilik pameran syarikat, mahu saja Fawwaz mengajar gadis itu bagaimana cara untuk berbudi bahasa kepada orang lain.

“Oh, cik nak tengok kereta rupanya. Bukan kereta api. Mari saya tunjukkan. Cik minat kereta yang bagaimana? Kereta kompak, saloon, sport, mpv, utiliti? Semua model ada.” Giliran Fawwaz pula membuat lawak. Tetapi tidaklah keterlaluan sangat.

“Aku boleh tengok sendirilah! Kau jangan dekat dengan aku, boleh tak? Buat semak mata saja!”

Gadis itu masih berterusan memprovoke Fawwaz. Fawwaz tetap berlagak tenang dan selamba melayani gadis berambut kemerahan itu.

“Okey, kalau cik perlukan apa-apa, cik panggil saya. Saya sedia membantu. Cik tengok-tengoklah dulu model-model kereta yang kami sediakan.” Fawwaz menjauhkan dirinya lebih kurang 10 kaki dari gadis berambut kemerahan itu. Gadis itu menjuihkan bibirnya kepada Fawwaz dan berlalu menuju ke deretan kereta yang dipamerkan. Fawwaz hanya memerhatikan gelagat gadis itu bersama kawan-kawannya. Hatinya kesal melihat gadis sebangsa dengannya itu seolah-olah sudah hilang jati diri dan terlupa adab ketimuran yang menjadi teras budaya orang Melayu.

Gadis berambut kemerahan itu pergi dari satu kereta ke satu kereta bersama kawan-kawannya. Membuka pintu kereta, masuk dan duduk di dalamnya serta mencuba peralatan-peralatan yang ada pada setiap model kereta yang dipamerkan. Beberapa kali juga gadis itu meminta Fawwaz menghidupkan enjin kereta sebab dia ingin mendengar deruman bunyi enjin dan juga sistem bunyi audio kereta berkenaan.

Lagak gadis-gadis itu seperti beria-ia benar hendak membeli kereta. Tetapi daripada pengalamannya, Fawwaz tahu gadis-gadis itu bukannya serius pun untuk membeli kereta. Cuma sekadar membuang masa lapang mereka sahaja. Itupun Fawwaz masih melayan mereka dengan penuh sabar dan tertib kerana tidak mahu gadis-gadis itu membuat aduan kepada pengurusnya. Leceh nak bersoal jawab dengan pihak pengurusan.

Selesai melihat semua model kereta yang dipamerkan di situ, gadis berambut kemerahan itu hendak beredar dari bilik pameran. Fawwaz mengucapkan terima kasih kepada mereka dan meminta mereka mencarinya jika hendak membeli kereta di situ.

Gadis berambut kemerahan itu sempat lagi bergurau senda dengan rakan-rakannya ketika hendak keluar dari bilik pameran. Entah di mana silapnya, seorang rakan gadis itu tertolak gadis berkenaan. Dia kemudiannya terhuyung-hayang dalam keadaan badannya membelakangkan pintu utama. Belakang kepala gadis itu terhantuk ke pintu kaca.

“Celaka betullah! Korang ni apasal tolak aku pulak? Aduh, sakitnya!” Gadis itu menyumpah kawannya sambil mengaduh kesakitan.

Sorry, Hunny. Aku tak sengaja tadi.” Gadis yang tertolak gadis berambut kemerahan itu meminta maaf. Barulah Fawwaz tahu gadis berambut kemerahan itu bernama Hunny. Tak tahulah Hunny itu nama sebenar atau cuma nama panggilan saja.

Gadis itu cuba bergerak menjauhi pintu utama.Tanpa disedarinya, belakang bajunya yang sedikit terselak itu tersangkut pada pemegang pintu. Apa lagi, sebaik saja dia bergerak, baju blaus nipis yang dipakainya terkoyak dan terbelah dua di bahagian belakang.

“Oh my God, Hunny!!! Baju you koyak!!!” tempik kawannya.

Suwey betullah hari ni! Ni koranglah punya pasal! Yang ajak aku masuk kedai kereta tak guna ni, kenapa? Tengok, apa dah jadi?” Hunny menjerit bengang. Kawan-kawannya cuma diam membatu, menyerap api kemarahan Hunny.

Staf yang ada di bilik pameran itu tersenyum sinis melihat insiden yang menimpa minah kekwat itu. Fawwaz pula bergerak ke mejanya lalu mencapai jaket motornya. Kemudian dia berjalan menuju ke arah Hunny. Kalau ikutkan hati Fawwaz, dia hendak membiarkan saja Hunny berjalan balik dengan memakai baju yang rabak itu. Biar Hunny rasa malu sedikit. Tapi Fawwaz tak sampai hati melihat Hunny terpaksa berjalan dengan mendedahkan belakang badannya. Fawwaz menghulurkan jaket motornya kepada Hunny.

“Apa ni?” tanya Hunny kepada Fawwaz.

“Baju Cik Hunny tu dah koyak. Takkan nak berjalan depan public dengan baju yang koyak tu? Lainlah kalau Cik Hunny tu bintang Hollywood yang suka tayang badan kat public…” Sempat lagi Fawwaz menyindir Hunny.

“Busuk tak jaket kau ni? Kalau busuk, kau simpan sajalah…”

Sempat lagi berlagak minah ni. Aku nak tolong kau pun, dah kira baik tau… Hati Fawwaz menggelegak melihat gelagat Hunny. Bukannya nak berterima kasih sebab dia cuba menolong untuk menutup aibnya. Dikutuknya lagi adalah… Apa jenis makhluk la dia ni?

“Biar jaket busuk, Cik Hunny. Jangan hati kita yang busuk dengan sifat angkuh dan bongkak.” Laju saja ayat itu terkeluar dari mulut Fawwaz. Sabar manusia pun ada batasnya juga.

“Hei, mana kau tahu nama aku?” Hunny cuba mengalih topik.

“Mana saya tahu nama Cik Hunny, itu tak penting. Yang penting tutup aib Cik Hunny tu dulu. Atau nak saya yang sarungkan jaket tu?” Fawwaz menjawab dengan nada geram.

“Tak payah! Aku bukan budak-budak. Aku boleh pakai sendiri jaket busuk kau ni…” Hunny tak mahu mengalah. Memang dasar manusia degil.

Malanglah nasib siapa yang jadi suami si Hunny ni, usik minda Fawwaz.

Hunny cepat-cepat menyarungkan jaket itu ke badannya. Sebaik selesai, dia mengajak kawan-kawannya beredar dari situ.

“Nanti bila free, aku pulangkan jaket kau ni balik!” jerit Hunny dari luar kedai. Fawwaz menggeleng melihat gelagat tidak semenggah Hunny.

Rakan Fawwaz, Nadia dan Azmi memanggil Fawwaz ke meja mereka. Fawwaz berjalan menuju ke meja Nadia.

“Hei Fawwaz, buat apa kau tolong minah gedik tu? Kalau akaklah, akak biarkan saja dia berjalan depan public dengan baju koyak dia tu. Berlagak semacam! Kaya benar bapak dia sampai sesuka hati dia buat tempat ni macam bapak dia yang punya! Macam manalah kau boleh sabar melayan kerenah dia tu tadi?” Nadia melahirkan perasaan geramnya dengan perangai Hunny sebentar tadi.

“Kalau ikutkan hati saya, kak… memanglah saya geram dengan perangai dia. Tapi kita ni saudara seagama. Bukankah kita dikehendaki supaya menutup aib saudara seislam kita? Kalau kita tutup aib orang, insya-Allah Allah akan tutup aib kita juga.” Fawwaz menerangkan sebab dia bertindak sedemikian kepada Nadia. Nadia mengangguk tanda faham.

Fawwaz sampai ke tempat kerjanya jam 10 pagi. Dia agak lewat sedikit sampai kerana mempunyai janji temu dengan seorang pelanggan yang telah diatur sejak minggu lepas lagi. Sebaik sahaja Fawwaz meletakkan beg sandangnya, Nadia muncul entah dari mana dan memberitahu Encik Hasrul, pengurus syarikat itu mahu berjumpa dengan Fawwaz di biliknya. Ada hal yang sangat mustahak. Nadia dan Azmi juga diminta hadir sama dalam perjumpaan itu.

Mereka bertiga menuju ke tingkat atas yang menempatkan bilik Encik Hasrul. Fawwaz diarahkan oleh Kak Siti, setiausaha Encik Hasrul untuk masuk ke bilik mesyuarat. Fawwaz, Nadia dan Azmi terus menuju ke bilik mesyuarat. Dia mengetuk pintu dan suara Encik Hasrul kedengaran, memanggilnya masuk ke dalam bilik itu.

Mereka bertiga diarahkan duduk di sebelah kiri Encik Hasrul manakala Encik Hasrul telah mengambil tempat di hujung meja mesyuarat berbentuk bujur telur itu. Di sebelah kanan Encik Hasrul, duduk seorang lelaki dalam lingkungan pertengahan umur, berbadan agak berisi dan kelihatan segak mengenakan kot dan tali leher.

Encik Hasrul baru hendak memperkenalkan lelaki yang memakai kot itu apabila kedengaran pintu bilik mesyuarat itu diketuk sekali lagi. Encik Hasrul membenarkan orang yang mengetuk pintu itu masuk. Pintu dibuka dan kelihatan susuk tubuh gadis berambut kemerahan melangkah masuk. Hari ini, si rambut merah itu mengenakan baju kurung berwarna merah hati dengan rambutnya disisir rapi. Taklah mengerbang macam puntianak seperti semalam. Gadis itu nampak lebih sopan.

Ah, sudah! Mesti budak bongkak ni buat kompelin la ni! Minda Fawwaz sudah dapat meneka sebab Encik Hasrul memanggil mereka. Fawwaz mengetap bibir dengan kuat sebagai tanda marah kepada si Hunny. Dahlah semalam sewenang-wenangnya budak biadab ini membodohkan dia di depan rakan-rakan sekerjanya, hari ni datang nak kompelin pula.

Memang budak tak cukup adab ni nak cari nahas dengan aku, gumam minda Fawwaz yang mula merencana apakah yang akan dibuatnya jika bertembung dengan si Hunny di luar tempat kerjanya.

Setelah Hunny mengambil tempat duduk di sebelah lelaki berkot itu, Encik Hasrul memulakan perjumpaan.

“Sebelum saya mulakan perbincangan kita ini, saya perkenalkan dulu tetamu kita. Yang di sebelah kanan saya ni adalah Datuk Yusuf dan di sebelahnya adalah anaknya, Cik Husna Nazihah. Selamat datang ke syarikat kami, Datuk.” Encik Hasrul menundukkan sedikit kepala sebagai tanda hormat kepada Datuk Yusuf.

Patutlah budak tak cukup adab ni berlagak sangat.Anak Datuk rupanya! Makna Husna Nazihah adalah cantik dan bersih dari noda. Tapi malangnya, akhlak budak ni tidak menggambarkan makna sebenar namanya. Dah tu, yang diubah panggilannya kepada Hunny, kenapa? Nama Husna dah cukup sedap apa?

“Sebelah kiri saya pula adalah staf-staf syarikat kami iaitu Encik Fawwaz, Puan Nadia dan Encik Azmi.” Encik Hasrul memperkenalkan ketiga-tiga stafnya kepada Datuk Yusuf dan anaknya.

“Tujuan saya memanggil awak bertiga pagi ini adalah untuk mendapatkan penjelasan atas kejadian yang berlaku tengah hari semalam. Cik Husna membuat aduan kepada saya bahawa kakitangan syarikat ini telah melayannya dengan buruk dan tidak profesional. Cik Husna juga mendakwa telah terjatuh di pintu utama premis ini dan baju yang dipakai oleh Cik Husna terkoyak kerana tersangkut pada pemegang pintu.”

“Cik Husna nak menuntut ganti rugi yang difikirkan perlu jika benar kakitangan syarikat ini bersalah. Memandangkan saya tiada ketika kejadian ini berlaku semalam, saya minta Cik Husna menceritakan semula dari mula hingga akhir apa yang berlaku,” terang Encik Hasrul. Kemudian dia mengeluarkan baju blaus biru yang koyak rabak dari beg kertas yang berada di hadapannya sebagai bahan bukti.

“Saya datang ke sini dengan dua orang kawan saya tengah hari semalam. Saya disambut oleh staf Encik Hasrul yang bernama Fawwaz. Saya sangkakan syarikat ini telah melatih pekerjanya untuk melayan pelanggan dengan tertib dan hormat. Malangnya Encik Fawwaz telah menyindir saya di depan rakan-rakan saya hingga menjatuhkan maruah saya. Sesudah saya terjatuh dan baju saya tersangkut di pemegang pintu, Encik Fawwaz bukannya nak menolong saya.Sebaliknya membiarkan saya berusaha sendiri untuk melepaskan diri dari pemegang pintu itu. Akibatnya, blaus mahal saya yang dibeli dari London dengan harga £300, koyak dua.”

“Tak cukup dengan itu, dua orang staf Encik Hasrul yang lain mentertawakan saya. Saya rasa cukup malu dengan kejadian ini. Sebagai sebuah syarikat besar, syarikat ini telah gagal melatih pekerjanya untuk melayan pelanggan dengan sikap profesionalisme yang tinggi. Saya dengan ini hendak menuntut ganti rugi atas semua kerugian yang saya tanggung dan permintaan maaf atas maruah saya yang telah dipijak-pijak oleh kakitangan syarikat Encik Hasrul.” Hunny memberi penjelasan yang nyata jauh menyimpang daripada fakta sebenar kejadian. Fawwaz masih cuba untuk bersabar tetapi telinga Nadia sudah berdesing mendengar kata-kata Hunny itu.

“Baik, kita dah dengar penjelasan dari Cik Husna. Sekarang saya nak minta penjelasan versi Encik Fawwaz pula.” Encik Hasrul mengulas ringkas.

“Terlebih dahulu, saya minta maaf pada Datuk Yusuf sekiranya apa yang saya perkatakan nanti bakal menyinggung perasaan Datuk. Tapi saya cuma nak menyampaikan fakta sebenar kejadian. Tiada tokok tambah sedikit pun. Pertamanya, saya menafikan tuduhan yang saya tidak melayan Cik Husna dengan profesional. Buat pengetahuan Datuk, Cik Husna dan dua orang rakannya membuat bising di luar premis kami. Perkara itu berterusan selepas mereka masuk ke dalam premis. Saya telah menyambut kedatangan Cik Husna dengan penuh hormat dan tertib tetapi sebaliknya Cik Husna mempermainkan saya dan bercakap dalam nada yang tinggi. Malahan pada satu ketika, Cik Husna telah menengking saya. Jika Cik Husna mengatakan saya menyindirnya di depan rakan-rakannya hingga menjatuhkan maruahnya, bagaimana dengan tindakan Cik Husna yang telah membodohkan saya di depan rakan-rakannya dan rakan sejawat saya? Tidakkah itu juga menjatuhkan maruah saya?”

Fawwaz mengambil nafas sebentar. Menenangkan diri yang mula dikuasai nafsu amarah. Mana Fawwaz tak marah! Si rambut kemerahan ini yang buat hal, dia pula yang dituduh jadi punca pada semua kejadian. Ini tidak adil!!!

“Kejadian Cik Husna terjatuh dan bajunya tersangkut di pemegang pintu adalah disebabkan Cik Husna dan dua orang rakannya bergurau semasa hendak keluar dari bilik pameran kami. Salah seorang rakannya tertolak Cik Husna menyebabkan Cik Husna hilang keseimbangan dan terjatuh ke pintu utama. Baju Cik Husna tersangkut pada pemegang pintu dan bila Cik Husna bergerak, baju Cik Husna terbelah dua di bahagian belakang.”

“Jika Cik Husna kata saya tidak cuba membantunya, itu kurang tepat kerana saya berada lebih kurang 10 kaki darinya. Tetapi dua orang rakannya yang berada lebih hampir dengannya langsung tidak cuba membantu Cik Husna. Setelah baju Cik Husna terkoyak, saya memberikan jaket motor saya kepada Cik Husna untuk dipakai bagi menutup belakang badannya yang terdedah. Jika itu dikatakan tak membantu juga, saya tak tahu nak cakap apa lagi, Datuk.”

Fawwaz menamatkan penjelasannya. Datuk Yusuf menghembuskan nafasnya dengan kuat sambil mengangguk setelah mendengar penjelasan Fawwaz.

“Baiklah, itu penjelasan Encik Fawwaz. Puan Nadia dan Encik Azmi, ada apa-apa yang awak berdua nak tambah?” Encik Hasrul meminta penjelasan daripada Nadia dan Azmi pula.

“Saya menyokong keterangan Fawwaz sebentar tadi, Encik Hasrul dan Datuk. Saya menyaksikan semua kejadian dari mula hingga akhir. Memang Cik Husna dan rakan-rakannya membuat kecoh sebelum masuk ke bilik pameran kami lagi. Bila mereka masuk ke bilik pameran kami, Cik Husna dengan sengaja mempermainkan Fawwaz. Ada ke patut dia kata dia masuk ke kedai kami bukan nak tengok kereta tapi nak tengok kereta api? Kalau Datuk dan Encik Hasrul berada di tempat Fawwaz ketika itu, apa perasaan Datuk dan Encik Hasrul? Walaupun Cik Husna berterusan mencetuskan kemarahan Fawwaz, Fawwaz tetap tenang dan tertib melayan Cik Husna dan rakan-rakannya.” Berapi-api ayat Nadia. Sebab dari semalam lagi dia menahan perasaan melihat gelagat anak orang kaya yang tak sedar diuntung itu.

“Saya tegur Fawwaz, kenapa dia berikan jaketnya kepada Cik Husna setelah apa yang dilakukan oleh Cik Husna kepadanya? Fawwaz beritahu, dia cuba menutup aib saudara seislamnya. Saya minta maaf Datuk, Encik Hasrul. Tapi saya sedih. Kelakuan Cik Husna terhadap Fawwaz cukup kurang sopan. Kalau saya berada di tempat Fawwaz ketika itu, belum tentu saya dapat menahan sabar. Sebab saya juga manusia biasa yang punya perasaan dan maruah. Saya berpendirian, Fawwaz tidak patut dipersalahkan dan Cik Husna tidak berhak menuntut ganti rugi dari kami sebab apa yang terjadi semalam adalah hasil dari perbuatan Cik Husna dan rakan-rakannya sendiri.”

Nadia menamatkan keterangannya dengan mengesat matanya yang merah dengan tisu yang dihulurkan oleh Azmi. Mungkin sedih agaknya dengan gelagat si rambut merah dan rakan-rakannya itu. Hunny tunduk saja mendengar keterangan Nadia itu.

“Encik Azmi, ada apa-apa yang hendak awak perkatakan atau tambah?” soal Encik Hasrul.

“Tak ada, Encik Hasrul. Saya sokong semua keterangan Fawwaz dan Kak Nadia.” Ringkas saja Azmi menjawab.

“Kita sudah pun mendengar keterangan dari semua pihak yang terlibat. Apa pendapat Datuk?” Encik Hasrul bertanya pendapat Datuk Yusuf terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan.

“Husna, papa tak rasa staf Encik Hasrul ini berbohong. Papa lebih kenal anak papa. Kenapa Husna suka timbulkan masalah? Lepas tu, tuduh orang lain yang jadi punca?” Datuk Yusuf bertanya kepada Hunny dalam nada yang lembut.

Agaknya memang begini caranya orang kaya-kaya mendidik anak. Patutlah anak-anak muda sekarang naik muka dan manja. Rupanya sebab mak bapak tak berani meninggikan suara dengan anak-anak mereka. Sudahnya, kepala mak bapak dipijak sesuka hati oleh anak-anak mereka. Kalaulah aku buat perangai sama seperti si Hunny ni, bukan setakat leteran emak saja yang aku dapat, malahan mungkin flying kick daripada ayah sekali. Silap-silap kena halau keluar dari rumah lagi. Huh, selisih malaikat 44!!!

“Hunny tak berniat pun nak buat kecoh, tapi Hunny benganglah bila kawan-kawan Hunny ejek Hunny tak pandai mainkan salesman tu.”

Fuh, kali ini telinga Fawwaz pula yang merah membara. Budak mentah ni masuk ke showroom semata-mata kerana hendak mempermainkan jurujual? Apa, hina sangat ke kerjaya jurujual ni?

“Beginilah Encik Hasrul. Saya rasa tak usahlah kita panjangkan cerita ni. Memang saya akui, kesilapan adalah di pihak anak saya. Bagi pihak anak saya, saya minta maaf atas keceloparan dan keterlanjuran perbuatan anak saya semalam. Saya tak akan menuntut sebarang ganti rugi dari syarikat ini. Husna, papa nak Husna minta maaf dari Encik Fawwaz dan rakan-rakannya dan berjanji, Husna tak akan mengulangi perbuatan sebegini.” Datuk Yusuf menyampaikan keputusannya.

Hati Hunny membahang. Memang Hunny tak berpuas hati! Dah tu, kena pula minta maaf kepada jurujual sengkek itu. Apa kelas aku nak minta maaf pada salesman ni? Ego Hunny membuak-buak hendak meletup ketika itu juga. Mujur jugalah papanya ada di situ. Kalau tidak…

“Husna, lekas minta maaf!” Datuk Yusuf menggesa Hunny segera meminta maaf daripada Fawwaz dan rakan-rakannya.

“Saya minta maaf. Saya janji tak akan buat lagi.” Hunny terpaksa juga meminta maaf walaupun hatinya tak rela.

Kau siap, mr salesman. Aku akan kerjakan kau dengan lebih teruk lagi lepas ni, getus hati Hunny. Nama Fawwaz terpahat kukuh dalam memorinya. Mindanya sudah mula merencana rancangan membalas dendam terhadap Fawwaz.

“Terima kasih, Datuk. Saya harap perkara ini selesai di sini sahaja. Keluar dari bilik ini, kita lupakan kejadian ini.” Encik Hasrul meminta kerjasama Datuk Yusuf untuk memadamkan terus kejadian ini dari memori semua pihak yang terlibat. Tapi ternyata tidak bagi Hunny. Dendamnya terhadap Fawwaz semakin marak.

Kemudian mereka melangkah keluar dari bilik mesyuarat. Datuk Yusuf meminta diri untuk bergerak ke syarikatnya. Encik Hasrul mengiringi Datuk Yusuf ke pintu utama. Sebelum berpisah, Datuk Yusuf bersalaman dengan Encik Hasrul.

“Sekali lagi saya minta maaf kerana menyusahkan Encik Hasrul dan staf syarikat ini. Saya sungguh kesal dengan kelakuan anak saya. Oh ya, sebelum saya terlupa, saya nak minta Encik Fawwaz datang ke pejabat saya jam 9 pagi esok. Boleh? Pesan dengan Encik Fawwaz, bawa sekali semua brochure model kereta yang ada dijual di sini, ya?” Datuk Yusuf menyampaikan pesannya kepada Encik Hasrul.

“Insya-Allah, Datuk. Saya akan sampaikan pesan Datuk kepada Encik Fawwaz. Jumpa lagi, Datuk. Assalamualaikum.” Encik Hasrul membukakan pintu untuk Datuk Yusuf dan Hunny.

Waalaikumussalam,” jawab Datuk Yusuf.

Encik Hasrul menapak menuju ke meja Fawwaz.

“Fawwaz, Datuk Yusuf minta awak hadir ke pejabatnya jam 9 pagi esok. Dia mintak awak bawa sekali semua brochure model kereta yang kita jual. Mungkin dia nak beli kereta agaknya. Ini business card Datuk Yusuf.” Encik Hasrul menghulurkan sekeping kad kepada Fawwaz.

“Wah Fawwaz, bergaduh dengan anak, bapak pula nak beli kereta dengan kau? Kalau macam ni, hari-hari kau bergaduh dengan si Funny tu pun tak apa…” Nadia bersuara kepada Fawwaz. Semacam aje si Nadia ni? Mesti Nadia dah mula berprasangka bukan-bukan.

“Bukan Funny la Kak Nadia, Hunny…” Fawwaz membetulkan sebutan nama Hunny yang disebut Nadia sebentar tadi.

“Eh, betullah Funny. Mana tak kelakar, semalam bukan main kecoh lagi masa kat sini. Hari ni, tahu pula dia menikus depan bapak dia. Padan muka dia!!! Geram akak tak habis lagi pada dia tu, tahu tak?”

“Dah, dah… Kita dah setuju nak tutup episod ni tadi, kan? Sekarang, pergi buat kerja. Ha Nadia, awak tak ada apa-apa appointment hari ni? Bulan ni baru sebuah kereta yang awak jual!” Encik Hasrul menyergah Nadia.

“Ada bos, sebelah petang nanti.” Nadia menjawab pertanyaan Encik Hasrul.

“Okey, buat kerja masing-masing…” Encik Hasrul beredar menuju ke biliknya.

Keluar dari syarikat kereta, Datuk Yusuf meminta Pak Husin, pemandu peribadinya, menghantarnya terus ke pejabat. Pak Husin diarahkan oleh Datuk Yusuf untuk membawa Husna Nazihah a.k.a Hunny terus pulang ke rumah dan tidak menyinggah ke mana-mana. Hunny dikenakan perintah berkurung hari ini dan kena tinggal di rumah saja oleh Datuk Yusuf. Hati Hunny yang membengkak akibat dipaksa meminta maaf di depan jurujual kereta tadi bertambah menggelegak kerana tidak dibenarkan ke mana-mana sepanjang hari ini. Bila Datuk Yusuf dah keluarkan arahan, memang menjadi pantang besarnya jika arahan itu dilanggar.

Sampai saja di banglo, Hunny terus masuk ke biliknya dan mengurung diri di dalam bilik. Keluar makan pun tidak. Marahnya kepada jurujual-jurujual low class di syarikat kereta Fawwaz itu bukan kepalang. Bukan saja dia gagal mempermainkan jurujual tersebut semalam, bajunya pula terkoyak di depan public. Tidak cukup dengan itu, hari ini dia dimalukan sekali lagi apabila diarahkan supaya meminta maaf kepada Fawwaz, Nadia dan Azmi.

Aku mesti ajar kau orang cukup-cukup!!! Kau orang belum kenal lagi siapa Hunny!!! getus hati Hunny. Otak Hunny mula ligat memikirkan rancangan untuk membalas dendam. Dia membuka laptopnya dan segera membuat panggilan video Skype kepada teman baiknya, Nouri.

“Weh Nouri, kau kena tolong aku!” Hunny bersuara sebaik sahaja muka Nouri terpampang di skrin laptopnya.

“Tolong apa?” Nouri bertanya kembali kepada Hunny.

“Aku tengah bengang gila dengan mamat salesman kereta poyo tu!!!” marah Hunny.

“Hal semalam tak settle lagi?”

“Tak settle lagi kata kau? Things are getting worst! Malam tadi aku cakap dengan papa aku pasal semalam tu. Pagi ni, papa dan aku pergi ke syarikat kereta tu. Aku nak mintak ganti rugi sebab baju aku koyak. Salesman-salesman tu kutuk aku kaw-kaw depan papa aku. Sudahnya, bukan duit ganti rugi yang aku dapat, aku pulak dipaksa mintak maaf dengan si Fawwaz dan Nadia tu. Sakitnya hati aku ni. Rasa macam gunung berapi nak meletup!” Hunny meluahkan perasaan kepada teman baiknya itu.

So, apa kau nak buat sekarang?” soal Nouri.

“Apa lagi, aku nak ajarlah si Fawwaz tu cukup-cukup. Biar dia tahu siapa Hunny yang sebenar. Dia ingat aku kena mintak maaf dengan dia, aku dah kalah? Sorry okey!!!”

Great! Langkah pertama. Jaket mamat poyo tu kau belum pulangkan lagi, kan?”

Yep, belum…”

“Apa lagi? Kau buat bla bla bla…” Nouri menerangkan rancangan membalas dendamnya kepada Hunny. Hunny tersenyum lebar dan mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Nouri.

Jam 8.50 pagi, Fawwaz sudah terpacak di depan pintu masuk utama Peramu Corporation. Fawwaz melangkah masuk ke dalam bangunan tiga tingkat di Kompleks Perniagaan Danga Bay lalu berjumpa dengan staf yang bertugas di kaunter penyambut tetamu.

“Assalamualaikum. Saya Fawwaz dari Hijrah Automobile. Saya diminta datang berjumpa dengan Datuk Yusuf jam 9 pagi ini.” Fawwaz memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kedatangannya kepada staf berkenaan.

Waalaikumussalam. Ya, Datuk ada maklumkan appointment encik dengan dia pagi ni. Encik pergi ke lif di sebelah belakang ni, naik ke tingkat tiga. Encik jumpa dengan Cik Mahfuzah, setiausaha Datuk. Nanti dia akan bawa encik jumpa Datuk.” Staf penyambut tetamu menerangkan kepada Fawwaz.

“Terima kasih,” ucap Fawwaz lalu beredar ke araf lif seperti yang ditunjukkan oleh staf tadi. Fawwaz menekan butang lif dan sebentar kemudian, dia telah berada di tingkat tiga.

Fawwaz menuju ke pintu masuk yang terletak di tengah di antara dua sayap sebelah kiri dan kanan. Dia melihat papan tanda yang menunjukkan arah pejabat Datuk Yusuf. Tertera nama Datuk Yusof sebagai pengarah urusan dan biliknya terletak di sayap sebelah kanan. Tiba-tiba Fawwaz disapa oleh seseorang.

“Encik Fawwaz ke ni?” Fawwaz segera menoleh ke sebelah kanan. Seorang wanita bertudung, berseluar slack dan kot berwarna biru sudah berdiri berhampirannya.

“Ya, saya Fawwaz dari Hijrah Automobile. Ini Cik Mahfuzah ke?” Fawwaz menjawab dengan hormat.

“Ya, saya Mahfuzah. Datuk Yusuf sedang menunggu Encik Fawwaz di biliknya. Mari saya tunjukkan biliknya.” Cik Mahfuzah membawa Fawwaz ke bilik Datuk Yusuf. Sampai di bilik berkenaan, Cik Mahfuzah terus membuka pintu dan mempersilakan Fawwaz masuk.

“Assalamualaikum, Datuk.” Fawwaz memberi salam dan menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan Datuk Yusuf. Datuk Yusuf bangun dari kerusinya dan menyambut tangan Fawwaz.

Waalaikumussalam, Encik Fawwaz. Jemput duduk.” Datuk Yusuf menjawab salam Fawwaz.

“Awal Datuk sampai ke pejabat?” Fawwaz memulakan perbualan.

“Dah biasa, Encik Fawwaz. Kita ni sebagai majikan kenalah tunjuk contoh yang baik kepada kakitangan kita, kan? Kalau majikan selalu masuk kerja lambat dan buat kerja sambil lewa, kakitangan akan buat perkara yang sama. Boleh lingkup syarikat dibuatnya,” jelas Datuk Yusuf.

“Saya setuju dengan Datuk. Oh ya, Datuk nak berjumpa saya pagi ni, ada apa-apa yang saya boleh bantu?” soal Fawwaz.

“Begini… Syarikat kami memang ada bercadang hendak memberikan kemudahan kereta kepada eksekutif kanan syarikat. Saya lihat semalam di bilik pameran syarikat awak tu, ada pelbagai model yang dipamerkan. Itulah, saya nak tengok ada atau tidak model yang bersesuaian dengan keperluan syarikat kami.” Datuk Yusuf menerangkan sebab sebenar dia hendak berjumpa Fawwaz.

“Boleh saya tahu kegunaan kereta untuk eksekutif syarikat Datuk ni, untuk tujuan apa?” Fawwaz cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada Datuk Yusuf.

“Memandangkan syarikat kami terlibat dalam pelbagai perniagaan termasuk pembinaan, kegunaannya termasuk melawat tapak projek selain untuk kegunaan harian.”

“Jika untuk melawat tapak projek dan off road, model yang sesuai adalah SUV. Kami menawarkan model Hyundai Santa Fe dan Hyundai Tucson. Jika untuk pengangkutan biasa, kami menawarkan model Hyundai Sonata ataupun Hyundai Elantra. Semua maklumat terperinci boleh didapati dari brochure yang saya bawa ni. Datuk boleh tengok dan kaji kesesuaian model-model kereta kami dengan keperluan syarikat Datuk.” Fawwaz menerangkan pilihan model yang tersedia untuk keperluan dan kegunaan syarikat Datuk Yusuf.

“Jika syarikat saya jadi membeli kereta dari syarikat awak, berapa lama tempoh menunggu untuk mendapatkan kereta?”

“Hyundai mempraktikkan sistem tempahan berpusat. Semua tempahan akan dihantar ke ibu pejabat kami dan mereka yang akan menguruskan giliran mendapatkan kereta yang telah ditempah. Bagaimanapun, sekiranya syarikat Datuk membuat tempahan yang banyak, kami akan menguruskan supaya syarikat Datuk diberikan kelonggaran untuk mendapatkan kereta yang ditempah lebih cepat.”

“Bagaimana dengan tempoh warranty?”

“Hyundai menawarkan tempoh warranty selama 60 bulan atau 300,000km, mana yang terdahulu. Maklumat lanjut mengenai warranty yang kami tawarkan boleh Datuk dapati di laman web www.hyundai.com.my.

“Saya tidak boleh membuat keputusan sendiri berhubung perkara ini. Ia perlu dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah dan diluluskan. Barulah transaksi ini boleh dilakukan. Kebetulan, esok mesyuarat itu akan diadakan. Saya akan bentangkan esok. Apa-apa keputusan, saya akan hubungi Encik Fawwaz semula,” terang Datuk Yusuf.

“Saya faham, Datuk. Apa-apa keputusan, Datuk maklumkan kepada saya atau Encik Hasrul. Nombor telefon saya ada di business card itu.” Fawwaz menghulurkan business cardnya kepada Datuk Yusuf. Datuk Yusuf menyambut dan membelek kad itu. Kemudian dimasukkan kad Fawwaz itu ke dalam kocek kotnya.

“Encik Fawwaz, awak ada appointment lain selepas ini? Jika tiada, apa kata kita pergi minum sebentar?”

“Tak ada, Datuk. Bolehlah.” Fawwaz bersetuju menerima pelawaan Datuk Yusuf. Mereka kemudian melangkah keluar dari pejabat dan menuju ke bistro berdekatan.

“Encik Fawwaz, sebagai seorang bapa, saya benar-benar berasa malu dan kesal dengan kelakuan anak saya terhadap awak dan rakan-rakan. Mungkin bagi orang yang tidak kenal saya, mereka akan mudah sahaja menyalahkan saya kerana tidak pandai mendidik anak sehinggakan Husna membesar dalam keadaan sebegitu. Tapi percayalah, tak ada seorang bapa pun yang inginkan anaknya membesar menjadi insan yang tidak berakhlak,” bicara Datuk Yusuf kepada Fawwaz sambil menghirup kopi O.

“Datuk, anak Datuk sudah pun meminta maaf kepada saya dan rakan-rakan. Kita pun sudah bersetuju untuk tidak memanjangkan kisah ini. Bagi saya, kes ini sudah selesai. Saya sudah menutup buku dan move on, Datuk.” Fawwaz cuba berbahasa dengan Datuk Yusuf padahal hatinya memang tergores dengan kelakuan Husna a.k.a Hunny.

“Bagi awak, mungkin kes ini sudah tamat. Tapi saya percaya bagi Husna sebaliknya. Dia menganggap kes ini baru bermula. Saya kenal sangat perangai anak saya. Saya nak awak bersedia. Sekiranya dia membuat perkara yang melampau, awak jangan teragak-agak untuk melaporkannya kepada saya. Saya minta maaf jika anak saya menyusahkan awak.”

“Minta maaf saya bertanya soalan yang agak peribadi sedikit, Datuk. Apa sebenarnya masalah Husna sehingga dia berkelakuan sebegitu?” Fawwaz cuba mencungkil rahsia di sebalik kelakuan kasar dan angkuh Husna.

“Ini semua salah saya, Encik Fawwaz. Husna dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ibu. Arwah isteri saya meninggal dunia kerana kanser otak sewaktu Husna berumur 4 tahun. Kerana cinta saya yang sangat mendalam terhadap arwah isteri saya, saya tidak berkahwin lagi sehingga sekarang. Husna hidup dengan menumpang kasih dari orang gaji di rumah saya, Mak Munah. Tapi manalah nak sama dengan kasih sayang seorang ibu. Dari kecil lagi saya manjakan Husna. Apa yang dikehendakinya, saya cuba penuhi sedaya mungkin. Saya ingat dengan cara itu, saya boleh menampung ketiadaan kasih sayang ibunya. Rupa-rupanya saya silap besar.”

“Cara saya mendidik itu menjadikan Husna seorang anak yang suka memberontak. Pantang tak dapat sesuatu yang dihajati, dia akan mengamuk, memberontak dan membuat kacau. Saya pula sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan hingga kekurangan masa untuk memantau perkembangan Husna. Dalam masa yang sama, saya juga menghamburkan kemewahan kepadanya menyebabkan dia menjadi semakin liar. Duit tidak pernah menjadi masalah kepada dia. Apabila saya sedar akan kesilapan cara mendidik Husna, sayangnya sudah terlambat. Husna sudah menjadi buluh yang keras dan sukar untuk dibentuk semula,” cerita Datuk Yusuf.

“Maafkan saya, Datuk. Sekarang barulah saya faham mengapa Husna jadi begitu. Saya minta maaf sebab ada juga terlintas dalam hati saya betapa ibu bapa Husna tidak mendidik anak dengan betul tanpa mengetahui apa sebab sebenarnya. Tapi saya percaya, masih belum terlambat untuk mengubah Husna. Jika Datuk istiqamah berusaha dan berdoa, insya-Allah ada jalan untuk Husna berubah. Cepat atau lambat saja. Percayalah, Datuk. Emak saya selalu berpesan, batu yang keras itu pun jika disiram air, lama-kelamaan akan pecah juga. Inikan lagi hati manusia. Yang penting Datuk jangan berputus asa.” Fawwaz menasihati Datuk Yusuf laksana seorang pakar kaunseling pula.

“Encik Fawwaz, saya tak tahu macam mana saya boleh bercerita semua ini kepada awak sedangkan baru semalam saya mengenali awak. Selama ini cuma orang yang benar-benar rapat dengan saya sahaja yang tahu tentang perkara ini. Tapi naluri saya mengatakan bahawa awak boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia keluarga saya. Awak juga seorang yang bertanggungjawab dan baik hati. Tindakan awak memberikan jaket untuk Husna menutup badannya selepas bajunya terkoyak, amat saya sanjungi dan hormati. Padahal Husna telah menyakiti awak tapi awak masih sanggup berusaha menutup aibnya. Awak telah menyelamatkan maruah anak saya. Saya benar-benar berterima kasih kepada awak.” Datuk Yusuf rasa terhutang budi kepada Fawwaz.

“Datuk, pada saya, Husna itu cuma kekurangan perhatian dan kasih sayang. Mengikut artikel-artikel yang pernah saya baca mengenai remaja bermasalah, mereka melakukan tindakan yang sedemikian semata-mata untuk mendapatkan perhatian. Mereka rasa tak ada orang yang mempedulikan mereka. Oleh itu, mereka memberontak bagi memberitahu dunia tentang kewujudan mereka. Jika mereka mendapat perhatian yang mereka perlukan dan merasa diri mereka disayangi, kebanyakan dari remaja bermasalah ini sanggup untuk berubah dan boleh dibentuk kembali mengikut acuan yang kita inginkan. Saya percaya Husna masih berpeluang dipulihkan.” Fawwaz berkongsi pengetahuannya berdasarkan pembacaannya.

“Encik Fawwaz, saya tak sangka seseorang yang bekerja dalam industri automotif juga mengambil berat tentang masalah sosial remaja.” Datuk Yusuf memuji keprihatinan Fawwaz terhadap isu universal yang sedang melanda remaja sekarang.

“Saya bukannya apa, Datuk. Saya sedih melihat anak remaja terutama anak bangsa kita yang seolah-olah kehilangan identiti kemelayuannya dek mengikut tuntutan emosi. Remaja hendak suara mereka didengari golongan dewasa tapi malangnya disalurkan dengan cara yang kurang elok.” Fawwaz menyuarakan kekesalannya.

“Encik Fawwaz, saya hargai keprihatinan awak terhadap isu remaja bermasalah ini. Saya amat berharap awak sudi membantu saya memulihkan Husna. Saya letakkan sepenuh kepercayaan kepada awak. Bolehkah awak bantu saya?” Datuk Yusuf meminta Fawwaz membantunya memulihkan Husna.

“Beginilah, Datuk. Saya bukan orang yang tepat yang Datuk boleh letakkan kepercayaan untuk memperbaiki akhlak Husna. Ramai lagi orang yang lebih berkelayakan dari saya. Tapi sebagai seorang Islam, saya tak mahu lihat saudara seagama saya terjerumus ke lembah kebinasaan. Saya cuba buat apa yang terdaya saja, Datuk. Saya tak mahu berjanji apa-apa kepada Datuk.”

“Terima kasih Encik Fawwaz. Saya hargai bantuan Encik Fawwaz. Jika Encik Fawwaz perlukan apa-apa, beritahu saya segera. Oh ya, ini ada sedikit sagu hati dari saya sebagai menghargai tindakan Encik Fawwaz meminjamkan jaket kepada anak saya,” ujar Datuk Yusuf sambil menolak sekeping sampul surat berwarna putih ke arah Fawwaz.

“Eh, apa ni Datuk? Saya tolong tu ikhlas, Datuk.” Fawwaz rasa serba salah menerima pemberian Datuk Yusuf itu.

“Ini juga ikhlas dari saya. Satu lagi, Husna dah pulangkan semula jaket Encik Fawwaz?”

“Belum lagi, Datuk.”

“Saya nasihatkan Encik Fawwaz, beli saja jaket yang baru. Jaket yang ada pada Husna tu anggap saja dah tak ada rezeki Encik Fawwaz.”

“Kenapa Datuk cakap macam tu?”

“Awak percayalah cakap saya… Saya kenal perangai anak saya. Gunakan isi di dalam sampul surat itu untuk beli jaket baru.”

Fawwaz tertanya-tanya apakah maksud Datuk Yusuf.

Jam 2.30 petang, Fawwaz duduk di mejanya menyiapkan laporan aktiviti yang diminta oleh Encik Hasrul. Tiba-tiba dunia Fawwaz terasa gelap seolah-olah mukanya diserkup dengan kain hitam seperti yang selalu dilakukan oleh penculik dalam drama tv.

“Nah! Ambil balik jaket hapak kau ni! Tak ingin aku nak simpan lama-lama!” jerkah satu suara.

Dengan perlahan Fawwaz mengalihkan jaket yang menyerkup mukanya itu. Tekaannya betul. Husna a.k.a Hunny sedang berdiri di hadapan mejanya dengan lagak angkuhnya.

“Amboi, cantiknya bahasa Cik Husna… Kut ya pun, berilah salam dulu. Assalamualaikum.”

Waalaikumussalam!” Hunny menjawab salam Fawwaz.

“Ha, kan lebih manis kalau begitu. Kita ni orang Melayu dan beragama Islam. Kalau pergi ke tempat orang ada adabnya, Cik Husna. Jangan main terjah sebarang saja.” Fawwaz memberikan tazkirah percuma kepada Hunny.

“Hei, aku datang bukan nak dengar kau berleterlah! Aku nak pulangkan jaket busuk kau ni saja.”

“Oh, saya ingat Cik Husna datang nak tengok kereta api tadi. Tunggu sekejap, ya.”

Hunny pelik melihat kelakuan Fawwaz. Fawwaz mencapai beg sandangnya yang diletakkan di bawah meja. Kemudian dia membuka zip dan mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya itu.

Terbeliak mata Hunny. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Fawwaz dengan bersahaja mengeluarkan sebuah kotak berisi set kepala dan gerabak kereta api mainan dari dalam begnya lalu diletakkan di atas mejanya. Sempat lagi Fawwaz mengukir senyuman menyindir kepada Hunny.

“Hari tu Cik Husna cakap, Cik Husna datang ke sini nak tengok kereta api, kan? Ha, sekarang saya dah sediakan kereta api untuk Cik Husna. Tengoklah puas-puas. Kalau Cik Husna nak ambil bawa balik pun tak apa. Anggap saja hadiah dari saya.”

Darah Hunny menggelegak melihat perlakuan Fawwaz. Rancangannya hendak mengenakan Fawwaz belum pun sempat dimulakan, Fawwaz lebih pantas mengenakannya terlebih dahulu.

“Eee… Tensionnya aku tengok perangai kau ni! Pening kepala aku melayan kerenah kau! Kenapalah Tuhan jumpakan aku dengan kau?” Hunny memarahi Fawwaz.

“Oh, Cik Husna pening, ya? Nak Panadol? Sekejap, saya memang ada simpan Panadol Actifast. Nah…” Fawwaz menyeluk ke dalam poket depan begnya lalu dihulurkan sepapan ubat sakit kepala itu kepada Hunny. Dengan pantas Hunny menepis Panadol Actifast yang dihulurkan Fawwaz sehingga ubat itu terlepas dari tangan Fawwaz dan tercampak ke atas lantai.

“Kau ingat lawak kau tu kelakar sangatlah?!” jerkah Hunny kepada Fawwaz.

“Eh Cik Husna, saya hulur ubat pada Cik Husna pun kelakar juga ke?”

Mati kutu dibuatnya Hunny dengan kelakuan Fawwaz pada petang itu. Hunny berfikir sendiri, belum sempat aku buat apa-apa lagi, dia ni dah dua kali kenakan aku. Dia ni ada ilmu hitam ke boleh baca gerak-geri aku?

Encik Hasrul yang baru turun dari biliknya ternampak Hunny sedang berdiri di depan meja Fawwaz. Dia terus menuju ke arah Hunny.

“Apa khabar, Cik Husna? Ada masalah lagi ke dengan Fawwaz?” soal Encik Hasrul.

Er…” Belum sempat Hunny menjawab soalan yang diajukan Encik Hasrul, Fawwaz terlebih dahulu menjawab bagi pihaknya.

“Cik Husna datang nak pulangkan jaket saya ni, Encik Hasrul. Sebagai tanda penghargaan kerana Cik Husna memulangkan jaket, saya hadiahkan Cik Husna kereta api ni. Bukankah Cik Husna teringin sangat nak tengok kereta api sampai terkeliru kedai ni dah jadi stesen kereta api?” Fawwaz mengenakan Hunny… Tak bagi can langsung kepada Hunny untuk bersuara walau sepatah pun. Hunny menggigit bibir dengan kuat tanda geram. Fawwaz kemudian mencapai set kereta api mainan itu lalu dimasukkan ke dalam kotak.

“Oh begitu… Saya ingatkan Cik Husna ada masalah lagi tadi. Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu,” pinta Encik Hasrul.

“Encik Hasrul… Saya nak…” Sekali lagi Fawwaz dengan pantas memintas kata-kata Hunny.

“Encik Hasrul, Cik Husna ni nak ajak saya pergi minum sekejap di restoran hujung sana tu. Boleh, kan?” Lagi sekali Fawwaz menyakiti hati Hunny.

Bila masa pulak aku ajak mamat ni pergi mengeteh? Hunny memang betul-betul bengang kali ini. Tapi dia tidak boleh bertindak keterlaluan kerana segan dengan Encik Hasrul.

Encik Hasrul senyum dan menganggukkan kepalanya sebagai tanda memberi kebenaran. Fawwaz memasukkan kotak kereta api mainan tadi ke dalam plastik. Kemudian dia menyambar tangan Hunny lalu mengheretnya keluar dari bilik pameran sambil sebelah tangannya membimbit beg plastik. Yang peliknya, Hunny cuma mengikut sahaja tanpa membantah. Hairan bin ajaib!!!

“Minumlah… Menangis air teh tu sebab tuan dia tak memanfaatkan dia.” Fawwaz menegur Hunny yang sedari tadi merenung tajam ke arahnya tanpa mempedulikan segelas teh tarik yang telah lama diletakkan di hadapannya.

“Aku cukup tak puas hati dengan kau! Dahlah aku kena paksa mintak maaf, hari ni kau kenakan aku cukup-cukup, eh! Hidup aku dah cukup serabut sejak aku kenal kau!” Hunny melahirkan rasa tak puas hatinya terhadap Fawwaz.

“Apa yang saya dah buat pada Cik Husna? Takkan minum teh dengan saya pun boleh buat hidup Cik Husna serabut?” Fawwaz pura-pura tidak faham dengan maksud ayat Hunny tadi.

“Pertama sekali, kau jangan sesekali panggil aku Husna. Nama aku H-U-N-N-Y Hunny, faham?!” marah Hunny.

“Saya tahu tu. Tapi bukankah Husna Nazihah tu nama sebenar cik? Sedap apa nama tu. Maksud nama cik tu ialah si cantik yang bersih dari noda. Bila saya panggil cik dengan nama Husna, bererti saya mendoakan cik untuk kekal cantik. Tak baguskah itu? Saya ada juga cuba cari makna Hunny dalam kamus tapi tak jumpa satu apapun… Jadi, lebih baik saya panggil Cik Husna. Boleh saya mendoakan kebaikan untuk cik. Takkanlah jadi kesalahan kita mendoakan kebaikan untuk saudara Islam kita sendiri?” Fawwaz berkhutbah lagi kepada Hunny.

“Eee, bingit telinga aku bercakap dengan kau ni la!!!” Hunny rasa rimas. Mulut mengalahkan mak nenek, getus minda Hunny penuh geram.

“Cik Husna ni sikit-sikit nak marah. Sikit-sikit nak melenting. Cuba kurangkan sikit marah-marah tu. Cuba Cik Husna belajar lebihkan senyum pulak. Terhibur hati orang di sekeliling jika Cik Husna senyum. Bukankah senyum itu juga satu sedekah? Satu lagi orang tua-tua kata, senyum itu adalah ubat awet muda. Marah dan masam muka pula akan mempercepatkan kedut pada muka kita. Cepat tua. Taklah nanti saya tengok muka Cik Husna dah macam muka mak cik-mak cik walhal Cik Husna lebih muda dari saya…” Fawwaz menyambung leterannya. Fawwaz rasa bertambah seronok pula apabila melihat respons Hunny yang rimas dengan leterannya itu.

“Ya Allah, Ya Tuhanku… Kau berhentikanlah makhluk depan aku ni dari membebel kat telinga aku!” Husna benar-benar geram dengan kelakuan Fawwaz. Tapi yang menghairankan, mulutnya seolah-olah terkunci untuk membalas kembali setiap serangan Fawwaz terhadapnya.

“Ha, kan bagus macam tu!”

“Bagus apa pulak?” Hunny hairan mendengar kata-kata Fawwaz sebentar tadi.

“Bagus sebab dengar saya berleter, Cik Husna menyebut nama Allah. Kalau macam ni, saya kena berleter lebih panjang lagilah. Makin panjang leteran saya, makin banyak Cik Husna mengingati Allah. Bagus apa?” Fawwaz perasan, Hunny sudah tidak lagi marah kepadanya kerana memanggilnya dengan panggilan Cik Husna. Satu perkembangan yang baik.

“Layan kau ni aku boleh jadi gila, tahu tak?”

“Bagus.” Spontan saja perkataan itu keluar dari mulut Fawwaz.

“Bagus apa pulak kali ni?” Bertambah-tambah bengang Hunny mendengar ayat yang keluar dari mulut Fawwaz.

“Bagus Cik Husna jadi gila sebab orang gila ni, dia tak ada dosa sebab dia tak tahu sama ada perbuatan dia tu betul atau salah. Kewajipan beribadat seperti solat dan puasa gugur dengan sendirinya dan tak wajib ke atas orang gila.Jadi, orang gila ni confirm penghuni syurga.” Fawwaz makin seronok mengenakan Hunny.

“Habis, kau sukalah kalau aku betul-betul jadi gila kerana layan kerenah kau?”

“Suka!”

“Apa? Tadi kau cakap nak doakan kebaikan untuk aku. Sekarang kau pulak nak aku jadi gila. Atau kau tu sendiri yang dah gila?” Hunny makin bengang tapi Fawwaz tetap selamba dan menayang muka sardinnya.

“Kan saya dah cakap tadi, orang gila ni penghuni syurga. Mestilah saya suka kalau Cik Husna dapat masuk syurga disebabkan Cik Husna gila. Saya yang waras ni pun tak tentu lagi dapat masuk ke syurga sebab kena dihisab amalan dulu di padang mahsyar. Beruntung Cik Husna jadi orang gila. Cik Husna tak suka ke saya mendoakan kebaikan untuk Cik Husna?”

Muka Hunny yang putih itu sudah kelihatan merah membara kerana kutukan Fawwaz.

“Dahlah, malas aku nak layan kau lagi. Aku nak blah!” Diam tak diam, dah hampir sejam juga Hunny menghabiskan masa mendengar Fawwaz menceceh. Tak tahulah apa ilmu yang Fawwaz pakai hingga Hunny boleh setia duduk mendengar bebelan dan leterannya sebegitu lama. Kalau dengan papanya, paling lama Hunny boleh bertahan cuma 10 minit saja.

Er, Cik Husna. Kereta api ni jangan lupa bawa balik. Hadiah ikhlas dari saya ni.”

Bertambah sakit hati Hunny dibuatnya. Hunny terus menyambar plastik berisi kotak set kereta api mainan itu lantas bangun dari kerusinya. Fawwaz cuma senyum sahaja melihat Hunny berlalu pergi. Hatinya puas kerana berjaya mengunci mulut Hunny daripada menyerangnya seperti tempoh hari. Pendek kata, maklumat diri Hunny yang diperolehinya daripada Datuk Yusuf memang amat berguna untuk berhadapan dengan Hunny.

Fawwaz membuat satu kesimpulan tentang Hunny… Hunny cuma berani berlagak samseng di depan kawan-kawannya saja untuk menjaga egonya. Apabila berhadapan satu dengan satu, Hunny mati kutu. Sebab itu Fawwaz tidak memberi peluang kepada Hunny untuk mengenakannya.

Fawwaz membayar bil di kaunter dan berjalan pulang ke premis syarikatnya.

Hunny tidak terus pulang ke rumahnya selepas insiden dileteri Fawwaz. Sebaliknya dia menelefon Nouri. Mereka berjanji untuk berjumpa di Restoran Paparich, City Square dalam masa sejam. Sementara menunggu ketibaan Nouri, Hunny meninjau kedai-kedai di City Square itu sambil mengusung plastik berisi kotak set mainan kereta api. Tiada apa yang menarik minat Hunny untuk dibeli di kedai-kedai berkenaan. Dia memutuskan untuk duduk menunggu di restoran saja. Dalam 15 minit, Nouri pun muncul di Restoran Paparich itu.

“Weh, whats up? Dah laksanakan plan kita nak kenakan mamat salesman poyo tu?” Soalan pertama keluar dari mulut Nouri sebaik sahaja duduk di hadapan Hunny.

“Hancur lebur pelan kita, kau tahu tak? Aku dah jadi macam orang gila layan mamat tu.” Hunny menceritakan perancangannya bersama Nouri untuk mengenakan Fawwaz telah gagal.

What happen? Mamat tu buat apa sampai pelan kita gagal?”

“Dia kenakan aku cukup-cukup. Ni, kau tengoklah apa yang dia bagi kat aku ni!” Hunny menunjukkan plastik berisi kotak set kereta api mainan yang diletakkannya di atas meja. Nouri tak dapat menahan gelak lalu ketawa berdekah-dekah di hadapan Hunny.

“Apa pasal kau gelakkan aku pulak?” Hunny tidak puas hati dengan Nouri yang masih lagi belum berhenti mentertawakannya.

“Adoi! Yang kau ambil kereta api ni, buat apa?”

“Dah dia bagi, aku ambillah!”

“Betul-betul dia balas balik apa yang kau buat hari tu. Sarkastik betul!”

“Lepas tu depan bos dia, dia tarik tangan aku pergi minum teh. Yang aku pelik, aku ikut aje. Tak membantah langsung.” Hunny melanjutkan penceritaannya.

“Aku ingat kau ni dah kena manderem dengan mamat poyo tu. Mana pernah kau bagi lelaki suka-suka pegang tangan kau.”

“Aku pun rasa macam tu jugak. Dah tu, masa minum teh tu pulak, dia asyik membebel saja. Dekat sejam aku dengar dia menceceh entah apa-apa. Naik menanah telinga aku ni kena kutuk kow-kow dengan dia. Aku langsung tak ada peluang nak membalas. Eee, betul-betul sakit hati aku ni!”

“Hunny, aku kawan dengan kau dah lama. Perangai kau aku faham sangat dah. Aku rasa kau ni dah tangkap syok dekat mamat salesman tu. Biasanya kau tak layan lelaki lama macam tu. Kau kan brutal bila berdepan dengan lelaki.” Nouri dah mula mengarut dengan teorinya itu.

Wekkk… Aku nak syok kat mamat salesman poyo tu? Kecuali kalau aku dah sewel, kemungkinan itu adalah sifar percent. Tak mungkin!”

“Kita tengoklah nanti siapa yang betul. Kau atau aku…” Nouri melontarkan cabaran buat Hunny.

Selepas makan malam, Hunny terus masuk ke biliknya. Moodnya untuk keluar ke kelab malam bersama kawan-kawannya hilang gara-gara insiden petang tadi. Di depan matanya, seolah-olah ada kain pemidang yang memainkan semula adegan yang berlaku antara dirinya dan Fawwaz. Rasa geramnya makin menjadi-jadi mengenangkan perbuatan Fawwaz yang mengenakannya cukup-cukup tanpa memberi sedikitpun peluang untuk dia membalasnya semula.

Aku rasa, kau ni dah tangkap syok dekat mamat salesman tu. Kita tengoklah nanti siapa yang betul. Kau atau aku… Terngiang-ngiang kata-kata Nouri di telinga Hunny.

Hunny puas mencari lojik di sebalik kata-kata Nouri itu. Sebaliknya dia gagal menjumpai satu pun alasan yang boleh membenarkan dia menyetujui pendapat teman baiknya sejak sekolah rendah itu.

Mata Hunny tertumpu kepada kotak set mainan kereta api hadiah daripada Fawwaz yang diletakkan di atas meja tulis. Memandang kepada kotak mainan itu, hatinya rasa sakit akibat dipermainkan oleh Fawwaz. Selama ini, tiada seorang lelaki pun yang berjaya membulinya sebagaimana yang dilakukan oleh Fawwaz tadi. Hunny pun tak tahu kenapa dia tak berupaya membalas semula setiap perkataan dan perbuatan Fawwaz petang tadi. Yang lebih teruk lagi, Fawwaz dengan mudah menarik tangan dan mengheretnya ke restoran. Tak ada seorang lelaki pun selain papa dan bapa saudaranya yang pernah memegang tangannya selama 24 tahun dia bernafas di bumi Allah ini.

Tapi apabila difikirkan semula, dia rasa nak ketawa apabila teringat tentang Fawwaz. Paling dia tak tahan adalah hadiah kereta api itu. Dia betul-betul tak menyangka Fawwaz akan membalas kembali perbuatannya. Mamat salesman poyo itu tidak perlu pun meninggikan suara sebagaimana yang dibuatnya untuk menyakitkan hati lelaki itu. Caranya yang bersahaja memulangkan paku buah keras membuatkan dia berasa sedikit kagum kepada salesman sengkek itu. Jejaka itu nyata mempunyai aura yang tersendiri yang menarik minatnya untuk mendekati lebih rapat lagi.

Jejaka itu memanglah tidak sekacak hero drama Korea seperti Lee Min Ho atau Kim Soo Hyun yang rata-ratanya berkulit putih dan bermata sepet. Fawwaz cuma jejaka Melayu typical yang berkulit sawo matang. Namun bak kata allahyarham Tan Sri P. Ramlee, manisnya tetap ada. Jejaka itu sebetulnya cuma mengembalikan semula perbuatan Hunny yang terlebih dulu bertindak keterlaluan terhadapnya. Jadi, Hunny nak berdendam sangat terhadap Fawwaz rasanya tak wajar juga…

Habis tu, apa yang patut Hunny buat sekarang? Nak minta maaf, Hunny sudah pun meminta maaf meskipun dibuatnya tanpa rela. Takkan dia nak berkawan dengan si Fawwaz tu pulak? Masak kalau si Nouri tahu aku nak berkawan dengan Fawwaz. Mampus aku dikutuk si Nouri nanti, bisik hati Hunny. Ah, pedulikan dengan si Nouri tu. Setakat berkawan saja, apa salahnya?

Lagipun selama ini Hunny memang tak ada berkawan dengan mana-mana lelaki. Padanya, lelaki yang nak berkawan dengan perempuan cuma untuk mengambil kesempatan sahaja. Lebih-lebih lagi kalau perempuan tu anak orang kaya seperti dirinya. Ramailah lelaki sengkek yang hendak berkawan kerana nanti bolehlah menumpang makan dan shopping free. Salah gaya, semua perbelanjaan si lelaki, si perempuan yang akan menanggung sebab hati dah sayang… Nanti bila bosan, si lelaki pun angkat kaki dan cari pula mangsa lain. Banyak kes yang Hunny tengok terjadi kepada rakan-rakan dan saudara-maranya sendiri.

Tapi Fawwaz nampak seperti bukan lelaki daripada golongan sebegitu. Dia tak hiraukan pun sama ada Hunny anak orang kaya ataupun tidak. Tindakan Fawwaz memberikan jaket nyata menunjukkan Fawwaz seorang lelaki yang bertanggungjawab dan tidak suka mengambil kesempatan ke atas perempuan. Kalau lelaki lain yang berada dalam situasi Fawwaz tempoh hari, rasanya mereka akan membiarkan saja. Gerenti Hunny akan keluar dengan memakai blaus rabak seterusnya menjadi bahan tontonan orang ramai. Hunny rasa benar-benar bersalah kerana mengasari, memperbodohkan, mempermainkan dan menjatuhkan maruah Fawwaz.

Aku kena minta maaf sekali lagi dengan Fawwaz.Kali ni dengan hati yang jujur dan ikhlas, bisik minda Hunny.

Esoknya jam 10 pagi, Hunny sudah berdiri terpacak di hadapan premis Hijrah Automobile itu. Niatnya hanya satu, ingin meminta maaf daripada Fawwaz. Hunny mengenakan pakaian yang agak sopan pada pagi itu. Seluar slack longgar dan kemeja T lengan panjang. Rambutnya juga disisir rapi menampakkan keayuan wajahnya yang selama ini terselindung di sebalik pakaian dan fesyen entah apa-apa. Nadia yang ternampak Hunny berjalan menuju ke arah pintu masuk premis terus memanggil Fawwaz.

“Fawwaz, kau ada buat apa lagi kat minah kekwat tu? Dia datang lagi ke sini tu ha!” Nadia memberitahu kedatangan Hunny kepada Fawwaz.

“Mana ada saya buat apa-apa kat dia, kak. Entahlah… Dia tu kan troublemaker. Lantaklah dia nak buat apa pun. Mana boleh saya nak halang.”

Hunny yang baru membuka pintu premis bilik pameran kereta itu ternampak Fawwaz sedang berdiri di hadapan meja Nadia. Hunny terus menuju ke situ dan bila sampai, Hunny terus menarik tangan Fawwaz tanpa berkata apa-apa.

“Cik Husna, kenapa tarik tangan saya ni? Cik Husna nak kidnap saya ke?” soal Fawwaz. Hunny tidak menjawab soalan Fawwaz sebaliknya dia terus keluar menuju ke restoran semalam.

Sebaik saja sampai di restoran, mereka terserempak dengan Encik Hasrul. Encik Hasrul cuma tersenyum saja melihat Fawwaz dan Hunny berpegangan tangan.

Ah, sudah… Mesti Encik Hasrul akan salah faham nanti ni. Minda Fawwaz berbisik.

Er Encik Hasrul, saya minum sekejap dengan Cik Husna, ya?” Fawwaz meminta kebenaran daripada bosnya itu.

“Okey. Tapi jangan lama sangat.”

Encik Hasrul memberi kebenaran kepada Fawwaz kemudian dia beredar dari restoran itu. Hunny menarik tangan Fawwaz menuju ke sebuah meja kosong di tepi dinding dan meminta Fawwaz duduk di situ. Pelayan restoran datang mengambil pesanan mereka. Fawwaz memesan segelas teh tarik diikuti Hunny yang memesan minuman yang sama dengan Fawwaz.

“Assalamualaikum.” Hunny memberi salam kepada Fawwaz.

Waalaikumussalam. Fuh, lega hati saya ni. Ingat Cik Husna nak kidnap dan bawa saya lari ke mana tadi…” Fawwaz terperanjat apabila Hunny memberi salam kepadanya.

“Eh, semalam bukan main berani lagi awak kenakan saya cukup-cukup, hari ni tahu pulak awak takut bila saya heret awak?” sindir Hunny.

Fawwaz perasan perubahan pada ganti nama diri yang digunakan oleh Hunny sebentar tadi. Bersaya awak… Kalau tak, main terjah aku kau saja.

“Cik Husna ni sihat ke hari ni? Tak demam atau pening kepala?” soal Fawwaz kerana pelik melihat kelakuan Hunny hari ini.

“Saya sihat walafiat. Kenapa? Nak bagi saya Panadol lagi?” Hunny pula mengenakan Fawwaz.

“Tak adalah… Dah serik semalam kena tepis sampai tercampak Panadol tu. Saya pelik, kelakuan Cik Husna lain sangat hari ni berbanding sebelum ni.”

Hunny mengukir senyum manis mendengar jawapan Fawwaz itu. Terkesima sekejap Fawwaz melihat senyuman Hunny itu.

“Cantik!” Perkataan itu terkeluar dari mulut Fawwaz tanpa sengaja.

“Apa yang cantik, Encik Fawwaz?” soal Hunny.

“Cik Husna bila senyum, cantik sangat…” Fawwaz menjawab dengan jujur menyebabkan Hunny tunduk tersipu-sipu. Pipinya yang putih itu bertukar kemerahan menahan malu.

“Okeylah, saya ringkaskan perjumpaan kita hari ni. Nanti berlama-lama karang, Encik Hasrul marah awak pulak. Tujuan saya jumpa awak hari ni adalah saya nak minta maaf sekali lagi dari awak.” Hunny menerangkan tujuan sebenar dia berjumpa Fawwaz hari ini.

“Tapi kenapa pula? Bukankah Cik Husna dah minta maaf masa jumpa saya dalam bilik mesyuarat dengan Datuk Yusuf hari tu?” Fawwaz hairan kenapa Hunny meminta maaf sekali.

“Buat pengetahuan awak, masa saya minta maaf di bilik mesyuarat tempoh hari tu sebab terpaksa. Papa saya yang suruh sedangkan hati saya sedikit pun tidak rela. Hari ini, saya betul-betul ikhlas nak minta maaf dari awak. Saya harap, awak boleh maafkan semua perbuatan dan kata-kata saya terhadap awak. Saya minta kita lupakan persengketaan kita sebelum ini dan kita jadi kawan. Frankly speaking, saya memang tak ada kawan lelaki. Awak adalah kawan lelaki pertama saya.”

Terperanjat beruk Fawwaz mendengar pengakuan Hunny sebentar tadi. Beruk yang sedang bergayut di dahan pokok pun boleh jatuh sebab terperanjat mendengar pengakuan Hunny itu.

“Saya dah maafkan Cik Husna. Tak ada salahnya Cik Husna nak berkawan dengan saya. Cuma saya minta Cik Husna memenuhi dua syarat untuk berkawan dengan saya…”

“Saya sedang mendengar. Apa syarat-syaratnya tu?”

“Syarat pertama, Cik Husna kena izinkan saya panggil cik dengan nama sebenar cik iaitu Husna.”

“Okey, fine with me… Syarat yang kedua?”

“Syarat yang kedua, saya nak Cik Husna menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Saya mungkin tidak boleh memantau sama ada Cik Husna patuh atau tidak syarat kedua ini. Tapi Cik Husna kena ingat, Allah melihat dan mengetahui segala perbuatan kita.” Hunny kelihatan berfikir sejenak tentang syarat kedua Fawwaz itu. Lama kemudian baru Hunny menjawab.

“Saya setuju dengan syarat-syarat Encik Fawwaz itu. Memandangkan awak meletakkan syarat, saya ada syarat-syarat saya juga.” Hunny pula bermain tarik tali dengan Fawwaz.

“Apa pulak syarat Cik Husna?”

“Syarat saya mudah saja. Encik Fawwaz kena bekerja dengan salah satu syarikat papa saya. Boleh, kan?”

“Tapi Cik Husna…” Belum sempat Fawwaz menghabiskan ayatnya itu, Hunny terlebih dahulu memintas kata-kata Fawwaz.

“Saya faham, Encik Fawwaz. Awak tentu perlukan masa untuk selesaikan semua urusan berkaitan kerja awak sekarang, bukan? Saya beri awak masa tiga bulan dari sekarang untuk awak sertai syarikat papa saya.” Hunny memberikan tempoh mencukupi kepada Fawwaz untuk menyertai syarikat papanya.

“Okey. Jika itu syarat Cik Husna, saya sahut cabaran itu.” Fawwaz menerima syarat yang ditetapkan oleh Hunny setelah teringat kembali janji yang telah dilafazkannya kepada Datuk Yusuf untuk membantu pemulihan Hunny.

“Baik. Mulai sekarang, kita berkawan. Saya perkenalkan diri saya. Husna Nazihah binti Yusuf. Berumur 24 tahun. Anak tunggal dalam keluarga. Masih belum bekerja. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan pengkhususan kewangan. Cita-cita saya adalah hendak memajukan perniagaan keluarga saya ke tahap yang lebih tinggi dari sekarang.” Hunny memperkenalkan dirinya.

“Saya setuju berkawan dengan Cik Husna. Saya pula, Mohd Fawwaz bin Mahmud, anak sulung dari tiga beradik. Lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan pengkhususan pemasaran. Buat masa ni saya seorang jurujual kereta. Cita-cita saya untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga saya yang berpendapatan kecil.” Fawwaz pula menceritakan latar belakang ringkas dirinya kepada Hunny.

“Saya rasa memandangkan kita sudah berkawan sekarang, tak perlulah lagi kita berencik dan cik lagi. Panggil nama saja sudah memadai. Awak panggil saya Husna dan saya panggil awak Fawwaz. Setuju?” Hunny mencadangkan kepada Fawwaz.

“Saya setuju.” Fawwaz menjawab ringkas.

“Husna, awak dah pun minta maaf dari saya, tapi saya belum lagi minta maaf dari awak atas kata-kata sindiran dan kutukan saya kepada awak. Saya dengan rendah hati memohon kemaafan dari awak atas semua kesalahan saya terhadap awak. Baik yang disengajakan mahupun tidak.” Giliran Fawwaz pula meminta maaf daripada Hunny.

“Fawwaz, awak tak ada salah apa-apa kepada saya. Awak tak perlu minta maaf. Saya faham mengapa awak bertindak demikian. Jika saya berada di tempat awak, mungkin respons saya akan lebih teruk dari apa yang awak telah lakukan. Saya sedar, saya yang bertindak keterlaluan semata-mata hendak tunjuk di depan kawan-kawan saya yang saya berani mempermainkan awak. Saya sangat menyesal dan berjanji, saya tak akan ulangi perbuatan tak bertamadun seperti itu lagi. Mulai sekarang, saya hendak berubah menjadi gadis yang lebih matang, punya arah tujuan dalam hidup dan boleh berdikari. Saya harap awak sebagai kawan lelaki pertama saya sudi membantu saya…” Hunny melahirkan harapannya terhadap Fawwaz untuk membantunya berubah.

“Untuk seorang kawan, saya sedia membantu. Tapi Husna, awak kena ingat. Jika awak ingin berubah, berubahlah kerana Allah. Bukan kerana manusia atau sebab yang lain. Sebab, jika awak berubah kerana manusia, manusia itu mungkin akan pergi meninggalkan awak. Awak akan merasa kecewa dan mungkin berpaling semula kepada kehidupan lama awak. Tapi jika awak berubah kerana Allah, Allah itu Penguasa alam semesta dan Kekal. Allah tidak akan pernah meninggalkan hamba-Nya yang taat mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Niat awak untuk berubah biarlah ikhlas semata-mata kerana Allah.” Fawwaz menyeru Hunny untuk berubah semata-mata kerana Allah dan bukannya atas sebab lain.

“Insya-Allah, saya akan ingat pesan awak setiap waktu. Okeylah, mari kita beredar. Kalau lama sangat kita di sini, Encik Hasrul cari awak pula nanti. Dia dah pesan tadi  jangan lama sangat, kan? Oh ya, ini nombor telefon saya. Awak simpan dalam telefon awak…” Hunny mendail nombor telefon Fawwaz yang tertera di business card yang diberi Fawwaz ketika dia buat hal tempoh hari.

“Jom, hari ini biar saya yang bayar bil ini…” Hunny menawarkan diri untuk membayar bil minuman mereka.

Mereka bangun lalu menuju ke kaunter restoran. Selepas Hunny membayar bil, mereka berpisah membawa haluan masing-masing. Fawwaz berjalan pulang ke premis bilik pameran kereta Hijrah Automobile dengan persoalan bermain dalam minda. Apa sebenarnya yang dah berlaku kepada Husna sehingga kelakuannya berbeza 180 darjah pagi ini?